Thursday 17 January 2013

NamaKu Bukan Flora....38




BAB 38

Sekumpulan perempuan yang baru sahaja melewatiku berbisik – bisik sambil menjeling – jeling ke arahku. Bagaikan mereka sedang membicarakan tentang diriku. Tatkala aku melangkah ke ruang lobi masih ada mata yang melontar pandangan sinis ke arahku. Aku jadi tertanya – tanya dengan situasi di sekelilingku. Persis ada kesalahan berat yang telah aku lakukan. Malahan ketika aku menapak masuk ke Kafeteria Chantek ini masih ada pandangan mata yang tampak kurang senang mengekoriku. Aku jadi keliru dengan situasi ini. Namun akhirnya dengan hati berat aku paksa diri agar tidak menghiraukan jelingan dan bisikan – bisikan sinis yang jelasnya dilontar kepadaku.

“Assalamualaikum.... Pesanan?” soal Zamri tersenyum.

“Saya hendak dua nasi kosong dan tom yam campur. Air jus epal hijau ya” pintaku. Zamri mengangguk lalu mencatat dalam buku kecil itu.

“Itu saja?” soal Zamri lagi. Aku mengangguk. Hendak pesan air minuman untuk Marnie, namun aku tidak mengetahui minuman kegemarannya.

“Cuba awak tengok saya betul – betul, ada yang pelikkah?” soalku meminta pendapat Zamri. Zamri menatapku seketika. Kemudian dia geleng kepala.

“Yang saya tengok Cik Lia bertambah cantik” tutur Zamri bercanda mengusikku.
“Hey.... awak ini! Saya cakap serius tahu” tuturku geram. Zamri tersenyum lagi.

“Pedulikan pandangan mereka Cik Lia. Mereka itu sebenarnya iri hati dengan Cik Lia” tutur Zamri buat aku bertambah hairan.

“Iri hati dengan saya? Apa yang saya ada sehingga mereka berperasaan sedemikian? Hey... rasanya tidaklah” tingkahku tidak bersetuju dengan bicara Zamri.

“Mereka cemburu sebab Cik Lia ada tunang dan kawan lelaki yang hebat” tutur Zamri mengarah fikiranku kepada Aqel dan Haqem.

“Saya pergi dahulu Cik Lia. Sebentar lagi pesanan Cik Lia akan dihidangkan” tutur Zamri mengejutkan aku. Zamri sudah beredar meninggalkan aku. Aku kembali memikirkan bicara Zamri sebentar tadi. Serta – merta aku teringat pada ugutan yang pernah keluar dari mulut Rania tempoh hari. Mungkin Rania sudah bertindak dengan menyebarkan sesuatu yang kurang elok tentang diriku. Rasanya Rania sudah meracuni fikiran sebilangan warga KDUT. Barangkali Zamri mengetahui perkara ini, namun tidak mahu berkongsi cerita denganku. Selalunya cerita – cerita hangat cepat tersebar di sini. Aku melepaskan keluhanku.

“Lama sudah awak tunggu?” soal Marnie yang nampak tercungap – cungap. Mungkin baru menamatkan lariannya. Marnie terus sahaja melabuhkan duduknya bertentangan denganku.

“Reka mana?” soalku. Sepatutnya Marnie muncul bersama Reka kerana kami bertiga sudah berjanji untuk menikmati hidangan tengah hari bersama – sama.

“Dia tidak dapat datang. Penggambarannya belum habis lagi” jelas Marnie. Aku mengangguk faham.

“Saya sudah pesan nasi dan tom yam untuk awak. Air yang awak mahu lupa saya hendak tanya awak tadi, jadi saya tidak memesannya untuk awak” tuturku.

“Tidak apa, sekejap lagi saya pesan” sahut Marnie sambil membetulkan posisi duduknya. Aku dan Marnie berpandangan. Mungkin aku boleh mendapatkan penjelasan daripada Marnie memandangkan dia lebih banyak tahu isu – isu semasa yang berlaku di KDUT ini.

“Awak ada dengar apa - apa berita terkini yang berlaku di sini?” soalku tidak mahu membuang masa. Berkerut dahi Marnie menatapku.

“Awak ingat saya ini wartawankah” sahut Marnie buat aku tergelak.

“Bukankah awak yang selalunya mengetahui berita hangat yang berlaku di KDUT ini” tuturku mengingatkannya tentang kenyataan itu. Marnie tersengih panjang. Zamri datang menghidangkan menu yang kupesan sebentar tadi.

