BAB 38
Sekumpulan perempuan yang baru sahaja melewatiku berbisik
– bisik sambil menjeling – jeling ke arahku. Bagaikan mereka sedang
membicarakan tentang diriku. Tatkala aku melangkah ke ruang lobi masih ada mata
yang melontar pandangan sinis ke arahku. Aku jadi tertanya – tanya dengan
situasi di sekelilingku. Persis ada kesalahan berat yang telah aku lakukan. Malahan
ketika aku menapak masuk ke Kafeteria Chantek ini masih ada pandangan mata yang
tampak kurang senang mengekoriku. Aku jadi keliru dengan situasi ini. Namun
akhirnya dengan hati berat aku paksa diri agar tidak menghiraukan jelingan dan
bisikan – bisikan sinis yang jelasnya dilontar kepadaku.
“Assalamualaikum.... Pesanan?” soal Zamri tersenyum.
“Saya hendak dua nasi kosong dan tom yam campur. Air jus
epal hijau ya” pintaku. Zamri mengangguk lalu mencatat dalam buku kecil itu.
“Itu saja?” soal Zamri lagi. Aku mengangguk. Hendak pesan
air minuman untuk Marnie, namun aku tidak mengetahui minuman kegemarannya.
“Cuba awak tengok saya betul – betul, ada yang pelikkah?”
soalku meminta pendapat Zamri. Zamri menatapku seketika. Kemudian dia geleng
kepala.
“Yang saya tengok Cik Lia bertambah cantik” tutur Zamri
bercanda mengusikku.
“Hey.... awak ini! Saya cakap serius tahu”
tuturku geram. Zamri tersenyum lagi.
“Pedulikan pandangan mereka Cik Lia. Mereka itu
sebenarnya iri hati dengan Cik Lia” tutur Zamri buat aku bertambah hairan.
“Iri hati dengan saya? Apa yang saya ada sehingga mereka
berperasaan sedemikian? Hey... rasanya tidaklah” tingkahku tidak bersetuju
dengan bicara Zamri.
“Mereka cemburu sebab Cik Lia ada tunang dan kawan lelaki
yang hebat” tutur Zamri mengarah fikiranku kepada Aqel dan Haqem.
“Saya pergi dahulu Cik Lia. Sebentar lagi pesanan Cik Lia
akan dihidangkan” tutur Zamri mengejutkan aku. Zamri sudah beredar meninggalkan
aku. Aku kembali memikirkan bicara Zamri sebentar tadi. Serta – merta aku
teringat pada ugutan yang pernah keluar dari mulut Rania tempoh hari. Mungkin
Rania sudah bertindak dengan menyebarkan sesuatu yang kurang elok tentang
diriku. Rasanya Rania sudah meracuni fikiran sebilangan warga KDUT. Barangkali
Zamri mengetahui perkara ini, namun tidak mahu berkongsi cerita denganku.
Selalunya cerita – cerita hangat cepat tersebar di sini. Aku melepaskan
keluhanku.
“Lama sudah awak tunggu?” soal Marnie yang nampak
tercungap – cungap. Mungkin baru menamatkan lariannya. Marnie terus sahaja
melabuhkan duduknya bertentangan denganku.
“Reka mana?” soalku. Sepatutnya Marnie muncul bersama
Reka kerana kami bertiga sudah berjanji untuk menikmati hidangan tengah hari
bersama – sama.
“Dia tidak dapat datang. Penggambarannya belum habis
lagi” jelas Marnie. Aku mengangguk faham.
“Saya sudah pesan nasi dan tom yam untuk awak. Air yang
awak mahu lupa saya hendak tanya awak tadi, jadi saya tidak memesannya untuk
awak” tuturku.
“Tidak apa, sekejap lagi saya pesan” sahut Marnie sambil
membetulkan posisi duduknya. Aku dan Marnie berpandangan. Mungkin aku boleh
mendapatkan penjelasan daripada Marnie memandangkan dia lebih banyak tahu isu –
isu semasa yang berlaku di KDUT ini.
“Awak ada dengar apa - apa berita terkini yang berlaku di
sini?” soalku tidak mahu membuang masa. Berkerut dahi Marnie menatapku.
“Awak ingat saya ini wartawankah” sahut Marnie buat aku
tergelak.
“Bukankah awak yang selalunya mengetahui berita hangat
yang berlaku di KDUT ini” tuturku mengingatkannya tentang kenyataan itu. Marnie
tersengih panjang. Zamri datang menghidangkan menu yang kupesan sebentar tadi.
“Terima kasih” tuturku.
