Sunday, 1 April 2012

NamaKu Bukan Flora! 24


BAB 24

Kedatanganku disambut oleh Mak Long di muka pintu. Tubuhku dipeluk erat dan pipiku dikucup mesra. Mak Long nampak sungguh gembira dengan perpindahan sementaraku ke kediamannya hari ini. 

“Hyeon, Lia dah datang nie!” laung Mak Long kepada anak terunanya itu. Opocot! Aku terkejut tatkala terpandang Aqel muncul berkain sarung dan berbaju pagoda. Berbeza benar penampilannya sewaktu di tempat kerja. Seikhlasnya ketampanan Aqel tetap terserlah. Sedikit terusik hati perempuanku. Selebihnya, aku masih melihat Aqel sebagai pemusnah anak gadis lantas memadamkan kekagumanku yang berputik sebentar tadi.

“Letak beg Lia tu kat bilik atas” arah Mak Long kepada Aqel yang masih nampak terpejam celik. Mungkin baru bangun tidur. Senja – senja begini pun dia tidur. Kalau aku dan Aziq tidur senja begini pasti bising mulut mak meleteriku. Oh, rindulah pada mak dan Aziq! Baru beberapa jam saja mereka meninggalkan aku sudah terasa rindu pada wajah – wajah kesayanganku itu. Tidak dapat kubayangkan untuk tempoh 40 hari yang akan kulalui tanpa mereka. Ya Allah, Engkau lindungilah Mak dan Aziq. Semoga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

“Kenapa nie, Lia?” suara Mak Long menerjah telingaku. Aku tersentak. Lenyap semua lamunanku. Wajahku ditenung oleh Mak Long.

“Kenapa nampak sedih nie? Tak suka tinggal rumah Mak Long ke?” soal Mak Long persis sedang melayan anak kecil. Aku geleng kepala.

“Lia teringat pada mak dan Aziq, Mak Long. Rindu dengan mereka” luahku tidak mahu berselindung. Mak Long tersenyum seraya mengusap – usap lembut bahuku. Cuba mendamaikan emosiku.

“Alah.... manja sangat macam budak – budak. Baru ditinggal beberapa jam dah mahu menangis” suara sinis Aqel kedengaran. Aku berpaling. Jelingan tajam kulemparkan kepadanya. Sakit hati juga mendengar bicaranya itu. Aqel sudah duduk di anak tangga terakhir sambil mengarah muka kepadaku dan Mak Long. Jadi pemerhati pada tingkahlakuku dan Mak Long.

“Hyeon, jaga tingkahlaku kamu” tegur Mak Long kurang senang dengan perangai anak terunanya itu.

“Mulut dia nie memang jahat, Mak Long. Suka sangat dia buli Lia” tuturku tidak melepaskan peluang mengadu kepada Mak Long.

“Betul ke nie, Hyeon?” tanya Mak Long serius dengan mata yang tajam memandang ke arah Aqel.

“Hey, tak de ler mama. Dia nie saja nak buat cerita” sahut Aqel dengan wajah masam mencuka. Tidak suka Aqel tatkala Mak Long berpihak kepadaku. Aku tersenyum sendiri. Padan muka!

“Minta maaf pada Lia sekarang” arah Mak Long serius.

“Hyeon tak buat salah, buat apa nak minta maaf” tegas Aqel ego.

“Minta maaf pada Lia sekarang juga” arah Mak Long lagi. Aqel menarik muka masam.

“Sorry........” ujarnya antara kedengaran dengan tidak.

“Tengok Mak Long, nak minta maaf pun tak ikhlas” ujarku sengaja mahu mengenakan Aqel. Buaya darat ini harus diajar. Sekurang – kurangnya dia akan tahu bahawa aku bukan seorang yang mudah dipermainkannya.

“Sekali lagi” arah Mak Long. Tajam pandangan Aqel menatapku dan kubalas dengan senyuman sinis. Jangan ingat ini rumah dia sewenangnya mahu membuliku. Sama sekali tidak akan kubiarkan perkara itu menimpaku.

“Saya minta maaf” tutur Aqel lebih jelas dan teratur. Aku tersenyum lantas mengangguk. Dari reaksi wajah Aqel, aku tahu hatinya sedang panas terbakar sekarang.

 “Mulai hari nie kamu mesti layan Lia dengan baik” pesan Mak Long. Aqel hanya mendiamkan diri sambil menatapku dengan pandangan kosong.

“Kalau Aqel buat perangai pada Lia, beritahu Mak Long. Biar Mak Long ajar dia” pesan Mak Long bersungguh – sungguh padaku. Melebar senyumanku mendengar bicara Mak Long ini. Sebaliknya kian masam wajah Aqel. Pasti dia cemburu sekarang kerana perhatian Mak Long sudah beralih kepadaku.

“Mak Long nak pergi dapur nak sediakan makanan malam kita” tutur Mak Long lalu mula melangkah beredar dari ruang tamu.

“Mak Long biar Lia tolong” pintaku lantas bangun dari sofa ini.

“Lia kan baru sampai. Rehat je ler” ujar Mak Long menolak pertolonganku.

“Lia tak letih pun” sahutku lalu mengekori langkah Mak Long. Namun tiba – tiba saja Aqel bangun lalu menghalang langkahku. Langkahku terhenti tepat – tepat di depan Aqel. Lantas aku mendongak sedikit wajah Aqel.

“Awak nak buat apa nie?” soalku sangsi. Risau juga kalau Aqel bertindak ganas.

“Awak hutang dengan saya” tegas Aqel dengan wajah yang serius.

“Hutang apa? Tepi ler.....” arahku tidak suka dengan tindakannya yang menghalang laluanku. Baru selangkah kakiku menapak, tangan Aqel menarik tanganku. Aku terdorong ke arah Aqel semula. Mujur juga renjatan tarikan tangannya itu tidak terlalu kuat, kalau tidak pasti tubuhku berlanggar dengan tubuh Aqel. Satu kesempatan untuk Aqel merasa kehangatan tubuhku.

“Lepas ler....” marahku sambil menarik kuat tanganku dari pautan tangan Aqel. Namun pautan jari – jemari Aqel begitu kukuh dan sukar untuk dileraikan.

“Buat apa pegang – pegang orang nie!” radangku. Aqel tersenyum meremangkan bulu romaku. Betul – betul nampak lelaki kasanova.

