BAB 37
“Terima kasih Haqem” tuturku
atas kesudiannya belanja aku makan bersama Aqel sebentar tadi. Haqem tersenyum.
Wajahnya nampak ceria. Kemudian membawa hala langkahnya sendiri. Lantas aku
mengiringi langkah Aqel yang sebentar tadi hanya menjadi pemerhati gelagatku
dengan Haqem.
“Awak dan Haqem sudah
berdamaikah?” soal Aqel tersenyum. Kutulikan telinga. Malas mahu mengulas
perkara itu.
“Bagus juga kalau kamu sudah berdamai. Tidak payah juga awak asyik bermasam muka. Haqem pun tidak perlu susah hati lagi” jelas Aqel. Kupandang wajah Aqel.
“Haqem susah hati?” kuulangi bicara Aqel itu. Aqel mengangguk.
“Sejak berpisah dengan awak perasaan itulah yang melanda dirinya. Saya pun rasa bersalah juga kepada Haqem sebab telah menipu dia tentang hubungan kita” keluh Aqel. Aku terdiam. Haqem rasa bersalah sebab meninggalkan aku? Kenapa perlu rasa bersalah kalau itu sudah kemahuan hatinya? Adakah Haqem meninggalkan aku kerana terpaksa? Bertindih – tindih soalan mendatangiku.
“Kalau awak mahu bersama Haqem semula terpaksalah kalian menjalinkan hubungan sulit ha...ha....ha...” Aqel tergelak sendiri. Tajam jelinganku singgah di wajah Aqel.
“Awak perlu dengar cakap Haqem” nasihat Aqel mula serius. Dengar cakap Haqem? Apa maksud yang cuba Aqel sampaikan kepadaku. Aqel bergerak lebih pantas sehingga menjarakkan dirinya dariku. Aku cuba mengejar langkah Aqel.
“Untuk apa perlunya saya dengar cakap Haqem?” soalku meminta penjelasan.
“Sesuatu yang penting untuk awak ketahui” sahut Aqel berteka – teki.
“Maksud awak?” soalku tidak mahu terus bersoal – jawab sendiri. Langkah Aqel mati. Wajahku ditatap. Aku dan Aqel saling berpandangan seketika.
“Lebih baik awak dan Haqem berbual” cadang Aqel tidak mahu memberikan penjelasan lanjut. Aku melepaskan keluhanku. Gagal untuk membuatkan Aqel menjelaskan segala – galanya. Aqel terlalu berahsia. Beginilah lumrah sikap seorang lelaki.
“Tiada perkara yang perlu saya bualkan dengan Haqem selain berkaitan bidang kerja” tegasku serius. Aqel melepaskan keluhannya.
“Sangat perlu!” tingkah Aqel serius juga lalu menyambung langkahnya. Di persimpangan ini, aku dan Aqel berpisah mengikut haluan sendiri. Kalau perlu sangat mengapa Aqel tidak berterus terang sahaja kepadaku. Aku sedar Aqel tidak mahu mencampuri urusan peribadiku dengan Haqem. Lalu aku teringat pada permintaan Haqem di awal pertemuan kami dahulu. Haqem memang bertegas mahu berbicara denganku. Namun aku tidak pernah memberikan kesempatan kepada dirinya. Perlukah aku mendengar nasihat Aqel? Perlukah aku memberi kesempatan kepada Haqem untuk mengungkit kisah percintaan lalu kami? Semua itu sudah lama berlalu, untuk apa diungkit lagi. Tiada apa yang dapat diubah lagi. Kehidupan harus diteruskan. Namun bicara Aqel membuatkan aku tertanya – tanya. Betapa aku tidak menyukai keadaan begini. Aku pasti Aqel tidak akan menjelaskan apa – apa kepadaku.
“Awak ini pandai sangat hendak
rampas kekasih orang lain tahu” suara garang yang bernada sinis singgah di
telingaku. Kulontar pandanganku ke muka pintu. Rania sedang melangkah masuk
dengan wajah seriusnya. Langkahnya mati tepat – tepat di depanku. Wajahku
ditatap garang. Sedikit menggerunkan aku berhadapan dengan Rania tika ini. Aku
tahu dia boleh bertindak di luar dugaan. Memang tabiatnya suka menyerang dan
mencederakan orang lain.
