Saturday 3 January 2015

NamaKu Bukan Flora....! 67






BAB 67

“Lia....” Aku berpaling. Haqem berdiri di muka pintu sambil melambai tangan ke arahku. Kutinggalkan Mak cik Tijah di dapur.
“Nak minta tolong call iPhone saya. Baru perasan iPhone takde dengan saya” jelas Haqem cemas. Aku mengambil iPhoneku lalu terus membuat panggilan. Ada bunyi tetapi tidak diangkat. Bimbang juga kalau tercicir di mana – mana ataupun tertinggal di hospital. Sangat merisaukan jikalau dijumpai oleh orang yang tidak amanah. Mereka selalu menganggap barang yang dijumpai yang bukan milik mereka adalah rezeki mereka. Dalam keadaan kelam – kabut pagi tadi semuanya tidak diingat. Kutekan lagi nombor iPhone Haqem. Kali ini diangkat.
“Assalamualaikum....ya... Flora....” Aku tersentak. Suara Aqel di talian sekarang.
“Aqel....Hyeon...” kupanggil namanya berserta nama manja Koreanya mahu mempastikan memang Encik Aqel Indra Putra bin Abdullah yang sedang berbual denganku sekarang.
“Ya.... saya” sahut suara lelaki ini. Lega. Bermakna telefon Haqem selamat.
“Baru sekejap saya tinggalkan awak, takkan awak dah tak kenal suara saya lagi” perli Aqel tidak berlengah terus menembakku. Tidak kuendahkan kutukannya ini. Tidak mahu bertikam lidah dengan Aqel di kala hati masih bersedih. Kebetulan pula Haqem berada di sebelahku turut mengikuti perbualan ini. Tidak  mahu ketinggalan mengetahui berita tentang iPhone miliknya. Cemas juga Haqem tadi. Cemas bukan sebab telefon pintar itu tinggi nilainya, sebaliknya banyak maklumat penting dan nombor rakan perniagaan yang tersimpan di situ. Tiada halangan bagi Haqem mendapatkan iPhone baru yang canggih sekiranya iPhone yang ada sekarang hilang. Namun maklumat yang disimpan tidak akan dapat dicari ganti jikalau iPhone hilang. Kalau perkara yang sama menimpa aku pasti aku menangis tidak berlagu jua. Menangis yang tiada bunyi.
“Kenapa call Haqem?” Pertanyaannya ini agak janggal di pendengaranku.
“Mestilah nak siasat iPhone itu di mana? Takkan saya call nak cakap dengan Haqem pula sedangkan dia ada di rumah ini” balasku geram. Kedengaran gelak Aqel. Haqem di sebelahku turut tersenyum. Aqel mengutarakan pertanyaan yang tidak logik. Dia sudah tahu yang aku dan Haqem berada di rumah ini sekarang. Tiba – tiba sahaja diajukan pertanyaan sedemikian. Mestilah aku menyinga.
“Pandai juga awak buat lawak ye...” ujar Aqel membidas bicaraku. Aku tersengih sendiri.
“Baguslah iPhone Haqem ada pada awak sekarang. Dia cari iPhone tu tadi” jelasku.
“iPhone dia selamat. Tertinggal dalam kereta. Nanti saya serahkan iPhone ini padanya”
“Okeylah.... Pandu hati – hati. Sekejap lagi saya call mak. Assalamualaikum.....” Kumatikan panggilan ini. Suara Aqel lenyap. Pandai – pandai pula aku menjangka yang Aqel masih berada di jalan raya. Pemandu cekap seperti Aqel tidak akan berada lama di jalan raya. Pasti Aqel sudah berada di rumah sekarang. Terlupa pula hendak tanya Aqel tadi dia berada di rumah yang mana satu. Yang mana satu pilihan Aqel. Rumah mak atau rumah Mak Long? Macam lagu P. Ramlee pula.
“iPhone saya ada pada Aqel?” tanya Haqem cepat persis kilat menyambar. Tidak sempat aku hendak menelan air liur. Bercakap dengan Aqel boleh buat tekak kering.
“Ya. Kenapa?” tanyaku hairan melihat Haqem persis tidak teruja menerima berita gembira ini. Dia berpeluang bertemu dengan iPhonenya semula. Haqem menggeleng. Sekarang bolehlah Haqem menarik nafas lega kerana iPhone yang dicari ada pada Aqel. Sudah terjamin keselamatan iPhone itu.
“Awak macam tak suka saja iPhone awak ada pada Aqel” ujarku sangsi.
“Takdelah” nafi Haqem menyangkal. Jangan – jangan Haqem khuatir rahsia dirinya terbongkar. Aku yakin dan percaya Aqel tidak akan mencerobohi hak orang lain sesuka hati.
“Lain kali kalau ada perkara penting yang mahu dirahsiakan jangan sesekali simpan dalam memori iPhone. Baik simpan dalam hati saja. Bahaya. Awak tak payahlah risau, Aqel boleh dipercayai. Takkan dah berkawan baik begitu lama awak masih tak percaya dan tak kenal perangai  Aqel” ujarku menegur Haqem. Sebetulnya, aku yang membuat andaian sendiri, memberi reaksi pada ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh Haqem tadi. Cepat sahaja aku membuat tafsiran sendiri. Haqem menggeleng lagi. Bermakna dia memang percayakan Aqel. Betullah Haqem percayakan Aqel. Kalau tidak masakan mereka boleh menjadi sahabat baik sejak sekian lama. Malah sampai sekarang masih terjalin baik meskipun tiba – tiba kemunculanku menyelit dalam hidup mereka. Ada kisah yang tidak diduga telah berlaku. Kehidupan ini sukar hendak diramal. Tiada seorangpun yang mengetahui kehidupannya pada masa akan datang. Mudah – mudahan kehidupan yang menjanjikan kebahagiaan sedang menungguku. Diharap sekalian manusia akan berbahagia di bumi Allah ini. Amin. Semoga diperkenankan Yang Maha Esa.
“Mesra juga awak denga Aqel ye...” suara Haqem memberi ulasan tentang hubunganku dengan Aqel. Aku berpaling ke arah Haqem. Bicara Haqem ikhlas atau sekadar sindiran. Macam tidak boleh diterima akal sedangkan aku dan Aqel ibarat Tom dan Jerry dikatakan mesra.
