BAB 74
Usai solat Isyak, aku bersiap-siap hendak ke hospital
seperti yang kujanjikan dengan Mak Tijah. Mak memang sudah mengetahui dan tiada
halangan. Syarat utama Aqel telah dimaklumkan perkara ini. Kucapai iPhone yang terletak di atas almari
solek ini. Kutilik seminit. Tiada panggilan atau sebarang mesej yang kuterima.
Simbol whatsApp pun tidak menyala.
Aku menuruni anak tangga dan singgah di dapur mengambil sup ayam yang kureneh
petang tadi. Berharap sup ini akan membangkitkan selera Idlan. Kemudian
menjengukkan diri ke bilik mak. Mahu memaklumkan kepergianku.
“Mak... Lia pergi dulu. Subuh nanti Lia balik” jelasku.
“Hati-hati bawa kereta” pesan mak. Kusalami tangan mak
lantas mencium kedua-dua belah pipi mak.
“Dah telefon Aqel?” tanya mak. Aku mengangguk.
“Dia tak angkat tapi dah mesej tadi” jelasku. Kedengaran
bunyi isyarat whatsApp kuterima.
Kucapai iPhone lantas mempamerkannya.
‘OK’ jawapan yang kuterima untuk keizinan yang kupohon daripada Aqel. Ringkas
sahaja.
“Aqel benarkan” jawapan itu kumaklumkan kepada mak. Mak
mengangguk.
“Baguslah kalau macam tu” sahut mak lega.
“Dah bawa bantal kecil dan selimut. Malam-malam bertambah
sejuk nanti” tutur mak memberi peringatan. Aku senyum. Bicara mak mencuit hati.
“Mak ni macamlah Lia ni nak pergi panic. Lia pergi hospital ler... kang hairan pula orang tengok Lia
mengangkut barang. Cukuplah pakai sweeter
ni je” jelasku meningkah bicara mak.
“Suka hati kamulah. Jangan pula menyesal nanti” ujar mak
tidak mampu memaksa aku menuruti bicaranya. Hairan pula warga hospital kalau
aku ikut kata mak ini.
“Lia... pergi sekarang” ujarku meminta diri. Bingkas mak
bangun lalu mengiringiku sehingga ke muka pintu utama.
“Hati-hati. Pandu kereta tak payah laju” pesan mak lagi.
Aku hanya mengangguk dan senyum. Kulambaikan tangan kepada mak. Kasihan juga
mak kutinggalkan bersendirian di rumah pada malam ini. ‘Ya...Allah, peliharalah
keselamatan mak. Sejahterakanlah hidup mak di dunia dan akhirat’ doaku sambil
memandu meninggalkan perkarangan rumah.
Setibanya di bilik wad, sudah giliran Haqem yang menjaga
Idlan. Mak Tijah mungkin sudah balik. Haqem baru sahaja usai menyalin pakaian
Idlan. Idlan tersenyum menatapku. Senyuman yang tidak bermaya.
“Auntie ada
buat sup ayam untuk Idlan” ujarku. Dalam keadaan sakit sekarang dia tidak berselera.
Idlan menatapku.
“Makan sikit ye...” pujukku. Lemah sahaja anggukan kepala
Idlan. Lantas kuletak beberapa sudu sup ayam ini ke dalam mangkuk kecil.
“Masih panas-panas ni... mesti sedap” tutur Haqem cuba
membangkitkan selera Idlan. Aku mengangguk sekadar mahu Idlan merasanya.
Kudekati Idlan dengan semangkuk kecil sup ayam. Aku duduk di birai katil
menghadapnya. Mahu menyuapkan sup ini ke mulutnya.
“Emm...wanginya...” puji Haqem. Perlahan-lahan kutiup air
sup di sudu. Idlan menganga mulut. Kusuakan air sup ini ke dalam mulut Idlan.
Perlahan ditelannya.
“Sedap?” tanyaku. Idlan mengangguk lemah. Kusuakan sup
kali kedua ke dalam mulut Idlan. Tampak sukar Idlan hendak menelannya. Baru
sahaja hendak menyudu sup kali ketiga, Idlan menggeleng. Isyarat dia tidak
mampu menelan sup lagi. Aku mengangguk mengerti.
“Nak baring?” tanyaku. Idlan mengangguk. Mangkuk di
tangan kuserahkan kepada Haqem. Aku membantu Idlan berbaring. Kuselimuti tubuhnya.
Idlan terus sahaja memejamkan mata. Kurenung lama wajah pucat Idlan. Hatiku
rawan. Sungguh memilukan menatap keadaan Idlan tika ini. Lemah tidak bermaya.
Hendak tersenyumpun dia tidak mampu. Kuusap lembut kepala Idlan. Dia sudah
terlena. Mudah sahaja dia hendak menidurkan dirinya tatkala dirinya sudah tidak
bertenaga.
“Adakah kasih-sayang Datin Sofea boleh jadi penawar pada
kesakitan yang kamu tanggung ini” hatiku berbicara.
Aku melepaskan keluhan. Sungguh mengecewakan. Peringatan
tegas Datin Sofea mengingatkan aku agar tidak menggantung harapan yang tinggi. Aku
berpaling. Haqem sedang menyandar sambil membaringkan kepalanya di sofa. Aku
bangun dan melangkah ke arah Haqem. Haqem tersenyum. Kulabuhkan duduk di sofa
di sebelah Haqem.
“Terima kasih, Lia” ujarnya terhutang budi. Aku senyum.
Senyap. Sedikit janggal berhadapan dengan Haqem sekarang. Dahulu aku boleh
bercerita panjang dengan Haqem. Bergurau-senda dan saling merajuk mewarnai
hubungan kami.
“Aqel ada call?”
tanya Haqem melontar ingatanku kepada sahabatnya itu.
“Dia terlalu busy dengan
kerja sampai takde masa nak bercakap” sahutku. Senyap. Kutatap Haqem. Aku
tersenyum tawar. Tidak patut aku berbicara sedemikian. Persis aku sedang
merajuk pula dengan sikap Aqel. Mesti Haqem sudah salah faham.
“Maaflah... sebab Aqel terpaksa ganti saya” ujar Haqem
menyalahkan diri. Aku tersenyum. Langsung tidak menyalahkan Haqem. Memang
sedemikian perangai Aqel. Sukar hendak difahami. Adakala sangat prihatin dan
romantik. Namun suka berwajah dingin. Berkunjung di Kota Paris pasti seronok. Kota
romantik yang sering dikunjungi pasangan kekasih.
“Saya ada perkara nak cakap pada awak” suaraku memecah
kesepian. Haqem fokus kepadaku. Aku harus berterus-terang kepada Haqem demi
kebaikan Idlan. Mungkin Haqem mampu memujuk dan melembutkan hati Datin Sofea.
“Maaf... ada perkara yang saya rahsiakan daripada
pengetahuan awak” ujarku menyambung bicara. Haqem nampak kian berminat pada
perbualan ini. Aku menarik nafas dalam-dalam. Terasa sukar hendak memulakannya.
“Saya pernah bawa Idlan berjumpa dengan Datin Sofea...
Dua kali” ceritaku. Haqem tersentak. Dia geleng-geleng kepala. Sukar dirinya
menerima kenyataan ini. Dia melepaskan keluhannya. Lia mahupun Idlan pasti
sudah tercalar perasaan mereka. Bicara mamanya tajam bak sembilu. Mudah sahaja
menghiris perasaan orang lain. Idlanlah yang paling terasa dengan sikap mamanya
itu. Haqem mengeluh lagi.
“Saya minta maaf. Saya tak mampu menolak permintaan
Idlan. Hasratnya suci. Dia nak tunaikan hajat arwah” jelasku berharap Haqem
akan faham dengan tindakan Idlan.
“Pasti Idlan terluka dengan sikap mama” ujar Haqem
disusuli dengan keluhan.
“Mama juga melukai perasaan awak sekian kalinya kan...”
tutur Haqem. Aku diam. Perkara yang sudah dapat dijangkakan oleh Haqem. Tidak
pernah Datin Sofea berlembut denganku.
“Maafkan saya, Lia. Saya harap lain kali awak elakkan
diri daripada mama. Bagaikan dah jadi kemestian mama akan menyakiti hati awak
lagi” tutur Haqem tanpa berselindung.
“Saya dah cuba banyak kali agar dia tak menyakiti awak”
keluh Haqem kecewa.
“Jangan bebankan diri awak dengan perkara ni. Saya tak
kisahpun dilayan sedemikian” ujarku telus. Haqem menatapku. Seketika aku dan
Haqem beradu pandangan.
“Tapi saya merayu
pada awak, tolong pujuk Datin Sofea agar menerima Idlan sebagai cucunya” rayuku
serta menggantung harapan yang tinggi kepada Haqem.
“Jangan sembunyikan Datin Sofea daripada pengetahuan
Idlan. Dia tahu dia masih ada nenek. Cubalah temukan mereka sekerap yang boleh.
Saya yakin selagi awak tak cepat mengalah pasti suatu hari nanti Datin Sofea
akan menyayangi Idlan” nasihatku yakin.
“Awak mesti yakin bahawa Idlan ialah budak yang bijak dan
hebat. Idlan akan mampu memikat hati mama awak” tambahku lagi. Haqem terdiam
panjang. Benaknya ligat berfikir.
“Maaf jikalau saya telah mencampuri urusan keluarga awak.
Saya lakukan ini dengan ikhlas hati mahu membantu Idlan. Saya simpati padanya”
tuturku bersungguh-sungguh. Kulontar pandangan ke arah Idlan yang sedang
terbaring di atas katil pesakit.
“Saya juga sayangkan Idlan” ujarku. Terasa anak mataku
berkaca-kaca. Sebak menatap keadaan Idlan sedemikian.
“Andai kata Datin Sofea masih berdegil, saya dengan rela
hati akan menjaga dan membesarkan Idlan. Biarlah saya jadi ibunya” ujarku
nekad. Laju Haqem berpaling menatapku. Aku dan Haqem beradu pandangan dengan
mulut yang terkunci. Kedegilan Datin Sofea mengingatkan aku pada kata-kata
seorang ustazah. Antara sebab menjadikan hati seseorang itu keras adalah kerana
dia sombong. Tidak suka menerima nasihat orang lain dan menganggap dirinya
lebih baik daripada orang lain. Nauzubillahminzalik. Jauh-jauhkan sifat ini
menghuni dalam diriku.
“Andai kata ... mama merestui... dan ... andai kata Aqel
rela melepaskan awak, adakah awak akan kembali kepada saya” tanya Haqem sambil
menatapku. Aku terkedu. Tidak menyangka Haqem akan mengutarakan pertanyaan ini.
“Biar takdir yang menentukan jodoh kita” ujarku tidak
mahu memikirkannya lagi. Haqem mengangguk-angguk. Dia tersenyum. Bagai ada
harapan baru buat dirinya. Hatinya berputik riang. Andai kata dia memiliki
peluang ketiga pasti dia akan lebih bersungguh-sungguh. Tidak mahu terus
menanggung bebanan perasaan yang menyeksakan ini.
“Awak jaga Idlan malam ni?” tanyaku memecah kesepian ini.
“Ya...biarlah Mak Tijah berehat” sahut Haqem bertimbang
rasa.
“Kalau macam tu saya baliklah dulu. InsyaAllah nanti tiba
giliran saya pula yang jaga Idlan” ujarku mengubah perancangan. Haqem
tersenyum.
“Saya pergi dulu” ujarku meminta diri lantas bangkit dari
sofa ini.
“Hati- hati bawa kereta. Terima kasih sebab datang sini
dan bawa sup untuk Idlan” ujar Haqem berbesar hati. Aku senyum.
“Banyak lagi sup dalam bekas tu, kalau terliur rasalah”
pesanku.
“Pasti saya akan merasanya sekejap lagi” sahut Haqem
laju. Aku senyum lagi.
“Saya pergi... Assalamualaikum...” Aku berpaling dan
terus melangkah ke pintu. Tiba-tiba sahaja aku rasa tidak selesa menjaga Idlan bersama
Haqem sepanjang malam ini. Kupandu perlahan kereta Waja mak sambil dihiburkan
dengan lagu-lagu sentimental yang mengusik jiwa. Tiba di perkarangan rumah,
hanya lampu di garaj sahaja yang masih menyala dan sebahagian besar ruang rumah
sudah gelap-gelita. Petunjuk mak sudah tidur.
Aku masuk perlahan-lahan ke dalam rumah. Tidak mahu
mengganggu tidur mak. Memijak anak tangga dengan senyap. Kurebahkan tubuh di
tilam empuk ini. Selesanya...! Terkebil-kebil aku menatap hamparan siling.
Sungguh membosankan tika ini. Sesaat...seminit...sejam... aku hanya terlentang
di tilam ini tanpa berbuat apa-apa. Pejam-celik, pejam-celik masih tidak mahu
tidur. Belum mengantuk lagi. Bingkas aku bangun lantas menarik laci almari
solek ini. Lama aku merenung isi-isi laci. Terpandang aku diari tempat mencurah
sebahagian isi hatiku. Laju tanganku mencapainya lantas membuka halaman
pertama. Aku tersenyum sendiri membacanya. Peristiwa yang lalu terimbau
kembali.
Kuselak satu demi satu halaman diari ini cuba melenyapkan
perasaan bosan. Kutemui beberapa keping memo merah jambu tulisan tangan Aqel.
Tampak comel dan kemas. Sejak aku mengenali Aqel ada beberapa memo yang
ditulisnya untukku. Semuanya aku tampal dalam diari ini.
~ Hoi..... Si
Cinderella yang kehilangan sepatu..... Selepas ini pasti jiwa awak
tersentuh..... ~ Memo tulisan
tangan Aqel buat aku tersenyum sendiri. Ada kisah lucu berlaku pada hari aku
kehilangan kasut itu. Ketika itu aku ada kesempatan mendera Aqel. Dia terpaksa
memikul berat bebanan tubuhku di belakangnya. Suatu yang tidak mungkin dapat
aku lupakan.
~Pastikan
awak akan menghabiskan semangkuk bubur yang sedap ini agar saya tak perlu
dengar awak meraung menangis kelaparan lagi. Jangan lupa telan ubat ini.
Selamat menikmatinya. Saya buat hati awak tersentuhkan... ~ Aku tersenyum sendiri. Peristiwa pada hari tersebut terakam di benakku
kembali. Tampak comel ikon senyum yang sedang meneropongku dengan kanta mata
pembesar ini. Mata besar ini bukan mata Aqel. Terbayang sepasang mata Aqel yang
sepet dan tajam. Mata orang Korea. Bukan seperti mata Mak Long yang bulat
persis mataku. Namun pandangan mata Aqel juga menawan. Aku menyelak halaman
seterusnya.
~Pastikan
air mata awak dah habis dilap dengan tisu ini, kalau tak pasti kecantikan wajah
awak akan sedikit terjejas~Aqel. Memo ini paling menarik perhatianku. Di sebalik kutukan Aqel terselit
pujukan. Tindakannya penuh keprihatinan. Jejaka yang sudah dimiliki hatinya
tetapi sentiasa berada di sisiku menjadi pelindung dan penyelamatku. Teman
berbual dan bertelagah menjadi pengubat kesepian. Kututup rapat diari ini
lantas menyimpannya ke dalam laci semula. Laci kukunci. Aku bangkit dari kerusi
meja solek ini lalu berbaring di atas katil. Kupandang setiap sudut bilik ini. Aku
bersendirian di sini. Sunyi sepi. Mungkinkah kerana Aqel tidak berada di sini. Kucapai
iPhone yang tidak jauh dariku. Tiada
panggilan, tiada mesej atau whatsApp
yang kuterima. Persis semua orang mahu membiarkan aku bersendirian saat ini.
Kupejamkan mata rapat-rapat. Memaksa diri lena. Bersendirian pada malam yang
sunyi sepi ini buat aku rawan. Apatah lagi mengenangkan nasib Idlan hatiku
pilu.
“Flora...!” Mata kubuka. Laju aku melontar pandangan ke
muka pintu. Pintu berkunci. Tiada Aqel berdiri di situ. Namun sebentar tadi aku
terdengar suara Aqel memanggilku. Rindukah aku kepadanya?
MAK kehairanan menatapku tatkala aku muncul di ambang
pintu ruang dapur lebih awal dari jangkaannya. Pasti benak mak ligat
memikirkannya.
“Pukul berapa balik dari hospital? Mesti mak tidur mati tak
sedar pun kamu dah balik” ujar mak. Aku menggeleng.
“Lia balik pukul 10 lebih. Tak jadi tidur di wad jaga
Idlan” jelasku memecah persoalan di benak mak. Mak tersentak. Namun cepat mak
tersenyum. Persis gembira aku membatalkan perancanganku malam tadi.
“Kenapa tak jadi jaga Idlan?” tanya mak. Aku diam. Cuba
sedaya upaya memikirkannya. Namun belum kutemui jawapannya. Aku sendiri tidak
faham dengan tindakanku. Aku lebih selesa menjaga Idlan bersendirian.
“Dah tukar hari nak jaga Idlan” akhirnya inilah jawapan
yang kuberikan kepada mak. Mak mengangguk-angguk faham.
“Tunggulah Aqel balik. Nanti boleh dia temankan kamu jaga
Idlan” cadang mak yang tidak praktikal. Berkerut dahiku memikirkannya. Aqel
tiada kelapangan hendak melakukannya.
Cukuplah kalau dia ada masa untuk dirinya sendiri.
HAQEM melepaskan keluhan beratnya. Dipandangnya Datin
Sofea dengan perasaan kecewa yang mendalam. Sukar hendak ditembusi kedegilan
hatinya yang sekeras batu itu. Bukan sekali dia telah mencuba tetapi sudah
bertahun-tahun lamanya. Kepergian Harianie langsung tidak mengubah sikap Datin
Sofea. Dingin dan sangat berkuasa.
‘Betul mama tak nak pergi jenguk Idlan?” tanya Haqem kali
terakhir. Datin Sofea mendengus. Rimas dirinya ditanya berkali-kali dengan
pertanyaan yang sama.
“Mama dah cakap tadi” tegasnya tidak akan mengubah
keputusannya.
“Baiklah... Harap-harap perkara yang menimpa arwah Kak
Har takkan berulang lagi” ujar Haqem serius. Suatu peringatan tegas buat Datin
Sofea. Dia berharap Idlan tidak akan mengalami nasib yang sama seperti ibunya.
“Maaf... Mama bacalah kad-kad yang arwah Kak Har tulis tu
banyak kali. Mana tahu boleh melembutkan hati mama” ujar Haqem terkilan. Dia
bangkit dari duduknya lantas menyalami tangan Datin Sofea yang sentiasa
mempamer wajah serius itu.
“Haqem... pergi dulu. Kalau hati mama tergerak nak jenguk
Idlan, saya dah mesej nombor bilik wadnya pada mama. Kalau sukar rasanya nak
pergi seorang, mintalah temankan Bella. Haqem akan pastikan mama takkan jumpa
orang yang mama tak suka di sana” tutur Haqem masih berusaha memancing kesudian
Datin Sofea.
“Mama takkan pergi...” tegas Datin Sofea berdegil.
“Assalamualaikum...” Haqem terus sahaja beredar ke pintu
utama. Dia gagal memujuk Datin Sofea. Keluhannya berpanjangan menyesali
kegagalannya memujuk Datin Sofea. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi. Rasa
tidak bersemangat hendak memandu meninggalkan perkarangan banglo mewah mercu
kekayaan Datin Sofea. Haqem berpaling menoleh ke muka pintu banglo itu. Statik
pandangannya di situ. Persis sedang menanti kedatangan Datin Sofea. Dia
berharap Datin Sofea akan muncul di sebalik pintu itu lantas menyatakan
persetujuannya. Haqem memang berharap mamanya akan mengubah kata putus yang
didengarnya tadi. Haqem mengalih pandangannya dengan keluhan panjang. Hatinya
tetap kecewa.
“Saya merayu pada awak, tolong pujuk Datin Sofea agar
menerima Idlan sebagai cucunya” suara Lia terngiang-ngiang di telinga Haqem. Tersuntik
semangatnya kembali.
“Apa yang harus aku lakukan Lia? Ego mama bermaharaja di
hatinya” keluh Haqem kesal. Kesal atas kegagalannya memujuk Datin Sofea.
Bertambah kesal dengan sikap Datin Sofea. Haqem termenung panjang. Fikirannya
buntu. Dia tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi. Pada siapa dia harus meminta
tolong. Pada Aqel? Tidak mungkin. Hubungan Aqel dengan mamanya dingin lantaran
tindakan Aqel yang sentiasa melindungi Lia. Terlintas nama Bella di benaknya.
Gadis itu sangat rapat dengan mamanya. Mungkin Bella boleh memujuk mamanya.
Laju tangan Haqem mencapai iPhone
dari saku kemejanya. Haqem terus membuat panggilan.
“Assalamualaikum...” Sekajap sahaja panggilan itu terus dijawab.
Kedengaran suara keterujaan gadis itu menerima panggilannya. Sesekali sahaja
Haqem berhubung dengan Bella. Itupun atas paksaan Datin Sofea. Tidak tahan
mendengar leteran Datin Sofea, Haqem memaksa diri berbual-bual dengan gadis
itu. Perbualan singkat yang tidak sampai lima minit. Namun kali ini Haqem
memang perlu berbicara dengan Bella dengan kerelaan hatinya.
“Saya nak jumpa awak. Boleh kita keluar malam ni?” tanya
Haqem. Bella teruja menerima pelawaan Haqem.
“Terima kasih. Sekejap lagi saya datang jemput awak”
pesan Haqem tidak mahu bertangguh lagi. Dia nekad. Kali ini dia terpaksa
memohon bantuan Bella. Haqem sudah tiada pilihan. Inilah jalan terakhir yang
diharapkan menjadi penyelesaian masalahnya.
AKU menarik selimut menutupi tubuh Idlan. Kurenung
wajahnya yang masih nampak pucat tidak bermaya ini. Idlan baru sahaja
melelapkan matanya kembali. Kira-kira dalam 20 minit dia berjaga tadi. Namun
tiada banyak yang boleh aku bualkan dengan Idlan. Dia masih tidak bertenaga. Kepetahan
Idlan berbicara lenyap. Terasa aku kehilangan Idlan yang ceria dan bersemangat
waja. Aku bingkas bangun lantas melangkah ke sofa di sudut bilik wad ini.
Kulabuhkan duduk di sofa ini. Kucapai majalah di atas meja ini lalu bersandar
di sofa. Mengisi masa tanpa teman berbicara dengan memulakan pembacaanku.
Sesekali melontar pandangan ke arah Idlan. Cuba mengawasi dirinya. Namun Idlan
sudah lena. Tampak dirinya sungguh keletihan. Banyak sangat perkara yang
menimpanya. Idlan kehilangan ahli keluarga membuatkan dirinya persis hidup
bersendirian. Mujur Haqem ada bersamanya. Dalam dia mengimpikan kasih-sayang
dan perhatian keluarga, Datin Sofea yang boleh menggantikan tempat bonda
tercinta yang telah pergi tidak menerima kewujudan dirinya. Berat dugaan yang
ditanggung Idlan. Aku melepaskan keluhan. Tidak dapat fokus pada majalah di
tanganku. Kuletak di atas meja kembali.
Aku terkejut menatap Haqem yang terpacak beberapa langkah
dariku sedang melontar pandangan ke arahku. Wajahnya serius. Tiada senyuman.
“Awak buat saya terkejutlah...” rungutku sambil mengusap-usap
dada. Meredakan rasa terkejut. Mujur juga aku tidak terjerit tadi. Kalau tidak
pasti mengganggu lena Idlan.
“Haqem... Awak dengar ke?” tanyaku tatkala Haqem masih
statik di situ. Wajahnya tetap serius. Dia memandangkan persis sudah menembusi
tubuhku. Haqem sedang berfikir panjang.
“Haqem...” panggilku lebih kuat tetapi suaraku masih
terkawal. Haqem tersentak. Dia baru tersedar. Hairan aku menatap perlakuan
Haqem yang luar dari kebiasaannya. Seingatku Haqem tidak pernah termenung
panjang di depanku. Baru nampak senyuman Haqem. Dia melangkah mendekatiku
lantas duduk di sofa di sebelahku.
“Kenapa ni? Awak ada masalah?” tanyaku tidak bertangguh
lagi. Pelik perlakuan Haqem tadi. Muncul senyap-senyap. Kemudian mematungkan
diri di situ sambil menghala pandangan ke arahku. Persis sedang memerhatikan gelagatku.
Namun pasti pandangan dan fikiran Haqem kosong. Ada sesuatu yang membebani
fikirannya. Itu yang aku rasakan.
“Awak dah jumpa Datin Sofea?” tekaku setelah Haqem hanya
mendiamkan diri. Haqem memandangku. Seketika aku dan Haqem beradu pandangan.
Tekaanku betul. Haqem sering mempamer tingkahlaku sedemikian setiap kali
selepas bertemu dengan Datin Sofea. Jarang benar pertemuannya dengan Datin
Sofea menceriakan dirinya. Pertemuan yang berlangsung dengan ketegangan.
“Sabarlah. Niat yang suci akan dipermudahkan Allah”
ujarku menyenangkan hati Haqem.
Haqem tersenyum. Suaranya masih tersimpan di kerongkong.
Haqem bagai tiada semangat hendak berbicara. Maka aku biarkan Haqem terus
berdiam melayan emosinya. Diam demi menstabilkan emosinya. Lantas kuanggap
Haqem seolah-olah tidak wujud di sini.
“Boleh tak awak beri jaminan kalau saya berjaya mengajak
mama awak menjenguk Idlan?” suara Bella berulang di pendengarannya.
“Apa jaminan yang awak mahukan?” tanyanya. Bella
tersenyum.
“Beri saya peluang merapati Idlan. Saya nak mengenali
anak buah awak lebih lanjut” tegas Bella menimbulkan kehairanan Haqem. Hatinya
tidak tenteram. Idlan pewaris tunggal harta peninggalan ibu bapanya. Aset yang
ditinggalkan arwah Harianie dan suaminya cukup menampung Idlan sepanjang hayat.
Haqem baru sahaja memperoleh maklumat ini daripada peguam peribadi arwah
Harianie beberapa hari lalu. Tiada sesiapa yang mengetahui perkara ini kecuali
mereka. Hanya Haqem dan Encik Ehsan sahaja yang tahu jumlah aset yang
tinggalkan arwah untuk Idlan sebagai pewaris tunggal. Kalaulah benar harta
kekayaan menjadi ukuran, selayaknya Datin Sofea menerima Idlan sebagai
sebahagian daripada keluarga mereka. Idlan ialah jutawan muda. Haqem mahu
merahsiakan perkara ini demi menjamin keselamatan Idlan. Tidak mahu ada yang
mengambil kesempatan ke atas Idlan.
“Jangan risau. Saya takde niat buruk padanya. Hidup saya
pun dah senang. Saya tak perlukan harta kekayaan orang lain” ujar Bella persis
mendengar kata suara hati Haqem. Haqem tersentak. Terpukul dia mendengar bicara
gadis ini. Rasa tersindir dirinya kerana sebentar tadi fikirannya terarah ke
situ.
“Saya nak awak juga mengenali saya lebih rapat tanpa prasangka
buruk. Saya nak jadi sahabat baik awak. Awak boleh lakukan semua ini?” tanya
Bella menuntut jawapan daripada Haqem. Haqem terdiam panjang. Dia perlu
memikirkan sedalamnya. Pertimbangan harus dilakukan. Tidak mahu keputusan yang
bakal diambil akan mengancam kesejahteraan hidup Idlan.
“Anggaplah ini urus niaga antara awak dengan saya.
Menang-menang. Kedua-duanya dapat manfaat” jelas Bella tersenyum yakin. Dia
sudah matang. Berfikir sebelum bertindak lebih menjamin kejayaan. Tidak perlu
bertindak melulu. Tidak perlu merayu-rayu. Yakin dan percaya kepada kebolehan
sendiri. Itu penghormatan paling berharga buat diri sendiri.
“Apa manfaat yang awak peroleh dari urus niaga ini? Saya
langsung tak nampak manfaat untuk awak” tingkah Haqem curiga. Bella tersenyum.
Perlu bertindak bijak demi menjamin kejayaan yang lebih besar.
“Awak tak perlu memikirkannya. Saya melihat perkara ini
untuk jangka panjang” bicara Bella tersirat seribu makna. Haqem gagal
memahaminya. Kalut dan bingung. Maka tiada ditemui penyelesaian yang
diharapkannya.
“Jadi... awak tak nak tolong saya pujuk mama?” tanya
Haqem hampa.
“Saya nak berurusniaga dengan awak” ujar Bella sambil
mempamer senyuman. Haqem melepaskan keluhan. Pertemuan ini tidak menceriakan
hatinya. Haqem berpaling. Dia tersenyum tatkala menatap gadis di sebelahnya
sudah terlena. Lia boleh melelapkan mata di mana sahaja.
“Bella... sudah bijak berkata-kata. Sukar saya nak fahami
apa yang Bella mahukan. Urus niaga apa yang dimaksudkannya. Saya hanya nakkan
pertolongannya. Perlukah saya setuju saja dengan urus niaga ini?” Haqem
berbicara sendiri sambil menatap gadis di sebelahnya.
“Apa yang perlu saya lakukan?” Haqem masih berbicara
sendiri. Wajahnya mendung.
“Saya tak nak hampakan awak. Selama awak mengenali saya,
saya tak pernah buat awak bahagia...” tutur Haqem sebak. Dia melepaskan
keluhannya. Haqem bangkit dari sofa. Seketika dia berdiri di situ sambil
merenung gadis itu. Lantas ditanggalkan jaket jeans di tubuhnya lalu diletak di
tubuh gadis itu. Mahu melenyapkan kedinginan malam ini.
“Saya memang tak sehebat Aqel... tak sekuat dirinya...
yang mampu melindungi awak dalam banyak keadaan. Namun saya takkan mengalah
andai di hati awak masih ada saya. Saya takkan lepaskan tangan awak. Saya
takkan biarkan lelaki lain bersama awak. Lia... awak dengar tak?” Haqem
berbisik. Kemudian ditinggalkan Lia di situ. Malam ini giliran Lia menjaga
Idlan.
“Ahh...” Aqel melepaskan keletihan tatkala sudah berada
di luar lapangan terbang. Terasa lenguh seluruh tubuhnya setelah melalui
perjalanan yang panjang. Sempat juga dia menggerak-gerakkan tangan dan tubuhnya
melakukan senaman kecil sebelum menyelinap masuk ke dalam teksi itu.
“Pakcik ... tolong hantar saya ke Hospital Damai ye”
pintanya. Lelaki itu mengangguk dan tersenyum. Aqel menyandarkan tubuh di
kerusi penumpang. Dia tidak mahu berbual panjang dengan lelaki ini lantaran
kepenatan.
Sampai sahaja di Hospital Damai, Aqel terus mengunjungi
bilik wad rawatan Idlan. Mudah sahaja dia menemui bilik tersebut dengan
kemesraan jururawat yang membantunya menjadi penunjuk arah. Tidak sukar. Lelaki
kacak persis Aqel sentiasa disedari kehadirannya. Ada juga mata-mata nakal
asyik melirik ke arahnya. Tidak kurang juga yang mencuri pandang seterusnya
mengekori pergerakannya. Bukan Aqel tidak menyedari, sebaliknya perhatian yang
berlebihan di sekitarnya diabaikan sahaja.
“Di sini biliknya encik...” jelas gadis berpakaian
seragam putih bersih itu. Aqel senyum.
“Terima kasih” tuturnya berbesar hati.
“Boleh saya tahu hubungan encik dengan pesakit?” Terpikat
pada kesempurnaan Aqel, menggunakan kesempatan yang ada menyelidik tentang diri
pemuda ini. Mahu mengetahui status pemuda kacak ini sudah berpunya atau masih
sola. Aqel mempamer senyuman manis. Pasti ada hati yang tertawan tatkala
menatapnya.
“Idlan... anak saya. Isteri saya yang temankannya” jelas
Aqel bersahaja. Wajah gadis itu berkerut. Mula terbayang wajah Haqem yang
sering menjadi pengunjung bilik ini. Budak lelaki itu memanggil pemuda itu
ayah. Berapa orang ayah budak lelaki itu? Dua orang ayah dan seorang ibu?
Bingung dan keliru.
“Saya pergi dulu...” tutur gadis itu meninggalkan Aqel.
Aqel mula terfikir dengan kenyataan yang keluar dari
mulutnya tadi. Kemudian dia tergelak sendiri. Sedar bahawa dirinya telah
menimbulkan kecelaruan fikiran gadis tadi. Tidak mahu terus memikirkan perkara
yang mencuit hati, perlahan-lahan daun pintu ditolak. Dia nampak gadis itu
sedang tidur di atas sofa panjang dengan lena. Aqel mengarah langkahnya
mendekati Idlan. Direnung wajah Idlan dengan perasaan simpati.
“Saya harap kamu akan cepat sembuh. Persaingan kita belum
sampai penamatnya. Saya tahu kamu takkan biar saya menang dengan mudah” tutur
Aqel menyuntik semangat Idlan. Dia tersenyum. Tidak mahu mengganggu lena Idlan,
Aqel beredar dari situ. Dia melangkah mendekati gadis itu.
“Geez.... awak boleh tidur lena walau di mana saja awak
diletak” ujarnya sambil geleng-geleng kepala. Tabiat yang sudah diketahuinya.
Lantas Aqel duduk di sofa panjang ini. Masih ada sedikit ruang untuk melabuhkan
duduk di situ. Diperhatikan gadis ini. Dia terpandang jaket jeans biru itu.
Laju sahaja tangannya mencapai jaket jeans itu lalu dipindahkan dari tubuh
gadis itu. Jaket jeans disidai di bahu sofa. Dia mengeluarkan selimut dari beg
pakaiannya.
“Masih wangi lagi...” bisik Aqel sambil menghidu haruman
selimut itu. Lantas ditebarkan di tubuh gadis itu.
“Mujur juga saya bawa selimut sendiri” tutur Aqel berpuas
hati. Dia tidak pernah tertinggal selimut setiap perjalanan yang melebihi
sehari. Sudah menjadi rutin hidupnya.
Tiba-tiba kedinginan yang mencengkam tulang-temulangku
terasa semakin berkurangan. Bagai ada kain lembut yang selesa telah
menyelubungi tubuhku menghilangkan kedinginan ini. Lamanya aku tidur. Sekarang
sudah sampai masanya aku bangun. Kurenggangkan kelopak mataku. Samar-samar aku
nampak bayangan lelaki duduk di sebelahku di sofa panjang ini. Haqem masih
duduk di sofa ini? Dia sedang memerhatikan aku tidur. Oh... sungguh memalukan!
Laju aku membuka mataku seluas-luasnya. Aku tersentak. Aqel sedang tersenyum
sinis menatapku. Aku terus sahaja terduduk tegak bersandar di sofa. Walaupun
pandangan masih berpinar-pinar dan kepala pening-pening lalat. Pasti Aqel
sedang mengutukku. Kualih pandangan pada tubuhku. Selimut tebal yang lembut sudah
membungkus tubuhku. Kedinginan masih terasa. Tangan kuletak ke pipi. Sejuk.
Kutarik lengan sweeter sehingga ke
hujung jari. Tidak dapat menyembunyikan jari-jemariku. Lantas kugenggam
jemariku cuba mengurangkan kedinginan ini. Aqel yang dari tadi asyik memerhatikan
gelagatku, tiba-tiba sahaja tangannya mencapai tanganku. Lantas tanganku
digosok-gosok berulang kali. Haba tangannya dipindahkan ke tanganku
menghilangkan kedinginan ini. Kupandang Aqel. Dia tersenyum. Senyuman yang
sentiasa menawan.
“Rasa lebih selesa...” tutur Aqel baru bersuara.
“Ya... sungguh selesa” sahutku tidak menafikan. Kubiarkan
sahaja tangan Aqel terus menggosok tanganku dengan rela hati. Lembut sahaja
gerakan tangan Aqel. Aqel tersenyum menatapku.
“Awak memang suka tidur. Awak boleh tidur nyenyak di
mana-mana saja” tutur Aqel mengutukku. Aku diam. Pandanganku terikat di wajah
Aqel. Sudah lima hari aku tidak bertemu dengan Aqel. Kini baru dia muncul di
depanku.
“Saya tahu awak rindukan sayakan” suara Aqel bersahaja.
Bertindak balas pada tingkahlakuku. Aku masih menatapnya.
“Saya rasa sunyi bila awak takde di rumah ... sebab tiada
siapa yang nak bergaduh dengan saya” ujarku buat Aqel tergelak. Daun pintu
ditolak perlahan. Serentak aku dan Aqel berpaling ke pintu. Haqem muncul di
sebalik pintu. Dia tersenyum menatap aku dan Aqel. Namun senyuman itu hanya
sementara. Pandangan Haqem beralih arah. Baru aku sedar tanganku masih dipegang
Aqel. Cepat aku menariknya. Segan kepada Haqem. Aqel tenang sahaja. Haqem
melangkah mendekati kami. Dia menatap aku yang masih dibungkus selimut lalu
Haqem menoleh-noleh persis sedang mencari sesuatu. Aku dan Aqel sekadar
memerhatikan gelagat Haqem.
“Oh... di sini...” tutur Haqem lantas mencapai jaket
jeans biru yang diletak di atas sofa di sebelah Aqel. Boleh tahan tebalnya
kulit Haqem. Sedingin ini dia mampu memakai t-shirt
biasa itu.
“Haqem dah sampai, jom kita balik” ajak Aqel. Kupandang
Aqel. Kemudian beralih ke wajah Haqem.
“Awak boleh jaga Idlan?” tanyaku serba salah mengenangkan
janjiku. Haqem mengangguk dan senyum.
“Baliklah... Aqel pasti dah letih” tutur Haqem mengerti.
Aqel hanya mempemer wajah bersahajanya lalu bangkit dari duduknya.
“Awak baru sampai? Belum balik ke rumah lagi?” tanyaku
bertalu-talu dengan mata yang terbuka luas menatap Aqel. Rasa terkejut. Aqel
tidak menjawab pertanyaanku. Dicapai beg pakaian sederhana sazinya itu dan terus
sahaja mengatur langkah ke muka pintu meninggalkan aku yang masih berteleku
separuh diselibungi selimut di depan Haqem ini.
“Baliklah...” arah Haqem tidak mahu Aqel menungguku.
Bingkas aku bangkit dari sofa ini. Namun tidak terus melangkah ke arah Aqel
yang berdiri di ambang pintu sedang menantiku.
“Maaf... saya balik dengan Aqel dulu” ujarku meminta
diri. Haqem mengangguk dan tersenyum. Teringat sebelum aku tidur tadi, wajah
Haqem mendung. Dia langsung tidak bersuara.
“Jangan lupa bawa selimut tu” arah Aqel mengejutkan aku.
“Geez... okey...okey...” sahutku geram. Kukumpul selimut
ini lalu kupeluk. Aku melangkah laju ke arah Aqel yang masih tercengat di muka
pintu.
“Lipatlah selimut tu...” perintah Aqel. Aku menulikan
telinga. Protes. Tidak peduli dengan arahan Aqel. Aqel mengambil selimut dari
tanganku. Laju sahaja tangannya melipat selimut ini. Kemas. Lantas mendakapnya.
“Awak bawa? Ee... baiknya hati awak...” ujarku memuji
Aqel yang sudah memulakan langkah. Aku segera mengejar langkahnya.
“Jangan lupa... sampai rumah nanti... awak cuci selimut
ni. Selimut ni dah kena air liur basi awak” kutuk Aqel. Aku tergelak. Puas hati
mendengar kenyataan Aqel. Gembira buat Aqel bengang. Orang pembersih seperti
Aqel pasti rasa terganggu dengan sedikit kekotaran ini.
“Awak gembira bersama Aqel?” Haqem berbicara pada diri sendiri.
Gelak tawa gadis itu jelas didengarnya. Ada kerisauan berputik di hatinya.
Namun dia tidak akan mengalah begitu mudah. Dia mahu menuntut hak yang telah
dipinjamkannya. Bermakna buat masa ini Lia ialah sabahat Aqel. Walau
bagaimanapun hatinya gundah tatkala teringat tangan Aqel memegang tangan gadis
itu. Lia selesa diselimuti Aqel. Bagai tiada halangan yang mendekatkan mereka.
Haqem kian runsing.
No comments:
Post a Comment