Wednesday, 4 January 2012

NamaKu Bukan Flora! 19



BAB 19

“Flora kekasih Haqem...” perlahan – lahan ayat itu meniti di bibirnya. Tidak dia menyangka kesedihan yang terpancar di wajah gadis itu adalah berpunca daripada sahabatnya itu.

“Pasti Flora masih mencintai Haqem lagi” bisiknya sendirian. Aqel menyandarkan tubuhnya di dinding lif itu. Satu keluhan dilepaskan. Tatkala daun pintu terkuak, dia terus saja melangkah keluar dari perut lif itu. Kedengaran nada telefonnya berkumandang. Dimasukkan tangannya ke dalam saku seluar jeans. Tertera nama Haqem pada skrin itu.

“Kau boleh tolong aku tak?” suara Haqem kedengaran ceria.

“Tolong apa?” soalnya sambil meneruskan langkahnya ke bilik pejabatnya. Diam seketika. Hanya kedengaran deruan nafas Haqem.

“Kau boleh ajak Lia makan sama dengan kita nanti” pinta Haqem. Aqel diam seketika. Sedikit sukar untuk memenuhi permintaan sahabatnya itu. Selama ini dia tidak pernah secara nyata mengajak seorang gadis keluar makan bersamanya.

“Dah lama aku tak berbual dengannya. Aku berharap sangat nak jumpa dengan Lia. Hanya kau saja ler yang boleh tolong aku” luah Haqem.

“Okey ler aku cuba” putus Aqel.
“Thanks” Haqem kembali ceria.

“Tapi jangan berharap sangat aku berjaya ajak dia cause dia nie garang juga dengan aku” tutur Aqel disambut oleh gelak tawa Haqem yang sempat singgah di telinganya sebelum panggilan itu berakhir.

Aku meletakkan fail di tepi meja. Kemudian pandangan mataku beralih semula pada fail seterusnya. Lantas menyelak – nyelak dokumen yang terselit di dalamnya. Tiba – tiba saja nama Aqel terlintas di fikiranku. Mungkinkah pemuda itu sedang marah kepadaku angkara bicaraku yang seakan menyalahkan dirinya? Kalau betullah bicara Uncle Rawie tadi itu, aku sudah bertindak kejam membuatkan Aqel berkecil hati. Aqel menggunakan kuasanya untuk menjamin keselamatan motor kesayanganku itu. Kalau mak dapat tahu cerita ini, pasti dia juga akan turut memarahiku.

“Apa yang patut aku buat sekarang? Perlukah aku minta maaf pada Aqel dengan lebih bersungguh – sungguh lagi?” soalku bersoal - jawab sendiri.

Perlukah aku pergi ke bilik Aqel membawa sesuatu sebagai hadiah demi memujuknya? Tidak sesuai cara ini. Aku dan Aqel bukan pasangan kekasih yang mesti saling pujuk memujuk. Bahaya juga kalau aku melakukannya. Rasanya Rania tidak akan membiarkan begitu saja kalau aku ambil langkah ini. Namun aku mesti membalas jasa baik Aqel kali ini. Maka terpaksalah aku ketepikan rasa kurang senangku padanya seketika. Aku melepaskan keluhan beratku. Jadi serba salah aku dibuatnya. Berat hati saja aku hendak berbuat baik kepada Aqel.

 Mungkin aku perlu mengajak dia makan di rumah keluargaku bersama – sama mak pada hujung minggu ini. Nanti bolehlah ajak Mak Long sekali. Aku berfikir lagi. Risau pula hasratku disalahertikan oleh mak nanti. Paling menakutkan kalau Aqel perasan aku menaruh minat pada dirinya. Nauzubillah....! Tidak rela aku. Aku terkebil – kebil memikirkan alternatif terbaik untuk menyampaikan rasa terima kasihku sekaligus permohonan maafku pada Aqel. Kenapalah susah sangat untuk aku melakukan semua ini?   

Telefon bimbitku yang dalam mode senyap di atas meja ini bergetar. Kubiarkan seketika. Mahu saja aku menghabiskan berfikir. Namun aku terganggu dengan getaran dari telefon bimbitku. Dengan malas aku mencapainya. Kulirik pada skrin mempastikan gerangan siapakah yang berhajat berbual denganku ini. Aku menelan liur sebaik saja terpandang nama Aqel pada skrin telefonku yang sedang berkelip – kelip ini. Apa kemahuan lelaki ini? Barangkali marah dan rajuk Aqel pagi tadi sudah padam. Aku tersenyum sendiri.

“Assalamualaikum...” sapaku menyahut panggilannya itu. Salamku bersambut. Memang suara Aqel yang sedang berbicara denganku sekarang. Risau juga kalau Haqem sengaja mahu menggunakan telefon Aqel semata – mata untuk merahsiakan identiti dirinya. Mahupun mahu berahsia dariku semata – mata mahu berbicara denganku memandangkan aku sentiasa mengelakkan diri darinya.

 “Minta maaf Encik Aqel kalau awak tersinggung dengan kata – kata saya tadi. Terima kasih juga sebab tolong saya mempastikan keselamatan motor tu terjamin” luahku membuka bicara mendahului Aqel.

“Lunch nanti kita makan sama – sama. Saya tunggu awak kat parking” tutur Aqel mengejutkanku. Kemudian menyusul pula perasaan hairanku. Mengapa dia baik sangat denganku sedangkan tadi dia marahkan aku? Aku keliru.

“Awak dengar tak nie?” soal Aqel sebaik saja aku hanya berdiam diri.
“Saya dengar” sahutku segera.

“Awak wajib pergi tau” tegas Aqel memperingatkan aku. Aku diam seketika. Setakat ini aku belum bersetuju mahupun menolak pelawaan itu. Tahu – tahu suara Aqel sudah tidak kedengaran lagi. Aqel sudah memutuskan panggilan itu. Aku mengeluh. Sebarang jawapan belum aku berikan. Aku belum menyatakan sama ada ingin pergi mahu pun menolak saja jemputan makan tengah hari itu. Kemudian terlintas pula niatku hendak menebus kesalahan yang aku lakukan pada Aqel awal – awal pagi tadi. Mungkin aku boleh gunakan kesempatan ini untuk menebus kesalahan itu. Justeru, aku putuskan untuk menerima saja pelawaan Aqel sebentar tadi. Biarlah aku yang belanja Aqel makan tengah hari nanti biarpun ajakan ini terbit dari mulutnya.

Tepat jam 12.40 tengah hari. Maka waktu rehat sudah sampai. Aku mengemaskan fail – fail di mejaku sebelum pergi makan. Kedengaran bunyi mesej yang dihantar di telefonku. Mungkin mesej daripada Aqel memandangkan maklumat yang diberikannya tadi kurang lengkap. Barangkali juga Aqel mahu membatalkan pelawaannya tadi. Segera aku membuka mesej yang dihantar. Membaca saja mesej itu, aku terus saja bangkit dari kerusi sambil memcapai beg galasku lalu bergegas melangkah ke muka pintu. Dari kejauhan kelihatan Aqel sedang menungguku di dalam kereta mewahnya itu tepat – tepat di depan pintu utama. Kubesarkan langkahku menghampiri Aqel kerana tidak mahu membiarkan dia lama menungguku. Tambahan pula aku memang tidak mahu orang lain memerhatikan aku bersama Aqel. Risau gosip liar disebarkan.

“Mar, itukan Lia bersama Encik Aqel” tutur Reka sambil menunding jari ke arah kelibat gadis yang baru saja masuk ke dalam kereta Peugeot RCZ Sports Coupe berwarna Haria Grey bernombor plat 144.

“Mana?” soal Marnie melilau mengesan kebenaran bicara sahabatnya itu. Sempat juga matanya memandang ke arah gadis dan pemuda itu sebelum kereta mewah itu meluncur laju meninggalkan perkarangan KDUT.

“Yelah Lia bersama Encik Aqel” tutur Marnie seraya menatap Reka.

Mereka saling berpandangan. Kemudian sama – sama tersenyum meleret. Sudah terbit akal jahat dalam kepala masing – masing. Ada kesempatan gadis itu bakal menjadi mangsa usikan mereka lagi.

“Jarang benar kita nampak Encik Aqel ajak perempuan naik keretanya itu. Malah saya tak pernah pun tengok Rania naik kereta tu” ujar Marnie penuh tersirat. Reka mengangguk menyokong bicara temannya itu.

“Alah, diakan ada kereta sendiri buat apa nak menyibuk kereta orang lain!” tutur Reka menyangkal bicara sahabatnya itu.

“Jangan – jangan Encik Aqel nak pikat Lia tak” serkap jarang Marnie tanpa mempedulikan bicara Reka tadi. Dia dan Reka berpandangan lagi.

“Mungkin juga” ujar Reka mengiyakan.
“Tapi... Lia bukan suka pun dengan Encik Aqel” tambah Marnie.

“Lia tak suka tapi Encik Aqel suka. Jom ler lapar nie. Esok – esok ler kita tanya Lia” putus Reka lalu menarik tangan Marnie meneruskan langkah mereka ke Kafeteria Chantek Ria untuk makan tengah hari.

Marnie tidak membantah. Dia dan Reka terus saja beriringan melangkah ke destinasi yang dituju. Tanpa disedari ada lagi telinga yang mendengar perbualan mereka itu malah sepasang mata itu juga sempat menyaksikan perkara yang menjadi topik perbualan kedua orang gadis itu tadi. Rania mengetap bibir geram. Terasa mendidih hatinya. Apatah lagi bicara – bicara yang keluar dari mulut gadis – gadis tadi menambah kehangatan hatinya. Kemarahan menyelubungi dirinya.

“Dia belum tahu siapa aku” getusnya penuh dendam dengan pandangan yang tajam penuh kesungguhan. Dirinya diselubungi niat jahat yang hanya menunggu masa saja untuk melempiaskannya. Dia tidak mahu membiarkan perkara ini begitu saja. Gadis itu perlu mendapat pengajaran agar tidak berani mengulangi perkara itu. Dia tidak sepatutnya bersama pemuda itu.

“Ada orang nak belanja awak makan” suara Aqel memecah kesunyian yang berlangsung sepanjang perjalanan ini.

“Siapa?” soalku hairan. Senyap. Pertanyaanku tidak dijawab oleh Aqel.
Jelas niatku untuk belanja Aqel makan tengah hari demi menebus kesalahanku padanya tidak dapat dilaksanakan. Siapa gerangan yang bermurah hati itu? Aku mengenali orang itu? Jangan – jangan Rania. Mana tahu Rania cuba menjalin hubungan mesra denganku memandangkan aku dan Aqel adalah bersaudara. Mungkin Aqel sudah menjelaskan kepadanya bahawa aku adalah sepupunya. Maka Rania perlu berbaik – baik denganku.

 Ataupun Haqem yang Aqel maksudkan orang itu. Tiba – tiba saja terlintas nama Haqem. Lebih tinggi kebarangkalian orang itu ialah Haqem. Haqem dan Aqel merupakan sahabat. Mungkin Haqem menggunakan cara ini untuk bersemuka denganku. Satu – satunya cara yang berhasil, tetapi untuk apa Haqem bertindak sedemikan? Haqem mahu mempamerkan kebahagiaannya bersama gadis pilihan ibunya itu? Begitu kejamkah Haqem?

“Awak tak nak keluar ke?” Aku tersentak. Tidak sedar rupanya kami sudah sampai ke destinasi yang dituju.

Kulihat Aqel sudah berdiri di luar kereta sedang melontar pandangan ke arahku. Bingkas tanganku menolak daun pintu kereta lalu melangkah keluar. Sebuah restoran mewah sudah menanti kunjungan kami. Hatiku mengiyakan bahawa Haqem sedang menanti kami di dalam  restoran itu. Terasa berat saja langkah yang kuatur. Tatkala melangkah masuk ke dalam restoran ini, dadaku berdebar – debar. Aku hanya mengekori langkah Aqel dengan hati yang tidak tenteram. Aku terpandang seraut wajah yang sedang merenungku. Jangkaanku memang tepat. Haqemlah gerangan yang dimaksudkan oleh Aqel sebentar tadi.

“Duduk Lia” jemput Haqem kepadaku. Aku melabuhkan punggungku di sebelah Aqel bertentangan dengan Haqem. Sungguh aku tiada pilihan sekarang. Kalau ikutkan hati mahu saja aku melarikan diri saat ini. Aku ingin sekali menjauhi Haqem.

“Awak kenalkan dengan Haqem” tutur Aqel diiringi senyuman yang terukir di bibir Haqem. Senyuman yang begitu indah. Aku diam. Tiada reaksi yang aku tunjukkan.

“Kau apa khabar Lia?” soal Haqem memulakan bicara tanpa menghiraukan reaksi dingin yang aku tunjukkan tadi.

“Baik sangat” balasku ringkas tapi penuh makna tersirat. Kalau ikutkan hati tidak mahu aku menjawab pertanyaan itu. Namun kewujudan Aqel di sini memaksa aku agar menjaga tingkahlaku diri serta menjaga air muka Haqem. Aku harus matang dalam menangani masalahku dengan Haqem. Seperti yang pernah Aqel katakan, aku juga perlu melupakan perkara yang lalu. Biarpun sukar sangat, namun aku tetap berusaha melakukannya. Berusaha menjadi insan yang teguh di depan Haqem.

“Dah order ke?” suara Aqel mencelah sekaligus memecahkan kesepian. Haqem mengangguk.

“Harap – harap makanan kegemaran kamu berdua masih sama seperti dulu” balas Haqem tersenyum lagi.

“Hebat juga memori kau ye. Kau nie memang sahabat terbaik aku” sahut Aqel begitu teruja dengan tindakan Haqem. Sedikit berbeza sikap Aqel saat ini. Dia boleh berbicara lancar dengan Haqem. Pasti persahabatan mereka begitu akrab.

“Awak pun masih ada selera yang sama kan?” soal Aqel melirik ke arahku. Haqem turut memandangku.

“Saya boleh makan apa saja asalkan halal” balasku tidak terus menjawab pertanyaan Aqel itu.

“Kalau macam tu lagi ler mudah” balas Aqel. Haqem hanya tersenyum. Beberapa minit kemudian, muncul dua orang pelayan lelaki menatang makanan yang dipesan oleh Aqel sebentar tadi. Aku menatap hidangan yang sudah berada di atas meja sekarang. Ada sup tulang, ikan kukus, sayur kailan goreng, udang besar, daging panggang dan beberapa jenis salat. Dilengkapi dengan tiga gelas jus yang terdiri daripada jus oren, jus tembikai dan jus epal hijau.

“Nie air untuk kau” ujar Haqem lalu meletakkan jus oren di depanku. Jus oren memang minuman kegemaranku. Aku juga menyukai buah oren. Tangan Aqel sudah mencapai jus epal hijau lalu menyedutnya dengan rakus. Nampak dahaga sangat.

“Saya nak jus epal nie” ujarku tiba – tiba. Aqel menatapku.

“Saya dah minum pun jus nie” balas Aqel.

“Aku order baru jus epal untuk kau” ujar Haqem.

“Takpe” ujarku menghalang tindakan Haqem lantas mencapai gelas jus epal hijau yang berada di depan Aqel lalu menukarnya dengan jus oren yang sepatutnya untukku.

“Betul ke awak tak kisah minum air nie?” soal Aqel. Aku mengangguk seraya mengambil straw yang ada pada gelas jus oren tadi lalu memulangkan straw yang telah digunakan oleh Aqel. Kuletakkan straw yang ada kesan bibir Aqel ke dalam gelas jus oren yang sudah berada di depan Aqel itu. Sekadar berkongsi air aku boleh terima tapi untuk berkongsi straw dengan Aqel memang tidak pernah terfikir. Aqel menyedut jus oren itu.

“Sedap juga jus oren nie. Lain kali boleh minum lagi” turut Aqel. Aku dan Haqem hanya tersenyum.

“Kamu memang sepupu yang rapat” ujar Haqem mengejutkan aku. Rupanya Haqem mengetahui hubungan persaudaraan yang terjalin antaraku dengan Aqel. Pasti Aqel yang memaklumkan perkara ini kepadanya.

“Memang rapat sangat” cepat saja aku mendahului Aqel mengiyakan bicara Haqem. Aqel tersengih. Mesti dia sedang memerliku saat ini. Rapat bagai kucing dengan tikus.

“Boleh tahan juga sup tulang kat sini ye” ujar Aqel menyedut lagi kuah sup tulang di mangkuk itu. Mungkin sup tulang adalah makanan kegemaran Aqel.

“Kamu berdua makan ler” arah Aqel sebaik saja melihat nasi di pinggan belum terusik. Aku memulakan suapanku. Begitu juga dengan Haqem.

“Awak suka makan sup tulang?” soalku sambil menatap Aqel.

“Suka sangat” balas Aqel.

“Kalau macam tu hujung minggu nie datanglah rumah. Sup tulang yang mak masak sedap” tuturku buat – buat mesra dengan Aqel. Bahkan tidak menghiraukan kewujudan Haqem bersama kami saat ini.

“Okey, nanti saya datang rumah awak” sahut Aqel.

Harap – harap Aqel mengabaikan saja pelawaanku ini. Aku bukan serius pun hendak ajak dia datang ke rumah merasa sup tulang yang mak masak. Apapun sup tulang yang mak masak memang sedap dan tiada tandingannya. Haqem hanya mendengar perbualan itu dengan rasa iri hati. Cemburu dia melihat gadis itu melayan mesra sahabatnya itu sedangkan saat ini kewujudan dirinya diabaikan. Dipendamkan saja perasaan itu. Sekurang – kurangnya dia berkesempatan bersemuka dengan gadis ini.Kemudian memandang wajah gadis ini melempiaskan rasa rindunya. Pandangan Haqem jatuh pada jus epal hijau di depanku ini. Barangkali Haqem sedang menilai sejauhmana tindakan yang akan aku lakukan. Lantas saja aku menyedut jus epal hijau yang terlebih dahulu dirasai oleh tekak Aqel sebentar tadi. Kalaulah Haqem menafikan aku hanya ingin mengaburi matanya saat ini, pasti sekarang persepsi dirinya sudah berubah.

 “Sedap tak jus epal yang dah bercampur dengan air liur saya tu” tutur Aqel bersahaja. Celupar betul mulut lelaki ini. Tidak pasal – pasal meloyakanku.

“Sedap sangat. Lain kali boleh kongsi minuman lagi” balasku buat – buat teruja. Aqel terus saja tertawa. Bukan ketawa senang hati tapi ketawa memerliku. Aku tahu Aqel cukup bijak mengenakan aku. Haqem berdehem – dehem mematikan tawa Aqel. Barangkali cuba menyedarkan kami tentang kewujudan dirinya yang telah terabai. Aqel tersenyum sendiri.

Aku menghabiskan suapan terakhirku. Kusedut sehabisnya jus epal hijau di gelasku.

“Awak betul – betul dahaga ke?” soal Aqel sinis. Aku mengangguk. Malas mahu memanjangkan bicara.

“Awakkan tak suka membazir. Awak dah lupa ke yang awak pernah
bawa balik jus oren untuk saya” ujarku mengungkit perbuatannya itu. Aqel mengangguk mengiyakan.

“Sikap berjimat – cermat adalah amalan yang terpuji” tambah Aqel.

“Jadi sebelum kamu berdua meninggalkan restoran nie pastikan kamu berdua habiskan semua hidangan di atas meja nie” ujarku memperingatkannya.

“ Termasuk awak” celah Aqel melibatkan aku. Lantas aku terus saja berdiri membuatkan Aqel dan Haqem terkebil – kebil menatapku.

“Terima kasih belanja saya makan tengah hari. Saya pergi dulu” tuturku sambil membimbit beg galasku dan berlalu dari situ.

“Flora tunggu.....” Aqel yang baru saja berhajat bangkit dari duduknya ditahan oleh Haqem.

“Takpe biar aku saja yang hantar dia balik” jelas Haqem yang sudah bangun dari duduknya. Aqel mengangguk. Haqem terus saja berlari keluar cuba mengejar langkah gadis itu. Pandangan pengunjung lain padanya tidak dihiraukan kerana dia khuatir langkah gadis itu semakin menjauh. Paling merisaukan dirinya kalau kelibat gadis itu terlepas dari pandangan matanya mahupun sudah berlalu meninggalkan perkarangan restoran mewah itu.

“Lia, biar aku hantar kau balik!” laung suara itu. Aku berpaling. Kelihatan Haqem sedang berlari anak ke arahku. Aku masih cuba menahan teksi di bahu jalan. Malangnya tiada sebuah teksi pun yang kosong tanpa penumpang.

“Mari aku hantar kau balik” ujar Haqem seraya memegang tanganku.

“Jangan...” Kutepis tangan Haqem. Tidak suka dengan perlakuannya itu. Alangkah baiknya kalau Aqel yang muncul saat ini. Aku tidak akan menolak kalau Aqel yang mempelawa menghantarku balik demi mengelak Haqem tika ini. Namun tidak elok juga kalau aku terus – terusan mempergunakan diri Aqel semata – mata untuk menjauhi Haqem.

“Beri aku peluang untuk berbual dengan kau, Lia” pinta Haqem. Aku mendengus kasar. Bosan dengan sikap Haqem yang tidak pernah – pernah mengerti.

“Ada perkara yang perlu aku beritahu kau tentang kita” tegas Haqem bila saja melihat aku langsung tidak berganjak dari kedudukanku.

“Kau dah takde kaitan dengan aku lagi. Jadi tak payah ler kita buang masa lagi untuk berbual – bual. Balik rumah beri perhatian sepenuhnya pada isteri kau tu” nasihatku. Haqem memandangku.

“Aku belum kahwin lagi, Lia” sahut Haqem menyentakkanku. Senyap seketika.Haqem masih terpacak di sebelahku sambil terus – terusan memandangku.

“Aku tak kisah sama ada kau dah kahwin ke belum. Cuma aku nak ingatkan kau sekali lagi, hubungan kita dah lama berakhir. Aku tak nak kau datang jumpa aku semata – mata untuk membicarakan perkara lalu dan aku paling benci bila kau mempergunakan Aqel untuk bertemu denganku” tegasku.

“Kau juga mempergunakan Aqel untuk menjauhi aku, Lia” balas Haqem mengejutkan aku.

Aku memandang tajam wajah Haqem yang bermuka tembok ini. Dahulu begitu mudah dia meninggalkan aku tanpa sebarang penjelasan. Sekarang bukan main dia berusaha untuk menjelaskan perkara lalu. Apa gunanya semua ini kalau hanya memihak kepada keuntungan diri Haqem seorang sedangkan aku terluka dan hidup lara. Barangkali Haqem sekadar mahu menceritakan kisah hidupnya yang tidak bahagia selama ini agar aku bersimpati pada dirinya. Aku mendengus lagi. Tidak akan aku biarkan diriku tertipu untuk kedua kali. Aku wajib melupakan Haqem seperti yang aku usahakan selama ini. Kali ini aku mesti berusaha lebih gigih demi kepentingan diri sendiri dan tidak terus terluka selamanya.

“Jangan ulangi perbuatan kau hari nie, kalau kau terus berdegil aku akan bertambah membenci kau” ancamku mengaitkan penglibatan Aqel. Aku tidak mahu Haqem mempergunakan Aqel hanya untuk mendekatiku. Aku nampak sebuah teksi tanpa penumpang. Lantas aku menahannya. Teksi yang aku tahan berhenti di bahu jalan di sebelahku.

“Jangan kejar aku lagi. Aku memang tak nak berbicara dengan kau, Haqem” ujarku lalu menyelinap masuk ke dalam perut teksi.

Haqem nampak terkebil – kebil melihat teksi berlalu membawaku pergi. Kelibat Haqem sudah tidak kelihatan lagi. Aku menyandarkan tubuhku di kerusi sambil meluahkan keluhan kecil. Tidak kuhiraukan pandangan sekilas pemandu teksi dari cermin pandang belakang. Apa yang aku rasa saat ini aku telah terlepas dari pertemuan yang tidak pernah aku harapkan.
 
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku membuka mataku. Sayup – sayup kedengaran suara lelaki yang sedang berbual dengan mak. Aku menjeling jam loceng di meja sisi katilku. Jam sudah menunjukkan pukul 09.00 pagi. Tidak sangka aku telajak tidur pula. Selepas solat subuh tadi niat berbaring – baring di katil saja. Tidak sangka pula tertidur sakan. Hairannya mak tidak pula bising – bising pagi ini seperti selalu. Aku bukan tidak tahu mak memang pantang anak daranya bangun meninggi hari. Kalau tidak pasti mulutnya tidak henti – henti berkicau bagai burung memarahiku. Bingkas aku bangun meninggalkan katil. Aku menguap – nguap menuruni anak tangga dengan mata terpejam celik. Masih ada sisa – sisa mengantuk. Barangkali kerana terlebih tidur.

“Mak...... Awak!!” Anak mataku terbuka luas. Aqel tersengih menatapku. Rambutku yang menggerbang kerana baru bangun tidur bertambah menggerbang melihat Aqel di depan mataku saat ini. Aku begitu terkejut melihat Aqel sudah berada di rumah ini awal – awal pagi begini. Entah apa mimpinya malam tadi.

“Kamu tak cakap pun dengan mak yang Aqel nak datang makan tengah hari kat sini” tutur mak.

“Makan tengah hari kat sini?” soalku semula. Buat apa pula dia hendak makan tengah hari di sini. Buang tabiat agaknya lelaki ini.

“Awak yang suruh saya merasa sup tulang yang Mak Usu masak. Awak dah lupa ke?” soal Aqel. Alamak, tidak sangka pula Aqel ambil serius kata – kataku semalam!

“Pergi mandi cepat. Lepas tu kamu berdua pergi pasar beli bahan – bahan nak buat sup tulang” arah mak buat aku terlopong mendengarnya. Tidak pernah – pernah seorang lelaki pun bersamaku pergi ke pasar termasuk Aziq.

“Kalau awak seorang je yang pergi boleh tak?” cepat saja aku menyoal Aqel.

“Dia mana tahu bahan apa yang nak beli” tingkah mak mendahului suara Aqel diikuti oleh anggukan kepalanya mengiyakan bicara mak. Aku
mengeluh. Memang berat hati untuk membawanya bersamaku.

“Lia, cepat pergi mandi nanti terlewat pula nak pergi pasar. Lepas tu
terlewat makan tengah hari” omel mak mempamerkan bicara sistem berantai.

“Lewat makan lapar. Lepas tu lelaki nie lewat balik” bicara hatiku menyambung rantaian bicara mak.

“Yang kamu terkebil – kebil kat situ apa hal” suara garang mak mengejutkan aku. Aku bergegas berlalu dari situ. Sempat juga melihat senyuman yang terukir di bibir Aqel. Pasti hatinya tercuit melihat gelagatku dan sikap mak. Mahu tidak mahu aku terpaksa pergi ke pasar ditemani oleh Aqel.

“Apa hal awak datang awal sangat?” soalku dalam perjalanan ke pasar.
“Saya nak tengok awak bangun tidur” balasnya tersengih.

“What!!” satu jelingan tajamku singgah di wajahnya. Aqel tersenyum.

“Sepatutnya awak call saya dulu sebelum datang rumah” rungutku.

“Dah call pun tapi awak tak angkat. So saya call ler telefon rumah. Mak Usu terus suruh saya datang temankan awak pergi pasar” jelas Aqel selengkapnya. Aku mengeluh. Mak pun satu. Macamlah aku ini tidak reti pergi ke pasar seorang – seorang. Kerapkali juga aku pergi ke pasar tanpa ditemani. Buang tabiat agaknya mak ini. Aku tahulah mak begitu teruja dengan kedatangan anak saudara tunggalnya ini.

“Awak suka betul makan sup tulang ye” ujarku bila saja mengingati kemunculannya di awal pagi ini semata – mata hendak merasa sup tulang yang mak masak. Aqel mengangguk dan tersenyum.

“Awak parking kat depan kedai tu” tuturku sambil menunding jari ke
 arah Pasar Raya Segar yang tidak jauh di depan ini. Aqel patuh saja dengan arahanku.

“Awak tunggu saya dalam kereta ye” arahku lalu menolak pintu kereta kesayangan Aqel.

“Saya nak pergi sama” bantah Aqel seraya bergerak dari tempat duduk. Aku mengeluh. Kurang senang dengan bicara itu.

“Saya nak tolong awak angkat barang” ujarnya beralasan.

“Macam ler saya nak beli bahan nak buat kenduri” balasku sinis. Aqel tersengih pula.

“Saya risau awak hilang nanti. Kalau saya ikut sama boleh ler saya jaga awak” tutur Aqel lagi.

“Awak ingat saya nie budak kecik ke?” melenting suaraku bila saja mendengar bicaranya itu. Aqel tersengih lagi.

“Daripada kita berdua bergaduh, baik kita beli bahan sekarang. Nanti tertunggu - tunggu pula Mak Usu kat rumah tu” ujar Aqel mematikan ketegangan yang baru saja hendak bermula.

“Lagi pun Cik Flora, saya nak ikut awak guna kaki sendiri. Bukan saya nak minta awak dukung saya pun” balas Aqel sinis. Aku mendengus dan menghadiahkan jelingan tajam pada Aqel.

“Cepat jalan” arah Aqel seraya menolak lembut tubuhku meminta aku mula bergerak. Aqel sudah membimbit bakul bagi memudahkan aku menyimpan bahan – bahan yang hendak dibeli tadi. Kemunculan Aqel di sini mengundang pandangan pengunjung lain. Ada juga yang berbisik – bisik sesama sendiri. Malah ramai yang tersenyum meleret – leret memandang ke arah Aqel.

“Awak tak rimas ke orang asyik tengok awak?” soalku tatkala melihat Aqel bersahaja langsung tidak mempedulikan pandangan mata yang terikat pada dirinya. Aqel geleng kepala. Barangkali Aqel sudah terbiasa dengan keadaan sedemikian. Langsung terlepas kebebasan hidup.

“Awak jealous ke?” soal Aqel tiba – tiba.

“Jangan nak berangan ler!” balasku dengan mata yang besar membuatkan Aqel tertawa.

“Orang tengok awak sebab awak nampak macam alien” ujarku sinis.

“Bukan ler. Orang tengok saya sebab saya handsome sangat ha...ha.. ha...” Aqel tertawa senang hati.

“Whatever....” ujarku rasa meluat lalu beredar meninggalkan Aqel bersama bakul yang sudah separuh terisi di tangannya. 

Aqel tidak terus mengekori langkahku sebaliknya dia bergerak ke bahagian buah – buahan. Dia sudah berada di depan selonggok buah epal hijau. Tangannya giat memilih – milih buah epal hijau itu. Banyak juga yang dibelinya. Sedikit merisaukan aku kalau banyak barang yang Aqel mahu simpan ke dalam bakul itu. Sekarang aku hanya ada sekeping not RM 50.00 dan beberapa keping not RM 10.00. Kalau duit aku tidak cukup nanti bukankah memalukan diri sendiri. Tidak pasal – pasal terpaksa berhutang dengannya nanti.

“Jom ler pergi kaunter” suara Aqel mengejutkan khayalanku. Kupandang buah epal yang sudah memenuhi sebahagian ruangan bakul tadi.

“Buat apa epal sebanyak tu?” soalku kurang senang.

“Saya nak buat jus epal. Awakkan dah mula suka kat jus epal hijau. Kalau awak tak suka takkan semalam boleh habiskan hingga ke lantai gelas dah
takde sisa langsung” sinis saja bunyi bicara Aqel.

“Saya tak suka ler” balasku melindungi diri.

“Kalau awak tak suka takpe ler. Memang saya tahupun semalam awak berpura – pura. Saya buat untuk diri saya sendiri bukan untuk awak pun” balas Aqel bersahaja menambah panas hatiku. Memang mulutnya ini tidak tahu bersopan – santun. Dasar lelaki Melayu celup.

“Lepas nie buat jus epal tu kat rumah awak. Jangan pula menyibuk nak buat kat rumah keluarga saya. Nanti tak pasal – pasal letih saya nak bersihkan dapur” balasku menyindir turut sama melepaskan laser pada Aqel.

“Saya kan keluarga awak juga. Dapur awak dapur saya juga” balas Aqel bersahaja. Aku mendengus geram. Apa saja bicaraku ada saja jawapan yang keluar dari mulutnya. Tidak sangka pula Si Tunggul Kayu yang membeku bagai salji ini sudah bertukar menjadi bertih jagung pula. Kebetulan aku memang anti sangat hendak makan bertih jagung. Bolehlah diibaratkan persis hubunganku dengan Aqel selama ini.       

Aku dan Haqem beredar ke kaunter pembayaran. Malas aku mahu berlama – lama di sini bersama lelaki ini. Nanti tidak pasal – pasal aku dan Aqel bercakaran di sini. Manalah tahu benteng kesabaran yang kupertahankan saat ini roboh. Aqel meletakkan bakul yang sudah penuh berisi. Tatkala aku mengeluarkan dompetku, Aqel sudah menghulurkan not RM 100.00 kepada tauke Cina itu mendahuluiku. Walaupun kurang senang dengan tindakan Aqel, kusimpan kembali dompetku ke dalam saku jeansku.

“You punya husband aa...manyak handsome... Ini wajah aa... manyak macam tu actor sana aa....” tiba – tiba tauke Cina ini bersuara dengan loghat
bahasanya. Aqel tersenyum setelah dipuji sedemikian rupa.

“Ayo....ayo... nie bukan husband saya ler tauke. Nie driver keluarga saya” balasku menyentakkan tauke Cina itu.

“Macam itu ka? Manyak sayang lah muka cintek – cintek jadi driver saja” ujar tauke Cina itu lagi buat aku tergelak. Aqel tersengih.

“Dia malas belajar tauke sebab tu jadi driver saja. Tuler tauke tak guna juga muka handsome. Okey tauke saya pergi dulu” tuturku meminta diri.

“Thank you aa..” Aku mengangguk dan terus saja melangkah ke kereta di parking.

“Banyak cantik muka awak kata saya driver keluarga awak” rungut Aqel kurang senang dengan cara aku memperkenalkan dirinya kepada tauke Cina itu tadi.

“Habis tu nak mengaku awak nie suami saya?” soalku lirih.

“Jangan mimpi ler. No way!” Tegasku bersungguh – sungguh.

“Siapa yang nak kahwin dengan awak? Saya pun tak ingin nak beristeri perempuan garang macam awak nie” balas Aqel menambah ketegangan.

“Bagus ler Si Tunggul Kayu” balasku.

“Apa awak panggil saya Si Tunggul Kayu?” soal Aqel. Tidak kupedulikan pertanyaannya itu. Aku terus saja duduk di kerusi penumpang. Sebaliknya Aqel ke belakang menyimpan barang – barang ke dalam bonet kereta. Tatkala Aqel melabuhkan punggungnya di kerusi pemandu di sebelahku, aku sudah memalingkan mukaku ke tingkap sisi. Tidak mahu memandang Aqel mahu pun dipandang oleh lelaki ini.

“Lebih baik takde perasaan daripada terlebih perasaan macam awak’" ujar Aqel menyambung pertelingkahan kami.

“Terlebih perasaan...... apa maksud awak?” soalku bengang.

Pertanyaanku tidak dijawab. Aku memalingkan mukaku kembali ke tingkap sisi. Rasa marahku pada dirinya kian membuak – buak. Memang buat sakit hati berada di sebelah lelaki ini. Sepanjang perjalanan balik, aku dan Aqel hanya mendiamkan diri. Sudah tidak ingin berinteraksi antara satu sama lain. Tatkala kereta memasuki halaman rumah, aku mendahului langkah Aqel.

“Mak, tiba – tiba je kepala Lia pening. Minta maaf ler Lia tak dapat nak tolong mak kat dapur. Lia nak berehat dalam bilik sekarang. Nanti mak makan ler dengan Aqel ye. Kalau Lia dah rasa ok baru Lia datang sini nanti” tuturku memaklumkan kepada mak.

“Tuler kamu lepas bangun, tidur balik macam mana tak pening” omel mak tanpa sebarang curiga.

“Mana Aqel?” Mendidih hatiku tatkala mendengar sebaris nama itu.

“Ada kat luar ambik barang” balasku malas.

“Tak nak ambik ubat?”

“Ada ubat kat bilik, nanti Lia telan ler” balasku lalu mengatur langkah meninggalkan dapur.

“Nak telan ubat tak guna air ke? Biar betul kamu nie, Lia” suara mak menyedarkanku. Laju saja aku berpatah balik ke dapur. Air kosong sudah mak tuang ke dalam gelas lalu menghulurkan kepadaku.

“Rehat ler kat bilik” arah mak.

“Terima kasih mak” tuturku lalu mula melangkah dan bertembung dengan Aqel yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah. Dia menatapku. Aku tanpa mempedulikan dirinya terus saja meneruskan langkah mendaki anak tangga satu persatu. Kedengaran suaranya bersapa dengan suara mak. Mereka berbual – bual. Kurang pasati tentang hal apa. Mungkin mak memaklumkan kepadanya yang aku diserang sakit kepala. Aqel pula sudah pasti pura - pura mempercayainya. Itu pun kalau dia masih ada pertimbangan untuk menyembunyikan perkara sebenar.

“Bahan – bahan sup tulang Mak Usu” ujarnya kepada Puan Zainab.

“Kamu letak kat sink tu. Kejap lagi Mak Usu buat. Kamu pergilah tengok tv kat dalam tu sambil – sambil tunggu Mak Usu siap masak. Kalau tak pun kamu baring – baring je ler kat sofa panjang tu” arah Puan Zainab. Aqel tersenyum.

“Aqel nak tolong Mak Usu kat dapur” tuturnya menolak cadangan Puan Zainab. Puan Zainab menatap wajah Aqel.

“Kamu pandai ke buat kerja – kerja dapur?” soalnya kepada anak muda itu. Aqel senyum lagi.

“Kadangkala ada juga Aqel bantu mama kat dapur. Sekadar tanak nasi dan goreng ikan boleh ler” balasnya berjenaka buat Puan Zainab tersenyum lebar. Senang hatinya dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh pemuda ini.

“Bagus ler kalau Aqel berjinak – jinak kat dapur. Bila dah kahwin nanti boleh bantu isteri kat dapur. Macam arwah Pak Usu kamu, dia memang suka masak. Kalau hujung minggu Mak Usu langsung takde peluang nak masak sebab masa tu jadual Pak Usu kamu nak tunjuk bakat kat dapur. Masakan Pak Usu kamu memang sedap” cerita Puan Zainab tentang arwah suaminya dengan penuh bangga. Aqel tersenyum mendengarkannya.

“Aqel pun pandai buat jus epal hijau. Kejap lagi Aqel suruh Mak Usu rasa ye” ujarnya seakan tidak mahu mengalah namun sebenarnya hanyalah sekadar memadamkan mendung di wajah Puan Zainab yang sedang teringat pada arwah suaminya. Pasti hati Puan Zainab terusik tika ini.

“Ye ke... Hey, tak sabar ler Mak Usu nak rasa jus epal yang Aqel buat!” balas Puan Zainab teruja. Kali ini dia tersenyum lebar.

“Aqel buat sekarang ye” ujar Aqel yang sudah memasukkan epal – epal ke dalam satu belas lalu membawa ke sink untuk dibersihkan.

Maka keduanya memulakan proses penghasilan menu masing – masing. Puan Zainab tersenyum sendiri memerhatikan gerak – geri pemuda itu. Kerjanya penuh cermat. Betapa hatinya terpaut pada anak buahnya itu. Sempat juga dia berangan – angan menyatukan Aqel dengan anak gadis tunggalnya itu. Namun bila saja memikirkan penerimaan Lia, dipendamkan saja impiannya itu. Dia sedar Lia tidak mungkin mahu dijodohkan dengan pemuda ini. Bahkan terfikir juga dirinya bahawa pemuda sekacak dan setampan Aqel sudah pasti memiliki kekasih hati pilihan sendiri.

“Mak Usu, kenapa Flora...... maksud saya Lia sayang sangat dengan motor dia tu?” soal Aqel menyentakkan Puan Zainab yang sempat berkhayal seketika tadi. Kejadian tempoh hari kembali bermain diingatannya. Aqel tergamam melihat gadis itu menangis bila saja menyangka motornya telah dicuri.

“Motor tu hadiah arwah ayah Lia. Sebetulnya Mak Usu yang beli tapi guna duit arwah Pak Usu kamu. Arwah Pak Usu kamu pernah janji nak hadiahkan motor kalau Lia cemerlang SPM. Sedihnya, ketika Lia berada di tingkatan 4, ajal Pak Usu kamu dah sampai. Jadi Mak Usu ler yang tolong tunaikan hajat tu” cerita Puan Zainab tersenyum.

“Patutlah dia sayang sangat dengan motor tu. Flora jadi pelajar cemerlang?” soal Aqel lagi. Puan Zainab mengangguk.

“Yeler Aqel. Keputusannya semua A. Tak sangka pula hidupnya jadi macam nie” keluh Puan Zainab bersedih mengenang nasib anak gadis tunggalnya itu. Aqel diam. Sebetulnya dia belum jelas tentang kisah hidup gadis itu.

“Kenapa Aqel panggil Lia, Flora?” soal Puan Zainab hairan.

“Aqel suka panggil dia dengan nama tu. Tak salahkan Mak Usu?” soalnya kepada Puan Zainab sekaligus meminta keizinan perempuan itu. Puan Zainab menganggukkan kepala.

“Takpe kalau Aqel suka nama tu” balasnya. Aqel tersenyum. Jus epal hijau sudah dituangkan ke dalam gelas. Lantas dihulurkan kepada Puan Zainab.

“Mak Usu cuba ler rasa” pintanya.

“Bismillahirahmanirahim...........” Jus epal hijau diteguk perlahan. Aqel sekadar memerhatikan menunggu reaksi yang bakal Puan Zainab pamerkan.

“Sedap ler Aqel. Memang sedap setanding dengan jus epal yang dijual kat luar” puji Puan Zainab ikhlas. Aqel hanya tersenyum.

“Kejap lagi kita makan sama – sama. Yang lain dah masak tunggu sup tulang nie je” tutur Puan Zainab.

Aqel mengangguk. Kali ini gilirannya pula untuk merasa. Memang dia tidak sabar untuk merasa keenakan sup tulang dari air tangan mak saudaranya itu. Kira – kira 15 minit kemudian, semuanya sudah terhidang di meja makan. Aqel memang sudah tidak sabar untuk menikmati hidangan makan tengah hari yang disediakan sepenuhnya oleh mak saudaranya itu. Tatkala Puan Zainab meletakkan semangkuk sup tulang di depannya, Aqel tidak membuang masa lagi. Dengan lafaz kalimah Allah, perlahan – lahan dia menyedut kuah sup itu. Puan Zainab sekadar tersenyum memerhatikan gelagat pemuda ini.

“Huh, sedap ler sup tulang yang Mak Usu buat nie!” puji Aqel sepenuh hati menikmatinya.

“Makan ler banyak – banyak nanti” sahut Puan Zainab.

“Boleh” sahutnya sebelum meneruskan menyedut kuah sup dan mengunyah daging yang sudah tertanggal membalut tulang – temulang itu. Aqel betul – betul berselera menikmati hidangan makan tengah hari yang sedang berlangsung itu.

“Anak gadis Mak Usu tak makan sama ke?” soalnya seakan baru menyedari ketiadaan Nur Dahlia di meja makan sekarang.

“Masih sakit kepala ler tu nampaknya. Lepas makan nanti Aqel tolong hantar sup tulang dan jus epal nie ke bilik Lia ye” pinta Puan Zainab. Aqel hanya mengangguk sambil terus menikmati sup tulang yang hanya tinggal sisa di mangkuk itu. Puan Zainab tersenyum panjang. Lantas diceduk lagi kuah sup  berserta tulang yang disaluti daging lalu meletakkannya ke dalam mangkuk pemuda itu. Riang hatinya melihat pemuda itu begitu berselera.

Aku terkebil – kebil di bilik ini. Fikiranku buntu. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Air kosong di gelas sudah habis aku teguk tanpa diiringi walau sebiji pun pil memandangkan aku tidak sakit kepala saat ini. Bersalah juga pada mak kerana terpaksa berbohong tadi. Pasti mak dan anak saudara kesayangannya itu sedang sibuk di dapur sekarang. Aqel sudah bercadang tadi hendak membuat jus epal hijau. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana lagaknya bekerja di dapur. Kalau dari mata kasar memang Aqel sentiasa menjaga penampilan dirinya yang kemas. Harap – harap kemas jugalah dia menggunakan dapur. Perutku mula berkeroncong minta diisi. Terasa lapar pula. Harap – harap Aqel tidak lama berada di sini. Kalau tidak kebuluranlah aku di dalam bilik ini.

Kedengaran bunyi derap langkah memijak anak tangga satu – persatu. Kuamati betul – betul. Bunyi derap langkah itu semakin dekat. Lantas aku berbaring di katil. Daun pintu diketuk. Aku memejamkan mataku pura – pura tidur. Bila saja mendengar daun pintu ditolak perlahan dan bunyi langkah memasuki bilik ini, aku memejamkan mataku serapatnya. Senyap.

“Awak nie kuat sangat merajuk ye. Baru cakap sikit dah ambik hati” suara Aqel menerjang pendengaranku. Lantas aku berpaling. Aqel duduk di bangku kecil almari solek sambil pandangannya terarah kepadaku. Aku terus saja bangkit dari perbaringanku.

“Siapa suruh awak masuk ke bilik nie!” marahku.

“Mak Usu minta saya hantar sup tulang dan jus epal nie untuk awak. Awak makan ler nanti” arahnya mengingatkan aku. Sup tulang dan segelas jus epal hijau yang berada di dalam dulang sudah diletak di atas meja solekku.

“Kalau awak dah siap makan, cepat pergi balik!” arahku lantang. Aqel bangkit dari bangku kecil itu.

“Yelah saya balik sekarang” ujarnya seakan terasa dengan bicaraku. Langkah Aqel yang baru saja hendak bermula terhenti tiba – tiba. Dia berpaling semula ke arahku.

“Bila awak nak berhenti menipu mak awak? Kesian Mak Usu” ujarnya sambil geleng – geleng kepala.

“Tinggalkan rumah nie sekarang!” jeritku sakit hati.

Aku memang tidak boleh dipertemukan dengan Aqel. Daun pintu ditutup. Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan halaman. Pasti Aqel sudah pergi. Kutatap sup tulang dan jus epal hijau di atas meja solek ini. Bau wangian sup memenuhi ruang bilikku. Rasa laparku sudah tidak boleh ditahan – tahan lagi. Lantas aku bangun lalu duduk di bangku kecil meja solekku ini. Aku terus saja menikmati sup tulang di mangkuk sesekali menyedut jus epal hijau di gelas.

“Sedap juga jus epal nie” pujiku lalu menyedut jus epal sehingga penghabisannya.

 Sup tulang mak memang keenakan tidak boleh dipertikaikan lagi. Aku sendawa kekenyangan. Tidak semena – mena aku teringat bicaraku pada Aqel tadi. Aku betul – betul hilang pertimbangan tadi sehingga menghalau Aqel meninggalkan rumah ini. Kasihan juga Aqel. Aku mengeluh panjang. Nampaknya aku mengulangi lagi kesalahanku kepadanya sedangkan kesalahan lalu masih belum kutebus. Aku membaringkan tubuhku ke katil semula. Serasa aku patah semangat bila saja mengingati kesalahan – kesalahan yang kulakukan itu. Akhirnya aku hanya mampu memejamkan mataku cuba melupakan semua itu sekaligus mengusir nama  Aqel menjauhiku.    

No comments:

Post a Comment