Sunday 6 January 2013

NamaKu Bukan Flora ....36





BAB 36

“Lia......!” Aku tersentak mendengar suara yang begitu ceria menyapaku. Lantas aku melontar pandanganku ke muka pintu. Marnie tersenyum lebar sedang melangkah ke arahku. Aduh.... peminat setia Aqel sudah sampai!

“Hey.... kenapa dengan dahi dan bibir awak ini, Lia?” soal Marnie terlopong menatapku. Aku tersenyum sekilas.
“Saya tergelincir di bilik air” jelasku meneruskan pembohonganku. Berkerut dahi Marnie. Direnungnya wajahku.

“Betulkah ini, Lia?” soalnya sangsi. Aku mengangguk.

“Macam tidak percaya saja aku. Jangan – jangan semua ini perbuatan kejam Rania” teka Marnie. Aku mengunci mulutku. Tiada mahu memberikan tindak balas pada bicara Marnie ini. Malas mahu memanjang – manjangkan cerita. Paling utama tidak suka cerita ini akan heboh dalam kalangan warga KDUT.

“Apa yang awak bawa ini?” soalku mengubah topik perbualan. Marnie tersenyum meleret memandangku.

“Just for you and Encik Aqel. Tahniah atas pertunangan kamu berdua. Happy sangat – sangat” tutur Marnie begitu teruja sambil menghulurkan kotak cantik di tangannya. Aku menatap Marnie. Berat saja hatiku mahu menerimanya memandangkan perkara tersebut tidak pernah terjadi. Maka aku tidak layak menerimanya.

“Ambillah....” arah Marnie. Dengan berat hati aku menyambut bungkusan yang dihulurkan kepadaku.

“Terima kasih” tuturku lemah dan rasa bersalah yang menggunung. Aku tidak dapat membayangkan andai Marnie mengetahui kisah sebenarnya.

“Sorry terlewat sehari jumpa awak, Lia. Semalam saya ambil cuti temankan mak  balik kampung” tutur Marnie menjelaskan ketidakmunculannya semalam. Memang menjadi persoalanku.

“Selepas majlis malam itu ke mana awak dan Encik Aqel menghilangkan diri? Telefon awak pun tidak diangkat. Tercari – cari juga saya dan Reka ke mana awak pergi” tutur Marnie lagi.

“Sorry.... saya ada hal sedikit hendak bincang dengan Encik Aqel” jelasku. Marnie tersenyum mengusik.

“Sudah bertunang masih hendak berencik – encik lagikah” tegur Marnie cuba mengenakan aku. Aku terdiam seketika.

“Mestilah. Urusan personal dengan kerja tidak boleh dicampuradukkan” tegasku. Marnie terus saja tergelak.

“Memang layak awak dan Encik Aqel memadu kasih asrama. Memang sebiji kepala otak kalian” tutur Marnie tergelak – gelak lagi. Aku mengetap bibir.

“Hulurkan tangan awak” pinta Marnie tiba – tiba. Aku menatap Marnie dengan dahi yang berkerut. Hairan dengan permintaannya itu.

“Untuk apa?” soalku.
“Cepatlah....” arah Marnie tidak sabar – sabar. Dia terus saja mencapai tanganku lalu ditatapnya. Tidak sempat aku bertindak. Kemudian pandangan matanya beralih ke wajahku.

“Mana cincin pertunangan awak?” soal Marnie mengejutkan aku. Aku terdiam seketika. Marnie masih menatapku buat aku jadi serba salah.

“Saya simpan di rumah. Tidak biasa pakai cincin” jelasku berbohong lagi. Marnie geleng – geleng kepala.

“Berat sangatkah cincin Encik Aqel beri pada awak? Awak tidak boleh buat macam itu tahu” tegur Marnie serius. Aku hanya membisukan diri. Sudah kematian akal untuk merencana cerita palsu. Marnie geleng – geleng kepala lagi. Nampak kesal.

“Awak wajib pakai cincin pertunangan itu, Lia” tegas Marnie mengingatkan sekaligus memberi tekanan baru padaku. Aku ada cincin tapi cincin itu sudah biasa kupakai malah langsung tidak menggambarkan cincin pertunangan mewah yang setaraf dengan kedudukan Aqel. Mustahil pula aku hendak beli cincin baru yang mahal. Aku tidak mahulah! Sesekali aku tidak sudi membazirkan duitku untuk menghidupkan terus pembohongan ini.

“Esok lusalah saya pakai” tuturku menjawab pandangan Marnie sekaligus memadamkan kekesalan gadis ini.

