Wednesday, 19 December 2012

NamaKu Bukan Flora....33




BAB 33

Aqel tenang menerima kunjungan Rania di pejabatnya setelah dua hari menghilangkan diri. Berita pertunangan Aqel yang sedang hangat diperkatakan di KDUT memberi tamparan hebat buat dirinya. Namun Rania cuba bertahan biarpun hatinya sakit. Selagi dia tidak bertemu dengan gerangan gadis itu selagi itu pertunangan itu tidak mahu disahihkannya. Perkara itu juga yang sering diingatkan pada dirinya.

“Betul awak dah bertunang?” soal Rania cuba berlagak tenang.

“Kalau betul apa awak boleh buat?” soal Aqel semula. Rania melepaskan keluhan beratnya. Hatinya terguris lagi.

“Sampai bila awak nak layan saya begini? Tak bolehkah awak maafkan saya?” keluh Rania dengan perasaan kecewa yang mendalam.

“Sudah lama saya maafkan awak” tutur Aqel.

“Tapi kenapa awak harus cari perempuan lain? Awak saja nak sakitkan perasaan sayakan” tutur Rania beremosi. Aqel tersenyum sinis. Hatinya tercuit mendengar bicara Rania. Lucu dirasakannya. Nampaknya Rania belum sedar lagi.

“Awak tak sedarkah apa yang saya lakukan selama ini demi mengambil hati awak. Tidak bolehkah awak terima saya?” luah Rania beremosi.

“Saya jenis orang yang sentiasa memandang ke depan tanpa mempedulikan kisah lalu. Jadi saya harap awak pun begitu juga” tegas Aqel menyatakan pendiriannya.

“Saya perlukan awak Aqel. Saya tak boleh kehilangan awak lagi” tutur Rania merayu. Aqel diam. Dilontarnya pandangan jauh – jauh.

“Maaf. Saya tak dapat bersama awak lagi” tegas Aqel.

“Kenapa? Sebab awak dah bertunang? Kalau macam tu tunjukkan tunang awak pada semua agar saya yakin awak benar – benar dah ada perempuan lain” pinta Rania cuba mencabar Aqel. Aqel terdiam seketika.

“Perlukah saya buktikan?” soal Aqel. Rania mengangguk.

“Sangat perlu pada saya. Mungkin selepas melihat dia saya akan berputus asa pada awak” tutur Rania tidak mahu menjanjikan sesuatu yang pasti. Aqel tersenyum sinis.

“Sudah sekian lama saya berharap awak berputus asa pada saya. Saya takkan berpatah balik. Jadi jangan buang masa awak lagi” nasihat Aqel langsung tidak mahu memberi harapan kepada Rania. Rania mengetap bibir hingga berbekas. Hatinya terus terluka. Layanan Aqel langsung tidak berubah. Aqel masih dingin terhadapnya.

“Saya tak mahu terus melukai perasaan awak, Rania” tutur Aqel  bertimbang rasa. Rania melepaskan keluhannya. Bukan kata – kata itu yang dia harapkan keluar dari mulut pemuda ini. Rania mengimpikan perhatian dan cinta Aqel terhadapnya. Dia mahu percintaan mereka yang lalu berulang kembali. Rania benar – benar ingin hidup bahagia bersama Aqel.

“Awak nak saya buat apa lagi, Aqel?” soal Rania lemah. Setitis air matanya menitis ke pipi. Hatinya benar – benar telah hancur.

“Berhenti menggantung harapan tinggi pada saya dan cepat lupakan saya” tegas Aqel langsung tidak terusik melihat deraian air mata gadis itu. Bagaikan dirinya sudah ketandusan perasaan belas kasihan kepada gadis itu.

“Tunjukkan tunang awak pada semua orang di sini. Selepas itu baru saya buat keputusan sama ada terus menunggu awak ataupun membiarkan awak bahagia bersama dia” tegas Rania tidak mahu cepat berputus asa. Sakit hatinya tatkala terpaksa menuturkan bicara ini. Rania terus saja melangkah meninggalkan Aqel di situ. Aqel melepaskan keluhannya. Buntu fikirannya berhadapan dengan kedegilan Rania itu. Rania tidak pernah jemu – jemu mencuba untuk menagih cinta yang sudah sekian lama terkubur. Aqel jadi rimas.
 
