Sunday, 23 December 2012

NamaKu Bukan Flora....34





BAB 34

Aku menatap kad berwarna merah jambu di atas meja ini. Nampak cantik sangat. Laju tanganku mencapai lalu menyelaknya. Terbit kerisauan tatkala mengetahui kad ini ialah jemputan ke majlis meraikan pertunangan Aqel. Adakah Aqel sudah mengetahui majlis yang akan diadakan untuknya ini? Laju aku mencapai telefon bimbitku lantas membuat panggilan. Gagal. Aqel tidak dapat dihubungi. Kucuba lagi. Masih perkara yang sama. Aku melepaskan keluhan. Tinggal beberapa hari saja majlis ini akan berlangsung. Nampaknya Aqel bakal berhadapan masalah besar dan aku akan turut menerima tempiasnya. Bagaimana Aqel hendak menangani perkara ini? Apa yang patut aku lakukan sekarang? Aku juga harus memikirkan perkara ini memandangkan akulah punca wujudnya masalah ini. Rasanya Aqel juga tidak akan membiarkan aku terlepas begitu saja. Aduhhh... tertekannya aku...!!!
Sepanjang hari ini aku cuba menghubungi Aqel namun suara perempuan yang mengarahkan aku meninggalkan pesanan kedengaran lagi. Kemudian aku menghantar mesej kepada Aqel setelah baru terfikir. Namun sudah dua jam berlalu aku langsung tidak menerima mesej balasan daripada Aqel. Gara – gara perkara ini aku hilang selera untuk makan. Maka aku hanya menghabiskan masa rehatku di bilik ini. Dalam solat zuhurku, aku menadah tangan berdoa agar perkara ini berjalan dengan lancar. Seusai solat zuhur aku masih memikirkan perkara ini. Betapa fokus kerjaku telah terjejas lantaran terlalu memikirkannya. Kesannya aku hanya bermasam muka sepanjang hari.

Aku melangkah longlai masuk ke dalam banglo Mak Long. Berharap sangat tidak akan bertembung dengan Mak Long tika ini lantaran aku tidak mahu Mak Long menyedari betapa aku tidak bersemangat hari ini. Rasa malas hendak menjawab persoalan Mak Long nanti.
“Awak dah balik...” suara lelaki menyapaku. Laju aku berpaling ke arah suara itu. Aqel kelihatan sedang bersenang – lenang terbaring di sofa sambil menonton tv.
“Awak dah balik. Mengapa awak tak jawab panggilan saya?” serangku terus dengan suara yang tinggi. Terkebil – kebil Aqel menatapku.
“Dah berkali – kali saya call awak tadi tapi awak masih juga tak nak angkat. Awak ni betul – betul kejam!” radangku melempiaskan geramku.
“Flora... kalaupun awak rindukan saya, janganlah marah saya” tutur Aqel bermuka tembok. Dia tersengih menatapku. Kemarahanku langsung tidak berkesan kepada dirinya.
“ What!!!” Besar anak mataku menatap Aqel yang masih tersengih – sengih ini. Aku mendengus kasar. Lantas melangkah ke ruang tamu mendekati Aqel. Lebih senang untuk berbicara.
“Awak tahu tak apa yang berlaku di pejabat hari ini?” soalku geram. Mesti Aqel tidak tahu apa – apa sebab sudah beberapa hari dia tidak ke pejabat. Aqel angkat bahu. Tiada pertanyaan serta merta yang keluar dari mulutnya. Langsung dia tidak teruja hendak mengetahuinya. Tidak apa! Sekejap lagi pasti Aqel akan menggelabah.
“Hari ini semua orang di KDUT terima kad jemputan untuk majlis meraikan pertunangan awak dengan penuh gilang – gemilang malam minggu ini” jelasku tidak mahu menangguhkan masa untuk menunggu pertanyaan yang keluar dari mulut Aqel. Senyap. Aku kehairanan melihat Aqel masih leka dengan rancangan di tv. Langsung tidak terganggu dengan kenyataanku sebentar tadi. Pelik. Dalam keadaan sekarang Aqel masih mampu bertenang. Kebal betul jiwa anak teruna Mak Long ini. Memang aku kagum melihat Aqel mampu bertenang dalam keadaan yang menekan tika ini. Agaknya sebab ini jugalah dia menjadi usahawan muda yang berjaya lantaran kekentalan jiwa raganya.
“Awak dengar tak?” soalku. Sukar untukku percaya melihat ketenangan Aqel tika ini. Aqel penuh bersahaja menganggukkan kepalanya.
“Awak tak payah risau tahulah saya nak buat apa nanti” sahut Aqel bersahaja lagi. Memang aku betul – betul kagum dengan ketenangan dan keyakinan Aqel tika ini.
“Baguslah kalau macam tu” tuturku mula lega. Lantas aku melangkah mahu meninggalkan Aqel bersendirian di ruang tamu.
“Flora....!” Langkahkku mati. Aku berpaling ke arah Aqel semula. Sehingga ke hari ini aku masih tidak mampu menghalang Aqel memanggilku dengan nama itu. Nama itu memang sudah sebati dengan diri Aqel sebagai gelaran buatku.
“Saya ada buah tangan untuk awak. Saya letak dalam bilik awak” jelas Aqel bermurah hati. Sejak kebelakangan ini dia memang mudah bersedekah.
“Terima kasih...” tuturku lemah.
“Aik... tak gembirakah dapat buah tangan!” sinis saja suara Aqel.
“Sorrylah Aqel, hari ini saya letih sangat. Saya nak berehat di bilik sekarang” jelasku lalu meninggalkan Aqel yang masih memandang ke arahku. Letih sebab memikirkan majlis meraikan pertunangan Aqel. Kalau aku tidak terlibat dalam hal ini aku tidak akan risau sebegini. Kalau betul Aqel boleh menyelesaikannya dengan baik maka aku harus merasa lega sekarang. Aku percaya Aqel mampu melakukan yang terbaik sebab dia seorang yang berkemampuan dalam banyak hal. Kurebahkan tubuh ke tilam lalu memejamkan mata. Nikmatnya ketenangan sebegini.
“Flora...! Flora mari makan...!” sayup – sayup kedengaran suara Aqel dari tingkat bawah memanggilku. Aku membuka mataku. Sudah hampir ke pukul 7.00 petang. Terkocoh – kocoh aku bangun lalu melangkah ke bilik air untuk mandi. Risau tertinggal waktu Maghrib. Tidak sangka pula boleh terlena sebegini. Sekarang tidak sempat aku menolong Mak Long di dapur. Rasa bersalah dan segan menyelubungiku. Mesti memohon kemaafan kepada Mak Long sekejap lagi. Aku berpaling ke ruang tamu. Tv terpasang tanpa sesiapa menontonya. Aqel tidak berada di situ lagi. Aku melangkah ke dapur. Aqel sibuk menghidangkan makanan di pinggan.
“Mari makan....” ajaknya sambil meletakkan nasi di pinggan. Aku melabuhkan punggungku di kerusi. Kulontar pandangan di sekeliling dapur ini. Memang aku dan Aqel berdua saja berada di sini sekarang.
“Makanlah...” arah Aqel seraya meletakkan sepinggan nasi dan segelas jus epal hijau di depanku. Kutatap wajah Aqel.
“Mama ada meeting persatuan malam ini” tutur Aqel seakan mengerti dengan pandangan mataku.
“Tak payah risau sekejap lagi mama balik. Tak sempat Pak Haji nak tangkap kita berkhawat ini” tutur Aqel bersahaja. Kulontar pandangan tajam ke arah Aqel. Tidak suka dengan kelancangan mulutnya ini. Aku memang tidak mahu wujud masalah baharu lagi sedangkan ada masalah yang belum selesai lagi. Sejak tinggal sebumbung dengannya ada saja masalah yang melanda yang membabitkan kami berdua.
“Minumlah banyak – banyak jus epal hijau ini. Sedap....! Rugi kalau tak minum banyak” omel Aqel. Kutatap wajah Aqel lagi.
“Kenapa?” soalnya melihat pandangan mataku itu.
“Awak dah banyak cakap sekarang kan. Taklah macam dulu dingin membeku seperti salji. Agaknya sekarang peredaran hidup awak sudah masuk musim panas” ujarku sinis. Aqel terus saja tertawa dan kemudian tersenyum mempamerkan senyuman manis madunya itu.
“Bukan musim panas tapi musim bungalah” tingkah Aqel tersenyum. Betul juga musim bunga. Patutlah suka sangat bertindak romantik. Agaknya apa perubahan dirinya kalau musim luruh dan musim panas sudah tiba. Usai saja menikmati makan malam yang disediakan sendiri oleh Aqel aku memohon diri ke bilik meninggalkan Aqel bersendirian di ruang tamu. Selain bertujuan untuk menyambung rehat,  juga sebagai langkah berjaga – jaga. Bicara Aqel tadi memberi peringatan penting kepadaku. Memang patut kami berjaga – jaga kerana malang tidak berbau. Aku membaringkan tubuhku ke tilam lalu menatap siling. Kaku terbaring tidak bergerak – gerak. Fikiranku kosong. Kedengaran bunyi aluan nada mesej diterima di telefon bimbitku. 013 – 30880414. Nombor yang begitu unik malah mengingatkan aku pada tarikh lahirku tanggal 14 April 1988. Mengapa aku tidak pernah jumpa nombor sebegini? Sepatutnya nombor ini menjadi milikku. Terleka dengan barisan nombor ini membuatkan aku baru teringat pada mesej yang dihantar. Lantas kubuka kotak mesej ini.
~ Rindu hendak berbual dengan awak. Saya ternanti – nanti detik itu tiba dengan penuh kesabaran. Rindu pada kenangan lalu kita. Rindu pada awak. Lia, awak selalu ada di hati dan di minda saya...... Haqem      ~