“Mesti pakai tahu” tutur Marnie sebelum melangkah meninggalkan aku. Kelibat Marnie hilang dari pandangan mataku. Aku menyandarkan tubuhku di kerusi sambil memejamkan mataku. Kulepaskan keluhan beratku. Rasa terbeban dengan pembohongan besar ini. Sayup – sayup aku mendengar bunyi derap langkah kian dekat. Kubuka mataku. Haqem sedang tersenyum mendekatiku. Kaget. Kehadiran Haqem ini mengejutkanku.

“Tidak sihatkah?” suara Haqem menyapaku. Aku geleng kepala. Beg kertas di tangannya diletakkan di atas meja di depanku.

“Pakaian awak semalam. Saya sendiri yang basuhnya untuk awak” ujar Haqem tersenyum. Aku tersentak.

“Oh.... sorry menyusahkan awak saja... Saya terlupa semalam. Thanks....” tuturku rasa bersalah. Haqem hanya tersenyum. 

"Bagaimana dengan awak? Masih sakit lagikah luka itu?" soal Haqem bertanyakan kecederaanku angkara perbuatan Rania semalam.

"Tidak sakit lagi. Ubat itu betul - betul mujarab" tuturku. Haqem tersenyum.

"Maksud saya ubat yang Aqel beli itu" tuturku melenyapkan senyuman yang terukir di bibir Haqem. Bukan niatku mahu menyinggung perasaannya namun itulah kenyataannya. Aku tidak sempat menggunakan ubat yang Haqem beli memandangkan ubat yang Aqel tinggalkan di meja solek begitu mujarab. Teringat aku masih berhutang dengan Haqem lantas aku mencapai dompetku. Not RM 50 sebanyak 6 keping kutarik keluar lalu kuhulur pada Haqem. Haqem terpinga – pinga menatapku.

“Saya bayar kos rawatan dan pakaian semalam” jelasku sekaligus mengingatkan Haqem pada perkara itu. Laju Haqem geleng kepala.

“Saya tolong ikhlas. Jadi awak tidak perlu bayar” ujar Haqem menolaknya.

“Saya tidak suka berhutang mahupun terhutang budi” luahku berterus – terang. Senyap. Pasti Haqem kurang senang dengan bicaraku. Haqem menatapku.

“Kalau macam itu awak belanja saya makan tengah hari ini. Selepas itu awak tidak ada hutang apa – apa dengan saya lagi” pinta Haqem. Senyap. Aku tidak terus memberikan jawapan pada permintaan Haqem itu. Aku perlu mempertimbangkannya terlebih dahulu.

“Awak boleh ajak Aqel sekali kalau awak tidak selesa berdua – duanya dengan saya. Lagipun sekarang awak sudah jadi tunang Aqel” tutur Haqem. Aqel sudah balik? Mengapa aku tidak bertembung dengannya di rumah tadi? Mungkin baru saja sampai.

“Tidak perlu Aqel pasti akan faham. Saya setuju makan tengah hari dengan awak tapi bagaimana pula dengan tunang awak” jelasku bersikap berhati - hati.

“Saya belum bertunang lagi” jelas Haqem. Aku tidak terkejut mendengar pengakuan Haqem. Kalau dia boleh berbohong mencintaiku suatu waktu dahulu maka tidak sukar juga baginya menafikan hubungannya dengan gadis itu. Dasar lelaki buaya memang suka menipu.

“Kalau macam itu rehat tengah hari nanti kita makan di Kafeteria Chantek. Awak tunggu saya di sana” arahku. Haqem mengangguk dan tersenyum. Suka benar hatinya dapat bertemu dengan gadis ini. Inilah peluang yang dinanti – nantikannya selama ini.

“Saya pasti akan tunggu awak. Okey kita jumpa rehat nanti. Saya pergi dulu” tutur Haqem meminta diri lalu mula mengatur langkah ke pintu meninggalkan aku. Aku menarik nafas dalam – dalam. Betulkah tindakanku ini? Apa yang aku lakukan hanyalah untuk membalas jasa Haqem semalam. Kutatap beg kertas di atas meja di depanku ini lantas menguaknya. Kelihatan kemeja yang kupakai semalam sudah dilipat kemas dan wangi. Kuketepikan beg kertas itu. Bukan kemahuanku Haqem bertindak sebaik itu. Cukup kalau Haqem menyerahkan balik kemeja ini tanpa membasuhnya.

Tepat pada waktu rehat, aku melangkah ke Kafeteria Chantek. Ternyata Haqem sudah berada di sini menanti kedatanganku. Aku mendapatkan Haqem di meja hujung sekali. Lantas melabuhkan punggung di kerusi bertentangan dengan kedudukan Haqem.

“Awak sudah buat pesanan?” soalku. Haqem geleng kepala.
“Saya tunggu awak” jelasnya. Laju saja tangan Haqem melambaikan ke arah pekerja lelaki itu. Oh.... Zamri!

“Assalamulaikum.... Encik Haqem, Cik Lia. Kita berjumpa lagi” tutur Zamri tersenyum sambil menganggukkan kepala. Aku tersenyum. Haqem menatap Zamri kemudian beralih kepadaku. Barangkali dia hairan melihat aku dan Zamri saling mengenali.

“Oh... tahniah atas pertunangan Cik Lia dengan Encik Aqel” tutur Zamri.
“Terima kasih. Panggil saya Lia tidak payah panggil cik” pintaku. Zamri hanya tersenyum. Haqem sekadar jadi pemerhati.

“Maaf ...pesanan apa ya?” soal Zamri bersedia untuk menerima pesanan makanan daripada Haqem. Haqem tersenyum.
“Saya mahu nasi paprik dan jus oren” pinta Haqem.

“Itu sajakah?” soalku. Haqem mengangguk. Selera Haqem masih seperti dahulu.
 “Saya mahu nasi ayam dan jus epal hijau ya” pintaku.

“Sekejap lagi pesanan akan dihidangkan. Terima kasih” tutur Zamri begitu bertatasusila. Aku dan Haqem tersenyum dan mengangguk. Zamri berlalu meneruskan tugasnya.

“Bagaimana awak kenal dia?” soal Haqem meminta penjelasan tentang perkenalanku dengan Zamri. Kupandang Haqem. Betulkah Haqem sudah lupa pada seraut wajah pemuda itu.

“Pemuda itulah yang pernah awak tengking” tuturku mengarah Haqem berfikir mengingati kejadian malang itu.

“Oh.... dia yang langgar awak di sini tempoh harikan” tutur Haqem. Ternyata Haqem sudah mengingati kejadian itu.

“Saya yang langgar dia” ujarku membetulkan bicara Haqem. Haqem terdiam. Senyap. Tidak banyak yang dapat aku dan Haqem bualkan saat ini. Perkara yang berlaku antara aku dengan Haqem menjadi penghalang untuk kami lebih mesra. Zamri muncul semula bersama hidangan yang dipesan tadi.

“Selamat menjamu selera” tutur Zamri mempersilakan aku dan Haqem menikmatinya.
“Terima kasih” tuturku mendahului Haqem. Zamri tersenyum lagi.

“Saya minta maaf pada awak atas tingkahlaku saya yang lepas” tutur Haqem sambil menatap Zamri membuatkan pemuda ini terpingga – pingga. Kupandang Haqem. Sedikit mengejutkan aku dengan tindakan Haqem ini. Namun cukup kusenangi. Menyedari dan menyesali kesilapan diri sendiri memang sikap yang terpuji.

“Hey.... bukan salah Encik Haqem. Tidak perlu minta maaflah” tutur Zamri segan dengan tindakan Haqem.

“Awak mesti maafkan dia. Kalau tidak dia tidak akan berselera makan” ujarku mengusik mereka. Zamri tergelak. Haqem turut tersenyum. Bahawasanya masih ada nilai mulia dalam diri Haqem yang kusedari sejak aku mengenali dirinya. 

“Kalau macam itu saya terimalah permohonan maaf Encik Haqem” tutur Zamri sambil tersenyum. Aku dan Haqem turut tersenyum.

“Saya mohon diri. Silalah makan” tutur Zamri mempersilakan lantas beredar meninggalkan aku dan Haqem. Senyap. Aku dan Haqem menatap menu pilihan masing – masing.

“Makanlah...” arahku lalu memulakan suapan pertamaku dengan kalimah Allah. Haqem juga mula menikmatinya. Seketika aku dan Haqem asyik melayan selera sendiri. Kali ini aku seakan memiliki kekuatan yang luar biasa menyebabkan aku begitu tenang berhadapan dengan Haqem. Barangkali sudah sampai masanya untuk aku menjadi sahabat Haqem.

“Mana cincin pertunangan kamu?” soal Haqem sambil menatap jariku. Aku tersentak. Namun cepat saja aku mempamerkan senyumanku.

“Saya simpan di rumah. Rasa sayang pula hendak pakai” tuturku ikut sesuka hatiku berbicara. Terasa persis alasan budak – budak pula.

“Cincin itu adalah simbolik yang menandakan awak sudah dimiliki. Sepatutnya awak pakai cincin itu” tutur Haqem memberi ulasan buat aku terdiam seketika.

“Cincin sekadar simbolik. Paling penting kesetiaan kita pada orang yang kita cintai. Tidak guna juga pakai cincin pertunangan setiap masa kalau tidak setia” tuturku meluahkan pendapatku. Serta merta reaksi wajah Haqem berubah. Barangkali Haqem ingat aku menyindir dirinya. Sumpah aku tidak terfikir ke arah itu.

“Lia.... maafkan saya” tutur Haqem. Kutatap wajah Haqem.

“Kalau awak hendak jadi kawan saya, awak wajib lupakan kisah lalu kita. Saya juga tidak mahu Aqel jadi serba salah pada awak” tuturku mengharapkan Haqem lebih memahami situasi sekarang. Walaupun pertunanganku dengan Aqel secara olok – olok namun aku mengharapkan Haqem akan mempercayainya juga.

“Lia.... betulkah awak ada perasaan cinta pada Aqel?” soal Haqem menyentakkanku.

“Kenapa awak tanya begini?” soalku cemas. Haqem mula mencurigai pertunanganku dengan Aqel. Haqem melepaskan keluhannya.

“Pertunangan awak dengan Aqel berlaku secara mengejut. Sejujurnya saya tidak percaya kalau awak dan Aqel sedang bercinta” tutur Haqem begitu yakin.

“Terus terang saya beritahu awak bahawa pertunangan saya dan Aqel memang atas kehendak keluarga kami. Saya dan Aqel buat masa ini belajar saling mengenali hati budi masing – masing. Tapi saya percaya jodoh yang ditentukan oleh keluarga adalah yang terbaik” tuturku tenang. Wah, hebat juga aku bermain dengan kata – kata! Kalau Aqel mendengar bicaraku ini pasti dia akan tersenyum sinis padaku. Tidak pun akan termuntah – muntah. Pedulikanlah! Paling penting Haqem tidak akan meragui pertunangan olok – olokku dengan Aqel.

“Awak mesti doakan kebahagiaan kami” pintaku. Haqem tersenyum tawar. 

“Walaupun saya tidak gembira dengan pertunangan ini namun saya akan mendoakan kebahagiaan awak dan Aqel. Pasti saya mahu melihat kawan karib saya dan gadis yang saya sayang hidup bahagia selamanya” tutur Haqem membuatkan aku terdiam. Betulkah Haqem masih menyayangiku? Ikhlaskah Haqem meluahkan perasaannya itu?

“Terima kasih Haqem” tuturku sambil memaksa diri tersenyum. Hakikatnya hatiku terusik juga mendengar bicara Haqem sebentar tadi. Salah Haqem juga kerana telah mempermainkan perasaanku. Kalau Haqem setia pada percintaan kami pasti aku dan Haqem sudah bersatu sekarang.

“Cepatlah habiskan nasi awak sebab saya tidak boleh duduk lama – lama di sini” arahku. Haqem menatapku. Sebetulnya aku tidak mahu meluangkan banyak masa bersama Haqem.

“Kecualilah awak hendak makan bersendirian di sini” tuturku memberi pilihan. Haqem geleng kepala. Kali ini laju saja suapan demi suapan dilontar ke dalam mulutnya. Secara tidak langsung aku telah menderanya. Kasihan Haqem. Tidak sampai sejam aku bersama Haqem. Usai saja melangsaikan kos makan tengah hari, aku dan Haqem beriringan meninggalkan Kafeteria Chantek. Banyak juga pandangan mata yang dilontarkan ke arahku dan Haqem. Namun aku tidak menghiraukannya. Begitu juga dengan Haqem. Sudah menjadi kelaziman sama ada Haqem mahupun Aqel, mereka memang sentiasa menjadi perhatian banyak mata. Tanpa diduga kami bertembung dengan Rania. Tajam pandangan Rania menatapku.

“Awak keluar dengan Haqem. Mana Aqel?” soal Rania sambil tersenyum sinis padaku. Tidak tahu sama ada senyuman yang dipamerkan itu untuk menunjukkan kegembiraannya lantaran aku tidak bersama kekasih hatinya ataupun kutukan kepadaku yang kononnya tidak setia pada Aqel. Aku menyepikan diri. Tidak tahu apa yang harus aku perkatakan padanya sedangkan hatiku masih bengkak atas perlakuannya terhadapku semalam. Memang aku rasa marah pada Rania dengan tindakannya menyerangku. Kalaulah aku pandai dalam bab bergaduh ini pasti aku tidak akan mematungkan diri saja. Sekurang – kurangnya aku mampu melindungi diri daripada serangan pukulan gadis ini.    

“Oh.... Rania... saya ada hal hendak jumpa awak” suara Haqem memecah kesepian. Haqem tersenyum menatap Rania yang nampak kehairanan.

“Apa halnya awak mahu jumpa saya?” soalnya tidak sabar – sabar.

“Nanti kita bincang. Jangan lupa datang ke pejabat saya nanti” ujar Haqem mengingatkan Rania. Rania hanya mengangguk. Kemudian menyambung langkahnya meninggalkan aku dan Haqem tanpa sempat memaklukmkan kepergiannya itu. Memang gadis ini tidak tahu beradap pada ketua jabatannya. Mungkin juga kerana aku bersama Haqem. Aku berpaling menatap Haqem.

“Mengapa Aqel berpisah dengan Rania?” soalku. Haqem kaget.
“Aqel tinggalkan dia” sahut Haqem. Aku melepaskan keluhanku. Tidak terkejut mendengar kenyataan yang sudah aku ketahui itu.

“Sebabnya saya kurang jelas. Awak mesti tanya Aqel sendiri” tutur Haqem menyambung bicaranya. Aku tersenyum sinis pada Haqem.

“Lelaki memang suka mempermainkan perasaan perempuan” tuturku tanpa dapat ditahan – tahan lagi. Dalam hal ini aku memang sangat sensitif.

“Aaa....” Haqem terpinga – pinga menatapku.
“Saya pergi dulu. Bye....” tuturku lalu meninggalkan Haqem yang masih terpacak di situ. Mungkin Haqem terkejut dengan tindakanku ini.

“Lia..... terima kasih sebab belanja saya makan” laung Haqem. Aku meneruskan langkahku tanpa sempat berpaling ke arah Haqem lagi.

“Saya bukan belanja awak makan tapi bayar hutang pada awak” tuturku sendirian membetulkan bicara Haqem. Ternyata Haqem sudah salah mentafsir. Mungkin juga Haqem sudah lupa tujuanku keluar dengannya. Aku meneruskan langkah semakin jauh meninggalkan Haqem. Kisah aku dan Haqem sudah lama berlalu dan kami tidak mungkin dapat bersama lagi.


********************************************


Baru saja Puan Helda hendak melangkah keluar dari bilik anak terunanya itu, dia berpaling ke arah meja kecil di tepi katil itu. Kotak baldu kecil merah itu menarik pandangannya. Laju saja langkahnya menghala ke situ.

“Hey.... kotak cincin ini” tuturnya. Dicapainya kotak baldu merah itu. Dengan berhati – hati jarinya menolak bahagian atas kotak itu.

“Wah....!” Terpegun mata Puan Helda menatap kilauan cincin berlian itu.

“Hyeon..... sudah ada buah hatikah? Hyeon hendak bertunang?” bisik hati Puan Helda. Dia tersenyum gembira. Hatinya riang. Namun sekejapa saja. Puan Helda mempamerkan wajah muramnya. Ada sesuatu yang mengusutkan fikirannya.

“Bukankah aku sudah ada pilihan terbaik untuk Hyeon?” tuturnya bersoal – jawab sendiri. Hatinya berbelah bahagi. Antara kehendak sendiri dengan kehendak anak teruna itu.

“Kalau Hyeon sudah ada pilihan sendiri dan akan bahagia dengan pilihannya itu, aku tidak boleh halang dia” keluh Puan Helda buntu. Bukan kepalang kecewa hatinya. Direnungnya cincin berlian itu lama – lama.

“Siapakah gerangan gadis pilihan Hyeon yang akan memiliki cincin ini” tutur Puan Helda berteka – teki sendiri. Ditutupnya kotak baldu merah itu lalu diletakkan di meja itu kembali. Puan Helda melepaskan keluhannya sambil melangkah longlai ke muka pintu meninggalkan bilik itu.

“Mak Long.... Lia sudah siap masak mee goreng. Sekejap lagi kita minum petang sama – sama ya” ajakku. Mak Long menatapku lama. Terdetik rasa hairanku. Mak Long terus saja melangkah mendekatiku. Terkejut aku tatkala kedua – dua belah tangan Mak Long mendakap lembut pipiku.

“Kempunanlah Mak Long hendak bermenantukan Lia” bisik suara hatinya.

“Kenapa Mak Long?” soalku hairan dengan tingkahlaku Mak Long ini. Mak Long tersenyum dan geleng kepala. Tangannya terus saja dijatuhkan dari pipiku.

“Mari kita minum” ajak Mak Long mendahului langkahku ke dapur. Pelik betul perangai Mak Long tika ini.

“Tidak mahu tunggu Aqel balik dulukah, Mak Long?” soalku. Mungkin sebentar lagi Aqel akan muncul di sini. Laju Mak Long geleng kepala.

“Dia balik lewat. Mungkin dia hendak jumpa kekasihnya” jelas Puan Helda membuat andaian sendiri diikuti dengan keluhannya. Aqel jumpa kekasihnya? Aqel sudah ada kekasih? Wah, berita baik ini! Mengapa Mak Long tidak nampak gembira saja? Bukankah Mak Long memang mengharapkan Aqel berumahtangga sekarang. Cinta terhalangkah ini? Mustahil Mak Long tidak merestui percintaan Aqel. Kalau inilah hakikatnya kasihanlah Aqel.

“Lia, pergi ambil cawan” arah Mak Long menyentakkanku.

“Baiklah Mak Long” sahutku lantas bergerak ke rak penyimpanan peralatan dapur. Beberapa minit kemudian aku dan Mak Long mula menikmati hidangan minum petang. Anak mata Mak Long asyik tertumpu padaku buat aku tertanya – tanya. Tiba – tiba saja Mak Long  jadi pendiam. Tidak banyak perkara yang Mak Long dan aku bualkan. Rasa bersalah pula aku kalau aku ada tersilap kata dan terlanjur tingkahlaku yang boleh menyinggung dan menyakiti perasaannya. Tidak pernah – pernah Mak Long bersikap begini. Mungkin juga Mak Long ada masalah.

“ Mak Long ada masalahkah atau Lia ada buat salah?” soalku berhati – hati. Mak Long geleng kepala. Dia tersenyum.

“Lia setuju kalau Hyeon bertunang dalam masa terdekat ini?” soal Mak Long masih mahu membicarakan tentang anak terunanya itu.

 “Setuju..... setuju....” sahutku teruja. Selesai satu masalah. Tidak payah aku menyamar jadi tunang Aqel lagi. Biasalah zaman sekarang bercinta dengan Rania, bertunang dengan aku, olok – olok saja dan akhirnya bernikah dengan kekasihnya sekarang. Inilah namanya takdir hidup.

“Kalau Aqel hendak bertunang mahupun nikah, Lia tolong Mak Long buat persediaan. Jangan risaulah Mak Long” tuturku riang. Agaknya perkara inilah yang merunsingkan fikiran Mak Long. Mungkin Mak Long hendak mengadakan majlis yang gilang – gemilang untuk anak teruna tunggalnya itu.

“Kalau Hyeon nikah dengan gadis pilihannya, Lia gembira?” soal Mak Long lagi. Aku mengangguk. Mestilah aku tumpang gembira kerana percintaan Aqel akhirnya sampai ke jinjang pelamin. Semua pasangan kekasih berharap agar mengakhiri percintaan mereka dengan pernikahan yang membolehkan mereka berkongsi hidup. Penyatuan dua jiwa yang mengharapkan kebahagiaan.

“Mestilah Mak Long. Mak Long tidak gembirakah?” soalku menguji.

“Lia, sebenarnya Mak Long berharap sangat Hyeon akan nikah dengan Lia” tutur Mak Long berterus terang. Opocot...!!!! Terkejut sangat aku mendengar bicara Mak Long ini. Mee goreng yang kutelan tersekat di kerongkongku. Laju aku meneguk air teh di cawan. Lega. Aku tidak menyangka Mak Long ada perancangan sedemikan. Hey.... tidak bolehlah aku nikah dengan Aqel! Kami tidak sesuai jadi pasangan suami isteri. Tidak sanggup aku membayangkan apatah lagi untuk melaluinya. Tidak sanggup juga aku mempertaruhkan kehidupanku kepada seorang lelaki buaya.

“Apa boleh buat Mak Long sudah tidak ada jodoh” tuturku cuba memujuk hati Mak Long. Alhamdulilah.... Aqel sudah ada kekasih. Selamat juga aku dari menjadi isteri Aqel. Aku menyembunyikan senyumanku dari pandangan Mak Long. Lega rasanya. Sebenarnya ingin juga aku membentangkan senarai panjang sebab musabab aku dan Aqel tidak boleh menjadi pasangan suami isteri pada Mak Long. Namun melihat muramnya wajah Mak Long tidak sampai hati pula aku hendak meluahkannya. Risau menguris hati Mak Long.

“Mak Long tidak sukakah dengan gadis pilihan Aqel?” soalku berhati – hati. Mak Long menatap wajahku.

“Mak Long memang suka Lia” tutur Mak Long buat aku tidak selesa. Saat ini tidak gembira aku mendengar bicara Mak Long. Aku terdiam. Kematian akal aku berhadapan dengan Mak Long tika ini.

“Walaupun Lia pernah kata pada Mak Long yang Hyeon sekadar main –main tapi Mak Long memang memandang serius bicara Hyeon yang mahu kahwin dengan Lia” tutur Mak Long buat aku tergamam. Mak Long masih mengingati perkara itu. Senyap. Perlahan – lahan keluhan Mak Long dilepaskan.

“ Tapi demi kebahagiaan Hyeon, Mak Long akan terima siapa saja pilihannya” tutur Mak Long tidak bersemangat namun cukup mendalam maknanya. Aku menarik nafas lega. Terima kasih Mak Long sebab memahami kemahuan hati Aqel sekaligus menyelamatkan aku daripada menjadi isteri Aqel. Aku memang mengimpikan mak mertua sebaik Mak Long namun tidak pernah bermimpi untuk bersuamikan lelaki seperti Aqel. Selain tindakan Aqel yang pernah melukakan perasaan perempuan yang mencintainya, aku melihat Aqel juga sebagai saudaraku yang selayaknya aku anggap ibarat abangku. 

“Lia sudah ada kekasih?” soal Mak Long. Aku diam. Berfikir seketika.

“Ada.... Mak dan Aziq” jawabku. Mereka itulah kekasih awal dan akhirku. Mak Long terus saja tergelak. Aku senyum. Gurauanku kembali menceriakan Mak Long. Namun aku masih risau memikirkan hajat hati Mak Long. Patutkah aku maklumkan perkara ini pada Aqel?

“ Lia tolong cuci pinggan dan cawan yang Mak Long guna ini ya. Mak Long hendak berehat di bilik” tutur Mak Long masih tidak bersemangat.

“Tidak apa tinggalkan saja di sini. Sekejap lagi Lia cuci” tuturku. Mak Long tersenyum. Lantas Mak Long beredar dari sini. Aku melepaskan keluhanku. Berat saja hajat hati Mak Long itu. Tidak pernah – pernah difikirkan olehku. Aku ke sinki mencuci pinggan dan cawan. Leka seketika aku memikirkan bicara Mak Long tadi.

“ Mana mama?” suara Aqel menyapa di awangan.

“Opocot...!!” Cawan di tanganku hampir – hampir terlepas. Aku menatap geram ke arah Aqel. Kalaulah aku ada penyakit jantung yang serius pasti aku sudah jatuh pengsan sekarang.

“Mak Long dalam bilik. Pelik betul perangai dia tadi” jelasku. Berkerut dahi Aqel.

“Apa yang peliknya?” soal Aqel. Patutkah aku jelaskan pada Aqel yang Mak Long tidak gembira dengan percintaannya sekarang. Kutatap wajah Aqel. Kasihan juga aku hendak memaklumkan perkara ini pada Aqel.

“Entahlah...” keluhku sambil angkat bahu.

“Mama tidak sihatkah?” soal Aqel lagi.

“Sihat....” jawabku. Dari luaran memang Mak Long nampak sihat pun. Mungkin Mak Long kecewa lantaran hajatnya tidak tertunai.

“Tidak apalah saya tengok dia sekarang” tutur Aqel lantas melangkah meninggalkan aku. Tiba – tiba saja aku merasakan ada sesuatu yang harus aku perkatakan kepada Aqel.

“Aqel....!” panggilku. Langkah Aqel terhenti. Lalu berpaling menatapku.
“Tahniah...!” tuturku tersenyum.

“Tahniah untuk apa?” soal Aqel hairan.
“Tahniah sebab awak sudah ada kekasih. Mak Long kata awak sedang sibuk bercinta sekarang” jelasku tersenyum gembira.

“Karutlah” tutur Aqel lantas menyambung kembali langkahnya. Karut? Apa maksud Aqel? Jangan – jangan Mak Long sudah salah faham pada Aqel yang sebetulnya belum ada kekasih. Ya Allah janganlah jadi begini. Terasa ada sesuatu bakal terjadi dalam hidupku. Harap – harap Aqel sudah ada kekasih. Aku meninggalkan dapur lalu melangkah ke anak tangga. Kedengaran suara Aqel dan Mak Long berborak – borak. Kubiarkan dua beranak itu meluangkan masa bersama. Aku terus saja masuk ke bilikku. Kurebahkan tubuhku ke tilam. Perbualanku dengan Mak Long tadi kembali bermain di kepalaku. Risau bukan kepalang aku dibuatnya. Bertambah merisaukan melihat reaksi Aqel sebentar tadi. Aqel telah menafikannya. Bagaimana pula Mak Long boleh tahu yang Aqel sudah ada kekasih? Aku terkejut mendengar daun pintu diketuk. Aku melangkah ke pintu dengan malas. Daun pintu terkuak. Aqel sedang terpacak di depan pintu.

“Apa hal Aqel?” soalku. Harap – harap Mak Long tidak mengatakan apa – apa pada dirinya. Kedatangan Aqel juga bukan untuk bertanyakan persetujuanku. Mana tahu hati Aqel cair setelah berdepan dengan Mak Long. Aqel menyeluk saku seluarnya. Ada sesuatu yang dikeluarkan dari situ. Laju saja tangan Aqel menghulurkannya padaku. Aku menyambutnya lalu menatap kotak baldu merah ini.
“Apa ini?” soalku.

“Saya tidak mahu rakan – rakan kita bertanya tentang cincin pertunangan awak. Saya mahu awak pakai cincin ini esok” tutur Aqel berpesan. Marnie dan Haqem memang sudah mempersoalkan perkara ini.

“Cincin....” perlahan meniti di bibirku. Aqel mengangguk. Macam tahu – tahu saja Aqel tentang perkara ini.

“Cincin pertunangan olok – olok kita” jelasnya.

“Tidak payah saya ada cincin sendiri” tuturku enggan menyarungkan cincin dalam kotak baldu ini ke jari manisku. Aqel menatapku.

“Alang – alang sudah berlaku perkara ini biarlah buat betul – betul. Kalau awak pakai cincin yang saya beli ini orang akan lebih percaya” tutur Aqel penuh makna tersirat. Aqel terus saja melangkah meninggalkan aku yang masih terpacak di muka pintu menatap kotak baldu merah di tanganku ini. Kututup daun pintu kembali. Aku duduk di birai katil sambil menatap kotak baldu merah ini. Terus saja kukuak. Tergamam aku menatap sebentuk cincin berlian yang berkilau – kilau memukauku. Biar betul Aqel ini. Sanggup pula dia membeli cincin yang mahal ini. Teringat pada bicara Aqel sebentar tadi. Aku mulai faham. Hanya cincin berlian yang layak menggambarkan taraf status sosial Aqel. Sombong dan bongkak sangat lelaki ini. Aku mendengus.

“Saya tahulah awak banyak duit tapi janganlah membazir pada perkara yang tidak betul” rungutku. Kututup kembali kotak baldu ini. Lantas menyimpannya di dalam laci. Satu langkah berjaga – jaga. Tidak mahu Mak Long menemuinya. Nanti tertanya – tanya pula Mak Long. Paling merisaukan kalau Mak Long tahu cincin itu adalah cincin yang Aqel beli. Bukankah niaya jadinya. Tidak sanggup aku memikirkannya! Yang aku rasakan Mak Long pasti tersenyum lebar. Kalau keadaan mendesak barulah aku menyarungkan cincin itu ke jari manisku. Berfikir lagi. Dari sudut positifnya sekurang – kurangnya aku pernah juga memakai cincin berlian yang mahal harganya. Kalau harapkan wang aku sendiri yang membelinya sampai matilah aku tidak merasanya kecuali aku dapat suami yang kaya persis Aqel. Aku tersenyum sendiri. Sempat pula aku berangan - angan.

Sesungguhnya tiada batasan bagi angan-angan. Bak kata orang apabila kita berangan-angan, kita tidak lagi hidup di alam realiti tetapi di alam fantasi. Angan-angan yang merupakan gambaran atau bayangan dalam fikiran seseorang yang sedang berkhayal akan menerbitkan sebuah cita-cita. Kalau kita berusaha mencapai apa yang diangan-angankan maka tidak mustahil akan menjadi kenyataan. Lantaran angan-angan akan membuatkan seseorang itu menaruh harapan, hasrat atau keinginan kuat untuk mencapai. Betulkah aku mahu angan – anganku bersuamikan lelaki kaya akan menjadi kenyataan? Aku tersenyum panjang sendiri. Gara – gara cincin berlian ini fikiranku terpesong jauh.  




7 comments:

  1. salam di hujung minggu. bertemu lg setelah menyepi lantaran kesibukan tuntutan rutin kerja. sudah baca? rasa pelik pengolahan ayat? bermula dari bab ini sy terpaksa menulis dgn gaya bahasa formal tanpa penggunaan singkatan demi memenuhi syarat pihak penerbit sekaligus menggurangkn bebanan pengeditan tatkala novel ini dihantar utk penilaian penerbit. apapun sy tetap menghrpkn anda semua terhibur n msh setia dgn permata nilam. terima kasih suma...

    ReplyDelete
  2. Hi Permata!!

    Very happy to read the story.. takpe la.. formal ke atau tak formal best juga cerita ni..i enjoyed and i guarantee others also happy wt it...

    ReplyDelete
  3. tqvm saluja ats kesetiaan anda bersama permata nilam.

    ReplyDelete
  4. Best sllu, mau lagi sist. . .ヽ(^。^)丿

    ReplyDelete
  5. tqvm nuratiza, asih n u all ats kesetiaan kalian bersama permata nilam

    ReplyDelete
  6. salam. cepat sambung dah xsbr nk tau cite selanjutnya mst sweetkn....

    ReplyDelete