“Saya kenalah minta keizinan isteri saya dulu,” suara Yen menerjah pendengaranku. Bicara itu mengundang pelbagai persoalan. Apakah motif Yen mengutarakan bicara sedemikian? Sudah insafkah dia lantaran itu tidak mahu terus menjadi lelaki buaya. Syukurlah kalau Yen sudah ada kesedaran kerana perasaan Velviana juga harus dijaga.
“Awak fikir apa tu?” suara Azni menyentakkanku. Lantas bayangan Yen terus padam. Aku tersenyum menatap Azni.
“Dari tadi saya tengok terkebil-kebil je biji mata awak tu. Macam berat sangat perkara yang awak fikirkan,” ujar Azni memberi ulasan terhadap gelagatku yang tanpa kusedari telah diperhatikan. Aku tersengih panjang. Macam ahli nujum dia ini pandai membaca fikiran orang lain. Aku memandang Azni yang sedang merapikan tudung yang dipakai di depan cermin. Nampak mudah dia mengaturnya.
“Kelas awak pukul berapa?” soalnya sambil mengalih pandangan ke arahku. Mungkin dia menyedari yang aku asyik memerhatikan gelagatnya di depan cermin itu.
“Petang nanti,” sahutku.
“Oh..., kiranya banyak masa free awak hari ni ye,” ujar Azni bernada cemburu. Cemburu sebab aku boleh bersenang-lenang di katil ini. Aku tersenyum. Aku terus memerhatikan kelincahan tangan Azni mengatur tudung yang dipakainya tika ini.
“Az, susah ke nak atur tudung tu?” soalku tidak mahu menyembunyikan keterujaanku ingin mengetahui setakat mana tahap kesukaran untuk merapikannya. Azni berpaling semula ke arahku sambil tersenyum.
“Mudah je. Sebenarnya nak tahu sukar ke tak terpulang pada jenis material tudung yang awak pakai. Teknik iron kena juga betul,” tutur Azni berkongsi pengalaman. Aku mengangguk-angguk.
“Kalau saya lebih suka pakai tudung yang material sederhana. Kalau lembut sangat susah nak atur dan senang pula terusik bila ditiup angin. Tudung material kasar panas dipakai,” jelas Azni panjang lebar.
“Tapi saya tengok ramai juga kawan kita yang suka pakai tudung bawal yang lembut tu kan,” ujarku. Azni mengangguk.
“Tudung bawal tu ada peringkat qualiti. Kalau bawal nombor satu memang lembut sangat. Harga pun mahal. Adat manusia memang pelbagai citarasa sebab tu orang pakai tudung pun berbeza jenis tudung yang dipakai,” jelas Azni tersengih. Memang tepat bicara Azni itu.
“Kalau awak nak cuba pakai saya boleh tolong,” tutur Azni bersedia menghulurkan khidmatnya.
“Thanks...,” tuturku tersenyum dan berbesar hati.
“Sekarang banyak fesyen tudung mudah nak dipakai. Masukkan je tak payah susah-susah nak lipat sana sini,” jelas Azni. Aku mengangguk. Tudung yang Encik Rizal hadiahkan tempoh hari itu pun fesyen seperti itu. Sudah siap ada awning. Mudah dipakai.
“Saya tengok awak tak pernah pun pakai tudung macam tu,” komenku.
“Saya tak biasa pakai tudung macam tu. Macam tak sesuai je dengan bentuk muka saya,” luah Azni. Aku tersenyum. Muka Azni bulat gebu. Comellah!
“Kalau bentuk muka awak yang bujur sirih tu memang cantik pakai tudung macam tu,” puji Azni pula. Aku tersenyum lagi.
“Tapi harus ingat pakai tudung bukan untuk cantik saja. Paling penting niat kerana Allah,” tutur Azni memperingatkan aku.
“Faham ustazah,” sahutku mengusik Azni. Azni membesarkan mata tatkala dipanggil sedemikian. Kemudian kami sama-sama tertawa.
“Semoga hati awak akan terbuka untuk berhijab,” ujar Azni menitipkan doa buatku. Aku mengangguk.
“Amin...,” sahutku mengiyakan doa Azni itu. Hidayah itu milik Allah. Dia akan anugerahkan kepada sesiapa sahaja.
AKU membuka mata perlahan-lahan. Lantas melontar pandangan pada jam loceng di atas meja di hujung katilku. Tepat pukul 2.00 pagi. Bagai ada suara yang menyeru aku bangun sehingga membuatkan aku terjaga. Kulihat Azni sedang lena dibuai mimpi. Aku bingkas bangkit dari perbaringanku lalu mendekati jendela. Sedikit daun jendela kukuak lalu melontar pandangan keluar. Tampak hening dan syahdu sehingga membuatkan perasaanku terusik. Ya Allah, apakah petanda semua ini? Mengapakah tiba-tiba sahaja hatiku terasa sebak tatkala menatap keagungan alam semesta ciptaanMu ini? Betapa aku kerdil dan lemah di alam fana milikMu ini. Engkau ampunkanlah dosa- dosaku selama ini ya Allah, dosa kedua-dua ibu bapaku, dosa ahli keluargaku dan dosa sekalian umat Islam. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.