AKU tersenyum lebar menatap menu hari ini. Ada sambal sotong dan kerang cili, ayam masak merah, daging goreng cili dan ikan bakar. Ada sup cendawan, kacang panjang goreng dan paku – pakis. Semuanya makanan kegemarankku sehinggakan sukar untukku membuat pilihan yang mana satu harus aku letak di pingganku. Akhirnya aku mengambil sambal sotong dan daging goreng cili berserta sup cendawan. Semua ini sudah cukup membangkitkan seleraku. Lantas aku mencari meja kosong untuk menikmati hidangan tengah hari ini.

“Cik, sila duduk sini!” panggil pemuda itu sambil melambaikan tangan kepadaku. Dia tersenyum. Tangkas tangannya mengemas pinggan dan gelas di atas meja.

“Oh.... terima kasih” tuturku turut tersenyum. Pemuda ini masih tersenyum. Kuamati seraut wajah yang kelihatan tenang ini.

“Saya rasa sebelum ini kita pernah jumpakan” dugaku. Laju dia mengangguk.

“Nama saya Zamri. Panggil saja Zam. Sayalah yang terlanggar cik tempoh hari. Maafkan saya ya” tutur pemuda ini begitu bersopan.

“Hey.... bukan salah awaklah! Saya yang tak berhati – hati ketika itu” ujarku tidak mahu menyalahkan dirinya. Zamri tersenyum.

“Bertuah cik sebab ada dua orang lelaki hebat yang mengambil berat terhadap cik” ujarnya tersenyum mengusikku.

“Hey.... bukan seperti yang awak fikirkanlah” tingkahku. Ternyata pemuda ini sudah salah faham terhadapku. Aku tidak ada hubungan istimewa dengan Aqel mahupun dengan Haqem. Zamri tersenyum. Mungkin tidak mempercayaiku.

“Selamat menjamu selera cik. Gembira dapat berbual dengan cik” tutur Zamri begitu sopan malah sangat menyenangkan hati.

“Saya pun gembira juga dapat berbual dengan awak” tuturku ikhlas. Zamri berlalu meneruskan tugasnya. Bismillahirahamnirahim.... Aku memulakan suapan pertamaku.

“Dalam keadaan sekarang awak masih berselera nak makan banyak” tegur satu suara dengan sinis. Aku berpaling. Aqel baru saja hendak duduk di sebelahku. Aku menatap segelas jus epal hijau yang berada di tangannya lalu diletakkan di atas meja. Biar betul dia ini hendak jaga badan.

“Awak hanya minum segelas jus?” soalku.

“Takde selera nak makan” sahut Aqel. Aku melirik ke wajah Aqel. Cuba menilai keadaanya sekarang. Nampak sihat walfiat saja.

“Kenapa?” soalnya garang. Aku geleng kepala.

“Mood saya tak elok sekarang” jelasnya. Aku diam dan terus menikmati nasi campur yang membangkitkan seleraku ini. Walau apapun masalah makan tetap diutamakan. Kemudian baru bertenaga untuk menyelesaikan masalah itu. Perut kosong fikiran tidak bernas.

“Awak tak mahu tanya mengapa mood saya tak elok?” soal Aqel mengharapkan aku akan bertanyakan perkara itu. Aku menatap wajah Aqel lagi.

“Rania datang cari awakkah?” dugaku.

“Macam mana awak tahu?” soal Aqel terperanjat. Aku menyuap nasi di pingganku.

“Hanya Rania yang boleh buat awak jadi begini” sahutku begitu yakin. Sebenarnya aku saja – saja meneka Rania datang berjumpa dengan Aqel kerana aku tahu Rania memang suka sangat bertemu dengan Aqel. Ternyata Aqel tertipu olehku.

“Tajam pengamatan awak” puji Aqel kagum.

“Tengok oranglah” sahutku bangga. Aqel mencebik bibir. Pandangan matanya terarah pada nasi dan lauk – pauk di pingganku.

“Bagi saya rasa sikit. Nampak sedap pula” tutur Aqel sambil memanjangkan tangannya cuba menyentuh nasi dan lauk – pauk di pingganku. Laju tanganku menampar tangannya.

“Ini saya punyalah....” rungutku tidak mahu berkongsi makanan dengan Aqel.

“Kedekutnya. Bagilah saya rasa sikit” pinta Aqel menggutukku.

“Kalau awak terliur sangat pergilah ambil sendiri masih banyak lagi sambal sotong dan daging goreng di situ” omelku sambil terus menepis cubaan tangan Aqel dari mendarat di pingganku.

“Awak ni kedekut sangatlah...” rungut Aqel tidak mahu mengalah dan masih berusaha untuk mencuri sesuap nasi dari pingganku. Akhirnya Aqel berjaya mengalih pingganku untuk berada di depannya. Lantas menyuap nasi dan lauk pauk yang sepatutnya menjadi milikku dengan rakusnya. Bukan sekali tapi banyak kali. Tampak begitu berselera. Aku terlopong memerhatikan gelagatnya ini sambil menelan liur.

“Hey... itu nasi sayalah!” rungutku. Aqel langsung tidak mengendahkannya.

“Sedap juga ya. Pandai awak pilih” tuturnya sambil menjilat jari. Besar anak mataku menatap hanya tinggal sesuap saja lagi nasi bersama sepotong daging. Laju tanganku merampas pingganku kembali lalu terus saja memasukkan suapan terakhir ke mulutku.

“Pencuri tak bermorol” kutukku panas hati. Aqel tersenyum – senyum. Puas hati dapat makan percuma. Memang dasar kedekut sangat. Duit bertimbun banyaknya tapi nasi sepinggan pun dia tidak mampu membelinya. Pelik. Ada juga manusia sebegini di dunia ini.

“Encik Aqel .... Lia....!” Serentak aku dan Aqel mendongak. Tergamam aku melihat Marnie dan Reka sedang berdiri di depan kami. Oh.... Haqem juga ada bersama mereka!

“Encik Aqel berkongsi makanan dengan Lia?” soal Marnie tersenyum mengusikku.

“Hey... takdelah” nafiku.

“Sedap menu pilihannya...” ujar Aqel tidak mahu menafikannya. Marnie dan Reka tersenyum lebar.

“Oh... romantiknya!” tutur Reka penuh perasan dengan anak mata yang sudah terpejam – celik.

“Hey.... takdelah!” nafiku sekali lagi. Tidak guna kau, Aqel! Senang – senang saja hendak kenakan aku. Betul – betul Abu Jahal anak muda Mak Long ini.

“Kamu dah makan?” soal Aqel bermuka manis.

“Baru je nak makan” sahut Marnie.

“Oh... Duduklah sekali di sini. Pilihlah nak makan apa nanti saya bayar” tutur Aqel bermura hati pula. Aik... tadi bukan main kedekutnya dia! Aku mengangguk menyokong pelawaan Aqel sebab Marnie dan Reka ada bersama Haqem. Pelawaan dikhaskan untuk dua orang gadis ini yang merupakan sahabat baikku di KDUT ini. Sebetulnya jemputan untuk mengelakkan mereka terus salah faham terhadap aku dan Aqel.

“Oh... baiknya hati Encik Aqel...” puji Reka.

“Terima kasih Encik Aqel” tutur Reka dan Marnie hampir serentak. Aku sempat menjeling Aqel memperlihatkan kutukanku. Bagai ingin menunjuk – nunjuk pula tindakannya ini.

“Tak mengganggu kamu berdua?” soal Reka tersenyum mengusik.

“Duduk sajalah” arahku.

“Duduk Haqem...” tutur Aqel menjemput sahabat baiknya itu. Tidak mahu mengabaikan kewujudan Haqem. Aku mengangguk. Cuba berusaha mengalu – alukan kedatangan Haqem. Tidak mahu juga Marnie mahupun Reka menyedari betapa dinginnya aku dengan Haqem.

“Saya beli jus oren untuk awak ya” tutur Aqel sedikit berbisik padaku buat aku terkejut. Tidak suka dengan tindakan Aqel yang nampak sengaja dibuat – buat. Aqel terus saja bangkit dari duduknya.

“Oh.... romantiknya bos kita” tutur Reka yang sedang terbuai perasaannya. Aku memaksa diri untuk tersenyum. Baru sedar Haqem juga memerhatikan selagat Aqel. Namun aku tidak mahu mentafsir reaksi yang ditunjukkannya tika ini.

“Layanan Encik Aqel dah nampak berlebih – lebih ni. Saya tahulah kalian bersaudara” tutur Marnie buat – buat tidak puas hati. Kemudian tersenyum. Niatnya hanya mahu mengusikku.

“Dia memang macam tu” tuturku cuba berlagak biasa. Tidak mahu nampak kekok di depan mereka. Aqel muncul semula bersama segelas jus oren lalu meletakkan di depanku.

“Jus oren untuk awak” tuturnya tersenyum. Marnie dan Reka sedang memerhatikan kami. Kurang selesa juga diperhatikan sedemikian.

“Terima kasih” tuturku memaksa diri tersenyum dan cuba berlagak mesra dengan Aqel. Aqel menatap Haqem, Marnie dan Reka.

“Sayang betul Encik Aqel dengan Lia ya” ujar Reka mengusik. Besar anak mataku menatap Reka. Aqel tersenyum.

“Memang pun saya sayang dia” tutur Aqel bersahaja hampir – hampir buat aku tersedak dengan air kosong yang sedang aku teguk ini. Aqel mengenyitkan mata kepadaku. Aduh.... menyampahnya aku tengok! Rasa ringan saja tanganku ini hendak sekeh kepala Aqel sekarang namun aku cuba bersabar kerana kewujudan Marnie dan Rania di sini. Hey... hampir terlupa pula! Termasuk kewujudan Haqem yang hanya asyik jadi pemerhati.

“Sayang seorang sepupu atau sayang seorang lelaki?” soal Reka semakin suka mengusikku. Tajam pandanganku pada Aqel memberi amaran agar jangan berkata sesuka hati.

“Dah... dah... Awak boleh pergi sekarang” ujarku menghalau Aqel yang tampak berlainan benar perangainya hari ini. Mungkin inilah impak selepas pertemuaannya dengan Rania sebentar tadi. Aqel hanya tersengih menatapku.

“Sorry, saya terpaksa pergi sekarang. Ada hal penting. Silalah makan saya dah bayar tadi” tutur Aqel membuatkan Marnie dan Reka tersenyum suka.

“Boleh tinggal bersama gadis – gadis cantik ini kan?” soal Aqel sambil menatap Haqem. Haqem mengangguk dan tersenyum. Tersenyum bangga Marnie dan Reka mendengar pujian Aqel itu. Anak teruna Mak Long ini memang buang tabiat betul! Tiba – tiba saja Aqel jadi peramah.

“Ini mesti Encik Aqel baru dapat panggilan daripada tunangkan” duga Reka. Aku tersentak lalu menatap Aqel. Dia hanya tersenyum dan nampak begitu tenang. Tidak seperti beberapa hari lalu ketika cerita ini mula tersebar.

“Okey Haqem jumpa nanti. Bye...” Aqel terus saja beredar meninggalkan kami. Sedikit melegakan aku. Namun tatkala terpandang wajah Haqem, kelegaanku ini terus saja lenyap. Tidak suka dengan pandangan mata Haqem yang seakan tidak mahu berganjak dari terus memandangku. Risau kalau Marnie dan Reka menyedarinya. Sudah cukup aku diusik dengan Aqel. Tidak mahu usikan itu akan menjangkit pula pada Haqem. Kedengaran bunyi mesej kuterima. Laju tanganku mencapai telefon bimbitku dari poket beg galasku. Mesej Aqel.
 
~ Itu baru babak percubaan berkasih – sayang. Jangan lupa janji awak pada saya. I LOVE YOU, FLORA.... he....he....he... ~ Kurrrr... semangat! Hampir – hampir terjatuh telefon bimbit ini dari tanganku lantaran terkejut sangat dengan mesej yang dikirim oleh Aqel ini. Kalau tersalah faham boleh membuai perasaan. Mujur juga aku tahu siapa Aqel. Namun sudah cukup membuatkan mukaku terasa panas. Kemudian tersedar rupanya inilah yang menyebabkan Aqel berperangai luar biasa tadi.

“Mesej siapa?” soal Marnie.

“Aqel....” tanpa kusedari nama Aqel terkeluar dari mulutku. Sebenarnya aku ingin merahsiakan perkara ini. Dalam renungan Haqem menatapku.

“Aik.... baru beberapa minit pergi dah mesej awak pula” tutur Reka curiga.

“Jangan salah fahamlah. Tunang dia nak jumpa saya” bohongku melindungi diri.

“Really... Oh... bawalah kami sekali jumpa dia” pinta Marnie begitu teruja. Bagaikan mahu berjumpa puteri pula lagaknya.

“Saya takkan jumpa dia pun sebab ada kerja nak siapkan sekejap lagi” tuturku  memberi alasan. Terpaksa berbohong lagi bagi menyelamatkan diri daripada terus menjadi usikan mereka. Panas telingaku mendengarkannya.

“Alah....” Marnie mempamerkan wajah monyoknya. Kecewa keinginannya tidak tercapai. Dia memang berharap sangat dapat bertemu dengan tunang Aqel yang tidak wujud ini.

“Okey... kalian teruskan menjamu selera ya. Saya terpaksa pergi dulu” ujarku meminta diri. Terkebil – kebil Marnie dan Reka menatapku tatkala aku sudah bersedia untuk meninggalkan mereka.

“Jangan – jangan awak nak jumpa tunang Encik Aqel ni” duga Marnie curiga lagi.

“Takdelah.... Sumpah...!” ujarku meyakinkannya. Barulah Marnie diam dan mula mempercayaiku. Memang Marnie dan Reka kemaruk sangat tentang hal yang berkaitan dengan Aqel.

“Bye....” Aku bingkas bangun dari dudukku lalu melambaikan tangan kepada mereka. Haqem hanya membisu sambil terus menatapku.

“Air jus oren awak..!” panggil Reka sambill menunding jari pada jus oren yang Aqel beli tadi belum sempat kuminum.

“Saya minum ya..” ujar Reka lagi. Aku mengangguk.

“Akhirnya sampai juga hajat nak merasa air pilihan Encik Aqel” tutur Reka teruja. Marnie dan Reka sama – sama ketawa. Haqem hanya tersenyum namun rasa cukup puas hati dengan tindakan Reka itu. Sekurang – kurangnya Lia tidak minum jus oren yang Aqel beli untuk dirinya.

Aku menghela nafas lega. Selesa rasanya dapat melarikan diri daripada pandangan mata Haqem. Teringat aku pada mesej Aqel sebentar tadi.

~ Saya dah jemput Haqem bersama Marnie dan Reka untuk bertemu dengan tunang awak ~ Segera kuhantar mesej ini kepada Aqel. Sengaja mahu memusnahkan ketenteramannya. Mesej balasan Aqel sampai.

~ Okey... Jangan lupa jemput semua warga KDUT juga ~ Ahh...! Naik darahku membaca mesej Aqel ini. Niat di hati mahu mengenakannya. Tidak pasal – pasal pula aku yang sakit hati dibuatnya. Memang berlagak betul anak teruna Mak Long ini. Aku menggetap bibir menahan geram. Nampaknya terpaksalah aku makan hati berulam jantung saat ini. Sadisnya..... hu...hu...hu...!

“Marnie, apa pandangan awak terhadap hubungan Aqel dengan Lia?” soal Haqem ketika mereka sama – sama melangkah meninggalkan pejabat. Sejak dari tadi Haqem hanya mendiamkan diri dan lebih banyak melakukan pengamatan dan berfikir.

