BAB 68
“Auntie balik
dulu ye” ujarku perlahan. Idlan mempamer wajah masam mencuka. Langsung tidak
mahu tersenyum. Berat hati dia hendak membenarkan aku balik hari ini.
“Salam dengan Auntie
Lia” lembut suara Mak cik Tijah mengarah Idlan menghulurkan tangan kepadaku. Dia
masih tidak mahu menatapku. Tanda protes. Kepulanganku tidak direstui.
“Idlan....” tegur Haqem. Aku hanya senyum.
“Cepat.... Uncle Aqel
dah lama tunggu tu” ujar Haqem mengingatkan Idlan. Mahu tidak mahu, Idlan
akhirnya terpaksa mengalah jua. Dia menghulurkan tangannya. Tanganku dengan
tangan Idlan bertaut. Lantas Idlan mengucupnya.
“Dengar cakap nenek dan Pak Usu ye. Jangan nakal – nakal.
Auntie janji akan datang jenguk Idlan
lagi” ujarku cuba memujuknya. Idlan menatapku.
“Janji?” tanyanya meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Janji...” sahutku lantas mengusap – usap kepalanya. Berat
hati juga mahu meninggalkan Idlan yang masih bersedih dan berduka. Namun
keadaan tidak mengizinkan aku tinggal lebih lama di sini bersamanya. Banyak
sangat halangan. Tidak manis jika aku terlalu rapat dengan mereka. Aku bukan ada
pertalian darah dengan keluarga ini. Sekadar sahabat Harianie dan Haqem.
“Mesti selalu temankan Idlan” pintanya menambah syarat.
Aku mengangguk. Tidak tega menghampakan dirinya. Aku akan cuba meluangkan masa
bersamanya. Cuba merawat kesedihan Idlan dan menghilangkan kesunyiannya. Sampai
satu masa nanti, Idlan akan terbiasa dengan kehidupannya sekarang. Kupandang
Mak cik Tijah.
“Mak cik saya pergi dulu. Jika mak cik perlukan
pertolongan, telefon saya pada bila – bila masa saja. Insya – Allah saya akan
datang” ujarku. Mak cik Tijah mengangguk. Dia terus sahaja memeluk tubuhku.
Sebak.
“Terima kasih banyak – banyak. Lia memang dah banyak
bantu mak cik” tutur Mak cik Tijah terharu. Aku senyum. Tidak banyak yang dapat
aku lakukan dalam tempoh sehari tinggal bersama mereka. Namun dalam masa yang
singkat ini hubunganku dengan Mak cik Tijah sudah terjalin mesra. Kemesraan Mak
cik Tijah melayanku persis anaknya begitu menyenangkanku.
“Saya balik dulu” ujarku. Mak cik Tijah dan Haqem
mengangguk. Kutatap wajah seorang demi seorang dengan senyuman.
“Insya – Allah kita akan jumpa lagi” ujarku. Sekali lagi
Mak cik Tijah dan Haqem mengangguk. Sempat tanganku mengusap kepala Idlan.
“Hati – hati....” tutur Haqem. Aku mengangguk.
“Assalamualaikum.....” Sempat juga kutatap wajah Idlan
sebelum memulakan langkah meninggalkan mereka. Terasa berat hati aku hendak
meninggalkan Idlan. Bimbang juga jika Mak cik Tijah tidak dapat menangani
kerenah dan ragam Idlan. Namun tatkala teringat ada Haqem, kebimbangan ini
berkurangan. Haqem mampu mengawal Idlan. Sudah semestinya Idlan akan mendengar
cakap Haqem.
“Maaf... lama menunggu...” tuturku rasa serba salah
kepada Aqel. Aqel tersenyum sekilas. Dia faham. Kupasang tali pinggang lantas
menyandarkan tubuh di kerusi. Cuba memberi keselesaan pada diri sendiri. Sempat
membalas lambaian tangan Idlan dan Mak cik Tijah yang masih setia berdiri di
halaman mengiringi keberangkatanku dengan Aqel. Terbayang – bayang wajah sugul
Idlan di mataku. Aku perlu melakukan sesuatu bagi menyuntik semangat budak
lelaki itu agar dirinya tidak terus murung dan berduka. Idlan perlu bangkit. Perlahan
– lahan aku melepaskan keluhan. Apalah yang dia tahu selain bersedih atas kehilangan
bonda yang dikasihi. Usianya terlalu kecil hendak membuat pertimbangan wajar atas
tindakannya. Idlan belum arif membezakan baik buruk sesuatu perkara itu tanpa
bimbingan dan asuhan orang dewasa. Maka sebab itulah Idlan perlukan seseorang
yang boleh menjaganya dengan baik menggantikan tempat arwah Harianie selain
sokongan daripada Haqem.
“Susah dia nak suruh awak balik” Aqel bersuara mengulas
tindakan Idlan.
“Ya.... Saya pun berat hati nak tinggalkannya. Kasihan
Idlan” sahutku meluahkan suara hatiku. Bukan mudah hendak mengembalikan
keceriaan hidup Idlan. Pasti akan mengambil masa yang lama untuk Idlan
membiasakan diri menjalani hidup tanpa kehadiran seorang ibu. Aku yakin semua
kesulitan itu akan lenyap ditelan peredaran waktu bersama anjakan usianya.
Idlan akan biasa dengan kehidupan barunya ini. Menempuhi kedewasaan tanpa ibu
di sisinya.
“Berat sangat dugaan yang terpaksa dilaluinya. Mudah –
mudahan Idlan mampu mengatasi semua itu” ujarku berdoa dan berharap yang
terbaik buat Idlan.
“Janganlah risau, Haqem ada bersamanya” ujar Aqel cuba
menenangkanku sekali gus menyedarkan aku bahawa Idlan tidak bersendirian. Aku
mengangguk.
“Kalau ada kelapangan kita bawalah dia keluar jalan –
jalan nanti” tambah Aqel berbicara. Aku mengangguk. Lega mendengar bicara Aqel
ini. Dia juga bersimpati kepada Idlan. Melihat keadaan Idlan sekarang tiada
sesiapa yang terlepas merasai perasaan sedemikian.
“Terima kasih, Aqel” ujarku senang hati dengan
cadangannya itu. Aku amat menghargai jika Aqel dapat meluangkan masa bersama
Idlan. Bukan mudah hendak mencuri masa Aqel yang sentiasa sahaja padat dengan
pelbagai agenda. Sukar hendak melihat Aqel ada masa lapang. Malah untuk dirinya
sendiripun seakan tiada masa hendak bersantai. Bekerja keras Aqel mengukuhkan
ekonominya demi jaminan masa depan.
“Tengah hari nanti saya datang ambil awak. Tak payah
masak. Kita makan di luar nanti. Sekarang saya nak pergi office dulu” tutur Aqel berpesan. Aku mengangguk. Lega. Dapat juga
aku berehat sakan sekejap lagi. Mahu tidur sepuas – puas hati.
“Berehatlah. Saya pergi sekarang” ujar Aqel. Aku mengangguk
lagi. Memang aku mahu tidur setibanya di rumah ini kerana semalaman aku tidak
dapat melelapkan mata. Banyak sangat perkara yang aku fikirkan. Tambahan pula
berjaga mengawasi Idlan sepanjang malam. Risau Idlan akan terbangun dan
menangis di tengah malam. Aku menguap panjang. Laju tanganku menutup mulut. Mengantuk teramat. Jelingan Aqel
kubalas dengan sengihan. Aku tahu Aqel sedang mengutukku. Kurang sopan. Menguap
di depan Aqel, ada kukisah?
“Pandu kereta hati - hati” pesanku. Aqel tersenyum sekilas.
Kemudian terus bergerak meninggalkan halaman rumah ini. Aku melangkah masuk ke
dalam rumah. Terasa sunyi sepi ketiadaan mak di sini. Kutatap jam di dinding
ruang tamu. Baru pukul 09.30 pagi. Masih banyak masa hendak berehat sebelum
menjelang waktu makan tengah hari. Lantas aku melangkah ke bilik mahu
melelapkan mata sekejap. Aku melontar tubuhku ke atas katil. Sungguh selesa
berbaring di atas tilam empuk ini. Apatah lagi berada di bilik sendiri.
Kupejamkan mata. Mahu mengundang lena seketika sebelum kemunculan Aqel yang
akan datang menjemputku.
Tiba – tiba sahaja wajah Idlan menjelma di ruang mataku.
Bagaimana keadaannya sekarang? Masihkah dia mahu menyendiri? Mampukah Mak cik
Tijah menghadapi kerenahnya? Harap – harap Idlan tidak akan meragam. Tidak perlu
bimbang kerana Haqem juga ada bersama mereka. Haqem mampu menangani Idlan.
Kukosongkan benakku. Cuba tidak memikirkan sebarang perkara. Mahu menggunakan masa
yang ada ini dengan rehat yang cukup. Kesempatan berehat yang diberikan oleh
Aqel harus digunakan dengan bijak. Inilah untungnya menjadi isteri bos. Mudah
mendapat pelepasan. Hari ini aku tidak perlu masuk ke pejabat. Walau
bagaimanapun, demi keadilan semua dan demi keberkatan wang gajiku, maka hari
ini akan direkod sebagai cuti di bawah peruntukan cuti tahunan. Cuti itu akan
kupohon. Lega. Baru mudah hendak melelapkan mata kerana tiada perkara yang
membebani fikiran lagi. Selepas ini bolehlah tidur nyenyak.
“Awak sangat baik Lia. Saya tak perlu risau kalau saya
tinggalkan Idlan pada awak. Saya percaya awak boleh jaga Idlan dengan baik.
Idlan akan dapat perhatian dan kasih – sayang awak” suara arwah Harianie
berbisik – bisik di telingaku. Aku tersentak. Mataku terbuka luas. Hamparan
siling nan memutih menghiasi pandanganku. Kulontar pandanganku di sekeliling.
Hanya aku bersendirian di bilik ini sekarang. Sofa kosong. Tiada Aqel duduk di
situ sedang memerhatikan aku tidur seperti yang selalu dilakukannya. Aku
melirik ke arah jam di atas meja solek. Pukul 10.45 pagi. Masih ada masa hendak
menyambung tidur yang tergendala sebentar tadi. Kupejamkan mataku semula. Cuba
hendak lena. Namun sukar hendak melelapkan mata semula. Mata ini seakan sudah
merajuk mahu tidur. Kucuba lagi. Perkara yang sama juga. Lantas aku hanya
terbaring di atas katil ini dengan mata yang terkebil – kebil menatap siling. Enggan
hendak tidur setelah dicuba banyak kali. Aku tidak mahu memaksa diri hendak
tidur lagi biarpun lenaku tadi hanya sekejap sahaja.
Terkenang pada suara Harianie yang berbisik – bisik di
telingaku. Adakah aku didatangi roh Harianie sebentar tadi? Meremang bulu romaku.
Kulepaskan keluhan kecil. Tidak patut aku berfikir yang bukan – bukan. Semoga
roh arwah damai dan tenang di sana. Lantas kuhadiahkan al – fatihah buat arwah
Harianie. Bingkas aku bangun mahu menyiapkan diri. Tidak mahu Aqel tertunggu –
tunggu nanti. Aqel datang menjemputku tepat pada masa yang dijanjikan. Perutpun
mula berkeroncong minta diisi. Memang sudah waktu makan tengah hari sekarang.
“Nak makan di mana?” tanya Aqel meminta cadanganku.
“Suka hati awak. Saya ikut saja” sahutku menyerahkan
sepenuhnya kepada Aqel membuat pilihan dan keputusan. Aqel lebih arif dalam hal
ini. Aku pula bukan jenis manusia yang cerewet dalam soal makan. Boleh makan pelbagai
jenis menu tanpa ada sebarang alahan.
Aqel memandu ke destinasi pilihannya. Pasti sudah ada
lokasi pilihan di benak Aqel. Aku seperti yang kunyatakan tadi, tidak akan
membantah di mana sahaja Aqel membawaku menikmati hidangan tengah hari ini.
Yang penting halal dan kebersihan terjamin. Dua kreteria ini tidak perlu
dirunsingkan. Memang sudah menjadi garis panduan Aqel. Malah pasal kebersihan,
rasanya Aqel lebih....lebih....lebih cerewat. Banyak sangat lebihnya. Perkara
yang cuba hendak aku sampaikan adalah tentang sikap Aqel yang terlalu mementingkan
kebersihan. Wajib bagi Aqel. Kalau bab kebersihan tiada kompromi langsung.
Percayalah.
“Malam ini awak nak tidur di rumah mak atau di rumah awak
sendiri?” tanyaku. Terkenang pada kejadian di bilik tidur tadi. Sedikit
menggerunkan. Pasti iblis dan syaitan sudah tersenyum kerana telah berjaya
menggugat keberanianku. Ada masanya aku boleh jadi penakut. Jikalau Aqel tidak
mahu bermalam di rumah mak, pasti aku akan mempelawa Nana menemaniku malam ini.
Biar hatiku tenang dan tidur pun lena.
“Temankan awak ler” sahut Aqel. Aku tersenyum sendiri.
Lega.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan. Aku geleng kepala. Tidak
mungkin aku akan berterus – terang kepada Aqel. Nanti tidak sudah – sudah aku
dihujani dengan kutukannya. Tidak mustahil juga Aqel mahu menyakat aku. Maka
sama sekali aku tidak akan membuka peluang mendorong Aqel melakukannya.
Perangai Aqel yang dingin membeku ini boleh jadi gila – gila. Sudah ada
buktinya. Aku pernah pengsan disebabkan tindakan Aqel yang menjelma dalam gelap
kononnya mahu menakut – nakutkan aku. Tidak mungkin aku akan melupakan kejadian
ngeri itu.
“Awak takut tinggal sendirian?” duga Aqel. Seperti selalu
firasat Aqel selalu tepat.
“Mana ada” tingkahku menafikan andaian Aqel.
“Mana tahu awak masih ada hutang dengan arwah. Tak
semestinya hutang duit. Hutang janji pun boleh” tambah Aqel sewenangnya.
“Aqel...!” tinggi suara kulontar. Aqel tergelak.
“Ada janji awak dengan arwah yang masih belum tertunai
ke?” tanya Aqel masih mahu mengusikku. Aku mencebik bibir. Geram.
“Tak elok awak cakap macam tu pada yang dah takde”
tegurku terhadap ketidakseriusan Aqel. Perkara ini tidak boleh dibuat gurauan.
“Alah....bergurau
pun tak boleh?” keluhnya. Aqel senyum lagi.
“Bergurau kena pada tempatnya. Jangan ikut sesedap mulut
je” kritikku. Aqel tersengih – sengih. Gemar sangat menimbulkan amarahku. Suka
sangat menatap jelingan tajamku. Pelik cara Aqel menghiburkan hati. Memang
padan digelar manusia dingin membeku persis salji. Tidak pun manusia ais batu.
Lebih keras daripada salji. Membuktikan Aqel memiliki interaksi dalaman dan
luaran yang kurang sensitiviti. Tidak mudah cair. Bermakna Aqel tidak mudah dipengaruhi.
Manusia ais batu? Hey... persis manusia purba pula! Tidak sesuai kalau hendak
samakan Aqel dengan manusia purba. Aqel terlalu moden dan berwawasan tinggi.
“Saya ada teka – teki untuk awak” tutur Aqel mengubah
topik perbualan. Tetiba sahaja Aqel banyak cakap pula. Mungkin salji di hatinya
sudah mencair.
“Teka – teki apa?”
soalku berminat hendak mengetahuinya. Sekurang – kurang berteka – teki dengan
Aqel boleh mengisi masa perjalanan ini. Di manakah lokasi pilihan Aqel hendak
menjamu selera tengah hari ini? Terasa jauh juga.
“Awak wajib jawab tau” ujar Aqel memberi peringatan. Aku
diam. Tidak mahu berjanji. Bimbang teka – teki itu sukar hendak dicari
jawapannya.
“Apa soalnya? Cakaplah....” gesaku sudah tidak sabar mahu
mendengar soalan teka – teki tersebut. Aqel tersenyum sendiri. Lagaknya bagai
tidak serius sahaja.
“Banyak – banyak tahi, tahi apa yang berada di atas?”
soal Aqel. Besar anak mataku menatap Aqel. Tidak bermorol langsung. Pengotor
bicara! Aku mencebik geram ke arah Aqel. Tidak patut – patut soalan sebegini
dikemukakan mahupun dikategorikan sebagai teka – teki. Pencemar keindahan
bahasa dan kehalusan seni teka – teki yang diwarisi sejak sekian lama. Patutlah
Aqel digelar Melayu celup. Buktinya nama yang Mak Long berikan kepada Aqel
ialah Hyeon. Aqel dengan Hyeon adalah orang yang sama dan serupa. Jangan silap
tafsir.
“Jawab sekarang...” arah Aqel tersengih. Aku kerah juga
otakku berfikir.
“Tinggi sekali....” tambah Aqel memberi klu bagi
memudahkan aku mencari jawapannya. Aku masih berfikir. Sudah beberapa minit
berlalu aku masih tidak menemui jawapannya.
“Lambat sangat awak berfikir.... Tahi bintanglah” ujar
Aqel memberikan jawapan pada teka – teki yang dikemukakannya sendiri. Sudah
lama dia menunggu aku memberikan jawapan. Logik juga. Boleh diterima akal
jawapan yang Aqel berikan. Memangpun tahi bintang berada di langit nun tinggi
di atas sana.
“Sekali lagi...” ujar Aqel mahu memberi peluang kedua
kepadaku setelah teka – teki pertama gagal kujawab. Aku memasang telinga.
Mendengar dengan teliti. Kali ini aku pasti boleh menjawabnya dengan betul. Keyakinanku
tinggi.
“Banyak – banyak tahi, tahi apa yang orang suka tengok?”
soal Aqel. Alah... soalan berkaitan tahi lagi! Kotor betul fikiran Aqel!
Sudahlah hendak makan tengah hari sekejap lagi.
“Merepeklah teka – teki awak” kutukku dengan jelingan ke
arah Aqel yang tersengih – sengih. Aku tidak akan menjawab soalan ini.
Muktamad.
“Cakap sajalah yang awak tak boleh jawab. Lembab
sangat....” kutuk Aqel. Celupar sungguh mulut anak muda Mak Long ini. Sewenangnya
mengata aku lembab.
“Tahi bintang jugalah. Itupun awak tak boleh fikir”
rungut Aqel mengutukku lagi. Tajam pandanganku menatap Aqel.
“Mana ada semua orang suka tengok tahi bintang” tingkahku
membantah bicara Aqel.
“Jangan nak menafikan. Kalau tahi bintang tu jatuh depan
awak, entah apa hajat yang awak pinta” sindir Aqel. Aku selalu nampak dalam
drama percintaan terutama drama Korea yang meletakkan babak tahi bintang jatuh
adalah babak yang romantis. Tatkala tahi bintang melintas di depan mereka, maka
hajat akan dipohon. Hajat itu pula wajib dikongsi dengan orang yang ada bersama
mereka ketika itu. Kononnya perkongsian itu akan memakbulkan hajat yang
dipinta. Betulkah? Aku tidak percaya. Hanya yang Maha Esa yang berkuasa mampu
memakbulkan hajat hambaNya. Bukannya tahi bintang.
“Tak boleh dipercayai langsung” tingkahku menyuarakan
pendirianku. Aqel tersenyum. Tidak pula dia membantah pendapatku. Mungkin Aqel
juga mempunyai pandangan yang sama. Senyap.
“Saya ada teka – teki untuk awak” suaraku berkumandang.
Aqel menoleh ke arahku.
“Apa soalannya?” tanya Aqel tidak sabar – sabar.
“Banyak – banyak tahi, tahi apa yang tidak berbau?”
soalku.
“Pasal tahi juga” komen Aqel. Aku tersenyum. Kini idea
Aqel menjangkiti aku pula.
“Jawablah...” gesaku. Sudah sedia hendak mengutuknya
jikalau Aqel tidak boleh memberikan jawapan yang tepat. Mahu membalas dendam.
Bukan mudah mendapat peluang hendak membalas kutukan Aqel.
“Soalan yang mudah... Mestilah tahi bintang jawapannya”
jawab Aqel begitu yakin. Tepat pula jawapan yang Aqel berikan. Aku mengetap
bibir. Punah harapan hendak menebus kutukan Aqel.
“Tepatkan jawapan saya?” Lambat – lambat aku mengangguk.
Aqel tersenyum.
“Kebijaksanaan saya tiada tandingan” ujar Aqel membangga
diri. Aku mencebik. Kemudian berfikir semula. Syukurlah Aqel memberikan jawapan
yang tepat. Sekurang – kurangnya Aqel telah menyelamatkan aku daripada menambah
dosa. Aku tiada sebab hendak mengeluarkan kata – kata kesat kepada Aqel persis
hasrat hatiku. Jikalau Aqel tidak memberikan jawapan yang betul tadi sudah
pasti aku akan memperli Aqel. Kesempatan hendak membalas kutukannya tidak
mungkin kupersia – siakan. Namun Aqel telah menggagalkannya. Terima kasih Aqel.
Sangat sukar hendak menjadi isteri yang baik.
“Teka – teki yang pelik tapi kreatif juga. Saya dapat
teka – teki ini daripada Idlan. Dia yang suruh saya jawab semalam” cerita Aqel
menyentakkanku. Tidak menduga Idlan dan Aqel pernah meluangkan masa bersama.
Aku tersenyum sendiri. Rasa terhibur. Bolehlah nanti aku kemukakan teka – teki
ini kepada Aziq. Pelajar – pelajar sekolah memang gemar berteka – teki.
“Awak boleh jawab tak?” soalku ingin tahu. Aqel senyum.
“Sudah semestinyalah...” sahut Aqel angkuh. Aku
mencebibik bibir lagi.
“Tapi.... lama jugalah saya berfikir” tambah Aqel
berterus – terang.
“Tak adillah.Tadi awak beri saya masa yang singkat”
bantahku. Aqel hanya tersenyum. Senyuman indah untuk jadi tatapan mata. Pasti
ramai perempuan yang terpikat pada senyuman Aqel.
“Nasib baik saya tak boleh jawab teka – teki awak tadi.
Kalau saya berjaya jawab saya mesti denda awak” gertakku mengusik Aqel.
“Awak nak buat apa?” soal Aqel.
“Nak hadiah...” sahutku laju. Aqel tersenyum.
“Nak hadiah apa?” soal Aqel lagi.
“Hadiah yang paling mahal daripada awak” pintaku berkias
– kias.
“Materialistik juga awak ye....” kutuk Aqel. Aku
tersengih.
“Takpe awak kaya” balasku seolah – olah membenarkan
kutukannya tadi.
“Awak nak apa?” soal Aqel lagi. Aku masih dengan
sengihanku. Tidak mahu menjawab pertanyaan Aqel. Sengaja hendak membuak –
buakkan perasaan ingin tahu Aqel.
“Awak nak ciuman saya....” tutur Aqel tidak segan – silu.
Aku terlopong.
“Aqel....!” lantang suaraku menyebut namanya. Aqel
tergelak. Tidak menyangka perkara itu yang sedang Aqel fikirkan. Otak bergeliga
yang tidak betul!
“Itulah hadiah yang paling mahal daripada saya. Belum ada
sesiapa yang dapat ciuman saya” tutur Aqel bersahaja. Aku mengetap bibir
menahan perasaan geram. Sekarang aku boleh membuat aduan ke Mahkamah Sivil atas
kes gangguan seksual. Disabit kesalahan Aqel boleh dipenjarakan. Berhati – hati
apabila berkata – kata. Tidak semua orang boleh menerima kata – kata yang
diungkapkan sebagai gurauan. Undang – undang tidak pernah bertolak – ansur
sekalipun hanya kesalahan kecil.
“Yelah tu....Mungkin dah tak terkira berapa ramai
perempuan yang pernah awak cium” perliku tidak mempercayai pengakuan Aqel. Aqel
tergelak lagi. Tuduhanku tidak diendahkan.
“Yang awak kata hadiah mahal itu apa?” tanya Aqel
mendesakku. Teruja hendak mengetahuinya. Aku tersenyum – senyum sendiri.
Sengaja mahu menguji kesabaran Aqel.
“Jawab sekarang.... Kalau tak saya cium awak nanti”
gertak Aqel selamba.
“Aqel....!” radangku. Tidak suka mendengar ancamannya
itu.
“Tiada halangan dan larangan jika saya mahu bertindak demikian.
Kitakan suami isteri” tutur Aqel dengan senyuman nakal memberi peringatan
kepadaku. Gerun aku menyaksikan senyuman itu. Tidak sangka perbualanku dengan
Aqel akan sampai ke tahap ini.
“Cubalah kalau awak berani” gertakku memberi amaran. Aqel
tergelak.
“Saya tak takut pun” balas Aqel memperlekehkan amaranku.
“Aqel....!” marahku.
“Kalau awak nak selamat cakap sekarang hadiah apa?” desak
Aqel tidak mahu mengalah. Aku menjeling Aqel. Panas hatiku menyaksikan sengihan
Aqel. Dia tahu bahawa aku tidak berdaya sekarang. Akhirnya aku mengalah juga
demi menyelamatkan diri daripada dicemari oleh Aqel.
“Senyuman ikhlas awak.... Sangat susah nak tengok orang
yang persis tunggul kayu dan dingin membeku macam salji ini tersenyum. Senyuman
awak sangat mahal” ujarku memberi penjelasan. Aku ikhlas menilai keperibadian
Aqel. Sifat itu yang aku nampak ada dalam diri Aqel.
“Awak kutuk saya macam tunggul kayu dan dingin macam
salji” ujar Aqel melenting. Perumpamaan yang membangkitkan kemarahannya. Aku
tersengih panjang. Puas hati berjaya menyalakan hati Aqel. Yang dia nampak
kesempurnaan dirinya sahaja. Itulah akibat riak sangat dengan anugerah yang
Allah berikan sampai tidak kenal diri sendiri.
“Itulah diri awak yang sebenar. Mungkin awak tak sedar
pun” tambahku berterus – terang sekali gus mengambil peluang memaklumkan kepada
Aqel tentang perangainya yang luar biasa. Aqel mendengus. Tidak suka dirinya dikritik
mahupun dinilai sedemikian.
“Tak payahlah bersedih. Awak masih ada banyak kelebihan”
pujukku pula. Aku masih tersengih. Kelebihan yang Aqel memiliki rupa paras yang
tampan, tubuh yang sihat walfiat dan sempurna, kekayaan yang berlimpah serta
kereta dan rumah yang cantik. Ditambah lagi dengan kekasih yang jelita serta
isteri yang comel dan manis. Aku tersenyum sendiri. Sempat juga aku membangga
diri. Kalaulah Aqel dapat membaca fikiranku saat ini pasti panjang lebar
kutukan Aqel dilemparkan kepadaku.
“Beranganlah tu....” Tangan Aqel menepuk kepalaku.
“Aduhhhhh....!” Aku terjerit kecil. Tidak sempat
menangkis tepukan kasar tangan Aqel di kepalaku. Aqel tergelak – gelak suka.
Sebaliknya aku masih mengusap – usap lembut rambutku.
“Awak ni kaki pendera....!” rungutku meradang. Aqel masih
tergelak.
“Pembuli perempuan...! Nanti saya cakap kat Mak Long”
gertakku akan membuat aduan tentang sikap Aqel kepada mamanya. Aqel tersenyum
lagi.
“Congek....” perli Aqel. Kemarahannya tadi sudah padam.
Sebaliknya kemarahan Aqel sudah berjangkit kepadaku pula. Aku mengetap bibir
menahan geram.
“Kalau saya hilang ingatan macam mana?” soalku persis
anak kecil. Aqel tergelak besar.
“Tepuk sikit saja mana boleh hilangkan ingatan awak. Otak
awak pun belum tentu bergegar lagi. Kalau otak awak senget, saya percaya”
ujarnya mengenakan aku.
“Aqel....!!!” Aku melaung nama Aqel sekuat hatiku.
Melempiaskan radangku. Sesuka hati dia mengata otakku senget. Macamlah aku
tidak faham. Aqel masih tergelak – gelak. Semakin riang hatinya mempersendakan
aku. Celupar sangat mulut anak muda Mak Long ini. Teringin juga hendak
menjahitnya. Namun memikirkan senyuman Aqel yang mempesonakan aku lenyapkan
hasrat itu.
“Bagus juga kalau awak tetiba saja hilang ingatan. Nanti
bolehlah saya set balik otak awak tu. Tika itu mesti awak dah lupa tentang
kekasih pertama awak” ujar Aqel tersengih. Aku menulikan telinga. Enggan mahu
mengulas imaginasi Aqel. Jikalau dilayan semakin meleret – leret pula bicaranya
nanti. Aqel diam. Dia sedar aku tidak berminat dengan topik yang diutarakannya.
“Jauh sangat tempat yang awak nak pergi ni. Saya dah
lapar sangat ni. Silap – silap nanti awak yang saya telan” rungutku. Aqel
menyambung ketawanya lagi. Bicaraku boleh pula dijadikan bahan gelaknya. Rasa –
rasanya kata – kataku tadi tidaklah lawak. Aqel memang pelik.
“Gelojoh sangat awak” kutuk Aqel. Kutulikan telinga. Buat
– buat tidak mendengar kutukan yang baru sahaja keluar dari mulutnya. Malas
mahu melayan Aqel. Semakin banyak cakap semakin giat pula dia mempersendakan
aku. Betapa terhibur hatinya. Bagaikan diri ini kaya dengan unsur kecindan yang
sentiasa membuatkannya ketawa. Tidak rela aku menjadi pelawak Aqel.
“Awak juga yang kata tadi akan ikut saja” ujar Aqel mengungkit
kesanggupanku tadi. Aku diam. Bercakap dengan Aqel jarang aku hendak menang.
Ada sahaja ideanya hendak mematahkan hujahku. Bergeliga sangat otaknya
menangkis seranganku. Agaknya diam Aqel yang lebih panjang berbanding bersuara menjadikan
dirinya bijak berkata – kata. Banyak diam menjadikan dirinya banyak berfikir.
Pasti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi telah dikuasai dengan cemerlang. Banyak
berfikir juga mudah menjana idea. Sebab itulah Aqel mudah sahaja hendak
menewaskan aku. Bicaranya bernas dan mantap. Wah.... panjang sungguh teori yang
aku gunakan untuk mengkaji kebijaksanaan Aqel!
“iPhone awak berbunyi” suara Aqel menyentakkanku. Aqel
berpaling menatapku.
“Jawablah...” arah Aqel dengan mata yang terbuka luas.
Tidaklah besar sangat mata Aqel pun. Susah hendak kata mata orang Korea besar –
besar. Laju tanganku menyeluk saku beg galasku. Nombor telefon rumah yang tidak
kukenali.
‘Assalamualaikum...Oh ...Mak cik Tijah..Kenapa Idlan
menangis?” tanyaku sebaik sahaja mendengaran raungan tangisan Idlan yang begitu
kuat. Aqel berpaling menatapku. Aku cemas. Tiada jelas butiran bicara Mak cik Tijah
yang sampai di telingaku. Raungan Idlan sahaja yang menusuk halwa pendengaran.
Aku hilang fokus berbicara dengan Mak cik Tijah. Bimbang sungguh mendengar
raungan Idlan. Persis sedang menahan kesakitan yang teramat.
“Tak pe....Mak cik Tijah. Saya akan ke sana sekarang
juga” ujarku mengubah hala tuju yang dirancang tanpa sempat berbincang dengan
Aqel. Darurat. Aku terpaksa membuat keputusan sendiri. Segera kutamatkan
perbualanku dengan Mak cik Tijah kerana aku mahu berbicara dengan Aqel.
“Kenapa?” soal Aqel.
“Tolong hantar saya ke rumah arwah Harianie. Saya kurang
jelas apa yang berlaku dengan Idlan sekarang. Tapi saya dengar dia meraung –
raung menangis” jelasku cemas. Aqel mengeluh. Tidak puas hati mendengar
penjelasanku yang samar – samar.
“Haqem mana?” tanya Aqel sambil mengubah haluan destinasi
yang dituju. Aku menggeleng. Tidak sempat bertanya tentang Haqem kepada Mak cik
Tijah tadi. Raungan Idlan yang kudengar tadi benar – benar buat aku hilang
ketenangan diri.
“Apa kata kita makan dulu. Singgahlah di mana – mana
saja. Kan awak kata tadi awak dah lapar” ujar Aqel masih bertenang. Laju aku
menggeleng. Sudah hilang selera hendak makan.
“Saya nak cepat tengok Idlan. Tolong hantar saya ke sana”
ujarku separuh merayu Aqel. Kedengaran keluhan Aqel.
“Berdepan dengan budak lelaki itu, awak perlukan tenaga”
nasihat Aqel.
“Dah hilang rasa lapar saya” jelasku lagi. Dalam keadaan
cemas dan gelisah, aku tiada selera hendak menikmati hidangan tengah hari
biarpun perutku masih berkeroncong.
“Suka hati awaklah....” keluh Aqel kurang bersetuju
dengan keputusanku. Namun tidak mampu mematahkan kedegilanku. Kereta yang Aqel
pandu meluncur laju di dada jalan. Syukur aku bersama Aqel sekarang. Maka
pemandu cekap seperti Aqel dapat menyingkatkan perjalanan ini daripada yang
sepatutnya. Sebaik sahaja kereta berhanti di halaman, aku terkocoh – kocoh
keluar dan meninggalkan Aqel di belakangku. Mahu segera mendapatkan Idlan.
Mendengar raungan tangisan Idlan tadi sangat membimbangkan aku. Raungan
kesakitan yang diluahkan tanpa sekatan dan halangan. Kanak – kanak tidak pandai
menyembunyikan kesakitan mereka. Tindakan mereka sangat telus.
“Idlan .... kenapa ni?” tanyaku cemas mendapatkan Idlan
yang masih menangis. Namun nadanya sudah perlahan. Kupeluk tubuh kecil ini
seraya menepuk – nepuk belakangnya. Cuba mententeramkan dirinya. Idlan menahan
sendu - sedannya.
“Nak tidur.....” rengeknya dalam sendu yang berpanjangan.
Aku mengangguk. Kukumpul tenaga dan kekuatan diri lantas mendukung Idlan ke
bilik. Aku berhati – hati melangkah. Kubaringkan tubuh Idlan di atas katil.
“Nak selimut....” pintanya. Laju sahaja tanganku
menebarkan selimut membungkus tubuh kecil Idlan. Kutatap wajah Idlan yang basah
dengan linangan air mata. Kusapu perlahan – lahan. Hiba dan pilu hatiku
menyaksikan deraian air mata anak kecil ini.
“Kenapa nangis ni?” tanyaku lembut sambil mengusap lembut
rambutnya dengan penuh kasih – sayang. Mahu berkongsi kesedihan. Idlan masih
tidak mahu bersuara. Hanya kedengaran sendu – sedan yang ditahan – tahan.
Kasihan Idlan.
“Sakit perut?” soalku bimbang. Idlan menggeleng kepala.
“Mana yang sakit?” soalku lagi. Idlan masih menggeleng
kepala. Bermakna bukan kesakitan yang menyebabkan Idlan menangis. Pasti Idlan
rindu kepada ibunya. Aku semakin sedih.
“Pak....Pak... Usu.... marah” Idlan mula bersuara. Aku
tersentak.
“Pak Usu marah Idlan? Dia pukul Idlan?” dua persoalan
kuajukan. Idlan mengangguk – angguk. Terkesima aku dengan tindakan Haqem. Sukar
hendak percaya begitu mudah Haqem hilang kesabaran diri. Tidak menyangka juga
Idlan yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh dan dilayan penuh kasih
sayang selama ini akan merasa pukulan tangan Haqem. Mengapa Haqem perlu
bertegas di saat Idlan bersedih dan perlukan perhatian serta kasih sayang? Aku
tidak dapat menerima semua ini. Tertanya – tanya juga aku apa yang telah
terjadi sehingga Haqem tega bertindak sedemikian. Haqem tidak akan sewenang –
wenang berlaku kasar kepada Idlan. Apatah lagi pada saat berkabung ini, Idlan
dilayan dengan sebaik – baiknya.
“Jangan – jangan Idlan nakal tadi” tekaku tidak mahu
menampakkan kekasaran Haqem menghadapi kerenah Idlan. Laju Idlan menggeleng.
“Sabar ye sayang..... Pak Usu pun bersedih juga sebab tu
tak boleh kawal diri. Pak Usu bukan sengaja nak pukul Idlan pun. Sebenarnya Pak
Usu sayang sangat pada Idlan” pujukku tidak mahu Idlan menyalahkan Haqem.
Bimbang juga jikalau Idlan ada tanggapan yang buruk terhadap Haqem sekarang.
Perkara ini tidak boleh berlaku memandangkan Idlan akan bergantung harapan
sepenuhnya kepada Haqem. Hubungan mereka harus harmoni bagi mempermudahkan
kehidupan yang mereka tempuhi. Idlan tidak boleh benci Haqem. Dia hanya ada
Haqem. Setakat yang aku tahu sehingga detik ini Datin Sofea belum pernah
bertemu dengan Idlan lagi. Haruskah Datin Sofea terus meminggirkan Idlan yang
sudah menjadi anak yatim piatu? Tiadakah belas kasihan Datin Sofea terhadap
cucunya ini? Oh...keras sungguh hati Datin Sofea!
“Idlan marah Pak Usu?” tanyaku cuba menyelami
perasaannya.
“Tak...” sahutnya sambil geleng kepala. Aku tersenyum.
“Bagus...” pujiku saraya mengusap – usap rambut Idlan.
“Tak boleh marah Pak Usu, tak boleh benci Pak Usu.
Sekarang Idlan ada Pak Usu je yang boleh jaga Idlan. Auntie tahu Idlan budak yang baik” nasihatku sambil memuji Idlan.
Idlan tersenyum. Terubat sudah rajuknya.
“Sekarang Idlan tidur ye” arahku. Dia mengangguk. Kuatur
selimut yang menyelubungi tubuh kecil ini. Kedinginan dari penyaman udara sudah
terasa di sekitar bilik ini.
“Auntie tunggu
di sini sampai Idlan tidur” ujarku mahu menemaninya.
“Mak Usu.... tak boleh balik ye. Tunggu sampai Idlan
bangun tidur nanti” pesannya. Aku mengangguk. Berkorban masa dan tenaga demi
Idlan. Hanya inilah yang mampu aku lakukan untuk Idlan. Andai adanya aku di
sini tatkala Idlan membuka mata akan menggembirakan dirinya, maka aku dengan
rela hati akan menunggu Idlan jaga dari tidurnya nanti.
“Terima kasih .... Mak Usu” tiba – tiba sahaja Idlan
bangkit dari perbaringannya. Dia terus memeluk tubuhku buat aku terkesima
seketika. Tidak menyangka dengan tindakan Idlan ini.
“Idlan sayang ..... Mak Usu” tutur suara manjanya. Aku
tersenyum. Rasa bahagia hati ini tatkala mendengar pengucapan sayang yang
terbit daripada mulut Idlan. Sungguh aku menghargainya. Malah aku dapat rasakan
keikhlasan Idlan meluahkan perasaannya.
“Sayang Idlan jua...” balasku seraya menepuk – nepuk
belakangnya. Idlan tersenyum suka. Wujud jalinan kasih – sayang antara kami.
“Tidurlah sekarang...” arahku. Idlan terus melepaskan
tubuhku daripada pelukannya. Lantas kembali berbaring. Sudah ada senyuman yang
terukir di bibirnya. Lega tatkala melihat Idlan sudah mampu tersenyum kembali.
“Mak Usu... jangan tinggalkan Idlan ye....” ujar Idlan
mengulangi permintaannya tadi. Aku mengangguk. Idlan terus sahaja memejamkan
matanya rapat – rapat. Di bibirnya masih terukir senyuman yang panjang. Lapang
dadaku melihat perubahan drastik emosi budak lelaki ini. Sekejap sahaja
emsoinya kembali stabil. Aku tersenyum mendengar dengkuran kecil Idlan. Betapa
dia keletihan mengharungi hari ini. Aku menyandarkan tubuh di sofa. Kedengaran
keroncong perutku beralun perlahan minta diisi. Baru terasa lapar semula.
Kupegang perutku, memintanya bersabar. Kulontar pandanganku tepat ke wajah
Idlan. Kurenung lama – lama wajah putih bersih itu. Aku tidak akan tinggalkan
Idlan selagi dia tidak terjaga dari tidurnya. Keroncong perutku semakin rancak.
Lebih erat tanganku memeluk perutku. Bersabarlah wahai tembolokku. Berpuasalah
detik ini. Cuba bertahan semampunya. Tidak akan berpisah nyawa dengan jasad ini
hanya kerana perut kosong.
“Dia bakal jadi ibu yang sempurnakan” suara lelaki
menegurnya. Haqem terus berpaling. Tersentak menatap Aqel sudah berada di
depannya. Sedangkan dari tadi dia bersendirian di situ. Melalui celah daun
pintu yang sedikit terkuak itu, dia memerhatikan gelagat gadis itu melayan
budak lelaki itu dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang nampak telus
tanpa paksaan. Hatinya tersentuh. Haqem mengangguk memberikan reaksi pada
bicara Aqel itu. Dia sangat bersetuju bahawa Lia bakal menjadi ibu yang
sempurna yang akan membahagiakan anak – anak serta suaminya. Lantas hatinya
berdetik lagi akan memiliki gadis itu kembali. Cinta gadis itu adalah kepunyaan
mutlaknya seorang. Dia tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja untuk
mendapatkan gadis itu semula.
“Idlan sangat menyayanginya.......” tutur Aqel. Haqem mengangguk
menyokong bicara sahabatnya itu sambil tersenyum sendiri. Di matanya sudah
terbayang sebuah keluarga bahagia yang menceriakan hidupnya.
“Aqel....maafkan saya. Tolong lepaskan Lia sekarang. Saya
dan Idlan sangat perlukan Lia” pinta Haqem merayu. Aqel dan Haqem bertentangan
mata dengan mulut yang terkunci.
Di kala aku bertahan melawan lapar, baru aku teringat
Aqel datang bersamaku tadi. Dia juga belum makan lagi. Pasti Aqel sedang
kelaparan sekarang. Sekian lama dia menungguku. Aku hampir – hampir terlupa
tentang dirinya. Aku terus bangkit lalu mengatur langkah perlahan – lahan ke muka
pintu. Aku melangkah keluar meninggalkan Idlan yang sedang nyenyak tidur.
Hasratku mahu menemui Aqel. Alangkah baiknya jikalau Aqel sudah pergi. Tidaklah
aku rasa bersalah membiarkannya lama menungguku.
“Aqel mana mak cik?” tanyaku cuba menjejaki kedudukan
Aqel sekarang.
“Ada duduk di ruang tamu” sahut Mak cik Tijah ketika bertembung
denganku di anak tangga ini. Aku melepaskan keluhan. Aqel masih menungguku.
Kasihan Aqel. Mesti dia sedang kelaparan sekarang.
“Idlan dah tidur?” soal Mak cik Tijah. Aku mengangguk.
“Nampak dia bersedih. Apa yang berlaku tadi, mak cik?”
tanyaku mahu menuntut penjelasan tatkala melihat keadaan Idlan yang tidak
terkawal. Hairan juga dengan tindakan Haqem yang memukulnya. Kali ini cepat
pula Haqem hilang sabar. Senyap. Belum ada sebarang penjelasan daripada Mak cik
Tijah. Nampak berat sangat dia hendak berterus – terang.
“Kenapa pula Haqem pukul Idlan tadi? Mak cik tahu
sebabnya?” tuturku lebih memperincikan pertanyaanku. Laju Mak cik Tijah geleng
kepala.
“Tak pe mak cik saya nak jumpa Aqel sekarang” ujarku
setelah tiada sebarang maklumat yang aku peroleh daripadanya. Mak cik Tijah
mengangguk. Mesti lega hatinya kerana aku tidak terus menghujaninya dengan
pertanyaan. Mujur juga aku tidak mendesak Mak cik Tijah menjawabnya. Aku masih
ada pertimbangan wajar. Tidak mahu membuatkan Mak cik Tijah rasa serba salah.
Mungkin juga Mak cik Tijah bercakap benar. Memang dia tidak mengetahui perkara
yang telah berlaku antara Haqem dengan Idlan. Aku melangkah ke ruang tamu. Aqel
masih berada di sini sambil membaca akhbar hari ini. Sekadar menghilangkan kebosanan
kerana lama sangat menunggu kemunculanku.
“Idlan dah tidur?” suara Aqel lebih awal menyapaku. Aku
mengangguk.
“Dah takde apa – apakan? Bolehlah kita pergi makan......” ajak Aqel
terus bangkit dari sofa. Aku jadi serba salah. Sudah berjanji dengan Idlan
tidak akan meninggalkannya selagi dia belum jaga. Tidak mungkin juga aku mahu
Aqel terus berada di sini turut sama menunggu sedangkan dia kelaparan sekarang.
Kalau berada di rumah sendiri boleh juga aku masak lantas menjemput Aqel makan
bersamaku.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan tatkala melihat aku tidak
berganjak.
“Aqel.... maaf. Saya dah janji dengan Idlan takkan
tinggalkannya selagi dia belum jaga lagi. Awak pergilah makan” ujarku perlahan.
Aqel menatapku.
“Betulkah awak tak nak makan? Tadikan awak kata lapar”
ujar Aqel meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Dah hilang lapar saya” bohongku kerana tidak mahu
melambat – lambatkan kepergian Aqel. Semakin banyak yang dikatakan Aqel semakin
memuncak laparnya. Bimbang juga jikalau tiba – tiba sahaja Aqel membuat
keputusan mahu terus berada di sini menunggu sehingga Idlan jaga kerana tidak
tega meninggalkan aku yang kelaparan. Tidak pernah Aqel meninggalkan aku
bersendirian dalam keadaan yang sukar.
“Saya akan hantar makanan untuk awak nanti” tutur Aqel
tidak meyakini kenyataanku.
“Tak perlu. Saya tak nak makan lagi” laju aku meningkah. Tidak
mahu menyusahkan Aqel datang ke sini
semula hanya kerana mahu menghantar makanan untukku.
“Awak pergilah. Lain kali saya pergi dengan awak. Saya akan
belanja awak makan” ujarku berjanji dan seakan mahu memujuk Aqel. Begitu lama
Aqel di sini menantiku untuk makan bersamanya, namun dengan mudah aku
mengarahkannya makanan sendirian. Penantian Aqel tidak berbaloi. Sia – sia
sahaja dia menungguku lama. Mesti Aqel tidak senang dengan keputusanku ini.
“Baiklah. Nak balik nanti call saya” pesan Aqel. Aku mengangguk. Sudah semestinya aku akan
mengarahkan Aqel datang ke sini menjemputku. Tiada perancangan aku hendak
bermalam di sini. Sekadar mahu menunaikan janji kepada Idlan dan tidak mahu
mengecewakan budak lelaki itu. Tidak berlengah lagi, Aqel terus meninggalkan
aku. Barangkali rasa lapar Aqel sudah tidak dapat dibendung lagi. Kasihan Aqel.
next ep please.... :-)
ReplyDelete