“Ada apa lagi yang Cik Rania tidak puas hati kepada saya?” soalku memberanikan diri. Sudah sampai masanya aku berhadapan dengan Rania.
“Oh.... kali ini awak sudah berani hendak soal saya pula, ya” tutur Rania tidak senang sambil mendengus kasar. Aku diam menatapnya. Siapa yang boleh bertahan dengan sikap Rania yang panas baran ini.
“Jangan fikir kerana Encik Aqel dan Encik Haqem mahu lindungi awak, saya tidak berani hendak apa – apakan awak!” tengking Rania melempiaskan marahnya. Aku terkedu mendengar kenyataan yang baru sahaja keluar dari mulut Rania. Betulkah Haqem mahu melindungiku? Lantas aku teringat pada bicara Haqem yang mengarahkan Rania menemuinya. Mesti ada sesuatu yang Haqem telah katakan kepadanya.
“Sebagai majikan memang patut Encik Aqel dan Encik Haqem menegur kesalahan orang bawahannya sekali gus melindungi pekerjanya yang lain” ujarku memberi penjelasan kepada Rania agar dia tidak tersalah tafsir terhadap tindakan Aqel dan Haqem. Rania mendengus kasar.
“Awak sudah berani menjawab, ya” tengking Rania lagi sambil tajam menatapku. Nampak Rania berusaha menahan kemarahannya. Dia menggigit bibirnya menahan perasaan geramnya. Matanya membutang menatapku.
“Saya tidak akan biarkan awak hidup senang di KDUT ini. Biarpun saya tidak dapat serang awak, jangan lupa saya boleh sakiti awak dengan cara lain!” jerkah Rania penuh dendam kasumat. Satu peringatan yang harus aku ingat sampai bila – bila. Aku mesti sentiasa lebih berhati – hati selepas ini. Aku tahu Rania akan mengotakan kata – katanya. Dia mampu bertindak tanpa belasan kasihan asalkan dia dapat mencapai perkara yang dihajatinya. Justeru, Rania tidak akan berhenti mahupun mengalah begitu sahaja selagi hajat hatinya tidak tercapai.
“Cik Rania ugut sayakah?” soalku cuba mengingatkan Rania bahawa perbuatannya ini adalah satu kesalahan. Rania mendengus geram.
“Apa! Awak mahu mengadu kepada Aqel dan Haqem lagikah?” soal Rania sinis. Teryata Rania sudah salah tanggapan kepadaku. Sama sekali aku tidak pernah mengadu kepada Aqel dan Haqem tentang tindakan kasar Rania terhadapku. Aku membisukan diri. Tidak berniat mahu berbicara dengan Rania lagi. Dalam keadaan sekarang Rania sudah hilang pertimbangan. Dia tidak akan dapat menerima bicaraku dengan baik.
“Saya tidak tahu apa yang telah awak lakukan kepada Aqel dan Haqem sehingga beriya – iya benar mahu melindungi awak. Namun saya tidak akan berdiam diri dan membiarkan mereka berdua di bawah penguasaan awak. Awak akan terima balasan setimpal dengan apa yang telah awak lakukan” tegas Rania berbaur ancaman, lalu melangkah meninggalkan aku. Kelibat Rania lenyap di sebalik pintu. Aku menelan liur mengingati bicara Rania sebentar tadi. Berdasarkan bicaranya itu seolah – olah dia beranggapan aku telah menyihir Aqel dan Haqem. Nauzubillahminzalik...! Seakan aku ingin segera meninggalkan syarikat KDUT. Berat hatiku mahu terus berada di sini lagi. Namun aku sudah menandatangani perjanjian dengan Puan Rosie untuk berada di KDUT. Nasibku dan teman – teman CNFL berada di tanganku. Aku terbayang wajah – wajah temanku di CNFL. Tidak sanggup aku menyusahkan mereka setelah memberi sedikit kesenangan kepada mereka. Walau apapun berlaku aku mesti bertahan di sini. Muktamad! Aku memang tidak dapat melarikan diri daripada Rania lagi. Aku akan menghadapi kerenah Rania. Nekadku.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Aqel tersenyum sendiri
menyaksikan Haqem termenung panjang di anjung istirehat itu. Namun senyuman itu
sementara sahaja. Pandangan sahabatnya itu seolah – olah menembusi dinding
konkrit itu. Perlahan – lahan keluhan Aqel tercetus. Dia menyedari perubahan
sikap Haqem yang berpunca daripada pertunangan olok – oloknya dengan gadis itu.
Dia rasa bersalah kepada Haqem. Aqel mula terperangkap dengan tindakannya
sendiri.
“Assalamualaikum.... termenung panjang nampak” tegur Aqel menyentakkan Haqem. Sekilas senyuman terukir di bibir Haqem yang terkejut dengan kedatangan Aqel itu. Aqel terus saja duduk di sofa bertentangan dengan sahabatnya itu. Wajah Haqem ditatapnya.
“Awak sedang fikirkan Flora?’ tekanya.
“Aaa....” Haqem nampak terkebil – kebil dilontar dengan pertanyaan sedemikian. Aqel hanya tersenyum. Sedikitpun tiada reaksi marah yang terpamer di wajahnya.
“Saya rasa awak dan Flora perlu berbual panjang” saran Aqel nampak begitu tenang. Haqem tersentak lagi. Dipandangnya wajah Aqel. Tidak diduganya Aqel akan bersikap begini sedangkan gadis itu adalah tunangnya. Gadis yang bakal menjadi suri hidupnya malah melahirkan zuriat penyambung keturunan Aqel. Mengapa Aqel masih mampu setenang itu sedangkan gadis yang sudah menjadi miliknya ada dalam fikiran lelaki lain. Tidakkah Aqel berasa cemburu tatkala lelaki lain memikirkan tentang tunangnya? Adakah perasaan sayang dan mencintai gadis itu belum tersemai dalam diri Aqel memandangkan pertunangan mereka atas kehendak keluarga? Banyak sangat persoalan yang bermain di benak Haqem.
“Awak tidak marah kalau saya selalu jumpa Lia?” soal Haqem menguji. Laju saja Aqel mengangguk. Aqel tersenyum.
“Awak boleh bertemu Flora andai dia sendiri mahu bertemu awak” tutur Aqel tenang. Haqem menarik nafas lega. Keizinan Aqel menyenangkan hatinya. Sesungguhnya, ada ruang untuknya bersama gadis itu lagi.
“Cuma saya harap awak lindungi dirinya. Saya tidak mahu sesiapa menyakiti Flora” ujar Aqel meminta jaminan daripada sahabatnya itu. Haqem terdiam. Dia cukup mengerti akan permintaan Aqel itu. Sudah semestinya Aqel tidak mahu Datin Sofea mahupun Bella menyakiti gadis itu. Haqem mula merasakan perasaan sayang Aqel terhadap gadis itu. Rasa cemburu mula menjalar dalam dirinya.
“Saya sudah berjanji kepada mama dan mak Flora akan melindungi Flora” tutur Aqel memberikan penjelasan terperinci terhadap bicaranya sebentar tadi. Haqem tersenyum. Lega. Kalau itu sebab musabab Aqel mengambil berat terhadap gadis itu dia tidak perlu iri hati lagi. Kemudian Haqem teringat pada ikatan yang terjalin antara Aqel dengan gadis itu. Mereka sudah bertunang dan hanya menunggu masa sahaja untuk bernikah. Kemudian Aqel dan Lia akan tinggal bersama. Mereka akan melahirkan anak – anak yang comel untuk melengkapkan kebahagiaan mereka. Aduh... sukar untuk dirinya membayangkan semua itu!
“Apa yang ada dalam fikiran awak sekarang, Haqem?” soal Aqel tatkala melihat dahi Haqem berkerut – kerut. Bagaikan ada masalah besar yang menimpa diri Haqem tika ini.
“Patutkah saya berusaha untuk akrab dengan Lia lagi sedangkan dia sudah menjadi tunang awak? Nanti apa kata orang di sekeliling pula tentang kita” soal Haqem meluahkan kegusaran hatinya. Aqel terus sahaja tergelak membuatkan Haqem terpinga – pinga menatap. Hairan melihat tingkahlaku Aqel itu.