“Sepupu yang mesra” jawab Marnie ringkas. Pantas saja Marnie berpaling ke arah Haqem. Direnungnya wajah pemuda itu.

“Encik Haqem cemburu melihat Encik Aqel dan Lia sangat rapat” duga Marnie tersenyum mengusiknya. Haqem diam. Tidak mengakui mahupun menafikannya.

“Buat apa nak cemburu Encik Haqem, Encik Aqelkan dah bertunang macam Encik Haqem juga. Lagipun Lia dah ada orang punya” lancar saja Marnie berbicara. Kemudian baru tersedar ketelanjuran bicaranya. Laju saja Marnie menutup mulutnya. Kalau Lia tahu mesti dia tidak suka hal dirinya jadi topik perbualan.

“Lia dah berpunya?” soal Haqem meminta kepastian. Marnie hanya tersengih memandang Haqem. Dia tidak mahu memanjangkan perkara ini.

“Bila nak buat majlis meraikan pertunangan Encik Aqel?” soal Marnie.

“Nanti saya bincang dengan Aqel” ujar Haqem. Marnie mengangguk. Tidak sabar rasanya menatap gadis yang telah berjaya mencuri hati Encik Aqel seorang lelaki yang hebat. Bertuah betul gadis itu. Marnie tersenyum sendiri. Sudah rezeki gadis itu dapat suami tampan bergaya dan bertaraf  jutawan pula. Marnie melirik ke arah Haqem. Rasa kagum itu turut tempias kepada pemuda yang berada di depannya ini.

“Cik Bella pun bertuah juga sebab menjadi pilihan Datin Sofea untuk jadi isteri Encik Haqem” keluh Marnie seakan kecewa dengan kenyataan itu.

“Awak cakap dengan sayakah?” soal Haqem berpaling ke arah Marnie. Marnie tersentak. Kemudian garu – garu kepala yang tidak gatal.

“Hey... takdelah Encik Haqem” ujarnya berdalih sambil tersengih – sengih. Haqem geleng kepala. Setiausahanya ini memang suka berbicara sendiri. Perkara ini sejak sekian lama sudah disedarinya.

“Mujur juga Encik Haqem tak dengar” bisik hati Marnie sambil mengurut – urut dadanya. Lega.

“Marnie, saya nak fail Sakura Berhad. Tolong hantar pada saya ya” pinta Haqem mahu menyambung kembali tugasnya hari ini.

“Baiklah Encik Haqem, sekejap lagi saya hantar fail itu” sahut Marnie. Haqem mengangguk lalu melangkah ke bilik pejabatnya. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk itu. Fikirannya menerawang kembali kepada gadis itu. Tergugat hatinya melihat kemesraan Aqel dengan gadis itu. Tatkala mengingati keduanya adalah bersaudara Haqem mula berfikiran positif. Hatinya juga turut merasa lega tatkala teringat tentang pertunangan Aqel beberapa hari yang lalu. Hal pertunangan Aqel menjadi cerita hangat dalam kalangan warga KDUT. Namun setakat ini Aqel belum bercerita tentang hal ini dengannya.

Kadangkala Haqem merasakan Aqel begitu berahsia dengannya. Namun dia tidak mahu menyalahkan Aqel lantaran bersikap demikian memandangkan hal peribadi hak seseorang untuk terus dilindungi daripada tatapan umum. Walau bagaimanapun timbul juga kemusykilan Haqem. Bukankah hal pertunangan itu merupakan berita gembira yang harus dikongsi bersama rakan – rakan? Tidak bahagiakah Aqel dengan pertunangannya itu? Adakah Aqel terpaksa menerima gadis pilihan mamanya persis dirinya yang terpaksa berbaik – baik dengan Bella demi mematuhi kehendak mamanya. Kalau benar Aqel mahu merahsiakan perkara ini, bagaimana pula Rania boleh tahu? Adakah seseorang telah memaklumkan perkara ini kepada Rania? Siapakah orang itu? Bertubi – tubi soalan mendatangi Haqem. Mustahil Lia kerana dia tiada hubungan baik dengan Rania. Malah bukan sikap gadis itu mahu menjaja cerita orang lain apatah lagi kalau Aqel sendiri mahu merahsiakannya. Ketukan di muka pintu menamatkan segala persoalan yang bercambah di kepalanya. Marnie muncul di sebalik pintu dengan senyuman bersama fail di tangannya.

“Ini failnya Encik Haqem” tutur Marnie sambil meletakkan fail tersebut di atas meja di depan Haqem.

“ Terima kasih...” tutur Haqem kurang ceria sebab banyak sangat persoalan yang tidak ditemui jawapannya.

“Saya tengok Encik Haqem termenung panjang tadi. Fikirkan apa Encik Haqem?” soal Marnie memberanikan diri. Haqem melepaskan keluhannya. Ditatapnya wajah Marnie. Mahu dia berkongsi perkara yang sedang bergolak dalam fikirannya saat ini dengan Marnie. Dia percaya Marnie boleh memberikan buah fikiran yang baik.

“Lia tahu tak tentang pertunangan Aqel ini?” soal Haqem berhati- hati. Tidak mahu menimbulkan kekeliruan Marnie mahupun disedari oleh gadis ini betapa dia bimbangkan Lia. Laju Marnie geleng kepala.

“Dia pun nampak terkejut bila saya tanya tentang perkara ini, Encik Haqem. Pelikkan...” tutur Marnie meluahkan perkara yang terbuku di hatinya.

“Awak pun rasa pelik?” soal Haqem lagi. Marnie mengangguk.

“Lia itukan sepupu Encik Aqel. Hairan juga dia tak tahu perkara ini. Mungkin majlis pertunangan secara rasmi belum diadakan lagi” tutur Marnie membuat andaian.

“Boleh jadi juga” sokong Encik Haqem.

“Apa kata kalau Encik Haqem tanya perkara ini kepada Encik Aqel. Mesti lebih jelas lagi” cadang Marnie. Haqem hanya tersenyum. Belum terfikir dia hendak bertindak sedemikian.

“Kalau nak tahu lebih lanjut tentang pertunangan Encik Aqel ini segerakan buat majlis untuk meraikannya Encik Haqem” cadang Marnie.

“Nanti bolehlah minta Encik Aqel ceritakan tentang pertemuan pertama mereka di majlis itu nanti. Mesti seronok mendengarkannya...” tutur Marnie sudah membayangkan. Haqem diam dan berfikir.

“Nanti saya fikirkan” tutur Haqem mengakhiri perbualan itu. Marnie beredar meninggalkannya sendirian. Haqem berfikir lagi lalu menulis mesej.

~ Cadang nak buat majlis meraikan pertunangan kau hujung minggu ini. Kau lapang tak? ~ Mesej itu dihantar kepada Aqel. Seminit kemudian dia menerima mesej balasan daripada Aqel.

~ OK ~ Mesej ringkas daripada Aqel itu membuatkan Haqem tersenyum sendiri.

AKU melangkah ke dapur ingin membantu Mak Long. Namun semuanya telah disiapkan oleh Mak Long lebih awal daripada kebiasaannya.

“Lia pun dah ada di sini marilah kita makan” ajak Mak Long. Aku mengangguk lalu membantu Mak Long menghidang makanan di atas meja. Beberapa minit kemudian aku dan Mak Long sudah mula menikmatinya. Kupandang kerusi kosong di depanku. Selalunya Aqel akan duduk di situ.

“Aqel mana Mak Long?” soalku.

“Dia kerja luar daerah tiga hari. Aqel tak beritahu Liakah?” soal Mak Long. Aku hanya tersengih. Buat apa Aqel hendak beritahu aku. Kami bukannya ada hubungan yang istimewa pun selain bersaudara. Patutlah dia nampak terburu – buru tengah hari tadi.

“Kerja Aqel memang biasa macam itu. Mujur Lia ada sekarang, ada juga teman makan dan berbual. Selalunya Mak Long tinggal seorang” keluh Mak Long. Kasihan Mak Long. Kalaulah Aqel bernikah dengan Rania pasti Mak Long tidak akan sunyi begini. Mak Long menatapku buat aku rasa pelik. Lain macam saja renungan Mak Long ini.

“Lia mahu jadi isteri Aqel?” soal Mak Long hampir – hampir buat aku tersedak. Laju tanganku mencapai air kosong di gelas lalu meneguknya. Aku mengurut – urut dadaku.

“Hey.... Mak Long dah salah faham ni” tuturku cuba berterus – terang pada Mak Long memandangkan Aqel pernah menyatakan ingin berkahwin denganku. Tika itu Aqel hanya berhajat mahu mengenakanku. Mak Long menatapku lagi.

“ Hari itu Aqel saja nak kenakan Lia. Dia bukan serius pun dengan katanya itu” jelasku. Segan pula hendak memberitahu Mak Long berkaitan penjelasan Aqel terhadap perkara itu. Mak Long tersenyum.

“Yakah Lia” Aku mengangguk berkali – kali.

“Nakal betul budak tu” rungut Mak Long mengenang perangai anak teruna tunggalnya itu. Namun nampak sedikit hampa di wajah Mak Long.

“Itulah buat Mak Long salah faham pula” keluhku menyokong bicara Mak Long. Mak Long hanya tersenyum.

“Kalau betul Aqel mahu menjadikan Lia isteri, adakah Lia akan bersetuju?” soal Mak Long buat aku tergamam. Kelu lidahku untuk berbicara. Persoalan Mak Long tidak mampu aku jawab. Sebenarnya aku ingin saja menyatakan perkara itu tidak akan terjadi. Namun tidak sampai hati pula menyatakannya di depan Mak Long. Khuatir mengguris perasaan Mak Long.

“Mak Long janganlah risau. Ramai perempuan sukakan Aqel. Aqel boleh bernikah dalam masa terdekat ini” tuturku cuba menyenangkan hati Mak Long.

“Masalahnya dia yang tak nak” keluh Mak Long.

“Mak Long gunakanlah kuasa veto Mak Long pasti Aqel akan mengalah” tuturku memberi cadangan. Mak Long tersenyum.
 
“Aqel anak yang taat mesti dia akan dengar cakap Mak Long” tambahku menyedarkan Mak Long tentang perkara ini. Mak Long tersenyum.

“Belum sampai masanya lagi Mak Long nak gunakan kuasa veto Mak Long itu” tutur Mak Long buat aku tergelak.

“Harap – harap kuasa veto Mak Long ini berkesan juga pada Lia. Mak Lia ada kuasa veto tak?” soal Mak Long. Aku hanya tersenyum. Selama ini tidak pernah pula mak mendesak aku melakukan sesuatu mengikut kemahuannya. Dalam banyak hal mak memang sentiasa berfikiran terbuka. Langsung tidak pernah membebankanku. Betapa baiknya mak padaku. Oh.... terasa semakin rindu aku pada mak dan Aziq! Aku terus menghitung hari menanti kepulangan mereka ke tanahair.

“Mak Long nak ingatkan pada Lia betapa Mak Long sayang sangat pada Lia sama seperti Mak Long sayangkan Aqel” tutur Mak Long meluahkan perasaannya buat aku terharu dan sebak.

“Terima kasih Mak Long” luahku dengan rasa bersyukur kerana memiliki kasih sayang Mak Long.

“Sebab itu juga Mak Long akan pastikan Aqel akan sentiasa melindungi Lia” tutur Mak Long menambah sebak di dadaku. Aku tersenyum sambil menatap Mak Long. Mak Long terdorong berbicara sedemikian kerana Aqellah anak lelaki yang lebih dewasa berbanding Aziq dalam keluarga kami. Memang Aqel bertanggungjawab menjaga keluarga.

“Lia pun sayangkan Mak Long juga” tuturku meluahkan perasaanku. Hanya Mak Long keluarga yang kami ada di dunia ini sebab itu juga Aqel menjadi sepupu tunggalku. Semoga keluarga kecil kami ini akan sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah. Amin.



No comments:

Post a Comment