Sunday, 29 June 2014

Awak JodohKu Lagi! .. 14



BAB 14
“Mama yakin semua ini perangkap. Mama kenal siapa kamu, Yaz” tegasnya.
Hati Niyyaz Nazuha terharu dengan kepercayaan Datin Sharifah terhadap dirinya. Bicara yang mendamaikan perasaan Niyyaz Nazuha tika ini. Ternyata dirinya masih memiliki Puan Nazibah dan Datin Sharifah yang masih mempercayainya malah menjadi benteng kekuatan dirinya. Biarlahdia kehilangan kepercayaan teman-teman asalkan orang yang dikasihinya selama ini masih mempercayai dan menyakininya.
“ Kamu mesti banyak bersabar” nasihat Datin Sharifah seraya memeluk tubuh Niyyaz Nazuha dengan erat.  Hati Niyyaz Nazuha bertambah rawan. Pantas jemari lembut Datin Sharifah mengesat air matanya. Dia sendiri menyaksikan deraian air mata perempuan ini.
“ Idlan di rumah itu bagai orang setengah gila. Mama dah ajak dia datang ke sini tadi tapi dia hanya berdiam diri” cerita perempuan itu. ‘Mungkin Idlan juga memandang rendah kepadaku. Aku pasrah kalau itu sudah hukuman buatku’ bicara hati Niyyaz Nazuha.

*************

 “Yaz, saya nak jumpa awak sekarang” arah satu suara dari corong interkom. Niyyaz Nazuha tersentak. Sudah jauh dirinya mengelamun. Dibiarkan detik berlalu beberapa minit. Lambat-lambat Niyyaz Nazuha bangkit lalu melangkah ke bilik itu. Daun pintu diketuk.
“ Masuk....” arah suara itu dengan tegas. Niyyaz Nazuha mengatur langkah longlai melangkah masuk ke bilik itu. Tatkala daun pintu terkuak, pandangan Idlan Raid menyambut kedatangannya.
“Duduk Yaz” arahnya. Niyyaz Nazuha menurut sahaja perintahnya. Pandangan mereka bersatu namun Niyyaz Nazuha terlebih dahulu mengalihnya. Dia tiada kekuatan hendak melawan pandangan pemuda ini. Niyyaz Nazuha takut.  Beberapa hari ini dia sering sahaja ketakutan seolah-olah dirinya benar - benar bersalah.
“ Saya mahu mendengar penjelasan awak” pinta Idlan Raid setelah diam seketika. Niyyaz Nazuha menatapnya. Idlan Raid juga seperti yang lain mahu melihat kesalahanya. Niyyaz Nazuha berpaling menjauhi pandangan pemuda ini.
“Jangan berdiam,Yaz” gesanya. Niyyaz Nazuha melontar pandangannya jauh-jauh. Mahu sahaja dia meninggalkan pemuda ini bersama persoalannya. Niyyaz Nazuha tidak berminat mahu memenuhi permintaan pemuda ini. Lidahnya kelu. Mulutnya terkunci rapat. Suaranya tersekat di kerongkong. Dia membisukan dirinya.
“Jadi apa yang akhbar siarkan itu benar belaka?” suara Idlan Raid mula meninggi. Laju Niyyaz Nazuha berpaling menatapnya. Mereka beradu pandangan.
“Saya sangat kesal dengan awak, Yaz. Sia-sia saja saya terlalu mempercayai awak” luahnya kesal. Niyyaz Nazuha terkilan. Bicara pemuda ini menusuk perasaannya.
“Awak telah menjatuhkan maruah sendiri. Kalau kamu betul-betul serius, awak boleh minta anak Dato Ramlan itu ambil awak jadi isterinya dengan cara terhormat”  bicara Idlan Raid di luar jangkaan Niyyaz Nazuha. Ternyata Idlan Raid juga sewenangnya mempersalahkan dirinya.
“ Cukup!” bentak Niyyaz Nazuha bingkas bangkit dari duduknya. Idlan Raid tersenyum. Betapa menyakitkan senyumannya itu.
“ Saya juga ingin tahu jawapan persolan awak itu. Saya nak kata sesuatu membela diri tapi semua orang memandang sinis. Saya tak berdaya membuat orang lain mempercayai saya. Saya dah letih membela diri. Saya betul-betul letih, Idlan. Adakah kerana saya pernah dibuang menyebabkan maruah saya tak berharga lagi? Betulkah semua orang boleh kata apa saja tentang saya? Saya dah tak tahu nak buat apa lagi.....” keluh Niyyaz Nazuha kesal. Dia tertunduk. Air matanya menitis ke pipi. Sepi. Kedengaran esakan tangisan gadis ini. Idlan Raid tergamam panjang. Dirinya turut terpukul saat ini.
“Saya tak nak awak disakiti, Yaz. Sumpah saya takkan membiarkan semua itu berlaku” suara Idlan Raid bergetar. Niyyaz Nazuha berpaling ke arah Idlan Raid. ‘Ya Allah… pemuda ini turut menitiskan air matanya. Aku sungguh terharu kerana Idlan Raid sudi berkongsi kesedihan denganku’…. rintih Niyyaz Nazuha. Tangisan Niyyaz Nazuha semakin kuat. Idlan Raid mendekati lalu memegang bahunya. Pemuda ini menyaksikan tangisan Niyyaz Nazuha yang panjang. Tiba – tiba sahaja Idlan Raid merangkul tubuh Niyyaz Nazuha. Cuba mendamaikan gadis ini. Niyyaz Nazuha tersentak. Namun tidak pula dia menolak tubuh sasa pemuda ini.  

