BAB 32
“Hoi... Cik Flora awak belum bertindak lagikah! Mengapa
Rania masih mengganggu saya?” suara Aqel menerpa pendengaranku. Pantas aku
berpaling. Aqel sudah bersandar pada sofa di belakangku. Lantas aku bangkit
dari dudukku lalu duduk di sofa selang sebuah dari Aqel.
“Perancangan awak ada masalahkah?” soal Aqel buat aku
terkedu. Sebetulnya aku belum melaksanakan apa – apa lagi. Timbul sedikit
percanggahan antara misi pertama dengan misi kedua. Dalam cuba membantu Aqel
menjauhkan Rania darinya timbul juga keinginan untuk menyatukan Aqel dengan
Rania demi merealisasikan impian Mak Long. Mahukah Aqel berkorban?
“Nampaknya kenalah saya bertindak sendiri ni. Ingat janji
awak pada saya Flora” tutur Aqel mengungkit perjanjian yang termeterai antara
kami.
“Apa awak nak buat?” soalku cemas.
“Saya nak perkenalkan awak sebagai kekasih saya kepada
Rania” tutur Aqel.
“Jangan! Beri saya sedikit masa lagi” pintaku. Aqel diam
dan berfikir.
“Baiklah. Peluang terakhir untuk awak” tutur Aqel sedikit
melegakanku dan lebih banyak menderaku. Dari perkara kecil dan remeh – temeh
boleh bertukar menjadi serius pula. Tidak sangka Aqel bersungguh – sungguh
hendak melakukannya. Agaknya memang Aqel tertekan sangat dengan Rania. Bijak
pula Aqel menggunakan kesempatan yang ada untuk digunakan untuk mengatasi
masalahnya.
Aku meminta diri lalu meninggalkan Aqel bersendirian di
ruang tamu. Aku perlu merangka strategi untuk melaksanakan perancanganku. Aqel
punya pasal aku pula yang rasa terbeban. Mahu saja aku mengadu pada Mak Long
namun memikirkan tindak balas yang bakal Mak Long berikan maka aku pendamkan
saja hasrat hatiku ini. Aku tahu Mak Long akan mengalu – alukan aku hendak
menjadi kekasih anak terunanya itu. Sekarang ada kertas kerja yang perlu aku
siapkan. Aku mula menulis isi penting pada dada kertas A4 ini. Kusenaraikan
langkah permulaan, pertengahan dan akhir sekali kemuncaknya. Aku juga perlu
memikirkan plan B jika plan A gagal serta mengandaikan soalan – soalan yang
berkemungkinan akan keluar dari mulut Rania. Mungkin lebih banyak soalan
mencabar yang diajukannya kepadaku. Aku mesti bersiap dengan rapi agar tidak
menimbulkan keraguan pada Rania.
Sudah penuh muka surat sebelah menyebelah kertas ini
dengan tulisan tanganku. Maka esok aku harus mula melaksanakannya. Aku menguap
beberapa kali. Kutatap jam sudah hampir ke pukul 12.00 tengah malam. Aku sudah
terasa mengantuk. Lantas kusimpan lima keping kertas yang muat dengan tulisan
tanganku lalu menyimpannya dalam laci. Esok awal pagi aku akan merujuk kertas –
kertas ini sebagai ulangkaji terakhir sebelum perancangan dimulakan.
Sudah beberapa minit aku berdiri tegak mendongak bangunan
kaca nadi Syarikat KDUT ini. Begitu gah dipandangan mata yang menatapnya. Aku
menarik nafas dalam – dalam. Hari ini bermula satu misi yang harus aku lakukan
dengan baik.
“Awak tahu tak bos awak telah mendera saya” tuturku
berbicara pada bangunan kaca ini. Kugenggam sepuluh jariku erat. Kutanamkan
satu tekad untuk melakukannya dengan kesungguhan. Kukumpul keyakinan diri
lantas memulakan langkah ke pintu utama KDUT. Aku mengatur langkah merentasi
ruangan lobi mewah yang luas ini bersama bebanan yang terpikul di bahuku
sekarang. Aku menatap susuk tubuh yang berlenggang – lenggok beberapa langkah
dariku. Aku cukup kenal corak jalan yang berirama itu. Misiku bermula sekarang.
“Cik Rania...!!” panggilku. Langkahnya mati. Dia
berpaling. Tatkala berpandangan denganku dia nampak sedikit hairan. Aku
tersenyum. Selalunya dia yang datang mencariku tapi kali ini berlainan pula.
Mesti dia tidak menyangka aku begitu berani untuk bersemuka dengannya.
Tunggulah Rania bahawasanya aku datang membawa malapetaka untukmu! Sebetulnya
aku tetap rasa gementar untuk bertentang mata dengan Rania. Sedikit gemuruh juga.
Namun cepat kupadamkan. Tidak boleh timbul sebarang kesilapan agar tidak
menimbulkan keraguan Rania padaku.