Aku mendengus kasar melihat nama di hujung kalimah ini. Terus kupadamkan mesej ini. Lantas kulepaskan telefon bimbit ini dari genggaman tanganku. Tidak sudi untuk menatap bait – bait ayat itu lagi. Luahan hati yang tidak bermakna buatku. Aku masih tidak mampu memaafkan Haqem atas kelukaan yang dihadiahkannya padaku. Kemarahanku pada Haqem belum padam. Betapa sakit dadaku menahannya. Aku tidak rela Haqem menyebut namaku. Dia tidak berhak untuk merinduiku mahupun membina sebarang impian untuk bersamaku lagi. Dasar lelaki tidak bertanggungjawab suka mempermainkan hati dan perasaan perempuan. Sudah diketahui bertunang tapi masih mahu meluahkan kerinduan pada perempuan lain. Aku tidak akan tertipu olehmu lagi, Haqem...!!!
Bingkas aku bangun dari perbaringanku lalu melangkah ke jendela lantas menolak daun jendela seluas – luasnya. Cuba mencari ketenangan. Aku menghembus nafasku perlahan – lahan lalu kupejamkan mataku. Hembusan angin malam begitu menyegarkan. Baru aku tersedar betapa terang – benderangnya cahaya bulan malam ini. Rupanya bulan penuh. Seketika aku asyik memerhatikannya. Bagaikan dalam perut bulan itu ada dunia lain lagi. Aku berpaling. Kubuka mataku seluasnya. Cuba mengamati susuk tubuh yang sedang terbaring di kerusi kayu itu. Aqel! Berbantalkan lengan sambil kaki bersilang begitu asyik Aqel merenung wajah bulan penuh. Dia begitu tenang beradu pandangan dengan si purnama. Hobi yang sangat unik dan romantik. Sayup – sayup kedengaran suara Aqel menyanyikan lagu Purnama Merindu nyanyian Dato’ Siti Nuraliza buat aku tersenyum sendiri. Mungkin Aqel sedang merindui kekasihnya nun jauh di sana. Siapakah kekasih hati Aqel itu? Rasanya semua warga KDUT akan bertemu dengan gadis pujaan hati dambaan kalbu Aqel yang akan muncul di majlis meraikan pertunangan Aqel itu nanti.

Kututup kembali daun jendela. Biarlah Aqel terus melayan perasaannya yang sedang sarat kerinduan pada kekasih hatinya. Aku terpandang beg kertas yang berada di atas meja solek di bilik ini. Teringat pada bicara Aqel tadi. Mesti inilah buah tangan daripada Aqel untukku. Lantas kucapai beg kertas itu lalu mengeluarkan isinya. Aku terpegun menatap gaun labuh hitam yang ditaburi dengan permata putih di bahagian dadanya. Tampak begitu elegan dan seksi memandangkan  gaun labuh ini tiada berlengan. Gaun yang sesuai dipakai ketika majlis makan malam mahupun menghadiri majlis undangan di hotel – hotel. Cantik dan nampak mewah. Apakah mimpi Aqel tiba – tiba saja menghadiahkan gaun cantik ini kepadaku? Bila aku hendak memakai gaun semewah ini? Sanggupkah aku memakainya? Banyak persoalan yang bermain di fikiranku. Rasa tidak berbaloi saja Aqel menghabiskan wangnya beratus ringgit kerana aku merasakan gaun labuh hitam ini hanya akan tersimpan di dalam almari. Aku tidak berkeyakinan untuk tampil sebegini mewah. Cukuplah aku dengan gaya ringkasku selama ini. Paling penting selesa buatku. Kusimpan kembali gaun labuh hitam ini ke dalam beg kertas ini. Aku kembali membaringkan tubuhku di tilam.

