Monday 13 June 2016

143...Tiada Penghujungnya...! Bab 23

 
BAB 21

“Oppsss...,” Buku di tanganku terlepas ke lantai lalu memecah kesunyian. Pengunjung kafeteria melontar pandangan ke arahku. Sedikit menimbulkan seganku. Lantas aku membongkok mengutipnya.
“Awak tak reti guna mata?” satu suara kasar mencelah di telingaku. Aku mendongak. Sara tersenyum sinis menatapku. Bingkas aku bangun tanpa mempedulikannya. Tidak mahu aku mengundang pergaduhan dengan gadis ini. Apatah lagi di tempat umum sebegini. Baru sahaja aku menapak beberapa langkah... puppp!!!! Sekali lagi buku di tanganku jatuh. Dua orang gadis sedang tersengih di depanku. Aku menatap mereka. Rupa-rupanya sahabat akrab Sara. Pasti mereka telah merencana semua ini.
“Dia ni betul-betullah buta. Jalan tak guna mata,” suara sinis Sara mencelah lagi. Aku melepaskan keluhan kecil cuba menyabarkan diri. Lalu membongkok mengutip buku yang jatuh kali kedua.
“Liya...,” suara lelaki menegurku. Aku mendongak. Boney sedang menatapku. Daniel bersama rakan-rakannya berada di sini sekarang.
“Oh..., Daniel...,” suara Sara yang garang bertukar manja. Dia merapati Daniel yang sedang menatapku dengan pandangan dingin. Tangan Sara sudah berpaut pada lengan Daniel. Berlagak manja yang dibuat-buat menimbulkan  kejengkelan. Sungguh menjengkelkan sikap Sara yang suka bermuka-muka ini. Bingkas aku bangun sambil menghantar senyuman pada Boney yang menyapaku tadi.
“Kami nak minum, marilah ikut sekali,” ajak Boney sambil disokong dengan anggukan kepala Farhan. Sara menarik muka masam sedangkan Daniel tetap dingin membeku. Pasti Sara tidak suka mendengar ajakan Boney itu.
“Takpelah, saya baru je minum tadi,” jelasku. Sara dan sahabat akrabnya menjeling-jeling ke arahku.
“Kalau macam tu kami pergi dulu...,” Aku mengangguk. Sempat bertukar senyuman dengan Boney dan Farhan. Daniel masih dengan wajah membeku. Betullah hidupnya tidak gembira. Seulas senyuman pun dia tidak mampu mengukirnya. Maafkan aku, Daniel. Kiranya akulah pemusnah senyuman yang suatu waktu dahulu sering terukir di bibir itu. Namun sedikit  terkilanku dengan diam Daniel. Mengapa dia tidak menegur tingkahlaku Sara yang kebudak-budakan itu? Sepatutnya sebagai saudara dia mesti membetulkan tindakan salah Sara itu. Aku yakin Daniel pasti menyaksikan kejadian yang disengajakan oleh Sara dan kawan-kawannya itu.
 “Adik...hati-hati!” Puppp...!! Krannnnnnggg!...Tannnnnggggg!!!! Aku melindungi mukaku dengan lengan dari ditimpa peralatan dapur yang sudah berterbangan rentetan perlanggaranku dengan lelaki ini, salah seorang pekerja kafeteria ini.
“Nia, awak okey?” derap langkah laju disusuli suara yang bertanya mendekatiku. Daniel sudah bertongkat lutut di sebelahku. Senyap. Semua orang sedang melontar pandangan ke arah kami. Kemalangan kecil yang mengaibkan. Sungguh aku malu. Terasa panas mukaku. Pasti merah merona. Sempat juga aku melihat Sara dan kawan-kawannya yang tertawa suka. Tiada simpati.
“Adik okey?”tanya lelaki itu sambil menatapku dengan pandangan bersalahnya. Aku mengangguk. Sedikit calar sahaja di pergelangan tanganku.
“Minta maaflah abang tak nampak adik tadi,” ujarnya mengakui kesalahannya. Aku hanya senyum. Sebenarnya bukan salahnya seorang. Aku juga yang berkhayal tadi. Sepatutnya aku boleh mengelak perlanggaran itu kalau aku tidak leka memikirkan tentang Daniel dan Sara tadi.
“Betulkah awal tak apa-apa ni?” suara Daniel bertanya lagi sekali gus menyedarkan aku tentang kewujudannya di sebelahku. Aku berpaling. Seketika aku dan Daniel hanya berpandangan.
“Mari dik!” Aku berpaling ke arah lelaki tadi. Dia sudah menghulurkan tangan berniat hendak membantuku berdiri. Belum sempat aku menyambut huluran tangan itu, Daniel pula menghulurkan tangannya. Kupandang Daniel kemudian beralih kepada lelaki ini. Dia tersenyum lantas menarik huluran tangannya. Tika ini mesti dia terfikir bahawa aku dengan Daniel ada hubungan istimewa. 
“Bangun...,” pinta Daniel seraya memegang pergelengan tanganku. Aku masih dalam posisi dudukku. Sedikit pun tidak berganjak biarpun Daniel sudah bersedia hendak menarikku bangkit.
“Saya boleh bangun sendiri. Pergilah...,” Arahku sekali gus menolak pertolongan itu. Daniel menatapku lama. Lelaki ini memandang aku dan Daniel. Lantas dia terus mengutip periuk belanga yang bertaburan di sekeliling ini, meninggalkan aku dengan Daniel. Tidak mahu terus jadi pemerhati. Tiba-tiba sahaja tangan Daniel begitu bertenaga bukan setakat menarikku bangun sebalik mencempung tubuhku.    
“Apa awak buat ni? Awak tak siuman ke!” ujarku keras. Aku cuba berkuat melepaskan diri tetapi Daniel sudah hilang pertimbangan waras lantas membawaku keluar. Sempat juga aku menatap lelaki yang berlanggar denganku tadi terlopong melihat aku diperlakukan sedemikian oleh Daniel. Selebihnya aku tidak sanggup melontar pandanganku ke sekitar kafeteria ini. Pasti yang lain juga persis lelaki tadi. Tidak sanggup aku mendengar cemuhan suara-suara yang memprotes tindakan tidak sopan Daniel ini.  
“Daniel...!!!” Kedengaran laungan suara Sara. Sudah semestinya Sara terhukum menyaksikan adegan ini. Daniel tidak mempedulikan laungan Sara itu sebaliknya meneruskan langkah membawaku keluar dari kafeteria ini. Sara terus bangun. Namun laju tangan Boney mencapai tangan gadis ini. Langkah Sara terhenti. Niat hendak mengejar langkah Daniel terbantut. Tajam pandangannya singgah di wajah Boney. Dia tidak suka diperlakukan sedemikian oleh pemuda ini.
“Lepaskan tangan saya,” arahnya dengan wajah yang serius.
“Biarkan Daniel selesaikan masalahnya,” pinta Boney. Sara melepaskan keluhan berat lalu menghenyakkan diri di atas kerusi dengan perasaan tidak puas hati. Dia terpaksa akur dengan permintaan Boney itu.
“Turunkan saya sekarang,” pintaku. Aku tidak mahu lebih banyak mata memandang ke arah kami. Aku bukan pesakit yang tidak berdaya hendak berjalan sendiri sehingga terpaksa didukung sebegini. Daniellah yang sakit sekarang sebab itu dia bertindak yang bukan-bukan.
“Daniel...!” Dia langsung tidak terganggu dengan suara kerasku ini. Daniel sudah dirasuk sehingga membuatkan dirinya bertindak tidak waras. Aku sungguh malu dengan orang di sekeliling yang sedang kehairanan menatap kami. Pasti tanggapan negatif telah dilontar kepada aku dan Daniel saat ini. 
“Daniel turunkan saya sekarang!” laungku keras sambil menolak-nolak tubuh Daniel. Daniel bertahan sedaya upaya pada pukulan tanganku.  
“Awak tahu tak kenapa saya tak suka awak? Sebab awak degil! Pentingkan diri sendiri! Tak memahami malah tak tahu menghormati permintaan orang lain! Awak angkuh! Sebab sikap awak ini saya  takkan bahagia jadi kekasih awak, Daniel!” bentakku keras. Langkah Daniel terus terhenti. Seminit kemudian Daniel telah meletakkan aku ke bawah. Pelukan tangannya dileraikan. Baru aku boleh bernafas. Daniel memejamkan mata. Lama. Tangannya digenggam. Mungkin Daniel sedang menahan amarah rentetan bicaraku ini. Dia memegang kepala. Mukanya berpeluh dan pucat lesi.
“Daniel...,” panggilku perlahan. Puppp! Dalam sekelip mata tubuh Daniel rebah menyembah bumi. Aku tergamam dan tidak sempat bertindak menghalang tubuh Daniel tersungkur ke tanah. Sungguh mengejutkan.
“Daniel...Daniel...,” panggilku perlahan seraya menggegar tubuhnya yang terbaring kaku. Aku panik dan menggelabah melihat Daniel tidak bergerak-gerak lagi. Matanya terkatup rapat. Ada darah mengalir di bibir Daniel.
“Daniel bangun...!” laungku sekuat hati. Sungguh aku ketakutan tika ini. Kedengaran bunyi derap langkah berlari ke arahku. Aku berpaling dan mendongak. Boney dan Farhan yang datang. Pasti jeritan lantangku tadi didengari oleh mereka.
“Daniel...Daniel...!” Panggil Farhan dan Boney silih berganti sambil menepuk-menepuk muka Daniel. Sara dan kawan-kawannya datang menyusul kemudian. Nampak nafas mereka tercungap-cungap. Ketakutanku bertambah-tambah tatkala melihat Daniel masih kaku. Dia tidak sedarkan diri.
“Kenapa dengan Daniel?” suara Sara cemas.
“Boney awak pergi ambil kereta sekarang. Kita bawa Daniel ke hospital,” arah Farhan. Kelam-kabut. Boney berlari meninggalkan kami. Sara mendekati Daniel.
“Tepilah awak,” Sara menolak tubuhku membuatkan aku terjelepuk.
“Sara...,” tegur Farhan. Dia sudah meletakkan kepala Daniel di pahanya.
“Semua ini salah awak. Awak yang buat Daniel jadi macam ni!” tengking Sara sambil menunding jari padaku. Aku mendiamkan diri. Memang aku menyalahkan diri melihat keadaan Daniel sekarang.
“Dia memang tak sihat. Dari tadi kami nak hantar dia balik tapi dia menolak,” ujar Farhan tenang cuba mengungkaikan situasi sebenar.
“Kalau berlaku apa-apa pada Daniel saya takkan lepaskan awak!” ancam suara keras Sara memberi amaran. Aku diam dan tidak mempedulikan kemarahan gadis ini. Pandanganku tidak beralih dari Daniel. Bimbang dan tidak berdaya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa untuk Daniel.
“Padan muka,” suara sahabat-sahabat akrab Sara pula yang mencelah mengutukku. Aku hanya berdiam diri. Cuba menahan air mata yang bertakung di birai mata. Tidak mahu menangis di depan Sara dan kawan-kawannya ini. Boney muncul semula lantas membantu Farhan mengangkat tubuh Daniel.
“Kami nak hantar Daniel pergi hospital. Awak nak ikut sekali?” tanya Boney mahu mengajakku.
“Tak payah dia ikut. Cepat jangan buang masa lagi,” tegas Sara. Aku mengangguk. Tidak membantah larangan Sara.
“Kamu pergilah dulu nanti saya menyusul,” ujarku perlahan. Farhan dan Boney melarikan tubuh Daniel yang masih kaku ke arah kereta yang terletak di bahu jalan. Sara berlari anak di belakang lalu sama-sama masuk ke dalam kereta. Kereta yang dipandu oleh Boney terus bergerak ke destinasi meninggalkan aku yang masih terpacak di situ memerhatikan kepergian mereka. Kedua-dua sahabat Sara tadi menyusul di belakang. Air mata yang kusimpan lama jatuh berderai di pipi. Aku menangis bersendirian di situ. Bimbang perkara yang serius menimpa Daniel.
“Ya Allah... selamatkanlah Daniel...,” hatiku berbisik mendoakan keselamatan Daniel. 
♪♫♪♫♪♫♪♫
Aku masih terpacak di depan jendela ini melontar pandangan jauh. Fikiranku sarat memikirkan tentang Daniel. Bagaimana keadaannya sekarang? Sudah sedarkah dia? Mengapa Daniel tiba-tiba sahaja pengsan? Adakah Daniel menghidap penyakit kronik? Ohh..., berat kepalaku memikirkan semua ini! Aku berharap Daniel sihat walfiat. Sebagai sahabat yang pernah akrab dengannya pasti aku juga bimbang akan keadaan Daniel sekarang. Lebih-lebih lagi tatkala aku teringat pada Nek Jah. Nek Jah pasti risau tika ini. Daniel bukan sekadar cucu kesayangannya malah hubungan mereka persis ibu dengan anak. Sejak sekian lama Daniel tinggal dengam Nek Jah. Ringkasnya Daniel membesar di depan Nek Jah. Deringan iPhone memecah keheningan. Nama Zatul terpamer di dada skrin. Pasti Zatul telah mendapat perkhabaran terkini tentang Daniel.
“Assalamualaikum... Awak di mana sekarang?” tanya Zatul. Salam Zatul kujawab dalam diam.
“Rumah...,” jawabku pendek.
“Awak dah tahu Daniel masuk wad sekarang?” jelas Zatul seperti yang kujangkakan. Aku memang tahu Zatul akan memperkatakan tentang Daniel. Sehingga ke hari ini Zatul tidak pernah ketinggalan mengikuti kehidupan Daniel.
“Ya...saya dah tahu” sahutku lemah. Tidak mahu aku menceritakan kejadian yang menimpa Daniel berlaku di depan mataku. Aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita ini. Malah aku tidak mahu dihujani dengan banyak pertanyaan yang bakal keluar dari mulut Zatul.
“Marilah kita jenguk dia di hospital ” ajak Zatul. Senyap. Perlukah aku menerima ajakan Zatul ini? Sara tidak akan membenarkan aku bertemu dengan Daniel. Dia tidak pernah menyenangi kewujudanku. Apatah lagi hendak berdekatan dengan Daniel. Mahukah Daniel menemuiku?
“Kehadiran saya di situ tak diperlukan” luahku tanpa berselindung. Kedengaran keluhan Zatul. Tidak suka mendengar kata-kataku.
“Siapa kata? Saya tahu pasti Daniel mengharapkan awak bersamanya sekarang” tingkah Zatul begitu yakin. Aku menghela nafas panjang. Aku akan mempertimbangkan kehadiranku ke situ. Namun bukan sekarang.
“Sara tak senang saya berada di situ” jelasku. Suara kasar gadis itu terngiang-ngiang di telingaku.
“Awak bukan nak jumpa dia pun” tingkah Zatul. Memang benar. Berapa banyak keikhlasan di sebalik hajat yang ingin ditunaikan, namun Sara tetap akan menolaknya. Sara memang menganggapku musuh. Aku tahu saat begini pasti Sara sentiasa di samping Daniel. Aku tidak mahu mengundang kemarahan Sara. Bahkan aku tidak mahu menimbulkan suasana yang tegang dalam keadaan Daniel sekarang.
“Betul awak tak nak pergi?” tanya Zatul meminta kepastian.
“Awak pergilah dulu. Kalau keadaan mengizinkan, insya-Allah saya akan jenguk Daniel nanti” ujarku tidak pasti bilakah masa yang sesuai hendak bertandang ke situ. Keluhan Zatul kedengaran lagi. Dia tidak menyenangi keputusanku. Daripada menimbulkan kemarahan Sara lebih baik aku menanguhkan pertemuan itu. Rasanya Daniel pun tidak mengalu-alukan kedatanganku ke situ.
“Kalau macam tu takpelah. Assalamualaikum... Bye...” Kedengaran suara Zatul hampa setelah ajakannya hendak menjenguk Daniel di hospital terpaksa kutolak. Keputusanku telah mengecewakan Zatul. Aku menghenyakkan tubuh di sofa panjang. Serba-salah. Suara Sara yang menyalahkan aku atas kejadian yang menimpa Daniel kedengaran kembali. Mustahil Sara menyalahkan aku rentetan penolakan cinta Daniel terhadapku. Setahuku Sara memang menyimpan perasaan pada Daniel. Tindakanku ini pasti mendapat restu Sara. Mungkin Sara menyalahkan aku kerana pernah menjadi sahabat akrab Daniel. Salahku juga membuatkan Daniel jatuh cinta kepadaku. Seharusnya aku tidak membiarkan Daniel mendekatiku. Sebaliknya meneruskan permusuhan yang pernah wujud antara kami. Namun siapa aku hendak menentukan suratan perjalanan hidup sebegini. Aku mengeluh lagi. Astagfirullah... !Kesal lantaran membanyakkan keluhan tatkala masalah menimpa diri. Bukankah sepatutnya aku muhasabah diri. Cuba membuat pertimbangan sewajarnya.
“Jangan terlalu kejam sangat Liya. Awak nak jadi orang yang takde perasaan?” bicara yang pernah keluar dari mulut Zatul terngiang-ngiang kembali. Zatul mempertikaikan tindakanku terhdap Daniel.
“Soal hati dan perasaan adakalanya tak boleh dikawal. Awak langsung takde perasaan pada Daniel atau awak tak yakin padanya?” tanya Zatul lagi. Memang aku tidak yakin Daniel boleh jadi kekasihku. Bahkan aku juga tidak yakin pada diriku sendiri. Terlalu banyak jurang perbezaan yang wujud antara kami.
“Perbezaan yang wujud adalah pelengkap pada sebuah perhubungan” suara Fatin pula kedengaran. Aku mula merasakan sahabat-sahabat akrabku seakan merestui Daniel menjadi kekasihaku. Walaupun tidak secara terang-terangan namun jelas Zatul, Umie dan Fatin mahu aku mempertimbangkan perasaan Daniel kepadaku. Ya Allah, apa yang patut aku lakukan? Berilah aku petunjuk yang terbaik buatku dan buat orang yang berada di sekelilingku. iPhoneku berdering mengejutkanku. Aku mengalih pandangan pada skrin iPhone. Tertera nama Nek Jah membuatkan aku bangkit dari perbaringanku di sofa ini.
“Assalamualaikum Nek Jah” sapaku berebar-debar. Salamku disambut oleh suara Nek Jah. Tidak pernah aku menduga Nek Jah akan menghubungiku.
“Apa khabar? Lama dah tak jumpa kamu” Lembut suara Nek Jah menyapa. Sejak Daniel bersikap dingin aku tidak lagi bertemu dengan Nek Jah.
“Sihat...Nek Jah sihat?” sahutku ringkas dan bertanya perkhabarannya.
“Alhamdulillah sihat. Kamu tahu Daniel demam?” suara Nek Jah mengajukan pertanyaan.
“Ya... saya tahu” jawabku serba salah.
“Bila nak datang ke sini? Daniel dah ada di rumah sekarang” jelas Nek Jah buat aku tersentak. Cepat Daniel meninggalkan hospital. Aku memang berharap Daniel akan cepat sembuh. Aku diam.
“Datanglah sini nanti. Daniel tak tahan dengan air hujan. Balik dari hantar kamu terus diserang demam. Tak sangka pula boleh serius macam ni sampai pengsan-pengsan” keluh Nek Jah.
“Ya... Daniel basah kuyup sebab dia berhujan masa hantar saya balik” sahutku kian rasa bersalah.
“Dia memang akan sakit kalau terkena air hujan” keluh Nek Jah lagi. Daniel demam pasti buat dirinya susah hati. Aku tidak tahu Daniel alah pada air hujan. Kalau aku tahu Daniel tidak boleh terkena air hujan sudah pasti aku tidak akan membiarkannya meredah hujan. Kasihan Daniel kerana aku dia jadi macam ini.
“Datang sini ye... Boleh jenguk Daniel demam” pinta Nek Jah seakan mengharap kehadiranku ke situ. Senyap. Aku sedang mempertimbangkan permintaan Nek Jah. Perlukah aku muncul di depan Daniel tika ini? Adakah Daniel  tidak akan terbeban dengan kehadiranku di situ nanti? Bimbang juga kalau Daniel fikir aku mencampuri urusan hidupnya.
“Datanglah... Nanti kamu boleh tolong Nek Jah jaga Daniel” tambah Nek Jah mengukuhkan permintaannya.
“Saya risau kedatangan saya akan buat Daniel marah” Kuluahkan jua perkara yang terpendam di hati tanpa halangan. Kedengaran tawa Nek Jah.
“Dia pasti suka kalau kamu datang sini” balas Nek Jah begitu yakin.
“Tak pun terus sihat walfiat tengok kamu datang” tambah Nek Jah berseloroh. Aku tersenyum sendiri. Pandai Nek Jah bergurau.
“Risau juga tengok Daniel tak bangun-bangun lagi. Tinggal di wad tak nak. Makan ubat pun tak nak. Mujur juga ada Doktor Feqri boleh datang rumah periksanya” rungut Nek Jah tentang kedegilan Daniel. Rupa-rupanya Daniel belum sihat lagi. Mujur keluarga Daniel kaya ada doktor peribadi yang boleh dipinggil bila-bila masa sahaja. Kalaulah dirinya macam orang kebanyakan pasti sakitnya melarat kerana tiada kemahuan hendak cepat sembuh. Terbayang keletihan di wajah tua Nek Jah. Kasihan.
“Kejap lagi saya datang sana” ujarku membuat keputusan setelah mempertimbangkannya sejenak. Daniel sakit kerana aku. Tidak wajar aku langsung tidak menjengukkan diri hendak melawatnya.
“Oh..., gembira Nek Jah mendengarnya” sahut Nek Jah ceria.
“Nanti kita jumpa Nek Jah. Assalamualaikum...” ujarku lantas mematikan perbualan di talian. Suara Nek Jah sudah tidak kedengaran lagi. Aku terus menghubungi ayah untuk mendapatkan keizinannya. Ayah tidak membantah.
“Assalamualaikum...” sapaku tatkala Mak Munah menguak pintu untukku. Kami saling bertukar senyuman. Lantas aku menyalami tangan Mak Munah dan bertanyakan perkhabaran dirinya. Senyuman ceria Mak Munah sudah cukup menjelaskan bahawa dirinya baik-baik sahaja. Dia dan suaminya seronok tinggal bersama Nek Jah yang baik hati. Beruntung bekerja dengan majikan yang bertimbang rasa. Mak Munah dan Pak Shuib pun baik orangnya.
“Dania dah datang?” Kedengaran suara Nek Jah melontar pertanyaan. Kelibatnya masih tidak kelihatan.
“Ya... datin, Dania ni” jelas Mak Munah. Nek Jah muncul lalu memelukku mesra. Persis aku sebahagian daripada ahli keluarganya.
“Daniel tidur. Mari kita tengok dia” ajak Nek Jah. Aku mengangguk dan mengiringi langkah Nek Jah mendaki anak tangga untuk sampai ke tingkat atas. Kedengaran rentak deru nafas Nek Jah yang lesu. Dia sudah tua hendak melalui kepayahan ini.
“Rasa semput juga dalam sehari banyak kali turun naik tangga. Nanti kalau kamu nak buat rumah, tak payah bertingkat-tingkat... menyusahkan. Bila dah tua macam ni tak larat” ujar Nek Jah meluahkan kepayahannya. Aku bersimpati dan mengerti. Pasti dia sendiri yang mahu menjaga cucu kesayangannya itu. Mungkin juga Daniel cerewet tidak mahu Mak Munah yang mengurus dirinya. Orang sakit selalu banyak kerenah. Daun pintu ditolak perlahan. Nek Jah menggeleng dan mengeluh tatkala melihat bubur nasi belum dijamah dan ubat belum ditelan. Terbiar di situ sahaja.
“Tengok... Daniel macam budak kecil tak mahu makan ubat” rungut Nek Jah. Aku tersengih. Tidak mahu memberi komen. Sebenarnya akupun tidak suka makan ubat.
“Macam mana nak cepat sembuh kalau tak mahu makan ubat. Langsung tak mahu makan mestilah takde tenaga” omel Nek Jah bingung. Daniel masih lena. Langsung tidak terganggu dengan suara Nek Jah. Tubuhnya berselimut. Mukanya pucat. Bibirnya merekah dan kering. Kurang air. Demam Daniel memang serius.
“Takpe...nanti saya paksa Daniel makan bubur nasi dan telan ubat. Kalau dia takde selera nak makan, boleh cuba masak bubur yang lain pula” ujarku cuba menyenangkan hati Nek Jah. Nek Jah tersenyum.
“Kamu boleh masak bubur nasi?” tanya Nek Jah teruja. Aku mengangguk.
“Bubur nasi ayam cendawan” jelasku tersenyum. Menu turun-temurun yang diperturunkan ayah kepadaku. Bubur nasi ayam cendawan ayah sangat sedap. Aku sangat menyukainya.
“Wah..., sedap tu!” puji Nek Jah suka.
“Nanti Nek Jah rasa ye...” pintaku. Nek Jah mengangguk-angguk setuju. Daniel bergerak. Suaraku dengan Nek Jah telah mengganggu lenanya. Kelopak matanya terangkat sedikit. Lemah. Tidak bertenaga.
“Dania datang ni...” beritahu Nek Jah. Daniel memandangku sekilas. Kemudian memejamkan matanya kembali. Nek Jah mengeluh kecil.
“Sejak kecil dia memang tak boleh berhujan. Pantang kena air hujan mesti demam teruk” keluh Nek Jah. Aku semakin rasa bersalah. Tidak patut aku biarkan Daniel meredah hujan yang turun mencurah-curah pada malam itu. Kalau tahu Danie tidak boleh terkena hujan aku rela basah kuyup. Nasib tidak baik, aku hanya akan diserang selsema. Tidaklah seteruk keadaan Daniel sekarang.
“Nanti Dania masak bubur sedap untuk kamu. Kamu mesti makan banyak-banyak” ujar Nek Jah sambil mengatur selimut menutupi tubuh Daniel. Tiada kemampuan Nek Jah hendak memaksa Daniel makan bubur nasi dan ubat ini. Nek Jah mencapai bubur nasi yang sudah dingin kerana terbiar lama untuk dibawa ke dapur.
“Mari Dania...” Nek Jah menyentuh bahuku lantas kami beriringan melangkah keluar dari bilik ini meninggalkan Daniel yang sudah lena kembali.

Usai menikmati minuman dan kuih yang dihidang oleh Mak Munah, aku bergerak ke dapur ditemani oleh Nek Jah dan Mak Munah. Mak Munah membantuku menyediakan bahan-bahan bubur nasi ayam cendawan  manakala Nek Jah hanya jadi pemerhati sambil tersenyum-senyum. Terasa persis pertandingan memasak yang sering kutonton di kaca tv. Sedikit kekok apabila Nek Jah tidak mahu mengalih pandangan dariku yang sedang menunjukkan bakat menjadi chef. Terdetik kebimbangan jikalau caraku beraksi di dapur bercanggah dengan kebiasaan Nek Jah. Namun melihat senyuman panjang Nek Jah, perasaan bimbang itu lenyap perlahan-lahan. Nek Jah bukan datin yang cerewet dan banyak pantang larang yang wajib dituruti persis perwatakan yang selalu digambarkan dalam cerita tv. Sebaliknya Nek Jah seorang yang sederhana dan berhati mulia. Tidak sombong, tidak angkuh seperti Daniel. Untung Daniel ada Nek Jah.
“Okey...dah siap” ujarku girang setelah berjaya menamatkan misi di dapur. Bingkas Nek Jah bangkit dari kerusi lalu mendekatiku. Mak Munah menyusul dan tidak mahu ketinggalan menatap bubur nasi cendawan ayam yang sedang mengeluarkan aroma wangi.
“Wah..., wanginya! Mesti sedap” puji Nek Jah disokong dengan anggukan kepala Mak Munah.
“Mari kita rasa sebelum pesakit makan” ujar Nek Jah tergelak sendiri. Aku senyum. Bicara Nek Jah mencuit hatiku.
“Silakan...” pelawaku berbesar hati lantas memasukkan dua senduk bubur ke dalam dua biji mangkuk. Aku menghidangkan bubur nasi cendawan ayam ini kepada Nek Jah dan Mak Munah. Pengkritik utama sebelum nasi bubur ini dihidangkan kepada Daniel.
“Terima kasih...terima kasih” Aku tersenyum memandang Nek Jah dan Mak Munah yang sudah tidak sabar hendak menikmati bubur nasi ini.
“Hati-hati...panas bubur ni” pesanku mengingatkan kedua-duanya. Hampir serentak mereka menyuap bubur nasi ini. Aku menatap Nek Jah dan Mak Munah yang giat mengunyah tiba-tiba senyap. Gerakan mulut mereka juga terhenti. Nek Jah dan Mak munah saling berpandangan. Berkomunikasi dengan bahasa isyarat.
“Kenapa? Tak sedap?” tanyaku gusar. Tawar? Tidak secukup rasa? Atau terlebih garam? Rasanya aku telah memasak bubur nasi ini dengan sempurna. Mungkin seleraku tidak serupa dengan selera mereka yang lebih berpengalaman di dapur. Bubur yang kumasak ini tidak setanding dengan kelazatan masakan Nek Jah yang pernah kurasa. Kecewa. Aku sudah bersungguh-sungguh melakukannya.
“Biar saya yang habiskan bubur ni nanti. Tak payah Daniel makan” ujarku kesal kerana tidak mampu memikat selera Nek Jah dan Mak Munah. Nek Jah menggeleng kepala membantah kata-kataku.
“Boleh kami tambah bubur nasi lagi? Tak puas makan semangkuk” suara Mak Munah memecah kesepian. Serentak Nek Jah dan Mak Munah menunjukkan ibu jari ke atas. Memuji kelazatan bubur nasi cendawan ayam ini. Aku tergelak. Lucu. Lagak mereka tadi sungguh mengelirukan aku.
“Suatu hari nanti kamu akan jadi isteri yang baik” puji Nek Jah dengan mata bercahaya. Aku tersenyum. Bicara Nek Jah sangat bermakna. Alhamdulillah. Bubur nasi resipi ayah ini berjaya memikat selera Nek Jah dan Mak Munah. Harap-harap Daniel juga akan menyukai bubur nasi ini.
“Kamu hantar bubur ini pada Daniel. Masih panas ni sedap dimakan” ujar Nek Jah mengarahkan aku. Aku mengangguk. Kumasukkan bubur nasi ini ke dalam mangkuk dan menuang segelas air kosong di dalam gelas. Kemudian menyusunnya di atas dulang.
“Nek Jah tak ikut sama?” tanyaku sambil menatang dulang hendak bergerak ke bilik Daniel. Lebih selesa jikalau Nek Jah ada bersama.
“Kamu sajalah yang beri Daniel makan bubur nasi tu. Sakit lutut Nek Jah dah banyak kali turun naik tangga” keluh Nek Jah dengan dahi berkerut sambil memegang lututnya. Kasihan Nek Jah. Usia sudah meningkat kudrat tidak segagah dahulu.
“Jangan lupa suruh dia makan ubat” pesan Nek Jah meletakkan sepenuh tanggungjawab ini kepadaku.
“Hari ini Nek Jah lantik kamu jadi jururawat Daniel” ujar Mak Munah tersengih. Laju sahaja kepala Nek Jah mengangguk. Suka mendengar kenyataan Mak Munah. Aku garu kepala yang tidak gatal. Turut tersengih dan belum mahu berganjak dari dapur.
“Daniel tak marah nanti? Diakan sedang tidur” ujarku was-was. Gusar Daniel akan mengamuk dan tidak mengalu-alukan kedatanganku ke situ.
“Dia suka kamu datang. Kamu mesti pujuk dia makan” pinta Nek Jah. Bukan mudah hendak mengarah orang yang degil macam Daniel.
“Kamu boleh tolong Nek Jahkan...” Kupandang wajah Nek Jah yang mengharap. Simpati pula aku kepadanya.
“Okey...saya akan buat” janjiku akan memastikan Daniel makan bubur nasi dan menelan ubat dengan cara apa sekalipun. Nekad.
Good luck, Dania” ujar Nek Jah menyuntik semangat bagai aku hendak turun ke medan pertempuran. Namun menyedarkan aku bukan mudah hendak berhadapan Daniel yang degil. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kemudian memulakan langkah sambil menatang dulang yang berisi semangkuk bubur nasi dan segelas air kosong dengan harapan yang Daniel tidak banyak ragam kali ini.
“Mak Munah... saya harap suatu hari nanti Dania jadi isteri Daniel. Dia saja yang mampu mengubah Daniel” ujar Nek Jah serius masih menyoroti langkah Dania yang sedang mendaki anak tangga hendak ke bilik pemuda itu.
“Amin. Saya sokong datin” ujar Mak Munah menunjukkan kesetiaannya kepada majikannya itu. Dia memang berkenan kepada gadis itu. Dania calon teman hidup yang baik buat Daniel.
Langkahku mati tepat-tepat di depan bilik Daniel. Aku menarik nafas lagi dan menitip doa. Harap-harap semua akan berjalan lancar. Bismillahirahmanirahim. Kutolak perlahan daun pintu lalu kulangkahkan kaki kanan melangkah masuk ke dalam bilik ini. Daun pintu kukuak seluas-luas. Mudah hendak menyelamatkan diri jika Daniel mengamuk nanti. Langkah berwaspada dan menjaga batas pergaulan. Kuletakkan dulang di atas meja di sisi katil. Daniel masih tidak bergerak-gerak. Dia tidak menyedari kedatanganku.
“Assalamualaikum... Saya nak beri awak makan bubur nasi dan ubat” tuturku berhati-hati. Tubuh Daniel masih statik.
“Daniel...” panggilku lembut. Kali ini Daniel bergerak. Berat kelopak matanya hendak diangkat.
“Makan sedikit ye...” pujukku. Daniel menatapku dengan wajah lesu. Pucat. Dia masih tidak bersuara.
“Awal mesti makan. Mari saya tolong awak bangun” ujarku lalu mendekatinya. Berdiri di sisi katil di sebelahnya. Kupaut lengan Daniel. Dia bersusah-payah hendak bangun. Kuletakkan bantal di kepala katil lalu menyadarkannya di situ.
“Saya tolong suapkan ye...” Daniel menggeleng. Dia tidak mahu disuapkan. Mungkin kekok diperlukan sedemikian.
“Okey... awak suap sendiri” arahku. Daniel menggeleng lagi.
“Awak mesti makan supaya ada tenaga” gesaku. Daniel memandang kosong bubur nasi ini. Bicaraku tidak dipedulikannya.
“Makan sedikit saja ye...” pujukku cuba berlembut.
“Kasihanlah saya kalau awak tak nak rasa bubur nasi cendawan ayam ni. Susah-susah dah saya masak bubur ni tadi” tambahku cuba memancing kesudian Daniel menjamah bubur nasi ini. Daniel masih dengan kedinginannya. Tidak mahu dipujuk.
“Nek Jah dan Mak Munah kata bubur nasi yang saya masak ni sedap tau” Aku tersengih memandang Daniel. Segan pula bercakap begini. Rasa macam angkat bakul sendiri pula.
“Rugi kalau awak tak rasa” tambahku masih berusaha memikat kesudian Daniel merasa bubur nasi ini.
“Makan ye...” Kuceduk  bubur nasi di mangkuk lalu mendekatkan ke mulut Daniel. Mulutnya masih tertutup rapat. Tidak mahu menyuap bubur nasi ini.
“Makan...” pintaku masih bersabar dengan kedegilannya.
“Saya akan makan kalau awak mahu menyanyi” perlahan suara Daniel tetapi jelas di telingaku. Besar mataku menatap Daniel. Sukar hendak percaya. Sakit-sakitpun dia masih ada keinginan hendak membuliku. Aku mengetap bibir. Geram. Permintaan Daniel tidak masuk akal. Kalau aku tidak menyanyi, Daniel tidak akan makan bubur nasi dan menelan ubat. Biarlah Daniel berlapar. Namun kasihan pula kepada Nek Jah. Terlanjur aku sudah berjanji kepadanya.
“Saya tak reti menyanyi” ujarku mengharap Daniel melupakan permintaannya. Daniel menggeleng. Tidak percaya.
“Suara saya sumbang. Sakit telinga awak mendengarnya nanti” tambahku cuba menolak permintaan Daniel yang luar biasa ini. Sakit-sakit masih berkeinginan hendak mendengar orang menyanyi. Tidakkah dia kebisingan nanti?
“Awak rasa sunyi ye... Takpe nanti saya pasang radio” tuturku tersengih. Daniel mempamer wajah kosong. Nampak tidak berminat dengan cadanganku.
“Nyanyilah...” arah Daniel tiada diplomasi dan menolak cadanganku. Aku mengeluh. Berkerut seribu mukaku. Perkara yang sukar hendak aku lakukan.
“Saya akan menyanyi tapi dengan syarat awak akan makan bubur dan ubat. Boleh?” tanyaku mahu membuat perjanjian dengannya. Daniel mengangguk.
“Bukan setakat hari ini saja tapi sampai awak sembuh” ujarku memperincikan isi perjanjian. Daniel mengangguk lagi. Mudah sahaja dia bersetuju.
“Nyanyi sekarang...” perintahnya tidak sabar-sabar. Harap-harap Daniel tidak akan mentertawakan aku.
“Saya hanya hafal lagu semut...” ujarku masih mengharap Daniel membatalkan permintaannya ini.
“Nyanyilah...” arah Daniel. Kupandang Daniel. Dia sedang menunggu nyanyianku berkumandang. Aku berdehem-dehem. Cuba mengatur saluran kerongkongku.
♪♫♪♫♪♫♪♫
“Saya persembahkan lagu semut ini buat Daniel Adhwa. Semoga awak cepat sembuh. 1...2...3...♪♪♪Tubuhnya yang kecil, badan berkerat tiga, ada enam kaki, sesunggut di kepala. ♫♫♫ Ada yang melata, dan terbang di udara, bermacam bentuknya, bermacam warnanya. ♪♫♪♫Serangga yang halus, sangat rajin bekerja, tak kira siang malam. Tekun dan usaha, dua sikap mullia, marilah kita amalkannya... ♪♫♪♫♪♫♪♫” Aduh..., semput nafasku! Daniel tidak ketawa. Dia seolah-olah sedang menghayati lagu zaman kanak-kanak ini. Mungkin dia tidak pernah mendengar lagu ini.

“Bagus... Akhirnya dapat juga saya dengar suara awak menyanyi. Saya suka suara awak” ujarnya serius menatapku. Aku diam. Tidak teruja mendengar kata-kata Daniel. Tidak pasti sejauh mana dia ikhlas menuturkan bicaranya itu. Setahuku suaraku tidak merdu.

Daniel juga menepati janjinya. Tanpa paksaan mahupun pujukan, dia menghabiskan semangkuk bubur nasi dan menelan ubat. Berbaloi juga aku menyumbangkan suaraku yang tidak merdu ini ke telinga Daniel. Malu. Pasti Nek Jah dan Mak Munah turut mendengar nyanyian sumbangku tadi. Malu dan Segan.



1 comment:

  1. salam ramadhan. 143...Tiada Penghujungnya kembali lagi setelah sekian lama bertapa...PERHATIAN judul novel ini akan ditukar kepada 'Sungguh...Saya Cinta Awak...!

    ReplyDelete