“Awak panggil saya tadi?” soalnya apabila aku sudah
berada di sisinya. Aku mengangguk. Sempat juga berfikir sama ada masa ini
sesuai untuk memulakan misi. Bertentang mata dengan Rania rasa tidak sampai
hati pula. Mungkin aku perlu tangguhkan dulu. Tiba – tiba aku terdengar suara
Aqel yang memperingatkan dan mengancamku. Aku tidak boleh berlengah lagi.
“Apa halnya?” soal Rania kurang mesra sambil menatapku.
“Lia... kau boleh lakukan dengan baik. Yakin boleh!
Boleh! Boleh! Nur Dahlia Boleh!” suara hatiku membisikkan kata – kata semangat.
Aku menarik nafas. Berkerut dahi Rania memerhatikan gelagatku. Mesti aku telah
mencabar kesabarannya saat ini.
“Awak dah jumpa Encik Aqel?” soalku berhati – hati. Rania
mengangguk. Setiap hari berkali – kali dia menemui pemuda itu.
“Dia ada cakap apa – apa tak?” soalku lagi. Rania geleng
kepala. Aqel tetap bersikap dingin dengannya. Pertanyaanku ini pasti melukakan
hati Rania.
“Awak masih ingat tak ketika awak jumpa saya nak cari Encik
Aqel yang tetiba je menghilangkan diri beberapa hari” soalku meminta Rania
mengundur kembali ingatannya ke belakang. Rania mengangguk. Hal tentang Aqel
pasti tidak pernah dilupakannya.
“Ya saya ingat lagi. Mengapa?” soalnya pula. Minta
maaflah Rania. Selepas ini awak pasti akan kecewa dan hati awak terluka. Mudah
– mudahan Rania tidak akan mengamuk di depanku.
“Minta maaflah ketika itu saya tak berani berterus terang
pada awak. Saya risau awak akan bersedih. Tapi kalau saya cakap Cik Rania mesti
berjanji pada saya akan merahsiakan dari mana dapat cerita ini” pintaku. Rania
terus saja mengangguk tanda bersetuju.
“Saya risau juga kalau Encik Aqel dapat tahu saya yang
beritahu awak” tuturku.
“Saya faham. Tak payah risau. Saya janji takkan beritahu sesiapa”
tutur Rania bersungguh – sungguh menerbitkan kelegaan buatku.
“Cakaplah...” arahnya tidak sabar – sabar untuk
mengetahui butir bicaraku seterusnya.
“Sebenarnya Encik Aqel menghilangkan diri sebab sibuk
mengguruskan hal pertunangannya” jelasku begitu lancar.
“What!! Aqel dah bertunang!” Besar anak mata Rania
menatapku. Aku mengangguk.
“Siapa perempuan tu? Di mana dia sekarang? Adakah dia
memang kekasih Aqel?” Bertalu – talu persoalan meniti dari bibir Rania.
Wajahnya sudah nampak merah merona bagai udang dibakar. Nampak bengis dan
menakutkan.
“Sabar Cik Rania. Sabar...” ujarku cuba menenangkannya.
“Saya nak jumpa perempuan itu” tutur Rania serius. Mesti
dia hendak serang tunang olok – olok Aqel itu seperti dia menyerangku dulu.
Mungkin serangan yang lebih dahsyat lagi.
“Cik Rania tidak boleh berkasar dengan tunang Encik Aqel.
Dia tu memang kekasih Encik Aqel selama ini. Encik Aqel sayang betul pada dia
sebab itu rasanya Encik Aqel takkan berdiam diri kalau berlaku apa – apa pada
tunangnya itu” tuturku memberi peringatan kepada Rania agar bersabar dam tidak
bertindak melulu. Rania mengetap bibir menahan geram. Dia memang nampak murka
sangat sekarang.
“Awak tahu di mana perempuan itu tinggal?” soal Rania.
Laju aku geleng kepala.
“Walaupun saya dan Encik Aqel bersaudara tapi saya tak
banyak tahu tentang tunang dia tu. Encik Aqel terlalu berahsia. Kalau Cik Rania
mahu penjelasan lanjut tanyalah pada Encik Aqel sendiri. Mungkin dia mahu
menjawabnya” ujarku memberi cadangan yang paling kejam. Buntu fikiranku. Bukan
kepakaranku dalam mereka – reka cerita ini. Namun atas desakan Aqel aku
terpaksa melakukannya juga.
“Saya akan siasat sendiri siapa perempuan yang cuba
merampas Aqel dari saya. Saya memang mahu bersemuka dengan dia” tutur Rania
nekad membimbangkanku.
“Bertenang Cik Rania” ujarku mententeramkannya.
“Thanks atas maklumat awak ini. Kalau awak ada jumpa
perempuan itu beritahu dia saya nak berkenalan dengannya” pesan Rania. Kur....
semangat! Kalau betul Aqel sudah bertunang aku sama sekali tidak akan
memperkenalkannya kepada Rania kerana perbuatan itu samalah seperti menempah
nahas sendiri. Silap – silap ajal maut datang. Aku mengangguk. Mahu segera
mengakhiri pertemuanku dengan Rania. Khuatir kalau lama sangat berbual banyak
sangat persoalannya yang harus kujawab. Silap bicara boleh terbongkar yang aku
telah menipu dirinya.
“Kalau awak jumpa gadis itu jangan pula awak bunuh dia”
tuturku cuba mengingatkan Rania. Sebetulnya cuba menyedarkan Rania betapa
menakutkan dirinya.
“Saya takkan bunuh dia tapi akan buat dia melupakan Aqel”
tutur Rania membayangkan sesuatu. Gerun aku tengok reaksinya tika ini.
“Saya pergi dululah Cik Rania” ujarku meminta diri.
Bahaya untuk berdekatan dengan Rania tika ini. Berita rekaan yang baru saja aku
sampaikan kepada Rania benar – benar telah menggugat ketenangan dirinya. Aku
meninggalkan Rania. Kuurut – urut dadaku seraya menghela nafas lega. Mengapalah
ada perempuan yang begitu taksub pada Aqel?
“Oh... Rania awak betul – betul menakutkan!” keluhku
sambil mengatur langkah ke bilik operasiku. Barulah aku boleh tersenyum tika
ini. Rupanya mudah saja untuk menyelesaikan masalah Aqel ini. Tidaklah sesukar
yang kufikirkan selama ini. Aku memulakan tugasku dengan senang hati. Lega
rasanya sekarang. Rekod – rekod kostum ini juga sudah siap kukemaskini.
Semuanya berjalan lancar. Dua hari lagi aku perlu menemui Puan Rosie untuk
meminta tandatangannya serta membuat laporan bulanan. Teringat aku pada Nana.
Lantas kukirimkan mesej kepadanya.
~ Aku sudah berjaya melaksanakan langkah 1 dengan baik
sekali he..he.. he...~ Seminit kemudian mesej balasan Nana kuterima.
~ Teruskan usaha! ~
Aku tersenyum simpul. Pasti aku akan meneruskan usahaku sehingga
ke penghujungnya dengan jayanya. Aku akan buktikan pada Aqel yang aku tidak
akan menghampakannya. Sekarang aku harus memandang perkara ini dari sudut
positif. Biarpun saat ini Rania terluka namun di sebalik kelukaan ini pasti ada
kebaikan untuk dirinya. Rania mesti segera berputus asa bagi memberi peluang
pada dirinya untuk mengenali lelaki lain agar hidupnya lebih bermakna. Rania
harus melupakan Aqel yang tidak pernah menghargai kewujudan dirinya. Aku harus
menghentikan tindakan Rania yang sering mengejar Aqel biarpun pemuda itu begitu
dingin padanya. Maruah diri Rania harus dijaga. Aku sebegai kaum sejenisnya
akan membantu Rania.
“Lia betulkah ni?” Marnie tergopoh – gapah mendekatiku.
Bagai ada cerita sensasi yang ingin dikongsi bersamaku.
“Betul apa?” soalku hairan.
“Betulkah awak langsung tak tahu ni?” soal Marnie. Aku
mengangguk. Marnie yang suka bergosip memang penuh dengan informasi terkini.
“Tahu apa ya?” soalku hairan. Dari reaksi Marnie bagaikan
ada sesuatu yang menarik sedang berlaku di KDUT ini.
“Encik Aqel dah bertunang. Awak tak tahukah?” soal Marnie
dengan wajah serius.
“Apa?” Aku tersentak. Kira – kira baru tiga jam selepas
aku berjumpa dengan Rania. Sekarang berita ini sudah tersebar meluas di KDUT.
“Haa... tengok awak pun terkejutkan! Encik Aqel memang
handal nak buat kejutan. Sepupu sendiri pun tak tahu. Dia tu memang seorang
yang pandai berahsia” tutur Marnie bersungguh – sungguh dan kagum pada Aqel.
Aku terkedu. Bukan terkejut Aqel bertunang tapi terkejut bagaimana cerita itu
tersebar begitu cepat.
“Bagaimana awak tahu?” soalku bimbang. Apakah reaksi Aqel
tika ini? Habislah aku kalau Aqel tidak bersetuju dengan muslihatku ini.
“Reka telefon saya tadi. Dia kata Rania mengamuk di
lokasi penggambaran. Kemudian menangis – ngangis macam orang kematian laki.
Rupanya dia kecewa sangat sekarang bila dapat tahu Encik Aqel bertunang” cerita
Marnie teruja.
“Rania yang cakap Encik Aqel bertunang?” soalku lagi.
Marnie mengangguk lagi.
“ Jadi semua orang dah tahulah Encik Aqel bertunang?”
soalku lagi. Sekali lagi Marnie mengangguk. Aku menepuk dahi. Tidak pernah pula
aku terfikir Rania akan memaklumkan perkara ini kepada orang lain.