“Terima kasihlah Aqel sebab hadiahkan aku gaun yang cantik dan mewah tapi malangnya aku tiada keinginan untuk memakainya...” tuturku berbicara sendiri. Aku terus saja memejamkan mataku mahu terus tidur kerana esok aku perlu meneruskan rutin hidupku. Semoga malam ini tidurku lena agar esok aku lebih bertenaga dan bersemangat.

AWAK dah tengok buah tangan yang saya beri semalam?”Aku mengangkat mukaku lalu menghantar pandanganku ke muka pintu. Aqel sedang melangkah masuk sambil tersenyum. Aku mengangguk. Menghairan apa mimpinya awal pagi berkunjung ke sini.
“Terima kasihlah sebab beli gaun cantik dan mahal untuk saya” tuturku.
“Awak mesti pakai gaun itu pada malam minggu nanti” arah Aqel.
“Tak naklah gaun itu seksi” tingkahku tidak dapat memenuhi permintaannya itu.
“Seksi apa pula! Bukan mendedahkan bahagian dada pun” tutur Aqel sewenangnya.
“Gaun tu takde lengan. Saya tak nak bagi tengok parut – parut di lengan saya ini pada semua orang” tuturku berbohong.
“Betulkah ada banyak parut di lengan awak?” soal Aqel bagaikan sudah terpedaya dengan bicaraku. Aku mengangguk.
“Nampak hodoh sangat” tambahku meyakinkan Aqel.
“Tak percayalah saya. Awak memang saja nak bagi alasan” bidas Aqel tidak termakan tipu. Tidak mudah Aqel dipermainkan olehku.
“Macam mana awak tahu kalau awak tak pernah tengok” bidasku masih mahu mempertahankan fakta bohong itu.
“”Okey... mari kita tengok sama – sama sekarang” Aqel terus saja melangkah mendekatiku. Kaget dengan tindakan Aqel.
“Awak nak buat apa ni?” soalku runsing sambil berundur cuba menjauhi Aqel.
“Nak buktikan awak bercakap benar atau berbohong dengan saya. Mari...” jelas Aqel bersungguh – sungguh.
“Aqel....!” jeritku sambil menepis tangan Aqel yang mahu menyelak lengan kemeja yang kupakai. Kutolak tubuh Aqel menjauhiku.
“Okey.... okey.... saya berbohong pada awak” ujarku mengalah. Aqel tersenyum puas hati sedangkan aku bengkak hati dengan tindakan tidak bermorol Aqel ini.
“Walau apapun awak tak berhak nak paksa saya pakai gaun itu” tegasku.
“Awak ni cubalah berfikir terbuka sedikit. Lagipun gaun itu bukan seksi pun. Awak segan sebab bulu ketiak awak panjangkah?” soal Aqel menyakitkan hati.
“Hah... berperangailah awak seperti budak – budak!” kutukku.
“Awak kata saya seperti budak - budak?” Besar anak mata Aqel menatapku. Rasa dirinya tercabar dengan bicaraku ini.
“Memang pun awak orang dewasa yang berperangai seperti budak! Tak kuasa saya nak layan awak!” tegasku memerlinya. Aqel menggetap bibir menahan perasaan geramnya.
“Awak mesti pakai gaun itu nanti” tegas Aqel mengulangi arahannya tadi.
“Saya kata tak nak! Tak naklah!” tegasku bersuara lantang.
“Takpe biar saya yang pakaikan gaun itu di tubuh awak ni” tutur Aqel berdegil.
“Aqel...!” jeritku. Entah apa motif Aqel bersungguh – sungguh menyuruh aku memakai gaun itu. Kadangkala anak teruna Mak Long ini memang menakutkan aku.
“Nanti saya cakap pada Mak Long yang awak ni berperangai tak senonoh” ujarku mengancamnya. Terkebil – kebil anak mata Aqel menatapku.
“Flora... jangan” pintanya kecut.
“Hah... tahupun takut!” perliku tersenyum sinis. Di depan Mak Long bukan main sopannya dia. Hakikatnya selalu berfikiran jahat. Aku tahu Mak Long adalah senjata untuk menentang kedegilan Aqel. Aqel akan jadi lemah dan tidak berdaya andai aku mula membabitkan nama Mak Long. Dia mesti tahu Mak Long akan sentiasa berpihak kepadaku.
“Apa hal gaduh – gaduh ini Encik Aqel, Lia?” Serentak aku dan Aqel berpaling ke muka pintu. Marnie yang baru saja muncul tercengang – cengang menatapku dan Aqel. Bahaya informasi bergerak sudah sampai.
“Hey... takdelah” nafiku diikuti oleh anggukan kepala Aqel. Marnie tersenyum.
“Tahniah Encik Aqel. Best dapat jumpa tunang Encik Aqel nanti” tutur Marnie teruja. Aku hanya menelan liur. Aqel tersenyum tenang. Marnie berpaling ke arahku.
“Hah... awak pun Lia jangan lupa bawa buah hati awak cikgu yang merangkap sepupu awak tu” tutur Marnie mengejutkan aku.
“Aaa...” Terlopong mulutku mendengar bicara Marnie.
“Buah hati cikgu merangkap sepupu...” tutur Aqel mengulangi kenyataan Marnie. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Kutatap wajah Aqel. Dia tersenyum sendiri. Mesti dia sedang berfikir yang bukan – bukan sekarang.
“Alamak... Sorrylah Lia tak sengaja” tutur Marnie lantas menutup mulutnya. Mulut tempayan betul gadis seoarang ini. Marnie tersengih – sengih menatapku.
“Ini dokumen yang awak perlu serahkan pada Puan Rosie nanti” tutur Marnie tersenyum tawar tatkala sudah menyedari akan ketelanjuran bicaranya sebentar tadi.
“Sorry... saya pergi dulu ya” pinta Marnie lalu terkocoh – kocoh beredar meninggalkan aku dan Aqel yang masih tersenyum – senyum sendiri ini.
“Betulkah kekasih awak seorang guru yang juga merupakan sepupu awak” tutur Aqel mengusikku. Aku menggetap bibir. Geram dengan Marnie. Geram dengan Aqel.
“Memang pun saya sedang bercinta dengan seorang guru yang juga merupakan sepupu saya. Bukan awak seorang saja sepupu yang saya ada” tegasku cuba mematikan usikan Aqel.
“Sepupu sebelah keluarga mak” tambahku memberi penjelasan kepadanya sekaligus cuba meyakinkannya.
“Ohh.... rupanya awak ramai sepupu ya. Tidak tahu pula saya. Saya ingat saya sajalah sepupu yang awak ada” sahut Aqel tersenyum sinis. Aku yakin Aqel tidak akan mempercayai bicaraku ini. Aku menjeling Aqel.
“Kalau awak takde hal penting nak bincang dengan saya, silalah pergi sekarang” ujarku menghalau Aqel. Sebetulnya inilah teknik mengelakkan diri dari terus menjadi usikan Aqel.
“Okey.... berani awak halau bos awak ya...” tutur Aqel tidak puas hati.
“Awak bukan bos sayalah. Bos saya Puan Rosie dan Encik Mukhtahir” sahutku. Aqel tersenyum lagi. Aqel mula menapak selangkah. Langkahnya tiba – tiba saja terhenti.
“Flora....” panggil Aqel.
“Ya.... apa hal?” soalku sambil menatap Aqel yang masih tersenyum – senyum.
“Agaknya awak sedang keliru sekarang” tuturnya membinggungkan aku.
“Apa?” Berkerut dahiku menatap Aqel. Tidak mengerti dengan bicaranya itu.
“Awak dah campur adukkan identiti Cikgu Firdaus dengan saya. Awak sebetulnya sukakan Cikgu Firdauskah sukakan saya?” soal Aqel mengusikku.
“Takdelah...!” nafiku separuh menjerit. Aqel terus saja tertawa – tawa sambil melambai – lambaikan tangannya kepadaku sebelum kelibatnya hilang di sebalik pintu.
“Tidak guna kau Aqel! Dasar lelaki bermuka tembok!” marahku mengutuk Aqel. Aku mendengus. Salah aku juga sebab mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir. Sekarang terpaksalah tanggung akibatnya. Ohh.... Aqel ada modal lagi hendak kenakan aku!

Aku menghela nafas lega sebaik saja melangkah masuk Aqel tidak berada di ruang tamu seperti kebiasaannya. Sebelum menapak di anak tangga, aku sempat singgah di muka pintu dapur. Kujengukkan kepalaku meninjau – ninjau kalau Mak Long ada di situ. Aku terpandang kelibat Aqel yang sedang sibuk menyiapkan sesuatu. Terburu – buru aku beredar dari situ. Khuatir Aqel menyedari kehadiranku di situ. Dia memang jenis manusia yang tidak tahu duduk diam. Ada saja kerja yang ingin dilakukannya terutama di dapur. Kalau hendak tahu Aqel memang gemar berada di dapur. Sesuatu yang kurang biasa dilakukan oleh kaum sejenisnya.

Seusai makan malam aku dan Aqel terus bergerak ke ruang tamu. Mak Long memaklumkan akan menyusul kemudian kerana masih mahu berada di dapur. Sudah lama kami tidak berkesempatan meluangkan masa menonton tv bersama – sama. Maklumlah masing – masing sibuk. Mak Long walaupun sudah bersara namun tetap aktif berpersatuan. Seringkali juga terpaksa mengadakan pertemuan dan mesyuarat pada waktu malam memandangkan komitmen terhadap kerja bagi segelintir ahli persatuan. Perkara ini cukup baik untuk Mak Long agar dia tidak kebosanan tinggal bersendirian di banglo ini. Mungkin ketika Aqel sudah berkeluarga dan ada anak – anak barulah Mak Long memikirkan untuk berehat sepenuhnya. Di ruang tamu ini Aqel asyik mengerling ke arahku. Aku pamerkan wajah bersahaja. Perkara di pejabat pagi tadi aku buat – buat lupa. Aku tidak akan malu mahupun rasa segan pada Aqel kerana kenyataanku pada Marnie hanyalah rekaan semata – mata yang bertujuan untuk menyelamatkan diri daripada usikan gadis itu. Tidak kisah kalau Aqel salah faham padaku.

