Tuesday, 18 October 2011

NamaKu Bukan Flora! 4



BAB 4

“Hoi, anak dara bangun! Matahari dah meninggi ni”. Kedengaran suara mak menyucuk – nyucuk di telingaku. Pantas kutarik selimut menyembunyikan diri. Namun sekejap saja. Tangan mak sudah menarik selimut ini lalu melemparkannya ke tepi. Memang pantang bagi mak melihat penghuni di rumah ini bangun lewat, apatah lagi bagi seorang anak dara sepertiku.

“Lia tak keja ke?” soal mak memandangku.

“Cuti” balasku pendek. Cuti yang kubuat – buat sendiri. Tengah hari ini aku berhajat akan menemui Encik Mukhtahir membuat perhitungan terakhir. Teringat aku sms Nana yang belum aku balas lagi. Sebenarnya aku tiada mood untuk menjawab pertanyaannya itu. Jawapannya begitu mengecewakan. Lantas aku tidak mahu berkongsi kekecewaan itu bersama Nana.

“Pergilah mandi cepat. Lepas tu tolong mak kat dapur. Hari ini Mak Long Lia akan datang sini” cerita mak.

“Mak Long?”. Aku memikirkan bicara mak itu. Jarang sangat telingaku mendengar mak menyebut pasal Mak Long. Seingatku tidak pernah ataupun aku sudah lupa. Kutatap wajah mak.

“Mak Long tu siapa mak?” soalku binggung.

“Apalah budak ni. Mak Long tu mak saudara Lia ler. Kakak sulung arwah ayah Lia” balas mak lebih detail. Aku tersenyum sendiri mendengar jawapan yang mak berikan. Terasa lucu juga. Memanglah aku tahu Mak Long itu anak paling sulung. Yang kumaksudkan identiti mak saudaraku itu.

“Dia baru beberapa bulan kembali ke sini. Dulu tinggal di London sebab kerja di sana” tambah mak lagi.

“Wah, London!”. Timbul kekaguman dalam diriku. Hebat juga mak saudaraku ini. Pasti bukan calang – calang orangnya. Tidak seperti aku ini. Hu... hu... hu... Aku lemah memikirkan nasib diri sendiri. Kerja di kedai dobi itu pun aku tidak mampu mempertahankannya, inikan pula hendak berangan – angan kerja di luar negara. Memang aku kalah dengan Mak Long.

“Dia kerja apa kat sana?” soalku semakin berminat.

“Lecturer” balas mak buat aku tersenyum sendiri. Tetiba berbahasa Inggeris pula mak aku ini. Alah, mak aku pun apa kurangnya! Hebat juga. Guru Besar bersara. Sebab itu mak terror berucap panjang di depanku dan Aziq, adik lelaki tunggal kesayanganku itu. He..... he.... he...!!!

“Yang Lia sengih – sengih tu apa hal! Cepat pergi mandi, lepas tu tolong mak kat dapur” arah mak mengejutkanku.

Aku hanya mengangguk. Mak sudah berlalu meninggalkan bilik ini. Aku masih duduk di katil merenung nasib diri. Bagaimana aku nak beritahu mak bahawa aku sekarang sudah menjadi penganggur. Aduh, pening, pening kepalaku memikirkannya! Aku menumbangkan tubuhku ke tilam semula. Bingkas saja aku bangun sebaik saja mendengar suara mak memanggilku. Bergegas aku melangkah ke bilik air untuk mandi.

Tatkala aku melangkah ke dapur, kerja – kerja mak hampir beres semuanya. Begitu pantas tangan mak melakukan segala kerjanya. Mataku meninjau – ninjau kerja yang perlukan bantuanku.

“Pergi potong buah tembikai dan betik tu” arah mak. Aku mengikut saja arahan mak. Kucapai buah tembikai dan betik yang sudah tersedia di meja ini. Kubersihkan dulu di bawah pancutan air di sink sebelum mengupas kulitnya.

“Ramai ke yang nak datang ni mak?” soalku sebaik saja melihat beberapa jenis masakan yang sudah siap mak masak.

“Tak ler. Mak Long kamu takde saudara mara lain selain kita. Kebetulan pula dia hanya ada anak seorang je. Dah lupa mak lelaki ke perempuan anak dia tu” cerita mak. Sudah lama betul mak dan Mak Long tidak bertemu sehinggakan jantina anak saudaranya sendiri pun mak tidak ingat. Patutlah mak bersemangat betul memasak pagi ini. Pastinya mak mahukan pertemuan yang bakal berlangsung hari ini adalah yang terbaik setelah sekian lama tidak berjumpa. Aku pun rasa tidak sabar – sabar untuk menatap wajah Mak Longku itu.

“Pak Long, suami dia tak datang sama ke?” soalku lagi. Hairan juga sebab mak tidak pula menyebut tentang suami Mak Long.

“Dah lama mereka bercerai. Kecik lagi Lia masa tu, arwah ayah Lia pun masih ada lagi” jelas mak. Aku hanya mengangguk – angguk. Kasihan juga Mak Long. Paling kasihan anaknya itu. Pasti dia kehilangan kasih sayang seorang ayah. Oh, macamlah aku ni ada ayah! Aku pun sama macam dia juga.

“Susah sikit kahwin tak sebangsa ni. Ada saja yang tak kena” keluh mak pula. Wajahnya sedikit mendung. Kali ini aku tidak bertanya lagi. Tidak mahu menambah kesedihan mak. Mungkin tika ini mak teringatkan arwah ayah.  Tembikai dan betik sudah siap kupotong – potong tersusun di pinggan lalu kusimpan di dalam peti sejuk.  

“Lia tolong atur pinggan dan gelas di meja makan” arah mak lagi.

Lantas saja kulangsaikan tugasan yang mak beri. Kemudian kucapai penyapu lalu menyapu ruang tamu. Tepat pukul 12.00 tengah hari segala kerja mak beres sepenuhnya. Kemudian aku dan mak hanya bersantai di ruang tamu menanti kedatangan Mak Long dan anaknya. Tiba – tiba saja telefon berdering. Pantas saja mak menjawab panggilan itu. Kelihatan mak ketawa – ketawa ketika berbual – bual itu. Agaknya Mak Long yang telefon.

“Mak Long kamu dah nak sampai tu” ujar mak dengan wajah yang ceria. Aku tersenyum dan mengangguk. Berdenting saja loceng pintu, pantas aku membukanya. Aku menatap sesusuk tubuh itu. Terpegun aku seketika pada insan yang terpacak di depanku ini. Senyumannya cukup indah lantas mengingatkan aku pada seseorang. Aku terus saja menyalaminya. Tanpa kuduga satu kucupan mesra singgah di pipiku. Agaknya budaya Kota London sudah menjalar dalam dirinya. Tidaklah! Mak Long mencium pipiku sebab aku adalah anak saudara yang dia ada selain adikku. Pasti dia teruja melihat wajahku yang betul – betul seiras wajah arwah ayah. Menatap wajahku ini pasti mengingatkan dia pada arwah ayah, adik kesayangannya itu.

Aku menatap wajah Mak Long lagi. Betapa aku kagum dengan wanita ini. Sebelum pertemuan ini tadi, aku bayangkan rambut Mak Long yang berwarna dan menggerbang, kukunya merah panjang meruncing, leher baju luas sedikit bagi mendedahkan dadanya yang putih, sarat dengan aksesori seiring dengan arus perkembangan fesyen Kota London. 100% imaginasiku tidak tepat. Mak Long yang berada di depanku ini hanya memakai baju kurung, bertudung labuh, tanpa sebarang solekan mahu pun aksesori yang berlebihan menghiasi dirinya. Cukup ringkas, namun tetap menawan pandangan sesiapa saja. Kejelitaannya terserlah.

“Cantik Lia ni, seiras betul macam Salleh” pujinya. Aku tersenyum. Sedikit rasa bangga mendengar pujian Mak Long. Mak pun turut tersenyum sama. Barangkali mak pun ada perasaan yang sama sepertiku. Bangga kerana anak gadisnya dipuji.

