Monday, 10 August 2015

NamaKu Bukan Flora.....75




BAB 75

Alhamdulillah. Berita yang baru kuterima daripada Haqem, Idlan sudah beransur sihat setelah beberapa hari dirawat di wad hospital. Kuajak Aqel menjenguk Idlan. Mungkin esok atau lusa Idlan akan dibenarkan pulang ke rumah. Berita yang menyenangkan Haqem dan Mak Tijah malah aku turut merasanya. Tidak sabar hendak berbual-bual dengan Idlan. Memang tidak sabar hendak mendengar gelak tawa dan memerhatikan gelagatnya. Sungguh beberapa hari ini aku tercari-cari Idlan yang kukenali seorang budak lelaki pintar yang ceria.
Ketika aku dan Aqel tiba di bilik wad, Haqem ada di sini melayan Idlan berbicara. Idlan tersenyum ceria menyambut kedatangan kami. Baru kini dia mampu tersenyum dan bersuara. Tiada yang lebih menyenangkan selain melihat Idlan kembali sihat.
Uncle Aqel...” sapa Idlan ceria menyapa Aqel. Aqel senyum. Diusap kepala Idlan.
“Syukurlah kamu dah sihat” ujar Aqel gembira.
“Mestilah... sebab saya takkan biar uncle menang” balas Idlan buat Aqel tergelak.
“Menang? Macam ada pertandingan yang sedang berlangsung” celah Haqem tidak mengerti. Dahinya berkerut. Aku juga tidak mengetahui rahsia Aqel dengan Idlan. Bijak sangat mereka berahsia. Aqel dan Idlan tersenyum-senyum. Suka sangat mereka buat orang lain tertanya-tanya.
“Papa tak tahu apa pertandingan kamu dengan Uncle Aqel. Tapi papa nak beritahu kamu dapat hadiah istimewa sebelum tamatnya pertandingan” tutur Haqem tersenyum ceria.
“Hadiah?” Idlan teruja mendengar kata-kata Haqem ini. Malah aku juga turut tertunggu-tunggu penjelasan Haqem tentang hadiah tersebut. Hadiah apa yang bakal Idlan terima. Mungkinkah Haqem sudah berjaya memujuk Datin Sofea? Barangkali juga Idlan telah mendapat undangan daripada Datin Sofea. Syukurlah kalau demikian. Langkah awal yang bakal merapatkan hubangan yang sekian lama telah renggang. Perkara yang sangat menggembirakan aku andai Datin Sofea sudah bersedia mencurah kasih-sayangnya kepada Idlan.
“Cakaplah hadiah apa?” tanya Idlan tidak sabar-sabar hendak mengetahui hadiahnya. Perasaan yang sama turut kukongsi. Rasanya Aqel pun ingin tahu walaupun nampak dia bersahaja. Kerektor dirinya yang sangat kukenali.
“Betul nak tahu?” tanya Haqem sengaja mahu mengusik Idlan. Laju anggukan kepala Idlan. Haqem memandangku. Aku senyum.
“Ini... hadiah yang paling berharga buat kamu” ujar Haqem lantas menunding ibu jarinya ke arahku. Aku kaget. Idlan tercengang-cengang menatapku.
“Mak Usu dah setuju nak jadi mama kamu” jelas Haqem mengejutkan aku sekali lagi.
“Mak Usu jadi mama saya? Betulkah ni?” tanya Idlan teruja. Aku terlopong menatap Idlan yang begitu teruja. Kupandang Aqel. Dia tetap dengan wajah bersahajanya. Tenang.
“Tanyalah Mak Usu” arah Haqem agar pertanyaan itu diajukan kepadaku. Mahu kenyataan itu disahihkan sendiri olehku. Laju Idlan berpaling ke arahku. Wajahku direnung. Aku jadi tidak keruan.
“Mak Usu akan jadi mama saya?” tanya Idlan buat aku serba salah. Haruskah perkara ini diperkatakan sekarang? Semua mata tertumpu kepadaku. Mereka sedang menanti jawapanku. Perlahan-lahan aku mengangguk. Perkara ini sudah aku maklumkan kepada Aqel dan Haqem. Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan mereka.
“Yahoo...seronoknya...! Sekarang saya dah ada papa dan mama” ujar Idlan melonjak-lonjak gembira di atas katil. Gembira sangat sehingga tidak boleh mengawal diri lagi. Haqem tertawa ceria. Aku hanya senyum memerhatikan gelagat Idlan. Sempat juga aku melirik ke arah Aqel. Dia tetap dengan wajah bersahaja. Sukar hendak diselami isi hatinya.
“ Sudah... jangan lompat-lompat lagi, nanti katil ni patah dan kamu jatuh” tegur Haqem melarang Idlan. Idlan tersenyum dan patuh. Dia sudah duduk di birai katil tersenyum-senyum.
“Terima kasih Mak Usu sebab sudi menjadi mama saya. Saya sayang mama dan papa” Idlan bangkit dan terus sahaja memelukku dan Haqem. Aku tergamam. Kulihat Aqel tersenyum. Tiba-tiba sahaja daun pintu ditolak perlahan. Serentak pandangan dilontar ke muka pintu. Seorang jururawat masuk hendak menguruskan rutin tugasnya. Idlan diarahkan berbaring kembali. Dia perlu memeriksa Idlan. Senyuman jururawat ini mengisyaratkan Idlan dalam keadaan baik. Dia sudah pulih. Kesihatan Idlan tidak perlu dirisaukan lagi.