“Aqel sangat pendiam. Hanya bercakap jika perlu. Saya perhatikan bila dengan awak boleh pula dia bercakap banyak. Pandai pula menyakat awak” tutur Haqem.
“Tak pula saya tahu jika perangai Aqel seteruk itu” ujarku berlawak. Aku tergelak sendiri.
“Tapi kalau awak kata dia itu macam salji, saya setuju sangat .... sangat” ujarku menambah bicara. Berkerut dahi Haqem menatapku.
“Salji?” tanya Haqem tidak mengerti. Aku tersenyum.
“Aqel dingin sedingin salji. Malah boleh jadi lebih dingin daripada salji” jelasku. Haqem terus sahaja tergelak. Bicaraku mencuit hatinya.
“Agaknya Mak Long mengandungkan Aqel ketika musim sajli. Mana tau masa tu Mak Long mengidam nak mengunyah salji je” ujarku bersahaja. Kali ini gelak Haqem lebih besar.
“Nanti saya beritahu Aqel awak kutuknya” gertak Haqem. Aku hanya senyum. Tahu Haqem tidak serius dengan bicaranya, hanya sekadar bergurau. Ahh.... lega! Sekurang – kurangnya aku boleh buat Haqem tersenyum dan tergelak pada saat hatinya sedang berduka. Mahu meringankan sedikit bebanan perasaan yang Haqem tanggung saat ini.
“Cakap sejujurnya... Apa yang awak suka tentang Aqel?” tanya Haqem sedikit mengejutkanku. Kupandang Haqem. Pertanyaan yang aneh. Mestikah aku nyatakan kepada Haqem? Tidakkah Haqem akan mencemburuinya nanti? Oh.... aku yang fikir jauh sangat!
“Saya tanya ikhlas dan awak jawab dengan jujur” pinta Haqem sambil tersenyum. Aku masih tidak bersuara. Kurang yakin. Bimbang juga jikalau Haqem mahu mengujiku. Kemudian menyamakan aku seperti perempuan – perempuan lain yang mudah terpikat pada kesempurnan fizikal Aqel sebagai kesimpulannya. Ehh..... tidak rela diriku ditafsir sedemikian!
“Cakaplah tak payah segan. Saya takkan beritahu Aqel” janji Haqem. Aku masih berfikir. Wajib menilai Aqel sejujur – jujurnya tanpa dipengaruhi emosi. Tidak bias.
“Takkan takde langsung yang awak suka tentang Aqel” ujar Haqem persis mendesakku bersuara. Aku masih dalam pertimbangan. Pendapatku tentang Aqel itulah yang Haqem akan ingat sebagai tanggapanku terhadap sahabatnya itu. Aku harus berhati – hati dan berfikir sedalamnya sebelum membuat sebarang kenyataan. Telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya.
“Tak pernah saya dengar ada perempuan yang tak suka Aqel. Semua berangan – angan nak jadi isterinya ” tambah Haqem menyuarakan kehebatan Aqel.
“Kiranya saya ini beruntung jugalah” ujarku mencelah bicara Haqem. Haqem mengangguk dan tersenyum. Tidak tahu setakat mana ikhlasnya reaksi yang Haqem tunjukkan ini.
“Cakaplah... Awak suka sikap Aqel yang sentiasa melindungi awak” ujar Haqem mengungkit tindakan Aqel selama ini. Aku senyum.
“Itu yang buat saya rasa teruk sebab lemah sangat sehingga Aqel terus melindungi saya” sahutku. Haqem menggeleng. Tidak setuju dengan pendapatku. Dia tidak mahu aku mudah mengaku diri lemah. Pantang mengaku tewas sebelum bertarung.
“Lelaki.... setiap yang dilakukannya mesti ada sebab tersendiri” jelas Haqem. Aku senyum lagi. Sangat setuju dengan kenyataan Haqem. Aqel sentiasa mahu melindungiku sebab sudah diamanahkan oleh mak dan Mak Long agar menjagaku. Satu keluarga sudah menjadi kewajipan saling melindungi. Keluarga kami keluarga kecil sebab itu sangat akrab.
“Saya tinggalkan awak dulupun ada sebabnya....” tutur Haqem perlahan.
“Ya saya tahu....” sahutku. Namun terlewat aku mengetahuinya. Haqem meninggalkan aku sebab mahu melindungi aku daripada disakiti oleh Datin Sofea. Haqem mengorbankan cintanya demi mendapatkan jaminan daripada ibunya agar kesejahteraan hidupku tidak diganggu. Haqem mahu mempastikan aku berjaya menamatkan pengajianku dengan cemerlang. Jelasnya Haqem cuba melakukan yang terbaik buatku. Dia berharap aku hidup dengan baik walaupun dia tiada di sisiku. Pengorbanan suci yang telah Haqem lakukan untukku. Sebak dan terharu aku memikirkannya.
“Awak belum cakap lagi” desak Haqem masih mahu mendengar keistimewaan Aqel yang menarik perhatianku. Rasanya Haqem tidak akan berhenti bertanya selagi aku tidak menyatakannya. Sungguh – sungguh Haqem hendak mengetahuinya. Risau juga kalau pujianku disalahertikan oleh Haqem nanti. Silap tingkah bakal mengundang musibah.
“Saya paling suka melihat senyumannya. Senyuman orang dingin seperti Aqel sangat mahal” ujarku mengalah pada desakan Haqem. Jarang benar Aqel hendak senyum sebenar – benar senyuman. Senyuman sinis dan perlian memang kerap dihadiahkan kepadaku.
“Awak jangan beritahu Aqel tau. Nanti dia bangga diri pula” ujarku mengingatkan Haqem. Senyap. Kupandang Haqem. Nampak dia sedang berfikir jauh. Mungkin sudah sampai ke Kota Makkah dan Kota Madinah. Destinasi impian yang ingin aku kunjungi. Sejak mendengar cerita mak dan Aziq betapa indahnya kota suci itu seakan diriku turut terpanggil mahu bertandang ke situ. Menyusuri sejarah Islam yang tercatat di situ akan menginsafkan diri.