Dia berasa begitu selamat berada dalam pelukan pemuda ini. Ada benteng kekuatan yang terbentang kukuh sehingga  tiada apa yang  mampu menembusi. Niyyaz Nazuha memejamkan matanya. Namun tiba-tiba sahaja dirinya tersentak. Dia mendongak. Sepasang mata redup Idlan Raid  sedang merenungnya. Niyyaz Nazuha berundur menjauhi pemuda ini. Dia bagai  baru tersedar yang dirinya berada dalam pelukan Idlan Raid sebentar tadi. Pemuda ini masih menatapnya.
“Maafkan saya.....” ujar Niyyaz Nazuha lalu berlari meninggalkan bilik Idlan Raid.
“Yaz....” Niyyaz Nazuha sempat mendengar suara Idlan Raid memanggil namanya. Namun tidak dipedulikannya. Niyyaz Nazuha sudah semakin jauh meninggalkan pemuda itu. Tidak dihiraukan pandangan hairan teman-temannya.
******

“ Sebagai syarikat besar dan dikenali kita harus menjaga nama baik syarikat ini. Baru – baru ini ada kejadian yang melibatkan pegawai syarikat ini. Kejadian ini telah tersebar luas di seluruh negara. Hal ini secara tak langsung memberi persepsi buruk pada nama baik syarikat yang sememangnya menekankan disiplin pekerja serta mementingkan nama baik syarikat. Lembaga pengarah perlukan penjelasan” ujar Dato Kamal serius. Niyyaz Nazuha diam. Beberapa pasang mata sedang menatapnya menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutnya.
“Tiada apa yang perlu dijelaskan lagi, dato” putus Niyyaz Nazuha tidak mahu memanjangkan isu. Idlan Raid menundukkan kepalanya. Kecewa dengan jawapan gadis itu. Bukan itu yang diharapkan. Dato Kamal dan beberapa orang pegawai lain melepaskan keluhan kecil dan geleng kepala.
“Sebarang keputusan pihak pengarah saya akan terima dengan hati terbuka” tambah Niyyaz Nazuha dengan begitu tenang.
“Kamu diberi peluang membela diri” terang Dato Kamal tidak puas hati. Niyyaz Nazuha diam. Dilontarnya pandangan jauh-jauh. Dia tidak berniat mahu membuat sebarang penjelasan. Sebetulnya dia sudah letih. Sudah banyak kali Niyyaz Nazuha membela diri. Setiap kali kenyataan yang keluar dari mulutnya sering sahaja diputar belitkan. Akhirnya dirinya dipersalahkan. Adilkah itu? Tiada sesiapa akan mempercayai kata – katanya.
“Katakanlah sesuatu, Yaz” pinta satu suara.
Niyyaz Nazuha berpaling ke arah suara itu.  Idlan Raid sedang menatapnya dengan penuh pengharapan. Sesaat...seminit... Niyyaz Nazuha masih belum membuka mulutnya. Akhirnya pemuda ini hanya mampu tertunduk dan melepaskan keluhannya.
“Saya mohon diri” ujar Niyyaz Nazuha bangkit dari duduknya lalu melangkah meninggalkan bilik ini. Idlan Raid memejamkan matanya. Kecewa tatkala melihat gadis itu menyerah begitu sahaja. Tatkala Niyyaz Nazuha melangkah keluar dari bilik itu, beberapa pasang mata sedang menatapnya. Dia cuba berlagak biasa, melangkah mendekati mejanya lalu mengemas barang-barangnya.
“Yaz, awak nak pergi mana?” soal Iwan hairan.
“Saya nak ambil cuti beberapa hari. Saya perlu tenangkan fikiran” terang Niyyaz Nazuha.  Dia terus sahaja  meninggalkan Iwan terkebil-kebil di situ. Langkahnya semakin laju. Baru sahaja tangannya menguak pintu kereta.......
“Yaz......!” Niyyaz Nazuha berpaling. Idlan Raid berlari ke arahnya.
“Saya masih berharap yang awak bela diri” ujarnya. Niyyaz Nazuha diam. Pantas sahaja mengalih mukanya ke seberang sana. Sepi seketika.
“Saya tak nak kehilangan rakan sekerja yang baik. Cukup sekali saya kehilangan awak, Yaz. Saya tak nak perkara itu berulang lagi” luahnya.
“Maafkan saya, Idlan” Terus sahaja tangannya menguak pintu kereta. Niyyaz Nazuha meninggalkan Idlan Raid yang masih terpacak di situ.
******
Idlan Raid melontar pandangannya jauh di hadapan. Kosong. Tiada apa yang berada di hadapannya. Hanya bayangan gadis itu memenuhi ruang matanya.
“Tiada apa yang perlu saya jelaskan......” ujar suara itu berulang kali berbisik di pendengarannya. Datin Sharifah yang sejak dari tadi memerhatikan gelagatnya berkali - kali geleng kepala. Dia mengerti apa yang sedang pemuda itu fikirkan.
“Kamu dah jumpa Yaz, Idlan?” suaranya memecah kesepian. Pemuda ini tersentak. Dia mengeluh kecil. Dialihnya pandangannya ke arah wanita itu. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Apa tindakan kamu sekarang?” soalnya lagi. Sepi. Tiada juga suara yang menyahut. Kali ini perempuan itu pula yang mengeluh.
“Mama tahu sukar kamu nak terima kenyataan ini” ujarnya mengerti. Anak muda ini tertunduk.
“Kamu harus terima semua ini demi kebaikan dan kebahagiaan Yaz. Mama rasa kamu patut fikir balik tentang hubungan kamu selama ini” tuturnya perlahan. Idlan Raid  menatap perempuan itu.
“Walau pahit dan menyakitkan, kamu harus tabah menghadapinya” tambah perempuan itu seraya menyuntik semangat anak muda itu.
“Fikirlah baik-baik” nasihatnya lalu beredar meninggalkan anak muda itu terpaku panjang sendirian di situ.
 

***********

Sudah beberapa kali nombor itu didail. Namun masih tidak dijawab. Dia cuba pula mendail nombor telefon bimbit itu. Keadaan yang sama turut berlaku. Akhirnya dia ambil keputusan  mencari gadis itu. Dia sudah nekad. Pantas dicapainya kunci kereta lalu meninggalkan pejabat.
“ Hey..... Encik Izeq. Apa halnya?” soal Salwa yang tersentak dengan kehadiran anak muda itu.
“Saya nak jumpa Yaz. Di mana dia sekarang?” soal Izeq yang tidak nampak kelibat Niyyaz Nazuha di tempat duduknya. Salwa mengeluh kecil. Ada kehampaan terpamer di wajahnya.
“Dia dah cuti beberapa hari lalu” jelas Salwa.
“ Haa......” Izeq tersentak. Kedengaran keluhannya. Idlan Raid yang menyedari kunjungan pemuda itu pantas sahaja menekan interkom menghubungi Salwa.
“Salwa, beritahu Izeq saya nak jumpa dia sekarang” arahnya.
“Okey.....” Salwa berpaling kepada anak muda itu.
“Encik Idlan nak jumpa Encik Izeq sekarang” beritahunya. Izeq terus sahaja melangkah ke bilik itu. Daun pintu diketuk.
“Masuk......” Dia melontar pandangannya ke muka pintu menyambut kedatangan pemuda itu.
“Awak nampak berceleru Izeq” tegurnya sinis. Izeq tersenyum hambar.
“Saya nak jumpa Yaz. Awak  tahu di mana dia sekarang?” soalnya penuh harapan. Idlan Raid geleng kepala. Gadis itu pergi begitu sahaja.
“Dia pergi tergesa-gesa tak sempat saya nak tanya”  jelasnya. Kedengaran keluhan kesal Izeq. Dapat dirasakannya gadis itu menjauhkan diri darinya.
“Mungkin dia mahu bersendirian mencari ketenangan” tambah Idlan Raid.
Sepi seketika. Idlan Raid melontar pandangannya keluar jendela.
“Apa hal awak cari dia?” tiba-tiba soalan itu terpancul dari mulut Idlan Raid. Dia perlu mengemukakan pertanyaan itu. Wajib. Izeq menatapnya.
“Banyak perkara yang perlu kami bincangkan” balasnya.
“Saya perlu jumpa dia” tegasnya lagi. Idlan Raid hanya diam. Dilontar pandangannya keluar sekian kalinya.
“ Saya harap awak takkan ganggu Yaz lagi” satu amaran keluar dari mulut Idlan Raid. Pantas saja Izeq berpaling menatapnya. Pandangan mereka beradu.
“Apakah saya tak silap dengar?” soalnya.
“Ya... saya tak nak Yaz terbeban dengan perkara ini. Sejak kejadian itu saya nampak dia begitu sedih. Saya tak nak dia menangis lagi!” tegas Idlan Raid serius.
“Tapi apa yang berlaku bukan salah kami. Saya dan Yaz diperangkap” bela Izeq serius. Dia tidak mahu pemuda ini menuduh dirinya punca kejadian yang mengaibkan itu. Sungguh dia dan gadis itu tersempit oleh keadaan. Sepi seketika.
“Walau apapun saya akan melamar Yaz. Saya memang mahu menghargai kewujudannya” ujar Izeq serius. Idlan Raid tersentak. Ditatapnya anak muda itu.
“ Saya dah jatuh cinta pada Yaz. Perasaan ini wujud sebelum kejadian itu lagi. Saya mahu  meletakkan dirinya di tempat yang sepatutnya dan paling penting  saya mahu membawa Yaz keluar dari kenangan cinta lukanya dahulu. Saya tahu selama ini hidup Yaz dah cukup terseksa. Kini dah tiba masanya Yaz memulakan hidup baru yang membahagiakannya. Saya akan pastikan Yaz  akan hidup bahagia bersama saya. Sumpah saya akan lakukan semua itu kalau saya diberi peluang” tegas Izeq serius.
Idlan Raid tergamam melihat kesungguhan anak muda ini. Dia terpukul mendengar bicara pemuda ini. Terasa dirinya harus bertanggungjawab atas penderitaan gadis itu.
“ Kalau awak jumpa Yaz, tolong beritahu padanya yang saya sedang mencarinya. Awak jangan risau saya akan jaga Yaz dengan baik. Insya-Allah andai ditakdirkan kami bersatu saya takkan ketepikan awak sebagai insan pertama yang pernah Yaz sayangi. Saya pergi dulu” ujarnya. Dibiarkan sahaja pemuda itu berlalu. Idlan Raid masih tergamam.

