Saturday 10 January 2015

NamaKu Bukan Flora.....! 68





BAB 68

Auntie balik dulu ye” ujarku perlahan. Idlan mempamer wajah masam mencuka. Langsung tidak mahu tersenyum. Berat hati dia hendak membenarkan aku balik hari ini.
“Salam dengan Auntie Lia” lembut suara Mak cik Tijah mengarah Idlan menghulurkan tangan kepadaku. Dia masih tidak mahu menatapku. Tanda protes. Kepulanganku tidak direstui.
“Idlan....” tegur Haqem. Aku hanya senyum.
“Cepat.... Uncle Aqel dah lama tunggu tu” ujar Haqem mengingatkan Idlan. Mahu tidak mahu, Idlan akhirnya terpaksa mengalah jua. Dia menghulurkan tangannya. Tanganku dengan tangan Idlan bertaut. Lantas Idlan mengucupnya.
“Dengar cakap nenek dan Pak Usu ye. Jangan nakal – nakal. Auntie janji akan datang jenguk Idlan lagi” ujarku cuba memujuknya. Idlan menatapku.   
“Janji?” tanyanya meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Janji...” sahutku lantas mengusap – usap kepalanya. Berat hati juga mahu meninggalkan Idlan yang masih bersedih dan berduka. Namun keadaan tidak mengizinkan aku tinggal lebih lama di sini bersamanya. Banyak sangat halangan. Tidak manis jika aku terlalu rapat dengan mereka. Aku bukan ada pertalian darah dengan keluarga ini. Sekadar sahabat Harianie dan Haqem.
“Mesti selalu temankan Idlan” pintanya menambah syarat. Aku mengangguk. Tidak tega menghampakan dirinya. Aku akan cuba meluangkan masa bersamanya. Cuba merawat kesedihan Idlan dan menghilangkan kesunyiannya. Sampai satu masa nanti, Idlan akan terbiasa dengan kehidupannya sekarang. Kupandang Mak cik Tijah.
“Mak cik saya pergi dulu. Jika mak cik perlukan pertolongan, telefon saya pada bila – bila masa saja. Insya – Allah saya akan datang” ujarku. Mak cik Tijah mengangguk. Dia terus sahaja memeluk tubuhku. Sebak.
“Terima kasih banyak – banyak. Lia memang dah banyak bantu mak cik” tutur Mak cik Tijah terharu. Aku senyum. Tidak banyak yang dapat aku lakukan dalam tempoh sehari tinggal bersama mereka. Namun dalam masa yang singkat ini hubunganku dengan Mak cik Tijah sudah terjalin mesra. Kemesraan Mak cik Tijah melayanku persis anaknya begitu menyenangkanku.
“Saya balik dulu” ujarku. Mak cik Tijah dan Haqem mengangguk. Kutatap wajah seorang demi seorang dengan senyuman.
“Insya – Allah kita akan jumpa lagi” ujarku. Sekali lagi Mak cik Tijah dan Haqem mengangguk. Sempat tanganku mengusap kepala Idlan.
“Hati – hati....” tutur Haqem. Aku mengangguk.
“Assalamualaikum.....” Sempat juga kutatap wajah Idlan sebelum memulakan langkah meninggalkan mereka. Terasa berat hati aku hendak meninggalkan Idlan. Bimbang juga jika Mak cik Tijah tidak dapat menangani kerenah dan ragam Idlan. Namun tatkala teringat ada Haqem, kebimbangan ini berkurangan. Haqem mampu mengawal Idlan. Sudah semestinya Idlan akan mendengar cakap Haqem.
“Maaf... lama menunggu...” tuturku rasa serba salah kepada Aqel. Aqel tersenyum sekilas. Dia faham. Kupasang tali pinggang lantas menyandarkan tubuh di kerusi. Cuba memberi keselesaan pada diri sendiri. Sempat membalas lambaian tangan Idlan dan Mak cik Tijah yang masih setia berdiri di halaman mengiringi keberangkatanku dengan Aqel. Terbayang – bayang wajah sugul Idlan di mataku. Aku perlu melakukan sesuatu bagi menyuntik semangat budak lelaki itu agar dirinya tidak terus murung dan berduka. Idlan perlu bangkit. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhan. Apalah yang dia tahu selain bersedih atas kehilangan bonda yang dikasihi. Usianya terlalu kecil hendak membuat pertimbangan wajar atas tindakannya. Idlan belum arif membezakan baik buruk sesuatu perkara itu tanpa bimbingan dan asuhan orang dewasa. Maka sebab itulah Idlan perlukan seseorang yang boleh menjaganya dengan baik menggantikan tempat arwah Harianie selain sokongan daripada Haqem.
“Susah dia nak suruh awak balik” Aqel bersuara mengulas tindakan Idlan.
“Ya.... Saya pun berat hati nak tinggalkannya. Kasihan Idlan” sahutku meluahkan suara hatiku. Bukan mudah hendak mengembalikan keceriaan hidup Idlan. Pasti akan mengambil masa yang lama untuk Idlan membiasakan diri menjalani hidup tanpa kehadiran seorang ibu. Aku yakin semua kesulitan itu akan lenyap ditelan peredaran waktu bersama anjakan usianya. Idlan akan biasa dengan kehidupan barunya ini. Menempuhi kedewasaan tanpa ibu di sisinya.
“Berat sangat dugaan yang terpaksa dilaluinya. Mudah – mudahan Idlan mampu mengatasi semua itu” ujarku berdoa dan berharap yang terbaik buat Idlan.
“Janganlah risau, Haqem ada bersamanya” ujar Aqel cuba menenangkanku sekali gus menyedarkan aku bahawa Idlan tidak bersendirian. Aku mengangguk.
“Kalau ada kelapangan kita bawalah dia keluar jalan – jalan nanti” tambah Aqel berbicara. Aku mengangguk. Lega mendengar bicara Aqel ini. Dia juga bersimpati kepada Idlan. Melihat keadaan Idlan sekarang tiada sesiapa yang terlepas merasai perasaan sedemikian.
“Terima kasih, Aqel” ujarku senang hati dengan cadangannya itu. Aku amat menghargai jika Aqel dapat meluangkan masa bersama Idlan. Bukan mudah hendak mencuri masa Aqel yang sentiasa sahaja padat dengan pelbagai agenda. Sukar hendak melihat Aqel ada masa lapang. Malah untuk dirinya sendiripun seakan tiada masa hendak bersantai. Bekerja keras Aqel mengukuhkan ekonominya demi jaminan masa depan. 
“Tengah hari nanti saya datang ambil awak. Tak payah masak. Kita makan di luar nanti. Sekarang saya nak pergi office dulu” tutur Aqel berpesan. Aku mengangguk. Lega. Dapat juga aku berehat sakan sekejap lagi. Mahu tidur sepuas – puas hati.
“Berehatlah. Saya pergi sekarang” ujar Aqel. Aku mengangguk lagi. Memang aku mahu tidur setibanya di rumah ini kerana semalaman aku tidak dapat melelapkan mata. Banyak sangat perkara yang aku fikirkan. Tambahan pula berjaga mengawasi Idlan sepanjang malam. Risau Idlan akan terbangun dan menangis di tengah malam. Aku menguap panjang. Laju tanganku menutup  mulut. Mengantuk teramat. Jelingan Aqel kubalas dengan sengihan. Aku tahu Aqel sedang mengutukku. Kurang sopan. Menguap di depan Aqel, ada kukisah?
“Pandu kereta hati - hati” pesanku. Aqel tersenyum sekilas. Kemudian terus bergerak meninggalkan halaman rumah ini. Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Terasa sunyi sepi ketiadaan mak di sini. Kutatap jam di dinding ruang tamu. Baru pukul 09.30 pagi. Masih banyak masa hendak berehat sebelum menjelang waktu makan tengah hari. Lantas aku melangkah ke bilik mahu melelapkan mata sekejap. Aku melontar tubuhku ke atas katil. Sungguh selesa berbaring di atas tilam empuk ini. Apatah lagi berada di bilik sendiri. Kupejamkan mata. Mahu mengundang lena seketika sebelum kemunculan Aqel yang akan datang menjemputku.
Tiba – tiba sahaja wajah Idlan menjelma di ruang mataku. Bagaimana keadaannya sekarang? Masihkah dia mahu menyendiri? Mampukah Mak cik Tijah menghadapi kerenahnya? Harap – harap Idlan tidak akan meragam. Tidak perlu bimbang kerana Haqem juga ada bersama mereka. Haqem mampu menangani Idlan. Kukosongkan benakku. Cuba tidak memikirkan sebarang perkara. Mahu menggunakan masa yang ada ini dengan rehat yang cukup. Kesempatan berehat yang diberikan oleh Aqel harus digunakan dengan bijak. Inilah untungnya menjadi isteri bos. Mudah mendapat pelepasan. Hari ini aku tidak perlu masuk ke pejabat. Walau bagaimanapun, demi keadilan semua dan demi keberkatan wang gajiku, maka hari ini akan direkod sebagai cuti di bawah peruntukan cuti tahunan. Cuti itu akan kupohon. Lega. Baru mudah hendak melelapkan mata kerana tiada perkara yang membebani fikiran lagi. Selepas ini bolehlah tidur nyenyak.
“Awak sangat baik Lia. Saya tak perlu risau kalau saya tinggalkan Idlan pada awak. Saya percaya awak boleh jaga Idlan dengan baik. Idlan akan dapat perhatian dan kasih – sayang awak” suara arwah Harianie berbisik – bisik di telingaku. Aku tersentak. Mataku terbuka luas. Hamparan siling nan memutih menghiasi pandanganku. Kulontar pandanganku di sekeliling. Hanya aku bersendirian di bilik ini sekarang. Sofa kosong. Tiada Aqel duduk di situ sedang memerhatikan aku tidur seperti yang selalu dilakukannya. Aku melirik ke arah jam di atas meja solek. Pukul 10.45 pagi. Masih ada masa hendak menyambung tidur yang tergendala sebentar tadi. Kupejamkan mataku semula. Cuba hendak lena. Namun sukar hendak melelapkan mata semula. Mata ini seakan sudah merajuk mahu tidur. Kucuba lagi. Perkara yang sama juga. Lantas aku hanya terbaring di atas katil ini dengan mata yang terkebil – kebil menatap siling. Enggan hendak tidur setelah dicuba banyak kali. Aku tidak mahu memaksa diri hendak tidur lagi biarpun lenaku tadi hanya sekejap sahaja.
Terkenang pada suara Harianie yang berbisik – bisik di telingaku. Adakah aku didatangi roh Harianie sebentar tadi? Meremang bulu romaku. Kulepaskan keluhan kecil. Tidak patut aku berfikir yang bukan – bukan. Semoga roh arwah damai dan tenang di sana. Lantas kuhadiahkan al – fatihah buat arwah Harianie. Bingkas aku bangun mahu menyiapkan diri. Tidak mahu Aqel tertunggu – tunggu nanti. Aqel datang menjemputku tepat pada masa yang dijanjikan. Perutpun mula berkeroncong minta diisi. Memang sudah waktu makan tengah hari sekarang.
“Nak makan di mana?” tanya Aqel meminta cadanganku.
“Suka hati awak. Saya ikut saja” sahutku menyerahkan sepenuhnya kepada Aqel membuat pilihan dan keputusan. Aqel lebih arif dalam hal ini. Aku pula bukan jenis manusia yang cerewet dalam soal makan. Boleh makan pelbagai jenis menu tanpa ada sebarang alahan.

