Friday 14 December 2012

NamaKu Bukan Flora...30.... wajib baca semula...!




BAB 30

“Selamat pagi, Encik Haqem” sapa Marnie.
“Emmm...” Haqem mengangguk kepala. Marnie hanya geleng kepala menatap wajah mendung Haqem yang melangkah melewatinya. Awal pagi sudah tiada mood. Di fikiran Marnie mesti Haqem bergaduh dengan tunangnya lagi. Bella memang selalu sangat memberi tekanan kepada bos mudanya ini. Marnie hanya mampu bersimpati pada pemuda itu. Apa boleh buat gadis itu adalah pilihan Datin Sofea. Maka seperti biasanya Haqem hanya patuh pada bicara perempuan itu. Marnie memulakan tugasnya. Tidak mahu memikirkan masalah Haqem. Pasti pemuda itu ada cara tersendiri untuk mengatasi masalahnya.

Lama anak matanya menatap telefon bimbitnya di atas meja. Dia cuba membuat pertimbangan sewajarnya. Namun hati Haqem masih berbelah bahagi. Kalau boleh dia tidak mahu melibatkan Aqel. Namun hendak mengajukan perkara tersebut pada gadis itu adalah sesuatu yang mustahil. Lia sudah semestinya tidak akan menjawab panggilannya. Tanpa mahu berfikir panjang lincah saja  jari Haqem mencari nama Aqel dalam senarai nama yang tersimpan dalam memori telefon bimbitnya itu. Lantas terus saja panggilan dibuat. Seketika dia menanti panggilannya dijawab oleh sahabatnya itu. 
“Assalamualaikum Aqel. Kau bagaimana sekarang?” sapanya memulakan bicara tatkala kedengaran suara Aqel di talian.
“Alhamdulillah bertambah sihat. Esok dah boleh kerja” jelas Aqel.
“Baguslah kalau macam tu” Senyap seketika. Aqel sedikit hairan.
“Aqel aku ada sesuatu nak tanya kau ni” ujar Haqem tidak mahu melengahkan masa.
“Aik... macam penting je bunyinya. Apa halnya?” soal Aqel berbaur usikan. Kedengaran helaan nafas Haqem. Berat juga hatinya mahu bertanyakan perkara ini kepada Aqel, namun perasaan ingin tahunya melebihi segalanya.

“Betulkah Lia tak menamatkan pengajiannya?” tuturnya perlahan – lahan. Senyap. Ada debaran dirasakannya tatkala menanti Aqel bersuara.
“Ya pengajiannya tergantung macam tu saja” sahut Aqel tenang.
“Kau tahu sebabnya?” soal Haqem cemas. Kedengaran keluhan Aqel.

“Kisah cinta lalunya menjadikan dia tak mampu bertahan. Sorry....” tutur Aqel. Dia tahu kisah cinta tersebut berkait rapat dengan sahabat baiknya ini. Haqem melepaskan keluhan beratnya. Terbukti Puan Sofea tidak terlibat dalam hal ini. Sedikit melegakannya. Namun rasa bersalah kepada gadis itu tetap dirasakannya.

“Aku bersalah pada Lia” keluhnya menyesali perkara itu.
“Dia yang lemah sangat. Sepatutnya hal sebegitu tidak boleh dicampur adukkan dengan pelajarannya” rungut Aqel tidak bersetuju. Ada rasa tidak puas hati dalam dirinya. Haqem hanya terdiam.
“Sorry.... Aqel sebab buat Lia macam tu” tutur Haqem.

“Hey...hey.... ini takde kaitan dengan akulah! Hal ini antara kau dengan Flora” tutur Aqel tergelak. Dia memang tidak mahu masuk campur hal tersebut. Haqem dan Flora sudah cukup matang untuk membuat pertimbangan sewajarnya. Maka masing – masing patut mencari jalan penyelesaian dengan aman. Aqel akui memang dia tidak berkenan dengan tindakan gadis itu yang sering kali melarikan diri daripada sahabatnya itu. Sebetulnya dia mahu Flora berani menghadapi kenyataan hidupnya sedemikian. Berdiri di depan Haqem, lelaki yang melukainya sehingga merubah kehidupan dengan tenang. Seingat Aqel dia sudah menegur sikap gadis itu sehinggalah menimbulkan ketegangan antara mereka. Buktinya kemalangan yang menimpa dirinya beberapa hari lalu adalah berpunca daripada perkara ini.