“Jangan pedulikan pandangan orang di sekeliling kerana Flora belum menjadi milik sesiapa. Dia berhak untuk memilih pasangan hidupnya. Awak masih berpeluang menebus kesilapan lalu awak” tutur Aqel berterus terang.
“Apa...!!!” Besar anak mata Haqem menatap Aqel. Sungguh dia keliru dengan bicara Aqel itu. Aqel masih kelihatan tenang.
“Maksud awak? Bagaimana pertunangan awak dengan Lia tempoh hari?” soal Haqem bertubi – tubi. Aqel menarik nafas dalam – dalam. Sudah sampai masanya untuk dia menceritakan segala – galanya kepada Haqem. Haqem tergamam dan terkedu. Sungguh dia tidak menyangka sejauh itu mereka bertindak. Namun dia gembira dan bersyukur Aqel dan Lia tiada hubungan serius selain hubungan persaudaraan.
“Awak jangan risau. Saya akan tetap rahsiakan perkara ini demi tujuan asal awak agar Rania tidak terus mengganggu hidup awak” tutur Haqem berjanji.
“Terima kasih, Haqem” ujar Aqel dengan senang hati. Itulah tujuan asalnya memohon pertolongan gadis itu. Namun tidak disangka pula perkara itu akan menjadi lebih serius.
“Terima kasih kepada awak juga” tutur Haqem.
“Terima kasih untuk apa?” soal Aqel tidak mengerti.
“Sebab awak tiada hubungan serius dengan Lia. Awak tahukan perasaan saya kepada Lia” tutur Haqem berlapang dada. Aqel hanya tersenyum.
“Awak tidak perlu risau. Saya bukan lelaki pilihan Flora. Ciri – ciri lelaki yang Flora suka ada pada awak” tutur Aqel ikhlas. Semakin lebar senyuman Haqem mendengarkan bicara sahabatnya itu.
“Walau bagaimanapun saya tetap bimbang dengan nasib Flora memandangkan Auntie Sofea tidak berkenan dengannya dan bagaimana pula dengan Bella. Namun saya masih percaya awak mampu menyelesaikan masalah ini” tutur Aqel menaruh keyakinan tinggi terhadap Haqem. Haqem terdiam seketika. Ditatapnya Aqel.
“Awak tidak perlu bimbang. Saya tidak akan ulangi kesilapan lalu saya. Sungguh saya tidak mahu kehilangan Lia untuk kali kedua” tutur Haqem nekad. Aqel tersenyum.
“Awak perlu berusaha lebih gigih untuk memenangi hatinya kembali” tutur Aqel mengingatkan Haqem bahawasanya untuk mendapatkan kembali kepercayaan gadis itu bukannya sesuatu yang mudah. Haqem mesti menggandakan usahanya agar Flora sudi memberikan peluang kedua kepada dirinya.
“Ya saya tahu bukan mudah untuk saya diterima kembali oleh Lia” tutur Haqem mengakui hakikat itu. Aqel tersenyum.
“Jangan cepat berputus asa. Usaha tangga kejayaan. Semoga awak berjaya” tutur Aqel memberikan kata – kata semangat sambil menepuk – nepuk bahu Haqem. Haqem tersenyum.
“Terima kasih, Aqel” tuturnya berbesar hati. Dalam hati Haqem sudah tersemat kesungguhan untuk melakukan yang terbaik demi menempatkan dirinya di hati gadis itu semula. Soal Datin Sofea dan Bella diketepikan seketika. Haqem tidak mahu mereka menjadi penghalang pada hajat hatinya. Dia percaya pertemuan keduanya dengan Lia memberi peluang kepada dirinya untuk menebus kesilapan lalu terhadap gadis itu. Haqem yakin dia masih ada jodoh untuk bersama Lia.
“Saya mahu keluar sekejap lagi. Ingat gunakan peluang sebaik mungkin. Saya tidak akan masuk campur hal kamu berdua selagi awak mampu melindungi Flora” tutur Aqel memberi peringatan kepada Haqem sahabatnya itu. Laju sahaja Haqem mengangguk.
“Saya tidak akan kecewakan awak, Aqel. Terima kasih” tutur Haqem tersenyum riang.
“Paling penting awak tidak akan kecewakan Flora” pinta Aqel berharap.
