Saturday 19 January 2013

NamaKu Bukan Flora.....39




BAB 39

Kupandang taman ini. Sudah sekian lama aku tidak berkunjung ke sini. Sejak aku berpisah dengan Haqem, aku tidak pernah menjejakkan kaki ke sini lagi. Kupandang bangku kayu yang masih kukuh di situ. Aku nampak sepasang kekasih sedang leka memadu kasih asmara di situ. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling. Ada sesuatu yang ingin aku cari. Aku terpandang pada tugu peringatan itu. Lama.

“Anggaplah ini tugu peringatan cinta kita. Cinta teragung dan abadi setanding cinta Shah Jahan dengan Mumtaz. Ketahui olehmu Cik Nur Dahlia binti Sallehudin bahawasanya saya mencintai awak sepenuh jiwa saya...” Aku dan Haqem beradu pandangan. Sinar kasih terpancar di ruang mata masing – masing. Aku tersenyum bahagia mendengar bicara romantis Haqem ini. Sungguh bahagia kurasakan. Hatiku berbunga – bunga. Indahnya perasaan ini.

“Saya juga cintakan awak sepenuh jiwa saya” balasku meluahkan isi hatiku. Haqem tersenyum lebar. Aku memejamkan mataku seketika. Cuba melenyapkan semua itu singgah di memoriku, lantas berpaling kepada Haqem.

“Mengapa awak bawa saya datang ke sini?” soalku tidak senang hati. Haqem menatapku. Seketika aku dan Haqem saling beradu pandangan.

“Hanya taman ini yang ada dalam fikiran saya untuk bersama awak tika ini” tutur Haqem tenang. Aku melepaskan keluhan beratku.

“Saya tidak suka taman ini” luahku. Haqem mendiamkan diri. Aku tidak mahu mengimbau kenangan yang terpahat di sini.

“Awak masih ingat pada tugu peringatan itu?” soal Haqem sambil menatapku. Aku mengangguk dan tersenyum sinis.

“Sekarang baru saya mengerti mengapa awak berbicara sedemikian. Rupanya awak sudah menjangka kita akan berpisah akhirnya sebab itu awak jadikan tugu itu sebagai tugu peringatan cinta kita” tuturku tenang. Simbolik perpisahan. Sesuatu yang menjadi kenangan.

“Bukan seperti itu, Lia” tingkah Haqem tidak bersetuju dengan bicaraku. Aku tersenyum sendiri. Haqem masih mahu menafikannya.

“Saya tidak mahu mengungkit kisah lalu itu” ujarku serius.

“Kita balik ke pejabat sekarang” ajakku mahu segera meninggalkan tempat ini.

“Kita tunggu sekejap di sini” balas Haqem.

“Tunggu apa?” soalku bingung. Haqem menatapku.

“Saya tidak mahu mama dan Bella menemui awak di KDUT” jelas Haqem membuatkan aku terdiam panjang. Rupanya perempuan di sebelah Bella tadi adalah Datin Sofea, mama Haqem. Aku tersenyum sendiri. Sehingga ke saat ini Haqem tidak mampu berhadapan dengan Datin Sofea. Jelasnya Haqem tidak berdaya mempertahankan kehendak hatinya.

“Saya tidak mahu mama dan Bella sakiti awak, Lia” tutur Haqem serius.

“Awak larikan saya dari KDUT semata – mata untuk mengelakkan mama dan tunang awak menemui saya?” soalku. Haqem mengangguk.

“Saya tidak takut untuk bersemuka dengan mereka” tuturku.

“Jangan. Mereka akan sakiti awak” tegah Haqem. Aku geleng – geleng kepala.

“Tiada sebab untuk mereka menyakiti saya. Saya sudah tiada apa – apa hubungan dengan awak, malah saya sudah menjadi milik Aqel” tegasku.

“Awak mahu saya percaya pada bicara awak itu? Sampai bila awak mahu berbohong kepada saya, Lia?” soal Haqem menyentakkanku.

“Apa maksud awak?” soalku.

“Saya tidak percaya awak bercinta dengan Aqel. Apatah lagi menjadi tunangnya” tegas Haqem mengejutkanku.

“Saya tidak faham apa yang awak cakap ini” bidasku.

“Awak pernah cakap kepada saya yang Aqel tidak kisah kalau awak keluar bersama saya. Saya sudah faham sekarang mengapa awak bercakap sedemikian” tutur Haqem.

“Aqel yang beritahu awak?” soalku. Haqem tidak menunjukkan reaksinya terhadap persoalanku. Dia tidak mengangguk mengiyakan mahupun menggeleng menafikannya. Haqem hanya menatapku.

“Saya tidak pernah tinggalkan awak dengan kerelaan hati saya” tutur Haqem mula membicarakan tentang hubungan yang pernah terjalin antara aku dengan dirinya.

“Cukup! Saya tidak mahu kisah lalu itu diungkit” tegahku.

“Tolong dengar untuk seketika, Lia” pinta Haqem. Serta merta aku teringat pada bicara Aqel yang mahukan aku berbicara dengan Haqem.

“Sehingga ke hari ini saya masih mencintai awak sepenuh hati saya. Di sini pertemuan pertama kita dan saya harap di taman ini juga akan mempertemukan kita kembali” tutur Haqem tanpa berselindung. Membengkak hatiku mendengar bicara Haqem ini. Langsung tiada perasaan segan dengan apa yang telah dilakukannya kepadaku selama ini. Setelah menghancur leburkan perasaanku, dia masih mampu mengeluarkan kata – kata indah sedemikian. Haqem memang lelaki bermuka tembok.

“Jangan bermimpi di siang hari, Haqem” tuturku sinis, malah memperlekehkan harapannya itu.

“Awak harus dengar dahulu apa yang saya mahu katakan ini” pinta Haqem.

“Silakan....” tuturku tersenyum sinis menatapnya.

“Maafkan saya sebab awak gagal menamatkan pengajian awak di universiti. Kalau saya tahu perkara ini tetap berlaku, sudah pasti saya akan memilih untuk terus bersama awak” tutur Haqem serius. Kupandang Haqem. Sungguh aku tidak mengerti maksud bicara Haqem ini.

“Saya tinggalkan awak sebab saya tidak mahu mama memusnahkan masa depan awak. Mama pernah berjanji akan membiarkan awak menamatkan pengajian andai saya tidak bersama awak lagi” tutur Haqem. Aku terdiam dan terkedu mendengar butir – butir bicara Haqem ini.

“Saya tahu mama mampu lakukan apa sahaja demi mencapai impiannya. Saya tiada pilihan waktu itu. Saya tidak sanggup melihat orang yang saya sayangi disakiti oleh mama. Maka saya pilih untuk menjalani hidup yang tidak membahagiakan dengan harapan awak akan hidup lebih baik daripada saya” tutur Haqem sayu. Aku terdiam panjang. Hatiku terusik tika ini.

“Mengapa ketika itu awak tidak berterus terang dengan saya?” soalku mula bersuara.

“Itu kesilapan terbesar yang saya lakukan kepada awak. Saya tinggalkan awak dengan cara demikian dengan harapan awak akan rasa tercabar, maka hidup awak akan lebih baik lagi. Namun saya silap” keluh Haqem menundukkan kepalanya. Senyap.

“Untuk apa kita membicarakan perkara ini lagi sedangkan semuanya telah berlaku” tuturku reda dengan ketentuan Ilahi. Semua ini sudah qada dan qadar Allah untukku.

“Lia, kita mulakan hidup baru” tutur Haqem. Kupandang Haqem. Aku menggeleng – geleng. Permintaan Haqem terlalu berat. Tidak pernah terlintas dalam fikiranku perkara ini.

“Saya tidak boleh jadi teman hidup awak dan sebahagian ahli keluarga awak, sedangkan Datin Sofea tidak pernah menerima saya. Saya tidak mahu hidup dalam kebencian orang lain” tegasku sekali gus menyedarkan Haqem bahawa  aku dan dirinya tidak mungkin dapat bersama lagi. Datin Sofea sudah memilih calon isteri terbaik untuk Haqem.

“Saya akan pujuk mama agar menerima awak. Saya yakin semua ibu di dunia ini mahukan kebahagiaan anak – anak mereka” tutur Haqem. Aku menggeleng lagi.

“Saya mahu meneruskan kehidupan yang saya miliki sekarang” tegasku.

“Saya perlukan awak, Lia” tutur Haqem merayuku.

“Tidak, Haqem” tingkahku.

“Saya tidak akan berputus asa untuk mendapatkan awak kembali” tutur Haqem nekad.

“Cukup Haqem!” tegasku.

“Kita boleh hidup bersama walaupun tanpa restu mama saya. Saya mampu untuk menyara hidup awak” tutur Haqem lagi.

“Tetapi saya tidak mahu hidup tanpa restu keluarga. Saya tidak mahu hidup bahagia hanya seketika” tuturku cuba menyedarkan Haqem betapa pentingnya restu seorang ibu demi menjamin kebahagiaan yang berkekalan. Kedengaran Haqem melepaskan keluhan beratnya. Wajahnya nampak sugul.


“Saya juga tidak boleh kehilangan awak lagi, Lia. Saya hidup terseksa tanpa awak” keluh Haqem. Bebola mata Haqem berkaca – kaca.

“Awak tidak tahu betapa pentingnya awak kepada saya” tutur Haqem menyentuh hatiku. Aku geleng kepala.

“Mengapa?” soal Haqem.

“Saya sudah biasa hidup tanpa awak setelah melalui saat yang begitu sukar kerana perpisahan kita dahulu. Saya tidak sanggup melalui semua itu lagi” luahku.

“Saya janji tidak akan membuatkan awak terseksa lagi. Saya tidak akan tinggalkan awak” tegas Haqem.

“Maafkan saya, Haqem” tuturku sayu. Setitis air mata gugur di pipiku. Laju tanganku mengesatnya. Terasa getaran telefon bimbitku. Aku terus sahaja menguak beg galasku. Kucapai telefon bimbitku yang masih dalam mod senyap. Di dada skrin terpamer nama Aqel. Belum sempat aku menjawabnya, panggilan itu terputus. Setelah aku menyemaknya, ada sepuluh panggilan tidak dijawab. Ternyata kesemua panggilan itu daripada Aqel.

“Aqel yang telefonkah?” soal Haqem sambil menatapku. Aku mengangguk. Kini Haqem sudah mengetahui status hubunganku dengan Aqel. Skrin telefonku menyala – nyala lagi. Laju tanganku menekan punat menerima panggilan ini.

“Aqel.... ambil saya di Taman Perwira sekarang juga” pintaku.

“Tunggu di sana sehingga saya sampai” arahnya.

“Terima kasih, Aqel. Assalamualaikum....” Perbualan pendekku dengan Aqel terhenti di sini sahaja. Aku berpaling menatap Haqem yang kelihatan sugul ini.

“Tidak payah suruh Aqel datang sini. Biar saya yang hantar awak balik” ujar Haqem.

“Tidak apa, sekejap lagi Aqel sampai” tuturku menolak secara baik permintaan Haqem itu. Detik menunggu ketibaan Aqel, aku dan Haqem masing – masing melayan perasaan sendiri.

Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe, melncur laju lalu berhenti di hadapan kereta Haqem. Aku berpaling menatap Haqem.

“Saya pergi dulu” tuturku lalu menolak daun pintu kereta. Aku bangkit dari dudukku.

“Lia, tolong fikirkan kata – kata saya tadi” pinta Haqem menahan langkahku.

“Maafkan saya, Haqem” tuturku tanpa sempat menatap wajah Haqem lagi. Aku terus mengatur langkahku ke arah Aqel. Laju sahaja aku menyelinap masuk ke dalam kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini.

“Flora, banyak kali saya telefon awak tadi, mengapa tidak angkat?” soal Aqel dengan suara yang tinggi. Pandangan Aqel serius menatapku.

“Maafkan saya. Telefon saya masih dalam mod senyap tadi” jelasku. Aku menundukkan wajahku. Senyap.

“Mengapa dengan awak?” soal Aqel. Aku menggeleng lantas melarikan wajahku daripada pandangan Aqel. Air mataku sudah berderai di pipi. Aku mula menangis teresak – esak.

“Flora, mengapa?” soal Aqel cemas.