“Kalau awak tak lepaskan tangan saya, saya panggil Mak Long” ancamku. Mendengar sebaris nama itu, tangan Aqel terus terlerai. Mujarab betul nama Mak Long ini. Benar – benar menakutkannya. Aku meneruskan langkah ke dapur untuk menolong Mak Long dan meninggalkan Aqel yang hanya mampu memandangku dengan rasa tidak puas hati.

Usai membantu Mak Long menyediakan hidangan makan malam, aku dan Mak Long bergerak ke ruang tamu. Seketika aku dan Mak Long berbual – bual sambil menonton rancangan di kaca tv bersama – sama. Aqel tidak tahu ke mana menghilang. Setahuku tadi dia ada memberitahu Mak Long yang dia hendak keluar sekejap. Baik sungguh perangai Aqel pada Mak Long. Aku tahu Aqel anak yang taat pada ibunya.

“Lia pergi ler mandi, kejap lagi kita solat Maghrib sama - sama” ujar Mak Long mengarahkan aku beredar ke bilik. Aku tersenyum. Senang hati menerima arahan Mak Long. Memang aku mahu bergerak ke bilik, namun tidak sampai hati pula hendak meninggalkan Mak Long bersendirian menonton siaran drama Cina ini. Mujur Mak Long sendiri yang mengeluarkan arahan ini. Maka tidaklah aku rasa berat hati untuk beredar. Tanpa melengahkan masa aku terus saja melangkah naik ke tingkat atas. Tiba di tingkat atas ini, langkahku terhenti di ruang tengah – tengah ini. Ada empat buah bilik yang ada di sini. Aku jadi keliru. Bilik manakah yang Mak Long sediakan untuk aku? Di mana pula Aqel meletakkan beg pakaianku tadi? Silap juga mengapa aku tidak tanya perkara ini pada Mak Long tadi. Aku berpatah balik menjenguk ke ruang tamu. Mak Long sudah tiada di situ. Mungkin Mak Long sudah berada di biliknya di tingkat bawah ini hendak mandi. Aku kembali ke tingkat atas. Langkah terakhir yang aku lakukan aku terpaksa menolak satu – persatu daun pintu bilik yang ada di depan mataku ini.

Kuketuk daun pintu kerana tidak mahu tersalah masuk bilik Aqel. Kalau ada suara Aqel yang menjawab maksudnya itu bilik dia.  Namun Aqel sudah keluar tadi. Aku mengetuk beberapa kali daun pintu bilik ini. Harap – harap daun pintu pertama yang kuketuk ini adalah bilik yang dipinjamkan sementara waktu untukku. Sunyi. Perlahan – lahan daun pintu kutolak. Kelihatan meja dan laptop di atas meja. Ada rak kayu yang dipenuhi oleh buku – buku. Sah ini adalah bilik kerja dan bilik bacaan Aqel. Daun pintu kututup kembali. Daun pintu bilik kedua kuketuk lagi. Tiada kedengaran suara yang menyahut. Kukuak daun pintu sedikit. Bilik tidur yang kelihatan kemas dan rapi. Mungkin inilah bilik pinjaman untukku. Aku melangkah masuk. Anak mataku liar menjejaki beg pakaianku. Tidak kutemui barang – barangku di sini. Bermakna bilik ini bukan untukku. Aku bergegas meninggalkan bilik ini. Sekarang ada dua buah bilik yang belum kukenal pasti. Salah sebuah daripadanya ialah bilikku dan sebuah lagi bilik Aqel. Percaturan yang sukar untukku. Risau juga kalau aku tersilap bilik. Kuulangi lagi perbuatanku seperti tadi. Ketukan tanganku di pintu tiada mendapat tindak balas dari dalam bilik ini. Aku yakin Aqel tidak berada dalam bilik ini. Mungkin kali ini tepat. Tatkala daun pintu terkuak, aku terpandang beg pakaianku di atas katil. Aku menarik nafas lega dan tersenyum senang hati. Inilah bilik sementaraku di banglo Mak Long ini.

Aku terus saja merebahkan tubuhku ke tilam ini. Oh..... sungguh empuk dan selesa! Kupandang sekitar bilik ini. Aturan peralatan di dalam bilik ini begitu kemas dan rapi. Bau wangian semerbak memenuhi rongga hidungku. Seolah Aqel berada di bilik ini sekarang kerana bau wangian ini persis wangian yang Aqel pakai. Mesti ketika Aqel menghantar beg pakaianku ke dalam bilik ini dia telah meninggalkan bau parfumnya di sini. Dahsyat betul bau parfumnya. Aku melirik jam di tangan. Ada masa lagi untuk baring – baring. Kupejamkan mataku bukan berniat untuk tidur sekadar  merehatkan diri dengan khusyuk. Senja – senja begini aku tidak akan tidur. Itulah pantang larang mak yang sudah sebati dalam diriku dan Aziq. Oh, rasa rindu lagi pada mak dan Aziq! Mengapa mereka belum menghubungiku lagi? Mak sudah berjanji akan menelefonku kiranya mereka sudah sampai ke situ. Mungkin mak dan Aziq bersama rombongan jemaah haji yang lain masih dalam perjalanan. Ya Allah, Engkau lindungilah mak dan Aziq. Semoga mereka sihat sejahtera dan dapat melakukan ibadah haji dengan sempurna. Ya Allah permudahkanlah segala urusan mak dan Aziq sepanjang berada di sana. Amin.

“Buat apa awak baring atas katil saya” ada suara lelaki singgah di telingaku. Aku membuka mataku. Terkejut sangat tatkala menatap Aqel yang sedang menundukkan kepala dan pandangannya ke arahku. Bingkas aku bangun dan turun dari katil ini lalu terpacak di situ. Tidak sedar bila Aqel melangkah masuk ke bilik ini.

“Awak masuk ke bilik saya” ujar Aqel. Serta – merta wajahku terasa panas membahang. Malunya....!!! Memang malu sangat. Rupanya aku tersalah bilik tetapi mengapa beg pakaianku berada di atas katil ini? Aqel sengaja memerangkap aku? Dia mahu mempermainkan aku atau mahu membalas dendam padaku?

“Mengapa beg pakaian saya ada dalam bilik awak?” soalku curiga. Aqel tersenyum. Sakit hati melihat senyuman Aqel itu walaupun hakikatnya senyumannya ini mempesonakan.

“Awak rabun ke?” soal Aqel membinggungkan aku.

“Rabun? Awak jangan nak mempermainkan saya” ujarku melenting. Aqel tersenyum lagi.

“Awak tengok betul – betul beg ini? Sama ke dengan beg pakaian awak tadi?” soal Aqel seraya menunding ke arah beg yang terletak di atas tilam ini. Aku merenung lama beg itu. Alamak! Betulkah aku ini rabun sekarang? Memang itu bukan beg pakaianku. Warna hitam ini saja yang sama tapi reka bentuknya tidak sama. Sah beg yang berada di atas katil ini bukan milikku sebaliknya adalah beg Aqel. Oh..... malu kedua kalinya! Malah lebih memalukan lagi. Kenapalah aku cuai sangat. Kupandang sekilas sekitar bilik ini. Baru aku nampak barangan peribadi lelaki yang tersusun rapi di dalam kabinet kaca almari solek itu. Ada gel rambut, bedak badan, parfum dan lain – lain. Semuanya jenama khas untuk lelaki.

“Kalau awak nak kongsi bilik dengan saya boleh juga bahkan sangat dialu – alukan” suara Aqel bersahaja di telingaku. Aku mengetap bibir menahan geram. Rasa ringan saja tanganku ini hendak hinggap di kepala pemuda ini. Memang aku teringin hendak mengetuk kepala Aqel namun aku cepat sedar. Semua ini silapku. Kasanova seperti dirinya memang tidak segan – segan akan berbicara sedemikian. Mengingatkan aku masih berada di bilik Aqel, terkocoh – kocoh aku bergerak ke pintu. Risau Mak Long tengok aku berada di dalam bilik anak terunanya ini. Nanti apa pula yang dia fikir. Paling digeruni kalau kami ditangkap basah oleh Mak Long. Oh....., tidak rela aku!

“Bilik awak di sebelah nie!” laung Aqel diikuti oleh gelaknya. Pasti dia rasa terhibur setelah melihat kebodohan yang aku lakukan sekarang. Aku terus saja menolak daun pintu bilik terakhir ini tanpa didahului dengan ketukan di muka pintu. Gerenti ini adalah bilik untukku. Beg pakaianku ada di atas katil. Kutenung seketika beg berwarna hitam ini. Rasa maluku bertambah – tambah tatkala teringatkan perlakuanku yang terbaring di atas katil Aqel dan berbantalkan bantal milik Aqel. Tidak disangka aku berkongsi bantal dengan Aqel. Lebih memalukan bila saja Aqel sempat menonton aku yang sedang terbaring enak di situ.    

“Eee.... kenapa ler aku silap tengok tadi...” ujarku geram seraya melepaskan tumbukan bertubi – tubi pada beg pakaianku. Cuba melempiaskan rasa geram berbaur perasaan maluku. Malu sangat pada Aqel. Ketika kedengaran laungan azan Maghrib, terasa berat saja kakiku hendak melangkah keluar dari bilik ini. Bagaikan tiada keberanian untukku bertembung dengan Aqel tatkala mengingati perkara tadi. Namun untuk terus berkurung di bilik ini adalah suatu yang mustahil dan boleh mengundang persoalan Mak Long. Mahu tidak mahu aku terpaksa menebalkan muka untuk berhadapan dengan Aqel. Tiba di bilik solat, Aqel dan Mak Long sudah berada di situ. Tatkala Aqel melempar pandangan padaku, aku cuba berlagak biasa seolah – olah tiada apa yang berlaku sedangkan hakikatnya dalam hatiku tidak sudah – sudah melaung perasan malu. Melihat reaksi Aqel yang bersahaja seperti kebiasaannya, aku menarik nafas lega. Rasa berterima kasih juga kepadanya kerana dia sudah melupakan perkara yang memalukan aku pada petang tadi. Betulkah Aqel sudah melupakan semua itu? Perasaan sangsi tetap menghantuiku.

Di meja makan ini, makan malam sedang berlangsung. Aku duduk di sebelah Mak Long bertentangan dengan Aqel. Sesekali aku melirik ke arah Aqel yang nampak leka menikmati hidangan di meja. Aku berharap sangat yang Aqel akan terus mendiamkan perkara yang berlaku petang tadi dari sampai ke pengetahuan Mak Long. Sungguh mengaibkan perkara itu. Justeru, Mak Long tidak perlu tahu.

“Makan ler lagi Lia. Lia tak de selera ke atau Mak Long masak tak sedap” suara Mak Long menyentakku. Aku berpaling menatap wajah Mak Long.

“Sedap ler Mak Long” tingkahku jujur.

“Kalau sedap mengapa Lia makan sikit je” komen Mak Long. Aku senyum. Tidak tahu alasan terbaik yang perlu aku berikan kepada Mak Long sedangkan saat ini otakku sarat memikirkan musibah petang tadi. Aku juga mahu makan malam ini selesai segera. Berlama – lama di sini akan membuatkan lebih terbuka luas peluang Aqel mengungkit kejadian malang itu. Aku tidak mahu Aqel mengaibkan aku di depan Mak Long. Sungguh aku memandang serius kejadian itu.

“Dia bukan tak de selera mama, sebenarnya dia malu pada Hyeon” ujar Aqel mengundang kerisauanku. Sudah sampaikah masanya untuk Mak Long mengetahui perkara yang terjadi di bilik Aqel? Oh...., serasa tidak sanggup aku mendengar Aqel bercerita tentang kejadian itu kepada Mak Long!

“Lia malu pada kamu?” soal Mak Long dengan dahi berkerut. Aqel tersenyum simpul. Geramnya tengok reaksinya tika ini. Kulontar pandangan tajam kepada Aqel. Suatu peringatan tegas cuba kuhantar pada dirinya. Aku mengancam Aqel agar tidak memceritakan kejadian itu kepada Mak Long. 

“Buat apa Lia nak malu kat kamu pula. Nie bukan kali pertama kamu berdua bertemu” tingkah Mak Long selogiknya. Aqel masih dengan senyumannya.

“Ha..... Lia, betul ke Lia malu dengan Hyeon atau dia nie yang buang tabiat” ujar Mak Long mencuit hatiku. Kutatap Aqel. Serentak dengan itu satu pertimbangan kubuat. Daripada Aqel yang membuka cerita ini lebih baik aku bercerita mendahuluinya. Aku risau Aqel akan bercerita lebih terperinci. Adegan berbaring di atas katil Aqel begitu sensitif untuk dijadikan bahan cerita apatah lagi untuk dibayangkan. Oh...., sunggguh aku tidak rela!

“Sebenarnya Mak Long, petang tadi saya tersilap masuk bilik Aqel, tapi saya rasa perkara itu tak ler memalukan, betul tak Mak Long” ceritaku sekaligus meminta pendapat Mak Long tentang perkara ini.

“Yeler buat apa nak malu perkara macam tu. Salah kamu juga sebab tak tunjukkan Lia biliknya” sokong Mak Long kepadaku sekaligus memprotes tindakan anak terunannya itu.

“Tengok kita juga yang disalahkan” omel Aqel merajuk setelah Mak Long tetap berpihak padaku. Aku tersenyum meleret. Padan muka! Siapa suruh berniat jahat akhirnya dia sendiri yang kena. Puas hati aku. 

“Flora suka bilik Hyeon ler mama. Hyeon ada juga ajak dia kongsi dengan bilik Hyeon” tutur Aqel bersahaja.

“Tengok tu Mak Long” aduku kepada Mak Long bila saja anak terunanya bercakap sesuka hati. Kali ini Mak Long hanya tersenyum.

“Kalau awak tak mahu berkongsi kita tukar bilik je. Saya tengok awak nampak selesa dengan tilam saya” ujar Aqel penuh makna tersirat. Pasti di mata Aqel sekarang sedang membayangkan aku berbaring di situ. Satu – satunya imaginasi yang aku tidak suka. Apatah lagi kalau Aqel membayangkannya. Terasa ada gangguan emosi pula. Kubalas senyuman mekar di bibir Aqel dengan jelingan tajam. Mak Long tetap masih juga dengan senyumannya. Usai menikmati hidangan makan malam, aku membantu Mak Long mencuci pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Kemudian aku dan Mak Long bergerak ke ruang tamu untuk menonton tv bersama. Namun tidak lama aku berada di situ memandangkan aku sudah mengantuk. Lantas aku memohon diri pada Mak Long untuk ke bilik. Mak Long begitu senang melepaskan aku pergi sedangkan dirinya masih mahu menonton tayangan drama Melayu di tv1.

Kutinggalkan Mak Long sendirian di ruang tamu. Sepatutnya Aqel mesti menemani ibunya menonton tv, bukannya terperuk di dalam bilik. Peliklah kalau lelaki berkurung dalam bilik. Namun tidak menghairankan aku. Perangai teruna Mak Long memang banyak peliknya. Tatkala kakiku berada di anak tangga terakhir, aku terpandang bilik pertama yang kukunjungi tadi terang benderang. Bilik bacaan dan bilik tempat Aqel melakukan kerja – kerjanya. Mesti dia sedang membawa balik kerja – kerja pejabat yang belum siap. Rajin sungguh anak teruna Mak Long ini. Semangat kerjanya begitu tinggi. Sikapnya ini memang harus dipuji. Tiba saja di bilik, aku terus saja membaringkan tubuhku ke tilam. Tilam ini sama empuk seperti tilam di bilik Aqel. Teringat pada perkara ini, rasa malu kembali menerpa diri. Bagaimana aku hendak berhadapan dengan Aqel kalau perasaan malu ini masih menyelubungiku? Paling menyukarkan aku dan Aqel tinggal dan bekerja sebumbung. Bertambah memalukan kalau Aqel menceritakan kejadian ini pada Marnie mahupun Reka. Maka akan tersebarlah kisah ini di tempat kerja.

Tidak mungkin terjadi! Aku yakin dengan sikap Aqel yang begitu dingin dengan orang di sekelilingnya mustahil dia hendak menjaja kejadian ini pada semua orang. Bahkah Aqel tidak akan sekejam itu hendak menceritakan aku tersalah bilik dan berbaring di atas katilnya. Lagipun cerita ini hanyalah isu kecil dan remeh - temeh saja. Hanya akal aku saja yang serius memikirkannya. Aku mula memejamkan mata. Letih sudah aku memikirkan kejadian malang yang menimpaku petang tadi. Malangnya fikiranku tidak mampu kukosongkan. Malah aku masih mahu terus memikirkan kejadian malang yang menimpaku pada hari pertama tinggal di rumah Mak Long. Rasa teruk sangat kalau Aqel terus membayangkan aku yang sedang terbaring di tilamnya itu. Memang rasa tercemar. Kalaulah masa boleh diundur sudah pasti aku akan memperbetulkan tindak – tandukku dan bersikap lebih berhati – hati. Namun nasi sudah menjadi bubur. Kejadian ini merupakan kelemahanku sebaliknya menjadi kekuatan pada Aqel. Kalaulah aku tidak lalai dan cuai pasti aku tidak akan rasa tercemar begini. Sungguh aku menyesalinya.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

AKU kerisauan melihat hujan tidak henti – henti di luar ini. Malah kian lebat menyiram bumi. Melihat situasi ini hatiku bertambah gundah. Bagaimana aku hendak pergi ke tempat kerja dengan cuaca begini? Kalau aku redah pasti aku akan basah kuyup. Kulontar pandangan pada Peugeot RCZ Sports Coupe Haria Grey di garaj. Aqel masih berada di sini. Untuk menumpang Aqel  ke tempat kerja, mungkin tidak. Kejadian semalam sudah cukup mengaibkan aku. Aku tiada kekuatan untuk berdekatan dengan Aqel. Situasi ini sama seperti yang dialami oleh Iman yang sukar untuk bertentang mata dengan Yen yang digambarkan dalam novel ‘DiaLah SonataKu’. Namun situasi aku dan Iman berbeza. Iman tiada keberanian untuk bersemuka dengan Yen disebabkan rasa cintanya pada pemuda itu. Sebaliknya aku sukar bersemuka dengan Aqel kerana perasaan malu yang menebal lantaran kecuaianku. Dua hari lepas novel nukilan Permata Nilam ini baru habis kubaca. Cerita yang penuh unsur suspen membuatkan aku berdebar – debar untuk mengetahui penghujungnya. Sukar untukku terima bila saja Iman hendak kahwin dengan Encik Rizal sebaik saja lamaran Encik Rizal diterima oleh Encik Musa iaitu Pak Long Iman. Kebetulan pula Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin mula merestui hubungan Yen dengan kekasihnya Velviana. Oh, tidak mahu aku mengungkit kembali jalan cerita novel itu! Biarlah jadi rahsia. Cuma penyudah ceritanya yang sungguh mendebarkan.

Berbalik tentang isu Aqel, Aku segan untuk menumpang keretanya memandangkan reaksi yang dia tunjukkan semalam. Tambahan pula kononnya aku masih berhutang dengan dirinya. Harap – harap hujan ini cepat berhenti. Jarum jam terus bergerak. Aku meninjau – ninjau ke atas, namun kelibat Aqel belum kelihatan lagi. Mungkinkah dia cuti hari ini? Mak Long pula awal pagi tadi sudah keluar sebab menghadiri program Persatuan Rukun Tetangga Wanita yang dipengerusikan olehnya di Taman Perumahan Desa Pebahanan ini. Mak Long memang aktif berpersatuan. Namun sempat juga Mak Long berpesan menyuruh aku menumpang kereta Aqel tatkala melihat awan gelap tadi. Menyesal pula tidak membawa kereta Waja mak ke sini. Kalaulah aku tidak memikirkan kepayahan untuk meletakkan kereta mak di halaman banglo Mak Long ini sudah pasti aku akan membawa kereta Waja itu ke sini. Jadi tidak perlulah aku mengharap belas ihsan orang lain terutama belas ihsan daripada Aqel.

Kutatap lagi jam tanganku. Masa bergerak begitu pantas. Aku tidak boleh terus menunggu sedangkan hujan langsung tidak menunjukkan tanda – tanda hendak berhenti. Lantas kusarungkan baju hujan di tubuhku lalu kucapai topi keledar dan kunci motor. Aku terus saja memecut motorku meredah simbahan air hujan. Pasti ada yang bersimpati melihat keadaanku tika ini. Tiba di perkarangan KDUT habis baju hujanku basah kuyup. Basah ini menjangkit sedikit pada pakaian kerjaku. Mujur juga baju yang kupakai berwarna gelap. Jadi tidak jelas sangat bahagian yang basah. Aku bergerak ke tandas membasuh muka serta cuba mengelap bahagian pakaianku yang terkena titisan hujan. Seluar yang kupakai ini memang sudah basah kuyup. Sebab itu terasa air yang bertitisan. Aku mula bersin beberapa kali. Lama kelamaan semakin kerap. Rasanya aku sudah diserang demam selsema. Memandangan aku bersin tidak henti – henti sedikit menjejaskan fokusku pada kerja – kerjaku. Kepalaku mula terasa pusing. Sungguh aku tidak selesa dengan keadaan ini. Akhirnya kepalaku terlentok di atas meja lama. Sempat juga aku terlena sekejap.

“Lia, kenapa dengan awak?” kedengaran suara Marnie menerjah gegendang telingaku. Cuba kuangkat kepalaku. Mataku terbuka sedikit.

“Muka awak pucat ler. Awak demam ke?” soal Marnie risau. Laju aku geleng kepala. Senyuman tidak mampu kuukir. Telapak tangan Marnie sudah mendarat di dahiku.

“Betul awak demam ler. Dahi awak panas” ujar Marnie. Aku memejamkan mataku. Rasa lemah sangat. Barangkali tepat jangkaan Marnie. Aku demam mengejut.

“Saya bawa awak pergi klinik” ujar Marnie memberi cadangan. Pantas aku geleng kepala. Tidak mahu menyusahkan Marnie awal – awal pagi ini. Mungkin sekejap lagi akan pulih setelah berehat seketika.  

“Takkan awak nak duduk kat sini je” rungut Marnie.

“Saya hanya perlu rehat beberapa minit lagi. Sekejap lagi okey ler nie” ujarku perlahan. Bagai tidak larat sahaja aku hendak berbicara. Kepalaku masih terasa berat dan pusing – pusing.  Aku kembali membaringkan kepalaku di atas meja. Kupejamkan mataku. Tidak mampu aku hendak berbual – bual dengan Marnie yang masih berada di dalam bilik ini. Aku terpaksa tidak mengendahkan kewujudannya ini. Marnie mengeluh.

“Kejap lagi saya datang balik sini” ujar Marnie meninggalkan aku. Aku hanya mengangguk dengan mata yang terpejam. Tidak mampu aku hendak mengiringi pemergiannya itu. Telefon bimbitku di dalam beg berdering. Kubiarkan seketika. Berdering lagi. Kumasukkan tanganku ke dalam beg lalu berusaha mencapainya dengan mata yang masih terpejam. Aku bersandar lemah di kerusi.

“Hello, assalamualaikum.....” sapaku lemah. Tidak sempat aku menatap pada skrin siapakah gerangan si pemanggil ini.

“Lia, kamu tak sihat ke?” suara mak menerpa gegendang telingaku.

“Hey, mak.....” Semangatku tersuntik sedikit tatkala mendengar suara mak itu. Alangkah baiknya andai mak ada di sini sekarang. Hatiku sebak tiba – tiba.

“Kamu sakit?” soal mak lagi. Mataku terpejam lagi.

“Selsema je. Lia okey...” sahutku cuba menenangkan hati mak.

“Serius sakit kamu nie. Dah pergi klinik? Dah makan ubat?” soal mak bertalu – talu. Nada suara mak jelas terpancar kerisauan yang amat.

“Habis kerja nanti ler Lia pergi klinik dan makan ubat” balasku.

“Jangan dilambat - lambatkan kamu tu sakit sekarang” rungut mak. Aku hanya mendiamkan diri. Tidak larat hendak bersahutan bicara dengan mak.

“Nanti mak telefon kamu lagi. Jaga diri kamu tu baik – baik. Assalamualaikum.....” Tutt....tutt....tutt... panggilan diputuskan. Aku menjawab salam mak di dalam hati. Serentak kuletakkan telefon dan kepalaku di atas meja. Aku pejamkan mata lagi. Saat ini aku teringin sangat hendak tidur. Rasa tidak bertenaga. Dalam keadaan lemah begini aku terdengar bunyi derap langkah yang kian dekat. Namun aku tidak berminat untuk ambil peduli lantaran itu aku tetap memejamkan mataku. Mungkin Marnie yang datang.

“Flora, saya bawa awak pergi klinik” suara Aqel menerpa pendengaranku. Kuangkat kelopak mataku dalam keadaan kepalaku masih terlentok di atas meja. Aqel sudah berada di depanku sambil memandangku. Aku geleng kepala.

“Awak demam sekarang. Saya mesti bawa awak jumpa doktor. Lepas tu berehat kat rumah” tegas Aqel. Aku geleng kepala lagi tanda menolak perancangannya itu. Kedengaran keluhan berat Aqel. Aku kembali memejamkan mataku. Kehadiran Aqel tidak kuendahkan.

“Mari....” Aku tersentak tatkala tangan Aqel sudah hinggap di pergelangan tanganku. Aku cuba melawan. Namun Aqel juga tetap berkeras.

“Saya mesti bawa awak pergi klinik. Mak awak risaukan awak” jelas Aqel. Mendengar dia menyebut tentang mak, aku tahu mak telah menghubungi Aqel. Pasti mak yang meminta Aqel menghantarku ke klinik. 

“Saya nak berehat kat sini kejap” jelasku.

“Jangan degil ler! Awak mesti pergi klinik sekarang” tegas Aqel. Aqel sudah menarik tanganku. Cepat aku berpaut di birai meja. Aku tidak mahu berganjak dari meja ini. Aqel tetap berusaha menarikku berdiri dari kerusi ini. Tangan kanannya menongkat kepalaku yang terlentok di atas meja. Berusaha betul dia hendak membuatkan aku berdiri.

“Awak jangan ler degil. Kalau awak tak nak pergi saya beritahu mak awak. Biar dia risau kat sana” ancam Aqel. Bencinya dengar Aqel mengancamku. Dia menatapku tajam.

“Cepat ler bangun!” arah Aqel geram.

“Lepas ler tangan saya! Saya boleh bangun sendiri” rungutku. Kali ini Aqel meleraikan pautan tangannya pada tanganku. Aku menyandarkan tubuhku di kerusi dengan keluhan berat. Kepalaku terasa berdenyut – denyut. Aqel berdiri di sebelahku sambil memerhatikan gelagatku.

“Awak jalan ler dulu kejap lagi saya ikut awak” arahku. Aqel menatapku seketika. Mungkin susah untuknya mempercayaiku. Seminit kemudian dia mula melangkah ke muka pintu. Lantas aku mula berdiri sambil memaut birai meja untuk menyokong tubuhku. Pandanganku berpinar – pinar. Nampak berkelip – kelip. Tubuhku terasa goyang. Aku nampak sekeliling bilik ini berputar – putar.

“Awak okey ke nie?” Belum sempat tubuhku tumbang, Aqel terlebih dahulu menyambutnya. Kini tubuhku tersandar di dada Aqel sementara kepalaku berbantalkan bahunya.

“Pandangan saya berpinar – pinar. Saya pening nie” luahku perlahan. Aqel membiarkan aku tersandar seketika di tubuhnya.

“Tuler awak degil sangat. Kan dari tadi saya nak bawa awak pergi klinik” rungut Aqel. Aku hanya mendiamkan diri dan membiarkan Aqel merungut – rungut memarahiku. Memang salahku juga sebab berdegil. Tambahan pula aku memang sudah kehabisan tenaga bertelingkah dengan Aqel tadi rentetan masing – masing berdegil.

“Mari saya tolong awak” Aqel meletakkan tanganku di bahunya lalu memapahku. Kami melangkah beriringan dengan perlahan. Di ruang lobi bangunan ini, gelagatku dengan Aqel telah menarik perhatian manusia yang lalu lalang. Dalam keadaan sekarang aku tidak mahu mempedulikan pandangan mereka. Begitu juga Aqel sentiasa tenang dan bersahaja. Daun pintu kereta dikuak. Aqel menyandarkan tubuhku di kerusi penumpang depan. Kemudian dia berlari – lari anak mengambil posisinya. Enjin kereta dihidupkan lantas bergerak meninggalkan perkarangan KDUT. Sepanjang perjalanan aku hanya melelapkan mata. Aku baru tersedar bahawa aku memang tidak boleh terkena simbahan air hujan. Kesannya akan terus menerus tanpa sedikit pun melengahkan masa.

  “Kenapa awak tak tumpang kereta saya je tadi. Sekarang tengok ler keadaan awak” omel Aqel diikuti rungutannya. Aku hanya mendiamkan diri. Kalau bukan kerana sikap Aqel dan kejadian malang yang menimpaku semalam semua ini tidak akan terjadi. Aku pasti akan menumpang kereta Aqel.

Kami singgah di Klinik Jauhari. Aqel menemaniku bertemu dengan doktor. Dr Kartini yang merawatku. Setelah usai menjalani pemeriksaan, aku disahkan demam rentetan aku alah dengan air hujan. Lalu aku diberi beberapa jenis pil dan dinasihatkan agar berehat saja. Aqel menghantarku ke kerusi sementara menunggu dia menguruskan pembayaran dan mengambil ubat untukku. Sempat juga aku melenakan mataku sekejap. Beberapa minit kemudian Aqel muncul semula bersama sebotol air mineral dan ubat di tangannya.

“Awak telan ubat nie sekarang” arah Aqel seraya menyerahkan tiga jenis pil dan air mineral yang sudah dibuka penutupnya. Kali ini aku patuh saja pada bicara Aqel.

“Ubat selsema dan ubat demam tu akan buat awak rasa mengantuk. Nanti sampai rumah awak tidur ler” ujar Aqel sambil membantuku bangun. Aqel memapahku sehingga aku masuk ke dalam kereta. Aku bersandar lalu memejamkan mataku. Sudah mula terasa mengantuk. Rasanya tidak sempat sampai ke rumah aku sudah tertidur dalam kereta ini. Kereta ini mula bergerak. Belum panjang perjalanan tiba – tiba saja kereta ini berhenti.

“Saya beli barang kejap” sayup – sayup aku mendengar suara Aqel dan bunyi pintu kereta ditutup. Dalam keadaan mamai begini aku hanya mampu menganggukkan kepala dengan mata yang masih terpejam. Tidak sedar berapa lama Aqel pergi. Tahu – tahu kereta ini sudah bergerak. Kemudian aku tidak ambil kisah dengan keadaan sekeliling lagi.

“Kita dah sampai nie” suara Aqel menyucuk – nyucuk di telingaku. Terasa berat sangat kelopak mataku ini hendak diangkat. Kulihat Aqel sudah berdiri di sisiku lantas tangannya memaut lenganku cuba membantuku bangun. Aqel memapahku sehingga ke bilik. Sesampai saja di bilik, aku terus saja dibaringkan ke tilam. Baru terasa selesa berbaring begini. Tatkala aku menarik selimut untuk menutupi tubuhku, laju saja tangan Aqel menegahnya.

“Dalaman tubuh awak tu sebenarnya panas, kat luar nie je yang awak rasa dingin. Sebab tu awak tak boleh berselimut” tutur Aqel memberi alasan atas tindakannya tadi. Aku menurut saja bicara Aqel. Kipas dan penghawa dingin sudah dihidupkan bagi menyejukkan kepanasan dalam tubuhku. Itu yang Aqel beritahu padaku. Bibirku mula rasa terketar – ketar. Gigi bawahku berlaga dengan gigi atas. Aku menahan kedinginan ini. Aqel yang keluar sebentar tadi muncul semula. Tangannya meletakkan tuala basah di dahiku.

“Pembantu rumah tak datang hari nie. Mama pula tak dapat dihubungi tapi saya dah mesej dia minta balik cepat” jelas Aqel.

“Tak pe awak boleh tinggalkan saya sendirian di sini. Kejap lagi okey nie. Awak balik ler ke pejabat” arahku sedaya upaya bersuara.

“Biar saya jaga awak” putus Aqel sambil meneruskan gelagatnya yang sekejap merendam tuala itu ke dalam air suam di besen, sekejap membilas tuala kecil itu lalu meletakkan di dahiku. Banyak kali dan berulang – ulang sehinggalah aku terlena. Sayup – sayup kedengaran bunyi tumbukan lesung batu dari dapur. Barangkali Mak Long sudah balik. Kupandang jam di skrin telefon. Sudah menjangkau jam 12.00 tengah hari. Hampir – hampir 3 jam aku terlena. Sedikit rasa selesa. Pening kepalaku juga sudah tiada lagi. Cuma hidung aku tersumbat. Tanda aku mendapat serangan selsema. Aku bangkit dari perbaringanku lalu melangkah turun ke tingkat bawah. Kujengukkan diriku ke dapur. Kelihatan Aqel bersendirian di situ. Seketika aku memerhatikan gelagat Aqel yang tidak menyedari kehadiranku di situ. Betapa dia begitu leka dengan kerja – kerjanya. Aku melihat Aqel sedang mengelap beberapa batang daun sirih lalu menumbuknya. Dalam aku leka memerhatikan gelagat Aqel, tetiba saja dia berpaling lantas terpandang aku yang
sedang terpacak di ambang pintu dapur ini. Pandanganku dan Aqel bersatu.

“Awak dah bangun rupanya. Cepat datang sini” arah Aqel meminta aku mendekatinya. Aku terus saja melangkah masuk ke ruangan dapur.

“Duduk kat situ” arah Aqel memerintahkan aku duduk di kerusi meja makan. Aku patuh lalu melabuhkan punggung di situ sambil memerhatikan gelagat Aqel yang sedang menyiapkan kerja – kerjanya tadi. Lima minit kemudian, Aqel datang menghampiriku sambil membawa sepinggan batang sirih yang siap ditumbuk lalu diletakkan di depanku. Kupandang Aqel memohon penjelasan lanjut.

“Sapukan lendir batang sirih nie ke hidung awak dan sekitarnya. Cecair lendir nie akan melegakan selsema dan melancarkan semula pernafasan.Cuba amalkan beberapa kali, insya – Allah selsema awak akan sembuh” jelas Aqel persis pakar pengamal petua lagaknya.

“Nie petua Mak Long awak tau. Saya pernah cuba buat dan begitu mujarab pada saya” jelas Aqel sambil memaklumkan bahawa petua itu diperoleh daripadanya mamanya, merangkap kakak arwah ayahku.

“Cepat buat!” arah Aqel. Aqel sudah bersusah – payah menyediakan semua ini. Tidak eloklah kalau aku tidak menghargainya. Lagipun aku memang hendak sembuh cepat sebab selsema akan membuatkan aku tidak selesa. Aku terus saja menyapukan lendir – lendir batang sirih ini di hidungku serta di sekitarnya sambil diperhatikan oleh Aqel. Habis saja aku melakukannya, Aqel bergerak  ke arah kebinet lalu mencapai gelas yang bertutup itu. Air itu diletakkan di depanku.

“Nie perahan sebiji air limau nipis bersama teh suam kosong tanpa gula atau susu. Kacau dahulu sebelum awak minum air campuran nie” arah Aqel lagi sambil menyerahkan sudu kepadaku. Mungkin ini petua kedua untuk menghilangkan selsema ini. Siap mengacau air teh suam bercampur air limau nipis ini, aku meneguknya perlahan – lahan. Berkerut dahiku tatkala air campuran teh kosong dengan air limau nipis ini melalui tekakku. Tidaklah sedap untuk diminum banyak kali.

“Bagaimana rasanya? Tak ler teruk sangatkan” soal Aqel tersenyum. Aku tahu reaksi wajahku telah mencuit hatinya. Bahkan Aqel sudah semestinya pernah merasa minum sebegini.

“Mesti habiskan ke?” soalku. Aqel mengangguk. Kurenung seketika air yang ada setengah gelas lagi untuk kuteguk. Bukan sesuatu yang mudah untuk aku melakukannya. Aku melepaskan nafas panjangku. Kupicit hidung lantas terus saja kutuang air yang tertinggal di gelas ke dalam mulutku sekaligus.

“Aaahhh....” Gelas kuletak di atas meja lalu aku tersandar di kerusi. Bagaikan baru saja lepas bertarung dan melalui sesuatu yang sukar. Aqel hanya tersenyum menatapku.

“Bukan setakat petua selsema saja malah saya ada juga belajar petua yang lain daripada mama” cerita Aqel. Berminat juga aku hendak mengetahui petua apa lagi yang Mak Long telah perturunkan kepada anak terunanya ini.

“Rajin juga awak belajar petua – petua begini ye”

“Alah, bukan susah pun. Lagipun petua – petua begini berguna kerana penyakit dan alahan begini sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Bukan setakat untuk kegunaan sendiri malah suatu hari nanti kalau awak hidup berkeluarga, awak boleh guna petua nie untuk merawat insan – insan yang awak sayangi. Kalau penyakit tak serius  tak perlu bergantung sangat dengan ubat hospital” jelas Aqel panjang lebar namun cukup bernas. Aku mengangguk bersetuju. Bicara Aqel memang ada benarnya. Petua – petua ini ada juga yang mujarabnya.

“Kalau bayi atau kanak – kanak yang terkena selsema lain pula cara pemakaiannya. Biarpun bahan yang digunakan sama. Contohnya, 3 helai daun sirih dan sebiji limau nipis. Campurkan perahan air limau nipis dengan air sirih dan biarkan seketika. Kemudian sapukan air campuran tersebut ke dada dan leher  kanak – kanak yang terkena selsema itu. Malah kunyit hidup juga boleh digunakan. Asah kunyit tu di bawah bahagian pasu. Kemudian sapukan asahan tadi ke batang hidung bayi. Waktu yang paling sesuai selepas bayi dimandikan pada sebelah pagi dan petang dan eloknya ketika bayi tidur. Selsema akan cepat kering dengan bantuan sapuan kunyit hidup nie. Amalkan beberapa hari insya – Allah selsema akan sembuh sepenuhnya” jelas Aqel berjela menyemarakkan rasa kagumku.

   “Wow, hebat ler awak! Suatu hari nanti awak bakal jadi seorang ayah yang hebat yang boleh merawat dan melindungi anak – anaknya” pujiku telus. Aqel senyum.

“Bagaimana pula nak elakkan orang dewasa sering terkena selsema?” soalku berminat untuk berkongsi ilmu petua dengan Aqel.

“Oh, tu mudah je! Mandi dengan air suam pada sebelah petang sebab air sejuk akan menjejaskan kesihatan. Amalkan minum air halia seminggu sekali tapi nie kurang elok buat perempuan yang belum berkahwin. Nanti mengecutkan peranakan yang boleh menyebabkan sukar untuk mengandung” jelas Aqel. Petua kedua boleh aku abaikan. Tidak berani ambil risiko sukar untuk hamil. Tidak sempurna jadi seorang wanita kalau tidak boleh mengandung dan melahirkan anak.

“Bersihkan hidung setiap kali mandi. Caranya masukkan air ke dalam hidung. Kemudian tahan selama lebih kurang 5 saat dan seterusnya hembuskan. Lakukan sekurang – kurangnya 3 kali setiap kali mandi. Saya amalkan petua nie. Alhamdulillah dengan izin Allah, saya jarang sangat dapat selsema” ujar Aqel berkongsi petua yang sering diamalkannya. Betul – betul aku tidak sangka pemuda semoden Aqel kaya dengan petua – petua yang berguna. Betul – betul mengejutkan aku.

“Awak ada masalah period pain?” soa Aqel menyentakkanku.

“What!” Kupandang Aqel. Isu ini agak sensitif juga untuk aku bicarakan dengan Aqel memandangkan kami berlainan jantina.

“Kan perempuan selalu mengalami senggugut kalau datang bulan” ujar Aqel bersahaja. Aku diam. Benar bicara Aqel itu. Aku pun sesekali ada juga mengalami masalah senggugut yang berpunca daripada ketidakseimbangan hormon atau disebabkan faktor genetik di samping faktor pemakanan.

“Petua nak elak senggugut atau kalau kena senggugut juga tak ler teruk sangat sakitnya. Awak ambil tiga ulas bawang merah. Potong halus – halus dan campurkan dalam segelas air panas. Kacau dan minum air itu” jelas Aqel. Berkerut dahiku tatkala membayangkan menelan air panas berperisa bawang merah. Eh, macam mana rasanya!

“Petua nak rawat senggugut pula, amalkan minum air perahan halia selama sebulan. Minum sebanyak dua kali sehari. Jika senggugut masih menyerang ketika itu, cepat – cepat rendamkan kaki ke dalam satu bekas air suam yang telah dicampur dengan garam” tambah Aqel lagi.

“Kalau awak nak tahu petua yang paling mudah nak kurangkan sakit kejang haid adalah dengan minum air coca – cola....ha...ha...ha....” Aqel sudah tertawa sendiri. Tidak pasti adakah petuanya kali ini benar atau Aqel sekadar hanya mahu mempermainkan aku. 

“Kalau awak diserang senggugut awak boleh minim satu tin atau segelas air cola. Kawan – kawan perempuan saya kata air sarsi pun boleh juga. Saya serius nie” ujar Aqel namun masih dengan senyumannya.

“Yang mak ajar saya untuk hilangkan senggugut dengan cara tuam atau demah perut dengan kain yang dicelup dengan air panas. Nak lebih elok isikan air panas ke dalam bekas plastik, balut dengan kain dan letakkan ke perut” ujarku mengambil giliran Aqel untuk mempersembahkan petua mak kepadanya.

“Itu pun boleh juga. Awak tulis kat kertas nanti boleh juga saya baca dan mengingatinya” pinta Aqel.

“Pasti awak bersusah payah menghafal semua petua – petua nie kan” dugaku. Aku geleng kepala.

“Saya dengar atau baca sekali je. Lepas tu terus melekat kat otak saya sampai sekarang. Awak dah lupa ke yang anak kacukan nie otaknya lebih bergeliga” ujar Aqel memperlihatkan kelebihan dirinya. Aku mencebik bibir ke arah Aqel.

“Awak bekerja keras nak kuasai petua – petua ilmu perubatan nie. Betul ke awak ada impian nak jadi suami dan ayah mithali nie?” soalku memerlinya.

“Mesti ler! Sama ada awak percaya atau tidak kalau saya dah jumpa perempuan yang saya cintai pasti saya akan jadi suami mithali kepadanya dan ayah mithali pada anak – anaknya” sahut Aqel bersungguh – sungguh.

“Tahniah! Saya akan tengok sama ada awak akan merealisasikan bicara awak nie atau awak sekadar berbicara kosong je. Apapun terima kasih banyak – banyak atas keprihatinan awak terhadap saya hari nie dan terima kasih juga atas perkongsian petua – petua yang awak belajar tu. Semoga impian awak nak jadi suami dan ayah mithali tercapai” ujarku tersenyum lantas bangun lalu meninggalkan Aqel bersendirian di meja makan itu. 
 
“Saya ada mereneh sup ayam untuk awak. Awak tak nak rasa ke sup tu?” laung Aqel dari dapur.

“Terima kasih. Nanti saya rasa” sahutku yang sudah berada di anak tangga terakhir.
 
Aku kembali ke bilik untuk merehatkan diri. Lalu aku berbaring di tilam. Beberapa minit kemudian, baru aku menyedari bahawa hidungku yang tersumbat tadi sudah terasa lapang. Selsemaku juga sudah kering. Mujarab betul petua Aqel ini. Aku kembali teringat pada impian Aqel untuk menjadi suami dan ayah mithali. Lantas setulusnya kupanjat doa semoga impian mulianya itu tercapai. Sempat juga aku terfikir siapakah gadis yang boleh membuatkan Aqel jatuh cinta lalu menjadikan Aqel suami mithali pada dirinya dan ayah mithali pada anak –anaknya? Tidak sabar aku hendak menyaksikan tewasnya seorang lelaki buaya darat kerana cintanya. Aku tersenyum sendiri.

2 comments:

  1. n3 kali nie kita belajar byk petua hehehehe

    ReplyDelete
  2. nakal la aqel nii suka usik lia...sweet sngat, x sangka de banyak petua ...thumb up kat writer dan teruskn lagi...cepat2 laa upload lagi bab x sabar nak tau pe yg terjadi seterusnya :D

    ReplyDelete