Bab 7
“Kenapa awak
tiba-tiba ubah fikirkan setuju nak jadi rakan sepasukan saya?” Pertanyaan itu
diajukan kepada Aunie. Dia ingin tahu jawapan daripada gadis ini. Sedar
dirinya kurang disenangi oleh gadis ini. Penampilan diri sebegini tidak semua
orang akan senang mendampinginya. Nampak jahat dipandangan mata kasar.
“Mestilah ada
kepentingan pada saya” sahut Aunie tanpa berselindung. Eymar tersenyum lirih. Jawapan yang telus. Pada mulanya dia tidak bersetuju hendak menjadi rakan sepasukan Eymar. Namun
tatkala terfikir tugasan Encik Lokman ini berkaitan masalah sosial yang berlaku
di sekitar bandar ini, maka dia merasakan menjadi rakan sepasukan Eymar memang
pilihan tepat. Tidak perlu susah-susah turun ke lapangan memandang Eymar sendiri
boleh dijadikan responden. Dia akan menemu bual pemuda ini. Paling mudah minta
sahaja Eymar menjawab semua persoalan kerana isu-isu yang akan dikemukakan
berkaitan dengan pengalaman hidup pemuda ini. Kemudian dia akan memurnikan
tugasan tersebut sebelum dihantar kepada Encik Lokman. Begitu mudah. Demikianlah
perancangan yang ada dalam benak Aunie.
“Saya nak buat
kajian tentang kumpulan samseng yang wujud di sekitar bandar ini. Jadi awak
mesti bersedia” Aunie menjelaskan perancangannya. Eymar mempamer wajah
bersahaja. Sudah dapat mengagak langkah seterusnya.
“Boleh... Nanti
kita sama-sama turun ke lapangan untuk lebih menyelami perasaan kaki-kaki
samseng ini” sahut Eymar menyokong. Besar anak mata Aunie menatapnya. Gerun.
“Bahaya...” keluh
Aunie bimbang. Eymar tersenyum.
“Awak jangan takut
saya akan jaga dan lindungi awak. Tak ada siapa yang boleh menyakiti dan
mencederakan awak. Saya pernah cakap pada awak sebelum ini” ujar Eymar
mengulangi kata-kata itu. Aunie mencebik.
“Terima kasih
saja. Tak nak saya. Cukuplah awak seorang jadi responden. Awak boleh berikan
maklumat yang terbaik kerana semua ini berkaitan dengan pengalaman hidup awak.
Awakkan kaki samseng...suka bergaduh...suka cederakan orang lain... kaki buli”
tutur Aunie tidak berselindung. Eymar hanya tersengih. Kata-kata Aunie tidak
menyinggung perasaannya.
“Pandai awak ucap
terima kasih kali ini” sinis suara Eymar memerlinya. Aunie menjeling dan
mencebik. Teringat pergaduhan kecil antara mereka tempoh hari gara-gara Eymar
mempertikaikan tindakannya meninggalkan pemuda ini tanpa ucapan terima kasih
setelah menyelamatkannya daripada jatuh berpadu dengan simen.
“Penghargaan mesti
ikhlas, bukannya diminta-minta” sindir Aunie. Eymar tergelak. Tiba-tiba larangan
Puan Aisyah Adiba terngiang-ngiang di telinga Aunie. Nampak mamanya
bersungguh-sungguh menghalang kajian yang telah dirancang rapi ini. Tanpa sedar
keluhan dilepaskan. Tidak yakin perancangan ini dapat dilaksanakan dengan
lancar. Tidak mungkin dia hendak membiarkan pemuda ini melakukan sendirian. Dia
tidak mahu menjadi rakan sepasukan yang tidak berfungsi. Rakan yang hanya tahu
tumpang sekaki.
“Kenapa?” Eymar
yang memerhatikan tingkahlakunya melontar pertanyaan. Aunie tidak ceria. Nampak
ada perkara yang membelenggu dirinya.
“Pasti seronok
kalau kajian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya” ujar Aunie kurang bersemangat.
Perintah Puan Aisyah Adiba yang mahukan kajian ini dibatalkan membuatkan dia
serba salah. Dia perlukan sokongan orang lain untuk meyakinkan mamanya.
“Sudah semestinya
kita akan buat yang terbaik” sahut Eymar bersemangat. Aunie tersenyum. Seronok
melihat semangat berkobar pemuda ini. Namun senyuman ini sekejap sahaja. Dia
mengeluh panjang.
“Ada masalahkah?”
tanya Eymar sangsi. Perlahan-lahan Aunie mengangguk. Anggukan yang panjang. Tertekan
tatkala hasrat hati yang mahu melakukan sesuatu yang terbaik telah dihalang.
“Mama... tak
benarkan saya buat kajian ini. Dia bimbangkan keselamatan saya” ujar Aunie
tidak mahu berselindung. Eymar patut mengetahui perkara ini. Mungkin juga
cetusan ideanya berguna untuk menyelesaikan masalah ini.
“Oh... masalah
kecil saja. Tak payahlah bimbang... perkara itu akan selesai nanti” sahut Eymar
begitu tenang. Terkebil-kebil Aunie menatap Eymar. Eymar senyum.
“Awak kata dah ada
draf untuk kajian itu. Boleh saya tengok?” tanyanya. Aunie mengeluarkan fail
yang menyatukan kertas-kertas A4 yang tercatat perkara berkaitan kajian itu.
Kemudian menghulurkan fail itu kepada Eymar. Beberapa minit diperuntukkan untuk
Eymar membaca dan seterusnya memberikan komen serta pandangan pada draf kajian
tersebut.
“Wah..., awak buat
dengan baik!” puji Eymar kagum. Aunie hanya mempamer wajah kosong. Tidak teruja
mendengar pujian itu. Dia masih bimbang memikirkan halangan mamanya. Dirinya
tersepit antara kehendak hati sendiri dengan kemahuan mamanya.
“Bila kita boleh
ke lapangan kajian jumpa dengan responden?” tanya Eymar teruja. Aunie mengeluh
kecil.
“Saya akan pujuk
mama agar benarkan saya ikut awak ke lapangan kajian. Andai saya gagal
memujuknya... minta maaf banyak-banyak. Awak kenalah buat sendirian” keluh
Aunie kecewa. Berat hati mahu membiarkan Eymar melakukan tugasan ini sendirian
memandangkan inilah merupakan tugasan yang wajib diselesaikan bersama.
“Awak jangan
bimbang. Selesai semua maklumat dikumpul... awak serah saja pada saya. Biar
saya siapkan semuanya” janji Aunie cuba mendamaikan hati dan berlaku adil serta
bertanggungjawab. Hanya ini sahaja cara dia menyumbang tenaga sebagai rakan
sepasukan.
“Memang awak yang
buat pun. Saya tak suka karang mengarang ni. Bahasa Melayu saya tak sehebat
saya bercakap. Struktur binaan ayat saya tunggang-langgang. Nanti tak
fasal-fasal perkara yang mahu disampaikan tak difahami. Bimbang juga maksud
yang nak disampaikan tersasar jauh” tutur Eymar berjela. Aunie menjeling pemuda
ini. Alasan yang diragui. Berjaya melangkah ke menara sudah semestinya selesai
melalui saringan-saringan yang sukar.
“Ya saya yang
buat. Tak payahlah banyak cakap. Pening saya dengar awak bercakap tak
henti-henti” rungut Aunie. Eymar tergelak. Rungutan Aunie mencuit hatinya.
Tidak sedar pula dirinya banyak cakap. Kebiasaan suaranya lebih banyak
tersimpan di kerongkong.
“Sebenarnya awak
dah buat pun lebih daripada yang patut” ujar Eymar cuba menyenangkan hati
Aunie. Ikhlas dia menuturkannya.
“Terima kasih atas
penghargaan awak ini. Saya akan buat sehabis baik” tutur Aunie berikrar. Eymar
tersenyum. Yakin Aunie mampu melakukan tugasan ini dengan baik.
“Pasti seronok
kalau dapat ke lapangan kajian dan jumpa mereka” keluh Aunie hampa. Pandangannya
dilontar jauh menembusi dinding kaca ini. Kecewa hatinya tidak dapat menyertai
pemuda ini bertemu dengan kumpulan samseng. Pengalaman menarik yang sukar
diperoleh.
“Awak mahu
berjumpa mereka? Awak tak takut?” tanya Eymar menguji Aunie.
“Kalau
berpeluang... memang saya takkan lepaskan peluang itu. Kalau awak ada
bersama... saya takkan takut” ujar Aunie yakin. Eymar tergelak sendiri. Hairan
Aunie menatapnya. Bicaranya tidak lawak. Malah dia serius menuturkannya.
“Terima kasih
sebab awak percaya saya boleh jaga dan lindungi awak. Saya amat menghargai keyakinan
awak ini” ujar Eymar ceria. Aunie hanya mempamer wajah kosong. Tidak berminat
memberi reaksi terhadap bicara Eymar. Tika ini rasa kecewa menyelubungi diri.
Sedih sebab terlepas peluang hendak mengukir pengalaman hidup yang luar biasa
dalam hidupnya. Tidak semua orang berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan
kumpulan samseng yang punya ramai musuh. Betulkah mereka boleh beramah mesra
dengan orang awam? Adanya pemuda ini, Aunie yakin semua akan berjalan lancar.
Mereka pasti dapat berkomunikasi dengan baik. Aunie melepaskan keluhan sekian
kali.
“Esok awak ada di
Butik Selendang Kasih?” Pertanyaan Eymar menyentakkan Aunie.
“Petang saya ada
di sana. Kenapa?” tanyanya hairan.
“Saja nak tahu”
balas Eymar tersenyum.
“Awak nak datang
sana?” tanya Aunie sangsi. Kebimbingan terdetik di hati. Tidak mahu Eymar
bersua muka dengan mamanya. Pasti mamanya tidak senang hati tatkala mengetahui
pemuda inilah rakan tugasan Encik Lokman yang harus diselesaikannya. Penampilan
Eymar bakal memberikan penilaian negatif daripada sesiapa sahaja yang
memandangnya. Aksesori tengkorak yang menghiasi leher, jari dan pergelangan
tangannya. Semua disembunyikan seketika di sebalik jaket hitam kulit ini kerana
dia berada di bilik perbincangan dalam perpustakaan kampus ini. Rambut
keperang-perangan azali yang terpacak berdiri.
“Tak bolehkah
kalau saya datang sana nak beli tudung? Kalau awak ada sana boleh dapat
diskaun” tanya Eymar tersengih.
“Oh... awak nak
beli tudung untuk Era” ujarnya membuat andaian sendiri. Dipanjat kesyukuran
kerana gadis itu telah dianugerah hidayah untuk berhijab. Aunie gembira kerana
Eymar tidak menghalang malah mahu membeli tudung untuk Era. Perkembangan
positif dalam hubungan mereka.
“Datanglah...nanti
saya tolong awak pilih tudung yang cantik” ujar Aunie teruja. Eymar tersenyum
lebar mendengar kunjungannya kali ini dialu-alukan oleh gadis ini.
“Terima kasih...”
sahutnya gembira. Skrin iPhone pemuda
ini menyala. Ada panggilan yang diterima dalam mod senyap.
“Sekejap ya...” Dia
meminta ruang untuk menjawab panggilan itu. Aunie mengangguk. Dibiarkan pemuda
ini berbual dengan orang yang menghubunginya.
“Okey... saya
datang sana sekarang” suaranya cemas. Panggilan dimatikan. Aunie dipandang.
“Saya harus pergi
sekarang. Jumpa awak esok di butik” ujarnya lantas bangun mahu beredar segera
dari situ.
“Nak pergi mana?”
tanya Aunie tertanya-tanya melihat keadaannya yang cemas.
“Ada nyawa yang
perlu saya selamatkan” jelas Eymar buat Aunie terlopong. Perkara serius sedang
berlaku.
“Hey... fail ini
untuk awak! Pasti jangan hilangkan” pesan Aunie dalam keadaan kelam kabut itu.
Laju tangan Eymar menyambar fail itu. Kemudian berlari anak ke muka pintu.
Tidak sempat berbicara lagi. Aunie hanya terkebil-kebil menatap Eymar pergi.
Sekejap sahaja kelibat pemuda itu sudah tidak kelihatan lagi. Dia benar-benar
sedang mengejar masa.
“Ada nyawa yang
perlu diselamatkannya” Aunie mengulangi bicara Eymar. Terbayang aksi wira Eymar
di matanya. Pemuda itu sedang bertarung menentang musuh. Cuba menyelamatkan
nyawa seseorang yang sedang terancam. Semangat setia kawan yang utuh dalam
kalangan kumpulan samseng. Aunie melepaskan keluhan kecil.
“Hidup awak tak
aman. Mudah-mudahan Allah berikan awak kehidupan yang lebih baik kelak. Hidup normal
seperti orang lain. Ya Allah selamatkanlah pemuda ini” Doa Aunie memohon
kebaikan buat Eymar. Tidak salah sesama insan mendoakan kesejahteraan orang
lain.
“Aunie... ada
kawan-kawan kamu datang ni” suara Kak Ros mengarahnya melontar pandangan ke
situ. Aunie tergamam menatap Eymar bersama dua orang pemuda sedang melangkah
mendekatinya.
“Hai... saya dah
datang. Ini kawan-kawan saya” sapa Eymar sambil memperkenalkan dua orang lelaki
itu kepadanya.
“Hai...” serentak mereka
menyapanya. Aunie terkedu. Terlopong dia menatap dua orang pemuda yang serupa
penampilan dengan Eymar. Baju yang tidak berlengan menampakkan tatu naga di
pangkal lengan kedua-dua pemuda ini. Bibir dan kening pemuda itu bertampal.
Nampak tercedera. Pasti dialah yang diselamatkan oleh Eymar semalam. Direnung
wajah Eymar. Tiada yang tercedera. Begitu juga dengan seorang lagi.
“Kenapa awak
datang sini?” ujar Aunie cemas. Bila-bila masa sahaja Puan Aisyah Adiba akan
muncul. Perkara yang merunsingkan Aunie. Tidak mahu mamanya bertemu dengan
Eymar dan kawan-kawannya.
“Saya bawa
responden kajian kita. Bukankah awak nak sangat jumpa mereka” tutur Eymar
bersahaja. Cuba menunaikan hasrat hati Aunie. Niat yang baik.
“Nak buat kejutan
pada awak. Awak tak teruja?” tanya Eymar tenang. Aunie mengetap bibir. Tidak
sangka terlalu besar kejutan yang dipersembahkan pemuda ini. Terasa dia
kekurangan oksigen sekarang. Rasa sukar hendak bernafas.
“Tak sopan betul
awak ni. Langsung tak jemput tetamu duduk” keluh Eymar lantas melabuh duduk di
atas sofa itu menghadap Aunie. Kawan-kawannya tergelak.
“Duduk...duduk...”arahnya
kepada dua orang pemuda itu. Melayang tubuh dua orang pemuda itu sebelum mendarat
di atas sofa. Aksi terbang dipersembahkan di depannya. Aunie kaget menatapnya. Tidak
pernah jumpa orang yang duduk sedemikian rupa. Persis lagak budak-budak lelaki
yang nakal.
“Awak jangan
hairan. Mereka ni tak sekolah tak tahu nak bersopan” perli Eymar mengulas
tingkahlaku kawan-kawannya. Faham dengan pandangan mata Aunie yang tidak
berkelip-kelip tadi. Kedua-duanya tergelak lagi. Aunie menelan liur pahit.
“Cik... ada air
tak? Dahaga ni” tanya pemuda gemuk ini. Besar anak mata Aunie tatkala tetamu
mengajukan pertanyaan sedemikian. Eymar hanya menyandarkan tubuh di sofa sambil
memeluk tubuh. Begitu bersahaja.
“Mari kita pergi
sekarang. Saya belanja minum” ujar Aunie tidak tenteram kemunculan Eymar dengan
kawan-kawannya di sini. Mahu mereka segera beredar dari butik ini.
“Tapi awak belum
pilih tudung untuk saya” tingkah Eymar mengungkit hajatnya semalam.
Kawan-kawannya berpandangan sesama sendiri. Tercengang.
“Awak nak beli
tudung?” Serentak mereka bertanya. Tidak percaya. Kemudian tawa besar mereka
terburai. Beberapa orang pelanggan mengarah pandangan ke arah mereka. Pandangan
kurang senang kerana terganggu dengan tawa itu. Sebiji tumbukan padu Eymar
singgah di bahu pemuda gemuk ini. Dia mengaduh kesakitan.
“Ampun brother...” ujar pemuda berkulit hitam
yang belum sempat merasa tumbukan padu Eymar sebagai hukuman kerana mencetuskan
tawa yang besar sebentar tadi. Tawa yang tidak menyenangkan hati Eymar. Aunie
menepuk kepala. Pening. Dia kian cemas. Tidak lama lagi Puan Aisyah Adiba akan
muncul. Kebebasannya akan tamat serta merta. Dia tidak boleh
pergi ke mana-mana lagi tanpa pengawasan.
“Saya tak boleh
bernafas sekarang. Cepat kita keluar dari sini” pinta Aunie sambil menatap
Eymar. Diurut-urut dadanya. Aunie bangun lantas mendekati Eymar yang masih
tidak berganjak dari sofa itu. Duduk yang santai. Tenang sahaja dengan kerenah
kawan-kawannya.
“Cepat arah
kawan-kawan awak ni keluar dari sini sakarang” arah Aunie cemas.
Ditarik jaket yang
dipakai Eymar meminta pemuda ini bergerak sekarang. Eymar terdorong bangkit
dari sofa. Terkebil-kebil dua orang pemuda ini melihat Eymar akur diperlakukan
sedemikian.
“Dia nak belanja
kita minum. Kita keluar sekarang” ujar Eymar mengajak kawan-kawannya
meninggalkan butik ini.
“Okey...” Arahannya
tidak pernah diengkari.
“Saya nak makan
banyak hari ini. Lapar sangat ni. Cik bawa duit banyak-banyak tau” arah pemuda
gemuk itu. Aunie hanya menganggukkan kepala. Tidak kisah berbelanja lebih
sebentar nanti. Di benaknya mahu mereka segera beredar meninggalkan Butik
Selendang Kasih sebelum kemunculan mamanya. Pertembungan yang mesti dielakkan.
“Pergi Restoran
Mutiara sekarang. Sekejap lagi saya datang sana” arah Aunie gusar. Eymar mengangguk
faham. Kemudian menyertai kawan-kawannya yang sudah berada di luar. Aunie
menarik nafas lega tatkala mereka tidak berada berdekatan dengan Butik
Selendang Kasih. Eymar dengan kawan-kawannya sudah melangkah masuk ke dalam
bangunan itu. Aunie mendekati Kak Ros yang sedang menanti penjelasannya.
“Itu pemuda Jersi
10 kan?” tanya Kak Ros meminta kepastian. Aunie mengangguk. Nama gelaran Eymar
yang diberikan oleh Kak Ros lantaran jersi bernombor 10 yang Eymar berikan
kepadanya.
“Yang dua orang
itu siapa? Nampak tak sopan saja” komen Kak Ros menilai dari kejauhan. Aunie
hanya geleng kepala. Tanda tidak tahu. Malas mahu bercerita panjang dengan Kak
Ros. Berterus-terang perkara sebenar akan menambahkan kebimbangan Kak Ros.
“Saya jumpa mereka
di Restoran Mutiara. Kalau mama cari saya tolong beritahu saya di situ” pinta
Aunie meninggalkan pesanan. Kak Ros mengangguk.
“Saya pergi dulu...”
ujarnya mahu segera berjumpa dengan Eymar dan kawan-kawannya. Bimbang mereka
akan kembali ke sini mencarinya. Manusia seperti mereka tipis kesabaran.
Terhukum jika menunggu lama. Langkah Aunie terhenti di ambang pintu. Dia
berpaling semula ke arah Kak Ros.
“Kenapa?” tanya
Kak Ros mendahului bersuara melontar pertanyaan.
“Saya minta
perkara ini jadi rahsia kita” pinta Aunie. Tidak mahu kunjungan Eymar bersama
kawan-kawannya ke butik ini sampai ke pengetahuan mamanya. Kak Ros mengangguk
faham. Janji termeterai.
“Terima kasih Kak
Ros” ujar Aunie lega.
“Jaga diri awak
baik-baik. Kawan-kawan Jersi 10 itu macam tak boleh dipercayai” keluh Kak Ros
meluahkan kebimbangannya. Aunie tersenyum.
“Dia boleh kawal
kawan-kawannya. Kak Ros tak payah risau” ujar Aunie yakin kemampuan Eymar. Kak
Ros tersenyum.
“Walaupun ada
sedikit kebimbingan terhadapnya, Jersi 10 memang tampan. Padan dengan kamu.
Bagai pinang dibelah dua” ujar Kak Ros sempat mengusiknya. Aunie mencebik.
Lantas meninggalkan Kak Ros. Tidak mahu melayan usikan Kak Ros. Setibanya di
Restoran Mahligai itu, Eymar dan kawan-kawannya sedang leka menikmati hidangan.
Sunyi sepi. Perubahan suasana yang mendadak berbanding keriuhan mereka di butik
tadi. Kedatangan Aunie disambut dengan senyuman. Namun tidak mahu bersuara tika
ini.
“Pandai pula
bersopan ketika makan” bisik hati Aunie mengutuk. Eymar meletakkan sepinggan me
goreng di depan Aunie. Aunie menggeleng. Kantung perutnya sudah penuh terisi.
“Saya dah kenyang.
Awak makanlah” ujar Aunie menolak me goreng itu.
“Betul tak nak
makan? Kalau tak saya makan” ujar pemuda gemuk ini dengan sisa makanan yang
belum habis dikunyah. Mulutnya masih berisi makanan. Aunie mengangguk.
“Makan...makan...”
arah Aunie menolak sepinggan me goreng itu ke arah pemuda gemuk ini. Dia
tersenyum lebar. Kemudian meletakkan ke tepi pinggan yang baru sahaja kosong
itu. Lantas meletakkan me goreng itu di depannya. Mula menikmati me goreng itu
dengan rakusnya. Persis tidak kenyang lagi walaupun telah menghabiskan
sepinggan me goreng sebentar tadi. Aunie terpaku memerhatikan.
“Awak tak nak
minum?” tanya Eymar menatapnya. Aunie geleng kepala. Melihat kelahapan
kawan-kawan pemuda ini makan sudah membuatkan Aunie terasa kenyang.
“Jangan hairan dia
makan banyak pun tak akan kenyang-kenyang” ujar Eymar mengutuk kawannya yang
gemuk itu. Pemuda gemuk itu tersengih.
“Awak tak baca
bismillah sebab tu awak tak kenyang” meluncur laju kenyataan itu keluar dari
mulut Aunie. Pemuda gemuk ini tersedak. Laju tangannya mencapai air kosong di
gelas lalu dengan rakus meminumnya. Pemuda seorang ini pula tertawa. Eymar
hanya tersenyum. Reaksi mereka mengundang kehairanan Aunie. Dipandang
seorang-seorang.
“Oh..., sorry... saya terlupa” ujar Aunie cepat
menyedari situasi yang membuatkan pemuda gemuk ini tercekek.
“Awak ni pandai
berlawak. Saya suka awak” ujar pemuda gemuk ini. Aunie tersengih. Tersedar
dengan kesilapan sendiri.
“Mustahil Cheng
dan Raju pandai baca bismillah...” komen Eymar tersenyum sendiri. Bicara Eymar
disambut dengan gelak tawa kedua-dua pemuda ini.
“Eymar pandai..” ujar
pemuda itu. Mungkin namanya Raju. Kulitnya gelap. Yang berkulit putih, bermata
sepet dan gemuk ini Cheng. Aunie membuat tafsiran sendiri. Dipandang Eymar.
Fakta yang menarik tentang dirinya.
“Saya tinggal lama
bersama kawan muslim. Sudah biasa cara hidup orang muslim” ujar Eymar
memberikan penjelasan. Aunie terkedu. Ada perkara menarik di sebalik kehidupan
ketiga-tiga pemuda yang menjadi responden kajian ini.
“Yang mana Raju
dan yang mana Cheng?” tanya Aunie cuba mensahihkan tafsirannya.
“Saya.. Raju”
sahut pemuda berkulit gelap memperkenalkan diri.
“Cheng...Oh...kenyangnya...”
Cheng tersandar di kerusi sambil mengendang perutnya. Puas hati perut sudah
penuh terisi. Tepat tekaan Aunie.
“Kami nak pergi
sekarang” ujar Cheng. Eymar mengangguk.
“Maklumkan kepada Uncle Sam... malam ini saya datang”
pesan Eymar. Cheng dan Raju mengangguk. Bingkas mereka bangun.
“Gembira jumpa
awak cik nona manis” ujar Cheng tersenyum. Aunie memaksa diri tersenyum. Masih
ada perasaan takut terhadap kawan-kawan Eymar yang nampak lebih agresif ini.
Cheng dan Raju meninggalkan mereka. Laju Aunie berpaling ke arah Eymar.
“Kenapa awak
biarkan mereka pergi? Saya belum pun menebual mereka” keluh Aunie memprotes
tindakan Eymar. Dia tidak berani bertindak sendiri hendak menahan Raju dan
Cheng. Sudah pasti dia tiada kuasa hendak memberi arahan kepada mereka.
“Awak yang
lepaskan peluang itu. Tadi elok-elok dah kami sampai di butik tu” tingkah
Eymar. Besar anak mata Aunie menatap Eymar.
“Awak ingat dengan
pakaian begini awak boleh datang dan duduk lama di sana. Silap-silap semua
pelanggan mama lari takut tengok awak dan rakan-rakan awak tadi” luah Aunie
tidak dapat membendung perasaannya. Betapa cemas dan bimbang dirinya tadi.
Eymar menatapnya tajam. Tersinggung mendengar kata-kata gadis ini.
“Apa salahnya
berpakaian begini? Tubuh kami bukan tak berbalut pakaian nak buat semua orang
takut” bidas Eymar rasa terhina dengan kata-kata Aunie. Dia mendengus. Aunie
terdiam. Baru tersedar ketelanjuran bicaranya.
“Dah samseng...
takkan Raju nak pakai kurta dan Cheng pakai samfu pula. Atau awak nak saya
pakai serban dan berjubah” getus Eymar tidak puas hati. Wajahnya serius. Aunie
masih mendiamkan diri. Sedar bicaranya telah membangkitkan kemarahan pemuda
ini. Salahnya juga bercakap main lepas sahaja.
“Awak boleh hina
saya tapi bukan hina kawan-kawan saya. Belajar menghormati orang lain dan
jangan cepat sangat menilai orang lain dari luaran saja” nasihat Eymar. Terasa
panas membahang wajah Aunie. Terpukul mendengar bicara Eymar.
Tiba-tiba sahaja
Eymar bangun. Tanpa sepatah kata dia terus meninggalkan Aunie termangu
sendirian di situ. Tidak percaya dirinya akan ditinggalkan sedemikian.
No comments:
Post a Comment