BAB 31
Ketika berdiri di halaman, aku baru tersedar bahawa
motorku masih tertinggal di kawasan sekolah Aziq. Betul – betul aku terlupa.
Kebetulan pula hujan turun sepanjang hari. Laju saja tanganku mengeluarkan
telefon bimbitku. Lantas memeriksa panggilan telefon yang pernah kuterima. Aku
menghela nafas lega. Mujur juga belum terpadam nombor telefon Cikgu Firdaus.
Lalu kusimpan nombor ini dalam memori telefon bimbitku. Kemudian terus saja
menghubungi Cikgu Firdaus.
“Assalamualaikum cikgu, saya ni Lia kakak Aziq” ujarku
memperkenalkan diri selengkapnya bagi memudahkan Cikgu Firdaus mengingatiku
dengan cepat.
“Ya saya ingat awak” Cikgu Firdaus tergelak.
“Saya minta maaflah cikgu. Motor saya masih tertinggal di
kawasan sekolah lagi. Terlupa nak ambil semalam. Kebetulan hujan tak henti –
henti” jelasku.
“Takpe dan tak payah risau. Saya memang jaga motor tu
sepanjang malam” tutur Cikgu Firdaus berjenaka buat aku tersenyum sendiri.
“Terima kasih cikgu. Hari ini saya ambil motor tu” ujarku
memaklumkannya.
“Okey... Jumpa awak nanti” tutur Cikgu Firdaus masih
mengharapkan pertemuan denganku lagi. Aku tersenyum.
“Assalamualaikum....” Aku terus saja menamatkan panggilan
itu. Risau juga kalau – kalau mengganggu tugas Cikgu Firdaus kerana seorang
guru apatah lagi warden asrama seawal pagi tugas mereka telah bermula. Sekarang
bagaimana aku hendak pergi ke tempat kerja? Kupandang kereta Waja mak dan Peugeot RCZ
Sports Coupe silih berganti
sambil membuat pertimbangan. Perlukah aku pandu sendiri ataupun menumpang
kereta Aqel. Namun hari ini aku perlu mengambil motorku di sekolah. Kalau aku
yang pandu sendiri, siapa pula yang boleh tolong aku bawa balik kereta Waja mak
itu. Akhirnya aku ambil keputusan menebalkan muka untuk menumpang Aqel sekian
kalinya. Harap – harap ada rezeki hendak naik kereta Peugeot RCZ
Sports Coupe yang mewah itu.
Mana tahu Aqel masih meradang denganku. Namun bila teringatkan perkara semalam
bimbang pula hatiku. Di kepala Aqel sudah pernah terlintas perkara jahat. Kalau
Aqel hilang waras dan dirasuk kuasa jahat pasti Aqel bertindak jahat juga.
Tidak mungkinlah. Siang – siang begini mana Aqel berani bertindak sedemikian.
Tapi kalau dia melarikan aku di tempat sunyi, tempat yang tiada orang bukankah
niaya padahnya. Tidakkan aku seperti sendiri mahu masuk perangkap begitu saja kalau
aku ikut Aqel yang aku ketahui pernah berniat jahat padaku. Hey.... tidak
bolehlah! Aku geleng – geleng kepala.
“Yang awak terpacak di sini belum nak pergi lagikah?”
suara Aqel menyentakkanku. Aqel sudah berdiri di depanku sambil menatapku. Aku
garu – garu kepala.
“Mana motor awak?” soalnya setelah melihat motor cabuk
kesayanganku tiada di garaj. Aku garu – garu kepala. Sekejap lagi pasti Aqel
mengutukku.
“Tinggal di sekolah. Terlupa nak ambil semalam” tuturku
tersengih.
“Baguslah tu. Lain kali banyak berangan lagi” kutuk Aqel
seperti yang aku jangka seraya melangkah ke arah kereta Peugeot RCZ
Sports Coupe miliknya.
“Awak nak tumpang saya?” soal Aqel cukup memahami. Laju
aku mengangguk. Pucuk dicita ulam mendatang. Perkara yang kufikirkan sebentar
tadi terus saja padam.
“Cepatlah masuk kereta” arah Aqel. Aku terus saja
melangkah laju ke arah kereta Aqel. Seminit kemudian sudah duduk di sebelah
Aqel dengan perasaan was – was. Ternyata aku kembali memikirkan perkara jahat
itu.
“Yang awak nampak takut – takut ni apa hal? Jangan
takutlah saya takkan apa – apakan awak” tutur Aqel bersahaja. Besar anak mataku
menatap Aqel. Macam Pak Nujum pula dia tahu apa yang ada di fikiranku sekarang.
Aku tegak mematungkan diri di sebelah Aqel. Masih mahu mengambil langkah
berjaga – jaga untuk melindungi keselamatan diri. Walaupun aku dan Aqel
bersaudara namun dia tetap lelaki yang bernafsu pada perempuan melainkan kalau
Aqel memang gay iaitu lelaki yang menyukai kaum sejenisnya.
“Aqel saya nak tanya awak satu perkara” tuturku memecah
kesepian.
“Tanyalah” arah Aqel masih memfokus pandangannya ke
depan.
“Awak jangan marah kalau saya tanya tau. Saya janji akan
rahsiakan perkara ni” tuturku berhati – hati. Tidak mahu menyinggung perasaan
Aqel mahupun menimbulkan kemarahannya memandangkan perkara ini sangat
sensitif malah menjadi isu negara.
“Tanya sajalah” arah Aqel lagi.
“Betulkah awak gay?”
“What!” Tajam pandangan Aqel menatapku.
“Aqel hati – hati kereta di depan” laungku. Aqel mengalih
pandangan ke hadapan. Brek kecemasan
buat aku terdorong ke depan. Mujur aku memasang tali pinggang keselamatan dan
tiada kereta mengekori di belakang kerana Aqel tiba – tiba saja menekan brek.
Aku mengurut – urut dadaku. Rasa menyesal pula mengajukan soalan sensitif ini
sehingga Aqel hilang kawalan.
“Hati – hati pandu kereta” ujarku mengingatkannya. Aku
begitu menghargai nyawa sendiri dan mengharapkan akan bertemu dengan mak dan
Aziq lagi.
“Dari mana awak dapat cerita karut ni?” soal Aqel serius.
Aku diam.
“Flora... jangan diam” tutur Aqel meminta aku menjawab
pertanyaannya.
“Dari cakap Mak Long semalam seolah – olah awak tak
berminat dengan perempuan” tuturku perlahan. Mesti Aqel faham makna di sebalik bicaraku
ini seperti aku cuba memahami bicara Mak Long semalam.
“Lalu sewenangnya awak kata saya gay?” soal Aqel serius
lagi. Aku mengangguk. Kedengaran keluhan Aqel. Aku sudah salah tafsir pada
bicara Mak Long sekaligus salah tanggapan
terhadap Aqel. Aku akui memang salahku terlalu awal membuat kesimpulan
tanpa menyelidiknya terlebih dahulu. Memang patutpun Aqel naik angin sekarang.
“Melihat saya tak keluar bersama perempuan awak terus
saja kata saya gay? Jadi awak ni pun lesbian jugalah” tutur Aqel menempelakku.
Aku tersentak. Namun masih tidak berani bersuara.
“Awak tak bercinta lagi sebab dikecewakan oleh Haqem.
Saya juga ada alasan tersendiri mengapa saya tak keluar dengan perempuan” tutur
Aqel serius. Ternyata aku telah menyinggung dan melukai perasaan Aqel. Nampak Aqel
emosional sekarang.
“Aqel... maafkan saya sebab fikir yang bukan – bukan
terhadap awak. Saya janji perkara ini takkan berulang lagi” ujarku berikrar
tidak akan mengulangi kesalahan ini.
“Awak dah bersedia nak tebus kesalahan awak ni?” soal
Aqel mula tersenyum. Lega hatiku melihat senyuman di bibir Aqel. Manis semanis
madu. Aku mengangguk.
“Awak takkan menyesal dan mungkir janji?” soal Aqel. Aku
mengangguk lagi.
“Kalau begitu awak jadi kekasih saya” pinta Aqel
mengejutkan aku. Terlopong mulutku menatap Aqel.
“Awak betulkah ada hati pada saya?” soalku binggung. Mahu
tahu dalam diam Aqel meminati diriku. Rasa bangga juga tatkala ada lelaki yang
begitu sempurna jatuh cinta padaku. Agaknya aku ini molek jugalah
he...he...he....! Aqel tergelak mematikan khayalanku.
“Berlakon jelah...” tutur Aqel menjelaskan.
“Berlakon jadi kekasih awak?” soalku. Aqel mengangguk.
“Saya dah rimas dengan tindakan Rania” keluh Aqel.
“Tapi saya tak boleh jadi kekasih awak. Saya baru je nak
kumpulkan ahli nak melancarkan peperangan ke atas lelaki – lelaki buaya di
KDUT” ujarku berterus terang dengan misiku itu. Aqel terus saja tergelak.
“Saya tak peduli semua itu. Awak mesti tepati janji awak
tadi” pinta Aqel mengingatkan aku. Aku melepaskan keluhan beratku. Berat sangat
tugas ini hendak aku pikul. Bila – bila masa saja Rania akan bunuh aku.
“Kenapa? Awak tak mahu Haqem salah faham?” soal Aqel mula
menyebut nama sahabat baiknya itu. Aku diam.
“Flora... awak masih cintakan Haqem?” soal Aqel
menyentakkanku. Aku dan Aqel berpandangan. Aku terus saja gelang kepala
menafikannya.
“Baguslah kalau macam tu. Lagi mudah untuk awak berlakon
jadi kekasih saya” tutur Aqel senang hati.
“Saya belum beri keputusan nak berlakon jadi kekasiha
awak tau” tegasku mengingatkan Aqel. Aqel tersenyum lagi. Senyumlah banyak –
banyak. Aku tidak akan terpikat dengan senyuman manis bermadu awak itu. Lantas
aku teringat pada pepatah sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.
Terlanjur sudah tersalah anggap pada Aqel. Tidak sangka pula seteruk ini
hukuman Aqel jatuhkan kepadaku demi menebus kesalahan ini. Ingat sekadar
belanja Aqel makan tengah hari saja nanti. Telajak perahu boleh diundur,
telajak kata buruk padahnya. Aqel sedang menuntut janjiku padanya.
Stressnya...!!!
“Tunggu saya mesej awak nanti” tutur Aqel mendahuluiku
melangkah keluar dari kereta setibanya di perkarangan KDUT. Aqel melangkah
tangkas ke arah pintu utama bangunan kaca itu. Kemudian kelibatnya terus saja
hilang. Aku melangkah longlai dengan kerunsingan yang panjang. Tidak habis –
habis menyalahkan diri lantaran begitu mudah berikrar untuk mengotakan janji
pada Aqel. Memang aku tidak menyangka permintaan Aqel sebegini berat. Kalau aku
tahu begini isi perjanjiannya awal – awal lagi aku menolaknya.
Kerunsinganku berlanjutan. Buntu fikiranku. Aqel seorang
yang skema. Sudah semestinya dia mahu aku menunaikan janjiku. Kalau aku mengadu
kepada Mak Long memohon pertolongan sudah pasti Mak Long juga akan berdiri di
pihak Aqel. Maka perkara ini lebih ramai orang akan tahu. Kalau boleh aku tidak
mahu membabitkan sesiapa dalam hal ini. Reka dan Marnie memang sentiasa
mengharapkan perkara ini terjadi padaku. Aqel memang lelaki pilihan pertama
yang mereka ingin padankan denganku. Lantas aku terfikirkan Nana. Dialah satu –
satunya sahabat akrabku ynag begitu setia padaku. Nana sentiasa berpihak
padaku. Ketika Haqem meninggalkan aku, Nanalah yang banyak menenangkan aku
bersama mak. Nana kata Haqem bukan lelaki terbaik buatku sebab itu perpisahan
terjadi antara kami. Aku akan tenang setiap kali mengingati bicara Nana itu.
Namun tindakan Haqem meninggalkan kesan yang begitu mendalam padaku. Aku terus
saja mencapai telefon bimbitku tidak mahu terus mengenang kisah lalu. Nombor
telefon Nana kutekan.
“Assalamualaikum.... Busykah?” soalku.
“Macam biasa” sahut Nana menandakan sentiasa sibuk.
“Apa halnya ni? Aku dengar suara kau cemas je” komen
Nana. Aku menghela nafas panjang. Berat juga hati mahu berterus terang pada
Nana. Namun pada siapa lagi tempat aku mengadu selain Nana. Aku perlukan sangat
pertolongan Nana ketika ini.
“Aku ada masalahlah, Nana” tuturku lemah.
“Masalah apa pula ni? Haqem ganggu kaukah?” teka Nana.
“Bukan. Ini pasal anak teruna Mak Long aku tulah”
jelasku.
“Aqel? Apa Aqel buat apa kau? Aqel ceroboh masuk bilik
kaukah?” serang Nana terus menerus langsung tidak memberi peluang untuk aku
menjelaskannya. Dasar mulut murai suka bercakap. Ha...ha....ha....! Percuma
Nana dapat kutukanku.
“Kau ni bercakap main hentam je. Langsung tak bagi
peluang untuk aku menjelaskannya” rungutku disambut dengan gelak tawa Nana.
“Yalah kaukan sekarang ini tinggal sebumbung dengan dia.
Mana tahu dia telah masuk bilik kau” tutur Nana mengulangi imaginasi gilanya
itu. Cubalah kalau Aqel berani. Aku siat – siat kulitnya itu kalau betul Aqel
ada niat jahat macam itu.
“Aku tinggal dengan Mak Long jugalah” tuturku
memperincikan bicara Nana. Kalau aku tinggal berdua – dua dengan Aqel sudah
lama kami dicekup oleh pencegah maksiat. Betulkah? Khabar angin mengatakan
kawasan tempat tinggal orang kaya susah hendak dicerobohi oleh orang luar.
Sebab itulah golongan ini jarang ditangkap biarpun ada segelintirnya yang
berkhalwat dan tinggal bersekedudukan. Tidak pasti pula. Allah wa’allam.
“Apa hal dengan sepupu kau yang tampan tu” tutur Nana
memuji Aqel.
“Aqel suruh aku jadi kekasihnya” tuturku perlahan.
“Wah, very interesting! Fantastik!” suara Nana begitu
teruja.
“Berlakon sajalah. Kau jangan salah faham pula” rungutku.
“Oh... berlakon je. Aku ingatkan serius jadi kekasih dia”
tutur Nana.
“Tulah lain kali tunggu orang habis cakap dulu. Jangan
cepat sangat buat kesimpulan” omelku. Nana tergelak – gelak.
“Apa yang jadi masalahnya sekarang?” soal Nana mula
serius.
“Aku tak naklah jadi kekasihnya tapi aku dah terlanjur
berjanji dengan Aqel” keluhku kesal. Lantas kuceritakan selengkapnya kisah ini.
Nana tergelak – gelak.
“Padan muka kau. Itulah lain kali jangan tuduh orang
sebarangan. Kalau aku jadi Aqel pun pasti aku akan marah juga. Bahkan kalau
hilang pertimbangan mahu juga rasanya nak rogol kau. Biar kau tahu betapa
bernafsunya lelaki yang kau anggap gay ni” tutur Nana menyebelahi Aqel.
“Nana....”Aku terjerit mendengar kata – kata di hujung
bicara Nana ini. Serta – merta aku teringat pada bicara Aqel yang mahu mengajak
aku berkahwin yang kononnya hendak membuktikan betapa perkasanya dirinya. Mesti
Aqel rasa tercabar.
“Yalah mesti dia marah bila kau kata yang bukan – bukan
pada dirinya” tutur Nana lagi. Aku mengeluh. Bicara Nana memang betul.
“Aku mengaku semua itu salah aku. Mujur juga aku tak tercakap
pada Mak Long. Kalau tak pasti haru – biru jadinya” ujarku kesal.
“Kau terima sajalah permintaan dia tu. Bukan susah benar
pun hanya berlakon. Mana tahu esok lusa betul – betul kamu berdua jadi pasangan
kekasih. Biar Haqem berputih mata tengok. Amin” tutur Nana bersahaja dan mula
membabitkan nama Haqem.
“Nana...!!” jeritku sekali lagi. Nana tergelak lagi. Aku
serius dia sempat pula bergurau.
“Aku rasalah dia saja nak kenakan aku. Nak balas
dendamlah tu” dugaku.
“Mungkin betul dia rimas dengan gadis itu. Gadis itu yang
kau ceritakan hari tukan”
“Ya Rania namanya” ujarku. Aku pernah memaklumkan tentang
Rania pada Nana. Betapa dingin dan ganasnya gadis ini terhadapku. Dia menjadi
sedikit berbudi bahasa padaku setelah mengetahui hubungan persaudaraan yang
terjalin antara aku dengan Aqel. Motifnya sudah dapat dijangka kalau tidak
ingin menjadikan aku orang perantaraan dirinya dengan Aqel malah sumber risikan
untuk mengekori hidup anak teruna Mak Long itu.
“Lelaki pun pandai rimas tau kalau perempuan terkedek –
kedek sangat pada dia” tutur Nana bersemangat persis pakar penasihat pula.
“Hoi.... Cik Nana, aku bukan nak dengar kau kutuk Rania.
Aku nak pandangan kau bagaimana nak mengelakkan perkara ini terjadi. Aku memang
tak mahu berlakon nak jadi kekasih Si Tunggul Kayu itu” tuturku bersungguh –
sungguh. Nana tergelak lagi.
“Aku cadangkan kau minta upah tinggi – tinggi untuk
berlakon watak kekasihnya ini” cadang Nana mengeluarkan buah fikirannya.
“Nampak materialistik pula. Wang bukan masalah buat Aqel.
Tak mahulah aku. Nanti lain pula pandangan Aqel padaku. Lagipun aku menumpang
tinggal bersama mereka sekarang tanpa bayaran sesen pun” tingkahku menolak
cadangan Nana yang kurang bernas itu.
“Kalau macam tu kau berlakon sajalah jadi kekasih dia”
tutur Nana berputus asa tidak mahu berfikir lagi. Aku mengeluh. Cadangan Nana
langsung tidak boleh diterima.
“Apa kata kalau kau cakap pada Rania yang Aqel tu dah
bertunang. Dia mesti percaya sebab kaukan sepupu Aqel” ujar Nana memberi
cadangan yang lain pula.
“Bagus. Inilah cadangan yang saya nak. Nanti pandailah
saya reka tentang tunang Aqel yang tak wujud tu. Thanks Nana” Aku tersenyum
lebar. Lega rasanya sudah dapat petunjuk. Diharap dengan alasan pertunangan ini
Rania akan menjauhi Aqel.
“Good luck. Semoga misi kau berjaya” doa Nana sekaligus
mematikan perbualan kami. Rasa terhutang budi dengan Nana. Lantas kuhantar
mesej pada Aqel akan menemuinya di pejabat selepas waktu rehat tengah hari
nanti. Beberapa minit kemudian, aku menerima balasan mesej ringkas daripada Aqel
yang bersedia menerima kunjunganku. Harap – harap Aqel akan bersetuju dengan
permintaanku ini sebelum memenuhi permintaannya itu. Fokus utama sekarang
memikirkan cara – cara meyakinkan Rania terhadap pertunangan rahsia Aqel.
“Beginilah sikap lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Sudah habis manis bercinta kekasih ditinggalkan begitu saja. Kasihan Rania”
keluhku bersedih lantaran kisah cinta kami yang serupa. Watak jahatnya pula
dipegang oleh dua orang lelaki yang berkaitan iaitu Aqel dan Haqem. Gandingan yang
serasi. Begitu Aqel begitu jugalah Haqem. Malangnya seorang lelaki ini ada
pertalian darah denganku. Kalaulah Mak Long mengetahui sikap Aqel begini pasti
Mak Long akan kecewa. Aqel sepatutnya bernikah dengan Rania agar impian Mak
Long terlaksana. Misi kedua memastikan Aqel memenuhi impian Mak Long. Aku
tersenyum sendiri.
“Mengapa saya pula yang mesti berlakon jadi kekasih awak?
Kan ramai lagi perempuan yang sentiasa bersedia untuk jadi kekasih awak. Awak
pilih saja salah seorang daripada kalangan mereka” cadanganku sebagai mukadimah
pertemuanku dengan Aqel.
“Awak ada ciri – ciri yang saya nak” sahut Aqel bersahaja
namun cukup untuk membuat aku terdiam. Kupandang Aqel. Sukar untukku fahami
maksud bicaranya ini. Ingin saja aku meminta penjelasan lebih terperinci namun
rasa segan menyelubungi diri. Nanti percuma saja Aqel kutuk aku gadis yang
terlebih perasaan. Niaya tahu...!
“Awakkan tak suka pada saya sebab tu saya nak awak jadi
kekasih saya” tutur Aqel membinggungkan aku. Pelik.
“Sebenarnya saya dah bosan berhadapan dengan ramai
perempuan yang terlalu sukakan saya” tutur Aqel riak. Aku mencebik bibir.
“Berlagak...” kutukku. Aqel tersenyum memperlihatkan
senyuman semanis madu itu.
“Apa salahnya kalau awak serius bercinta sekarang. Awak
pilihlah salah seorang daripada mereka yang meminati awak. Kalau betul awak tak
nak terima Rania. Kan mudah” cadangku berusaha lagi.
“Lagipun memang dah layak awak hidup berkeluarga. Awak
dah ada segala – galanya” tuturku menasihati Aqel. Dia memang sudah
berkemampuan untuk membina keluarga.
“Saya bukan gay tapi saya belum berniat mahu bercinta dan
ada hubungan serius dengan mana – mana gadis” tegas Aqel buat aku tersenyum
mendengar pengakuannya itu. Sememangnya Aqel belum mendapat seru untuk menjadi
suami.
“Saya nak awak berlakon menjadi kekasih saya. Mudah
sajakan. Awak boleh melakukannya, Flora” tutur Aqel mendesakku. Aku mendengus.
Tidak suka dipaksa – paksa sebegini.
“ Kan dah banyak kali saya cakap pada awak jangan panggil
saya dengan nama itu” radangku. Aqel hanya tersenyum. Langsung tidak terusik
dengan marahku.
“Saya memang suka nama ini” sahut Aqel.
“Itu bukan nama saya” tingkahku untuk sekian kalinya.
“Memangpun. Nama awakkan Nur Dahlia binti Sallehudin”
tutur Aqel begitu lancar menyebut nama penuhku.
“Betul...”
“Tapi saya suka panggil awak Flora” tutur Aqel berdegil.
“My name is Nur Dahlia, I’am Nur Dahlia. Bukan flora atau
apa – apa jenis bunga selain Nur Dahlia!” tegasku dengan anak mata yang besar.
Aqel terus saja tergelak.
“Awak nikan kadangkala nampak lawak juga” ujar Aqel
mengulas sikapku. Aku hanya menjeling Aqel. Entah dari mana dia mendapat ilham
untuk menamakan aku sedemikian. Teringat aku pada sahabat lamaku ketika di
universiti dahulu. Namanya Flora juga. Cantik orangnya. Kulitnya putih kapas dan bebola matanya
warna hazel. Profesor Amir memang suka menyebut – nyebut namanya sehingga
menjadi usikan teman – teman sekuliah yang lain.
“Awak ada kenangan maniskah dengan nama ini? Mana tahu
nama kekasih lama awak Flora” serkap jarangku.
“Apa pula kaitan dengan awak” tutur Aqel buat aku panas
hati.
“Yang awak taksub sangat dengan nama tu apa hal!”
radangku. Aqel tersenyum lagi. Mentang – mentanglah senyumannya ini manis tiada
tandingannya kerap sangat pula dia tersenyum. Jangan – jangan Aqel sudah tahu
yang aku sentiasa memuji senyumannya itu.
“Berbalik pada perkara utama perbincangan kita. Awak
serahkan pada saya saja perkara ini. Saya tahu cara lain nak buat Rania patah
hati pada awak tanpa membabitkan saya” tuturku bersungguh – sungguh pada Aqel.
“Apa caranya?” soal Aqel ingin tahu.
“Ini rahsia” sahutku.
“Okey... saya akan tunggu dan lihat. Tapi kalau awak
gagal awak terpaksa berlakon jadi kekasih saya” tutur Aqel memberi peringatan.
Aku mengangguk bersetuju. Sekurang – kurangnya aku masih ada peluang untuk
mengelak menjadi kekasih Aqel walaupun sekadar lakonan semata – mata. Misi
baharu yang perlu aku laksanakan dengan jayanya. Yakin boleh Lia! Nur Dahlia
pasti boleh! Boleh...! Boleh...!
Sekali lagi Aqel bermurah hati mahu menghantar aku ke
sekolah untuk mengambil motorku usai saja waktu kerja. Memandangkan Nana
terpaksa bekerja lebih masa aku tidak dapat meminta pertolongannya. Mujur juga
Aqel bersedia menolongku. Mungkin didorong atas keinginan menjadi anak yang
terus setia pada Mak Long menyebabkan Aqel tidak keberatan menolongku.
Ahh...tidak baik aku berprasangka buruk pada Aqel! Sepatutnya kesukaran yang
kuhadapi sekarang sudah cukup menjadi pengajaran padaku agar tidak sewenangnya
memandang serong pada Aqel mahupun pada orang lain.
“Hey.... saya letak motor itu di sinilah semalam!” ujarku
memaklumkan pada Aqel. Sedikit cemas perasaanku melihat motor kesayanganku itu
tidak ada di situ.
“Awak pergilah tanya pada pak cik tu” arah Aqel sambil
menunding jari pada pondok pengawal keselamatan di muka pintu pagar kawasan sekolah.
Aku akur lalu melangkah ke situ.
“Assalamualaikum.... Pak cik ada nampak motor di situ
semalam?” tanyaku.
“Waalaikumsalam..... Oh.... itu motor cik rupanya!”
Inilah gadis yang bersungguh - sungguh ingin ditolong oleh Cikgu Firdaus. Boleh
tahan...., bisik hatinya. Terasa diriku diperhatikan oleh mata lelaki ini buat
aku kurang selesa. Mungkin dia sedang fikir yang bukan – bukan terhadapku. Mana
tahu dia salah faham terhadap hubunganku dengan Cikgu Firdaus.
“Ya motor saya. Terpaksa saya tinggalkan sebab hujan
lebat semalam” jelasku. Harap – harap motor itu tidak hilang. Lelaki ini
tersenyum.
“Kami dan Cikgu Firdaus dah angkat motor itu dan letak di
laluan blok ini. Tidaklah terus – terusan berhujan” jelas lelaki ini. Aku
tersentak.
“Yakah.... Aduh... menyusahkan saja! Saya terlupa nak
tinggalkan kuncinya pada Cikgu Firdaus. Terima kasih banyak – banyaklah” ujarku
rasa bersalah kerana telah menyusahkan mereka. Namun semua itu bukan atas
kehendakku.
“Topi keledar Cikgu Firdaus yang simpan. Risau juga kalau
budak – budak nakal ambil” jelas lelaki ini. Aku hanya senyum. Jadi terpaksalah
aku menelefon Cikgu Firdaus bertanyakan tentang topi keledar itu. Patut juga
Cikgu Firdaus kata mahu jumpa aku.
“Assalamualaikum Cikgu Firdaus. Saya dah sampai di
sekolah ni. Nak tanya topi keledar saya ada pada cikgukah?” soalku berhati –
hati. Risau tersilap.
“Oh... Lia. Ada pada saya. Sekejap lagi saya datang ya”
sahut suara ceria Cikgu Firdaus. Cikgu Firdaus memang sentiasa ceria persis
yang sering Aziq ceritakan.
“Baiklah. Terima kasih cikgu. Assalamualaikum....” Suara
Cikgu Firdaus di talian tidak kedengaran lagi. Aku kembali mendapatkan Aqel
yang masih setia menantiku dalam kereta.
“Mana motor awak?” soalnya mendahului penjelasanku.
“Mereka dan Cikgu Firdaus pindahkan di bawah blok
bangunan tu” jelasku. Aqel tersenyum sinis.
“Beriya – iya betul cikgu tu dengan awak” Lain saja
bunyinya nada suara Aqel.
“Alah.... awak pun pernah buat macam tu” ujarku
mengungkit perkara yang lalu. Aqel diam dan saling berpandangan denganku.
“Bukan saya yang buatlah! Jaga di tempat kerja yang buat.
Saya hanya beri arahan saja” tutur Aqel. Aku menjuihkan bibir padanya. Egonya
tinggi sangat. Aku langsung tidak terfikir yang bukan – bukan selain merasakan
ada kebaikan dalam diri Aqel yang sentiasa ingin disembunyikannya daripadaku.
Entah apa motifnya bertindak sedemikian. Setahuku inilah sebahagian ego seorang
lelaki.
“Habis tu mengapa masih terpacak di sini. Pergilah ambil
motor tu” arah Aqel tidak menyabar. Lama juga sudah Aqel menunggu.
“Saya tunggu Cikgu Firdaus datang tapi helmet ada pada
dia. Kalau awak nak balik pergilah dulu” arahku kerana aku perlu menanti
kedatangan Cikgu Firdaus. Aku nampak Cikgu Firdaus berlari anak ke arahku
bersama topi keledar dalam pelukannya buat aku bertambah rasa segan. Aku
menoleh ke arah Aqel. Dia masih belum mahu berganjak dari situ. Mungkin mahu
mempastikan segalanya selesai barulah dia mahu beredar pergi. Aku segera
mendekati Cikgu Firdaus.
“Maaf terlambat buat awak lama tunggu” tutur Cikgu
Firdaus tercungap – cungap. Kasihan Cikgu Firdaus. Sebetulnya dia sudah
berusaha untuk segera sampai di sini.
“Takdelah lama” tingkahku.
“Nah... ini helmet awak! Harap – harap dah kering betul.
Semalam saya bawa balik ke rumah kipaskan. Hari ini mujur juga cuaca panas jadi
sempatlah saya tolong jemurkan” cerita Cikgu Firdaus buat aku terharu dan rasa
terhutang budi.
“Minta maaflah menyusahkan cikgu. Rasa segan pula. Terima
kasih banyak – banyak cikgu” tuturku dengan perasaan segan yang menebal. Cikgu
Firdaus hanya tersenyum.
“Datang dengan siapa tadi?” soalnya.
“Oh... sepupu saya. Dia ada dalam kereta tu” ujarku
sambil menunding jari pada Aqel yang berada dalam kereta kelihatan sedang
berbual – bual di telefon. Tidak sempatlah dia bertegur sapa dengan Cikgu
Firdaus dari kejauhan.
“Dah lewat ni cikgu. Saya balik dulu. Terima kasih banyak
– banyaklah. Minta maaf jugalah menyusahkan cikgu” tuturku sekali lagi.
“Saya tolong ikhlas” sahut Cikgu Firdaus tersenyum.
“Saya pergi dululah cikgu” ujarku meminta diri. Cikgu
Firdaus mengangguk.
“Hati – hati” ujarnya berpesan. Aku tersenyum. Terus saja
mendapatkan motor. Mujur juga tidak susah untuk menghidupkannya. Aku terus
menunggang motorku. Ketika melewati Cikgu Firdaus sempat aku mengangkat tangan
padanya. Cikgu Firdaus membalasnya. Kemudian mula bergerak meninggalkan
perkarangan sekolah. Dari cermin sisi ini aku nampak kereta Aqel mula bergerak
mengekoriku. Langsung tidak mahu memotongku sehinggalah sampai ke perkarangan
banglo ini. Aku meletakkan motor kesayanganku ini di sebelah kereta Waja mak.
Aqel melewatiku.
“Motor awak tu sudah sampai masanya untuk dihantar ke muzium”
perli Aqel bongkak. Bedebah kau, Aqel!
“Awak....!” radangku.
“Lambat sangat macam kura – kura” kutuk Aqel lagi.
“Alah.... siapa suruh tak potong! Nampak je kereta mewah”
balasku mengutuknya. Kulihat Aqel tersenyum. Kemudian kelibatnya terus hilang di
sebalik pintu utama banglo ini.
“Cakap sajalah awak mahu memastikan saya selamat sampai di
rumah” tuturku lalu tersenyum sendiri. Sekali lagi Aqel cuba menyembunyikan kebaikannya. Terima kasih Aqel!
Best....#^_^
ReplyDeletesweett ^__^ rasanyer Aqel mesti betul-II ada feeling dekat Flora kan?
ReplyDeletetqvm u all... tunggu bab seterusnya lagi... ada terselit babak lawak..
ReplyDelete