Aku memalingkan wajah ke tingkap di sisi. Kulontar pandangan keluar. Sejak kereta ini mula bergerak, aku dan Yen masih membisu. Masing-masing tidak mahu memulakan bicara. Teringat aku pada teman-teman di RCC yang aku tinggalkan tadi. Pasti kemunculan Yen mengundang banyak persoalan mereka. Harap-harap Linda hanya mendiamkan diri. Aku berharap sangat Linda akan menyimpan rahsiaku dengan pemuda Korea ini. Timbul kesal dengan kemunculan Yen di RCC tadi. Sekarang terpaksalah aku menanggung segala tuduhan Velviana itu. Logiknya tuduhan Velviana terhadapku memang berasas.
“Tak sangka betul Iman rampas kekasih orang. Memang patut dia buat macam tu sebab lelaki itu handsome. Kamu bukan tak tahu Iman tukan memang gila dengan Korean guy...!” sayup-sayup kedengaran suara-suara yang menyerupai suara teman-teman di RCC berbisik di telingaku. Ohh... tidak sanggup aku menerima semua tuduhan ini! Aku mengeluh dan geleng-geleng kepala. Pantas tanganku memegang kepala yang terasa sakit. Dahiku berkerut-kerut.
“Are you okay?” soal Yen sambil menatapku. Pertanyaan itu aku abaikan. Patutkah dia menyoalku sedemikan? Tidak nampakkah dia dengan keadaanku sekarang? Kukemaskan posisi tubuh lalu kupejamkan mata.
“Saya bawa awak pergi ke klinik,” ujar Yen lagi.
“Tak payah. Kat rumah ada first aid. Saya boleh rawat sendiri nanti,” balasku berdegil. Kedengaran keluhan Yen.
“Kalau awak boleh rawat sendiri, kenapa awak biarkan Encik Rizal merawat awak?” sinis suara Yen. Aku masih memejamkan mata. Tidak berminat menjawab bicara Yen.
“Iman ssi, betul ke Encik Rizal tu jadi kekasih awak sekarang?” Aku mengangkat kelopak mata. Masih tidak memandang wajah Yen. Terkejut aku dengan pertanyaan Yen. Pengakuan Encik Rizal kedengaran kembali. Hairan. Bagaimana Yen mengetahui semua ini? Aku mengeluh.
“Awak dan Velviana selalu bertindak sesuka hati. Memang begini ke tabiat orang kaya?” tuturku sendirian.
“What...!” Yen sedang merenungku tajam. Kupejamkan mata kembali. Sunyi sepi. Keadaan ini berlanjutan sehingga kereta Yen berhenti. Aku membuka mata. Laju aku melangkah keluar lalu mendahului Yen masuk ke dalam banglo mewah ini.
“Iman ssi...!” panggil Yen. Langkahku mati di anak tangga kedua. Aku berpaling ke arah Yen. Pandanganku dengan Yen bertembung.
“Saya belum sarapan dan belum makan tengah hari lagi,” ujar Yen.
“Sebab ni ke awak call saya banyak kali tadi?” soalku meminta kepastian. Yen mengangguk.
“Saya lapar ni. Pagi tadi awak tak sediakan sarapan,” tambahnya berbicara.
“Dengan keadaan saya begini awak masih ada selera nak makan,” tuturku sinis. Terkilan aku dengan sikapnya yang tiada perasaan simpati dan prihatin itu. Aku mengeluh.
“Mwo (apa)...!” Terkebil-kebil Yen menatapku.
“Beri saya masa 10 minit untuk menyiapkan diri sebelum saya ke dapur,” pintaku lalu menyambung langkahku ke bilik meninggalkan Yen di situ.
HAMPIR 10 minit aku dan Yen berada di meja makan ini menikmati hidangan makan tengah hari yang agak terlewat. Sunyi sepi. Tiada suaraku mahupun suara Yen berbicara. Aku meneruskan kunyahan tanpa menghiraukan sesekali lirikan anak mata Yen yang mencuri pandang ke arahku.
“Saya rasa kita patut fikirkan semula hubungan kita. Kita patut dengar nasihat Linda,” ujarku memecah kesunyian.
“Kenapa dengan awak ni?” soal Yen kurang senang. Kuletakkan sudu di pinggan tidak jadi meneruskan suapan seterusnya.
“Linda kata saya dan awak perlu fikirkan kehidupan sendiri,” sahutku.
“Iman ssi...!”
“Tak perlu kita bersusah payah berlakon menjadi pasangan suami isteri pada keluarga dan tak perlu berahsia pada semua orang tentang ikatan kita ni,” tegasku serius.
“Iman ssi...!”
“Ya,”
“Kenapa dengan awak?” soalan itu keluar lagi dari mulut Yen.
“Awak dah bosan ke hidup bersama saya?”soal Yen. Kutatap wajah Yen.
“Saya kasihan dengan Velviana. Dia begitu mencintai awak,” luahku. Velviana sanggup ketepikan maruah semata-mata tidak mahu kehilangan pemuda Korea ini. Bukan sesuatu yang mudah untuk Velviana menempuhi kehidupan yang sering diburu rasa takut dan curiga semata-mata mahu memastikan kesinambungan cintanya bersama Yen. Aku tahu dia mengharapkan sangat cinta Yen kekal miliknya seorang.
“Macam mana dengan awak nanti?” Yen menatapku.
“Saya nak tumpukan perhatian sepenuhnya pada pengajian yang akan bermula tak lama lagi. Saya nak jadi mahasiswi yang cemerlang,” ujarku bersungguh-sungguh. Yen diam.
“Selepas tamat pengajian?” soal Yen terhadap perancangan masa depanku yang belum aku fikirkan terperinci.
“Saya akan berbakti kepada keluarga Pak Long dan anak bangsa. Saya mahu menjadi seorang guru yang cemerlang,” ujarku nekad.
“Lagi?”
“Saya mahu merealisasikan impian saya untuk memiliki keluarga yang bahagia,” luahku sekali gus mengulangi bicara yang pernah aku perdengarkan kepadanya dahulu.
“Bersama Encik Rizal?” sahut Yen sinis. Kutatap wajah Yen.
“Kalau dah jodoh saya bersama dia saya takkan tolak,” balasku tidak mahu menyangkal kerana urusan jodoh kuasa Allah.
“Awak jangan nak mimpi nak hidup bersama lelaki itu selagi saya tak lepaskan awak. Untuk pengetahuan awak, saya masih mahu meneruskan kehidupan sekarang. Jadi awak jangan lupa berdoalah banyak-banyak agar hati saya terbuka untuk mengubah fikiran,” tutur Yen lantang seraya bangun dari kerusi dan terus melangkah meninggalkan aku. Aku tergamam mendengar bicara dan tindakan Yen. Tampak dia terlalu beremosi. Pantang sangat dia mendengar nama Encik Rizal. Cemburukah Yen pada lelaki itu? Tidak lama kemudian kedengaran bunyi enjin kereta Yen meninggalkan halaman.
“Tunggu saya kat bawah apartment awak. Now...!” tegasnya lalu mematikan panggilan itu sebelum sempat mendengar suara gadis itu. Velviana tersentak mendengar suara lantang Yen yang singgah sekejap di telinganya. Dia mencebik bibir menahan geram diperlakukan sedemikian. Dicapai kunci apartment itu lalu mengatur langkah malas demi memenuhi bicara pemuda itu.
Senyuman lebar yang terukir di bibir demi menyambut kedatangan pemuda dambaan hatinya itu terus sahaja lenyap tatkala melihat wajah serius pemuda itu. Yen keluar dari kereta Mercedez Benz hitam metalik itu lalu bersandar di situ. Velviana datang mendekati dengan lenggang-lenggok yang manja. Tidak pedulikan raut wajah serius itu. Yang pasti dia mahukan dirinya sentiasa berpenampilan menggoda. Tangannya singgah di bahu pemuda itu. Namun tangan pemuda itu laju sahaja menjatuhkan tangan itu membuatkan wajah Velviana masam mencuka.
“Awak buat apa tadi?” soal Yen serius.
“Why? Perempuan tu mengadu kat awak ke? Saya baru je buat sikit,” sahutnya riak tanpa rasa bersalah. Tajam anak mata Yen menatap gadis itu.
“Awak kisah sangat ke saya bagi pengajaran kat perempuan tu,” lirih suara Velviana.
“Memanglah saya kisah sebab dah tanggungjawab saya nak lindungi dia!” tegas Yen dengan suara lantang. Velviana tersentak. Tidak pernah dia mendengar suara Yen sebegitu tegas.
“Awak ada tanggungjawab kat dia? Apa maksud awak?” soal Velviana menuntut penjelasan lanjut. Dia tidak tersenyum lagi.
“Iman tu my cousin. So memang dah jadi tanggungjawab saya untuk melindungi dia. Yang awak serang dia macam tu apa hal!” bentak Yen dengan wajah yang merah menahan perasaan marah.
“Yang awak marah sangat kat saya ni kenapa? Saya dah warning awal-awal kat awak jangan buat saya sangsi!” bentak Velviana tidak mahu mengalah.
“Tindakan awak tak masuk akal!” bentak Yen.
“Saya belum cederakan teruk lagi perempuan tu awak dah melenting mengalahkan boyfriend dia,” balas Velviana garang.
“Boyfriend...,”
“Yelah lelaki tu taklah marah macam awak!” Senyap. Menyerbu nama Encik Rizal di fikiran Yen. Dia sangat yakin bahawa lelaki itulah yang sedang diperkatakan oleh Velviana.
“Awak tahu, tindakan awaklah yang sebenarnya tak masuk akal. Tengok awak marah begini macamlah awak tu suami dia!” Sinis sahaja suara Velviana. Yen tersentak.
“Awak tak payah ambil berat sangat kat sepupu awak tu. Dia dah ada boyfriend. Biarlah boyfriend dia yang jaga dia,” nasihat Velviana serius.
“Tapi tak bermakna awak boleh berkasar dengan Iman,” tegah Yen memperingatkan. Velviana mendengus kasar. Betapa dia tidak berpuas hati dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Yen yang dirasakan berlebihan itu.
“Awak suka Iman?” soalan itu meluncur laju di mulutnya.
“Jangan fikir yang bukan-bukan,” tegas Yen.
“Awak tak pernah ambil berat pada orang lain tapi kalau perkara itu berkaitan Iman, cepat saja awak melenting. Ini bukan sikap awak selama ni,” luah Velviana sangsi.
“Whatever...! Ini kali terakhir saya dengar awak serang Iman. Kalau awak masih bersikap kasar begini saya takkan berdiam diri,” tegas Yen mengancam. Velviana mendengus kasar.
“Awak nak buat apa?” Yen diam.
“Saya nak balik sekarang,” tuturnya memaklumkan tanpa menjawab pertanyaan gadis itu.
“Awak nak buat apa, Yen!” Velviana melaung persoalan itu. Namun Yen tidak mengendahkannya. Dia meninggalkan gadis itu. Laju sahaja Mercedez Benz hitam metalik itu beredar dari situ. Velviana menjerit sekuat hati melempiaskan kemarahan. Beberapa orang pengawal keselamatan yang sedang bertugas berkejaran ke situ. Mereka kematian langkah. Lantas memandangnya dengan wajah yang musykil. Velviana beredar dari situ membiarkan sahaja renungan itu mengekori langkahnya. Hatinya masih panas membahang dengan perlakuan pemuda itu.
AKU menatap dahiku yang luka. Belum sempat aku tampal. Kalau Yen tidak muncul mengejut tadi pasti dahi ini sudah dirawat oleh Encik Rizal. Kuamati wajahku lagi. Mujur juga tiada calar di situ yang boleh menjejaskan wajahku. Kalau tidak mahu jatuh juga sahamku. Aku tersenyum sendiri.
“Iman ssi...,” sayup-sayup kedengaran suara Yen memanggilku bersama ketukan di muka pintu. Lantas aku membaringkan tubuh di tilam lalu menengkupkan bantal ke muka. Pura-pura tidur.
“Iman ssi... Awak dah tidur?” suara Yen kedengaran lagi. Sunyi. Aku langsung tidak menyahut panggilan itu. Kuamati betul-betul. Suara Yen tidak kedengaran lagi. Barangkali dia tidak berada di sebalik pintu itu lagi. Aku bangkit dari katil lalu berjengkit-jengkit melangkah ke arah pintu. Kuletakkan cuping teling di muka pintu cuba mengesan sebarang bunyi di luar. Cuba mengintai dari celah-celah daun pintu. Tiada tanda-tanda atau sebarang isyarat yang menunjukkan Yen masih berada di depan pintu ini. Dengan penuh berhati-hati daun pintu kukuak perlahan-lahan. Memang Yen sudah beredar. Ada sesuatu yang ditinggalkan di dalam beg kertas tergantung di tembol pintu bilik ini. Laju tanganku mencapainya lalu menutup kembali daun pintu. Kukuak beg kertas ini. Ada sebotol cecair pembersih luka, krim, kapas dan plaster. Tiada sebarang memo bertulis ditinggalkan. Aku pasti Yen mahukan aku merawat luka di dahi ini. Aku terus menghadap cermin muka. Aku menggigit bibir hingga berbekas menahan pedih tatkala cecair pembersih itu menyentuh dahiku.
Ini baru amaran kecil daripada Velviana gara-gara terjumpa aku dan Yen di perkarangan pawagam. Jikalau dia dapat tahu aku ialah isteri Yen, barangkali mahu dicabut sahaja nyawaku dari jasad ini. Aku tahu Velviana tidak akan membiarkan aku hidup tenang di sisi Yen. Pengajaran yang aku peroleh daripada kejadian ini, aku wajib mempelajari seni mempertahankan diri. Biar Velviana tidak boleh menyerangku sesuka hatinya.
Aku menarik nafas panjang. Terasa berat kakiku melangkah ke RCC. Namun aku perlu ke situ memandangkan semalam aku tidak sempat mengucapkan salam perpisahan lantaran meninggalkan teman-teman RCC dalam keadaan tragis. Aku perlu mengucapkan terima kasih kepada Encik Rizal yang sentiasa berbuat baik kepadaku. Aku perlu bersua muka dengan teman-teman sekerja memohon sejuta kemaafan lantaran selama aku bersama mereka sudah pasti ada perkara yang menyalahi naluri mereka yang aku lakukan dalam sedarku mahupun tanpa disedari. Tiada manusia yang terkecuali daripada melakukan kesalahan. Bahkan sebagai manusia biasa bukan setakat aku pernah disakiti, malah aku juga ada menyakiti perasaan orang lain. Perkara inilah yang perlu aku langsaikan dengan permohonan maaf yang tulus. Aku mengharapkan diriku tidak dibebani dengan musibah lantaran kesilapan-kesilapanku.
“Iman...,” Suzan orang pertama yang menyambut kedatanganku dengan senyuman lebar. Teman-teman lain juga turut tersenyum.
“Hey..., Iman...,” Sham tersengih-sengih menatapku. Kujejaki kerusi kosong lalu melabuhkan duduk di situ. Kedudukan yang berdekatan dengan kaunter. Kebetulan hari ini RCC lapang.
“Awak ni menolak tuah betul, Encik Rizal yang baik hati tu suka kat awak tapi awak abaikan. Tengok...bukankah menyusahkan awak sekarang,” bisik Sham mengungkit kisah semalam. Aku senyap. Tiada sebarang tindak balas kutunjukkan.
“Tak payah awak bersaing dengan perempuan ganas tu. Encik Rizal pun apa kurangnya. Dia pun handsome juga. Awak lupakan saja pemuda tu,” pinta Sham menambah bicara yang masih membangga-banggakan Encik Rizal. Aku geleng kepala. Sham sudah tersalah tanggapan. Barangkali semua warga Rozana Cupcake Conner juga tersalah tanggapan.
“Bukan macam tulah,” balasku berat hati menerima kenyataan itu.
“Awak, Sham apa tahu. Kalau saya di tempat Iman, saya pun akan buat perkara yang sama. Demi lelaki impian saya melancarkan Perang Dunia Ke-3 pun saya sanggup,” celah Suzan menangkis tanggapan Sham yang turut didengarinya itu.
“Tuler orang perempuan, selalu kutuk lelaki berdahi licin, tak boleh tengok perempuan cantik. Kamu pun sama juga. Tengok lelaki handsome terus je tak sedar yang sebenarnya ada lagi lelaki lain yang lebih baik. Kamu tak sedar ketampanan seseorang tu akan hilang dengan bertambahnya usia,” tutur Sham penuh emosi. Suzan tersengih panjang. Aku hanya mendiamkan diri.
“Tak pe Iman, jangan pedulikan kata-kata Sham tu. Saya tetap akan sokong awak. Cuma saya nak tahu je kat mana awak jumpa Korean guy tu. Awak ni memang pandai sembunyikan buah hati awak. Maklumlah handsome sangat,” tutur Suzan disambut dengan jelingan tajam Sham. Sham berlalu meninggalkan aku.
“Kalian dah salah faham. Pemuda tu bukan boyfriend saya. Dia tu anak muda makcik saya,” tuturku begitu lancar mereka cerita yang sebahagiannya sahaja betul.
“Really?” Anak mata Suzan yang sepet itu sedikit besar menatapku. Aku mengangguk.
“Jadi dia ni yang awak pernah ceritakan dulu. Pemuda yang awak panggil Jang Geun Suk tu?” soal Suzan semakin berminat. Aku mengangguk sekali lagi. Sedikit tentang Yen pernah aku ceritakan kepada Suzan.
“Awak tinggal serumah dengan dia kan?” soal Suzan lagi.
“Dia dan ibunya,” ujarku membetulkan bicara Suzan yang sebetulnya tidak perlu dibetulkan. Suzan tersenyum sendiri.
“Agaknya sebab itu gadis tu serang awak. Mesti dia juga salah faham kat awak,” ujar Suzan berandaian sendiri. Sedikit lega aku mendengar bicara Suzan. Itulah yang aku harapkan. Bukan niatku hendak terus membohongi semua orang, namun semua ini demi kebaikan Yen dan Velviana. Kenyataan ini membolehkan Yen dan Velviana terus menjadi pasangan kekasih tanpa cemuhan orang lain. Aku tidak mahu Yen dituduh suami yang curang. Begitu juga aku tidak mahu Velviana dikatakan perampas suami orang yang sebetulnya Yen itu memang hak dia. Aku yang sepatutnya tidak muncul dalam hubungan percintaan mereka. Namun demi memenuhi wasiat itu dan demi kesejahteraan keluarga Pak Long, aku dan Yen menjadi mangsa.
“Jangan-jangan cousin awak tu memang ada hati kat awak sebab tu girlfriend dia menyerang awak. Mustahil pula dia tak tahu yang awak ni sepupu pemuda tu,” tutur Suzan musykil.
“Perempuan tu tak suka saya. Awak masih ingat tak lagi kisah di kedai vcd dulu. Dia tulah yang rampas movie Korea yang saya nak tu,” ceritaku.
“Oh..., My God!” Suzan terlopong. Senyap. Aku menanti-nanti juga kalau Suzan akan terus bertanya tentang Yen. Mesti dia akan mempersoalkan bagaimana aku tidak kenal dengan sepupu sendiri tika itu. Suzan belum juga membuka mulut bertanyakan soalan itu. Namun aku sudah bersedia dengan jawapan yang bakal aku berikan kalaulah Suzan mengemukakan soalan itu kepadaku. Sekumpulan pengunjung mula menyerbu RCC memberikan kesibukan kepada Suzan. Lantaran itu perbualanku dengan Suzan terus terputus. Aku menghela nafas lega. Mujur juga Suzan tidak sedar dengan kegoyahan kenyataanku itu.
“Iman...,” Aku berpaling. Encik Rizal melambai tangan kepadaku. Syarat meminta aku bergerak ke arahnya. Kuberi syarat kepada Suzan yang aku akan beredar dari situ untuk menemui Encik Rizal. Lantas Suzan mengangguk. Terasa segan juga aku hendak bersemuka dengan Encik Rizal setelah kejadian semalam.
“Lama dah awak sampai ke?” soal Encik Rizal ramah seperti selalu.
“Taklah lama sangat,” balasku tersenyum.
“Jom temankan saya minum petang,” pintanya. Aku mengangguk lalu melangkah beriringan dengan Encik Rizal. Sempat juga aku melihat senyuman teman-teman di Rozana Cupcake Conner yang suka sangat melihat aku bersama Encik Rizal. Encik Rizal membawa aku minum di sebuah restoran ekskulsif, sebuah lokasi pertemuan golongan elit. Para pengunjung menikmati hidangan di sini diiringi dengan alunan instrumental lembut.
“Bila nak daftar masuk ke hostel?” soal Encik Rizal memulakan bicara.
“Isnin depan,” sahutku. Encik Rizal meneguk perlahan air teh kosong di dalam cawan. Penuh tatatertib seiring dengan perwatakannya.
“Encik Rizal, minta maaf pasal kejadian semalam. Saya rasa segan dengan kekecohan tu,” tuturku berhati-hati. Encik Rizal tersenyum.
“Awak kenal ke perempuan tu?” soalnya cuba menyelidik kejadian semalam. Aku mengangguk.
“Tapi tak kenal sangat. Tahu nama je,” tambahku.
“Pemuda tu awak kenal?” Aku mengangguk lagi. Encik Rizal tersenyum sekilas. Selagi Encik Rizal tidak banyak bertanya tentang Yen selagi itu aku tidak akan memperkatakannya. Kalau boleh aku tidak mahu banyak sangat memberikan fakta yang tidak tepat kepada Encik Rizal.
“Sebab pemuda tu ke awak tak dapat terima saya?” ujar Encik Rizal perlahan.
“Aa...,” Kelu lidahku untuk berbicara. Aku dan Encik Rizal berpandangan seketika. Sungguh aku terkesima mendengar bicara Encik Rizal itu. Terkejut sangat!
No comments:
Post a Comment