“Kita pergi sekarang. Saya tidak mahu Haqem melihat saya menangis” tuturku dalam esakan. Aqel terus sahaja memandu Peugeot RCZ Sports Coupe ini beredar meninggalkan Taman Perwira sekali gus meninggalkan Haqem yang belum mahu berganjak dari situ. Sepanjang perjalanan  aku menangis teresak – esak melempiaskan rasa sesalku tanpa menghiraukan kewujudan Aqel bersamaku tika ini. Bertahun – tahun aku menyalahkan Haqem sehingga menimbulkan kebencian yang menggunung kepada dirinya. Aku salahkan diri Haqem sepenuhnya. Rupa – rupanya Haqem meninggalkan aku demi melindungi diriku.

Sesekali Aqel melirik ke arah gadis itu. Dia membisukan dirinya. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Cuba memujuk melenyapkan tangisan gadis ini, namun tidak tahu hendak memulakannya. Akhirnya Aqel hanya mampu membiarkan gadis ini menangis sepuas – puas hatinya sehinggalah tiada lagi air mata yang keluar.

“Awak sudah puas menangis?” soal Aqel menatapku. Aku mengangguk. Lega rasanya. Aqel terus sahaja menghulurkan beberapa helai tisu kepadaku. Kutatap wajah Aqel.

“Lap air mata awak itu” arahnya. Aku patuh sahaja pada bicara Aqel. Kukesat sisa – sisa air mata di pipi dan birai mataku.

“Boleh awak hantar saya balik ke rumah, mak?” soalku kepada Aqel. Aqel menatapku seketika. Nampak berat hati sahaja Aqel hendak memenuhi permintaanku ini.

“Saya hendak berehat sekejap di sana. Saya tidak mahu Mak Long tengok keadaan saya sekarang. Saya akan balik ke Pujangga Highlands setelah saya rasa tenang” tuturku.

“Betul awak tidak bermalam di rumah awak?” soal Aqel. Aku mengangguk.

“Kalau begitu, baiklah saya akan hantar awak ke sana” tutur Aqel bersetuju untuk memenuhi permintaanku. Aku menarik nafas lega.

“Terima kasih, Aqel” tuturku terhutang budi. Aqel tersenyum. Aku dan Aqel kembali diam. Sehinggalah sampai di perkarangan rumah mak, aku dan Aqel masih tidak bersuara. Sekarang baru aku terasa segan kepada Aqel tatkala mengingati gelagatku sepanjang perjalanan tadi. Tidak tahu apa tanggapan Aqel melihat aku menangis teresak – esak tadi.

“Jangan lupa balik rumah nanti. Telefon saya, biar saya yang jemput awak nanti” pesan Aqel. Aku hanya mengangguk. Bercanggah dengan kata hatiku. Aku akan meminta teksi menghantar aku ke rumah Mak Long. Tidak mahu menyusahkan Aqel lagi.

“Kalau Mak Long tanya ....”

“Tidak payah risau. Nanti pandai – pandailah saya cakap kepada mama” tutur Aqel memintas bicaraku. Aqel tersenyum lagi.

“Terima kasih, Aqel” ujarku untuk sekian kalinya.

“Pergilah masuk berehat...” arahnya. Aku mengangguk.

“Jangan lupa balik nanti, tahu” ujar Aqel mengingatkan aku lagi. Aku hanya tersenyum. Pasti aku akan mengotakan janjiku. Namun tidak mahu Aqel yang menjemputku.

“Awak baliklah sekarang” arahku tatkala melihat Aqel masih terpacak di depan rumah mak ini. Senyuman semanis madu itu dipamerkan lagi kepadaku.

“Saya akan balik selepas awak masuk” sahut Aqel mahu memastikan aku masuk ke dalam rumah dengan selamat. Aku tersenyum.  

“Mengapa? Awak risau saya melarikan dirikah?” soalku bergurau.

“Saya hendak pastikan keselamatan awak” tutur Aqel buat aku terkedu. Walaupun banyak masanya Aqel kurang menyenangkan aku, namun aku tidak mahu menafikan banyak juga kebaikan Aqel yang kuterima. Aku tersenyum lagi.

