Sunday, 8 January 2012

NamaKu Bukan Flora! 20



BAB 20

Aku mempercepatkan langkahku. Terasa begitu jauh saja jaraknya bilik operasiku dan betapa luasnya ruangan lobi KDUT ini. Dalam masa yang sama aku merasakan bagai ada mata yang sedang memerhatikanku. Kubesarkan langkahku merentasi ruang lobi dengan harapan aku tidak akan bertembung dengan Aqel mahu pun Haqem. Tiada keberanian untukku berhadapan dengan Aqel setelah menghalaukannya semalam. Tiada kesudianku juga untuk bertentangan mata dengan Haqem. Aku menarik nafas lega tatkala kakiku memijak lantai bilik tempatku melangsaikan tugasku. Bermakna aku selamat sampai ke bilik ini tanpa sebarang halangan.

Aku menatap jam di mejaku. Baru mencecah ke pukul 07.25 minit pagi. Masih awal. Entah kenapa semalaman aku tidak boleh tidur lena. Barangkali panahan kutukan Aqel angkara perbuatan kejamku semalam. Tambahan pula aku risau Mak Long mengetahui perkara tersebut. Pasti aku akan melukai perasaannya. Kerisauanku bertambah – tambah bila saja berimaginasi perkara itu sampai pula ke pengetahuan mak. Sudah pasti mak akan rasa bersalah kepada Mak Long sekaligus akan memurkaiku.

Dalam aku terkebil – kebil memikirkan kejadian semalam, kedengaran daun pintu diketuk bertalu – talu. Kulontar pandangan ke situ menanti kemunculan kelibat tetamu di sebalik daun pintu. Hairan siapa pula yang muncul pada pagi – pagi sebegini. Aku menarik nafas lega bila saja melihat Marnie dan Reka yang muncul sambil tersenyum lebar. Entah apa mimpi gadis – gadis ini bertandang ke sini pada waktu awal begini. Marnie dan Reka tidak perlu dijemput lagi lantas menenggek di tepi kiri dan kanan mejaku persis burung tiong yang gemar berbicara di awal pagi.

“Semalam awak pergi mana, Lia? Kami baru je nak ajak awak lunch” soal Reka berlagak penyiasat. Aku senyap dan berfikir seketika.

“Makan dengan kawan” balasku.

“Awak dan Encik Aqel dah jadi kawan?” hampir serentak ayat itu keluar dari mulut kedua – dua gadis ini. Aku tersentak. Pasti Marnie dan Reka telah nampak aku bersama Aqel tengah hari semalam. Jadi persoalan yang diajukan oleh Reka tadi sekadar untuk memerangkapku saja. Memang mereka ini sentiasa berfikiran jahat. Aku mengeluh kecil.

“Awak dan Encik Aqel ada apa – apa ke?” soal Marnie sangsi.

“Kamu berdua jangan ler fikir yang bukan – bukan” rungutku. Kedua - duanya tersengih – sengih macam kerang busuk. Suka benar menyakatku.

“Selalunya kalau orang tu marah – marah maknanya betul ler tu” tambah Reka pula. Besar biji mataku menatap Reka.

“Encik Aqel tu sepupu saya, anak Mak Long saya” jelasku tidak mahu memanjangkan gosip liar sekaligus membunuh usikan nakal mereka. Sudah tidak tahan aku dengan usikan mereka lantas kubocorkan saja kenyataan itu. Marnie dan Reka terlopong mendengarnya.

“Betul ke nie Lia?”

“Saya tak ler terhengeh – hengeh nak mengaku dia tu saudara kalau dia tu bukan sepupu saya. Buang masa saya saja” balasku sinis. Kali ini Marnie dan Reka tertawa pula.

“Bestnya awak ada sepupu handsome macam tu, Lia” puji Reka teruja.

“Kalau awak nak ambik ler. Tak ingin saya ada sepupu macam dia tu. Apa boleh buat dah ditakdirkan dia lahir dari rahim kakak arwah ayah saya” keluhku bagai menyesali nasibku.

“Tak baik awak cakap macam tu” tegur Marnie kurang senang. Maklumlah bos kesayangannya. Marnie dan Reka memang sentiasa memuja – muja diri Aqel. Di mata mereka Aqel ialah insan yang begitu sempurna. Sedikit pun mereka tidak nampak cacat celanya. Begitu juga tanggapan mereka terhadap Haqem. Sebetulnya mata mereka buta untuk menilai hakikat sebenar. Hanya aku saja yang tahu siapa Haqem dan siapa Aqel. Merekalah buaya darat yang sentiasa mengintai gadis – gadis untuk dijadikan mangsa. Bijak berkata – kata dan tahu menggunakan kelebihan diri.

“Kami tumpang gembira ler Lia, sebab awak dan Encik Aqel bersaudara” tambah Marnie lagi sambil disokong dengan anggukan kepala Reka. Mereka berdua ini memang padan menjadi sahabat akrab kerana sentiasa saja sependapat dan citarasa pun serupa.

“Kamu berdua tak nak kerja ke? Tengok jam tu dah hampir pukul 08.00” ujarku memperingatkan mereka.

“Alamak, sepupu bos dah marah nie! Nampaknya lain kali tak boleh ler melepak kat sini lagi, nanti tak pasal – pasal kena report kat bos” ujar Reka mengusikku. Aku diam saja. Tiada masa aku hendak bertindak sedemikian. Pandai – pandailah sendiri beringat. Paling penting aku melaksanakan tanggungjawabku sebaiknya.

“Kami pergi dulu Lia” ujar Marnie mewakili Reka. Keduanya mula melangkah ke muka pintu. Namun langkah Marnie tidak sampai di muka pintu. Dia berpaling semula ke arahku sekaligus membuatkan langkah Reka juga terhenti. Nampaknya ada lagi hajat yang ingin disampaikan kepadaku.

“Awak jangan lupa Lia, walaupun sepupu tapi masih boleh jadi pasangan kekasih dan seterusnya menjadi pasangan suami isteri” tutur Marnie masih mahu mengusikku.

“Mar....!!!” Geramnya aku dengan gadis berdua ini. Kedengaran tawa Marnie dan Reka bersatu. Gembira sangat mereka mengusikku. Marnie dan Reka lari meninggalkan bilik ini takut kalau – kalau aku datang menyerang mereka. Bila saja aku teringatkan sesuatu yang harus aku tanyakan pada mereka, segera aku melangkah ke muka pintu. Mujur juga kelibat keduanya belum jauh berlalu.

“Jom lunch sama nanti” pelawaku. Langkah Marnie dan Reka terhenti lalu berpaling ke arahku.

“Sorry Lia, saya kerja luar hari nie” sahut Reka.

“Awak Mar?” soalku semula.

“Saya pun ada hal. Dah janji dengan Alias makan kat luar. Awak ikut ler sekali” ajak Marnie. Laju saja aku geleng kepala. Tidak mahu aku jadi pengacau pada pasangan yang sedang hangat berkasih sayang itu. Aku merasakan kehadiranku di situ tidak diperlukan biarpun Marnie tidak berfikir sedemikian.

“Takpe ler” ujarku tersenyum.

“Alah, Encik Aqel kan ada! Awak lunch ler dengan dia nanti” cadang Reka disusuli dengan gelak tawa mereka. Aku hanya mampu melontarkan pandangan tajam kepada Reka dan Marnie. Geram sangat dengan tabiat mereka yang suka sangat menyakatku. Hairan juga aku bagaimana mereka tidak pernah kekeringan idea. Malah kian bercambah – cambah pula usikan mereka.

Aku menatap invois pakaian yang siap dicuci dan  dihantar oleh Ismael petang semalam. Setelah mencatat maklumat – maklumat penting dalam fail, aku bergerak pula ke bilik penyimpanan kostum. Pagi ini aku menerima senarai kostum yang perlu dikeluarkan untuk pembikinan iklan. Tidak tahu pula sidang produksi pengiklanan hendak menjalankan penggambaran iklan tentang apa. Agaknya ala – ala iklan ‘break away’ yang latar belakang menyerupai lanskap Rome dan Itali memandangkan kostum yang aku keluarkan adalah jaket – jaket kulit separas lutut berserta kasut bot kulit dan seluar kulit juga.

Seperti yang dijanjikan, dua orang kru produksi penggambaran pengiklanan mengunjungiku. Barangkali jurusolek dan pereka imej model – model yang terlibat dalam penggambaran ini. Mujur juga bukan Rania yang muncul. Mungkin Rania tidak terlibat dalam penggambaran iklan ini. Aku menyambut mesra kedatangan Zulie dan Imran. Sikap keduanya begitu menyenangkanku. Setiap patah bicara yang keluar dari mulut mereka akan disusuli dengan gelak. Tampak mereka begitu ceria saja. Namun aku tidak berkesempatan lama bersama mereka memandangkan Zulie dan Imran mengejar waktu. Mereka perlu segera berada di lokasi penggambaran untuk menyiapkan model – model yang akan menjayakan penggambaran iklan tersebut. Sekarang baru aku tahu rupanya para model di sini bukan setakat memperagakan pakaian di atas pentas, malah mereka juga melibatkan diri dalam bidang pengiklanan. Maklumlah bertahun – tahun aku bekerja hanyalah mengurus dan mengendalikan pakaian – pakaian para pelanggan. Kalaulah aku tidak berada di sini pasti aku tidak mengetahui semua ini. Terasa sedikit beruntung diriku kala ini.

Tepat pukul 12.40 tengah hari. Waktu rehat sudah tiba. Perutku memulas – mulas meminta diisi. Pada awalanya aku bercadang tidak mahu makan tengah hari memandangkan Reka dan Marnie tiada menemaniku. Rasa janggal juga kalau aku pergi seorang – seorang ke Kafeteria Chantek Ria yang satu – satunya ada dalam bangunan ini. Namun rasa laparku tidak boleh ditahan – tahan lagi. Mahu tidak mahu aku melangkahkan kaki ke Kafeteria Chantek Ria juga akhirnya. Lapar punya pasal makan seorang – seorang pun aku tidak kisah lagi. Paling penting perut aku bakal terisi.

Tatkala aku berada di ambang pintu Kafeteria Chantek Ria, aku mengeluh lemah melihat pengunjung begitu ramai. Mujur juga ruang kafeteria ini luas dan ada anjung – anjung kecil yang menyediakan menu pelbagai pilihan. Lantas aku melangkah ke anjung yang menyediakan hidangan bufey bagi menjimatkan masa. Mujur juga hidangan bufey yang disediakan memenuhi seleraku. Sebelum mengambil makanan terlebih dahulu aku bergerak ke bahagian minuman untuk memesan jus oren. Kemudian aku kembali ke bahagian hidangan bufey. Sementara menanti jus oren yang kupesan, aku mengambil hidangan makanan tengah hari.

“Nasi dik?” soal seorang wanita yang nampak seusia mak. Aku mengangguk. Kucapai pinggan yang sudah tersedia nasi kosong yang dihulurkan kepadaku. Sempat juga aku dengan wanita ini bertukar senyuman. Aku dan pelanggan – pelanggan lain berbaris menunggu giliran untuk memilih – milih menu yang terhidang. Bila saja giliranku tiba, aku terus menceduk sayur paku pakis dan daging goreng bercili. Sempat juga aku menyenduk sotong masak kicap sebagai tambahan. Tiga menu ini sudah cukup memadamkan rasa laparku.

Aku bergerak ke kaunter pembayaran. Berbaris sekali lagi bersama pinggan di tangan yang sudah penuh berisi. Usai membayar, anak mataku melilau mencari meja kosong. Tatkala aku terpandang meja kosong di satu sudut aku terus saja membesarkan langkahku khuatir terlepas meja itu kepada penggunjung lain. Ketika ini semua orang berebut untuk mencari tempat duduk. Aku semakin mempercepatkan langkahku bukan setakat bersaing dengan penggunjung lain malah bersaing dengan waktu. Tanganku tiba – tiba saja dilanggar. Pinggan yang hendak aku letakkan di atas meja, terus saja jatuh lalu terlengkup ke lantai simen. Bunyi berdenting bergema kuat. Makanan di pinggan semuanya tertumpah ke lantai. Banyak mata yang memandang membuat wajahku panas membahang.

“Sorry....” Kedengaran suara milik perempuan yang melanggarku. Aku terus saja berpaling. Rupanya Rania yang melanggarku.

“Oppss.... Miss Laundry rupanya! Saya tarik balik permohonan maaf saya tadi” ujar Rania. Dua orang gadis yang bersama Rania tersenyum – senyum menyuntik rasa sakit hatiku. Masih ramai yang sedang memerhatikan ke arah kami. Aku mula membongkokkan tubuhku untuk mengutip makanan yang sudah bertaburan di lantai.

“Oh...., kasihan Miss Laundry!” ujar Rania buat – buat simpati denganku. Muncul seorang lelaki yang memakai pakaian seragam Kafeteria Chantek Ria bersama penceduk dan penyapu.

“Awak tak payah bersihkan. Biar dia yang bersihkan semua nie sebab dia sendiri yang tumpahkan!” tegah Rania kepada lelaki itu seraya memijak jariku pura – pura tidak menyedarinya. Sahabat – sahabat setia Rania tersengih menatapku.

“Rania, awak buat apa tu!” Aku menarik jariku lantas berpaling ke arah suara itu. Begitu juga dengan Rania dan kedua sahabat setianya itu.

“Aqel.....” Nama Aqel meniti di bibir Rania yang nampak tersentak dengan kemunculan mengejut Aqel. Kedua gadis yang menjadi pengikut setia Rania beredar meninggalkan Rania. Barangkali gentar dengan Aqel. Aqel membongkok di sebelahku.

“Biar saya tolong awak” tutur Aqel mula mengumpul hidangan tengah hariku yang sudah tertumpah lalu meletakkan ke pinggan semula. Aku mengutip butir – butir nasi yang bertaburan di lantai.

“Aqel, awak buat apa nie” tutur Rania kurang senang melihat perlakuan Aqel. Aqel langsung tidak mempedulikan Rania.

“Yang awak tercengat tengok Encik Aqel buat kerja tu apa hal!” suara lantang lelaki memenuhi ruang Kafeteria Chantek Ria. Aku mendongak. Haqem rupanya. Senyap. Bagaikan semua pengunjung yang sedang menjamu selera di sini terpaku. Pandangan Haqem tajam merenung lelaki itu.

“Maafkan saya Encik Haqem, Encik Aqel.....” tuturnya gugup. Cepat saja dia mengutip dan membersihkan sisa – sisa nasi yang masih tertinggal. Aku dan Aqel berganjak sedikit untuk memberi ruang kepada pemuda itu untuk melangsaikan kerjanya.

“Awak okey, Flora?” soal Aqel menatapku. Aku mengangguk. Rasa malu dan seganku semakin menebal – nebal. Mujur juga Aqel dan Haqem berada di sini. maka tiadalah yang berani terus – terusan memandang ke arah kami. Rania mendengus kasar lalu beredar . Tergambar di wajahnya rasa tidak puas hati yang begitu mendalam. Layanan Aqel kepadaku tidak begitu menyenangkannya.

“Awak duduk kat situ. Kejap lagi saya  ambik makanan untuk awak” arah Aqel sambil menunding jari pada kerusi kosong itu. Aku patuh saja pada bicara Aqel.

“Maafkan saya. Semua nie salah saya” tuturku pada lelaki itu. Dia baru saja berhajat mahu beredar dari situ. Dia tersenyum.

“Cik bukan sengaja pun” tuturnya dengan keikhlasan yang terpancar di wajahnya. Walau apapun aku masih rasa bersalah padanya. Kasihan pemuda ini. Angkaraku dia pula yang menjadi mangsa kemarahan Haqem. Pasti dia malu seperti yang aku rasa tika ini. Haqem mendekatiku lantas melabuhkan punggungnya di kerusi tepat - tepat di depanku.

“Kau okey?” soalnya.

“Buat apa kau marah kat pemuda itu? Semua nie bukan salahnya pun” luahku radang. Tajam saja pandangan mataku menatap Haqem.

“Dia pekerja KDUT. Sepatutnya dia yang bekerja bukan hanya melihat kamu berdua membersihkan lantai itu” tingkah Haqem tidak bersetuju.

“Apapun kau memang tak patut marahkan dia. Kalau betul kau nak marah pun, marah kau tu sepatutnya kau lontar pada Rania!” tegasku masih tidak berpuas hati.

“Apa yang aku lakukan tadi semata – mata untuk melindungi kau, Lia”

“Aku tak perlukan semua tu” sahutku serius.

“Habis tu kau perlukan Aqel saja untuk melindungimu?” sinis saja suara Haqem mengutarakan persoalannya. Aku mendengus kasar.

“Aku tak perlukan siapa – siapa sebab aku boleh jaga diriku sendiri” tegasku lantas bangkit dari dudukku.

“Kau tak tahu ke Rania layan kau macam tu sebab kau dan Aqel selalu bersama. Rania tu ada hati pada Aqel” tegas Haqem lagi. Kutinggalkan Haqem yang hanya mampu menyoroti langkahku yang meninggalkan dirinya.

“Flora, awak nak pergi mana tu?” tegur Aqel yang kulewati ketika ini.

 Aku tidak mengendahkan Aqel. Perasaan sakit hatiku turut menjangkit kepadanya. Kalaulah dia mendengar kata – kataku semua ini tidak akan terjadi. Dari awal sudah aku mengingatkan dirinya agar tidak mendekatiku. Sepanjang langkahku sehinggalah sampai ke muka pintu kafeteria ini masih banyak mata yang memandangku. Ada juga yang berbisik – bisik dan menjeling ke arahku. Sungguh hatiku tidak tenteram tika ini. Justeru, aku teruskan langkahku ke pintu utama. Kuhidupkan enjin motor cabuk kesayanganku ini lantas meninggalkan Syarikat KDUT.

Aku mematikan motor cabukku tepat – tepat di depan premis CNFL. Seketika aku termangu – mangu di parking ini. Kalut dan buntu. Tidak tahu ke mana harus aku melangkahkan kaki saat ini. Untuk kembali ke KDUT sekarang memang aku berat hati. Maka CNFL inilah pilihan terbaik buatku. Aku ingin sekali bertemu dengan Nana meluahkan segala kekusutan yang bersarang dalam diri ini. Rasa laparku yang membuak – buak tadi terus saja lenyap. Yang ada sekarang hanyalah rasa malu yang menebal dan hati yang terguris. Malu kepada warga KDUT yang telah menyaksikan kejadian yang menimpa diriku. Sesuatu yang kukira mengaibkanku. Haqem pula terus – terusan berlakon sebagai pelindungku. Betapa dia tidak tahu tindakannya itu bertambah mengguris jiwa ragaku.

“Lia.....!” Nana begitu teruja melihat aku muncul di ambang pintu. Kebetulan dia berada di depan kaunter tika ini. Nana terus saja merapatiku lalu memeluk tubuhku. Aku dan Nana saling berpelukan melempiaskan kerinduan yang terbuku selama ini. Lama juga aku tidak bersemuka dengan Nana.

“Kau nak jumpa Puan Rosie ke?” soalnya bila saja pelukan kami terlerai. Aku geleng kepala. Seketika Nana merenungku buat aku tidak keruan.

“Puan Rosie takde kat office sekarang. Jom pergi bilik” ajak Nana seraya menarik tanganku. Aku mengekori saja langkah Nana. Mujur juga Puan Rosie tidak berada di pejabat sekarang. Maka bolehlah aku menumpang duduk lama – lama di sini. Kiranya aku ingin menghabiskan waktu pejabat hari ini di sini.

“Kau tak kerja ke hari nie?” soal Nana.

“Kerja” balasku ringkas. Kusandarkan tubuhku ke sofa di sudut tepi bilik ini. Nana sedang mencatat sesuatu pada kertas. Kupandang meja kosong di sebelah Nana. Meja itu milikku. Sejak aku ditugaskan di KDUT, aku terpaksa mengosongkan meja itu lantaran semua peralatan kerjaku telah dipindahkan ke tempat baru. Terasa rindu juga aku hendak kembali ke situ.

“Puan Rosie pergi mana?” soalku menyiasat ketiadaan wanita itu di sini. Barangkali dia sedang bercuti sekarang di London atau Itali ataupun Paris. Dia suka sangat mengunjungi kota – kota fesyen terkemuka dunia itu. Barangkali juga dia sedang bercuti di Holland. Negara yang terkenal dengan keindahan bunga – bunga tulip yang cantik dan segar. Holland juga merupakan negara penghasil bunga tulip terbesar dunia. Bukankah Puan Rosie meminati bunga – bungaan. Buktinya, halaman rumahnya diserikan dengan pelbagai bunga yang tampak begitu indah. Aku pernah sekali bertandang ke situ.

“Termasuk hari nie dah seminggu dia cuti” balas Nana masih lagi dengan pandangan yang terikat pada kertas di depannya.

“Dia bercuti keluar negara ke?” soalku meluahkan perkara yang terbuku dalam hatiku. Nana geleng kepala. Ternyata andaianku tadi sudah meleset.

“Dengar – dengar ada masalah keluarga” tutur Nana. Aku terdiam. Kehidupan manusia tidak lari dari masalah. Tiada sesiapapun boleh lari dari semua itu. Masalah adalah ujian hidup yang Allah turunkan untuk mengukur tahap kesabaran dan ketakqwaan hambaNya. Allah menurunkan dugaan itu kepada hamba yang terpilih demi menguji keimanannya. Sesungguhnya hamba yang terpilih itu adalah hamba yang dikasihi oleh yang Maha Kuasa. Musibah yang dialami andai mampu dilalui dengan tabah dan penuh keimanan pasti ada kemanisannya. Di sebalik kepahitan ada rahmat dan hikmahnya. Betapa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 

“Sekarang nie macam Perang Dunia Ketiga melanda CNFL nie. Puan Rosie semakin mengganas” keluh Nana. Patutlah sunyi sepi saja keadaan di sini. Semuanya tidak nampak ceria. Aku terbayang sikap Puan Rosie yang menyinga. Kasihan Encik Mukhtahir. Bagaimana dia boleh bertahan dengan perangai isterinya itu? Dia memang seorang lelaki yang tabah.

“Aku tengok kau nampak sugul je. Kau ada masalah ke?” soal Nana menyentakkanku. Aku geleng kepala. Belum masanya untuk aku meluahkan gelodok perasaanku tika ini.

“Masalah apa yang menimpa Puan Rosie?” soalku ingin terus membicarakan tentang wanita itu. Nana menatapku. Diam seketika.

“Encik Mukhtahir ada perempuan lain” luah Nana cukup berhati – hati buat aku tergamam panjang. Encik Mukhtahir ada perempuan lain? Bermakna dia curang dengan Puan Rosie. Ohh, kasihannya Puan Rosie yang telah dikhianati oleh suaminya! Aku mengeluh berat.

“Lelaki nie semuanya sama je. Tak kira jahat mahupun nampak baik tapi serupa suka menyakiti hati perempuan. Kononnya mencintai perempuan itu tapi akhirnya disakiti” luahku beremosi. Aku kecewa dengan sikap Encik Mukhtahir yang aku hormati selama ini. Di mataku dia seorang suami yang baik dan sangat penyabar.

“Tak boleh juga kita salahkan Encik Mukhtahir sepenuhnya. Suami mana yang boleh tahan dengan perangai Puan Rosie tu. Garang semacam pula tu” tingkah Nana. Aku mendengus kurang setuju dengan pendapat Nana itu.

“Semua tu tak boleh dijadikan alasan untuk Encik Mukhtahir cari perempuan lain. Sepatutnya sebagai suami dan ketua keluarga Encik Mukhtahir mesti lebih bertegas dengan Puan Rosie. Baru perangai Puan Rosie boleh berubah” tingkahku lantang. Nana menatapku.

“Kenapa kau emosional sangat nie?” soal Nana lembut. Aku diam. Tidak sedar tingkahlaku seserius begitu menghakimi Encik Mukhtahir. 

“Nie luahan hati seorang perempuan yang pernah dilukai oleh lelaki” rintihku. Nana yang sememangnya tahu kisah hidupku hanya diam. Tidak mahu dia berbicara lagi tentang Encik Mukhtahir. Mungkin khuatir aku akan terguris. Tiba – tiba saja nada dering telefon bimbitku berkumandang. Kupandang seketika nama yang terpamer pada skrin itu. Aku tidak akan menjawab panggilan ini. Lantas kutulikan saja telingaku sehingga bunyi deringan itu lenyap.

“Kenapa tak jawab panggilan tu? Haqem ke yang call?” soal Nana bertalu – talu. Aku geleng kepala. Bukan panggilan daripada Haqem tapi panggilan daripada Aqel. Telefon bimbitku berdering lagi. Kali ini sebaris nombor yang tidak kukenali terpamer di skrin telefon. Rasanya itu nombor telefon Haqem. Aku abaikan lagi panggilan itu.

“Kau sedang melarikan diri daripada seseorang” tutur Nana sambil melirik ke arahku. Aku mengeluh.

“Aku bengang sangat dengan sikap Haqem. Sudah banyak kali aku minta dia agar jangan mendekatiku tapi dia terus – terusan juga menggangguku. Aku rimaslah Nana” keluhku meluahkan kenyataan itu.

“Apa kata kali nie kau berdepan saja dengan dia. Tak payah larikan diri lagi. Cuba hadapi dia dengan tenang. Cara ini baru betul – betul meyakinkan yang kau dah takde perasaan kat dia” nasihat Nana. 

“Kau mesti berani melakukan semua nie, Lia” tambah Nana cukup memahamiku. Aku diam. Kedengaran bunyi mesej yang dihantar. Kutekan punat ok. Terpapar mesej daripada Aqel.

~ Awak kat mana sekarang? Awak tak kerja ke? Saya ada beli makanan untuk awak dan saya letak atas meja kat bilik awak ~

Kuabaikan saja mesej daripada Aqel itu. Kuatur posisi tubuhku di sofa panjang ini cuba mencari keselesaan diri lalu memejamkan mataku.

“Aku rasa letih sangat hari nie. Aku nak rehat kat sini. Bolehkan Nana?” soalku meminta keizinan.

“Tidurlah sepuas – puasnya kat situ. Kalau kau tak nak terganggu, aku nasihatkan silent telefon kau tu” cadang Nana.

Aku menurut saja nasihat Nana lalu meletakkan telefon bimbitku di atas meja. Kemudian kembali memejamkan mataku. Bicara Nana tentang Encik Mukhtahir kembali menghantuiku. Muncul wajah lembut Encik Mukhtahir. Menyusul pula wajah garang Puan Rosie. Kedua – dua wajah itu bergandingan di depanku. Lebih 20 tahun Encik Mukhtahir hidup bersama Puan Rosie. Bermakna lebih 20 tahun juga Encik Mukhtahir bertahan dengan sikap Puan Rosie. Barangkali mereka pasangan yang dijodohkan keluarga lantaran perwatakan yang terlalu berbeza. Orang kata kalau hendak pilih pasangan, biarlah berbeza dengan apa yang kita ada.  Perbezaan ini akan menjadi pelengkap kesempurnaan hidup berpasangan. Kalau betul mengapa ramai yang berpisah setelah cuba hidup bersama dalam satu tempoh? Ternyata perbezaan ini menjadikan pasangan tidak sehaluan. Fikiranku kembali pada Encik Mukhtahir dan Puan Rosie.

“Mungkinkah juga Encik Mukhtahir pernah mencuba untuk mengubah sikap Puan Rosie, namun dia gagal berbuat demikian” bisik hatiku cuba berfikiran positif.

“Barangkali ini cara terbaik dan paling berkesan untuk Encik Mukhtahir mematahkan keegoan isterinya itu. Semoga Puan Rosie menjadi isteri yang sempurna buat Encik Mukhtahir” doaku lalu memadamkan bayangan kedua – dua insan itu lantas mengosongkan diriku. Tiada siapa mahupun apa yang ada dalam kotak fikiranku sekarang.

“Semoga aku juga menjadi isteri yang sempurna kepada lelaki yang aku cintai” doaku untuk diriku sendiri. Akhirnya aku terlena.

No comments:

Post a Comment