BAB 39
Kupandang taman ini. Sudah sekian lama aku tidak
berkunjung ke sini. Sejak aku berpisah dengan Haqem, aku tidak pernah
menjejakkan kaki ke sini lagi. Kupandang bangku kayu yang masih kukuh di situ.
Aku nampak sepasang kekasih sedang leka memadu kasih asmara di situ. Anak
mataku liar memerhatikan sekeliling. Ada sesuatu yang ingin aku cari. Aku
terpandang pada tugu peringatan itu. Lama.
“Anggaplah ini tugu peringatan cinta kita. Cinta teragung
dan abadi setanding cinta Shah Jahan dengan Mumtaz. Ketahui olehmu Cik
Nur Dahlia binti Sallehudin bahawasanya saya mencintai awak sepenuh jiwa
saya...” Aku dan Haqem beradu pandangan. Sinar kasih terpancar di ruang mata
masing – masing. Aku tersenyum bahagia mendengar bicara romantis Haqem ini. Sungguh
bahagia kurasakan. Hatiku berbunga – bunga. Indahnya perasaan ini.
“Saya juga cintakan awak sepenuh jiwa saya” balasku
meluahkan isi hatiku. Haqem tersenyum lebar. Aku memejamkan mataku seketika. Cuba
melenyapkan semua itu singgah di memoriku, lantas berpaling kepada Haqem.
“Mengapa awak bawa saya datang ke sini?” soalku tidak
senang hati. Haqem menatapku. Seketika aku dan Haqem saling beradu pandangan.
“Hanya taman ini yang ada dalam fikiran saya untuk
bersama awak tika ini” tutur Haqem tenang. Aku melepaskan keluhan beratku.
“Saya tidak suka taman ini” luahku. Haqem mendiamkan
diri. Aku tidak mahu mengimbau kenangan yang terpahat di sini.
“Awak masih ingat pada tugu peringatan itu?” soal Haqem
sambil menatapku. Aku mengangguk dan tersenyum sinis.
“Sekarang baru saya mengerti mengapa awak berbicara
sedemikian. Rupanya awak sudah menjangka kita akan berpisah akhirnya sebab itu
awak jadikan tugu itu sebagai tugu peringatan cinta kita” tuturku tenang.
Simbolik perpisahan. Sesuatu yang menjadi kenangan.
“Bukan seperti itu, Lia” tingkah Haqem tidak bersetuju
dengan bicaraku. Aku tersenyum sendiri. Haqem masih mahu menafikannya.
“Saya tidak mahu mengungkit kisah lalu itu” ujarku
serius.
“Kita balik ke pejabat sekarang” ajakku mahu segera
meninggalkan tempat ini.
“Kita tunggu sekejap di sini” balas Haqem.
“Tunggu apa?” soalku bingung. Haqem menatapku.
“Saya tidak mahu mama dan Bella menemui awak di KDUT”
jelas Haqem membuatkan aku terdiam panjang. Rupanya perempuan di sebelah Bella
tadi adalah Datin Sofea, mama Haqem. Aku tersenyum sendiri. Sehingga ke saat
ini Haqem tidak mampu berhadapan dengan Datin Sofea. Jelasnya Haqem tidak
berdaya mempertahankan kehendak hatinya.
“Saya tidak mahu mama dan Bella sakiti awak, Lia” tutur
Haqem serius.
“Awak larikan saya dari KDUT semata – mata untuk
mengelakkan mama dan tunang awak menemui saya?” soalku. Haqem mengangguk.
“Saya tidak takut untuk bersemuka dengan mereka” tuturku.
“Jangan. Mereka akan sakiti awak” tegah Haqem. Aku geleng
– geleng kepala.
“Tiada sebab untuk mereka menyakiti saya. Saya sudah
tiada apa – apa hubungan dengan awak, malah saya sudah menjadi milik Aqel”
tegasku.
“Awak mahu saya percaya pada bicara awak itu? Sampai bila
awak mahu berbohong kepada saya, Lia?” soal Haqem menyentakkanku.
“Apa maksud awak?” soalku.
“Saya tidak percaya awak bercinta dengan Aqel. Apatah
lagi menjadi tunangnya” tegas Haqem mengejutkanku.
“Saya tidak faham apa yang awak cakap ini” bidasku.
“Awak pernah cakap kepada saya yang Aqel tidak kisah
kalau awak keluar bersama saya. Saya sudah faham sekarang mengapa awak bercakap
sedemikian” tutur Haqem.
“Aqel yang beritahu awak?” soalku. Haqem tidak
menunjukkan reaksinya terhadap persoalanku. Dia tidak mengangguk mengiyakan
mahupun menggeleng menafikannya. Haqem hanya menatapku.
“Saya tidak pernah tinggalkan awak dengan kerelaan hati
saya” tutur Haqem mula membicarakan tentang hubungan yang pernah terjalin
antara aku dengan dirinya.
“Cukup! Saya tidak mahu kisah lalu itu diungkit” tegahku.
“Tolong dengar untuk seketika, Lia” pinta Haqem. Serta
merta aku teringat pada bicara Aqel yang mahukan aku berbicara dengan Haqem.
“Sehingga ke hari ini saya masih mencintai awak sepenuh
hati saya. Di sini pertemuan pertama kita dan saya harap di taman ini juga akan
mempertemukan kita kembali” tutur Haqem tanpa berselindung. Membengkak hatiku
mendengar bicara Haqem ini. Langsung tiada perasaan segan dengan apa yang telah
dilakukannya kepadaku selama ini. Setelah menghancur leburkan perasaanku, dia
masih mampu mengeluarkan kata – kata indah sedemikian. Haqem memang lelaki
bermuka tembok.
“Jangan bermimpi di siang hari, Haqem” tuturku sinis,
malah memperlekehkan harapannya itu.
“Awak harus dengar dahulu apa yang saya mahu katakan ini”
pinta Haqem.
“Silakan....” tuturku tersenyum sinis menatapnya.
“Maafkan saya sebab awak gagal menamatkan pengajian awak
di universiti. Kalau saya tahu perkara ini tetap berlaku, sudah pasti saya akan
memilih untuk terus bersama awak” tutur Haqem serius. Kupandang Haqem. Sungguh
aku tidak mengerti maksud bicara Haqem ini.
“Saya tinggalkan awak sebab saya tidak mahu mama
memusnahkan masa depan awak. Mama pernah berjanji akan membiarkan awak
menamatkan pengajian andai saya tidak bersama awak lagi” tutur Haqem. Aku
terdiam dan terkedu mendengar butir – butir bicara Haqem ini.
“Saya tahu mama mampu lakukan apa sahaja demi mencapai
impiannya. Saya tiada pilihan waktu itu. Saya tidak sanggup melihat orang yang
saya sayangi disakiti oleh mama. Maka saya pilih untuk menjalani hidup yang
tidak membahagiakan dengan harapan awak akan hidup lebih baik daripada saya”
tutur Haqem sayu. Aku terdiam panjang. Hatiku terusik tika ini.
“Mengapa ketika itu awak tidak berterus terang dengan
saya?” soalku mula bersuara.
“Itu kesilapan terbesar yang saya lakukan kepada awak.
Saya tinggalkan awak dengan cara demikian dengan harapan awak akan rasa
tercabar, maka hidup awak akan lebih baik lagi. Namun saya silap” keluh Haqem
menundukkan kepalanya. Senyap.
“Untuk apa kita membicarakan perkara ini lagi sedangkan
semuanya telah berlaku” tuturku reda dengan ketentuan Ilahi. Semua ini sudah
qada dan qadar Allah untukku.
“Lia, kita mulakan hidup baru” tutur Haqem. Kupandang
Haqem. Aku menggeleng – geleng. Permintaan Haqem terlalu berat. Tidak pernah
terlintas dalam fikiranku perkara ini.
“Saya tidak boleh jadi teman hidup awak dan sebahagian
ahli keluarga awak, sedangkan Datin Sofea tidak pernah menerima saya. Saya
tidak mahu hidup dalam kebencian orang lain” tegasku sekali gus menyedarkan
Haqem bahawa aku dan dirinya tidak
mungkin dapat bersama lagi. Datin Sofea sudah memilih calon isteri terbaik
untuk Haqem.
“Saya akan pujuk mama agar menerima awak. Saya yakin
semua ibu di dunia ini mahukan kebahagiaan anak – anak mereka” tutur Haqem. Aku
menggeleng lagi.
“Saya mahu meneruskan kehidupan yang saya miliki sekarang”
tegasku.
“Saya perlukan awak, Lia” tutur Haqem merayuku.