“Awak dengar tak?” tanyaku. Bahu Haqem terangkat. Pasti lontaran suaraku meleburkan lamunannya. Aku senyum.
“Jangan beritahu Aqel” ulangku semula. Haqem mengangguk tanda janjinya kepadaku. Senyap. Aku belum menghubungi mak lagi. Gara – gara rancak berbual – bual dengan Haqem, aku hampir – hampir terlupa perkara yang sepatutnya kulakukan. Aneh. Tidak pernah – pernah aku dan Haqem berbual panjang sebegini sejak bergelar isteri Aqel. Lantas kudail nombor telefon rumah. Tidak diangkat. Ke mana mak pergi selewat begini? Kudail lagi. Masih juga tidak diangkat.
“Awak pun dah pandai bergurau sekarang” komen Haqem menyambung perbualan. Aku tersenyum. Mungkin hasil berguru dengan Aqel yang selalu sangat cuba mengenakan aku.
“Benarkah?” tanyaku. Haqem mengangguk.
“Yelahkan. Dahulu tahu menangis je. Congek sangat” ujarku mengulas diri sendiri. Aku senyum lagi. Masa berganjak telah mendewasakan diri. Umurpun kian bertambah. Ketika Aqel mula mengenali aku ketika itu sikapku agak keanak – anakan. Hanya pandai mengadu. Tidak matang. Namun setelah perpisahan itu terjadi, banyak perkara yang aku pelajari. Setiap yang berlaku ada hikmahnya.
“Maaf.... sebab buat awak selalu menangis” suara Haqem perlahan sahaja. Wajahnya sugul. Sudah tiada senyuman di bibir Haqem lagi. Aku menggeleng. Sudah tidak sedap hati. Tidak mahu mengajak Haqem berada dalam zon kesedihan menambah kepiluan hari ini. Perpisahan dengan Harianie sudah cukup menguji ketabahan Haqem.
“Maaf..... saya nak call mak sekarang” ujarku lantas bangun meninggalkan Haqem bersendirian di ruang tamu ini. Aku harus menghentikan perbualan ini sebelum menjadi lebih serius. Aku tidak mahu perbualan yang dimulai dengan santai akan diakhiri dengan ketegangan. Tidak usah diungkit perkara yang lalu yang menyedihkan hati.
Telefon rumah tidak diangkat, aku dail nombor telefon bimbit mak. Alhamdulillah.... sekali dail terus sahaja diangat. Kedengaran suara mak menyahut salamku. Masing – masing saling membuat kejutan. Tidak menyangka mak dan Mak Long berada di luar daerah mengikuti lawatan rombongan warga emas yang berada di bawah seliaan Mak Long. Penyertaan mak tanpa dirancang. Tidak sangka pula ajakan Mak Long disambut baik oleh mak. Terburu – buru pergi sampai tidak sempat hendak memaklumkan perkara ini kepadaku. Kemudian memasuki pula zon yang tiada talian telefon, maka mak tidak dapat menelefonku sepanjang perjalanan. Mak baru sahaja bercadang hendak menghubungiku, namun aku yang bertindak mendahuluinya. Hutan rimba mana yang mak masuki? Semoga rombongan warga emas ini selamat sampai dan selamat kembali. Mudah – mudahan jua beroleh kegembiraan dan keseronokan pengubat kesunyian mereka.
Alhamdulillah. Mak merestui keputusan Aqel meninggalkan aku di rumah ini. Pilu hati mak mendengar budak lelaki 6 tahun ditinggalkan oleh ibunya. Bertambah rawan dan hiba hati mak tatkala mengetahui kemalangan yang menimpa keluarga Idlan. Dalam usia kanak – kanak sudah menjadi anak yatim piatu. Tiada ibu bapa, hilang saudara kandung. Sokongan mak hanya berkuatkuasa selama 24 jam sahaja. Esok aku harus balik ke rumah. Mak tidak mahu aku meninggalkan Aqel bersendirian di rumah untuk hari seterusnya. Keperluan Aqel adalah tanggungjawabku dan sudah semestinya menjadi keutamaan. Inilah peringatan yang sering mak sampaikan kepadaku. Sememangnya malam ini sahaja aku tidur di sini. Mahu menemani Idlan mengharungi malam pertama tanpa ibu yang dikasihi berada di sisinya. Esok sudah semestinya berada di rumah mak biarpun bersendirian kerana lusa barulah mak balik. Mana tahu Aqel tidak mahu menemaniku di rumah mak.
 Teringat kepada Aqel, laju sahaja tanganku mendail nombor iPhone Aqel. Mahu memaklumkan penyertaan mak dalam lawatan rombongan warga emas yang diketuai sendiri oleh Mak Long. Bermakna mak tiada di rumah, maka terpaksalah Aqel bersusah – payah menyediakan barang keperluanku. Tatkala teringat pada pakaian dalam, hangat membahang wajahku. Segan pula hendak berhadapan dengan Aqel nanti. Tidak sampai hati pula hendak mengarah Aqel menyentuh barang peribadi yang terlalu sulit itu. Ohh... sangat sensitif! Tiga kali cuba menghubungi Aqel namun masih tidak berjawab. Maka kuhantar pesanan ringkas. Lebih menyenangkan dan dapat menyembunyikan rasa maluku. Aku minta Aqel ambil sahaja baju tidur dan pakaian yang sesuai dipakai siang bagi mempermudahkannya. Tiada pesanan jelas yang mengarahkan Aqel membawa pakaian dalam. Hanya berharap Aqel akan faham sendiri. Berus gigi, pencuci muka dan set mandian yang lain berserta tuala mandi tidak lupa kuarahkan juga Aqel membawanya. Maka dengan terperinci aku memberitahu kepada Aqel di mana lokasi barang – barang itu. Mesej yang kukarang sudah berjaya dihantar. Pasti Aqel sudah meneriman mesej itu. Mungkin juga Aqel sedang membacanya.
‘Minta maaf Aqel sebab buat awak kelam kabut sekarang.....” ujarku berbicara sendiri sambil membayangkan Aqel sedang lintang – pukang menyediakan barang – barang keperluanku. Kasihan Aqel. Aku telah menderanya.