“Awak mesti pakai gaun itu tau!” Aqel bersuara. Aku melepaskan keluhanku lalu menjeling Aqel. Dia memang tidak faham bahasa!
“Tak mahulah! Saya kata tak mahulah!” rungutku bosan didesak sedemikian.
“Saya tak peduli awak wajib pakai gaun itu juga” tegas Aqel tidak mahu mengalah.
“Suka hati sayalah. Tubuh saya terpulanglah apa saya nak pakai. Faham Encik Aqel?” radangku naik darah. Aku mendengus kasar.
“Apa hal bising – bising ini Hyeon, Lia?” tanya Mak Long seraya melabuhkan punggung di kerusi. Aku menarik muka masam. Sakit hati dengan kedegilan Aqel.
“Dia ni Mak Long suka sangat paksa Lia, tak sukalah” rungutku mengadu pada Mak Long. Aqel menatapku tajam.
“Dia ni yang pelik. Hyeon dah beli gaun cantik dan mahal macam tu tapi tak nak pula pakai. Siapa yang tak berang” giliran Aqel pula mengadu pada Mak Long.
“Bukan saya minta awak beli untuk saya pun” ujarku geram.
“Hah... tengok tu mama sombong betul dia” kutuk Aqel.
“Siapa nak pakai gaun seksi tu” jelasku lagi.
“Mana ada seksi. Rakan sekerja perempuan selamba saja pakai gaun macam tu” balas Aqel membidas hujahku menambah ketegangan. Mak Long hanya geleng – geleng kepala.
“Saya tak sama macam orang lain” tingkahku. Aqel mencebik.
“Apa hal sebenarnya ni? Gaun apa pula ni?”soal Mak Long meminta penjelasan lanjut.
“Hyeon ada beli gaun untuk dia. Mintalah dia pakai gaun tu malam minggu ni sebab ada majlis syarikat. Tapi dia tak nak pakai. Bukankah membazir tu namanya” tutur Aqel bercerita pada Mak Long.
“Tapi Mak Long gaun tu seksi, takde lengan. Lia tak naklah pakai gaun macam tu” tegasku tetap dengan pendirianku.
“Hah... tengok tu mama!” adu Aqel pada Mak Long.
“Alah.... kamu tu pun satu Hyeon, beli gaun tu tak tanya dulu tuan punya badan” rungut Mak Long menyebelahiku. Aku tersenyum.
“Surprise mama” sahut Aqel.
“Surprise apa benda kalau menyusahkan orang” rungutku berbicara sendiri.
“Gaun tu gaun glamour tau. Design hampir sama macam yang Scha pakai waktu malam Anugerah Berita Harian lepas. Dapat undi terbanyak daripada peminat fesyen malah dapat pujian daripada pereka fesyen profesional tau” tutur Aqel bersungguh – sungguh dan bangga.
“Dia tu artis, saya ni orang biasa” tuturku cuba mengingatkan Aqel. Artis pakai apa saja semua orang tidak kisah malah nampak sentiasa cantik.
“Sebab tu saya nak orang biasa jadi luar biasa” sahut Aqel begitu beridea untuk mematahkan apa saja hujahku.
“ Sekurang – kurangnya kalau awak nampak luar biasa malam itu sebagai sepupu awak boleh juga saya tumpang bangga” tutur Aqel yang suka bermegah – megah.
“Jadi selama ini awak malulah ada sepupu macam saya?” bentakku tersinggung. Aqel menatapku tajam.
“Kalau awak tak ingin ada sepupu macam saya, saya lagilah tak ingin ada sepupu macam awak. Dasar buaya darat!” kutukku.
“Hyeon.... Lia.... sudah – sudah. Tak payah bergaduh dan bermasam muka. Mesti ada cara terbaik sebagai jalan penyelesaiannya” suara Mak Long mencelah setelah lama berdiam dan hanya jadi pemerhati.
“Maafkan Lia Mak Long” tuturku seakan baru tersedar yang Mak Long masih bersama kami. Senyap. Aku dan Aqel masing – masing mempamerkan muka masam.
“Betulkah Lia langsung tak suka gaun tu?” soal Mak Long. Aku geleng kepala.
“Suka Mak Long tapi gaun itu seksi. Lia tak boleh pakai gaun itu” tuturku.
Aqel mendengus.
“Kalau Mak Long boleh selesaikan masalah gaun itu, boleh tak Lia pakai gaun itu?” soal Mak Long lagi.
“Tengoklah Mak Long tapi Lia tak janji” tambahku. Mak Long tersenyum. Aqel terkumat – kamit berbicara sendiri. Mesti sedang menggutukku.
“Apa kata kalau Lia pakai cardigan. Kan dah berlengan gaun tu” tutur Mak Long tersenyum. Cardigan.... oh.... baru aku terfikir! Di pusat membeli - belah bermacam – macam jenis dan fesyen cardigan yang dijual yang boleh dipadankan dengan baju yang tidak berlengan. Mengapalah aku tidak terfikir! Sia – sia saja aku bertikam lidah dan bertegang leher dengan Aqel.
“Awak tahukah cardigan tu apa?” sinis saja suara Aqel bertanya.
“Awak ingat saya ni bodoh sangat” balasku geram.
“Tengok mama, kita tanya dia sungguh - sungguh tapi dia asyik nak marah kita pula” rungut Aqel tidak puas hati. Aku menjeling Aqel. Mak Long geleng – geleng kepala lagi.
“Yalah yang kamu soal macam tu apa hal! Lia tu bidang kerja dia kostum. Mestilah Lia tahu” tutur Mak Long berpihak padaku. Terkena sebiji! Aqel tersengih – sengih.   
“Dia memang suka sangat buat Lia marah, Mak Long” aduku pada Mak Long.
“Alah... asyik – asyik mengadu. Manja sangat...” kutuk Aqel masih tidak berpuas hati denganku. Aku mencebik ke arahnya.
“Mak Long pun nak juga tengok Lia cantik dan nampak luar biasa. Nanti Lia pakailah gaun yang Aqel beli untuk Lia tu ya” tutur Mak Long seakan memujukku. Aku terdiam. Serba – salah aku mendengar permintaan Mak Long ini.
“Baiklah Mak Long” tuturku perlahan – lahan menyanggupi permintaan Mak Long. Aqel terus saja tersenyum. Pasti dia merasakan kemenangan berpihak pada dirinya sekarang.
“Saya pakai gaun itu demi Mak Long bukan kerana awak. Jadi jangan gembira berlebih – lebih!” tegasku. Aqel masih tersenyum – senyum.
“Nanti saya beli cardigan untuk awak ya” tutur Aqel ceria.
“Tak payah! Saya boleh beli sendiri” bantahku kerana yakin pilihan Aqel tidak memenuhi citarasaku. Khuatir pisang berbuah dua kali. Mana tahu Aqel beli yang material jarang mahupun yang berbulu – bulu binatang. Eee... tidak sanggup aku hendak memakainya. Nanti tidak pasal – pasal sia – sia saja usaha Mak Long mendamaikan kami.

Hari Sabtu ini Nana sudah berjanji akan menemaniku ke pusat membeli – belah untuk membeli cardigan itu. Majlis meraikan pertunangan olok – olok Aqel ini masih aku rahsiakan daripada pengetahuan Nana memandangkan dialah pencetus idea terhadap rancangan itu. Kemudian aku pula yang jadi pelaksananya. Namun aku tidak mahu menyalahkan Nana. Nana sekadar pencadang dan tidak pernah memaksa aku untuk melakukannya.
“Yang ini cantik” tutur Nana seraya menayangkannya kepadaku. Aku geleng kepala.
“Pendek sangat” komenku. Mencari lagi.
“Yang ini mesti kau suka” tutur Nana begitu yakin dengan pilihannya kali ini.
“Cantik....” pujiku lalu menatap tag harganya. Dahiku berkerut.
“Mahal sangat” keluhku.
“Hey...... kedekutnya kau! Sepupu banyak duit mintalah dia bayar untuk kau” cadang Nana. Tidak berbaloi aku hendak belanjakan duit aku seratus hanya untuk mendapatkan cardigan itu.
“Tak ingin aku!” sahutku sambil mencebik. Nana tergelak.
“Dia tu kalau beli pakaian perempuan terlebih citarasa” kutukku disambut dengan gelak Nana lagi.
“Mestilah diakan biasa di kelilingi model – model cantik dan seksi” ujar Nana langsung tidak mahu menyalahkan Aqel.
“Dahlah cakap pasal dia. Rimas tau!” rungutku. Nana hanya geleng – geleng kepala.
“Tak sangka orang handsome macam Aqel itu pun boleh buat kau rimas” perli Nana. Aku hanya menulikan telingaku. Tidak hairan mengapa Nana bercakap begitu sebab dia salah seorang peminat Aqel.
“Esok – esok kalau kamu berdua jadi suami – isteri tak tahu aku apa akan jadi dengan kau kalau begini perasaan kau pada Aqel” omel Nana semakin meleret – leret.
“Bila masa pula saya nak nikah dengan dia” sahutku.
“Mana tahu sebab aku dengar Mak Long kau sayang sangat pada kau. Mak kau pun suka juga pada Aqel kan” tutur Nana berhujah.
“Sudah.... sudah.... jangan fikir yang bukan – bukan” arahku tidak mahu memeningkan kepala dengan perkara yang tidak pernah terlintas di fikiranku. Nana tersenyum.