Aqel memandu ke destinasi pilihannya. Pasti sudah ada lokasi pilihan di benak Aqel. Aku seperti yang kunyatakan tadi, tidak akan membantah di mana sahaja Aqel membawaku menikmati hidangan tengah hari ini. Yang penting halal dan kebersihan terjamin. Dua kreteria ini tidak perlu dirunsingkan. Memang sudah menjadi garis panduan Aqel. Malah pasal kebersihan, rasanya Aqel lebih....lebih....lebih cerewat. Banyak sangat lebihnya. Perkara yang cuba hendak aku sampaikan adalah tentang sikap Aqel yang terlalu mementingkan kebersihan. Wajib bagi Aqel. Kalau bab kebersihan tiada kompromi langsung. Percayalah.
“Malam ini awak nak tidur di rumah mak atau di rumah awak sendiri?” tanyaku. Terkenang pada kejadian di bilik tidur tadi. Sedikit menggerunkan. Pasti iblis dan syaitan sudah tersenyum kerana telah berjaya menggugat keberanianku. Ada masanya aku boleh jadi penakut. Jikalau Aqel tidak mahu bermalam di rumah mak, pasti aku akan mempelawa Nana menemaniku malam ini. Biar hatiku tenang dan tidur pun lena.
“Temankan awak ler” sahut Aqel. Aku tersenyum sendiri. Lega.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan. Aku geleng kepala. Tidak mungkin aku akan berterus – terang kepada Aqel. Nanti tidak sudah – sudah aku dihujani dengan kutukannya. Tidak mustahil juga Aqel mahu menyakat aku. Maka sama sekali aku tidak akan membuka peluang mendorong Aqel melakukannya. Perangai Aqel yang dingin membeku ini boleh jadi gila – gila. Sudah ada buktinya. Aku pernah pengsan disebabkan tindakan Aqel yang menjelma dalam gelap kononnya mahu menakut – nakutkan aku. Tidak mungkin aku akan melupakan kejadian ngeri itu.
“Awak takut tinggal sendirian?” duga Aqel. Seperti selalu firasat Aqel selalu tepat.
“Mana ada” tingkahku menafikan andaian Aqel.
“Mana tahu awak masih ada hutang dengan arwah. Tak semestinya hutang duit. Hutang janji pun boleh” tambah Aqel sewenangnya.
“Aqel...!” tinggi suara kulontar. Aqel tergelak.
“Ada janji awak dengan arwah yang masih belum tertunai ke?” tanya Aqel masih mahu mengusikku. Aku mencebik bibir. Geram.
“Tak elok awak cakap macam tu pada yang dah takde” tegurku terhadap ketidakseriusan Aqel. Perkara ini tidak boleh dibuat gurauan.
 “Alah....bergurau pun tak boleh?” keluhnya. Aqel senyum lagi.
“Bergurau kena pada tempatnya. Jangan ikut sesedap mulut je” kritikku. Aqel tersengih – sengih. Gemar sangat menimbulkan amarahku. Suka sangat menatap jelingan tajamku. Pelik cara Aqel menghiburkan hati. Memang padan digelar manusia dingin membeku persis salji. Tidak pun manusia ais batu. Lebih keras daripada salji. Membuktikan Aqel memiliki interaksi dalaman dan luaran yang kurang sensitiviti. Tidak mudah cair. Bermakna Aqel tidak mudah dipengaruhi. Manusia ais batu? Hey... persis manusia purba pula! Tidak sesuai kalau hendak samakan Aqel dengan manusia purba. Aqel terlalu moden dan berwawasan tinggi.
“Saya ada teka – teki untuk awak” tutur Aqel mengubah topik perbualan. Tetiba sahaja Aqel banyak cakap pula. Mungkin salji di hatinya sudah mencair.
 “Teka – teki apa?” soalku berminat hendak mengetahuinya. Sekurang – kurang berteka – teki dengan Aqel boleh mengisi masa perjalanan ini. Di manakah lokasi pilihan Aqel hendak menjamu selera tengah hari ini? Terasa jauh juga.
“Awak wajib jawab tau” ujar Aqel memberi peringatan. Aku diam. Tidak mahu berjanji. Bimbang teka – teki itu sukar hendak dicari jawapannya.
“Apa soalnya? Cakaplah....” gesaku sudah tidak sabar mahu mendengar soalan teka – teki tersebut. Aqel tersenyum sendiri. Lagaknya bagai tidak serius sahaja.
“Banyak – banyak tahi, tahi apa yang berada di atas?” soal Aqel. Besar anak mataku menatap Aqel. Tidak bermorol langsung. Pengotor bicara! Aku mencebik geram ke arah Aqel. Tidak patut – patut soalan sebegini dikemukakan mahupun dikategorikan sebagai teka – teki. Pencemar keindahan bahasa dan kehalusan seni teka – teki yang diwarisi sejak sekian lama. Patutlah Aqel digelar Melayu celup. Buktinya nama yang Mak Long berikan kepada Aqel ialah Hyeon. Aqel dengan Hyeon adalah orang yang sama dan serupa. Jangan silap tafsir.
“Jawab sekarang...” arah Aqel tersengih. Aku kerah juga otakku berfikir.
“Tinggi sekali....” tambah Aqel memberi klu bagi memudahkan aku mencari jawapannya. Aku masih berfikir. Sudah beberapa minit berlalu aku masih tidak menemui jawapannya.
“Lambat sangat awak berfikir.... Tahi bintanglah” ujar Aqel memberikan jawapan pada teka – teki yang dikemukakannya sendiri. Sudah lama dia menunggu aku memberikan jawapan. Logik juga. Boleh diterima akal jawapan yang Aqel berikan. Memangpun tahi bintang berada di langit nun tinggi di atas sana.
“Sekali lagi...” ujar Aqel mahu memberi peluang kedua kepadaku setelah teka – teki pertama gagal kujawab. Aku memasang telinga. Mendengar dengan teliti. Kali ini aku pasti boleh menjawabnya dengan betul. Keyakinanku tinggi.