******

Niyyaz Nazuha menatap wajah malam. Suram dan mendung. Tiada bintang yang menghiasi langit. Kelam persis kemurungan dirinya saat ini. Dia melepaskan keluhannya. Sudah beberapa hari dia mengasingkan diri di pulau ini. Cuba menghimpun sisa-sisa kekuatan yang ada.
“Bila kamu nak balik? Anak Dato Ramlan dah banyak kali telefon nak cakap dengan kamu. Dia nak sangat berjumpa dengan kamu, Yaz” jelas Puan Nazibah.

Niyyaz Nazuha mengeluh lagi. Dia yakin sudah banyak kali juga Izeq cuba mendail  nombor telefon bimbitnya. Izeq gagal berbicara dengannya kerana dia telah mematikan telefon bimbitnya sejak dia bercadang mahu bersendirian di situ.

Dia tahu Nina juga cuba menjejaki langkahnya saat ini. Sahabatnya itu tidak akan membiarkannya bersendirian menghadapi semua ini. ‘Maafkan aku Nina, maafkan aku Izeq. Aku bukan sengaja mahu melarikan diri dari kalian. Aku mahu bersendirian buat masa ini. Sampai masa nanti aku akan cari kalian sebab banyak perkara yang perlu aku jelaskan. Berilah aku peluang mengumpul sisa-sisa kekuatan ini’.... bicara Niyyaz Nazuha sendirian.
******