“Macam mana Rania tahu?” soalku lagi.
“Yang itu saya tak tahu. Reka kata Rania asyik sebut
Encik Aqel dah bertunang. Itu jelah” jelas Marnie. Bagaimana jika Rania
memberitahu semua orang bahawa cerita ini bersumberkan aku? Pasti aku akan jadi
tumpuan untuk menjawab persoalan mereka nanti. Aku jadi binggung.
“Rasanya tak lama lagi merasalah kita nasi minyak Encik
Aqel ni, Lia. Tak sabar nak jumpa tunang Encik Aqel. Mesti jelita sepandan
dengan Encik Aqelkan” Marnie sudah tersengih – sengih membayangkan wajah tunang
Aqel membuatkan aku bertambah runsing.
“Dalam diam rupanya kamu berdua ni sama – sama sudah
berpunya. Memang sepadan jadi sepupu sepapat sama – sama pandai simpan rahsia”
tutur Marnie tersengih menatapku.
“Apa!” Aku tersentak lagi.
“Bukankah awak pernah cakap pada saya yang awak sudah ada
kekasih seorang guru yang juga merupakan sepupu awak sendiri. Awak sudah
lupakah?” soal Marnie dengan dahi berkerut.
“Jangan – jangan awak bohong dengan saya ni” tutur Marnie
mula mencurigaiku.
“Mana ada saya berbohong. Banyak sangat perkara yang
merunsingkan fikiran saya sebab itu saya jadi pelupa sekarang” tuturku berhelah.
Marnie tersengih.
“Agaknya awak cemburu Encik Aqel dah bertunang” serkap
jarang Marnie.
“Awak jangan buat ceritalah” tingkahku kurang senang.
“Yalah awak kelihatan cemas saja dari tadi” komen Marnie
sambil menatapku. Aku diam. Cuba berlagak biasa. Bagaimana tidak cemas hal ini
telah membabitkan warga KDUT. Tidak dapat aku bayangkan reaksi Aqel tika ini.
Barangkali dia asyik tergigit lidah lantaran ramai sangat sedang menyebut
namanya. Tidak pun sedang tersedak – sedak sekarang kerana terkejut tentang
pertunangannya yang dia sendiri tidak mengetahuinya. Alamak.... bertanduklah
kepala Aqel bila jumpa aku nanti!
“Aku risau kalau Rania jumpa tunang Encik Aqel itu. Mesti
Rania kerjakan dia cukup – cukup. Rania kan suka bertindak sendiri” ujarku cuba
menutup keadaan sebenar. Marnie mengangguk bersetuju dengan bicaraku.
“Betulkah awak tak pernah jumpa tunang Encik Aqel?” soal
Marnie ingin tahu. Aku mengangguk. Perempuan yang tidak pernah wujud bagaimana
aku hendak bersemuka dengannya?
“Aku bukan rapat dengan Encik Aqel pun. Jadi apa saja
yang ada kaitan dengannya sangat kurang kuketahui” ujarku membuat penegasan di
hujung ayat. Marnie mengangguk – angguk.
“Hai... melepaslah Encik Aqel yang tampan itu” keluh
Marnie seolah – olah kecewa dengan pertunangan olok – olok Aqel. Aku turut
mengeluh mengenangkan masalah besar telah wujud sekarang. Aqel..... Aqel....
apa aku hendak buat sekarang? Mesti awak binggung saat ini.
Hari ini dia sendiri rasa pelik dengan pandangan warga
KDUT yang dilontarkan kepadanya. Begitu ramai juga yang tersenyum ceria padanya
malah ada juga yang berbisik – bisik. Paling menghairankan dirinya sejak dari
tadi sudah banyak ucapan tahniah yang diterimanya. Namun tidak pula
diketahuinya ucapan itu untuk apa. Mulutnya pula memang berat untuk bertanya.
Sepanjang perjalanan ke pejabat Haqem suasana yang sama turut dirasainya.
Ucapan tahniah terus menerus diterimanya. Aneh betul.
“Jemput masuk Aqel” panggil Haqem dengan senyuman yang
berseri – seri. Aqel turut tersenyum sambil melangkah masuk. Pada pendapatnya
hari ini adalah hari yang ceria kerana semua orang sedang tersenyum kepadanya.
“Tahniah sahabatku. Dalam diam rupanya menyimpan rahsia”
tutur Haqem seraya berjabat tangan dengan Aqel. Aqel terkebil – kebil menatap
Haqem. Sungguh dia tidak mengerti dengan bicara Haqem malah suasana di
sekelilingnya hari ini membinggungkannya.
“Jangan lama sangat bertunang nanti hilang serinya” tutur
Haqem.
“What!” Aqel tersentak.
“Tentu kau terkejut sebab kami dah tahu perkara ini.
Perkara yang baik buat apa nak rahsiakan” ujar Haqem tersenyum mengusiknya.
“Kami?” Dahi Aqel berkerut. Dia semakin tidak mengerti.
“Yalah semua warga KDUT sudah tahu kau bertunang beberapa
hari yang lalu. Cepat saja berita ini tersebar. Dengar – dengar Rania mengamuk
sakan hari ini” cerita Haqem. Mendengar nama gadis itu serta merta nama Flora
terlintas di fikiran Aqel. Aqel yakin inilah rancangan gadis itu menggantikan
watak kekasih yang perlu dimainkan oleh Flora.
“Nanti bolehlah buat majlis untuk meraikannya. Semua
orang dah mula tertunggu – tunggu bila kau nak perkenalkan tunang kau” tutur
Haqem buat Aqel bimbang. Aqel rasa cemas.
“Nanti awak Flora...” bisik hati Aqel geram.
“Hey... diam je orang yang baru bertunang ni. Tak
happykah orang lain dapat tahu hal ini” tutur Haqem mengusik Aqel. Laju Aqel
geleng kepala dan memaksa diri untuk tersenyum.
“Fikirlah masa yang sesuai nak buat majlis meraikan
pertunangan kau tu nanti” tutur Haqem menambah kerisauan hati Aqel.
“Warga KDUT dah tak sabar nak berkenalan dengan tunang
kau termasuklah aku sendiri” tutur Haqem berharap sangat. Aqel semakin bimbang.
“Minta maaf Haqem, saya terpaksa pergi dulu. Ada hal
penting ni” tiba – tiba saja Aqel meminta diri. Tergopoh – gapah dia beredar
dari situ. Haqem pula terkebil – kebil ditinggalkan sedemikian.
Aku menarik nafas dalam – dalam. Cuba berfikiran positif.
Segalanya akan berjalan lancar. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Aqel tidak
akan marah aku. Mudah – mudahan.
“Flora...!!!” Langkahku terhenti. Perlahan – lahan aku
berpaling. Aku melihat aqel sedang berlari ke arahku. Wajahnya masam mencuka.
Pasti dia datang mahu menyerangku. Aku terus saja memulakan langkahku berlari
menjauhi Aqel. Maka terjadilah adegan kejar – mengejar antara aku dengan Haqem
di ruang lobi yang luas ini. Banyak mata yang memerhatikan namun masing –
masing tidak mahu menghiraukannya. Paling penting aku selamat daripada ditangkap
oleh Aqel. Pintu utama kulewati lalu berlari ke laman parkir.
“Flora.... tunggu!!!” laung Aqel memanggilku. Aku menerpa
ke arah motorku. Terus menghidupkan enjin motorku. Lalu dengan pantas
meninggalkan perkarangan KDUT. Mujur juga Aqel tidak mengejarku dengan
keretanya. Setelah benar – benar yakin Aqel tidak mengekoriku, aku terus
berhenti di tepi jalan. Baru sempat memasang toli keledar. Kemudian berfikir ke
mana aku harus pergi. Kedengaran deringan telefon bimbitku. Nama Aqel tertera
pada skrin telefon. Beberapa kali panggilan daripada Aqel namun aku belum
bersedia untuk mendengar suara Aqel. Lantas aku hanya menulikan telinga saja.
Biarlah kemarahan Aqel reda dahulu barulah aku menjawab panggilan itu.
Aku
berfikir semula ke mana aku harus menyembunyikan diri daripada Aqel buat
seketika. Pergi ke CNFL jumpa Nana? Tidak boleh. Itulah tempat pertama yang
Aqel boleh fikirkan untuk bertemu denganku. Balik ke rumah mak? Tidak boleh
juga. Aqel tahu lokasinya. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk bergerak
mengikut arah langkah dan gerak hatiku saja. Sempat aku menghantar mesej kepada
Marnie memaklumkan ketiadaanku di tempat kerja atas sebab yang tidak dapat
dielakkan. Banyak pula mesej yang Marnie hantar kepadaku yang bertanyakan
pelbagai soalan. Namun satupun aku tidak membalasnya. Terpaksa berbuat
sedemikian. Mesej terakhir yang kuterima daripada Marnie memaklumkan arahan
Aqel yang meminta aku balik ke pejabat. Aqel mahu segera berjumpa denganku.
“Minta maaflah banyak – banyak Aqel, aku perlukan Mak
Long jadi perantaraan kita sebagai langkah keselamatan” tuturku.
Aku menatap mega di langit. Sudah sampai waktu Maghrib.
Aku segera melangkah ke masjid untuk bersolat. Kemudian berehat seketika di
situ. Terasa aku bagaikan pelarian hari ini. Tiada arah dituju. Tidak boleh
terus begini. Aku patut meminta maaf dan ampun pada Aqel. Kedengaran bunyi
mesej kuterima. Mesej daripada Aqel.
~ Awak di mana? Balik sekarang...!!! Mama risaukan awak ~ Aku melepaskan keluhanku. Rasa bersalah pada Mak Long.
~ Saya baik – baik saja. Tak payah risau ~ Terpaksa juga aku membalas mesej Aqel demi Mak Long.
~ Awak memang suka lari dari masalah ~ Kutukan Aqel untukku.
~(^_^) ~ Mesejku.
~ Balik sekarang...!!! Kita bincang semula dan rancang
stategi baharu ~ Pinta Aqel. Betulkah?
~ Janji awak takkan bunuh saya ~ Pintaku berkias – kias.
~
Nyawa awak seposenkah? Baliklah....~ Aku tersenyum. Maksudnya tidak semudahnya Aqel membunuh aku. Rasanya Aqel
sudah tidak marahkan aku lagi.
~ Sekejap lagi saya balik. Beritahu Mak Long tau....(6'9) he...he...~
Kupacut motor cabuk kesayanganku ini ke Pujangga
Highlands. Kelihatan banglo mewah Mak Long samar – samar. Tidak semua lampu
terpasang buat aku rasa curiga. Kebetulan pintu pagar sudah ternganga luas
mempersilakan aku masuk. Mungkin mereka tahu aku sudah datang. Kuletakkan
motorku di tempat biasa di sebelah kereta Waja mak. Kukeluarkan kunci banglo
yang Mak Long beri padaku dari poket beg galasku. Perlahan – lahan daun pintu
kutolak. Berhati – hati aku melangkah masuk. Ruang tamu gelap – gelita. Hanya
mengharapkan tempias pancaran lampu di dapur. Pelik.
Bismillahnirahmanirahim.....
“Assalamualaikum.... Mak Long Lia dah balik ni” panggilku
lalu melangkah masuk. Senyap. Hatiku mula berdebar – debar.
“Hah.... saya dah dapat tangkap awak!” suara lelaki
singgah di telingaku. Satu susuk tubuh melompat di sebalik pintu lalu memeluk
pinggangku. Aku terus saja menjerit sekuat hatiku dan meronta – ronta cuba
melepaskan diri. Namun pelukan tangan ini begitu kemas. Aku gagal melepaskan
diri.
“Mak Long.... Tolong...!!! Tolong...!!!” laungku sambil
terus berusaha melepaskan diri. Aku tidak nampak wajah pemilik tangan yang
memelukku tika ini memandangkan posisinya di belakangku.
“Lepaskan saya...!!! Lepaskan saya...!!!” pintaku memohon
simpati. Aku mula terfikir orang jahat yang telah menceroboh masuk banglo Mak
Long ini. Mak Long dan Aqel tidak berada di sini sekarang.
“Tolonglah jangan apa – apakan saya....” rayuku lagi
tatkala mengingati bila – bila masa saja malapetaka menimpaku. Kalau betul
tangan ini milik orang jahat, maka maruahku tidak akan selamat lagi. Aku
ketakutan sangat dan tidak berdaya lagi. Akhirnya aku menangis teresak – esak.
Sungguh aku takut maruahku akan tercemar. Aku lebih rela nyawaku berpisah
daripada jasadku andai musibah ini terjadi. Aku terbayang wajah mak dan Aziq.
Mungkin aku tidak akan bertemu dengan mereka lagi. Tangisanku kian kuat. Tiba –
tiba saja aku rasa pelukan di pinggangku semakin longgar.
“Flora.....” Aku mendengar suara lelaki menyebut nama
itu. Flora????
“Aqel...!!!” jeritku sekuat hati. Bumppp...!!! Tubuhku
tersungkur ke lantai.
“Flora...!!! Flora bangunnnn...!!!” sayup – sayup
kedengaran suara Aqel. Ruang banglo Mak Long sudah tidak kelihatan lagi.
Pandanganku gelap – gelita. Aku tidak mendengar suara Aqel lagi. Kaku.
“MACAM mana Lia boleh
terkejut sampai pengsan macam ni. Kamu buat apa pada Lia, Hyeon?” sayup – sayup
kedengaran kicauan suara Mak Long memarahi Aqel. Perlahan – lahan aku membuka
mataku. Sepasang mata lelaki Korea sedang menatapku.
“Mama, Flora dah sedar ni” panggil Aqel. Mak Long
merapatiku. Tubuhku terasa sakit – sakit akibat berpadu dengan lantai. Tidak
guna punya sepupu! Adakah Aqel biarkan aku jatuh menghempap lantai. Sepatutnya
dia bertindak lebih tangkas untuk menyambut tubuhku.
“Syukur Lia dah sedar” Mak Long tersenyum padaku.
Terkebil – kebil biji mata Aqel menatapku. Aku mempamerkan wajah seriusku
padanya.
“Awak tak apa – apa?” soal Aqel menunjukkan
keprihatinannya setelah menakutkan aku sepuasnya. Aku menjeling Aqel. Walaupun
aku tidak sedar untuk seketika namun aku masih ingat ini adalah angkara Aqel.
“Kamu boleh tanya Lia macam tu sedangkan Lia pengsan kerana
perbuatan kamu” leter Mak Long memarahi Aqel. Aku tersenyum puas melihat Aqel
terkebil - kebil dimarahi oleh Mak Long.
“Hyeon bergurau
saja tadi. Flora ini yang terlalu lemah semangat” tutur Aqel membela diri
sekaligus menyalahkan aku pula. Bergurau kepala hotak kau! Mujur aku tidak ada
sakit jantung kalau tidak mati ketakutanku tadi.
“Bergurau tahap melampau sangat” rungutku. Aqel
tersenyum.
“Pergi ambil bubur untuk Lia” arah Mak Long. Aqel bangkit
dari duduknya.
“Saya ambil bubur untuk awak ya. Kejap lagi saya tolong
suapkan” tutur Aqel begitu baik hati seakan mahu menebus kesalahannya padaku.
Mak Long tersenyum sendiri.
“Awak harus cepat bertenaga sebab ada perkara yang awak
perlu selesaikan” tutur Aqel tersenyum penuh makna menatapku. Aku menggetap
bibir. Aqel tidak semudahnya akan melepaskan aku begitu saja. Kalau macam ini
lebih baik aku pengsan semula.
“Awak jangan nak pengsan lagi!” tegas Aqel. Mataku yang
baru saja hendak terpejam terus saja terbuka luas.
“Saya bukan nak pengsanlah tapi nak tidur berehat. Letih
berjam – jam merayau di luar” tuturku tersengih.
“Padan muka awak. Larilah lagi” tutur Aqel langsung tidak
bersimpati denganku. Mak Long yang tidak mengerti apa – apa hanya memasang
telinga untuk mendengar perbualanku dengan Aqel. Namun tidak pula Mak Long
mengemukakan pertanyaannya. Aqel berlalu ke dapur meninggalkan aku dan Mak Long
di bilik ini. Bingkas aku bangun lalu duduk di atas katil ini.
“Takpe baring saja” arah Mak Long yang sudah berdiri di
tepi katil.
“Takpe Mak Long”
“Apa yang berlaku sebenarnya Lia sampai pengsan kamu dikejutkan
oleh Hyeon?” soal Mak Long.
“Takde apa – apalah Mak Long. Cuma salah faham je”
tuturku menyembunyikan perkara sebenar. Segan kalau Mak Long mengetahui perkara
itu. Mak Long mengeluh.
“Terkejut juga Mak Long tadi bila Hyeon telefon beritahu
Lia pengsan. Terpaksalah Mak Long tinggalkan mesyuarat ahli persatuan tadi”
jelas Mak Long.
“Minta maaflah menyusahkan Mak Long” ujarku kesal.
“Takdelah Lia menyusahkan Mak Long. Hyeon tu yang buat
hal. Dia kata main – main nak takutkan Lia tadi. Betulkah?” soal Mak Long
menyiasat. Aku mengangguk. Masih ada rasa dendam pada Aqel sebab sewenangnya
memelukku. Dia telah mengambil kesempatan ke atasku.
“Bertuah betul budak tu” rungut Mak Long. Aku tersenyum.
Mak Long memang sayangkan aku. Aqel muncul bersama semangkuk bubur nasi dan
segelas air kosong.
“Mari saya suapkan untuk awak” tutur Aqel bermanis muka.
“Saya bukan sakitpun. Saya boleh suap sendiri” tuturku
membantah tindakan Aqel. Tidak rela menerima kemesraan Aqel yang berlebih –
lebihan apatah lagi di depan Mak Long. Sungguh memalukan.
“Nah...! Orang nak buat baik pada dia tak nak pula” tutur
Aqel lagak merajuk. Aku menjeling Aqel. Mak Long tersenyum – senyum.
“Hati – hati bubur tu panas lagi” pesan Aqel mengingatkan
aku. Aku menyuap perlahan – lahan bubur nasi perisa ayam yang dibubuh sayur
campur ini. Ada cebisan cendawan. Sedap juga. Mesti Mak Long yang masak.
“Sedap tak?” soal Mak Long.
“Mak Long masak memang sedap” pujiku ikhlas. Aqel
tersenyum lebar. Dia pula yang lebih – lebih bangganya.
“Aqel yang masak bubur tu untuk Lia” tutur Mak Long
mengejutkan aku. Kupandang Aqel yang masih tersenyum – senyum ini. Rasa
menyesal pula memuji bubur ini tadi. Namun sudah terlanjur memujinya. Aqel pun
sudah mendengar pujian itu tadi. Patut juga dia tersenyum lebar.
“Betulkah Mak Long?” soalku seakan tidak rela memberi
pujian kepada Aqel. Mak Long mengangguk sambil tersenyum lagi.
“Bukan setakat bubur nasi malah segala – gala bubur saya
boleh masak” tutur Aqel membangga diri. Aku mencebik ke arahnya.
“Tengok tu mama dia mana percaya dengan kebolehan Hyeon”
ujar Aqel mengadu pada Mak Long. Manja sangat. Mak Long hanya tersenyum. Mesti
tidak mahu memenangkan siapa – siapa. Sesungguhnya Mak Long seorang yang sangat
adil.
“Mesti awak terharukan sekarang” tutur Aqel berharap.
“Memang patut pun awak masak bubur ini untuk saya sebab
awak hampir – hampir mahu bunuh saya tadi” rungutku. Senyap. Berubah air muka
Aqel. Barangkali kesal dengan tindakannya tadi.
“Minta maaflah tak sangka boleh buat awak pengsan pula”
tutur Aqel sugul. Aku diam. Mungkin Aqel sudah insaf dan aku boleh
memaafkannya.
“
Mama, rasanya kita perlu hantar dia ni pergi kem bina
semangat. Lemah semangat sangat” kutuk Aqel.
“
Awak....” marahku. Mak Long dan Aqel tertawa.
“Hah... habiskan bubur tu sekarang! Selepas ini awak
mesti perlukan tenaga yang lebih banyak” tutur Aqel berkias – kias. Aku
menggetap bibir. Aqel tidak akan melepaskan aku. Maka bertambah bebanan yang
terpaksa aku pikul.
“Oh....” Aku menepuk dahiku sambil diperhatikan oleh Aqel
dengan senyuman.
“Kamu berdua berbuallah, Mak Long nak ke dapur” tutur Mak
Long bangkit dari duduknya. Kemudian bergerak ke muka pintu dan kelibat Mak
Long terus hilang. Aku dan Aqel beradu pandangan. Tiada senyuman yang terukir
di bibir masing – masing. Bagaikan sebentar lagi akan tercetus peperangan.
“Kenapa awak beritahu semua orang yang saya dah
bertunang?” soal Aqel.
“Mana ada saya beritahu semua orang. Saya cakap pada
Rania seorang saja” tuturku membetulkan kenyataan Aqel ini. Senyap. Mungkin
Aqel mula mempercayaiku.
“Saya tak sangka pun akan jadi macam ni. Ingatkan Rania
mampu menyembunyikan perkara ini” tuturku kesal. Kedengaran keluhan Aqel.
“Awak tahukan bagaimana sikap Rania” keluh Aqel kematian
akal.
“Dia memang cintakan awak” sahutku. Tajam pandangan Aqel
menatapku.
“Apa salahnya awak beri peluang pada diri awak untuk
menerima cintanya itu” nasihatku.
“Karutlah” Aqel mendengus tidak suka.
“Mengapa awak anti sangat pada dia sedangkan saya pernah
dengar awak dan Rania pernah bercinta” tuturku semakin berani mengutarakan hal
ini. Semakin tajam juga pandangan Aqel menatapku.
“Awak tak tahu apa – apa. Jadi tak payah bercakap tentang
hal ini” tegah Aqel sedikit kasar. Aku menelan liur. Tidak pernah melihat Aqel
sebegini emosional.
“Bagaimana saya nak tahu kalau awak tak pernah cerita”
balasku semakin berani. Aku yakin Aqel tidak akan bertindak kasar padaku. Keadaan
menjadi sedikit tegang.
“Tak perlu awak tahu tentang hal ini” tegas Aqel masih
mahu berahsia.
“Okey...” sahutku mengalah. Aku juga tidak suka memaksa
Aqel untuk menceritakan segala – galanya. Itu bukan prinsipku. Aku hanya boleh
menjadi pendengar setia pada orang yang bersedia untuk berkongsi masalahnya
dengan aku.
“Awak perlu bertanggungjawab apa yang telah awak lakukan.
Persiapkan diri awak betul – betul” ujar Aqel mengingatkan aku lalu melangkah
ke pintu meninggalkan aku termangu sendirian di bilik ini. Kenyataan Aqel satu
amaran keras. Mungkin akan berlaku sesuatu yang lebih dahsyat dan serius
selepas ini. Kalau boleh kali ini aku tidak mahu melibatkan sesiapa saja
termasuklah Nana. Kalau Nana tahu perkara yang berlaku sekarang pasti dia akan
menyalahkan diri. Nana juga akan susah hati. Aku mesti melakukannya sendiri.
Janji pada Aqel harus ditunaikan. Aku menarik nafas panjang. Aku sudah bersedia
menghadapi Rania.
“Betulkan aku perlu jadi kekasih Aqel? Oh.... malangnya
nasibku!” Aku kembali merebahkan tubuhku di tilam. Tidak sanggup aku hendak
membayangkan semua itu.
Hehehe...nampaknya senjata dah makan tuan, mana nak lari Lia, kena jadi kekasih a.k.a tunang Aqel le, mengamuk plak Hakim nanti.
ReplyDelete