BAB 8
Aku mengalih pandanganku pada pintu. Terpancul muka Ismael di sebalik daun pintu dengan senyuman yang mekar menguntum. Aku menyambut kedatangan pemuda berkulit hitam manis ini dengan senyuman.
“Assalamualaikum Kak Lia...” sapanya mesra. Salamnya kusambut.
“Apa khabar hari nie?” soalku ingin tahu keadaannya setelah hampir seminggu tidak bersemuka dengannya.
“Hari – hari sibuk. Puan Rosie semakin petah bersyarahan hehehe..” Ismael tergelak sendiri.
Aku turut tersengih mendengar bicaranya itu. Suatu yang sudah menjadi kebiasaan. Orang lain kalau sakit akan lebih suka berdiam diri sebaliknya Puan Rosie kian mengganas. Mulutnya tidak akan berhenti – henti mengarah dan memaki sebagai hadiah jika melakukan kesilapan dalam menjalankan tugas biarpun kesilapan sebesar kuman. Bertambah – tambah sensitif dirinya kala itu.
“Yang lain apa khabar? Lama dah tak jumpa diaorang, terasa rindu juga” luahku sedikit bersedih.
Dengan Nana aku hanya berkesempatan bermesej sekali - sekala. Kami belum ada masa terluang untuk berjumpa. Kebetulan kesibukannya berganda kerana terpaksa mengambilalih sebahagian tugasku. Sebahagian lagi dipikul oleh Hui Choi. Dia dan Hui Choi terpaksa berkongsi bebanan tugas yang aku tinggalkan. Kasihan mereka. Puan Rosie terlalu kejam terhadap para pekerja Clean N Friendly Laundry. Nama yang tidak menggambarkan situasi sebenar dengan premis ini.
“Semuanya rindu pada Kak Lia termasuk ler Puan Rosie ha..ha...ha..!” Ismael tergelak besar. Ketawa pada bicaranya sendiri.
“Syukur.... syukur... kalau Puan Rosie rindukan Kak Lia. Jangankan rindu barangkali dia sudah lupakan Kak Lia” balasku buat - buat sedih.
Ismael tersengih – sengih. Langsung dia tidak mahu menyangkal bicaraku itu. Siapa yang tidak kenal dengan perangai Puan Rosie ala – ala diktator abad ke-21. Aku tahu dia tidak berapa sukakan aku memandangkan adakalanya aku tidak dapat memenuhi kehendak hatinya.
“Kak Lia, ni invois pakaian yang dah dicuci. Dah lama saya melepak kat sini. Saya pergi dulu ler nanti tercari – cari pula Queen Lion yang garang tu” bicara Ismael buat tawaku bergema. Nama panggilan baru untuk Puan Rosie yang aku dengar agak melucukan. Kasihan Puan Rosie pasti hari – hari tergigit lidah sebab ramai sangat yang menyebut namanya. Ismael meninggalkan aku dengan lambaian tangannya.
Kucapai invois yang Ismael letakkan di meja. Kuteliti seketika. Lalu butiran invois ini kupadankan dengan pakaian – pakaian yang Ismael hantar tadi yang masih tergantung di luar. Tiada yang menimbulkan kemusyikilan. Semua jelas dan tepat. Laju saja tanganku merekod setiap butiran pada invois lalu menggepilkan kertas invois tersebut pada fail khas. Aku terus saja menyimpan pakaian – pakaian tersebut.
Tepat pukul 12.40 tengah hari aku bergerak ke Kafeteria Chentek Ria untuk makan tengah hari. Dipertengahan jalan aku bertembung dengan Marnie bersama seorang rakannya. Reka namanya. Gadis kacukan India – Cina ini memiliki kesempurnaan wajah yang mempesonakan. Reka seorang model yang periang dan mesra. Dia telah menjadi sahabat keduaku di KDUT ini. Semenjak dua minggu aku bekerja di sini, semua orang yang aku temui di sini cantik jelita dan kacak tampan sinonim dengan bidang kerja glamour yang beroperasi di sini. Terbuktilah bidang peragaan mementingkan kesempurnaan fizikal seseorang.
Kami memilih meja yang terletak di hujung sekali. Jauh sedikit dari kesibukan orang lalu lalang. Semuanya sudah sedia hendak menjamah menu pilihan sendiri. Kutatap pinggan Reka yang hanya diisi dengan sepotong roti dipadankan dengan segelas jus oren. Menu yang menggalahkan menu sarapanku. Sekurang – kurangnya aku akan sarapan mee sepinggan bersama kuih – muih. Tidak pun nasi lemak sebungkus atau sepinggan nasi goreng. Kalau makan tengah hari lagilah banyak kuantitinya.
“Boleh kenyang ke tu?” soalku hairan.
Reka tersenyum menampakkan barisan giginya yang menarik. Dia angguk kepala menjawab persoalan yang aku ajukan sebentar tadi. Sukar akalku menerima jawapan yang diberikannya itu. Macam tidak logik saja.
“Dia memang makan macam tu. Jaga badan” balas Marnie berbaur perlian.
Reka tersenyum. Aku menarik nafas panjang. Sungguh menyeksakan juga hidup sebagai seorang model kena ikat perut bukan sebab tiada duit hendak makan, sebaliknya risau makanan yang dimakan membina badan. Seksa... seksa...! Tidak sanggup aku melalui kehidupan sedemikian.
“Saya tak boleh makan banyak sebab fizikal saya ni mudah sangat berisi.” balas Reka berterus terang tidak mahu berselindung.
“Awakkan kurus sangat sekarang. Eloklah berisi tu” tuturku ikhlas.
Laju saja Reka geleng kepala dengan wajah yang berkerut. Nampak ngeri saja diamembayangkan bicaraku itu. Fobia sangat dia dengan perubahan fizikalnya.
“Kerjaya saya bergantung sepenuhnya pada kecantikan bentuk fizikal tubuh badan saya. Saya kena berhati – hati dengan pemakanan saya” luah Reka.
“Kasihan awak” spontas bicara itu keluar dari mulutku. Serentak Marnie dan Reka menatapku.
“Apa yang kasihannya?” Marnie mendahului menyoalku.
“Kasihan sebab tak cukup makan” bicaraku disambut dengan gelak tawa Reka dan Marnie. Betapa bicaraku telah mencuit hati mereka.
“Tak pe bila dah bersara nanti saya akan makan sebanyak yang mampu” balas Reka berseloroh.
“Jika usia dah meningkat selera pula dah mula menurun. Rugilah satu nikmat dunia dipersiakan begitu saja” balasku namun hanya terluah di dalam hati. Tidak sampai hati pula diperdengarkan kepada Reka. Risau kalau bicara ini bisa membangkitkan kerisauannya. Akhirnya aku hanya mengangguk.
“Semoga ketika itu awak masih ada nafsu untuk makan sebanyak mungkin Reka” bisik hati kecilku.
Lalu aku terus saja menikmati nasi, ikan, ayam goreng dan sayur yang memenuhi pingganku. Begitu juga dengan Marnie persis aku yang tidak kisah sangat hendak makan semampunya tanpa sebarang halangan. Hakikatnya, aku dan Marnie tidak mahu kerugian satu nikmat dunia he...he...he...he.... Sekali lagi.... kasihan Reka!
“Tengok Encik Aqel dan Rania tu” tiba – tiba suara Reka berkumandang mengarah aku dan Marnie melontar pandangan ke depan.
Aku nampak pemuda Si Tunggul Kayu itu sedang bersama gadis cantik jelita yang tidak mesra alam itu. Oh, rupanya nama perempuan itu Rania. Wajah pemuda itu serius saja. Mereka melangkah tidak seiringan. Gadis itu tertinggal beberapa langkah di belakang pemuda dingin itu. Lantas nampak sangat gadis itu terkejar – kejar langkah di depannya. Persis pasangan kekasih yang dalam delima. Mungkin mereka sedang bersengketa.
Kupandang Marnie dan Reka yang tersenyum sinis. Bagai kan mereka kurang menyenangi pasangan tadi. Dua minggu aku bertugas di sini, inilah kali pertama aku nampak bayangan pemuda erestik itu. Rupanya masih wujud juga dia di sini. Adakah mereka pasangan kekasih? Memang padan pun mereka berkasih sayang. Bagai pinang dibelah dua, persis cincin dan permata. Sama – sama cantik dan tampan bergaya. Cuma sifatnya saja yang berbeza bagai langit dan bumi. Seorang dingin membeku dan yang seorang lagi panas membahang. Namun keduanya tidak mesra alam ha....ha....ha...ha! Boleh tahan juga jahatnya mulut aku ini! Pantas saja aku berisytighfar menginsafi ketelanjuran diri berbicara sedemikian.
Kuingatkan diri agar jangan menilai orang dari luaran. Walaupun pemuda itu nampak dingin membeku tetapi dia masih sudi menolongku. Sekurang – kurangnya masih ada kemuliaan yang tersemai dijiwanya. Seorang lelaki yang pernah aku kenali juga melayanku begitu baik tetapi akhirnya menghadiahkan kelukaan yang dalam buatku. Aku ditinggalkan tanpa penjelasan. Bicara yang terakhirnya persis sembilu yang menghiris hatiku. Si Pipit dan Si Enggang tidak boleh terbang bersama. Inilah hukum dunia yang harus aku terima.
“Hey, Encik Haqem ler! Bila dia balik dari Amerika?” suara Reka menyebut nama seseorang kedengaran begitu teruja.
Aku tersentak. Perlahan – lahan aku berpaling lalu melontar pandangan ke hadapan sana. Aku tergamam. Lidahku kelu. Senyuman yang terukir di bibir itu mengembalikan kenangan lalu. Kenangan yang tidak pernah luput dari memori ingatanku.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
“What! Haqem dah balik? Dia kerja kat KDUT?” soalan Nana bertalu – talu mendatangiku. Ternyata Nana juga terkejut seperti yang aku alami hari ini.
“Aku tak pasti apa dia buat kat situ. Tapi dia memang Haqem” ujarku perlahan dengan sedikit perasaan terusik. Melihat Haqem siang tadi terasa luka lamaku kembali berdarah. Sebetulnya kelukaan itu tidak pernah sembuh.
“Awak okey, Lia?” suara Nana kedengaran begitu prihatin.
“Ya aku okey” balasku pendek.
Mujur juga Nana tidak berada di depanku saat ini. Sekurang – kurangnya aku masih boleh menyembunyikan reaksi wajahku tika ini. Mana boleh aku katakan aku tidak merasa apa – apa setelah melihat kemunculan Haqem semula. Pemuda yang telah banyak mengubah corak hidupku. Kalau aku tidak pernah mengenali Haqem mungkin kehidupanku sekarang bukan sebegini. Namun aku tidak boleh menyalahkan takdir.
Cinta ibarat sebuah pertarungan. Sebuah pertarungan akan menjanjikan kejayaan mahupun kegagalan. Malangnya aku terlontar pada garis kegagalan itu. Cinta yang pada mulanya begitu indah hanya sementara waktu. Aku alpa dalam keriangan melewati keindahan percintaan itu. Kukira Haqem adalah jodoh terbaik buatku untuk jadi pelindungku serta teman sehidup sematiku. Kukira Haqem juga bakal jadi ketua keluargaku menggantikan tempat arwah ayah. Maka bolehlah aku, mak dan Aziq bergantung harapan kepada Haqem. Segalanya musnah dalam sekelip mata. Segala yang aku impikan hancur lebur ditangan orang yang aku kasihi dan cintai. Rupanya kehadiranku hanya sebagai pengisi kekosongan hidup seorang lelaki yang kesepian dan ketandusan kasih sayang.
Bukan setakat jiwa ragaku hancur lebur dalam percintaanku, bahkan masa depanku turut musnah. Perkara yang paling menyedihkan hati mak. Aku hilang kewarasan buat seketika. Masa depan yang menjanjikan kehidupan yang lebih cerah aku lepaskan begitu saja. Kehilangan Haqem buat duniaku terumbang – ambing.
Inilah akibatnya kerana terlalu mengagungkan cinta, menyerahkan sepenuh jiwa pada percintaan. Kesilapan yang paling besar yang aku lakukan. Banyak kali sudah hatiku melaungkan bahawa aku ingin menebus kekhilafan yang lalu. Aku ingin merawat duka lara hati mak suatu tika dahulu lantaran perbuatanku. Namun bayangan Haqem sentiasa mengekoriku. Aku lemas dalam kenangan lalu.
Ya Allah betapa kerdilnya diri ini. Aku tidak mahu tewas persis masa lalu. Ya Allah ya Rabbi, bangkitkanlah kekuatan dalam diri ini agar aku bisa menghadapi segalanya. Janganlah Engkau lemahkan nuraniku dengan patuh dan mentaati bicara hati. Aku tidak redha ya Allah. Haqem bukan jodoh terbaik buatku. Engkau lontarkanlah bayangan lelaki itu jauh dariku. Engkau tutupkanlah hatiku jika benar dia dicipta bukan untukku dan aku tercipta bukan untuk dirinya. Segalanya aku berserah padaMu ya Allah.
“Kau akan mampu hadapi Haqem dengan tenang. Segalanya akan berjalan dengan lancar” pujuk Nana cuba mendamaikan gelodak perasaanku.
Aku mengeluh panjang. Terasa sukar untuk aku menghadapi hari – hari mendatang andai ditakdirkan aku bekerja sebumbung dengan Haqem. Seakan diriku belum cukup gagah untuk berhadapan dengan pemuda itu. Aku perlukan lebih banyak perisai agar diriku kebal tatkala bersemuka dan bertentang mata dengan Haqem. Aku mesti lebih berani dan cekal. Aku mahu membuktikan diriku mampu hidup tenang setelah dia berjaya mempermainkan perasaanku.
“Haqem cipta dunia yang terlalu indah untukku. Kemudian dia juga yang menghancurkan dunia indah itu. Bukankah dirinya itu cukup kejam, Nana” luahku dalam geteran.
“Dia memang lelaki kejam, Lia. Sebab tu juga dia tak sesuai untuk kau” tambah Nana mengukuhkan bicaraku.
“Lupakan dia. Ada lelaki yang seribu kali lebih baik daripada Haqem yang Allah ciptakan untuk kau” pujuk Nana memadamkan lara hatiku.
Aku menahan getaran hatiku. Bicara Nana buat aku tersenyum sendiri. Alangkah indahnya andai bicara Nana ada benarnya. Namun hatiku sudah terkunci rapat. Seakan aku gentar untuk jadi mangsa gurauan perasaan untuk kali kedua. Biarlah aku bersendirian kiranya itu lebih membahagiakan diriku. Biarlah hatiku tidak dimiliki oleh kaum Adam andainya itu lebih mendamaikan jiwaku.
Cukuplah aku memiliki mak dan Azeq, insan – insan yang sentiasa menyayangiku seikhlasnya. Kasih kedua insan ini tidak pernah pudar mahupun berkurungan biarpun masa terus beredar. Aku tahu kasih dan rasa cinta yang paling utama ialah kepada Maha Pencipta yang Esa. Kemudian kasih sayang mak dan Azeq. Aku redha ya Allah.
No comments:
Post a Comment