“Beri saya air milo ais ya” pesan Marnie. Zamri
mengangguk lalu beredar.
“Awak makanlah dahulu, nanti kalau saya cerita hilang
pula selera awak” tutur Marnie buat aku tertanya – tanya. Kutatap wajah Marnie.
“Perkara buruk tentang saya, bukan?” tekaku tidak mahu
menangguhkannya lagi.
“Waktu makan saya tidak mahu bercakap tentang perkara
yang tidak menggembirakan” sahut Marnie. Aku diam. Bicara Marnie sudah
menjelaskan bahawa ada sesuatu yang berkaitan dengan diriku sedang berlaku di
sini sekarang. Aku rasa berdebar – debar. Seleraku terus sahaja hilang.
“Makanlah...” arah Marnie. Dia sudah memulakan suapan
pertamanya. Aku masih menatap nasi di pingganku. Fikiranku berkecemuk.
“Awak tidak mahu makankah?” soal Marnie sambil menatapku.
Beberapa kali Marnie menyuap, barulah aku memulakan suapan pertamaku. Rasa
keras sahaja nasi yang kukunyah dan tawar kuah sup tom yam yang kuhirup ini.
“Bercinta dengan lelaki hebat memang cabarannya pun hebat
juga” tutur Marnie berkias – kias. Kutatap Marnie yang nampak tenang dan masih tidak
mahu berterus terang kepadaku. Sudah pasti Marnie sedang memperkatakan tentang
aku dan Aqel, malah turut melibatkan Haqem.
“Makanlah nanti kita sambung berbual” tutur Marnie
meneruskan suapannya. Kukuis - kuis nasi di pingganku. Memang seleraku sudah
terbantut ketika ini.
“Jikalau kalian hendak tahu perempuan itulah yang ada
hati kepada Encik Haqem walaupun sudah bertunang dengan Encik Aqel” suara
berbisik namun jelas di telingaku. Serentak aku dan Marnie berpaling ke arah
suara itu. Sekumpulan perempuan bersebelahan meja dengan kami sedang melontar
pandangan sinis ke arahku.
“Hey.... teruknya dia...” ujar seorang lagi memberikan
tindak balasnya.
“Sudahlah rampas Encik Aqel daripada Cik Rania, sekarang
ada hati pula hendak memikat Encik Haqem. Memang perempuan tidak tahu malu...”
tokok satu suara berbicara sinis memperkatakan tentangku.
“Jangan pedulikan kata – kata mereka. Mereka itu kawan –
kawan Rania yang ada hasad dengki yang tinggi terhadap awak” tutur Marnie cuba
memujukku. Aku tersenyum tawar memandang Marnie. Memang aku tersinggung
mendengar bicara mereka itu.
“Cepat habiskan nasi awak itu” arah Marnie mahu
mengajakku segera beredar dari sini. Suara – suara sinis berbisik mengutukku
masih kedengaran.
“Saya sudah tidak ada selera untuk makan” tuturku kepada
Marnie.
“Mari kita pergi sekarang” ajak Marnie mendahuluiku
bangkit dari duduk. Aku dan Marnie terus sahaja melangkah. Langkah Marnie
terhenti di hadapan sekumpulan perempuan tadi.
“Jikalau kalian berniat mahu bekerja lama di sini, saya
nasihatkan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata – kata. Saya boleh
memaklumkan kepada Encik Aqel yang kalian telah menyebarkan fitnah terhadap
tunangnya. Kalian perlu ingat Encik Aqel akan lakukan apa sahaja untuk
melindungi orang yang dicintainya. Jadi kalian mesti berhati – hati sekarang”
tegas Marnie membuatkan sekumpulan perempuan itu terpinga – pinga. Marnie
menyambung langkahnya mendekatiku dengan senyuman yang terukir di bibirnya.
“Puas hati saya, Lia” tuturnya berbisik kepadaku, lantas
menarik tanganku membawa aku beredar dari situ. Aku dan Marnie beriringan
melangkah. Masih ada pandangan sinis yang menatapku. Situasi ini turut disedari
oleh Marnie, namun Marnie tidak mahu mengulasnya. Pasti Marnie tidak mahu
menambah bebanan perasaanku.
“Rania mesti sudah menyebarkan cerita yang bukan – bukan
tentang awak” tutur Marnie. Kupandang wajah Marnie. Aku juga berpendapat
sedemikian. Sejelasnya, hanya Rania yang tidak suka kewujudanku di sini.