“Banyak – banyak tahi, tahi apa yang orang suka tengok?” soal Aqel. Alah... soalan berkaitan tahi lagi! Kotor betul fikiran Aqel! Sudahlah hendak makan tengah hari sekejap lagi.
“Merepeklah teka – teki awak” kutukku dengan jelingan ke arah Aqel yang tersengih – sengih. Aku tidak akan menjawab soalan ini. Muktamad.
“Cakap sajalah yang awak tak boleh jawab. Lembab sangat....” kutuk Aqel. Celupar sungguh mulut anak muda Mak Long ini. Sewenangnya mengata aku lembab.
“Tahi bintang jugalah. Itupun awak tak boleh fikir” rungut Aqel mengutukku lagi. Tajam pandanganku menatap Aqel.
“Mana ada semua orang suka tengok tahi bintang” tingkahku membantah bicara Aqel.
“Jangan nak menafikan. Kalau tahi bintang tu jatuh depan awak, entah apa hajat yang awak pinta” sindir Aqel. Aku selalu nampak dalam drama percintaan terutama drama Korea yang meletakkan babak tahi bintang jatuh adalah babak yang romantis. Tatkala tahi bintang melintas di depan mereka, maka hajat akan dipohon. Hajat itu pula wajib dikongsi dengan orang yang ada bersama mereka ketika itu. Kononnya perkongsian itu akan memakbulkan hajat yang dipinta. Betulkah? Aku tidak percaya. Hanya yang Maha Esa yang berkuasa mampu memakbulkan hajat hambaNya. Bukannya tahi bintang.
“Tak boleh dipercayai langsung” tingkahku menyuarakan pendirianku. Aqel tersenyum. Tidak pula dia membantah pendapatku. Mungkin Aqel juga mempunyai pandangan yang sama. Senyap.
“Saya ada teka – teki untuk awak” suaraku berkumandang. Aqel menoleh ke arahku.
“Apa soalannya?” tanya Aqel tidak sabar – sabar.
“Banyak – banyak tahi, tahi apa yang tidak berbau?” soalku.
“Pasal tahi juga” komen Aqel. Aku tersenyum. Kini idea Aqel menjangkiti aku pula. 
“Jawablah...” gesaku. Sudah sedia hendak mengutuknya jikalau Aqel tidak boleh memberikan jawapan yang tepat. Mahu membalas dendam. Bukan mudah mendapat peluang hendak membalas kutukan Aqel.
“Soalan yang mudah... Mestilah tahi bintang jawapannya” jawab Aqel begitu yakin. Tepat pula jawapan yang Aqel berikan. Aku mengetap bibir. Punah harapan hendak menebus kutukan Aqel.
“Tepatkan jawapan saya?” Lambat – lambat aku mengangguk. Aqel tersenyum.
“Kebijaksanaan saya tiada tandingan” ujar Aqel membangga diri. Aku mencebik. Kemudian berfikir semula. Syukurlah Aqel memberikan jawapan yang tepat. Sekurang – kurangnya Aqel telah menyelamatkan aku daripada menambah dosa. Aku tiada sebab hendak mengeluarkan kata – kata kesat kepada Aqel persis hasrat hatiku. Jikalau Aqel tidak memberikan jawapan yang betul tadi sudah pasti aku akan memperli Aqel. Kesempatan hendak membalas kutukannya tidak mungkin kupersia – siakan. Namun Aqel telah menggagalkannya. Terima kasih Aqel. Sangat sukar hendak menjadi isteri yang baik.
“Teka – teki yang pelik tapi kreatif juga. Saya dapat teka – teki ini daripada Idlan. Dia yang suruh saya jawab semalam” cerita Aqel menyentakkanku. Tidak menduga Idlan dan Aqel pernah meluangkan masa bersama. Aku tersenyum sendiri. Rasa terhibur. Bolehlah nanti aku kemukakan teka – teki ini kepada Aziq. Pelajar – pelajar sekolah memang gemar berteka – teki.
“Awak boleh jawab tak?” soalku ingin tahu. Aqel senyum.
“Sudah semestinyalah...” sahut Aqel angkuh. Aku mencebibik bibir lagi.
“Tapi.... lama jugalah saya berfikir” tambah Aqel berterus – terang.
“Tak adillah.Tadi awak beri saya masa yang singkat” bantahku. Aqel hanya tersenyum. Senyuman indah untuk jadi tatapan mata. Pasti ramai perempuan yang terpikat pada senyuman Aqel.
“Nasib baik saya tak boleh jawab teka – teki awak tadi. Kalau saya berjaya jawab saya mesti denda awak” gertakku mengusik Aqel.
“Awak nak buat apa?” soal Aqel.
“Nak hadiah...” sahutku laju. Aqel tersenyum.
“Nak hadiah apa?” soal Aqel lagi.
“Hadiah yang paling mahal daripada awak” pintaku berkias – kias.
“Materialistik juga awak ye....” kutuk Aqel. Aku tersengih.
“Takpe awak kaya” balasku seolah – olah membenarkan kutukannya tadi.
“Awak nak apa?” soal Aqel lagi. Aku masih dengan sengihanku. Tidak mahu menjawab pertanyaan Aqel. Sengaja hendak membuak – buakkan perasaan ingin tahu Aqel.
“Awak nak ciuman saya....” tutur Aqel tidak segan – silu. Aku terlopong.
“Aqel....!” lantang suaraku menyebut namanya. Aqel tergelak. Tidak menyangka perkara itu yang sedang Aqel fikirkan. Otak bergeliga yang tidak betul!
“Itulah hadiah yang paling mahal daripada saya. Belum ada sesiapa yang dapat ciuman saya” tutur Aqel bersahaja. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Sekarang aku boleh membuat aduan ke Mahkamah Sivil atas kes gangguan seksual. Disabit kesalahan Aqel boleh dipenjarakan. Berhati – hati apabila berkata – kata. Tidak semua orang boleh menerima kata – kata yang diungkapkan sebagai gurauan. Undang – undang tidak pernah bertolak – ansur sekalipun hanya kesalahan kecil.
“Yelah tu....Mungkin dah tak terkira berapa ramai perempuan yang pernah awak cium” perliku tidak mempercayai pengakuan Aqel. Aqel tergelak lagi. Tuduhanku tidak diendahkan.
“Yang awak kata hadiah mahal itu apa?” tanya Aqel mendesakku. Teruja hendak mengetahuinya. Aku tersenyum – senyum sendiri. Sengaja mahu menguji kesabaran Aqel.
“Jawab sekarang.... Kalau tak saya cium awak nanti” gertak Aqel selamba.
“Aqel....!” radangku. Tidak suka mendengar ancamannya itu.
“Tiada halangan dan larangan jika saya mahu bertindak demikian. Kitakan suami isteri” tutur Aqel dengan senyuman nakal memberi peringatan kepadaku. Gerun aku menyaksikan senyuman itu. Tidak sangka perbualanku dengan Aqel akan sampai ke tahap ini.
“Cubalah kalau awak berani” gertakku memberi amaran. Aqel tergelak.
“Saya tak takut pun” balas Aqel memperlekehkan amaranku.
“Aqel....!” marahku.
“Kalau awak nak selamat cakap sekarang hadiah apa?” desak Aqel tidak mahu mengalah. Aku menjeling Aqel. Panas hatiku menyaksikan sengihan Aqel. Dia tahu bahawa aku tidak berdaya sekarang. Akhirnya aku mengalah juga demi menyelamatkan diri daripada dicemari oleh Aqel.
“Senyuman ikhlas awak.... Sangat susah nak tengok orang yang persis tunggul kayu dan dingin membeku macam salji ini tersenyum. Senyuman awak sangat mahal” ujarku memberi penjelasan. Aku ikhlas menilai keperibadian Aqel. Sifat itu yang aku nampak ada dalam diri Aqel.
“Awak kutuk saya macam tunggul kayu dan dingin macam salji” ujar Aqel melenting. Perumpamaan yang membangkitkan kemarahannya. Aku tersengih panjang. Puas hati berjaya menyalakan hati Aqel. Yang dia nampak kesempurnaan dirinya sahaja. Itulah akibat riak sangat dengan anugerah yang Allah berikan sampai tidak kenal diri sendiri.
“Itulah diri awak yang sebenar. Mungkin awak tak sedar pun” tambahku berterus – terang sekali gus mengambil peluang memaklumkan kepada Aqel tentang perangainya yang luar biasa. Aqel mendengus. Tidak suka dirinya dikritik mahupun dinilai sedemikian.
“Tak payahlah bersedih. Awak masih ada banyak kelebihan” pujukku pula. Aku masih tersengih. Kelebihan yang Aqel memiliki rupa paras yang tampan, tubuh yang sihat walfiat dan sempurna, kekayaan yang berlimpah serta kereta dan rumah yang cantik. Ditambah lagi dengan kekasih yang jelita serta isteri yang comel dan manis. Aku tersenyum sendiri. Sempat juga aku membangga diri. Kalaulah Aqel dapat membaca fikiranku saat ini pasti panjang lebar kutukan Aqel dilemparkan kepadaku.
“Beranganlah tu....” Tangan Aqel menepuk kepalaku.
“Aduhhhhh....!” Aku terjerit kecil. Tidak sempat menangkis tepukan kasar tangan Aqel di kepalaku. Aqel tergelak – gelak suka. Sebaliknya aku masih mengusap – usap lembut rambutku.
“Awak ni kaki pendera....!” rungutku meradang. Aqel masih tergelak.
“Pembuli perempuan...! Nanti saya cakap kat Mak Long” gertakku akan membuat aduan tentang sikap Aqel kepada mamanya. Aqel tersenyum lagi.
“Congek....” perli Aqel. Kemarahannya tadi sudah padam. Sebaliknya kemarahan Aqel sudah berjangkit kepadaku pula. Aku mengetap bibir menahan geram.
“Kalau saya hilang ingatan macam mana?” soalku persis anak kecil. Aqel tergelak besar.
“Tepuk sikit saja mana boleh hilangkan ingatan awak. Otak awak pun belum tentu bergegar lagi. Kalau otak awak senget, saya percaya” ujarnya mengenakan aku.
“Aqel....!!!” Aku melaung nama Aqel sekuat hatiku. Melempiaskan radangku. Sesuka hati dia mengata otakku senget. Macamlah aku tidak faham. Aqel masih tergelak – gelak. Semakin riang hatinya mempersendakan aku. Celupar sangat mulut anak muda Mak Long ini. Teringin juga hendak menjahitnya. Namun memikirkan senyuman Aqel yang mempesonakan aku lenyapkan hasrat itu.
“Bagus juga kalau awak tetiba saja hilang ingatan. Nanti bolehlah saya set balik otak awak tu. Tika itu mesti awak dah lupa tentang kekasih pertama awak” ujar Aqel tersengih. Aku menulikan telinga. Enggan mahu mengulas imaginasi Aqel. Jikalau dilayan semakin meleret – leret pula bicaranya nanti. Aqel diam. Dia sedar aku tidak berminat dengan topik yang diutarakannya.
“Jauh sangat tempat yang awak nak pergi ni. Saya dah lapar sangat ni. Silap – silap nanti awak yang saya telan” rungutku. Aqel menyambung ketawanya lagi. Bicaraku boleh pula dijadikan bahan gelaknya. Rasa – rasanya kata – kataku tadi tidaklah lawak. Aqel memang pelik.
“Gelojoh sangat awak” kutuk Aqel. Kutulikan telinga. Buat – buat tidak mendengar kutukan yang baru sahaja keluar dari mulutnya. Malas mahu melayan Aqel. Semakin banyak cakap semakin giat pula dia mempersendakan aku. Betapa terhibur hatinya. Bagaikan diri ini kaya dengan unsur kecindan yang sentiasa membuatkannya ketawa. Tidak rela aku menjadi pelawak Aqel.
“Awak juga yang kata tadi akan ikut saja” ujar Aqel mengungkit kesanggupanku tadi. Aku diam. Bercakap dengan Aqel jarang aku hendak menang. Ada sahaja ideanya hendak mematahkan hujahku. Bergeliga sangat otaknya menangkis seranganku. Agaknya diam Aqel yang lebih panjang berbanding bersuara menjadikan dirinya bijak berkata – kata. Banyak diam menjadikan dirinya banyak berfikir. Pasti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi telah dikuasai dengan cemerlang. Banyak berfikir juga mudah menjana idea. Sebab itulah Aqel mudah sahaja hendak menewaskan aku. Bicaranya bernas dan mantap. Wah.... panjang sungguh teori yang aku gunakan untuk mengkaji kebijaksanaan Aqel!
“iPhone awak berbunyi” suara Aqel menyentakkanku. Aqel berpaling menatapku.
“Jawablah...” arah Aqel dengan mata yang terbuka luas. Tidaklah besar sangat mata Aqel pun. Susah hendak kata mata orang Korea besar – besar. Laju tanganku menyeluk saku beg galasku. Nombor telefon rumah yang tidak kukenali.
‘Assalamualaikum...Oh ...Mak cik Tijah..Kenapa Idlan menangis?” tanyaku sebaik sahaja mendengaran raungan tangisan Idlan yang begitu kuat. Aqel berpaling menatapku. Aku cemas. Tiada jelas butiran bicara Mak cik Tijah yang sampai di telingaku. Raungan Idlan sahaja yang menusuk halwa pendengaran. Aku hilang fokus berbicara dengan Mak cik Tijah. Bimbang sungguh mendengar raungan Idlan. Persis sedang menahan kesakitan yang teramat.
“Tak pe....Mak cik Tijah. Saya akan ke sana sekarang juga” ujarku mengubah hala tuju yang dirancang tanpa sempat berbincang dengan Aqel. Darurat. Aku terpaksa membuat keputusan sendiri. Segera kutamatkan perbualanku dengan Mak cik Tijah kerana aku mahu berbicara dengan Aqel.
“Kenapa?” soal Aqel.
“Tolong hantar saya ke rumah arwah Harianie. Saya kurang jelas apa yang berlaku dengan Idlan sekarang. Tapi saya dengar dia meraung – raung menangis” jelasku cemas. Aqel mengeluh. Tidak puas hati mendengar penjelasanku yang samar – samar.
“Haqem mana?” tanya Aqel sambil mengubah haluan destinasi yang dituju. Aku menggeleng. Tidak sempat bertanya tentang Haqem kepada Mak cik Tijah tadi. Raungan Idlan yang kudengar tadi benar – benar buat aku hilang ketenangan diri.
“Apa kata kita makan dulu. Singgahlah di mana – mana saja. Kan awak kata tadi awak dah lapar” ujar Aqel masih bertenang. Laju aku menggeleng. Sudah hilang selera hendak makan.
“Saya nak cepat tengok Idlan. Tolong hantar saya ke sana” ujarku separuh merayu Aqel. Kedengaran keluhan Aqel.
“Berdepan dengan budak lelaki itu, awak perlukan tenaga” nasihat Aqel.
“Dah hilang rasa lapar saya” jelasku lagi. Dalam keadaan cemas dan gelisah, aku tiada selera hendak menikmati hidangan tengah hari biarpun perutku masih berkeroncong.
“Suka hati awaklah....” keluh Aqel kurang bersetuju dengan keputusanku. Namun tidak mampu mematahkan kedegilanku. Kereta yang Aqel pandu meluncur laju di dada jalan. Syukur aku bersama Aqel sekarang. Maka pemandu cekap seperti Aqel dapat menyingkatkan perjalanan ini daripada yang sepatutnya. Sebaik sahaja kereta berhanti di halaman, aku terkocoh – kocoh keluar dan meninggalkan Aqel di belakangku. Mahu segera mendapatkan Idlan. Mendengar raungan tangisan Idlan tadi sangat membimbangkan aku. Raungan kesakitan yang diluahkan tanpa sekatan dan halangan. Kanak – kanak tidak pandai menyembunyikan kesakitan mereka. Tindakan mereka sangat telus.
“Idlan .... kenapa ni?” tanyaku cemas mendapatkan Idlan yang masih menangis. Namun nadanya sudah perlahan. Kupeluk tubuh kecil ini seraya menepuk – nepuk belakangnya. Cuba mententeramkan dirinya. Idlan menahan sendu - sedannya.
“Nak tidur.....” rengeknya dalam sendu yang berpanjangan. Aku mengangguk. Kukumpul tenaga dan kekuatan diri lantas mendukung Idlan ke bilik. Aku berhati – hati melangkah. Kubaringkan tubuh Idlan di atas katil.
“Nak selimut....” pintanya. Laju sahaja tanganku menebarkan selimut membungkus tubuh kecil Idlan. Kutatap wajah Idlan yang basah dengan linangan air mata. Kusapu perlahan – lahan. Hiba dan pilu hatiku menyaksikan deraian air mata anak kecil ini.
“Kenapa nangis ni?” tanyaku lembut sambil mengusap lembut rambutnya dengan penuh kasih – sayang. Mahu berkongsi kesedihan. Idlan masih tidak mahu bersuara. Hanya kedengaran sendu – sedan yang ditahan – tahan. Kasihan Idlan.
“Sakit perut?” soalku bimbang. Idlan menggeleng kepala.
“Mana yang sakit?” soalku lagi. Idlan masih menggeleng kepala. Bermakna bukan kesakitan yang menyebabkan Idlan menangis. Pasti Idlan rindu kepada ibunya. Aku semakin sedih.
“Pak....Pak... Usu.... marah” Idlan mula bersuara. Aku tersentak.
“Pak Usu marah Idlan? Dia pukul Idlan?” dua persoalan kuajukan. Idlan mengangguk – angguk. Terkesima aku dengan tindakan Haqem. Sukar hendak percaya begitu mudah Haqem hilang kesabaran diri. Tidak menyangka juga Idlan yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh dan dilayan penuh kasih sayang selama ini akan merasa pukulan tangan Haqem. Mengapa Haqem perlu bertegas di saat Idlan bersedih dan perlukan perhatian serta kasih sayang? Aku tidak dapat menerima semua ini. Tertanya – tanya juga aku apa yang telah terjadi sehingga Haqem tega bertindak sedemikian. Haqem tidak akan sewenang – wenang berlaku kasar kepada Idlan. Apatah lagi pada saat berkabung ini, Idlan dilayan dengan sebaik – baiknya.
“Jangan – jangan Idlan nakal tadi” tekaku tidak mahu menampakkan kekasaran Haqem menghadapi kerenah Idlan. Laju Idlan menggeleng.
“Sabar ye sayang..... Pak Usu pun bersedih juga sebab tu tak boleh kawal diri. Pak Usu bukan sengaja nak pukul Idlan pun. Sebenarnya Pak Usu sayang sangat pada Idlan” pujukku tidak mahu Idlan menyalahkan Haqem. Bimbang juga jikalau Idlan ada tanggapan yang buruk terhadap Haqem sekarang. Perkara ini tidak boleh berlaku memandangkan Idlan akan bergantung harapan sepenuhnya kepada Haqem. Hubungan mereka harus harmoni bagi mempermudahkan kehidupan yang mereka tempuhi. Idlan tidak boleh benci Haqem. Dia hanya ada Haqem. Setakat yang aku tahu sehingga detik ini Datin Sofea belum pernah bertemu dengan Idlan lagi. Haruskah Datin Sofea terus meminggirkan Idlan yang sudah menjadi anak yatim piatu? Tiadakah belas kasihan Datin Sofea terhadap cucunya ini? Oh...keras sungguh hati Datin Sofea!
“Idlan marah Pak Usu?” tanyaku cuba menyelami perasaannya.
“Tak...” sahutnya sambil geleng kepala. Aku tersenyum.
“Bagus...” pujiku saraya mengusap – usap rambut Idlan.
“Tak boleh marah Pak Usu, tak boleh benci Pak Usu. Sekarang Idlan ada Pak Usu je yang boleh jaga Idlan. Auntie tahu Idlan budak yang baik” nasihatku sambil memuji Idlan. Idlan tersenyum. Terubat sudah rajuknya.
“Sekarang Idlan tidur ye” arahku. Dia mengangguk. Kuatur selimut yang menyelubungi tubuh kecil ini. Kedinginan dari penyaman udara sudah terasa di sekitar bilik ini.
Auntie tunggu di sini sampai Idlan tidur” ujarku mahu menemaninya.
“Mak Usu.... tak boleh balik ye. Tunggu sampai Idlan bangun tidur nanti” pesannya. Aku mengangguk. Berkorban masa dan tenaga demi Idlan. Hanya inilah yang mampu aku lakukan untuk Idlan. Andai adanya aku di sini tatkala Idlan membuka mata akan menggembirakan dirinya, maka aku dengan rela hati akan menunggu Idlan jaga dari tidurnya nanti.
“Terima kasih .... Mak Usu” tiba – tiba sahaja Idlan bangkit dari perbaringannya. Dia terus memeluk tubuhku buat aku terkesima seketika. Tidak menyangka dengan tindakan Idlan ini.
“Idlan sayang ..... Mak Usu” tutur suara manjanya. Aku tersenyum. Rasa bahagia hati ini tatkala mendengar pengucapan sayang yang terbit daripada mulut Idlan. Sungguh aku menghargainya. Malah aku dapat rasakan keikhlasan Idlan meluahkan perasaannya.
“Sayang Idlan jua...” balasku seraya menepuk – nepuk belakangnya. Idlan tersenyum suka. Wujud jalinan kasih – sayang antara kami.
“Tidurlah sekarang...” arahku. Idlan terus melepaskan tubuhku daripada pelukannya. Lantas kembali berbaring. Sudah ada senyuman yang terukir di bibirnya. Lega tatkala melihat Idlan sudah mampu tersenyum kembali.
“Mak Usu... jangan tinggalkan Idlan ye....” ujar Idlan mengulangi permintaannya tadi. Aku mengangguk. Idlan terus sahaja memejamkan matanya rapat – rapat. Di bibirnya masih terukir senyuman yang panjang. Lapang dadaku melihat perubahan drastik emosi budak lelaki ini. Sekejap sahaja emsoinya kembali stabil. Aku tersenyum mendengar dengkuran kecil Idlan. Betapa dia keletihan mengharungi hari ini. Aku menyandarkan tubuh di sofa. Kedengaran keroncong perutku beralun perlahan minta diisi. Baru terasa lapar semula. Kupegang perutku, memintanya bersabar. Kulontar pandanganku tepat ke wajah Idlan. Kurenung lama – lama wajah putih bersih itu. Aku tidak akan tinggalkan Idlan selagi dia tidak terjaga dari tidurnya. Keroncong perutku semakin rancak. Lebih erat tanganku memeluk perutku. Bersabarlah wahai tembolokku. Berpuasalah detik ini. Cuba bertahan semampunya. Tidak akan berpisah nyawa dengan jasad ini hanya kerana perut kosong.
“Dia bakal jadi ibu yang sempurnakan” suara lelaki menegurnya. Haqem terus berpaling. Tersentak menatap Aqel sudah berada di depannya. Sedangkan dari tadi dia bersendirian di situ. Melalui celah daun pintu yang sedikit terkuak itu, dia memerhatikan gelagat gadis itu melayan budak lelaki itu dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang nampak telus tanpa paksaan. Hatinya tersentuh. Haqem mengangguk memberikan reaksi pada bicara Aqel itu. Dia sangat bersetuju bahawa Lia bakal menjadi ibu yang sempurna yang akan membahagiakan anak – anak serta suaminya. Lantas hatinya berdetik lagi akan memiliki gadis itu kembali. Cinta gadis itu adalah kepunyaan mutlaknya seorang. Dia tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja untuk mendapatkan gadis itu semula.
“Idlan sangat menyayanginya.......” tutur Aqel. Haqem mengangguk menyokong bicara sahabatnya itu sambil tersenyum sendiri. Di matanya sudah terbayang sebuah keluarga bahagia yang menceriakan hidupnya.
“Aqel....maafkan saya. Tolong lepaskan Lia sekarang. Saya dan Idlan sangat perlukan Lia” pinta Haqem merayu. Aqel dan Haqem bertentangan mata dengan mulut yang terkunci.

Di kala aku bertahan melawan lapar, baru aku teringat Aqel datang bersamaku tadi. Dia juga belum makan lagi. Pasti Aqel sedang kelaparan sekarang. Sekian lama dia menungguku. Aku hampir – hampir terlupa tentang dirinya. Aku terus bangkit lalu mengatur langkah perlahan – lahan ke muka pintu. Aku melangkah keluar meninggalkan Idlan yang sedang nyenyak tidur. Hasratku mahu menemui Aqel. Alangkah baiknya jikalau Aqel sudah pergi. Tidaklah aku rasa bersalah membiarkannya lama menungguku.
“Aqel mana mak cik?” tanyaku cuba menjejaki kedudukan Aqel sekarang.
“Ada duduk di ruang tamu” sahut Mak cik Tijah ketika bertembung denganku di anak tangga ini. Aku melepaskan keluhan. Aqel masih menungguku. Kasihan Aqel. Mesti dia sedang kelaparan sekarang.
“Idlan dah tidur?” soal Mak cik Tijah. Aku mengangguk.
“Nampak dia bersedih. Apa yang berlaku tadi, mak cik?” tanyaku mahu menuntut penjelasan tatkala melihat keadaan Idlan yang tidak terkawal. Hairan juga dengan tindakan Haqem yang memukulnya. Kali ini cepat pula Haqem hilang sabar. Senyap. Belum ada sebarang penjelasan daripada Mak cik Tijah. Nampak berat sangat dia hendak berterus – terang.
“Kenapa pula Haqem pukul Idlan tadi? Mak cik tahu sebabnya?” tuturku lebih memperincikan pertanyaanku. Laju Mak cik Tijah geleng kepala.
“Tak pe mak cik saya nak jumpa Aqel sekarang” ujarku setelah tiada sebarang maklumat yang aku peroleh daripadanya. Mak cik Tijah mengangguk. Mesti lega hatinya kerana aku tidak terus menghujaninya dengan pertanyaan. Mujur juga aku tidak mendesak Mak cik Tijah menjawabnya. Aku masih ada pertimbangan wajar. Tidak mahu membuatkan Mak cik Tijah rasa serba salah. Mungkin juga Mak cik Tijah bercakap benar. Memang dia tidak mengetahui perkara yang telah berlaku antara Haqem dengan Idlan. Aku melangkah ke ruang tamu. Aqel masih berada di sini sambil membaca akhbar hari ini. Sekadar menghilangkan kebosanan kerana lama sangat menunggu kemunculanku.
“Idlan dah tidur?” suara Aqel lebih awal menyapaku. Aku mengangguk.
“Dah takde apa – apakan?  Bolehlah kita pergi makan......” ajak Aqel terus bangkit dari sofa. Aku jadi serba salah. Sudah berjanji dengan Idlan tidak akan meninggalkannya selagi dia belum jaga. Tidak mungkin juga aku mahu Aqel terus berada di sini turut sama menunggu sedangkan dia kelaparan sekarang. Kalau berada di rumah sendiri boleh juga aku masak lantas menjemput Aqel makan bersamaku.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan tatkala melihat aku tidak berganjak.
“Aqel.... maaf. Saya dah janji dengan Idlan takkan tinggalkannya selagi dia belum jaga lagi. Awak pergilah makan” ujarku perlahan. Aqel menatapku.
“Betulkah awak tak nak makan? Tadikan awak kata lapar” ujar Aqel meminta kepastian. Aku mengangguk.
“Dah hilang lapar saya” bohongku kerana tidak mahu melambat – lambatkan kepergian Aqel. Semakin banyak yang dikatakan Aqel semakin memuncak laparnya. Bimbang juga jikalau tiba – tiba sahaja Aqel membuat keputusan mahu terus berada di sini menunggu sehingga Idlan jaga kerana tidak tega meninggalkan aku yang kelaparan. Tidak pernah Aqel meninggalkan aku bersendirian dalam keadaan yang sukar.
“Saya akan hantar makanan untuk awak nanti” tutur Aqel tidak meyakini kenyataanku.
“Tak perlu. Saya tak nak makan lagi” laju aku meningkah. Tidak mahu menyusahkan Aqel  datang ke sini semula hanya kerana mahu menghantar makanan untukku.
“Awak pergilah. Lain kali saya pergi dengan awak. Saya akan belanja awak makan” ujarku berjanji dan seakan mahu memujuk Aqel. Begitu lama Aqel di sini menantiku untuk makan bersamanya, namun dengan mudah aku mengarahkannya makanan sendirian. Penantian Aqel tidak berbaloi. Sia – sia sahaja dia menungguku lama. Mesti Aqel tidak senang dengan keputusanku ini.

“Baiklah. Nak balik nanti call saya” pesan Aqel. Aku mengangguk. Sudah semestinya aku akan mengarahkan Aqel datang ke sini menjemputku. Tiada perancangan aku hendak bermalam di sini. Sekadar mahu menunaikan janji kepada Idlan dan tidak mahu mengecewakan budak lelaki itu. Tidak berlengah lagi, Aqel terus meninggalkan aku. Barangkali rasa lapar Aqel sudah tidak dapat dibendung lagi. Kasihan Aqel.



1 comment: