Tuesday 2 July 2013

Namaku Bukan Flora!....51




BAB 51

Perlahan – lahan mata kubuka. Sepasang mata sedang menatapku. Kuamati betul – betul. Mata sedikit sepet ini masih memandangku. Aqel! Kualih pandanganku lalu memerhatikan di sekeliling bilik ini. Baru aku sedar bahawa aku berada di atas katil di sebuah bilik ditemani oleh Aqel. Aku cuba bangun, namun cepat saja tangan Aqel menghalangnya.
“Awak mesti terus berbaring” arah Aqel.
“Di mana saya sekarang?” soalku hairan. Aku memutar ingatanku kembali. Tadi aku berada di ruang legar lobi KDUT bersama Bella. Terasa perit pipiku. Laju saja tanganku mengusapnya. Tadi aku juga mendengar suara Haqem melaung namaku. Kulontar pandanganku di sekeliling bilik ini. Mencari kelibat Bella dan Haqem. Tiada sesiapa di sini selain Aqel yang menemaniku. Adakah aku sekadar bermimpi saja? Mustahil. Perit tamparan tangan Bella di pipiku masih terasa.
“Di mana saya sekarang, Aqel? Apa telah berlaku?” soalku bertalu – talu.
“Awak di klinik Dr. Kartini. Tadi awak pengsan” jelas Aqel tenang. Oh.... baru semuanya jelas di ingatanku. Aku mengusap – usap kepalaku. Bertambah rasa sakit selepas berpadu dengan lantai marmar tadi.
“Ada lebam atau benjol – benjol di dahi dan di muka saya?” soalku sambil mengalih muka ke arah Aqel memintanya meneliti. Bimbang mak akan menyedarinya. Aqel mengeleng.
“Syukurlah....” Aku menghela nafas lega. Aqel masih menatapku.
“Saya tak nak mak bimbangkan saya” ujarku tidak mahu Aqel salah faham.
“Jangan risau muka awak masih sempurna.... masih cantik menawan” ujar Aqel bersahaja buat aku terlopong mendengarnya. Pujian ikhlas atau sekadar mahu menyenangkan hatiku. Sukar hendak mentafsir anak muda Mak Long ini. Senyap. Kupandang ke muka pintu.
“Awak mengharap Haqem muncul?” suara Aqel memecah kesepian. Kutatap Aqel yang sedang memandangku. Aku menggeleng. Aqel mendengus. Bagai tidak puas hati melihat reaksi yang kutunjukkan kepadanya.
“Jangan berlagak tabah, Flora” sinis saja suara Aqel. Tajam pandanganku menatap Aqel. Betapa aku tidak menyenangi bicaranya itu.
“Banyak sangat yang awak pendam dalam hati awak tu” komen Aqel.
“Macamlah awak tahu segala – galanya pasal saya” tingkahku sinis. Aqel tersenyum sendiri. Aku mengetap bibir menahan geram. Geram melihat senyuman sinis yang terukir di bibir Aqel. Aqel sedang memperliku.
“Mengapa awak begitu mudah membiarkan diri awak dibuli orang lain?” soal Aqel.
“Apa sebenarnya yang awak cuba nak buktikan? Kesetiaan? Ketabahan? Cinta sejati?” lirih saja suara Aqel melontar persoalan – persoalan itu. Senyap.
“Awak hidup di dunia ni bukan semata – mata hanya kerana cinta. Jangan jadi terlalu lemah, Flora” tegas Aqel dengan wajah seriusnya. Aku memalingkan mukaku ke tingkap.
“Mulai sekarang belajarlah menyayangi diri sendiri. Carilah kebahagiaan diri awak dan berhentilah menangis” pesan Aqel penuh ketegasan. Senyap.
“Saya akan bahagia kalau Haqem bahagia. Saya mahu membahagiakan Haqem walau hanya untuk sedetik” tegasku tiba – tiba saja bersuara memecah kesepian ini. Senyap. Aqel menatapku lagi. Aqel tidak bersuara lagi untuk seketika.
“Saya nak cari makanan terasa lapar pula. Dari tadi belum makan lagi. Awak nak kirim apa – apa?” soal Aqel. Aku menggeleng. Sempat anak mataku melirik ke arah jam di pergelangan tanganku. Sudah menjangkau ke pukul 2.00 petang. Patutlah Aqel lapar saat ini. Simpati juga kepadanya.
“Nanti saya beli sesuatu untuk awak. Berehatlah” ujar Aqel bangkit dari duduknya lalu melangkah ke muka pintu. Langkah Aqel terhenti. Dia berpaling semula ke arahku.
“Haqem minta saya temankan awak di sini. Dia ada hal tadi. Sekejap lagi dia akan datang” ujar Aqel memberi penjelasan, lantas menyambung langkahnya kembali.
Kelibat Aqel hilang di sebalik pintu. Kini aku bersendirian di bilik ini. Lama aku termenung. Kubuang ke tepi selimut yang menutupi tubuhku. Aku bingkas bangun. Berdiri sejenak. Masih terasa bergoyong – goyang. Kucapai beg galasku di atas meja di sisi katil ini. Bergegas aku keluar dari nilik ini. Aku terus ke kaunter mahu melangsaikan kos rawatan perubatanku. Memandangkan Aqel ahli Klinik Syaidatul Al – Raudah yang sudah membayar yuran tahunan, maka tiada sebarang bayaran yang dikenakan. Bimbang bertembung dengan Aqel, bergegas aku meninggalkan klinik ini walaupun ditegah daripada berbuat demikian. Pelbagai alasan telah kuberikan. Pasti mereka akan menghubungi Aqel memaklumkan pemergianku ini. Aku terus menahan teksi. Lega rasanya setelah teksi bergerak meninggalkan perkarangan klinik ini. Aku menyandarkan tubuhku di kerusi. Cuba mencari keselesaan diri. Masih terasa pening.
“Cik tak apa – apa ke ni? Muka cik nampak pucat” tegur lelaki yang sedang memandu teksi ini.
“Saya okey...” sahutku sambil memaksa diri tersenyum.
“Kalau tak sihat kita patah balik ke klinik tadi” saran lelaki ini pula. Aku menggeleng.
“Saya nak berehat di rumah” jelasku.
“Baiklah saya akan hantar cik secepat mungkin” ujar lelaki ini tersenyum.
“Terima kasih” ujarku senang hati. Perbualanku dengan pemandu teksi ini setakat ini saja. Lelaki ini begitu memahami keadaanku yang perlukan rehat. Tambahan pula aku memang tidak berminat hendak terus berbual – bual dalam keadaan sakit kepala yang kutanggung tika ini. Teksi ini memasuki halaman rumah. Mujur pintu pagar sudah sedia terkuak. Mungkin mak baru lepas keluar dan lupa hendak menguncinya semula. Aku membayar tambang teksi.
“Terima kasih encik” tuturku lalu keluar dari teksi ini. Lelaki ini mengangguk dan tersenyum. Aku melangkah longlai ke pintu. Tersentak melihat jeriji pintu berkunci. Kutolak daun pintu. Berkunci juga. Ke mana mak pergi? Ketika sarapan tidak pula mak memaklumkan kepadaku hendak ke mana? Kukeluarkan kunci rumah dari saku beg galasku. Aku memberi salam dan melangkah masuk. Terus saja melangkah ke bilikku. Kulepaskan beg galasku ke lantai lalu merebahkan diri di atas tilam. Aku mahu menyambung tidur kembali. Hampir – hampir mahu terlelap, telefon bimbitku berdering. Kubiarkan saja. Mungkin Aqel yang menelefonku. Berdering lagi. Aku tidak berhasrat hendak mengangkatnya. Namun deringan ini berterusan. Kugagahi diriku bangun lalu membongkok mencapai beg galas di atas lantai. Mataku masih terpejam. Terkial – kial aku menyeluk saku beg galasku. Kudakap telefon bimbit ini ke telingaku sambil berbaring kembali.
“Lia, kamu di mana sekarang?” suara mak melantun keluar dari corong telefon bimbit ini. Serta – merta mataku terbuka luas. Kutatap dada skrin. Nama Aqel yang terpamer di situ. Namun suara mak yang kudengar. Bermakna mak ada bersama Aqel sekarang.
“Mak di mana ni?” soalku cemas tidak sempat menjawab pertanyaannya.
“Di klinik Syaidatul Al - Raudah....” ujar mak menimbulkan persoalan dalam diriku.
“Kamu di mana sekarang?” soal mak mengulangi pertanyaannya yang belum kujawab.
“Di rumah kita” sahutku lemah.
“Kamu okey ke ni?” soal mak bimbang.
“Kejap lagi nak tidur. Mengantuk sangat ni” ujarku.
“Kejap lagi mak balik. Kamu jangan pergi mana – mana pula” pesan mak seakan menyindirku.
“Ya mak...” sahutku lemah.
“Assalamualaikum....” Mak menamatkan saja perbualan ini. Aku menjawab salam mak di dalam hati. Kuletak telefon bimbit ini di sebelahku. Tidak larat mahu bangun lagi. Aku terus memejamkan mataku. Mahu segera tidur. Akhirnya aku lena juga dan lupa sejenak dengan dunia di sekelilingku.

Terasa ada tangan menyentuh dahiku. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Mak sedang merenungku.
“Kamu demam ni. Mari makan bubur. Lepas tu makan ubat ni” ujar mak sambil berpaling ke arah meja solek. Kerusi ditarik. Mak mencapai dulang itu, lalu meletakkannya di atas kerusi. Kini sudah berada di sebelah perbaringanku.
“Habiskan bubur nasi ni. Kamu belum makan tengah hari lagi” ujar mak lembut.
“Pukul berapa sekarang mak?” soalku sambil melirik ke arah tingkap. Cahaya matahari menyilaukan mata yang memandang.
“Sudah lebih pukul 1.00. Lena betul tidur” komen mak.
“Mak ada masuk ke bilik ni tadi?” soalku. Mak mengangguk.
“Aqel pun ada bersama mak tadi” ujar mak buat aku tersentak.
“Buat apa dia masuk bilik perempuan” tingkahku tidak senang.
“Jenguk kamulah” sahut mak bersahaja.
“Saya okeylah.... bukan nak bunuh diri pun” tuturku geram. Mak menjelingku tajam.
“Sebenarnya apa yang berlaku sampai kamu cakap macam tu?” soal mak sangsi. Bukankah Aqel sudah menceritakan segala – galanya kepada mak? Kalau tidak buat apa mak ke Klinik Syaidatul Al – Raudah tadi? Mesti Aqel telah menghubungi mak lantas memaklumkan bahawa aku sedang dirawat di situ.
“Mak telefon kamu tadi dan Aqel yang menjawabnya. Lepas tu mak terus ke situ tapi kamu dah melarikan diri” jelas mak menjawab persoalan di benakku.
“Saya bukan nak larikan diri tapi nak berehat di rumah” tingkahku. Senyap. Kedengaran keluhan mak.
“Kamu makanlah bubur ni. Nanti sejuk tak sedap pula. Lepas tu jangan lupa makan ubat ni. Kalau nak apa – apa panggil mak” ujar mak seraya bangkit dari duduknya. Aku mengangguk.
“Terima kasih, mak” tuturku sebak. Terharu dengan keprihatinan mak kepadaku. Kasih yang tiada tandingannya. Mak tersenyum.
“Berehatlah” arah mak. Aku mengangguk. Mak berlalu meninggalkan aku sendirian di bilik ini. Kutatap bubur nasi di depanku ini. Liurku terasa pahit saja. Memang tidak berselera hendak menikmatinya. Namun memikirkan susah payah mak menyediakan semua ini, kucapai mangkuk ini lalu memaksa diri menelan bubur ini. Hanya tiga sudu bubur yang masuk ke dalam kantung perutku. Kuletak mangkuk ini kembali di atas dulung. Seteguk air kosong kutelan. Pahit. Aku berbaring kembali. Mahu menyambung tidur lagi.
Hari ini merupakan hari kedua aku terbaring di katil ini. Hanya mampu melangkah ke bilik air. Selebihnya aku hanya berada di bilik ini. Tidak jauh pergerakanku. Mak keluar masuk bilik menjengukku. Kebimbangan terpancar di wajahnya. Aku tahu mak risau melihat keadaanku ini. Lesu tidak bermaya.
“”Mari mak lap badan kamu” ujar mak lembut. Aku menganggukkan kepala. Tidak membantah tindakan mak. Lembut saja tangan mak mendakap tuala kecil lembap itu ke lenganku. Begitu berhati – hati dan perlahan. Mak langsung tidak mahu menyakitiku walau hanya sebesar kuman. Betapa mendalamnya kasih ibu dalam diri mak.
“Mak... maafkan Lia” ujarku perlahan. Kolam ai mataku pecah. Terasa hangat mengalir di pipiku. Sebak. Mak tersenyum. Tangannya lembut menyapu titisan air mataku.
“Lia janji lepas ni Lia takkan sakit lagi” tuturku cuba menyenangkan hati mak.
“Ini qada dan qadar Allah. Tak de siapa yang mampu mengelaknya. Namun mak selalu berdoa mudah – mudahan kamu sentiasa sihat walfiat” ujar mak membelai lembut rambutku.
“Terima kasih, mak” ujarku terharu.
“Kamu mesti ikut cakap mak. Jaga kesihatan diri. Hidup baik – baik. Pilihlah jalan hidup yang mudah” nasihat mak penuh makna tersirat. Aku mengerti makna tersirat di sebalik bicara mak ini. Pasti mak sudah mendapat penjelasan daripada Aqel. Namun sekarang bukan masa yang sesuai untuk mak membincangkan perkara ini denganku.
“Mak tak sampai hati tengok keadaan kamu begini” tutur mak sayu menyentuh kalbuku. Bebola mata mak berkaca. Laju saja mak mengesat air matanya dengan hujung tangan bajunya. Mak menahan tangisannya di depanku. Mak berduka melihat keadaanku begini. Betapa rawannya hati mak mengenangkan kehidupanku yang diselubungi kedukaan yang panjang.
“Maafkan.... Lia, mak” tuturku sekali lagi. Tidak tega melihat mak menangis keranaku. Betapa bersalahnya aku kepada mak. Betapa aku tidak berdaya membahagiakan hati mak.

***************

“Aqel....!” panggil suara perempuan yang begitu dekat dengan dirinya. Langkah Aqel terhenti. Laju dia berpaling. Bella sedang bergerak mendekatinya.
“Ya.... ada apa?” soal Aqel kurang senang.
“Mana sepupu kesayangan awak tu?” soalnya sinis. Aqel hanya mempamerkan wajah seriusnya. Bella menatapnya dengan pandangan tajam.
“Saya dengar dia sakit? Betulkah?” soal Bella tersenyum lirih.
“Apa sebenarnya tujuan awak nak jumpa saya?” soal Aqel. Bella tersenyum.
“Tolong sampaikan perkhabaran ini pada Lia. Beritahu dia saya dan Haqem dah bertunang dua hari lepas. Sebab itu jugalah Haqem tak dapat jumpa dia” tutur Bella tersenyum.
“Awak dan Haqem dah bertunang?” soal Aqel tersentak. Bella mengangguk. Senyuman masih terukir di bibirnya.
“Saya akan kirim kad undangan pernikahan kami tak lama lagi. Jadi awak nasihatkanlah dia agar jangan berharap pada Haqem lagi. Cinta pertama tak memberi makna apa – apa” ujar Bella tersenyum sinis. Aqel membisu seribu bahasa. Di benaknya masih memikirkan pertunangan Haqem dan Bella. Sukar untuk diyakini pengakuan gadis ini.
“Awak rasa saya akan percaya cakap awak” ujar Aqel bersuara.
“Awak tak percaya? Tengok cincin di jari manis saya ni. Ini cincin berlian pertunangan yang Haqem sarungkan di jari saya. Cincin yang menandakan Haqem adalah milik mutlak saya” tegas Bella bersungguh – sungguh.
“Kasihan awakkan...” tutur Aqel tersenyum. Membutang pandangan Bella menatapnya.
“Apa yang kasihannya?” bentak Bella tidak senang.
“Pertunangan yang tak membawa makna apa – apa. Awak hanya mampu memiliki jasad Haqem tapi bukan dirinya. Betapa saya betul – betul simpati pada awak” tutur Aqel tenang. Bella mendengus kasar.
“Saya tak kisah semua tu. Paling penting Haqem dan perempuan itu tak dapat bersama. Saya yakin kesakitan Lia akan bertambah parah setelah menatap gambar – gambar yang saya kirim padanya. Betapa mesranya saya dan Haqem di majlis pertunangan itu. Saya tahu Haqem takkan menghampakan auntie Sofea” jelas Bella tersenyum lebar.
“Awak takkan bahagia dengan tindakan awak ni” ujar Aqel memperingatkannya. Bella tersenyum lagi.
“Perpisahan ini juga takkan membahagiakan Haqem dan Lia. Biarlah kami sama – sama tak bahagia” ujar Bella penuh dendam kasumat. Aqel menggeleng kepala.
“Sekarang awak tak mampu nak halang gambar – gambar romantis saya dan Haqem sampai ke tangan Lia. Malah gambar – gambar itu dah tersebar meluas di buletin blog syarikat. Pergilah pujuk Lia sekarang” arah Bella tersenyum lebar, lantas melangkah meninggalkan Aqel yang masih terpacak di situ. Laju saja tangan Aqel membuka galaksi tab samsungnya. Terus memaparkan blog syarikat. Bella bercakap benar. Dia terpaku menatap gambar – gambar itu. Majlis yang begitu meriah. Kelihatan Haqem dan Bella persis sepasang kekasih yang sedang membina mahligai bahagia.
“Haqem dan Bella dah bertunang” Aqel berbicara sendiri. Tidak percaya dirinya sedang menatap senyuman yang terukir di bibir Haqem. Peristiwa dua hari lepas terbayang di matanya. Gadis itu berhujan menanti kedatangan Haqem. Sekarang dia sakit kerana Haqem. Aqel menggetap bibir menahan gelodak perasaannya. Geram dan simpati bercampur baur. Simpati kepada gadis itu. Rasa marah kepada Haqem. Tanpa disedari Aqel mengatur langkahnya menghala ke pejabat Haqem. Bagai mahu membuat perhitungan. Daun pintu ditolak. Aqel melangkah masuk tanpa mempedulikan sapaan Marnie yang terlebih dahulu menyambut kedatangannya. Dia mengatur langkahnya ke bilik Haqem. Tiada ketukan di muka pintu mahupun sapaan mesra seorang kawan. Wajahnya serius beradu pandangan dengan Haqem yang tersentak dengan kemunculan mengejutnya itu. Apatah melihat reaksi dinginnya tika ini. Haqem terkebil – kebil menatap Aqel.
“Apa yang telah awak lakukan pada Flora? Awak tak setia padanya” tegas Aqel serius. Haqem tersentak. Ditatapnya renungan tajam mata Aqel. Hatinya mula gelisah.
“Sampai bila awak nak sembunyikan pertunangan awak dengan Bella?” soal Aqel. Haqem tergamam. Ternyata Bella lebih awal bertindak. Haqem terdiam. Tidak mampu menyahut bicara Aqel. Buntu.
“Berapa banyak awak cintakan Flora sebanyak itu juga dia akan terluka. Kalau betul awak cintakan dia, awak sepatutnya berani berhadapan dengan auntie Sofea, bukan memintanya terus bertahan” tegas Aqel dengan wajah yang serius. Senyap. Aqel berpaling lalu melangkah ke muka pintu.
“Awak menyimpan perasaan pada Lia?” soalan itu terkeluar dari mulut Haqem. Langkah Aqel terhenti di ambang pintu. Lalu dia berpaling ke arah Haqem. Mereka berpandangan seketika.
“Dia saudara saya. Saya ada hak melindunginya” balasnya tidak terus menjawab pertanyaan Haqem itu sejelas – jelasnya.
“Awak suka Lia?” dilontarkannya lagi persoalan itu.
“Saya tak mahu dia disakiti” luahnya jujur. Haqem mengeluh. Tidak puas hati tatkala persoalannya masih belum menemui jawapan yang jelas.
“Awak belum jawab pertanyaan saya, Aqel” gesanya dengan rasa tercabar.
“Rasanya tak perlu saya jawab soalan tu. Awak cukup bijak memikirkannya” putus Aqel lalu meneruskan langkahnya yang tergendala sebentar tadi meninggalkan bilik itu.
Haqem tersandar di kerusi empuk itu. Bicara Aqel difikirkannya kembali. Sudah lama dia mengenali Aqel. Aqel tidak pernah berbicara soal hubungannya dengan gadis lain mahu pun hubungannya dengan Bella, bakal menantu pilihan mamanya. Bukan sikap Aqel mahu ambil tahu percintaan orang lain. Buat pertama kalinya, pemuda itu membicarakan soal perempuan kepadanya. Tiba – tiba saja Haqem geleng – geleng kepala menafikan suara hatinya yang terbit tika ini.
 “Aqel tak boleh jatuh cinta pada Lia! Lia tak boleh jadi kekasih Aqel! Lia hanya milikku seorang!” jerit hati Haqem.

Aku melirik sampul coklat di atas almari solek yang baru saja mak bawa masuk sebentar tadi. Sampul bercop pos laju. Tidak pernah – pernah aku menerima surat sebegini apatah lagi beralamatkan rumah. Bagai ada sesuatu yang mustahak sangat. Kugagahi diriku bangkit dari katil ini. Terasa berdebar – debar jantungku tatkala membuka sampul ini. Tanganku menyeluk ke dalam sampul lalu menariknya keluar. Aku terpaku dan tergamam. Sukar untuk mempercayainya. Namun semua ini sudah terpamer di depan mataku. Tidak dapat menafikannya lagi. Sekeping memo tulisan tangan kutemui terselit dicelah gambar – gambar ini.

~Gambar di majlis pertunangan saya dengan Haqem. Semoga awak berbahagia menatapnya ~ Bella.  

Tiba – tiba saja aku teringat sumpah Haqem kepada Datin Sofea. Malah Bella telah memberi peringatan awal kepadaku agar berputus asa dengan Haqem. Kutatap tarikh yang tercatat di bawah sudut tepi gambar ini. Tarikh ketidakmunculan Haqem di Taman Kenangan. Haqem berjanji mahu menemuiku. Rupa – rupanya inilah sebabnya Haqem tidak datang pada hari tersebut.
“Allah sedang mengujiku sekarang...” bisik hatiku memintaku bersabar dan tabah menerima semua ini. Namun aku tidak mampu menahan air mataku menitis ke pipi.

