BAB 34
Aku menatap kad berwarna merah jambu di atas meja ini.
Nampak cantik sangat. Laju tanganku mencapai lalu menyelaknya. Terbit kerisauan tatkala mengetahui kad ini ialah jemputan ke majlis meraikan
pertunangan Aqel. Adakah Aqel sudah mengetahui majlis yang akan diadakan untuknya ini?
Laju aku mencapai telefon bimbitku lantas membuat panggilan. Gagal. Aqel tidak
dapat dihubungi. Kucuba lagi. Masih perkara yang sama. Aku melepaskan
keluhan. Tinggal beberapa hari saja majlis ini akan berlangsung. Nampaknya
Aqel bakal berhadapan masalah besar dan aku akan turut menerima tempiasnya.
Bagaimana Aqel hendak menangani perkara ini? Apa yang patut aku lakukan
sekarang? Aku juga harus memikirkan perkara ini memandangkan akulah punca
wujudnya masalah ini. Rasanya Aqel juga tidak akan membiarkan aku terlepas
begitu saja. Aduhhh... tertekannya aku...!!!
Sepanjang hari ini aku cuba menghubungi Aqel namun suara
perempuan yang mengarahkan aku meninggalkan pesanan kedengaran lagi. Kemudian
aku menghantar mesej kepada Aqel setelah baru terfikir. Namun sudah dua jam
berlalu aku langsung tidak menerima mesej balasan daripada Aqel. Gara – gara
perkara ini aku hilang selera untuk makan. Maka aku hanya menghabiskan masa
rehatku di bilik ini. Dalam solat zuhurku, aku menadah tangan berdoa agar
perkara ini berjalan dengan lancar. Seusai solat zuhur aku masih memikirkan
perkara ini. Betapa fokus kerjaku telah terjejas lantaran terlalu memikirkannya.
Kesannya aku hanya bermasam muka sepanjang hari.
Aku melangkah longlai masuk ke dalam banglo Mak Long. Berharap
sangat tidak akan bertembung dengan Mak Long tika ini lantaran aku tidak mahu
Mak Long menyedari betapa aku tidak bersemangat hari ini. Rasa malas hendak menjawab
persoalan Mak Long nanti.
“Awak dah balik...” suara lelaki menyapaku. Laju aku
berpaling ke arah suara itu. Aqel kelihatan sedang bersenang – lenang terbaring
di sofa sambil menonton tv.
“Awak dah balik. Mengapa awak tak jawab panggilan saya?”
serangku terus dengan suara yang tinggi. Terkebil – kebil Aqel menatapku.
“Dah berkali – kali saya call awak tadi tapi awak masih
juga tak nak angkat. Awak ni betul – betul kejam!” radangku melempiaskan geramku.
“Flora... kalaupun awak rindukan saya, janganlah marah
saya” tutur Aqel bermuka tembok. Dia tersengih menatapku. Kemarahanku langsung
tidak berkesan kepada dirinya.
“ What!!!” Besar anak mataku menatap Aqel yang masih
tersengih – sengih ini. Aku mendengus kasar. Lantas melangkah ke ruang tamu
mendekati Aqel. Lebih senang untuk berbicara.
“Awak tahu tak apa yang berlaku di pejabat hari ini?”
soalku geram. Mesti Aqel tidak tahu apa – apa sebab sudah beberapa hari dia
tidak ke pejabat. Aqel angkat bahu. Tiada pertanyaan serta merta yang keluar
dari mulutnya. Langsung dia tidak teruja hendak mengetahuinya. Tidak apa!
Sekejap lagi pasti Aqel akan menggelabah.
“Hari ini semua orang di KDUT terima kad jemputan
untuk majlis meraikan pertunangan awak dengan penuh gilang – gemilang malam
minggu ini” jelasku tidak mahu menangguhkan masa untuk menunggu pertanyaan yang
keluar dari mulut Aqel. Senyap. Aku kehairanan melihat Aqel masih leka dengan
rancangan di tv. Langsung tidak terganggu dengan kenyataanku sebentar tadi.
Pelik. Dalam keadaan sekarang Aqel masih mampu bertenang. Kebal betul jiwa anak
teruna Mak Long ini. Memang aku kagum melihat Aqel mampu bertenang dalam
keadaan yang menekan tika ini. Agaknya sebab ini jugalah dia menjadi usahawan
muda yang berjaya lantaran kekentalan jiwa raganya.
“Awak dengar tak?” soalku. Sukar untukku percaya melihat
ketenangan Aqel tika ini. Aqel penuh bersahaja menganggukkan kepalanya.
“Awak tak payah risau tahulah saya nak buat apa nanti”
sahut Aqel bersahaja lagi. Memang aku betul – betul kagum dengan ketenangan dan
keyakinan Aqel tika ini.
“Baguslah kalau macam tu” tuturku mula lega.
Lantas aku melangkah mahu meninggalkan Aqel bersendirian di ruang tamu.
“Flora....!” Langkahkku mati. Aku berpaling ke arah Aqel
semula. Sehingga ke hari ini aku masih tidak mampu menghalang Aqel memanggilku
dengan nama itu. Nama itu memang sudah sebati dengan diri Aqel sebagai gelaran
buatku.
“Saya ada buah tangan untuk awak. Saya letak dalam bilik awak” jelas Aqel bermurah hati. Sejak kebelakangan ini dia memang
mudah bersedekah.
“Terima kasih...” tuturku lemah.
“Aik... tak gembirakah dapat buah tangan!” sinis saja
suara Aqel.
“Sorrylah Aqel, hari ini saya letih sangat. Saya nak
berehat di bilik sekarang” jelasku lalu meninggalkan Aqel yang masih memandang
ke arahku. Letih sebab memikirkan majlis meraikan pertunangan Aqel. Kalau aku
tidak terlibat dalam hal ini aku tidak akan risau sebegini. Kalau betul Aqel
boleh menyelesaikannya dengan baik maka aku harus merasa lega sekarang. Aku
percaya Aqel mampu melakukan yang terbaik sebab dia seorang yang berkemampuan
dalam banyak hal. Kurebahkan tubuh ke tilam lalu memejamkan mata. Nikmatnya
ketenangan sebegini.
“Flora...! Flora mari makan...!” sayup – sayup kedengaran
suara Aqel dari tingkat bawah memanggilku. Aku membuka mataku. Sudah hampir ke
pukul 7.00 petang. Terkocoh – kocoh aku bangun lalu melangkah ke bilik air
untuk mandi. Risau tertinggal waktu Maghrib. Tidak sangka pula boleh terlena
sebegini. Sekarang tidak sempat aku menolong Mak Long di dapur. Rasa bersalah
dan segan menyelubungiku. Mesti memohon kemaafan kepada Mak Long sekejap lagi.