“Saya janji” sahut Haqem begitu yakin. Aqel terus sahaja bangkit dari duduknya lalu melangkah meninggalkan Haqem yang tersenyum panjang sendirian. Betapa bahagianya hati Haqem saat ini. Di matanya sudah terbayang hari – hari yang lebih membahagiakannya bersama gadis itu. Haqem terlupa seketika kepada Datin Sofea yang sudah pasti akan menentang hebat keinginannya itu malah Bella yang bakal menjadi penghalang pada impiannya itu.
“Saya akan bahagiakan awak, Lia” tutur Haqem berbicara kepada dirinya sendiri. Satu ikrar telah tersemat dalam dirinya. Haqem tersenyum lagi.
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Hari ini merupakan tanggal 10
Zulhijjah, maka Aidil Adha muncul kembali. Terasa menebal kerinduanku pada mak
dan Aziq. Tatkala tabir raya berkumandang air mataku menitis. Sayu dah syahdu
kurasakan. Rawan hatiku ketiadaan mak dan Aziq untuk bersamaku menyambut Raya Aidil Adha yang merupakan perayaan yang
dirayakan di seluruh dunia. Hari ini juga sangat istimewa kerana umat Islam
memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan
kerelaan anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah S.T.W. Malah tanggal
10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam apabila Nabi Adam dan
isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa
di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Seusai takbir iikuti dengan solat sunat Aidil
Adha serta khutbah Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah ini, aku dan Mak Long terus
sahaja balik ke rumah sementara Aqel masih berada di masjid untuk menyertai
penduduk taman ini bergotong – royong melakukan ibadah korban. Info yang aku
peroleh daripada Mak Long, Aqel juga menyumbangkan 10 ekor lembu untuk
dikorbankan seterusnya diagihkan kepada golongan fakir miskin serta saudara
baru. Alhamdulillah..... Aqel berkemampuan melakukan semua itu.
Setibanya di rumah, aku membantu Mak Long membuat persiapan terakhir. Hari ini ramai juga tetamu yang akan berkunjung ke rumah Mak Long. Seperti kelaziman mereka adalah sahabat handai Mak Long yang kebanyakan terdiri daripada ahli persatuan. Ada juga daripada kalangan sahabat handai Aqel dan teman – teman KDUT. Tidak terkecuali jiran tetangga di taman perumahan ini. Kemeriahan lebih terasa andai kami mempunyai keluarga yang besar. Inilah saatnya setiap ahli keluarga dan sanak saudara berkumpul. Tidak sampai sejam aku dan Mak Long usai membuat persiapan terakhir, kumpulan tetamu pertama pun sampai. Aku menghidangkan minuman serta mempastikan hidangan di atas meja tidak berkurangan. Mana yang kurang perlu ditambah. Sementara Mak Long berbual – bual melayan tetamu. Sesekali Mak Long membantu menghidang air melihat aku tidak mampu membuat banyak kerja serentak. Aku sedikit lega tatkala Aqel muncul membantuku menghidang air serta menambah hidangan yang kurang. Aku ada masa untuk berehat sekejap. Akhirnya Aqel mengambilalih sepenuhnya tugasku itu sementara aku mencuci pinggan mangkuk, sudu dan gelas di sinki.
“Boleh saya tolong awak?” suara lelaki menyapaku. Laju aku berpaling. Tersentak dengan kemunculan Haqem.
“Hey... tidak perlulah. Awak tetamu, pergilah masuk ke dalam. Sekejap lagi Aqel hidangkan air untuk awak” tuturku menolak pertolongan yang mahu dihulurkan oleh Haqem. Haqem tersenyum sambil terpacak tidak jauh dariku.
“Saya sudah pun minum dan menikmati semua hidangan di meja” sahut Haqem.
“Tidak apa, awak boleh makan lagi. Makanlah banyak – banyak” arahku mahu Haqem segera meninggalkan aku di sini.
“Biar sahaja Haqem tolong awak. Banyak pinggan dan gelas yang awak perlu cuci itu. Nanti tidak larat awak buat seorang – seorang” suara Aqel mencelah. Aqel baru sahaja muncul di muka pintu. Haqem mengangguk menyokong bicara Aqel itu.
“Cepat...! Saya perlukan banyak gelas dan pinggan lagi”
pinta Aqel memaksa aku menerima pertolongan Haqem. Tanpa disuruh Haqem terus
sahaja mencuci gelas dan pinggan yang telah aku gosok dengan cecair pencuci
dengan air bersih. Sesungguhnya, aku dan Haqem dapat bekerjasama dengan baik namun
masing – masing masih membisu. Nampak Haqem tidak janggal melakukan semua ini.
Bukankah Haqem sudah biasa tinggal bersendirian untuk sekian lama. Maka sudah
semestinya dia biasa melakukan kerja – kerja rumah. Dahulu pun ketika belajar
di universiti, Haqem menyewa rumah, maka kerja – kerja rumah dilakukannya
sendiri. Sebab itu juga aku percaya dengan kenyataan Haqem tempoh hari. Memang
Haqem yang membasuh sendiri kemejaku itu. Cepat sahaja aku dan Haqem
menyelesaikan kerja – kerja ini.
“Terima kasih atas pertolongan awak” tuturku menghargai pertolongan yang dihulurkannya sebentar tadi. Haqem hanya tersenyum.
“Maaf menyusahkan kamu berdua. Jikalau saya tahu tetamu ramai sebegini sudah pasti saya tempah sahaja pihak luar untuk menguruskan semua ini” tutur Aqel. Aku kurang senang mendengar bicara Aqel. Padaku nampak Aqel berkira sangat. Aku memang patut menolong mereka apatah lagi aku juga menumpang tinggal di banglo ini. Sebagai penghuni sementara di banglo ini sudah menjadi kewajipanku melakukan kerja – kerja sedemikian.
“Kamu berdua berbual – buallah. Saya masuk dahulu” tuturku lalu melangkah meninggalkan Aqel dan Haqem di dapur. Aku duduk bersama Mak Long melayan tetamu yang datang, lalu Mak Long memperkenalkan aku kepada sahabat handainya. Walaupun kurang berbual dengan tetamu, namun senyuman yang sentiasa terukir di bibirku sudah cukup menyatakan betapa aku menyenangi kehadiran mereka di sini. Datin Orkid sahabat Mak Long datang merapatiku, lalu dia berbisik – bisik menceritakan tentang anak terunanya yang pernah mahu dijodohkannya denganku. Datin Orkid ini juga tidak sudah – sudah menceritakan tentang kehebatan anak mudanya itu. Aku hanya mampu mengukir senyuman.
“Perempuan yang sedang berbual dengan Flora itu ada hati mahu jodohkan anak mudanya dengan Flora” cerita Aqel memaklumkan perkara itu kepada Haqem.
“Betulkah?” soal Haqem gusar. Aqel mengangguk.
“Awak tidak perlu bimbang, mama sudah awal – awal beritahu dia yang Flora sudah berpunya” jelas Aqel. Haqem menarik nafas lega.
“Mengapa mama awak boleh kata Lia sudah berpunya?” soal Haqem. Aqel menggeleng. Dia sendiri tidak mengerti dengan tindakan mamanya itu. Setahunya mamanya memang ada hubungan yang baik dengan Datin Orkid.
“Saya pun tidak pasti dengan tindakan mama itu. Namun setahu saya Lia tidak ada kekasih hati buat masa ini. Tidak tahulah kalau dia sudah bercinta dengan cikgu itu” tutur Aqel yang tiba – tiba sahaja teringat kepada Cikgu Firdaus.
“Cikgu? Cikgu yang mana pula ini?” soal Haqem gusar.
“Cikgu Firdaus yang mengajar adik Flora. Saya pernah tengok dia hantar Flora balik ke sini, tetapi sekali sahajalah” jelas Aqel tidak mahu berahsia. Hati Haqem serta merta dilanda kebimbangan. Nampak Datin Orkid yang sedang berbual – bual dengan Lia itu menyukai Lia. Risau kalau Lia terpaut pada kemesraan perempuan itu. Sempat juga Haqem membayangkan alangkah baiknya kalau mamanya juga seperti Datin Orkid. Pasti tiada halangan untuknya bersama gadis itu.
