BAB 76
Aku memasamkan muka. Cuba mempamer wajah serius agar Aqel
menjaga tingkahlaku dan tidak menjadikan aku bahan usikannya. Namun kulihat
Aqel masih seperti biasa dengan sikapnya yang bersahaja. Bagai tiada apa-apa
yang berlaku. Lega. Pasti Aqel telah melupakan kejadian malam itu. Lantas
mengingatkan aku pada prinsip hidup Aqel yang tidak suka mengungkit kisah-kisah
lalu sebaliknya sentiasa memandang ke hadapan. Perkara yang berlaku biar
berlalu dan bersedia menghadapi kisah baru yang mendatang. Mudah sahaja
pegangan hidup Aqel. Memang padanlah dengan sikap Aqel yang sedingin salju. Adakah
ketika ini musim sejuk di Korea? Pasti seronok kalau dapat bermain salji.
“Hari ni saya takde di office tapi balik nanti saya ambil awak” ujar Aqel memaklumkan
jadual kerjanya hari ini sekali gus mematikan angan-anganku membuat orang
salji. Aku sudah sampai ke Korea
sebentar tadi. Hasrat mahu bertemu dengan Seo In Guk aktor kacak Korea. Aku
melirik ke arah Aqel. Matanya sepet dan tajam seperti Aqel. Memegang watak hero
yang bernama Hyeon. Sama juga nama seperti Aqel. Ramai sangat orang Korea
bernama Hyeon. Agaknya kalaulah Aqel ini tinggal di Korea pasti sudah menjadi
aktor yang popular dan ramai peminat di seluruh dunia. Mungkin aku juga salah
seorang peminatnya.
“Awak dengar tak?” suara Aqel menerjah gegendang
telingaku. Aku mengangguk. Sekali lagi membunuh imaginasiku. Belum sempat
membayangkan Aqel menjadi aktor Korea yang terkenal.
“Kenapa tak cakap awal-awal? Saya boleh bawa kereta
sendiri” tingkahku. Tidak mahu menunggu kedatangan Aqel begitu lama jikalau
urusannya belum selesai. Selalunya urusan kerja tidak dapat dijangkakan
ketepatan waktunya.
“Saya ambil awak. Awak tunggu saja sampai saya datang”
arah Aqel. Aku mengeluh kecil. Bimbang Aqel terlambat. Penantian itu suatu
penyeksaan.
“Awak faham tak?” tanya Aqel serius. Aku mengangguk.
“Sangat faham Encik Aqel...” balasku geram. Aqel
tersenyum sekilas.
“Jangan lambat tau... saya tak suka menunggu lama” ujarku
berterus-terang.
“Lagipun... saya ni kurang berani sedikit duduk
bersendirian di tempat kerja tu. Bagaikan ada mata yang memerhatikan gerak-geri
saya” ujarku menunjukkan ekspresi seram. Aqel menjelingku. Serius sahaja
wajahnya.
“Mata hantu yang perhatikan awak” tutur Aqel lancang.
“Yah...!” Aku terjerit mendengar bicara Aqel. Dia
tersenyum sinis. Aku memasamkan muka. Tidak suka mendengar kata-kata Aqel. Aqel
lebih lama berada di KDUT. Dia lebih mengetahui sejarah syarikat itu. Mungkin
ada benarnya kata-kata Aqel. Aku tidak mahu memikirkannya. Cepat kupotong
imaginasiku.
“Awak makan dengan siapa nanti?” tanya Aqel lagi.
“Siapa-siapa saja” jawabku tidak mahu memikirkannya.
“Oh... mungkin makan dengan Marnie” sambungku.
“Bagus... makan dengan Marnie” cepat Aqel mencelah.
“Malaslah nak keluar makan nanti. Duduk di office saja. Balik kerja nanti awak
belanja saya makan” cadangku.
“Awak harus makan tengah hari. Jaga kesihatan awak” tegas
Aqel. Aku mencebik.
“Kedekut awak. Duit banyak...” keluhku mengutuk Aqel.
“Balik nanti saya belanja awak makan di restoran makanan
laut segar. Best makan di sana. Bunyi
pukulan ombak yang mendamaikan, tiupan angin laut yang menyegarkan dan
pemandangan pantai yang indah” cerita Aqel. Dapat aku bayangkan kedamaian itu.
“Betul?” tannyaku teruja. Aqel mengangguk.
“Wah... bestnya!”
Aku sempat berimaginasi lagi cuba menggambarkan kata-kata Aqel sebentar tadi.
Memang seronok kalau dapat makan dalam suasana demikian.
“Terima kasih. Saya pasti akan tunggu awak datang” ujarku
berjanji kepada Aqel. Aqel tersenyum. Sudah terpikat pada keindahan suasana
restoran yang Aqel ceritakan sebentar tadi. Mahu menikmati kelazatan hidangan
makanan laut yang segar.
“Tunggu sehingga saya datang” ujar Aqel mengingatkan aku.
Aku mengangguk. Aku akan tunggu kedatangan Aqel. Tunggu sehingga Aqel sampai.
Tunggu walaupun Aqel terlewat sampai. Mesti tunggu Aqel. Aku mengingatkan
diriku berulangkali. Aqel menurunkan aku di depan pintu utama KDUT kerana dia
ada urusan kerja di luar pejabat hari ini.
“Tunggu saya datang” ulang Aqel memberi peringatan.
