BAB 3
Sejak dari tadi, aku masih terbaring di katil. Sudah banyak kali Liza mengejutkan aku mengajak makan, tapi aku hanya menulikan telinga saja. Kedegilanku rupanya membawa padah. Badanku mula terasa panas. Aku diserang demam. Dua hari sudah aku terlentang di katil, bermakna sudah dua hari aku tidak hadir ke kelas. Mujur sekarang ini aku berada di rumah, tidak juga keseorangan. Genap seminggu aku pun pulih seperti biasa, bermakna aku harus kembali ke kolej semula.
“Anis, bawah bantal tu ada beberapa pucuk surat untuk kau” beritahu Liza. Aku membuang pandangan kosong ke wajah Liza. Bicara Liza itu langsung tidak menarik perhatianku.
“Buangkan saja surat tu dalam tong sampah, Liza” Malas aku hendak membacanya. Tentu orang yang sama juga yang mengirimkan surat misteri itu.
“Kau tak nak baca ke?”
“Kalau kau nak, baca ler” balasku memberi keizinan. Liza apa lagi langsung tidak mahu melepaskan peluang. Satu – persatu dibacanya. Sengaja pula volume kuat – kuat supaya aku dapat mendengarnya. Selepas itu dia tergelak sendiri. Sampul terakhir dikoyaknya di tepi. Seketika dia senyap.
“Wow, mengancamlah puisi ni!” Liza yang terkenal sebagai penyajak terulung di sekolah ini mula mendeklamasikannya dengan penuh mendayu - dayu. Aku yang sedang leka membaca buku terhenti. Seolah – olah sajak itu pernah kudengar.
“Liza, cuba kau ulang semula sajak tu” Liza apa lagi tatkala menerima respons dariku, berlagak sungguh dia. Aku tiba – tiba saja terjerit membuatkan Liza tergamam. Semuanya kuingat kembali. Pantas saja aku berlari menghampiri Liza yang masih kehairanan melihat gelagatku. Kertas di tangannya kuambil. Untuk mempastikan kebenarannya, kukeluarkan diariku lalu kubandingkan kedua – duanya. Aku tidak silap lagi. Air mataku tiba – tiba saja mengalir laju menuruni cerun pipiku membuatkan Liza bertambah – tambah tidak mengerti. Lidahnya kelu untuk berbicara. Kurenung tandatangan pengirim surat ini. Surat yang selama ini aku terima hanya memperkenalkan dirinya ‘R’ tapi kali ini ditambah pula dengan tandatangan yang cukup kukenali. Surat ini juga tidak lagi menggunakan aksara komputer dan aku memang mengenali tulisan ini.
“Mengapa Anis?” Liza yang sejak tadi membisu dan kehairanan bersuara.
“Di mana kau dapat surat nie?” tanyaku tanpa menjawab pertanyaannya.
“Di bawah pintu” ujar Liza.
“Tolong aku carikan siapa pengirimnya” pohonku dengan harapan yang menggunung.
“Jadi selama nie kau tak tahu siapa pengirimnya?” Aku mengangguk.
“Kenapa baru sekarang kau bersungguh – sungguh nak cari pengirimnya?” soal Liza teruja untuk mengetahui segala – galanya. Tanpa banyak bicara aku terus menceritakan kisah duka yang selama ini kurahsiakan.
“Aku amat menyayangi Sharol sehingga kini aku tak dapat menerima kehadiran lelaki lain. Ini bukan sajak tapi sebuah lagu yang khas diciptanya untuk aku dan aku yakin tandatangan ini adalah tandatangan dan tulisannya” ceritaku lebih lanjut. Liza ternganga mendengar ceritaku. Memang semua ini di luar jangkaannya. Pastinya Liza tidak menyangka aku punya kisah hidup yang duka.
“Kan dia dah pergi, tak mungkin dia wujud pula” tungkas Liza lebih rasional. Aku terpaku sejenak. Betul juga. Liza merenungku semacam saja. Terasa bulu romaku tegak. Namun kugagahi juga hati untuk menyiasat perkara ini.
Dua minggu sudah aku tidak menerima surat. Entah kenapa aku rasa kehilangan sesuatu. Bahkan setiap detik aku mengharapkan kunjungan surat itu seperti biasa. Namun jawapannya hampa. Setiap kali aku duduk bersendirian, terfikir juga aku sehingga kini aku tidak tahu di mana letaknya pusara Sharol. Sehingga kini juga aku menyesal kerana tidak menatap wajah Sharol untuk kali terakhir. Apa yang kulihat wajahnya berlumuran darah dan sekujur tubuh itu terbaring tidak bergerak – gerak lalu dibawa pergi. Selepas itu aku pengsan. Setiap kali aku terkenangkan Sharol, setiap kali itulah bayangan Boy menjelma. Aku pun tidak tahu mengapa ini harus terjadi.
Boy telah pindah dari kolej ini. Ini berita terbaharu yang aku dengar daripada mulut rakan sekelas. Aku menarik nafas lega. Cerita hangat yang dibualkan dalam kalangan rakan sekelas yang meminati dirinya. Liza turut sama memaklumkan kepadaku cerita ini biarpun sudah kuketahui. Barangkali melihat aku hanya bersahaja menyebabkan Liza menyangka aku ketinggalan mengikuti cerita ini. Paling dahsyat tatkala Liza menuduhku yang kononnya akulah penyebab perpindahan Boy dari kolej ini. Tanggapan yang tidak berasas sama sekali. Biarpun Liza sekadar bergurau denganku, namun aku ambil serius dengan bicaranya itu. Entah kenapa Liza membabitkan aku dalam hal ini. Barangkali atas komentar bernas yang aku catatkan pada borang penilaian Minggu Suai Kenal yang lalu. Kemudian dia dipanggil oleh pihak atasan kolej lalu dikenakan tindakan disiplin. Aku memang mencatatkan luahan hatiku setelus ikhlasnya. Emm.... Mungkin ada juga benarnya. Kebetulan pula memang ada sesuatu yang telah berlaku antara aku dengan Boy. Pertemuanku dengan dirinya pada malam itu memang memberikan kepuasan kepadaku. Aku telah melumpuhkan keegoan seorang lelaki. Itu pengajaran terakhir yang berguna aku berikan kepada Boy. Kepergian Boy turut melenyapkan penyiasatanku terhadap surat – surat misteri itu. Sungguh aku berasa tenang dan bahagia sekarang. Terbukti kehilangan Boy suatu rahmat buatku.
BEBERAPA tahun .... jejak BOY menghilang .....
SETAHUN lalu.... AKU dipertemukan dengan Boy kembali tetapi dengan nama lain. Di sini orang memanggilnya Putra. Mentang – mentang seiras Adi Putra..... Maka nama gelaran yang kuberikan kepadanya turut berubah. Dari nama Singa Jantan menjadi Si Firaun. Ternyata permusuhan kami masih wujud rentetan sikapnya yang masih mahu melancarkan perang dingin denganku.
Jeritan lantang jam di atas kepalaku mengganggu lenaku. Kubiarkan seketika. Rasa malas menyelubungiku. Mataku terasa amat berat untuk dibuka. Krrinngg …… krrinnggg…! Lambat – lambat kucapai jam yang masih menjerit lalu kumatikan. Kupejamkan mata seketika. Kubuka mataku. 15 minit lagi pukul 7.00 pagi. Bingkas aku bangun. Aku takut aku terlewat lagi. Tidak pasal – pasal nanti percuma kena kutuk oleh firaun itu.
“Selamat pagi encik” sapa teman – teman sekerja sewaktu lelaki
bertanduk itu melewati ruang pejabat ini. Aku menyibukkan diri. Pura – pura tidak menyedari akan kedatangannya. Siti di sebelahku, menyiku tanganku menyuruh aku bersuara namun aku sekadar buat tidah tahu saja. Dia terus berlalu.
“Kenapa kau buat macam tu?” marah Siti. Kutulikan telinga. Tanganku masih sibuk menyelak fail – fail di depanku.
“Hey, sejak bila pula kau jadi pekak nie!” keras saja suaranya. Aku masih berlagak bersahaja. Langsung tidak peduli akan bicara Siti.
“Anis, kau dengar tak apa aku cakap nie?” ulangnya panas hati.
“Ada tak kau nampak fail hitamku?” soalku mula bersuara.
“Kita tengah cakap nie tapi dia buat tak dengar je” rungut Siti lagi. Siti menarik muka masam. Marahlah tu ......
“Kau kan tahu, aku bukan suka sangat kat firaun tu” tuturku sambil melirik kepadanya. Sememangnya Siti tahu kenyataan ini.
“Kau aje yang puji dia lebih – lebih” tambahku mengutuk.
“Kau tu degil sangat sebab tuler asyik kena marah” bidas Siti.
“Aik, apa yang aku buat ada sebab tau! Dia tu memang tak berhati perut. Cakap ikut sedap hati dia je. Macam ler dia saja yang betul. Kalau aku tak ingat masa depanku dah lama aku cabut lari. Tak ingin aku kerja kat sini tau. Macam dalam penjara je” luahku panjang lebar. Ini semua gara – gara mahu hidup berdikari. Kutolak pelawaan ayah untuk bekerja dengannya.
“Hoi, apa hal marah – marah nie, Anis!” Suadah mendekati kami.
“Siti nie nak suruh aku layan firaun tu macam putera raja”
“Memang pun dia Putra” balas Suadah cuba mengenakan aku. Senyuman Siti dan Saudah bergabung. Lantas aku menghadiahkan satu jelingan tajam kepada mereka. Memang sebulu dua orang perempuan ini.
“Tak ler sampai macam tu tapi kalau kau nak layan dia macam tu boleh juga” Siti dan Saudah tertawa senang. Bukan main gembiranya mereka menyalakan api kemarahanku.
“Fuhh.... hanya harapkan nama je!” kutukku. Aku mempamerkan kejanggalanku. Siti dan Saudah tergelak – gelak suka. Tiba – tiba saja interkom menunjukkan isyarat ada panggilan masuk. Pantas saja jariku menekan punat tanda panggilan diterima.
“Anis, jumpa saya sekarang juga. Bawa fail semalam” arah suara itu. Bulat anak mataku mendengar suara itu. Aku cukup kenal gerangan pemilik suara garau itu. Siapa lagi kalau bukan firaun itu. Siti dan Saudah tersenyum meleret menatapku.
“Mana fail semalam nie, Siti?” soalku sambil tergopoh – gapah mencarinya. Habislah aku kali ini. Nampak sangat aku menggelabah. Kalau boleh hari ini aku tidak ingin lelaki itu menengking atau memaki hamun aku.
“Padan muka. Tuler lain kali letak elok – elok” tegur Siti.
“Marah kita pula, bukan nak tolong carikan” rungutku. Suadah membantuku mencari fail yang aku kehendaki itu.
“Nie bukan?” soalnya sambil mengangkat satu fail hitam kepadaku. Terus kusambar fail yang ada di tangan Saudah tanpa sempat menelitinya terlebih dahulu. Lantas aku terkocoh – kocoh mengatur langkah ke bilik itu.
“Mati ler aku kali nie” Siti dan Saudah geleng kepala. Kuketuk daun pintu.
“Masuk....” Aku menarik nafas panjang. Kulontar jauh – jauh rasa menggelabahku tadi. Tatkala daun pintu terkuak lelaki ini menyambut kedatanganku dengan pandangan tajamnya. Kucekalkan hati. Aku cuba bersikap bersahaja.
“Nie failnya encik” ujarku seraya meletakkan fail itu di depannya. Dia menatapku.
“Kenapa lambat sangat. Belum habis mengata saya lagi?” lirih saja suaranya. Serta merta wajahku berubah. Celaka punya manusia. Belum apa – apa lagi sudah membebel. Macam tahu – tahu saja dia yang aku sedang mengata dia tadi. Telinga lintah betul! Ah, hampir aku terlupa! Bilik dia ini cermin saja sebab itu gelagat orang di luar sana dia boleh tonton. Habislah aku! Kenapa aku terlupa yang bilik ini berdindingkan cermin? Ah, malunya aku!Tentu dia sudah puas melihat gelagatku dari awal tadi. Nanti kau Siti! Kau yang buat aku penuh gaya tadi tau!
“Anis, fail apa nie!” suara lantangnya mengejutkan aku.
“Awak nie teruk ler! Saya minta fail semalam, bukan fail yang nie!” tengkingnya menyinga. Persis kesalahan yang aku lakukan ini berat sangat. Fail itu dihempaskan ke meja. Ah, kasarnya! Ya Allah, kenapalah aku cuai sangat. Dia menatapku tajam persis mahu menelanku hidup - hidup.
“Awak tak dengar ke tadi apa saya cakap atau awak dah pekak” lancang saja dia berkata – kata kesat kepadaku. Celaka! Telingaku yang masih berfungsi baik ini dia kata pekak. Aku cuba mengawal emosi. Mukaku sudah terasa panas membahang.
“Pergi ambik fail tu cepat!” arahnya lantang. Aku bergegas keluar. Kutarik laci. Rupanya di sini letaknya fail ini. Kenapa aku tidak menjumpainya tadi? Jangan – jangan Siti yang menyembunyikannya. Hey, Siti tidak akan sampai hati buat aku macam tu sekali. Sudah pasti kerana kecuaian diriku. Aku kembali menemui lelaki itu.
“Awak nie lembik sangat ler Anis. Awak tak sarapan ke tadi? Tahu tak awak telah buang masa saya” leter lelaki bermulut jahat ini. Ditambah lagi dengan pandangan tajamnya menatapku.
“Maaf encik” ujarku gugup. Kuletakkan fail di tanganku di atas meja. Dia menatapku seketika. Cepat kualihkan pandanganku. Si Firaun geleng kepala. Teruk sangatkah aku ini?
“Kenapa belum dibetulkan lagi nie?” suaranya kian meninggi buat kecut perutku. Lelaki ini memang sentiasa bertenaga untuk memarahiku. Seingat aku sejak aku menjejakkan kaki ke Wawasan Holding ini dia tidak pernah melayanku dengan baik. Suaranya sentiasa saja tegang kepadaku. Ah, sudah nasibku agaknya dipertemukan dengan manusia yang berhati kejam ini.
“Kan encik kata semalam tak payah tukar” jawabku.
“Bila masa saya kata yang nie tak payah tukar? Yang saya suruh yang nie. Nie apa nie? Cuba buat kemas sikit. Orang perempuan tak buat kerja macam nie tau!” kutuknya memarahiku.
“Bukan ke encik yang buat tu” jelasku.
“Bila masa pula?” Sakitnya hatiku. Senang – senang dia tuduh aku. Anak matanya terus melilau seakan cuba mencari kesalahanku seterusnya.
“Saya nak awak buat semula. Mesti siap hari nie juga” arahnya. Aku hanya mengangguk akur. Kucapai fail itu lalu terus melangkah pergi.
“Anis...” Langkahku terhenti. Apa pula kali ini?
“Lain kali jangan nak asyik mengata orang. Tengok tu kerja tak seberapa. Jangan ingat nak lepas tangan je” ujarnya sinis. Tidak mahu berlama – lama di situ, aku terus berpaling. Sakit hatiku tidak terkata. Berdentum daun pintu kututup. Biar dia tahu bahawa aku sedang memberontak tika ini. Kuhempaskan fail ke meja. Siti menatapku.
“Hero pujaan kau tu teruk betul. Tak berhati perut. Muka saja lawa tapi
perangai zalim. Memang dia tu betul – betul firaun” marahku.
“Tahu pun kau dia tu lawa ye” sahut Siti tertawa kecil. Kutulikan telinga. Salah aku juga silap terpuji dia pula. Tanpa mahu melengahkan masa, aku terus membuat pembetulan pada kerta projek ini. Banyak sangat yang perlu aku ubah. Aku melirik jam di tangan. Sudah sampai masa untuk rehat makan tengah hari. Namun seleraku sudah terbantut. Aku mengambil masa sekejap untuk solat Zohor di bilik khas yang disediakan di pejabat ini. Usai solat, aku menyambung kembali kerja – kerja tadi. Sepanjang aku menyelesaikan kerja – kerja ini tidak seorang pun yang berani menghampiriku termasuklah Siti dan Suadah. Mereka memang cukup faham dengan perangaiku. Saat begini aku tidak mahu diganggu. Bila sudah waktu rehat tiba barulah Siti memunculkan dirinya di depanku.
“Anis, jom makan” ajak Siti. Aku geleng kepala.
“ Hari nie aku tak nak keluar rehat. Banyak yang perlu aku settlekan lagi” luahku sambil mataku masih menatap skrin komputer.
“Kalau macam tu, aku belikan kau nasi bungkus jelah ye”
“Suka hati kau ler”
“Bye, aku pergi dulu” ujar Siti. Aku hanya mengangguk. Pejabat sunyi sepi. Hanya tinggal aku sendirian di sini. Teman – teman yang lain sedang rehat sekarang. Mataku melirik ke bilik kaca itu. Baru aku tersedar rupanya firaun masih berada di dalam bilik itu. Nampak dia tekun dengan kerjanya. Melihat dia mengalih pandangan keluar, cepat aku mengalih mukaku ke dada skrin komputer. Aku kembali meneruskan kerja – kerjaku. Memang tidak dinafikan rasa berdebar – debar menyelubungiku. Aku tahu dia sedang memerhatikanku. Mungkin sedang mencari kesalahanku lagi.
“Anis....!” Aku tersentak. Terasa rohku melayang jauh meninggalkan jasadku. Kuurut dadaku. Siti tersengih memandangku.
“Asyik kau buat kerja sampai aku datang pun kau tak sedar”
“Kau nie kalau aku lemah jantung mati aku tau” rungutku. Anak mata Siti liar memandang sekeliling.
“Aa...patut ler asyik je. Rupanya orang handsome kat dalam tu sedang perhatikan” usik Siti. Mukaku terasa panas membahang.
“Apa kau cakap nie?” Tidak senang aku mendengar bicara Siti itu.
“Kamu berdua dating ke tadi?”
“Cis, tak sayang mulut betul ye! Jangan nak mimpi ler Siti. Aku nie masih waras tau. Orang macam tu tak de dalam kamus hidupku” tingkahku geram.
“Mula – mula memang kau cakap macam tu. Mana tau esok lusa lain pula jadinya. Kan orang kata selalunya orang yang kita benci tu ler yang akan jadi suami kita. Marah – marah sayang katakan....” Siti tertawa kecil.
“Cukup! Aku tak nak dengar lagi kau merepek. Untuk pengetahuan kau, aku sangat sangat benci dengan lelaki tu. Kalau kau nak ambik je ler” ujarku geram.
“Kau jangan menyesal nanti Anis” ujarnya memberi peringatan kepadaku. Kutulikan telinga. Aku meneruskan kerjaku. Tepat 4.00 petang segalanya selesai. Aku menarik nafas lega. Terasa lenguh seluruh anggota tubuhku. Kucapai fail tadi. Daun pintu kuketuk.
“Masuk...” arah suara lelaki itu. Aku terus melangkah masuk. Kuletakkan fail tadi di mejanya. Disebabkan tekun sangat buat kerja, dia langsung tidak mengangkat mukanya. Letih – letih aku buat semua ini namun dia tidak pun mengucapkan terima kasih kepadaku. Dasar firaun. Tanpa bercakap apa – apa, aku terus melangkah keluar. Ada juga baiknya dia langsung tidak bersuara. Tidak juga sakit telingaku ini hendak mendengar leterannya. Syukur ...... syukur.......
No comments:
Post a Comment