“Awak boleh tolong saya pastikan Lia tidak akan jatuh cinta kepada anak muda Datin Orkid” pinta Haqem kerisauan. Aqel terus saja tergelak.
“Saya seriuslah Aqel” tegas Haqem kurang senang melihat Aqel sedang tergelak itu. Tiba – tiba sahaja Aqel bangkit dari duduknya.
“Awak hendak ke mana?” soal Haqem terkebil – kebil menatap sahabatnya itu.
“Saya hendak tolong awak” sahut Aqel tersenyum, lalu mengatur langkah ke arah Lia dengan Datin Orkid. yang sedang berbual – bual itu. Haqem hanya memerhatikan langkah Aqel.
“Maaf.... Flora, Haqem ada perkara hendak cakap kepada awak” Aku tersentak dengan kemunculan Aqel yang tiba – tiba sahaja terpacak di depanku. Malah Datin Orkid. juga nampak tercengang – cengang.
“Apa awak kata tadi?” soalku kurang jelas dengan bicara Aqel sebentar tadi.
“Haqem ada perkara penting mahu cakap dengan awak” tutur Aqel mengulangi bicaranya. Kupandang wajah Aqel. Berat sahaja hatiku mahu berganjak dari sini meninggalkan Datin Orkid. Kebetulan pula perbualan kami belum habis lagi.
“Maaf datin, saya terpaksa pergi dulu” ujarku memohon diri.
“Hey.... tidak apa.. Kamu boleh pergi” tutur Datin Orkid sambil tersenyum. Aku bangkit dari kerusi. Sekelip mata sahaja Aqel mengambilalih tempat dudukku tadi. Kutinggalkan Aqel bersama Datin Orkid.
“Kamu kata tadi ada orang mahu jumpa Lia. Siapa lelaki itu, Aqel?” soal Datin Orkid sambil memuncungkan mulut ke arah Haqem yang sedang menanti kedatangan Lia. Aqel tersenyum. Sudah tiba masanya untuk dia memadamkan keinginan Datin Orkid bermenantukan gadis itu.
“Jikalau datin hendak tahu lelaki itulah jodoh Flora. Maksud saya Lia” tutur Aqel tersenyum menatap Datin Orkid. Sekali lagi Datin Orkid berpaling ke arah Haqem yang sudah berbual – bual dengan gadis itu.
“Hah... di sini rupanya kamu” tegur Puan Helda kepada anak mudanya itu. Aqel mengangguk dan tersenyum lagi.
“Datin, inilah anak muda yang pernah saya katakan jodoh untuk Lia”tutur Puan Helda.
“Apa...!!!” Serentak perkataan itu keluar dari mulut Aqel dan Datin Orkid sambil menatap Puan Helda. Perempuan itu menggaru – garu kepalanya. Bingung.
“Yang mana satu betul ini? Sekejap lelaki itu jodoh Lia, sekarang dia ini pula jodoh untuk Lia” keluh Datin Orkid. Aqel dan Puan Helda saling berpandangan. Kemudian sama – sama tersenyum. Dalam kepala Aqel mungkin mamanya sengaja berbicara sedemikian supaya Datin Orkid berpatah hati untuk menjadikan Lia menantunya. Mesti ada sebab musabab yang kurang menyenangkan hati mamanya membuatkan dia tidak merestui hajat sahabatnya ini. Lantas Aqel mengabaikan sahaja bicara mamanya itu. Bagi Puan Helda pula dia sangat senang hati dengan tindakan anak mudanya itu walaupun Aqel terpaksa menggunakan Haqem. Aqel dan Puan Helda beradu pandangan seketika. Ternyata tiada syak wasangka terhadap tindakan masing – masing. Tepat pada jam 5.00 petang barulah banglo Puan Helda kembali sunyi memandangkan sudah tiada tetamu yang berkunjung lagi.
“Biar Lia yang angkat Mak Long” pintaku menegah Mak Long
berbuat demikian. Mak Long mengangguk. Kucapai dulang ini lalu meletakkannya di
atas meja. Keletihan benar – benar terasa setelah seharian melayan tetamu yang
datang berkunjung. Aku
tersentak tatkala tangan Mak Long memegang tanganku. Anak mata Mak Long
merenung cincin di jariku buat aku cemas. Rasa menyesal pula menyarungkan cincin
ini di jari manisku hari ini. Semua ini gara – gara mahu mempamerkan kepada Haqem
serta teman – teman KDUT bahawa inilah cincin pertunangan yang Aqel hadiahkan kepadaku.
Sekarang bila – bila masa saja sebarang persoalan akan keluar dari mulut Mak
Long. Mak Long tersenyum lebar buat aku tidak mengerti.
“Mari minum Lia” ajak Mak Long
mula bersuara. Aku mengangguk lalu duduk di depan Mak Long. Kutuang air teh
panas ke dalam cawan sesekali melirik ke arah Mak Long. Mak Long masih
tersenyum sendiri. Wajahnya tampak begitu ceria.
“Minum Lia” arah Mak Long. Aku mengangguk dan masih ternanti – nanti persoalan yang bakal Mak Long ajukan. Kira – kira 15 minit sudah berlalu Mak Long belum mengajukan sebarang persoalan. Rasanya Mak Long kurang berminat mahu bertanya tentang cincin ini. Syukur ... syukur... Lega.
“Warna apa Lia suka?” soal Mak
Long mengejutkan aku.
“Warna?” soalku hairan. Mak Long mengangguk.
“Ungu dan merah” jawabku. Mak Long mengangguk sambil tersenyum lagi.
“Rasanya merah lebih sesuai. Sama – sama putih” tutur Mak Long berbicara sendiri. Keliru melihat tingkahlaku Mak Long.
“Lia suka bunga apa?” soal Mak Long lagi menambah kekeliruanku.
“Tulip” sahutku.
“Oh.... sama macam Mak Long. Mak Long pun suka bunga tulip juga. Memang kita serasi untuk terus tinggal sebumbung” tutur Mak Long membuatkan aku semakin tidak mengerti. Kuakui aku dan Mak Long memang serasi. Sikap Mak Long memang menyenangkan aku. Seusai menikmati minuman petang, Mak Long bergerak ke muka pintu utama.
“Mak Long hendak ke mana?” tegurku.
“Mahu siram pokok bunga” sahut Mak Long.
“Biar Lia tolong Mak Long” pintaku menawarkan khidmat tenagaku.
“Hey..... tidak perlu. Hari ini Lia banyak menggunakan tenaga. Jadi berehatlah saja di dalam bilik” arah Mak Long. Kelibat Mak Long terus hilang di sebalik pintu. Seketika aku mematungkan diri di depan pintu sambil terus berfikir. Bukan kepalang gembiranya Mak Long. Gembira yang luar biasa. Aku melangkah ke anak tangga.
“Flora....., apa hal mama
nampak gembira sangat ya?” suara Aqel melontar pertanyaannya. Langkahku yang baru saja menapak dua langkah terus saja
terhenti. Aku berpaling. Aqel sedang garu – garu kepala di muka pintu sambil
melontar pandangan ke arahku. Aku menggeleng sambil angkat bahu tanda tidak
mengerti dengan perubahan drastik tingkahlaku Mak Long ini. Penyakit perubahan
emosi yang tidak menentu Aqel sudah menjangkit kepada Mak Long.
“Mama siram pokok bunga sambil
menyanyi – nyanyi riang” cerita Aqel. Aku tersenyum mendengar bicara Aqel.
“Mesti dia gembira sebab tidak
lama lagi mak dan Aziq akan balik ke tanahair. Mak Long kata tidak sabar mahu
jumpa mereka” jelasku. Aqel mengangguk – angguk setuju dengan andaianku. Sejak
akhir – akhir ini Mak Long memang berkali - kali menyatakan perasaan terujanya ingin
bertemu dengan mak. Ternyata aku dan Mak Long berkongsi perasaan itu.
Best.....
ReplyDeletetqvm nuratiza. tqvm u all
ReplyDeletelagi, mau lia sama aqel ajah :(
ReplyDeleteheheheh asih kenalah tunggu cite seterusnya....tqvm asih
ReplyDeleteRasanya gak sabar nunggu,hehehe
DeleteBenar2 best :)
Jgn lama2 :D
nape cam ni xnk haqem msk cmpr xbest. nape aqel leh rilex je... hu33... plez cik writer nk flora ngan aqel.
ReplyDelete