BAB 9
Aku menatap kad jemputan Majlis Makan Malam Syarikat Kejora Di Ufuk Timur yang berlangsung hujung minggu ini dengan keluhan berat. Terasa berat saja hatiku untuk menghadiri majlis tersebut. Satu sebabnya aku tidak punya ramai kenalan yang akan menyebabkan aku rasa terasing di majlis itu nanti. Keduanya, pasti Majlis Makan Malam yang akan dilangsungkan ini penuh gilang – gemilang bersesuaian dengan tema Era Klasik.
Jadi majlis sebegini tidak aku gemari lantaran aku bukan seorang yang pandai berfesyen. Khuatir jika penampilanku nanti terlalu asing daripada tetamu yang lain. Paling menakutkan kalau penampilanku itu bakal menjadi tontonan dan bahan gelak ketawa orang lain. Pasti memalukan. Eh, tidak sanggup aku membayangkannya.
Jadi majlis sebegini tidak aku gemari lantaran aku bukan seorang yang pandai berfesyen. Khuatir jika penampilanku nanti terlalu asing daripada tetamu yang lain. Paling menakutkan kalau penampilanku itu bakal menjadi tontonan dan bahan gelak ketawa orang lain. Pasti memalukan. Eh, tidak sanggup aku membayangkannya.
“Awak mesti pergi malam tu, Lia” ujar Marnie sedikit bertegas.
“Saya tak biasa majlis macam tu. Lagipun saya mana ada ramai kawan kat sini selain awak dan Reka. Tak mahu ler saya pergi nanti macam tunggul kayu pula saya malam tu” balasku gusar.
“Sebab tu awak harus pergi, berkenalan dengan warga KDUT yang lain. Mana tahu malam tu awak jumpa dengan prince charming” ujar Marnie berbaur usikan. Aku mencebik boring.
“Leceh ler kalau pergi kena fikirkan tentang pakaian lagi. Saya tak biasa majlis – majlis glamour begini” ujarku meluahkan isi hatiku. Marnie tersenyum. Tema Era Klasik terlalu umum. Susah hendak tentukan baju apa yang harus dipakai.
“Tak payah fikir banyak, awak pinjam saja baju kebaya dan kain batik mak awak zaman muda – mudanya dulu. Pastu minta mak awak sanggul rambut awak dan jangan lupa pakai cermin mata gelap bujur tu dan handbag sangkut kat tangan” ujar Marnie persis perunding imej.
Di mataku sudah terbayang seniwati Saloma yang sedang berlenggang – lenggang kangkung bersepatu tinggi bersama kipas ditangannya sepertimana dalam babak lakonannya ‘Masam – masam Manis’. Kemudian menyusul pula wajah mak Sabariah merangkap mak mertua Kassim Selamat dalam filem Mak Mertuaku. Boleh tahan juga buah fikiran Marnie ini.
“Tak pelik ke nanti dress macam tu?” soalku kurang yakin.
“Menepati tema ler tu. Zaman muda - muda nenek dan mak kita dulu kan dress diaorang macam tu” tambah Marnie meyakinkan aku.
“Awak nak berpakaian macam tu ke?” soalku ingin tahu. Laju Marnie geleng kepala. Mungkinkah pilihannya lebih glamour.
“Saya nak berpenampilan si gadis Cina era dinasti tamadun awal” jelas Marnie tersenyum buat aku kagum.
Serta – merta terbayang dimataku Marnie sedang berpakaian Hanfu yang lengannya persis selendang. Pakaian wanita cina yang diperkenalkan ketika Dinasti Han. Mesti begitu unik penampilan Marnie pada malam itu. Setahu aku pada malam ituah semua orang akan bergaya sakan serta menampilkan diri seglamournya. Kalau boleh biar orang memuji dan mengenangkan penampilan diri masing – masing pada malam itu.
“Tak mahu ler saya pergi ke majlis tu, Marnie” putusku. Marnie mengeluh. Dia kurang senang dengan bicaraku itu. Kalau tidak kerana tema itu, mungkin aku akan pergi.
“Awak wajib pergi Lia” Serentak aku dan Marnie menoleh ke muka pintu arah datangnya suara milik perempuan itu. Reka tersenyum di ambang pintu. Terus saja dia melangkah masuk mendapatkan aku dan Marnie. Dari penampilannya sekarang, jelas baru habis sesi peragaan. Hari ini dia ada sesi latihan pertunjukan fesyen yang menjadi salah satu acara sebagai pengisian program pada malam itu.
“Saya tak biasa majlis macam tu dan paling merunsingkan saya tak tahu nak berpakaian macam mana” luahku mengulangi alasanku tadi. Tanpa dipinta Marnie terus saja bercerita tentang cadangan pakaian yang diutarakannya kepadaku sebentar tadi. Reka terus saja menyokong cadangan itu. Malah memberikan sedikit tips solekan yang perlu ditata rias di wajahku agar benar – benar tampil persis gadis era klasik sebelum merdeka.
“Malu ler saya nak berpakaian macam tu” ujarku tidak yakin dengan penampilan yang dicadangkan oleh mereka itu.
“Saya dapat bayangkan betapa anggunnya awak malam tu” puji Reka cuba memancing keterujaanku untuk menghadiri majlis itu. Aku mengeluh. Memang aku berat hati hendak pergi. Bukan setakat tema yang digariskan oleh pihak penganjur majlis tersebut, hakikatnya nun jauh di sudut hatiku ada sesuatu yang menggusarkanku.
“Saya tak nak pergi ler” putusku. Serentak Reka dan Marnie menunjukkan wajah masam. Tidak senang dengan keputusan yang aku ambil.
“Kalau saya pergi pun pasti tak seronok. Kamu berdua bukan dapat bersama saya pun. Awak sibuk dengan fesyen show dan Marnie pasti juga sibuk organize majlis tu” tambahku mengukuhkan alasan ketidakhadiranku ke Majlis Makan Malam tersebut. Kedengaran keluhan Reka. Marnie mencebik bosan. Sedih juga kerana terpaksa menghampakan mereka.
“Apapun kami tetap berharap awak dapat hadir malam tu” balas Reka disokong dengan anggukan kepala Marnie. Tanganku dipegang.
“Sorry....” Hanya ini yang mampu aku lafazkan sambil menatap Reka dan Marnie dengan pandangan rasa bersalah.
“Kalau awak ubah fikiran jangan lupa beritahu kami” ujar Marnie masih mengharapkan kehadiranku pada malam itu. Aku hanya mengangguk sedikit melegakan perasaan mereka. Namun hatiku tetap berkeras tidak mahu pergi.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
“Assalamualaikum....” sapaku di muka pintu rumah.
Kelihatan mak leka melipat pakaian sambil menghadap tv. Sinetron Indonesia yang tidak pernah ketinggalan untuk ditontonnya. Aku melepaskan beg galasku lalu menjatuhkan tubuhku ke sofa. Berbaring cuba mengusir keletihan. Mujur juga fesyen show yang akan berlangsung tidak banyak melibatkan bahagianku. Semua itu telah diuruskan sendiri oleh pereka – pereka fesyen muda yang akan memperlihatkan hasil kreativiti mereka. KDUT hanya menyediakan para model untuk memperagakan pakaian – pakaian tersebut. Untuk melibatkan aku mungkin hanya selepas berlangsungnya fesyen show itu. Itupun kalau pereka – pereka itu berharap pihak KDUT yang mengendalikannya.
“Petang esok habis kerja jangan lupa ambik adik kamu kat asrama. Minggu ni mereka balik” ujar mak memperingatkan aku sekali lagi. Seingat aku baru semalam mak mengutarakan perkara ini. Sayang betul mak dengan Aziq. Maklumlah sebulan sekali baru berkesempatan berjumpa pasti membuak – buak rindu mak kepada adik tunggal kesayanganku itu.
“Lia boleh ambik dia time rehat tengah hari tu” ujarku mahu mempercepatkan lagi masa pertemuan mak dengan anak terunanya itu.
“Esok mereka ada aktiviti sampai petang” jelas mak.
Aku mengangguk mengerti. Sekolah asrama penuh memang banyak sangat aktiviti. Dahulu pun aku sekolah di situ. Pelbagai program dan aktiviti yang dirancang untuk menajamkan lagi kecerdasan pelajar – pelajar pilihan. Rasa bangga juga. Sekurang – kurangnya aku pernah tergolong dalam kalangan budak – budak pintar dan bijak. Sekarang Aziq pula mewarisi kepintaranku itu. Aku tersenyum sendiri. Semoga Aziq tidak akan semalang nasibku.
“Pergi ler mandi siap – siap nak solat maghrib. Lepas tu kita makan” arah mak seperti selalu.
Aku patuh saja dengan arahan mak lantas mengatur langkah ke bilik. Beg galas dibahuku kusangkut di daun pintu. Baru saja tanganku hendak menarik laci ini, namun gerakan tanganku cepat saja terhenti. Kutatap laci yang baru sedikit terbuka. Laju saja tanganku menutup kembali laci ini lalu berpatah balik ke muka pintu lantas menggantungkan tag pengenalan pekerja bersama – sama beg galasku. Aku bergerak ke bilik air untuk mandi. Sekejap lagi solat maghrib berjemaah bersama mak.
Laci itu menyimpan kedukaan buatku. Setiap kali aku menguaknya seolah – olah aku mendalamkan lagi kelukaan hati ini. Jadi buat sementara waktu ini biarlah ia sebegitu. Rasanya itu pilihan terbaik. Barangkali bila sudah sampai masanya aku akan membuang segala yang tersimpan di situ. Mungkin esok, lusa, tulat atau masa itu tidak akan kunjung tiba? Segalanya tidak mampu aku ramal. Namun aku akan menunggu ketibaan detik itu. Detik yang memberikan aku kekuatan untuk bangkit dari kesakitan ini. Saat itu aku hanya akan tersenyum.
“Pernah tak kamu fikir tentang masa depan kamu?” suara mak memecah kesepian. Aku meletakkan kembali gumpalan nasi dijari ke dalam pinggan. Tidak jadi mengunyahnya. Kutatap wajah mak.
“Soal jodoh kamu” tambah mak sambil bertentang mata denganku. Diam. Kelu lidahku hendak menjawab pertanyaan mak ini. Selama ini mak tidak pernah mengutarakan soalan sedemikian. Kenapa tiba – tiba saja mak bertanyakan perkara ini? Barangkali mak melihatku sudah layak untuk hidup berumahtangga dan memiliki keluarga sendiri.
“Kenapa tiba – tiba je mak tanya perkara ni?” soalku menuntut penjelasan. Mak mengeluh kecil. Dia geleng – geleng kepala. Bagai ada perkara yang amat dikesalinya.
“Kamu masih ingatkan Haqem?” soalan mak membuatkan aku tergamam seketika. Kutatap wajah mak. Renungan mak melemahkanku. Lantas kualih wajahku pada nasi di pinggan. Aku menunduk di situ. Pertanyaan mak begitu sukar untukku jawab.
“Dia dah ada kehidupan sendiri yang bahagia. Buat apa Lia ingatkan dia mak” balasku perlahan. Tidak tahu adakah ini luahan jujur suara hatiku. Namun hatiku sayu. Melihat reaksi Haqem dari kejauhan itu, nampak sangat dia bahagia sekarang. Senyuman berpanjangan yang terukir di bibir membuktikan dirinya sentiasa ceria. Mestilah hidup Haqem lebih baik sekarang.
“Yelah buat apa ingatkan dia lagi kalau dia dah hidup bahagia. Kamu
pun akan hidup bahagia juga nanti” suara mak persis memujukku buat hatiku tersentuh. Sungguh aku terharu mendengar bicara mak itu. Aku tersenyum. Bicara seorang ibu merupakan doa. Insya – Allah aku akan hidup bahagia seperti yang mak harapkan.
“Mak yakin ada seseorang yang lebih baik telah ditentukan oleh Allah untuk kamu” ujar mak buat aku tersenyum panjang. Bicara mak begitu bererti. Soal jodoh memang sudah jadi ketetapan Allah. Tiada siapa mampu menghalang mahupun mengubah ketetapan itu. Sebagai hamba kita hanya mampu berdoa semoga dipertemukan dengan jodoh yang terbaik.
“Senang hati mak kalau kamu dah fikir macam tu dan bersedia untuk memulakan hidup baru. Lupakan kenangan lalu tu. Haqem memang bukan jodoh untuk kamu” tutur mak lagi. Aku tersenyum.
Usai makan malam, aku dan mak bersantai – santai seketika di ruang tamu sambil – sambil menunggu waktu solat Isyak. Laju saja tanganku menukar Channel Astro kepada CH 391. Siaran iklan drama ‘Boys Over Flowers’ sekali imbas di kaca tv. Melihat wajah – wajah hero dalam drama ini mengingatkan aku kepada pemuda dingin membeku itu. Wajahnya seiras Jihu, malah perwatakan pun serupa dan penampilan diri yang sama.
“Seiras muka Hyeon” komen mak sambil menunding jari tepat ke wajah Kim Hyun Joong buat aku tersenyum sendiri. Boleh tahan juga pengetahuan mak sampai nama aktor Korea pun dia tahu.
“Memang pun Hyun yang berlakon tu” balasku mengiyakan. Laju saja mak berpaling menatapku. Sedikit terkejut mak mendengar kenyataanku itu.
“Betul ke Hyeon pelakon?” soal mak meminta kepastian.
Aku mengangguk. Pelik juga pertanyaan mak itu. Sudah terang dan jelas pemuda kacak Korea itu terpampang di dalam kaca tv yang sedang ditontonnya tika ini.
“Bertuah badan dapat anak macam ni. Lagi bertuah kalau dapat menantu macam dia” ujar mak memuji selangit tingginya. Aku terdiam. Terasa dengan bicara mak.
“Selama ni mak tak rasa bertuah ke dapat anak macam Lia?” soalku meluahkan rasa hati yang terkilan sebentar tadi. Pantas mak berpaling menatapku. Serius saja wajah mak.
“Kamu ni ke situ pula. Mak puji sikit pemuda ni, kamu dah ambik hati” marah mak. Aku tersengih – tersengih.
“Mak mahu ke menantu orang glamour macam tu?” soalku menguji.
“Apa salahnya kalau kamu mahu kahwin dengan dia. Mak lagi ler suka. Mak Long kamu pun suka juga” balas mak serius.
Aku tergelak besar. Tingginya impian mak hendak bermenantukan pemuda Korea. Bukan calang – calang orang pula tu, siap pilih aktor yang ramai peminat di seluruh dunia lagi. Klasss betul pilihan mak he...he....he... Mak Long mestilah suka orang Korea sebab itulah dia pilih pemuda Korea sebagai teman hidupnya. Malangnya jodoh mereka tidak berpanjangan. Kasihan Mak Long.
Tepat pukul 11.00 malam, aku memadamkan suis tv. Melangkah longlai mendaki satu – persatu anak tangga untuk ke bilik tidurku sambil menguap beberapa kali. Mak sejam yang lalu sudah merehatkan diri di biliknya. Mungkin sedang lena dibuai mimpi – mimpi yang indah. Aku tersenyum sendiri mengenangkan andaianku itu. Dengan kalimah bismillahnirahmanirahim kuletakkan kepalaku di bantal. Pantas saja tanganku menarik selimut menutupi tubuhku. Esok aku perlu menjemput Aziq, bisikku mengingatkan diri sendiri.
“Mak yakin ada seseorang yang lebih baik telah ditentukan oleh Allah untuk kamu” suara mak kembali terngiang – ngiang di telingaku. Tiba – tiba saja hatiku dipagut pilu. Kesayuan menjalar di seluruh tubuhku. Ada rasa suka duka bercampur baur. Tanpa kupinta air mataku menitis.
“Maafkan Lia mak” bisikku perlahan.
Kemaafan yang tercetus di bibirku kurang kufahami. Untuk apa aku melafazkannya? Mungkin aku telah berbohong kepada mak. Mulutku seringkali menafikannya, namun hatiku tidak mampu menolaknya. Ada pertentangan antara bicara yang terluah dengan kata hati. Aku benar – benar telah menjadi manusia yang hipokrit. Mungkinkah aku yang sebenarnya tidak memahami kemahuan diriku sendiri. Kalut!
bestnya. banyak lagi rahsia belum diketahui. hehe.
ReplyDelete