Aku berpaling ke ruang tamu. Tv terpasang tanpa sesiapa menontonya. Aqel tidak
berada di situ lagi. Aku melangkah ke dapur. Aqel sibuk menghidangkan makanan
di pinggan.
“Mari makan....” ajaknya sambil meletakkan nasi di
pinggan. Aku melabuhkan punggungku di kerusi. Kulontar pandangan di sekeliling
dapur ini. Memang aku dan Aqel berdua saja berada di sini sekarang.
“Makanlah...” arah Aqel seraya meletakkan sepinggan nasi
dan segelas jus epal hijau di depanku. Kutatap wajah Aqel.
“Mama ada meeting persatuan malam ini” tutur Aqel seakan
mengerti dengan pandangan mataku.
“Tak payah risau sekejap lagi mama balik. Tak sempat Pak
Haji nak tangkap kita berkhawat ini” tutur Aqel bersahaja. Kulontar pandangan
tajam ke arah Aqel. Tidak suka dengan kelancangan mulutnya ini. Aku memang
tidak mahu wujud masalah baharu lagi sedangkan ada masalah yang belum selesai
lagi. Sejak tinggal sebumbung dengannya ada saja masalah yang melanda yang
membabitkan kami berdua.
“Minumlah banyak – banyak jus epal hijau ini. Sedap....!
Rugi kalau tak minum banyak” omel Aqel. Kutatap wajah Aqel lagi.
“Kenapa?” soalnya melihat pandangan mataku itu.
“Awak dah banyak cakap sekarang kan. Taklah macam dulu
dingin membeku seperti salji. Agaknya sekarang peredaran hidup awak sudah masuk
musim panas” ujarku sinis. Aqel terus saja tertawa dan kemudian tersenyum
mempamerkan senyuman manis madunya itu.
“Bukan musim panas tapi musim bungalah” tingkah Aqel
tersenyum. Betul juga musim bunga. Patutlah suka sangat bertindak romantik.
Agaknya apa perubahan dirinya kalau musim luruh dan musim panas sudah tiba. Usai
saja menikmati makan malam yang disediakan sendiri oleh Aqel aku memohon diri
ke bilik meninggalkan Aqel bersendirian di ruang tamu. Selain bertujuan untuk
menyambung rehat, juga sebagai langkah
berjaga – jaga. Bicara Aqel tadi memberi peringatan penting kepadaku. Memang
patut kami berjaga – jaga kerana malang tidak berbau. Aku membaringkan tubuhku
ke tilam lalu menatap siling. Kaku terbaring tidak bergerak – gerak. Fikiranku
kosong. Kedengaran bunyi aluan nada mesej diterima di telefon bimbitku. 013 –
30880414. Nombor yang begitu unik malah mengingatkan aku pada tarikh lahirku
tanggal 14 April 1988. Mengapa aku tidak pernah jumpa nombor sebegini?
Sepatutnya nombor ini menjadi milikku. Terleka dengan barisan nombor ini
membuatkan aku baru teringat pada mesej yang dihantar. Lantas kubuka kotak mesej
ini.
~
Rindu hendak berbual dengan awak. Saya ternanti – nanti detik itu tiba dengan
penuh kesabaran. Rindu pada kenangan lalu kita. Rindu pada awak. Lia, awak
selalu ada di hati dan di minda saya...... Haqem ~
Aku mendengus kasar melihat nama di hujung kalimah ini.
Terus kupadamkan mesej ini. Lantas kulepaskan telefon bimbit ini dari genggaman
tanganku. Tidak sudi untuk menatap bait – bait ayat itu lagi. Luahan hati yang
tidak bermakna buatku. Aku masih tidak mampu memaafkan Haqem atas kelukaan yang
dihadiahkannya padaku. Kemarahanku pada Haqem belum padam. Betapa sakit dadaku
menahannya. Aku tidak rela Haqem menyebut namaku. Dia tidak berhak untuk
merinduiku mahupun membina sebarang impian untuk bersamaku lagi. Dasar lelaki
tidak bertanggungjawab suka mempermainkan hati dan perasaan perempuan. Sudah
diketahui bertunang tapi masih mahu meluahkan kerinduan pada perempuan lain.
Aku tidak akan tertipu olehmu lagi, Haqem...!!!
Bingkas aku bangun dari perbaringanku lalu melangkah ke
jendela lantas menolak daun jendela seluas – luasnya. Cuba mencari ketenangan.
Aku menghembus nafasku perlahan – lahan lalu kupejamkan mataku. Hembusan angin
malam begitu menyegarkan. Baru aku tersedar betapa terang – benderangnya cahaya
bulan malam ini. Rupanya bulan penuh. Seketika aku asyik memerhatikannya.
Bagaikan dalam perut bulan itu ada dunia lain lagi. Aku berpaling. Kubuka
mataku seluasnya. Cuba mengamati susuk tubuh yang sedang terbaring di kerusi kayu
itu. Aqel! Berbantalkan lengan sambil kaki bersilang begitu asyik Aqel merenung
wajah bulan penuh. Dia begitu tenang beradu pandangan dengan si purnama. Hobi
yang sangat unik dan romantik. Sayup – sayup kedengaran suara Aqel menyanyikan
lagu Purnama Merindu nyanyian Dato’ Siti Nuraliza buat aku tersenyum sendiri.
Mungkin Aqel sedang merindui kekasihnya nun jauh di sana. Siapakah kekasih hati
Aqel itu? Rasanya semua warga KDUT akan bertemu dengan gadis pujaan hati
dambaan kalbu Aqel yang akan muncul di majlis meraikan pertunangan Aqel itu
nanti.
Kututup kembali daun jendela. Biarlah Aqel terus melayan
perasaannya yang sedang sarat kerinduan pada kekasih hatinya. Aku terpandang
beg kertas yang berada di atas meja solek di bilik ini. Teringat pada bicara Aqel
tadi. Mesti inilah buah tangan daripada Aqel untukku. Lantas kucapai beg kertas
itu lalu mengeluarkan isinya. Aku terpegun menatap gaun labuh hitam yang
ditaburi dengan permata putih di bahagian dadanya. Tampak begitu elegan dan
seksi memandangkan gaun labuh ini tiada
berlengan. Gaun yang sesuai dipakai ketika majlis makan malam mahupun
menghadiri majlis undangan di hotel – hotel. Cantik dan nampak mewah. Apakah
mimpi Aqel tiba – tiba saja menghadiahkan gaun cantik ini kepadaku? Bila aku
hendak memakai gaun semewah ini? Sanggupkah aku memakainya? Banyak persoalan
yang bermain di fikiranku. Rasa tidak berbaloi saja Aqel menghabiskan wangnya
beratus ringgit kerana aku merasakan gaun labuh hitam ini hanya akan tersimpan
di dalam almari. Aku tidak berkeyakinan untuk tampil sebegini mewah. Cukuplah
aku dengan gaya ringkasku selama ini. Paling penting selesa buatku. Kusimpan
kembali gaun labuh hitam ini ke dalam beg kertas ini. Aku kembali membaringkan
tubuhku di tilam.