Akhirnya aku terpikat pada cardigan kain baldu warna hitam. Ringkas dan menarik dengan harga yang berpatutan. Kemudian belanja Nana minum sebagai menghargai masa yang diluangkannya bersamaku. Bagi mereka yang bekerja masa cuti hujung minggu begitu bererti. Tepat pada pukul 4.00 petang, aku mengajak Nana balik memandangkan majlis itu akan berlangsung malam ini. Tanpa banyak soal, Nana terus menghantar aku ke Pujangga Highlands. Terpegun Nana melihat kemewahan dan gahnya banglo Mak Long ini. Tidak sempat hendak mengajak Nana masuk memandangkan dia sudah berjanji dengan ibu bapanya untuk pergi bersama bagi memenuhi undangan kenduri kahwin jiran mereka.
“Awak belum nak bersiap lagikah?” suara Aqel menyapaku. Aku berpaling. Aqel berada di anak tangga terakhir sedang melontar pandangan ke arahku.
“Sekejap lagi” sahutku masih mahu bersantai di ruang tamu sambil menonton drama episod di tv3. Aku bersiap tidak perlukan banyak masa. Cukup solekan ala kadar dan tukar baju. Selepas itu boleh terus pergi.
“Awak nak tumpang kereta sayakah?” soal Aqel lagi. Alah.... banyak soal pula lelaki ini! Kacau betul! Sengaja mahu hilangkan fokusku pada drama yang sedang berlangsung ini. Aku geleng kepala.
“Saya drive sendiri nanti” jelasku. Memandangkan malam ini aku terpaksa memakai gaun maka aku akan memandu kereta Waja mak ke majlis itu. Ada sesuatu yang sedang bermain di fikiranku. Lantas aku berpaling ke arah Aqel.
“Awak dah siap sedia untuk majlis nanti?” soalku penuh makna tersirat. Aqel mengangguk. Lega.
“Dengar – dengar awak kena buat ucapan nanti. Mereka akan minta awak bercerita tentang pertemuan pertama awak dengan tunang awak tu” jelasku lagi dengan suara yang ditahan – tahan. Tidak mahu Mak Long turut mendengarkannya nanti pecah tembelang.
“Apa saya nak cerita nanti ya...” Aqel berfikir – fikir membangkitkan kerisauanku. Ternyata Aqel belum cukup bersedia.
“Apa kata kalau saya cerita pertemuan pertama saya dengan dia ketika dia sedang bekerja. Kemudian saya minta tolong dia. Tidak sangka nasib malang menimpanya sebaik saja menghulurkan pertolongan kepada saya. Selepas itu dia marah dan kutuk saya macam – macam setelah rayuannya tidak saya hiraukan malah mula bertindak sendiri. Akibatnya dia tertangkap. Saya mula kasihan melihat dia lalu menyelamatkannya dari tuduhan sebagai penceroboh. Akhirnya dia membalas jasa baik saya dengan ayam KFC. Bermula dari situ berputiklah cinta saya dengan dia” tutur Aqel begitu lancar. Terlopong aku mendengarkannya. Jalan cerita yang sempurna.
“Itu cerita kita berdualah...” tingkahku. Aqel tersenyum. Kasihan juga Aqel. Bagaimana dia hendak fikirkan perkara ini kalau dia sendiri tidak mengalaminya. Bukankah Aqel boleh gunakan babak pertemuan dengan kekasihnya yang akan diperkenalkannya di majlis ini nanti.
“Tak apalah awak boleh pinjam jalan cerita itu nanti...” ujarku memberi keizinan dengan perasaan timbang rasa dan tolak ansur. Dalam keadaan terdesak sekarang mungkin Aqel tidak boleh berfikir lagi. Lagipun tiada siapa yang mengetahui jalan cerita itu sebenarnya adalah kisah yang berlaku antara aku dengan Aqel. Hanya aku dan Aqel saja yang tahu.
“Awak bersiaplah cepat. Takkan nak biarkan orang yang diraikan nak tunggu awak pula. Rasanya Haqem takkan mulakan majlis tanpa kehadiran awak” tutur Aqel bersahaja. Tajam pandangan mataku menatap Aqel tatkala menyebut nama lelaki itu. Dia bukan tidak tahu yang aku tidak suka mendengar nama itu. Aqel tersengih. Cukup mengerti dengan pandangan tajamku itu.
“Saya bersiap sekejap je. Selepas tukar baju nanti teruslah pergi” ujarku. Aqel mencebik. Barangkali kedengaran agak pelik di telinganya.
“Biar Mak Long tolong Lia siapkan diri” suara Mak Long mencelah. Aku dan Aqel berpaling. Mak Long yang baru saja muncul dari dapur tersenyum.
“Betulkah ni Mak Long nak tolong Lia?” soalku teruja. Mak Long mengangguk.
“Awak belum tahu lagi bakat mama menandingi Mak Andam” tutur Aqel mengusik Mak Long. Mak Long tergelak. Apa salahnya aku mencuba kepakaran Mak Long. Pasti Mak Long akan buat yang terbaik untukku.
“Mari Lia...” ajak Mak Long. Kumatikan tv. Lantas bangkit dari dudukku.
“Kamu pun bersiaplah...” arah Mak Long pada Aqel.
“Hyeon memang dah cukup kacak pun tak perlu nak berhias sakan” sahut Aqel bongkak. Aku mencebik ke arah Aqel. Sombong sangat! Bergegas aku dan Mak Long beredar ke bilik. Baru saja melangkah ke bilik ini, Mak Long berpatah balik ke biliknya sebab ada barang yang tertinggal. Aku tergamam melihat Mak Long muncul dengan kotak ajaibnya. Maksud aku kotak peralatan soleknya. Baru aku tahu rupanya Mak Long pernah mengambil kursus mendandan sekadar suka – suka. Pernah juga Mak Long membuat kebajikan dengan kebolehannya ini. Menurut Mak Long dia menggunakan ilmu yang dipelajarinya ini untuk menyolek pengantin dalam kalangan anak ahli persatuan secara percuma. Hebat juga Mak Long ini! Dalam diam ada bakat yang tersembunyi.
“Suatu hari nanti kalau Lia jadi pengantin boleh Mak Long yang hias Lia?” soal Mak Long. Aku tersenyum dan mengangguk. Sangat dialu – alukan. Buat apa aku susah – susah mahu cari orang lain sedangkan Mak Long ada kepakaran Mak Andam. Setelah usai menyolek dan menata rias wajahku, kini giliran rambutku pula untuk mendapat sentuhan tangan Mak Long.
“Malam ini Mak Long akan buat Lia bagai puteri. Biar semua orang terpegun termasuklah Aqel yang sombong itu. Mak Long nak penampilan Lia yang luar biasa daripada biasa” tutur Mak Long bergurau. Aku tersenyum.
“Jangan pandang cermin dulu. Sekarang pakai gaun itu” arah Mak Long. Aku bangkit dari dudukku. Patuh dengan arahan Mak Long. Cuba menyabarkan hati tidak mahu menatap cermin. Mak Long membantu menyarungkan gaun hitam labuh ini di tubuh. Kucapai cardigan yang kubeli petang tadi lalu menyarungkan di lenganku. Tangan Mak Long lincah merapikanku. Kemudian menilik – nilik aku seketika.
“Wah, cantiknya Lia! Betul – betul bagaikan puteri” puji Mak Long melangit dan begitu kagum. Aku tersenyum.
“Boleh tengok cermin sekarang, Mak Long?” soalku tidak sabar – sabar. Mak Long mengangguk. Aku berpaling berdepan dengan cermin. Aku tergamam. Betulkah ini aku? Rasa segan pula hendak mengakui bicara Mak Long sebentar tadi. Khuatir riak jadinya. Namun itulah hakikatnya. Aku memang bagaikan Cinderella yang cantik untuk seketika. Habis saja majlis ini nanti aku akan kembali pada Lia yang asal. Kupeluk tubuh Mak Long.
“Terima kasih Mak Long. Mak Long memang setanding dengan Mak Andam profesional” pujiku jujur. Mak Long tersenyum lebar. Gembira hatinya melihat aku berpuas hati dengan hasil sentuhan tangannya ini.
“Paling penting keyakinan dalam diri Lia. Kalau orang tengok Lia, Lia hanya perlu tersenyum saja. Harus diingat orang tengok Lia sebab terpegun dengan kecantikan Lia. Perempuan lain berbisik – bisik jangan pedulikan mereka sebab mereka cemburu melihat Lia jadi perhatian” tutur Mak Long memberi kata – kata motivasi padaku. Aku tergelak.
“Ingat baik – baik kata Mak Long ini” pinta Mak Long. Aku mengangguk. Demi susah payah Mak Long aku akan lakukan yang terbaik malam ini. Aku tidak akan menghampakan Mak Long. Tiba – tiba kedengaran bunyi mesej kuterima. Mak Long mencapai telefon bimbitku lalu menyerahkan padaku.
“Mungkin kawan – kawan Lia sedang cari Lia sekarang” tutur Mak Long membuat andaian. Aku senyum. Lantas kubukan kotak mesej. Mesej daripada Aqel.

