BAB 21
“Oppsss...,” Buku di tanganku terlepas ke lantai lalu
memecah kesunyian. Pengunjung kafeteria melontar pandangan ke arahku. Sedikit
menimbulkan seganku. Lantas aku membongkok mengutipnya.
“Awak tak reti guna mata?” satu suara kasar mencelah di
telingaku. Aku mendongak. Sara tersenyum sinis menatapku. Bingkas aku bangun
tanpa mempedulikannya. Tidak mahu aku mengundang pergaduhan dengan gadis ini.
Apatah lagi di tempat umum sebegini. Baru sahaja aku menapak beberapa
langkah... puppp!!!! Sekali lagi buku di tanganku jatuh. Dua orang gadis sedang
tersengih di depanku. Aku menatap mereka. Rupa-rupanya sahabat akrab Sara.
Pasti mereka telah merencana semua ini.
“Dia ni betul-betullah buta. Jalan tak guna mata,” suara
sinis Sara mencelah lagi. Aku melepaskan keluhan kecil cuba menyabarkan diri.
Lalu membongkok mengutip buku yang jatuh kali kedua.
“Liya...,” suara lelaki menegurku. Aku mendongak. Boney
sedang menatapku. Daniel bersama rakan-rakannya berada di sini sekarang.
“Oh..., Daniel...,” suara Sara yang garang bertukar manja.
Dia merapati Daniel yang sedang menatapku dengan pandangan dingin. Tangan Sara
sudah berpaut pada lengan Daniel. Berlagak manja yang dibuat-buat menimbulkan kejengkelan. Sungguh menjengkelkan sikap Sara yang suka bermuka-muka ini.
Bingkas aku bangun sambil menghantar senyuman pada Boney yang menyapaku tadi.
“Kami nak minum, marilah ikut sekali,” ajak Boney sambil
disokong dengan anggukan kepala Farhan. Sara menarik muka masam sedangkan
Daniel tetap dingin membeku. Pasti Sara tidak suka mendengar ajakan Boney itu.
“Takpelah, saya baru je minum tadi,” jelasku. Sara dan
sahabat akrabnya menjeling-jeling ke arahku.
“Kalau macam tu kami pergi dulu...,” Aku mengangguk. Sempat bertukar senyuman dengan Boney dan Farhan. Daniel masih dengan wajah
membeku. Betullah hidupnya tidak gembira. Seulas senyuman pun dia tidak
mampu mengukirnya. Maafkan aku, Daniel. Kiranya akulah pemusnah senyuman yang
suatu waktu dahulu sering terukir di bibir itu. Namun sedikit
terkilanku dengan diam Daniel. Mengapa dia tidak menegur tingkahlaku Sara yang
kebudak-budakan itu? Sepatutnya sebagai saudara dia mesti membetulkan tindakan
salah Sara itu. Aku yakin Daniel pasti menyaksikan kejadian yang disengajakan
oleh Sara dan kawan-kawannya itu.
“Adik...hati-hati!”
Puppp...!! Krannnnnnggg!...Tannnnnggggg!!!! Aku melindungi mukaku dengan lengan
dari ditimpa peralatan dapur yang sudah berterbangan rentetan perlanggaranku dengan
lelaki ini, salah seorang pekerja kafeteria ini.
“Nia, awak okey?” derap langkah laju disusuli suara yang
bertanya mendekatiku. Daniel sudah bertongkat lutut di sebelahku. Senyap. Semua
orang sedang melontar pandangan ke arah kami. Kemalangan kecil yang mengaibkan.
Sungguh aku malu. Terasa panas mukaku. Pasti merah merona. Sempat juga aku
melihat Sara dan kawan-kawannya yang tertawa suka. Tiada simpati.
“Adik okey?”tanya lelaki itu sambil menatapku dengan
pandangan bersalahnya. Aku mengangguk. Sedikit calar sahaja di pergelangan
tanganku.
“Minta maaflah abang tak nampak adik tadi,” ujarnya mengakui
kesalahannya. Aku hanya senyum. Sebenarnya bukan salahnya seorang. Aku juga
yang berkhayal tadi. Sepatutnya aku boleh mengelak perlanggaran itu kalau aku
tidak leka memikirkan tentang Daniel dan Sara tadi.
“Betulkah awal tak apa-apa ni?” suara Daniel bertanya
lagi sekali gus menyedarkan aku tentang kewujudannya di sebelahku. Aku
berpaling. Seketika aku dan Daniel hanya berpandangan.
“Mari dik!” Aku berpaling ke arah lelaki tadi. Dia sudah
menghulurkan tangan berniat hendak membantuku berdiri. Belum sempat aku
menyambut huluran tangan itu, Daniel pula menghulurkan tangannya. Kupandang
Daniel kemudian beralih kepada lelaki ini. Dia tersenyum lantas menarik huluran tangannya.
Tika ini mesti dia terfikir bahawa aku dengan Daniel ada hubungan istimewa.
“Bangun...,” pinta Daniel seraya memegang pergelengan
tanganku. Aku masih dalam posisi dudukku. Sedikit pun tidak berganjak biarpun
Daniel sudah bersedia hendak menarikku bangkit.
“Saya boleh bangun sendiri. Pergilah...,” Arahku sekali gus
menolak pertolongan itu. Daniel menatapku lama. Lelaki ini memandang aku dan
Daniel. Lantas dia terus mengutip periuk belanga yang bertaburan di sekeliling ini,
meninggalkan aku dengan Daniel. Tidak mahu terus jadi pemerhati. Tiba-tiba sahaja
tangan Daniel begitu bertenaga bukan setakat menarikku bangun sebalik
mencempung tubuhku.
“Apa awak buat ni? Awak tak siuman ke!” ujarku keras. Aku
cuba berkuat melepaskan diri tetapi Daniel sudah hilang pertimbangan waras
lantas membawaku keluar. Sempat juga aku menatap lelaki yang berlanggar denganku
tadi terlopong melihat aku diperlakukan sedemikian oleh Daniel. Selebihnya aku
tidak sanggup melontar pandanganku ke sekitar kafeteria ini. Pasti yang lain juga
persis lelaki tadi. Tidak sanggup aku mendengar cemuhan suara-suara yang
memprotes tindakan tidak sopan Daniel ini.
“Daniel...!!!” Kedengaran laungan suara Sara. Sudah
semestinya Sara terhukum menyaksikan adegan ini. Daniel tidak mempedulikan
laungan Sara itu sebaliknya meneruskan langkah membawaku keluar dari
kafeteria ini. Sara terus bangun. Namun laju tangan Boney mencapai tangan gadis
ini. Langkah Sara terhenti. Niat hendak mengejar langkah Daniel terbantut.
Tajam pandangannya singgah di wajah Boney. Dia tidak suka diperlakukan
sedemikian oleh pemuda ini.
“Lepaskan tangan saya,” arahnya dengan wajah yang serius.
“Biarkan Daniel selesaikan masalahnya,” pinta Boney. Sara
melepaskan keluhan berat lalu menghenyakkan diri di atas kerusi dengan perasaan
tidak puas hati. Dia terpaksa akur dengan permintaan Boney itu.
“Turunkan saya sekarang,” pintaku. Aku tidak mahu lebih
banyak mata memandang ke arah kami. Aku bukan pesakit yang tidak berdaya
hendak berjalan sendiri sehingga terpaksa didukung sebegini. Daniellah yang
sakit sekarang sebab itu dia bertindak yang bukan-bukan.
“Daniel...!” Dia langsung tidak terganggu dengan suara
kerasku ini. Daniel sudah dirasuk sehingga membuatkan dirinya bertindak tidak
waras. Aku sungguh malu dengan orang di sekeliling yang sedang kehairanan
menatap kami. Pasti tanggapan negatif telah dilontar kepada aku dan Daniel saat
ini.
“Daniel turunkan saya sekarang!” laungku keras sambil
menolak-nolak tubuh Daniel. Daniel bertahan sedaya upaya pada pukulan tanganku.
“Awak tahu tak kenapa saya tak suka awak? Sebab awak degil!
Pentingkan diri sendiri! Tak memahami malah tak tahu menghormati permintaan
orang lain! Awak angkuh! Sebab sikap awak ini saya takkan bahagia jadi
kekasih awak, Daniel!” bentakku keras. Langkah Daniel terus terhenti. Seminit
kemudian Daniel telah meletakkan aku ke bawah. Pelukan tangannya dileraikan.
Baru aku boleh bernafas. Daniel memejamkan mata. Lama. Tangannya digenggam. Mungkin
Daniel sedang menahan amarah rentetan bicaraku ini. Dia memegang kepala. Mukanya
berpeluh dan pucat lesi.
“Daniel...,” panggilku perlahan. Puppp! Dalam sekelip mata
tubuh Daniel rebah menyembah bumi. Aku tergamam dan tidak sempat bertindak
menghalang tubuh Daniel tersungkur ke tanah. Sungguh mengejutkan.
“Daniel...Daniel...,” panggilku perlahan seraya menggegar
tubuhnya yang terbaring kaku. Aku panik dan menggelabah melihat Daniel tidak
bergerak-gerak lagi. Matanya terkatup rapat. Ada darah mengalir di bibir
Daniel.
“Daniel bangun...!” laungku sekuat hati. Sungguh aku
ketakutan tika ini. Kedengaran bunyi derap langkah berlari ke arahku. Aku
berpaling dan mendongak. Boney dan Farhan yang datang. Pasti jeritan lantangku
tadi didengari oleh mereka.
“Daniel...Daniel...!” Panggil Farhan dan Boney silih
berganti sambil menepuk-menepuk muka Daniel. Sara dan kawan-kawannya datang
menyusul kemudian. Nampak nafas mereka tercungap-cungap. Ketakutanku
bertambah-tambah tatkala melihat Daniel masih kaku. Dia tidak sedarkan diri.
“Kenapa dengan Daniel?” suara Sara cemas.
“Boney awak pergi ambil kereta sekarang. Kita bawa Daniel
ke hospital,” arah Farhan. Kelam-kabut. Boney berlari meninggalkan kami. Sara
mendekati Daniel.
“Tepilah awak,” Sara menolak tubuhku membuatkan aku
terjelepuk.
“Sara...,” tegur Farhan. Dia sudah meletakkan kepala
Daniel di pahanya.
“Semua ini salah awak. Awak yang buat Daniel jadi macam ni!”
tengking Sara sambil menunding jari padaku. Aku mendiamkan diri. Memang aku
menyalahkan diri melihat keadaan Daniel sekarang.
“Dia memang tak sihat. Dari tadi kami nak hantar dia balik
tapi dia menolak,” ujar Farhan tenang cuba mengungkaikan situasi sebenar.
“Kalau berlaku apa-apa pada Daniel saya takkan lepaskan
awak!” ancam suara keras Sara memberi amaran. Aku diam dan tidak mempedulikan
kemarahan gadis ini. Pandanganku tidak beralih dari Daniel. Bimbang dan
tidak berdaya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa untuk Daniel.
“Padan muka,” suara sahabat-sahabat akrab Sara pula yang
mencelah mengutukku. Aku hanya berdiam diri. Cuba menahan air mata yang
bertakung di birai mata. Tidak mahu menangis di depan Sara dan kawan-kawannya
ini. Boney muncul semula lantas membantu Farhan mengangkat tubuh Daniel.
“Kami nak hantar Daniel pergi hospital. Awak nak ikut
sekali?” tanya Boney mahu mengajakku.
“Tak payah dia ikut. Cepat jangan buang masa lagi,” tegas
Sara. Aku mengangguk. Tidak membantah larangan Sara.
“Kamu pergilah dulu nanti saya menyusul,” ujarku perlahan.
Farhan dan Boney melarikan tubuh Daniel yang masih kaku ke arah kereta yang
terletak di bahu jalan. Sara berlari anak di belakang lalu sama-sama masuk ke
dalam kereta. Kereta yang dipandu oleh Boney terus bergerak ke destinasi
meninggalkan aku yang masih terpacak di situ memerhatikan kepergian mereka.
Kedua-dua sahabat Sara tadi menyusul di belakang. Air mata yang kusimpan lama
jatuh berderai di pipi. Aku menangis bersendirian di situ. Bimbang perkara yang
serius menimpa Daniel.
“Ya Allah... selamatkanlah Daniel...,” hatiku berbisik
mendoakan keselamatan Daniel.
“Assalamualaikum... Awak di mana sekarang?” tanya Zatul.
Salam Zatul kujawab dalam diam.
“Rumah...,” jawabku pendek.
“Awak dah tahu Daniel masuk wad sekarang?” jelas Zatul
seperti yang kujangkakan. Aku memang tahu Zatul akan memperkatakan tentang
Daniel. Sehingga ke hari ini Zatul tidak pernah ketinggalan mengikuti kehidupan
Daniel.
“Ya...saya dah tahu” sahutku lemah. Tidak mahu aku menceritakan
kejadian yang menimpa Daniel berlaku di depan mataku. Aku tidak tahu bagaimana
hendak memulakan cerita ini. Malah aku tidak mahu dihujani dengan banyak
pertanyaan yang bakal keluar dari mulut Zatul.
“Marilah kita jenguk dia di hospital ” ajak Zatul.
Senyap. Perlukah aku menerima ajakan Zatul ini? Sara tidak akan membenarkan aku
bertemu dengan Daniel. Dia tidak pernah menyenangi kewujudanku. Apatah lagi
hendak berdekatan dengan Daniel. Mahukah Daniel menemuiku?
“Kehadiran saya di situ tak diperlukan” luahku tanpa
berselindung. Kedengaran keluhan Zatul. Tidak suka mendengar kata-kataku.
“Siapa kata? Saya tahu pasti Daniel mengharapkan awak
bersamanya sekarang” tingkah Zatul begitu yakin. Aku menghela nafas panjang. Aku
akan mempertimbangkan kehadiranku ke situ. Namun bukan sekarang.
“Sara tak senang saya berada di situ” jelasku. Suara
kasar gadis itu terngiang-ngiang di telingaku.
“Awak bukan nak jumpa dia pun” tingkah Zatul. Memang
benar. Berapa banyak keikhlasan di sebalik hajat yang ingin ditunaikan, namun
Sara tetap akan menolaknya. Sara memang menganggapku musuh. Aku tahu saat
begini pasti Sara sentiasa di samping Daniel. Aku tidak mahu mengundang
kemarahan Sara. Bahkan aku tidak mahu menimbulkan suasana yang tegang dalam
keadaan Daniel sekarang.
“Betul awak tak nak pergi?” tanya Zatul meminta
kepastian.
“Awak pergilah dulu. Kalau keadaan mengizinkan,
insya-Allah saya akan jenguk Daniel nanti” ujarku tidak pasti bilakah masa yang
sesuai hendak bertandang ke situ. Keluhan Zatul kedengaran lagi. Dia tidak menyenangi
keputusanku. Daripada menimbulkan kemarahan Sara lebih baik aku menanguhkan
pertemuan itu. Rasanya Daniel pun tidak mengalu-alukan kedatanganku ke situ.
“Kalau macam tu takpelah. Assalamualaikum... Bye...”
Kedengaran suara Zatul hampa setelah ajakannya hendak menjenguk Daniel di
hospital terpaksa kutolak. Keputusanku telah mengecewakan Zatul. Aku
menghenyakkan tubuh di sofa panjang. Serba-salah. Suara Sara yang menyalahkan
aku atas kejadian yang menimpa Daniel kedengaran kembali. Mustahil Sara
menyalahkan aku rentetan penolakan cinta Daniel terhadapku. Setahuku Sara
memang menyimpan perasaan pada Daniel. Tindakanku ini pasti mendapat restu
Sara. Mungkin Sara menyalahkan aku kerana pernah menjadi sahabat akrab Daniel.
Salahku juga membuatkan Daniel jatuh cinta kepadaku. Seharusnya aku tidak
membiarkan Daniel mendekatiku. Sebaliknya meneruskan permusuhan yang pernah
wujud antara kami. Namun siapa aku hendak menentukan suratan perjalanan hidup
sebegini. Aku mengeluh lagi. Astagfirullah... !Kesal lantaran membanyakkan
keluhan tatkala masalah menimpa diri. Bukankah sepatutnya aku muhasabah diri.
Cuba membuat pertimbangan sewajarnya.
“Jangan terlalu kejam sangat Liya. Awak nak jadi orang
yang takde perasaan?” bicara yang pernah keluar dari mulut Zatul terngiang-ngiang
kembali. Zatul mempertikaikan tindakanku terhdap Daniel.
“Soal hati dan perasaan adakalanya tak boleh dikawal. Awak
langsung takde perasaan pada Daniel atau awak tak yakin padanya?” tanya Zatul
lagi. Memang aku tidak yakin Daniel boleh jadi kekasihku. Bahkan aku juga tidak
yakin pada diriku sendiri. Terlalu banyak jurang perbezaan yang wujud antara
kami.
“Perbezaan yang wujud adalah pelengkap pada sebuah
perhubungan” suara Fatin pula kedengaran. Aku mula merasakan sahabat-sahabat
akrabku seakan merestui Daniel menjadi kekasihaku. Walaupun tidak secara
terang-terangan namun jelas Zatul, Umie dan Fatin mahu aku mempertimbangkan
perasaan Daniel kepadaku. Ya Allah, apa yang patut aku lakukan? Berilah aku
petunjuk yang terbaik buatku dan buat orang yang berada di sekelilingku. iPhoneku berdering mengejutkanku. Aku
mengalih pandangan pada skrin iPhone.
Tertera nama Nek Jah membuatkan aku bangkit dari perbaringanku di sofa ini.
“Assalamualaikum Nek Jah” sapaku berebar-debar. Salamku
disambut oleh suara Nek Jah. Tidak pernah aku menduga Nek Jah akan
menghubungiku.
“Apa khabar? Lama dah tak jumpa kamu” Lembut suara Nek
Jah menyapa. Sejak Daniel bersikap dingin aku tidak lagi bertemu dengan Nek
Jah.
“Sihat...Nek Jah sihat?” sahutku ringkas dan bertanya
perkhabarannya.
“Alhamdulillah sihat. Kamu tahu Daniel demam?” suara Nek
Jah mengajukan pertanyaan.
“Ya... saya tahu” jawabku serba salah.
“Bila nak datang ke sini? Daniel dah ada di rumah
sekarang” jelas Nek Jah buat aku tersentak. Cepat Daniel meninggalkan hospital.
Aku memang berharap Daniel akan cepat sembuh. Aku diam.
“Datanglah sini nanti. Daniel tak tahan dengan air hujan.
Balik dari hantar kamu terus diserang demam. Tak sangka pula boleh serius macam
ni sampai pengsan-pengsan” keluh Nek Jah.
“Ya... Daniel basah kuyup sebab dia berhujan masa hantar
saya balik” sahutku kian rasa bersalah.
“Dia memang akan sakit kalau terkena air hujan” keluh Nek
Jah lagi. Daniel demam pasti buat dirinya susah hati. Aku tidak tahu Daniel
alah pada air hujan. Kalau aku tahu Daniel tidak boleh terkena air hujan sudah
pasti aku tidak akan membiarkannya meredah hujan. Kasihan Daniel kerana aku dia
jadi macam ini.
“Datang sini ye... Boleh jenguk Daniel demam” pinta Nek
Jah seakan mengharap kehadiranku ke situ. Senyap. Aku sedang mempertimbangkan
permintaan Nek Jah. Perlukah aku muncul di depan Daniel tika ini? Adakah
Daniel tidak akan terbeban dengan kehadiranku
di situ nanti? Bimbang juga kalau Daniel fikir aku mencampuri urusan hidupnya.
“Datanglah... Nanti kamu boleh tolong Nek Jah jaga
Daniel” tambah Nek Jah mengukuhkan permintaannya.
“Saya risau kedatangan saya akan buat Daniel marah”
Kuluahkan jua perkara yang terpendam di hati tanpa halangan. Kedengaran tawa
Nek Jah.
“Dia pasti suka kalau kamu datang sini” balas Nek Jah
begitu yakin.
“Tak pun terus sihat walfiat tengok kamu datang” tambah
Nek Jah berseloroh. Aku tersenyum sendiri. Pandai Nek Jah bergurau.
“Risau juga tengok Daniel tak bangun-bangun lagi. Tinggal
di wad tak nak. Makan ubat pun tak nak. Mujur juga ada Doktor Feqri boleh
datang rumah periksanya” rungut Nek Jah tentang kedegilan Daniel. Rupa-rupanya
Daniel belum sihat lagi. Mujur keluarga Daniel kaya ada doktor peribadi yang
boleh dipinggil bila-bila masa sahaja. Kalaulah dirinya macam orang kebanyakan
pasti sakitnya melarat kerana tiada kemahuan hendak cepat sembuh. Terbayang
keletihan di wajah tua Nek Jah. Kasihan.
“Kejap lagi saya datang sana” ujarku membuat keputusan
setelah mempertimbangkannya sejenak. Daniel sakit kerana aku. Tidak wajar aku
langsung tidak menjengukkan diri hendak melawatnya.
“Oh..., gembira Nek Jah mendengarnya” sahut Nek Jah
ceria.
“Nanti kita jumpa Nek Jah. Assalamualaikum...” ujarku
lantas mematikan perbualan di talian. Suara Nek Jah sudah tidak kedengaran
lagi. Aku terus menghubungi ayah untuk mendapatkan keizinannya. Ayah tidak
membantah.
“Assalamualaikum...” sapaku tatkala Mak Munah menguak
pintu untukku. Kami saling bertukar senyuman. Lantas aku menyalami tangan Mak
Munah dan bertanyakan perkhabaran dirinya. Senyuman ceria Mak Munah sudah cukup
menjelaskan bahawa dirinya baik-baik sahaja. Dia dan suaminya seronok tinggal
bersama Nek Jah yang baik hati. Beruntung bekerja dengan majikan yang
bertimbang rasa. Mak Munah dan Pak Shuib pun baik orangnya.
“Dania dah datang?” Kedengaran suara Nek Jah melontar
pertanyaan. Kelibatnya masih tidak kelihatan.
“Ya... datin, Dania ni” jelas Mak Munah. Nek Jah muncul
lalu memelukku mesra. Persis aku sebahagian daripada ahli keluarganya.
“Daniel tidur. Mari kita tengok dia” ajak Nek Jah. Aku
mengangguk dan mengiringi langkah Nek Jah mendaki anak tangga untuk sampai ke
tingkat atas. Kedengaran rentak deru nafas Nek Jah yang lesu. Dia sudah tua
hendak melalui kepayahan ini.
“Rasa semput juga dalam sehari banyak kali turun naik
tangga. Nanti kalau kamu nak buat rumah, tak payah bertingkat-tingkat...
menyusahkan. Bila dah tua macam ni tak larat” ujar Nek Jah meluahkan kepayahannya.
Aku bersimpati dan mengerti. Pasti dia sendiri yang mahu menjaga cucu
kesayangannya itu. Mungkin juga Daniel cerewet tidak mahu Mak Munah yang
mengurus dirinya. Orang sakit selalu banyak kerenah. Daun pintu ditolak
perlahan. Nek Jah menggeleng dan mengeluh tatkala melihat bubur nasi belum
dijamah dan ubat belum ditelan. Terbiar di situ sahaja.
“Tengok... Daniel macam budak kecil tak mahu makan ubat”
rungut Nek Jah. Aku tersengih. Tidak mahu memberi komen. Sebenarnya akupun
tidak suka makan ubat.
“Macam mana nak cepat sembuh kalau tak mahu makan ubat.
Langsung tak mahu makan mestilah takde tenaga” omel Nek Jah bingung. Daniel
masih lena. Langsung tidak terganggu dengan suara Nek Jah. Tubuhnya berselimut.
Mukanya pucat. Bibirnya merekah dan kering. Kurang air. Demam Daniel memang
serius.
“Takpe...nanti saya paksa Daniel makan bubur nasi dan
telan ubat. Kalau dia takde selera nak makan, boleh cuba masak bubur yang lain
pula” ujarku cuba menyenangkan hati Nek Jah. Nek Jah tersenyum.
“Kamu boleh masak bubur nasi?” tanya Nek Jah teruja. Aku
mengangguk.
“Bubur nasi ayam cendawan” jelasku tersenyum. Menu
turun-temurun yang diperturunkan ayah kepadaku. Bubur nasi ayam cendawan ayah
sangat sedap. Aku sangat menyukainya.
“Wah..., sedap tu!” puji Nek Jah suka.
“Nanti Nek Jah rasa ye...” pintaku. Nek Jah
mengangguk-angguk setuju. Daniel bergerak. Suaraku dengan Nek Jah telah
mengganggu lenanya. Kelopak matanya terangkat sedikit. Lemah. Tidak bertenaga.
“Dania datang ni...” beritahu Nek Jah. Daniel memandangku
sekilas. Kemudian memejamkan matanya kembali. Nek Jah mengeluh kecil.
“Sejak kecil dia memang tak boleh berhujan. Pantang kena
air hujan mesti demam teruk” keluh Nek Jah. Aku semakin rasa bersalah. Tidak
patut aku biarkan Daniel meredah hujan yang turun mencurah-curah pada malam
itu. Kalau tahu Danie tidak boleh terkena hujan aku rela basah kuyup. Nasib
tidak baik, aku hanya akan diserang selsema. Tidaklah seteruk keadaan Daniel
sekarang.
“Nanti Dania masak bubur sedap untuk kamu. Kamu mesti
makan banyak-banyak” ujar Nek Jah sambil mengatur selimut menutupi tubuh
Daniel. Tiada kemampuan Nek Jah hendak memaksa Daniel makan bubur nasi dan ubat
ini. Nek Jah mencapai bubur nasi yang sudah dingin kerana terbiar lama untuk
dibawa ke dapur.
“Mari Dania...” Nek Jah menyentuh bahuku lantas kami
beriringan melangkah keluar dari bilik ini meninggalkan Daniel yang sudah lena
kembali.
Usai menikmati minuman dan kuih yang dihidang oleh Mak
Munah, aku bergerak ke dapur ditemani oleh Nek Jah dan Mak Munah. Mak Munah membantuku
menyediakan bahan-bahan bubur nasi ayam cendawan manakala Nek Jah hanya jadi pemerhati sambil
tersenyum-senyum. Terasa persis pertandingan memasak yang sering kutonton di
kaca tv. Sedikit kekok apabila Nek Jah tidak mahu mengalih pandangan dariku yang
sedang menunjukkan bakat menjadi chef. Terdetik kebimbangan jikalau caraku
beraksi di dapur bercanggah dengan kebiasaan Nek Jah. Namun melihat senyuman
panjang Nek Jah, perasaan bimbang itu lenyap perlahan-lahan. Nek Jah bukan
datin yang cerewet dan banyak pantang larang yang wajib dituruti persis
perwatakan yang selalu digambarkan dalam cerita tv. Sebaliknya Nek Jah seorang yang
sederhana dan berhati mulia. Tidak sombong, tidak angkuh seperti Daniel. Untung
Daniel ada Nek Jah.
“Okey...dah siap” ujarku girang setelah berjaya
menamatkan misi di dapur. Bingkas Nek Jah bangkit dari kerusi lalu mendekatiku.
Mak Munah menyusul dan tidak mahu ketinggalan menatap bubur nasi cendawan ayam
yang sedang mengeluarkan aroma wangi.
“Wah..., wanginya! Mesti sedap” puji Nek Jah disokong
dengan anggukan kepala Mak Munah.
“Mari kita rasa sebelum pesakit makan” ujar Nek Jah
tergelak sendiri. Aku senyum. Bicara Nek Jah mencuit hatiku.
“Silakan...” pelawaku berbesar hati lantas memasukkan dua
senduk bubur ke dalam dua biji mangkuk. Aku menghidangkan bubur nasi cendawan
ayam ini kepada Nek Jah dan Mak Munah. Pengkritik utama sebelum nasi bubur ini
dihidangkan kepada Daniel.
“Terima kasih...terima kasih” Aku tersenyum memandang Nek
Jah dan Mak Munah yang sudah tidak sabar hendak menikmati bubur nasi ini.
“Hati-hati...panas bubur ni” pesanku mengingatkan
kedua-duanya. Hampir serentak mereka menyuap bubur nasi ini. Aku menatap Nek
Jah dan Mak Munah yang giat mengunyah tiba-tiba senyap. Gerakan mulut mereka
juga terhenti. Nek Jah dan Mak munah saling berpandangan. Berkomunikasi dengan
bahasa isyarat.
“Kenapa? Tak sedap?” tanyaku gusar. Tawar? Tidak secukup
rasa? Atau terlebih garam? Rasanya aku telah memasak bubur nasi ini dengan
sempurna. Mungkin seleraku tidak serupa dengan selera mereka yang lebih
berpengalaman di dapur. Bubur yang kumasak ini tidak setanding dengan kelazatan
masakan Nek Jah yang pernah kurasa. Kecewa. Aku sudah bersungguh-sungguh
melakukannya.
“Biar saya yang habiskan bubur ni nanti. Tak payah Daniel
makan” ujarku kesal kerana tidak mampu memikat selera Nek Jah dan Mak Munah.
Nek Jah menggeleng kepala membantah kata-kataku.
“Boleh kami tambah bubur nasi lagi? Tak puas makan
semangkuk” suara Mak Munah memecah kesepian. Serentak Nek Jah dan Mak Munah
menunjukkan ibu jari ke atas. Memuji kelazatan bubur nasi cendawan ayam ini.
Aku tergelak. Lucu. Lagak mereka tadi sungguh mengelirukan aku.
“Suatu hari nanti kamu akan jadi isteri yang baik” puji
Nek Jah dengan mata bercahaya. Aku tersenyum. Bicara Nek Jah sangat bermakna.
Alhamdulillah. Bubur nasi resipi ayah ini berjaya memikat selera Nek Jah dan
Mak Munah. Harap-harap Daniel juga akan menyukai bubur nasi ini.
“Kamu hantar bubur ini pada Daniel. Masih panas ni sedap
dimakan” ujar Nek Jah mengarahkan aku. Aku mengangguk. Kumasukkan bubur nasi
ini ke dalam mangkuk dan menuang segelas air kosong di dalam gelas. Kemudian
menyusunnya di atas dulang.
“Nek Jah tak ikut sama?” tanyaku sambil menatang dulang
hendak bergerak ke bilik Daniel. Lebih selesa jikalau Nek Jah ada bersama.
“Kamu sajalah yang beri Daniel makan bubur nasi tu. Sakit
lutut Nek Jah dah banyak kali turun naik tangga” keluh Nek Jah dengan dahi
berkerut sambil memegang lututnya. Kasihan Nek Jah. Usia sudah meningkat kudrat
tidak segagah dahulu.
“Jangan lupa suruh dia makan ubat” pesan Nek Jah
meletakkan sepenuh tanggungjawab ini kepadaku.
“Hari ini Nek Jah lantik kamu jadi jururawat Daniel” ujar
Mak Munah tersengih. Laju sahaja kepala Nek Jah mengangguk. Suka mendengar
kenyataan Mak Munah. Aku garu kepala yang tidak gatal. Turut tersengih dan
belum mahu berganjak dari dapur.
“Daniel tak marah nanti? Diakan sedang tidur” ujarku
was-was. Gusar Daniel akan mengamuk dan tidak mengalu-alukan kedatanganku ke
situ.
“Dia suka kamu datang. Kamu mesti pujuk dia makan” pinta
Nek Jah. Bukan mudah hendak mengarah orang yang degil macam Daniel.
“Kamu boleh tolong Nek Jahkan...” Kupandang wajah Nek Jah
yang mengharap. Simpati pula aku kepadanya.
“Okey...saya akan buat” janjiku akan memastikan Daniel
makan bubur nasi dan menelan ubat dengan cara apa sekalipun. Nekad.
“Good luck,
Dania” ujar Nek Jah menyuntik semangat bagai aku hendak turun ke medan
pertempuran. Namun menyedarkan aku bukan mudah hendak berhadapan Daniel yang
degil. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kemudian memulakan langkah sambil
menatang dulang yang berisi semangkuk bubur nasi dan segelas air kosong dengan
harapan yang Daniel tidak banyak ragam kali ini.
“Mak Munah... saya harap suatu hari nanti Dania jadi
isteri Daniel. Dia saja yang mampu mengubah Daniel” ujar Nek Jah serius masih menyoroti
langkah Dania yang sedang mendaki anak tangga hendak ke bilik pemuda itu.
“Amin. Saya sokong datin” ujar Mak Munah menunjukkan
kesetiaannya kepada majikannya itu. Dia memang berkenan kepada gadis itu. Dania
calon teman hidup yang baik buat Daniel.
Langkahku mati tepat-tepat di depan bilik Daniel. Aku
menarik nafas lagi dan menitip doa. Harap-harap semua akan berjalan lancar.
Bismillahirahmanirahim. Kutolak perlahan daun pintu lalu kulangkahkan kaki
kanan melangkah masuk ke dalam bilik ini. Daun pintu kukuak seluas-luas. Mudah
hendak menyelamatkan diri jika Daniel mengamuk nanti. Langkah berwaspada dan
menjaga batas pergaulan. Kuletakkan dulang di atas meja di sisi katil. Daniel
masih tidak bergerak-gerak. Dia tidak menyedari kedatanganku.
“Assalamualaikum... Saya nak beri awak makan bubur nasi
dan ubat” tuturku berhati-hati. Tubuh Daniel masih statik.
“Daniel...” panggilku lembut. Kali ini Daniel bergerak.
Berat kelopak matanya hendak diangkat.
“Makan sedikit ye...” pujukku. Daniel menatapku dengan
wajah lesu. Pucat. Dia masih tidak bersuara.
“Awal mesti makan. Mari saya tolong awak bangun” ujarku
lalu mendekatinya. Berdiri di sisi katil di sebelahnya. Kupaut lengan Daniel.
Dia bersusah-payah hendak bangun. Kuletakkan bantal di kepala katil lalu
menyadarkannya di situ.
“Saya tolong suapkan ye...” Daniel menggeleng. Dia tidak
mahu disuapkan. Mungkin kekok diperlukan sedemikian.
“Okey... awak suap sendiri” arahku. Daniel menggeleng
lagi.
“Awak mesti makan supaya ada tenaga” gesaku. Daniel
memandang kosong bubur nasi ini. Bicaraku tidak dipedulikannya.
“Makan sedikit saja ye...” pujukku cuba berlembut.
“Kasihanlah saya kalau awak tak nak rasa bubur nasi
cendawan ayam ni. Susah-susah dah saya masak bubur ni tadi” tambahku cuba
memancing kesudian Daniel menjamah bubur nasi ini. Daniel masih dengan
kedinginannya. Tidak mahu dipujuk.
“Nek Jah dan Mak Munah kata bubur nasi yang saya masak ni
sedap tau” Aku tersengih memandang Daniel. Segan pula bercakap begini. Rasa macam
angkat bakul sendiri pula.
“Rugi kalau awak tak rasa” tambahku masih berusaha
memikat kesudian Daniel merasa bubur nasi ini.
“Makan ye...” Kuceduk
bubur nasi di mangkuk lalu mendekatkan ke mulut Daniel. Mulutnya masih
tertutup rapat. Tidak mahu menyuap bubur nasi ini.
“Makan...” pintaku masih bersabar dengan kedegilannya.
“Saya akan makan kalau awak mahu menyanyi” perlahan suara
Daniel tetapi jelas di telingaku. Besar mataku menatap Daniel. Sukar hendak
percaya. Sakit-sakitpun dia masih ada keinginan hendak membuliku. Aku mengetap
bibir. Geram. Permintaan Daniel tidak masuk akal. Kalau aku tidak menyanyi,
Daniel tidak akan makan bubur nasi dan menelan ubat. Biarlah Daniel berlapar. Namun
kasihan pula kepada Nek Jah. Terlanjur aku sudah berjanji kepadanya.
“Saya tak reti menyanyi” ujarku mengharap Daniel
melupakan permintaannya. Daniel menggeleng. Tidak percaya.
“Suara saya sumbang. Sakit telinga awak mendengarnya
nanti” tambahku cuba menolak permintaan Daniel yang luar biasa ini. Sakit-sakit
masih berkeinginan hendak mendengar orang menyanyi. Tidakkah dia kebisingan
nanti?
“Awak rasa sunyi ye... Takpe nanti saya pasang radio”
tuturku tersengih. Daniel mempamer wajah kosong. Nampak tidak berminat dengan
cadanganku.
“Nyanyilah...” arah Daniel tiada diplomasi dan menolak
cadanganku. Aku mengeluh. Berkerut seribu mukaku. Perkara yang sukar hendak aku
lakukan.
“Saya akan menyanyi tapi dengan syarat awak akan makan
bubur dan ubat. Boleh?” tanyaku mahu membuat perjanjian dengannya. Daniel
mengangguk.
“Bukan setakat hari ini saja tapi sampai awak sembuh”
ujarku memperincikan isi perjanjian. Daniel mengangguk lagi. Mudah sahaja dia
bersetuju.
“Nyanyi sekarang...” perintahnya tidak sabar-sabar.
Harap-harap Daniel tidak akan mentertawakan aku.
“Saya hanya hafal lagu semut...” ujarku masih mengharap
Daniel membatalkan permintaannya ini.
“Nyanyilah...” arah Daniel. Kupandang Daniel. Dia sedang
menunggu nyanyianku berkumandang. Aku berdehem-dehem. Cuba mengatur saluran
kerongkongku.
♪♫♪♫♪♫♪♫
“Saya persembahkan lagu semut ini buat Daniel Adhwa.
Semoga awak cepat sembuh. 1...2...3...♪♪♪Tubuhnya yang kecil, badan berkerat
tiga, ada enam kaki, sesunggut di kepala. ♫♫♫ Ada yang melata, dan terbang di
udara, bermacam bentuknya, bermacam warnanya. ♪♫♪♫Serangga yang halus, sangat
rajin bekerja, tak kira siang malam. Tekun dan usaha, dua sikap mullia, marilah
kita amalkannya... ♪♫♪♫♪♫♪♫” Aduh..., semput nafasku! Daniel tidak ketawa. Dia
seolah-olah sedang menghayati lagu zaman kanak-kanak ini. Mungkin dia tidak
pernah mendengar lagu ini.
“Bagus... Akhirnya dapat juga saya dengar suara awak menyanyi. Saya suka suara awak” ujarnya serius menatapku. Aku diam. Tidak teruja mendengar kata-kata Daniel. Tidak pasti sejauh mana dia ikhlas menuturkan bicaranya itu. Setahuku suaraku tidak merdu.
Daniel juga menepati janjinya. Tanpa paksaan mahupun
pujukan, dia menghabiskan semangkuk bubur nasi dan menelan ubat. Berbaloi juga
aku menyumbangkan suaraku yang tidak merdu ini ke telinga Daniel. Malu. Pasti
Nek Jah dan Mak Munah turut mendengar nyanyian sumbangku tadi. Malu dan Segan.
salam ramadhan. 143...Tiada Penghujungnya kembali lagi setelah sekian lama bertapa...PERHATIAN judul novel ini akan ditukar kepada 'Sungguh...Saya Cinta Awak...!
ReplyDelete