“Ya... saya akan tunggu awak” sahutku berjanji. Aqel
senyum. Lantas meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Aku melewati
pintu utama ini dan sempat bertukar senyuman dengan penjaga keselamatan yang
bertugas pagi ini. Ada kisah sedih dan lucu yang pernah berlaku antara aku
dengan mereka. Aku yakin kisah itu masih segar dalam ingatan mereka. Pada hari
itulah aku dipertemukan dengan Aqel. Pada mak dan Nana, itulah suratan terindah
yang Allah ciptakan buatku. Perjalanan hidup baru yang akan melenyapkan kisah
dukaku dengan Haqem. Mereka yakin Aqel muncul dalam hidupku bagi menggantikan Haqem. Sebaliknya aku merasakan
kemunculanku dalam hidup Aqel telah memberi penderitaan kepada Flora. Hubungan
Aqel dan Flora menjadi sukar kerana aku.
Aku melepaskan keluhan berat. Hidup harus diteruskan.
Allah sudah merencana setiap perjalanan hidup hambanya sebaik-baiknya. Semuanya
sudah tertulis dengan lengkap. Tiada sesiapa yang mampu mempersoalkannya. Aku
memulakan tugasku dengan hati yang cekal. Melapangkan fikirkan dan bersedia
melakukan yang terbaik pada tanggungjawab yang telah diamanahkan. Memberi
perhatian penuh pada kerja-kerja yang harus diselesaikan hari ini. Tanpa
sebarang gangguan aku berjaya mengemaskini beberapa buah fail yang perlu
disemak dan ditandatangi oleh Puan Rosie dan pihak KDUT. Hal yang berkaitan
dengan syarikat ini selalunya aku akan berurusan dengan Haqem. Jarang benar
melibatkan Aqel. iPhoneku berbunyi.
Nama Marnie terpamer pada ruang whatsApp.
~Jom makan rehat
nanti~ ajak Marnie persis mengetahui
Aqel tiada di pejabat.
~Nanti saya
beritahu awak~ jawapan yang
kuhantar membalas ajakan Marnie.
~Ok...~ Persetujuan Marnie hendak menunggu jawapanku. Kuletak ke
tepi iPhone ini. Ada beberapa dokumen
yang perlu aku lengkapkan sebelum dihantar kepada Puan Rosie. Kerja ini akan
aku selesaikan selepas rehat nanti memandangkan waktu rehat sekejap lagi. Aku
menyandarkan tubuh di kerusi. Cuba merehatkan diri seketika. Benakku ligat
membuat pertimbangan. Membuat plihan sama ada hendak makan tengah hari bersama
Marnie atau duduk di sini sahaja meneguk air mineral. Teringat pada janji Aqel
yang akan mengajakku berkunjung ke restoran makanan laut yang segar. Rugi kalau
aku tidak makan banyak nanti. Bukan selalu berpeluang ke situ. Seingatku ini
kali pertama Aqel mengajakku ke tempat istimewa seperti itu. Laju kucapai iPhone lantas mempamerkan nama Marnie
pada ruang whatsApp.
~Sorry... saya tak
keluar makan rehat ni~ kata putus
yang kuhantar kepada Marnie.
~Encik Aqel takde
di offiece... tak selera makan
tanpanya? ~ balasan usikan daripada Marnie. Aku mencebik. Tidak
habis-habis dia mahu mengusikku. Sedar tidak sedar laju sahaja jemariku menekan
huruf-huruf pada papan kekunci menulis balasan whatsApp Marnie.
~Kata-kata awak
perlu difikirkan~ balasku
memaksa Marnie menjana fikiran.
~ ************ berjuta bintang...~ Aku tergelak sendiri menatap balasan whatsApp Marnie. Bahasa simbolik. Marnie
pening memikirkannya. Kuletak iPhone ke
tepi. Aku bangun lalu melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Seterusnya
melangkah ke bilik solat menunaikan solat zohor. Usai solat aku menyiapkan
dokumen-dokumen yang akan dihantar kepada Puan Rosie. Kemudian menyediakan
kostum-kostum yang diperlukan seperti yang terdapat dalam senarai yang baru
sahaja kuterima sebentar tadi. Usai meneliti kesempurnaan kostum-kostum
tersebut, aku menyediakan beberapa borang yang harus dilengkapkan dan
ditandatangani oleh pihak yang memerlukan kostum-kostum tersebut. Prosuder yang
telah ditetapkan oleh pihak syarikat. Butiran pengeluar dan penerima mesti jelas.
Tepat pukul 5.00 petang, aku berjaya menyiapkan semua
tugasan hari ini. Prestasi kerja cemerlang buat aku tersenyum puas. Aku
bergegas menunaikan solat asar memandangkan aku tidak terus balik ke rumah.
Usai mengemas fail-fail dan meja, aku masih berada di bilik ini menanti Aqel
menghubungiku. Tiba-tiba sahaja aku terkenangkan kata-kata Aqel tadi. Kutoleh
ke kiri ke kanan. Bilik ini cukup luas. Kupandang pintu bilik penyimpanan
kostum-kostum itu. Pelbagai kostum dan perhiasan klasik yang ada peminat sendiri
dan sudah pasti juga punya pelbagai cerita. Terasa meremang bulu romaku. Rasa
seram sejuk. Bingkas aku bangun dan melangkah laju ke pintu. Kumatikan suis
lampu. Daun pintu kukunci.
“Mata hantu yang perhatikan awak” suara Aqel
terngiang-ngiang di telingaku. Aku mempercepatkan langkah meninggalkan lorong
laluan yang sunyi sepi ini. Lega setelah
berada di lobi ini. Warga KDUT berlegaran di sini. Aku bergerak ke pintu utama.
Di luar ini aku menanti kemunculan Aqel dengan setia. Sejam berlalu Aqel belum
muncul lagi. Lantas kucapai iPhone lalu
menghubungi Aqel. Bimbang dia terlupa hendak menjemputku di sini. Risau juga
kalau Aqel sudah pulang ke rumah. Panggilanku tidak dijawab. Suara perempuan
meminta aku meninggalkan pesanan.
Gara-gara letih sangat, aku menyandarkan tubuh di dinding
kaca ini. Banyak sudah mata melontar pandangan kepadaku. Ada juga yang
menyapaku. Lenguh menyandar, aku mundar-mandir di depan pintu utama ini. Cuba
menghilangkan perasaan bosan menanti kedatangan Aqel. Sudah buntu, kuhubungi Aqel
sekali lagi. Panggilanku masih tidak dijawab. Aku mula risau. Bimbang sesuatu
yang buruk menimpa Aqel. Nauzubillahminzalik. Aqel akan selamat. Kupanjat
keyakinan dalam diri.
“Aqel... di mana awak?” Kuseru nama Aqel dari kejauhan.
Mudah-mudahan Aqel mendengarnya. Kupegang perutku yang mula berkeroncong minta
diisi. Pedih.
~Aqel... saya
tunggu awak ni~ Kuhantar mesej
kepada Aqel. Aku berharap Aqel akan membalasnya segera. Sejuk. Angin bertiup
dengan kuat. Kudongak ke langit. Awan gelap. Tanda-tanda hujan lebat akan
turun. Aku mula gelisah memikirkan hujan yang bakal turun. Belum habis
berfikir, hujan mencurah-curah membasahi bumi. Aku ke tepi mengelak terkena
tempias simbahan hujan. Dari laman parkir itu aku nampak Haqem berlari meredah
hujan bersama payung di tangannya. Aku juga berharap Aqel juga akan muncul
selepas ini. Kupejamkan mataku. Aqel... muncullah sekarang! Sudah berjam-jam
aku menanti kemunculan Aqel di sini. Aqel yang memintaku menunggunya di sini.
“Lia...” Mata kubuka. Haqem sudah berdiri di depanku.
Sebahagian pakaiannya sudah basah disimbah hujan yang lebat ini. Kulontar
pandangan ke laman parkir cuba menjejaki kelibat Aqel. Aqel masih tidak muncul-muncul. Panggilan dan
mesej yang kuhantar kepadanya juga tidak berbalas. Aku dan Haqem berpandangan.
“Mari...saya hantar awak balik. Dah lewat ni” suara Haqem
melawan bunyi simbahan air hujan. Aku menggeleng. Aku mesti berpegang pada
janjiku. Tidak mahu Aqel tercari-cari aku nanti.
“Aqel... mana?” tanyaku.
“Dia minta saya hantar awak balik” jelas Haqem tanpa
menjawab pertanyaanku.
“Saya dah janji akan tunggu Aqel di sini” tegasku
berdegil. Aku tidak mahu penantianku ini sia-sia sahaja. Aku masih tidak
berganjak dari sini. Yakin Aqel akan datang menjemputku.
“Awak tak percaya saya?” tanya Haqem.
“Saya tunggu Aqel di sini” tegasku nekad. Haqem mengeluh.
“Aqel tak dapat datang” jelas Haqem. Aku memakukan diri
di sini. Aku menggeleng.
“Banyak kali dia cakap tadi dia akan datang sini ambil
saya” ujarku berdegil.
“Awak ni...” Haqem mengeluh berat. Dia terus sahaja
menghubungi Aqel. Mudah sahaja panggilan itu dijawab Aqel. Panggilanku dan
mesej yang kuhantar tidak dibalas Aqel.
“Kalau awak tak percaya... awak cakap dengan Aqel
sekarang...” ujar Haqem lantas meletakkan iPhonenya
ke tanganku. Aku mendakap iPhone Haqem
di telingaku. Kedengaran suara Aqel memberi salam.
“Awak balik dengan Haqem sekarang... / Siapa tu Aqel?”
suara perempuan mencelah di belakang Aqel. Suara yang sering aku dengar. Aku
tersenyum sendiri. Hebat Aqel.
“Awak dengar tak?” Aku kembalikan iPhone ini kepada Haqem tanpa menjawab pertanyaan Aqel. Kupandang
Haqem.
“Hantar saya balik sekarang” pintaku. Haqem mengangguk.
Lantas memayungiku melangkah ke kereta. Terasa dingin tatkala pakaianku
sebahagiannya turut basah. Lantas Haqem menghulurkan sapu tangannya. Aku
menggeleng. Sepanjang perjalanan ini aku melontar pandangan keluar tingkap
memerhatikan simbahan hujan yang lebat ini.
“Awak okey?” suara Haqem menyapaku. Aku berpaling dan
tersenyum.
“Alangkah baiknya kalau awak menanti saya sesetia ini...”
suara Haqem perlahan. Aku menatap Haqem. Setia? Fahamkah Haqem mahupun Aqel
tentang setia? Layakkah mereka memperkatakannya.
“Saya pernah menanti awak begitu lama sehinggalah Aqel
muncul” ujarku cuba menyedarkan Haqem. Haqem terdiam.
“Maaf... saya takde mood
nak berbual sekarang” jelasku meminta Haqem tidak meneruskan perbualan ini.
Haqem akur. Setakat itu sahaja perbualanku dengan Haqem. Sampai ke perkarangan
rumah ini aku dan Haqem masih tidak berbual.
“Terima kasih Haqem” ujarku lantas menolak daun pintu
kereta Haqem.
“Terus mandi...
awak terkena air hujan tadi” arah Haqem. Aku mengangguk. Lantas melangkah
longlai ke pintu meninggalkan Haqem yang masih belum berganjak dari situ.
Terketar-ketar tanganku tatkala memusing kunci pintu ini. Kesejukan dan
kelaparan bersatu.
“Mak...” panggilku lemah. Rumah ini sunyi-sepi. Tiada mak
di sini. Aku melangkah ke dapur. Memo pesanan mak tertampal di depan peti
sejuk.
~Mak temankan mak mertua kamu malam
ini. Mak tak masak ye...~ Kupegang
perutku yang terasa pedih ini. Perlahan-lahan panas mengalir di pipiku.
Tiba-tiba hatiku rawan dan sayu. Lantas kuteguk beberapa gelas air kosong
pengalas perut yang sedang berkeroncong ini. Aku melangkah longlai ke bilik.
Mandi dan menunaikan solat. Pada munajatku, aku mohon Allah tenangkan hati ini.
Berikan aku kesabaran dan kecekalan yang berganda.
Kutanggalkan telekung. Rasa lapar yang tidak boleh
ditahan-tahan lagi. Aku melangkah ke dapur. Kucapai maggie kari yang tersimpan
di dalam kabinet. Ini sahaja menu yang paling cepat yang dapat mengurangkan
rasa lapar ini. Tidak sampai lima minit maggie kari sudah terhidang di dalam
mangkuk. Kutuang segelas air kosong. Aku bergerak ke ruang tamu. Perlahan-lahan
kuhirup kuah yang panas ini. Sekejap sahaja aku menghabiskan semangkuk mi ini. Baru
lega. Aku bersandar di sofa. Lama aku termenung.
“Dah lama sampai rumah?” Aku berpaling. Aqel baru sahaja
melangkah masuk. Lama kuperhatikan dirinya. Dia sihat walfiat. Nampak hairan
dirinya diperhatikan sedemikian.
“Mana mak?” tanyanya sambil melabuhkan duduk di sofa di
sebelahku. Aku masih mengunci mulut. Aqel memandang mangkuk kosong di depanku.
“Awak makan maggie saja?” tanyanya persis terkejut. Aku
mengetap bibir menahan perasaan. Cuba menyabarkan diri. Pertanyaan Aqel terasa
mencabarku. Tidak mahu melepaskan kemarahan ini kepada Aqel, bingkas aku bangun.
Kucapai mangkuk dan gelas yang sudah kosong lalu melangkah ke dapur
meninggalkan Aqel di ruang tamu. Tidak mengendahkan kewujudan Aqel.
“Saya cakap dengan awak ni. Kenapa awak diam saja?” tanya
Aqel langsung tiada rasa bersalah. Kulewati Aqel lantas mendaki satu-persatu
anak tangga.
“Flora... awak marah saya?” Aqel melontar suaranya lebih
kuat. Aku masih tiada memberikan sebarang reaksi. Kubaringkan tubuh di atas
katil. Laju tanganku menarik selimut. Aqel masuk ke bilik. Dia melontar
pandangan ke arahku yang kaku separuh berselimut ini.
“Kenapa ni?” tanya Aqel berdiri tepat-tepat di hujung
kakiku.
“Awak terkena hujan tadi? Awak tak selesa? Rasa demam?”
bertalu-talu pertanyaan Aqel menyesakkan aku. Aku memejamkan mata. Berharap
Aqel akan mendiamkan diri sahaja. Aqel membongkok lalu tangannya menekap di
dahiku. Pantas aku menepisnya. Aqel kaget.
“Awak marah saya?” tanya Aqel langsung tiada rasa
bersalah atas perkara yang berlaku hari ini. Kesabaranku semakin tipis.
“Saya takde mood
nak cakap sekarang” jelasku berharap Aqel berdiam diri.
“Awak marah saya ye...” teka Aqel. Dia tergelak kecil
menambah sakit hatiku.
“Macam budak-budak awak ni. Langsung tak sabar. Lama awak
tunggu tadi?” suara Aqel bersahaja. Penantianku berjam-jam itu dibuatnya
main-main. Langsung tidak rasa bersalah setelah membiarkan aku menunggunya
begitu lama. Sikap Aqel sungguh menyakitkan hati. Bukan permohonan maaf yang
kudengar tetapi perliannya. Dia langsung tidak kisah dengan kesukaran yang
kuhadapi hari ini.
“Awak marah saya ye” suara Aqel menyucuk-nyucuk
telingaku. Hatiku bergelora. Lantas aku bangkit dari perbaringan ini. Kucampak
selimut ke tepi. Aqel kaget.
“Ya... memang saya marahkan awak sekarang dan marah pada
diri sendiri. Mudah diperbodohkan. Berulangkali saya ingatkan diri saya. Saya
akan tunggu Aqel datang. Tunggu sehingga Aqel sampai. Tunggu walaupun Aqel
terlewat sampai. Mesti tunggu Aqel. Saya tunggu awak berjam-jam tanpa sebutir
nasipun yang masuk ke dalam perut saya kerana saya percaya awak akan berikan
saya hidangan istimewa” tuturku berjela penuh emosi. Bebola mataku
berkaca-kaca. Bila-bila masa sahaja air mata ini akan berderai. Aqel
terkebil-kebil menatapku.
“Salah saya juga sebab terlalu percaya dan yakin kepada
awak” tuturku sambil mengesat air mata yang sudah berderai di pipiku. Aku
tersenyum mengenangkan kebodohan diri sendiri.
“Flora...” Aqel memanggilku.
“Kenapa awak tak jawab panggilan dan mesej saya? Pasti
awak rasa seronok mempermainkan saya. Betulkan...” keluhku tersenyum lagi.
Mudah sahaja aku tertipu dengan Aqel.
“Saya tak bermaksud begitu” tingkah Aqel dengan wajah
berkerut.
“Awak hantar Haqem kepada saya. Awak nak tunjukkan
kepadanya betapa hebatnya awak” Aku tersenyum sinis.
“Saya yakin awak akan selamat bersama Haqem” sahut Aqel
buat aku tersenyum sendiri.
“Saya hanya percayakan Haqem” tambah Aqel.
“Saya nak kepastian dan tolong bercakap benar” pintaku
menuntut kejujuran Aqel. Aqel menatapku. Dia mengangguk. Aku memang mengharapkan
Aqel tidak akan berbohong kepadaku.
“Awak bersama Rania tadikan?” tanyaku. Aqel mengangguk.
Aku senyum. Mujur juga Aqel tidak menafikannya. Aku memang kenal suara Rania.