Sekumpulan ahli lembaga pengarah sudah berada di bilik mesyuarat itu bersama-sama beberapa orang pegawai terpilih. Ada agenda penting yang perlu diperjelaskan hari ini. Lebih-lebih lagi ada tetamu yang akan bertandang ke situ.
Idlan Raid menanti penuh debaran. Pandangannya tertumpu pada sebuah kerusi kosong yang sering menjadi pilihan Niyyaz Nazuha melabuhkan duduknya. Setiap kali mesyuarat di situlah matanya akan bertumpu menyaksikan kepintaran seorang gadis berhujah mempertahankan pendapat bernasnya yang turut disokongnya walaupun dirinya jarang sekali bersuara secara terang - terangan. Dia kagum dengan kebolehan gadis itu.
Tiba-tiba dia terasa berdebar-debar. Barangkali bakal berlaku sesuatu yang akan menimpa gadis itu. Dia resah jika kerusi itu akan kehilangan tuannya buat selama-lamanya. Dia bimbang tidak berkesempatan lagi mendengar suara gadis itu berhujah. Peluh dingin mula membasahi dahinya. Penyaman udara di bilik mesyuarat itu seakan tidak berfungsi.
Daun pintu ditolak perlahan. Semua mata tertumpu di situ. Dato Kamal bersama-sama dua orang lelaki korporat yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka sudah sekian lama mengenali wajah-wajah yang berpengaruh itu. Wajah tua itu nampak tenang malah masih mampu mengukir senyuman.  Berbeza dengan pemuda di sisinya yang nampak sedikit muram seperti beberapa hari yang lalu ketika kemunculannya di pejabat itu.
“ Dato Ramlan ada hal nak diperkatakan kepada kita” suara Dato Kamal memecah kesepian sekali gus memecah kebuntuan berkaitan tujuan pertemuan pagi itu.
“ Silakan dato” jemput Dato Kamal hormat seraya berpaling ke arah Dato Ramlan. Lelaki itu tersenyum lalu bangun perlahan-lahan. Semua mata sekali lagi tertumpu kepadanya.
“ Terima kasih..... Assalamualaikum. Terlebih dahulu saya nak ucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk menjelaskan perkara sebenar” tuturnya lembut penuh dengan dedikasi. Pandangan Idlan Raid terus terikat pada lelaki itu menanti bicara seterusnya.
“Beberapa hari lalu seperti yang sedia maklum ada hal yang melibatkan pengurus Restu Sdn. Bhd, Izeq anak lelaki tunggal saya dengan pegawai syarikat ini yang secara tak langsung sedikit sebanyak telah menjejaskan nama baik kedua-dua syarikat. Saya amat sedih dan rasa bersalah atas perkara ini. Saya minta maaf kerana telah membabitkan syarikat ini. Semua itu adalah konspirasi menjatuhkan Syarikat Restu Sdn. Bhd sekali gus menyingkirkan keluarga saya dari terus memegang Restu Sdn. Bhd” terangnya panjang lebar. Dato Ramlan menarik nafas panjang.
“Sebetulnya ada pihak yang tak berpuas hati dengan perubahan tampuk pimpinan. Kiranya ini adalah masalah dalaman syarikat. Perkara ini sedang dibereskan sekarang. Saya juga akan membuat sidang akhbar tentang perkara ini. Jangan risau semuanya akan selesai sedikit masa lagi memandangkan saya ada cukup bukti. Orang yang bertanggungjawab dalam hal ini telah dikenal pasti” tuturr Dato Ramlan tersenyum. Semua yang berada di situ menghela nafas lega dan sudah mampu tersenyum ceria.
“Saya juga mahu memperkatakan hal berkaitan dengan Cik Niyyaz Nazuha. Saya kesal kerana secara tak sengaja Cik Niyyaz Nazuha telah menjadi mangsa dalam hal ini. Tak adil kalau Cik Niyyaz Nazuha dipersalahkan dan adalah satu kesilapan dan kerugian besar kalau Cik Niyyaz Nazuha cuba disingkirkan dari syarikat ini hanya kerana perkara ini. Saya betul-betul kagum dengan kebolehan Cik Niyyaz Nazuha dan senang hati bekerjasama dengannya. Harapan saya pihak syarikat ini akan fikirkan hal ini. Ingat Cik Niyyaz Nazuha seorang pegawai yang berkebolehan. Syarikat saya sentiasa mengalu –alukan kesudian Cik Niyyaz Nazuha menjadi sebahagian warga Restu Sdn. Bhd andai Cik Niyyaz Nazuha mahu beralih arah” tegasnya. Beberapa orang mengangguk-angguk tanda sependapat.
“Izeq, ada apa-apa kamu nak cakap?” soal lelaki itu sambil mengalih pandangannya kepada anak muda di sisinya itu. Izeq mengangguk. Kemudian terus sahaja bangun. Tumpuan beralih kepadanya.  Idlan Raid dapat merasakan debaran jantungnya semakin kencang.
“ Assalamualaikum..... Saya hanya nak katakan satu perkara saja dan saya mahu semua yang berada di sini menjadi saksi. Saya akan melamar Cik Niyyaz Nazuha bukan semata – mata mahu menutup kes atau sekadar menunjukkan rasa tanggungjawab saya, tapi saya betul-betul telah jatuh hati padanya. Perasaan ini dah lama saya simpan. Namun baru sekarang saya berkesempatan meluahkannya” ujarnya serius.
Suasana yang serius tadi serta-merta bertukar ceria. Sana-sini tersenyum mengusik. Dato Kamal terus sahaja bangun lalu menghulurkan tangan.

