Tuesday 5 February 2013

NamaKu Bukan Flora.....41




BAB 41

“Apa yang kita buat ini, Aqel?” soalku merujuk pengakuan kami sebentar tadi. Aqel bersuara, manakala  aku mengangguk mengiyakannya. Sekali lagi aku bersekongkol dengan Aqel. Kutatap wajah Aqel.  Aqel tetap kelihatan tenang. Aku melepaskan keluhan beratku. Kesal melihat reaksi Aqel ketika ini. Dalam keadaan sekarang Aqel masih mampu setenang itu.
“Awak tidak sedarkah keadaan kita sekarang semakin rumit” luahku. Aqel menatapku.

“Awak tidak perlu risau” sahut Aqel bersahaja.

“Bagaimana saya tidak boleh risau, sekarang orang lain sudah tahu yang kita hendak bernikah hujung bulan depan. Awak fikir masa itu bertahun – tahun lamanyakah? Kemudian mengharapkan orang lain akan melupakan perkara ini sebagai jalan penyelesaiannya” rungutku.

“Awak sedang menyalahkan sayakah?” soal Aqel menatapku. Aku diam. Tidak sampai hati juga untuk menyalahkan Aqel dalam hal ini. Jikalau hendak diselidik ke akar umbi semua ini adalah berpunca daripadaku. Andai aku lebih berhati – hati berbicara, aku tidak akan terperangkap pada janjiku sendiri. Andai aku berfikir panjang sebelum mengeluarkan kenyataan kepada Rania bahawa Aqel sudah bertunang, bahawasanya aku tidak perlu berpura – pura akan menjadi tunang Aqel sekarang. Kemudian Rania tidak perlu melibatkan Datin Sofea dan Bella semata – mata mahu menyakiti aku lantaran menganggap aku telah merampas Aqel daripadanya. Oh.... rantaian kisah yang merupakan musibah buatku.

“Saya hanya mahu melindungi awak daripada Datin Sofea dan Bella” tutur Aqel memecah kesepian. Aqel memang berpegang pada janjinya. Dia sedang berjanji kepada mak akan menjagaku dengan baik. 

“Saya juga mahu memastikan Rania tidak akan sakiti awak lagi” tambah Aqel berbicara. Kutatap wajah Aqel. Aku dan Aqel sedang beradu pandangan.

“Terima kasih, tapi saya boleh jaga diri saya sendiri” tuturku berharap aku tidak akan membabitkan Aqel lagi. Aqel tersenyum sekilas.

“Selagi awak menangis selagi itu saya tidak yakin awak mampu jaga diri awak sendiri” tutur Aqel. Aqel telah menilai tangisanku simbolik kelemahanku.

“Saya tidak mahu menyusahkan awak” tuturku meluahkan isi hatiku.

“Sudah menjadi kewajipan saya untuk melindungi awak” tutur Aqel serius. Aqel lebih dewasa berbanding Aziq. Sebab itulah Aqel merasakan perlunya dia melindungi setiap ahli keluarganya. Amanah yang Mak Long dan mak berikan kepada dirinya terasa telah membebankan diri Aqel. Kasihan Aqel.

“Bagaimana kita hendak mengakhiri semua pembohongan ini?” soalku kematian akal.

“Mudah sahaja” sahut Aqel tersengih.

“Bagaimana?” soalku teruja mendengar bicara Aqel sedemikian.

“Kita nikah, maka semua pembohongan ini akan menjadi kebenaran” tutur Aqel tersenyum. Besar anak mataku menatap Aqel. Semudah itu dia hendak menyelesaikan perkara ini. Aku mendengus geram. Aqel masih tidak serius menangani perkara ini.

“Awak mahu tambah masalah besar lagi?” lirih sahaja suaraku. Aqel tergelak.

“Itu jalan penyelesaian yang paling mudah” sahut Aqel.

“Paling mudah tetapi bakal memusnahkan hidup kita berdua. Awak dan saya tidak akan hidup bahagia menjadi suami isteri” tuturku begitu yakin.

“Awak masih mencintai, Haqem?” soal Aqel di luar jangkaanku. Senyap. Pandangan Aqel masih terarah ke wajahku.

“Buat apa hendak babitkan Haqem pula” bidasku. Senyap.

“Jikalau awak masih mencintai Haqem, awak mesti menjadi lebih kuat dan bersedia menghadapi apa sahaja halangan. Datin Sofea dan Bella tidak akan berdiam diri sahaja” tutur Aqel memberi peringatan kepadaku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Tiba – tiba sahaja Aqel bangkit dari duduknya, lantas melangkah meninggalkan aku termangu sendirian. Teringat aku pada pertanyaan Aqel tadi. Aku ingin sekali memberi penjelasan, namun langkah Aqel sudah jauh meninggalkan aku.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Tajam pandangan Datin Sofea menatap wajah Haqem yang sejak dari tadi hanya mendiamkan diri. Betapa tersentak dirinya mendengar pengakuan Aqel tadi. Aqel akan bernikah dengan gadis itu tidak lama lagi.

“Kamu memang tahukan Aqel sudah bertunang dengan Lia?” soalan itu diajukan kepada Haqem. Perlahan – lahan Haqem mengangguk. Datin Sofea melepaskan keluhannya.

“Mengapa kamu pernah kata hendak nikah dengan dia?” soal Datin Sofea binggung. Haqem masih membisukan diri. Tidak mahu membongkar kebenaran itu.

“Gadis itulah yang rampas Aqel daripada Rania, mama” suara Bella mencelah. Datin Sofea mendengus.

“Mama tidak hairan dia boleh lakukan perkara itu. Dia memang perempuan yang tidak tahu malu” kutuk Datin Sofea. Haqem menelan liur pahitnnya. Sakit hatinya mendengar tuduhan itu.

“Yang kamu tergila – gilakan dia Haqem, kenapa? Kamu tidak tahukah dia itu sudah jadi tunang Aqel?” soal Datin Sofea berang.

“Semua ini salah mama. Kalau mama tidak begitu membenci Lia, dia tidak akan bertunang dengan Aqel” tingkah Haqem mula bersuara.

“Apa kamu kata, Haqem?” Tajam pandangan Datin Sofea menatap Haqem. Hatinya panas mendidih. Pantang bagi Datin Sofea kata – katanya dijawab.

“Mama pun hairan apa istimewanya gadis itu sehingga Aqel sanggup bertunang dengan dia” ujar Datin Sofea sinis.

“Mereka disatukan oleh keluarga, mama. Aqel dan Lia bersaudara” suara Bella mencelah lagi. Laju Haqem melontar pandangan ke arah Bella. Banyak sangat yang dia tahu tentang Lia. Terbayang wajah Rania di matanya. Mesti Rania yang memberikan maklumat ini kepada Bella.

“Jadi kamu masih juga mahu mengejar gadis itu?” soal Datin Sofea sinis. Haqem menggigit bibirnya sehingga berbekas.

“Lia, hak saya mama. Saya tidak akan berputus asa mendapatkan Lia kembali” tutur Haqem berani.

“Haqem....!” tersentak Datin Sofea melihat keberanian Haqem bersuara tika ini.

“Maaf.... saya tidak boleh lupakan Lia” tutur Haqem lantas bangkit dari duduknya, lalu beredar dari situ meninggalkan Datin Sofea dan Bella termangu – mangu.

“Tengok Haqem itu, mama” rengek Bella.

 “Kamu tidak perlu risau. Tahulah mama hendak menangani Haqem nanti. Mama janji tidak akan biarkan Haqem tinggalkan kamu” pujuk Datin Sofea.

“Masalahnya mama, perempuan itu tunang Aqel. Kita tidak boleh bertindak sesuka hati kepada dia” tutur Bella menyedarkan Datin Sofea tentang kenyataan itu. Sekarang Aqel telah menjadi penghalang pada setiap tindakan yang bakal mereka lakukan.

“Rania kata Aqel sentiasa melindungi gadis itu” tokok bicara Bella memberi maklumat tambahan kepada Datin Sofea.

“Baguslah jikalau begitu. Bermakna kita sudah ada kelebihan untuk menentang Haqem” sahut Datin Sofea mula tersenyum.

“Maksud mama, kita gunakan Aqel untuk menentang kemahuan Haqem” teka Bella. Datin Sofea mengangguk.

“Kamu sentiasa berfikiran bijak, cepat memahami apa yang ada dalam fikiran mama” tutur Datin Sofea memuji Bella. Bella tersenyum lebar. Berbunga riang hatinya dipuji sedemikian.

“Jikalau kita tidak boleh melakukan kekerasan kepada musuh secara terang - terangan, kita lakukan kekerasan dalam kelembutan. Haqem pasti tidak akan menyedarinya” tutur Datin Sofea.

“Mama tidak kisahkah kalau Aqel dengan Haqem bergaduh nanti?” soal Bella sedikit risau.

“Mama sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai hasrat hati mama” tutur Datin Sofea nekad. Bella tersenyum lagi. Bicara Datin Sofea ada kebenarannya. Bella yakin Datin Sofea akan mengotakan apa yang dikatakannya, maka dapatlah Bella berlapang dada sekarang.    


%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“Lia, ada sesuatu yang mengelirukan saya. Saya pernah nampak Encik Haqem merenung lama gambar awak” ujar Marnie bercerita.

“Apa?” Aku tersentak. Reka juga turut sama tersentak. Marnie nampak serius memperkatakan hal ini.

“Maaf saya hendak tanya awak, sebelum ini awak dengan Encik Haqem pernah berkenalankah? Maksud saya ada kisah lampau yang dikongsi bersama” soal Marnie curiga. Aku terdiam. Renungan Marnie dan Reka membuatkan aku gelisah. Aku masih mahu menyimpan kenanganku bersama Haqem sebagai satu rahsia yang tidak mungkin dikongsi bersama orang lain. Apa boleh buat Aqel sudah terlanjur mengetahuinya. Itupun bukan daripada mulutku sendiri.

“Flora, duduk sini” arah satu suara lelaki. Aku tersentak. Aqellah gerangan suara lelaki yang mengeluarkan arahan sebentar tadi. Kupandang Marnie dan Reka yang duduk di sebelah kiri dan sebelah kananku. Mereka tersenyum dan mengangguk.

“Pergilah...” arah Marnie meminta aku akur sahaja pada permintaan Aqel. Lambat – lambat aku bangun, lalu melangkah ke arah Aqel, meninggalkan persoalan Marnie yang belum kujawab. Aku terus sahaja duduk di sebelah Aqel.

“Situasi awak sekarang dalam bahaya. Awak jangan sesekali jauh daripada saya” tutur Aqel berbisik memberi peringatan kepadaku.

“Saya tidak takut kepada merekalah” sahutku sangat mengerti maksud bicara Aqel.

“Mereka akan sakiti awak” tutur Aqel lagi.

“Saya memang sudah biasa disakiti” sahutku tersenyum sendiri. Aqel berpaling menatapku. Serius sahaja wajah Aqel.

“Jangan terlalu lemah dan mudah mengalah. Nanti orang lain akan senang – senang buli awak” tegas Aqel tidak senang mendengar bicaraku sebentar tadi. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan.

“Awak tidak akan mampu melindungi saya selamanya” tuturku menyedarkan Aqel tentang hakikat itu.

“Selagi saya mampu saya akan terus lakukan. Itu janji saya kepada mak awak” tutur Aqel menyentuh sanubariku. Aku terdiam. Sikap bertanggungjawab dan melindungi begitu terserlah dalam diri Aqel. Alangkah beruntungnya keluarga kami memiliki Aqel. Aqellah pelindung dan penyelamat keluarga Haji Salleh.

“Assalamualaikum....” suara lelaki yang sangat kukenali menyapa. Aku dan Aqel serentak berpaling. Haqem tersenyum melontar pandangan ke arah aku dan Aqel, lalu melabuhkan duduknya di kerusi kosong di sebelahku. Senyap. Aku mahupun Aqel belum mahu membuka mulut mengajak Haqem berbicara. Aku mengharapkan kalau Aqel sendiri yang mendahuluiku berbicara dengan Haqem memandangkan mereka adalah sahabat baik. Namun Aqel nampak begitu leka dengan buku catatannya yang sejak dari tadi menjadi tatapan matanya. Bagaikan banyak sangat maklumat di dalam buku itu yang harus diingatnya. Lantas Aqel tidak mempedulikan aku dan Haqem.

“Maaf.....” sayup – sayup kedengaran suara Haqem melafazkan kalimah itu. Kupandang Haqem. Haqem sedang membicarakan tentang tindakan bakal tunangnya dan mamanya.

“Bila mereka mahu berhenti memperlakukan saya sedemikian?” soalku kesal. Haqem melepaskan keluhannya.

“Saya begitu kesal kerana sentiasa gagal melindungi awak, Lia” tutur Haqem sayu.

“Saya tidak mengharapkan awak bertindak begitu, namun saya mahu awak selesaikan masalah awak dengan keluarga awak. Tentu Bella dan Datin Sofea sudah salah faham terhadap hubungan kita” tegasku. Fikiranku melayang mengingati Rania. Gadis ini memainkan peranan penting dalam menyemarakkan kemarahan Bella dan Datin Sofea terhadapku. Rania akan menggunakan orang lain untuk menyakiti aku. Aku akan sentiasa mengingati amaran yang pernah Rania berikan kepadaku.

“Lia, saya ingin menebus kesalahan lalu saya terhadap awak. Saya sudah mengambil keputusan mahu menawan hati awak semula. Saya hendak menunaikan impian kita dahulu untuk hidup bersama. Pasti awak masih ingat lagikan....” tutur Haqem serius sekali gus mengejutkan aku.

“Haqem....” Aku melepaskan keluhan beratku. Tidak sangka Haqem akan bertutur sedemikian. Sikap Haqem sangat merunsingkan aku.

“Bella dan Datin Sofea mengetahui niat awak ini?” soalku. Haqem mengangguk. Patutlah mereka muncul tika ini. Pasti aku telah menjadi fokus utama mereka.

“Saya sudah berterus – terang kepada mama dan Bella” jelas Haqem. Aku melepaskan keluhanku lagi. Tindakan Haqem telah mengherat aku dalam masalahnya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bercinta dengan awak lagi” tegasku. Haqem menatapku. Dia langsung tidak terkejut mendengar kenyataanku ini. Namun reaksi kecewa jelas tergambar di wajahnya.

“Saya akan berusaha menawan hati awak kembali, Lia” tutur Haqem begitu telus tanpa mempedulikan Aqel yang bersama kami nampak masih leka dengan buku catatan di tangannya.

“Jangan berfikiran terlalu jauh, Haqem. Antara saya dengan awak sudah tiada apa – apa lagi. Semua itu tidak akan terjadi” tegasku sedikit sinis.

“Tidak salah jikalau saya mencubanya. Saya tidak mahu cepat berputus asa” sahut Haqem berdegil. Aku mendengus kasar. Bicara Haqem memeningkanku.

“Jikalau awak terus begini, awak bakal menyusahkan hidup saya” sahutku.

“Mengapa pula? Awak akan serba salah? Tidak tahu hendak membuat keputusan? Maknanya awak masih ada perasaan kepada saya, Lia” tutur Haqem tersenyum.

“Awak jangan terlalu berangan – angan, Haqem” perliku. Tidak menduga Haqem akan berfikir sejauh itu. Haqem masih tersenyum – senyum menatapku. Perlianku langsung tidak memberi kesan kepada dirinya. Tiba – tiba sahaja jiwa raga Haqem begitu kebal. Jelasnya sekarang, Haqem memiliki ciri – ciri lelaki bermuka tembok. Timbul rasa gerunku terhadap Haqem. Sebetulnya aku sudah bosan menghadapi kedegilan kaum Adam. Sudah cukup terganggu aku dengan sikap Aqel, tidak ralat rasanya hendak berhadapan dengan kerenah Haqem pula.

“Biar masa dan keadaan yang menentukan segalanya, Lia. Kalau sudah ditakdirkan awak adalah jodoh saya, awak tidak boleh menolak kehadiran saya dalam hidup awak” tutur Haqem dengan sikap positifnya yang menggunung. Aku tersenyum sinis. Ada juga lawaknya sikap Haqem ini.

“Awak adalah sebahagian kenangan lampau saya. Kenangan yang tidak memberi makna apa – apa kepada saya sekarang. Lagipun saya tidak mahu terus bermusuhan dengan Bella dan Datin Sofea” tegasku. Berubah air muka Haqem. Barangkali Haqem tersinggung dengan bicaraku.

“Sekejam itu diri awak sekarang, Lia?” soal Haqem.

“Itulah hakikatnya Haqem. Saya tahu awak tidak pernah berlaku kejam mahupun melakukan kesalahan kepada saya. Saya minta maaf sebab selama ini berprasangka buruk kepada awak. Namun tidak bererti saya akan kembali kepada awak semula. Saya yakin ada seorang lelaki yang Allah telah ciptakan untuk menjadi pelindung saya yang belum saya temui. Saya sedang menantikan kemunculan lelaki itu” tuturku mengaitkan bicara mak dan Nana yang sedang terlintas dalam benakku. Terdiam panjang Haqem mendengar bicaraku ini. Wajahku ditenung lama.

“Awak sudah banyak berubah, Lia” komen Haqem.

“Masa dan keadaan boleh merubah diri seseorang itu” sahutku mengakui bicara Haqem. Aku harap Haqem tidak akan kecewa dengan perubahanku ini. Sebaliknya sentiasa memberi sokongan kepadaku.

‘Siapakah lelaki itu, Lia? Adakah aku mengenalinya?” soal Haqem bertalu – talu sambil ekor matanya melirik ke arah Aqel yang langsung tidak terganggu dengan perbualanku bersama Haqem. Haqem sudah salah faham. Aku melepaskan keluhan beratku. Jikalau Aqel yang berada dalam fikiran Haqem sekarang, pasti aku sangat kesal. Haqem mana boleh melibatkan Aqel dalam hal ini sedangkan mereka adalah sahabat karib yang mesti saling mempercayai.

“Maaf Haqem, Flora mari...” ajak Aqel tiba – tiba sahaja bangkit. Aku dan Haqem terkebil – kebil menatap Aqel.

“Saya ada hal hendak jumpa pihak urus setia. Saya tidak boleh tinggalkan Flora bersama awak. Keselamatannya sekarang tidak begitu terjamin” tutur Aqel tenang. Terlopong mulut Haqem mendengarkannya. Mesti Haqem rasa tercabar sekarang memandangkan Aqel nampak tidak percaya yang dirinya mampu melindungi aku. Aku pula terasa sebak melihat keprihatinan dan kesungguhan Aqel untuk terus menjagaku.

“Jangan salah faham. Buat masa ini terlalu bahaya awak mendekati Flora. Bella dan Datin Sofea sentiasa mengawal pergerakan Flora. Saya tidak mahu percutian ini tercemar dengan kekecohan yang memalukan” tegas Aqel memberi penjelasan selengkapnya. Perlahan – lahan Haqem mengangguk.

“Saya faham” sahut Haqem.

“Saya mesti bawa Flora bersama saya” jelas Aqel lagi.

“Saya tahu” sahut Haqem mengerti sekali gus menimbulkan rasa kurang senangku. Tidak perlu Aqel menjelaskan perkara ini kepada Haqem. Aku bukannya milik Haqem lagi. Haqem tidak akan salah faham kepada Aqel.

“Mari Flora...” ajak Aqel sekali lagi. Aku bangkit dari dudukku, lantas menyusun langkah seiringan langkah Aqel. Sempat pandanganku melihat kelibat Datin Sofea, Bella dan Rania yang sedang duduk di meja hujung sana. Nampak mereka mengadakan perbincangan yang serius.

“Nampaknya kali ini Haqem benar – benar nekad dan punya keberanian luar biasa” tutur Aqel mula bersuara. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Pandanganku dan Aqel bertembung.

“Maksud awak?” soalku juga meneliti bicara Aqel itu.

“Haqem masih menggantung harapan tinggi untuk bersama awak” tutur Aqel lebih jelas. Terbukti Aqel mengikuti setiap butir bicaraku dengan Haqem sebentar tadi.

“Haqem memang suka berbicara tanpa berfikir. Dia sedang keliru sekarang” tuturku memberikan reaksi pada bicara Aqel ini. Sebetulnya aku tidak tahu ayat yanng terbaik yang patut aku perdengarkan kepada Aqel saat ini. Tidak mahu berdiam diri juga. Risau kalau boleh mendorong Aqel berfikir yang bukan – bukan. Khuatir Aqel akan beranggapan aku sudah menyerah kalah pada kemahuan Haqem.

“Awak perlu berfikir sedalamnya sebelum membuat pertimbangan yang wajar. Andai awak masih sayangkan Haqem, tidak salah awak mencubanya untuk bersama Haqem lagi. Demi keadilan, awak mesti beri peluang kepada Haqem untuk membuktikan kesetiaan dan kesungguhan dirinya kepada awak” tutur Aqel mengubah haluan bicaranya. Besar anak mataku menatap Aqel. Jelasnya, Aqel mahu menyebelahi Haqem.

“Saya sudah pernah beri peluang kepada Heqem untuk menunjukkan kesetiaan dan kesungguhannya kepada saya. Haqem memilih tindakan yang kurang bijak. Apa salahnya andai dia berterus terang sahaja kepada saya ketika itu” lirih sahaja suaraku.

“Mungkin tika itu Haqem belum cukup matang untuk membuat pertimbangan sewajarnya. Namun yang pasti dia tidak mahu menghancurkan masa depan awak” sahut Aqel masih mahu berpihak kepada Haqem. Aku mendengus.   

  “Cukup...! Saya tahu Haqem adalah sahabat baik awak. Namun tidak bermakna awak mendorong saya untuk bersamanya lagi” tingkahku geram.

“Saya tidak mahu awak menyesal di kemudian hari nanti” jelas Aqel.

“Saya sudah cukup menyesal kerana jatuh cinta kepada Haqem. Andai saya tidak mengenali Haqem, mak tidak akan bersedih melihat kehidupan anak gadisnya begini” tingkahku.

“Jangan salahkan orang lain dengan apa yang telah berlaku, Flora. Andai awak lebih rasional dan berjiwa kental, kesedihan yang berpanjangan ini tidak akan membelenggu diri awak. Awak boleh belajar daripada perkara yang berlaku. Jikalau awak ambil ikhtibar daripada semua ini, maka awak akan jadi lebih matang” tegas Aqel.

“Melakukannya tidak semudah berbicara. Orang yang tidak mengalaminya bolehlah berkata – kata sesuka hati” bidasku sinis.

“Itulah awak sentiasa berfikiran negatif” tutur Aqel membidasku. Aku mendengus. Pintu kaca ini sedang kami lewati.

“Awak dan Haqem sama sahaja. Sebab itu awak boleh berkata – kata sebegini. Seperti awak melukakan Rania, begitu jugalah tindakan Haqem kepada saya” tegasku melupakan niat sebenar daripada tindakan Haqem beberapa tahun yang lalu.

“Sebab itulah kamu berdua boleh jadi sahabat baik. Barangkali awak lebih kejam daripada Haqem” kutukku melempiaskan rasa geramku. Besar anak mata Aqel menatapku.

“Tengok awak sering kali dipengaruhi oleh perasaan. Emosional tidak menentu” perli Aqel membalas kutukanku. Aku mendengus lagi.

“Susah hendak cakap dengan orang yang dingin membeku yang tiada perasaan ini” rungutku dengan hati yang membara. Aku mengubah haluan kakiku. Tidak mahu sehala dengan langkah Aqel lagi.

“Awak hendak pergi mana?” soal Aqel terpinga – pinga melihat aku membawa haluan sendiri. Kulemparkan jelinganku ke arah Aqel.

“Saya risau saya akan hilang sabar kalau lama – lama bersama awak” balasku berbaur ancaman. Aqel terus sahaja mempamerkan senyuman semanis madunya.

“Awak hendak kungfu sayakah kalau awak hilang sabar” ujar Aqel mengusikku. Aku menjeling Aqel. Belum sempat aku menyahut bicara Aqel, kedengaran bunyi mesej yang kuterima. Laju sahaja tanganku menyeluk poket beg galasku. Mesej daripada Haqem.

~ Setahu saya setakat ini Aqellah lelaki yang sentiasa melindungi awak. Adakah Aqel lelaki yang sedang awak nantikan itu? ~

Aku melepaskan keluhanku. Mesej Haqem ini kubiarkan sahaja tanpa balasan. Tidak suka aku melayan lelaki yang sering sahaja membinggungkan aku.

“Mesej siapa?” soal Aqel bertanya.

“Sibuk sahaja” kutukku, lantas menjeling Aqel. Aqel terus sahaja tertawa. Aku menyambung langkahku sambil menulis mesej yang ingin kuhantar kepada Marnie yang berhajat mahu mengajak dia dan Reka bersantai – santai di luar ini. Laju jari – jemariku menekan satu – persatu aksara sehingga membentuk frasa yang ada makna.

“Flora....!!!” Aku tersentak mendengar jeritan Aqel. Laju aku berpaling. Sebuah kereta meluru di depanku. Aku tergamam dan terpacak di situ tanpa bergerak walau seincipun. Sekelip mata sahaja terasa tubuhku melayang dirempuh oleh tubuh Aqel. Telefon bimbit di tanganku terpelanting. Tidak sempat aku hendak menghantar mesej itu kepada Marnie. Aku terbaring di tepi jalan. Kuteliti seluruh tubuhku. Tiada yang tercedera. Hanya rasa sakit akibat hentakan yang kuat tadi. Aku berpaling. Kulihat Aqel masih terbaring tidak jauh daripadaku. Laju aku bangkit lalu mendekati Aqel.

“Aqel...” panggilku. Dahi Aqel berkerut menahan sakit. Kucapai tangan Aqel lalu membantunya bangun. Siku Aqel tercedera. Lantas kupimpin Aqel untuk mencari tempat yang lebih selamat. Kurenung wajah Aqel. Mujur tiada calar – calar di situ.

“Siku awak cedera. Tunggu di sini biar saya beli ubat untuk awak” tuturku.

“Tidak perlu cedera sedikit sahaja” tingkah Aqel. Aku tidak mempedulikan bicara Aqel. Aku terus sahaja berlari menyeberang jalan untuk sampai ke farmasi itu. Lantas kubeli cecair pencuci dan pembalut luka. Kemudian kembali semula mendapatkan Aqel yang sedang menahan sakit.

“Saya hendak bersihkan luka ini sekarang” tuturku. Terkebil – kebil mata Aqel menatapku. Ada kerisuan terpamer di wajahnya. Mesti dia meragui kemampuanku.

“Jangan risaulah di sekolah dahulu saya ahli Persatuan Bulan Sabit Merah. Sudah biasa merawat luka – luka kecil sebegini” ujarku cuba menenangkan Aqel.

“Betulkah?” soal Aqel. Aku mengangguk.

“Tahan ya... ada rasa pedih sedikit” ujarku memperingatkannya.

“Bismillahnirahmanirahim...” lafazku lalu menyapukan kapas yang sudah dibasahi cecair pembersih luka itu ke permukaan siku Aqel yang terluka.

“Aduuuhhhhh...” Aqel mengerang kesakitan. Giginya mengetap bibirnya.

“Buatlah perlahan – perlahan” rungut Aqel dengan dahi yang berkerut.

“Sudah perlahan ini....Itulah awak sudah tahu tidak tahan sakit janganlah bertindak macam hero pula” perliku bagaikan orang yang tidak mengenang budi. Aqel mengerling ke arahku.

“Siapa suruh awak beriya – iya benar hendak selamatkan saya” tuturku menguji tahap kesabaran Aqel. Aqel menatapku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Sungguh mengoda renungan mata anak muda Mak Long ini. Bisa menggetarkan jiwa kalbu perempuan.

“Selagi saya bernafas saya tidak akan biarkan awak disakiti. Awak adalah amanah yang Mak Usu dan mama berikan kepada saya” sahut Aqel buat aku terpaku dan membisu. Kupandang Aqel. Betapa tersentuhnya hatiku mendengar bicara Aqel ini.

“Terima kasih, Aqel” tuturku perlahan – lahan. Aqel tersenyum. Dahi Aqel berkerut lagi. Kesakitan itu masih dirasainya. Selembutnya aku membalut siku Aqel, tidak mahu menambah kesakitan Aqel. Aqel cedera kerana aku, maka aku rasa terhutang budi kepada Aqel.

“Saya beritahu Mak Long perkara ini ya....” ujarku. Laju Aqel geleng kepala.

“Tidak perlu. Saya ini bukannya congek seperti awak” sahutnya memerliku.

“Mana ada saya congek...” rungutku. Pantas sahaja tanganku menampar lengan Aqel.

“Aduuuuhhhhhh....!” Aqel terjerit kecil buat aku panik.

“Maaf.... maaf.... saya tidak sengaja hendak pukul awak” tuturku rasa bersalah sambil menggaru – garu kepala melihat wajah Aqel berkerut menahan sakit.

“Awak congek sebab suka menangis” tutur Aqel mengungkit perkara itu.

“Saya menangis sebab hati dan perasaan saya disakiti” tuturku perlahan. Tidak semena – mena aku meluahkan isi hati yang terbuku selama ini. Aqel tersenyum kepadaku. Bukan senyuman perlian, sebaliknya senyuman yang memberikan ketenangan kepadaku.

“Awak menangis sebab awak cuba berbohong kepada diri awak sendiri. Awak cuba menafikan perasaan awak” tutur Aqel penuh makna tersirat. Aku hanya mendiamkan diri.

“Apa impian awak, Flora? Saya akan tolong awak realisasikan impian awak itu” tutur Aqel buat aku terpinga – pinga.  

“Cakaplah tidak payah segan – segan” gesa Aqel.

“Saya akan bersama awak menahan serangan Bella dan Datin Sofea” tutur Aqel. Aku tetap membisukan diriku.

“Cinta terhalang memang banyak dugaan yang harus awak tempuhi. Paling penting jangan cepat putus asa” tutur Aqel yang kurasa semakin melalut – lalut. Aku sangat mengerti dengan maksud yang Aqel cuba sampaikan di sebalik bicaranya itu.

“Aqel....” panggilku mula bersuara.

“Ya...” Aqel menatapku.

“Awak betul – betul yakin saya dengan Haqem masih ada jodoh?” soalku. Laju sahaja Aqel mengangguk. Aku melepaskan keluhanku.

“Saya tidak pernah berharap untuk bersama Haqem lagi. Saya sedang menanti kemunculan lelaki yang Allah ciptakan untuk saya. Lelaki yang mampu melindungi dan membahagiakan saya seperti yang mak dan Nana sering katakan kepada saya” tuturku bersungguh – sungguh dalam senyuman. Walaupun bicara mak dan Nana lebih merupakan pujukan buatku, namun aku tetap meyakini akan kebenaran bicara mereka itu. Aqel turut tersenyum. Barangkali bicaraku ini telah mencuit perasaannya.

“Kita akan sama – sama menanti kemunculan lelaki budiman itu. Tidak sabar saya hendak berkenalan dengan lelaki itu” tutur Aqel mengusikku.

“Awak pasti akan mencemburui lelaki hebat seperti dia” tuturku begitu yakin sambil membayangkan gerangan lelaki itu. Aqel tergelak. Seminit kemudian tawaku dan Aqel bersatu.

“Sudah lama kita berada di sini, marilah kita masuk ke dalam bersama mereka” ajakku. Aqel mengangguk bersetuju. Aku dan Aqel terus sahaja memulakan langkah. Langkahku tiba – tiba terhenti.

“Kenapa?” soal Aqel hairan. Tanpa menjawab pertanyaan Aqel, aku berpatah balik ke tempat kejadian tadi. Terpandang aku telefon bimbitku yang sudah sampai ke penghujung riwayatnya. Aku terus sahaja mencapainya dengan wajah yang mendung.

“Telefon saya sudah tidak boleh guna lagi” keluhku mengadu kepada Aqel dengan hati yang sedih. Jikalau ikutkan hati mahu juga aku menangis. Namun tidak mahu Aqel mengatakan aku seorang yang sentimental sangat.

“Jangan risau saya akan hadiahkan awak telefon baru” tutur Aqel.

“Betulkah?” soalku teruja. Aqel mengangguk.

“Terima kasih, Aqel” ujarku tersenyum. Hatiku berbunga riang kembali. Dalam banyak hal memang Aqel sentiasa menjadi penyelamatku. Terima kasih banyak – banyak Aqel! Alhamdulillah kerana Allah menganugerahkan aku seorang sepupu yang dermawan dan prihatin. Aqel memang sentiasa berjasa kepadaku.

6 comments:

  1. Assalammualaikum :)
    terasa lama sekali menunggu bab ini :)
    Berharap lia bnr2 memutuskan untuk tidak kembali kepada hakem. Dan berharap laki2 yang diinginkan lia adalah aqel dan cepat2lah lia menyadarinya. . . lanjut yah. . . Cepat!!!hehehe :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumusalam... memang lama br sy ada masa nak tulis. bz sgt dgn keja2 sekolah. mohon maaf pd pembaca setia novel ini. tqvm asih

      Delete
  2. Hi Permata Nilam

    That was interesting.... Hope Lia wil know Aqel was the person sent by Allah! Hehe!!

    thanks Permata Nilam

    ReplyDelete
  3. tqvm nuratiza n saluja. tq u all....

    ReplyDelete