Haqem masih mematungkan diri di ruang tamu. Bersendirian dengan pelbagai persoalan yang bercambah di benaknya. Keceriaan gadis itu bercerita tentang sahabatnya itu menggusarkan Haqem. Namun tidak mahu membebankan dirinya dengan kesedihan yang berganda. Kata hati tidak harus dituruti. Idlan perlukan dirinya persis dia perlukan gadis itu. Keinginan memiliki gadis itu kian mendesak dirinya. Haqem merasakan dia dan Idlan memang perlukan sangat kehadiran Lia dalam hidup mereka.

Aqel datang lebih awal kerana ada majlis tahlil selepas solat Maghrib berjemaah. Ketika menyerahkan beg pakaian ini kepadaku langsung tiada bicara keluar dari mulutnya. Tidak juga dia mahu bercakap tentang mak dan Mak Long yang menyertai lawatan rombongan warga emas. Jauh sekali hendak mengadu kesukarannya mengemas barang keperluan yang kuharapkan mak akan menolongku menyediakannya. Tiada penjelasan langsung tentang panggilanku yang tidak dijawabnya. Aqel meninggalkan aku begitu sahaja. Lantas memasuki barisan pertama jemaah lelaki. Tidak mahu ketinggalan menunaikan solat Maghrib bersama imam. Sikap Aqel sedemikian tidak menghairankan aku. Aqel boleh jadi lebih dingin daripada salji. Kupandang Idlan yang lengkap berbaju Melayu berdiri di sebelah Haqem berdekatan dengan Aqel. Kupandang dengan hati hiba wajah sayu dan gerak – geri longlainya. Terasa kepiluan mencengkam hati. Usianya masih kecil, namun dia sudah mengerti tentang perpisahan itu. Perpisahan yang tiada pertemuan lagi. Pengalaman lalu membuatkan dirinya lebih mengerti tentang makna kematian. Idlan lebih matang daripada kanak – kanak yang seusia dengannya.
Usai solat Maghrib berjemaah, disusuli dengan bacaan tahlil untuk arwah Harianie. Mendengar bacaan tahlil memenuhi ruang banglo ini hatiku terusik lagi. Walaupun aku dengan arwah baru sahaja berkenalan, namun kemesraan yang terjalin bagaikan sudah sekian lama mengenali hati budi masing – masing. Keperibadian arwah yang begitu disenangi membuatkan aku mudah mesra dengannya. Arwah Harianie sangat bersederhana menjalani hidupnya. Memiliki tutur kata yang sopan dan tingkahlaku yang ramah membuatkannya ramai kenalan. Sejak aku mengenalinya tidak pernah arwah menyinggung perasaanku. Sentiasa bersedia memaafkan orang lain tanpa sekelumit perasaan dendam. Kemuliaan hatinya inilah yang menyebabkan dirinya disenangi sesiapa sahaja yang mengenalinya. Buktinya siang tadi ramai kawan – kawannya datang menziarahi buat kali terakhir. Mereka tidak mampu menahan tangis. Betapa arwah Harianie disayangi sekalian orang yang mengenalinya. Menambah kepiluan hati tatkala terpandang Idlan yang sukar hendak didamaikan perasaannya. Sekujur tubuh ibunya yang kaku dipeluk erat. Sukar hendak dipisahkan. Dia belum bersedia berpisah dengan ibu yang dikasihi.
“Minuman air panas dah siap?” Aku dikejutkan dengan suara Mak cik Tijah. Laju tanganku mengesat air mata yang menitis di pipiku. Sebak dadaku.
“Dah mak cik” sahutku lalu mengalih pandangan daripada para jemaah yang sedang tekun bertahlil ke wajah Mak cik Tijah. Aku tidak dapat menyertai mereka dan hanya memandang dari sudut tepi ini sambil melayan perasaan sendiri. Berbicara dengan suara hati.
“Belum mandi lagi?” tanya Mak cik Tijah. Aku tersengih.
“Sekejap lagi” sahutku.
“Dah ada baju nak pakai malam ni?” tanya Mak cik Tijah lagi.
“Ada dalam beg tu” jelasku sambil menunding jari ke arah beg pakaian yang Aqel serahkan kepadaku tadi. Mak cik Tijah melontar pandangan ke situ.
“Kenapa beg itu tak disimpan dalam bilik?” tanya Mak cik Tijah.
“Biarlah dulu di situ. Nanti saya bawa masuk ke bilik bila dah selesai majlis ini” jelasku kerana tenagaku sangat diperlukan di dapur ketika ini. Sementara Mak cik Tijah solat berjemaah, bolehlah aku mengambilalih tugasnya di dapur ini. Sekadar mendidihkan air untuk dibuat minuman panas. Ketika gerimis yang turun mencurah – curah membasahi bumi, mungkin ada tetamu yang mahu minuman panas untuk menghilangkan kedinginan. Sebenarnya tidak banyak kerja yang perlu dilakukan kerana makanan untuk menjamu jiran – jiran dan sahabat – handai yang datang bertahlil pada malam ini ditempah khas dari luar. Maka hanya perlu menyediakan ruang jamuan agar mereka mengetahui tempat menghidang makanan nanti. Perkara ini tidak mendatangkan masalah kerana banglo milik arwah ini sangat luas. Boleh menampung ramai tetamu.
Usai tetamu menikmati hidangan malam, aku melakukan sedikit kerja pembersihan di dapur. Sisa – sisa kerja yang tidak sempat Mak cik Tijah selesaikan gara – gara menyiapkan keperluan Idlan sebelum tidur. Tidak banyak kerja yang perlu dilakukan memandangkan pihak yang dibayar menguruskan jamuan melakukan semua tugasan, bermula daripada menyediakan kain alas meja, menghidang, menambah makanan dan minuman sehinggalah mengemas bekas – bekas hidangan serta melakukan kerja pembersihan di kawasan menghidang. Semuanya dilakukan dengan cekap dan pantas. Begitu mudah sekarang asalkan ada wang semua kerja akan beres.
“Awak belum mandi lagi?” suara Haqem menyapaku. Aku berpaling. Haqem sedang berdiri di ambang pintu melontar pandangan ke arahku.
“Sekejap lagi habis saya buat kerja ni” jelasku menjawab pertanyaannya.
“Biarkan saja cawan – cawan itu di sinki. Awak pergi mandi sekarang. Tak baik mandi lewat malam” ujar Haqem mengarah aku. Aku tersenyum.