“ Tahniah....” ujarnya tersenyum. Persis Niyyaz Nazuha sudah jadi milik pemuda itu.
“Saya akan pastikan Niyyaz Nazuha akan kembali ke sini secepat mungkin” tambahnya berjanji.
“ Terima kasih, dato” ujarnya tersenyum riang.

Idlan Raid masih  terpaku di situ. Dia berada dalam delima  sama ada hendak bangun menghulurkan tangan seperti yang lain atau terus mengasingkan diri berperang dengan perasaan sendiri. Akhirnya dia hanya mampu tertunduk di situ sambil melawan ledakan emosinya.

Wednesday, 11 June 2014

Awak Jodohku Lagi!....13




BAB 13
“Awak semakin kurus, Yaz” komen Izeq sambil merenung gadis itu. Niyyaz Nazuha tersenyum panjang. Tiada yang mengejutkan. Keletihan akibat kesibukan kerja sering kali mematikan seleranya. Mengejar waktu yang bergerak pantas membuatkan kepentingan dirinya sedikit terabai.
“Awak pun saya tengok bertambah kurus juga. Susah sangatkah jadi bos?” usik Niyyaz Nazuha cuba menceriakan suasana.
“ Lebih susah dari pikat perempuan” sahut Izeq berjenaka.
“Tapi saya rasa susah lagi nak pikat awak” tambahnya buat Niyyaz Nazuha tersenyum sendiri. Izeq tidak melepaskan peluang untuk mengaitkan diri gadis ini pula.
“Macam mana dengan projek terbaru itu sekarang?” soal Niyyaz Nazuha
“Segalanya berjalan lancar. Maklumlah hasil kerja perancang yang hebat” pujinya.
“Awak jangan puji saya lebih-lebih” tegah Niyyaz Nazuha.
“ Mengapalah awak ini susah sangat mahu terima pujian?” soal Izeq hairan.
“Kadangkala pujian itu tak ikhlas” tingkah Niyyaz Nazuha. Izeq tertawa kecil.
“Awak suka sangat prasangka yang bukan-bukan” tegur Izeq. Niyyaz Nazuha tersenyum. Telefon bimbit Izeq berdering. Perbualan mereka terhenti. Laju jari Izeq menekan punat panggilan diterima.
“Apa? Dato di mana sekarang?” soalnya. Niyyaz Nazuha menatap wajah cemas Izeq. Bagaikan ada sesuatu telah berlaku.
“Okey.... sekejap lagi saya datang” putusnya seraya mematikan perbualan itu.
“ Mengapa Izeq?” soal Niyyaz Nazuha ingin tahu apa yang telah berlaku kepada Dato Ramlan. Ada debaran dirasakannya.
“ Papa mengalami sesak nafas di seminar itu. Sekarang papa sedang berehat di bilik hotel itu” cerita Izeq.
“Saya dah banyak kali melarangnya pergi tapi orang tua itu berdegil juga mahu pergi” keluh Izeq kesal.
“Bertenang. Pasti dato pun tidak mahu semua ini berlaku. Apatah lagi berniat membuatkan awak cemas” pujuk Niyyaz Nazuha agar pemuda ini mengambil pendekatan positif dengan apa yang telah menimpa Dato Ramlan.
“Maafkan saya, Yaz” ujar Izeq perlahan. Niyyaz Nazuha senyum. Sangat mengerti sikap yang dipamerkan oleh Izeq tika ini adalah atas dorongan rasa kasihnya kepada Dato Ramlan.
“Apa awak nak buat sekarang?” soal Niyyaz Nazuha bertanyakan tindakan lanjut pemuda ini. Barangkali dia boleh menghulurkan bantuan kepada Izeq.
“Saya nak pergi jemput papa. Marilah ikut saya sekali” ajaknya.
Niyyaz Nazuha sudah terbayang wajah tua Dato Ramlan yang semakin cengkung. Sejak kesihatannya sering terganggu jarang juga dia bertemu dengan lelaki itu. Lebih-lebih lagi setelah Izeq mengambil-alih segala urusan perniagaannya. Seingatnya kali terakhir dia  berjumpa dengan Dato Ramlan beberapa bulan lalu ketika menghadiri majlis makan malam Syarikat Restu Sdn. Bhd. sempena pelancaran projek baru itu.
“Awak nak pergi?” soal Izeq. Niyyaz Nazuha tersentak. Laju sahaja dia mengangguk.
“Kita pergi sekarang” ajak Izeq seraya memulakan melangkah. Niyyaz Nazuha mengekori tanpa sebarang persoalan. Mereka harus segera tiba di situ. Izeq mesti berada di sisi Dato Ramlan sekarang. Izeq dan Niyyaz Nazuha bergegas mencari bilik yang menempatkan  Dato Ramlan berehat.
“Ini biliknya” ujar Izeq lalu mengetuk daun pintu beberapa kali. Senyap.
“ Papa.... Izeq datang” Izeq memaklumkan kedatangannya sambil mengetuk daun pintu bertalu – talu. Tiada suara yang menyahut. Izeq nampak bertambah risau.
“Betulkah  biliknya? Senyap saja macam tiada orang” tutur Niyyaz Nazuha musykil. Izeq menatap sebaris nombor yang terpamer di daun pintu itu. Dia yakin inilah bilik yang dimaklumkan oleh lelaki yang menelefonnya sebentar tadi. Lelaki yang tidak sempat dikenalinya. Lantas Izeq mengangguk menjawab persoalan yang diajukan Niyyaz Nazuha sebentar tadi.
“Mengapa tiada orang buka pintu? Ke mana pembantu – pembantu papa?” keluhnya.
“Mungkin dato sedang tidur dan mahu bersendirian ” ujar Niyyaz Nazuha cuba menenangkan pemuda ini.
“Saya bimbang berlaku sesuatu yang tak diingini” luahnya berterus-terang meluahkan kekhuatirannya. Tombol pintu dipusing. Tersentak Izeq dan Niyyaz Nazuha tatkala pintu tidak berkunci.Mereka berpandangan. Terasa diri mereka diperbodohkan. Izeq dan Niyyaz Nazuha melangkah masuk ke bilik itu. Sunyi sepi. Pandangan mereka terarah  pada katil itu. Kosong.  Tiada sesiapa terbaring di situ. Niyyaz Nazuha memandang Izeq.
“Lelaki itu beritahu saya tadi, papa berehat di sini” jelas Izeq curiga. Izeq masih tidak berputus asa. Dia masih mencari-cari Dato Ramlan di dalam bilik air dan di luar balkoni. Tiada sesiapa di situ selain dirnya dan Niyyaz Nazuha. Hanya mereka berdua sahaja.
“Mana papa pergi ya” keluh Izeq masih dalam kerisauan. Apatah lagi saat ini Dato Ramlan perlukannya. Niyyaz Nazuha melabuhkan duduknya di birai katil.
“Mungkin juga dato keluar sekejap. Tengok saja katil ini masih belum dikemas lagi. Maksudnya dota belum check out lagi” teka Niyyaz Nazuha sambil memerhatikan katil dan selimut yang masih bertaburan di katil.
“Awak dah telefon dato?” soal Niyyaz Nazuha. Izeq mengangguk.
“Papa tak angkat telefon. Inilah yang merunsingkan saya” keluh Izeq masih mundar – mandir di situ.
“Biar saya telefon lelaki yang menghubungi saya tadi” ujar Izeq. Niyyaz Nazuha mengangguk setuju. Langkah yang paling tepat. Laju sahaja jemari Izeq membuat panggilan. Malangnya panggilan itu tidak dijawab. Dicuba sekali lagi. Perkara yang sama juga. Pemuda ini gagal menghubungi lelaki pemilik nombor telefon yang tidak dikenalinya ini.
“Pelik. Nombor telefon ini tak dapat dihubungi” keluh Izeq buntu. Dia dan Niyyaz Nazuha saling berpandangan.
“Kita tunggu sekejap di sini. Mana tahu papa akan datang semula ke sini” tutur Izeq membuat keputusan. Niyyaz Nazuha mengangguk setuju. Tiba – tiba daun pintu bertalu – talu diketuk.
“ Agaknya itu papa” teka Izeq yang mula nampak lega. Niyyaz Nazuha juga berharap sepertinya. Laju sahaja Izeq melangkah ke muka pintu lalu memusing tembol pintu. Daun pintu sudah terkuak.
“ Assalamualaikum...............” Terpancul beberapa orang lelaki berserban putih dan berkopiah di muka pintu. Serta-merta muka Niyyaz Nazuha pucat. Begitu juga dengan Izeq menyambut kedatangan tetamu yang tidak diundang ini. Izeq kematian akal. Niyyaz Nazuha seakan mahu menjerit dan meraung - raung di situ. Namun suaranya tersekat di kerongkong. Dia dan Izeq tergamam dan kaku. Peluh dingin mula membasahi dahi.  

******

 ‘Usahawan muda terperangkap.....,’ ‘Pengurus Syarikat Restu Sdn. Bhd. & pegawai SPPN ditemui di Kamar Hotel’..... ‘ Usahawan Muda DiTangkap Berkhalwat bersama kekasihnya....’.

Niyyaz Nazuha  mengetap bibir menahan perasaan. Terlalu menyeksakan menatap paparan ruangan utama setiap akhbar yang dikeluarkan hari ini sehingga Niyyaz Nazuha tidak sanggup terus menatapnya. Sudah pasti berita ini merupakan berita paling sensasi. ‘Bagaimana aku nak berhadapan dengan rakan sekerja nanti? Bagaimana pula reaksi mereka terhadapku? Akukah yang akan dipersalahkan?’ bisik hati Niyyaz Nazuha bersoal – jawab sendiri. Rungsing. Dia kematian akal. Segala – galanya serba tidak kena. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang. Perlahan – lahan terasa panas mengalir di pipinya.
“Yaz betulkah semua itu?” soal Iwan yang sedang menanti kedatangannya di muka pintu pejabat. Nampak pemuda ini tidak sabar – sabar mahu mengetahui cerita sebenar. Namun yang pasti tuduhan dirinya ditangkap berkhalwat dengan pemuda itu sudah tersebar luas. Niyyaz Nazuha diam.  Dia meneruskan langkah ke tempat duduknya. Sepanjang aturan langkahnya ada sahaja mata yang memandangnya. Pandangan yang sangat sinis. Dirinya dipersalahkan sebelum sempat membela diri.
“ Apa yang telah berlaku?” soal Salwa pula.’ Ya Allah tabahkanlah hatiku menghadapi semua ini. Aku perlukan sokongan-Mu’... hati Niyyaz Nazuha berdoa.  Salwa dan Iwan masih menatapnya. Telefon bimbitnya berdering.
“ Yaz, saya dah baca akhbar hari ini.......” suara Nina. Masih perkara yang sama yang mahu dibicarakan kepadanya. Niyyaz Nazuha semakin tertekan.  
 “Mengapa jadi macam tu?” tanya Nina. Niyyaz Nazuha masih diam. Mulutnya sudah terkunci rapat. Tiada sebarang penjelasan keluar dari mulutnya.
“ Okey... Yaz, nanti saya datang jumpa awak” pesan Nina.
“ Saya tak sangka awak akan lakukan semua ini” tuduh Iwan penuh kekesalan. Niyyaz Nazuha berpaling. Dia menatap wajah pemuda itu. Perasaannya terguris menerima tuduhan yang tidak berasas itu. Iwan meninggalkannya dengan hati yang hancur berkecai. Salwa menatapnya dengan satu pandangan yang  dirasakannya pandangan penghinaan kepadanya.
“Yaz, macam mana semua ini boleh berlaku?” soal Salwa.
“Saya pun masih memikirkan persoalan itu” tutur Niyyaz Nazuha buntu. Dia tertunduk. Terasa panas meluncur laju di pipinya.
“Yaz.....” Salwa mendekati lalu memegang bahunya.
“Tolong tinggalkan saya sendirian” pinta Niyyaz Nazuha tidak dapat mengawal emosinya lagi. Betapa malang dirinya ditimpa musibah yang berat ini. Salwa berlalu meninggalkannya bersendirian. Telefon bimbitnya berdering lagi. Niyyaz Nazuha membiarkan sahaja deringan itu. Senyap. Berdering sekali lagi. Panggilan itu dijawab dengan longlai.
“Yaz ..... maafkan saya. Saya dah baca akhbar hari ini” luah suara itu kesal. Niyyaz Nazuha mengesat air matanya. Semua ini bukan salah Izeq. Inilah dugaan berat yang harus mereka hadapi bersama.
“ Awak menangis? Saya harap awak tabah menghadapi semua ini” nasihatnya cuba menenangkan hati Niyyaz Nazuha.
“Yaz.....” suaranya terhenti. Kedengaran Izeq menarik nafas panjang. Cuba mengumpulkan kekuatan yang ada.

“Saya akan bertanggungjawab. Kalau awak sudi saya akan hantar rombongan berjumpa keluarga awak” Izeq mengulangi bicaranya semalam.

“ Maaf Izeq, buat masa ini saya tak nak fikirkan apa - apa. Saya hanya berharap saya tabah menghadapi semua ini. Bye.....” Panggilan diputuskan. Suara Izeq lenyap. Terasa betapa berat tekanan dan bebanan yang dipikulnya saat ini. ‘Ya Allah janganlah biarkan aku tertewas menghadapi semua ini’.... bisik hati Niyyaz Nazuha . Dia tertunduk. Niyyaz Nazuha menangis lagi.

“ Yaz..........” Perlahan-lahan Niyyaz Nazuha mengangkat mukanya. Idlan Raid sudah terpacak di depannya. Wajah pemuda ini bercelaru. ‘Ya Allah.... aku tidak tahu apa yang harus aku perkatakan kepadanya’.. bisik hati Niyyaz Nazuha sambil menatap wajah pemuda ini. Akhirnya Niyyaz Nazuha tertewas melawan pandangan Idlan Raid. Dia tertunduk lagi.