Bab 3
“Siapa
pelajar di kelas ini bernama Dania Deliya?” Pantas aku menoleh ke muka
pintu. Begitu juga dengan teman-teman sekelas lain. Dua orang pelajar
lelaki terpacak di situ. Entah, aku tidak tahu siapa gerangan mereka.
Namun wajah itu tidak asing dari pandangan mataku.
“Itu...Dania Deliya,” beritahu Zatul mendahului. Mereka melangkah masuk mendekatiku.
“ Farhan dan Boney... kawan-kawan Daniel,” bisik Zatul yang sempat
aku dengar. Pasti Zatul mengenali mereka kerana apa sahaja yang
berkaitan dengan pemuda itu tidak akan terlepas daripada
pengetahuannya. Sebuah kotak dibalut indah serta dihiasi dengan tali
reben merah berada di tangan lelaki itu.
“Hai...! Kami datang ni nak bawa hajat. Daniel nak berkenalan dengan
awak,” tutur salah seorang daripada mereka. Aku menatap wajah itu penuh
kehairanan. Aku tidak silap mendengar kenyataan yang baru sahaja
keluar dari mulut Farhan. Nama yang tertera pada tanda nama yang aku
nampak.
“Wow... bestnya,” suara Zatul mencelah disusuli bisikan teman-teman yang tidak tentu butirannya.
“Hadiah salam perkenalan dari Daniel. Harap-harap awak sudi
menerimanya dan kalau boleh tolong buka sekarang,” tambah rakannya yang
seorang lagi. Aku menatap Fatin dan Umie yang berada dekat denganku
meminta kepastian. Ada yang tidak kena. Zatul tersenyum lebar.
“Liya bukalah hadiah tu,” pinta Zatul sebaik sahaja Farhan dan rakannya
melangkah pergi. Aku masih ragu-ragu. Persis ada
sesuatu akan berlaku.
“ Apa yang awak fikirkan lagi, Liya? Buka je kotak tu, takkan ada bom kot,” tutur Zatul lancang dan tidak sabar-sabar. Teman-teman sekelas yang lain juga nampak turut sama menanti.
“Kalau nak tahu apa yang ada di dalam kotak itu kenalah buka,” tutur Umie memberi cadangan.
“Ye, kan tadi dia suruh buka,” tambah Zatul lagi.
“Bukalah Liya. Nak juga kami tahu apa ada dalam kotak tu,” luah Angela bagai mewakili teman sekelas yang lain.
Aku menatap mereka. Masing-masing mengangguk menyokong
permintaan Angela. Aku menarik nafas. Cuba bertenang. Dengan bacaan
‘bismillahnirahmanirahim’, perlahan-lahan aku mula menanggalkan reben dan balutan
pada kotak. Kuangkat penutup kotak. Tiba-tiba melompat satu
benda dari kotak itu lalu tepat mendarat ditanganku. Terasa
sejuk.
“Katak...!!!”Aku menjerit sekuat hati. Sepantas kilat menghayun tangan.
Kelas kelam kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Aku
berlari meninggalkan tempat duduk. Namun malang kakiku tersangkut
pada kaki kerusi. Bupp...!!! Aku terjatuh tertiarap ke lantai. Tiba-tiba katak tadi
melompat semula ke tubuhku yang terlentang ini.
“Tolong...!!!” jeritku ketakutan. Fatin,
Zatul dan Umie berlari. Sepantas Zatul menghayun buku di tangan
tepat mengena tubuh katak itu lalu terhumban jauh.
“Liya, awak tak apa-apa?” Umie dan Fatin membantuku bangun. Lututku sakit. Kuselak sedikit kain baju kurungku.
“Lutut awak lebam,” beritahu Fatin. Aku senyap. Katak yang sedang
berlegar-legar di ruang kelas dengan susah payah akhirnya berjaya
ditangkap oleh rakan lelaki sekelas. Fatin memimpin aku duduk di kerusi.
“Awak okey?” Aku diam. Masih tergamam. Aku masih terkejut dengan kejadian tadi.
“Muka awak pucat,” beritahu Umie. Aku masih tidak bersuara. Fatin
mengusap-usap lembut bahuku cuba menenangkan. Kedengaran deraian tawa yang panjang memecah kesepian. Beberapa orang pelajar
lelaki melewati kelas kami tertawa sakan disusuli dengan bunyi suara
katak yang sengaja dibuat-buat. Fatin dan Umie menatapku.
“Jahat betul mereka tu,” marah Umie.
“Lain kali jangan cepat sangat percayakan orang. Muka handsome tak semestinya hati baik,”ada suara lelaki di belakang menyalahkanku.
“Haris...!” Zatul menegur suara itu. Perasaanku saat ini sukar
untuk ditafsirkan. Malu. Terasa maruahku telah diperolok-olokkan. Aku
mengetap bibir.
“Liya sorry,”
Zatul mendekati lalu memegang bahuku. Aku menatap teman -teman
sekelas. Berpasang-pasang mata sedang memerhatikanku. Pasti pelbagai tanggapan sedang
bermain di fikiran mereka.
“Saya nak pergi ke bilik air sekejap,” Bingkas aku bangun lalu melangkah laju meninggalkan kelas. Di bilik air, aku menatap wajahku. Pucat.
Terasa panas menuruni cerun pipiku. Aku menangis teresak-esak di situ.
Betapa malunya aku diperlakukan sedemikian. Sedikit masa lagi pasti
ceritaku akan menjadi topik sensasi. Semua orang akan mentertawakan aku
terutama peminat-peminat lelaki jahat itu. Mengenang anak
muda itu, tangisanku terhenti. 'Daniel, aku tidak akan
lepaskan kau sewenangnya. Aku akan pulangkan kepada kau kesakitan yang
aku rasa saat ini!'
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Kronngg...! Kronngg...!” Aku mendengar suara katak yang
sengaja dibuat-buat ketika aku melewati beberapa buah kelas lain. Mereka sedang menyindir dan memperolokkan aku. Sangkaanku benar belaka. Awal-awal sudah aku dapat agak
bahawa situasi ini akan aku hadapiku jua. Sesampai di sekolah, aku tidak
terus pergi ke kelas sebaliknya mengatur langkah ke bilik guru
disiplin. Aku tidak akan bertolak ansur dengan Daniel dan rakan-rakannya. Aku tidak akan biarkan mereka terlepas begitu sahaja. Sumpah
aku akan pastikan mereka akan menerima balasan yang setimpal.
“Saya harap cikgu akan ambil tindakan segera kepada mereka. Saya betul-betul tertekan dengan kejadian ini,” tuturku serius.
“Saya akan segera panggil mereka,” janji Cikgu Tehran. Beberapa minit
selepas aku meninggalkan bilik guru disiplin, aku mendapat
berita bahawa Daniel dan rakan-rakannya telah di hadapankan kepada
pengetua dan Cikgu Tehran.
salam. ingat lagi 143... tiada penghujungnya.... kini...Sungguh... Saya Cinta Awak! Insyaallah akan kembali. Semoga diberi kelapangan... kaya idea....diberi kesihatan untuk sampai ke penghujung kisah ini... skrg throwback...
ReplyDelete