Thursday, 22 March 2012

NamaKu Bukan Flora! 23


BAB 23

“Awak tak seharusnya membiarkan hidup awak selamanya dibelenggu kenangan lalu. Kalau awak terus begini hidup awak akan musnah. Tidak mustahil awak akan terus hidup dalam kesedihan yang berpanjangan” ujar Aqel.

 “Saya tak boleh terus tengok awak jadi manusia yang tak bertanggungjawab. Awak akan menghancurkan orang yang berada di sekeliling awak termasuklah diri awak sendiri. Awak sanggup ke melihat keluarga awak terus bersedih melihat kegagalan awak untuk memulakan hidup baru? Awak nak jadi anak yang memberikan kesedihan sepanjang hayat mak awak?” suara Aqel berterusan menyucuk – nyucuk menembusi telingaku. Aku mengetap bibirku sehingga berbekas. Sakit hatiku mengingati bicara Aqel tadi.

Aku memejamkan mataku. Cuba mengusir jauh – jauh suara Aqel. Aku tidak mahu mendengar suara itu lagi. Namun semakin kucuba melenyapkannya semakin kerap pula suara itu terngiang – ngiang di telingaku. Aqel melihatku sebagai seorang yang terlalu lemah yang bakal memudaratkan orang yang berada di sekelilingku. Persis ada virus yang aku sebarkan. Bicara Aqel itu memang menyakitkan untukku terima. Daun pintu diketuk. Mak muncul di sebalik pintu. Wajahku ditenung.

“Boleh mak masuk?” soal mak meminta izin. Aku mengangguk. Mak terus saja melangkah masuk lalu mendekatiku. Lantas mak duduk di birai katil di sebelahku. Wajahku ditenung lagi.

“Dari balik kerja tadi sampai sekarang, kamu hanya duduk terperuk dalam bilik nie. Kamu tak sihat ke?” soal mak. Aku geleng kepala menandakan aku sihat walfiat sekarang. Cuma perasaanku saja tercedera rentetan bicara Aqel tadi. Sama ada itu adalah hakikat sebenarnya ataupun sebaliknya, perkara ini tetap mengguris perasaanku.

 “Lia nak tanya sesuatu pada mak” ujarku mula bersuara.

“Tanya ler” arah mak sudah bersedia untuk mendengar pertanyaanku itu. Aku mengumpul kekuatan yang diri.

“Betul ke Lia memberi kesedihan pada mak selama nie?” soalku perlahan. Mak merenungku seketika.

“Adakah Lia nie seorang yang tak bertanggungjawab?” soalku lagi. Mak masih merenungku.

“Betul ke Lia nak mak jawab soalan Lia nie?” soal mak pula. Aku mengangguk.

“Lia mahu mak jawab sejujurnya yang lahir dari hati yang ikhlas. Lia takkan ambik hati sebarang jawapan yang keluar dari mulut mak. Insya – Allah Lia akan cuba perbaiki diri andai lebih banyak kelemahan yang ada pada diri Lia” ujarku memberi jaminan kepada mak. Mak tersenyum. Dipegangnya lembut jari – jemariku. Terasa aliran kasih sayang mak yang tidak pernah putus – putus buat anak – anaknya.

“Siapa kata kamu bukan anak yang bertanggungjawab. Kamu memang jaga keluarga kita dengan baik selama nie. Cuma mak tengok kamu nampak masih bersedih. Kenapa? Kamu masih tak boleh lupakan Haqem?”

“Susah untuk Lia maafkan dia, mak” luahku bersedih.

“Kamu masih ada perasaan pada Haqem?” soal mak lagi. Aku geleng kepala. Geleng kepala bukan tanda menidakkan sebaliknya aku sendiri tidak pasti akan perasaanku sendiri. Aku memang marahkan Haqem sebab membuatkan aku hidup begini. Sebab Haqem juga aku hampir – hampir hilang kepercayaan kepada kaum Adam malah turut membenci lelaki yang menghancurkan cinta mereka. Rentetan itu aku tidak boleh menjalin hubungan persaudaraan yang akrab bersama Aqel. Di mataku sikap Haqem dan Aqel adalah serupa. Mereka diciptakan untuk memberi kesengsaraan kepada insan yang mencintai mereka.

“Lupakan Haqem kerana dia bukan jodoh buat kamu. Kamu kena beri peluang pada diri sendiri untuk mengenali lelaki lain. Lupakan kehidupan sedih kamu yang lalu. Mak percaya kamu mampu melakukannya. Kalau kamu bahagia, mak pasti akan lebih bahagia” tutur mak membuat aku terfikir. Betullah bicara Aqel itu. Aku menyebabkan mak bersedih.

“Maafkan, Lia mak” terus saja kupeluk tubuh mak. Perasaan sayu menyelubungi diriku. Aku menangis teresak – esak. Lembut saja tangan mak mengusap kepalaku.

“Mak takkan biarkan kamu menghadapi semua nie bersendirian” ujar mak memujukku.

“Lia tak tahu nak buat apa mak. Susah untuk Lia maafkan Haqem” ujarku teresak – esak. Mak membelai – belai lembut rambutku. Bahuku bergegar – gegar menahan tangis. Rembasan air mata membasahi pipiku.

“Kasihan anak mak....” bicara mak menambah kesayuan hatiku. Mak menepuk – nepuk tubuhku.

 “Kalau kamu izinkan, mak sedia tolong kamu lupakan Haqem” ujar mak. Kulepaskan pelukanku di tubuh mak. Seketika kurenung wajah mak. Cuba lebih memahami bicaranya itu.

“Lia mesti belajar mencintai lelaki lain untuk menggantikan tempat Haqem” nasihat mak buat aku terkedu. Bukan mudah untuk aku melakukan semua itu. Kalau aku mampu sudah lama aku melakukannya. Aku pernah terfikir untuk melakukan semua itu, namun hatiku menolaknya. Aku khuatir akan dilukai lagi. Tambahan pula, bayangan Haqem sentiasa menemaniku.

“Kalau kamu tak mampu nak memulakan cinta baru, beri peluang pada mak untuk mencari lelaki yang lebih sesuai untuk kamu, Lia” ujar mak. Aku terdiam. Perlukah mak melakukan semua itu demi merawat kelukaan di hati ini. Seseorang yang boleh memadamkan bayangan Haqem dari terus membelenggu diriku.

“Mak takkan paksa kamu. Mak hanya berharap kalau kamu cuba mengenalinya. Sekurang – kurangnya kamu boleh menilai dirinya sama ada dia sesuai untuk kamu sekaligus menggantikan tempat Haqem” tambah mak. Aku terdiam lagi. Bicara mak menyatakan seolah lelaki itu telah wujud. Mungkinkah mak telah merancang perkara ini dengan niat kebaikan untukku.

“Mak berikan Lia masa. Sebelum Lia menerima cinta kedua, Lia nak pastikan hati Lia dah takde Haqem sepenuhnya” pintaku. Aku ingin sekali mensirnakan diriku dari bayangan Haqem. Tika itu aku sudah mampu memaafkan diri Haqem. Mak mengangguk dan tersenyum.  

“Aqel baru je balik. Mengapa tak keluar – keluar jenguk dia tadi?” ujar mak mempersoalkan tindakanku yang menggurungkan diri tika kunjungan Aqel ke sini tadi. Aku diam. Kejadian siang tadi masih segar dalam ingatanku. Rasa terkilan pada Aqel dan Rania masih ada.

“Lia letih” balasku memberi alasan menyembunyikan perkara sebenar.

“Dia ada beli aiskrim vanila kegemaran kamu. Kalau nak makan ada dalam frizer tu” tutur mak mengejutkan aku. Bagaimana Aqel mengetahui aiskrim vanila adalah kegemaranku? Mungkinkah mak yang memberitahunya?

“Dia pesan kat mak suruh beritahu kamu, kalau makan aiskrim cepat padamkan hati yang panas” ujar mak menyampaikan bicara Aqel kepadaku.

“Kamu marahkan Aqel ke tadi, Lia?” soal mak. Aku dan mak saling berpandangan. Laju saja aku geleng kepala.

“Sepatutnya dia ler yang makan aiskrim tu sampai habis” tingkahku. Mak hanya geleng kepala.

“Pelik mak rasa kamu nie. Langsung tak boleh berbaik dengan Aqel. Esok – esok kalau tinggal sebumbung boleh tahan ke kalau asyik nak bermasam muka” ujar mak membuat aku berfikir panjang.

“Siapa yang nak tinggal sebumbung dengan Aqel? Lia tak nak” sahutku. Perasaan marah, geram dan terkilan pada Aqel masih ada. Walaupun aku punca masalah yang berlaku, tapi tidak bermakna Aqel terus menghukumku hanya berpaksikan hujah – hujah Rania. Aku cukup yakin Rania memang telah menganiaya aku. Pasti saat ini dia bergembira sakan setelah berlaku kejam padaku. Apatah lagi Aqel menyebelahinya. Sesuatu yang sangat membahagiakan Rania.

“Kalau mak dan Aziq pergi Mekah nanti kamu kena pindah pergi rumah Mak Long kamu. Jadi kamu pun kena tinggal sebumbung dengan Aqel” jelas mak mengingatkan perkara itu kepadaku. Aku mengeluh. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana aku hendak berdepan dengan Aqel hampir 24 jam. Sesuatu yang bukan mudah untukku lalui.

“Kalau Lia ajak Nana temankan Lia tinggal kat rumah nie boleh tak?” soalku mencuba nasib.

“Kamu tinggal di rumah Mak Long kamu. Muktamad!” tegas mak tidak akan sesekali mengubah keputusannya. Mak bangkit dari katil lalu melangkah ke muka pintu beredar meninggalkan aku. Aku mengeluh lemah. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana penerimaan Aqel terhadap kewujudanku di banglo mewahnya itu. Jangan – jangan dia tuduh aku menumpang kekayaannya. Adakah Aqel sekejam itu? Rasanya Aqel tidak akan sampai hati beranggapan sedemikian. Mak Long juga begitu baik terhadapku. Mak juga pernah memaklumkan bicara Mak Long kepadaku, tatkala melihat wajahku kerinduan Mak Long pada arwah ayah sedikit terubat. 

Aku melangkah ke dapur. Kucapai pinggan lalu menceduk nasi dari periuk. Di atas dapur gas masih terletak sayur dan lauk pauk. Aku menyenduk sayur campur dan daging masak kicap serta ikan kembung singgang lalu kuletak ke dalam pinggan. Aku terus saja membawa pinggan yang sudah penuh terisi ke meja makan lalu terus saja menikmatinya dengan rakus. Rasa lapar sangat sebab seharian tidak berselera hendak makan. Usai makan, aku mengambil gelas kosong dan sudu. Kukeluarkan aiskrim vanila di ruangan sejuk beku lalu menceduknya. Inilah pembasuh mulut kegemaranku. Aku berlalu meninggalkan dapur lalu bergerak ke ruang tamu bersama segelas aiskrim vanila di tanganku.

“Dia ada beli aiskrim vanila kegemaran kamu” ujar mak.

“Dia pesan kat mak suruh beritahu kamu, kalau makan aiskrim cepat padamkan hati yang panas” bicara Aqel yang mak sampaikan kepadaku. Kurenung aiskrim vanila di tanganku. Aiskrim ini dibeli dengan duit Aqel. Terbukti Aqel bukanlah seorang yang kedekut. Mungkinkah Aqel ingin menebus kesalahannya kerana bicaranya padaku siang tadi. Terasa pula tindakan Aqel ini sedang memujukku. Namun cepat saja aku sedar agar jangan berangan – angan. Lantas saja aku menikmati aiskrim vanila di gelas yang kelihatan sudah mula mencair. Emm.... sedapnya. Serta – merta rasa marahku pada Aqel mula mencair.   

AKU tiba di syarikat KDUT lebih awal daripada kebiasaan. Banyak kerja yang perlu aku selesaikan setelah dua hari perasaanku asyik bergelora. Tika asyik bermain dengan perasaan sukar juga untuk aku konsentret pada kerja – kerjaku. Kesal juga aku sebab terlalu ikut kata hati. Suara Aqel terngiang – ngiang kembali di telingaku. Pasti pemuda itu sedang memandang rendah padaku lantaran perbuatan seorang lelaki hidupku nampak kucar kacir. Terfikir juga aku adakah mak pernah menceritakan kisah duka hidupku kepada Aqel? Kalau betul mak pernah membuka rahsia hidupku ini kepadanya, bagaimana pula reaksi yang ditunjukkan oleh Aqel? Mesti Aqel terperanjat kerana watak utama dalam kisah duka hidupku ini ialah Haqem, sahabat karibnya sendiri.  

Aku bertembung dengan Aqel di ruang lobi ini. Dia menatapku seolah tidak pernah mengenaliku. Tiada senyuman. Jauh sekali untuk menyapaku. Aqel hanya memandangku persis angin yang melewatiku. Langsung tidak memberi makna apa – apa kecuali kedengaran keluhan panjangku. Reaksi yang ditunjukkannya ini tidak memberi sebarang kesan kepadaku. Sememangnya aku mengenali dirinya sedemikian. Tiba – tiba fikiranku menjangkau bayangan mak dan Mak Long. Pasti mereka bersedih terutama mak andai mengetahui betapa dinginnya hubunganku dengan Aqel. Aku dapat rasakan yang Aqel sebenarnya masih marahkan aku atas masalah serius yang menimpa KDUT. Segala – galanya berpunca daripada kecuaianku. Namun rasa terkilan belum dapat aku padamkan kerana aku masih merasakan aku adalah mangsa ketidakpuasan hati Rania. Aku tahu semua ini adalah angkara Rania. Aku mengetap bibirku sehingga berbekas menahan rasa geramku kepada gadis itu.

“Lia...!” suara Haqem melaung namaku. Aku berpaling. Haqem sedang berlari – lari anak ke arahku. Kali ini aku tidak berniat untuk melarikan diri lagi. Sudah sampai saat dan tikanya untuk aku berhadapan dengan Haqem. Aku tidak mahu lagi Aqel melihat dan menilaiku sebagai seorang yang terlalu lemah. Gadis yang sentiasa hidup dalam kenangan lalu. Aku ingin sekali mengubah persepsi Aqel terhadapku. Bahkan aku juga ingin membuktikan kepada Haqem bahawa aku mampu hidup dengan baik tanpa kewujudannya di sampingku.

“Ya Haqem...” sahutku tatkala langkah Haqem sudah terhenti di depanku. Tampak wajah Haqem sedikit keliru. Mungkin juga dia tidak menyangka kedatangannya kali ini disambut baik olehku. Haqem belum bersuara namun pandangan matanya masih terarah ke wajahku.

“Aku minta maaf atas kejadian semalam.Aku sedia bertanggungjawab dan menerima apa saja tindakan yang bakal diambil ke atas aku tanpa sebarang bantahan” tuturku serius sebaik saja melihat Haqem belum bersuara lagi.

“Kau okey?” soal Haqem tanpa mempedulikan bicaraku sebentar tadi. Aku mengangguk. Tampak dia begitu prihatin kepadaku.

“Kau ada apa – apa nak cakap kat aku lagi ke?” soalku tidak mahu lama – lama di situ. Masih aku rasakan ketidakselesaanku bersama lelaki ini. Beri aku sedikit masa lagi pasti aku akan cuba kikis perasaan ini, bisik hati kecilku bermonolog sendiri. Tika itu aku akan jadi lebih kental untuk bersemuka dengan Haqem. Mungkin juga aku boleh bersahabat dengannya lagi. Haqem geleng kepala bagi menjawab pertanyaanku tadi setelah berdiam diri seketika.

“Saya pergi dulu.....” ujarku meminta diri dan sempat melihat anggukan kepala Haqem bersama senyuman di bibirnya. Kutinggalkan Haqem yang masih terpacak di situ sedang memerhatikan kepergianku.

Haqem tersenyum sendiri. Gembira hatinya dengan perubahan sikap gadis itu. Biarpun tampak dingin dan tidak mesra, namun dia tetap gembira kerana gadis itu sudah sudi berbicara dengan dirinya. Selalunya gadis itu akan melarikan diri setiap kali mereka bertemu. Namun pagi ini tidak. Gadis itu sudah mahu bersemuka dengannya. Hatinya riang tidak terperi. Pertemuan dirinya dengan gadis tadi terlalu bermakna buat dirinya. Mulalah Haqem berangan pertemuan tadi sebagai pembuka jalan untuk pertemuan seterusnya. Dia mula membina harapan untuk mencipta hari yang lebih indah dan membahagiakan bersama gadis itu seperti masa lalu.

“Morning bos.... Berseri – seri je wajah Encik Haqem hari nie” sapa Marnie sambil sempat mengusiknya. Senyuman di bibir Haqem semakin lebar. Hari ini dia ada emosi yang baik. Pertemuan dengan Lia memberikan keriangan yang berganda dalam dirinya. Sudah sekian lama juga dia tidak merasakan perasaan sedemikian. Lantas dia tidak mampu menyembunyikan perasaan itu.  

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

AKU menatap sekeliling bilikku ini dengan pandangan sayu. Hujung minggu ini setelah keberangkatan mak dan Aziq ke Tanah Suci Mekah, aku pun kena pindah dari rumah ini. Untuk tempoh 40 hari aku terpaksa meninggalkan bilik  serta harta benda milikku yang berada di bilik ini. Sedih juga melihat katilku yang terbiar lama nanti. Memikirkan aku bakal tinggal sebumbung dengan Aqel membuatkan aku mengeluh panjang. Sungguh aku tidak dapat membayangkan bagaimana aku hendak berhadapan dengan kedinginan Si Tunggul Kayu itu. Perwatakan diam membekunya membuatkan aku kadangkala rasa meluat dan menyampah kepadanya. Pandangan kosong yang sering dilemparkannya betul – betul menampakkan keegoan dirinya. Malangnya dia adalah anak Mak Long merangkap sepupuku. Sebanyak mana rasa tidak sukaku kepada dirinya, dia tetap ada pertalian darah denganku. Hubungan yang terjalin antara Mak Long dan arwah ayah tidak boleh aku nafikan. Lantaran itu mahu tidak mahu aku terpaksa menerima hakikat bahawa Aqel adalah abang sepupuku, satu – satunya anak buah mak di dunia ini. Rasanya sebab inilah mak begitu prihatin pada Aqel. Sesungguhnya sudah ditakdirkan aku dan Aqel menjadi keluarga.

Usai menyimpan pinggan mangkuk dalam kabinet, aku bergerak pula ke meja makan mengangkat gelas – gelas yang sudah siap dilap oleh mak dan Mak Long dibantu oleh Nana tadi. Namun Nana sudah kembali ke rumahnya bila saja mendapat panggilan daripada Puan Rosie. Ada dokumen penting yang perlu diserahkannya kepada wanita itu.  Teringatkan Puan Rosie, aku jadi belas kasihan kepadanya. Pasti dia tidak menyangka suami yang selama ini hanya patuh pada bicara dan kehendak hatinya tiba – tiba saja mengkhianatinya. Sebetulnya aku pun seakan tidak percaya yang Encik Muktahir akan berlaku curang kepada isteri yang digeruninya selama ini. Tiada siapa menyangka lelaki yang penuh sikap penyabar dan pengasih ini  dalam diam rupanya punya isteri seorang lagi. Adakah semua lelaki yang ada di muka bumi ini tidak pernah setia pada cintanya? Aku mengeluh berat. Alhamdulillah ayah tidak seperti Aqel, Haqem mahupun Encik Muktahir. Cinta ayah hanya pada mak. Kesetiaan ayah membuatkan mak tidak pernah terfikir untuk menggantikan tempat ayah dengan lelaki lain. Sesungguhnya cinta mak hanya untuk ayah seorang.

Aku meneruskan kerjaku ditemani bicara – bicara hati kecilku. Gelas - gelas ini harus disimpan di tempat penyimpanan asalnya. Lincah saja aku melakukan kerjaku tanpa menghiraukan perbualan rancak mak dan Mak Long. Semua kerja harus diselesaikan sebelum munculnya hari esok. Sebelum aku bergerak ke rumah Mak Long, rumah ini mesti dalam keadaan rapi dan segala peralatan seperti pinggan – mangkuk, sudu – sudu, jug dan periuk kuali yang digunakan untuk kenduri doa selamat semalam mesti dikemas dan disimpan di dalam kabinet. Tambahan pula aku belum mengemaskan lagi barang – barangku ke dalam beg. Berangkat saja mak dan Aziq esok bermakna aku pun turut sama meninggalkan rumah ini demi memenuhi permintaan mak. Permintaan mak yang begitu membebankan untuk kupenuhi. Justeru, aku sengaja melupa – lupakannya sekadar menyenangkan hati.

Entahlah kenapa aku berat hati sangat hendak tinggal di rumah Mak Long. Sebetulnya aku memang sayangkan Mak Long. Mak Long pun rasanya sayangkan aku dan Aziq juga. Mak pula memang tidak dapat dinafikan lagi, kalau berkaitan Aqel banyak kali juga mak menangkan Si Tunggul Kayu itu berbanding diriku. Ringkasnya anak teruna Mak Long ini begitu sempurna di mata mak. Paling aku tidak dapat terima bila saja mak berangan – angan hendak bermenantukan Aqel. Anak mak yang manakah hendak disandingkannya dengan Aqel. Kalau Aziq tidak boleh sebab sama jantina. Aku? Fuhhh! Selisih 44 malaikat. Awal – awal dan terang – terangan aku katakan aku tidak mahu! Tidak sudi aku berkongsi hidup dengan Si Tunggul Kayu! Dia manusia spesies Haqem. Manusia yang tidak patut dikasihi sebaliknya wajib diperangi. WAJIB!!!!

“Lia, mana Aqel dan Aziq?” suara mak melontar pertanyaan itu kepadaku. Aku menjungkit bahu. Dalam sibuk – sibuk begini tidak sempat aku ambil tahu keadaan sekeliling. Apatah lagi hendak menjejaki pergerakan Aqel. Langsung aku tidak terfikir dan tidak teringin.

“Pergi panggil Aqel dan Aziq, ajak minum sama – sama” ujar mak. Aku mengangguk lalu menjengukkan kepala di sebalik dinding pemisah antara ruang dapur dengan ruang legar rumah ini. Anak mataku liar memandang sekeliling. Aqel sedang terpacak di bolkani tampak begitu leka memandang lanskap bukit – bukau yang menghijau di depan banglo keluargaku ini. Ada ketenangan yang terpamer di wajah pemuda itu. Barangkali dia sedang mencari ilhamnya. Aziq pula tidak kelihatan. Mungkin masih berborak – borak dengan rakan – rakan sekolahnya di halaman. Aku melangkah ke ruang tamu lalu meninjau – ninjau sekeliling cuba menjejaki kelibatAziq. Tepat sangkaanku. Aziq baru saja berpisah dengan rakan – rakan sekolahnya.

“Mari minum petang. Mak dan Mak Long dah tunggu kat dapur tu. Ajak sekali abang sepupu kesayangan Aziq tu” ujarku sambil menjuihkan bibir ke arah Aqel yang masih berdiri di bolkani dengan lekanya. Aziq mencebik bibir. Aku tahu dia dan Aqel tidak begitu mesra. Mesti dia segan hendak memanggil anak teruna Mak Long itu. Aqel seperti yang diketahui bukannya seorang yang mesra menyebabkan sukar untuk orang lain mendekatinya. Entahlah bagaimana agaknya percintaannya dengan Rania suatu waktu dahulu? Jangan – jangan Aqel ini adalah kekasih jiwang – jiwang. Hahahahaha!!! Aku tersenyum sendiri. 

“Abang Aqel, mak panggil minum” kedengaran suara Aziq menyampaikan pesanan kepada abang sepupu kami itu.

“Emm....” pendek saja suara Aqel menyahutnya. Langsung tidak menghairankan aku dengan reaksi yang ditunjukkannya itu. Bahkan aku akan kebinggungan dan rasa pelik kalau Aqel banyak cakap. Kami bertiga bergerak ke dapur untuk menyertai mak dan Mak Long yang sedang menanti kedatangan kami. Di meja sudah terhidang kuih donut dan cucur pisang. Rupanya dalam kerancakan mak dan Mak Long berbual sempat juga mereka menyediakan hidangan minum petang ini. Memang mengkagumkan.

“Mari minum....” pelawa mak seraya menuangkan air teh kosong ke dalam tiga cawan untuk kami. Aku duduk di sebelah mak bertentangan dengan Aqel. Aziq dengan manjanya duduk di tepi Mak Long. Suka sangat dia dengan Mak Long yang nampak sangat memanjakan dirinya. Dengan kalimah bismillahirahmanirahim aku meneguk perlahan air teh kosong yang masih berasap –asap ini. Ada nikmat tersendiri. Aqel aku nampak meniup – niup air teh itu dan masih belum meneguknya. Mesti dia tidak tahan panas. Aku tersenyum sendiri. Setahuku orang Korea ini tahan makan makanan yang panas – panas.

“Panas air teh tu, Aqel. Kamu tak boleh teguk ke?” soal mak yang menyedari tingkahlaku anak buahnya itu. Aqel mengangguk dan tersenyum. Senyuman mahal yang begitu menawan.

“Orang yang tak tahan minum air panas maksudnya kuat cemburu” ujarku sinis. Aziq tertawa namun cepat saja ketawanya lenyap tatkala melihat pandangan mak. Mak Long tersenyum meleret. Aqel sudah semestinya menjelingku
tajam. Aku hanya mempamerkan wajah yang bersahaja.

“Betulkan Mak Long?” soalku meminta pendapat Mak Long. Mak Long mengangguk dan tersenyum.

“Tapi minum air atau makan makanan yang panas – panas hukumnya makruh dan tiada keberkatan” balas Yen tanpa kuduga.

“Sama juga ler dengan tindakan meniup air minuman panas sebelum meneguknya malah tidak elok untuk kesihatan dan menyalahi adab – adab ketika makan” sahutku. Senyap.

“Ha.... kamu berdua nie memang pasangan sesuai, seorang jadi ustaz dan seorang lagi jadi ustazah. Alhamdulillah...” ujar mak disambut dengan ketawa Mak Long dan Aziq. Aku dan Aqel hanya berlawan pandangan. Tajam.

Jika kita meniup makanan dan minuman, maka kita akan mengeluarkan gas CO 2 dari dalam mulut kita. Mengikut reaksi kimia, apabila wap air bertindak balas dengan karbon dioksida akan membentuk sebatian asid karbonat yang bersifat asid2 O + CO => H 2 CO 3 .Perlu kita tahu bahawa di dalam darah kita semua terdapat H 2 CO 3 yang berguna untuk menetapkan pH iaitu tahap keasidan di dalam darah. Makanan  yang kita tiup, karbon dioksida dari mulut kita akan terikat dengan wap air dari makanan dan menghasilkan asid karbonat yang akan mempengaruhi tingkat keasidan dalam darah kita sehingga menyebabkan darah kita akan menjadi lebih asid dari seharusnya sehingga pH dalam darah menurun, keadaan ini lebih dikenali dengan istilah asidosis” ujar Aziq mencelah sekaligus mempamerkan kebijaksanaannya sebagai pelajar sains tulen.

“Ha… nie seorang pula dah nak jadi doktor” ujar mak buat Aziq dan Mak Long tertawa. Kali ini aku dan Aqel juga turut sama ketawa. Akhirnya ketawa kami berempat bersatu buat mak mencebik geram. Usai saja minum petang, Mak Long memohon diri untuk pulang. Itupun setelah diajak oleh Aqel yang kononnya hendak ke pejabat hujung minggu ini melihat penggambaran untuk cover majalah yang dijalankan di studio. Bekerja keras betul anak teruna Mak Long mengumpul harta di usia mudanya ini. Mujur juga aku tidak terlibat sama bekerja di hujung minggu begini.

Usai solat Asar, aku terus saja mengemas pakaianku ke dalam beg. Memandangkan malam ini aku bercadang hendak tidur awal kerana seusai solat Subuh nanti aku mahu menghantar mak dan Aziq ke lapangan terbang, maka aku mesti melangsaikan semua ini sesegera yang mungkin. Cukup sekadar sebiji beg yang bersaiz sederhana. Bolehlah memuatkan beberapa pasang pakaian dan barang keperluan lain untukku. Lagipun aku sudah bercadang akan datang selalu ke rumah ini. Jadi tidak perlulah aku membawa barang – barang keperluanku dengan banyak. Beg yang sudah dimampatkan dengan pakaian serta barang – barang keperluan harian yang lain terus saja kuzip lantas menyandarkannya di tepi hujung katil. Aku menyandarkan tubuhku di sebelah beg yang akan kubawa berpindah ke banglo Mak Long pada esok hari.

“Kamu dah siap mengemas pakaian kamu, Lia” suara mak sedang menyapaku. Aku terus berpaling ke muka pintu. Kelihatan mak baru saja melangkah masuk ke bilik ini lalu menghampiriku lantas duduk di birai katil.

“Dah siap pun. Lia bawa pakaian sikit je” jelasku.

“Cukup ke nanti pakaian yang kamu bawa tu?” soal mak sangsi.

“Lia akan selalu jenguk rumah nie walaupun mak dan Aziq tak de kat
sini. Jadi tak timbul masalah pakaian tak cukup” jelasku.

“Kalau nak datang sini nanti ajak ler Aqel datang temankan. Jangan datang sorang – sorang bahaya” luah mak gusar.

“Nanti Lia minta ler Nana temankan Lia” ujarku tidak mahu patuh pada arahan mak. Bukan aku hendak melawan bicara mak tapi aku berfikir jauh. Kalau aku bersama Aqel di rumah ini secara berdua – duaan lagi banyak bahaya yang kuhadapi. Lelaki dan perempuan berdua – duaan di tempat tertutup dan sunyi boleh mengundang fitnah. Bukan setakat itu saja malah syaitan selalu mencelah menjadi orang ketiga yang akan berbisik mengajak ke arah kemungkaran. Nauzubillah....!

“Kalau Nana yang temankan boleh juga asalkan kamu tak datang sini sorang – sorang terutama pada waktu malam” luah mak masih risau. Aku bangkit lantas memeluk bahu mak. Tangan mak menepuk – nepuk lembut belakangku.

“Mak tak perlu risaukan Lia, nanti pandai ler Lia jaga diri. Boleh tak kalau Lia dan Nana tinggal di rumah nie? Jadi tak payah ler Lia tinggal kat rumah Mak Long” pintaku masih berusaha meminta keizinan mak.

“Tak boleh kamu mesti tinggal dengan Mak Long kamu sepanjang ketiadaan mak di sini” tegas mak masih dengan pendirian lamanya. Aku mengeluh lemah. Pelukanku dibahu mak terlerai. Lantas aku duduk di sebelah mak di birai katil ini. Wajahku ditenung oleh mak.

“Kenapa kamu beria – ia sangat tak mahu tinggal kat rumah Mak Long kamu tu?” soal mak janggal.

“Lia tak biasa ler tidur kat rumah orang lain” luahku.

“Tukan rumah Mak Long kamu, kakak arwah ayah Lia dan Aziq bukan
 orang lain pun” balas mak begitu terperinci tidak mengerti. Aku mengeluh kecil. Aku tahulah perkara itu.

“Tak selesa ler tinggal sana” sahutku lagi.

“Apa yang tak selesanya?” soal mak janggal.

“Aqel. Lia tak biasa tinggal serumah dengan lelaki lain. Lagipun Aqel tu sombong” balasku tidak mahu berselindung lagi. Mek geleng kepala.

“Nanti kat Mekah tu mak doa banyak – banyak minta Allah ubah penerimaan kamu terhadap Aqel. Biar hubungan kamu berdua baik malah boleh hidup bersama Aqel sepanjang hayat kamu” balas mak bersungguh – sungguh.

“Mak....” Aku kurang senang dengan kata – kata mak ini. Doa seorang ibu selalunya makbul. Apatah lagi berdoa di tempat suci begitu pasti Allah mudah memperkenankannya.  Oh, tidak sanggup aku! Mak bangkit dari duduknya.

“Mak nak check barang – barang mak dan Aziq kali terakhir. Risau kalau ada barang penting yang tertinggal” ujar mak.

“Biar Lia tolong mak” ujarku lalu memaut bahu mak. Mak tersenyum senang. Lantas aku dan mak beriringan meninggalkan bilikku untuk ke biliknya.

SEJAM sebelum masuk solat Subuh, Mak Long dan Aqel muncul di muka pintu. Dua beranak inilah tetamu pertama yang bertandang ke rumah ini. Kalau Aqel tiada kerja petang tadi, pasti dia dan Mak Long bermalam di sini. Ini yang Mak Long perkatakan kepadaku. Mendidih saja air yang dijerang, aku terus saja membuat air kopi, milo dan teh buat pemanas tekak ketika dingin subuh ini. Kek chese dan kek buah yang sudah dipotong kuletak di dalam beberapa biji pinggan. Sudah siap untuk dihidang kepada tetamu seusai saja solat Subuh berjemaah nanti. Kuih tart dan tart nanas yang Mak Long bawa penambah hidangan turut sama kusimpan dalam beberapa biji pinggan. Cukup untuk dihidangkan kepada tetamu nanti. Kira – kira 30 minit masuk waktu solat Subuh, jiran tetangga yang terdekat pun datang. Solat Subuh berjemaah. Usai solat, aku bergegas ke dapur untuk menghidangkan jamuan ringan kepada tetamu. Mujur juga Aqel sudi menolongku menatang air minuman panas lalu menuangnya ke dalam cawan para tetamu. Manakala aku pula menghidangkan kuih – muih. Sedang tetamu menikmati air minuman dan kuih yang dihidang, aku terus saja bergerak ke dapur. Aku mula bermain dengan emosi. Perasaan sebak mula terasa. Apatah lagi melihat mak dan Aziq yang sudah lengkap berpakaian jemaah haji seperti yang disarankan oleh Lembaga Tabung Haji. Sedikit masa lagi mereka akan berangkat. Dalam rasa kesyukuran aku tetap bersedih kerana terpaksa berjauhan dengan mak dan Aziq buat sementara waktu.

“Awak okey ke?” suara Aqel menegurku. Laju saja aku mengesat air mataku. Tidak mahu Aqel menyedarinya. Nanti tidak pasal – pasal dia mengutukku. Dulang di tangannya diletak di atas meja. Aqel berpaling ke arahku. Saat ini aku langsung tiada keberanian untuk membalas pandangan Aqel. Risau Aqel boleh mentafsir keadaanku sekarang. Buat seketika aku dan Aqel hanya membisu.

Bacaan doa selamat oleh Pak Iman mengiringi keberangkatan mak dan Aziq. Aqel mendahului langkah mak dan Aziq keluar dari rumah ini untuk memasukkan beg – beg pakaian ke dalam bonet keretanya. Aku memaut lengan mak lalu beriringan melangkah masuk ke dalam kereta Aqel. Begitu juga Mak Long dari tadi sentiasa bersama mak. Mak berada di tengah – tengah antara aku dengan Mak Long. Aziq pula duduk di sebelah Aqel. Kami akan menghantar mak ke lapangan terbang. Tatkala kereta ini bergerak meninggalkan halaman rumah, jiran – jiran melambaikan tangan ke arah kami. Lambaian itu dibalas oleh mak dan Aziq. Lambaian yang mendoakan dan mengharapkan mak dan Aziq akan selamat kembali ke tanah air.

Hatiku bertambah sebak tatkala tiba masa penerbangan mak dan Aziq bersama rombongan haji yang lain ke Kuala Lumpur. Di KLIA nanti rombongan ini akan bergabung dengan rombongan haji yang lain untuk meneruskan penerbangan ke Tanah Suci Mekah. Kupeluk erat tubuh mak dan Aziq silih berganti. Sempat juga mak menyapu air mata yang mengalir di pipiku. Sebelum berangkat pergi mak sempat berpesan kepadaku agar menjaga diri dengan baik. Kemudian mengamanahkan diriku kepada Mak Long dan Aqel. Lantas Mak Long dan Aqel berjanji akan menjagaku sebaik mungkin.

“Mana ada ibu yang tak pernah risaukan anak dia” suara mak berbisik jelas ditelingaku menambah kesyahduan hatiku. Kupandang ke hadapan. Kelibat mak dan Aziq sudah tidak kelihatan lagi. Sedar – sedar Mak Long sudah memegang lenganku.

“Mari kita balik, Lia” ajak Mak Long. Aku mengangguk lantas mengorak langkah beriringan dengan Mak Long meninggalkan ruang legar lapangan terbang ini. Aqel yang berada di belakang langsung tidak bersuara.

2 comments:

  1. best... nape lama x upload cite nii?? lama tau saya tunggu... pe pun upload la bnyak2 lagi...

    ReplyDelete