Bab 6
Langkah Aunie
terhenti di sebelah pemuda itu. Dia memanggungkan kepalanya di atas meja.
Mukanya tersembunyi di sebalik benteng lengannya. Nampak dia sedang lena
menghilangkan mengantuknya. Era pula tiada di sebelahnya. Mungkin ke bilik air merapikan
diri dan tatariasnya. Pasti mahu sentiasa kelihatan cantik di depan mata pemuda
ini.
“Bangun... saya
mahu bercakap dengan awak” Aunie mengetuk meja itu beberapa kali. Dia mula
bergerak-gerak. Lantas tersandar di kerusi itu. Menguap berulang kali. Tidur
yang belum cukup. Matanya terpejam celik menatap Aunie.
“Awak inikan suka
sangat buat tahi mata” kutuk Aunie. Perangai pemuda ini janggal di matanya.
Kelas ini dijadikan medan tempat melepaskan mengantuknya.
“Saya nak nombor
telefon awak” pinta Aunie tidak mahu membuang masa. Terkebil-kebil matanya
menatap Aunie. Mungkin juga masih mamai kerana tidurnya yang terganggu tadi.
“Awak dengar tak?
Minta nombor telefon awak” ujar Aunie mengulangi permintaannya.
“Awak beri nombor
telefon awak... sekejap lagi saya call awak”
ujarnya tersenyum. Aunie mengeluh. Cadangan yang menyakitkan hati. Terasa dia dipermainkan.
“Okey... Kalau
macam itu biar saya yang tulis” ujar Aunie menawarkan diri lantas mengeluarkan iPhone. Bersedia mahu menyimpan nombor
itu. Nombor telefon pemuda ini memang sangat diperlukannya.
“Nombar awak...”
Aunie masih menanti deretan nombor yang keluar mulut pemuda ini. Eymar menggaru-garu
kepala yang tidak gatal.
“Saya lupalah...”
ujarnya tersengih panjang. Sakit hati Aunie menatapnya. Banyak sangat alasan
yang diberikan. Alasan yang tidak logik dan tidak dapat diterima akal. Dia
mendengus kasar lantas kembali ke tempat duduknya. Cuba bertenang.
“Awak beri nombor
telefon awak pada saya samalah seperti saya beri nombor telefon saya pada awak”
ujarnya berbelit-belit memutar kata. Aunie memejamkan mata seketika. Cuba
menyabarkan diri. Percaya pemuda ini sengaja mengujinya.
“Beri nombor
telefon awak” pinta Eymar. Aunie menulikan telinga. Permintaan pemuda itu tidak
diendahkan. Dikeluarkan buku dari beg galasnya. Daripada melayan pemuda itu
lebih baik dia menyambung pembacaannya semalam. Lebih bermanfaat. Melihat Aunie
hanya mematungkan diri, kepalanya kembali terlentok di atas meja. Mahu
menyambung tidurnya semula. Tidak selesa dengan keadaan itu, lantas lengan
dijadikan bantal. Dia menghala pandangannya ke arah gadis itu. Lama dia
memerhatikan Aunie yang sedang tekun membaca buku. Langsung tidak terganggu
dengan suara-suara bising rakan sekelas.
Aunie mengalih
mata ke muka pintu. Era dengan lenggang-lengok manja melangkah masuk. Mahu
mengambil perhatian orang lain. Duduk sahaja Era di kerusi itu, laju Aunie
bangun lalu melangkah setapak ke arah Era yang duduk berjiran dengannya. Hanya
lorong kecil yang memisahkan mereka. Era dan Eymar menatap Aulie yang berdiri
tepat-tepat di sisi meja.
“Apa hal?” tanya
Era kurang senang. Dia dan Aunie tidak rapat. Sikap dan prinsip hidup mereka
sentiasa bertentangan. Sentiasa tidak sependapat.
“Pinjam telefon
awak sekejap” pinta Aunie sambil menghulurkan tangan kepada Era. Dipandang iPhone yang berada di tangan Era tika
ini.
“Nak buat apa?”
tanya Era hairan. Pertanyaannya tidak dijawab. Pantas tangan Aunie merebut iPhone itu daripada tangan Era.
Tujuannya tidak perlu dijelaskan kepada gadis ini. Barangkali Era juga akan
berat hati mahu berkongsi nombor telefon pemuda itu dengannya.
“Hey... awak!” Era
tersentak dengan tindakan drastik gadis ini. iPhonenya sudah berada di tangan Aunie. Terkebil-kebil Era
diperlakukan sedemikian. Eymar hanya jadi pemerhati.
“Sorry...” ujar Aunie merasakan
tindakannya itu tidak wajar. Namun dia terdesak mengambil iPhone itu tanpa kerelaan Era. Lantas kemaafan dipohonnya.
“Awak nak buat apa
dengan iPhone saya tu?” tanyanya
gusar.
“Awak tak perlu
risau. Saya takkan menerokai iPhone ini
lebih jauh” Aunie memberi jaminan. Era melepaskan keluhan. Jari-jemari Aunie
sibuk menekan deretan nombor telefon yang tersimpan di iPhone itu. Tatkala terpandang nama itu, Aunie tersenyum puas hati.
Kemudian tersenyum sinis menatap ikon hati di sebelah nama pemuda pujaan hati
Era ini. Tanda orang istimewa. Nombor telefon itu disimpan dalam iPhonenya. Siap. Bukan susah pun hendak
mendapatkan nombor telefon pemuda ini. Menyusahkan diri sahaja hendak
mendapatkan nombor ini daripada tuannya.
“Terima kasih...”
Aunie tersenyum sambil mengembalikan iPhone
itu. Era menyambut iPhone itu dengan
muka masam. Aunie mengalih pandangan kepada pemuda itu.
“Tunggu mesej
saya” ujarnya mengingatkan Eymar. Pemuda ini terkebil-kebil menatap Aunie. Dia
kurang mengerti. Aunie kembali ke tempat duduknya dengan senyuman yang sentiasa
menghiasi bibir. Terasa dia sudah berjaya mengalahkan pemuda itu. Gembira.
“Awak curi nombor
telefon saya...” Eymar melontar suara ke arah Aunie. Baru dia mengerti dan
faham pada bicara dan kegembiraan gadis ini. Kedengaran gelak Aunie. Era pula
terlopong mendengar bicara pemuda itu. Dia tidak senang hati mendengar nombor
itu kini berada dalam simpanan Aunie. Apatah lagi nombor telefon itu diperoleh
daripadanya. Kesal.
Puan Aisyah Adiba
mencapai iPhone di atas meja. Mesej
daripada Aunie baru sahaja diterimanya. Peti mesej dibuka. Dia mengeluh sebaik
sahaja mesej itu dibaca. Sudah diketahui kunjungan Aunie ke tempat kerja
suaminya mesti berkait rapat dengan kajian kes yang mendapat halangan itu.
Pasti Aunie akan merayu ayahnya agar menyokong perancangan awal yang telah
dibuat. Profesor Adam Malik juga tidak akan terlepas diminta memujuk dirinya
memberikan keizinan lantas membatalkan larangan terdahulu. Benak Puan Aisyah
Adiba sedang memikirkan perkara itu. Dia dapat menjangkakan tindakan gadis itu.
Sejam kemudian
Aunie muncul di Butik Selendang Kasih dengan wajah ceria. Dia menyanyi-nyanyi
kecil. Hatinya riang. Jaminan daripada Profesor Adam Malik menggembirakannya.
Dia yakin ayahnya mampu memujuk mamanya. Lantas hasrat hatinya akan termakbul.
Aunie tersenyum sendiri sambil bersandar santai di sofa itu.
“Assalamualaikum...”
sapa suara lelaki. Kedengaran pintu kaca itu ditolak. Aunie berpaling. Dia
mencebik tatkala terpandang muka Azan yang baru sahaja melangkah masuk dengan
senyuman yang menguntum tatkala bersatu pandangan dengannya.
“Hai... Kak Ros”
sempat juga dia menyapa Kak Ros yang tersenyum kepadanya. Kemudian duduk di
sofa di sebelah Aunie.
“Baru saja mood saya baik. Tetiba pula awak muncul”
Aunie menjelingnya. Tidak gembira dengan kunjungan pemuda ini.
“Kita makan tengah
hari sama-sama. Saya belanja” suara Azan lunak menutur kata. Cuba memikat hati
Aunie. Aunie tidak teruja pada pelawaan Azan. Dia masih menyanyi-nyanyi kecil
menghiburkan hati. Tidak mengendahkan kewujudan pemuda ini. Kemudian dia
berpaling menatap Azan. Ada hajat hati mahu diperkenankan oleh pemuda ini.
“Pinjam iPhone awak sekejap” pintanya sambil
menghulur tangan kepada Azan.
“Awak nak buat
apa?” tanya Azan meragui tindakan Aunie.
“Nak hantar mesej
pada kawan. iPhone saya ada masalah”
bohongnya. Ada agenda mahu dilaksanakannya.
“Kalau ada masalah
awak belilah baru...” saran Azan persis tidak mudah membenarkan iPhonenya berada di tangan gadis ini. Curiga
dengan tindakan Aunie. Aunie mencebik. Tidak suka dengan penolakan Azan.
“Mak datuk...
kedekutnya awak... Pinjamlah sekejap” gesa Aunie tidak mengalah. Pantang mudah berserah
sebelum berusaha. Percaya keinginan dan kemahuan sendiri tidak akan mudah
diperoleh tanpa usaha. Berani menghadapi setiap rintangan.
“Boleh... tapi dengan
syarat” ujar Azan tersenyum. Peluang yang terbentang saat ini tidak akan
dilepaskan. Dia mesti bertindak bijak. Kenal dengan sikap gadis ini yang
kemahuannya tidak dapat disekat-sekat.
“Syarat? Bila masa
saya nak dengar cakap awak” ujar Aunie enggan tunduk pada permintaan Azan. Azan
tersenyum-senyum.
“Kalau awak nak
pinjam iPhone ini, awak wajib
temankan saya makan. Nanti lepas makan saya pinjamkan iPhone ini pada awak” ujar Azan membuat tawaran sambil menayangkan iPhone di tangannya. Aunie mendengus kasar.
Tidak suka diarah membuat pilihan.
“Okey... boleh.
Pastikan duit awak banyak dalam poket. Saya akan makan makanan yang mahal-mahal
nanti” ujarnya memberi amaran kepada Azan. Nilai persetujuannya.
“Boleh...” jawab
Azan tenang. Perkara tersebut tidak menjadi masalah. Asalkan dapat menikmati
hidangan tengah hari bersama gadis ini dia sanggup berhabis duit.
“Awak pesanlah
seberapa banyak menu yang awak suka asalkan awak sanggup habiskan semua itu”
tambah Azan turut memberi peringatan. Aunie mendengus kasar lantas bangun dari
sofa itu. Langkahnya laju ke muka pintu meninggalkan Azan yang baru sahaja
bangkit dari sofa lalu terkocoh-kocoh mengejarnya.
“Tunggu... Saya
nak minta keizinan auntie Aisyah
dulu” laung Azan cuba mematikan langkah Aunie. Aunie berpaling menatap Azan
yang sudah berdiri di depannya. Dipandang wajah pemuda ini. Dia yakin
permintaan pemuda ini tidak akan dihampakan oleh mamanya. Azan ialah pemuda
yang sentiasa mendapat kepercayaan mamanya untuk berada di sisinya.
“Saya tunggu awak
di sini. Awak pergilah jumpa mama sekarang” arah Aunie. Azan tersenyum dan
menggangguk. Dipercepatkan langkahnya ke pejabat Puan Aisyah Adiba. Tidak lama
kemudian Azan muncul kembali dengan senyuman mekar menguntum di bibir. Mudah
sahaja keizinan itu diperoleh. Kewibawaannya melindungi keselamatan gadis itu
tidak pernah diragui. Terasa dirinya calon suami terbaik buat Aunie. Teruja
mahu menjadi menantu Puan Aisyah Adiba dan Profesor Adam Malik. Azan
tersenyum-senyum sendiri.
“Kita boleh pergi
sekarang” ujar Azan lantas menguak pintu untuk Aunie. Aunie menjeling tajam.
Wajahnya masam mencuka. Mereka melangkah keluar melewati ambang pintu.
“Tak payahlah
gembira memanjang hanya kerana dapat belanja saya makan” ujar Aunie geram. Rimas
menatap senyuman Azan.
“Saya gembira
sebab ada perkara lainlah” tingkah Azan. Dia masih tersenyum.
“Perkara apa?”
tanya Aunie. Senyuman Azan tidak menyenangkannya.
“Mulai hari ini
awak wajib dengar cakap saya” ujar Azan teruja.
“Termuntah saya dengar”
balas Aunie sinis. Berlagak persis sang suami yang wajib ditaati oleh isteri.
Aunie mencebik. Perkara itu tidak akan berlaku sama sekali. Tiada pertalian
yang mewajibkannya patuh pada kata-kata pemuda ini.
“Mama awak minta saya
jaga awak dengan baik. Mulai hari ini saya akan jadi pengawal peribadi awak”
ujar Azan bersemangat. Langkah Aunie terhenti. Wajah pemuda ini direnung tajam.
Kenyataan yang baharu sahaja didengar ini tidak menyenangkannya.
“Jangan
mengarutlah...” rungut Aunie menolak hasrat hati Azan.
“Betul Aunie...itu
permintaan mama awak. Baru tadi auntie Aisyah
cakap” jelas Azan bersungguh-sungguh. Dia tidak bohong.
“Kalau awak nak
terus jadi kawan saya jangan banyak cakap. Saya boleh jaga diri sendiri” tegas
Aunie meradang. Dia terus melangkah masuk ke Restoran Mahligai. Azan mengekori
langkahnya. Beberapa menu menjadi pilihan tanpa campur tangan Azan. Kemudian
meminta menu-menu tersebut ditambah cili. Mahu makanan yang dinikmati semua
pedas-pedas. Mahu menghukum pemuda ini. Azan akur sahaja tanpa mengerti hasrat
hati tersirat Aunie.
“Biar awak tak
boleh makan nanti. Nak bagi pengajaran pada awak. Bukan mudah awak nak jadi
pengawal saya” bisik hati kecil Aunie melempiaskan geram.
“Mengapa awak senyum-senyum?”
tegur Aunie radang. Tidak suka menatap senyuman Azan. Azan kian melebarkan
senyuman.
“Saya gembira
sekarang” jelasnya disambut dengan dengusan kasar Aunie. Dia tidak puas hati.
Mengerti kegembiraan pemuda ini kerana amanah yang baharu sahaja diterima
daripada mamanya. Aunie menggetap bibir menahan gelodak perasaannya.
“Gembiralah
puas-puas sekarang... sekejap lagi awak akan menangis” ujar Aunie memberi
peringatan. Azan masih tersenyum. Kata-kata Aunie tidak diendahkan kerana
permintaan Puan Aisyah Adiba lebih berkesan di hatinya. Terasa dirinya ialah
menantu pilihan Puan Aisyah Adiba. Mulalah Azan di awang-awangan bersama
angan-angan indahnya. Dia berada dalam dunia khayalan yang panjang. Kisah
dongeng hidupnya pun bermula. Dia telah menjadi putera yang segak dan tampan
yang berjaya menyelamatkan Puteri Aunie Hanania daripada naga. Kemudian Raja
Adam Malik dan Permaisuri Aisyah Adiba bertitahkan bahawa puteru bongsu mereka
akan disatukan dengannya. Betapa kacak dan tampan Putera Azan dan sungguh
rupawan Puteri Aunie Hanania bersanding di atas mahligai indah itu. Pasangan
pengantin bagai pinang di belah dua. Sama-sama hebat. Tampan dan anggun. Pujian
yang berpanjangan diterima. Maka mereka dicemburui oleh banyak mata yang
memandang.
“Hoi... awak tak nak makan!” suara Aunie yang
sedikit lantang menyentakkan Azan. Kisah dongeng indah itu hancur lebur. Wajah
Azan kelat menatap Aunie.
“Awak ni kacau
daun betullah” rungutnya kecewa kerana cerita indah baru sahaja hendak bermula.
Namun sekejap sahaja terkilannya. Wajah kelat Azan bertukar ceria tatkala Aunie
sudah menyeduk nasi dan beberapa menu di dalam pinggan untuknya. Terasa dirinya
seorang suami yang dilayan isteri. Tidak pernah Aunie memperlakukan dirinya
seistimewa ini.
“Silalah makan...
Encik Azan” pelawa Aunie bersuara lunak. Pinggan yang sudah penuh terisi
makanan diletak di depan Azan. Azan teruja. Gembira dilayan sedemikian. Lantas
dicapai sudu lalu menyudu nasi bercampur beberapa menu di dalam pinggan. Aunie
menanti Azan melontar makanan itu ke dalam mulut. Tidak sabar menyaksikan
reaksi Azan setelah merasa makanan itu. Ditatap pemuda ini dengan kesetiaan. Sesaat...seminit...
Makanan itu sudah dilontar ke dalam mulut Azan. Bluuurrr... Makanan itu ada
yang terpelanting keluar dari mulut Azan. Dia tersedak. Laju tangannya
mengipas-ngipas mulut. Azan terbatuk-batuk. Matanya berair menahan kepedasan
itu.
“Air...air...”
pintanya sambil mengurut-urut batang lehernya. Cuba meredakan kerongkong
seperti telah dicili. Muka Azan merah merona.
“Oh... sorry... saya lupa order minuman tadi”
ujar Aunie buat-buat cemas. Namun sempat mempamer senyuman kepada Azan.
“Saya order air
untuk awak ya...” ujar Aunie mempamer senyuman lebar, masih bertenang walaupun
keadaan Azan sudah berantakan. Azan menggeleng. Bingkas dia bangun. Langkahnya
laju menghala ke muka pintu ruang dapur restoran ini. Tidak mempedulikan
pandangan hairan penggunjung lain. Di benaknya hanya mahukan air segera. Mahu
menghilangkan rasa pedas maksimum ini. Gadis itu berlari membawa air untuk
Azan. Tidak cukup segelas, ditambah lagi. Beberapa gelas air kosong dingin itu
diminum dengan rakus. Aunie masih duduk tenang di situ sambil memerhatikan
gelagat Azan. Timbul rasa bersalah dan belas kasihan kepada Azan. Sikap
keanak-anakannya telah memudaratkan pemuda itu.
“Sorry... lama awak tunggu” Azan
melabuhkan duduk di kerusi. Dipandang makanan di pinggan. Aunie
memerhatikannya. Dia masih tidak bersuara. Dicapai sudu di dalam pinggan.
“Jangan makan
lagi... saya sengaja minta cili ditambah banyak dalam makanan tu” tegah Aunie
berterus-terang. Tidak mahu Azan melalui kesukaran yang berulang. Azan tidak
terperanjat mahupun marah. Sebaliknya dia tersenyum.
“Awak tak marah
saya?” tanya Aunie hairan. Sebenarnya dia sudah bersedia menerima kemarahan
Azan. Dia patut bertanggungjawab atas tindakannya. Azan menggeleng.
“Saya takkan marah
awak sampai bila-bila” ujar Azan menyentap hati Aunie. Dia terdiam. Bicara
pemuda ini tidak menyenangkan hatinya. Tidak mahu Azan terlalu baik kepadanya.
Dipandang makanan di dalam pinggan. Azan belum puas menikmatinya. Baru sesudu
dinikmati.
“Awak tunggu di
sini...” Bingkas Aunie bangun lalu melangkah ke kaunter berurusan dengan gadis
itu. Terkebil-kebil Azan ditinggalkan sendirian di situ. Namun tidak lama, Aunie
kembali duduk bersamanya.
“Saya ada satu
permintaan. Awak boleh lakukan untuk saya?” pinta Aunie menatap Azan. Mereka
beradu pandangan. Wajah Aunie serius.
“Apa permintaan
awak?” tanya Azan tidak teruja. Selalunya kehendak hati Aunie tidak menggembirakannya.
Dia melepaskan keluhan kecil.
“Jangan terlalu
baik pada saya. Saya tak gembira kalau awak selalu bersikap demikian” luah
Aunie berterus-terang. Berat hatinya menerima setiap kebaikan pemuda ini.
Azan tersenyum.
Permintaan yang bukan luar biasa. Aunie mengulangi permintaan ini lagi. Permintaan
yang tidak mampu ditunaikannya.
“Saya gembira
melakukannya” ujar Azan serius. Dia akan tetap mengambil berat terhadap gadis
ini. Dia tidak mampu mengalih pandangannya daripada gadis ini. Sungguh dia
tidak mampu membunuh perasaan cinta itu.
“Jangan...! Awak
akan terluka...” keluh Aunie kesal.
“Dan saya takkan
gembira kalau awak terlalu baik pada saya” tambah Aunie tertekan. Dia tidak
mahu menerima layanan istimewa pemuda ini sedangkan dirinya sendiri tidak mampu
melayan Azan dengan baik. Azan diam.
“Jangan pedulikan
perasaan saya. Saya nak terus sentiasa bersama awak” ujar Azan berdegil. Aunie
melepaskan keluhan.
“Suatu hari nanti
saya akan menemui cinta sejati saya. Saya akan jatuh cinta pada seorang lelaki dan
akan hidup bahagia bersamanya. Ketika itu awak akan lebih terluka. Saya tak nak
perkara itu berlaku pada awak” ujar Aunie lembut. Azan tersenyum.
“Awak tak tahu...
mungkin lelaki itu saya” sahut Azan tenang. Aunie menggeleng. Menyangkal bicara
pemuda ini. Azan bukan pilihan hatinya. Dia tidak akan membina mahligai bahagia
bersama pemuda ini.
“Maaf... awak
tiada di hati saya” ujar Aunie tidak berselindung. Senyap. Kedengaran keluhan
Azan. Kecewa.
“Saya tak nak awak
jumpa lelaki yang silap lagi. Saya tak mahu melihat luka awak berulang setelah Adika
tinggalkan awak” tegas Azan. Aunie terkedu. Azan tidak lupa tentang kisah cinta
duka ini. Aunie menghela nafas panjang. Masih terasa sakitnya.
“Saya tak boleh
terima awak... bukan sebab saya pernah gagal bercinta. Saya anggap awak ialah
sahabat terbaik yang saya ada di dunia ini. Saya yakin perasaan ini takkan
berubah sampai bila-bila. Awak mesti cari cinta sejati awak pada gadis lain”
nasihat Aunie separuh memujuk. Azan tersenyum. Dia tenang sahaja.
“Awaklah cinta
sejati saya” ujarnya tidak putus harapan. Masih mahu memperjuangkan cinta yang
tidak berbalas. Kedengaran keluhan Aunie.
“Awak layanlah
saya seperti sekarang. Awak tiada perasaan cinta pada saya, saya tak kisah.
Cuma saya nak terus berada di sisi awak selagi saya berpeluang” ujar Azan
nekad. Aunie mengeluh lagi. Buntu. Azan tidak pernah menurut hasrat hatinya. Tidak
adil buat pemuda ini. Azan akan mensia-siakan masa yang ada. Sepatutnya dia
berbahagia sekarang dengan kekasihnya.
“Adakah awak akan
tinggalkan saya jika hati saya dimiliki?” tanya Aunie ingin tahu. Azan senyum
dan mengangguk.
“Saya akan lihat
kebahagiaan awak dari kejauhan” ujar Azan tenang. Aunie terpana. Dia terus
kehilangan suara. Aunie dan Azan tidak berbual-bual lagi. Sesekali saling
berpandangan dengan mulut yang terkunci.
“Terima kasih
Azan... namun saya tak mampu mencintai awak” bisik hati kecil Aunie yang tidak
mampu diluahkan kepada pemuda ini. Tidak tega terus mengguris hati Azan.
Sesungguhnya, di sebalik senyuman Azan tercelit kekecewaan.
“Hey...awak nak
pinjam iPhone saya tadi” suara Azan
memecah keheningan. Aunie menggelang. Perancangannya sudah dibatalkan.
“Nanti saya guna iPhone saya sendiri” ujarnya tersenyum
memperlihatkan pembohongannya tadi. Azan turut tersenyum. Sebentar tadi Aunie
telah memecahkan tembelangnya sendiri. iPhone
Aunie tiada masalah.
“Awak nak telefon
pemuda bayang-bayang itu?” tanya Azan.
“Pemuda
bayang-bayang?” Dahi Aunie berkerut. Bicara Azan membinggungkannya.
“Dia yang selalu
mengekori awak” ujar Azan menambah kekeliruan Aunie. Cuba memikirkan gerangan
insan yang dimaksudkan oleh Azan.
“Maksud awak Eymar?”
teka Aunie. Laju Azan mengangguk.
“Ya... kembar
Neymar... bintang bola dunia idola pujaan hati awak tu” sokong Azan bernada
cemburu. Aunie tergelak.
“Oh... namanya
Eymar...” Azan menyebut nama pemuda itu semula.
“Awak dah jadi
kawannya?” tanya Azan sedikit terkejut.
“Kami satu
kelaslah. Dia patner saya untuk
tugasan Encik Lokman” jelas Aunie. Kemudian melepaskan keluhan kecil. Tugasan
yang mendapat tentangan mamanya.
“Tak patut mama
halang saya lakukan tugasan itu. Saya dah jumpa rakan terbaik” keluh Aunie
sedikit hampa. Kajian yang dirancang sangat bertepatan dengan perjalanan hidup
Eymar. Bonus untuk mendapat hasil tugasan yang terbaik.
“Memang patut
tindakan mama awak. Awak tak boleh rapat dengan pemuda itu. Dia seperti samseng
yang boleh membahayakan awak” ujar Azan menyokong tindakan Puan Aisyah Adiba.
Aunie mencebik bibir. Tidak suka mendengar bicara Azan.
“Hidup awak
dengannya bagai ada pertalian... sebab itu dia jadi bayang-bayang awak” ujar
Azan berlagak persis Pak Nujum. Aunie mendengus kasar.
“Bila masa pula
awak ada kebolehan meramal dan melihat masa depan” perli Aunie. Azan tersenyum.
“Gerak hati saya...”
sahutnya.
“Harap-harap gerak
hati awak tu tak betul” tingkah Aunie bingkas bangun.
Azan tersenyum
sendiri. Jawapan Aunie menyenangkan hatinya. Terbukti Aunie tidak teruja
mengenali pemuda itu.
“Saya yang belanja
awak hari ini” ujar Aunie lantas melangkah ke muka pintu. Perkara itu harus
dimaklumkan agar Azan tidak perlu ke kaunter untuk menjelaskan bayaran sebelum
mereka meninggalkan restoran ini.
“Bukankah saya dah
janji tadi akan belanja awak makan?” tingkah Azan tidak puas hati sambil
mengejar langkah Aunie yang sudah melewati pintu.
“Hari ini saya
lakukan kesalahan pada awak. Saya belanja sebagai tanda permohonan maaf saya.
Lagipun awak tak makan kenyang tadi. Apa kata kalau kita ajak mama makan sekali
sebelum balik nanti. Awak belanja” saran Aunie tersengih.
“Cadangan terbaik!
Saya setuju” sahut Azan teruja. Dia tersenyum lebar.
“Aunie...”
panggilnya. Gadis ini berpaling menatapnya.
“Lain kali lebih
banyak lagi layanan baik awak pada saya” pinta Azan. Aunie mencebik. Meremang
bulu romanya mendengar permintaan Azan itu.
“Tak mungkin
berlaku” balas Aunie dengan wajah yang garang buat Azan tergelak. Aunie yang
dikenalinya garang dan dingin sudah kembali. Cepat sahaja dia berubah.
Sebenarnya kembali pada sikap yang
selalu ditunjukkan kepadanya. Bagaimana sekalipun personaliti gadis ini, Azan
tetap menyukainya. Nama Aunie sudah terpahat utuh bertakhta di hatinya.
No comments:
Post a Comment