BAB 1
Hari ini merupakan hari pertama aku melangkah ke kolej setelah bercuti beberapa bulan lalu. Buat pertama kali ini juga aku melangkah ke alam asrama. Maklumlah setelah sekian lama bertapa bersama abah dan mama, melangkah pula ke kolej ini sebaik sahaja permohonanku untuk meneruskan pengajianku diterima dua minggu lalu.
Tiba di sini, aku bagaikan orang asing. Semua pergerakanku terasa kekok, hendak harapkan geng kamcengku, batang hidung pun tidak nampak. Masing – masing mencari haluan sendiri. Minggu pertama pengajian, bermakna Minggu Suai Kenal menanti. Ini memang prosuder kolej ini yang wajib dilalui oleh pelajar junior. Ingat saja perkara ini, aku jadi bingung. Teman – teman yang sudah melaluinya mengatakan lebih banyak pahitnya daripada manis. Pasal adegan menyakitkan ini, aku anti habis. Terfikir juga aku hendak mendaftar lewat sikit, tamat saja minggu episod buli membuli itu, tetapi abah aku itu lain sikit. Satu katanya, satulah jawabnya. Mahu tidak mahu aku terpaksa akur saja.
Pagi tadi, abah dan mama yang hantar aku ke sini. Maklumlah anak bongsu katakan. Usai saja pendaftaran dan menghantar aku ke asrama puteri, abah dan mama pun pergi meninggalkan aku dalam keadaan terkial – kial. Pertama kali dalam sejarah hidupku tinggal di asrama dan berjauhan dengan keluarga. Mahu saja rasanya aku meraung menangis. Namun setelah difikirkan banyak kali perasaan malu pula terbit.
Maka terpaksalah aku bertahan dan menjeruk tangisan hatiku. Aku bukan anak kecil lagi, sudah besar panjangpun. Itulah yang sering abah hujahkan untuk mematahkan kata – kataku setiap kali menyangkal niatnya yang mahukan aku tinggal di asrama. Apalah abah ni! Nak kata tak mampu tampung harga petrol yang semakin naik mustahil pula. Sepanjang aku bergelar pelajar dulu pun drebar abah yang hantar ambil. Maklumlah anak bisnesman unggul. Kononnya, nak jadikan aku seorang yang boleh berdiri di atas kaki sendiri, sebab itulah abah dan mama beriya – iya benar hendakkan aku tinggal dia asrama. Alah, nak buat alasan tidaklah sekukuh Tembok China Selatan! Aku berani kata begini sebab selama ini pun aku hidup dengan langkah sendiri tanpa dipimpin. Maksudnya aku boleh hidup berdikari ler tu...he..he...!
“SL 030!”Alah, nombor akulah! Buat tidak dengar sajalah.
“Anis Aniza!” suara lantang senior memecah gegendangku. Aku memandangnya. Ah, naik benci aku tengok mukanya! Ingat handsome sangat dia itu! Asyik – asyik aku saja yang dikenakannya. Macamlah tiada orang lain lagi.
“Buat apa tercengat kat situ? Cepat ke depan!” perintahnya. Semua mata memandang ke arahku. Akibatnya, mukaku merah merona. Tebalnya. Dengan hati yang bengkak ditambah lagi dengan langkah beratku, aku melangkah ke depan meninggalkan kelompok teman – teman. Beberapa orang senior yang menggelolakan aktiviti petang ini memandangku dengan senyuman kambing. Menyampah aku tengok!
“Kenapa berdiri di depan tu saja, naiklah ke pentas” perintahnya kasar. Tadi minta aku ke hadapan saja. Sekarang diperintah pula naik ke pentas. Salah dia juga tidak buat arahan betul – betul. Senang – senang pula nak herdik orang. Omelku sendiri dengan hati yang kian membengkak. Kenapalah aku dipertemukan dengan manusia persis dirinya? Lelaki yang sering bertindak tidak munasabah, angkuh dan sombong. Hendak kata handsome sangat..... boleh ler! Iras – iras Adi Putra.
“Ingat anak orang kaya boleh terlepas ke?” Sakitnya hatiku. Kalau tidak ingatkan dia ini seniorku, sudah lama aku tampar mulut celuparnya ini. Aku bukan tidak biasa belasah orang yang kurang ajar. Di sekolah dulu pun orang yang bukan calang – calang tidak berani usik aku, ini kan pula hendak peril aku! Bedebah betul mamat seekor ini!
“…. kerana adik manis nie lembik, tak faham – faham jua, apa kata kita suruh dia menari. Setuju?” soalnya sambil senyum – senyum memandangku. Wajahku berubah serta merta. Sumpah seranah dan kutukan kulemparkan bertimbun – timbun. Gila! Budak ini memang gila. Dia ingat aku ini apa? Penari Kelab Kebudayaan? Tukang geleknya? Hamba abdi? Aku memandangnya dengan seribu kebencian. Ya Allah, kenapalah aku harus dipertemukan dengan budak ini? Tiada siapakah yang sudi menolongku, membelaku?
“Setuju!!!!” suara – suara bergema menggemparkan dewan. Ya Allah, aku ini langsung tidak tahu menari. Senakal aku pun tidak pernah goyang punggung. Muzik mula bergema. Aku masih lagi terpacak macam tunggul tidak bergerak – gerak.
“Tunggu apa lagi?” satu suara senior lain mencelah.
“Boy, mungkin dia nak kau menari sama” senior seorang lagi menyampuk.
“Okey tak jadi masalah kalau nak abang temankan. Jom …..” Sejak bila pula mama lahirkan dia! Perasan! Si Bedebah ini terus menari di depanku. Pandai tidak pandai, akhirnya terpaksa juga aku menggoncang tanganku dan mengatur tempo langkahku. Tidak kiralah langkahku sumbang atau tidak, yang aku tahu saat ini dewan menjadi riuh rendah dengan tepuk sorak disusuli dengan usikan senior. Ya Allah betapa kekoknya tingkahku! Mati saja muzik, aku terus melangkah meninggalkan pentas tanpa menunggu arahan seterusnya. Mukaku panas membahang.
“Pagi esok jangan lewat lagi. Kalau lewat ada hukuman menanti anda” senior itu mengingatkan sebelum kami berbaris meninggalkan dewan.
AKU menghempaskan tubuh ke tilam. Letih disebabkan rehat tidak cukup. Hati pun belum sembuh, masih sakit dan kian membengkak.
“Nis, aku rasa senior seorang tu minat kat kau leh” komen Liza roomateku.
“Jangan merepeklah Liza. Orang macam tu tak masuk langsung dalam senarai” bentakku geram. Jauh – jauhkan! Selisih 44 malaikat! Aku tidak terfikir langsung untuk memberikan sekeping hatiku ini kepada lelaki seperti dia. Bahkan walau berjuta keping hati yang kumiliki, aku juga tidak akan menyerahkan kepadanya walaupun sebesar kuman.
“Berdendam nampaknya kau ni, Nis”
“Itu aku punya pasallah” balasku acuh tak acuh.
“Dia tu taklah sekejam yang kau sangkakan” belanya. Liza macam tahu pula apa yang bergolak di hatiku. Aku diam.
“Dia hanya jalankan tugasnya” belanya lagi.
“Kau nak bela dia ye…” marahku.
“Bukan gitu….”
“Eleh, jalankan tugas pun takkan aku seorang je jadi sasaran! Orang lain takde ke? Kalau nak dikata balas dendam tak pernah pun aku buat salah kat dia”
“Betullah aku kata, ada udang di sebalik mee”
“Jangan nak mimpilah” Liza tersenyum lalu meninggalkan aku.
Episod yang paling aku benci tiba lagi. Petang ini seperti biasa kami akan berkumpul di dewan. Aku dan Liza tidak pernah berenggang. Walaupun usia perkenalan kami baru mencecah empat hari, namun kami sudah serasi. Syukurlah gadis bermata sepet ini bersamaku. Kalau tidak menangis tidak berlagulah aku padahnya. Usai menyanyi lagu 'Negaraku' dan 'Ibu Pertiwiku' serta melafaz ikrar, semua tawanan duduk. Kira kami inilah tawanan pada masa ini.
Aku menatap wajah seorang demi seorang senior di depanku. Ah, leganya! Penyamun seorang itu tidak berada di sini sekarang. Kulirik mataku kepada Liza. Kuberi isyarat sambil tersenyum. Pastinya dia cukup faham dengan maksud tersirat dari pandanganku itu. Tunggu punya tunggu, aktiviti belum bermula lagi. Aku sudah mula bosan duduk lama – lama. Siapalah gerangan yang ditunggu – tunggu ini?
“Kenapa belum mula nie?” bisikku pada Liza.
“Dengar perbincangan senior nak tunggu ketua mereka datang”
“Menyampah! Ketua tak guna, tak boleh diharap. Bagaimana dia boleh jadi pemimpin sedangkan dia tak berdisiplin?” komenku radang. Sebetulnya aku mahu saja aktiviti petang ini dimulakan segera agar penamatnya juga lebih cepat. Harapanku hanya satu iaitu aku tidak mahu terlalu lama di sini. Semakin banyak masa terluang di sini, maka semakin tinggi keberangkalianku bersua dengan lelaki kejam itu! Sudah pasti juga lebih banyak perkara yang menyakitkan dan mendidihkan hatiku bakal berlaku. Letusan gunung berapi hatiku akan kian merebak. Dikesempatan yang ada, aku mengambil masa mengemas tali kasutku. Gara – gara bergegas tadi, ikatan tali kasutku tidak menentu.
“Semua bangun! Ucapkan selamat petang kepada abang senior!” tiba – tiba kedengaran suara Kak Ida salah seorang senior mengarahkan bangun. Aku turut bangun. Tatkala mataku terpandang sesusuk tubuh yang berdiri di hadapanku sekarang serta merta sakit hatiku membengkak kembali. Bencinya! Kukunci rapat mulutku. Tidak sudi aku hendak melafazkan ucapan selamat petang kepadanya. Laju saja aku memalingkan mukaku.
“SL 030 tak ucapkan selamat petang pun! Ucapkan sekarang!” arahnya. Aku diam. Masih cuba berdegil malah tanda satu protes dan pembuktian diri yang cuba kunyatakan bahawa aku amat membenci dirinya. Dia menanti – nanti ucapan itu terbit dari mulutku. Liza menyiku tanganku. Akhirnya aku terpaksa mengalah lagi. Untuk kesekian kalinya hatiku terdera lagi.
“Selamat petang abang senior!” ujarku separuh menjerit.
“Bagus! Macam tulah yang saya nak” ujarnya tersenyum sinis memandangku. Dalam hati sejuta kali aku menyumpahnya. Berbakul – bakul rasa benciku kepadanya! Ingin sahaja aku melaungkan kebencian ini agar dia tahu lantas tidak akan menyebut sebaris namaku itu lagi. Barulah tika itu hatiku tenang dan damai. Namun apakan dayaku, namaku telah melekat di bibirnya lalu sesuka hatinya dia melontar nama itu. Natijahnya, jiwa ragaku terseksa.
###################################
Balik dari kelas malam, aku duduk termenung sambil menongkat dagu merenung bulan di langit. Liza, teman sebilikku sudah lama dibuai mimpi. Tinggallah aku sendirian melayan perasaan yang tiada penghujungnya. Banyak kali sudah kulirik jam di tangan. Detik dua belas malam yang kunanti kian hampir. Seperti tahun yang sudah, aku mengulangi perkara yang sama menanti detik 12.00 malam yang begitu menyeksakan. Maka detik ini juga terhurai tragedi 14 April tahun lalu yang masih segar diingatanku. Sesungguhnya sampai bila pun aku tidak akan melupakannya.
Anak jarum mencecah ke angka 12.00 malam. Aku bingkas bangun dari duduk lantas melangkah ke lokerku. Kotak baldu yang kujaga ibarat nyawaku sudah berada di tanganku. Perlahan kubuka. Kilauan sinaran permata itu memukauku seketika. Kurenung lama – lama. Terasa ada getaran pada jari – jemariku tatkala menyarungkan gelang bertakhta permata putih ini dipergelangan tanganku. Tanpa kupinta, air mataku mengalir. Kucupanku perlahan – lahan singgah pada gelang ini.
Ya Allah, sesungguhnya kau lebih menyayanginya sehingga menjemputnya lebih awal dari jangkaanku. Pada saat aku belum cukup bersedia. Bayangan Sharol kembali bermain di ruang mataku. Entah, apa silapnya, balik saja dari meraikan brithdayku, petang itu aku dikejutkan dengan panggilan yang meminta aku segera ke hospital. Tiba di hospital, rohku melayang entah ke mana. Terasa terlalu kerdil melihat orang yang kusayang terlentang kaku. Gelang inilah satu – satunya peninggalan Sharol bersama dengan cinta sejatinya yang tersemat di jiwaku. Seperti tahun lepas, malam ini aku meraikan ulang tahunku bersama tangisan sehinggalah aku terlena.
Entah, apa mimpiku, pagi – pagi buta begini teringatkan mama dan abah di rumah. Terasa rindu pula kepada mereka. Tanpa mengemaskan tempat tidur, aku bingkas bangun mencapai duit syiling. Liza terkebil – kebil melihatku.
“Kau nak ke mana?” tanyanya antara kedengaran dan tidak. Kucapai jaket yang tergantung lalu kusarungkan ke tubuhku.
“Aku rindukan mama dan abah. Aku mahu telefon mereka” terangku.
“Hah…..! Sekarang baru pukul 5.00 pagi, takkan kau nak pegi public phone kat depan blok tu awal buta begini. Nanti tertangkap niaya kau”
“Kalau siang nanti tentu singa jantan tu nampak. Tak dapatlah aku telefon sebab masa nie tengah darurat. Segala – galanya dilarang, tak masuk akal betul!” marahku tidak puas hati. Entah peraturan kuno mana yang mereka guna pakai masa ini. Langsung tidak logik menghalang pelajar berhubung dengan sesiapa saja termasuk ahli keluarga sepanjang Minggu Suai Kenal ini berlangsung.
“Kan dua hari lagi telefon kita dikembalikan. Mustahak sangat ke kau nak telefon nie?” soal Liza dengan biji mata yang terkebil – kebil. Gara – gara peraturan yang pelik dan tidak masuk akal, aku tiada pilihan lain memandangkan telefon bimbit kami masih berada dalam simpanan biro Minggu Suai Kenal sekarang yang sedang dikurintin.
“Aku nak buat surprise kepada mereka sempena 14 April nie” Liza mendongak wajahku.
“Brithday kau?” pantas dia bertanya. Aku mengangguk. Liza bingkas bangun dan terus memelukku sambil mengucapkan selamat hari jadi kepadaku.
“Kenapa kau tak cakap awal – awal? Kalau tak boleh juga aku beli hadiah untuk kau” luahnya kesal.
“Takpelah asalkan kau rahsiakan perkara yang aku buat subuh - subuh nie dari pengetahuan senior” pintaku. Liza diam seketika.
“Kau harus hati – hati Nis. Aku takut nanti Boy terserempak kau”
“Apa kena mengena dengan dia!” Mendengar saja sebaris nama itu aku mula naik berang. Menyala – nyala hatiku bagai dicucuh api.
“Kau nie macam tak tahu pula yang dia tu ketua exco asrama. Dia selalu buat spot check. Sekiranya terserempak dengan dia nanti, naya kau” ujarnya memperingatkan aku.
“Alah, pandailah aku elak tu nanti” jawabku angkuh sambil melangkah keluar. Aku memang terkenal dengan sikap degilku. Apa yang kukata pasti akan kukota. Usai menelefon, aku berlari – lari anak balik ke asrama. Puas hatiku selepas berbual – bual dengan mama. Hampir juga aku terperangkap dan bertembung dengan senior singa itu. Nasib baik aku cepat bersembunyi. Kalau tidak matilah aku. Hairan juga apa dia buat awal subuh ke surau itu? Barangkali ingin bertaubat atas dosanya rentetan tingkahlaku dan budi bicaranya yang gemar sangat memporakperandakan kedamaian hidup orang lain.
“Bagaimana?” tanya Liza sebaik saja terpancul wajahku di muka pintu. Nafasku masih tercungap – cungap. Aku telah membuat larian pecut tadi semata – semata untuk lari daripada tertangkap oleh lelaki yang kaya dengan perasaan amarah itu.
“Alhamdulillah… nasib baik tak bertembung dengan singa jantan tu” ujarku masih termegah – megah keletihan.
Tepat 06.00 pagi, kami berbaris ke dewan untuk sarapan. Name tag besar yang tergantung di leher betul – betul menyusahkan aku saja. Seperti biasa sebelum sarapan, kami mesti menyanyi dan ikrar lagi. Pagi ini entah apa lagi kesalahanku. Aku diminta menemui senior musuh ketatku itu. Belum lagi mengisi perut sudah dipanggil. Boringnya! Kenapalah mulut celupar itu suka sangat hendak menyebut namaku ini?
“Selamat pagi abang senior. Apa yang perlu saya buat?” soalku sesuku hati. Pertanyaan yang keluar dari mulutku ini betul – betul dalam keadaan terpaksa. Dia berpaling menatapku. Sesungguhnya terlalu berat untukku mengutarakan soalan itu, tapi apa boleh buat kami hanya dibenarkan bertanya begitu kalau dipanggil senior. Soalan yang menyakitkan. Ibarat seorang hamba yang bertanya kepada tuannya.
“Tak pandai beri salam ke?” Kasarnya suara. Aku kaget. Cuba kutahan benteng kesabaranku.
“Semula! Ucapkan seperti mana anda seorang muslimah” arahnya.
“Assalamualaikum abang senior” ujarku serius. Dia merenungku. Tanpa perasaan gentar aku melawan renungannya itu. Biar dia tahu betapa bencinya aku kepadanya.
“Saya nak tahu, apa yang kamu buat awal pagi tadi?” Aku tersentak. Bagaimana dia tahu? Liza? Tidak mungkin. Sejak pagi tadi Liza belum lagi berpisah denganku. Liza tak akan mengkhianatiku.
“Tak dengarkah?” tengkingnya. Aku terkejut beruk. Bukan main lagi garangnya dia pagi – pagi ini. Semua yang sedang berada di sekitar dewan melontar pandangan ke arah kami. Terasa kesabaranku sudah dicabar. Aku terus diam.
“Dah tahu peraturan di kolej ini tidak dibenarkan pelajar junior menelefon sebelum tamat Minggu Suai Kenal nie. Belum faham lagi dengan peraturan kolej atau sengaja nak tunjuk hebat!” nada suaranya tinggi. Aku tetap diam. Kugenggam jari – jemariku menahan sabar. Kutarik nafas dalam – dalam. Teman – teman mencuri pandang. Tidak berani hendak terus – terusan memandang takut terkena tempias kemarahan lelaki ini.
“Anis faham tak?” ulangnya dengan suara yang lantang. Aku masih juga memakukan diri. Pandangan kulontar menjauhi wajahnya. Sungguh aku tidak sudi menatap wajah itu walau hanya sekilas pandang.
“Nak melawan ye. Tengok tu siap pakai barang kemas lagi. Hoi, cik adik di sini bukan tempat nak show diri kaya tau!” tajamnya bicara itu. Ya Allah, baru aku sedar rupanya aku masih memakai geleng semalam. Betul – betul aku terlupa menyimpannya. Melihat reaksinya, pantas tanganku menepis tangannya yang hendak mendarat namun aku gagal mengelak. Hasil regutannya yang kuat, gelang di tanganku bercerai lalu terhempas ke simen. Permata itu tergolek – golek meninggalkan aku.
“Jangan!” Aku terjerit membuatkan semua yang berada di dewan menoleh ke arah kami. Dia memandangku. Air mata sudah jatuh berderai di pipiku. Tanpa menunggu lebih lama di situ aku terus berlari keluar dari dewan.
“Anis!” laung Liza memanggilku.
“Biarkan dia!” laung senior yang tidak berhati perut itu. Aku berlari balik. Tiba di asrama aku menangis lagi sepuas – puasnya. Habis bantalku disimbahi air mataku. Benciku kepada singa jantan itu telah mencapai tahap kemuncaknya. Sakit hatiku dengan sikap penyibuknya. Apabila mengenangkan gelang itu hatiku kian sayu. Tanpa kusedari rupanya Liza sudah berada di bilik ini menyaksikan gelagatku. Belakangku diusap lembut.
“Sabarlah Nis……..” suaranya lembut saja.
“Kenapa aku seorang saja yang disakiti dan dimusuhinya?” ujarku tersedu – sedu. Serentak aku teringatkan Sharol. Kalaulah dia masih ada, aku tidak akan dibiarkan begini, menghadapi keperitan seorang diri. Namun walau apapun yang terjadi, aku terpaksa terima hakikatnya bahawa Sharol telah meninggalkan aku untuk pergi buat selama - lamanya. Aku tidak mampu menghalang kepergiaannya itu rentetan sudah kehendak yang Maha Kuasa.
“Dia minta aku berikan ini pada kau”
“Siapa?”
“Ee… Boy” Sepantas kilat tanganku menepis. Liza terkejut, air di gelas terhumban ke tepi.
“Apa saja tentang dia jangan cakap depan aku. Aku tak nak dengar nama dia!” tegasku. Aku terus melangkah ke bilik air untuk membasuh sisa air mataku. Sia – sia sahaja aku menangis kerana lelaki kejam itu. Sebetulnya aku menangis kerana kenanganku bersama Sharol telah diceroboh oleh lelaki yang kubenci itu. Sepanjang hari itu aku hanya berdiam diri.
AKU menarik nafas lega apabila teringat petang ini merupakan aktiviti terakhir. Entah, apa pula aktiviti yang bakal aku lalui nanti.
“Pagi tadi ketua pengawas tak puas hati dengan kamu. Kamu kena bersihkan kawasan ini” ujar gadis itu.
“SL 030!” panggilnya. Aku menoleh. Kuarahkan Liza bergerak dulu.
“Maaf ye. Awak kena bersihkan kawasan di sana. Ini arahan Boy” Terasa panas membahang mukaku mendengar sebaris nama itu. Memang aku cukup alergik dengan nama itu. Aku tahu gadis ini juga serba salah. Aku tidak patut salahkan dia kerana dia juga menerima arahan daripada ketuanya. Anggaplah kerja yang kulakukan ini atas arahan gadis ini sendiri, bisik hati kecilku cuba menenangkan hati. Pastinya kalau lelaki itu yang mengeluarkan arahan tentunya berat hatiku untuk melaksanakannya. Aku tidak boleh bertindak seikhlasnya kalau perkara itu ada kaitan dengan singa jantan itu.
“Saya pun tak faham, kenapa Boy terlalu mendera awak” luahnya simpati. Aku cuba senyum. Memujuk hati agar bertenang sahaja.
“Takpe kak. Saya boleh keja kat situ” balasku akur. Teman – teman yang lain sudah mula bekerja.
“Boleh saya mulakan sekarang?” pintaku. Dia mengangguk sambil tersenyum ikhlas.
Inilah pengalaman pertamaku memegang sabit dan berdiri dalam semak samun di bawah terik matahari. Aku menghayunkan sabit tanpa ikut tempo irama yang betul. Ternyata rumput ini liat untukku tebas. Mungkin juga tidak kena dengan caraku. Selama ini aku hanya memerhatikan Pak Jamal tukang kebun kami melakukan kerja ini. Baru kutahu betapa sukarnya kerja ini. Kukesat peluhku yang mula giat mengalir. Kalau Boy tengok keadaanku sekarang tentu dia tersenyum puas kerana telah berjaya menderaku.
“Adik, cara adik tu salah. Begini baru betul!” laung seorang senior lelaki yang tidak berapa jauh dariku. Aku tersenyum lucu. Cuba kutiru tunjuk cara yang dipamerkannya sebentar tadi. Ternyata berkesan. Pantas saja aku melemparkan senyumanku kepada pemuda itu tanda ucapan terima kasihku atas pengajaran dan pembelajaran sebentar tadi.
“Berkesankan……” Aku mengangguk dan tersenyum lagi.
“Comel dia tu”
“Memang dari awal dah aku menyedarinya tapi …….”
“Tapi apa pula?”
“Kalau kau ada hati nak pikat dia, baik kau lupakan saja”
“Kenapa? Dia dah berpunya ke?”
“Entahlah ……..”
“So, perkara yang kau kata sebentar tadi?”
“Kelmarin Boy dan Redzuan hampir – hampir bergaduh di asrama kerana gadis itu. Boy warning kitaorang agar jangan dekat dengan Si Anis tu”
“Dia girlfriend Boy ke?” Pemuda itu angkat bahu.
“Boy tu pelik. Kalau katakan suka takkan kenakan budak itu lebih – lebih”
“Yalah, sepatutnya dia cuba ambik hati Si Anis tu agar tertarik kepada dia. Ini tidak, buat gadis itu sakit hati adalah” sahut seorang lagi mengomen.
“Mungkin nie cara abad baru nak pikat gadis”
Mereka ketawa. Aku yang mendengar setiap patah perbualan mereka itu berasa sakit hati. Boy ingat aku ini apa! Senang – senang saja nak tentukan siapa kawan – kawanku. Aku boleh buat sesuka hatiku. Siapa saja boleh berkawan denganku. Kuhayun sabit dengan penuh geram. Kalau Boy ada di depanku saat ini pasti kuhayun kepadanya. Biar mengena kepalanya, biar putus kepalanya itu. Biar dia mati agar tiada siapa yang mengganggu aku lagi. Kalau Malaysia ini tiada undang – undang, mahu juga rasanya hendak aku tamatkan riwayatnya itu. Betapa bencinya aku kepada manusia yang bernama Boy itu!
“Okey, berhenti!” laung seorang pengawas.
“Letihnya…….” keluh Liza merapatiku. Aku mengangguk. Rasanya tidak mampu lagi aku menyahutnya. Berjemur di bawah terik mentari membuatkan penglihatanku tampak gelap. Pandanganku berpinar – pinar dan berputar belit. Kupaut lengan Liza.
“Kenapa? Kau okey?” soal Liza cemas.
“Aku pening Liza” luahku tidah mampu bertahan lagi. Pandanganku kian kabur. Aku sudah tidak mampu mengimbangi tubuhku. Bupp! Aku tersungkur menyembah bumi. Seterusnya aku tidak ingat apa – apa lagi. Segalanya hanya kelihatan gelap gelita.
“Anis….!” Liza menjerit ketakutan. Ramai orang mula mengerumuni. Beberapa orang senior yang berada di situ berlari memberikan bantuan. Dia yang memerhatikan dari jauh turut berlari menghampiri. Sebenarnya dari tadi dia asyik memerhatikan gadis itu sehinggalah dia nampak apa yang terjadi kepada gadis itu.
“Ke tepi!” arah satu suara. Orang yang berkumpul tadi mula bersurai. Liza mendongak kepada empunya suara lantang itu. Terdetik kehairanan di hatinya dari mana pula munculnya pemuda ini. Namun tidak sempat di fikirkannya. Anis harus diberi rawatan segera, bisiknya.
“Anis………..” dipanggilnya nama itu sambil menepuk –nepuk lembut sekujur wajah pucat lesu milik gadis itu. Anis masih tidak bergerak mahupun memberikan sebarang tindak balas. Diulanginya lagi. Masih tiada sebarang tindak balas yang ditunjukkan oleh gadis itu.
“Ambik air cepat!” jeritnya memberi arahan.
Air yang ada di tangannya dipercikkan ke wajah gadis yang berada dalam pangkuannya itu. Terasa sejuk. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Berpasang – pasang mata sedang tunduk menatapku. Kutoleh ke sisiku, Liza tersenyum memandangku. Bermakna aku tidak berbantalkan paha Liza. Kudongak ke atas. Aku nampak seraut wajah itu. Ya Allah bermimpikah aku? Aku cuba bangun tapi tidak berdaya. Mahu saja rasanya aku menjerit kepada Liza agar jangan biarkan aku terbaring di paha lelaki ini tapi suaraku tersekat di kerongkong. Dia musuhku, Liza! Masakan kau sudah lupa betapa menggunung benciku terhadap lelaki ini! Menatap wajahnya sudah aku tidak mampu, inikan pula terbaring sebegini! Tolong aku! Tolong bawa aku lari jauh – jauh daripada lelaki ini! Aku cuba bangun lagi. Namun masih tidak berdaya. Sungguh aku lemah.
“Jangan banyak bergerak. Awak masih lemah” ujarnya lembut tidak seperti selalu. Tanpa berkata apa – apa, tanpa kuduga dia terus saja mendukungku membawa pergi entah ke mana. Tiba – tiba wajah Sharol muncul. Aku terbuai. Sharol pernah memperlakukan aku sedemikian. Sharollah lelaki pertama yang mendukungku. Kiranya Sharol jugalah lelaki terakhir akan mendukungku sebegini. Aku tersentak. Dia bukan Sharol tapi lelaki yang seringkali membuatkan aku murka dan berduka. Lelaki ini cuba mencelah dalam memoriku bersama Sharol. Dia musuhku! Liza tersenyum mengekoriku dari belakang.
“Kamu jaga dia. Kalau dah rasa okey baru balik asrama” ujarnya dan berlalu meninggalkan bilik rehat ini.
Liza tersenyum mengusikku. Aku menggenggam jari jemariku sambil mengetap bibir menahan geram. Sakit hati mengenang adegan sebentar tadi seakan – akan dia menjadi hero cuba menyelamatkan heroinnya. Dia hanya berlakon menjadi lelaki yang gentleman. Barangkali juga dia berniat mengambil kesempatan atas ketidakberdayaanku.
“Kau dah okey?” soal Liza dalam senyuman. Senyuman yang dapat aku fahami akan maksudnya. Namun aku tidak akan ambil kisah dengan senyuman itu. Kebaikan yang cuba ditunjukkan oleh lelaki itu langsung tidak berbekas di hatiku mahupun buat aku terharu dan teruja.
“Kenapa kau biarkan dia memperlakukan aku sedemikian” bantahku. Liza tertawa kecil. Tangannya pantas saja mengurut – urut bahuku cuba menenangkan aku.
“Dia buat baik kat kau, takkan aku nak halang pula. Kau patut berterima kasih pada dia, Nis” tegur Liza lengkap dengan nasihatnya.
“Jangan nak mimpi ler! Apa yang dilakukannya hari nie belum cukup menebus dosanya kerana mendera aku selama dua minggu nie. Kau harus ingat kejadian hari nie pun berpunca daripada dia” tegasku. Aku dan Liza berhenti berbicara. Cuba kami teliti suara pertengkaran kecil itu. Suara lelaki dan perempuan. Suara lelaki yang tidak asing diperdengaranku, malah suara yang seringkali aku halau dari halwa telingaku, kerana suara itulah yang telah menggoncang ketenangan hidupku tatkala menjejakkan kaki ke kolej ini.
“Kau dah keterlaluan Boy!” bentak satu suara perempuan. Kini bagaikan dia sedang berbicara sendirian. Tiada lagi suara lelaki itu menyahut kemarahannya.
“Cukuplah. Jangan nak dera gadis tu lagi” Kali ini suara itu sudah bernada lembut. Aku tersenyum sendiri. Gembira.
“Tapi nie Minggu Suai Kenal, kita mesti beri pengajaran kepada mereka” bantahnya berdegil sekaligus membuakkan kembali kemarahanku.
“Mereka? Bukan mereka tapi dia seorang Boy. Tentu kau dapat bezakan antara dia dengan mereka kan” lirih saja suara itu.
“Aku ketua kamu. Aku boleh buat apa aku suka!” sahut suara itu angkuh sekaligus menampakkan dirinya sebagai pemimpin diktaktor dan berhati kejam.
“Kita ada garis panduan yang pihak kolej beri” Suasana sepi seketika. Aku dan Liza berpandangan.
“Jangan pula kau jadikan Minggu Silaturahim nie sebagai permusuhan” nasihat suara perempuan itu. Senyap.
“Kalau terjadi apa – apa kepada gadis itu, siapa yang akan susah dan bertanggungjawab. Tentu kita juga bukan” tambah suara perempuan itu lagi.
“Biar aku yang bertanggungjawab” tegas suara itu menyahut. Kemudian senyap lagi. Aku dan Liza terus menanti suara dari sana namun sepi itu berterusan. Kupandang Liza. Aku tersenyum puas. Sesungguhnya, ada juga yang berpihak kepadaku.
novel ini adaptasi cerpen 'PuteraKU SeteruKu' dengan kisah yg lebih panjang. hrp2 pembaca happy membacanya.
ReplyDelete