“Okeylah Aqel... jumpa esok. Assalamualaikum....” tutur Haqem menamatkan perbualan itu. Terkumat – kamit mulut Aqel menjawab salam itu. Dia menghela nafas panjang. Hal sahabat karibnya dengan saudara sepupunya kadangkala merunsingkan dirinya juga. Adakalanya turut melibatkan dirinya.

“Siapa yang telefon Hyeon?” suara Puan Helda menyapa anak mudanya. Aqel berpaling lantas mengukir senyuman kepada Puan Helda yang sudah melabuhkan punggung di sofa untuk bersamanya di ruang tamu ini.

“Haqem.... Saja bertanyakan khabar” jelasnya tidak mahu berterus terang perkara sebenarnya. Hal Haqem dan Flora tidak mahu dikongsi bersama mamanya kerana itu hal peribadi gadis itu. Aqel lebih senang untuk mendiamkan perkara itu.

“Mak Long, Lia dah nak pergi ni” ujarku memaklumkan. Mak Long dan Aqel serentak berpaling ke arahku. Nampak keduanya sedang menilikku dari hujung kaki hinggalah hujung rambut buat aku tidak selesa. Pelik rasanya diperhatikan sedemikian.

“”Cantiknya Lia” Mak Long bersuara memujiku setelah usai mengimbasku. Aku tersenyum.

“Alah... Mak Long sekadar pakai baju kurung, nak cantik apa pula” sahutku merendah diri. Penampilanku biasa – biasa saja. Cuma kali ini aku bersolek sedikit. Maklumlah hendak naik ke pentas menerima sijil daripada YB. Khuatir juga kalau tidak bersolek nampak pucat tidak bermaya. Sekurang – kurangnya bolehlah Aziq bangga nanti kalau ada yang kata aku cantik persis Mak Long memujiku.
“Betulkan Hyeon, Lia ni cantik” tutur Mak Long mengajak anak terunanya bersekongkol dengannya. Aqel mengangguk. Namun sedikit rasa bangga dipuji oleh dua beranak ini. Tidak tahulah setakat mana keikhlasan Aqel dengan pujiannya itu. Mungkin sekadar membenarkan bicara Mak Long saja. Tidak mustahil kerana Aqel seorang anak yang taat.

“Mestilah dia nak kelihatan cantik mama, Florakan nak jumpa cikgu itu” sindir Aqel. Mak Long tiba – tiba saja tergelak membangkitkan rasa hairanku.

“Kamu cemburu Hyeon?” usik Mak Long.

“Mak Long ni...” Aku tidak suka dengan usikan Mak Long. Kupandang Aqel. Aku berharap sangat saat ini dia akan menafikan tuduhan Mak Long itu. Namun Aqel hanya tersengih panjang. Sukar sangat untuknya berkata tidak pada Mak Long. Betul – betul anak yang setia pada ibunya. Tidak guna betul anak teruna Mak Long ini. Memang dasar lelaki buaya!

“Baguslah kalau kamu cemburu. Sekurang – kurangnya mama tahu kamu masih suka perempuan” tutur Mak Long membingungkan aku. Aku tidak mengerti. Sebelum ini Aqel bercinta dengan lelakikah? Jangan – jangan Aqel gay? Alamak...! Laju saja aku menutup mulutku. Besar anak mataku menatap Aqel. Tidak sangka lelaki sesempurna Aqel sukakan kaum sejenisnya. Hey... ngerinya aku! Kasihan juga Mak Long.

“Awak jangan salah faham pula, Flora” tutur Aqel serius menatapku.

“Tidaklah. Cuma kasihan dengan awak. Tak sangkakan. Hish....hish....hish...!” tuturku perlahan sambil geleng – geleng kepala.
“Apa!” Besar anak mata Aqel menatapku. Dia kurang mengerti bicaraku.
“Kasihan apa pula?” soal Mak Long mencelah. Aku tersengih sambil garu – garu kepala.

“Apa yang kasihannya pada Hyeon, Lia?” soal Mak Long. Aku tersengih lagi. Patutkah aku berterus – terang saja. Mestilah Mak Long dan Aqel akan segan padaku nanti malah Mak Long akan bersedih apabila mengingati semua ini.

“Takde apa – apalah Mak Long” ujarku mematikan saja topik perbualan ini. Tidak mahu meluahkan perkara yang aku fikirkan sekarang. Rasanya diam itu lebih baik.
“Kamu ni Lia pandai pula berahsia” rungut Mak Long. Aku hanya tersengih panjang. Aqel masih serius menatapku.

“Takpe Mak Long, Lia dah nak pergi ni” tuturku lalu menyalami tangan Mak Long.
“Betulkah Hyeon tak perlu hantar Lia?” soal Mak Long. Aku mengangguk.
“Lia nak guna motor je. Nanti susah nak dapat parking. Hari ini ramai ibu bapa yang datang ke sekolah” jelasku.

“Kalau macam tu lebih baik Hyeon yang hantar Lia. Tidak payah susah – susah nak cari parking nanti” cadang Mak Long masih mahu menjaja anak terunanya ini padaku.
“Lia pergi sendiri Mak Long” tuturku masih mahu melakukan mengikut perancangan.

“Alah.... mama biarlah dia pergi sendiri! Hyeon tak nak jadi pengacaulah” ujar Aqel mencelah. Aku mencebik bibir sambil menjelingnya tajam. Mesti yang Aqel maksudkan adalah antara aku dengan Cikgu Firdaus.

“Baiklah. Hati – hati Lia” pesan Mak Long. Aku mengangguk. Kutinggalkan Mak Long dan Aqel di ruang tamu. Di laman banglo Mak Long ini aku mendongak ke langit, membuat tinjauan dan cuba meramal keadaan cuaca hari ini. Nampaknya cuaca hari ini baik. Namun harus diingat bila – bila masa saja hujan turun. Cuaca sekarang ini tidak menentu. Cepat sangat berubah dan sukar untuk diramal. Agaknya inilah dinamakan bumi sudah uzur dan kita adalah manusia akhir zaman.

Aku mengeluarkan kunci motor dari beg galasku. Lalu melangkah ke garaj mengeluarkan motor cabuk kesayanganku. Kuikat tali topi keledar kemas – kemas. Harap – harap cuaca baik sebegini akan berlanjutan hingga ke petang. Mudah – mudahan. Bismillahirahmanirahim... aku terus saja menghidupkan enjin motor. Lima minit kemudian bergerak keluar meninggalkan halaman banglo Mak Long menuju ke destinasinya. Tiba di perkarangan sekolah, aku menarik nafas lega. Syukur juga aku naik motor mudah saja hendak cari parkir. Ternyata pilihanku yang kubuat tepat. Aku terus bergerak ke Dewan Sentosa tempat berlangsungnya majlis yang akan bermula sedikit masa lagi. Tidak menjadi masalah untuk aku mengenal pasti lokasinya memandangkan aku juga bekas pelajar sekolah ini.

Kedatanganku bersama ibu bapa yang lain dialu – alukan oleh AJK penyambut tetamu yang diketuai oleh Puan Kamsiah, PK Pentadbiran bersama beberapa orang guru. Aku mengambil tempat duduk dalam kalangan kelompok ibu bapa. Saling bertegur sapa dan bertukar senyuman dengan ibu – ibu yang duduk berdekatan denganku. Beberapa minit kemudian kelihatan seorang guru lelaki sedang mengatur langkah ke arahku. Dia tersenyum. Agaknya inilah gerangan Cikgu Firdaus. Ingat – ingat lupa aku dengan wajah cikgu ini. Lantas aku membalas senyumannya itu.

“Cik Lia kan?” soalnya cuba mengenal pasti. Aku mengangguk.
“Ya saya Lia, kakak Aziq” tuturku memperkenalkan diri.

“Minta maaflah tak sempat nak jemput masuk tadi. Busy dengan budak – budak” tuturnya begitu sopan buat aku serba salah. Aku bukan tetamu terhormat pun. Barangkali kerana keakraban Aziq dengannya menyebabkan Cikgu Firdaus merasakan perlu melakukan semua itu. Tambahan pula dia yang menelefon menjemputku.

“Hey... takpelah cikgu. Saya dah biasa dengan keadaan di sini” tuturku cuba melenyapkan rasa bersalahnya itu. Cikgu Firdaus tersenyum lagi.

“Kalau macam tu saya pergi dululah, Cik Lia. Nanti kita berbual panjang lagi” tutur Cikgu Furdaus berhasrat mahu bertemu denganku lagi. Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Ibu – ibu yang berdekatan denganku turut tersenyum. Rasanya senyuman usikan padaku. Mana tahu Cikgu Firdaus ini masih bersendirian. Kalau tidak mustahil Aziq bersungguh – sungguh mahu memperkenalkan aku dengan cikgu kesayangannya itu.

Majlis dimulakan tepat pada masanya. Berdebar – debar juga tatkala menanti giliranku untuk melangkah ke atas pentas. Tercellit rasa banggaku tatkala mendengar sorakan gemuruh sebaik saja suara pengerusi majlis mengumumkan anugerah pelajar cemerlang 2012 yang kuterima bagi mewakili adik kesayanganku ini. Rasa segan pun ada. Aku menarik nafas dalam – dalam dengan aturan langkah kemas sepanjang perjalanan ke atas pentas sambil diperhatikan oleh banyak mata ibu bapa.

“Tahniah adik akak. Akak sungguh bangga denganmu” bisik hati kecilku dengan senyuman lebar. Rasa bertuah sangat memiliki adik yang bijaksana yang sering membuatkan keluarga bangga. Seusai majlis ini, tiba – tiba saja hujan turun dengan lebatnya diikuti oleh petir dan kilat sabung – menyabung. Aku jadi gelisah dan kematian akal sambil terpacak di laluan beratap ini memerhatikan motorku yang basah disimbah air hujan yang lebat. Sesekali aku bergerak ke tempat yang lebih luas mengelak tempias hujan. Terasa kecut juga perutku tatkala pancaran kilat. Nampaknya hujan lebat ini lambat untuk berhenti. Maka perjalananku juga turut terkandas. Aku melepaskan keluhan kecilku. Alangkah seronoknya andai aku berada di rumah saat ini. Pasti aku sudah bersenang – lenang di atas katil sekarang. Lebih seronok kalau berada di rumah sendiri boleh tidur berjam – jam lamanya kerana tiada suara mak yang berkicauan membangunkan aku. Aku boleh tidur seberapa lama yang aku mahu. Aku tersenyum sendiri mengingati angan – anganku ini. Memang seronok. Aku terkejut mendengar bunyi hon kereta. Laju aku berpaling. Cikgu Firdaus tersenyum sambil melambaikan tangan kepadaku. Cermin kereta Waja diturunkan lantas Cikgu Firdaus menjengukkan kepalanya.

“Cik Lia masuk kereta sekarang. Saya hantar awak balik” tutur Cikgu Firdaus cuba melawan kebisingan titisan hujan. Aku berfikir seminit cuba membuat pertimbangan atas pelawaan Cikgu Firdaus ini. Melihat langsung tiada tanda – tanda hujan mahu berhenti, aku tiada pilihan lain selain menerima pelawaan ini. Lalu aku berlari masuk ke dalam kereta Waja Cikgu Firdaus. Pantas tanganku mengelap titisan air hujan di mukaku.

“Betulkah tidak menyusahkan cikgu nak hantar saya ni?” soalku serba salah. Cikgu Firdaus mengangguk dan tersenyum.

“Motor Cik Lia tu biar tinggal sini dulu. Kalau hujan dah berhenti bolehlah saya dan kawan saya nanti tolong hantarkan” ujar Cikgu Firdaus ingin menghulurkan khidmatnya sekali lagi.

“Hey... takpelah cikgu. Nanti saya minta sepupu hantar saya datang sini” ujarku tidak mahu terus terhutang budi kepadanya. Kereta Waja ini mula bergerak.

“Tinggal di mana?” soal Cikgu Firdaus.
“Pujangga Highlands” sahutku.
“Oh.... itu kawasan golongan elit” komen Cikgu Firdaus.

“Rumah Mak Long saya di situ. Saya tumpang tinggal dengan mereka sepanjang ketiadaan mak dan Aziq” jelasku cuba mensirnakan kekeliruan Cikgu Firdaus. Cikgu Firdaus mengangguk – angguk faham.

“Mak Long Cik Lia orang kaya..” ujar Cikgu Firdaus lagi. Aku hanya tersenyum. Alhamdulillah rezeki keluarga Mak Long murah. Antara Mak Long dengan Aqel, rasanya anak terunanya itu lebih kaya. Aqel usahawan muda yang berjaya. Nilai keretanya sudah mencecah ratusan ribu.

“Cikgu boleh panggil saya Lia, tak payah bercik – cik. Segan pula dipanggil begitu” tuturku. Cikgu Firdaus tergelak kecil. Kemudian tersenyum pula. Manis juga senyuman Cikgu Firdaus ini setanding dengan senyuman Aqel.

“Boleh juga nampak lebih mesra” tutur Cikgu Firdaus bercanda. Aku hanya tersenyum. Maka sepanjang perjalanan ini banyak juga isu semasa yang aku dan Cikgu Furdaus bualkan. Mujur juga Cikgu Firdaus seorang yang mesra dan ramah menyebabkan aku tidak kaku dan kekok bersamanya biarpun ini merupakan pertemuan pertama kami secara rasminya. Memang padan sangat  dengan personalitinya sebagai seorang guru.

“Banyaknya kereta di banglo ini. Gate pun berkunci. Tak dapatlah saya hantar awak masuk” tutur Cikgu Firdaus tatkala kereta Waja ini sudah berhenti di luar perkarangan banglo Mak Long.

“Takpe saya redah je hujan ini” tuturku.
“Basah awak ni nanti” tutur Cikgu Firdaus risau.
“Kalau basah pun takpe sebab saya dah sampai rumah. Nanti saya tukarlah pakaian” sahutku dengan penjelasan selengkapnya buat Cikgu Firdaus tersenyum lagi. Bicaraku memang logik pun.

“Hey.... takpe ada pemuda tampan datang nak jemput awak tu” tutur Cikgu Firdaus mengelirukan aku.

“Aaa....” Pantas aku berpaling keluar. Di luar dugaanku aku nampak Aqel sedang berlari ke arah pintu pagar ini bersama payung di tangannya.

“Oh... itu abang sepupu saya, anak muda Mak Long” jelasku. Pandangan Cikgu Firdaus masih terikat ke arah Aqel. Barangkali sudah terpukau dengan Aqel. He...he...he....

“Mesti Mak Long yang suruh dia datang sini” bicaraku lagi tidak mahu Cikgu Firdaus fikir yang bukan – bukan. Cepat saja langkah Aqel. Sekarang dia sudah berdiri di sebelah kereta menantiku keluar.

“Terima kasih banyak – banyak cikgu sebab sudi hantar saya. Kalau hujan dah berhenti nanti saya datang ambil motor saya” jelasku sekaligus mengucapkan penghargaanku.

“Takpe saya tolong tengok – tengokkan motor awak tu. Kebetulan memang saya tinggal dalam kawasan sekolah” tutur Cikgu Firdaus lagi.

“Terima kasih cikgu” Cikgu Firdaus mengangguk sambil tersenyum. Lantas aku bangkit dari dudukku. Kutolak  daun pintu lalu berdiri sepayung dengan Aqel. Daun pintu kereta segera kututup. Sempat aku membalas lambaian tangan Cikgu Firdaus ketika keretanya mula bergerak berganjak dari sini.

“Bukan main lamanya awak berborak dengan dia sampai tak sedar – sedar saya tunggu lama di luar ni” omel Aqel serius. Aku mengerling Aqel.

“Kenapa? Awak cemburukah?” soalku mengusiknya.
“Cemburu apa benda! Habis basahlah!” rungut Aqel buat aku tergelak kecil.
“Cepat jalan...!!” arahnya. Aku dan Aqel mula seiringan mengatur langkah.
“Basahlah...” rungutku. Bahu kiriku terkena air hujan.

“Rapat – rapatlah sikit...” arah Aqel seraya menarik lenganku mendekatinya. Laju tanganku menepis tangan Aqel. Tidak suka dengan perlakuannya. Mana tahu Aqel cuba mengambil kesempatan atas keadaan mendesak sekarang. Kemudian menggunakan hujan sebagai alasan atas perlakuannya ini.

“Awak ingat saya ambil kesempatan pada awakkah?” rungut Aqel serius. Aku hanya diam. Risau juga kalau Aqel menghalau aku sepayung dengannya.

“Kenapa tak bawa payung satu lagi. Kan satu payung ni tak cukup” omelku. Aqel menjelingku.

“Awak nikan tak tahu bersyukur. Kan saya kata tadi rapat sikit” ujar Aqel mengulangi arahannya tadi. Tangan Aqel terus saja memaut bahuku. Aku cuba menepisnya. Namun pautan tangan Aqel begitu kemas sehingga gagal untuk aku melepaskan diri. Rimas sangat dengan perlakuan Aqel ini. Aku melebarkan langkahku mahu cepat sampai di garaj agar tidak perlu diperlakukan oleh Aqel sedemikian. Maka Aqel pun turut sama terdorong bergerak pantas.

“Lepaskan tangan awak” arahku radang. Aqel meleraikan pautan tangannya pada bahuku sambil tersenyum. Bagaikan sedang berpuas hati sebab berpeluang bertindak sedemikian. Dasar lelaki buaya. Hey.... hey... lelaki dua alam. Betulkah? Kutenung wajah Aqel dengan perasaan gerunku.

“What?” soal Aqel hairan direnung sedemikian.
“Tak sangka lelaki gay macam awak ni ada hati juga nak ambil kesempatan pada perempuankan” perliku.

“What! Gay!” suara Aqel melenting kuat. Besar anak matanya menatapku.
“Flora, awak kata saya gay?” soal Aqel dengan suaranya yang tinggi. Nampak dia sedang meradang sekarang. Melihat muka menyinga Aqel segera aku melangkah masuk menjarakkan diri daripada Aqel.

“Flora!” Panggilan Aqel tidak kuhiraukan. Aku membesarkan langkahku ke bilik. Kututp rapat pintu bilik lalu menguncinya sebagai langkah berjaga – jaga. Risau juga kalau Aqel datang menyerangku lantaran rasa marahnya padaku. Kucapai tuala lalu melangkah ke bilik air. Aku perlu mandi kerana sudah terkena air hujan. Lambat bertindak boleh buat aku demam mengejut.

Aqel merebahkan tubuhnya di sofa. Dia mendengus kasar. Bicara gadis itu menimbulkan radang dan rasa geramnya.

“Flora, tunggu ya.... sekejap lagi saya akan kenakan awak cukup – cukup” bisik Aqel nekad sambil tersenyum sinis sendiri.


Aqel gay? Betulkah ini? Aku masih memikirkan perkara ini. Mungkin ada benarnya sebab itulah Aqel begitu dingin dengan Rania gadis yang begitu sempurna fizikalnya. Adakah Aqel menyimpan perasan pada Haqem? Aku lihat mereka berdua begitu akrab. Nauzubillah.... Tidak elok berprasangka buruk. Setahuku Haqem adalah lelaki normal. Adakah Haqem mengetahui hal ini? Gerunnya aku kepada Aqel. Tidak sangka lelaki yang tampak begitu sempurna mengamalkan cara hidup songsang. Dalam masa yang sama aku turut simpati pada Aqel. Kasihan pada Aqel dan kasihan pada Mak Long. Alangkah baiknya kalau aku mampu membimbing  Aqel ke jalan yang betul. Mesti Mak Long akan bahagia.

Aku melangkah ke dapur mahu menolong Mak Long menyediakan hidangan malam. Sudah menjadi kebiasaan berada di dapur jam – jam begini. Akupun selalu menolong mak di dapur. Sebetulnya mak memang mewajibkan aku membantunya di dapur dan pandai melakukan kerja – kerja rumah. Sejak awal mak sudah mendidik dan mengajar aku melakukan semua itu. Sebagai seorang perempuan biarpun berpelajaran tinggi dan berkerjaya, memasak dan melakukan kerja – kerja rumah wajib dikuasai. Barulah lengkap bergelar perempuan.

“Ada apa yang perlu Lia tolong Mak Long?” soalku. Mak Long berpaling ke arahku.
“Semua dah siap masak. Lia ambil pinggan dan gelas dan letak atas meja. Kemudian panggil Aqel makan” arah Mak Long. Aku hanya mengangguk akur. Kucapai pinggan dan gelas lalu meletakkannya di atas meja. Kemudian mengatur langkah ke muka pintu bilik Aqel. Daun pintu kuketuk.

“Aqel, Mak Long panggil makan” panggilku.
“Ya...” suara Aqel menyahut. Lantas segera aku beredar dari situ. Tidak mahu bertembung dengan Aqel mahupun melangkah bersama – sama ke ruang makan sedangkan marahku padanya belum padam lagi. Aku dan Mak Long sudah duduk di meja makan. Aqel baru saja muncul dengan t – shirt merah jambunya. Nampak comel sangat. Rasanya tidak ramai lelaki yang berkeyakinan untuk memakai pakaian warna sebegitu. Namun bagi lelaki yang bermata sepet dan berkulit putih memang biasa. Selalunya aku jumpa lelaki Cina dan tengok di dalam tv aktor kacak Korea dan Taiwan juga sering memakai t – shirt merah jambu. Tiada yang peliknya pun. Sempat juga Aqel menjeling ke arahku.

“Makan banyak – banyak Lia” tegur Mak Long. Aku mengangguk. Masakan Mak Long macam masakan mak juga sedap. Aku menyudu sambal cili kerang lalu meletakkan di atas nasi.
“Bagaimana majlis di sekolah tadi, Lia?” soal Mak Long memulakan bicara.
“Meriah sangat Mak Long” tuturku bercerita.
“Berpeluang jugalah Lia bertemu dengan YB kan” tutur Mak Long. 

“Yalah Mak Long. Smart juga YB kita tu” tuturku bercerita. Mak Long tergelak.
“Orang berpangkat mestilah sentiasa jaga penampilan diri” komen Mak Long.

“Betul kata Mak Long itu, Lia setuju” tuturku menyokong bicara Mak Long.
“Selain smart poket pun sentiasa tebal. Ramai perempuan mengintai – intai nak jadi isteri kedua mereka” tutur Mak Long lagi. Aku tergelak. Situasi sedemikian memang sudah biasa berlaku dalam masyarakat kini.

“Lia mesti sentiasa berhati – hati tau” pesan Mak Long tidak redha aku hidup bermadu. Nauzubillah.... Jauh – jauhkan menimpaku. Aku pun tidak pernah mengimpikan semua itu berlaku ke atasku. Namun kalau sudah jodoh pasti tiada siapa mampu menghalangnya. Apapun semua perempuan mengharapkan jodoh terbaik buat mereka. Usia sudah tidak menjadi perkiraan. Paling penting hati baik, ikhlas, jujur dan bertanggungjawab. Senyap. Aku kembali meneruskan suapanku. Begitu juga dengan Mak Long. Aqel masih mendiamkan diri dan fokus pada hidangan di atas meja.

“Mama... Hyeon rasa nak kahwin dengan Floralah” suara Aqel memecah kesepian. Aku tersentak. Begitu juga dengan Mak Long.

“Apa? Kamu nak kahwin dengan Liakah?” soal Mak Long lebih jelas. Aqel mengangguk. Aku terus saja tersedak. Laju tanganku mencapai gelas lalu meneguknya dengan rakus. Kenyataan Aqel benar – benar menyentap tangkai jantungku. Kedengaran gelak Mak Long. Suka benar dia. Aku menatap Aqel dengan pandangan yang membutang. Aqel kelihatan begitu tenang.

“Nanti mama lamar Lia untuk kamu” tutur Mak Long menghangatkan lagi suasana.
“Mak Long...” Mak Long tersenyum menatapku.
“Kenapa tetiba je kamu nak kahwin dengan Lia ni?” soal Mak Long teruja.

“Hyeon nak buktikan kepada dia yang diri Hyeon ini hebat, lelaki sejati” ujar Aqel begitu tenang sambil melirik ke arahku. Mak Long terus saja tergelak besar. Mukaku terasa panas membahang. Mesti mukaku merah merona sekarang. Celupar betul mulut anak teruna Mak Long ini. Rasa tersindir juga dengan bicara Aqel ini.

“Bagus juga boleh timang anak cepat – cepat. Mama memang tak sabar – sabar nak jadi nenek ni” tutur Mak Long menyokong bicara Aqel. Alamak..... takkan jadi serius begini? Aqel sekadar bergurau sahajalah. Rasanya ada muslihat di sebalik bicara Aqel ini. Mungkin Aqel hendak balas dendam padaku.

“Nanti kita bincangkan lagi perkara ini sekembalinya Mak Usu kamu dari Mekah” tutur Mak Long serius buat aku jadi cemas. Kupandang Aqel yang tersenyum – senyu sendiri itu. Sukar kufahami tindakan Aqel ini. Mungkin juga aku sudah salah faham pada bicara Mak Long tentang Aqel. Sebetulnya Aqel lelaki normal sebab itu Aqel meradang padaku. Kemudian mengenakan aku di depan Mak Long. Pasti Aqel sedang menuntut bela sekarang.

“Aqel awak jangan merepeklah” marahku ketika Mak Long sudah tidak bersama kami. Aqel masih tersenyum – senyum lagi. Puas hati dia dapat mengenakan aku sebentar tadi.
“”Awak jangan nak main – main” marahku lagi melihat reaksi bersahajanya ini.
“Saya takkan jadi isteri awak. Tahu tak!” tegasku serius. Aqel tergelak.

“Bila masa saya kata nak jadi suami awak. Saya Cuma kata nak kahwin dengan awak. Bukan nak nikah dengan awak” tutur Aqel memeningkan aku.
“Cik Flora.... awak tentu tak tahu nak bezakan pengertian nikah dengan kahwinkan. Ramai pasangan bercinta kahwin sebelum nikah” tutur Aqel mengelirukan aku.

“Kahwin tak semestinya bernikah. Mesti awak tak tahukan kahwin tu apa” tutur Aqel tersengih – sengih. Aku mengetap bibir menahan geram. Aqel memang sedang mempermainkan aku.
“Mari saya jelaskan. Awak dengar baik – baik tau” arah Aqel laksana seorang pakar bahasa.

“Kahwin itu maksudnya tidur sebilik, sekatil seperti suami – isteri. Awak mesti tahu apa yang berlaku seterusnya. Macam malam pertama juga bagi pengantin baharu”
“Awak....!” Aku terjerit. Mukaku panas membahang. Miang Aqel sudah menjelma.

“Ingat tu Flora. Saya ajak awak kahwin tadi tau. Mahu buktikan betapa perkasanya diri saya” tutur Aqel sambil tersenyum menggoda.

“Mak Long....!” Aku terus saja memanggil Mak Long mahu membuat aduan tentang perangai tidak bermorol anak mudanya ini. Aqel terburu – buru bangkit dari kerusi lalu lari meninggalkan aku. Pandai juga dia takut. Aku memang mahu memberitahu Mak Long tentang niat jahat Aqel padaku.


4 comments:

  1. Kesian pula dekat Aqel dah macam-macam gelaran dia dapat dari Lia.... #^_^

    ReplyDelete
  2. salam semua... bg yg dah baca wajib baca semula bab ini sebab ada pertambahan babaknya coz ms taip tertinggal muka surat ini. skrg br perasaan . sorry ye... tqvm sentiasa setia bersama permata nilam

    ReplyDelete
  3. perubahan sikap yg aqel sendiri x sedar. apapun aqel nak kenakan lia hehehehe... tqvm u all...

    ReplyDelete