Monday, 15 July 2019

Sungguh ... Saya Cinta Awak...!...1




Bab 1

            Aku melihat sepasang kaki melayang tinggi melibas di awangan. Mudah sahaja menyentuh wajah-wajah yang tidak bijak mengelak. Sepak terajang silih berganti. Lagak drama aksi yang sering kutonton di kaca tv. Sesusuk tubuh berpusing-pusing dengan penuh bergaya lagak hero lalu sepakan padunya mendarat pada tubuh lawan.
                       
“ Hoi... berhenti bergaduh!” suara Cikgu Tehran, guru disiplin bergema di awangan. Cikgu Tehran berlari pantas bersama dengan rotan sebesar ibu jari serta diiringi oleh beberapa orang pengawas sekolah. Pelajar-pelajar lain termasuk aku bergerak ke tepi  memberi laluan kepada barisan pengaman sekolah yang diterajui oleh Cikgu Tehran yang terkenal dengan garang. Takut dilanggar mereka. Kedatangan Cikgu Tehran langsung tidak menggentarkan mereka. Aku sempat menatap wajah-wajah samseng di sekolah ini. Ada celitan darah di bibir, muka yang  lebam dan pakaian seragam yang kotor.

“Buat satu barisan!” tegas  suara Cikgu Tehran. Masing-masing patuh dengan arahan itu. Namun sesusuk tubuh itu masih terpacak di situ. Degil.

“Daniel cepat bergerak ke sini!” Sekilas pandang aku menatap wajah itu. Tampak tenang persis tiada yang berlaku. Lagak seorang ketua samseng yang berkuasa. Angkuh. Bongkak.
            “Sombong! Berlagak!” bisik hati kecilku. Wajah itu langsung tiada tergambar keinsafan. Bukan main lagi hebat dia mempertahankan diri sehingga sedikitpun aku tidak nampak kecederaan padanya. Aku yakin dialah yang beraksi hero sebentar tadi. Agaknya memang bergaduh hobinya sebab itu dia pandai sangat berlawan.                 
 “Pelajar lain pergi masuk ke kelas. Jangan tercengat di situ!” sergahan Cikgu Tehran terus mematikan telaahanku terhadap pelajar itu. Aku bergerak bersama- sama kumpulan pelajar lain ke kelas. Kulupakan adegan lasak awal-awal pagi ini. Ketika aku mendaki satu-persatu anak tangga, tiba-tiba sesusuk tubuh gadis hampir-hampir merempuhku. Kami bertatapan seketika. Langsung tiada perkataan maaf selain pandangan tajam seakan menyalahkan aku. Kubiarkan  gadis itu berlalu. Apabila aku amati wajah itu kembali, baru aku ingat. Patutlah nampak cemas, rupa-rupanya kekasih hatinya ditangkap oleh guru disiplin. Betapa serasi sifat mereka. Aku tersenyum sendiri.

Aku meletakkan beg sandang di kerusi. Zatul dan Umie masih terjenguk-jenguk di tingkap bagai menyaksikan sesuatu yang menarik. Begitu juga pelajar perempuan lain di dalam kelas ini. Cuma aku tengok Fatin masih setia tidak berganjak dari tempat duduknya.
“Apa yang mereka tengok?” tanyaku meminta kepastian.
            “Tengok hero-hero sekolah ini beraksi,” cerita Fatin. Aku mencebik bosan. Fatin hanya tersenyum.
            “Tadi saya tengok awak dekat dengan  mereka yang bergaduh tu, Liya. Bagaimana cedera tak Daniel? Hey... sayanglah kalau muka handsome macam tu cedera. Hey... tak rela aku,”  Zatul sudah mendekatiku bersama lagak manjanya. Aku buat aksi mahu termuntah membuatkan Umie dan Fatin ketawa. Pantas aku tepuk kepala Zatul namun laju sahaja dia menepis.
“Muka handsome tak guna kalau perangai buruk sangat,” kutukku.
            “Awak jangan kutuk dia. Nanti tak pasal-pasal awak jadi grienfriendnya,” ancam Umie mengusikku. Zatul tersenyum meleret.
            “Uuwuukkk...Selisih 44 malaikat. Kalau dengan budak itu, saya lebih rela jadi andartu tau,” balasku spontan.
            “Jangan sombong Liya,” tiba-tiba Ijoi menyampuk.
            “Takpelah kalau Liya tak mahu. Bukan kamu tak tahu, diakan berdarah sejuk, tunggul kayu. He... he... he...,” lancang  mulut Zatul menempelak aku. Sepantas kilat  aku menepuk kepala Zatul. Kali ini dia tidak bersedia hendak menepis. Zatul terjerit kecil buat aku ketawa. Puas hati. Berdarah sejuk, tunggul kayu. Itulah gelaran yang Zatul berikan kepadaku sejak aku menolak salam perkenalan daripada Razib, abang sepupunya. Tatkala aku fikir balik, tidaklah teruk sangat gelaran itu jika dibandingkan sebagai perempuan terkedek-kedek. Memuja pemuda yang tidak sepatutnya. Buta membuat penilaian. Aku bukan mengutuk atau mengumpat Zatul he... he ... he...
            “ Hey ... yang awak tersengih-sengih tu kenapa?”Bahuku ditepuk Zatul. Aku tersentak. Belum sempat aku membalas dendam, Zatul sudah melarikan diri. Serentak itu juga Cikgu Amibah, guru mikroekonomi sudah terpacak di depan pintu. Aku mematikan niat mahu menyerang Zatul.
                       