“Tidak, Haqem” tingkahku.
“Saya tidak akan berputus asa untuk mendapatkan awak
kembali” tutur Haqem nekad.
“Cukup Haqem!” tegasku.
“Kita boleh hidup bersama walaupun tanpa restu mama saya.
Saya mampu untuk menyara hidup awak” tutur Haqem lagi.
“Tetapi saya tidak mahu hidup tanpa restu keluarga. Saya
tidak mahu hidup bahagia hanya seketika” tuturku cuba menyedarkan Haqem betapa
pentingnya restu seorang ibu demi menjamin kebahagiaan yang berkekalan. Kedengaran
Haqem melepaskan keluhan beratnya. Wajahnya nampak sugul.
“Saya juga tidak boleh kehilangan awak lagi, Lia. Saya
hidup terseksa tanpa awak” keluh Haqem. Bebola mata Haqem berkaca – kaca.
“Awak tidak tahu betapa pentingnya awak kepada saya”
tutur Haqem menyentuh hatiku. Aku geleng kepala.
“Mengapa?” soal Haqem.
“Saya sudah biasa hidup tanpa awak setelah melalui saat
yang begitu sukar kerana perpisahan kita dahulu. Saya tidak sanggup melalui
semua itu lagi” luahku.
“Saya janji tidak akan membuatkan awak terseksa lagi.
Saya tidak akan tinggalkan awak” tegas Haqem.
“Maafkan saya, Haqem” tuturku sayu. Setitis air mata
gugur di pipiku. Laju tanganku mengesatnya. Terasa getaran telefon bimbitku.
Aku terus sahaja menguak beg galasku. Kucapai telefon bimbitku yang masih dalam
mod senyap. Di dada skrin terpamer nama Aqel. Belum sempat aku menjawabnya,
panggilan itu terputus. Setelah aku menyemaknya, ada sepuluh panggilan tidak
dijawab. Ternyata kesemua panggilan itu daripada Aqel.
“Aqel yang telefonkah?” soal Haqem sambil menatapku. Aku
mengangguk. Kini Haqem sudah mengetahui status hubunganku dengan Aqel. Skrin
telefonku menyala – nyala lagi. Laju tanganku menekan punat menerima panggilan
ini.
“Aqel.... ambil saya di Taman Perwira sekarang juga”
pintaku.
“Tunggu di sana sehingga saya sampai” arahnya.
“Terima kasih, Aqel. Assalamualaikum....” Perbualan
pendekku dengan Aqel terhenti di sini sahaja. Aku berpaling menatap Haqem yang
kelihatan sugul ini.
“Tidak payah suruh Aqel datang sini. Biar saya yang
hantar awak balik” ujar Haqem.
“Tidak apa, sekejap lagi Aqel sampai” tuturku menolak
secara baik permintaan Haqem itu. Detik menunggu ketibaan Aqel, aku dan Haqem
masing – masing melayan perasaan sendiri.
Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe, melncur laju
lalu berhenti di hadapan kereta Haqem. Aku berpaling menatap Haqem.
“Saya pergi
dulu” tuturku lalu menolak daun pintu kereta. Aku bangkit dari dudukku.
“Lia, tolong
fikirkan kata – kata saya tadi” pinta Haqem menahan langkahku.
“Maafkan saya,
Haqem” tuturku tanpa sempat menatap wajah Haqem lagi. Aku terus mengatur
langkahku ke arah Aqel. Laju sahaja aku menyelinap masuk ke dalam kereta Peugeot
RCZ Sports Coupe ini.
“Flora, banyak
kali saya telefon awak tadi, mengapa tidak angkat?” soal Aqel dengan suara yang
tinggi. Pandangan Aqel serius menatapku.
“Maafkan saya.
Telefon saya masih dalam mod senyap tadi” jelasku. Aku menundukkan wajahku.
Senyap.
“Mengapa dengan
awak?” soal Aqel. Aku menggeleng lantas melarikan wajahku daripada pandangan
Aqel. Air mataku sudah berderai di pipi. Aku mula menangis teresak – esak.
“Flora,
mengapa?” soal Aqel cemas.
“Kita pergi
sekarang. Saya tidak mahu Haqem melihat saya menangis” tuturku dalam esakan.
Aqel terus sahaja memandu Peugeot RCZ Sports Coupe ini beredar meninggalkan Taman
Perwira sekali gus meninggalkan Haqem yang belum mahu berganjak dari situ.
Sepanjang perjalanan aku menangis
teresak – esak melempiaskan rasa sesalku tanpa menghiraukan kewujudan Aqel
bersamaku tika ini. Bertahun – tahun aku menyalahkan Haqem sehingga menimbulkan
kebencian yang menggunung kepada dirinya. Aku salahkan diri Haqem sepenuhnya.
Rupa – rupanya Haqem meninggalkan aku demi melindungi diriku.
Sesekali Aqel
melirik ke arah gadis itu. Dia membisukan dirinya. Tidak tahu apa yang harus
dilakukannya sekarang. Cuba memujuk melenyapkan tangisan gadis ini, namun tidak
tahu hendak memulakannya. Akhirnya Aqel hanya mampu membiarkan gadis ini
menangis sepuas – puas hatinya sehinggalah tiada lagi air mata yang keluar.
“Awak sudah
puas menangis?” soal Aqel menatapku. Aku mengangguk. Lega rasanya. Aqel terus
sahaja menghulurkan beberapa helai tisu kepadaku. Kutatap wajah Aqel.
“Lap air mata
awak itu” arahnya. Aku patuh sahaja pada bicara Aqel. Kukesat sisa – sisa air
mata di pipi dan birai mataku.
“Boleh awak hantar
saya balik ke rumah, mak?” soalku kepada Aqel. Aqel menatapku seketika. Nampak
berat hati sahaja Aqel hendak memenuhi permintaanku ini.
“Saya hendak
berehat sekejap di sana. Saya tidak mahu Mak Long tengok keadaan saya sekarang.
Saya akan balik ke Pujangga
Highlands setelah saya rasa tenang” tuturku.
“Betul awak tidak bermalam di rumah awak?” soal Aqel. Aku
mengangguk.
“Kalau begitu, baiklah saya akan hantar awak ke sana”
tutur Aqel bersetuju untuk memenuhi permintaanku. Aku menarik nafas lega.
“Terima kasih, Aqel” tuturku terhutang budi. Aqel
tersenyum. Aku dan Aqel kembali diam. Sehinggalah sampai di perkarangan rumah
mak, aku dan Aqel masih tidak bersuara. Sekarang baru aku terasa segan kepada
Aqel tatkala mengingati gelagatku sepanjang perjalanan tadi. Tidak tahu apa
tanggapan Aqel melihat aku menangis teresak – esak tadi.
“Jangan lupa balik rumah nanti. Telefon saya, biar saya
yang jemput awak nanti” pesan Aqel. Aku hanya mengangguk. Bercanggah dengan
kata hatiku. Aku akan meminta teksi menghantar aku ke rumah Mak Long. Tidak
mahu menyusahkan Aqel lagi.
“Kalau Mak Long tanya ....”
“Tidak payah risau. Nanti pandai – pandailah saya cakap
kepada mama” tutur Aqel memintas bicaraku. Aqel tersenyum lagi.
“Terima kasih, Aqel” ujarku untuk sekian kalinya.
“Pergilah masuk berehat...” arahnya. Aku mengangguk.
“Jangan lupa balik nanti, tahu” ujar Aqel mengingatkan
aku lagi. Aku hanya tersenyum. Pasti aku akan mengotakan janjiku. Namun tidak
mahu Aqel yang menjemputku.
“Awak baliklah sekarang” arahku tatkala melihat Aqel
masih terpacak di depan rumah mak ini. Senyuman semanis madu itu dipamerkan
lagi kepadaku.
“Saya akan balik selepas awak masuk” sahut Aqel mahu
memastikan aku masuk ke dalam rumah dengan selamat. Aku tersenyum.
“Mengapa? Awak risau saya melarikan dirikah?” soalku
bergurau.
“Saya hendak pastikan keselamatan awak” tutur Aqel buat
aku terkedu. Walaupun banyak masanya Aqel kurang menyenangkan aku, namun aku
tidak mahu menafikan banyak juga kebaikan Aqel yang kuterima. Aku tersenyum
lagi.
“Saya masuk sekarang. Selepas ini awak baliklah ke rumah
nanti tertunggu – tunggu pula Mak Long” ujarku mengingatkan Aqel. Aqel
mengangguk. Kutinggalkan Aqel yang sedang memerhatikan langkahku. Ketika aku
berpaling menutup pintu rumah, Aqel masih terpacak di depan pintu pagar rumah
ini. Dia tersenyum sambil melambaikan tangannya kepadaku. Kemudian terus sahaja
menyelinap masuk ke dalam keretanya. Kelibat Aqel sudah tidak kelihatan lagi.
Aku terus sahaja menutup pintu lalu menguncinya. Kutekan suis lampu. Aku
menjatuhkan tubuhku di sofa panjang di ruang tamu ini. Mula terlentang
terbaring di sini. Kupejamkan mataku. Aku cuba melenyapkan bicara Haqem yang
sentiasa kedengaran di telingaku. Masih kedengaran suara Haqem. Lantas kutekap
kedua – dua telapak tangan ke telingaku.
Aqel masih
berfikir. Baru sahaja separuh perjalanannya, Peugeot RCZ Sports Coupe tiba –
tiba sahaja berpusing. Aqel berpatah balik ke rumah itu, lalu meletakkan
keretanya tepat – tepat di hadapan rumah itu. Dilontarnya pandangan ke situ.
Nampak rumah itu sudah terang benderang. Aqel merebahkan kerusi itu lantas
berbaring di dalam keretanya. Dia sudah membuat keputusan akan berada di situ
sehinggalah gadis itu sudah tenang dan mahu kembali ke rumah mereka seperti
yang telah dijanjikan gadis itu sebentar tadi. Dikeluarkan telefon bimbitnya
lalu membuat satu panggilan.
“Assalamualaikum
mama. Hari ini Hyeon dan Lia balik lewat sedikit. Ada kerja yang perlu
disiapkan segera” tutur Aqel menyusun bicara.
“Kamu berdua
sudah makankah?” soal Puan Helda bimbang.
“Mama tidak payah
risau. Jikalau lapar nanti kami pergilah cari makanan di restoran – restoran
yang berdekatan di sini” tutur Aqel melenyapkan kebimbangan Puan Helda.
“Baguslah
begitu. Jangan balik lewat sangat” pesan Puan Helda.
“Baiklah mama”
sahut Aqel
“Balik rumah nanti
pandu kereta hati – hati” pesan Puan Helda lagi.
“Ya mama” sahut
Aqel berjanji.
“Assalamualaikum”
Aqel terus sahaja menamatkan perbualan singkatnya dengan Puan Helda. Aqel
bangkit daripada perbaringannya, lalu melontar pandangan ke rumah itu lagi. Tampak
tenang sahaja. Tiada perkara yang membimbangkannya. Dia kembali merebahkan
tubuhnya, beristirehat di dalam kereta untuk seketika.
~ Ya Allah...
hamba-Mu ini sungguh lemah. Sungguh aku rasa bersalah sangat tika ini kerana
menyalahkan Haqem atas perkara yang menimpaku dalam masa yang panjang. Aku
menuduh Haqem, betapa kejamnya diri ini. Kemudian mencanang kekejaman Haqem itu
kepada mak dan Nana sehingga membuatkan mereka berprasangka yang tidak elok
kepada Haqem. Ya Allah, ampunkanlah dosaku. Aku sedar ya Allah, sesungguhnya
aku perlu memohon kemaafan kepada Haqem. Namun aku juga perlukah petunjuk dan
bimbangan-Mu ya Allah, Tuhan semesta alam Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha
Berkuasa. Amin ~
Aku meraup
kedua belah tanganku ke muka. Kali ini panjang doa yang kupanjatkan kepada Yang
Maha Esa. Kulipat sejadah yang terbentang di depanku lantas kutanggalkan
telengkung di tubuhku. Terasa damai setelah usai meluahkan perasaanku kepada
Ilahi. Aku membaringkan seketika diriku di tilam sambil memandang di sekeliling
bilik ini. Betapa aku merindui untuk berada di sini. Sungguh selesa berada di
bilik sendiri. Tidak lama lagi aku akan kembali ke rumah ini, maka bolehlah aku
bersenang – lenang di katil ini lagi. Apabila teringat janjiku kepada Aqel, aku
bingkas sahaja bangkit daripada perbaringanku. Mula bergegas menyiapkan diri.