Alhamdulillah.... hari ini aku rasa kembali sihat setelah beberapa hari terbaring di katil dan mengurung diri di bilik. Namun fikiranku terbeban dengan kedatangan gambar – gambar itu. Malah sehingga kini, Haqem belum menghubungiku lagi. Persis Haqem tidak mengetahui bahawa aku sedang sakit sekarang. Terasa Haqem begitu jauh dariku. Kupejamkan mataku rapat – rapat. Angin petang bertiup sepoi – sepoi bahasa membelaiku. Aku yang duduk di dalam buaian di halaman rumah ini cuba menikmati kedamaian senja ini.
“Leka sangat awak di sini ye...” suara lelaki menegurku. Laju saja aku mengangkat kelopak mataku lalu berpaling ke arah suara itu. Aku tersentak menatap Aqel yang sudah duduk di dalam buaian di sebelahku. Kakinya menghayun perlahan buaian ini.
“Bila awak sampai?” soalku hairan dengan kemunculannya ini. Aqel tersenyum.
“Baru saja” sahut Aqel. Kupandang Aqel. Pakaian kerja masih tersarung di tubuhnya. Pasti balik kerja tadi dia terus datang ke sini.
“Apa hal awak datang sini?” soalku.
“Nak jenguk awak. Awak dah sihat?” soal Aqel sambil memandangku. Aku mengangguk.
“Esok bolehlah pergi kerja, tapi kalau awak nak rehat lagi tak payahlah pergi kerja dulu” saran Aqel begitu baik hati. Aku menggeleng.
“Saya nak kerja esok” jelasku. Aqel menatapku.
“Awak pasti?” soal Aqel persis tidak menyakiniku.
“Ya... hidup harus diteruskan” sahutku berbicara pada diri sendiri. Senyap. Aku dan Aqel melayan perasaan sendiri.
“Mesti hati awak sakitkan bila orang yang awak sayangi menipu awak” tuturku perlahan. Aqel terus berpaling menatapku. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan. Aqel tersenyum sendiri.
“Kalau hati yang terluka itu berdarah dan awak boleh nampak, saya pasti awak akan jatuh pengsan” tutur Aqel tersenyum. Aku tergelak. Sekejap saja. Bila aku perhalusi bicara Aqel ini, jelas kelukaan Aqel begitu mendalam. Ternyata Aqel begitu menyintai Rania.
“Perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mana tahu suatu hari nanti awak ataupun saya akan jumpa insan yang lebih baik daripada orang yang pernah kita kenali selama ni” ujar Aqel begitu tabah.
“Amin....” sahutku. Aku dan Aqel tersenyum lagi. Nasibku dengan Aqel serupa. Begitu menyedihkan kami gagal dalam percintaan. Senyap.
“Saya nak belanja awak makan” suara Aqel memecah kesepian.
“Bila?” soalku tersentak.
“Sekarang” sahut Aqel lalu berpaling ke sisinya. Tiba – tiba saja muncul satu beg kertas lalu diletakkan di tengah – tengah antara aku dengan dirinya. Aku menatap Aqel. Tidak dapat menduga apa yang Aqel simpan dalam beg kertas ini. Aqel mengeluarkan sesuatu dari beg ini lalu meletakkan di tanganku.
“Satu untuk awak.... satu untuk saya” ujarnya. Aku hanya terkebil – kebil menatap sudu yang sudah berada di tanganku. Aqel mengeluarkan satu bekas lalu diletakkan di buaian di tengah – tengah antara kami. Kemudian memutar posisi tubuhnya menghadap aku. Aqel sudah bersila di dalam buaian ini. Kutatap bekas putih ini. Aiskrim vanila.
“Marilah makan” ajak Aqel sambil membuka penutup bekas ini. Aqel sudah menyudu ais krim vanila ini lalu melontarkan ke dalam mulutnya. Nampak begitu menyelerakan dia menikmati kedinginan aiskrim vanila ini.
“Awak tak nak makan ke? Bukankah awak suka aiskrim vanila? Awak tak nak berkongsi makan dengan saya?” soal Aqel berjela – jela.
“Oh... awakkan baru saja sembuh dari sakit. Awak tengok sajalah saya makan aiskrim ni” tutur Aqel tersengih – sengih. Aku terus saja menolak ke tepi tangan Aqel, lantas mula menyudu aiskrim vanila ini. Mula menikmatinya. Menceduk lagi aiskrim vanila ini. Lebih laju dari Aqel. Aqel hanya tersenyum – senyum memerhatikan gelagatku. Tidak lama kemudian Aqel turut sama menikmati aiskrim vanila ini. Pertama kali berkongsi menikmati aiskrim vanila bersama seorang lelaki sambil duduk di dalam buaian ditemani sapaan tiupan angin senja. Bukankah suasana ini begitu romantik? Aku tersenyum sendiri. Sayangnya... lelaki di depanku ini ialah Aqel ... abang sepupuku!
“Bertuah punya budak....! Apa hal kamu beri Lia tu makan aiskrim..!” serentak aku dan Aqel berpaling. Mak Long sedang bercekak pinggang di muka pintu melontar pandangan ke arah kami. Mak di sebelahnya hanya tersenyum.
“Awak datang dengan Mak Long?” soalku tidak menduga. Aqel mengangguk.
“Mengapa tak cakap tadi?” soalku kurang senang. Aqel senyum.
“Mama dan Mak Long ada hal nak dibincangkan” jelas Aqel. Namun tidak sempat aku memikirkannya.
“Aqel mari balik... dah lewat ni..!” laung Mak Long. Aqel bangkit dari duduknya. Kulihat Mak Long sudah menyelinap ke dalam kereta. Tidak sempat aku hendak berbual – bual dengan Mak Long. Aqel bangkit dari duduknya. Wajahku direnung. Aku kehairanan menatap gelagat Aqel ini. Kurang selesa juga melawan renungan mata Aqel.
Never cry for the person who hurts you.... just smile and say thanks for giving me a chance to find someone better than you....” tutur Aqel membuatkan aku terpaku. Aqel melangkah meninggalkan aku sendirian di sini. Sempat bertukar lambaian dan senyuman dengan Mak Long ketika kereta Peugeot RCZ Sports Coupe yang Aqel pandu menghala ke pintu pagar.

‘Jangan menangisi orang yang telah melukai awak....tersenyum saja dan ucapkan terima kasih kerana memberi saya peluang untuk menemui seseorang yang lebih baik daripadanya’... suara hatiku mentafsir bait – bait indah yang Aqel tinggalkan kepadaku. Sungguh mendalam makna kalimah ini. Betulkah Aqel... aku bakal menemui seorang yang lebih baik daripada Haqem?


“LIA....!” Aku berpaling. Haqem sedang berlari anak ke arahku. Senyumanku menyambut kedatangan Haqem. Wajahku direnung.
“Awak dah sihat?” soal Haqem. Aku mengangguk.
“Maafkan saya atas apa yang berlaku” pinta Haqem. Nampak wajah Haqem bercelaru. Aku menggeleng. Bukan tidak mahu memaafkan dirinya. Sebaliknya tidak mahu menyalahkan Haqem. Aku mengerti bahawasanya Haqem tersepit dengan keadaan. Dia sedang berhadapan dengan dugaan hebat.
“Saya faham....” luahku jujur.
“Awak dah ... dapat gambar – gambar tu?” soal Haqem. Nampak sukar Haqem hendak mengutarakan pertanyaan ini. Bimbang mengguris hatiku. Aku mengangguk.
“Saya akan selesaikan perkara ni” tutur Haqem mengelirukanku. Tidak mengerti apa yang mahu Haqem lakukan selepas ini. Aku memandang Haqem. Kasihan melihat Haqem dengan kesukaran yang dilaluinya. Lantas menyedarkan aku betapa aku bertuah memiliki mak, seorang ibu yang sentiasa melimpahiku dengan kasih sayangnya. Ibu yang penuh pengertian. Tiba – tiba saja aku teringat pada bicara mak semalam. Pertemuan mak dan Mak Long ada agenda tersendiri. Ternyata mak dan Mak Long tidak pernah berputus asa memperjuangkan hasrat hati mereka.
“Mengapa Lia?” soal Haqem. Aku tersentak. Laju aku menggeleng.
“Saya akan jumpa awak lepas mesyuarat nanti” ujar Haqem. Aku mengangguk.
“Saya pergi dulu” ujar Haqem mahu memulakan langkah.
“Haqem....” panggilku. Haqem berpaling. Seketika aku dan Haqem saling berpandangan. Berat saja hatiku hendak meluahkannya. Tidak mahu menambah bebanan yang Haqem pikul saat ini.
“Mengapa Lia?” soal Haqem cemas. Aku menarik nafas dalam – dalam.
“Mak Long dah lamar saya” tuturku perlahan.
“Apa...!” Besar anak mata Haqem menatapku. Betapa terkejut dirinya mendengar kenyataan yang baru saja keluar dari mulutku ini.
“Atas persetujuan Aqel?” soal Haqem.
“Saya tak pasti” sahutku. Tidak yakin Aqel mengetahui perkara ini. Aku pernah menyatakan kepada Aqel tentang perasaanku terhadap dirinya. Lazimnya Aqel sependapatku.
“Sudah sampai masanya saya bertindak. Awak tunggu dan lihat saja” tutur Haqem nekad. Haqem meninggalkan aku terkebil – kebil memerhatikan langkahnya.

**********************

 “Sebelum kita bersurai, ada sesuatu yang mahu saya perkatakan kepada semua. Kepada yang berkenanan sila ambil perhatian agar tak timbul sebarang salah faham” tegas Haqem berbaur sindiran. Dipandangnya wajah Aqel seketika. Aqel kelihatan tenang saja. Suara Haqem menembusi corong pembesar suara di seluruh bangunan KDUT ini sekali gus mematikan langkahku dan langkah Marnie. Warga KDUT sudah berkumpul menghadap skrin yang dipasang di ruang legar lobi ini.
“Encik Haqem nak membuat pengumuman penting. Mari kita pergi sana” ujar Marnie tidak mahu ketinggalan menyertai warga KDUT yang sedang berkumpul menatap wajah Haqem di dada skrin yang besar itu. Haqem kelihatan tenang saja.
“Wahai warga KDUT yang dihormati, saya tahu kalian sedang berada di depan saya sekarang. Di sini dan di saat ini saya nak menjelaskan desas – desus yang sedang hangat  diperkatakan. Saya akui memang perkara itu benar” tutur Haqem disambut dengan pelbagai reaksi dalam kalangan warga KDUT. Riuh – rendah suara memberikan reaksi dan ulasan masing – masing. Aku melepaskan keluhan beratku. Apa yang mahu Haqem lakukan sekarang?
“Bertenang semua. Saya yang mengharapkan agar gadis itu menerima saya semula. Saya yang mahukan dirinya menjadi kekasih saya semula. Saya yang tak dapat mengawal diri bila melihatnya bersama lelaki lain. Ketahuilah saya memang mengimpikan hidup bersamanya” tutur Haqem serius. Senyap. Semuanya bagaikan sudah terpaku menatap wajah Haqem yang terpancar keikhlasan. 
“Wahai warga KDUT saya mengharapkan doa dan restu kalian agar saya dapat bersama gadis itu. Dialah kekasih pertama saya, yang sejak sekian lama dah saya kenali. Sekarang saya dengan kesabaran menanti dia kembali kepangkuan saya. Sesungguhnya hati saya telah dimilikinya” tutur Haqem begitu tenang. Tiba – tiba saja tepuk sorak gamat memenuhi ruang legar lobi ini. Seolah – olah warga KDUT telah merestui tindakan Haqem.
“Terima kasih atas perhatian kalian. Berhentilah menyalahkan insan yang begitu bermakna kepada saya. Untuk pengetahuan semua, saya dan Cik Bella tak pernah bertunang”
“Apa...!!!” Marnie tersentak. Begitu juga dengan warga KDUT yang sedang berdiri di depan skrin ini. Aku tergamam. Sungguh aku tidak menyangka Haqem akan senekad ini.
“Lia....!” Marnie berpaling menatapku. Wajahku direnung lama.
“Awak tak apa – apa?” soalnya. Aku menarik nafas dalam – dalam, lantas mengangguk.
“Mari kita pergi, Mar” pintaku mengajak Marnie beredar dari sini. Marnie mengangguk, lalu memulakan langkah. Beberapa orang yang menyedari kehadiranku di situ memandangku sambil berbisik – bisik persis sedang berbicara tentang diriku. Mungkin mereka mengetahui bahawa akulah gadis yang dimaksudkan oleh Haqem sebentar tadi. Kubesarkan langkahku segera meninggalkan ruang lobi yang dipenuhi oleh warga KDUT yang sedang berkumpul saat ini. Tatkala selangkah lagi hendak melewati bilik mesyuarat itu, jiwaku bergetar dan degupan jantungku kian rancak. Mahu saja aku berlari , namun akal warasku menegahnya. Aku tidak mahu mengundang rasa terkejut Marnie. Tiba – tiba daun pintu ditolak membuatkan langkahku dan Marnie terhenti. Haqem dan Aqel muncul di sebalik daun pintu. Kupandang Haqem yang sedang tersenyum menatapku. Kualaih pandanganku kepada Aqel yang sentiasa mempamerkan wajah bersahajanya. Beberapa orang penting syarikat ini turut melontar pandangan ke arahku.
“Lia, mari....” suara Marnie mengejutkanku. Laju saja aku menyambung langkahku semula. Melangkah ke bilik ini aku terus saja menyandarkan tubuhku di sofa di sudut bilik ini. Marnie yang masih setia mengekori langkahku terus mengunci pintu. Mungkin mahu mengambil langkah berjaga – jaga. Mana tahu Datin Sofea dan Bella akan menyerangku sebaik saja mendapat tahu pengakuan Haqem secara langsung yang boleh ditonton oleh warga KDUT sebentar tadi. Marnie melabuhkan duduknya bertentangan denganku.
“Lia.....” panggil Marnie berhati – hati.
“Ya Mar..” sahutku.
“Awakkan yang dimaksudkan oleh Encik Haqem tadi?” soal Marnie sudah dapat meneka gerangan insan yang diperkatakan oleh Haqem itu. Aku tidak dapat lari lagi dari kebenaran ini. Perlahan – lahan aku mengangguk. Aku sudah tidak mampu menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan Marnie. Marnie nampak tenang saja mendengar pengakuanku ini.
“Bagaimana dengan Encik Aqel?” soal Marnie. Aku melepaskan keluhanku.
“Kalau awak masih cintakan Encik Haqem, mengapa awak bertunang dengan Encik Aqel?” soal Marnie lagi. Kupandang wajah Marnie lagi.
“Sukar saya nak ceritakan segalanya pada awak, Mar. Namun yang pasti saya dan Aqel tak pernah bertunang” tuturku membongkar rahsia itu. Terlopong Marnie menatapku.
“Maafkan kami, Mar” pintaku.
“Jadi awak juga tak pernah bercinta mahupun bertunang dengan Aqel?” soal Marnie meminta penjelasan lanjut. Aku mengangguk. Itulah hakikatnya.
“Namun keluarga kami dah bersetuju mahu menyatukan saya dan Aqel menjadi suami isteri yang sah” tuturku. Kali kedua mak dan Mak Long mengutarakan hajat hati mereka. Namun kali ini lebih serius lagi. Marnie terpaku lama. Dia geleng – geleng kepala.
“Bagaimana keputusan kamu berdua? Awak setuju ke?” soal Marnie.
“Saya belum membuat keputusan lagi” jelasku.
“Encik Aqel?” soal Marnie lagi. Aku menggeleng.
“Saya tak tahu” sahutku. Belum ada kesempatam berbincang dengan Aqel tentang perkara ini.
“Awak betul – betul buat saya terkejut, Lia” luah Marnie.
“Saya pun tak menjangka akan jadi begini” tuturku lemah. Aku melepaskan keluhanku. Tidak menjangka kisahku dan Aqel menjadi rumit begini.
“Mengapa terlalu sukar perjalanan hidup awak, Lia” keluh Marnie. Aku tersenyum sendiri. Memang aku mempunyai kisah hidup yang merunsingkan.
“Encik Haqem tahu perkara ni?” soal Marnie semakin giat menyoalku.
“Saya dah memaklumkan perkara ni kepadanya” jelasku. Tika itu Haqem tergamam. Kemudian nekad hendak melakukan sesuatu. Tidak sangka pula Haqem akan bertindak begini.
“Kalau dah tahu awak dan Encik Aqel nak bernikah, mengapa Encik Haqem bertindak begini pula” bidas Marnie keliru. Aku menggeleng. Sukar hendak memahami tindakan Haqem ini.
“Mungkin Haqem terdesak sekarang” tuturku mengandaikannya.
“Lia, rasanya Haqem tak mahu kehilangan awak” tutur Marnie. Aku mengeluh lagi. Sukar hendak menahan tindakan Haqem sekarang. Haqem semakin nekad.
“Saya pasti Encik Haqem tak mahu melepaskan awak kepada Encik Aqel” tambah Marnie berbicara. Benakku kian runsing.
“Apa keputusan awak sekarang? Siapa pilihana awak?” soal Marnie. Aku hanya membisu. Buntu.
“Saya hanya mampu ingatkan awak, Lia. Buat pilihan terbaik. Ingat restu keluarga amat penting bagi menjamin kebahagiaan yang berpanjangan” nasihat Marnie buat aku terdiam. Restu keluarga? Bermakna Marnie mahu aku memilih Aqel sebagai teman hidupku. Betulkah begini yang Marnie harapkan di sebalik bicara tersiratnya itu.

  

2 comments:

  1. Hope Flora dapat buat pilihan yang tepat....

    ReplyDelete
  2. kalau saya mesti pilih aqel,hakim dah kali buat flora makan hati x suka la.

    ReplyDelete