“Terima kasihlah Aqel sebab hadiahkan aku gaun yang
cantik dan mewah tapi malangnya aku tiada keinginan untuk memakainya...”
tuturku berbicara sendiri. Aku terus saja memejamkan mataku mahu terus tidur
kerana esok aku perlu meneruskan rutin hidupku. Semoga malam ini tidurku lena
agar esok aku lebih bertenaga dan bersemangat.
“AWAK dah
tengok buah tangan yang saya beri semalam?”Aku mengangkat mukaku lalu
menghantar pandanganku ke muka pintu. Aqel sedang melangkah masuk sambil
tersenyum. Aku mengangguk. Menghairan apa mimpinya awal pagi berkunjung ke
sini.
“Terima kasihlah sebab beli gaun cantik dan mahal untuk
saya” tuturku.
“Awak mesti pakai gaun itu pada malam minggu nanti” arah
Aqel.
“Tak naklah gaun itu seksi” tingkahku tidak dapat
memenuhi permintaannya itu.
“Seksi apa pula! Bukan mendedahkan bahagian dada pun”
tutur Aqel sewenangnya.
“Gaun tu takde lengan. Saya tak nak bagi tengok parut –
parut di lengan saya ini pada semua orang” tuturku berbohong.
“Betulkah ada banyak parut di lengan awak?” soal Aqel
bagaikan sudah terpedaya dengan bicaraku. Aku mengangguk.
“Nampak hodoh sangat” tambahku meyakinkan Aqel.
“Tak percayalah saya. Awak memang saja nak bagi alasan”
bidas Aqel tidak termakan tipu. Tidak mudah Aqel dipermainkan olehku.
“Macam mana awak tahu kalau awak tak pernah tengok”
bidasku masih mahu mempertahankan fakta bohong itu.
“”Okey... mari kita tengok sama – sama sekarang” Aqel
terus saja melangkah mendekatiku. Kaget dengan tindakan Aqel.
“Awak nak buat apa ni?” soalku runsing sambil berundur
cuba menjauhi Aqel.
“Nak buktikan awak bercakap benar atau berbohong dengan
saya. Mari...” jelas Aqel bersungguh – sungguh.
“Aqel....!” jeritku sambil menepis tangan Aqel yang mahu
menyelak lengan kemeja yang kupakai. Kutolak tubuh Aqel menjauhiku.
“Okey.... okey.... saya berbohong pada awak” ujarku
mengalah. Aqel tersenyum puas hati sedangkan aku bengkak hati dengan tindakan
tidak bermorol Aqel ini.
“Walau apapun awak tak berhak nak paksa saya pakai gaun
itu” tegasku.
“Awak ni cubalah berfikir terbuka sedikit. Lagipun gaun
itu bukan seksi pun. Awak segan sebab bulu ketiak awak panjangkah?” soal Aqel
menyakitkan hati.
“Hah... berperangailah awak seperti budak – budak!”
kutukku.
“Awak kata saya seperti budak - budak?” Besar anak mata
Aqel menatapku. Rasa dirinya tercabar dengan bicaraku ini.
“Memang pun awak orang dewasa yang berperangai seperti
budak! Tak kuasa saya nak layan awak!” tegasku memerlinya. Aqel menggetap bibir
menahan perasaan geramnya.
“Awak mesti pakai gaun itu nanti” tegas Aqel mengulangi
arahannya tadi.
“Saya kata tak nak! Tak naklah!” tegasku bersuara
lantang.
“Takpe biar saya yang pakaikan gaun itu di tubuh awak ni”
tutur Aqel berdegil.
“Aqel...!” jeritku. Entah apa motif Aqel bersungguh –
sungguh menyuruh aku memakai gaun itu. Kadangkala anak teruna Mak Long ini
memang menakutkan aku.
“Nanti saya cakap pada Mak Long yang awak ni berperangai
tak senonoh” ujarku mengancamnya. Terkebil – kebil anak mata Aqel menatapku.
“Flora... jangan” pintanya kecut.
“Hah... tahupun takut!” perliku tersenyum sinis. Di depan
Mak Long bukan main sopannya dia. Hakikatnya selalu berfikiran jahat. Aku tahu
Mak Long adalah senjata untuk menentang kedegilan Aqel. Aqel akan jadi lemah
dan tidak berdaya andai aku mula membabitkan nama Mak Long. Dia mesti tahu Mak
Long akan sentiasa berpihak kepadaku.
“Apa hal gaduh – gaduh ini Encik Aqel, Lia?” Serentak aku
dan Aqel berpaling ke muka pintu. Marnie yang baru saja muncul tercengang –
cengang menatapku dan Aqel. Bahaya informasi bergerak sudah sampai.
“Hey... takdelah” nafiku diikuti oleh anggukan kepala
Aqel. Marnie tersenyum.
“Tahniah Encik Aqel. Best dapat jumpa tunang Encik Aqel
nanti” tutur Marnie teruja. Aku hanya menelan liur. Aqel tersenyum tenang.
Marnie berpaling ke arahku.
“Hah... awak pun Lia jangan lupa bawa buah hati awak
cikgu yang merangkap sepupu awak tu” tutur Marnie mengejutkan aku.
“Aaa...” Terlopong mulutku mendengar bicara Marnie.
“Buah hati cikgu merangkap sepupu...” tutur Aqel
mengulangi kenyataan Marnie. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Kutatap wajah
Aqel. Dia tersenyum sendiri. Mesti dia sedang berfikir yang bukan – bukan
sekarang.
“Alamak... Sorrylah Lia tak sengaja” tutur Marnie lantas
menutup mulutnya. Mulut tempayan betul gadis seoarang ini. Marnie tersengih –
sengih menatapku.
“Ini dokumen yang awak perlu serahkan pada Puan Rosie
nanti” tutur Marnie tersenyum tawar tatkala sudah menyedari akan ketelanjuran
bicaranya sebentar tadi.
“Sorry... saya pergi dulu ya” pinta Marnie lalu terkocoh
– kocoh beredar meninggalkan aku dan Aqel yang masih tersenyum – senyum sendiri
ini.
“Betulkah kekasih awak seorang guru yang juga merupakan
sepupu awak” tutur Aqel mengusikku. Aku menggetap bibir. Geram dengan Marnie.
Geram dengan Aqel.
“Memang pun saya sedang bercinta dengan seorang guru yang
juga merupakan sepupu saya. Bukan awak seorang saja sepupu yang saya ada”
tegasku cuba mematikan usikan Aqel.
“Sepupu sebelah keluarga mak” tambahku memberi penjelasan
kepadanya sekaligus cuba meyakinkannya.