“Awak tidak perlu risau kerana semua ini hanya untuk
sementara waktu sahaja. Saya tetap percayakan awak, Lia” tutur Marnie
bersungguh – sungguh.
“Terima kasih, Mar” tuturku sebak. Marnie tersenyum.
“Awak harus ingat menjadi milik Encik Aqel mahupun Encik
Haqem bukan sesuatu yang mudah. Ramai sangat orang yang akan dengki kepada
awak. Harus diingat musah utama awak ialah Rania. Dia akan lakukan apa sahaja
bagi memisahkan awak dengan Encik Aqel. Saya harap awak akan sabar, tahan ujian
dan tidak mudah berputus asa” nasihat Marnie panjang berjela.
Aku menelan liur pahitku. Mahu sahaja aku menyangkal
bicara Marnie bahawasanya semua orang di sini telah tertipu olehku dan Aqel.
Rania dan kawan – kawannya tidak harus memusuhiku lantaran aku tidak pernah
merampas Aqel daripada Rania. Rasa bersalah kepada Marnie yang telah tertipu.
Aku dan Marnie melangkah masuk ke bilik operasiku. Langkahku dan Marnie
serentak terhenti. Pandangan kami melekat pada gadis yang sedang duduk di sofa
sedang beradu pandangan denganku.
“Cik Bella...” nama itu meniti di bibir Marnie. Aku
berpaling menatap Marnie. Ternyata Marnie mengenali gadis ini.
“Awak Lia?” soalnya sambil terus – terusan menatapku.
Laju aku mengangguk.
“Saya ada hal hendak cakap dengan awak” ujarnya serius.
Pandangannya beralih menatap Marnie. Kuamati wajah gadis ini. Baru aku ingat
bahawasannya gadis inilah yang aku nampak bersama Haqem pada majlis makan malam
KDUT.
“Sila tinggalkan kami berdua” perintahnya. Marnie
menatapku. Laju aku mengangguk.
“Bolehkah?” soal Marnie berbisik. Marnie bimbang mahu
meninggalkan aku berdua – duaan dengan gadis ini.
“Jangan risau saya tidak akan apa – apa” tuturku memberi
jaminan kepadanya.
“Hati – hati dengan dia. Mungkin dia juga seperti Rania”
bisik Marnie mengingatkan aku agar mengambil langkah berjaga – jaga. Sebetulnya
Marnie juga ingin menyatakan betapa gadis ini segarang Rania.
“Awak boleh tinggalkan kami berdua sekarang” suara gadis
ini bernada keras.
“Awak pergilah dahulu” arahku kepada Marnie. Marnie
melepaskan keluhannya. Dalam keadaan terpaksa Marnie terpaksa meninggalkan aku.
Kelibat Marnie hilang di sebalik pintu. Aku bergerak mendekati gadis ini. Oh...
Bella nama gadis ini! Lantas melabuhkan dudukku di sofa sedikit bertentangan
dengannya. Aku menghulurkan tangan kepadanya tanda salam perkenalan kami, namun
tidak bersambut. Bella hanya melemparkan jelingannya kepadaku.
“Memandangkan syarikat ini juga milik Haqem tunang saya,
maka saya tidak mahu minta maaf kepada awak kerana masuk ke bilik ini tanpa
pengetahuan awak. Saya rasa saya tidak perlukan keizinan awak. Cuma saya kurang
senang sebab terpaksa menunggu lama kemunculan awak” tuturnya angkuh.
“Maafkan saya sebab membuatkan awak terpaksa menunggu
saya” ujarku tenang.
“Saya juga tidak mahu melengahkan masa saya. Terus terang
saya katakan kedatangan saya ke sini untuk memberi peringatan kepada awak” tuturnya
serius.
“Peringatan kepada saya? Maksud Cik Bella” soalku semula.
“Saya tidak suka
awak rapat dengan Haqem” tegasnya.
“Cik Bella tidak perlu risau. Saya dan Encik Haqem
bukannya ada apa – apa hubungan pun selain antara pekerja dengan majikan. Untuk
pengetahuan Cik Bella, sayapun sudah bertunang dengan Encik Aqel. Kalau Cik
Bella pernah dengar cerita – cerita yang nampak saya bersama Encik Haqem, semua
itu hanyalah kebetulan. Cik Bella sendirikan tahu Encik Haqem berkawan rapat
dengan Encik Aqel. Jadi adakalanya kami bertiga akan keluar makan bersama” jelasku
berjela. Gadis ini tersenyum sinis kepadaku. Barangkali masih meragui bicaraku.
“Saya tidak mahu mengalami nasib malang seperti yang
menimpa Rania. Saya juga tidak mudah percaya kepada orang lain. Kalau awak
boleh rampas Aqel daripada Rania, tidak mustahil juga awak boleh berpaling
tadah kepada Haqem” tutur gadis ini sewenangnya melemparkan tuduhan berat
kepadaku. Seburuk itukah dia menilai diriku?
“Saya sudah biasa berhadapan perempuan murahan seperti
awak” tuturnya lagi.
“Cik Bella....” tegurku. Terasa membahang wajahku
mendengar kata – kata kesat yang baru sahaja keluar dari mulutnya itu.
“Awak marah saya kata awak perempuan murahan?” soalnya
tersenyum sinis. Aku menggetap bibir menahan rasa kecewaku dengan sikap gadis
ini. Kusabarkan diri. Aku tidak mahu bersikap terburu – buru persis dirinya.
“Perempuan yang merampas kekasih orang lain memang
perempuan yang tidak bermaruah. Apatah lagi dalam masa yang sama bersama lelaki
yang lain pula. Boleh dikatakan setaraf dengan perempuan jalanan yang menjual
dirinya kepada mana – mana lelaki yang mahukannya”
“Cik Bella...!” Tidak rela aku mendengar tuduhan kejam
itu dilemparkan kepadaku. Dia menatapku tanpa perasaan bersalah.
“Saya rasa cukup setakat di sini saja perbincangan kita.
Mohon Cik Bella pergi sekarang” tuturku tidak mahu terus berhadapan dengan
gadis ini.
“Awak mahu halau saya?” soalnya radang.
“Tiada perkara yang perlu saya bincang dengan Cik Bella
lagi. Saya juga tidak tahan berhadapan dengan perempuan yang cemburu buta
seperti Cik Bella” tuturku geram. Benteng kesabaranku kian menipis.
“Apa, awak kata saya cemburu buta?” soalnya garang. Aku
mengangguk. Tidak mahu menafikannya lagi.
“Saya risau kalau saya bercakap benar, Cik Bella akan
bertambah cemburu kepada saya lagi dan akhirnya perasaan itu memakan diri Cik
Bella sendiri” jelasku.
“Apa maksud awak? Awak memang ada hati kepada Haqem?”
bertalu – talu persoalan itu diajukan kepadaku.
“Persoalan ini selayaknya Encik Haqem yang jawab sendiri.
Sila tanya kepada Encik Haqem” arahku tenang. Gadis ini mendengus kasar. Tajam
anak matanya menatapku.
“Jadi awak memang ada hubungan dengan Haqem?” soalnya
garang.
“Saya tidak berminat mengulangi kisah lalu” sahutku
memaksa dirinya berfikir. Memang aku mahu gadis ini memikirkan sedalamnya
bicaraku ini. Aku mahu memberi pengajaran kepada gadis sombong seperti dirinya.
“Kisah lalu? Apa maksud awak?” soalnya bertalu – talu.
Aku hanya tersenyum menatapnya yang kelihatan cemas tika ini. Aku dan Bella
beradu pandangan.
“Awak buat apa di sini?” suara lelaki berkumandang di
bilik ini. Serentak aku dan Bella mengalih pandangan ke arah suara itu. Haqem
terburu – buru melangkah ke arah kami. Marnie yang muncul kembali bersama Haqem
segera mendapatkan aku. Pasti Marnie telah memaklumkan kedatangan gadis ini
kepada Haqem.
“Awak tidak apa – apa, Lia?” soal Haqem menunjukkan
keprihatinan kepadaku. Tajam sahaja pandangan Bella menatap Haqem, kemudian
beralih kepadaku. Tidak puas hatinya mendengar pertanyaan Haqem itu.
“Saya baik – baik sahaja” sahutku tersenyum. Haqem
menarik nafas lega.
“Awak tidak perlu tanyakan keadaan dia. Dia tidak akan
mati di tangan saya” tutur Bella radang. Haqem melepaskan keluhan beratnya.
“Mari saya hantar awak balik” tutur Haqem seraya dengan
kasar menarik tangan Bella membawanya beredar dari bilik ini. Langkah Bella
terdorong mengekori langkah Haqem. Dia tiada pilihan selain beredar bersama
Haqem.
“Saya belum habis bincang dengan awak. Saya akan cari
awak lagi!” laung Bella memberi peringatan sebelum kelibatnya dan Haqem lenyap
di sebalik pintu. Aku melepaskan keluhanku. Kupandang Marnie. Laju sahaja
tangan Marnie menepuk – nepuk bahuku memintaku bersabar. Detik ini bertambah
lagi seorang perempuan yang memusuhiku lantaran seorang lelaki. Sungguh
kenyatan ini mengecewakan aku.
“Memang tidak masuk akal orang yang sudah bertunang
dituduh mahu merampas tunang dia. Pelik betul perangai Cik Bella itu” omel
Marnie tidak dapat menerimanya.
“Mungkin dia dengar cerita yang salah” ujarku berandaian
sendiri.
“Tidak lain tidak bukan mesti perbuatan Rania yang
berhati busuk itu” radang Marnie tidak puas hati. Aku hanya mendiamkan diri. Bicara
Marnie ada benarnya. Rania sendiri pernah memberi peringatan kepadaku. Kali ini
dia menggunakan orang lain untuk menyakiti aku.
“Awak berehatlah ya. Kalau ada apa – apa telefon saya”
pesan Marnie sebelum melangkah meninggalkan aku. Aku hanya mengangguk.
Kusandarkan tubuhku di kerusi empuk ini, lantas memejamkan mataku. Cuba merawat
perasaanku yang tersinggung dengan kata – kata Bella sebentar tadi. Memang
menyakitkan hati mengingati kembali bicara kejamnya itu. Mentang – mentang dia
berharta sewenangnya dia menuduh aku perempuan murahan yang sentiasa terkejar –
kejar lelaki kaya. Nauzubillahminzalik....!
Skrin telefonku menyala. Telefonku yang berada pada mod
senyap memperlihatkan ada mesej yang baru kuterima. Kupandang seketika. Lambat
– lambat tanganku mencapainya.
~ Minta maaf
banyak – banyak atas perbuatan Bella tadi. Saya janji perkara ini tidak akan
berulang lagi. Tolong jangan maklumkan perkara ini kepada Aqel ~
Mengapa perlu membabitkan Aqel? Aku mendengus bosan.
Haqem juga berprasangka persis Rania. Mereka ingat aku terlalu lemah sehingga
memerlukan pembelaan orang lain. Kuabaikan sahaja mesej daripada Haqem itu.
Tidak berminat aku mahu membalas mesej Haqem itu. Apatah lagi tindakan Bella
yang menghalang aku berhubung dengan Haqem. Andai kata gadis itu mengetahui
bahawa akulah kekasih pertama Haqem pasti hidupnya tidak akan tenteram. Aku
yakin Bella akan mengarahkan seorang pengintip mengekori setiap pergerakanku di
sini, maka tamatlah kebebasanku di KDUT ini.
“Awak suka gadis itukah?” soal Bella dengan pandangan
tajam menatap Haqem. Haqem hanya mendiamkan diri sambil fokus pada pemandunya. Tidak
mahu dia melayan kerenah gadis ini. Dalam fikirannya sekarang hanya memikirkan
tentang Lia. Risau jikalau Lia sedang bersusah hati mahupun terluka dengan kata
– kata Bella tadi.
“Apa yang awak kata kepada Lia tadi?” soal Haqem. Bella
mendengus kasar. Sakit hatinya melihat Haqem begitu prihatin terhadap gadis
itu.
“Awak belum menjawab pertanyaan saya lagi” tegas Bella. Haqem
masih membisu. Perasaan sakit hati Bella semakin menebal tatkala melihat reaksi
Haqem sedemikian.
“Gadis itukah yang membuatkan awak dingin dengan saya
selama ini?” soal Bella curiga. Senyap. Haqem nampak tenang – tenang sahaja
sedangkan Bella merasa seakan mahu terbakar dirinya dengan api kemarahannya
yang sedang menyala – nyala tika ini.
“Haqem, jangan berdiam diri! Saya mahu tahu tentang
perasaan awak terhadap gadis itu!” bentak Bella radang melihat diam Haqem yang
berpanjangan.
“Gadis itulah yang mahu saya lindungi selagi saya
bernyawa” sahut Haqem mula bersuara. Bella terus sahaja berpaling ke arah
Haqem.
“Gadis itukah kekasih pertama awak ketika di universiti dahulu?”
soal Bella mula mengerti. Haqem kembali mendiamkan dirinya. Padanya jawapan
yang diberikan tadi sangat jelas untuk Bella mentafsirkan siapa Lia di hatinya.
“Hantarkan saya ke rumah awak. Saya mahu jumpa Datin
Sofea sekarang juga” pinta Bella. Laju Haqem berpaling menatapnya.
“Mengapa tiba – tiba sahaja awak hendak jumpa mama?” soal
Haqem kurang senang dengan permintaan gadis ini. Dia dapat merasakan bagai ada
sesuatu yang ingin dilakukan oleh Bella. Bella tersenyum – senyum sendiri.
“Salahkah saya datang menziarahi bakal mak mertua saya?”
soal Bella dengan senyuman yang masih terukir di bibir. Haqem mendiamkan diri.
Betapa cuak hatinya mendengar bicara Bella itu. Nampak Bella yakin sangat akan
menjadi isterinya.
“Awak jangan sesekali memaklumkan kepada mama apa yang
telah awak lakukan hari ini” tutur Haqem memperingatkan Bella. Bella tersenyum
sinis.
“Mengapa? Awak risau mama awak tahu yang awak sekarang
bekerja sebumbung dengan bekas kekasih awak” tutur Bella sinis. Haqem
melepaskan keluhannya. Bella tergelak sendiri.
“Awak seorang yang pengecut tetapi masih ada hati hendak
memikat kekasih lama” lirih sahaja suara Bella memperli Haqem.Terasa tercabar
diri Haqem mendengar kata – kata Bella itu.
“Jikalau awak rasa
masih mahu bersama saya, lebih baik awak diamkan diri sahaja” tutur Haqem
memberi amaran. Bella mendengus kasar. Sakit hati diugut sedemikian.
“Jadi awak mahu saya mendiamkan diri sahaja dan biarkan
awak ada hubungan dengan gadis itu di belakang saya” bentak Bella radang.
Permintaan Haqem benar – benar menyakitkan hatinya.
“Awak jangan ingat andai kita berpisah, Datin Sofea akan
berdiam diri. Datin Sofea tidak akan semudahnya biarkan saya pergi dan tidak
semudahnya juga awak akan dapat bersama semula dengan kekasih lama awak itu.
Keluarga awak perlukan saya dan keluaga saya perlukan awak. Pernikahan kita
harus dilangsungkan demi empayar perniagaan keluarga kita. Awak mesti sedar
tentang hakikat ini, Haqem” tutur Bella mengingatkan Haqem tentang kenyataan
itu. Haqem terdiam panjang. Hakikat itulah yang menyebabkan dia terpaksa
menerima kehadiran Bella.
“Saya nasihatkan awak agar berfikir panjang sebelum
bertindak. Kalau awak rasa mahu melindungi Lia, lebih baik awak jauhi dia”
tutur Bella memberi amaran keras kepada Haqem. Haqem melepaskan keluhannya.
Sekarang Bella sudah mengetahui nama gadis yang disayangi dan dikasihi oleh
Haqem itu.
“Saya tidak akan
apa – apakan Lia, tetapi saya yakin
Datin Sofea tidak akan berdiam diri” tutur Bella memberi peringatan lagi. Peristiwa
lalu terimbau kembali. Di mata Haqem sudah terbayang ketegasan mamanya menghalang
percintaan mereka beberapa tahun yang lalu. Haqem yakin mamanya tidak pernah
berubah sikap terhadap gadis yang dicintainya itu. Datin Sofea tidak akan dapat
menerima kehadiran Lia dalam hidupnya. Andai Lia menerima kembali dirinya, maka
Haqem terpaksa membuat pilihan.
“Andai Lia menerima saya kembali, saya akan bernikah
dengannya” suara Haqem memecah kesepian. Bella terlopong mendengar bicara Haqem
itu. Jelasnya Haqem bersungguh – sungguh menuturkan bicaranya itu.
“Awak.....” Bella tidak mampu meneruskan bicaranya. Tiba
– tiba sahaja lidahnya kelu untuk terus berbicara panjang dengan Haqem. Namun
yang pasti Haqem nampak nekad kali ini. Bagaikan Haqem juga sudah bersedia
menghadapi tentangan Datin Sofea.
Sebaik sahaja kereta Haqem berhenti di halaman, Bella
terus sahaja meluru keluar meninggalkan Haqem. Tidak sempat Haqem hendak
menahan langkah gadis itu lagi. Haqem hanya sempat menatap kelibat Bella
sekilas pandang sebelum hilang di sebalik daun pintu itu.
“Mama....!” laung Bella lalu meluru ke arah Datin Sofea.
Tubuh Datin Sofea dipeluk erat. Bella mula teresak - esak menangis. Datin Sofea terpinga – pinga
menyaksikan tingkahlaku gadis ini.
“Mengapa Bella? Haqem sakitkan hati kamukah?” soal Datin
Sofea bertalu – talu. Mendengar nama Haqem disebut, tangisan Bella kian
nyaring.
“Tidak usah menangis lagi. Cuba kamu cakap elok – elok
kepada mama” arah Datin Sofea cuba menenangkan gadis ini. Gusar juga hatinya
melihat keadaan Bella tika ini. Selalunya Bella datang menemuinya dengan
senyuman dan gelak tawa. Bella sentiasa riang bersamanya.
“Lia....” nama gadis itu meniti di bibirnya.
“Lia?” Berkerut dahi Datin Sofea memikirkan nama gadis
itu. Datin Sofea bagaikan sudah terlupa tentang nama itu. Nama yang sudah
bertahun – tahun tidak didengarnya.
“Lia.... Apa...!! Nama gadis itu Lia?” soal Datin Sofea
dengan anak mata yang terbuka luas menatap Bella. Bella menagangguk.
“Haqem sudah jumpa kekasih lamanya” jelas Bella tersedu –
sedu menahan esakannya. Wajah Datin Sofea serta merta merah merona. Anak
matanya tampak garang. Sungguh dia tidak senang hati mendengar kenyataan Bella
ini.
“Di mana gadis itu sekarang?” soal Datin Sofea rasa tidak
sabar – sabar menemui gadis itu. Bagaikan mahu melakukan perhitungan terakhir
dengan gadis itu.
“Dia bekerja di KDUT” sahut Bella.
“Apa....!!! Dia bekerja bersama Haqem?” soal Datin Sofea
meminta kepastian. Laju Bella mengangguk. Peringatan Haqem tidak diendahkannya.
Senang hatinya melihat Datin Sofea menyebelahinya.
“Beraninya dia....” Datin Sofea menggigit bibirnya
sehingga berbekas menahan rasa geramnya.
“Mana Haqem?” soalnya.
“Haqem sudah pergi” sahut Bella. Wajah Datin Sofea
menyinga. Laju sahaja dia bergerak ke arah telefon, lalu gagang telefon
diangkat. Jari – jemarinya lincah menekan satu – persatu nombor telefon Haqem.
Seketika Datin Sofea menanti panggilan itu dijawab. Dia melepaskan keluhannya
tatkala panggilannya itu tidak dijawab oleh Haqem. Dilakukannya sekali lagi.
Perkara yang sama, Haqem masih tidak mahu menjawab panggilan itu. Telefon
bimbit itu hanya dipandang sekilas oleh Haqem. Dia menulikan telinganya. Dia
sudah nekad tidak akan menjawab panggilan telefon itu. Datin Sofea mendengus
kasar.
“Haqem sudah berani ketepikan mama...!” bentak Datin
Sofea meradang.
“Haqem kata dia mahu bernikah dengan Lia” ujar Bella
menambah radang Datin Sofea.
“Dia kata begitu kepada kamu?” soal Datin Sofea dengan
perasaan membara. Bella mengangguk lagi.
“Mari kita pergi jumpa Haqem sekarang” ujar Datin Sofea
seraya menarik tangan Bella. Bergegas Datin Sofea dan Bella melangkah ke muka pintu.
Langsung tidak mahu menangguhkan perkara itu.
“Pak Osman hantar saya ke KDUT sekarang” pinta Datin
Sofea separuh melaung.
“Baiklah datin” sahut Pak Osman menikus. Kecut hatinya
melihat Datin Sofea yang sedang meradang ini.
“LIA.......!” Aku yang sedang leka menyusun fail – fail
di kabinet kaca ini terus sahaja berpaling ke muka pintu. Haqem terkocoh –
kocoh melangkah ke arahku.
“Apa hal ini, Haqem?” soalku cemas menyaksikan gelagat
Haqem.
“Mari ikut saya” Haqem terus sahaja menarik tanganku
membawaku beredar dari bilik ini buat aku terkedu.
“Mengapa ini? Awak hendak bawa saya ke mana?” soalku
bingung. Haqem tidak mengendahkan pertanyaanku. Sebaliknya terus menarik
tanganku ke muka pintu.
“Lepaskan tangan saya” arahku tidak senang dengan
perbuatan Haqem. Seketika aku dan Haqem beradu pandangan.
“Nanti saya jelaskan” ujar Haqem berharap aku patuh
sahaja pada bicaranya.
“Cepat kita pergi sekarang dari sini” ajak Haqem. Kutatap
wajah Haqem.
“Tolonglah....” rayu Haqem. Ada kesungguhan terpamer di
wajah Haqem buat aku semakin tertanya – tanya.
“Saya hendak ambil beg galas saya dahulu” tuturku. Aku
bergegas ke mejaku lalu mencapai beg galasku yang terletak di atas kerusi.
Kemudian mengekori langkah pantas Haqem. Sekelip mata sahaja aku sudah berada
di dalam kereta bersama Haqem. Tanpa melengahkan masa Haqem terus sahaja
memecut keretanya meninggalkan perkarangan KDUT.
“Tunang awak....” tuturku lantas berpaling ke arah Haqem
tatkala bertembung dengan kereta BMW hitam itu. Kelihatan ada seorang perempuan
duduk di sebelah Bella.
“Tunang awak tadi” ujarku mengulangi bicaraku tadi.
Mungkin Haqem tidak nampak kedatangan mereka. Haqem hanya mendiamkan diri.
Kereta yang dipandunya ini semakin meluncur laju jauh meninggalkan perkarangan
KDUT. Melihat Haqem tidak mahu berbicara, aku terus sahaja mendiamkan diri.
Kedatangan Datin Sofea dan Bella ke KDUT menarik
perhatian ramai. Masing – masing tidak boleh duduk tenang. Betapa mereka gusar
apatah lagi melihat wajah serius Datin Sofea. Datin Sofea dan Bella terus
sahaja melangkah ke bilik pengurusan kostum. Hajat di hati untuk menyerang
gadis itu. Namun hajat mereka tidak kesampaian tatkala gadis itu tidak ditemui
di situ. Kemudian Datin Sofea dan Bella terus sahaja melangkah ke pejabat
Haqem.
“Aaa.... Datin Sofea” Marnie menggelabah menyambut
kunjungan mengejut Datin Sofea ke situ. Hatinya berdebar – debar.
“Mana Haqem.?” soal Datin Sofea garang.
“Encik Haqem belum balik lagi selepas hantar Cik Bella
tadi” jelas Marnie. Tajam pandangan Datin Sofea menatap Marnie.
“Awak berbohong dengan saya?” soalnya sinis.
“Betul datin saya tidak bohong” tutur Marnie cuba
meyakinkan Datin Sofea.
“Lia mana?” soal Bella pula.
“Di bilik dia” sahut Marnie begitu yakin.
“Mana dia ada di bilik itu” sahut Datin Sofea geram.
“Mesti dia keluar dengan Haqem, mama” tutur Bella membuat
andaian.
“Awak telefon Haqem sekarang. Tanya dia berada di mana”
arah Datin Sofea dengan suara yang tinggi. Bergegar kepala lutut Marnie
berhadapan dengan Datin Sofea saat ini. Marnie patuh sahaja dengan arahan Datin
Sofea. Didailnya nombor telefon Haqem beberapa kali.
“Maaf datin, Encik Haqem tidak jawab panggilan ini” tutur
Marnie berhati – hati.
“Haqem tidak boleh buat mama begini...!!” jerit Datin
Sofea melempiaskan rasa marahnya sekali gus menyentakkan Marnie. Bella menepuk
– nepuk lembut belakang Datin Sofea cuba menenangkan perempuan ini. Marnie
mengurut – urut dadanya. Terkejut sangat mendengar jeritan Datin Sofea.
“Haqem mesti bersama Lia sekarang” tutur Bella turut
radang. Datin Sofea mendengus lagi. Wajahnya merah merona menahan kemarahannya.
“Haqem.... siap kamu kalau mama jumpa kamu dengan gadis
itu nanti....!!!” jerit Datin Sofea bagaikan orang terkena histeria. Marnie kaget
menyaksikan kemarahan Datin Sofea itu. Gegendang telinganya berdesing – desing
diterjah oleh suara nyaring Datin Sofea sebentar tadi. Datin Sofea terus sahaja
melangkah meninggalkan pejabat Haqem membuat Bella terkejar – kejar langkah
bakal mak mertuanya itu. Marnie menghela nafas lega setelah kelibat Datin Sofea
dan Bella tidak kelihatan lagi. Dia menelan liur. Sungguh menakutkan menyaksikan
kemarahan Datin Sofea itu.
“Oh...., Lia...” keluh Marnie tatkala teringat kepada gadis
itu. Laju sahaja jari – jemarinya menekan sebaris nombor telefon itu. Tidak lama
kemudian kedengaran suara lelaki memberi salam menjawab panggilannya itu.
“Encik Aqel.... Lia dalam bahaya sekarang” tuturnya memaklumkan
perkara itu kepada pemuda itu.
Hi pertains nilam,
ReplyDeleteHope ur are fine there..... Thanks for the story..
me 2....tqvm saluja.
Deleteingin tahu tindakan aqel. hehehe
ReplyDeleteNak lagi :)