“Takpe tinggal sikit je lagi” sahutku berkeras mahu melangsaikan semuanya sebelum meninggalkan dapur. Alang – alang hendak ditinggalkan kerja sekerat jalan sahaja.
“Kalau macam itu biar saya yang habiskan kerja awak. Awak pergilah mandi” arah Haqem lebih tegas kali ini. Haqem melangkah masuk ke ruang dapur.
“Hey.... tak pe.... saya boleh buat” tuturku cuba menghalang hasrat Haqem. Haqem sudah berdiri di belakangku, dekat denganku buat aku kurang selesa.
“Pergi sekarang.....” arah Haqem lantas merampas cawan di tanganku. Aku menjarakkan diri dari Haqem.
“Okey... saya pergi” ujarku mengalah. Haqem senyum dan mengangguk.
“Tapi awak tak payah cuci cawan yang tinggal ni. Lepas mandi nanti saya sambung buat kerja ni” pintaku membuat perjanjian. Haqem mengangguk tanda setuju. Kutinggalkan Haqem yang masih tercengat di depan sinki. Melewati ruang tamu yang tiada sesiapa berada di situ. Namun tv masih terpasang. Mungkin Haqem yang mahu menontonnya. Tidak kelihatan kelibat Aqel di sini lagi. Agaknya dia sudah pulang. Aqel tidak dapat memenuhi ajakan Haqem hendak bermalam di sini.
Usai sahaja mandi, aku membuka beg yang Aqel bawa tadi. Tergamam aku tatkala menatap pakaian di dalam beg ini. Tiada satupun bajuku di sini. Semuanya baju Aqel. Yang padan denganku hanyalah pakaian dalam ini. Itupun masih dengan tanda harganya. Barangkali Aqel tersilap ambil beg. Bukankah kejadian ini pernah berlaku? Laju tanganku mencapai iPhone lantas menghubungi Aqel.
“Assalamualaikum..... Awak pasti ke bawa beg yang betul?” tanyaku terus menerus tidak memberi peluang langsung mendengar suara Aqel berkumandang sebaik sahaja panggilan ini diangkat.
“Betullah.... itu beg pakaian awak” balas Aqel bersahaja. Mujur juga Aqel yang jawab.
“Mana baju tidur saya? Baju untuk esok? Yang bertanda – tanda harga ini siapa punya?” tanyaku panjang berjela. Menyebut pakaian dalam secara simbolik. Mesti Aqel faham.
“Saya tak balik rumah awak tadi. Dah takde mak di sana. Saya pinjamkan saja pakaian saya pada awak. Dalam perjalanan ke sini tadi baru saya ingat awak perlukan pakaian dalam. Saya singgah ke kedai yang jual pakaian dalam perempuan yang pertama saya nampak” jelas Aqel panjang berjela juga. Kelu lidahku mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Aqel ini.
“Awak tak kisahkan pakai pakaian dalam dari kedai yang belum basuh lagi. Harap – harap padan dengan awak. Saya main agak je tadi” tambah Aqel dengan bersahajanya. Panas membahang wajahku tika ini. Begitu selamba Aqel menuturkannya. Langsung tiada perasaan segan – segan. Eee... tidak mahu aku berandaian jika Aqel cuba membayangkan ukuran bidang dadaku dan inci punggungku tadi!  Sungguh sensitif perkara ini.
T-shirt beruang merah itu dah biasa awak pakai dan seluar tidur saya itu awak dah pernah pakaipun. Tak jadi masalah” ujar Aqel menambah bicaranya lagi.
“Pastikan awak jaga baik – baik t-shirt beruang merah tu. Itu baju kesayangan saya” ujar Aqel memberi arahan. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram.
“T-shirt ini.... saya punyalah” tingkahku meradang.
“Eiikkk..... Awak dah beri t-shirt itu pada saya!” balas Aqel mengingatkan aku.
“Saya boleh ambil baliklah” gertakku.
“Buruk siku....” kutuk Aqel mengulangi simpulan bahasa itu. Dia pernah sekali mengatakan sedemikian kepadaku.
“Kalau seluar itu panjang sangat, nanti awak fikirkanlah macam mana nak buat” pesan Aqel. Mestilah hujung kaki seluar itu dilipat beberapa kali. Mustahil pula aku hendak mengguntingnya. Seolah – olah dia sedang bercakap dengan orang yang tidak tahu berfikir. Dungu.
“Okeylah.... Terima kasih...” ujarku tidak sepenuh hati. Malas mahu memanjangkan bicara. Nanti lebih banyak pula ketegangan berlaku. Tahu – tahu sahajalah otak Aqel begitu agresif dan kreatif hendak mengenakan aku.
“Awak di mana sekarang?” tanyaku.
“Ada di luar ni” sahut Aqel.
“Luar mana?” tanyaku lagi. Jawapan Aqel tidak jelas.
“Di ruang tamu depan tv bersama Haqem. Marilah tengok tv sama – sama” ajak Aqel cuba hendak mempermainkan aku. Dia ingat mudah sahaja dia hendak membohongi aku. Aku langsung tidak mempercayai kata – kata Aqel. Aku yakin Aqel sudah balik dan tidak akan tidur di sini. Mustahil aku tidak nampak jasad Aqel kalau benar dia berada di ruang tamu tadi. Kecualilah dia sudah menjadi manusia halimunan. Memang ghaib dipandang mata. Sah Aqel mahu menipuku.
“Yelah tu...” balasku geram. Tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihatnya.
“Datang sini nanti ye. Kita sama – sama temankan Haqem” ajak Aqel lagi menambah pembohongannya. Aku mendengus kecil. Geram dengan perangai Aqel yang tidak sudah – sudah mahu mengenakan aku. Dasar kaki buli perempuan! Aku akan adukan perkara ini kepada Mak Long nanti. Gertak suara hatiku.
“Okeylah..... saya nak....” terhenti bicaraku. Tidak patut aku hendak maklumkan kepada Aqel yang aku baru sahaja hendak memakai baju dan seluar. Baru selesai mandi dan masih berkemban tuala lagi. Sumpah aku tidak akan beritahu Aqel. Sama sekali tidak akan membuatkan dirinya berfikir ke arah itu. Aqel lelaki normal.
“Baru je nak pakai baju” teka suara Aqel meluncur laju buat aku terkedu. Selalu sahaja bicaranya tepat. Bagaikan Aqel ada sepasang mata lain untuk sentiasa memerhatikan aku.
“Mana ada. Saya baru je nak mandi” tingkahku berbohong. Kedengaran gelak Aqel.
“Assalamualaikum.....” terus sahaja kuakhiri perbualan ini. Tidak memberi peluang Aqel bercakap lagi. Kuletak iPhone di atas katil. Kubelek – belek pakaian yang Aqel pinjamkan ini. Harum mewangi. Kupandang lama pakaian dalam yang masih tersimpan kemas dalam plastik ini. Ngeri aku hendak mengeluarkannya. Bagaimana citarasa Aqel? Fikiran nakal menyelit di benakku. Subhanallah..... orennya.... hijau pucuk pisang pula...! Warna yang mengancam ...terang – benderang. Aku tergamam. Dahsyat betul citarasa Aqel. Kali ini terkedu pula tengok harga yang terpamer. Seakan tidak logik harga set pakaian dalam ini. Hanya sepasang seluar dalam dengan coli sudah menjangkau harga beratus. Mungkin juga dibuat daripada kain sutera yang bermutu. Kuusap fabriknya. Tiada yang luar biasa. Senang – senang sahaja Aqel membazirkan wangnya. Jangan – jangan ini set pakai dalam untuk membentuk tubuh yang cantik. Teringat Aqel pernah menyuruh aku menurunkan berat badanku.
Mahu tidak mahu dan aku sebenarnya sudah tiada pilihan, terpaksa juga memakai pakaian yang Aqel bawa ini. Mustahil pula aku hendak menyarung kembali pakaianku siang tadi yang sudah hampir – hampir 24 jam tersarung di tubuhku. Sudah berbau peluh. Mujur juga set pakaian dalam yang Aqel beli ini padan denganku. Memang selesa memakainya. Berbaloi dengan harganya. Ibarat kalah membeli menang memakai. Namun warna yang terang – benderang ini menakutkan aku. Nasib baik t – shirt yang kupakai ini berwarna merah dan fabrik tebal. Kalaulah t – shirt yang berwarna putih dan nipis sudah pasti jelas pada penglihatan. Boleh jadi model pakaian dalam perempuan. Ehh.... ngerinya aku! Kulipat hujung kaki seluar tidur ini. Seluar milik Aqel ini memang panjang sangat. Boleh dibuat alas kaki kalau tidak dilipat hujungnya. Kuamati diriku di dada cermin. Tidak seksi. Kemudian barulah aku keluar bilik hendak ke dapur melangsaikan kerjaku yang terhenti sebentar tadi. Sebelum melelapkan mata, semua cawan yang ada di dalam sinki mesti siap dibasuh dan dikeringkan. Mahu meringankan kerja Mak cik Tijah.
“Awak betul – betul ada di sini sekarang!” besar suaraku tatkala terpandang Aqel sedang terbaring santai di depan tv di ruang tamu ini. Haqem berpaling ke arahku. Tampak kehairanan.
“Kan saya dah cakap tadi. Mari minum milo panas” sahut Aqel bersahaja dengan mata yang masih fokus pada skrin tv. Sempat pula mengajak aku minum bersama mereka. Ajak – ajak ayam. Kalau ajak ikhlas pun aku tidak akan sudi. Aku mengetap bibir.
“Mesti awak kata saya bohongkan....” ujar Aqel lalu berpaling ke arahku. Tepat pandangan Aqel menghala ke tubuhku. Laju tanganku bersilang di dada. Cuba melindungi kawasan larangan daripada pandangan mata Aqel. Aqel terus sahaja tergelak.
“Kalau kat atas awak tutup, yang kat bawah macam mana?” tanya Aqel nakal mengusikku. Besar mataku menatap Aqel. Aqel tergelak – gelak sendiri.
“Apa?” tanya Haqem tidak mengerti. Dahinya berkerut.
“Saya nak ke dapur sekarang” ujarku mahu melarikan diri. Tidak tahan mendengar bicara Aqel. Malu jikalau Haqem juga mengetahui perkara ini. Kupercepatkan langkah ke dapur. Mahu mencuci cawan – cawan yang kutinggalkan di sinki. Sinki kosong. Semua cawan sudah dibasuh. Mesti Haqem yang mengambilalih tugasku tadi. Kuperhatikan di sekitar ruang dapur ini. Bersih dan rapi. Tiada kerja yang perlu dilakukan lagi. Lantas aku meninggalkan dapur.
“Lia....!” Haqem memanggilku. Langkahku terus terhenti.
“Kenapa?” tanyaku tidak sedap hati. Haqem dan Aqel sedang menatapku. Mungkinkah Aqel sudah berkongsi cerita dengan Haqem? Perasaan was – was menyelubungiku.
“Baju tidur siapa yang awak pakai ni? Nampak pelik je. Dahlah seluar berlipat macam nak pergi sawah” komen Haqem berbaur perlian disambut gelak tawa Aqel. Aku mencebik bibir. Geram sangat. Tidak sudah – sudah Aqel mahupun Haqem menyibuk halku.
“Ini baju tidur suami saya yang tersayang” jawabku geram. Tiba – tiba sahaja Aqel tersedak. Air milo dalam mulutnya terpercik keluar. Mujur tidak mengena muka Haqem yang duduk di sebelahnya. Kalau tidak percuma sahaja muka kacak Haqem menjadi mangsa air liur basi Aqel. Ha..ha...ha....! Hatiku ketawa dengan girangnya. Aqel terbatuk – batuk kecil. Padan mukanya!
“Pakai baju tidur Aqel?” tanya Haqem. Laju aku mengangguk sambil buat – buat tersenyum suka. Aqel masih mengurut – urut dadanya. Cuba melegakan dirinya. Aqel pasti tidak menjangka akan mendengar betapa hebatnya pengakuanku itu. Teruja sangatkah Aqel mendengarkannya sehingga membuatkan dirinya tersedak sedemikian? Tidak patut....!
“Saya nak jenguk Idlan dalam bilik. Hati – hati minum air milo panas. Jangan sampai tercekik pula. Assalamualaikum....” ujarku menyindir Aqel. Terkebil – kebil matanya menatapku. Haqem sekadar tersengih. Sedar kawannya sedang disindir. Aku melangkah meninggalkan Aqel dengan Haqem di ruang tamu.
“Nak baca buku cerita Misteri 1001 Malam tu juga” tegas suara Idlan.
“Minta maaf.... nenek betul – betul tak tahu buku cerita itu diletak di mana. Nenek dah cari merata tempat dalam bilik ini tapi masih tak jumpa. Sekarang Idlan baca buku ini ye...” lembut suara Mak cik Tijah memujuk Idlan. Aku tidak jadi meneruskan langkah memasuki bilik tetamu. Nampaknya Idlan sedang meragam sekarang. Maklumlah malam ini merupakan malam pertama dia tidur tanpa ibunya. Pasti aneh rasanya. Kasihan Idlan. Dia mesti tertekan sekarang.
“Nak baca juga....” sahut suara Idlan berdegil. Kedengaran keluhan kecil Mak cik Tijah. Sudah tidak mampu memujuk budak lelaki ini.
“Kalau mama ada.... pasti dia tahu buku cerita itu diletak di mana....” keluh Idlan hiba. Terusik hatiku mendengarkannya.
“Sabar ye sayang....” pujuk Mak cik Tijah lagi dengan sebaknya.
“Assalamualaikum..... boleh auntie masuk?” ujarku meminta kebenaran sambil menjengukkan kepala di ambang pintu. Mak cik Tijah mengesat air matanya. Lantas menghantar bahasa isyarat mengarahkan aku masuk. Aku tersenyum. Kutatap wajah Idlan yang masam mencuka. Lantas kuusap – usap kepalanya. Sesungguhnya, mengusap kepala anak yatim piatu ada berkatnya. Bahkan menggembirakan mereka akan beroleh pahala.
“Boleh auntie tengok buku cerita ini?” tanyaku berhati – hati. Mesti pandai menggunakan psikologi menghadapi jiwa halus kanak – kanak yang sangat sensitif. Silap bicara bakal meremukkan perasaan budak lelaki ini. Buku cerita ini dihulurkan kepadaku. Aku membuka halaman pertama. Terpandang sebaris catatan tulisan tangan arwah Harianie sebagai pesanan seorang ibu buat anaknya. Tidak perlu ditanya siapa yang menghadiahkan buku cerita ini kepadanya. Bimbang pertanyaan yang diajukan akan menguris hati kecilnya. Namun jika Idlan dengan rela hati mahu bercerita tentang perkara ini, aku bersedia menjadi pendengar setia. Jelasnya, buku cerita ini adalah hadiah daripada bonda yang dikasihi buat anak yang disayangi. Hadiah arwah Harianie untuk Idlan.
“Nampak best saja buku cerita ni. Idlan dah baca?” tanyaku. Dia mengangguk.
“Boleh tak kalau auntie baca sekali lagi untuk Idlan. Auntie teringinlah nak tahu ceritanya. Auntie tak pernah pun baca” ujarku bersungguh – sungguh. Idlan menatapku. Dia mengangguk. Lega. Bimbang juga kalau Idlan masih berdegil mahukan buku cerita yang dipintanya tadi. Mak cik Tijah telah bersungguh – sungguh mencarinya. Barangkali buku cerita itu tidak berada di dalam bilik ini.
“Terima kasih banyak – banyak....” ujarku teruja dan seronok. Mak cik Tijah tersenyum.
“Kita baca sekarang ye” ajakku. Sekali lagi Idlan mengangguk.
“Idlan nak baring atas katil” pintanya.
“Oh.... boleh. Mari....” ajakku lantas memimpin tangan kecil ini naik ke atas katil sambil diperhatikan oleh Mak cik Tijah yang tersenyum. Kemudian membaringkan tubuh Idlan. Aku duduk di birai katil, di sebelah Idlan yang sudah bersiap sedia hendak mendengar aku membaca buku cerita di tanganku. Mak cik Tijah memberi isyarat mahu keluar dari bilik ini. Aku mengangguk. Maka tinggallah aku dan Idlan di  sini.
“Dengar baik – baik ye... auntie nak bercerita sekarang” ujarku memaklumkan kepada Idlan. Dia mengangguk. Tanpa berlengah akupun mula membaca halaman pertama kisah ‘Pemuda dan Batu Ajaib’. Idlan begitu tekun mendengar aku membaca buku cerita ini. Langsung dia tidak mencelah mahupun mengemukakan sebarang pertanyaan. Harap – harap Idlan seronok mendengar aku menyampaikan cerita ini dengan penuh perasaan. Cuba melakukan yang terbaik buat Idlan. Kebetulan pula aku memang pencerita yang hebat. Sentiasa johan dalam pertandingan bercerita ketika zaman sekolah rendah dahulu. Kenyataanku ini berupa fakta. Bukan omong – omong kosong sahaja. Ada piala tempat pertama yang kuterima dan sijil penyertaan yang membuktikan kehebatanku. 
“Sekian .... terima kasih” ujarku menandakan tamatnya sebuah kisah yang dicetak dalam buku yang mengandungi 16 muka surat ini. Idlan terus sahaja bertepuk tangan sambil tersenyum. Aku terpana. Sungguh aku tidak menduga reaksi sedemikian yang ditunjukkan oleh Idlan. Kuletak buku cerita ini ke tepi. Aku tersenyum menatap Idlan.
“Esok.... kita cari buku cerita Misteri 1001 Malam itu sama – sama ye” ajakku. Idlan mengangguk suka. Dia senyum lagi.
Auntie juga akan beli buku cerita baru untuk Idlan sebab tunjukkan sikap yang baik” ujarku berjanji. Kian mekar senyuman Idlan.
“Sekarang..... masa untuk.....” Kubiarkan bicaraku tergantung. Sengaja mahu mendengar suara Idlan kerana hari ini dia lebih banyak mendiamkan diri. Sudikah Idlan melengkapkan ayat yang baru sahaja keluar dari mulutku ini?
“Tidur....!” sahut Idlan gembira. Lega rasanya menatap senyuman Idlan yang berpanjangan. Memang reaksi ini yang kuharapkan daripadanya.
“Idlan tidurlah sekarang” arahku lembut sambil menarik selimut tebal menutupi sebahagian tubuh kecil ini. Kuusap rambutnya.
“Mak Usu tidurlah di sini temankan Idlan” pintanya. Aku mengangguk. Idlan masih mahu memanggilku sedemikian. Saat sedih begini tidak tega pula aku hendak menghalangnya. Bimbang buat dia berkecil hati. Aku mahu menjaga hati Idlan agar dirinya tidak terus murung. Mampu memberikan sedikit kegembiraan kepada Idlan sangat bererti buatku.
“Idlan tidur di atas katil ini, auntie pula akan tidur di atas sofa panjang itu. Auntie kalau tidur macam orang berlawan. Nanti kalau auntie kongsi katil dengan Idlan, risau pula akan menyebabkan Idlan jatuh” jelasku memberi alasan secara lembut. Biarlah Idlan tidur sendirian di atas katil ini. Ruang yang luas membebaskan pergerakannya. Aku mahu memberi keselesaan maksimum kepadanya. Biarlah dia tidak terjaga di tengah malam yang sunyi sepi. Suasana yang boleh menambahkan kesayuan hati yang sedang bersedih. Idlan tergelak. Alasan yang kuberikan mencuit hatinya.
 “Bolehkan....?” tanyaku. Idlan mengangguk.
“Idlan budak yang baik” pujiku. Dia tersenyum lagi.
“Mak Usu.... kenapa uncle Aqel tak tahu barang Mak Usu disimpan di mana? Kalau ayah Idlan dia tahu tempat barang mama disimpan. Selalu juga ayah tolong ambilkan barang mama” cerita Idlan buat aku terkedu. Tidak menyangka Idlan akan ingat pada bicara Aqel siang tadi. Malah tidak menduga Idlan mahu mengulas kenyataan Aqel itu. Aku senyum dan geleng kepala. Tidak tahu menjawab pertanyaan Idlan ini. Niat Idlan hanyalah untuk bertanya. Namun bicara Idlan ini besar maknanya. Ada maksud tersirat yang boleh ditafsirkan tentang hubunganku dengan Aqel.
“Idlan tidur sekarang ye... dah lewat ni. Idlan kena bangun awal esok, nak solat subuh lagi” jelasku. Idlan mengangguk tanda akur pada arahanku.
“Idlan nak baca al – fatihah banyak – banyak untuk mama, ayah dan kakak” ujar Idlan buat aku sebak. Syukurlah Idlan tahu tanggungjawabnya terhadap keluarga walaupun masih kecil.
“Idlan memang anak yang baik. Sudah semestinya mama, ayah dan kakak – kakak Idlan tenang dihadiahkan al – fatihah” pujiku terharu. Beruntung memiliki permata hati sehebat Idlan Raid. Budak lelaki yang cerdik dan berhati suci murni. Memiliki nama yang hebat. Pemimpin yang adil. Sungguh besar maknanya. Mudah – mudahan Idlan Raid akan menjadi pemimpin yang adil.
“Idlan akan sentiasa baca al – fatihah untuk mereka” tekad Idlan. Alhamdulillah. Anak yang soleh dan solehah adalah harta dunia yang paling berharga.
“Ada apa – apa nak cakap lagi?” tanyaku memberi peluang kepada Idlan hendak memanjangkan perbualan ini. Laju dia menggeleng kepala.
“Dah mengantuk...... nak tidur sekarang” ujar Idlan. Dia menguap. Laju telapak tangannya menutup mulut. Tingkahlakunya bertatatertib. Bicaranya tersusun dan penuh pengertian. Belum sampai sehari kepergian Harianie, namun Idlan sudah matang. Sikap dan gaya pertuturannya berlainan dengan kanak – kanak yang seusia dengannya. Perubahan yang mendadak. Nun jauh di sudut hatiku, aku tidak mahu Idlan kehilangan keriangan zaman kanak – kanak yang harus dinikmatinya. Sekejap sahaja Idlan sudah melelapkan mata. Kurenung wajah putih bersih ini dengan perasaan sayu dan hiba. Sungguh aku kasihan dan bersimpati kepada Idlan yang menempuhi dugaan hidup yang berat tidak setanding dengan usianya. Kubelai rambut Idlan dengan penuh kasih sayang. Kasih seorang kakak kepada adiknya, sayang seorang mak cik kepada anak buahnya. Mudah – mudahan Idlan Raid tabah menghadapi ujian yang Allah berikan kepadanya. Amin.

“Awak sangat baik Lia. Saya tak perlu risau kalau saya tinggalkan Idlan pada awak. Saya percaya awak boleh jaga Idlan dengan baik. Idlan akan dapat perhatian dan kasih – sayang awak” bicara yang keluar dari mulut Harianie ketika mengiringiku ke kereta Haqem sebaik sahaja majlis hari jadi Idlan tamat. Kiranya inilah wasiat terakhir Harianie kepadaku.

Haqem yang sejak dari tadi memerhati di sebalik daun pintu yang terkuak sedikit, menahan gelodak perasaannya. Kesedihan dan kepiluan sudah tidak terkawal. Berat sungguh ujian yang diterimanya tika ini. Keinginan memiliki gadis itu semakin kuat mendesak dirinya. Betapa dia dan Idlan sangat memerlukan kehadiran Lia dalam hidup mereka. Dia dan Idlan akan menjadi keluarga yang bahagia dengan adanya Lia. Gadis inilah pelengkap keluarga sempurna mereka.

 Kecewa dirinya tatkala teringat Aqel sudah meninggalkan rumah ini. Rasa menyesal kerana tidak menghalang kepergian pemuda itu. Kalau ikutkan hatinya, malam ini juga dia mahu Aqel membebaskan Lia. Biar gadis itu menjadi hak milik mutlaknya seorang. Sudah terbayang senyuman bahagia Idlan di matanya. Sesungguhnya, dia dan Idlan memiliki impian yang sama. Sebuah keluarga bahagia yang ahli barunya ialah Lia. Dia dan Idlan sangat memerlukan kehadiran Lia dalam keluarga kecil mereka. Haqem menaruh harapan yang tinggi agar impiannya termakbul.

2 comments: