Monday, 24 October 2011

NamaKu Bukan Flora! 7


BAB 7

Hari ini merupakan hari pertama aku bertugas di Syarikat Kejora di Ufuk Timur (KDUT). Aku terpacak mendongak bangunan kaca itu. Bagaikan banyak masalah sedang menantiku di situ. Namun kutanamkan azam dalam hatiku untuk bertahan sehingga ke penghujungnya demi nasib rakan – rakan sekerjaku. 

Aku menarik nafas panjang. Lantas kuatur langkahku memasuki bangunan kaca yang tersergam kukuh itu. Pandangan pengawal keselamatan yang bertugas di depan pintu menyambut kedatanganku. Pantas saja aku mengeluarkan pas pekerja dari sakuku lalu menggantung ke leherku. Aku dan pengawal keselamatan itu bertukar senyuman.

Seketika aku berlegar – legar di ruang lobi bangunan ini. Tidak tahu perkara yang patut aku lakukan mahu pun siapa yang harus aku temui. Sepatutnya kedatanganku ke sini disambut oleh seseorang memandangkan aku merupakan orang baru di sini. Sekarang aku persis anak ayam yang kehilangan ibu yang telah dimakan musang. Hilang punca arah. 

Kuperhatikan manusia yang lalu lalang di depannya. Aku berharap salah seorang daripada mereka akan menyapaku. Sempat juga aku mencari kelibat pemuda itu. Barangkali aku boleh minta pertolongan daripadanya biarpun aku tidak menyenangi sikapnya yang sukar untuk difahami dan dijangka sebagai seorang manusia yang errestic.

“Cik Flora!” Ada suara perempuan memanggil satu nama. 

Perlahan – lahan aku berpaling. Seorang gadis kecil molek, agaknya sebaya denganku sedang mengatur langkah mendekatiku. Ini pertemuan pertamaku dengannya.

“Cik Flora, kan?” soalnya meminta kepastian. Aku termangu – mangu mendengar dia memanggilku dengan nama itu.

“Saya Marnie” tuturnya memperkenalkan diri lalu menghulurkan tangan kepadaku. Kami bersalaman seketika.

“Sebenarnya nama saya Nur Dahlia. Awak boleh panggil saya Lia” ujarku membetulkan kesilapannya itu. Dia menatapku. Tampak dia sedang keliru mendengar kenyataanku itu.

“Nama awak bukan Flora?” soalnya.

Aku mengangguk. Betapa aku masih tertanya – tanya mengapa manusia yang ada di sini suka sangat memanggilku dengan nama itu. Mula – mula Si Tunggul Kayu itu memanggilku Flora. Kemudian menjangkit pula kepada gadis ini. Mentang – mentanglah namaku Nur Dahlia persis bunga dahlia. Sesedap mulut saja mereka menukar nama itu kepada flora = bunga. Mujur juga bukan fauna.

“Mari saya hantar awak ke bilik operasi awak” ajaknya lalu melangkah cergas ke satu arah. Aku mengekori langkah gadis ini. 

Langkahnya tangkas dan pantas. Kami berhenti di depan sebuah bilik yang agak tersorok sedikit daripada bahagian lain. Daun pintu terkuak. Terus saja aku melangkah masuk mengiringi langkah gadis ini. Mataku liar memerhatikan sekitar bilik ini. Lengkap dengan perabot dan peralatan. Ada kabinet kaca besar yang menempatkan deretan fail – fail. Di bahagian dinding sebelah kanan ada sebuah pintu. Mungkinkah pintu rahsia? Tampak misteri juga kamar ini.

“Ni ler bilik awak. Yang itu rekod – rekod yang perlu awak kemas kini dari semasa ke semasa. Semua maklumat yang diperlukan tercatat di situ. Awak hanya perlu mengisi maklumat yang diberikan berdasarkan penggunaan serta prosuder dobi di premis bos awak” terang Marnie panjang lebar sambil menunding jari pada fail – fail di kabinet kaca itu. Aku mengangguk. Penerangannya cukup lengkap dan jelas.

“Mari saya tunjukkan tempat penyimpanan kostum – kostum tersebut”

Aku mengekori  langkah Marnie lagi. Pintu rahsia yang kulihat sebentar tadi ditolak. Tatkala aku melangkah ke bilik ini, aku terpegun melihat deretan kostum yang cantik – cantik tergantung di dalam almari kaca di sepanjang dinding.

“Kostum – kostum ini selalunya digayakan dan dipakai bagi penggambaran slot – slot bangsawan dan keluarga elit. Harga kostum – kostum ni mencecah ribuan ringgit. Kebanyakannya ditempah dari luar negara” cerita Marnie merujuk kabinet kaca yang paling dekat dengan kami. 

Cerita Marnie cukup buat aku terpegun. Dalam masa yang sama aku diserbu rasa khuatir. Bukan mudah hendak mengendalikan kostum sedemikian. Bimbang tentang keselamatan kostum – kostum ini.

“Saya tinggalkan awak di sini. Kalau awak perlukan apa – apa awak call saya. Anytime.....” ujar Marnie mengingatkanku. Aku mengangguk.

“Terima kasih” ujarku terhutang budi. 

Bayangan gadis itu hilang di sebalik pintu. Aku memandang kostum – kostum yang berada di sekelilingiku. Elegan dan klasik buat aku jatuh cinta pada semuanya. Pandanganku jatuh pada gaun labuh putih tanpa lengan yang tergantung di dalam kabinet kaca ini. Segera kudekati. Fabrik yang lembut dan mempesonakan. 

Alangkah seronoknya kalau aku berkesempatan memakai gaun ini. Persis diriku Cinderella. Si Miskin yang berpakaian cantik bercinta dengan seorang putera raja. Jadilah aku persis Si Jelik dan Si Jelita. Ehh..., tajuk kurang sesuai. Sepatutnya ‘Si Hodoh dan Si Tampan’. He...he...he... Aku tersenyum sendiri.

“Awak buat apa kat situ? Tak kerja ke?” Ada suara perempuan yang menyergahku. 

Laju aku berpaling. Perempuan itu sedang menatapku tajam. Tiada senyuman mahu pun sapaan mesra yang keluar dari mulutnya. Betapa aku terkejut disergah sedemikian rupa. Aku memandang perempuan itu.

“Awak sediakan pakaian dalam senarai ni” arahnya lalu meletakkan kertas ditangannya di atas meja itu. Aku hanya mengangguk. Perempuan itu berlalu tanpa sebarang bicara. Jauh sekali ingin berkenalan denganku. Betapa sombongnya dia. 

Aku memutar kembali ingatanku ke belakang. Wajah yang pernah singgah dimemoriku. Ya aku pernah bertemu dengan perempuan itu. Alamak, malangnya nasib aku terpaksa bekerja sebumbung bersama perempuan yang tidak mesra alam itu. Satu cabaran untukku yang baru saja dikenal pasti pada hari pertamaku bekerja di sini. Harap – harap kenyataan sebenar tidaklah seperti yang aku jangkakan. Apa – apapun aku harus bersedia dengan sebarang kemungkinan. Berusahalah! Berusahalah Lia! Aku boleh! Lia boleh!


SAMPAI saja di rumah, aku terus saja melontar tubuhku ke sofa di ruang tamu. Hari pertama bekerja di KDUT begitu meletihkan. Ingatkan merekod dan mengendalikan pakaian tidaklah sesukar mana berbanding berhadapan dengan ragam manusia. Ternyata andaianku itu jauh meleset. Hari pertama bekerja tidak begitu lancar. Aku mendapat layanan dingin daripada perempuan itu. Bahkan aku juga tidak terlepas dari kemarahannya gara – gara aku tersalah bawa kostum yang sepatutnya. Hari pertama bekerja, di bidang yang baru, kesilapan yang dilakukan sepatutnya dipertimbangkan. Kesimpulannya, apa saja jenis pekerjaan semuanya mencabar dan menuntut kesabaran.

“Kamu dah balik rupanya” tegur mak yang baru saja muncul di ambang pintu sambil mengipas – ngipas tudungnya. Cuaca di luar panas sangat. Walaupun sudah menjangkau ke petang matahari tetap memancar terik.

“Bagaimana urusan mak dengan Tabung Haji hari ni?”soalku ingin tahu tentang perkembangan pendaftaran jemaah haji ke Mekah. Tahun ini mak dan Aziq mencuba nasib lagi.

“Harap – harap tahun ni mak dan Aziq akan dapat pergi ke Mekah” luah mak menggantung harapan tinggi. 

Kasihan mak. Lama sudah mak mendaftarkan diri pergi ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji bersama Aziq. Namun belum sampai rezeki mak dan Aziq untuk memijak tanah suci itu. Kouta yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji memaksa wujudnya giliran. Semoga tahun ini sudah sampai giliran mak dan Aziq untuk mengunjungi tanah suci Mekah.

“InsyaAllah, tahun ni giliran mak dan Aziq pula” ujarku menyuntik rasa keterujaan mak sekaligus buat mak tersenyum lebar. Senang hatinya dengan pengharapan yang kuberikan. Selalunya perkara yang baik mudah saja diperkenankan oleh Allah.

“Kamu dah makan ke? Sebelum keluar tadi mak ada masak” ujar mak. 

Kutatap wajah mak dengan penuh kasih sayang. Mak adalah ibu mithali yang tidak pernah lalai dengan keperluan anak – anaknya. Mak sentiasa menjalankan tugasnya sebagai ibu dengan cemerlang. Suatu hari nanti sukar untuk aku tandingan kehebatan mak sebagai isteri dan ibu. Mak adalah ratu hatiku, ratu hati Aziq. Kami sepenuh hati menyayangi mak.

“Lia nak rehat kejap. Lepas mandi nanti Lia makan. Lia nak masuk bilik dulu” jelasku lalu mengatur langkah ke bilik meninggalkan mak yang masih mahu bersantai – santai di ruang tamu. Agaknya mak masih memikirkan tentang status permohonannya untuk ke bumi suci Mekah. Kasihan mak.

Kutanggalkan kad pekerja KDUT yang masih tergantung di leherku. Kutatap seketika buat aku tersenyum sendiri. Ramalan pemuda Si Tunggul Kayu itu benar belaka. Masin juga mulutnya. Dua hari selepas dia meminta aku menyimpan kad ini, aku benar – benar kembali lagi ke situ. Begitu kuat gerak hati pemuda erestik itu. Laju saja tanganku membuka laci cermin solekku untuk menyimpan kad ini. 

Pandanganku jatuh pada kotak baldu merah hati itu. Tanpa diarahkan jari – jemariku telah menguak kotak baldu itu. Sebentuk cincin emas bertakhta sebutir permata putih jernih tersimpan rapi di situ. Hatiku tersentuh. Sekelip mata saja emosiku telah berubah. Kepiluan dan kesedihan menyelubungi diri. Terasa kelukaan semalam mencuit ketenangan diri. Air jernih gugur dari birai mataku. Jiwaku benar – benar terguris.

“Apa khabar dia sekarang? Bahagiakah hidupnya?” bibirku berbicara sendiri. Ahh, aku mendengus bosan! Rasa marah dengan diri sendiri. Sewajibnya aku tidak perlu meratapi semua ini. Sia – sia saja aku menyeksa diri andai dia bahagia saat ini. Bukankah aku sudah bersumpah untuk menguburkan segala tentang dirinya. Kenapa aku masih mengingatinya lagi? Gagalkah aku melakukannya? Ohh, bayangan lelaki itu masih merantaiku.

“Lia, mari makan!” kedengaran laungan suara mak dari bawah. Laju saja tanganku mengesat sisa – sisa air mata di pipiku. Tidak mahu air mata ini disedari oleh mak. Terus saja kututup rapat kotak baldu itu. Aku melontar tubuhku ke tilam. Berbaring kaku seketika di situ. Kupejamkan rapat mataku. Cuba mengusir kedukaan yang menghimpit jiwa. Damailah hati seru suara hati kecilku.

“Lia...!” suara mak berulang lagi. Baru aku teringat panggilan mak belum kusahut lagi.

“Kejap lagi Lia turun mak” laungku membalas laungan mak. 

Bingkas aku bangun lalu melangkah ke bilik air membersihkan wajahku. Aku mahu bertemu  mak dengan wajah yang berseri – seri. Kutangguhkan niat untuk mandi rentetan kesuntukan masa. Risau juga mengundang curiga mak kalau lambat sangat muncul di depannya. Biarlah mak berlapang dada denganku. Paling penting aku tidak akan membuatkan mak kecewa kedua kali keranaku. Itulah sumpah setiaku. Semoga sepanjang hayatku ini aku mampu membahagiakan hati mak. Amin.

No comments:

Post a Comment