“Terima kasih” tuturku.

“Beri saya air milo ais ya” pesan Marnie. Zamri mengangguk lalu beredar.

“Awak makanlah dahulu, nanti kalau saya cerita hilang pula selera awak” tutur Marnie buat aku tertanya – tanya. Kutatap wajah Marnie.

“Perkara buruk tentang saya, bukan?” tekaku tidak mahu menangguhkannya lagi.

“Waktu makan saya tidak mahu bercakap tentang perkara yang tidak menggembirakan” sahut Marnie. Aku diam. Bicara Marnie sudah menjelaskan bahawa ada sesuatu yang berkaitan dengan diriku sedang berlaku di sini sekarang. Aku rasa berdebar – debar. Seleraku terus sahaja hilang.

“Makanlah...” arah Marnie. Dia sudah memulakan suapan pertamanya. Aku masih menatap nasi di pingganku. Fikiranku berkecemuk.

“Awak tidak mahu makankah?” soal Marnie sambil menatapku. Beberapa kali Marnie menyuap, barulah aku memulakan suapan pertamaku. Rasa keras sahaja nasi yang kukunyah dan tawar kuah sup tom yam yang kuhirup ini.

“Bercinta dengan lelaki hebat memang cabarannya pun hebat juga” tutur Marnie berkias – kias. Kutatap Marnie yang nampak tenang dan masih tidak mahu berterus terang kepadaku. Sudah pasti Marnie sedang memperkatakan tentang aku dan Aqel, malah turut melibatkan Haqem. 

“Makanlah nanti kita sambung berbual” tutur Marnie meneruskan suapannya. Kukuis - kuis nasi di pingganku. Memang seleraku sudah terbantut ketika ini.

“Jikalau kalian hendak tahu perempuan itulah yang ada hati kepada Encik Haqem walaupun sudah bertunang dengan Encik Aqel” suara berbisik namun jelas di telingaku. Serentak aku dan Marnie berpaling ke arah suara itu. Sekumpulan perempuan bersebelahan meja dengan kami sedang melontar pandangan sinis ke arahku.

“Hey.... teruknya dia...” ujar seorang lagi memberikan tindak balasnya.

“Sudahlah rampas Encik Aqel daripada Cik Rania, sekarang ada hati pula hendak memikat Encik Haqem. Memang perempuan tidak tahu malu...” tokok satu suara berbicara sinis memperkatakan tentangku.

“Jangan pedulikan kata – kata mereka. Mereka itu kawan – kawan Rania yang ada hasad dengki yang tinggi terhadap awak” tutur Marnie cuba memujukku. Aku tersenyum tawar memandang Marnie. Memang aku tersinggung mendengar bicara mereka itu.

“Cepat habiskan nasi awak itu” arah Marnie mahu mengajakku segera beredar dari sini. Suara – suara sinis berbisik mengutukku masih kedengaran.

“Saya sudah tidak ada selera untuk makan” tuturku kepada Marnie.

“Mari kita pergi sekarang” ajak Marnie mendahuluiku bangkit dari duduk. Aku dan Marnie terus sahaja melangkah. Langkah Marnie terhenti di hadapan sekumpulan perempuan tadi.

“Jikalau kalian berniat mahu bekerja lama di sini, saya nasihatkan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata – kata. Saya boleh memaklumkan kepada Encik Aqel yang kalian telah menyebarkan fitnah terhadap tunangnya. Kalian perlu ingat Encik Aqel akan lakukan apa sahaja untuk melindungi orang yang dicintainya. Jadi kalian mesti berhati – hati sekarang” tegas Marnie membuatkan sekumpulan perempuan itu terpinga – pinga. Marnie menyambung langkahnya mendekatiku dengan senyuman yang terukir di bibirnya.

“Puas hati saya, Lia” tuturnya berbisik kepadaku, lantas menarik tanganku membawa aku beredar dari situ. Aku dan Marnie beriringan melangkah. Masih ada pandangan sinis yang menatapku. Situasi ini turut disedari oleh Marnie, namun Marnie tidak mahu mengulasnya. Pasti Marnie tidak mahu menambah bebanan perasaanku.

“Rania mesti sudah menyebarkan cerita yang bukan – bukan tentang awak” tutur Marnie. Kupandang wajah Marnie. Aku juga berpendapat sedemikian. Sejelasnya, hanya Rania yang tidak suka kewujudanku di sini.

“Awak tidak perlu risau kerana semua ini hanya untuk sementara waktu sahaja. Saya tetap percayakan awak, Lia” tutur Marnie bersungguh – sungguh.

“Terima kasih, Mar” tuturku sebak. Marnie tersenyum.

“Awak harus ingat menjadi milik Encik Aqel mahupun Encik Haqem bukan sesuatu yang mudah. Ramai sangat orang yang akan dengki kepada awak. Harus diingat musah utama awak ialah Rania. Dia akan lakukan apa sahaja bagi memisahkan awak dengan Encik Aqel. Saya harap awak akan sabar, tahan ujian dan tidak mudah berputus asa” nasihat Marnie panjang berjela.

Aku menelan liur pahitku. Mahu sahaja aku menyangkal bicara Marnie bahawasanya semua orang di sini telah tertipu olehku dan Aqel. Rania dan kawan – kawannya tidak harus memusuhiku lantaran aku tidak pernah merampas Aqel daripada Rania. Rasa bersalah kepada Marnie yang telah tertipu. Aku dan Marnie melangkah masuk ke bilik operasiku. Langkahku dan Marnie serentak terhenti. Pandangan kami melekat pada gadis yang sedang duduk di sofa sedang beradu pandangan denganku.

“Cik Bella...” nama itu meniti di bibir Marnie. Aku berpaling menatap Marnie. Ternyata Marnie mengenali gadis ini.

“Awak Lia?” soalnya sambil terus – terusan menatapku. Laju aku mengangguk.

“Saya ada hal hendak cakap dengan awak” ujarnya serius. Pandangannya beralih menatap Marnie. Kuamati wajah gadis ini. Baru aku ingat bahawasannya gadis inilah yang aku nampak bersama Haqem pada majlis makan malam KDUT.

“Sila tinggalkan kami berdua” perintahnya. Marnie menatapku. Laju aku mengangguk.

“Bolehkah?” soal Marnie berbisik. Marnie bimbang mahu meninggalkan aku berdua – duaan dengan gadis ini.

“Jangan risau saya tidak akan apa – apa” tuturku memberi jaminan kepadanya.

“Hati – hati dengan dia. Mungkin dia juga seperti Rania” bisik Marnie mengingatkan aku agar mengambil langkah berjaga – jaga. Sebetulnya Marnie juga ingin menyatakan betapa gadis ini segarang Rania.

“Awak boleh tinggalkan kami berdua sekarang” suara gadis ini bernada keras.

“Awak pergilah dahulu” arahku kepada Marnie. Marnie melepaskan keluhannya. Dalam keadaan terpaksa Marnie terpaksa meninggalkan aku. Kelibat Marnie hilang di sebalik pintu. Aku bergerak mendekati gadis ini. Oh... Bella nama gadis ini! Lantas melabuhkan dudukku di sofa sedikit bertentangan dengannya. Aku menghulurkan tangan kepadanya tanda salam perkenalan kami, namun tidak bersambut. Bella hanya melemparkan jelingannya kepadaku.  

“Memandangkan syarikat ini juga milik Haqem tunang saya, maka saya tidak mahu minta maaf kepada awak kerana masuk ke bilik ini tanpa pengetahuan awak. Saya rasa saya tidak perlukan keizinan awak. Cuma saya kurang senang sebab terpaksa menunggu lama kemunculan awak” tuturnya angkuh.

“Maafkan saya sebab membuatkan awak terpaksa menunggu saya” ujarku tenang.

“Saya juga tidak mahu melengahkan masa saya. Terus terang saya katakan kedatangan saya ke sini untuk memberi peringatan kepada awak” tuturnya serius.

“Peringatan kepada saya? Maksud Cik Bella” soalku semula.

 “Saya tidak suka awak rapat dengan Haqem” tegasnya.

“Cik Bella tidak perlu risau. Saya dan Encik Haqem bukannya ada apa – apa hubungan pun selain antara pekerja dengan majikan. Untuk pengetahuan Cik Bella, sayapun sudah bertunang dengan Encik Aqel. Kalau Cik Bella pernah dengar cerita – cerita yang nampak saya bersama Encik Haqem, semua itu hanyalah kebetulan. Cik Bella sendirikan tahu Encik Haqem berkawan rapat dengan Encik Aqel. Jadi adakalanya kami bertiga akan keluar makan bersama” jelasku berjela. Gadis ini tersenyum sinis kepadaku. Barangkali masih meragui bicaraku.

“Saya tidak mahu mengalami nasib malang seperti yang menimpa Rania. Saya juga tidak mudah percaya kepada orang lain. Kalau awak boleh rampas Aqel daripada Rania, tidak mustahil juga awak boleh berpaling tadah kepada Haqem” tutur gadis ini sewenangnya melemparkan tuduhan berat kepadaku. Seburuk itukah dia menilai diriku?

“Saya sudah biasa berhadapan perempuan murahan seperti awak” tuturnya lagi.

“Cik Bella....” tegurku. Terasa membahang wajahku mendengar kata – kata kesat yang baru sahaja keluar dari mulutnya itu.

“Awak marah saya kata awak perempuan murahan?” soalnya tersenyum sinis. Aku menggetap bibir menahan rasa kecewaku dengan sikap gadis ini. Kusabarkan diri. Aku tidak mahu bersikap terburu – buru persis dirinya.

“Perempuan yang merampas kekasih orang lain memang perempuan yang tidak bermaruah. Apatah lagi dalam masa yang sama bersama lelaki yang lain pula. Boleh dikatakan setaraf dengan perempuan jalanan yang menjual dirinya kepada mana – mana lelaki yang mahukannya”

“Cik Bella...!” Tidak rela aku mendengar tuduhan kejam itu dilemparkan kepadaku. Dia menatapku tanpa perasaan bersalah.

“Saya rasa cukup setakat di sini saja perbincangan kita. Mohon Cik Bella pergi sekarang” tuturku tidak mahu terus berhadapan dengan gadis ini.

“Awak mahu halau saya?” soalnya radang.

“Tiada perkara yang perlu saya bincang dengan Cik Bella lagi. Saya juga tidak tahan berhadapan dengan perempuan yang cemburu buta seperti Cik Bella” tuturku geram. Benteng kesabaranku kian menipis.

“Apa, awak kata saya cemburu buta?” soalnya garang. Aku mengangguk. Tidak mahu menafikannya lagi.

“Saya risau kalau saya bercakap benar, Cik Bella akan bertambah cemburu kepada saya lagi dan akhirnya perasaan itu memakan diri Cik Bella sendiri” jelasku.

“Apa maksud awak? Awak memang ada hati kepada Haqem?” bertalu – talu persoalan itu diajukan kepadaku.

“Persoalan ini selayaknya Encik Haqem yang jawab sendiri. Sila tanya kepada Encik Haqem” arahku tenang. Gadis ini mendengus kasar. Tajam anak matanya menatapku.

“Jadi awak memang ada hubungan dengan Haqem?” soalnya garang.

“Saya tidak berminat mengulangi kisah lalu” sahutku memaksa dirinya berfikir. Memang aku mahu gadis ini memikirkan sedalamnya bicaraku ini. Aku mahu memberi pengajaran kepada gadis sombong seperti dirinya.

“Kisah lalu? Apa maksud awak?” soalnya bertalu – talu. Aku hanya tersenyum menatapnya yang kelihatan cemas tika ini. Aku dan Bella beradu pandangan.

“Awak buat apa di sini?” suara lelaki berkumandang di bilik ini. Serentak aku dan Bella mengalih pandangan ke arah suara itu. Haqem terburu – buru melangkah ke arah kami. Marnie yang muncul kembali bersama Haqem segera mendapatkan aku. Pasti Marnie telah memaklumkan kedatangan gadis ini kepada Haqem.

“Awak tidak apa – apa, Lia?” soal Haqem menunjukkan keprihatinan kepadaku. Tajam sahaja pandangan Bella menatap Haqem, kemudian beralih kepadaku. Tidak puas hatinya mendengar pertanyaan Haqem itu.

“Saya baik – baik sahaja” sahutku tersenyum. Haqem menarik nafas lega.

“Awak tidak perlu tanyakan keadaan dia. Dia tidak akan mati di tangan saya” tutur Bella radang. Haqem melepaskan keluhan beratnya.

“Mari saya hantar awak balik” tutur Haqem seraya dengan kasar menarik tangan Bella membawanya beredar dari bilik ini. Langkah Bella terdorong mengekori langkah Haqem. Dia tiada pilihan selain beredar bersama Haqem.

“Saya belum habis bincang dengan awak. Saya akan cari awak lagi!” laung Bella memberi peringatan sebelum kelibatnya dan Haqem lenyap di sebalik pintu. Aku melepaskan keluhanku. Kupandang Marnie. Laju sahaja tangan Marnie menepuk – nepuk bahuku memintaku bersabar. Detik ini bertambah lagi seorang perempuan yang memusuhiku lantaran seorang lelaki. Sungguh kenyatan ini mengecewakan aku.

“Memang tidak masuk akal orang yang sudah bertunang dituduh mahu merampas tunang dia. Pelik betul perangai Cik Bella itu” omel Marnie tidak dapat menerimanya.

“Mungkin dia dengar cerita yang salah” ujarku berandaian sendiri.

“Tidak lain tidak bukan mesti perbuatan Rania yang berhati busuk itu” radang Marnie tidak puas hati. Aku hanya mendiamkan diri. Bicara Marnie ada benarnya. Rania sendiri pernah memberi peringatan kepadaku. Kali ini dia menggunakan orang lain untuk menyakiti aku.

“Awak berehatlah ya. Kalau ada apa – apa telefon saya” pesan Marnie sebelum melangkah meninggalkan aku. Aku hanya mengangguk. Kusandarkan tubuhku di kerusi empuk ini, lantas memejamkan mataku. Cuba merawat perasaanku yang tersinggung dengan kata – kata Bella sebentar tadi. Memang menyakitkan hati mengingati kembali bicara kejamnya itu. Mentang – mentang dia berharta sewenangnya dia menuduh aku perempuan murahan yang sentiasa terkejar – kejar lelaki kaya. Nauzubillahminzalik....!

Skrin telefonku menyala. Telefonku yang berada pada mod senyap memperlihatkan ada mesej yang baru kuterima. Kupandang seketika. Lambat – lambat tanganku mencapainya.

~ Minta maaf banyak – banyak atas perbuatan Bella tadi. Saya janji perkara ini tidak akan berulang lagi. Tolong jangan maklumkan perkara ini kepada Aqel ~

Mengapa perlu membabitkan Aqel? Aku mendengus bosan. Haqem juga berprasangka persis Rania. Mereka ingat aku terlalu lemah sehingga memerlukan pembelaan orang lain. Kuabaikan sahaja mesej daripada Haqem itu. Tidak berminat aku mahu membalas mesej Haqem itu. Apatah lagi tindakan Bella yang menghalang aku berhubung dengan Haqem. Andai kata gadis itu mengetahui bahawa akulah kekasih pertama Haqem pasti hidupnya tidak akan tenteram. Aku yakin Bella akan mengarahkan seorang pengintip mengekori setiap pergerakanku di sini, maka tamatlah kebebasanku di KDUT ini. 

“Awak suka gadis itukah?” soal Bella dengan pandangan tajam menatap Haqem. Haqem hanya mendiamkan diri sambil fokus pada pemandunya. Tidak mahu dia melayan kerenah gadis ini. Dalam fikirannya sekarang hanya memikirkan tentang Lia. Risau jikalau Lia sedang bersusah hati mahupun terluka dengan kata – kata Bella tadi.

“Apa yang awak kata kepada Lia tadi?” soal Haqem. Bella mendengus kasar. Sakit hatinya melihat Haqem begitu prihatin terhadap gadis itu.

“Awak belum menjawab pertanyaan saya lagi” tegas Bella. Haqem masih membisu. Perasaan sakit hati Bella semakin menebal tatkala melihat reaksi Haqem sedemikian.

“Gadis itukah yang membuatkan awak dingin dengan saya selama ini?” soal Bella curiga. Senyap. Haqem nampak tenang – tenang sahaja sedangkan Bella merasa seakan mahu terbakar dirinya dengan api kemarahannya yang sedang menyala – nyala tika ini.

“Haqem, jangan berdiam diri! Saya mahu tahu tentang perasaan awak terhadap gadis itu!” bentak Bella radang melihat diam Haqem yang berpanjangan.

“Gadis itulah yang mahu saya lindungi selagi saya bernyawa” sahut Haqem mula bersuara. Bella terus sahaja berpaling ke arah Haqem.

“Gadis itukah kekasih pertama awak ketika di universiti dahulu?” soal Bella mula mengerti. Haqem kembali mendiamkan dirinya. Padanya jawapan yang diberikan tadi sangat jelas untuk Bella mentafsirkan siapa Lia di hatinya.

“Hantarkan saya ke rumah awak. Saya mahu jumpa Datin Sofea sekarang juga” pinta Bella. Laju Haqem berpaling menatapnya.

“Mengapa tiba – tiba sahaja awak hendak jumpa mama?” soal Haqem kurang senang dengan permintaan gadis ini. Dia dapat merasakan bagai ada sesuatu yang ingin dilakukan oleh Bella. Bella tersenyum – senyum sendiri.

“Salahkah saya datang menziarahi bakal mak mertua saya?” soal Bella dengan senyuman yang masih terukir di bibir. Haqem mendiamkan diri. Betapa cuak hatinya mendengar bicara Bella itu. Nampak Bella yakin sangat akan menjadi isterinya.

“Awak jangan sesekali memaklumkan kepada mama apa yang telah awak lakukan hari ini” tutur Haqem memperingatkan Bella. Bella tersenyum sinis.

“Mengapa? Awak risau mama awak tahu yang awak sekarang bekerja sebumbung dengan bekas kekasih awak” tutur Bella sinis. Haqem melepaskan keluhannya. Bella tergelak sendiri.

“Awak seorang yang pengecut tetapi masih ada hati hendak memikat kekasih lama” lirih sahaja suara Bella memperli Haqem.Terasa tercabar diri Haqem mendengar kata – kata Bella itu.

 “Jikalau awak rasa masih mahu bersama saya, lebih baik awak diamkan diri sahaja” tutur Haqem memberi amaran. Bella mendengus kasar. Sakit hati diugut sedemikian.

“Jadi awak mahu saya mendiamkan diri sahaja dan biarkan awak ada hubungan dengan gadis itu di belakang saya” bentak Bella radang. Permintaan Haqem benar – benar menyakitkan hatinya.

“Awak jangan ingat andai kita berpisah, Datin Sofea akan berdiam diri. Datin Sofea tidak akan semudahnya biarkan saya pergi dan tidak semudahnya juga awak akan dapat bersama semula dengan kekasih lama awak itu. Keluarga awak perlukan saya dan keluaga saya perlukan awak. Pernikahan kita harus dilangsungkan demi empayar perniagaan keluarga kita. Awak mesti sedar tentang hakikat ini, Haqem” tutur Bella mengingatkan Haqem tentang kenyataan itu. Haqem terdiam panjang. Hakikat itulah yang menyebabkan dia terpaksa menerima kehadiran Bella.

“Saya nasihatkan awak agar berfikir panjang sebelum bertindak. Kalau awak rasa mahu melindungi Lia, lebih baik awak jauhi dia” tutur Bella memberi amaran keras kepada Haqem. Haqem melepaskan keluhannya. Sekarang Bella sudah mengetahui nama gadis yang disayangi dan dikasihi oleh Haqem itu.

“Saya tidak  akan apa – apakan  Lia, tetapi saya yakin Datin Sofea tidak akan berdiam diri” tutur Bella memberi peringatan lagi. Peristiwa lalu terimbau kembali. Di mata Haqem sudah terbayang ketegasan mamanya menghalang percintaan mereka beberapa tahun yang lalu. Haqem yakin mamanya tidak pernah berubah sikap terhadap gadis yang dicintainya itu. Datin Sofea tidak akan dapat menerima kehadiran Lia dalam hidupnya. Andai Lia menerima kembali dirinya, maka Haqem terpaksa membuat pilihan.

“Andai Lia menerima saya kembali, saya akan bernikah dengannya” suara Haqem memecah kesepian. Bella terlopong mendengar bicara Haqem itu. Jelasnya Haqem bersungguh – sungguh menuturkan bicaranya itu.

“Awak.....” Bella tidak mampu meneruskan bicaranya. Tiba – tiba sahaja lidahnya kelu untuk terus berbicara panjang dengan Haqem. Namun yang pasti Haqem nampak nekad kali ini. Bagaikan Haqem juga sudah bersedia menghadapi tentangan Datin Sofea.

Sebaik sahaja kereta Haqem berhenti di halaman, Bella terus sahaja meluru keluar meninggalkan Haqem. Tidak sempat Haqem hendak menahan langkah gadis itu lagi. Haqem hanya sempat menatap kelibat Bella sekilas pandang sebelum hilang di sebalik daun pintu itu.

“Mama....!” laung Bella lalu meluru ke arah Datin Sofea. Tubuh Datin Sofea dipeluk erat. Bella mula teresak  - esak menangis. Datin Sofea terpinga – pinga menyaksikan tingkahlaku gadis ini. 

“Mengapa Bella? Haqem sakitkan hati kamukah?” soal Datin Sofea bertalu – talu. Mendengar nama Haqem disebut, tangisan Bella kian nyaring.

“Tidak usah menangis lagi. Cuba kamu cakap elok – elok kepada mama” arah Datin Sofea cuba menenangkan gadis ini. Gusar juga hatinya melihat keadaan Bella tika ini. Selalunya Bella datang menemuinya dengan senyuman dan gelak tawa. Bella sentiasa riang bersamanya.

“Lia....” nama gadis itu meniti di bibirnya.

“Lia?” Berkerut dahi Datin Sofea memikirkan nama gadis itu. Datin Sofea bagaikan sudah terlupa tentang nama itu. Nama yang sudah bertahun – tahun tidak didengarnya.

“Lia.... Apa...!! Nama gadis itu Lia?” soal Datin Sofea dengan anak mata yang terbuka luas menatap Bella. Bella menagangguk.

“Haqem sudah jumpa kekasih lamanya” jelas Bella tersedu – sedu menahan esakannya. Wajah Datin Sofea serta merta merah merona. Anak matanya tampak garang. Sungguh dia tidak senang hati mendengar kenyataan Bella ini.

“Di mana gadis itu sekarang?” soal Datin Sofea rasa tidak sabar – sabar menemui gadis itu. Bagaikan mahu melakukan perhitungan terakhir dengan gadis itu.

“Dia bekerja di KDUT” sahut Bella.

“Apa....!!! Dia bekerja bersama Haqem?” soal Datin Sofea meminta kepastian. Laju Bella mengangguk. Peringatan Haqem tidak diendahkannya. Senang hatinya melihat Datin Sofea menyebelahinya.

“Beraninya dia....” Datin Sofea menggigit bibirnya sehingga berbekas menahan rasa geramnya.

“Mana Haqem?” soalnya.

“Haqem sudah pergi” sahut Bella. Wajah Datin Sofea menyinga. Laju sahaja dia bergerak ke arah telefon, lalu gagang telefon diangkat. Jari – jemarinya lincah menekan satu – persatu nombor telefon Haqem. Seketika Datin Sofea menanti panggilan itu dijawab. Dia melepaskan keluhannya tatkala panggilannya itu tidak dijawab oleh Haqem. Dilakukannya sekali lagi. Perkara yang sama, Haqem masih tidak mahu menjawab panggilan itu. Telefon bimbit itu hanya dipandang sekilas oleh Haqem. Dia menulikan telinganya. Dia sudah nekad tidak akan menjawab panggilan telefon itu. Datin Sofea mendengus kasar.

“Haqem sudah berani ketepikan mama...!” bentak Datin Sofea meradang.

“Haqem kata dia mahu bernikah dengan Lia” ujar Bella menambah radang Datin Sofea.

“Dia kata begitu kepada kamu?” soal Datin Sofea dengan perasaan membara. Bella mengangguk lagi.

“Mari kita pergi jumpa Haqem sekarang” ujar Datin Sofea seraya menarik tangan Bella. Bergegas Datin Sofea dan Bella melangkah ke muka pintu. Langsung tidak mahu menangguhkan perkara itu.

“Pak Osman hantar saya ke KDUT sekarang” pinta Datin Sofea separuh melaung.

“Baiklah datin” sahut Pak Osman menikus. Kecut hatinya melihat Datin Sofea yang sedang meradang ini.
 
“LIA.......!” Aku yang sedang leka menyusun fail – fail di kabinet kaca ini terus sahaja berpaling ke muka pintu. Haqem terkocoh – kocoh melangkah ke arahku.

“Apa hal ini, Haqem?” soalku cemas menyaksikan gelagat Haqem.

“Mari ikut saya” Haqem terus sahaja menarik tanganku membawaku beredar dari bilik ini buat aku terkedu.

“Mengapa ini? Awak hendak bawa saya ke mana?” soalku bingung. Haqem tidak mengendahkan pertanyaanku. Sebaliknya terus menarik tanganku ke muka pintu.

“Lepaskan tangan saya” arahku tidak senang dengan perbuatan Haqem. Seketika aku dan Haqem beradu pandangan.

“Nanti saya jelaskan” ujar Haqem berharap aku patuh sahaja pada bicaranya.

“Cepat kita pergi sekarang dari sini” ajak Haqem. Kutatap wajah Haqem.

“Tolonglah....” rayu Haqem. Ada kesungguhan terpamer di wajah Haqem buat aku semakin tertanya – tanya.

“Saya hendak ambil beg galas saya dahulu” tuturku. Aku bergegas ke mejaku lalu mencapai beg galasku yang terletak di atas kerusi. Kemudian mengekori langkah pantas Haqem. Sekelip mata sahaja aku sudah berada di dalam kereta bersama Haqem. Tanpa melengahkan masa Haqem terus sahaja memecut keretanya meninggalkan perkarangan KDUT.

“Tunang awak....” tuturku lantas berpaling ke arah Haqem tatkala bertembung dengan kereta BMW hitam itu. Kelihatan ada seorang perempuan duduk di sebelah Bella.

“Tunang awak tadi” ujarku mengulangi bicaraku tadi. Mungkin Haqem tidak nampak kedatangan mereka. Haqem hanya mendiamkan diri. Kereta yang dipandunya ini semakin meluncur laju jauh meninggalkan perkarangan KDUT. Melihat Haqem tidak mahu berbicara, aku terus sahaja mendiamkan diri.


Kedatangan Datin Sofea dan Bella ke KDUT menarik perhatian ramai. Masing – masing tidak boleh duduk tenang. Betapa mereka gusar apatah lagi melihat wajah serius Datin Sofea. Datin Sofea dan Bella terus sahaja melangkah ke bilik pengurusan kostum. Hajat di hati untuk menyerang gadis itu. Namun hajat mereka tidak kesampaian tatkala gadis itu tidak ditemui di situ. Kemudian Datin Sofea dan Bella terus sahaja melangkah ke pejabat Haqem.   

“Aaa.... Datin Sofea” Marnie menggelabah menyambut kunjungan mengejut Datin Sofea ke situ. Hatinya berdebar – debar.

“Mana Haqem.?” soal Datin Sofea garang.

“Encik Haqem belum balik lagi selepas hantar Cik Bella tadi” jelas Marnie. Tajam pandangan Datin Sofea menatap Marnie.

“Awak berbohong dengan saya?” soalnya sinis.

“Betul datin saya tidak bohong” tutur Marnie cuba meyakinkan Datin Sofea.

“Lia mana?” soal Bella pula.

“Di bilik dia” sahut Marnie begitu yakin.

“Mana dia ada di bilik itu” sahut Datin Sofea geram.

“Mesti dia keluar dengan Haqem, mama” tutur Bella membuat andaian.

“Awak telefon Haqem sekarang. Tanya dia berada di mana” arah Datin Sofea dengan suara yang tinggi. Bergegar kepala lutut Marnie berhadapan dengan Datin Sofea saat ini. Marnie patuh sahaja dengan arahan Datin Sofea. Didailnya nombor telefon Haqem beberapa kali.

“Maaf datin, Encik Haqem tidak jawab panggilan ini” tutur Marnie berhati – hati.

“Haqem tidak boleh buat mama begini...!!” jerit Datin Sofea melempiaskan rasa marahnya sekali gus menyentakkan Marnie. Bella menepuk – nepuk lembut belakang Datin Sofea cuba menenangkan perempuan ini. Marnie mengurut – urut dadanya. Terkejut sangat mendengar jeritan Datin Sofea.

“Haqem mesti bersama Lia sekarang” tutur Bella turut radang. Datin Sofea mendengus lagi. Wajahnya merah merona menahan kemarahannya.

“Haqem.... siap kamu kalau mama jumpa kamu dengan gadis itu nanti....!!!” jerit Datin Sofea bagaikan orang terkena histeria. Marnie kaget menyaksikan kemarahan Datin Sofea itu. Gegendang telinganya berdesing – desing diterjah oleh suara nyaring Datin Sofea sebentar tadi. Datin Sofea terus sahaja melangkah meninggalkan pejabat Haqem membuat Bella terkejar – kejar langkah bakal mak mertuanya itu. Marnie menghela nafas lega setelah kelibat Datin Sofea dan Bella tidak kelihatan lagi. Dia menelan liur. Sungguh menakutkan menyaksikan kemarahan Datin Sofea itu.

“Oh...., Lia...” keluh Marnie tatkala teringat kepada gadis itu. Laju sahaja jari – jemarinya menekan sebaris nombor telefon itu. Tidak lama kemudian kedengaran suara lelaki memberi salam menjawab panggilannya itu.

“Encik Aqel.... Lia dalam bahaya sekarang” tuturnya memaklumkan perkara itu kepada pemuda itu.


3 comments:

  1. Hi pertains nilam,

    Hope ur are fine there..... Thanks for the story..

    ReplyDelete
  2. ingin tahu tindakan aqel. hehehe
    Nak lagi :)

    ReplyDelete