Tuesday, 18 October 2011

NamaKu Bukan Flora! 6




BAB 6

Aku melangkah ke bilik Puan Rosie dengan perasaan yang bercelaru. Namun keputusan nekad telah kuambil. Kuharap pengorbananku ini mampu membayar kecuaian yang telah kulakukan. Aku ingin menyelamatkan Clean N Friendly Laundry, menyelamatkan rezeki pekerja – pekerja termasuk rezekiku.

“Saya akan terima tawaran Puan Rosie semalam” putusku disambut senyuman lebar Puan Rosie.

“Keputusan yang paling tepat” pujinya tersenyum lebar. Sudah terbayang keuntungan berlipat ganda yang bakal diperoleh atas usahasama yang bakal dijalinkan antara Clean N Friendly Laundry dengan Syarikat Kejora Di Ufuk Timur ( KDUT ).

“Tapi sebelum saya mula bekerja di sana, saya ada satu permintaan” tuturku cuba memberanikan diri. Alang – alang aku melindungi nasib pekerja, inilah kesempatan yang aku ada untuk membela nasib mereka.

“Apa permintaan awak?”. Aku menarik nafas dalam – dalam. Sudah bersedia dengan reaksi yang bakal ditunjukkan oleh Puan Rosie.

“Saya mahu gaji pekerja dinaikkan 20%”

“What!”. Besar biji mata Puan Rosie menatapku. Memang sesuatu yang di luar dugaannya. Sedangkan tadi dia sudah berkira – kira mahu mengaut keuntungan semaksimumnya. Permintaan gadis ini pasti sedikit menjejaskan perancangannya.

“Kalau Puan Rosie setuju, hari ni pun saya boleh terus kerja di sana” tambahku lebih berkeyakinan.

“Berani awak tawar – menawar dengan saya Lia” keluhnya geram.

“Maafkan saya Puan Rosie, sudah sekian lama gaji pekerja tak naik sedangkan setiap tahun perniagaan ni mengaut banyak keuntungan. Sekarangpun Clean N Friendly Laundry sudah dapat tawaran usahasama dengan Syarikat Kejora Di Ufuk Timur yang pasti menguntungkan” tuturku jujur. Puan Rosie tidak boleh menipu aku tentang akaun Clean N Friendly Laundry. Aku tahu perjalanan kewangan premis ini. Kalau tidak untung, masakan dia mampu pergi ke luar negara hampir setiap bulan. Sebut saja Kota London, Paris, Itali, Perancis, Rom, Jerman, Scotland, Holland, Korea, Jepun, USA dan macam – macam destinasi lagi yang telah dijelajahinya. Cuma aku tidak pernah dengar dia pergi Mekah dan Madinah. He... he... he.... Boleh tahan juga jahatnya akalku ini!

“Apa sangat ler 20% tu Puan Rosie berbanding dengan keuntungan daripada usahasama tu nanti” tambahku lagi. Semakin tajam pandangan Puan Rosie menatapku. Mesti berapi – api perasaannya tika ini. Perkara yang melibatkan wang sukar untuk dia bertoleransi. Kali ini biar dia rasa macam mana rasanya kalau berada situasi serba salah.

“Baiklah saya setuju tapi awak mesti berjanji, walau apapun masalah  yang awak tempuhi  kat sana awak mesti bertahan. Kalau awak larikan diri, kawan – kawan awak akan terima kesannya malah 20% kenaikan gaji untuk pekerja juga akan awak tanggung. Setuju?”. Kali ini baru Puan Rosie bersuara setelah lama berfikir. Dia tersenyum lebar. Memang dasar mata duitan. Otaknya ligat berfikir cara untuk melindungi wangnya.

“Baiklah saya setuju” balasku yakin.

“Bagus. Esok datang office saya, kita tandatangani persetujuan ni. Kalau perkara melibatkan wang, saya tak pernah cuai dan percayakan orang” akuinya jujur buat aku tersenyum sinis. Mujur juga dia sedar akan sikap tamaknya itu. Biasalah orang kaya, kalau sudah kaya semakin mahu kaya.

“Wow, hebat kau Lia!”. Kedatanganku di bahagian operasi disambut dengan tepukan gemuruh rakan sekerja yang diketuai oleh Nana. Pasti Nana sudah mengkhabarkan permintaan yang kuusulkan kepada Puan Rosie. Kutatap wajah – wajah rakan sekerjaku, tampak ceria. Tercelit rasa bahagia tatkala melihat keriangan mereka itu.

“Thanks Lia” hampir – hampir serentak mereka melafazkannya buat aku terharu. Pertolonganku yang sedikit ini nampak sangat dihargai malah membuatkan mereka gembira. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan hajat hatiku. Sememangnya aku ingin membela nasib pekerja – pekerja di sini, nasib ibu – ibu tunggal dan perantau – perantau yang mencari rezeki di bumi Malaysia.

“Apa hal bising – bising ni!” Kedengaran suara laungan Puan Rosie di sebalik daun pintu pejabatnya. Masing – masing bertempiaran ke bahagian sendiri untuk menyambung kerja yang terhenti seketika tadi. Tika Puan Rosie terpacak di muka pintu, semua sudah kembali menyambung kerja seperti biasa. Bagaikan tiada apa – apa yang berlaku sebentar tadi. Di sebalik terselindung daripada pandangan Rosie ada senyuman yang masih mekar di bibir – bibir mereka. Senyum memikirkan telatah Puan Rosie dan senyum kerana gaji mereka sudah bertambah.

“Kau betul – betul yakin ke dengan keputusan kau ni?” bisik Nana setelah bayangan Puan Rosie sudah hilang di sebalik pintu itu. Aku mengangguk. Segalanya telah dipersetujui antara aku dengan Puan Rosie. Melihat senyuman gembira teman – teman sekerja menambah kekuatan diriku. Senyuman itu akan menjadi perisaiku tatkala berada di persekitaran baru.

“Ingat Lia, kalau ada apa – apa masalah kat sana, kau masih ada kami” tutur Nana cukup kufahami maksudnya. Kulihat teman – teman yang lain mengangguk – mengangguk mengiyakan bicara Nana. Aku tersenyum. Sungguh aku terharu melihat kesungguhan dan kesanggupan mereka untuk bersamaku walau apa keadaan sekalipun.

“Terima kasih semua” hanya itu yang mampu keluar dari mulutku. Air mataku mudah saja menitis ke pipi. Pantas kukesat. Aku tersenyum lagi. Nana terus saja memelukku. Begitu juga teman – teman sekerja perempuan yang lain bergilir – gilir mendakap tubuhku. Bagi teman – teman sekerja lelaki pula, jabatan tangan mereka serta tepukan di bahuku sudah cukup menyemarakkan semangatku.

 “Aku akan bertahan dan berjuang hingga ke akhirnya demi kalian” bisik hatiku nekad.

Fail ditangannya dihempaskan ke meja. Mulutnya tidak habis – habis terkumat – kamit bagai sedang menjampi serapah. Rasa marah yang ditahan – tahan. Mahu saja dia melaung dan menjerit – jerit memarahi sekalian yang nampak keriangan tika dia terpacak di depan pintu itu tadi. Namun disimpan saja kemarahan itu tatkala mengingati ada yang lebih penting yang bakal diperoleh daripada gadis itu. Dia harus mengingatkan dirinya agar bersabar sedikit sehinggalah perjanjian termeterai itu disahkan melalui tandatangan.

“You pergi mana tadi, sekarang baru nampak muka?” suara kasarnya menegur Encik Mukhtahir yang baru saja melangkah masuk ke bilik itu. Langkah lelaki itu mati. Terkebil – kebil biji matanya disergah sedemikian rupa.

“Apa hal marah – marah ni, Ros?” pertanyaan itu tidak dijawab sebaliknya satu soalan pula yang diaju kepada Puan Rosie. Puan Rosie mendengus geram. Kemarahannya sudah menjangkit kepada suaminya pula. Ditenung lama wajah lembut lelaki itu.

“Cuba you cerita elok – elok, apa masalah you?” soal Encik Mukhtahir lembut. Dia sudah biasa berhadapan dengan kemarahan isterinya itu. Bukan setakat pemarah malah garang mengalahkan singa yang sedang kelaparan.

“You tahu, Lia tu pandai – pandai tawar – menawar dengan saya. Dia minta kenaikan gaji pekerja 20%. Crazy girl” desahnya geram. Encik Mukhtahir tersenyum dalam hati melihat kemarahan isterinya itu. Dia langsung tidak keberatan untuk memenuhi permintaan itu. Dia sendiri pun pernah terfikir untuk melakukan perkara yang sama sebagai menghargai jasa – jasa pekerja yang sentiasa menunjukkan prestasi kerja yang baik.

“So apa keputusan awak?” soalnya ingin tahu tindakan isterinya.

“Saya tak de pilihan lain. Saya terpaksa terima juga sebab saya tak mahu terlepas peluang menjalin usahasama dengan Syarikat Kejora Di Ufuk Timur itu. Bukan senang nak dapat peluang macam tu” tutur Puan Rosie dengan wajah yang masih tegang. Sekali lagi Encik Mukhtahir tersenyum. Namun tidak dipamerkan senyumannya itu. Takut terkena panahan pancaran kemarahan isterinya itu.

“Saya akan beri pengajaran cukup – cukup kat Lia tu. Biar dia tahu siapa saya” luahnya geram penuh dendam. Kali ini Encik Mukhtahir hanya geleng kepala. Tidak mampu dia menegur mahupun menasihati perangai isterinya itu, bukan hanya untuk hari ini tapi sejak sekian lama. Teguran yang cuba dilakukannya seringkali menambahkan kemarahan isterinya. Akhirnya dia ambil keputusan untuk mendiamkan diri saja.

No comments:

Post a Comment