          Rutin pengajaran pembelajaran bermula lagi. Aku membuat catatan ringkas untuk penerangan Cikgu Amibah. Ingat semua penerangannya adalah mustahil. Justeru itu, aku mesti membuat catatan atau nota ringkas. Abang Zekri pun ada mengingatkan aku agar memiliki nota ringkas sendiri. Dia kata kalau dapat belajar di universiti tidaklah terlalu kekok hendak buat catatan sendiri. Corak belajar di sekolah berbeza dengan belajar di universiti. Abang Zekri kata, belajar di universti agak santai. Kebanyakan pensyarah di depan akan cakap-cakap sahaja mengeluarkan seberapa banyak ilmu yang termampu. Jadi pandai-pandailah mencatat perkara yang perlu sebagai nota rujukan. Dalam santai-santai itu, ramai juga yang gagal malah ada juga pelajar yang dihalang daripada meneruskan pengajian. Itu info yang aku dapat daripada abang Zekri, idolaku. Aku mahu jadi seperti abang Zekri berjaya menjejakkan kaki ke universti. Setahun lagi sudah layak bergelar graduan siswazah. Pasti Mak Munah bangga akan kejayaan anak teruna tunggalnya itu.

               Terbayang wajah ayah. Kalau aku berjaya seperti abang Zekri, pasti ayah juga akan berbangga. Aku dapat kerja yang lebih baik. Jadi tidak payah ayah bersusah payah lagi untuk menyara hidup kami berdua. Pada masa itu, aku mahu memenuhi segala keperluan ayah. Aku mahu memberikan kesenangan dan hanya kegembiraan buat ayah. Itu tekadku.
            “Liya, petang ni boleh tak awak join kami diskus di library?” tanya Umie.
            “Petang ni tak bolehlah. Semalam dah saya tak pergi ke kedai. Nanti apa pula kata Kak Anie,” ujarku serba salah.
            “Alah... Kak Anie tu ok. Dia mesti faham punya,”
            “Saya tak nak ambil kesempatan atas kebaikannya. Sudah beruntung dia beri saya kerja partime di sana,” luahku berterus-terang.         
            “Yalah betul kata Liya tu. Takpelah lain kali je awak join kami. Kalau kami jumpa bahan yang berkaitan nanti kami inform,” putus Fatin lebih bertimbang rasa. Aku tersenyum lebar.
            “Sayang Fatin...,” Kupeluk bahu Fatin. Zatul mecebik.
            “Bila dan dapat gaji nanti, jangan lupa belanja makan tau sebagai balasannya,” ujar Zatul memperingatkan aku.
            “ No problem. Dasar mata duitan,” kutukku.
            “Aduuhhhh...,” Zatul terjerit kecil tatkala aku mencubit pipi gebunya. Belum sempat Zatul bertindak balas terhadapku, aku sudah berlari meninggalkan mereka bersama lambaian tangan. Zatul menarik muka masam. Umie dan Fatin hanya tertawa.    
“Bye... esok jumpa lagi,” Aku terus  mencapai basikal di garaj lalu memulakan kayuhan. Sudah tidak sabar hendak tiba di rumah.
            “Liya tunggulah saya,” laungan Zatul tidak kupedulikan.
       "Saya dah lewat ni. Awak balik  dengan Ijoi nanti,” balasku sempat mengusiknya.
            “Liya...!” Zatul melaung. Nampak sangat dia sedang geram. Aku melirik jam di tangan. Sudah hampir mencecah ke pukul 1.40 petang. Kupercepatkan kayuhan basikal. Sampai sahaja di rumah,  aku menggantung beg sandang ini. Kucapai tuala. Usai mandi dan solat zohor, aku bersiap-siap hendak keluar semula. Di meja sudah tersaji hidangan tengah hari. Begitu prihatin ayah. Awal-awal lagi sebelum dia pergi kerja, dia sudah memasak untukku. Aku hanya sempat meneguk segelas air sejuk. Kiranya balik nanti barulah aku menjamu selera bertemankan ayah. Lebih seronok dan bermakna.

Beg sandang yang sering kubawa ke hulu ke hilir sudah tergantung di bahu. Kukunci pintu kemas-kemas. Kucapai basikal yang tersandar di laman lalu bergerak ke destinasi yang dituju. Nasib baik bahang mentari tidak terus menerus memancar kerana pada hari ini awan nampak agak tebal. Kudongak ke langit. Harap-harap cuaca hari ini elok sahaja. Janganlah hujan turun kerana ini akan menyukarkan kelancaran perjalananku nanti.
“Assalamualaikum Kak Anie,” sapaku mesra kepada wanita yang sedang menanti kedatanganku dengan senyuman. Salamku disambut.
“Apa khabar hari ni?”
“Sihat...,” Aku melirik ke arah jam di tangan. Lima minit lagi ke pukul 2.30 petang. Mujur juga aku tidak terlewat. Beberapa orang pelanggan yang sedang berada di kedai ini sedang mencari-cari buku yang dihajati. Aku bergerak ke belakang ke arah sebuah bilik kecil yang menempatkan bahan-bahan bacaan yang perlu aku hantar sebentar nanti. Hari ini aku mesti menghabiskan penghantaran ke tiga lokasi utama sebelum balik semula ke kedai ini untuk mengambil surat khabar yang perlu aku hantar awal pagi esok. Aku memasukkan seberapa banyak naskhah buku dan majalah ke dalam beg sandang. Dua ikatan sederhana tinggi bahan bacaan berada di kedua-dua belah tanganku untuk diletak ke dalam bakul basikal nanti.
            “Kak Anie, saya pergi dulu,”
            “Hati-hati Liya,” seperti biasa itulah ungkapan Kak Anie yang cukup menyenangkan telingaku  mendengarnya. Aku mengayuh basikal mengikut perancangan otakku. Lokasi pertama, Plaza Muhibbah. Perlu menghantar majalah-majalah ini ke beberapa lot kedai di sana. Kuletakkan basikal di tempat biasa lalu menguncinya.
            “ Good afternoon tauke Chan,” sapaku kepada lelaki Cina setengah usia itu.
            “Oh....Amoi dah datang ya. Semalam kenapa Amoi tak muncul-muncul? Manyak lindu sama Amoilah,”Aku tersenyum. Tauke Chan memang suka mengusikku. Mujur juga Ah Chun tiada bersamanya ketika ini. Kalau tidak anak teruna itu pun sepertinya suka menyakat. Bapa borek anak rentik. Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah ibarat mereka dua beranak Chan Chun he ... he ... gandingan sepadan.
            “Sorrylah tauke Chan. Saya ada hal semalam,” Aku meletakkan buku itu di kaunter sambil menanti tauke Chan menurunkan tandatangan pada rekod sebagai bukti dia sudah menarima tempahan bulanan.
            “Thanks tauke Chan. Kirim salam pada Ah Chun nanti. Jumpa lagi,”
            “Take care Liya,” Aku mengangguk-angguk. Aras satu bangunan ini tinggal sebuah kedai lagi. Kemudian aku harus bergerak ke aras tiga pula. Di sana ada tiga buah kedai yang perlu aku mampir. Paling akhir ialah di aras 5 yang menempatkan butik milik Datin Habibah, seorang usahawan wanita yang berjaya. Melihat persekitaran butik itu membuatkan aku teruja. Cukup eksekulsif. Hiasan dalaman menyenangkan dan tampak elit. Apatah lagi pencahayaan lampu- lampu antik mewah dari luar negara itu sangat menarik. Sesuai dengan citarasa tinggi pengunjung-pengunjung yang terdiri daripada golongan berada. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku lama-lama di sana untuk menjelajah di setiap ceruk butik itu. Mahu membelek-belek gaun-gaun dinner yang mewah  mencecah harga beribu ringgit. Pasti begitu selesa dan terasa hebat dapat memakai gaun-gaun cantik sebegitu. Malah aku juga berkesempatan melihat model-model terkenal menghabiskan masa di situ.

            “Afternoon...,” sapaku menjengukkan kepala di sebalik pintu kaca itu.
            “Afternoon. Hey ... Liya, come in,” Seperti biasa Vinice yang akan menyambut kedatanganku sekali gus berurusan denganku. Aku tidak pernah sekalipun menemui Datin Habibah. Mana mungkin dia akan melibatkan diri untuk menguruskan hal yang remeh-temeh ini. Pasti wanita itu penuh dengan keeleganan.
            “You punya bos tak datang ke hari ni Vinice? Kalau tak boleh juga saya curi-curi tengok mukanya,” risikku. Vinice ketawa.      
            “Apalah you ni Liya. Bos perempuanlah. Kalau bos lelaki bolehlah you curi- curi tengok,” balas Vinice tanpa berselindung.
            “Kalau lelaki tak berani saya nak curi-curi tengok nanti tak pasal-pasal lebam biji mata ni kena tumbuk, ” balasku bergurau. Kali ini Vinice ketawa besar.
            “You ni lawaklah,” Aku hanya senyum sambil memerhatikan Vinice menurunkan tandatangan pada dada rekod itu.
            “Bos di Itali sekarang. Ada show di sana,” cerita Vinice. Serta merta terbayang di mata barisan pragawan dan pragawati yang hebat sedang menggayakan pakaian mewah di atas pentas peragaan. Pasti pertunjukan itu gilang-gemilang.
            “Mesti you punya bos tu seorang yang hebatkan,”
            “So pretty macam you,” Aku tersenyum. Vinice mengangguk-angguk. Sudah cukup menggambarkan kekagumannya. Alangkah seronok kalau aku berkesempatan terserempak dengan wanita itu. Wanita yang sudah berjaya melangkahkan kaki ke peringkat antarabangsa.
            “Oklah Vinice saya pergi dulu. See you again,” Senyuman menawan gadis kacukan India-Cina ini menghantar aku sehingga ke pintu. Datin Habibah seorang yang mementingkan kesempurnaan. Tengok sahaja butik itu sehingga kepada pekerja-pekerja semua nampak sempurna. Selepas ini aku perlu ke Taman Perumahan Damai dan kedai-kedai di sekitar perumahan itu. Aku mengayuh basikal ke destinasi seterusnya. Kira-kira lima minit mencecah ke pukul 5.00 petang, aku berjaya membereskan semua tugasan. Aku kembali semula ke kedai Kak Anie untuk menghantar rekod penghantaran. Memandangkan esok bukan hujung minggu, maka aku tiada kerja tambahan. Pada hari Sabtu dan Ahad sahaja aku perlu bangun lebih awal daripada biasa untuk menghantar surat khabar ke rumah-rumah di sekitar Taman Perumahan Damai.
            “Assalamualaikum.. Ayah Liya dah balik,” panggilku sambil meletakkan basikal di laman. Ayah muncul di depan pintu menyambut kedatanganku.
            “Bau masam anak gadis ni,” perli ayah membuatkan aku ketawa. Aku memeluk bahu ayah. Hubunganku dengan ayah memang  akrab.
            “Bagaimana dengan kerja ayah hari ni?”
            “Baik. Kamu?”
            “Baik dan seronok dapat bersiar-siar,” jawabku nakal. Ayah hanya geleng kepala.
            “Ayah kesian tengok kamu bersusah payah macam ni. Pasti meletihkan kamu. Kalau boleh kamu berhenti saja buat keja tu. Ayah tak mahu pelajaran kamu terganggu nanti,” luah ayah gusar. Sudah banyak kali keluhan ini tercetus.
            “Liya tak letihlah ayah. Liya seronok buat keja tu. Lagipun bukan setiap hari Liya kena keja. Ayah jangan risau. Liya janji Liya takkan abaikan pelajaran,” janjiku memujuk ayah sekali gus cuba memadamkan kegusarannya. Ayah menatapku. Aku senyum.
            “Lagipun ayahkan tahu Liya tak boleh duduk diam di rumah,” pujukku lagi. Ayah senyum. Tangannya mengusap lembut rambutku. Sungguh kasih sayangnya tidak pernah padam untukku.
            “Pergi mandi cepat. Lepas solat kita makan. Liya kena buat homework sekolah lagi,” bicara ayah mengingatkanku.
            “Ok bos,” Aku membuat tabik hormat kepada ayah sebagai tanda patuh kepada arahannya. Ayah hanya geleng-geleng kepala.  

1 comment:

  1. salam. ingat lagi 143... tiada penghujungnya.... kini...Sungguh... Saya Cinta Awak! Insyaallah akan kembali. Semoga diberi kelapangan... kaya idea....diberi kesihatan untuk sampai ke penghujung kisah ini... skrg throwback...

    ReplyDelete