“Hyeon tak dapat datang sama. Dia out station hari nie” tuturnya mengejutkan aku. Aku terkejut mendengar sebaris nama itu. Terus saja aku ingat nama seorang aktor Korea Kim Hyeon - Jung. Aku tersenyum sendiri. Fanatik juga Mak Long aku ini dengan cerita – cerita Korea sampaikan nama anaknya pun nama aktor Korea yang handsome itu. Mesti lawak, nama orang Korea tapi muka, muka orang Melayu tulen. Bayangkan kulitnya lagi gelap. He.. he... he...! Kulihat mak langsung tidak memberi reaksi pada sebaris nama itu. Mungkin dia tidak perasan dengan nama yang pelik itu ataupun sememangnya mak sudah mengetahuinya.

Sudah sejam aku duduk bersama mereka. Rancak betul perbualan mak dan Mak Long, maklumlah sudah lama sangat tidak bertemu. Banyak sangat perkara yang dibualkan. Bahkan kisah – kisah lama turut diungkit kembali sehingga membuatkan keduanya ketawa. Agaknya ada kisah lawak di sebalik peristiwa yang terjadi. Usai saja mengemas dapur selepas makan tengah hari, solat sama – sama, aku terus saja meminta kebenaran untuk keluar memandangkan aku sudah berjanji dengan Nana untuk ke kedai dobi hari ini. Sempat juga aku mempelawa Mak Long tidur saja di rumah kami memandangkan anak terunanya bekerja di luar daerah. Mak apa lagi, terus saja mengiyakannya. Namun sebaliknya Mak Long yang mengajak aku tidur di rumahnya untuk  menemaninya beberapa hari ini. Aku hanya mampu menyatakan bahawa suatu hari nanti aku akan bertandang ke situ juga. Nanti bolehlah aku berkenalan dengan sepupu tunggalku itu. Hyeon..... he... he... Terasa lawak tatkala aku menyebut sebaris nama itu. Menurut Mak Long usianya tua dua tahun dariku. Bermakna umurnya adalah 26 tahun. Automatik dia menjadi abang sepupuku.     

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku menarik nafas panjang. Perlahan – lahan kutolak daun pintu. Pandanganku terus tertumpu pada kaunter. Kosong. Tiada Puan Rosie atau Encik Mukhtahir di situ. Sedikit lega hatiku. Sekurang – kurangnya aku tidak terus dibom oleh Puan Rosie. Barangkali mereka berada di bilik pejabatnya. Kutoleh kiri kanan mencari kelibat Nana. Perlahan – lahan aku melangkah mendekati bahagian operasi kedai ini. Kelihatan semua sibuk dengan tugas masing – masing. Di satu sudut kelihatan Auntie Moi dan Auntie Mala sedang leka menseterika pakaian, linen dan fabrik  pelanggan. Ada beberapa bakul lagi yang masih menanti mereka. Raju dan Imba sibuk mengawasi mesin – mesin basuh yang sedang beroperasi. Cik Tinta nampak lincah saja meletak barang di rak dan menggantung pakaian untuk penghantaran dan pengambilan. Di sebelahnya kelihatan Cik Tutie, kembarnya sedang melipat – melipat baju yang tidak perlu digantung lantas memasukkannya ke dalam beg plastik.  

Barangkali Nana sedang memantau pekerja di bahagian cucian kering. Sudah semestinya dia sibuk menguruskan dan mengendalikan apa yang patut memandangkan sudah dua hari penuh hanya dia satu – satu supervisor yang bertugas. Aku sudah dua hari tidak kerja, kebetulan juga Hui Choi  sedang bercuti kahwin. Dia memang fokus di Bahagian Kewangan yang melibatkan pembelian bekalan dan kawalan stok operasi. Hui Choi yang berperanan menyediakan bajet dan mengenal pasti sumber – sumber kewangan serta mengawal kewangan perniagaan. Tugas Hui Choi terlalu berat dan penting. Tekanan juga hebat di bawah kawalan Puan Rosie.    

Betapa Clean N Friendly Laundry masih kekurangan pekerja. Sebenarnya premis ini mampu menggaji beberapa orang pekerja baru. Keuntungan tahunan perniagaan pun agak lumayan. Encik Mukhtahir memang berhajat menambah pekerja, tapi Puan Rosie menentang hebat kerana kedekut sangat hendak tambah modal bagi biayai gaji pekerja baru. Baginya ambil pekerja baru akan menyebabkan pekerja yang ada jadi malas sedangkan hakikat sebenar pekerja yang ada sekarang telah menggunakan tenaga mereka sepenuhnya.Tengok saja malang yang menimpaku. Gara – gara bahagian penghantaran tidak cukup pekerja menyebabkan aku yang terpaksa turut mengambilalih dan mencampuri tugas di situ. Tugas sebenar aku hanyalah mengendalikan bahagian pengurusan dan menyelia hal yang berkaitan dengan pekerja. Aku harus memastikan dan memeriksa pekerja menjalankan tugas dengan rapi, bersih dan berhati – hati demi keselamatan barang - barang milik pelanggan.

“Hish....., Lia.....” Ada suara berbisik memanggilku. Aku menoleh ke belakang. Nana melambai – lambaikan tangannya kepadaku. Dengan langkah yang cukup perlahan aku mendekatinya. Nana terus saja menarik tubuhku berselindung di sebalik kabinet besar ini.

“Ada bos dan Puan Rosie cari aku?” tanyaku mendahului Nana bersuara. Nana mengangguk.

“Aku nampak Puan Rosie ok je mood dia. Malah lebih happy dari hari biasa” cerita Nana.

“Betul ke?” soalku sangsi. Nana mengangguk lagi. Kasihan juga kalau sedikit masa lagi keceriaannya itu padam sebaik saja mendengar masalah yang bakal aku maklumkan kepadanya dan Encik Mukhtahir sekejap lagi.

“Apa yang buat dia happy sangat tu?” soalku terus. Nana angkat bahu. Mungkin semalam untung banyak. Puan Rosiekan suka wang. Wang boleh membahagiakan dirinya, malah wang juga adalah segala – galanya bagi Puan Rosie. Kita boleh membeli kemarahannya dengan wang.

“Lia, kat sini rupanya awak. Mari kejap”. Aku dan Nana tersentak mendengar suara Puan Rosie. Pantas saja kami mengalih pandangan menatap Puan Rosie yang sedang terpacak menanti kedatanganku. Kupandang Nana. Nana bagi isyarat agar aku kuatkan diri lalu meninggalkan aku untuk menyambung kerja kembali sebelum dituduh curi tulang oleh Puan Rosie. Terasa berat saja langkahku mendekatinya.

Tiba – tiba saja Puan Rosie menepuk – nepuk mesra bahuku sambil tersenyum lebar. Bagaikan aku bermimpi menyaksikan lagaknya ini. Berpura – purakah dia tika ini? Aku sangsi dan keliru.

“Puan Rosie, saya minta maaf, saya telah.....” bicaraku tergantung.

“Tak pe. Kita lupakan saja hal tu. Lagipun baju – baju tu dah ada kat sini. Lain kali jangan buat lagi” pantas saja dia memintas  bicaraku. Aku terkedu mendengar bicaranya sebegini. Aku seakan tidak percaya dengan tingkahlaku yang dipamerkannya. Betulkah Puan Rosie yang  bersamaku tika ini. Mengapa dia begitu baik denganku? Setahuku Puan Rosie langsung tidak boleh bertoleransi atas kesilapan yang dilakukan oleh pekerja – pekerja Clean N Friendly Laundry.

“Hari ni Lia boleh balik rehat. Esok baru datang kerja” tambahnya semakin membinggungkanku. Terlalu pelik sikapnya ini. Aku meninggalkan Puan Rosie dengan penuh pertanyaan. Betapa aku hairan melihat perubahan sikapnya itu. Tiba – tiba saja dia jadi terlalu baik dan bertimbang rasa. Sesuatu yang terlalu asing dan susah untuk diterima oleh akalku. Kucubit tangan kiriku. Terasa sakitnya sekaligus menyedarkanku bahawa aku tidak bermimpi. Memang betul Puan Rosie yang bersamaku tadi.

  “Ada sesiapa datang sini ketika aku tak de?” soalku kepada Nana. Nana cuba mengingati seketika.

“Tak silap aku kelmarin ada kereta Peugeot RCZ Sports Coupe parking depan dobi ni, tapi tak nampak pemiliknya. Agak lewat juga ler” cerita Nana.

“Kereta warna haria grey?” soalku lagi.

Nana mengangguk. Aku sudah dapat menjangka siapa gerangan yang datang ke sini. Kenapa pemuda itu tidak menelefonku sepertimana yang aku pesan kepadanya? Agaknya nombor telefonku itu telah hilang. Walau apapun aku rasa gembira kerana aku masih ada rezeki di Clean N Friendly Laundry. Dalam masa yang sama aku terhutang budi kepada pemuda itu. Wahai pemuda, terima kasih kerana telah bersusah – payah membantuku! Aku pasti tidak akan melupakan jasa awak yang terlalu bernilai itu.

Aku singgah sebentar di KFC untuk membeli satu set menu untuk hidangan tengah hari. Kemudian terus saja aku menunggang motor cabuk kesayanganku ke destinasi yang dituju. Seminit dua aku terpacak mendongak bangunan kaca yang berdiri megah setanding kemasyhuran yang dikecapi oleh manusia yang berteduh di bawahnya. Baru saja aku hendak melangkah memasuki pintu utama, langkahku tiba – tiba saja terhenti. Pantas kukeluarkan tag kebenaran dari beg sandangku lalu kugantung ke leherku. Pengawal keselamatan yang bertugas di muka pintu hanya mengangkat tangan kepadaku. Tag kebenaran ini benar – benar menjamin kebebasan pergerakanku di bangunan ini. Mujur juga aku tidak membuangnya ke dalam tong sampah kerana aku ingat kelmarin adalah hari terakhir aku menjejakkan kaki ke sini. Gerak hati pemuda itu memang tepat. Rupanya aku kembali ke sini lagi.

Kuketuk beberapa kali pintu bilik pejabat itu. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan. Kupulas tembol pintu. Sedikit kujengukkan kepalaku, mengintai di sebalik daun pintu. Tiada sesiapa yang berada di sini. Pantas saja aku melangkah masuk lalu meletakkan set hidangan tengah hari yang kubeli di KFC di atas meja itu. Kukeluarkan sekeping kertas dari beg sandangku lalu mencoret sesuatu di situ. Usai saja menulis, terus saja kuletakkan di bawah kotak KFC dengan sedikit terlunjur keluar agar mata pemuda itu dapat mengesannya. Kemudian aku terus saja keluar dari bilik ini sekaligus meninggalkan bangunan ini dengan perasaan senang hati kerana masalahku sudah selesai dan tidak perlu lagi aku memikirkan cara terbaik untuk memaklumkan kepada mak yang aku sudah jadi penganggur.

Tatkala dia melangkah masuk ke bilik itu, langkahnya terus saja mati. Anak matanya menatap kotak yang berada di mejanya. Pantas saja didekatinya.  .Sekeping kertas ditemuinya lalu dibaca.
 
~TQ kerana telah menolong saya. Awak betul – betul seorang yang baik hati. Hari ni saya belanja awak makan tengah hari. Selamat menjamu selera ~
                                                            Nur Dahlia binti Sallehudin


Mulutnya terkumat – kamit membaca mesej tulisan tangan pada kertas itu. Dia tersenyum sendiri. Tanpa buang masa terus saja dia menikmati set menu KFC yang masih panas itu dengan begitu berselera. Akhirnya hilang juga rasa lapar yang menyerangnya sekejap tadi. 


1 comment: