Tuesday, 12 February 2013

NamaKu Bukan Flora....42




BAB 42

“Mana Encik Aqel, Encik Haqem?” soal Marnie menatap Haqem yang muncul berseorangan. Senyuman Haqem lebih awal menyapa kami. 

“Awal – awal pagi dia sudah keluar. Katanya ada hal” jelas Haqem. Marnie mengangguk – angguk faham. Aku hanya diam mendengarkan perbualan mereka.

“Marilah makan sama, Encik Haqem” ajak Reka pula. Haqem mengangguk dan tersenyum. Dia terus sahaja melabuhkan duduknya yang bertentangan denganku. Haqem menatapku.

“Hendak minum apa, Encik Haqem?” soal Marnie begitu sopan melayan bosnya ini.

“Teh ais” sahut Haqem mengalih pandangannya ke arah Marnie.

“Makan?” soal Marnie lagi. Haqem hanya geleng kepala.

“Hendak jaga badankah, Encik Haqem?” soal Reka mengusik. Haqem hanya tersenyum. Samalah seperti dirinya yang tidak mahu memesan sebarang makanan. Sekadar secawan air teh suam sudah cukup. Berbanding aku yang telah memilih segelas milo ais dan sepinggan nasi campur, manakala Marnie sepinggan nasi lemak sambal sotong dan segelas teh lemon ais. Aku dan Marnie memang tidak pernah melepaskan peluang menikmati makanan sedap – sedap.

“Marnie dan Lia jangan dihairan Encik Haqem. Mereka berdua ini memang suka makan” ujar Reka mengusik. Aku dan Marnie hanya tersenyum.

“Dia sebenarnya cemburu kepada kami, Encik Haqem, sebab tidak boleh merasa semua makanan. Saya dan Lia beruntung sebab tidak perlu jaga badan” sahut Marnie membalas usikan Reka. Reka mencebik bibir. Sementara aku, Marnie dan Haqem tergelak.

“Yalah bertuah menjadi seperti mereka berdua, makan banyak pun tidak menjadi masalah. Potongan badan masih mengancam” balas Haqem cuba meriuhkan keadaan. Marnie tersenyum lebar mendengar bicara Haqem yang berupa sanjungan itu. Aku langsung tidak terusik dengan pujian Haqem.

“Hati – hati memuji perempuan lain Encik Haqem, nanti terdengar Cik Bella meradang dia” ujar Marnie mengingatkan Haqem yang sedang tersenyum tawar. Aku tersenyum sendiri. Bicara Marnie ada benarnya.

“Mana Bella dan Datin Sofea, Encik Haqem? Mereka sudah balikkah?” soal Reka. Haqem mengangguk lemah. Nampak tidak bersemangat dia mendengar nama – nama itu. Patutlah langkah Haqem kian panjang. Rupanya orang garang yang mengawasinya sudah pergi.

“Bila Encik Haqem dan Cik Bella hendak nikah?” soal Marnie langsung tidak mahu melepaskan peluang. Aku menatap Haqem. Begitu juga dengan Marnie dan Reka. Aku memang mahu mendengar jawapan yang bakal Haqem berikan.

“Saya dan Bella tidak pernah bertunang” tutur Haqem mengejutkan Reka dan Marnie.

“Bukankah Datin Sofea pernah perkenalkan Cik Bella sebagai tunang Encik Haqem kepada staf KDUT dahulu?” soal Marnie mengungkit perkara itu. Haqem tersenyum hambar.

“Mama saya memang suka bertindak mengikut kemahuan hatinya” tutur Haqem mengulas sikap perempuan itu. Jelasnya Bella merupakan gadis pilihan Datin Sofea untuk dijadikan menantunya. Sesungguhnya Bella telah memenuhi syarat – syarat menantu pilihan yang ditetapkan oleh Datin Sofea. Beruntung gadis itu.

“Jadi Encik Haqem tidak akan nikah dengan Cik Bella?” soal Marnie dengan mata yang membutang menatap Haqem. Haqem mengangguk dengan yakinnya. Kutatap wajah Haqem. Risau hatiku andai Haqem akan mengeluarkan kata – kata yang tidak sepatutnya.

“Encik Haqem ada pilihan lainkah?” soal Reka. Kupandang wajah Haqem lagi. Aku berharap Haqem hanya akan mendiamkan dirinya sahaja. Kelihatan Haqem menarik nafas dalam – dalam. Mungkin sekejap lagi Haqem akan membabitkan aku pula. Oh... tidak dapat aku bayangkan semua ini berlaku dalam sekelip mata! Aku tidak tega Haqem membongkarkan rahsiaku dengan dirinya di depan Marnie dan Reka. Andai perkara ini berlaku, aku tidak mampu membayangkan reaksi Marnie dan Reka malah warga KDUT. Tercetuslah cerita – cerita hangat yang kurang menyenangkan. Pasti ramai yang akan memandang serong kepadaku. Oh.... tidak sanggup aku hendak membayangkannya! Sekilas pandang aku nampak Haqem mengangguk membuatkan Marnie dan Reka terlopong. Aku mula rasa gelisah. Semoga Haqem mampu berfikir sewajarnya sebelum mengeluarkan kata – katanya. Sesungguhnya, telajak perahu boleh diundur tetapi telajak kata buruk padahnya.

“Mesti gadis itu lebih hebat daripada Cik Bella” tutur Marnie tersenyum. Haqem mengangguk sambil melirik ke arahku. Aku cuba mempamerkan wajah bersahajaku. Cuba bertenang walaupun hakikatnya diriku dilanda kegelisahan saat ini.

“Apa yang hebat itu?” tiba – tiba sahaja ada suara lelaki mencelah. Serentak kami berpaling. Aqel sedang tersenyum membalas pandangan mata kami. Aku menarik nafas lega dengan kemunculan Aqel ini. Untuk sekian kalinya Aqel menjadi penyelamatku lagi. Aqel terus sahaja melabuhkan duduknya di kerusi kosong di sebelahku.

“Untuk awak” tuturnya seraya meletakkan beg kertas samsung di depanku.

“Wow..., Samsung Galaxy Note II!” tutur Reka teruja. Aqel hanya tersenyum.

“Awak keluar tadi hendak beli inikah? Ada apa – apa istimewakah hari ini?” soal Haqem sambil menatap Aqel kebinggungan. Tidak mahu dirinya terlepas maklumat penting.

“Alah… Encik Haqem, tidak perlulah menunggu tarikh – tarikh istimewa. Encik Aqel dengan Liakan sepasang kekasih yang sudah ada ikatan. Perkara biasalah lelaki memberi hadiah kepada tunangnya. Macamlah Encik Haqem tidak pernah bercinta” tutur Reka menyindir. Terkebil – kebil Haqem mendengarkan bicara Reka ini. Aku dan Aqel hanya tersenyum. Boleh tahan juga lasernya mulut gadis kacukan Cina - India ini.

“Sebenarnya telefon dia telah rosak. Saya sudah berjanji hendak beli yang baru untuk Flora” jelas Aqel memberi penjelasan.

“Terima kasih, Aqel. Bagaimana dengan siku awak? Sudah elokkah?” soalku.

“Emm…emm… prihatinnya awak kepada Encik Aqel, ya. Cemburunya saya tengok kalian berdua bukan main romantik lagi” tutur Reka berdehem – dehem mengusikku dan Aqel. Aku mencebik bibir ke arah Reka. Marnie tersenyum lebar.

“Mestilah sebab semalam Aqel tercedera kerana saya” tegasku tidak senang mendengar usikan Reka ini.

“Apa yang berlaku?” soal Haqem cemas.

“Kemalangan kecil sahaja” sahut Aqel. Aku mengangguk menyokong bicara Aqel.

“Walau apapun terima kasih juga sebab awak telah menyelamatkan nyawa saya” tuturku tetap merasa terhutang budi kepada Aqel.

“Ini kira kes serius ini” ujar Marnie mencelah setelah mendiamkan diri seketika. Reka dan Haqem serius menatapku dan Aqel. Sekilas senyuman terukir di bibirku.

“Tidak payahlah serius sangat. Kami pun tidak apa – apa” tutur Aqel.  Aku mengangguk. Bicara Aqel ada benarnya. Tidak mahu membesar – besarkan hal ini. Kejadian yang berlaku berpunca daripada kelalaianku. Di samping, keriakan Si Pemandu yang memandu keretanya.

 USAI sahaja sesi penggambaran, Haqem membuat pengumuman bahawa pada petang ini akan diadakan permainan bola tampar pantai berpasangan sebagai aktiviti riadah percutian dua dalam satu ini iaitu kerja - kerja penggambaran di lokasi percutian popular ini sekali gus percutian untuk kakitangan yang terlibat. Sorakan dan suara riuh – rendah teman – teman menyambut pengumuman Haqem. Mereka nampak teruja sangat. Tidak seperti aku. Aku baru sahaja memutuskan untuk tidak menyertainya, namun hajat hatiku musnah apabila Haqem menyatakan bahawa semua wajib menyertainya. Aku melepaskan keluhanku dengan wajah monyok.

“Habislah kali ini, saya tidak tahu main bola tampar ini” keluh Reka lantas mempamerkan wajah muramnya. Reka juga persis diriku. Namun berbeza alasannya. Aku berat hati mahu menyertainya lantaran tidak senang berada di lokasi yang sama dengan Haqem, Aqel dan Rania. Pandangan Rania menyesakkanku. Pengawasan Haqem melemaskanku. Aqel? Entahlah belum dapat kufikirkan setelitinya mengapa aku kurang senang berdekatan dengannya. Barangkali tidak tahan mendengar usikan teman – teman yang mempercayai aku dan Aqel pasangan yang sedang menunggu hari bahagia untuk disatukan. Kalau aku bersama Aqel, terasa banyak sangat mata yang sedang memerhatikan kami. Lantaran itu, risiko rahsia kami untuk terdedah terlalu tinggi. Silap tingkah pasti menimbulkan pelbagai persoalan. Apatah lagi Rania memang sentiasa mengawasi pengerakanku.

“ Awak main sahajalah nanti” sahut Marnie.

“Yalah sudah tidak dapat dielak. Harap – harap dapat pasangan yang tidak tahu bermain juga nanti” tutur Reka lemah.

“Awak ini cepat sangat mengalah. Langsung tiada semangat kesukanan” rungut Marnie memarahi Reka.

“Sekurang – kurang jikalau kalah nanti, tidaklah saya mengecewakan rakan sepasukan saya. Lagipun sayang saya hendak dedahkan kulit saya ini” tutur Reka bercanda.

“Fuuuuhhhhh....!” Marnie mencebik. Aku dan Reka tergelak.

“Bukankah pasangan boleh dipilih sendiri?” soalku yang kurang memberi tumpuan pada pengumuman Haqem sebentar tadi.

“Saya pun tidak tahu main ini” tuturku merahsiakan identitiku ketika zaman bergelar pelajar dahulu.

“Baru sahaja saya bercadang hendak berpasangan dengan awak, Reka. Sayapun tidak mahu berpanas lama – lama” tuturku lagi. Reka mengangguk sambil tersenyum suka.

“Jangan hendak mimpilah. Nanti ada cabutan undi untuk menentukan pasangan masing – masing” tingkah Marnie semakin memudarkan semangatku.

“Betulkah?” soalku lemah. Reka mengangguk.

“Kempunanlah kalian berdua hendak jadi pasangan yang paling awal terkeluar” perli Marnie tergelak besar. Serentak aku dan Reka mencebik ke arah Marnie membuatkan gelak Marnie semakin besar. Cabutan undi untuk menentukan pasangan masing – masing? Aku melepaskan keluhan. Harap – harap aku tidak akan menjadi rakan sepasukan kepada insan – insan yang boleh menimbulkan kontroversi. Andai aku dan Rania dipertemukan sebagai pasangan nanti, sudah pasti kami tidak akan mampu bekerjasama dengan baik. Bagaimana pula kalau aku dipertemukan dengan Aqel? Rasanya aku boleh bekerjasama dengan Aqel. Jikalau aku ditakdirkan menjadi rakan sepasukan Haqem? Aku melepaskan keluhan lagi. Harap – harap perkara ini tidak akan berlaku. Aku tidak mahu menambah kemarahan Bella dan Datin Sofea terhadapku.

 “Baik kita berehat di bilik sekarang selagi ada masa” ujar Marnie mengajak aku dan  Reka balik ke bilik.

“Tidak makan tengah harikah?” soalku sambil melirik ke arah jam di tanganku. Sudah hampir ke pukul 12.10 tengah hari. Sudah sampai waktu makan tengah hari.

“Kita tapau sahajalah” cadang Marnie. Aku mengangguk setuju.

“Kamu berdua ini jikalau bab makan memang tidak pernah lupa” tutur Reka tersenyum sinis memperli aku dan Marnie.

“Mestiah hendak tambah tenaga untuk pertandingan petang nanti” sahut Marnie. Aku hanya tersenyum sekilas. Teringat pada aktiviti petang ini, aku dilanda kerisauan. Terasa terbeban pula diriku. Kami bertiga terus beriringan mengatur langkah. Tiba di persimpangan jalan, aku dan Marnie mengubah haluan tuju kami ke restoran hotel ini. Sebaliknya Reka yang sentiasa berdiet meneruskan langkahnya ke bilik. Marnie tiba – tiba sahaja mengubah perancangan awal apabila dia mengajak aku menikmati makan tengah hari di situ. Aku yang kebetulan sedang kelaparan terus sahaja bersetuju. Persis orang yang menggantuk disorongkan bantal. Maka aku dan Reka menghabiskan masa kira – kira 30 minit menjamu selera di restoran ini. Setibanya kami di bilik, Reka sudah terlena dibuai mimpi dengan khusyuknya. Maklumlah pagi tadi ada slot penggambaran untuknya. Pasti Reka keletihan sekarang. Aku terus sahaja membersihkan diri seterusnya solat zuhur. Beberapa minit kemudian, menyusul lena Reka meninggalkan Marnie bersendirian menonton televisyen.

“Lia... bangun...!” sayup – sayup aku mendengar suara Marnie menyusup di halwa pendengaranku. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Kelihatan Reka sedang menongkat dagu sambil berteleku di hujung katil. Wajahnya langsung tidak bersemangat. Pasti Reka sedang memikirkan permainan bola tampar yang akan berlangsung dalam beberapa minit lagi. Kupejamkan mataku semula. Aku mahu menyambung tidurku semula.

“Hoi.... Cik Flora.... bangunlah....! Encik Aqel sudah lama tunggu awak di bawah itu” suara Marnie menggetarkan gegendang telingaku. Anak mataku terus sahaja terbuka luas seluas 360°.

“Hish...., kacaulah!” rungutku. Marnie tergelak – gelak.

“Malaslah hendak pergi” tuturku masih terbaring kemas di tilam empuk ini. Kutarik selimut menutupi tubuhku. Kedinginan mencengkam tulang – temulangku.

“Encik Aqel kata tadi jikalau awak tidak mahu bangkit dari katil ini dia akan datang dukung awak” tutur Marnie memberi amaran. Tajam pandanganku menatap Marnie. Pandai – pandai pula dia mereka cerita. Dia ingat aku percayakan bicaranya itu.

“Suruhlah dia datang sini jikalau dia berani” ujarku mencabarnya. Marnie sudah siap dengan pakaian sukannya. Bila – bila masa sahaja akan beredar pergi.

“Hah...., yang awak ini kenapa belum bersiap lagi?” rungut Marnie sambil menatap Reka.

“Saya hendak juga Encik Aqel datang dukung saya” ujar Reka dengan wajahnya yang serius. Aku terus tergelak. Terkena sebiji kepada Marnie.

“Jangan hendak bermimpilah. Cepat kamu berdua bersiap!” arah Marnie berlagak bos. Lambat – lambat Reka bangkit dari katil. Aku masih terbaring diselubungi selimut. Marnie mendekatiku, lalu menarik selimut ini.

“Cepat bersiap!” arah Marnie lagi.

“Saya rasa tidak sihatlah” ujarku berbohong.

“Hah..., minta – mintalah sakit! Nanti Allah kabulkan permintaan awak itu padan muka” rungut Marnie menimbulkan perasaan risauku. Perkara yang tidak elok tidak boleh diminta – minta. Kutolak ke tepi selimut. Dengan malas aku bangkit dari katil.

“Kalian berdua bersiap – siaplah. Saya tunggu tahu” tutur Marnie lalu bergerak ke ruang santai. Seminit kemudian, kedengaran suara televisyen berkumandang. Reka muncul dari bilik air dengan terketar – ketar.

“Tidak ada air panaskah?” soalku hairan.

“Ada. Suhu bilik ini terlalu sejuk” komennya.

“Matikanlah penghawa dingin itu” arahku. Aku terus melangkah ke bilik air. Sengaja aku melambat – lambatkan masa untuk bersiap.

“Lamanya awak bersiap” keluh Marnie tatkala aku sudah berada di depannya.

“Lia mandi bunga tadi. Maklumlah sekejap lagi hendak bertanding” tutur Reka mengenakanku. Aku dan Reka terus tergelak membuatkan Marnie menarik muka masam.

“Janganlah marah Mar. Maaf.... sebab buat awak tertunggu – tunggu” pujukku tersengih menatap Marnie.

“Kalian berdua ini memang sengaja melambat – lambatkan masa. Tidak apa nanti saya lapor kepada Encik Aqel dan Encik Haqem” tutur Marnie mengancam. Sekali lagi aku dan Reka tergelak. Akhirnya Marnie pun turut tergelak sama.
 
Setibanya di lokasi pertandingan, semua sudah berkumpul. Kami bertiga menebalkan muka tatkala teman – teman melontar pandangan ke arah kami. Terpandang juga aku wajah masam mencuka Rania. Hatinya pasti sedang menyumpah – nyumpah sekarang. Aqel dan Haqem tetap kelihatan tenang.

“Minta maaflah terlambat. Anak dara dua orang ini lama sangat bersolek” tutur Marnie mengenakan aku dan Reka. Aku dan Reka hanya tersengih. Sebetulnya memang kami punca kelewatan ini. Marnie pula mangsanya.

“Semua sudah berada di sini sekarang. Maka kita mulakan cabutan undi untuk mengetahui pasangan masing – masing” suara Haqem berkumandang. Aku masih berdiri di tempatku tadi.

“Ada 20 pasukan akan terbentuk. Di sini ada 20 orang nama yang tertulis sebagai pasangan yang akan membuat cabutan undi sekejap lagi. Ada 16 orang lelaki dan 4 orang wanita” jelas Haqem. Harap – harap akulah yang akan berpasangan dengan salah seorang daripada 4 orang wanita tersebut. Terpandang lagi aku wajah Rania yang sedang tersengih – sengih itu. Tetapi pasanganku itu bukanlah Rania nanti.

“Lia, nama awak tidak tersenarai dalam 20 orang itu. Awak diminta membuat cabutan untuk menentukan pasangan awak nanti” tutur Haqem. Aku melangkah malas merapati teman – teman yang suudah bersedia membuat cabutan undi untuk mengetahui pasangan masing – masing. Begitu juga dengan Reka. Manakala Marnie hanya menanti siapa yang bakal berpasangan dengan dirinya memandangkan namanya telah tertulis di situ.

“Awak jangan ambil nama saya, tahu. Saya hendak menang” tutur Aqel tersenyum sinis kepadaku. Cukup mengerti dengan maksud bicara Aqel.

“Awak ingat saya hendak berpasangan dengan awakkah? Jangan beranganlah!” perliku mencebik ke arah Aqel.  

“Eleh.... sombong pula dia!” kutuk Aqel lagi. Aku melemparkan jelingan ke arah Aqel. Macamlah dia itu pemain bola tampar profesional hendak berlagak pula.

“Lia, giliran awak” suara Haqem menyentakkanku. Aku berpaling. Rupanya tinggal aku seorang sahaja lagi yang belum membuat cabutan. Kulihat Rania sedang tersenyum – senyum riang sambil matanya masih menatap nama yang tertulis pada kertas di tangannya.