“Maaf... tak silap saya, semalam cik yang tunjukkan saya bilik ini” teka Aqel mengimbau peristiwa semalam. Gadis berpakaian seragam putih ini mengangguk. Aku menatap gadis manis ini.
“Terima kasih. Ini saya perkenalkan isteri saya... Flora” meluncur laju ayat ini keluar dari mulut Aqel. Aku terpinga-pinga menatap Aqel yang sedang tersenyum. Tidak sangka dengan tindakannya yang memperkenalkan aku kepada warga hospital ini. Sesuatu yang bukan biasa dilakukannya.
“Gembira berkenalan dengan puan. Puan mesti bangga dapat suami orang Korea yang sangat fasih berbahasa Malaysia” ujar jururawat ini menyanjungi Aqel.
“...dan handsome...” tambah Idlan mencelah. Berderai tawa. Aqel tersenyum menerima sanjungan itu. Dia sudah biasa menerima pujian orang di sekelilingnya.
“Yang cantik ini... mama saya” ujar Idlan memperkenalkan aku kepada jururawat ini lebih mengejutkan aku lagi. Aqel dan Haqem terdiam. Tidak menyangka Idlan akan meniru lagak Aqel. Tampak jururawat ini terkeliru dengan bicara Idlan. Baru sebentar tadi Aqel memperkenalkan aku sebagai isterinya. Sekarang Idlan pula mengatakan yang aku ialah mamanya.
“Oh... ni suami baru ye... Kagum ler hubungan masih baik” tutur jururawat ini buat aku terkedu. Berpanjangan pula perbualan ini. Aku mula rasa tidak senang dengan perbualan ini.
“Bukan... saya kekasih lama, dia suami baru” celah Haqem menggandakan rasa terkejutku. Aqel dan Haqem berpandangan. Terasa saat ini satu pertandingan telah berlangsung dan aku ialah hadiah untuk pemenang pertandingan ini. Oh...dahsyatnya kaum Adam yang bersamaku saat ini! 
“Oh... mereka ni pandai buat lawakkan!” ujarku tertawa kecil. Cuba mengubah suasana yang kurang menyenangkan ini. Jururawat ini tersenyum menatapku. Rasa macam hendak cekik-cekik sahaja dua orang lelaki ini. Kalau betullah aku ini hadiah pada mereka...oh...sungguh mengecewakan! Setelah meluangkan masa hampir 30 minit bersama Idlan, aku dan Aqel meminta diri. Sempat juga aku berpesan akan berkunjung ke situ lagi jika Idlan masih belum dibenarkan keluar wad. Aku berpaling menatap Aqel di sebelahku yang sedang memandu kereta ini.
“Boleh saya tanya awak?” tanyaku meminta keizinan Aqel. Cara ini lebih baik bagi menjimatkan masa dan tenaga daripada terus melontar pertanyaan kepada Aqel yang tidak menjanjikan sebarang jawapan. Aqel mengangguk. Kebenaran diberikan. Peluang cerah hendak mendengar jawapan daripada Aqel.
“Apa rahsia awak dengan Idlan? Nampak budak tu bersungguh-sungguh saja” tanyaku tidak puas hati kerana tidak mengetahui perkara itu sedangkan sudah beberapa kali aku mendengar Aqel dan Idlan memperkatakannya. Aqel fokus pada pemanduannya.
Sorry... itu rahsia lelaki, saya tak boleh beritahu awak” jawab Aqel setelah mendiamkan diri seketika. Aku mengeluh. Jawapan yang tidak memuaskan hati. Namun aku tidak mampu memaksa Aqel membocor rahsia mereka. Rahsia seorang lelaki dewasa dengan seorang budak lelaki. Kedengaran tidak masuk akal.
“Haqem dan Idlan bersungguh-sungguh nak miliki awak” Aqel bersuara memecah kesepian ini. Laju aku berpaling menatap Aqel. Aku dan Aqel beradu pandangan sedetik. Namun cepat Aqel mengalih pandangan ke depan semula. Dia perlu fokus pada pemanduannya.
“Itu tandanya mereka menyayangi saya” ujarku meluahkan jawapan yang terlintas di benakku. Aqel tersenyum sendiri.
“Indahnya senyuman suamiku ini....” suara hatiku memuji Aqel.
“Kenapa? Awak jealous?” dugaku mengujinya.
“Langsung tak menggugat saya” ujar Aqel dan tersenyum lagi. Mestilah dia berperasaan demikian memandangkan aku dan dirinya bukan pasangan kekasih yang saling mencintai. Aku bukan Flora buah hati pengarang jantung Aqel. Aku hanyalah saudara perempuan Aqel yang mahu dilindungi persis adik sendiri. Adik yang dimanjakan dengan keprihatinannya dan dipujuk dengan sikap romantiknya. Aqel melayanku persis yang sering diimpikan oleh kebanyakan gadis. Kebetulan pula memang Aqel punya kepakaran membuai dan menggetarkan jiwa perempuan. Mujur juga aku sentiasa sedar perkara ini.
“Jangan senyum...” larangku.
“Kenapa saya tak boleh senyum?” tanya Aqel masih dengan senyumannya.
“Senyuman awak boleh menggetarkan jiwa saya... Saya takut... saya bimbang... saya risau kalau saya jatuh cinta pada awak kerana senyuman indah awak” suara hatiku berkata-kata.
“Oppsss....” Laju aku menutup mulut. Mujur kata-kata ini tidak terluah.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan. Aku menggeleng.
“Betulkan lelaki sukakan persaingan...” tekaku menghalang Aqel menyiasat suara hatiku.
“Kenapa awak nak tahu?” tanya Aqel tidak mahu memberikan jawapan pada pertanyaanku sebentar tadi. Sebaliknya diajukan pula pertanyaan kepadaku.
“Saya rasa... awak dan Haqem sedang bersaing” ujarku meluahkan perkara yang tersimpan di hati. Aqel senyum. Kereta memasuki laman parkir. Aqel berpaling menatapku.
“Saya tak perlukan semua tu” ujar Aqel memberi jawapan pada luahan hatiku. Daun pintu ditolak. Aqel keluar meninggalkan aku yang masih duduk di kerusi penumpang ini. Tidak patut aku berbicara sedemikian kepada Aqel. Hey... buat malu sahaja! Memang tidak patut! Mengapalah mulut ini menuturkannya. Eee...geramnya! Aku menepuk-nepuk kepala. Bertimbun kekesalan.
“Awak nak duduk sini sampai pukul 5.00?” tanya Aqel sinis sambil menjengukkan kepalanya. Aku tersentak. Laju tanganku menanggalkan tali pinggang lalu keluar dari kereta. Aqel sudah memulakan langkah. Aku mengajar langkah Aqel. Ada yang perlu aku katakan kepada Aqel.
“Awak jangan salah faham ye...” ujarku memberi peringatan. Berkerut dahi Aqel menatapku. Tidak mengerti.
“Kata-kata saya tadi” ujarku. Segan.
“Oh... bersaing mendapatkan awak” ujar Aqel mentafsir kata-kataku tadi. Besar anak mataku menatap Aqel.
“Saya tak cakappun macam tu tadi” tingkahku. Aqel tersenyum.
“Awak jangan fikir yang bukan-bukan” rungutku.
“Belanja saya makan nanti” pinta Aqel.
“Apa?” Aku menatap Aqel.
“Kalau awak belanja saya makan, saya akan lupakan kata-kata awak tadi” ujar Aqel persis sedang mengancamku. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Tidak pasal-pasal terjerat dengan kata-kata sendiri.
“Okey... sebab awak kedekut nak keluar duit maka saya akan ingat awak dah ada hati pada saya” ujar Aqel sewenangnya membuat andaian.
“Takdelah...” tingkahku. Aqel tersenyum. Tidak tega jika Aqel merasakan aku sudah jatuh cinta kepadanya. Maka keegoan Aqel akan bertambah. Tidak harus biarkan Aqel merasakan dirinya sungguh hebat.
“Aqel...!” Serentak langkahku dan Aqel terhenti. Kami berpaling ke arah suara itu. Aku tersentak menatap Rania yang telah lama menghilang tiba-tiba muncul saat ini. Aqel terus melangkah mendekati Rania. Aku hanya memerhatikan langkah Aqel yang semakin menjauhiku.
“Lia...” tersentak aku mendengar suara yang menegurku. Aku berpaling. Haqem sudah berdiri di sebelahku sambil tersenyum. Kemudian melontar pandangan ke arah Aqel yang sedang berbual-bual dengan Rania. Perbualan yang nampak mesra. Kedengaran gelak tawa Aqel dan Rania.
“Mari...” ajak Haqem meneruskan langkah. Aku melangkah beriringan dengan Haqem melewati Rania dan Aqel. Langkahku terhenti. Langkah Haqem juga turut terhenti. Dia menatapku. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Jangan lupa saya belanja awak makan nanti” tuturku. Aqel tersenyum. Aku terus sahaja menyambung langkahku. Haqem terkocoh-kocoh mengejarku. Baru sedar rupa-rupanya gerakan langkahku ini persis langkah atlet pejalan kaki menuju ke garis penamat. Laju.
AKU menatap lauk-pauk yang sudah terhidang di atas meja ini. Ada sambal kerang pedas, sotong sumbat goreng, ayam dipanggang dan sup tulang yang menjadi kemestian buat anak Korea celup ini. Dua jenis sayur iaitu kailan campur ikan masin dan paku-paksi goreng. Dilengkapi dengan air jus epal hijau. Semua ini sudah mampu membangkitkan selera. Aqel tersenyum-senyum menatap hidangan ini.
“Makan besar ni” ujarnya berpuas hati.
“Awak wajib habiskan. Jangan membazir” arahku mengingatkannya. Aqel mengangguk. Yakin pada dirinya akan mampu menghabiskan semua makanan yang terhidang di depan kami sekarang. Tanpa berlengah, dengan kalimah Allah, Aqel memulakan suapannya. Begitu berselera dia petang ini walaupun jam makan malam masih jauh lagi. Aku habis nasi di pinggan, kantung perutku sudah penuh. Tiada ruang hendak memuatkan makanan yang masih banyak ini. Maka aku hanya memerhatikan Aqel menikmati hidangan ini sehingga ke penghujungnya. Aqel berjaya menghabiskannya. Dia tersandar kekenyangan.
“Esok belanja saya makan macam ni lagi” pinta Aqel berlebih-lebih pula. Aku mencebik.
“Duit saya dah habis” ujarku tanpa segan-silu. Aqel tersenyum sinis. Dia ingat aku sekaya dirinya yang tidak pernah kekeringan duit. 
“Jom...balik” ajakku mendahului Aqel bangun. Aku terus melangsaikan bayaran untuk hidangan yang telah berjaya dihabiskan oleh Aqel sebentar tadi. Usai membayar aku terus sahaja ke laman parkir. Mahu cepat sampai ke rumah. Letih. Tidak sabar-sabar hendak berbaring di atas katil. Aqel terus menghidupkan enjin kereta.
“Kenapa tak guna kad kredit tadi?” tanya Aqel.
“Kan saya dah janji nak belanja awak makan. Jadi saya mesti guna duit sendiri” ujarku. Aqel senyum.
“Bagusnya saya ada isteri yang tak boros” tutur Aqel. Seingatku, aku tidak pernah menggunakan kad visa yang Aqel beri kepadaku.
“Saya tak nak berhutang dengan awak” balasku. Senyap. Aqel nampak sedang memikirkan bicaraku.
“Awak takut seumur hidup awak terikat dengan saya” ujar Aqel tersenyum sinis. Senyap. Aku tidak menyahut bicara Aqel. Aqel terus memandu kereta mewah kesayangannya ini. Sepanjang perjalanan aku dan Aqel hanya membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Diam ini berpanjangan sehinggalah sampai ke rumah.
“Hey... kamu dah balik. Dah lapar ke? Mak belum masak lagi ni” tutur mak menyapa. Aku dan Aqel hampir serentak menggeleng.
“Tak payah masak mak. Anak mak dah belanja makan besar tadi” jelas Aqel.
“Oh... kalau macam tu baguslah. Mak pun dah kenyang ni. Tadi pergi kenduri rumah jiran” jelas mak. Aku hanya senyum. Memang patut mak tidak masak. Nanti siapa pula yang hendak makan. Aqel pastinya sepanjang malam ini akan kenyang. Kapisiti yang dimakannya melebihi daripada biasa.
“Pergilah berehat sekarang” arah mak mengarahkan aku dan Aqel pergi ke bilik. Aku mengangguk dan mendahului langkah Aqel. Kuingat Aqel akan mengekori langkahku. Rupa-rupanya Aqel singgah di ruang tamu berbual-bual dengan mak. Kedengaran suara mak dan Aqel berselang-seli singgah di telingaku. Aqel memang menantu yang baik. Aku cepat-cepat melangkah ke bilik air. Mahu siap mandi dan lengkap berpakaian sebelum Aqel muncul di bilik ini. Aqel hanya muncul di bilik ini saat azan Maghrib sedang berkumandang dan aku sudah siap bertelekung.
“Saya solat dulu ye...” ujarku tidak mahu melambat-lambatkan solat menunggu Aqel selesai mandi. Aqel mengangguk. Bererti aku solat sendiri. Usai solat dan bermunajat, tatkala aku berpaling ke belakang, Aqel baru sahaja melangkah keluar dari bilik air. Sempat juga aku melihat sekali imbas tubuh putih Aqel yang hanya bertuala separuh pinggang. Bingkas aku bangun dan melangkah ke pintu.
“Awak nak pergi mana?” suara Aqel menahan langkahku.
“Jumpa mak” sahutku tanpa memandang ke arah Aqel. Aqel tergelak.
“Awak takut tergoda pada saya?” tanya Aqel.
“Apa?” Laju aku berpaling menatap Aqel. Besar anak mataku menatap Aqel yang separuh bogel. Maksudku sebahagian tubuh Aqel yang terdedah sudah terpamer di depan mataku. Cepat aku mengalih pandanganku. Segan melihat Aqel dalam keadaan sedemikian. Seksi. Aqel tergelak lagi. Langsung tiada perasaan malu dan segannya kepadaku dalam keadaan dirinya sedemikian. Memang dasar lelaki pengoda.
“Awak memang lelaki yang suka bangga diri” kutukku lantas menyambung langkah ke pintu meninggalkan Aqel bersendirian di bilik. Aku melangkah ke ruang tamu dengan telekung yang masih di tubuh. Mak tiada di sini. Kucapai alat kawalan jauh tv. Lantas menekan suis tv. Laju jariku menekan punat-punat nombor siaran tv, namun tiada satupun yang menarik perhatianku. Aku mengubah posisi tubuhku, mencari posisi yang lebih selesa. Aku terus berbaring di sofa panjang ini sambil melontar pandangan ke arah tv. Mataku mula terasa berat. Aku berhasrat melelepakan mata di ruang tamu ini seketika. Lantas kulayan rasa mengantuk ini. Sayup-sayup aku mendengar bunyi langkah menuruni anak tangga. Namun mataku terasa berat hendak diangkat. Beberapa minit kemudian, sebarang bunyi tidak kedengaran lagi.
Kuangkat kelopak mataku. Namun terkatup kembali. Terasa bagai ada bayangan seseorang sedang duduk di depanku. Mata kubuka seluasnya. Aqel sedang menatapku.
“Awak ni memang suka tidur. Di mana-mana saja awak boleh tidur dengan nyenyak” komen Aqel sambil tersenyum sinis. Aku masih kaku terbaring di sofa ini sambil terkebil-kebil menatap Aqel. Hari ini terasa hari yang buruk. Ada sahaja perkara yang memalukanku berlaku di depan Aqel. Aku melawan pandangan Aqel yang masih menghala ke arahku.
“Awak buat apa di sini?” tanyaku hairan. Tadi kutinggalkan Aqel di bilik.
“Ambil air... dahaga. Harapkan awak...” Aqel tersenyum sinis. Dicapai gelas yang berisi air di atas meja lalu bangkit dari sofa ini. Aqel beredar dari ruang tamu. Namun langkahnya terhenti. Aqel berpaling ke arahku.
“Awak tak pernah layan saya sebaik awak layan Idlan” tutur Aqel. Dia tersenyum sinis.
“Idlan budak kecil...” sahutku. Aqel mencebik. Jawapanku persis tidak memuaskan hatinya. Adakah Aqel cemburu kepada Idlan? Tidak patut. Idlan hanyalah anak kecil yang tidak mengetahui banyak perkara. Dia perlukan pengawasan orang dewasa. Terkilankah Aqel sebab aku tidak pernah memanjakan dirinya?
“Jangan lupa solat dulu sebelum awak tidur semula” pesan Aqel lalu meneruskan langkahnya mendaki anak tangga untuk ke bilik semula. Aku masih terbaring di sofa.  Malas pula hendak bergerak dari sini.
“Subhanaallah...kamu ni mengejutkan mak saja” Mak mengusap-usap dadanya. Mestilah mak terkejut melihat aku yang masih bertelekung terbaring di sofa ini. Pasti mengejutkan siapa-siapa sahaja yang melihatnya.
“Ingat nak tutup tv ni” jelas mak dengan kedatangannya di ruang tamu ini. Mak menatapku hairan. Dicapai alat kawalan jauh tv.
“Nak tengok lagi ke?” tanya mak. Aku menggeleng. Siaran tv dimatikan.
“Kalau nak tidur masuk bilik sekarang” arah mak melayanku seperti anak kecil. Aku bangkit dari perbaringanku. Aku mengatur langkah longlai ke bilik. Kutolak daun pintu. Aqel begitu leka membaca buku. Kehadiranku langsung tidak mengganggu fokusnya pada buku tersebut. Kutanggalkan telekung lantas melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Tadi aku tidur dengan nyenyak di ruang tamu. Aku muncul dari bilik air, Aqel masih leka dengan buku itu. Dia memang ulat buku kerana suka sangat membaca. Aku terus solat isyak.
Usai solat dan berdoa, kulihat Aqel masih di sofa panjang itu dengan buku di tangannya. Aku berbaring di atas katil. Mahu menyambung tidur semula. Aqel bangkit dari sofa itu. Bulat anak mataku menatap Aqel memakai  baju merah yang terpampang kartun beruang di dada itu. Baru menyedari Aqel memakai baju yang suatu waktu menjadi milik mutlakku.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan melihat pandangan mataku tepat di tubuhnya. Aku menggeleng. Tidak mahu membangkitkan hal ini. Pasti jawapan tetap sama yang kudengar. Baju merah ini bukan milikku lagi. Comel juga Aqel memakainya. Sedar-sedar Aqel sudah berbaring di sebelahku yang hanya dipisahkan oleh bantal peluk ini. Bantal peluk yang statik menjadi sempadan antara aku dengan Aqel.
“Awak tak boleh tidur?” tanya Aqel. Aku diam. Senyap.
“Terima kasih...” Aqel bersuara lagi.
“Untuk apa?” tanyaku.
“Hidangan petang tadi. Memang mengenyangkan sampai sekarang” jelas Aqel.
“Oh... baguslah” balasku.
“Emm...” Aqel tersenyum sendiri.  
“Awak tak dapat tidur sebab banyak berfikir...” Aqel bersuara lagi.
“Oh... ye. Ada dua sebab mengapa awak belanja saya makan tadi. Pertama ... sebab awak nak betulkan perkara yang saya fikirkan. Awak tak nak saya fikir jauh sangat. Kedua, awak cemburu melihat saya bersama Rania sebab itu awak ubah fikiran” suara Aqel masih kedengaran. Kupejamkan mata. Mahu menyatakan kepada Aqel bahawa aku sudah tidur. Aku tidak mahu berbicara lagi.  
“Awak boleh pilih yang mana satu sebab yang awak rasa paling tepat” cadang Aqel. Senyap. Aku tidak membuat sebarang pilihan. Aqel tidak bersuara lagi. Perlahan-lahan mata kubuka. Aqel sudah mengiringkan tubuhnya ke kiri membelakangiku. Kupandang tubuh Aqel. Tubuh yang sedikit kurus tetapi sentiasa bertenaga melindungi ahli keluarganya. Anak kebanggaan Mak Long dan menantu kesayangan mak. Aqel sudah tidur.
“Saya tak pilih jawapan pertama...dan... jawapan kedua juga bukan pilihan saya. Saya  benar-benar tak tahu jawapannya” ujarku berbisik pada diri sendiri.
“Selamat malam Aqel...” ujar perlahan-lahan lantas memejamkan mata mahu mengiringi lena Aqel. Harap-harap dalam mimpi aku tidak jumpa Aqel. Bimbang dia masih menuntut jawapan daripadaku.

“Tepi...” ujarnya mengarahku berganjak memberinya ruang di sofa panjang ini. Aku berganjak ke tepi. Memberi ruang kepada Aqel untuk berada di sebelahku. Tiba-tiba sahaja Aqel berbaring lantas meletakkan kepalanya di atas pangkuanku.
“Awak buat apa ni...” Aku tersentak dengan perlakuan Aqel. Aqel senang-lenang dan tersengih-sengih mendongak ke arahku. Persis anak kecil yang manja.
“Cepat bangun... mak tengok tu” rungutku dengan suara keras mengancamnya. Aqel memeluk  tubuhnya. Tiada mahu berganjak langsung.
“Aqel...” Besar mataku menatap Aqel. Aku mengetap bibir menahan radangku. Aqel masih bersantai-santai berbaring di pahaku.
“Bangunlah...” Cuba kuangkat kepala Aqel. Tidak berjaya mengalih kepala Aqel.
“Lia... apa tu?” tegur mak menjelingku. Protes atas tindakanku.
“Tengoklah dia ni mak. Orang nak bermanja pun tak boleh” ujar Aqel mengadu. Manja.
“Mengada-ngada betul” ujarku geram. Aqel tersenyum sendiri.
“Biarlah Aqel berbaring macam tu” arah mak berpihak kepada Aqel. Mak memang sentiasa menyebelahi menantu kesayangannya ini. Lebar senyuman Aqel mendengar kata-kata mak itu. Maka kian mengada-ngadalah Aqel. Masam wajahku menatap Aqel. Mendidih-didih hatiku tika ini. Aku menahan perasaan membiarkan Aqel bermanja-manja denganku. Rela dalam paksa.
“Wah, selesanya...!” ujar Aqel semakin menguji kesabaranku. Aku tegak dan kaku. Tidak selesa dalam posisi ini. deruan nafasku tersekat-sekat. Semput.
“Tarik nafas perlahan-lahan” ujar Aqel mengusikku.
“Saya ambil bantal untuk awak” cadangku. Tidak kuat aku hendak menampung kepala Aqel lama-lama.
“Tak nak. Saya nak baring macam ni” tingkah Aqel berdegil. Aku melepaskan keluhan. Memang kedegilan Aqel sudah diketahui.
Best juga dapat baring macam ni. Kalau tahu selesa macam ni dari dulu saya jadikan awak bantal saya” tutur Aqel bersahaja.
“Apa? Bantal?” Besar mataku menatap Aqel. Aqel senyum. Senyuman mempesonakan ini tidak meredakan bahang hatiku.
“Awak nampak saya ni macam bantal?” sedikit tinggi suaraku menangkis bicara Aqel. Gadis comel macam aku ini dia kata macam bantal. Memang tidak patut. Mata Aqel mesti sudah terbalik ke atas. Tidak nampak aku dengan betul. Ha...ha...ha...!
“Hoi, angan-angan ke?” suara Aqel menerjah halwa pendengaranku. Aku tersentak.
“Awak buat saya terkejutlah” rungutku.
“Awak tak suka jadi bantal?” tanya Aqel masih berbicara tentang perkara itu. Aku membalas pandangannya dengan jelingan tajam. Soalan cepu emas. Mana ada orang mahu dikatakan macam bantal. B.A.N.T.A.L...!!! Cuba bayangkan diri kita bantal.
“Okeylah jadi bantal. Kalau takde bantal, tak boleh tidur lena. Kalau tak boleh tidur lena, tak cukup rehat, emosi tak stabil. Hidup jadi porak-peranda. So... hilang keceriaan hidup” tutur Aqel menjelaskan rantaian kepentingan bantal. Aku mencebik bosan. Macam tiada isu lain hendak diutarakan.
“Awak tak pernah fikir ke betapa pentingnya bantal. Benda yang awak nampak remeh sebenarnya sangat penting” ujar Aqel menekankan hujahnya. Aku mengunci mulut. Malas hendak bertegang leher dan bertikam lidah mematikan hujah Aqel.
“Kalau awak jadi bantal ... saya boleh peluk awak sepanjang malam” tutur Aqel dengan sengihan. Semakin mengecil matanya. Berlagak comel pula dia.
“Eeerrrggghhhhh....”Aku mendengus. Semakin stres mendengar bicara Aqel yang meleret-leret ini.
“Diamlah...” arahku radang. Terkebil-kebil Aqel menatapku. Agaknya tersentak mendengar suara garangku. Mujur juga mak sudah beredar dari ruang tamu ini. Kalau tidak percuma-cuma sahaja aku kena marah oleh mak. Senyap. Mujur juga kali ini Aqel patuh. Lapang telingaku. Baru boleh berehat dari kicauan mulut murai Aqel.
Sejak akhir-akhir ini pandai sungguh Aqel berbicara. Terasa lenguh, aku menyandarkan tubuhku di sofa. Lantas terpandang Aqel yang telah lama berdiam diri. Rupa-rupanya Aqel sudah tidur. Mudah sahaja dia melelapkan mata. Memandangkan setiap hari tenaga Aqel dikerah maksimum, tiada masalah untuk dia cepat tidur. Sudah 30 minit aku duduk dalam posisi begini. Memangku kepala Aqel yang sedang nyenyak dibuai mimpi indah kerana aku nampak Aqel tersenyum dalam tidur. Agaknya dia telah bertemu dengan bidadari syurga yang rupawan sepadan dengan Aqel jejaka tampan. Kupandang lama wajah Aqel. Timbul pula rasa belas kasihan. Perlahan-lahan kulepaskan keluhan.
Kubaringkan kepalaku di sofa. Kupejamkan mata. Sudah beberapa kali aku menguap. Rasa mengantuk yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Biarlah malam ini tidur di sini sahaja. Aku sangat berharap Aqel akan terjaga nanti. Bolehlah dia kejutkan aku. Maka tika ini aku merelakan Aqel tidur berbantalkan pahaku. Tidurlah aku dan Aqel di ruang tamu ini.
Aku rasa sukar hendak bernafas. Terasa pinggangku diikat. Dalam mamai-mamai aku membuka mata. Samar-samar nampak bayangan gambar persandinganku dengan Aqel. Mengapa gambar ini ada di ruang tamu? Mak yang memindahkan gambar ini dari bilik tidur? Mustahil. Semalam aku nampak gambar itu masih di bilik tidur. Tidak mungkin mak buat kerja ini di tengah-tengah malam pada saat aku dan Aqel berada di sini. Mustahil aku dan Aqel langsung tidak sedar. Aku tidak puas hati. Kubuka mata seluas-luasnya. Aku tersentak. Sekarang aku terbaring di atas katil. Bukan di atas sofa lagi. Kuhala pandanganku ke perut. Aku tersentap tatkala menatap lingkaran tangan yang memeluk kemas pinggangku. Laju aku berpaling. Nampak Aqel sedang lena sambil menjadikan aku bantal peluknya. Perlahan-lahan kuleraikan pelukan tangan Aqel dari pinggangku. Bingkas aku bangun. Mujur juga Aqel tidak sedar. Aku memang berharap Aqel tidak menyedari tingkahlaku tidurnya sepanjang malam ini.

“Mana anak mak?” meluncur laju pertanyaan itu tatkala matanya menangkap kelibat mak mertuanya  bersendirian di ruang tamu. Aqel baru sahaja melangkah melewati pintu utama.
“Isteri kamu ada kat atas tu. Dah berjam-jam bersihkan tandas belum siap-siap lagi” ujar Puan Nazibah kehairanan. Pelik sungguh perangai Lia hari ini. Rajin sangat.
“Rasanya dah berkilat-kilat dan bersinar-sinar bilik mandi kamu tu Lia cuci” ujar Puan Nazibah berseloroh. Berkerut dahi Aqel. Bagai ada yang tidak kena.
“Sampai macam tu sekali rajinnya dia” tutur Aqel sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Puan Nazibah tersenyum.
“Saya naik dulu...tengok apa yang tak kena” tutur Aqel mahu menyiasat. Puan Nazibah mengangguk.
“Cepatlah naik... tengok dah siap ke belum Lia cuci bilik air itu. Cakap kat dia kalau masih bertenaga dan tak puas bekerja, ada lagi bilik air kat bawah ni yang boleh dia bersihkan” ujar Puan Nazibah menambah selorohnya. Aqel tersenyum. Lantas mengatur langkah mendaki anak tangga ke tingkat atas. Dari ambang pintu yang sudah sedia terkuak itu kedengaran bunyi curahan air dan bunyi penyapu yang sedang berlaga dengan lantai. Tercium juga bau semerbak mewangi.
Aku mengesat peluh yang membasahi dahi sambil memerhatikan sekeliling bilik air ini. Tampak bersih berkilat. Aku tersenyum puas hati. Misiku hari ini dilaksanakan dengan jayanya. Bilik air ini bukan setakat bersih berkilat bahkan dipenuhi dengan bau semerbak mewangi lavender. Bolehlah duduk lama-lama dalam bilik ini mencipta ilham. Aku memeriksa kali terakhir bilik air ini sebelum meninggalkannya. Kebersihannya sangat memuaskan hati. Maka setakat di sini sahaja dahulu pembersihan bilik ini untuk hari ini. Kucuci bersih-bersih tangan dan kakiku. Lantas menolak pintu dan melangkah keluar.
“Oppsss......” Aku tersentak. Hampir-hampir sahaja tumbang. Namun tangan Aqel tangkas memaut pinggangku. Seketika aku berada dalam pelukan tangan Aqel. Namun cepat aku menegakkan tubuhku kembali. Sungguh aku terkejut dengan kemunculan Aqel yang terpacak di depan pintu bilik air ini. Tinggal sejengkal sahaja tubuh Aqel akan dilanggar oleh tubuhku.
“Awak ni buat saya terkejutlah...” rungutku dengan jelingan tajam.
“Kalaupun nak gunakan bilik air ini sabarlah. Kalau dah tak tahan boleh guna bilik air di bawah. Bukan terpacak di depan pintu ini macam pengawal tandas pula”omelku sendirian. Tidak suka Aqel mengejutkan aku sedemikian.
“Tepi sikit...”arahku meminta Aqel menjarakkan diri. Tidak selesa Aqel terlalu dekat denganku. Aqel tersenyum mengoda.
“Kenapa? Awak tak boleh kawal diri kalau dekat dengan saya?” duga Aqel nakal.
“Apa...?” Besar anak mataku menatap Aqel. Aqel tersenyum lebar.
“Berjam-jam dalam bilik air... awak mandi wajib ke tadi? Saya peluk awak saja malam tadi. Tak perlu mandi wajiblah” ujar Aqel tersenyum-senyum.
“Aqel...!” lantang suaraku melontar nama Aqel. Kugenggam buku lima lantas melayang di bahu Aqel. Bertubi-tubi tumbukanku singgah di bahu Aqel. Aqel tergelak-gelak. Dia langsung tidak melawan. Sebaliknya hanya melindungi dirinya dari serangan tumbukanku. Sungguh mengejutkan. Rupa-rupanya Aqel sedar akan tindakannya. Punah harapanku hendak merahsiakan perkara ini. 
“Aduhhh...aduhhh...” Kedengaran suara Aqel mengerang menahan sakit. Aku mendengus kasar. Muka Aqel merah merona. Pasti menahan sakit persis yang kurasa pada tanganku ini.  
“Lain kali kalau awak cakap tak senonoh lagi, saya kerat-kerat lidah awak tu” gertakku. Aqel masih tersenyum. Namun wajahnya berkerut tatkala menggerakkan tangannya. Laju sahaja tangan kirinya menyentuh bahunya. Boleh tahan kuatnya tumbukanku tadi.
“Tak sangka awak ni ganas juga ye...” tutur Aqel sambil memicit-micit lembut bahunya. Aku mengetap bibir. Kupandang genggaman tanganku. Merah merona. Mungkinkah akan lebam?
“Mari saya tengok tangan awak” Tidak sempat aku hendak mengelak tangan Aqel lebih pantas memaut tanganku. Ditiliknya.
“Merahlah...” keluh Aqel. Aku tersentak dan terkedu tatkala Aqel menundukkan kepalanya lalu mendekatkan bibirnya ke tanganku. Aqel meniup-niupnya. Persis cuba melenyapkan kesakitan yang dialami si anak kecil. Terasa hangat hembusan nafas Aqel. Aku terpana.
“Awak ni suka sangat tengok drama Korea. Walaupun suami awak pemuda Korea tapi tak payahlah nak tiru cara heroin nak hilangkan tension. Lain kali kalau tension bawalah tidur lama-lama. Takpun makan banyak-banyak. Saya tak kisah pun kalau awak gemuk. Saya tahu kalau awak gemuk awak akan bertambah comel” tutur Aqel. Baru aku sedar hobi Aqel sekarang bercakap. Aku tidak marah mendengarkan kata-kata Aqel. Sempat juga aku membayangkan diriku yang gemuk berdiri di sebelah Aqel. Hey..., tidak mungkin akan jadi begitu! Aku menggeleng-geleng. Tidak rela diri jadi bahan ejekan.
“Awak dengar tak?” suara Aqel menghancur-leburkan imaginasiku. Terkebil-kebil aku menatap Aqel. Laju kutarik tanganku yang masih dalam pautan tangan Aqel.
“Malam ni kalau awak nak tidur atas katil, pastikan awak tak melepasi sempadan. Saya nak bantal peluk tu statik di tengah-tengah katil” tegasku dengan garang. Aqel senyum.
“Kalau bantal peluk itu berpindah macam mana?” tanya Aqel mendugaku.
“Siaplah.. ada yang akan mati pucuk nanti” gertakku yang akan memberi tendangan padu di kawasan terlarang milik Aqel. Aqel tergelak kuat.
“Kejamnya awak. Silap tingkah... awak jadikan saya mandul” ujar Aqel.
“Itu peringatan penting untuk awak” tegasku memberi amaran kepadanya lalu bergerak ke pintu. Mahu segera meninggalkan Aqel bersendirian di bilik ini. Tidak mahu melayan kenakalan Aqel. Nyatanya aku masih segan hendak bertentang mata dengan Aqel.
Kejadian malam tadi sungguh memalukan walaupun bukan salahku. Namun terasa sesak nafasku tatkala teringatkan Aqel menjadikan aku bantal peluknya sepanjang malam. Dahsyatnya kaki Aqel bermaharajalela mengunci kakiku. Ibarat aku betul-betul bantal peluk Aqel. Peliknya... aku langsung tidak sedar dengan perlakuan Aqel yang melangkaui dari kebiasaan. Kebetulan malam tadi memang aku keletihan. Maknanya aku tidur separuh mati. Sedar-sedar Aqel sedang memelukku. Perlahan-lahan aku melepaskan diri dari pelukan itu. Tidak mahu Aqel sedar.


No comments:

Post a Comment