Kututup kembali daun jendela lalu berbaring di katil. Aku cuba memejamkan mata. Namun tidak berhasil. Aku bangun dari perbaringan lalu bersandar pada dinding konkrit ini. Ada kegelisahan menyelubungiku. Bagai ada sesuatu yang berlaku dalam diriku yang sukar aku fahami. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Cuba meredakan gelisahku saat ini. Aku nampak wajah Azni bercahaya-cahaya sedang tersenyum kepadaku. Kenapa tiba-tiba sahaja Azni muncul di pandanganku sedangkan aku nampak dia sedang tidur lena di katil. Apakah makna firasat ini?
“Semoga hati awak akan terbuka untuk memakai tudung,” doa Azni kembali menerjah pendengaranku. Aku tersentak. Lantas kubuka mata. Pandanganku terus terarah pada tudung ungu Azni yang tergantung di tepi katil. Kulihat Azni masih tidur lena. Ya Allah, inikah hidayah yang Engkau utuskan kepadaku? Aku insaf dan bertaubat padaMu ya Allah. Sesungguhnya, hidayahMu ini terlalu indah. Lantas aku bangkit dari katil lalu melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Segera kudirikan solat taubat memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Esa. Tatkala aku menadah tangan menitip doa, air mata keinsafan bercucuran di pipiku. Dalam diam aku menangis penuh keinsafan atas kealpaanku sebagai hambaNya selama ini.
“Assalamualaikum...,” sapaku tatkala Azni membuka mata.
“Iman...,” Dia terkejut. Lantas bangkit dari perbaringan.
“Oh..., syukur... alhamdulillah...,” Azni menadah tangan lalu menyapu ungkapan yang keluar dari mulut ke wajah. Dia tersenyum riang.
“Cantik...,” pujinya. Aku senyum. Bertudung kerana Allah bukan kerana pujian. Sesuatu yang tetap aku ingat.
“Akhirnya terbuka juga hati awak untuk berhijab,” ujar Azni tersenyum.
“Ya... hidayah Allah yang dianugerahkanNya kepadaku,” ujarku perlahan dengan penuh keinsafan. Azni bangkit lalu terus memelukku.
“Tahniah...,” ujarnya sambil terus mendakap tubuhku. Air mata keinsafan menitis di pipiku. Sebak mendengar ucapan tahniah Azni itu. Sesungguhnya inilah kemenangan yang paling bermakna dalam hidupku.
Wendy yang menatapku sekilas, kembali berpaling menatapku semula. Wajahku diamati sedalamnya membuatkan aku tersenyum menyaksikan gelagatnya itu. Sudah pasti dengan penampilan diriku yang sedikit berbeza ini telah menggelirukan pandangan gadis Tionghoa itu.
“Iman kan?” soalnya mencari kepastian. Aku mengangguk.
“Aduh..., saya betul-betul tak cam awak tadi!” jelasnya.
“Tahu...,” balasku tertawa kecil.
“Cantik...,” pujinya. Aku senyum. Persahabatan atas dasar hormat-menghormati membuatkan Wendy langsung tidak kisah dengan penampilan baharuku ini. Bahkan pujian yang baru sahaja keluar dari mulutnya itu bagai kata-kata motivasi kepadaku. Kemesraan kami tetap terjalin. Malahan petang ini aku masih meluangkan masa menemaninya ke salon untuk mewarna rambutnya. Aku harus menghormati perbezaan ajaran agama antara aku dengan dirinya. Mungkin ajaran agama Wendy tidak mewajibkan penganutnya menutup aurat.
“Kita singgah ke sana sekejap,” ujar Wendy mengajak aku mampir di kedai yang menjual barangan kelengkapan wanita. Barangkali Wendy ingin membeli sepasang baju kurung. Ada masanya juga gadis Tionghoa ini akan berbaju kurung. Jadi tidak hairan kalau sekarang ini dia mahu membelinya.
“Awak tak nak beli apa-apa lagi?” soal Wendy.
“Saya dah beli dua helai tudung tadi,” sahutku sambil geleng kepala.
“Kalau macam tu kita balik sekarang,” ajak Wendy tersenyum.
“Awak beli apa tadi?” soalku setelah mendapati tiada apa-apapun yang berada di tangannya.
“Adalah...,” sahutnya berahsia sambil tersenyum.
“Alah...., tu pun nak berahsia,” perliku membuatkan Wendy tertawa.
“Jeng... jeng...jeng...,” Wendy mengeluarkan sesuatu dari dalam beg galas. Plastik berbunga itu dihulurkan kepadaku.
“Apa ni?” soalku hairan.
“Saya beli tudung untuk awak tadi. Nah ambiklah hadiah saya,” arahnya.
“Oh..., thanks Wen,” ujarku berbesar hati dan terharu.
“Harap-harap lepas ni awak jumpa ustaz ye,” tuturnya mengusikku. Aku faham maksud yang cuba Wendy sampaikan. Dia berharap aku akan bertemu jodoh dengan lelaki alim. Laju sahaja aku geleng kepala.
“Sudah terlambat sebab saya dah jumpa mamat rock,” balasku buat Wendy tertawa. Di mataku sudah terbayang Yen dengan penampilan dirinya.
“Takpe asalkan dia baik dengan awak,” balas Wendy. Kemudian aku dan Wendy tergelak. Tatkala aku melangkah masuk ke bilik, aku nampak ada kotak cantik diletakkan di atas katilku. Lantas aku mendekati lalu mengangkat penutup kotak itu. Tudung berwarna ungu dan coklat berserta kad yang diselit di situ. Lalu aku membaca kad tersebut.
~ Suatu penghijrahan yang sungguh indah. Tahniah... ~ Azni. Aku tersenyum. Hadiah daripada Azni. Cantik tudung ini memang sesuai untukku. Bahagia menyelinap dalam diri. Ternyata perubahan penampilanku disenangi ramai. Pasti Encik Rizal juga akan teruja melihat penghijrahanku ini. Bagaimana pula dengan penerimaan Yen? Semoga Yen juga persis mereka. Memenuhi tuntutan agama serta restu suami adalah penting buat seorang isteri.
KEPULANGANKU dengan penampilan baharu sungguh mengejutkan Yen. Lama Yen terdiam tanpa sebarang bicara sambil menatapku. Segan diperhatikan sedalam itu.
“Awak dah makan?” soalku cuba mengalih pandangan Yen dari terus fokus kepadaku. Yen geleng kepala.
“Kejap lagi saya masak. Nanti bolehlah kita makan sama-sama,” ujarku bergerak ke anak tangga untuk ke bilik di tingkat atas. Yen langsung tidak bersuara. Ternyata penampilanku ini satu kejutan buatnya. Malah ketika sama-sama menikmati hidangan tengah hari ini, Yen masih mendiamkan diri. Dia hanya mahu menatapku tanpa bersuara. Tidak sangka sampai begitu sekali reaksi yang ditunjukkannya.
“Lelaki itu ke yang buat awak pakai tudung?” suara Yen memecah kesepian yang sekian lama.
“Mwo (apa)?” tersentak aku dengan pertanyaannya ini. Aku sangat tidak bersetuju kalau Yen menganggap aku berhijab kerana Encik Rizal. Tanggapan yang mengecewakan dan menyedihkan aku.
“Saya pakai tudung bukan kerana seorang lelaki tapi kerana Allah,” tegasku buat Yen terkebil-kebil.
“Menyedihkan sangat kalau awak fikir macam tu,” luahku tidak senang hati.
“Saya tak bermaksud macam tu,” tingkah Yen. Senyap.
“Saya bertanya berdasarkan apa yang saya pernah tengok. Bukan ke awak dengan lelaki itu pernah beli tudung kat Butik Reztu hari tu,” ujar Yen mengungkit perkara itu sekali gus membela diri. Aku mengeluh kecil.
“Saya tak kisah apa saja tanggapan awak pada saya. Paling penting Allah mengetahui niat saya bertudung,” sahutku tidak mahu memikirkan tentang kesangsian Yen itu.
“Sekurang-kurangnya isteri yang menutup aurat menghalang suami dapat dosa kerana isteri,” keluhku sendirian tetapi cukup jelas di telinga Yen.
“Awak jangan salah faham. Saya tak halang pun awak pakai tudung. Cantik...,” tutur Yen perlahan. Aku menatap Yen yang sudah memfokuskan pandangan pada hidangan di atas meja. Aku tersenyum sendiri.
Awal pagi aku sudah menyiapkan hidang sarapan. Setelah bersiap-siap aku kembali ke ruang makan untuk bersarapan bersama Yen. Beberapa minit kemudian Yen muncul di muka pintu. Anak matanya masih terarah kepadaku.
“Awak nak ke mana awal-awal pagi ni?” soalnya tatkala melihat aku sudah lengkap bertudung.
“Kerja...,” sahutku pendek sambil meletakkan secawan teh kosong panas di depan Yen. Dahi Yen berkerut.
“Kerja?” soalnya hairan.
“Saya kerja part-time kat TSM. Hari ni mula,” jelasku terperinci. Yen merenungku seketika.
“Awak suka sangat dengan duit ye.” lirih suara Yen.
“Suka,” sahutku pendek. Malas mahu memanjangkan bicara. Senyap. Barangkali Yen sudah kehilangan modal untuk terus berbicara. Yen menghabiskan air teh di dalam cawan. Kemudian terus bangkit dari duduk.
“Nanti saya buat kad kredit untuk awak,” ujar Yen tanpa memandangku.
“Mwo (apa)!” Tersentak aku mendengar bicara Yen itu. Namun Yen terus bergerak ke muka pintu tidak mahu memberikan penjelasan lanjut berkaitan kad kredit itu. Pemuda Korea ini sudah salah faham terhadap pengakuanku tadi.
“Saya tumpang kereta awak. Tunggu saya ye,” pintaku tanpa segan-silu. Bergegas aku menghantar cawan dan pinggan ke singki lalu mencuci. Kemudian berlari anak ke laman rumah tatkala mendengar bunyi deruan enjin kereta Mercedez Benz. Risau kalau Yen tinggalkan aku. Aku duduk di sebelah Yen dengan nafas yang tercungap-cungap sambil tanganku rancak membetulkan tudung. Sebelum keluar rumah tadi aku tidak sempat berdiri di depan cermin. Yen melirik ke arahku. Sempat memerhatikan gelagatku.
“Mulai hari ni boleh saya tumpang kereta awak?” soalku tersengih. Yen melirik ke arahku. Langsung tiada respons pada pertanyaanku sebentar tadi. Aku membetulkan lagi tudungku. Macam tidak yakin tudung ini dalam keadaan elok sekarang. Lantas aku menjengahkan kepala pada cermin sisi kereta.
“Tak payah tengok cermin lagi dah cantik pun awak tu,” tiba-tiba suara Yen menegur gelagatku. Tanganku terhenti lalu kembali bersandar kemas di kerusi penumpang. Aku menjeling tajam ke arah Yen kerana merasakan bicara itu sekadar memperliku.
“Macam tu ke cara awak menghargai pujian orang?” lirih suara Yen menyoalku. Aku mendengus. Tidak sudah-sudah dia memperli aku.
“Saya tahu bezakan mana pujian dan mana perlian,” sahutku geram.
“Macam mana awak bezakan? Awak beritahulah saya,” pinta Yen. Aku diam. Terasa kesabaranku sedang diuji sekarang.
“Setiap patah perkataan yang keluar dari mulut awak sukar untuk dipercayai. Saya tak yakin awak jujur dengan kata-kata awak,” balasku. Reaksi wajah Yen bertukar serius. Pasti hatinya terguris mendengar bicaraku itu. Sedikit terasa kejam kerana telanjur meluahkan bicara itu kepada Yen.
“Sampai bila awak nak amalkan sikap diskriminasi awak tu?” soal Yen sinis. Besar anak mataku menatapnya.
“Maksud awak?” soalku kurang mengerti.
“Bila ke agaknya awak akan sedar dengan keikhlasan saya,” keluh Yen persis orang merajuk. Yen melepaskan keluhan. Pertanyaanku tidak dijawab. Kemudian kami sama-sama mendiamkan diri. Aku mula memikirkan bicara Yen tadi. Betulkah aku memberi penilaian yang tidak adil terhadap Yen? Betulkah aku sekejam itu? Sepanjang perjalanan aku dan Yen tidak berbual lagi sehingga kereta ini memasuki tempat letak kereta.
“Terima kasih,” ujarku lalu menolak daun pintu.
“Jangan lewat nanti, kalau tak saya tinggalkan awak,” ujarnya lantas melangkah keluar lalu mendahului langkahku memasuki bangunan DLH. Aku memerhatikan Yen melangkah di depanku. Timbul kekesalan di hati atas bicaraku tadi. Kasihan Yen. Setelah berfikir sedalamnya, akhirnya aku tersedar bahawa tiada beza antara aku dengan Yen. Masing-masing ada sikap buruk yang cuba dilindungi. Aku tidak pernah memberi peluang pada diriku untuk mempercayai Yen. Patutlah Yen menuduhku bersikap diskriminasi. Mesti Yen sudah membandingkan dirinya dengan Encik Rizal yang sentiasa sempurna di mataku. Silap Yen pula tiada kesetiaan menyebabkan pujiannya tidak bernilai.
“Cik Iman...!” laung Ruran separuh menjerit tatkala aku berada di ambang pintu TSM. Laju tangannya menutup mulut. Beberapa orang teman yang berada di situ terus melontar pandangan ke muka pintu. Mujur juga premis ini belum mula beroperasi lagi. Aku segera mendapatkan Ruran dan Amenda yang berada di kaunter.
“Apa khabar?” sapaku lantas menghulurkan tangan kepada Ruran dan Amenda. Kedua-dua tersenyum riang.
“Sihat...,” jawab mereka hampir serentak.
“Penampilan baharu sekarang ye...,” komen Amenda sambil menatapku. Aku tersenyum. Aku sudah bersedia menerima komen rakan-rakan terhadap imej baharuku ini. Alhamdulillah setakat ini semua menerima baik perubahanku ini.
“Cik Iman tetap cantik,” Ruran mencelah memujiku. Aku tersenyum lagi.
“Encik Rustam dah ada kat office?” soalku. Ruran mengangguk.
“Kalau macam tu saya pergi dulu. Ada masa kita berbual lagi,” janjiku. Amenda dan Ruran mengangguk dengan senyuman yang masih terukir di bibir. Esok masih ada. Kalau tiada halangan pasti setiap hari Sabtu dan Ahad aku akan berada di sini.
“Assalamualaikum...,” sapaku tatkala terpacak di muka pintu. Encik Rustam mengangkat muka lalu melontar pandangan ke arahku. Senyuman terus terukir di bibir.
“Waalaikumussalam.. Masuk Iman,” pelawanya. Aku melangkah masuk. Kerusi meja yang pernah menjadi milikku masih berada di bilik ini. Tiada sebarang perubahan malah kelihatan kemas dan bersih seperti tidak pernah ditinggalkan.
“Kerusi meja tu masih milik awak. Duduklah,” pelawa Encik Rustam seraya mengarahkan aku duduk.
“Terima kasih...,” tuturku berbesar hati.
“Encik Rizal gembira awak kembali ke sini,” ujar Encik Rustam tersenyum.
“Encik Rizal je yang gembira ke?” soalku bergurau. Encik Rustam tersenyum menampakkan barisan gigi yang menarik.
“Saya juga gembira awak dah ada di sini malah semua warga TSM gembira awak bersama kami lagi,” ujar Encik Rustam mewakili warga TSM. Aku tersenyum. Senang hati tatkala kehadiranku di sini dialu-alukan.
“Terima kasih... Saya pun gembira dapat bertemu semula dengan warga TSM,” luahku jujur.
“Tugas awak sama seperti yang lepas. Bezanya kali ni awak tak perlu menyelia pekerja-pekerja, tak perlu buat laporan harian. Cuma tolong buat kerja-kerja pengkeranian yang mudah,” jelas Encik Rustam.
“Hey..., tak boleh macam tu. Saya kerja dibayar mestilah saya lakukan tugas yang sepatutnya,” tingkahku tidak bersetuju. Tidak mahu makan gaji buta.
“Saya yang menurut perintah,” ujar Encik Rustam berkias-kias. Aku geleng kepala. Sudah pasti ini arahan daripada Encik Rizal. Aku melepaskan keluhan.
“Encik Rizal memang ambil berat terhadap awak. Dia tak nak kerja ni mengganggu study awak,” ujar Encik Rustam disulami dengan senyuman usikan.
“Kalau macam tu lebih baik saya tak payah kerja kat sini,” sahutku tidak gembira mendengar kenyataan Encik Rustam itu.
“Janganlah macam tu Iman,” ujar Encik Rustam seolah-olah memujukku. Aku mendiamkan diri. Memang tidak suka dengan tindakan Encik Rizal yang berlebih-lebih baik terhadapku. Belum sempat bicaraku dengan Encik Rustam bersambung iPhone berdering.
“Waalaikumussalam... ye dah ada kat sini,” ujarnya menyahut panggilan itu. Dia tergelak sendiri.
“Dia merajuk ni. Bila? Oh..., okey... Assalamualaikum...,” Encik Rustam menamatkan panggilan itu. Dia menatapku sambil tersenyum. Pendek sahaja perbualan mereka.
“Kalau macam ni saya tangguhlah dulu kerja kat sini. Saya perlu jumpa Encik Rizal nak bincang perkara ni,” jelasku. Encik Rustam tersentak dengan keputusan drastik yang aku buat dalam sekelip mata ini.
“Encik Rizal pun nak datang ke sini jumpa awak lepas habis meeting,” ujar Encik Rustam memaklumkan perkara itu. Pasti Encik Rizal dengannya berbual sebentar tadi. Aku mengangguk mengerti.
“Iman, sebetulnya saya juga perlukan pertolongan awak. Sekarang ni saya memang busy sangat sampai tak tahu yang mana satu kerja patut didahulukan. Saya berharap awak dapat tolong saya,” tutur Encik Rustam serius buat aku serba salah. Kasihan juga melihat wajahnya yang mengharap ini.
“Saya memang mahu tolong tapi saya perlu jumpa Encik Rizal dulu,” tegasku. Satu persetujuan antara aku dengan Encik Rizal perlu dicapai. Aku tidak mahu orang mengata aku pandai mengambil kesempatan atas kebaikan Encik Rizal terhadapku. Aku bukan perempuan pisau cukur yang pantang melihat lelaki berharta.
“Awak jangan risau Iman, kalau dengan saya dah pasti saya akan bagi awak kerja yang banyak tapi dengan syarat awak tak boleh lapor pada Encik Rizal kalau tak mati saya kena marah. He..he...he...,” sempat juga Encik Rustam berlawak. Aku tersenyum. Aku tahu Encik Rustam tidak akan sekejam itu. Dia juga persis Encik Rizal. Malah aku sedari ahli keluarganya yang lain juga baik-baik belaka. Memang bertuah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Bahkan sebenarnya peluang itu telah terbuka luas kepadaku. Menurut perjanjian yang telah termeterai, aku dan Yen akan berpisah andai aku sudah menemui teman hidupku. Perpisahan juga terjadi andai Yen dan Velviana memutuskan untuk bernikah. Sudah tiba untuk aku menentukan yang terbaik buatku? Lantas mencipta hidup yang lebih realistik.
“Perjalanan hidup di dunia ni hanya sementara. Maka awak harus gunakan kesempatan yang ada ni sebaik-baiknya. Saya yakin Pak Long awak takkan halang awak untuk hidup bahagia,” nasihat Linda terngiang-ngiang di telingaku. Linda tidak pernah berhenti mengharap agar aku menamatkan segera hubunganku dengan Yen. Menurutnya ikatan suami isteri yang terjalin antara aku dengan Yen hanya sandiwara yang hanya memberi keuntungan kepada Yen seorang. Yen berbahagia bersama kekasihnya sedangkan pergerakan hidupku terbatas lantaran aku seorang isteri. Aku tidak boleh mencintai sesiapapun selagi bergelar isteri pemuda Korea yang hanya menganggap aku tidak lebih sebagai seorang sahabat akrab yang menguruskan keperluan rutinnya. Membersihkan rumah, memasak, membasuh pakaian dan pinggan mangkuk, mengemas bilik tidur serta rakan yang boleh diajak berbual tatkala dia kesunyian. Linda kata aku persis seorang amah yang digaji oleh Yen untuk mempermudahkan hidup pemuda Korea itu. Betapa menyakitkan tatkala aku mengingati semua ini.
“Betul ke awak tak nak mula kerja hari ni?” suara Encik Rustam menyentakkanku. Kulihat Encik Rustam sedang menatapku. Aku mengangguk.
“Kebetulan sepupu saya ada kerja kat DLH ni. Saya nak jenguk dia. Nanti saya call Encik Rizal,” lancar mulutku mengutarakan perancangan serta mertaku. Encik Rustam mengangguk-angguk.
“Tak pun awak tunggu Encik Rizal kat sini je,” cadang Encik Rustam memudahkanku.
“Tak pe... kebetulan dah datang ke sini. Saya pun tak pernah datang jenguk dia sejak dia kerja kat sini,” ujarku memberi penjelasan.
“Sepupu awak tu pemuda Korea yang ada kekasih yang cantik tu ke?” soal Encik Rustam mengejutkan aku. Banyak juga maklumat yang dia tahu. Aku mengangguk. Terusik juga hatiku mendengar bicara Encik Rustam itu.
“Saya pergi dulu ye...,” ujarku meminta diri lalu bangkit dari kerusi lantas melangkah ke muka pintu.
“Esok saya tunggu awak datang kerja tau!” laung Encik Rustam ketika langkahku tiba di ambang pintu. Aku berpaling ke arah Encik Rustam lalu melontarkan senyuman. Keputusan yang bakal aku ambil bergantung pada hasil perbincanganku dengan Encik Rizal. Aku meninggalkan Encik Rustam tanpa sebarang janji.
Aku menatap jam tangan. Sudah hampir sejam aku berlegar-legar di ruangan lobi hotel ini. Kemudian melabuhkan duduk di sofa empuk ini sambil mencapai akhbar di rak. Akhbar Chosun Ilbo sudah berada di tanganku. Salah sebuah akhbar yang diterbitkan di Korea selain Hankooh Ilbo, Joongang Ilbo dan Dong Ilbo. Aku menatap helaian demi helaian akhbar sambil tersenyum sendiri. Satu pun tidak kufahami kerana semua ditulis dalam bahasa Korea. Lebih 70% kosa kata bahasa Korea terdiri daripada kata-kata yang dibentuk daripada Hanja atau diambil daripada bahasa Mandarin. Tulisan hangul atau hangeul yang merupakan sistem silabik dan fonetik tampak seiras tulisan Cina. Aksara- aksara sino-Korea ini terlalu asing pada pandanganku. Namun aku tetap teruja terus menatapnya.
“Awak faham ke apa yang ditulis dalam akhbar tu?” suara lelaki yang tidak asing menegurku. Pantas aku mendongak. Yen sedang tersenyum sinis menatapku. Mesti sedang mengutukku. Aku melemparkan jelingan tajam kepadanya. Penyibuk sungguh.
“Buat apa awak melepak kat sini? Awak tak kerja ke?” soal Yen bertalu-talu. Aku tersengih.
“Saja nak bersantai-santai. Salah ke saya berada di sini sedangkan saya ialah menantu pemilik hotel mewah ni,” sahutku berjenaka. Yen tersenyum.
“Mari ikut saya,” ajaknya.
“Ke mana?” soalku hairan.
“Ikut je ke mana saya pergi,” arahnya lagi. Aku terus meletakkan akhbar Chosun Ilbo di rak kembali. Lantas mengekori langkah Yen. Kemudian memasuki kotak lif. Yen menekan angka 20 yang menempatkan pejabatnya. Berdua-duaan bersama Yen di ruang yang terhad ini membolehkan aku berada dekat dengannya. Haruman wangian dunhill menusuk rongga hidungku. Sempat juga aku mencuri pandang ke arah pemuda Korea ini. Sesungguhnya, pemuda Korea ini sentiasa membuatkan jiwa ragaku terusik.
“Dari dulu sampai sekarang awak tak puas-puas lagi tengok saya kan,” suara Yen menyentakkanku. Yen yang membelakangiku sedetik tadi berpaling menatapku. Seketika kami bertentangan mata.
“Mana ada...,” nafiku sambil mengalih muka dari tatapan matanya. Wajahku sudah terasa membahang. Malu tingkahlakuku tadi disedari oleh Yen.
“Tengok tu muka awak merah. Betullah tu,” ujar Yen sambil tersenyum menampakkan lesung pipit sekali gus mempamerkan perbezaan dirinya dengan aktor kacak Korea, Jang Geun Suk. Senyuman manis yang mempesonakan sehingga timbul iri hati kerana aku tidak memiliki senyuman seindah itu.
“Tengok tu awak perhatikan saya lagi,” tegur Yen buat aku bertambah malu. Lantas aku menyumpah diri lantaran tersilap langkah lagi.
“Iman ssi, awak memang dah ada hati kat saya kan...,” ujar Yen mengusikku. Aku menatap wajah Yen dengan pandangan serius. Nekad.
“Ya memang saya dah jatuh hati pada awak. Saya cemburu melihat awak bersama Velviana. Saya betul-betul cintakan awak. Saya mahu awak mencintai saya juga. Kemudian kita kekal jadi suami isteri sehingga nyawa dan jasad kita terpisah!” laungku. Malangnya laungan itu hanya laungan hati kecilku yang terpendam dalam hati. Tiada sesiapapun yang mendengar. Belum sempat aku mengeluarkan suara menyahut bicara Yen itu, pintu lif sudah terkuak. Yen melangkah keluar mendahuluiku. Kedatangan Yen disambut hormat oleh orang bawahan di bahagian pentadbiran ini. Kemunculanku bersama Yen mengundang pandangan hairan mereka. Pasti mereka mula memikirkan gerangan siapakah aku. Kalau Velviana pasti mereka mengenali lantaran sudah terbiasa berkunjung ke sini. Aku membalas pandangan mereka dengan senyuman. Kemudian aku terserempak dengan Flora yang sedang berbual di talian. Lama juga dia merenungku. Akhirnya dia melambaikan tangan ke arahku. Barangkali dia baru mengenaliku. Dia sedang mengendalikan urusan kerja. Memang tampak begitu sibuk. Apa tidaknya hari itu aku datang ke sini, Flora juga sedang berbual di telefon.
“Awak duduk kat situ,” arah Yen melayanku persis anak kecil. Aku patuh sahaja. Duduk bersandar di sofa berjalur hitam merah yang empuk ini. Begitu selesa. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling. Ruang bilik ini begitu luas. Kulontar pandangan ke meja Yen yang kelihatan begitu kemas. Tertera frasa ‘Pengurus Besar’ yang tertulis pada papan lutsinar itu. Itu jawatan yang Yen sandang sekarang. Aku dapat rasakan betapa bahagia Velviana ada buah hati yang memiliki banyak kesempurnaan. Kelihatan Yen begitu tekun dengan kerja. Dalam diam terbit kagumku. Setiap perkara yang dilakukan diselesaikan dengan penuh tanggungjawab meskipun perkara tersebut bukan kecenderungan. Baru aku sedar bahawa Yen ialah Yen. Dia lain daripada yang lain. Di sebalik keperibadian yang dingin dan ada dunia ciptaan sendiri, dia banyak melakukan pengorbanan terhadap keluarga. Semoga Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin menyedari semua ini.
“Awak sayang sangat kat keluarga awak kan,” tekaku menguji. Yen mengangkat muka lalu memandangku.
“Semua orang sayangkan keluarga mereka,” sahut Yen berkias-kias. Aku mengangguk. Terbukti memang dia sayangkan keluarga biarpun sekian lama dia dingin terhadap Datuk Kamarudin.
“Apa yang saya miliki sekarang semua saya sayang,” ujar Yen menatapku. Pandangan yang dalam sehingga menusuk hatiku. Aku menguntum senyuman. Lantaran tidak tahan melawan renungan Yen, lantas aku mengalih muka.
“Iman ssi, awak faham tak apa yang saya katakan tadi?” soal Yen. Aku mengangguk dan tersengih.
“Ya mestilah awak sayang akan keluarga awak, harta kekayaan awak, bakat awak dan kekasih awak,” sahutku. Yen mengeluh. Mulutnya terkumat-kamit. Entah apa yang dibicarakan sendirian itu. Senyap.
Aku melontar pandangan ke arah Yen lagi. Dia kembali fokus pada kerja. Aku mula terasa bosan hanya duduk di sofa ini. Aku bangkit dari sofa ini mula mengatur langkah dengan berhati-hati. Niat hati mahu berlegar-legar di ruang bilik pejabat Yen ini. Namun khuatir mendatangkan kemarahan Yen lantaran terganggu. Aku mengatur langkah selangkah demi selangkah. Kemudian memandang ke arah Yen. Dia tetap fokus pada kerja. Melihat Yen tidak menunjukkan sebarang reaksi mahupun terganggu dengan pergerakanku, aku mula melangkah seperti biasa. Laju kakiku menapak ke ruang santai ini. Di sini ada gambar-gambar cantik digantung di dinding. Lama aku memerhatikan dengan perasaan yang begitu teruja. Aku menatap kuntuman bunga tulip putih di depanku ini. Di sudut itu juga ada bunga tulip ungu malah di atas meja Yen juga ada sekuntum bunga tulip penghias meja. Banyak bunga tulip di sini persis di banglonya.
“Awak suka dengan bunga tulip?” soalku cuba memecahkan persoalan di hati. Yen mengangkat muka lalu melontar pandangan kepadaku. Persoalanku tidak terus dijawab.
“Saya tengok kat sini pun banyak bunga tulip macam kat banglo awak,” komenku. Di bilik tidurku juga ada bunga tulip putih. Seingatku setiap sudut banglo Yen diserikan dengan bunga-bunga tulip yang pelbagai warna dan saiz kuntuman bunga. Di bilik studio mini Yen tiga kuntum bunga tulip besar merah dan putih. Tidak sangka pemuda rock dan dingin persis diri Yen gemar bunga. Jarang menemui lelaki yang menyukai bunga apatah lagi dengan perwatakan seperti Yen. Dalam diam romantik juga pemuda Korea ini. Aku tersenyum sendiri.
“Apa senyum-senyum...!” sergah Yen radang. Mungkin terasa aku sedang memerli. Aku masih tersenyum.
“Suka tengok bunga-bunga tulip awak,” tuturku jujur. Senyap. Kusentuh kuntuman bunga tulip kertas ini. Bersih dan terjaga rapi. Langsung tiada habuk.
“Bunga tulip ialah bunga kegemaran ibu saya. Bunga ini akan mengingatkan saya pada dia. Melihat bunga-bunga tulip ini akan membuatkan saya terasa dekat dengan ibu saya,” jelas Yen perlahan buat aku terkedu. Tersentuh hatiku mendengar bicara Yen ini. Malah rasa bersalah kerana telah membangkitkan kesedihan Yen. Kasihan Yen. Senyap. Kupandang Yen yang nampak kembali menyibukkan diri dengan fail-fail di depannya.
“Awak boleh ajar saya menghitung angka dalam bahasa Korea?” pintaku sambil berpaling ke arah Yen. Cuba mengubah suasana sedih ini menjadi ceria. Berkerut dahi Yen menatapku.
“Untuk apa?” tanya Yen tanpa sempat menatapku.
“Saja nak tambah pengetahuan,” sahutku.
“ Il(1), i (2), sam (3), sa (4), o (5), yuk (6), chil (7), pal (8), go (9), ship (10),” laju Yen menyebut angka-angka tanpa memberi aku peluang untuk bersedia menerima pengajaran itu.
“Cepat sangat awak sebut tu,” rungutku memasamkan muka. Tidak bersungguh-sungguh pemuda Korea ini mahu mengajar aku.
“...il,... i,... sam,... sa,... o,... yuk,... chil,... pal,... go,... ship...,” Sekali lagi Yen menyebut angka-angka itu dalam nada yang lebih perlahan. Aku turut menyebut di dalam hati. Begini sebutan 1-10 dalam bahasa Korea.
“Cukup! Saya tak nak ulang lagi,” tegas Yen.
“Hish...kedekut sangat dengan ilmu dia!” marahku menjeling.
“Awak ni kan patut makan kismis banyak-banyak supaya fikiran awak tu lebih tajam dan lebih cepat memahami cakap orang,” kutuk Yen.
“Yah...!” Aku melenting. Yen tersenyum sendiri menatapku. Bahagia melihat aku meradang.
“Betullah tu... Kalau tak cuba awak sebut semula apa yang saya ajar tadi,” arah Yen mencabarku. Aku menarik nafas dalam-dalam. Pasti akan aku buktikan kemampuanku.
“Kalau saya boleh sebut dengan betul awak mesti belanja saya makan tengah hari ni tau,” pintaku mengenakan syarat.
“Okey... tak jadi masalah,” janji Yen menyanggupi syarat yang telah aku tetapkan sebentar tadi. Aku menarik nafas lagi. Iman, awak boleh lakukan dengan baik! Boleh! Boleh! Boleh!!!! Aza...aza... fighting...!!!
“...il...,...i,...sam,...sa,...o...,” Berhenti seketika. Terkebil-kebil anak mataku cuba mengingat kembali bunyi sebutan angka-angka itu. Yen tersengih-sengih memerhatikan gelagatku.
“Lagi...,” arahnya menyuruh aku meneruskan perjuanganku.
“...yuk,...chil,...pal,...go,...ship...Yahoo...! Aku boleh ingat,” Aku melonjak gembira.
“Belum dapat diiktiraf awak boleh menyebut cause perlahan sangat. Semula...,” arah Yen. Aku mengetap bibir menahan geram. Bersusah-payah sudah aku mengingatinya. Aku menghembuskan nafas. Kali ini aku akan lakukan lebih baik lagi.
“...il, i, sam, sa, o, yuk, chil, pal, go, ship...,” Oh, boleh tahan juga sebutanku ini! Aku telah berjaya melakukan yang terbaik.
“Betul tak?” soalku meminta respons Yen. Yen mengangguk.
“Yahoo...!” Aku melonjak keriangan. Sekarang aku sudah boleh menghitung nombor 1-10 dalam bahasa Korea. Dia ingat aku ini lembap sangat.
“Awak jangan lupa belanja saya makan tengah hari nanti,” ujarku menagih janjinya sebentar tadi.
“Eleh, memang pun boleh buat cause terlalu mudah,” cemuh Yen tidak mahu mengakui kehebatanku. Aku menghadiahkan jelingan tajam kepada Yen.
“Whatever... janji mesti ditepati,” tegasku. Yen tersenyum.
“Sekarang bolehlah saya fikirkan nak makan apa tengah hari nanti,” ujarku tersengih panjang sambil memain-mainkan telunjuk di pipi. Yen tersenyum.
“Nak makan kat mana nanti ye?” soalku ingin tahu. Belum sempat Yen menjawab pertanyaanku, iPhone berdering.
“Kat office...,” suara Yen sedikit terkejut.
“Okey...datanglah,” arahnya. Kedengaran keluhan kecil Yen. Yen diam. Tubuh disandarkan di kerusi empuk itu sambil pandangan mata dilontar ke muka pintu bagai menanti tetamu yang akan datang.
“Apa hal? Siapa yang call awak tadi?” soalku. Senyap. Pertanyaanku tidak dijawab. Mata Yen masih terarah di muka pintu. Kedengaran bunyi daun pintu ditolak. Lantas aku memandang ke situ.
“Awak... buat apa kat sini...!” suara gadis itu lantang singgah di telingaku. Aku tergamam. Terus kematian akal dan kaku terpacak di situ.
No comments:
Post a Comment