“Harap – harap saya akan jadi rakan sepasukan awak” tutur Haqem tanpa berselindung. Aku tersenyum sekilas. Bukan itu yang aku hajati. Dadaku mula rasa berdebar – debar. Sedikit bergetar tanganku tatkala membuka lipatan kertas ini. Janganlah aku dapat nama Haqem. Aku risau aku tidak mampu bergandingan baik dengan Haqem. Nanti sia – sia sahaja usaha Haqem. Harapaku musnah tatkala terpandang sebaris nama yang sudah terbentang di depan mataku ini. Aku terdiam panjang. Haqem menjengukkan kepalanya. Dia tersenyum.

“Betulkan cakap saya tadi. Terima kasih, Lia. Kita akan menjuarai pertandingan ini” tutur Haqem bersemangat. Aku masih berdiam diri.

“Sekarang bergerak kepada pasangan masing – masing” arah Haqem. Aku masih terpacak bersendirian di sini. Kulihat Reka dan Marnie menjadi rakan sepasukan. Kemudian pandanganku beralih kepada Rania yang sedang tersenyum mekar menguntum di sisi Aqel. Aqel kelihatan tenang sahaja dan masih mampu tersenyum. Betapa profesionalnya Aqel tidak seperti aku.

“Lia, siapa rakan sepasukan awak?” soal Marnie kehairanan melihat aku belum berganjak dari posisiku ini.

“Aaa...” Aku tidak mampu bersuara.

“Saya pasangan Lia” sahut Haqem yang tiba – tiba sahaja berdiri di sebelahku, dekat denganku.

“Wow....!” suara teruja Reka kedengaran. Taklimat peraturan permainan yang diberikan oleh Encik Basri tidak mampu aku ikuti dengan baik. Bagaikan aku sudah hilang fokus.

“Kita guna sistem kalah mati. Jadi setiap pasukan tunjukkanlah kesungguhan yang tinggi. Biar tewas setelah berjuang bermati – matian” tutur Encik Basri selaku pengadil yang telah dilantik. Dia tersenyum. Kupandang Reka. Sudah nampak semangat tersuntik dalam dirinya. Tidak seperti awal – awal tadi. Barangkali Marnie sudah berjaya memotivasikan dirinya.

“Haqem, saya rasa saya tidak mampu bermain dengan baiklah nanti” tuturku lemah. Haqem tersenyum dan geleng kepala.

“Awak mampu Lia. Saya tahu awaklah pemain bola tampar terhebat yang pernah saya kenali” tutur Haqem cuba menyuntik semangatku. Laju aku geleng kepala.

“Mungkin itu dahulu. Saya sudah lama sangat tidak bermain bola tampar” tingkahku tidak yakin pada kebolehan sendiri. Haqem geleng kepala.

“Saya yakin kepada awak. Saya yakin pada kebolehan awak” tutur Haqem tersenyum. Aku melepaskan keluhanku lagi. Melihat semangat Haqem berkobar – kobar itu membuatkan aku semakin rasa tertekan. Memang aku tidak mahu mengecewakan Haqem.

“Dengan adanya awak bersama saya.... maksud saya jadi rakan sepasukan awak, saya menjadi lebih bersemangat” tutur Haqem sedikit berbisik sambil tersenyum. Aku hanya mendiamkan diri buat seketika.

“Maafkan saya andai awak bakal tewas kerana saya” tuturku.

“Kita tidak akan tewas” tingkah Haqem begitu yakin. Maka perlawanan pertama dimulakan dengan pertemuan  Marnie dan Reka dengan Aqel dan Rania. Memang betul seperti yang Reka katakan tadi bahawa dia tidak tahu bermain bola tampar. Begitu mudah sahaja Aqel dan Rania menewaskan Reka dan Marnie. Marnie hanya tergelak tidak mahu menyalahkan Reka atas kecundangannya mereka.

 Kini tiba giliran aku dan Haqem berhadapan dengan lawan kami. Marnie dan Reka begitu bersemangat menjadi penyokong kami. Aku cuba buat sehabis baik, namun belum menemui rentak keserasian dengan Haqem. Walaupun suatu waktu dahulu, aku dan Haqem merupakan rakan sepasukan bola tampar yang sering digeruni oleh pihak lawan. Ada berlaku beberapa kesilapan lantaran kegagalan berkomunikasi baik dengan Haqem. Mujur Haqem sering menjadi penyelamat dan bertindak tangkas. Akhirnya, aku dan Haqem berjaya juga ke pusingan seterusnya.

“Hey... tidak sangka rupanya awak boleh bermain dengan baik, ya” puji Aqel. Aku hanya mempamerkan wajah bersahajaku. Masih sakit hati dengan bicaranya tadi.

“Awak tidak tahukah, Lia ini pemain bola tampar kampus” sahut Haqem mewakili diriku sekali gus menyentakkanku.

“Oh...., patutlah ada gaya pemain bola tampar profesional” tutur Aqel memujiku. Aku hanya mendiamkan diri.

“Kita jumpa di peringkat akhir nanti” ujar Haqem lagi.

“Ya... kami akan tunggu” sahut Aqel tersenyum. Memang Aqel dan Haqem berkeyakinan akan sampai ke peringkat akhir. Rania yang sejak dari tadi tidak berenggang dengan Aqel turut mengangguk dan tersenyum. Namun dia langsung tidak mahu memandangku. Dipendekkan cerita, seperti yang diramal pertemuaan ini menemukan kami dengan pasukan Aqel.

“Lia sambut...!” laung Haqem. Aku menyambut umpanan bola Haqem. Namun gagal menyempurnakan dengan baik. Begitu mudah sahaja Aqel mematikannya. Setelah terikat dengan mata yang sama buat seketika, kini Aqel dan Rania mendahului kami dengan satu mata.

“Maaf Haqem...” tuturku rasa bersalah.

“Tidak apa. Awak boleh cuba lagi dan kita masih berpeluang untuk menang” ujar Haqem masih meyakini kebolehanku. Tinggal tiga mata lagi untuk menamatkan perlawanan ini. Rania yang sudah bersedia melakukan hantaran bola tersenyum sinis menatapku. Hantaran bolanya begitu tajam. Mujur Haqem berjaya menyambutnya. Haqem mengembalikan bola tersebut. Seketika bola itu saling berulang – alik melepasi jaring membuatkan suasana kian gamat dengan tepuk sorak teman – teman. Ternyata mereka begitu teruja menyaksikan pertarungan ini. Aku nampak Rania melompat tinggi di awangan. Tangan Rania memukul kencang bola itu. Bola itu meluru ke arahku. Aku gagal menepisnya, lalu menjunam tepat mengena hidungku. Pukulan kencang itu telah menyebabkan aku tersungkur. Mukaku terasa kebas. Terasa panas mengalir perlahan – lahan dari lubang hidungku. Laju tanganku mengesatnya. Kulihat di jariku sudah tercelit darah. Kepalaku mula berpusing – pusing. Pandanganku berpinar – pinar.

“Lia.... Flora...!” Serentak Haqem dan Aqel meluru ke arahku.

“Awak okeykah ini?” soal Haqem cemas.

“Saya tidak apa – apa” ujarku tersenyum sambil cuba bangkit. Namun aku tidak berdaya. Darah dari lubang hidungku masih mengalir keluar. Laju sahaja jariku menahannya.

“Darah banyak keluar ini” suara Aqel juga kedengaran cemas. Aku jadi panik melihat telapak tanganku sudah dibasahi oleh darah, malah rintik – rintik darah sudah mengotori baju – t yang kupakai. Laju sahaja tangan Aqel menarik tanganku, lalu menyambut darah itu dengan telapak tangannya.

“Aqel....” tuturku tersentak dengan tindakan Aqel ini. Aku juga tidak rela mengotori telapak tangan Aqel yang putih bersih ini.

“Biar saya hantar awak ke klinik” tutur Aqel tidak mahu melengahkan masa lagi. Aqel terus sahaja memaut bahuku, lalu melangkah beriringan denganku. Dia betul – betul mahu mengawasi pergerakanku agar aku tidak terjatuh memandangkan aku pening sekarang dan pandanganku masih berpinar – pinar. Haqem mengekori langkah kami.

“Saya pergi sama” tutur Haqem. Aqel mengangguk. Hairan aku menatap kereta Peugeot RCZ Sports Coupe yang berada di laman parkir. Bila masa pula kereta ini berada di sini?

“Haqem, ini kuncinya” tutur Aqel sambil membaling kunci kereta itu. Kunci Peugeot RCZ Sports Coupe itu bertukar tangan. Laju tangan Haqem menguak daun pintu kereta.

“Awak temankan Lia di belakang, biar saya yang pandu kereta ini” tutur Haqem memberi cadangan. Aqel hanya mengangguk. Tika ini memang Aqel dan Haqem nampak cemas sangat.

“Sakit?” soal Aqel. Aku hanya tersenyum sekilas. Darah yang tidak berhenti – henti keluar memang sudah cukup untuk menjawab persoalan Aqel ini. Namun aku tidak mahu menambah kerisauan Aqel dan Haqem. Setibanya di klinik, Aqel terus membawaku ke bahagian kecemasan. Haqem pula awal – awal tadi sudah meluru masuk mendapatkan doktor. Ketika aku dan Aqel tiba di bahagian kecemasan, seorang doktor lelaki sudah bersama Haqem.

“Bawa cik ini ke bilik saya” arah doktor lelaki ini. Aqel dan Haqem mengangguk. Doktor lelaki ini bergerak pantas ke biliknya.

“Haqem, awak temankan Flora, ya. Saya hendak kembali ke hotel bertemu dengan staf kita. Pasti mereka masih berkumpul di situ” tutur Aqel.

“Baiklah. Awak uruskan di sana” sahut Haqem bersetuju. Aqel menatapku.

“Flora, saya pergi sekarang. Nanti saya telefon awak” tutur Aqel sambil menatapku. Aku mengangguk. Aqel terus berpaling dan memulakan langkahnya.

“Mari Lia” ajak Haqem sambil memaut bahuku, memimpin aku melangkah. Langkahku yang baru sahaja bermula terus sahaja terhenti.

“Kenapa Lia?” soal Haqem hairan. Laju aku berpaling.

“Aqel ....!” panggilku. Langkah Aqel terhenti. Aqel berpaling. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan sambi diperhatikan oleh Haqem.

“Jangan tinggalkan saya.... Awak mesti temankan saya” pintaku. Aqel nampak terpaku mendengar bicaraku ini. Haqem terdiam.

“Sebab.... awak adalah saudara saya...” tuturku menyambung bicaraku. Aqel terus tergelak, lalu berpatah balik mendapatkan aku dan Haqem. Kupandag wajah Haqem, kemudian beralih kepada Aqel.

“Saya perlukan kalian berdua saat ini” tuturku tidak mahu menguris perasaan Haqem lantaran terasa dengan bicaraku. Aku tidak mahu Haqem beranggapan bahawa dirinya tidak diperlukan saat ini. Aqel tergelak lagi. Haqem pula tersenyum ceria.

“Manjanya awak...” tutur Aqel memerliku. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Kini di kiriku adalah Haqem dan di kananku pula Aqel. Kedua – dua pemuda ini mengiringi pertemuanku dengan doktor lelaki ini.

“Yang mana satu ada pertalian dengan pesakit ini?” soal doktor lelaki ini sambil menatap Aqel dan Haqem silih berganti. Senyap. Kupandang Aqel dan Haqem. Kemudian kedua – duanya saling berpandangan.

“Sebenarnya doktor...”

“Saya..... tunang dia” suara Aqel tiba – tiba sahaja mencelah memintas bicaraku. Serentak aku dan Haqem menatap Aqel yang hanya tersengih sambil mengaru – garu kepalanya.

“Maaf.... sudah menjadi satu kebiasaan pula” jelasnya tersenyum. Sungguh aku terkesima dengan tindakan Aqel ini. Begitu juga dengan Haqem nampak terkejut dengan pengakuan sahabat baiknya ini, sedangkan Aqel nampak begitu tenang.



2 comments: