Aku memanjangkan cuti hujung minggu sehari lagi. Selesai segala urusan pagi ini aku akan ke TSM biarpun sudah memohon cuti kerana ada dokumen yang perlu aku siapkan. Tambahan pula aku tidak mahu ada kerja yang tertangguh lantaran kalau aku tidak pergi ke tempat kerja. Sebelum pergi ke pajak gadai, aku terlebih dahulu berkunjung ke hospital menjenguk Mak Long dan bertemu dengan Pak Long. Ada pesanan penting yang perlu aku sampaikan kepada Pak Long. Apa yang bakal aku lakukan hari ini mampu menghalang perancangan Pak Long dan Lili.
“Kamu tak kerja hari ni?” soal Pak Long tatkala aku muncul di muka pintu. Aku senyum.
“Cuti lagi hari ni, Pak Long,” sahutku lantas mendekati Mak Long yang masih terbaring di katil hospital. Kutatap wajah Mak Long. Ada kesayuan menjalar dalam diriku.
“Kejap lagi Iman lap tubuh Mak Long,” ujarku.
“Pak Long dah lap tadi,” ujar Pak Long memaklumkan kepadaku.
“Pak Long dah sarapan? Saya ada bawa bihun goreng dan kuih untuk Pak Long tu,” ujarku sambil memandang wajah Pak Long. Dia tersenyum.
“Sekejap lagi Pak Long makan,” sahut Pak Long. Aku mengangguk lalu beredar ke sofa biru lantas melabuhkan duduk ke situ. Cuba mengambil masa sedikit sebelum memulakan bicara untuk menyampaikan perkara ini kepada Pak Long. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kulontar pandangan kepada Pak Long yang sedang leka merenung wajah Mak Long. Seketika aku biarkan sahaja Pak Long menyelami perasaannya terhadap Mak Long.
“Kalau tak kerja hari ni, kamu nak buat apa sepanjang hari?” soal Pak Long berpaling ke arahku. Aku tersenyum. Sudah sampai masa untuk aku memaklumkan perkara ini kepada Pak Long.
“Hari ni saya nak uruskan pembayaran rawatan untuk Mak Long,” ujarku berkias-kias. Sekembali aku dari pajak gadai nanti, aku akan kembali ke sini. Pak Long menatap wajahku.
“Semua bayaran telah Yen uruskan semalam malah kos yang akan datang juga akan ditanggung olehnya. Nanti kamu sampaikan ucapan terima kasih Pak Long kepadanya,” tutur Pak Long mengejutkanku. Yen bertindak mendahuluiku.
“Betul ke, Pak Long?” soalku meminta kepastian. Pak Long mengangguk. Aku melepaskan keluhan kecil. Tindakan Yen kurang menyenangkan hatiku. Aku mengeluh kecil lagi. Setelah berbual-bual dengan Pak Long seketika, aku nekad dengan keputusan yang telah aku buat biarpun Yen telah melangsaikan semua kos rawatan Mak Long. Aku mengunjungi beberapa buah pajak gadai di sekitar bandar ini untuk meminta penjelasan tentang polisi perkhidmatan perniagaan yang disediakan oleh premis mereka. Akhirnya aku membuat keputusan untuk memajakkan barang-barang kemas ini di Pajak Gadai Ilham Muafakat setelah berpuas hati dengan polisi premis ini dan kedua-dua belah pihak juga mencapai persetujuan hasil perbincangan melebihi 40 minit.
Kugenggam erat sampul putih yang menyimpan nilai barang-barang kemas yang kucagarkan tadi. Lantas kusimpan di dalam beg galas lalu memohon diri untuk pergi. Aku segera mendapatkan teksi. DLH destinasiku seterusnya. Usai membayar tambang kereta, aku tidak meneruskan langkah ke premis TSM, sebaliknya mengatur langkah ke arah lif untuk naik ke Aras 20. Tujuanku hanya satu untuk menemui Yen di pejabat. Kedatanganku disambut mesra oleh Nancy lalu dikhabarkan kepada Yen. Mujur juga Yen tidak sibuk mahupun sedang didatangi tetamu. Aku terus sahaja menemuinya. Tatkala aku muncul di muka pintu, Yen sudah mengarah pandangan mata ke pintu. Pandangan yang sentiasa menggetarkan jiwa perempuanku.
“Assalamualaikum...,” sapaku tanpa mengukir senyuman. Nampak mulut Yen terkumat-kamit menyambut salamku. Begitu santai dia bersandar pada kerusi empuk itu. Nampak sedikit berbeza penampilan dirinya dengan pakaian formal itu.
“Adakah saya sedang bermimpi sekarang?” soal Yen merasakan kunjunganku ke situ sesuatu yang tidak diduga. Seketika aku dengan Yen hanya bertentangan mata.
“Duduklah,” pelawanya. Aku geleng kepala. Bukan lama aku hendak berada di sini. Usai urusan ini aku akan pergi. Yen masih memandangku.
“Awak datang ni nak minta maaf ke?” soal Yen tertanya-tanya tentang tujuan kedatanganku yang di luar dugaannya itu.
“Saya nak pulangkan wang awak,” ujarku berterus-terang. Yen memandangku lagi. Pandangan yang sedang meluahkan perasaan tidak selesa.
“Terima kasih atas keprihatinan dan pertolongan awak tapi saya tak boleh terima wang begitu saja. Saya tak nak keluarga saya terus terhutang budi pada awak dan keluarga awak,” tuturku serius menyambung bicara. Yen masih memandangku.
“Saya bayar balik wang awak. Kalau tak cukup wang ni, saya akan bayar kemudian,” tuturku lalu mengeluarkan sampul putih yang berisi wang RM 7000 harga barang kemas yang telah kupajak sebentar tadi. Lantas kuletakkan di atas meja di depan Yen. Yen terkebil-kebil menatap sampul putih yang berada di depannya. Kemudian pandangannya beralih padaku.
“Mana awak dapat wang ni?” soal Yen hairan. Aku diam.
“Tak perlu awak tahu di mana saya dapat wang ni, awak ambil je,” arahku tidak mahu menjelaskan lebih lanjut perkara ini kepada Yen.
“Awak dah gadai barang-barang kemas awak?” soal Yen dengan biji mata terbuka luas mempamerkan kurang senangnya dengan tindakanku. Malah reaksi yang ditunjukkan ini seolah-olah aku telah melakukan kesalahan besar kerana telah menggadaikan barang-barang kemas pemberiannya. Pasti Yen masih mengingati bicaraku pada Pak Long pada hari itu.
“Iman ssi, betul awak dah gadai barang-barang kemas peninggalan arwah ibu dan nenek awak?” soal Yen lagi. Aku tidak mahu menunjukkan sebarang reaksi. Kedengaran keluhan berat Yen diiringi gelengan kepala.
“Awak tak boleh buat macam tu,” keluh Yen. Apa lagi yang termampu aku buat? Aku tiada harta dan ada wang yang banyak dimilikinya. Aku hanya melakukan sedikit pengorbanan untuk Mak Long jika dibandingkan dengan jasa keluarga Mak Long kepadaku.
“Saya pergi dulu,” ujarku lalu berpaling ke muka pintu dan terus melangkah beredar pergi.
“Iman ssi...! Iman ssi...!” panggilan Yen tidak kuendahkan. Tiada apa yang perlu aku bicarakan dengannya lagi. Sebentar tadi aku sudah berikan penjelasan kepadanya. Pasti kalau aku ada wang nanti aku akan bayar baki hutang itu. Di luar bilik pejabat Yen ini, aku saling bertukar senyuman dengan Nancy yang kelihatan sedang melayan panggilan dalam talian. Sempat juga dia melambaikan tangan kepadaku. Kubesarkan langkah bergerak ke lif. iPhoneku berdering. Kuseluk poket beg galas lalu mengeluarkan iPhone. Nama Jang Geun Sik terpampang di dada skrin. Aku tidak berhajat mahu mengangkat lantas kubiarkan sahaja terus berdering sehingga lenyap sendiri. Seminit kemudian berdering lagi. Kemudian menyusul beberapa panggilan yang sama daripada Yen.
“Cik Iman tak jawab ke panggilan tu?” tegur Ruran yang kini berada di depanku. Aku geleng kepala sambil tersenyum.
“Malas saya nak layan orang tu,” jelasku buat Ruran dan Amenda turut tersenyum. Kulontar pandangan kepada para pengunjung yang datang untuk menikmati cupcake bersama keluarga, rakan-rakan dan insan yang dikasihi dan dicintai di TSM ini. Kelihatan para pekerja premis ini sedang tekun melaksanakan tugas masing-masing. Aku tercari-cari kelibat Izati yang tidak kelihatan. Setahuku hari ini bukan hari cuti untuknya. Aku berpaling ke arah Ruran semula.
“Nampak Izati tak?” soalku.
“Dia cuti, Cik Iman,”sahut Ruran disusuli dengan keluhan. Bagai ada perkara yang kurang menyenangkan telah berlaku pada Izati.
“Kenapa dia tiba-tiba ambil cuti hari ni?” soalku hairan.
“Kasihan dia, Cik Iman,” suara Amenda mencelah. Kupandang kedua-dua gadis ini. Ruran dan Amenda mempamerkan wajah mendung mereka.
“Apa yang telah berlaku pada Izati?” soalku tidak sabar-sabar hendak mengetahui cerita lanjut.
“Kejadian yang lalu dah jadi perbualan kat TSM ni. Ada juga yang jahat mulut yang kebetulan tak senang dengan Izati tambah cerita yang bukan-bukan. Paling tak sedap didengar bila ada yang kata dia nak goda suami orang. Macam-macam orang kutuk dia, Cik Iman,” cerita Ruran tentang perkara yang telah berlaku di premis ini tanpa pengetahuanku.
“Betul Cik Iman. Izati malu sangat bila ada yang cakap dia tak boleh tengok lelaki handsome. Macam-macam orang tuduh dia, perempuan mianglah, perempuan takde maruahlah, tak tahu malulah...,” suara Amenda mencelah. Aku melepaskan keluhan.
“Kasihan Izati,” keluh Ruran dengan wajah sugul.
“Kami dah cuba pujuk dia agar jangan pedulikan cakap-cakap orang. Mungkin sebab perkara ni yang buat dia ambil cuti hari ni nak tenangkan hati. Kalau saya di tempat dia pun akan malu juga,” ujar Amenda lagi.
“Yelah Risau juga kalau kerana kejadian ni dia berhenti kerja sedangkan dia perlu cari duit. Izati nak kumpul duit untuk sambung belajar, Cik Iman,” jelas Ruran menyokong bicara Amenda tadi. Tersentuh hatiku mendengar penjelasan Ruran ini. Teringat pada nasibku sendiri. Aku seperti Izati, ada semangat mahu melanjutkan pelajaran. Malang kesempitan wang telah jadi penghalang. Namun aku tetap bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melanjutkan pelajaran. Adakah suatu hari nanti Izati juga akan berpeluang sepertiku? Semoga impian Izati akan termakbul.
“Pekerja kat sini yang cakap bukan-bukan kat Izati tu?” tekaku sekadar mencari kesahihan. Amenda dan Ruran mengangguk. Aku melepaskan keluhan. Sungguh mengecewakanku. Rambut sama hitam tetapi hati berbeza. Walaupun hubungan warga TSM tampak harmoni, namun ada juga yang berhati busuk. Kasihan Izati.
“Takpe nanti saya selesaikan perkara ni. Kamu berdua teruskan kerja kamu,” ujarku berjanji sekali gus memberi arahan kepada Ruran dan Amenda. Mereka mengangguk lantas tersenyum senang mendengar bicaraku. Pasti Amenda dan Ruran mengharapkan yang terbaik buat Izati. Merekalah sahabat sejati Izati.
Kutinggalkan Ruran dan Amenda yang didatangi oleh pengunjung untuk membuat pilihan menu di sini. Seketika aku bersendirian di satu sudut memikirkan tentang Izati. Aku telah mengabaikan kebajikan rakan sekerjaku lantaran terlalu memikirkan keadaan Mak Long. Betapa aku bersalah kalau Izati berhenti bekerja di sini. Ibarat akulah punca kerana gagal mencari jalan penyelesaian terbaik buat gadis itu. Perkara ini sudah menjadi tanggungjawabku. Bahkan aku pasti Ruran dan Amenda mahupun Izati berharap aku mampu menyelesaikan masalah ini memandangkan perkara ini berlaku di tempat kerja. Aku harus segera bertindak sebelum Izati mendahului tindakanku. Risau kalau Izati mengambil jalan mudah dengan berhenti bekerja di sini semata-mata ingin lari daripada masalah ini. Sungguh aku tidak tega membiarkan impian Izati itu hanya jadi sekadar impian.
“Iman ssi...!” langkahku yang baru sahaja hendak bermula terus terhenti. Aku berpaling. Yen sedang mengatur langkah ke arahku sambil diperhatikan oleh pandangan mata yang berada di premis ini. Sempat juga aku melihat Ruran dan Amenda yang tergamam melihat Yen sedang mengatur langkah ke arahku. Sudah pasti pelbagai persoalan berlegar-legar di fikiran mereka. Apatah lagi kami baru sahaja berbicara tentang Izati yang kisahnya ada kaitan dengan Yen. Pasti mereka akan memikirkan tentang pertalian yang terjalin antara aku dengan Yen. Kenapalah pemuda Korea ini muncul saat ini? Mahu sahaja aku hendak berlari menjauhi Yen, namun kakiku terikat oleh pandangan mata yang ada di sini. Lantas menyedarkan aku agar tidak bertindak yang boleh menimbulkan persoalan orang yang berada di sekitar TSM ini. Saat ini aku hanya mampu memalingkan tubuh mahu memulakan langkah. Namun tangan Yen sudah mendarat di tangaku. Erat.
“Kenapa dengan awak ni?” rungutku tidak menyenangi diperlakukan sedemikian sambil diperhatikan oleh banyak mata.
“Kenapa awak tak jawab panggilan saya?” soal Yen geram.
“Saya tak nak cakap dengan awak...busy,” sahutku beralasan. Yen mendengus geram. Tanganku masih tidak mahu dilepaskan.
“Cepat tunjukkan saya kat mana awak gadai barang-barang kemas tu,” pinta Yen buat aku tersentak.
“Buat apa awak nak tahu! Awak ambil saja wang yang saya beri tadi,” tegasku tidak terfikir akan memenuhi permintaan Yen itu.
“Saya mahu pergi ke sana,” sahut Yen. Kutarik tangan dari pautan kemas tangan Yen. Gagal.
“Untuk apa awak nak ke sana? Lepaslah tangan saya,” arahku.
“Saya takkan lepaskan tangan awak selagi awak tak nak tunjukkan pada saya lokasi tempat tu,” balas Yen serius.
“Perkara ni takde kaitan dengan awak,” bantahku sakit hati.
“Saya tak nak duit. Saya nak barang-barang kemas tu,” jelas Yen. Kupandang wajah Yen.
“Itu barang kemas saya. Bukan saya nak jual pun. Nanti saya akan ambil balik. Awak nak buat apa dengan barang-barang kemas tu?” soalku hairan.
“Saya nak jadi pemiliknya,” balas Yen langsung tidak logik. Kalau betul dia hendak beli barang kemas untuk Velviana, berlambak di pasaran. Lebih cantik dan terkini rekaa. Bukan rekaan klasik persis barang-barang kemas yang telah aku gadai itu. Aku cukup yakin Velviana juga tidak menyukainya. Barang-barang kemas itu langsung tidak memenuhi citarasa Velviana. Betulkah Yen mahu menghadiahkan barang-barang kemas itu kepada Velviana? Apa motif Yen bertindak demikian?
“Saya tak nak jual barang-barang kemas tu pada awak,” ujarku.
“Bukan ke awak bersungguh-sungguh nak bayar wang saya tadi? Jadi saya dah buat keputusan saya tak nak duit awak, saya nak barang-barang kemas tu juga,” tegas Yen serius. Seketika aku dan Yen beradu pandangan.
“Cepat saya nak awak tunjuk pada saya di mana awak gadaikan barang-barang kemas tu,” ujar Yen mengulangi permintaan tadi. Aku mendengus kasar. Sakit hati dengan tindakan Yen ini.
“Kalau awak tak nak terus jadi perhatian orang kat sini, lebih baik awak buat keputusan sekarang,” arah Yen mengancamku. Kupandang sekeliling. Memang aku dan Yen sedang diperhatikan banyak mata yang ada di sini.
“Iman, apa hal ni?” ada suara yang menyapaku. Aku berpaling. Encik Rustam muncul tidak jauh daripadaku dan Yen. Kupandang Yen. Anak mata Yen sedang memberi amaran akan melakukan sesuatu di luar jangkaanku. Kemunculan Encik Rustam menambah kesulitan padaku. Aku seakan tidak mampu menolak permintaan Yen ini lagi.
“Takde apa-apa. Saya dan abang sepupu saya ni ada hal nak bincang,” tuturku sambil menarik lembut tanganku cuba melepaskan dari pautan tangan Yen. Keadaan ini menimbulkan andaian yang tidak elok daripada Encik Rustam. Mahupun menimbulkan kecurigaannya. Yen hanya melemparkan senyuman tipis pada Encik Rustam sedangkan pautan tangannya pada tanganku tidak mahu terlerai. Encik Rustam memerhatikan kami seketika menambah perasaan tidak keruanku.
“Baiklah,” putusku mengalah membuatkan Yen mengukir senyuman.
“Kami pergi dulu,” Encik Rustam hanya mengangguk. Lantas Yen terus menarik tanganku meninggalkan premis ini sambil diiringi pandangan mata yang masih terikat pada kami. Aku mendengus kasar. Yen sudah menghidupkan enjin kereta.
“Apa nama tempat tu?” soal Yen bersedia hendak bergerak. Senyap. Ya Allah, kenapalah aku dipertemukan lelaki sebegini? Selepas ini jauhkanlah aku daripada lelaki ini, ya Allah. Bisik hati kecilku.
“Awak serius nak miliki barang-barang kemas tu?” soalku. Yen mengangguk. Lantas kukeluarkan resit yang dikeluarkan oleh Pajak Gadai Ilham Muafakat dari dompet lalu kuletak di pangkuan Yen.
“Saya harap awak puas hati sekarang,” ujarku geram sambil memerhatikan gelagat Yen yang terus sahaja menatap resit itu. Di situ tertera nama dan alamat premis pajak gadai itu dengan lengkap. Yen berpaling ke arahku.
“Awak ego sangat tak nak terima pertolongan saya,” keluh Yen lalu memulakan pemanduan. Aku mendengus kasar lantas memalingkan muka menjauhi Yen. Sekejap sahaja sampai ke Pajak Gadai Ilham Muafakat yang terletak di pusat bandar. Yen meletakkan kereta tepat – tepat di depan premis ini. Kemunculanku dengan Yen sedikit mengejutkan pekerja di sini. Kira-kira baru sejam aku meninggalkan premis ini. Sekarang aku kembali lagi ke sini bersama Yen. Sebenarnya kemunculanku bersama Yen ini juga telah menarik perhatian pekerja di sini. Silap hari bulan mereka ingat aku datang bersama seorang selibriti. Tidak pun aku disangka telah mencuri barang kemas majikanku. Mesti pelbagai andaian sedang bermain di otak mereka sekarang. Aku mengekori langkah Yen. Yen singgah di kaunter yang kebetulan gadis denganku berurusan tadi masih berada di situ. Nadiawati.
“Ye encik, boleh saya bantu?” suaranya ramah menyapa Yen.
“Saya nak tebus balik barang kemas yang Cik Iman gadai kat kedai ni,” tutur Yen sambil berpaling padaku seketika. Nadiawati memandangku. Aku mengangguk dan tersenyum tawar. Sungguh perasaan malu menebal dalam diriku saat ini.
“Ni resit dan saya nak lihat syarat-syarat perjanjian yang telah dipersetujui,” tutur Yen sambil menyerahkan resit pajakan itu kepada Nadiawati. Dokumen yang telah aku tandatangani sejam yang lalu dihulurkan kepada Yen. Aku hanya memerhatikan gelagat Yen dengan gadis itu.
“Berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui oleh Cik Iman tadi, 10% akan dikenakan pada nilai barang yang digadai sebaik saja menerima wang tersebut,” jelas Nadiawati meringkaskan isi perjanjian. Yen hanya mengangguk faham.
“Saya akan bayar semua tu,” sahut Yen tanpa banyak bicara. Yen mengeluarkan sampul putih yang aku serahkan kepadanya tadi. Sampul yang berisi RM7000 itu diserahkan kepada Nadiawati. Kemudian Yen menyerahkan kad kredit untuk melangsaikan bayaran tambahan. Lantas Yen menandatangani dokumen pengesahan urusniaga telah selesai sekali gus membuktikan aku tidak terikat pada terma-terma syarat yang telah ditetapkan oleh Pajak Gadai Ilham Muafakat. Kotak baldu yang berisi barang kemas yang suatu ketika jadi milik mutlakku telah berada di tangan Yen tuan baharu. Tidak lama lagi akan jadi milik Velviana pula. Kenyataan yang sangat mengguris perasaanku. Seketika Yen menilik-niliknya. Setelah berpuas hati, Nadiawati memasukkan barang-barang kemas yang tersimpan di dalam kotak baldu itu ke dalam beg kertas lalu menyerahkan kepada Yen semula.
“Thanks,” tutur Yen disambut dengan anggukan kepala gadis itu. Yen berpaling ke arahku. Lantas menarik tanganku beredar dari situ. Persis anak kecil Yen memperlakukan aku. Di dalam kereta ini aku hanya mendiamkan diri.
“Lain kali jangan bertindak terburu-buru. Apapun yang awak nak lakukan awak mesti bincang dengan saya dulu,” pesan Yen memperingatkan aku.
“Untuk apa saya nak bincang dengan awak kalau perkara tu takde kaitan dengan awak,” tingkahku tidak bersetuju. Yen mengeluh.
“Selagi awak jadi isteri saya, selagi itu saya ada kaitan dengan awak,” tegas Yen. Aku mendiamkan diri. Yen turut sama tidak bersuara.
“Suatu hari nanti saya harap awak akan tahu betapa ikhlasnya saya pada awak,” ujar Yen kembali bersuara.
“Ikhlas dengan memalukan saya di depan gadis itu? Di depan semua orang?” luahku dengan senyuman sinis. Masih terbayang di mata tatkala jadi tontonan pengunjung dan warga premis TSM termasuk pandangan mata Encik Rustam yang langsung tidak mengerti.
“Saya takde niat macam tu,” tingkah Yen disambut dengan dengusan nafasku sebagai tanda protes. Senyap lagi. Aku nekad mahu mendiamkan diri sahaja saat ini.
“Biar saya hantar awak balik ke rumah berehat,” putus Yen. Tanpa sebarang bantahan aku hanya akur pada bicara Yen. Setelah menurunkan aku di halaman banglo ini, Yen kembali ke DLH. Aku melangkah longlai mendaki satu demi satu anak tangga. Daun pintu kutolak perlahan. Aku melemparkan tubuh ke tilam. Kaku terbaring dengan mata yang terpejam. Segala perancanganku hari ini tidak berjalan dengan lancar gara-gara tindakan Yen. Masih ada perasaan sakit hatiku kepada pemuda Korea itu. Aku masih mahu memiliki barang-barang kemas itu. Sebab itu aku hanya menggadai dengan harapan tatkala aku ada wang yang cukup nanti aku akan menebus kembali. Harapan itu sudah musnah. Barang-barang kemas itu telah menjadi milik Yen. Tidak lama lagi akan jadi milik Velviana pula. Aku mengeluh lagi mengingati nasib malangku ini.
Aku teringat janjiku pada Ruran dan Amenda sekali gus janjiku pada diriku sendiri. Bayangan wajah Izati terus menerpa pandanganku. Betapa aku simpati pada gadis itu. Marahku pada Yen kian membuak-buak. Ya Allah sering kali takdir hidupku berputar bersama pemuda Korea itu. Sampai bilakah keadaan begini? Timbul kerisauan tatkala mengingati kembali janji yang telah aku lafazkan di TSM tadi. Bukan setakat janji malah sudah menjadi sebahagian tanggungjawabku. Aku perlu menebalkan muka untuk bersemuka dengan Yen demi memohon pertolongannya. Perkara ini harus diselesaikan dengan penglibatan Yen. Kenyataan yang keluar dari mulut Yen benar0benar diperlukan untuk menyirnakan salah tanggapan orang lain pada Izati. Aku memang nekad ingin mengembalikan semangat dan keceriaan Izati di TSM. Kucapai iPhone lalu membuat panggilan kepada Izati. Mujur juga Izati mahu menjawab panggilanku. Kedengaran suaranya memberi salam.
“Awak mesti datang kerja esok. Saya tunggu awak datang tau. Bye...,”Aku menamatkan perbualan ringkasku dengan Izati. Tidak mahu memberi penjelasan terperinci. Apa yang berlaku esok itulah yang ingin aku lakukan. Izati akan tahu juga nanti. Bagaimana untuk aku memaklumkan perkara ini kepada Yen? Sukar hendak berbicara dengan Yen tika ini. Namun demi Izati aku terpaksa lenyapkan perasaan ego. Teringat aku pada kisah Nabi Yusuf dengan Zulaikha. Biarpun kisahnya berbeza, namun aku boleh menggunakan pendekatan yang sama. Biarpun Yen tidak setampan dan sekacak Nabi Yusuf, namun aku yakin dia juga mampu menarik perhatian gadis lain. Keadaan ini juga yang melontarkan diri Izati pada masalahnya sekarang.
Peristiwa Zulaikha dengan Nabi Yusuf telah menjadi bualan umum khas dalam kalangan wanita dari golongan atas dan menengah. Kecaman-kecaman yang bersifat sindiran mahupun yang terang-terangan mulai dilontarkan orang terhadap Zulaikha, isteri Pembesar Negara Mesir pada zaman itu. Penolakan Nabi Yusuf pada ajakan majikannya dan tatkala melarikan diri dari Zulaikha, Nabi Yusuf dikejar oleh Zulaikha sehingga akhirnya bahagian belakang kemeja Nabi Yusuf terkoyak benar-benar menjatuhkan maruah Zulaikha. Kecaman-kecaman sindiran-sindiran dan ejekan-ejekan orang terhadap dirinya akhirnya sampai di telinga Zulaikha. Dia menjadi masygul dan sedih hati bahawa peristiwanya dengan Yusuf sudah menjadi buah mulut orang. Maka terjejaslah nama baik keluarga dan nama baik suaminya sebagai Pembesar Negara yang sangat disegani dan dihormati. Zulaikha yang sangat marah dan jengkel terhadap wanita-wanita sekelasnya, isteri-isteri pembesar yang tidak henti-henti dalam pertemuan mereka mngejeknya lantaran peristiwanya dengan Yusuf.
Untuk mengakhiri desas-desus dan kutukan kaum wanita para isteri pembesar itu, Zulaikha mengundang mereka ke suatu jamuan makan di rumahnya. Tujuan untuk membuat kejutan dengan memperlihatkan kepada mereka Yusuf yang telah menawan hatinya sehingga dia lupa dengan kedudukannya sebagai isteri Pembesar Negara. Dalam pesta itu para undangan diberikan tempat duduk yang empuk dan masing-masing diberikan sebilah pisau yang tajam untuk memotong daging dan buah-buahan yang tersedia dan sudah dihidangkan. Setelah tetamu masing-masing duduk, maka dipersilakan oleh Zulaikha untuk menikmati hidangan yang sudah tersedia di depan. Tepat pada masa mereka sibuk mengupas buah yang ada di tangan masing-masing, diarahkanlah Nabi Yusuf berjalan sebagai peragawan di hadapan wanita-wanita yang sedang sibuk memotong buah-buahan itu. Tanpa disedari para tamu wanita yang sedang memegang pisau dan buah-buahan di tangan telah melukakan jari-jari sendiri. Mereka menggeleng-geleng kepala kehairanan malah ternganga mengagumi keindahan wajah dan tubuh Nabi Yusuf. Maka berkatalah mereka:” Maha Sempurnalah Allah. Ini bukanlah manusia. Ini ialah seorang malaikat yang mulia,” Zulaikha bertepuk tangan tanda gembira melihat usaha kejutannya berhasil dan sambil menunjuk jari-jari wanita yang terhiris yang bercucuran darah itu.
Lantas kucapai buku kisah Nabi Yusuf lalu menyelak helaian demi helaian untuk mencari bicara Zulaikha. Akhirnya kutemui juga. Berkatalah Zulaikha:” Inilah dia Yusuf, yang menyebabkan aku menjadi bual-bualan ejekanmu dan sasaran kecaman-kecaman orang. Tidakkah kami setelah melihat Yusuf dengan mata kepala memberi uzur kepadaku, bila dia menawan hatiku dan membangkitkan hawa nafsu syahwatku sebagai seorang wanita muda yang tidak pernah melihat orang yang setampan parasnya, seindah tubuhnya dan seluhur akhlak Yusuf? Salahkah aku jika aku tergila-gila olehnya, sampai lupa akan kedudukanku dan kedudukan suamiku? Kamu yang hanya melihat Yusuf sepintas lalu sudah kehilangan kesedaran sehingga bukan buah-buahan yang kamu kupas tetapi jari-jari tanganmu yang terhiris. Maka herankah kalau aku yang berkumpul dengan Yusuf di bawah satu bumbung, melihat wajah dan tubuhnya serta mendengar suaranya pada setiap saat dan setiap detik sampai kehilangan akal sehingga tidak dapat mengawal nafsu syahwatku menghadapinya? Aku harus mengaku di depan kamu bahawa memang akulah yang menggodanya dan merayunya dan dengan segala daya upaya ingin memikat hatinya dan mengundangnya untuk menyambut cintaku dan melayani nafsu syahwatku. Akan tetapi dia bertahan diri, tidak menghiraukan ajakanku dan bersikap dingin terhadap rayuan dan godaanku. Dia makin menjauhkan diri, bila aku mencuba mendekatinya dan memalingkan pandangan matanya dari pandanganku bila mataku menentang matanya. Aku telah merendahkan diriku sebagai isteri Pembesar Negara kepada Yusuf yang hanya seorang hamba sahaya dan pembantu rumah, namaku sudah terlanjur ternoda dan menjadi ejekan orang kerananya, maka bila dia tetap membantah dan tidak mahu memperturutkan kehendakku, aku tidak akan ragu-ragu akan memasukkannya ke dalam penjara sepanjang waktu sebagai pengajaran baginya dan imbalan bagi kecemaran namaku kerananya,”
Ya Allah, sempurnanya Nabi Yusuf dengan kesempurnaan cipataanMu dan nekadnya Zulaikha lantaran kehendak hatinya tidak dituruti. Lantas terbayang di mataku Velviana yang senekad Zulaikha tidak mungkin akan melepaskan Yen untuk bersama gadis lain.
“Memandangkan awak suka sangat nak tolong saya, kali ni saya sendiri yang minta pertolongan awak,” ujarku serius sambil menatap Yen yang sedang leka menikmati hidangan sarapan ini. Yen mengalih pandangan dari nasi lemak di dalam pinggan ke wajahku. Mesti dia hairan mendengar suaraku awal pagi begini. Sudah lama juga kami tidak berbual-bual santai di meja makan ini.
“Tolong apa?” soal Yen memberikan respons yang baik pada bicaraku.
“Awak boleh ikut saya ke TSM awal pagi ni?” soalku berharap Yen menganggukkan kepalanya sahaja tanpa banyak pertanyaan. Mudah-mudahan tiada sebarang agenda penting yang melibatkan dirinya pada awal pagi ini. Aku tidak mahu melambat-lambatkan perkara ini. Maruah Izati harus ditebus.
“Sekarang?” soal Yen lagi.
“Sebaik saja sampai di tempat kerja,” jelasku.
“Nak buat apa?” soal Yen tenang.
“Saya nak awak buat kenyataan tentang kejadian tempoh hari yang melibatkan rakan sekerja saya. Awak masih ingat kejadian ketika awak bersama Velviana di TSM untuk merasa jus oren kat sana,” ujarku sedikit memperli. Yen mengangguk. Mesti dia ingat kerana pada hari itu Velviana kekasih hatinya membuat kecoh apabila Izati memandang sekilas wajah Yen.
“Saya nak awak jelaskan perkara tersebut kepada warga TSM agar tak wujud lagi salah faham pada gadis yang melayan awak dan Velviana tempoh hari,” jelasku. Yen diam. Nampak seakan-akan berfikir dan membuat pertimbangan.
“Mungkin bagi awak mahupun Velviana, perkara ni kecil dan remeh saja. Percayalah perkara ni melibatkan soal masa depan seorang gadis yang hampir mirip dengan nasib hidup saya. Saya tak nak dia patah semangat lantaran kutukan orang yang tak bertanggungjawab,” tegasku bersungguh-sungguh. Yen menatapku lagi. Mungkin bicaraku memberi kesan dalam dirinya.
“Kebetulan pula perkara ini berpunca daripada kekasih awak sebab tu saya perlu melibatkan awak,” ujarku berterus-terang sekali gus mengaitkan Velviana dengan kejadian yang menimpa Izati.
“Kalau awak boleh lakukan perkara ni, saya akan maafkan kesalahan awak tempoh hari,” ujarku mula membuat tawaran.
“Maaf awak bererti awak takkan dingin dengan saya lagi? Awak akan layan saya dengan baik ke?” laju sahaja Yen mengemukakan pertanyaan kepadaku. Aku berfikir seketika. Kemudian perlahan-lahan aku mengangguk bersetuju. Yen tersenyum mempamerkan lesung di pipi. Kacak.
“Okey... saya akan lakukannya,” janji Yen bersetuju. Aku menarik nafas lega. Perkara ini akan selesai sedikit masa lagi.
“Sebelum tu saya nak beri nasihat pada awak. Jangan cepat sangat menilai seseorang dengan perkara yang tak betul,” ujar Yen.
“Mwo (apa)!” Aku tersentak. Pandanganku membutang ke wajah Yen. Baru sahaja aku berniat hendak memadamkan marahku padanya. Sekarang Yen kembali menimbulkan kemarahanku.
“Saya tak pernah ambil mudah masalah orang lain. Itu awak mesti ingat,” ujar Yen lalu bangun meninggalkan aku terkebil-kebil di sini. Terus aku teringat pada bicaraku tadi. Yen tersinggung dengan kata-kataku itu. Aku tersenyum sendiri.
SEPERTI yang telah dipersetujui tadi, aku dan Yen melangkah beriringan memasuki bangunan DLH. Penuh hormat pekerja DLH menyambut kedatangan Yen. Malah aku turut merasa tempias penghormatan itu. Terasa pula persis isteri menteri. Aku tersenyum sendiri. Langkah Yen tiba-tiba sahaja terhenti membuatkan aku terhenti sama. Laju tangannya mengeluarkan iPhone lalu menjawab panggilan itu. Risau aku kalau Yen ada hal penting sekarang.
“Ye Nancy, awak maklumkan kepada semua kita tunda mesyuarat pagi ni ke pukul 10.00 nanti. Saya ada hal penting sekarang,” ujar Yen buat aku terkesima mendengar. Betul bicara Yen tadi. Tuduhanku pada Yen tadi tidak berasas. Yen memang seorang yang bertimbang rasa dan prihatin terhadap nasib orang lain. Aku terharu dengan tindakan dan keputusan Yen mahu menundakan mesyuarat itu gara-gara ingin menunaikan janji padaku.
“Awak ada mesyuarat ke awal pagi ni?” soalku setelah Yen menamatkan perbualan bersama setiausahanya itu. Seketika aku dengan Yen saling berpandangan. Namun pertanyaanku tidak dijawab. Yen kembali menyambung langkah yang terhenti sebentar tadi. Kemunculan Yen di TSM ini sentiasa menarik perhatian warga TSM. Apatah lagi aku ada bersama tika ini. Tampak Ruran, Amenda dan Izati tergamam. Mujur premis belum mula beroperasi lagi. Kalau tidak mesti lebih ramai yang akan melontar pandangan kepada Yen. Sedikit menimbulkan cemburuku. Ketika aku dan Yen memijakkan kaki di ambang pintu utama TSM tadi, Encik Rustam sudah bersama warga TSM. Pasti dia sudah memaklumkan kepada semua pekerja tentang perjumpaan singkat pada awal pagi ini. Sebenarnya perkara ini telah aku bincangkan dengan Encik Rustam semalam. Encik Rustam bersetuju dan menyokongku malah berjanji akan datang lebih awal bagi mengumpul warga TSM pada pagi ini. Aku memanggil Izati untuk berada di sebelahku. Kupandang rakan-rakan sekerja yang sudah membisu dengan mengarah pandangan pada Yen. Tiada siapa yang sudi menatapku saat ini kerana semua lebih tertarik untuk mengarahkan mata mereka pada Yen terutama kaum sejenisku. Hanya sesekali Encik Rustam berlawan pandangan denganku sambil berbalas senyuman. Terpegun mereka menyaksikan ketampanan wajah Yen. Apatah lagi pagi ini keceriaan terpancar di wajah Yen dan bibir sentiasa dihiasi dengan senyuman manis sekali gus membuat gadis-gadis TSM tidak keruan. Ada juga yang berbisik-bisik dan teruja dengan kehadiran Yen. Mungkin mereka merasakan aktor Korea Jang Geun Suk yang kacak itu sedang berdiri di depan mereka sekarang. Mungkin juga ada yang sempat berangan-angan sekarang.Yang musykil, ke mana menghilang wajah dingin membeku dan sikap bersahaja yang selalu dipamerkan Yen selama ini? Melihat keadaan gadis-gadis TSM saat ini membuatkan aku teringat pada kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf. Aku tersenyum sendiri.
“Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Terima kasih banyak-banyak sebab sudi meluangkan masa pada awal pagi ini. Saya perkenalkan lelaki di sebelah saya ini, Encik Yen Aieqal Shuein selaku pengurus baharu DLH yang juga merupakan anak pengarah DLH ini,” jelasku formal.
“Wow....!” Kedengaran suara kagum menyambut bicaraku yang memperkenalkan Yen. Aku dan Yen hanya tersenyum. Begitu juga dengan Encik Rustam. Pasti saat ini lebih ramai yang tertarik kepada Yen. Pekej sempurna yang dimiliki oleh pemuda Korea ini.
“Kemunculan Encik Yen hari ini adalah untuk menjelaskan salah faham sebilangan pekerja di sini terhadap Izati. Silakan Encik Yen,” ujarku menjemput Yen memulakan mukadimah. Izati yang berdiri di sebelahku hanya tertunduk menatap lantai jubin ini. Tiada keberanian mahu menatap rakan-rakan sekerja yang lain khas yang selalu berbisik-bisik mengutuk gadis ini. Tiada keberanian juga mahu menatap wajah Yen. Kasihan Izati. Mesti dia trauma hendak bertentang mata dengan Yen lagi.
“Cik Izati, saya minta maaf bagi pihak Cik Velviana,” tutur Yen sambil berpaling ke arah Izati yang masih tertunduk. Izati mengangguk. Masih tiada keyakinan hendak bertentang mata dengan Yen.
“Sebenarnya timbul salah faham. Apa yang diperkatakan pada gadis ini langsung tak betul. Perkara yang saya nampak Izati memang seorang gadis yang baik dan bersopan-santun. Saya ni taklah handsome sangat, tapi kalau ada yang sudi nak tengok wajah saya taklah menjadi kesalahan,” tutur Yen sempat berlawak. Kedengaran bunyi deraian tawa warga TSM. Tidak sangka ada juga unsur kecinda dalam diri pemuda Korea ini.
“Apa saya handsome? Tak... saya tak hansome pun. Kalau tak mengapa Cik Iman asyik kutuk saya lelaki perasan. Malah dia kata muka saya ni tak tersenarai nak jadi boyfriend dia,” ujar Yen memberi komen pada suara-suara yang melontarkan pujian kepadanya. Sekali lagi bunyi gempak memberikan tindak balas pada bicara Yen. Aku tersenyum. Tidak sangka Yen akan mengungkit kata-kataku itu malah bijak menggunakan bicara itu untuk menceriakan keadaan.
“Saya harap selepas ni takde lagi yang berprasangka buruk pada Izati dan saya harap Izati boleh terus bekerja di sini dengan ceria ye. Kalau tak Cik Iman pasti susah hati,” tutur Yen lagi masih mahu mengaitkan denganku. Kali ini Izati sudah ada keberanian mengangkat muka. Izati mengangguk dan tersenyum. Begitu juga aku. Senang hati aku melihat keceriaan di wajah Izati dan terhutang budi kepada Yen.
“Saya harap penjelasan Encik Yen ini akan menyelesaikan salah faham ini. Saya dan Encik Rustam mengharapkan kita semua dapat bekerja dalam suasana harmoni demi keselesaan semua. Untuk peringatan semua, andai ada masalah sila jumpa saya atau Encik Rustam. Kita boleh berbincang dan kami akan tolong sedaya upaya. Kebajikan anda semua adalah keutamaan TSM. Sekian, terima kasih,” tuturku mengakhiri pertemuan pada pagi ini. Kelihatan Encik Rustam mengangguk-angguk menyetujui kenyataanku itu.
Semua bersurai dan memulakan tugas masing-masing. Yen masih berdiri di sebelahku. Aku menarik nafas lega. Encik Rustam melangkah ke arah kami lalu menghulurkan tangan kepada Yen. Baru dia berkesempatan untuk bersalaman dengan Yen kerana tadi dia berada di belakang jauh daripada aku dan Yen.
“Terima kasih atas kesudian awak datang ke sini dan menolong kami menyelesaikan masalah ni,” tutur Encik Rustam turut terhutang budi. Yen hanya mengangguk dan tersenyum.
“Kalau tak keberatan, jemput sarapan di sini sama-sama,” pelawa Encik Rustam.
“Minta maaf, Encik Rustam lain kali je ye. Saya ada perbincangan dengan setiausaha saya sebelum meeting jam 10.00 pagi ni. Kebetulan pula Iman dan sediakan sarapan di rumah tadi,” jelas Yen.
“Aa... Iman sediakan sarapan awak? Kamu berdua tinggal serumah ke?” soal Encik Rustam terkejut. Yen bagai baru tersedar akan ketelanjuran bicaranya.
“Saya tumpang tinggal rumah mak cik saya. Kami dah sarapan sama-sama tadi,” cepat aku mencelah memberi penjelasan. Sempat juga aku menjeling ke arah Yen sebagai peringatan agar lebih berhati-hati ketika berbicara.
“Oh...yelah kamu berduakan sepupu,” sahut Encik Rustam tanpa sebarang curiga.
“Kalau macam tu saya pergi dulu,” ujar Yen meminta diri. Yen memulakan langkah.
“Jang Geun Sik...!” panggilku membuatkan langkah Yen terhenti.
“Gomawoyo (terima kasih). Nanti saya masak sedap untuk awak,” janjiku sambil menghantar penghargaanku bersama senyumanku. Yen mengangguk dan mula menyambung langkah ke muka pintu sambil diiringi pandanganku. Malah Ruran dan Amenda yang bertugas di kaunter turut menyoroti langkah Yen. Kemudian tersenyum sambil serentak mengangkat ibu jari kepadaku. Ada maksud tersirat yang cuba mereka sampaikan kepadaku.
“Awak pasti minat dengan lelaki Korea kan,” suara Encik Rustam singgah di telingaku. Pantas aku berpaling. Encik Rustam masih bersamaku saat ini.
“Bila dengar awak janji nak masak sedap untuk dia, buat saya terasa pula kamu berdua ni bagai pasangan suami isteri yang romantik,” tutur Encik Rustam tersenyum lebar. Aku terkedu. Encik Rustam tersenyum lantas meninggalkan aku yang masih berdiri terpacak di sini memikirkan bicaranya itu.
No comments:
Post a Comment