Kuteliti wajahku di cermin. Cuba mempastikan wajahku tidak akan menimbulkan
persoalan dalam diri Mak Long ketika beradu pandangan denganku nanti. Aku
melewati ruang tamu. Kucapai beg galasku yang terletak di sofa, lantas
melangkah ke muka pintu. Aku melangkah keluar. Kukunci daun pintu. Mungkin
teksi yang kupesan menjemputku di sini dalam perjalanan sekarang. Aku melangkah
ke pintu pagar. Kukunci pintu pagar. Aku berpaling dan terkejut tatkala
terpandang Peugeot RCZ Sports Coupe, kereta milik Haqem berada di sini. Segera
aku mendekati kereta Peugeot RCZ
Sports Coupe ini. Tersentak tatkala melihat Aqel sedang tidur lena. Di sebalik
tingkap cermin ini aku sempat
memerhatikan wajah anak muda Mak Long ini. Memang berasas juga ketaksuban Rania
terhadap Aqel. Wajah Aqel begitu sempurna. Sesiapa sahaja boleh jatuh cinta
kepada Aqel. Setiap mata yang memandang Aqel pasti akan memuji betapa kacaknya
anak muda Mak Long ini.
Beberapa minit
aku memerhatikan wajah Aqel yang sedang lena ini. Kasihan pula melihat
keadaannya begini. Aku yakin Aqel tidak berganjak dari sini sejak tadi. Dia
tidak akan tenang membiarkan aku bersendirian. Mungkin Aqel beranggapan aku
akan mencederakan diriku sendiri. Namun yang pasti, Aqel sudah puas menyaksikan
deraian air mataku. Aku sudah biasa menangis di depan Aqel. Pasti Aqel
keletihan sangat sekarang. Tentu dia tidak selesa tidur dalam keadaan begini.
Aku tidak sampai hati membiarkan Aqel dalam keadaan begini. Terus sahaja jari
jemariku mengetuk tingkap cermin ini. Nampak Aqel tersentak lalu membuka
matanya. Terkejut juga Aqel tatkala terpandang aku. Bingkas dia bangun, lalu
mengembalikan kerusi keretanya pada kedudukan asalnya. Daun pintu ditolak.
“Masuklah ke dalam
kereta sekarang” arah Aqel sambil menutup mulutnya yang sedang menguap. Aku
menggeleng.
“Awak tidak mahu
balikkah?” soal Aqel terkebil – kebil menatapku.
“Bukan begitu.
Saya sudah telefon teksi tadi” jelasku.
“Masuklah
ke dalam kereta dahulu. Kita sama – sama tunggu teksi datang sini” tutur Aqel. Aku
patuh sahaja pada arahan Aqel.
“Bagaimana awak
sekarang?” soal Aqel sambil menatapku.
“Baik” sahutku.
“Risau juga
melihat keadaan awak tadi” tutur Aqel. Aku tersenyum sekilas.
“Marnie telefon
saya tadi, dia beritahu saya awak dalam bahaya” cerita Aqel. Patutlah Aqel
banyak kali menelefonku tadi. Dia juga setia menemaniku dari kejauhan. Rasanya
Aqel juga sudah dapat meneka punca keadaanku sebegini. Apatah lagi mata Aqel
menyaksikan sendiri aku bersama Haqem ketika dia datang menjemputku tadi. Namun
sehingga ke saat ini Aqel langsung tidak meminta penjelasanku tentang perkara
yang telah berlaku. Mungkin Aqel cukup berhati – hati, risau jikalau aku
tersinggung.
“Teksi sudah
sampai” tuturku lantas menolak pintu kereta.
“Awak tunggu di
sini, biar saya jumpa pemandu teksi itu” tutur Aqel menghalang langkahku.
Terkebil – kebil aku menatap Aqel yang sudah melangkah ke arah pemuda teksi
itu. Aku nampak Aqel berbual – bual dengan pemuda itu. Kemudian Aqel
mengeluarkan dompet daripada saku seluarnya. Aqel menghulurkan wang kertas
kepada lelaki itu. Barangkali Aqel sedang membayar kos perjalanan teksi itu ke
sini. Memang patut pun Aqel berbuat demikian. Sepatutnya Aqel memaklumkan
kepadaku yang dia akan balik bersamaku dan sanggup menungguku. Maka tidak perlulah
aku menghubungi teksi tadi. Namun persoalan lain pula yang timbul. Betulkah aku
dengan mudah akan bersetuju dengan pelawaan Aqel? Bukankah aku memang sudah
merancang untuk balik sendiri tanpa mahu menyusahkan Aqel. Aqel kembali ke
kereta ini. Kulihat teksi itu mula bergerak meninggalkan kawasan ini.
“Terasa lapar
pula. Kita balik sekarang” tutur Aqel. Aku mengangguk. Aqel terus sahaja
menghidupkan enjin keretanya. Peugeot RCZ Sports Coupe ini meluncur laju di
dada jalan. Rasa seronok tatkala Aqel membuka bumbung kereta ini buat pertama
kali ketika aku bersamanya. Suatu pengalaman baru buatku. Ada juga untungnya
bersaudara dengan Aqel. Setibanya di banglo ini, Mak Long menyambut kedatangan
kami. Tanpa sebarang curiga, Mak Long mengarahkan aku dan Aqel makan. Tidak tahu apa yang telah Aqel katakan kepada Mak Long dalam perbualan mereka tadi. Aku akur
sahaja. Aqel mendahului langkahku ke dapur. Nampak memang dia tidak mahu
melengahkan masa lagi. Makannya pun begitu berselera. Pasti dia sedang
kelaparan sangat sekarang. Timbul rasa kasihanku kepada Aqel. Andai aku tidak
membuatkan Aqel risau tadi, pasti dia tidak akan kelaparan sebegini. Secara
tidak langsung aku telah menderanya.
Usai makan, aku
membasuh pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Aqel sudah bergerak ke biliknya.
Kemudian aku pun melangkah ke bilik. Mandi dan solat Maghrib, seterusnya
menanti waktu solat Isyak. Hampir – hampir jam mencecah ke pukul 10.00 malam,
aku keluar bilik bergerak ke ruang tamu. Sempat bertegur sapa dengan Mak Long
sebelum Mak Long melangkah ke bilik untuk tidur. Maka bersendirianlah aku di
depan kaca tv ini. Malam ini merupakan episod terakhir Merlin Musim 5. Teruja
aku hendak mengetahui penyudah kisah magik ini. Dalam aku leka menonton babak
siri drama Merlin ini, Aqel muncul lalu melabuhkan duduknya di sofa turut sama
menonton drama ini. Kemunculan Aqel di sini langsung tidak kuendahkan. Aku
memang memberi tumpuan sepenuhnya kepada watak Merlin dan Arthur. Episod akhir
ini memang lebih banyak menumpukan pada dua watak utama ini. Melihat air mata
Merlin ketika dia berterus terang kepada Arthur tentang dirinya, aku turut
merasa sebak. Hatiku kian pilu tatkala menyaksikan kesungguhan Merlin cuba
menyelamatkan Arthur. Betapa hubungan persahabatan Merlin dan Arthur terlalu
istimewa. Akhirnya air mataku menitis tatkala Arthur menghembuskan nafas
terakhirnya. Aku dan Merlin bersatu dalam tangisan. Penyudah kisah yang tidak
menggembirakan aku. Mungkinkah ada lagi Merlin Musim 6 yang memunculkan Arthur
seperti yang dikatakan oleh naga sakti itu.
“Awak menangis”
tegur Aqel sambil menatapku. Laju sahaja aku mengelap sisa – sisa air mataku. Aku
tersenyum.
“Saya tidak
mahu Arthur mati” luahku beremosi. Aqel tersenyum lagi.
“Percayalah
Arthur akan kembali lagi” tutur Aqel yakin.
“Bagaimana awak
tahu?” soalku.
“Bukankah naga
itu kata suatu hari nanti Arthur akan muncul semula” tutur Aqel mengulas kata –
kata naga sakti itu. Aku terdiam. Andai muncul Merlin Musim 6, pasti kisah yang
berlaku sudah memasuki zaman moden. Tidak dapat aku bayangkan jalan cerita
seterusnya. Harap – harap Arthur dan Merlin akan bersama lagi.
“Saya mahu kita
jadi seperti Merlin dan Arthur” tutur Aqel. Kupandang Aqel. Kurang jelas
bicaranya itu. Apa sebenarnya hajat hati Aqel?
“Saya hendak
menjadi kawan baik awak” pinta Aqel mengejutkan aku.
“Kawan baik?”
soalku semula. Aqel mengangguk.
“Ya kawan baik
yang saling melindungi antara satu sama lain seperti Merlin dan Arthur” tutur
Aqel. Kupandang wajah Aqel lagi. Terharu aku mendengar bicara Aqel ini.
“Awak tidak
akan menyesal menjadi kawan baik saya?” soalku. Aqel mengangguk.
“Mengapa awak
tiba – tiba mahu menjadi kawan baik saya?” soalku lagi.
“Agar kita
tidak perlu berahsia antara satu sama lain” sahut Aqel buat aku terdiam. Banyak
sangatkah perkara yang ingin Aqel ketahui tentang aku?
“Awak ada apa –
apa pertanyakah?” soalku. Aqel menggeleng.
“Boleh saya
tanya awak?” soalku.
“Tanyalah”
sahut Aqel.
“Mengapa awak
berpisah dengan Rania?” soalku. Sudah sekian lama aku ingin mengajukan soalan
ini kepada Aqel. Aku yang sentiasa beranggapan Aqel seorang yang kejam, seringkali
pula menerima kebaikan Aqel. Manakala menganggap Rania sebagai mangsa yang
senasib denganku, namun banyak kali Rania bertindak kejam kepadaku. Aku jadi
keliru. Sungguh aku tidak mahu mengulangi kesilapanku seperti tanggapanku
terhadap Haqem selama ini.
“Saya tidak akan
jawab soalan ini” tutur Aqel. Aku tersenyum.
“Ternyata awak
belum bersedia untuk menjadi kawan baik saya” ujarku tersenyum sinis kepada
Aqel. Bingkas aku bangun. Aqel terpinga – pinga menatapku.
“Selamat malam,
Aqel” ujarku lantas meninggalkan Aqel yang termangu – mangu memerhatikan
langkahku meninggalkannya bersendirian di ruang tamu. Pasti benak Aqel sedang
memikirkan bicaraku. Barangkali Aqel masih mahu melindungi dirinya menyebabkan
dia tidak mampu menjawab pertanyaanku itu.
HAQEM melangkah
longlai memasuki banglo itu. Ditatapnya jam di tangannya. Hampir – hampir
mencecah ke pukul 12.00 tengah malam. Lama dia berada di Taman Perwira itu
mengimbau kenangan lalu. Namun tidak disangka dirinya boleh pula tertidur di
situ.
“Haqem....!”
suara garang Datin Sofea melaung namanya. Haqem berpaling ke arah Datin Sofea
yang sedang mengatur langkah mendekatinya dengan wajah yang menyinga. Tiba –
tiba sahaja tangan Datin Sofea singgah di pipi Aqel. Muka Aqel terpaling
seketika.
“Berani kamu
buat begini kepada mama...!” pekik Datin Sofea meluahkan rasa marah yang
ditahan – tahannya sejak siang tadi. Haqem hanya mendiamkan diri. Pipinya merah
merona akibat sentuhan kasar tangan Datin Sofea.
“Esok kamu
jumpa Bella. Minta maaf kepada Bella dan pujuk dia” arah Datin Sofea. Haqem
memberanikan dirinya melawan pandangan Datin Sofea. Dia menggeleng.
“Maafkan Qem,
mama. Qem tidak mampu melakukan semua itu” sahutnya.
“Apa!” Besar
anak mata Datin Sofea menatap Haqem. Sungguh tidak dijangkanya Haqem akan
berani berbicara sedemikian kepada dirinya.
“Kamu tidak
mahu jumpa Bella? Kamu tidak mahu pujuk Bella?” soal Datin Sofea bertalu –
talu. Haqem mengangguk. Tajam pandangan Datin Sofea menatap Haqem.
“Maaf mama, Qem
mahu berehat di bilik sekarang” tutur Haqem lalu melangkah meninggalkan Datin
Sofea terpinga – pinga di situ. Sukar untuk Datin Sofea percaya melihat
perubahan drastik tingkahlaku anak mudanya itu. Haqem sudah berani membantah
bicaranya. Perubahan yang tidak dapat diterimanya. Hati Datin Sofea tidak
tenang.
“Saya tidak
akan biarkan gadis itu bersama Haqem” tutur Datin Sofea berbicara sendiri.
Hi Permata Nilam,
ReplyDeleteRasanya dlm cerita ni, Lia kena buat keputusan yg bijak untuk menyelamatkan dirinya drpd Mama Haqem & Bella..... Hehehe!! Hope hear u soon....
jahatlah datin sofea.
ReplyDelete