Saturday, 24 November 2012

NamaKu Bukan Flora....29





BAB 29
 
Aku menatap tarikh di dada takwim  di depanku. Hari ini genap 20 hari mak dan Aziq berada di Tanah Suci Mekah. Separuh tempoh yang memisahkan kami telah berlalu. Terasa kerinduanku kepada mereka kian memuncak. Betapa lamanya masa itu berlalu. Memang aku sudah tidak sabar untuk bertemu dengan mak dan Aziq.  Menyebut nama Aziq mengingatkan aku pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil yang akan berlangsung pada esok hari. Aku sudah berjanji dengan Cikgu Firdaus untuk hadir pada majlis tersebut. Sedikit kalut aku dibuatnya memandangkan aku belum memohon cuti daripada Puan Rosie dan memaklumkan perkara ini kepada pihak KDUT. Semoga segalanya berjalan mengikut perancangan dan dipermudahkan oleh Allah. Lantas kudail nombor telefon Aqel.

“Hello....” kedengaran suara Aqel di talian.
“Assalamualaikum Aqel.....” sapaku. Salamku disambut.

“Apa hal awak telefon...” tutur Aqel bagaikan tidak senang menerima panggilanku tika ini. Macamlah aku hendak sangat mendengarkan suara ini. Kalau bukan disebabkan hal penting jangan harap aku akan menghubunginya. Bukan seronok sangat pun berbual dengan manusia dingin sajli ini. Malangnya Aqel sebahagian daripada majikanku.

“Saya nak keluar kejap lagi nak pergi CNFL jumpa Puan Rosie. Esok saya nak ambil cuti nak pergi sekolah Aziq” jelasku terperinci tanpa membuang masa. Tidak mahu melengahkan masa pemuda dingin membeku ini.

“Saya bercuti sekarang . Awak maklumkan perkara ni kepada office. Tak pun awak call Haqem sebelum meninggalkan KDUT supaya orang lain tak tercari – cari awak nanti” arah Aqel panjang lebar. Aku terdiam. Terasa bodoh pula tindakanku ini sebab mengganggu Aqel yang sedang bercuti. Aku ingatkan Aqel akan terus mengizinkannya tanpa mengambil kira prosuder. Kononnya memaklumkan perkara ini kepada Aqel agar aku tidak perlu berhubung dengan Marnie mahupun Haqem. Ternyata anak muda Mak Long ini seorang yang berpegang pada peraturan.  
“Awak dengar tak ni?” soal Aqel.

“Ya... Okey... Assalamualaikum....” Tanpa berlengah lagi aku terus saja mematikan panggilan ini. Seketika aku berfikir. Aku menarik nafas panjang. Lambat – lambat aku menekan nombor telefon bimbit Marnie. Aku menanti panggilan ini dijawab. Namun kedengaran suara perempuan mengarahkan aku meninggalkan pesanan. Ke mana pergi Marnie? Mengapa telefon bimbitnya tidak dijawab. Mungkin tertinggal di rumah. Aku beralih pula pada nombor telefon pejabat pula. Harap – harap kali ini Marnie akan menjawabnya. Aku menghembuskan nafasku. Panggilan ini juga tidak diangkat. Kucuba sekali lagi. Kali ini baru berjaya.

“Hello... assalamualaikum... Mar... Awak pergi mana tadi?” soalku terus menyerang Marnie. Geram susah sangat hendak bercakap dengannya.
“Ya... Lia...” Opocot...! Aku tersentak mendengar suara lelaki yang menyebut namaku. Bila kuamati betul – betul jelasnya suara ini adalah suara milik Haqem. Aku terus terdiam.
“Marnie pergi bilik air kejap. Apa halnya Lia?” suara Haqem berkumandang di telingaku. Sembelitkah Marnie sampai lama sangat di bilik air. Aku berfikir lagi. Sekarang aku bertembung dengan Haqem di talian.

“Lia.... awak masih di sana?” soal Haqem mempastikan kewujudanku.
“Ya...” sahutku perlahan.
“Apa halnya Lia? Awak nak tinggalkan pesanan pada Marnie ke?” soal Haqem bertalu – talu. Aku diam. Lantas menarik nafasku perlahan.

“Saya nak pergi CNFL kejap lagi. Nak jumpa Puan Rosie minta cuti esok. Saya nak maklumkan kepada pihak KDUT esok saya tak datang kerja” tuturku memaklumkan perkara itu kepada Haqem sebagai wakil KDUT. Tidak mahu Haqem salah faham dengan tindakanku.
“Oh.... awak nak jadi wakil adik awak” teka Haqem.
“Ya...” sahutku pendek.

“Apa kata kalau saya temankan awak esok” cadang Haqem menyentakkanku. Tidak menduga Haqem akan berbicara sebegini. Langsung tidak menggembirakan  aku bicaranya ini. Jauh sekali buat aku teruja. Aku memang tidak mahu ada kaitan dengan Haqem lagi selain jadi rakan sekerja.

“Tak pe saya boleh pergi sendiri” ujarku menolak cadangannya itu secara lembut setelah berjaya menenangkan diriku. Senyap. Kedengaran keluhan Haqem. Pasti dia kecewa dengan penolakanku ini. Memang ini yang sentiasa kuharapkan. Aku mahu Aqel putus asa untuk terus berbaik denganku.

“Mengapa saya tak boleh pergi dengan awak? Awak nak pergi dengan Aqel ke?” soal Haqem tidak puas hati.

“Ya saya memang nak pergi dengan Aqel” sahutku tanpa berfikir panjang. Aku berbohong pada Haqem. Dalam masa yang sama terpaksa meminjam nama Haqem agar aku tidak perlu memikirkan alasan terbaik untuk menolak hajat hati Haqem.

“Walaupun Aqel tak pergi bersama saya, kehadiran awak memang tak diperlukan. Assalamulaikum....” ujarku mematikan segera perbualan ini. Memang bicara ini yang patut keluar dari mulutku untuk didengarkan kepada Haqem. Aku tidak perlukan sebarang alasan untuk menolak kehadirannya. Cukup kalau aku katakan bahawa aku tidak memerlukan dia berada di sisiku. Namun aku sudah terlanjur bicara membabitkan Aqel dalam hal ini.

Lama Haqem terpaku dengan gagang telefon yang masih berada di tangannya. Hatinya terguris mendengar bicara gadis itu. Memang penolakan gadis itu melukakan perasaannya. Bicara gadis itu begitu tajam bak sembilu menghiris emosinya. Namun sedikitpun dia tidak pernah menyalahkan gadis itu. Dia sedar betapa gadis itu juga terluka lantaran tindakannya suatu masa dahulu. Perlahan – lahan Haqem melepaskan keluhan beratnya.

“Encik Haqem....” suara setiausahanya menegurnya. Haqem berpaling. Marnie sudah berada di sisinya dengan pandangan hairan. Haqem bagaikan baru saja tersedar lantas terus saja meletakkan gagang telefon itu kembali di tempat asalnya.

“Kenapa Encik Haqem? Siapa yang telefon?  Ada yang tak kena ke?” soal Marnie sedikit cemas melihat pemuda ini termenung dan berdiam diri. Laju Haqem geleng kepala.
“Awak dah dapat fail yang saya minta tu?” soalnya. Marnie mengangguk.
“Ni failnya...” tuturnya seraya menyerahkan fail hitam itu kepada pemuda ini. Haqem menyambut fail itu.

“Terima kasih...” tutur Haqem sedikit ceria.
“Boleh saya tahu Encik Haqem nak buat apa dengan fail peribadi Lia tu?” soal Marnie berhati – hati. Ketika pemuda ini mengarahkannya mengambil fail tersebut hati Marnie tertanya – tanya. Risau juga kalau sesuatu yang tidak diingini bakal menimpa gadis itu. Sebagai seorang kawan perasaan ingin melindungi tetap dirasakannya.

“Saya belum sempat lagi teliti pengalaman kerja dia. Mana tahu ada jawatan yang lebih sesuai boleh ditawarkan kepadanya nanti” tutur Haqem tenang.
“Encik Haqem nak pelawa Lia kerja dengan  KDUT ke?” soal Marnie semakin berminat dengan perbualan yang berkisar tentang gadis itu.

“Kalau layak apa salahnya. Awak tak suka Lia jadi warga KDUT ke?” duga Encik Haqem.
“Alah... adakah Encik Haqem boleh fikir macam tu. Saya gembira sangat kalau selamanya Lia kerja di sini. Dia pun seorang yang komited pada tugas” ujar Marnie sekaligus memberi ulasannya tentang gadis itu. Encik Haqem tersenyum puas hati.
“Saya nak tengok fail peribadi Lia sekarang” ujar Encik Haqem memaklumkan sekaligus isyarat memohon diri untuk berganjak ke bilik pejabatnya. Marnie mengangguk.
“Silakan Encik Haqem” tutur Marnie tersenyum riang. Sudah ada cerira terbaharu yang ingin disampaikan kepada Lia lagi.

Haqem terus saja melabuhkan punggung di kerusi empuk itu. Tidak mahu berlengah terus saja diselaknya fail hitam itu. Lama anak matanya merenung gambar ukuran pasport yang terletak di bahagian atas di tepi sebelah kanan itu. Ukiran senyuman di bibir gadis itu tidak pernah luput dari ingatannya. Masa yang lama yang telah memisahkan mereka tidak pernah memadamkan ingatannya kepada Lia cinta pertamanya. Semakin hari dirinya sarat menanggung rindu kepada Lia. Betapa dia terbeban dengan perasaannya terhadap gadis itu. Mata Haqem beralih pada butiran tentang gadis itu. Lengkap. Haqem tersenyum sendiri tatkala menatap status bujang yang tertulis itu. Sesuatu yang cukup menyenangkannya. Dia yakin andai dia berusaha gigih menambat kembali hati gadis itu dan mampu bertahan tidak mustahil dia dan Lia akan mengulangi percintaan yang lalu. Haqem memang mahu menebus tindakannya dulu. Haqem mengeluh lagi. Betapa menebal penyesalannya tatkala mengingati perkara yang lalu.

Pandangan mata Haqem terikat pada butiran seterusnya. Dia tersentak. Hatinya cemas tiba – tiba. Terimbau kenangan lalu. Sebulan selepas Haqem melafazkan perpisahan itu dia tidak nampak Lia di kampus lagi. Hari – hari dia menunggu di depan perpustakaan, di muka pintu bilik toturial dan dewan kuliah untuk bertembung dengan Lia. Namun Lia tidak pernah muncul. Sebetulnya selepas pertemuan terakhir mereka pada malam itu, tanpa diketahui oleh sesiapa termasuklah Datin Sofea, Haqem memang tidak pernah meninggalkan Lia dari penglihatannya. Dari kejauhan dia melontar rasa rindunya pada gadis itu. Setiap pergerakan gadis itu dalam pengawasannya. Akhirnya kelibat Lia hilang tiba – tiba. Haqem mula menerima haikat bahawa Lia sudah tidak mahu bertemu dengannya lagi. Gadis itu cuba bersembunyi daripada pandangan matanya lantas melenyapkan cerita – cerita tentang dirinya daripada sampai ke pengetahuan Haqem. Pada Hari Konvokesyen itu Haqem mengharapkan pertemuaannya dengan gadis itu. Sepanjang hari dia menanti kemunculan gadis itu. Kemudian beberapa hari diulanginya lagi penantian itu sehinggalah pada hari terakhir konvokesyen Lia tidak muncul – muncul juga. Kemudian pertemuannya dengan Nabila menjawab pencariannya selama ini. Kononnya Lia telah memohon pertukaran universiti. Lia ingin memulakan hidup baru. Tika itu dia menarik nafas lega. Sekurang – kurangnya Lia juga telah berjaya menamatkan pengajiannya. 

Tergerak hati Haqem untuk menghubungi Nabila meminta penjelasan tentang perkara itu, namun sudah bertahun – tahun dia tidak berhubung dengan gadis itu. Malah nombor telefon Nabila tidak pernah tersimpan dalam memori telefonnya. Kali terakhit dia bertemu Nabila pada hari terakhir konvokesyen itu. Tika itulah dia mendapat cerita tentang Lia. Haqem melepaskan keluhan beratnya. Betapa kesal hatinya tatkala mengetahui Lia tidak menamatkan pengajiannya. Pencapaian akademik yang tertinggi yang tertulis di dada kertas ini hanyalah setakat STPM. Jadi di mana segulung ijazah yang pernah mereka impiankan bersama dahulu? Haqem sudah berjaya memilikinya tetapi bagaimana pula dengan Lia?
“Mungkin sebab inilah awak membenci saya, Lia..” bisik hati Haqem.
“Betulkah mama sampai hati melakukan semua ni” Haqem masih berbicara sendiri.

Tidak sudah – sudah Haqem melepaskan keluhannya sambil diikuti dengan gelengan kepalanya. Perasaan kesalnya berpanjangan. Dia semakin menyalahkan dirinya. Andai semua ini berpunca daripada tindakan mamanya, maka dia rasa berdosa pada Lia dan keluarganya.

“Kalau awak masih beranggapan yang saya masih mencintai awak, saya nasihatkan awak lebih baik lupakan saja. Saya dan keluarga saya dah tak mampu menerima kehadiran awak lagi. Kelukaan dan penghinaan yang awak tinggalkan untuk keluarga saya dah cukup sengsara untuk kami tanggung” suara Lia menerpa pendengarannya. Haqem tidak mampu bertenang lagi. Lantas dia bangkit dari duduknya lalu melangkah keluar dari bilik itu.

“Marnie, saya balik awal hari ni ada perkara penting” ujarnya berpesan ketika melewati meja setiausahanya itu. Marnie hanya terkebil – kebil menatap langkah laju Haqem ke muka pintu lalu kelibatnya terus saja hilang. Sebarang pertanyaan tidak sempat dikemukakan selain mengetahui pemuda itu ada hal penting sekarang. Marnie hanya mampu geleng – geleng kepala. Sukar untuknya memahami sikap majikannya. Nyatanya Haqem dan Aqel sering kali memeningkan kepalanya. Tiba – tiba saja dia teringatkan fail yang baru saja diserahkannya kepada pemuda itu. Lama dia berfikir.

“Jangan – jangan fail tu yang buat Encik Haqem jadi begini...” duganya membuat telaahan sendiri. Marnie mengangguk – anggukkan kepalanya tanda mula mengerti.

“Misteri juga awak Lia... pelik perangai Encik Haqem kalau dengar nama awak. Encik Aqel pula... Flora...” Marnie berfikir lagi.

“Awak betul – betul misteri Lia.... ya... Flora” Marnie berbicara sendiri sambil terus berfikir. Ada persoalan yang perlu dicari jawapan penyelesaiannya. Tidak mahu terus tertanya – tanya lantas laju saja jarinya menekan nombor telefon Lia. Malangnya panggilannya tidak dijawab. Marnie melepaskan keluhan hampanya.

Ketika Haqem melangkah ke banglo itu, kelihatan Datin Sofea bersendirian di ruang tamu. Haqem menarik nafas lega. Jarang benar dia melihat Datin Sofea bersantai – santai di rumah kalau tidak disibukkan dengan pelbagai aktiviti persatuan. Pandangan Datin Sofea terikat pada kaca tv. Cuba mengisi masa yang ada agar tidak bosan memandangkan mesyuarat persatuan hari ini terpaksa dibatalkan disebabkan setiausaha tidak sihat. Sebagai pengerusi persatuan dia harus memperlihatkan sikap timbang rasa dan keprihatinannya terhadap ahli – ahli persatuan. Lantaran sikap terpujinya inilah yang melayakkannya menduduki kerusi pengerusi selama lima penggal berturut – turut. Ketegasan Datin Sofea membuatkan dirinya sentiasa cemerlang dalam apa saja yang diceburinya. Namun dia terlupa ketegasannya itu jugalah yang menghalangnya akrab dengan anak – anaknya. Anak sulung dan anak keduanya, Haruen dan Harnie telah membawa rajuk sendiri setelah terluka dengan tindakan Datin Sofea. Maka tinggallah Haqem anak bungsunya bersamanya menghuni banglo besar itu tika ini. Suaminya Datuk Helmie setahun lalu meninggalkan dunia akibat terlibat dalam kemalangan ngeri. Namun ada kisah duka di sebalik semua itu. Kedatangan anak mudanya ini sedikit menimbulkan kehairanan hati Datin Sofea.

“Awal kamu balik hari ni. Tak sihat ke?” soalnya sambil menatap Haqem yang sudah melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan kedudukannya. Haqem geleng kepala.
“Apa hal kamu nampak gelisah ni” komennya. Haqem menatap wajah Datin Sofea. Keduanya saling berpandangan seketika. Haqem masih berfikir bagaimana hendak memulakannya. Sedikit merisaukannya kalau tindakannya ini bakal menimbulkan kemarahan Datin Sofea. Perlahan – lahan keluhannya dilepaskan.

“Kamu ada masalah dengan Aqel ke?” soal Datin Sofea meneka. Setahunya hubungan Haqem dan Aqel begitu akrab. Malah dia sendiri begitu menyenangi sikap Aqel. Aqel pun mesra dengannya. Pernah dia terfikir untuk menyatukan Aqel dengan Harnie, namun niatnya itu ditentang hebat oleh anak gadisnya itu lantaran sudah ada pilihan hati sendiri. Akhirnya tanpa persetujuannya Harnie telah bernikah dengan lelaki pilihannya sendiri. Mujur juga dia tidak pernah menyuarakan keinginan itu kepada Aqel. Kalau tidak pasti dia malu sendiri. Siapa tahu kalau Aqel bersetuju dengan cadangannya itu. Perbezaan umur bukan jadi masalah. Datin Sofea tidak dapat menerima kenyataan itu. Kemuncak kemarahannya dia telah menghalang anak perempuan tunggalnya itu menjejakkan kaki ke banglonya lagi. Sudah tiga tahun dia tidak bertemu mahupun mendengar berita tentang Harnie dan suaminya. Mungkin saat ini dia sudah bergelar nenek.

“Habis tu apa yang berlaku? Kenapa kamu balik awal hari ni?” diulanginya pertanyaannya tadi.
“Haqem ada perkara nak tanya pada mama” ujar Haqem mula menyusun kata.
“Hal apa? Cakaplah...” arah Datin Sofea tenang.
“Perkara yang berlaku beberapa tahun yang lalu...” tutur Haqem perlahan.

“Beberapa tahun yang lalu? Sudah lama tu” tutur Datin Sofea tanpa curiga. Senyap. Haqem mengumpulkan kekuatan diri sebelum memberikan penjelasan lanjut. Sikap tenang Datin Sofea tika ini mencabar dirinya. Dapat sudah dibayangkannya sedikit masa lagi ketenangan ini akan padam. Datin Sofea akan menjadi lebih garang jika perkara lalu itu diungkit kembali. Namun Haqem tiada pilihan. Dia mesti menuntut penjelasan daripada Datin Sofea. Maka dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan perempuan ini.

“Beberapa tahun lalu...” mulut Datin Sofea masih menyebut perkara itu. Bagaikan dia cuba mengingati sesuatu. Laju saja dia berpaling ke arah Haqem. Datin Sofea dan Haqem beradu pandangan.

“Jangan – jangan  hal kamu dengan Lia. Betul tak Haqem?” soal Datin Sofea dengan suara sedikit tinggi. Haqem mengangguk.
“Kamu ada jumpa Lia?” soalnya. Senyap. Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Haqem.
“Betulkah mama tak pernah halang pengajian Lia?” soal Haqem. Tajam pandangan Datin Sofea menatap Haqem.

“Kamu ingat mama akan mungkir janji mama setelah kamu bersetuju dengan permintaan mama” radang Datin Sofea. Tidak suka dirinya dituduh seorang yang mudah mungkir janji. Senyap. Haqem tahu biarpun sikap mamanya banyak yang kurang menyenangkannya, namun dia sedarnya Datin Sofea seorang yang berpegang pada janji. Apa yang dikatakannya pasti akan dikota.

“Kamu ada jumpa Lia, Haqem?” diulanginya pertanyaannya itu. Haqem masih berdiam diri. Dia masih memikirkan pengajian Lia yang tidak sampai ke penghujung dengan jayanya.
“Mungkin Lia gagal menamatkan pengajiannya kerana aku. Aku yang buatkan Lia rasa kecewa sangat sehingga tiada keinginan untuk meneruskan pengajiannya....” bisik hati Haqem.

“Haqem.... kamu dengar tak ni?” soal Datin Sofea tidak senang pertanyaannya tidak dijawab. Wajah Haqem direnung.
“Betulkah kamu ada jumpa Lia?” tekanya. Haqem tetap membisukan dirinya. Perkara itu biarlah menjadi rahsia dirinya. Sudah sampai masanya Datin Sofea tidak mencampuri urusannya lagi.
“Mama... Qem nak berehat di bilik sekarang” tuturnya lalu bangkit dari duduknya. Haqem terus saja mengatur langkah meninggalkan Datin Sofea.

“Haqem..., kamu jangan pula lupa yang kamu tu dah jadi milik Bella sekarang. Tak lama lagi kamu berdua nak nikah....!!!” lantang saja suara Datin Sofea memberi peringatan kepada anak mudanya itu. Haqem memejamkan matanya lantas melepaskan keluhannya. Dipicit – picitnya kepalanya yang mula terasa sakit itu. Banyak sangat bebanan di fikirannya. Namun persoalan itu belum terjawab lagi. Dia juga tidak mahu menafikan bahawa tindakannya yang membuatkan gadis itu bernasib malang. Maka Haqem nekad mahu menebus segala kesalahan lalunya pada gadis itu. Andai dia bersikap lebih berani dan tidak cepat mengalah begitu saja pasti semua ini tidak akan berlaku. Hidup Lia akan lebih cemerlang. Paling penting gadis itu tidak terus menyalahkan dirinya. Haqem sudah cukup terseksa tatkala Lia memusuhi dirinya. Dia terus saja merebahkan tubuhnya ke tilam empuk itu. Seketika dia tidak bergerak – gerak lagi. Sungguh dia mahu melupakan perkara yang menyakitkan hatinya itu.  

AKU tiba di premis CNFL disambut dengan senyuman manis Nana. Tubuhku terus saja dipeluk oleh Nana. Seketika aku dan Nana berpelukan. Sudah sekian lama kami tidak bertemu. Sudah menggunung juga kerinduanku pada Nana sahabat sejatiku sejak bertahun – tahun lamanya. Andai aku diberi pilihan untuk memilih antara Aqel saudaraku, Haqem bekas kekasih hatiku  dan Nana sahabatku, pasti aku dengan senang hati akan memilih Nana. Minta maaflah Mak Long. Rasanya anak muda Mak Long itu kurang berkepentingan padaku. He...he....he...

“Puan Rosie ada?” soalku terus pada tujuan kedatanganku ke sini.
“ Dia keluar kejap” jelas Nana.
“Takpe aku tunggu dia” ujarku lalu mencapai majalah di rak Suria lantas menyandarkan tubuh di sofa sambil memulakan bacaan.
“Kau nak jumpa dia ke?” soal Nana. Aku mengangguk.
“Nak minta cuti esok” jelasku.
“Nak pergi mana?” soal Nana lagi.

“Esok nak jadi wakil Aziq terima sijil dan hadiah di sekolah” jelasku sambil terus memfokus pandanganku pada majalah Suria di tanganku. Senyap. Nana menyambung kerjanya. Aku menatap ruangan santai yang kali ini memaparkan langkah – langkah untuk memikat bekas kekasih. Mengarut saja! Aku tidak berminat membacanya. Kuselak halaman seterusnya.

“Lia, kau masih berhutang dengan aku tau” suara Nana memecah kesepian.
“Berhutang dengan kau? Berapa ringgit” soalku.
“Bukan hutang duitlah tapi hutang janji” tutur Nana mencebik. Berkerut dahiku mendengar bicara Nana ini. Pelik juga. Janjipun boleh dihutang. Agaknya janji yang belum dipenuhilah yang dimaksudkan Nana sebagai hutang.

“Aku janji apa dengan kau, Nana” soalku meminta penjelasan lanjut.
“Kan hari tu kau tak jadi tidur rumah kami. Kau kata ada hal dan sampai sekarang kau belum cerita lagi hal itu padaku” jelas Nana terperinci.
“Oh... yang itu” Aku terus saja terbayang wajah Aqel yang sedang menahan sakit. Kemudian terbayang keadaanku yang ketakutan sangat sehingga membuatkan aku termuntah. Ketakutan paling dahsyat seumur hidupku ini.

“Aku langgar Aqel dengan kereta Waja mak” ujarku memulakan cerita.
“Apa!!!! Gila....” Besar anak mata Nana menatapku. Mulutnya juga ternganga luas. Sungguh Nana terkejut mendengar kenyataanku ini.
“Betul – betul gila tindakan kau ni, Lia” marah Nana. Aku mengangguk bersetuju dengan bicara Nana.

“Memang kerja gila. Aku pun tak sangka boleh berlaku sampai macam tu sekali” tuturku menyokong bicara Nana. Langsung aku tidak ambil hati. Perbuatanku itu memang tidak masuk akal. Mujur juga aku tidak sampai jadi pembunuh. Kalau tidak ke tali gantunglah aku. Nauzubillah....

“Tak sangka kau tak suka Aqel sampai ke tahap sanggup nak langgar dia. Dahsyat betul kau ni. Bagaimana keadaan Aqel sekarang?” soal Nana. 
“Dia masih cuti sakit di rumah. Kasihan juga tengok keadaan dia macam tu” keluhku menyesal. Lalu aku ceritakan segalanya pada Nana. Dari awal sehinggalah kepada kejadian kemalangan itu. Nana hanya geleng – geleng kepala. Walau apapun Nana tetap salahkan aku.

“Nilah akibatnya kalau dua – dua sama degil. Rasanya ni genitek keluarga yang kamu berdua warisi” perli Nana buat aku tertawa. Memang pun aku dan Aqel sama – sama degil. Mungkin bicara Nana ada benarnya. Mana tahu Mak Long dan arwah ayah juga punya sikap degil. Namun kalau aku fikir balik, Mak Long adalah seorang ibu yang terpuji yang penuh dengan kasih sayang. Lemah lembut dan sangat prihatin. Jauh benar bezanya perangai Mak Long jika dibandingkan dengan anak mudanya Si Tunggul Kayu itu. Namun sedikit sikap Aqel yang menyerupai sikap Mak Long ialah keprihatinan. Aqel memang seorang yang prihatin. Malah boleh dikatakan sentiasa menjadi penyelamatku. Mungkin penyelamat yang Allah ciptakan untukku. Siapa tahukan.... Nauzubillah... Cepat saja hatiku menyangkalnya. Aku memang tidak berkenan dengan sikap Aqel yang suka sangat menghancurkan perasaan perempuan persis diri Haqem !

“Hoi... sempat pula berkhayal...!  Puan Rosie dah sampai tu” Aku tersentak mendengar sergahan Nana lalu tersenyum.
“Puan Rosie dah masuk bilik dia?” soalku meminta kepastian. Nana mengangguk. Bingkas aku bangun lalu menadah tangan berdoa. Semoga pertemuanku denganku Puan Rosie dipermudahkan Allah. Nana hanya tersenyum – senyum memerhatikan gelagatku. Kulambaikan tanganku pada Nana lantas mengatur langkah ke bilik Puan Rosie. Daun pintu kuketuk.

“Masuk...” kedengaran suara Puan Rosie mengarahkan aku masuk. Dengan puji – pujian ke atas Allah, Tuhan sekalian alam, aku menolak daun pintu dengan berhati – hati.
“Assalamulaikum Puan Rosie...” sapaku.

“Waalaikumussalam...ee... Lia...” sapa Puan Rosie tersenyum sekilas. Wajahnya kelihatan sugul. Anak matanya kemerah – merahan persis orang yang baru saja lepas menangis.
“Duduk Lia...” arahnya Puan Rosie. Bagaikan saat ini taring Puan Rosie sudah tiada lagi. Dia nampak begitu bersedih. Aku dapat rasakan apa yang dilaluinya saat ini. Bahkah aku percaya lebih hebat dugaan yang Puan Rosie tempuhi jika dibandingkan dengan diriku. Lelaki yang telah dipilih untuk menjadi teman hidup sematinya tiba – tiba saja curang. Kepercayaan yang dipegang selama ini sudah lebur.  Sesuatu yang menyakitkan untuk diterima. Kasihannya aku melihat keadaan Puan Rosie tika ini.

“Puan Rosie tak apa – apa?” soalku berhati – hati. Tidak mahu menyinggung perasaannya mahupun dia tersalah anggap yang aku mahu mencampuri urusan peribadinya. Aku sangat mengerti emosi orang yang dilukai pasti berantakan dan kacau - bilau. Sering kali gagal membuat pertimbangan.  Aku hanya ingin menjadi teman pendengar yang setia andai dia ingin berkongsi masalah denganku. Aku sedar saat – saat sukar begini dia perlukan teman berbicara. Sesungguhnya kesakitan yang Puan Rosie rasakan sekarang memang patut diluahkan bukannya dipendam. Risau akan memakan diri Puan Rosie. Puan Rosie mengangguk sambil cuba mengukir senyuman. Senyuman tawar.

“Apa hal awak mahu jumpa saya?” soal Puan Rosie cuba berlagak tenang bagaikan tiada apa – apa yang berlaku. Puan Rosie cuba hidup seperti biasa. Namun Puan Rosie yang berada di depanku saat ini bukan seperti Puan Rosie yang kukenali selama ini seorang yang garang persis singa jantan. Setenang manapun dia cuba bertingkahlaku, Puan Rosie tetap tidak mampu mengaburi mataku untuk memperlihatkan dirinya betapa dia dalam keadaan yang baik sekarang. Orang yang pernah dilukai akan lebih memahami orang yang baru saja dilukai.

“Saya nak pohon cuti. Esok saya nak pergi sekolah adik saya ada Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah. Jadi pihak sekolah telah menjemput saya sebagai wakil” tuturku memberi penjelasan terperinci.

“Adik awak  yang menunaikan haji tu ke?” Aku mengangguk. Pasti Puan Rosie masih ingat perkara ini kerana aku juga pernah memohon cuti dan minta balik awal untuk menguruskan keberangkatan mak dan Aziq ke Tanah Suci Mekah.
“Adik awak pergi dengan mak awak kan? Apa khabar mereka sekarang?” soal Puan Rosie lebih mesra. Aku mengangguk.

“Alhamdulillah... sihat Puan Rosie” sahutku tersenyum. Cukup senang melihat kemesraan Puan Rosie ini. Sesungguhnya di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kelukaan dan kesengsaraan yang dialami Puan Rosie telah membawa perubahan sahsiah dirinya yang lebih baik. Alhamdulillah.... Betapa Allah itu Maha Adil lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Awak pergilah nanti” ujar Puan Rosie meluluskan permohonan cuti yang kupinta.
“Terima kasih Puan Rosie” tuturku berlapang dada. Lega rasanya. Esok bolehlah aku bertemu dan berkenalan dengan Cikgu Firdaus. He....he....he.... Mana tahu dia boleh jadi kawan yang baik. Mudah – mudahan....! Bukan terdesak tetapi pengharapan... he... he....he....!

“Saya pergi dulu Puan Rosie. Terima kasih sekali lagi” ujarku gembira dan rasa terhutang budi atas timbang rasanya meluluskan cutiku esok. Puan Rosie mengangguk dan tersenyum. Aku terus saja bangkit dari dudukku lalu mengatur langkah ke muka pintu dengan senyuman mekar menguntum di bibir. Selama ini tidak pernah aku segembira begini selepas bertemu dengan Puan Rosie. Buat pertama kalinya pertemuanku dengan Puan Rosie cukup menyenangkanku.

“Lia...” Langkahku terhenti. Alamak...!!!! Adakah Puan Rosie akan menarik balik kelulusan cutiku yang baru saja dipersetujuinya sekejap tadi? Puan Rosie sudah sedar lalu kembali pada sikap azalinya? Ohh....janganlah jadi macam ini! Harap – harap Puan Rosie tidak bertukar menjadi singa garang saat ini. Perlahan – lahan aku berpaling menatap wajah Puan Rosie.

“Ya  Puan Rosie” tuturku lemah. Semangatku yang berkobar – kobar sebentar tadi mula menurun. Alangkah menyedihkan andai Puan Rosie menarik balik cutiku ini.
“Awak okey tak kerja di KDUT tu?” soal Puan Rosie mengejutkan aku. Wajahnya tampak sunggul persis orang yang bersalah. Mungkin Puan Rosie rasa bersalah melibatkan aku dalam perjanjian antara CNFL dengan KDUT.

“Okey Puan Rosie. Segalanya berjalan lancar. Puan Rosie janganlah bimbang” tuturku disulami dengan senyuman. Tidak sampai hati aku hendak menyalahkan Puan Rosie. Bekerja di KDUT pun secara tidak langsung adalah pilihanku sendiri berpaksikan  syarat yang mendatangkan keuntungan kepada teman – teman di CNFL. Puan Rosie sudah menunaikan janjinya untuk menaikkan gaji pekerja.
“Mereka layan awak dengan baik?” soal Puan Rosie lagi. Sebak hatiku melihat keprihatinannya ini. Puan Rosie memang sudah berubah. Aku mengangguk biarpun saat ini aku terbayang wajah Rania.

“Baguslah kalau macam tu. Saya pun senang hati mendengarkannya. Selagi Encik Aqel ada di sana tiada siapa yang boleh apa – apakan awak. Saya tengok dia memang mengambil berat terhadap awak” tutur Puan Rosie mengejutkan aku lagi. Hampir – hampir aku menyatakan pada Puan Rosie bahawa aku dan Aqel adalah sepupu agar dia tidak silap tanggapan. Namun melihat senyuman Puan Rosie aku pendamkan saja penjelasan itu. Tidak tega melenyapkan senyuman di bibir Puan Rosie. Lantas aku hanya tersenyum.

“Saya pergi dulu Puan Rosie” tuturku setelah tiada apa yang perlu aku bicarakan lagi. Puan Rosie mengangguk. Aku mengatur langkahku sambil terus memikirkan bicara Puan Rosie sebentar tadi. Teringin juga aku hendak mengetahui topik perbualan antara Puan Rosie dan Aqel ketika itu sebelum temeterainya perjanjian kerjasama antara KDUT dengan CNFL ini. Namun pada siapa harus aku ajukan perkara ini. Kepada Puan Rosie? Rasa segan pula. Kepada Aqel? Anak muda Mak Long itu tidak akan berbicara tentang perkara yang lalu. Silap – silap percuma saja dia menyinggung perasaanku. Maka satu – satunya perkara yang boleh aku lakukan adalah menunggu peluang dan kesempatan yang ada andai Aqel mahupun Puan Rosie ingin membicarakan perkara ini semula. Aku akan menantikannya...........!!!


No comments:

Post a Comment