~ Jangan lama sangat bersolek. Saya sudah sampai di sini. Orang lain pun sudah ada di sini kecuali awak seorang saja. Cepat datang...!!! ~ Biar betul. Jangan – jangan Aqel sengaja hendak mempermainkan aku. Siapalah gerangan tunang Aqel malam ini? Di manakah dia mendapatkan gadis itu? Mungkin juga kekasihnya.

“Siapa Lia?” soal Mak Long mengejutkan aku.
“Aqel Mak Long suruh datang cepat” jelasku.
“Budak tu memang tak menyabar – nyabar” keluh Mak Long. Aku tersenyum.
“Kalau macam tu Lia pergi dululah, Mak Long” ujarku meminta diri. Mak Long mengangguk sambil menepuk – nepuk lembut belakangku.
“Buat sehabis baik tau” pesan Mak Long. Aku mengangguk lalu melangkah pergi bersama satu tekad sambil diperhatikan oleh Mak Long. Majlis meraikan pertunangan Aqel ini diadakan di ruang lobi KDUT. Seperti yang dikatakan oleh Aqel sudah ramai warga KDUT berkumpul di sini. Aku berselawat tiga kali bagi membina keyakinan diri. Dengan kalimah puji – pujian ke atas Allah S.W.T, aku melangkah melewati pintu utama dengan berhati – hati. Kurang biasa dengan sepatu tinggi ini. Berpasang – pasang mata menoleh ke arahku lalu menatapku lama. Nampak terpegun. Kemudian ada pula golongan perempuan yang berbisik – bisik sambil menatapku. Serta merta aku teringatkan pesanan Mak Long kepadaku. Lantas aku mengukir senyuman selebarnya.

Aqel yang terpegun seketika menatap gadis itu cepat saja tersedar. Laju saja dia melangkah ke arah gadis itu. Tanpa disedarinya Haqem juga sedang melangkah ke arah gadis itu.
“Lamanya awak bersolek” rungut Aqel sambil menatapku. Aku memaksa diri tersenyum pada Aqel memandangkan masih banyak mata memerhatikan aku.
“Lia, cantiknya awak malam ini” puji satu suara milik lelaki. Aku dan Aqel serentak berpaling. Haqem tersenyum.
“Ya awak memang cantik malam ini” tutur Aqel menyokong pujian Haqem sebentar tadi. Aku tersenyum lagi. Di depan sana kelihatan Marnie terburu – buru mendapatkan aku.
“Wah, cantiknya awak Lia! Macam orang yang nak diraikan pula” tutur Marnie buat aku segan. Tidak mahu ada yang salah tanggapan. Cepat kutarik tangan Marnie menjauhi Aqel dan Haqem. Mereka tercengang – cengang memerhatikan gelagatku.
“Betulkah penampilan saya malam ini nampak keterlaluan?” bisikku menyoal Marnie.
“Hey....takdelah! Awak jangan pula salah faham dengan bicara saya tadi” tutur Marnie menenangkan aku yang mula cemas. Aku mengeluh.
“Awak memang cantik sangat sampai mahu terkeluar anak mata Encik Aqel dan Encik Haqem tengok awak. Rania pun tak tentu arah tengok awak secantik ini” puji Marnie.
“Janganlah puji saya lebih – lebih. Seganlah...” luahku tidak senang hati. Marnie tergelak. Aku menarik nafas cuba melegakan diri.
“Saya puji ikhlas” tutur Marnie meyakinkan aku.
“Mana perginya tunang Encik Aqel ini? Kenapa belum sampai – sampai lagi ni” tutur Marnie turut mengejutkan aku. Kupandang Marnie.
“Kenapa Encik Aqel tak jemput dia tadi?” soalku musykil. Aku ingatkan perempuan itu sudah sampai tadi. Tidak teringat pula mahu bertanya pada Aqel tentang perkara ini memandangkan dia bersendirian menemuiku tadi. Tidak sedar pula aku dengan perkara ini.
“Encik Aqel kata dia nak datang sendiri” jelas Marnie. Aku melihat Aqel bergerak ke depan. Kemudian menemui pengacara majlis. Semua warga KDUT sudah bergerak ke depan mendekati pentas. Bila – bila masa majlis akan dimulakan. Kelihatan Reka melambai – lambai tangan ke arah kami. Aku dan Marnie lantas mendapatkan Reka yang berdiri berdekatan dengan pentas. Kedengaran suara pengacara majlis berkumandang. Semua sudah tidak sabar – sabar menanti kemunculan tunang Aqel termasuklah aku. Biarpun aku tahu cerita sebenarnya namun aku masih ternanti – nanti gerangan perempuan yang akan Aqel perkenalkan sebagai tunangnya. Nun jauh di sudut hatiku aku simpati pada Aqel kerana terpaksa melalui semua ini.   

“Sudah sampai saat yang dinantikan kita jemput Encik Aqel naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan beliau. Sudah menjadi adat KDUT juga diminta Encik Aqel berkongsi cerita dengan kita semua tentang pertemuan beliau dengan gadis bertuah yang telah berjaya menawan hati Encik Aqel. Dipersilakan.....” tepukan gemuruh memenuhi ruang legar lobi yang telah dihias indah ini. Terasa dadaku berdebar – debar. Adakah Aqel mampu melakukannya dengan baik? Maafkan aku Aqel. Aku memang bersalah pada kau. Pandanganku tidak lari – lari dari menatap Aqel yang sudah terpacak di atas pentas dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Wajahnya tampak begitu tenang. Dengan sepasang kot hitam itu, Aqel kelihatan begitu segak. Suara Aqel memberi salam sebagai mukadimah ucapannya kedengaran. Aku dengan teliti mendengarkannya. Begitu juga yang lain. Semuanya memberi perhatian pada Aqel di atas pentas.

“Tidak banyak yang ingin saya perkatakan. Saya minta maaf sebab merahsiakan perkara ini daripada kalian. Sebetulnya saya mahu membuat kejutan yang paling dahsyat” tutur Aqel berjenaka disambut dengan gelak tawa. Aku tersenyum. Pandai juga Aqel berlawak.
“Mana tunang Encik Aqel?” sayup – sayup ada suara perempuan melontar persoalan itu. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling. Cuba menjejaki bayangan seorang gadis yang bakal Aqel umumkan sebagai tunangnya kepada semua orang yang berada di sini.
“Yalah Encik Aqel....” sahut suara yang lebih ramai. Dadaku semakin berdebar – debar. Risau terbongkar segala tembelang.
“Sabarlah semua. Saya belum habis berucap lagi. Gunung dikejar takkan lari” tutur Aqel tersenyum. Kedengaran gelak tawa lagi. Pandai juga Aqel berperibahasa. Syukur Aqel masih mampu bertenang.
“Encik Aqel ceritakanlah kisah pertemuan kalian” pinta satu suara sudah tidak sabar.
“Kalian semua memang jenis yang tak menyabar ya....” ujar Aqel mengusik.
“Betul Encik Aqel....!” sahut semua hampir serentak disusuli dengan tawa yang panjang. Dalam diam aku kagum dengan Aqel. Karismanya sebagai pemimpin begitu terserlah.  
“Ceritalah Encik Aqel....” rayu suara – suara perempuan. Aqel berdehem – dehem buat – buat segan. Ada tawa lagi lantaran tercuit memerhatikan tingkahlaku Aqel. Kemudian menyusul suara ramai memohon permintaan yang sama.
“Saya bertemu dengan gadis ini di sini....” tutur Aqel memulakan bicara.
“Aaahhh....!” Ramai yang terkejut mendengar kenyataan Aqel ini.
“Pertama kali bertemu dengannya, saya sudah tahu betapa istimewanya dia”
“Wow...!” sahut yang lain. Aqel tersenyum. Ikhlaskah Aqel berbicara sedemikian? Aku tersenyum sendiri. Kata – kata manis adalah mainan bibirnya.
“Saya berkenalan dengan dia secara tidak langsung. Dia telah membantu saya pada hari itu. Malangnya pertolongan yang dihulurkan mendatangkan masalah buat dirinya. Pertemuan kedua kami tidak berjalan lancar.....” Sunyi sepi. Semuanya memberi tumpuan pada Aqel yang berada di atas pentas. Aku mula terbayang detik – detik pertemuanku dengan Aqel. Terbayang di mataku aku sedang mengejar langkah Aqel. Kemudian aku dihalau oleh pengawal keselamatan dan dituduh sebagai penceroboh. Segalanya terakam kembali. Suara Aqel sudah tidak kedengaran lagi. Aku kembali pada babak kisah itu. Tenggelam seketika.
“Saat yang ditunggu – tunggu sudah tiba. Sekarang saya perkenalkan tunang saya...” bicara Aqel terhenti. Aqel terus saja melangkah turun dari pentas. Langkah diatur begitu tersusun. Wajahnya nampak tenang. Semua mata sedang mengiringi langkah Aqel. Masing – masing tertanya – tanya siapa gerangan gadis itu. Langkah Aqel terhenti. Semua terlopong menatap gadis yang berdiri di sebelah Aqel ketika ini.
“Lia.....! Lia....!” separuh menjerit suara Marnie dan Reka singgah di telingaku. Aku tersentak. Babak kisahku dengan Aqel terus lenyap. Tergamam melihat Aqel sudah berdiri di sebelahku. Semua orang sedang menatapku.
“Saya perkenalkan kepada semua. Inilah gerangan tunang saya Cik Nur Dahlia binti Sallehudin dan nama panggilan istimewanya Flora” ujar Aqel menyentap tangkai jantungku. Seketika seakan aku tidak bernafas. Rasa terkejut yang luar biasa. Kedengaran bunyi tepukan gemuruh menyambut pengumuman yang baru saja keluar dari mulut Aqel. Kulihat Marnie dan Reka melonjak keriangan. Sedar – sedar Aqel sudah menarik tanganku membawa aku naik ke atas pentas. Bagaikan aku tidak berpijak di alam nyata tatkala menuruti langkah Aqel. Semua mata sedang tertumpu pada aku dan Aqel.

“Ingat hanya saya yang boleh memanggilnya dengan nama itu. Saya berharap kalian doakan kebahagian kami berdua” tutur Aqel lagi.

Di atas pentas ini aku terpandang wajah Haqem yang serius menatapku. Kemudian aku nampak wajah menyinga Rania. Aku sedar bahawa aku bakal menghadapi masalah besar sekarang. Rania pasti tidak akan melepaskan aku. Oh... matilah aku kali ini. Aku berpaling menatap Aqel yang berdiri di sisiku sedang tersenyum manis bagaikan detik ini betul – betul hari bahagia buatnya. Akhirnya aku memaksa diri untuk tersenyum mengiringi senyuman Aqel.

No comments:

Post a Comment