Suara yang sering melontar kemarahan kepadaku.
“Saya nak tidur sekarang. Tenaga saya dah habis. Saya
benar-benar letih hari ni” tuturku perlahan. Kubaringkan tubuh di atas katil
ini. Kupejamkan mata. Tidak kuhiraukan Aqel yang masih berdiri di tepi katil
ini mengarah pandangannya kepadaku. Tiada tenagaku hendak menghalangnya. Biarlah
Aqel berdiri di situ setakat mana mampunya. Aku hendak tidur sekarang.
“Ya... memang saya marahkan awak sekarang dan marah pada
diri sendiri. Mudah diperbodohkan. Berulangkali saya ingatkan diri saya. Saya
akan tunggu Aqel datang. Tunggu sehingga Aqel sampai. Tunggu walaupun Aqel
terlewat sampai. Mesti tunggu Aqel. Saya tunggu awak berjam-jam tanpa sebutir
nasipun yang masuk ke dalam perut saya kerana saya percaya awak akan berikan
saya hidangan istimewa”suara gadis ini masih kedengaran di telinganya.
Aqel melepaskan keluhan berat. Dia membongkokkan
tubuhnya, mendekatkan dirinya dengan gadis ini. Disentuh lembut dahi gadis ini.
Lega. Suhu badan normal. Lantas diatur kemas selimut yang menyelubungi tubuh
gadis ini.
“Maafkan saya...” ujarnya perlahan.
Tatkala aku membuka mata, Aqel tiada di sebelahku. Kulontar
pandangan ke sofa. Aqel tidak berada di
situ. Awal sungguh dia menghilangkan diri. Mungkin malam tadi Aqel keluar.
Bingkas aku bangkit dari perbaringan ini. Aku terpaku di depan cermin meja
solek ini. Aqel ada meninggalkan memo merah jambu di sini. Aku melangkah ke
bilik air. Mahu solat subuh dan menyiapkan diri hendak ke tempat kerja.
“Seorang saja? Mana Encik Aqel?” tanya Marnie yang
bertembung denganku di laman parkir ini. Aku angkat bahu. Tidak tahu ke mana
Aqel menghilang diri. Bangun sahaja dari tidur aku tidak nampak kelibat Aqel.
Barangkali memang sepanjang malam aku bersendirian di bilik. Aqel keluar setelah
aku tidur.
“Perang dunia ke-3 dah meletus?” tanya Marnie mengusikku.
Aku mencebik. Tidak mahu mengingat perkara semalam. Janji tinggal janji. Kata
yang tidak dikotakan. Aku mendengus kecil. Semua itu menyakitkan hati.
“Dah buat salah... cepat pula menghilang diri” rungutku
tidak puas hati. Marnie menepuk-nepuk lembut belakangku. Cuba mendamaikan sisa
kemarahanku.
“Sabar...Itu namanya gaduh-gaduh sayang” ujar Marnie
mengusikku. Aku mendengus geram. Usikan jenaka Marnie tidak mampu memadamkan
rasa terkilanku. Aku dan Marnie melangkah beriringan melewati ruang lobi KDUT
yang luas ini. iPhone Marnie
berdering. Langkahku dan Marnie terhenti. iPhone
dikeluarkan dari tas tangannya.
“Encik Aqel...” ujarnya memaklumkan Aqel berada di talian
sekarang. Aku hanya mempamer wajah bersahaja. Tidak berminat dengan panggilan
Aqel yang Marnie terima.
“Assalamualaikum... Encik Aqel. Ya...ya...” Marnie patuh
sahaja pada perintah Aqel. Panggilan itu dimatikan. Marnie menyimpan iPhone ke dalam tas tangannya. Dia
memandangku.
“Encik Aqel cuti. Dia sakit ke?” tanya Marnie. Aku angkat
bahu.
“Agaknya dia jaga kekasihnya yang sakit” sahutku membuat
andaian. Berkerut dahi Marnie menatapku. Aku mempamer wajah bersahaja.
“Encik Aqel curang pada awak?” tanya Marnie dengan mata
yang terbuka luas. Aku diam. Tidak mahu memberi sebarang jawapan pada
pertanyaan Marnie. Kusambung langkah bersama iringan langkah Marnie. Aku
menikahi lelaki yang memang sudah dimiliki hatinya. Sejak awal lagi aku sudah
mengetahui Aqel ada kekasih. Bolehkah Aqel dikatakan curang?
“Tak patut Encik Aqel curang pada awak” keluh Marnie
berbicara sendiri sambil geleng-geleng kepala. Sukar hendak diterimanya jikalau
Aqel ada kekasih.
“Betulkah Encik Aqel ada orang lain?” tanya Marnie tidak
puas hati. Aku tenang sahaja. Tidak berminat hendak ambil tahu hal peribadi
Aqel.
“Awak tak cemburu ke?” tanya Marnie dengan pandangan yang
aneh. Aku tetap tenang dan bersahaja. Aku bukan siapa-siapa di hati Aqel. Tidak
kisah dengan perlakuan Aqel. Dia lebih mengetahui perkara yang patut
dilakukannya.
Puan Nazibah yang baru sahaja melangkah ke dapur
tersentak menatap Aqel yang sedang sibuk menyiapkan masakannya. Nampak
kesungguhan pemuda itu melangsaikan kerja-kerjanya. Fokus pada kerja yang
dilakukan sehingga tidak menyedari kehadiran perempuan itu.
“Buat apa? Tak kerja ke?” tanya Puan Nazibah. Aqel
berpaling.
“Hey... mak. Cuti hari ini. Sorry... saya pinjam dapur ni sekejap” ujar Aqel tersenyum.
“Apalah kamu ni, Aqel... Gunalah dapur ni tak payah nak
pinjam-pinjam” Puan Nazibah tersenyum. Bicara Aqel mencuit hatinya. Aqel
senyum.
“Thanks...”
Puan Nazibah duduk di kerusi. Di atas meja di depannya ini ada udang, ketam,
kerang, sotong dan daging. Semuanya sudah siap disiang dan dibersihkan.
Menunggu masa sahaja hendak dimasak.
“Semuanya nampak segar. Nak buat jamuan ke?” tanya Puan
Nazibah hairan.
“Dah semestinya segar mak. Awal-awal pagi saya terpacak
di pengkalan jati tunggu nelayan balik dari laut. Macam pemborong pula” cerita
Aqel. Dia tergelak sendiri mengingati gelagatnya yang merayu-rayu meminta
nelayan-nelayan itu menjual hasil tangkapan laut mereka kepadanya. Bukan
berbakul-bakul dia hendak beli. Cukup sekali masak sahaja.
“Saya masak untuk kita sekeluarga. Nanti nak ajak mama
makan sini” jelas Aqel.
“Baguslah tu. Dah lama kita tak makan sama-sama. Kenapa
tak suruh Lia tolong kamu?” tanya Puan Nazibah. Aqel diam. Masih terbayang
wajah sedih gadis itu. Perlahan-lahan dia melepaskan keluhannya.
“Dia marahkan saya semalam sebab saya mungkir janji” ujar
Aqel kesal. Puan Nazibah tersenyum sendiri. Baru tahu cerita sebenar. Aqel ada
kesungguhan mahu memujuk Lia.
“Tak payahlah risau. Lia memang sensitif. Tak lama
rajuknya tu” jelas Puan Nazibah cuba memadamkan kekesalan Aqel. Senyap. Otak
Puan Nazibah ligat berfikir. Dia tersenyum-senyum sendiri. Ada agenda yang
sedang bermain di benaknya. Malam ini mahu mempastikan hanya Aqel dan Lia
sahaja berada di rumah ini.
“Ada apa-apa yang patut mak tolong?” tanya Puan Nazibah.
Laju Aqel menggeleng.
“Bahan-bahan saya dah siapkan semua. Tunggu nak masak
saja lagi” jelas Aqel menolak khidmat mak mertuanya. Puan Nazibah tersenyum.
Bangga dengan kemahiran Aqel di dapur.
“Kalau macam tu mak masuk dululah. Masaklah sedap-sedap
ye. Lia mesti suka kalau kamu masak” ujar Puan Nazibah menyuntik semangat. Aqel
senyum. Dia meninggalkan Aqel di dapur. Kemudian singgah di ruang tamu. Gagang
dicapai, laju jemarinya mendail nombor telefon itu. Langkah pertama misi yang
sedang dijalankan.
Sudah dua kali aku menelefon mak hendak memaklumkan
tentang hajatku akan bermalam di rumah Nana malam ini. Namun panggilanku tidak
dijawab. Mak tidak dapat dijejaki. Sibuk dengan pelbagai aktiviti persatuan
yang disertainya. Seronok benar mak menjadi ahli persatuan yang Mak Long
perkenalkan itu. Lantas kuhantar mesej. Sekurang-kurangnya mak akan baca mesej
itu nanti. Nana begitu gembira dan teruja menyambut kedatanganku. Sudah lama
tidak berjumpa banyak cerita yang mahu dikongsi. Sejak bercinta, ada kekasih
dan bertunang, wajah Nana sentiasa berseri-seri. Itulah panahan cinta sejati.
Dalam hati ada taman. Dalam taman ada bunga harum mewangi. Hati Nana
berbunga-bunga riang. Aku tumpang gembira.
“Aqel tahu awak nak tidur sini?” tanya Nana mula
merebahkan tubuh di sebelahku.
“Dia tak kisah pun...” sahutku. Nana menatapku.
“Aik...macam orang
jauh hati saja” usik Nana. Aku tersenyum. Bukan jauh hati tetapi sakit hati.
Begitu mudah dia mempermainkan aku. Persis aku ini tiada perasaan yang boleh diperlakukan
sesuka hati. Berjam-jam aku menunggu kemunculannya. Aqel yang kutunggu-tunggu
rupa-rupanya sedang berbahagia menghabiskan masa dengan Rania, cinta
pertamanya. Kasihan Flora. Aku menggeleng, menyangkal bicara Nana.
“Hati awak tak tergugat ke hari-hari jumpa Aqel? Tidur
sebelah Aqel dan tengok Aqel seksi tanpa baju” duga Nana tersenyum nakal.
“Hey..., awak ni. Boleh fikir macam tu” marahku. Nana
tergelak-gelak.
“Langsung tak
pernah rasa berdebar-debar tengok Aqel?” tanya Nana lagi.
“Rasa nak telan dia hidup-hidup adalah” ujarku dengan
mata yang terbuka luas. Geram. Nana tertawa lagi. Geli hatinya mendengar
kata-kataku.
“Rakusnya awak...” kutuk Nana mengusikku. Aku mengetap
bibir. Tidak suka mendengar kata-kata Nana.
“Macam penyakit Aqel dah menjangkiti awak. Awak dah jadi
manusia dingin yang takde perasaan sebab itu boleh tahan hidup dengan Aqel...
lelaki kacak yang sentiasa menggetarkan hati perempuan” ujar Nana menyanjung
Aqel setinggi langit. Aku mencebik bibir. Pujian Nana terlalu tinggi. Nana
memang sudah terpikat pada ketampanan Aqel.
“Jangan cepat kabur mata pada ketampanan Aqel. Awak tak
tahu sikap buruknya” tingkahku memprotes kata-kata pujian Nana terhadap Aqel. Nana
tersenyum.
“Awak mengakui dia handsome”
ujar Nana menjeratku dengan kata-kataku sendiri. Aku menulikan telinga.
Kenyataan yang tidak boleh dinafikan.
“Bosanlah kalau cakap pasal Aqel saja. Apa kata kalau
awak cerita pula tentang buah hati awak” pintaku. Jarang Nana bercerita tentang
Arryan. Setiap kali berbual dengan Nana, lebih banyak tentang Aqel yang Nana
perkatakan. Nana memang sangat kagum kepada Aqel. Di mata Nana, Aqellah lelaki
yang sangat sempurna. Tiada tolak bandingnya. Oh... sangat fanatik Nana kepada
pemuda peranakan Korea itu! Jangan-jangan Nana pernah menyimpan perasaan kepada
Aqel. Siapa tahu. Kupandang Nana lama-lama. Laju aku menggeleng. Tidak patut
aku prasangka yang bukan-bukan. Rasa bersalah pada Nana.
“Kenapa?” tanya Nana menyedari tingkahlakuku. Aku senyum
dan geleng kepala. Tidak mungkin aku berterus-terang kepada Nana tentang
perkara yang kufikirkan sebentar tadi. Pasti Nana akan terkilan. Tidak salah
kalau Nana kagum pada kesempurnaan ciptaanNya yang dianugerahkan kepada Aqel.
Bunyi iPhone dari dalam beg galasku
mengejutkan aku. Kucapai beg galasku lalu mengeluarkan iPhone.
“Agaknya... Aqel rindukan awak. Dia cari awak tu” ujar Nana
mengandaikan panggilan itu daripada Aqel. Kutatap skrin iPhone yang sudah berada di tanganku. Kutekan panggilan diterima.
“Assalamualaikum.... mak” sapaku menghancurleburkan
harapan Nana. Nana mempamer wajah kecewa. Kubalas dengan senyuman sinis. Aqel tidak
akan menjejakiku. Aku sudah tahu menjaga diri sendiri. Aqel tidak perlu bimbang
akan keselamatanku.
“Kat mana sekarang?” tanya mak.
“Rumah Nana” ujarku mengulangi ayat yang kumesej kepada
mak tadi. Kedengaran keluhan berat mak. Terasa mak tidak menyenangi tindakanku.
“Balik rumah sekarang. Aqel sendirian di rumah. Dia
tunggu kamu balik” arah mak serius. Aku terkedu. Adakah mak sudah mengetahui
cerita semalam?
“Mak nak kamu balik sekarang” tegas mak mengulangi
arahannya.
“Okey... Lia balik sekarang” sahutku mengalah. Suara mak
lenyap. Aku menyimpan iPhone ini ke
dalam saku beg galas kembali. Kupandang Marnie.
“Sorry... saya
kena balik sekarang. Aqel bersendirian di rumah” jelasku menjawab pandangan
mata Nana yang tertanya-tanya. Nana senyum dan mengangguk mengerti.
“Saya faham. Awak bukan hidup bersendirian lagi. Jadi
awak tak boleh bertindak sendiri” nasihat Nana. Aku mengangguk. Bicara Nana
sangat difahami. Aku melangkah ke pintu diiringi langkah Nana. Bahuku dipegang
lembut.
“Pandu kereta hati-hati. Sampai rumah nanti mesej saya”
pesan Nana. Aku mengangguk. Lantas kutinggalkan Nana. Kupandu perlahan kereta
waja milik mak ini balik ke rumah. Aqel bersendirian di rumah sekarang. Bermakna
mak belum balik dari rumah Mak Long lagi. Kali ini lama pula mak bertandang ke
rumah Mak Long. Sejak menjadi ahli persatuan naungan Mak Long itu, mak sudah
pandai sibuk. Setibanya aku di perkarangan rumah, rumah masih terang-benderang.
Kereta Aqel juga ada di garaj. Mengesahkan kenyataan mak. Aqel bersendirian di
rumah sekarang.
Melangkah masuk, hampir semua lampu menyala. Aku
mencebik. Mungkin Aqel takut gelap dan takut tinggal bersendirian. Kumatikan
lampu-lampu di ruang yang tidak diperlukan. Aku mendaki anak tangga ke tingkat
atas menuju ke bilik. Sunyi sepi sahaja. Barangkali Aqel sudah tidur ataupun
sedang leka membaca buku. Tabiat yang sudah sebati dalam diri Aqel. Hobinya
yang kucemburui. Pegetahuan Aqel sentiasa bertambah. Bicaranya penuh ilmu. Daun
pintu kutolak perlahan. Aku melangkah masuk dan melontar pandangan ke arah sofa
panjang itu. Aqel tertidur di situ sambil mendakap buku. Aku melangkah
mendekatinya. Kupandang wajah Aqel. Dia tidak sakit. Kenapa mak bimbang Aqel
bersendirian di rumah ini?
“Sepanjang hari awak tak masuk pejabat... awak ke mana?”
suaraku melontar pertanyaan. Aku melepaskan keluhan. Perlahan-lahan kucapai
buku dalam dakapan Aqel. Kuletak di atas meja. Kucapai selimut di atas katil lantas
menutupi tubuh Aqel. Biarlah Aqel tidur di sini. Memang dia selalu tidur di
atas sofa ini.
“Awak dah balik...” Aku berpaling. Aqel memandangku.
Tidak sangka dia akan terjaga dari tidurnya. Aku menatap Aqel.
“Lama saya tunggu awak balik. Awak masih marah saya?”
tanya Aqel. Senyap. Aku menggeleng. Tidak patut marahkan Aqel. Ada perkara yang
lebih penting daripada janji Aqel padaku.
“Saya lama tunggu awak. Hilang sabar sebab letih sangat”
ujarku tersenyum sekilas.
“Buat apa marah awak kalau bukan sebab letih. Lagipun
saya ni bukannya apa-apa pada awak. Saya takkan fikir yang bukan-bukan” ujarku
tenang. Aqel terkebil-kebil menatapku.
“Awak kata lama tunggu saya. Kenapa? Awak ada sesuatu nak
cakap pada saya?” Aqel bangkit dari sofa. Dia melangkah mendekatiku. Lantas
memegang tanganku. Aqel terus menarikku mengikuti langkahnya. Aqel membawaku ke
dapur. Aku tergamam menatap hidangan di atas meja. Lantas Aqel menarik kerusi
memintaku duduk. Aku melabuhkan duduk di depan Aqel.
“Semalam saya tak sempat bawa awak makan makanan laut
yang segar. Jadi hari ini saya dah masak semua makanan laut yang segar khas
untuk awak” jelas Aqel. Kutatap Aqel. Aqel cuti hari ini sebab hendak memasak
semua ini. Hatiku tersentuh. Pasti Aqel rasa bersalah kepadaku.
“Janganlah direnung makanan ni... marilah makan” ajak
Aqel sambil meletakkan beberapa jenis masakan di pingganku. Kupandang Aqel.
“Terima kasih sebab buat semua ni” tuturku terharu. Aqel
sudah menebus janjinya semalam. Tidak sangka pula Aqel bekerja keras melakukan
semua ini. Sesuatu yang bukan mudah buat lelaki yang sentiasa kesuntukan masa
persis Aqel. Aqel mengorbankan sepenuh hari menyediakan hidangan ini. Kemudian
menungguku hingga lewat begini.
“Saya akan makan semua yang awak masak ini. Saya akan
habiskan semuanya” ujarku nekad. Aqel senyum. Tidak percaya aku mampu
mengotakan kata-kataku.
“Awak takkan mampu habiskannya” tingkah Aqel tidak
percaya. Aku menggeleng.
“Saya akan habiskan...sebab awak dah bersusah payah
sepanjang hari ini” ujarku mengulangi. Aqel senyum lagi.
“Oh...hampir saya terlupa” Aqel bangun lantas bergerak ke
arah peti sejuk. Ada sesuatu yang dikeluarkan dari ruang beku itu.
“Saya buat istimewa untuk awak. Saya percaya aiskrim
vanila diolah dengan lebih kreatif ini akan memadamkan kemarahan awak” ujar
Aqel lalu meletakkan gelas kaca mewah ini di depanku. Kupandang gelas kaca yang
berisi aiskrim vanila ini. Dihias dengan buah ceri. Kuangkat gelas kaca ini. Di
bahagian bawah aiskrim ini, ada buah laici yang disusun teratur dan disaluti
dengan lapisan aiskrim vanila. Cantik. Aku kagum. Persis hasil kreativiti
pakar.
“Makanlah... Awakkan suka makan aiskrim vanila” arah
Aqel.
“Terasa sayang pula nak makan” ujarku.
“Mari...” Aku menepis tangan Aqel. Tidak sempat dia
menyentuh gelas ini.
“Buruk siku...” kutukku. Aqel tergelak. Kucapai sudu. Aku
mula menikmati aiskrim vanila ini sambil diperhatikan Aqel.
“Marilah makan sama” ajakku berkongsi aiskrim bersama
Aqel. Laju sahaja tangan Aqel mencapai sudu lalu menyudu aiskrim di gelas. Aqel
turut menikmati aiskrim vanila yang dipersembahkannya kepadaku tadi.
“Emm...sedap” Aqel penuh perasaan menikmatinya.
“Patutlah awak suka sangat makan aiskrim” ujar Aqel
membuat penilaian. Aku mengangguk. Memang sedap. Manis aiskrim boleh mengubah
mood yang tidak elok. Cepat memadamkan kemarahan.
“Tapi tak elok awak amalkan makan yang manis-manis. Badan
awak boleh tahan beratnya” kutuk Aqel tersengih-sengih mengutukku. Besar anak
mataku menatapnya. Lantas mengingatkan aku tentang pergerakanku dari ruang tamu
ke bilik tidur pada malam itu. Pasti Aqel yang mengangkatku ke bilik. Aku
mencebik ke arah Aqel yang tersengih panjang.
“Oh...satu saya nak cakap lagi” tutur Aqel. Aku dan Aqel
beradu pandangan. Menanti Aqel bersuara lagi. Aqel mahu memperkatakan sesuatu
kepadaku.
“Awak bukannya apa-apa pada saya. Itu yang awak cakap. Awak
silap. Saya nak awak ingat perkara ini baik-baik” ujar Aqel mengingatkan aku.
Aku tergamam. Sudah tidak terkata lagi. Persis suaraku telah terkunci di
kerongkong. Aqel tersenyum menatapku.
“Awak mesti ingat sampai bila-bila” ujar Aqel berpesan
kepadaku. Aku hanya terpaku menatap Aqel. Terpegun menatap senyuman indah Aqel.
“Ingatkanlah diri awak berulangkali. Awak akan tunggu
saya. Tunggu sehingga saya muncul. Tunggu walaupun saya terlewat. Mesti tunggu
saya” tutur Aqel menjawab bicara yang pernah kututurkan pada saat aku terkilan.
“Aqel...” kupanggil nama ini. Aqel menatapku.
“Sekejam itu ke awak nak dera saya...” ujarku serius.
Aqel terkebil-kebil menatapku.
“Boleh tak awak diam? Awak dah banyak sangat bercakap” gesaku.
Aku dan Aqel beradu pandangan. Serentak aku dan Aqel tertawa.
“Dan tolong jangan tersenyum di depan saya” pintaku lagi.
Senyuman Aqel semakin lebar. Aku sangat senang menatapnya.
“Kalau senyuman saya buat awak tergoda, pasti saya akan
sentiasa tersenyum di depan awak” sahut Aqel berdegil. Besar anak mataku
menatap Aqel. Aku mencebik. Kemudian aku dan Aqel tertawa lagi.
No comments:
Post a Comment