Monday, 12 February 2018

99 Mawar Merah UntukMu...! 10












Bab 10

Aunie merebahkan tubuh di atas tilam. Dipejamkan mata rapat-rapat. Seminit kemudian mata dibuka seluas-luas. Dia melepaskan keluhan panjang. Menyesali tingkahlakunya siang tadi. Baru tersedar sikapnya yang kurang berhati-hati berhadapan dengan Eymar dan kawan-kawannya. Mujur juga tutur kata dan layanan yang agak kasar dan sesekali merungut memarahi pemuda-pemuda itu tidak diambil hati. Sebaliknya Cheng dan Raju hanya tersengih dan Eymar tersenyum berpanjangan. Lega. Dia benar-benar terlupa tentang identiti pemuda-pemuda itu. Akhirnya malam itu, Aunie tidur lena setelah melalui hari yang memenatkan berhadapan dengan kerenah Eymar dan kawan-kawannya. Letih dirinya yang sentiasa mengawasi pertemuan antara Puan Aisyah Adiba dengan pemuda-pemuda itu. Syukur... semuanya terkawal dan berjalan lancar.

Keesokan hari...setibanya di kelas...

Aunie mengeluh tatkala menatap kerusi itu masih kosong. Mungkin Eymar tidak akan muncul lagi. Kesal kerana mudah mempercayai pemuda itu. Beg di bahu dilepaskan di atas meja. Kemudian melabuhkan duduk di kerusi. Encik Amir masuk ke kelas tepat pada masanya. Sesi tutorial berlangsung sekejap lagi. Aunie sudah bersiap sedia mengikuti kelas ini. Dia menoleh kembali ke arah tempat duduk itu. Kali ini kedua-dua tempat duduk itu kosong. Era juga tidak datang ke kelas hari ini. Aunie melepaskan keluhan lagi. Terfikir juga kalau kedua-duanya ponteng kelas kerana ada temujanji antara mereka.

Sorry sir...,” Aunie berpaling ke arah pintu. Eymar terkocoh-kocoh masuk ke kelas. Sempat juga melemparkan senyuman ke arah Aunie sebelum melabuhkan duduk. Aunie fokus pada kelas Encik Amir yang baru sahaja bermula. Urusannya dengan pemuda itu akan diselesaikan selepas kelas ini berakhir. Dia tersentak tatkala Eymar tiba-tiba sahaja beralih duduk di sebelahnya. Sempat juga jelingan tajam dilemparkan ke arah pemuda ini. Eymar hanya tersenyum menampakkan lesung di pipi.

“Mana borang soal selidik yang awak janji nak serahkan pada saya hari ni?” tanya Aunie sebaik sahaja Encik Amir menamatkan kelas tutorial hari ini. Tidak mahu melengahkan masa. Bimbang juga kalau pemuda ini mahu melarikan diri. Borang itu diletakkan di depan Aunie. Laju tangan Aunie mencapainya.

“Awak beri balik borang kosong? Awak belum jawab lagi?” Besar anak mata Aunie menatap pemuda ini. Hatinya mendidih-didih. Hilang sabar pasti dia akan mengamuk.
“Tulisan saya tak cantik...,”
“Jadi... awak tak nak tulislah. Alasan...,” rungut Aunie radang. Laju dia memintas bicara Eymar. Seolah-olah dia dapat mengagak alasan yang cuba diberikan oleh pemuda ini. Alasan orang malas dan tidak bertanggungjawab. Eymar senyum.
“Tak payahlah marah-marah cik nona manis,” Eymar cuba mengajuk panggilan yang Cheng berikan kepada gadis ini. Aunie mencebik.
“Nah...,” Eymar meletakkan pen drive itu di depan Aunie. Lantas bangkit dari duduknya. Bersedia hendak beredar dari situ.
“Nak pergi mana? Kita belum habis cakap lagi,” Aunie terkebil-kebil menatap Eymar.
“Saya call awak malam ini. Nanti kita boleh berbual-bual sampai subuh,” ujarnya tersengih. Aunie mendengus.
 “Tak payah...! Saya takkan jawab call awak,” tegah Aunie memberi peringatan.
“Maklumat yang awak perlukan dah saya simpan dalam pen drive tu,” jelas Eymar.
“Saya dah tulis selengkapnya. Saya jamin awak akan berpuas hati. Awak bukalah fail tu nanti. Kalau awak belum puas hati boleh call saya bila-bila masa saja. Kita boleh bincang semula,” tambahnya panjang berjela. Kemudian memulakan langkah ke muka pintu. Langkahnya laju, tidak sempat hendak dihalang. Sekelip mata kelibat anak muda itu sudah tidak kelihatan. Aunie terlopong ditinggalkan sedemikian. Pemuda itu bagai chipmore, sekejap ada sekejap hilang. Barangkali ada misi menyelamat yang hendak dilakukannya. Pasti ada episod dendam yang berpanjangan dalam kalangan kumpulan samseng.

Aunie melangkah meninggalkan kelas dengan keluhan panjang. Pening kepala memikirkan kerenah Eymar. Hendak menyesal sudah tiada guna. Perkara yang telah berlaku tidak boleh diundur kembali. Semua ini atas kehendak dan pilihan hatinya. Dia yang rela hati menjadi rakan setugas pemuda itu dan dia jugalah yang telah menentukan skop kajian mereka. Tiada siapa yang harus disalahkan selain dirinya sendiri.

Hello... cik nona manis...!” Aunie terperanjat mendengar laungan suara itu. Cheng yang sedang tersengih sambil melambaikan tangan ke arahnya. Kereta BMW milik Eymar laju melewati. Sekelip mata hilang daripada pandangan mata. Pasti pemuda itu yang memandu kereta itu. Aunie menelan liur pahit. Ngilu hati membayangkan cara pemanduan yang tidak berhemah itu.


Daun pintu bilik diketuk. Aunie melemparkan pandangan ke muka pintu. Puan Aisyah Adiba muncul di sebalik pintu. Senyuman Aunie dan Puan Aisyah Adiba bersatu.
“Belum tidur lagi?” sapa Puan Aisyah Adiba prihatin. Aunie senyum.
“Nak siapkan tugasan Encik Lokman malam ni. Tak banyak yang nak buat lagi,” jelas Aunie. Tidak perlu berjaga jauh malam hendak menyiapkan tugasan tersebut kerana hampir semua sudah diselesaikan. Penjelasan ini yang cuba disampaikan kepada Puan Aisyah Adiba. Pengertian di sebalik bahasa tersirat.
“Baguslah kalau dah hampir siap,” ujar Puan Aisyah Adiba tumpang lega. Aunie senyum. Memang dia tidak sabar-sabar hendak menyelesaikan tugasan ini. Mahu cepat menamatkan urusannya dengan pemuda itu. Usai sahaja tugasan ini maka dia tidak perlu berhubung dengan pemuda itu lagi. Tidak pening kepala hendak menjejaki pemuda itu. Tidak tertekan kerana Eymar dan kawan-kawannya tidak perlu muncul di Butik Selendang Kasih lagi. Pertemuan Puan Aisyah Adiba dengan pemuda-pemuda itu membuatkan Aunie sesak nafas. Terasa sukar hendak menyedut udara segar.
   “Mama... nak minta maaflah...sebab awal-awal halang kamu buat kajian ini.  Tak patut mama prasangka buruk kepada kawan kamu tu,” keluh Puan Aisyh Adiba kesal. Aunie terdiam. Perasaan serba salah menyelubungi diri. Jikalau identiti sebenar pemuda-pemuda itu diketahui, pasti mamanya tidak akan setenang ini. Sebaliknya kemarahan maknya akan menjadi sebahang letusan gunung berapi.
“Siapa nama pemuda yang jadi rakan tugasan kamu tu?” Pertanyaan Puan Aisyah Adiba menyentakkan Aunie. Bimbang dia akan tersilap tingkah.
“Eymar...,”sahut Aunie berhati-hati.
“Lain kali ajaklah Eymar dan kawan-kawannya datang ke rumah. Boleh kita makan sama-sama. Ayah kamupun nak kenal dengan mereka,” ujar Puan Aisyah Adiba teruja. Aunie terkedu. Hati tidak tenteram. Tidak akan dibiarkan Eymar dan kawan-kawannya menjadi tetamu rumah ini. Tidak dapat menjangka perkara yang berlaku jikalau pertemuan itu diadakan. Kepercayaannya terhadap Eymar dan kawan-kawan sangat tipis.
“Tak payahlah ajak mereka mama, mereka itu sibuk memanjang. Pasti mereka tak ada masa nak datang sini,” sahut Aunie mewakili pemuda-pemuda itu. Menolak cadangan mamanya beralasan. Dia tidak mahu Eymar dan kawan-kawannya muncul di depan orang tuanya. Bahaya.
“Cubalah aturkan masa yang sesuai nanti,” ujar Puan Aisyah Adiba berusaha memenuhi hasrat hatinya. Mustahak dia mengenali kawan-kawan Aunie. Puteri tunggalnya ini perlu dijaga dan diawasi. Bukan kerana tidak percaya tetapi tuntutan kasih ibu yang menggunung.
“Insya-Allah mama,” sahut Aunie tidak berdaya menolak hajat hati mamanya.
“Daripada ajak mereka, baik ajak Azan datang sini,” saran Aunie cuba melenyapkan hasrat hati mamanya. Puan Aisyah Adiba tergelak. Cadangan yang tidak pernah didengar keluar dari mulut Aunie. Memang pantang nama pemuda ini disebut di depan gadis ini.
“Sejak bila baik hati dengan Azan ni. Selalu sebut saja nama Azan terus melenting. Ada apa-apakah ni?” tanya Puan Aisyah Adiba mengusik anak gadisnya. Besar anak mata Aunie menatap mamanya. Dia menggeleng-geleng kepala menafikan usikan itu.
“Azankan dah macam ahli keluarga kita. Lebih selesa menjemput orang yang dikenali,” jelas Aunie berkias-kias cuba menghalang hajat hati mamanya sekali gus mematikan usikan itu. Puan Aisyah Adiba tersenyum.
“Sebenarnya... mama nak berterima kasih kepada pemuda itu kerana telah menjaga kamu dengan baik sepanjang menyelesaikan tugasan ini. Mama rasa terhutang budi kepadanya dan sebagai tanda minta maaf sebab pernah meraguinya,” ujar Puan Aisyah Adiba bersungguh-sungguh. Aunie terpana.
“Nanti kamu jemputlah Azan datang sama,” saran Puan Aisyah Adiba senang hati. Aunie menelan liur pahit. Mempertemukan Azan dengan Eymar samalah seperti menempah maut sendiri. Azan tidak akan berdiam diri. Apatah lagi dia tidak menyenangi Eymar. 
“Tak naklah...,” ujar Aunie berterus-terang. Azan dengan Eymar tidak akan duduk semeja di rumah ini. Puan Aisyah Adiba mengeleng kepala.
“Azan... pemuda yang baik tapi kamu tak pernahpun layan dia dengan baik,” keluh Puan Aisyah Adiba. Tidak bersetuju dengan tindakan anak gadisnya ini. Selalu garang dan berkasar dengan anak muda itu.
“Dia memang kawan yang baik tapi Adik tak boleh tahan dengan sikap jiwang-jiwangnya tu,” keluh Aunie dengan ekspresi muka berkerut. Lemas dengan sikap romantis pemuda itu. Puan Aisyah Adiba tergelak kecil.
“Kamu ni macam tunggal kayu, tak ada perasaan langsung,” kutuk Puan Aisyah Adiba. Aunie mempamer wajah bersahaja. Tidak mahu membebankan diri memikirkan tentang Azan. Dia hanya mampu mengelak diri daripada pemuda itu setelah hatinya dimiliki. Hanya sebab itu yang mampu menjauhkan Azan daripadanya.
“Saya akan lihat kebahagiaan awak dari kejauhan,” suara Azan berbisik di telinganya. Janji Azan akan mengundur diri setelah hatinya dimiliki.
“Buatlah kerja kamu. Jangan berjaga sampai lewat malam,” nasihat Puan Aisyah Adiba menyentakkan Aunie. Puan Aisyah Adiba sudah melangkah ke muka pintu. Daun pintu ditutup rapat. Aunie bersendirian di bilik ini. Dia termenung panjang. Kemudian melepaskan keluhan. Lantas mengeluarkan pen drive dan menghidupkan laktop itu. Mahu menyelesaikan misi malam ini.
“Apa agaknya yang awak tulis. Harap-harap tak memeningkan saya nak memahaminya. Cukuplah saya pening dengan struktur ayat yang kawan-kawan awak tulis. Sukar nak faham,” keluh Aunie berbicara sendiri. Raju dan Cheng perlu lebih banyak latihan menulis dan membaca. Mungkin juga benar mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Membuat pilihan sendiri untuk menamatkan zaman persekolahan lebih awal daripada sepatutnya. Leka menuntut kebebasan diri. Akhirnya kecundang dengan keseronokan duniawi. Aunie terfikir tentang kisah hidup pemuda itu. Lantas mengalih pandangannya ke arah paparan skrin laktop yang mempamerkan coretan Eymar.

Harta bertimbun... wang ringgit melunaskan impian... tetapi berseorangan yang berpanjangan. Tatkala hidup dilimpahi kemewahan, tiada halangan, tiada sekatan memakbulkan kehendak hati. Nun jauh di sudut hati...menyelinap perasaan sepi biarpun hidup di kelilingi pesta-pesta rancak yang menghiburkan hati. Masih terasa sunyi...biarpun ramai kawan yang semuanya taksub dan bermegah dengan harta keluarga. Masih terasa bersendirian... biarpun tinggal sebumbung dengan ahli keluarga yang patuh pada protokol ciptaan manusia sendiri. Terbukti... manusia tidak tahu bersyukur...’ Wah..., hebat juga ayat yang ditulis pemuda ini” puji Aunie kagum. Bayangan negatif awal tadi terus lebur. Jangkaan awal silap. Cara penulisan pemuda ini lebih hebat daripadanya. Dia tidak mampu menggarap ayat-ayat puitis yang indah dilafazkan. Aunie terus menyelami luahan perasaan pemuda ini. Tekun dia membaca setiap patah perkataan sehingga menjadi bait-bait ayat indah yang ditulis oleh Eymar. Pemuda yang tampak keras tetapi memiliki jiwa seni. Aunie tersenyum sendiri.
“Apakah yang awak kesali dalam hidup ini?” pertanyaan itu terbit dari mulut Aunie setelah membaca sebahagian daripada tinta curahan hati yang digarap indah oleh pemuda itu. Persis dirinya sedang menemubual pemuda itu. Direnung jawapan yang ditulis yang terpamer di di depannya kini.
Tidak mengenali ibu kandung sendiri... dan hidup sebumbung dengan ayah tetapi terasa jauh...,” Aunie menzahirkan tulisan yang terpamer di dada skrin itu. Luahan hati yang tersirat yang mampu ditafsirkan oleh Aunie. Eymar tidak rapat dengan ayahnya. Mungkin juga hubungan antara anak dengan ayah berantakan. Aunie meneruskan pembacaan. Di pertengahan cerita, air matanya menitis. Sayu dan hiba hatinya. Dicekalkan diri meneruskan pembacaan sehingga menemui noktah terakhir.
‘Ya... Allah aku bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa dan abang-abang yang mengasihiku sedang di luar sana masih ramai anak-anak yang terpinggir daripada kasih sayang ibu bapa biarpun hidup mereka dilimpahi kemewahan’ bisik hati kecil Aunie. Air matanya menitis lagi. Hatinya semakin rawan. Baru sedar rupa-rupanya di sebalik tawa riang pemuda itu sebenarnya jiwa Eymar berantakan. Kosong.

“Tahniah kerana anda telah berjaya menyelesaikan tugasan Encik Lokman,” ujar Aunie sambil menepuk-nepuk bahu sendiri. Eymar tersenyum memerhatikan gelagatnya.
“Awakpun ucapkan tahniah kepada diri sendiri,” arah Aunie mahu Eymar melakukan perkara yang sama. Tugasan Encik Lokman telah selamat dihantar pagi tadi.
“Tahniah kerana anda telah berjaya menyelesaikan tugasan Encik Lokman,” ujar Eymar meniru gelagat gadis itu. Aunie tersenyum.
“Macam itu baru betul,” puji Aunie berpuas hati. Penat lelah sendiri harus dihargai. Motivasi diri. Lega. Sekarang boleh fokus pada kuliah dan tugas-tugas yang lain. Semua itu tidak membimbangkannya kerana tidak melibatkan orang lain. Hanya bergantung kepada diri sendiri. Aunie menatap Eymar yang sentiasa mempamer senyuman.
“Saya sangat berpuas hati dengan kajian yang telah kita laksanakan dengan jayanya. Apa sahaja gred yang kita dapat saya akan terima dengan hati terbuka kerana kita telah melakukan yang terbaik,” ujar Aunie bersungguh-sungguh dan berserah.
“Terima kasih banyak-banyak atas kerjasama awak dengan rakan-rakan awak. Kalian memberikan sumbangan yang penting dan telah melakukan yang terbaik,” ujar Aunie jujur. Eymar tersenyum. Aunie cuba melupakan kisah sedih semalam. Tidak mahu mengungkit tentang kajian yang telah dijalankan. Biar setakat di situ sahaja. Dia tidak akan mencanang kisah hidup Eymar yang tidak menggembirakan.

Wajah pemuda ini ditatap lama. Rambutnya keperang-perangan. Bebola mata hazel yang jernih. Bulu mata melentik. Kulitnya tidak putih. Tidak juga gelap. Sawo matang persis kulit Melayu. Tampak manis dipandang mata. Begitu terserlah wajah Latinnya. Baru ada kesempatan Aunie hendak memerhatikan Eymar.
“Awak pernah jumpa Neymar?” tanya Aunie serius dalam nada berbisik kerana tidak mahu didengar oleh rakan sekelas yang lain. Bintang bola sepak Brazil idolanya. Masih terbayang kekecewaannya tatkala Neymar tidak dapat beraksi ketika perlawanan semi final antara Brazil dengan Jerman. Kecewa sungguh tatkala Jerman membelasah Brazil dengan kemenangan yang penuh bergaya tujuh gol berbalas satu gol. Ada juga baiknya Neymar tidak turun padang ketika perlawanan itu. Tidak mahu menatap wajah kecewa Neymar. Pasti belas kasihan tengok wajah kacak itu dibasahi dengan titisan air mata andai ketika itu Brazil tetap tewas. Aduhhh… demam piala dunia masih terasa walau bertahun sudah berlalu!
“Dia satu kelas dengan saya dulu. Hahahaha…,” Eymar ketawa berdekah-dekah menampakkan barisan gigi putihnya yang mempesonakan. Jelas terpamer lesung pipit. Dia masih tersenyum. Aunie mengetap bibir menahan geram. Soalan cepu emas. Jawapan yang diberikan menyakitkan hati.
“Ramai yang kata mata saya macam mata Neymar,” ujarnya bersahaja sambil mengangkat-angkat keningnya. Berlagak menggoda. Dia sentiasa nampak ceria. Ekspresi diri yang bertentangan dengan kisah sedih hidupnya. Barangkali cerita itu hanya rekaan semata-mata. Kisah sedih yang dikarang indah untuk menerbitkan simpati orang lain. Hebat.
“Perasan sungguh,” Aunie mencemuh. Eymar Luiz Choo tersenyum lagi. Nama penuh pemuda Tioangha kacukan Brazil ini. Nama yang diketahui pada hari mereka menjadi rakan sepasukan. Pemuda Latin yang meninggi diri dengan kehebatan fizikal yang dianugerahkan kepadanya.  
“Bagaimana awak tahu saya peminat Neymar?” Aunie mengajukan pertanyaan itu.
“Saya pernah nampak awak teruja merenung Neymar di layar LCD. Kemudian bila Encik Lokman sebut nama saya, awak terus pandang saya. Mungkin awak terdengar nama saya seperti nama Neymar,” cerita Eymar. Aunie diam. Cuba mengimbau kembali rentetan peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. Mahu mengingat bila dan di mana dia merenung gambar bintang bola sepak Brazil itu sambil diperhatikan oleh pemuda ini. Aunie mengeluh kecil. Dia langsung tidak ingat perkara itu. Malah tidak pernah menyedari ada orang sedang memerhatikannya tika itu. Fokusnya hanya pada wajah kacak bintang bola dunia itu. Dia terpikat pada aksi lincah dan tangkas Neymar membawa bola di padang.
 “Bila dan di mana awak nampak saya merenung Neymar?” Tidak mampu mengingat perkara lalu, dia terus sahaja mengajukan pertanyaan itu.
“12 Jun 2014... Detik berlangsung Fifa World Cup Brazil,” jelas Eymar. Aunie terpana. Sudah dua perkara ini berlalu.
“Sudah lama awak perhatikan saya?” tanya Aunie tidak senang hati. Eymar mengangguk dan tersenyum.
“Sejak dari tarikh itu... hari pertama saya nampak awak sampailah sekarang awak sedar tentang kewujudan saya,” jelas Eymar.
“Kenapa?” tanya Aunie janggal. Perbuatan pemuda ini tidak dapat diterimanya. Kening Eymar terangkat-angkat. Tidak mengerti pertanyaan itu.
“Kenapa awak ekori saya? Saya ada buat salah pada awak?” tanya Aunie kesal. Eymar menggeleng. Gadis ini tidak melakukan kesalahan kepadanya.
“Saja suka-suka...,” sahutnya bersahaja. Aunie mengetap bibir. Jawapan yang diberikan tidak memuaskan hati.
“Oh...ya... Awak berada di sekeliling peminat fanatik bola yang kebanyakannya kaum lelaki. Ibarat seorang puteri yang di kelilingi pengawal-pengawal istana,” ujar Eymar berbahasa simbolik pula. Aunie mencebik. Pada malam itu Hezqal Haqimi bermurah hati mengajaknya menonton piala dunia di Dataran Sukmaria, lokasi berkumpulnya kaki-kaki bola. Menjamu selera sambil menonton perlawanan bola sepak memang menyeronokkan. Maka peluang untuk mengalami pengalaman itu tidak dilepaskan begitu sahaja. Rakan-rakan Hezqal ada bersama-sama mereka. Mereka bukanlah pengawal peribadinya.
“Saya bersama Angahlah pada malam itu,” jelas Aunie kurang senang dengan bicara Eymar. Persis Eymar mempertikaikan kewujudannya dalam kelompok lelaki tika itu. Nampak janggal. Mungkin juga tidak manis pada pandangan mata Eymar. Aunie cuba membayangkan persepsi pemuda ini tentang dirinya pada malam itu. Rasa tidak puas hati jikalau pemuda ini beranggapan sedemikian. Tidak patut mencerca tanpa siasatan terlebih dahulu.
“Angah?” Dahi Eymar berkerut lagi.
“Abang sayalah...,” ujar Aunie lebih jelas. Dia mungkin tidak biasa hierarki dalam keluarga. Eymar tersenyum. Pengakuan gadis ini menyenangkannya.
“Apapun selepas piala dunia berlangsung, saya tak ikut perkembangan semasa bola sepak antarabangsa lagi,” keluh Aunie. Hampa. Terbayang di matanya Neymar diusung keluar padang kerana tercedera yang membuatkan berjuta peminta meraung kekecewaaan terutama warga Brazil. Aunie turut merasa kekecewaan itu.
“Kenapa?” tanya Eymar.
“Sebab Neymar tak beraksi pada perlawanan akhir itu dan Brazil tewas teruk di tangan Jerman,” ujar Aunie membayangkan detik yang mengecewakan itu. Dia mengeluh.
“Tiada kesetiaan dalam diri awak,” ujarnya membalas luahan hati Aunie yang hampa.
“Apa?” Membutang pandangan Aunie menatap Eymar yang tersenyum. Kata-kata pemuda ini menyinggung hatinya. Dialah mangsa. 
“Awak tak setia,” ulang Eymar. Aunie mempamer wajah serius. Tuduhan itu berat hendak diterima. Terasa tidak adil. Benci mendengar perkataan itu. 
“Mesti awak menangiskan,” teka Eymar. Aunie mengangguk.
“Saya menangis bila Neymar tercedera, saya menangis bila Brazil tewas. Terukkan saya...,” Aunie tersenyum sendiri mengenangkan detik itu. Dia menangis bukan semata-mata kerana Neymar tidak mampu beraksi pada perlawanan akhir itu. Dia menangis juga bukan disebabkan Jerman telah menewaskan Brazil. Dia menangis kerana telah merasakan tewas kepada Adika. Kemenangan bergaya Jerman mengingatkannya kepada pemuda itu. Dia dan Adika pernah meramal siapa yang akan menang. Ternyata Adika berjaya. Perkara itu yang menyakitkan hatinya. Berpanjangan pemuda itu mengecewakannya.
“Sekurang-kurangnya air mata awak yang keluar boleh tenangkan awak masa itu,” ujar Eymar. Aunie terkedu. Bicara itu penuh makna tersirat. Direnung wajah pemuda ini.
“Sejauh mana awak tahu tentang saya?” tanya Aunie curiga.
“Tak banyak sangat...,” sahutnya. Aunie masih menatapnya.


No comments:

Post a Comment