“Saya masuk sekarang. Selepas ini awak baliklah ke rumah nanti tertunggu – tunggu pula Mak Long” ujarku mengingatkan Aqel. Aqel mengangguk. Kutinggalkan Aqel yang sedang memerhatikan langkahku. Ketika aku berpaling menutup pintu rumah, Aqel masih terpacak di depan pintu pagar rumah ini. Dia tersenyum sambil melambaikan tangannya kepadaku. Kemudian terus sahaja menyelinap masuk ke dalam keretanya. Kelibat Aqel sudah tidak kelihatan lagi. Aku terus sahaja menutup pintu lalu menguncinya. Kutekan suis lampu. Aku menjatuhkan tubuhku di sofa panjang di ruang tamu ini. Mula terlentang terbaring di sini. Kupejamkan mataku. Aku cuba melenyapkan bicara Haqem yang sentiasa kedengaran di telingaku. Masih kedengaran suara Haqem. Lantas kutekap kedua – dua telapak tangan ke telingaku.

Aqel masih berfikir. Baru sahaja separuh perjalanannya, Peugeot RCZ Sports Coupe tiba – tiba sahaja berpusing. Aqel berpatah balik ke rumah itu, lalu meletakkan keretanya tepat – tepat di hadapan rumah itu. Dilontarnya pandangan ke situ. Nampak rumah itu sudah terang benderang. Aqel merebahkan kerusi itu lantas berbaring di dalam keretanya. Dia sudah membuat keputusan akan berada di situ sehinggalah gadis itu sudah tenang dan mahu kembali ke rumah mereka seperti yang telah dijanjikan gadis itu sebentar tadi. Dikeluarkan telefon bimbitnya lalu membuat satu panggilan.

“Assalamualaikum mama. Hari ini Hyeon dan Lia balik lewat sedikit. Ada kerja yang perlu disiapkan segera” tutur Aqel menyusun bicara.

“Kamu berdua sudah makankah?” soal Puan Helda bimbang.

“Mama tidak payah risau. Jikalau lapar nanti kami pergilah cari makanan di restoran – restoran yang berdekatan di sini” tutur Aqel melenyapkan kebimbangan Puan Helda.

“Baguslah begitu. Jangan balik lewat sangat” pesan Puan Helda.

“Baiklah mama” sahut Aqel

“Balik rumah nanti pandu kereta hati – hati” pesan Puan Helda lagi.

“Ya mama” sahut Aqel berjanji.

“Assalamualaikum” Aqel terus sahaja menamatkan perbualan singkatnya dengan Puan Helda. Aqel bangkit daripada perbaringannya, lalu melontar pandangan ke rumah itu lagi. Tampak tenang sahaja. Tiada perkara yang membimbangkannya. Dia kembali merebahkan tubuhnya, beristirehat di dalam kereta untuk seketika.

~ Ya Allah... hamba-Mu ini sungguh lemah. Sungguh aku rasa bersalah sangat tika ini kerana menyalahkan Haqem atas perkara yang menimpaku dalam masa yang panjang. Aku menuduh Haqem, betapa kejamnya diri ini. Kemudian mencanang kekejaman Haqem itu kepada mak dan Nana sehingga membuatkan mereka berprasangka yang tidak elok kepada Haqem. Ya Allah, ampunkanlah dosaku. Aku sedar ya Allah, sesungguhnya aku perlu memohon kemaafan kepada Haqem. Namun aku juga perlukah petunjuk dan bimbangan-Mu ya Allah, Tuhan semesta alam Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa. Amin ~

Aku meraup kedua belah tanganku ke muka. Kali ini panjang doa yang kupanjatkan kepada Yang Maha Esa. Kulipat sejadah yang terbentang di depanku lantas kutanggalkan telengkung di tubuhku. Terasa damai setelah usai meluahkan perasaanku kepada Ilahi. Aku membaringkan seketika diriku di tilam sambil memandang di sekeliling bilik ini. Betapa aku merindui untuk berada di sini. Sungguh selesa berada di bilik sendiri. Tidak lama lagi aku akan kembali ke rumah ini, maka bolehlah aku bersenang – lenang di katil ini lagi. Apabila teringat janjiku kepada Aqel, aku bingkas sahaja bangkit daripada perbaringanku. Mula bergegas menyiapkan diri. Kuteliti wajahku di cermin. Cuba mempastikan wajahku tidak akan menimbulkan persoalan dalam diri Mak Long ketika beradu pandangan denganku nanti. Aku melewati ruang tamu. Kucapai beg galasku yang terletak di sofa, lantas melangkah ke muka pintu. Aku melangkah keluar. Kukunci daun pintu. Mungkin teksi yang kupesan menjemputku di sini dalam perjalanan sekarang. Aku melangkah ke pintu pagar. Kukunci pintu pagar. Aku berpaling dan terkejut tatkala terpandang Peugeot RCZ Sports Coupe, kereta milik Haqem berada di sini. Segera aku mendekati kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini. Tersentak tatkala melihat Aqel sedang tidur lena. Di sebalik tingkap cermin  ini aku sempat memerhatikan wajah anak muda Mak Long ini. Memang berasas juga ketaksuban Rania terhadap Aqel. Wajah Aqel begitu sempurna. Sesiapa sahaja boleh jatuh cinta kepada Aqel. Setiap mata yang memandang Aqel pasti akan memuji betapa kacaknya anak muda Mak Long ini.

Beberapa minit aku memerhatikan wajah Aqel yang sedang lena ini. Kasihan pula melihat keadaannya begini. Aku yakin Aqel tidak berganjak dari sini sejak tadi. Dia tidak akan tenang membiarkan aku bersendirian. Mungkin Aqel beranggapan aku akan mencederakan diriku sendiri. Namun yang pasti, Aqel sudah puas menyaksikan deraian air mataku. Aku sudah biasa menangis di depan Aqel. Pasti Aqel keletihan sangat sekarang. Tentu dia tidak selesa tidur dalam keadaan begini. Aku tidak sampai hati membiarkan Aqel dalam keadaan begini. Terus sahaja jari jemariku mengetuk tingkap cermin ini. Nampak Aqel tersentak lalu membuka matanya. Terkejut juga Aqel tatkala terpandang aku. Bingkas dia bangun, lalu mengembalikan kerusi keretanya pada kedudukan asalnya. Daun pintu ditolak.

“Masuklah ke dalam kereta sekarang” arah Aqel sambil menutup mulutnya yang sedang menguap. Aku menggeleng.

“Awak tidak mahu balikkah?” soal Aqel terkebil – kebil menatapku.

“Bukan begitu. Saya sudah telefon teksi tadi” jelasku.

“Masuklah ke dalam kereta dahulu. Kita sama – sama tunggu teksi datang sini” tutur Aqel. Aku patuh sahaja pada arahan Aqel.

“Bagaimana awak sekarang?” soal Aqel sambil menatapku.

“Baik” sahutku.

“Risau juga melihat keadaan awak tadi” tutur Aqel. Aku tersenyum sekilas.

“Marnie telefon saya tadi, dia beritahu saya awak dalam bahaya” cerita Aqel. Patutlah Aqel banyak kali menelefonku tadi. Dia juga setia menemaniku dari kejauhan. Rasanya Aqel juga sudah dapat meneka punca keadaanku sebegini. Apatah lagi mata Aqel menyaksikan sendiri aku bersama Haqem ketika dia datang menjemputku tadi. Namun sehingga ke saat ini Aqel langsung tidak meminta penjelasanku tentang perkara yang telah berlaku. Mungkin Aqel cukup berhati – hati, risau jikalau aku tersinggung.

“Teksi sudah sampai” tuturku lantas menolak pintu kereta.

“Awak tunggu di sini, biar saya jumpa pemandu teksi itu” tutur Aqel menghalang langkahku. Terkebil – kebil aku menatap Aqel yang sudah melangkah ke arah pemuda teksi itu. Aku nampak Aqel berbual – bual dengan pemuda itu. Kemudian Aqel mengeluarkan dompet daripada saku seluarnya. Aqel menghulurkan wang kertas kepada lelaki itu. Barangkali Aqel sedang membayar kos perjalanan teksi itu ke sini. Memang patut pun Aqel berbuat demikian. Sepatutnya Aqel memaklumkan kepadaku yang dia akan balik bersamaku dan sanggup menungguku. Maka tidak perlulah aku menghubungi teksi tadi. Namun persoalan lain pula yang timbul. Betulkah aku dengan mudah akan bersetuju dengan pelawaan Aqel? Bukankah aku memang sudah merancang untuk balik sendiri tanpa mahu menyusahkan Aqel. Aqel kembali ke kereta ini. Kulihat teksi itu mula bergerak meninggalkan kawasan ini.

“Terasa lapar pula. Kita balik sekarang” tutur Aqel. Aku mengangguk. Aqel terus sahaja menghidupkan enjin keretanya. Peugeot RCZ Sports Coupe ini meluncur laju di dada jalan. Rasa seronok tatkala Aqel membuka bumbung kereta ini buat pertama kali ketika aku bersamanya. Suatu pengalaman baru buatku. Ada juga untungnya bersaudara dengan Aqel. Setibanya di banglo ini, Mak Long menyambut kedatangan kami. Tanpa sebarang curiga, Mak Long mengarahkan aku dan Aqel makan. Tidak tahu apa yang telah Aqel katakan kepada Mak Long dalam perbualan mereka tadi. Aku akur sahaja. Aqel mendahului langkahku ke dapur. Nampak memang dia tidak mahu melengahkan masa lagi. Makannya pun begitu berselera. Pasti dia sedang kelaparan sangat sekarang. Timbul rasa kasihanku kepada Aqel. Andai aku tidak membuatkan Aqel risau tadi, pasti dia tidak akan kelaparan sebegini. Secara tidak langsung aku telah menderanya.

Usai makan, aku membasuh pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Aqel sudah bergerak ke biliknya. Kemudian aku pun melangkah ke bilik. Mandi dan solat Maghrib, seterusnya menanti waktu solat Isyak. Hampir – hampir jam mencecah ke pukul 10.00 malam, aku keluar bilik bergerak ke ruang tamu. Sempat bertegur sapa dengan Mak Long sebelum Mak Long melangkah ke bilik untuk tidur. Maka bersendirianlah aku di depan kaca tv ini. Malam ini merupakan episod terakhir Merlin Musim 5. Teruja aku hendak mengetahui penyudah kisah magik ini. Dalam aku leka menonton babak siri drama Merlin ini, Aqel muncul lalu melabuhkan duduknya di sofa turut sama menonton drama ini. Kemunculan Aqel di sini langsung tidak kuendahkan. Aku memang memberi tumpuan sepenuhnya kepada watak Merlin dan Arthur. Episod akhir ini memang lebih banyak menumpukan pada dua watak utama ini. Melihat air mata Merlin ketika dia berterus terang kepada Arthur tentang dirinya, aku turut merasa sebak. Hatiku kian pilu tatkala menyaksikan kesungguhan Merlin cuba menyelamatkan Arthur. Betapa hubungan persahabatan Merlin dan Arthur terlalu istimewa. Akhirnya air mataku menitis tatkala Arthur menghembuskan nafas terakhirnya. Aku dan Merlin bersatu dalam tangisan. Penyudah kisah yang tidak menggembirakan aku. Mungkinkah ada lagi Merlin Musim 6 yang memunculkan Arthur seperti yang dikatakan oleh naga sakti itu.

“Awak menangis” tegur Aqel sambil menatapku. Laju sahaja aku mengelap sisa – sisa air mataku. Aku tersenyum.

“Saya tidak mahu Arthur mati” luahku beremosi. Aqel tersenyum lagi.

“Percayalah Arthur akan kembali lagi” tutur Aqel yakin.

“Bagaimana awak tahu?” soalku.

“Bukankah naga itu kata suatu hari nanti Arthur akan muncul semula” tutur Aqel mengulas kata – kata naga sakti itu. Aku terdiam. Andai muncul Merlin Musim 6, pasti kisah yang berlaku sudah memasuki zaman moden. Tidak dapat aku bayangkan jalan cerita seterusnya. Harap – harap Arthur dan Merlin akan bersama lagi.

“Saya mahu kita jadi seperti Merlin dan Arthur” tutur Aqel. Kupandang Aqel. Kurang jelas bicaranya itu. Apa sebenarnya hajat hati Aqel?

“Saya hendak menjadi kawan baik awak” pinta Aqel mengejutkan aku.

“Kawan baik?” soalku semula. Aqel mengangguk.

“Ya kawan baik yang saling melindungi antara satu sama lain seperti Merlin dan Arthur” tutur Aqel. Kupandang wajah Aqel lagi. Terharu aku mendengar bicara Aqel ini.

“Awak tidak akan menyesal menjadi kawan baik saya?” soalku. Aqel mengangguk.

“Mengapa awak tiba – tiba mahu menjadi kawan baik saya?” soalku lagi.

“Agar kita tidak perlu berahsia antara satu sama lain” sahut Aqel buat aku terdiam. Banyak sangatkah perkara yang ingin Aqel ketahui tentang aku?

“Awak ada apa – apa pertanyakah?” soalku. Aqel menggeleng.

“Boleh saya tanya awak?” soalku.

“Tanyalah” sahut Aqel.

“Mengapa awak berpisah dengan Rania?” soalku. Sudah sekian lama aku ingin mengajukan soalan ini kepada Aqel. Aku yang sentiasa beranggapan Aqel seorang yang kejam, seringkali pula menerima kebaikan Aqel. Manakala menganggap Rania sebagai mangsa yang senasib denganku, namun banyak kali Rania bertindak kejam kepadaku. Aku jadi keliru. Sungguh aku tidak mahu mengulangi kesilapanku seperti tanggapanku terhadap Haqem selama ini.

“Saya tidak akan jawab soalan ini” tutur Aqel. Aku tersenyum.

“Ternyata awak belum bersedia untuk menjadi kawan baik saya” ujarku tersenyum sinis kepada Aqel. Bingkas aku bangun. Aqel terpinga – pinga menatapku.

“Selamat malam, Aqel” ujarku lantas meninggalkan Aqel yang termangu – mangu memerhatikan langkahku meninggalkannya bersendirian di ruang tamu. Pasti benak Aqel sedang memikirkan bicaraku. Barangkali Aqel masih mahu melindungi dirinya menyebabkan dia tidak mampu menjawab pertanyaanku itu.

HAQEM melangkah longlai memasuki banglo itu. Ditatapnya jam di tangannya. Hampir – hampir mencecah ke pukul 12.00 tengah malam. Lama dia berada di Taman Perwira itu mengimbau kenangan lalu. Namun tidak disangka dirinya boleh pula tertidur di situ.

“Haqem....!” suara garang Datin Sofea melaung namanya. Haqem berpaling ke arah Datin Sofea yang sedang mengatur langkah mendekatinya dengan wajah yang menyinga. Tiba – tiba sahaja tangan Datin Sofea singgah di pipi Aqel. Muka Aqel terpaling seketika.

“Berani kamu buat begini kepada mama...!” pekik Datin Sofea meluahkan rasa marah yang ditahan – tahannya sejak siang tadi. Haqem hanya mendiamkan diri. Pipinya merah merona akibat sentuhan kasar tangan Datin Sofea.

“Esok kamu jumpa Bella. Minta maaf kepada Bella dan pujuk dia” arah Datin Sofea. Haqem memberanikan dirinya melawan pandangan Datin Sofea. Dia menggeleng.

“Maafkan Qem, mama. Qem tidak mampu melakukan semua itu” sahutnya.

“Apa!” Besar anak mata Datin Sofea menatap Haqem. Sungguh tidak dijangkanya Haqem akan berani berbicara sedemikian kepada dirinya.

“Kamu tidak mahu jumpa Bella? Kamu tidak mahu pujuk Bella?” soal Datin Sofea bertalu – talu. Haqem mengangguk. Tajam pandangan Datin Sofea menatap Haqem.

“Maaf mama, Qem mahu berehat di bilik sekarang” tutur Haqem lalu melangkah meninggalkan Datin Sofea terpinga – pinga di situ. Sukar untuk Datin Sofea percaya melihat perubahan drastik tingkahlaku anak mudanya itu. Haqem sudah berani membantah bicaranya. Perubahan yang tidak dapat diterimanya. Hati Datin Sofea tidak tenang.

“Saya tidak akan biarkan gadis itu bersama Haqem” tutur Datin Sofea berbicara sendiri. 


2 comments:

  1. Hi Permata Nilam,

    Rasanya dlm cerita ni, Lia kena buat keputusan yg bijak untuk menyelamatkan dirinya drpd Mama Haqem & Bella..... Hehehe!! Hope hear u soon....

    ReplyDelete