“Ohh.... rupanya awak ramai sepupu ya. Tidak tahu pula
saya. Saya ingat saya sajalah sepupu yang awak ada” sahut Aqel tersenyum sinis.
Aku yakin Aqel tidak akan mempercayai bicaraku ini. Aku menjeling Aqel.
“Kalau awak takde hal penting nak bincang dengan saya,
silalah pergi sekarang” ujarku menghalau Aqel. Sebetulnya inilah teknik
mengelakkan diri dari terus menjadi usikan Aqel.
“Okey.... berani awak halau bos awak ya...” tutur Aqel
tidak puas hati.
“Awak bukan bos sayalah. Bos saya Puan Rosie dan Encik
Mukhtahir” sahutku. Aqel tersenyum lagi. Aqel mula menapak selangkah.
Langkahnya tiba – tiba saja terhenti.
“Flora....” panggil Aqel.
“Ya.... apa hal?” soalku sambil menatap Aqel yang masih
tersenyum – senyum.
“Agaknya awak sedang keliru sekarang” tuturnya
membinggungkan aku.
“Apa?” Berkerut dahiku menatap Aqel. Tidak mengerti
dengan bicaranya itu.
“Awak dah campur adukkan identiti Cikgu Firdaus dengan
saya. Awak sebetulnya sukakan Cikgu Firdauskah sukakan saya?” soal Aqel
mengusikku.
“Takdelah...!” nafiku separuh menjerit. Aqel terus saja
tertawa – tawa sambil melambai – lambaikan tangannya kepadaku sebelum
kelibatnya hilang di sebalik pintu.
“Tidak guna kau Aqel! Dasar lelaki bermuka tembok!”
marahku mengutuk Aqel. Aku mendengus. Salah aku juga sebab mengeluarkan
kenyataan tanpa berfikir. Sekarang terpaksalah tanggung akibatnya. Ohh.... Aqel
ada modal lagi hendak kenakan aku!
Aku menghela nafas lega sebaik saja melangkah masuk Aqel
tidak berada di ruang tamu seperti kebiasaannya. Sebelum menapak di anak
tangga, aku sempat singgah di muka pintu dapur. Kujengukkan kepalaku meninjau –
ninjau kalau Mak Long ada di situ. Aku terpandang kelibat Aqel yang sedang
sibuk menyiapkan sesuatu. Terburu – buru aku beredar dari situ. Khuatir Aqel
menyedari kehadiranku di situ. Dia memang jenis manusia yang tidak tahu duduk
diam. Ada saja kerja yang ingin dilakukannya terutama di dapur. Kalau hendak
tahu Aqel memang gemar berada di dapur. Sesuatu yang kurang biasa dilakukan
oleh kaum sejenisnya.
Seusai makan malam aku dan Aqel terus bergerak ke ruang
tamu. Mak Long memaklumkan akan menyusul kemudian kerana masih mahu berada di
dapur. Sudah lama kami tidak berkesempatan meluangkan masa menonton tv bersama
– sama. Maklumlah masing – masing sibuk. Mak Long walaupun sudah bersara namun
tetap aktif berpersatuan. Seringkali juga terpaksa mengadakan pertemuan dan
mesyuarat pada waktu malam memandangkan komitmen terhadap kerja bagi segelintir
ahli persatuan. Perkara ini cukup baik untuk Mak Long agar dia tidak kebosanan
tinggal bersendirian di banglo ini. Mungkin ketika Aqel sudah berkeluarga dan
ada anak – anak barulah Mak Long memikirkan untuk berehat sepenuhnya. Di ruang
tamu ini Aqel asyik mengerling ke arahku. Aku pamerkan wajah bersahaja. Perkara
di pejabat pagi tadi aku buat – buat lupa. Aku tidak akan malu mahupun rasa
segan pada Aqel kerana kenyataanku pada Marnie hanyalah rekaan semata – mata
yang bertujuan untuk menyelamatkan diri daripada usikan gadis itu. Tidak kisah
kalau Aqel salah faham padaku.
“Awak mesti pakai gaun itu tau!” Aqel bersuara. Aku
melepaskan keluhanku lalu menjeling Aqel. Dia memang tidak faham bahasa!
“Tak mahulah! Saya kata tak mahulah!” rungutku bosan
didesak sedemikian.
“Saya tak peduli awak wajib pakai gaun itu juga” tegas
Aqel tidak mahu mengalah.
“Suka hati sayalah. Tubuh saya terpulanglah apa saya nak
pakai. Faham Encik Aqel?” radangku naik darah. Aku mendengus kasar.
“Apa hal bising – bising ini Hyeon, Lia?” tanya Mak Long
seraya melabuhkan punggung di kerusi. Aku menarik muka masam. Sakit hati dengan
kedegilan Aqel.
“Dia ni Mak Long suka sangat paksa Lia, tak sukalah”
rungutku mengadu pada Mak Long. Aqel menatapku tajam.
“Dia ni yang pelik. Hyeon dah beli gaun cantik dan mahal
macam tu tapi tak nak pula pakai. Siapa yang tak berang” giliran Aqel pula
mengadu pada Mak Long.
“Bukan saya minta awak beli untuk saya pun” ujarku geram.
“Hah... tengok tu mama sombong betul dia” kutuk Aqel.
“Siapa nak pakai gaun seksi tu” jelasku lagi.
“Mana ada seksi. Rakan sekerja perempuan selamba saja
pakai gaun macam tu” balas Aqel membidas hujahku menambah ketegangan. Mak Long
hanya geleng – geleng kepala.
“Saya tak sama macam orang lain” tingkahku. Aqel
mencebik.
“Apa hal sebenarnya ni? Gaun apa pula ni?”soal Mak Long
meminta penjelasan lanjut.
“Hyeon ada beli gaun untuk dia. Mintalah dia pakai gaun
tu malam minggu ni sebab ada majlis syarikat. Tapi dia tak nak pakai. Bukankah
membazir tu namanya” tutur Aqel bercerita pada Mak Long.
“Tapi Mak Long gaun tu seksi, takde lengan. Lia tak
naklah pakai gaun macam tu” tegasku tetap dengan pendirianku.
“Hah... tengok tu mama!” adu Aqel pada Mak Long.
“Alah.... kamu tu pun satu Hyeon, beli gaun tu tak tanya
dulu tuan punya badan” rungut Mak Long menyebelahiku. Aku tersenyum.
“Surprise mama” sahut Aqel.
“Surprise apa benda kalau menyusahkan orang” rungutku
berbicara sendiri.
“Gaun tu gaun glamour tau. Design hampir sama macam yang
Scha pakai waktu malam Anugerah Berita Harian lepas. Dapat undi terbanyak
daripada peminat fesyen malah dapat pujian daripada pereka fesyen profesional
tau” tutur Aqel bersungguh – sungguh dan bangga.
“Dia tu artis, saya ni orang biasa” tuturku cuba
mengingatkan Aqel. Artis pakai apa saja semua orang tidak kisah malah nampak
sentiasa cantik.
“Sebab tu saya nak orang biasa jadi luar biasa” sahut
Aqel begitu beridea untuk mematahkan apa saja hujahku.
“ Sekurang – kurangnya kalau awak nampak luar biasa malam
itu sebagai sepupu awak boleh juga saya tumpang bangga” tutur Aqel yang suka
bermegah – megah.
“Jadi selama ini awak malulah ada sepupu macam saya?”
bentakku tersinggung. Aqel menatapku tajam.
“Kalau awak tak ingin ada sepupu macam saya, saya lagilah
tak ingin ada sepupu macam awak. Dasar buaya darat!” kutukku.
“Hyeon.... Lia.... sudah – sudah. Tak payah bergaduh dan
bermasam muka. Mesti ada cara terbaik sebagai jalan penyelesaiannya” suara Mak
Long mencelah setelah lama berdiam dan hanya jadi pemerhati.
“Maafkan Lia Mak Long” tuturku seakan baru tersedar yang
Mak Long masih bersama kami. Senyap. Aku dan Aqel masing – masing mempamerkan
muka masam.
“Betulkah Lia langsung tak suka gaun tu?” soal Mak Long.
Aku geleng kepala.
“Suka Mak Long tapi gaun itu seksi. Lia tak boleh pakai
gaun itu” tuturku.
Aqel mendengus.
“Kalau Mak Long boleh selesaikan masalah gaun itu, boleh
tak Lia pakai gaun itu?” soal Mak Long lagi.
“Tengoklah Mak Long tapi Lia tak janji” tambahku. Mak
Long tersenyum. Aqel terkumat – kamit berbicara sendiri. Mesti sedang menggutukku.
“Apa kata kalau Lia pakai cardigan. Kan dah berlengan
gaun tu” tutur Mak Long tersenyum. Cardigan.... oh.... baru aku terfikir! Di
pusat membeli - belah bermacam – macam jenis dan fesyen cardigan yang dijual
yang boleh dipadankan dengan baju yang tidak berlengan. Mengapalah aku tidak
terfikir! Sia – sia saja aku bertikam lidah dan bertegang leher dengan Aqel.
“Awak tahukah cardigan tu apa?” sinis saja suara Aqel
bertanya.
“Awak ingat saya ni bodoh sangat” balasku geram.
“Tengok mama, kita tanya dia sungguh - sungguh tapi dia
asyik nak marah kita pula” rungut Aqel tidak puas hati. Aku menjeling Aqel. Mak
Long geleng – geleng kepala lagi.
“Yalah yang kamu soal macam tu apa hal! Lia tu bidang
kerja dia kostum. Mestilah Lia tahu” tutur Mak Long berpihak padaku. Terkena
sebiji! Aqel tersengih – sengih.
“Dia memang suka sangat buat Lia marah, Mak Long” aduku
pada Mak Long.
“Alah... asyik – asyik mengadu. Manja sangat...” kutuk
Aqel masih tidak berpuas hati denganku. Aku mencebik ke arahnya.
“Mak Long pun nak juga tengok Lia cantik dan nampak luar
biasa. Nanti Lia pakailah gaun yang Aqel beli untuk Lia tu ya” tutur Mak Long
seakan memujukku. Aku terdiam. Serba – salah aku mendengar permintaan Mak Long
ini.
“Baiklah Mak Long” tuturku perlahan – lahan menyanggupi
permintaan Mak Long. Aqel terus saja tersenyum. Pasti dia merasakan kemenangan
berpihak pada dirinya sekarang.
“Saya pakai gaun itu demi Mak Long bukan kerana awak. Jadi
jangan gembira berlebih – lebih!” tegasku. Aqel masih tersenyum – senyum.
“Nanti saya beli cardigan untuk awak ya” tutur Aqel
ceria.
“Tak payah! Saya boleh beli sendiri” bantahku kerana
yakin pilihan Aqel tidak memenuhi citarasaku. Khuatir pisang berbuah dua kali.
Mana tahu Aqel beli yang material jarang mahupun yang berbulu – bulu binatang.
Eee... tidak sanggup aku hendak memakainya. Nanti tidak pasal – pasal sia – sia
saja usaha Mak Long mendamaikan kami.
Hari Sabtu ini Nana sudah berjanji akan menemaniku ke
pusat membeli – belah untuk membeli cardigan itu. Majlis meraikan pertunangan
olok – olok Aqel ini masih aku rahsiakan daripada pengetahuan Nana memandangkan
dialah pencetus idea terhadap rancangan itu. Kemudian aku pula yang jadi
pelaksananya. Namun aku tidak mahu menyalahkan Nana. Nana sekadar pencadang dan
tidak pernah memaksa aku untuk melakukannya.
“Yang ini cantik” tutur Nana seraya menayangkannya
kepadaku. Aku geleng kepala.
“Pendek sangat” komenku. Mencari lagi.
“Yang ini mesti kau suka” tutur Nana begitu yakin dengan
pilihannya kali ini.
“Cantik....” pujiku lalu menatap tag harganya. Dahiku
berkerut.
“Mahal sangat” keluhku.
“Hey...... kedekutnya kau! Sepupu banyak duit mintalah
dia bayar untuk kau” cadang Nana. Tidak berbaloi aku hendak belanjakan duit aku
seratus hanya untuk mendapatkan cardigan itu.
“Tak ingin aku!” sahutku sambil mencebik. Nana tergelak.
“Dia tu kalau beli pakaian perempuan terlebih citarasa”
kutukku disambut dengan gelak Nana lagi.
“Mestilah diakan biasa di kelilingi model – model cantik
dan seksi” ujar Nana langsung tidak mahu menyalahkan Aqel.
“Dahlah cakap pasal dia. Rimas tau!” rungutku. Nana hanya
geleng – geleng kepala.
“Tak sangka orang handsome macam Aqel itu pun boleh buat
kau rimas” perli Nana. Aku hanya menulikan telingaku. Tidak hairan mengapa Nana
bercakap begitu sebab dia salah seorang peminat Aqel.
“Esok – esok kalau kamu berdua jadi suami – isteri tak
tahu aku apa akan jadi dengan kau kalau begini perasaan kau pada Aqel” omel
Nana semakin meleret – leret.
“Bila masa pula saya nak nikah dengan dia” sahutku.
“Mana tahu sebab aku dengar Mak Long kau sayang sangat
pada kau. Mak kau pun suka juga pada Aqel kan” tutur Nana berhujah.
“Sudah.... sudah.... jangan fikir yang bukan – bukan”
arahku tidak mahu memeningkan kepala dengan perkara yang tidak pernah terlintas
di fikiranku. Nana tersenyum.
Akhirnya aku terpikat pada cardigan kain baldu warna
hitam. Ringkas dan menarik dengan harga yang berpatutan. Kemudian belanja Nana
minum sebagai menghargai masa yang diluangkannya bersamaku. Bagi mereka yang bekerja
masa cuti hujung minggu begitu bererti. Tepat pada pukul 4.00 petang, aku
mengajak Nana balik memandangkan majlis itu akan berlangsung malam ini. Tanpa
banyak soal, Nana terus menghantar aku ke Pujangga Highlands. Terpegun Nana
melihat kemewahan dan gahnya banglo Mak Long ini. Tidak sempat hendak mengajak
Nana masuk memandangkan dia sudah berjanji dengan ibu bapanya untuk pergi
bersama bagi memenuhi undangan kenduri kahwin jiran mereka.
“Awak belum nak bersiap lagikah?” suara Aqel menyapaku.
Aku berpaling. Aqel berada di anak tangga terakhir sedang melontar pandangan ke
arahku.
“Sekejap lagi” sahutku masih mahu bersantai di ruang tamu
sambil menonton drama episod di tv3. Aku bersiap tidak perlukan banyak masa. Cukup
solekan ala kadar dan tukar baju. Selepas itu boleh terus pergi.
“Awak nak tumpang kereta sayakah?” soal Aqel lagi.
Alah.... banyak soal pula lelaki ini! Kacau betul! Sengaja mahu hilangkan
fokusku pada drama yang sedang berlangsung ini. Aku geleng kepala.
“Saya drive sendiri nanti” jelasku. Memandangkan malam
ini aku terpaksa memakai gaun maka aku akan memandu kereta Waja mak ke majlis
itu. Ada sesuatu yang sedang bermain di fikiranku. Lantas aku berpaling ke arah
Aqel.
“Awak dah siap sedia untuk majlis nanti?” soalku penuh
makna tersirat. Aqel mengangguk. Lega.
“Dengar – dengar awak kena buat ucapan nanti. Mereka akan
minta awak bercerita tentang pertemuan pertama awak dengan tunang awak tu”
jelasku lagi dengan suara yang ditahan – tahan. Tidak mahu Mak Long turut
mendengarkannya nanti pecah tembelang.
“Apa saya nak cerita nanti ya...” Aqel berfikir – fikir
membangkitkan kerisauanku. Ternyata Aqel belum cukup bersedia.
“Apa kata kalau saya cerita pertemuan pertama saya dengan
dia ketika dia sedang bekerja. Kemudian saya minta tolong dia. Tidak sangka
nasib malang menimpanya sebaik saja menghulurkan pertolongan kepada saya.
Selepas itu dia marah dan kutuk saya macam – macam setelah rayuannya tidak saya
hiraukan malah mula bertindak sendiri. Akibatnya dia tertangkap. Saya mula
kasihan melihat dia lalu menyelamatkannya dari tuduhan sebagai penceroboh.
Akhirnya dia membalas jasa baik saya dengan ayam KFC. Bermula dari situ
berputiklah cinta saya dengan dia” tutur Aqel begitu lancar. Terlopong aku
mendengarkannya. Jalan cerita yang sempurna.
“Itu cerita kita berdualah...” tingkahku. Aqel tersenyum.
Kasihan juga Aqel. Bagaimana dia hendak fikirkan perkara ini kalau dia sendiri
tidak mengalaminya. Bukankah Aqel boleh gunakan babak pertemuan dengan
kekasihnya yang akan diperkenalkannya di majlis ini nanti.
“Tak apalah awak boleh pinjam jalan cerita itu nanti...”
ujarku memberi keizinan dengan perasaan timbang rasa dan tolak ansur. Dalam
keadaan terdesak sekarang mungkin Aqel tidak boleh berfikir lagi. Lagipun tiada
siapa yang mengetahui jalan cerita itu sebenarnya adalah kisah yang berlaku
antara aku dengan Aqel. Hanya aku dan Aqel saja yang tahu.
“Awak bersiaplah cepat. Takkan nak biarkan orang yang
diraikan nak tunggu awak pula. Rasanya Haqem takkan mulakan majlis tanpa
kehadiran awak” tutur Aqel bersahaja. Tajam pandangan mataku menatap Aqel
tatkala menyebut nama lelaki itu. Dia bukan tidak tahu yang aku tidak suka mendengar
nama itu. Aqel tersengih. Cukup mengerti dengan pandangan tajamku itu.
“Saya bersiap sekejap je. Selepas tukar baju nanti teruslah
pergi” ujarku. Aqel mencebik. Barangkali kedengaran agak pelik di telinganya.
“Biar Mak Long tolong Lia siapkan diri” suara Mak Long
mencelah. Aku dan Aqel berpaling. Mak Long yang baru saja muncul dari dapur
tersenyum.
“Betulkah ni Mak Long nak tolong Lia?” soalku teruja. Mak
Long mengangguk.
“Awak belum tahu lagi bakat mama menandingi Mak Andam”
tutur Aqel mengusik Mak Long. Mak Long tergelak. Apa salahnya aku mencuba
kepakaran Mak Long. Pasti Mak Long akan buat yang terbaik untukku.
“Mari Lia...” ajak Mak Long. Kumatikan tv. Lantas bangkit
dari dudukku.
“Kamu pun bersiaplah...” arah Mak Long pada Aqel.
“Hyeon memang dah cukup kacak pun tak perlu nak berhias
sakan” sahut Aqel bongkak. Aku mencebik ke arah Aqel. Sombong sangat! Bergegas
aku dan Mak Long beredar ke bilik. Baru saja melangkah ke bilik ini, Mak Long
berpatah balik ke biliknya sebab ada barang yang tertinggal. Aku tergamam
melihat Mak Long muncul dengan kotak ajaibnya. Maksud aku kotak peralatan
soleknya. Baru aku tahu rupanya Mak Long pernah mengambil kursus mendandan
sekadar suka – suka. Pernah juga Mak Long membuat kebajikan dengan kebolehannya
ini. Menurut Mak Long dia menggunakan ilmu yang dipelajarinya ini untuk
menyolek pengantin dalam kalangan anak ahli persatuan secara percuma. Hebat
juga Mak Long ini! Dalam diam ada bakat yang tersembunyi.
“Suatu hari nanti kalau Lia jadi pengantin boleh Mak Long
yang hias Lia?” soal Mak Long. Aku tersenyum dan mengangguk. Sangat dialu –
alukan. Buat apa aku susah – susah mahu cari orang lain sedangkan Mak Long ada
kepakaran Mak Andam. Setelah usai menyolek dan menata rias wajahku, kini
giliran rambutku pula untuk mendapat sentuhan tangan Mak Long.
“Malam ini Mak Long akan buat Lia bagai puteri. Biar
semua orang terpegun termasuklah Aqel yang sombong itu. Mak Long nak penampilan
Lia yang luar biasa daripada biasa” tutur Mak Long bergurau. Aku tersenyum.
“Jangan pandang cermin dulu. Sekarang pakai gaun itu”
arah Mak Long. Aku bangkit dari dudukku. Patuh dengan arahan Mak Long. Cuba
menyabarkan hati tidak mahu menatap cermin. Mak Long membantu menyarungkan gaun
hitam labuh ini di tubuh. Kucapai cardigan yang kubeli petang tadi lalu
menyarungkan di lenganku. Tangan Mak Long lincah merapikanku. Kemudian menilik
– nilik aku seketika.
“Wah, cantiknya Lia! Betul – betul bagaikan puteri” puji
Mak Long melangit dan begitu kagum. Aku tersenyum.
“Boleh tengok cermin sekarang, Mak Long?” soalku tidak
sabar – sabar. Mak Long mengangguk. Aku berpaling berdepan dengan cermin. Aku
tergamam. Betulkah ini aku? Rasa segan pula hendak mengakui bicara Mak Long
sebentar tadi. Khuatir riak jadinya. Namun itulah hakikatnya. Aku memang
bagaikan Cinderella yang cantik untuk seketika. Habis saja majlis ini nanti aku
akan kembali pada Lia yang asal. Kupeluk tubuh Mak Long.
“Terima kasih Mak Long. Mak Long memang setanding dengan
Mak Andam profesional” pujiku jujur. Mak Long tersenyum lebar. Gembira hatinya
melihat aku berpuas hati dengan hasil sentuhan tangannya ini.
“Paling penting keyakinan dalam diri Lia. Kalau orang
tengok Lia, Lia hanya perlu tersenyum saja. Harus diingat orang tengok Lia
sebab terpegun dengan kecantikan Lia. Perempuan lain berbisik – bisik jangan pedulikan
mereka sebab mereka cemburu melihat Lia jadi perhatian” tutur Mak Long memberi
kata – kata motivasi padaku. Aku tergelak.
“Ingat baik – baik kata Mak Long ini” pinta Mak Long. Aku
mengangguk. Demi susah payah Mak Long aku akan lakukan yang terbaik malam ini.
Aku tidak akan menghampakan Mak Long. Tiba – tiba kedengaran bunyi mesej
kuterima. Mak Long mencapai telefon bimbitku lalu menyerahkan padaku.
“Mungkin kawan – kawan Lia sedang cari Lia sekarang”
tutur Mak Long membuat andaian. Aku senyum. Lantas kubukan kotak mesej. Mesej
daripada Aqel.
~ Jangan lama sangat bersolek. Saya sudah sampai di sini.
Orang lain pun sudah ada di sini kecuali awak seorang saja. Cepat datang...!!!
~ Biar betul. Jangan – jangan
Aqel sengaja hendak mempermainkan aku. Siapalah gerangan tunang Aqel malam ini?
Di manakah dia mendapatkan gadis itu? Mungkin juga kekasihnya.
“Siapa Lia?” soal Mak Long mengejutkan aku.
“Aqel Mak Long suruh datang cepat” jelasku.
“Budak tu memang tak menyabar – nyabar” keluh Mak Long.
Aku tersenyum.
“Kalau macam tu Lia pergi dululah, Mak Long” ujarku
meminta diri. Mak Long mengangguk sambil menepuk – nepuk lembut belakangku.
“Buat sehabis baik tau” pesan Mak Long. Aku mengangguk
lalu melangkah pergi bersama satu tekad sambil diperhatikan oleh Mak Long.
Majlis meraikan pertunangan Aqel ini diadakan di ruang lobi KDUT. Seperti yang
dikatakan oleh Aqel sudah ramai warga KDUT berkumpul di sini. Aku berselawat tiga
kali bagi membina keyakinan diri. Dengan kalimah puji – pujian ke atas Allah
S.W.T, aku melangkah melewati pintu utama dengan berhati – hati. Kurang biasa
dengan sepatu tinggi ini. Berpasang – pasang mata menoleh ke arahku lalu
menatapku lama. Nampak terpegun. Kemudian ada pula golongan perempuan yang
berbisik – bisik sambil menatapku. Serta merta aku teringatkan pesanan Mak Long
kepadaku. Lantas aku mengukir senyuman selebarnya.
Aqel yang terpegun seketika menatap gadis itu cepat saja
tersedar. Laju saja dia melangkah ke arah gadis itu. Tanpa disedarinya Haqem juga
sedang melangkah ke arah gadis itu.
“Lamanya awak bersolek” rungut Aqel sambil menatapku. Aku
memaksa diri tersenyum pada Aqel memandangkan masih banyak mata memerhatikan
aku.
“Lia, cantiknya awak malam ini” puji satu suara milik
lelaki. Aku dan Aqel serentak berpaling. Haqem tersenyum.
“Ya awak memang cantik malam ini” tutur Aqel menyokong
pujian Haqem sebentar tadi. Aku tersenyum lagi. Di depan sana kelihatan Marnie
terburu – buru mendapatkan aku.
“Wah, cantiknya awak Lia! Macam orang yang nak diraikan
pula” tutur Marnie buat aku segan. Tidak mahu ada yang salah tanggapan. Cepat
kutarik tangan Marnie menjauhi Aqel dan Haqem. Mereka tercengang – cengang
memerhatikan gelagatku.
“Betulkah penampilan saya malam ini nampak keterlaluan?”
bisikku menyoal Marnie.
“Hey....takdelah! Awak jangan pula salah faham dengan
bicara saya tadi” tutur Marnie menenangkan aku yang mula cemas. Aku mengeluh.
“Awak memang cantik sangat sampai mahu terkeluar anak
mata Encik Aqel dan Encik Haqem tengok awak. Rania pun tak tentu arah tengok
awak secantik ini” puji Marnie.
“Janganlah puji saya lebih – lebih. Seganlah...” luahku
tidak senang hati. Marnie tergelak. Aku menarik nafas cuba melegakan diri.
“Saya puji ikhlas” tutur Marnie meyakinkan aku.
“Mana perginya tunang Encik Aqel ini? Kenapa belum sampai
– sampai lagi ni” tutur Marnie turut mengejutkan aku. Kupandang Marnie.
“Kenapa Encik Aqel tak jemput dia tadi?” soalku musykil.
Aku ingatkan perempuan itu sudah sampai tadi. Tidak teringat pula mahu bertanya
pada Aqel tentang perkara ini memandangkan dia bersendirian menemuiku tadi.
Tidak sedar pula aku dengan perkara ini.
“Encik Aqel kata dia nak datang sendiri” jelas Marnie.
Aku melihat Aqel bergerak ke depan. Kemudian menemui pengacara majlis. Semua
warga KDUT sudah bergerak ke depan mendekati pentas. Bila – bila masa majlis
akan dimulakan. Kelihatan Reka melambai – lambai tangan ke arah kami. Aku dan
Marnie lantas mendapatkan Reka yang berdiri berdekatan dengan pentas.
Kedengaran suara pengacara majlis berkumandang. Semua sudah tidak sabar – sabar
menanti kemunculan tunang Aqel termasuklah aku. Biarpun aku tahu cerita
sebenarnya namun aku masih ternanti – nanti gerangan perempuan yang akan Aqel
perkenalkan sebagai tunangnya. Nun jauh di sudut hatiku aku simpati pada Aqel
kerana terpaksa melalui semua ini.
“Sudah sampai saat yang dinantikan kita jemput Encik Aqel
naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan beliau. Sudah menjadi adat KDUT juga diminta
Encik Aqel berkongsi cerita dengan kita semua tentang pertemuan beliau dengan
gadis bertuah yang telah berjaya menawan hati Encik Aqel. Dipersilakan.....”
tepukan gemuruh memenuhi ruang legar lobi yang telah dihias indah ini. Terasa
dadaku berdebar – debar. Adakah Aqel mampu melakukannya dengan baik? Maafkan
aku Aqel. Aku memang bersalah pada kau. Pandanganku tidak lari – lari dari
menatap Aqel yang sudah terpacak di atas pentas dengan senyuman yang terukir di
bibirnya. Wajahnya tampak begitu tenang. Dengan sepasang kot hitam itu, Aqel
kelihatan begitu segak. Suara Aqel memberi salam sebagai mukadimah ucapannya
kedengaran. Aku dengan teliti mendengarkannya. Begitu juga yang lain. Semuanya
memberi perhatian pada Aqel di atas pentas.
“Tidak banyak yang ingin saya perkatakan. Saya minta maaf
sebab merahsiakan perkara ini daripada kalian. Sebetulnya saya mahu membuat
kejutan yang paling dahsyat” tutur Aqel berjenaka disambut dengan gelak tawa.
Aku tersenyum. Pandai juga Aqel berlawak.
“Mana tunang Encik Aqel?” sayup – sayup ada suara
perempuan melontar persoalan itu. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling.
Cuba menjejaki bayangan seorang gadis yang bakal Aqel umumkan sebagai tunangnya
kepada semua orang yang berada di sini.
“Yalah Encik Aqel....” sahut suara yang lebih ramai.
Dadaku semakin berdebar – debar. Risau terbongkar segala tembelang.
“Sabarlah semua. Saya belum habis berucap lagi. Gunung
dikejar takkan lari” tutur Aqel tersenyum. Kedengaran gelak tawa lagi. Pandai
juga Aqel berperibahasa. Syukur Aqel masih mampu bertenang.
“Encik Aqel ceritakanlah kisah pertemuan kalian” pinta
satu suara sudah tidak sabar.
“Kalian semua memang jenis yang tak menyabar ya....” ujar
Aqel mengusik.
“Betul Encik Aqel....!” sahut semua hampir serentak
disusuli dengan tawa yang panjang. Dalam diam aku kagum dengan Aqel. Karismanya
sebagai pemimpin begitu terserlah.
“Ceritalah Encik Aqel....” rayu suara – suara perempuan.
Aqel berdehem – dehem buat – buat segan. Ada tawa lagi lantaran tercuit
memerhatikan tingkahlaku Aqel. Kemudian menyusul suara ramai memohon permintaan
yang sama.
“Saya bertemu dengan gadis ini di sini....” tutur Aqel
memulakan bicara.
“Aaahhh....!” Ramai yang terkejut mendengar kenyataan
Aqel ini.
“Pertama kali bertemu dengannya, saya sudah tahu betapa
istimewanya dia”
“Wow...!” sahut yang lain. Aqel tersenyum. Ikhlaskah Aqel
berbicara sedemikian? Aku tersenyum sendiri. Kata – kata manis adalah mainan
bibirnya.
“Saya berkenalan dengan dia secara tidak langsung. Dia
telah membantu saya pada hari itu. Malangnya pertolongan yang dihulurkan
mendatangkan masalah buat dirinya. Pertemuan kedua kami tidak berjalan
lancar.....” Sunyi sepi. Semuanya memberi tumpuan pada Aqel yang berada di atas
pentas. Aku mula terbayang detik – detik pertemuanku dengan Aqel. Terbayang di mataku
aku sedang mengejar langkah Aqel. Kemudian aku dihalau oleh pengawal keselamatan
dan dituduh sebagai penceroboh. Segalanya terakam kembali. Suara Aqel sudah
tidak kedengaran lagi. Aku kembali pada babak kisah itu. Tenggelam seketika.
“Saat yang ditunggu – tunggu sudah tiba. Sekarang saya
perkenalkan tunang saya...” bicara Aqel terhenti. Aqel terus saja melangkah
turun dari pentas. Langkah diatur begitu tersusun. Wajahnya nampak tenang.
Semua mata sedang mengiringi langkah Aqel. Masing – masing tertanya – tanya
siapa gerangan gadis itu. Langkah Aqel terhenti. Semua terlopong menatap gadis
yang berdiri di sebelah Aqel ketika ini.
“Lia.....! Lia....!” separuh menjerit suara Marnie dan
Reka singgah di telingaku. Aku tersentak. Babak kisahku dengan Aqel terus
lenyap. Tergamam melihat Aqel sudah berdiri di sebelahku. Semua orang sedang
menatapku.
“Saya perkenalkan kepada semua. Inilah gerangan tunang
saya Cik Nur Dahlia binti Sallehudin dan nama panggilan istimewanya Flora” ujar
Aqel menyentap tangkai jantungku. Seketika seakan aku tidak bernafas. Rasa
terkejut yang luar biasa. Kedengaran bunyi tepukan gemuruh menyambut pengumuman
yang baru saja keluar dari mulut Aqel. Kulihat Marnie dan Reka melonjak
keriangan. Sedar – sedar Aqel sudah menarik tanganku membawa aku naik ke atas
pentas. Bagaikan aku tidak berpijak di alam nyata tatkala menuruti langkah
Aqel. Semua mata sedang tertumpu pada aku dan Aqel.
“Ingat hanya saya yang boleh memanggilnya dengan nama
itu. Saya berharap kalian doakan kebahagian kami berdua” tutur Aqel lagi.
Di atas pentas ini aku terpandang wajah Haqem yang serius
menatapku. Kemudian aku nampak wajah menyinga Rania. Aku sedar bahawa aku bakal
menghadapi masalah besar sekarang. Rania pasti tidak akan melepaskan aku. Oh...
matilah aku kali ini. Aku berpaling menatap Aqel yang berdiri di sisiku sedang
tersenyum manis bagaikan detik ini betul – betul hari bahagia buatnya. Akhirnya
aku memaksa diri untuk tersenyum mengiringi senyuman Aqel.