Wednesday, 23 June 2021

Cinta Jangan Pergi....! 5

 

            “Awak di mana sekarang? Bila kita boleh jumpa?” tanya Mila bertalu-talu. Aku hanya memasang telinga mendengar perbualan Mila dengan Adib. Bimbang. Adib belum muncul sedangkan berbaki dua hari lagi tarikh penghantaran tugasan Encik Syamil.

            “Okey, kami tunggu,” tutur Mila.

            “Assalamualaikum...,” Mila menamatkan perbualan itu. Kupandang Mila. Ingin mengetahui perkhabaran terbaharu Adib dan status tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atas pemuda itu. Namun yakin Adib akan membuat yang terbaik. Itu janjinya.

            “Nanti dia email tugasan itu,” jelas Mila.

            “Dia tak nak jumpa kita? Nak cantum dan edit sama-sama,” ujarku sudah bersedia berhadapan dengan Adib. Mila melepaskan keluhan.

            “Rasanya begitulah,” jelas Mila.

            “Pasti berbeza situasi orang yang melukai dan dilukai,” tutur Mila buat aku terasa.

            “Ya... orang yang melukai lebih kuat berbanding orang yang dilukai,” tambahku tidak menafikan. Bukan hendak bangga namun itu kenyataan. Adib belum mampu bertentang mata denganku. Dia perlukan kekuatan diri. Kedengaran bunyi mesej dihantar. Laju tangan Mila menekan skrin iPhone.

            “Dia dah hantar dalam whatsApp ni. Jom...,” ajak Mila. Aku bangkit dari kerusi lantas beriringan dengan Mila mengatur langkah ke Perpustakaan Utama. Hari ini sasaran kami akan menyelesaikan tugasan Encik Syamil. Tiba di Perpustakaan Utama, kami ke tingkat dua lalu masuk ke bahagian ruang perbincangan. Tempat ini dikhaskan untuk warga kampus membuat perbincangan. Diasingkan daripada ruangan rujukan dan bacaan yang mewajibkan peraturan senyap dipatuhi agar tidak mengganggu pengunjang yang lain. Aku dan Mila duduk di bahagian yang tersorak. Mahu ruang yang lebih privasi. Kurang gangguan. Selebihnya boleh fokus pada tugasan yang perlu diselesaikan sekarang. Hajat menggunung kami mahu menjadi kumpulan pertama yang meletakkan tugasan ini di atas meja Encik Syamil dengan kualiti kerja yang tersendiri. Misi perjuangan yang diteruskan sehingga ke noktah terakhir.

            “Sekian, terima kasih,” Tup. Aku meletakkan tanda titik pada akhir ayat.

            “Selesai. Ahlamdulillah...,” Senyumanku dan Mila bersatu.

            “Awak check sekali lagi sebelum kita buat hardcopy dan hantar softcopy,” pintaku.

            “Okey...,” Mila mengubah kedudukan laktop menghala ke arahnya. Aku mencapai iPhone di depanku. Kutekan skrin. iPhone masih dalam mod senyap. Peraturan wajib ketika berada di perpustakaan. Tiada sebarang mesej yang kuterima.

            “Awak rasa Adib benar-benar merajuk ke?” tanyaku mengganggu fokus Mila. Mila mengalih pandangan ke arahku.

            “Dia mesti tak nak jumpa saya kan,” ujarku membuat telaah sendiri. Sedikit kebimbingan menyelinap dalam hati. Sedih kalau aku bakal kehilangan seorang sahabat.

            “Awak risau kalau Adib tak nak kawan dengan awak lagi?” tanya Mila. Aku mengangguk. Kenyataan yang tidak dapat kunafikan. Mila tergelak kecil.

            “Awak jangan salah faham pula,” tingkahku tidak suka dengan gelak Mila. Risau dia silap tafsir. Bimbangku sebagai seorang kawan. Tidak lebih daripada itu.

            “Memang sejak awal lagi Adib tak nak kawan dengan awak,” ujar Mila. Berkerut dahiku menatap Mila. Bicaranya berbelit-belit.

            “Tak pernah pun dia anggap awak sahabatnya. Dari awal lagi Adib nak awak jadi buah hatinya,” jelas Mila memperhalusi bicara.

            “Awak dah lupa?” tanya Mila. Aku melepaskan keluhan kecil.

            “Tak payahlah risau. Rajuknya tak lama tu,” ujar Mila cuba melegakan hatiku.

            “Mudah-mudahan...,” pintaku tanpa berselindung. Tidak mahu Adib mengubah haluan jika bertemu dalam perjalanan. Tidak suka Adib membisu sehingga tidak wujud perbualan aku dengannya ketika  berada di dalam kelas. Aku tidak tega jikalau Adib memusuhiku. Dia boleh marah padaku tetapi bukan memutuskan persahabatan kami.

            “Kalau saya minta Adib terus jadi kawan saya, adakah saya pentingkan diri sendiri?” tanyaku mengajak Mila berbual lagi.

            “Saya ada dua jawapan. Satu positif dan satu lagi negatif. Awak nak dengar jawapan yang mana satu?” tanya Mila berkias-kias.

            “Saya nak dengar jawapan negatif dulu. Perkara yang tak elok akan dilupakan lepas dengar perkara elok. Biar kecewa dulu, kemudian bergembira. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian...bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian,” panjang berjela bicarku. Mila tersenyum.  

            “Kalau awak nak Adib jadi sahabat selepas awak melukai perasaannya memang kejam,” luah Mila telus.

            “Jawapan positif...,” pintaku.

        “Hati dan perasaan milik awak. Awak berhak menentukan hati awak untuk siapa. Jangan rasa bersalah kalau awak terpaksa menolak seseorang kerana awak tak mencintainya,” jawapan padu Mila melegakan perasaanku.

           “Apapun kita berhak mencari kebahagiaan sendiri,” tambah Mila.

            “Wah, hebat awak! Dah boleh jadi guru kaunseling sekarang,” ujarku mengusik Mila. Aku suka pendirian Mila. Matang.

            “Berterus-terang lebih baik daripada berpura-pura,” Mila menambah hujahnya.

            “Setuju,” Laju aku menyokong kata-kata Mila. Aku berterus-terang kepada Adib agar dia tidak terus menggantung harapan tinggi kepadaku. Aku tidak mahu Adib terus setia menantiku. Aku mahu dia mengenali perempuan lain. Aku yakin Adib akan menemui cinta sejati.

 #########


            “Saya nampak awak keluar dengan pemuda itu tadi. Sebab dia ke awak tak boleh bersama saya?” Adib memandangku. Wajah Harris melintas di ruang mataku.

            “Adib... please,” rayuku buntu. Bosan sudah aku dihujani dengan pertanyaan sedemikian. Banyak kali sudah aku menafikan. Adib masih menganggap pemuda itu penghalang.

            “Saya tahu...saya tak mampu menandingi pemuda itu. Dia kaya. Semua gadis nakkan lelaki macam dia. Kalau awak beri peluang saya akan jadi seperti pemuda itu. Saya akan berusaha gigih beri awak kehidupan yang mewah suatu hari nanti,” ujar Adib merayu mendambakan cintaku.

            Stop...!” suaraku tinggi. Satu penghinaan buatku jikalau Adib berfikiran sedemikan. Wajahku serius menatap Adib.

      “Awak tak payah nak tandingi dia. Berhentilah seksa diri. Saya takkan berganjak dari pendirian saya,” ujarku cuba mematahkan semangatnya.

        “Bila awak dah tak serasi dengan pemuda itu, cari saya. Saya akan tetap tunggu awak sampai bila-bila... Jaga diri,” nekad Adib tidak mahu berputus asa lantas berpaling memulakan langkah meninggalkan aku tercengat di sini.

            “Adib...!” panggilanku tidak dihiraukan. Adib terus melangkah ke hadapan tidak mahu menoleh lagi. Sungguh pemuda ini keras hati. Aku melepaskan keluhan berat. Tidak sangka Adib akan senekad ini.

       “Ya...Allah, temukanlah Adib dengan perempuan baik yang mampu menyayangi dan mengasihi serta membahagiakan dirinya,” pintaku meluahkan pengharapan. Munajat ini sahaja yang mampu aku lafazkan mengiringi langkah kecewa Adib. Aku melepaskan keluhan lagi. Sungguh aku terbeban dengan kedegilan Adib.

“Boleh tahan juga awak ni ye,” Aku berpaling. Rayyan berada di depanku sekarang. Beradu pandangan seketika. Ada senyuman sinis terukir di bibir.

“Saya tak faham apa yang cuba awak katakan,” tingkahku tidak suka melihat senyuman sinis itu.

“Tak elok awak permainkan perasaan orang,” tuduh Rayyan. Aku tersentak. Begitu mudah  dia melemparkan tuduhan itu. Pemuda ini meninggalkan aku dengan senyuman yang menyakitkan hati. Aku mendengus. Kecewa. Sungguh mudah kaum Adam membuat kesimpulan.

 

#########

 

“Assalamualaikum...,” Langkahku terhenti. Aku tersentak. Harris sudah tercengat di depanku sambil tersenyum. Salamnya kusambut.

“Dah habis kuliah?” tanyanya. Aku mengangguk.

“Dah makan?” tanya Harris lagi.

“Baru nak beli makanan,” jelasku.

“Beli?” suara Harris nada bertanya.

Plan nak makan di asrama. Jadual kelas tak sama dengan Mila hari ini,” jelasku lebih terperinci. Harris senyum.

“Saya temankan awak makan,” pinta Harris.

“Atau...awak temankan saya makan. Boleh ke?” pelawa Harris. Dua ayat permintaan yang berbeza namun satu matlamat dan mahukan satu keputusan iaitu persetujuanku. Aku membuat pertimbangan sejenak. Jauh-jauh dia datang ke sini. Kasihan juga.

Please...,” Harris separuh merayu dengan wajah meminta belas kasihan.

“Okey...okey...,” Aku tergelak kecil. Tidak tega menolak pelawaan Harris. Dia terlalu baik untuk dikecewakan.

“Tapi ... kita makan tempat biasa saja ye,” ujarku memberi isyarat.

“Okey...no problem...,” Laju Harris menyahut.

“Jom...,” ajaknya.

Aku segera menyelinap masuk ke dalam kereta BMW yang sudah tersedia terkuak pintu. Tidak mahu membuang masa. Ada tugasan yang perlu diselesaikan sekembali ke desasiswa nanti. Kami singgah di Restoran Nasi Ayam Murni. Mahu memperkenalkan nasi ayam sedap kepada Harris.

“Saya dan Mila suka makan nasi ayam di sini,” jelasku.

“Mesti sedapkan,” teka Harris.

“Kuah cili ayam secukup rasa. Ayam dibakar sempurna malah ada ramuan tersendiri. Supnya pun boleh tahan,” ujarku mempromosi.

“Wow..., five star ni,” Harris teruja. Aku senyum.

“Nanti awak cuba ye...pastu bolehlah bagi feedback,” pintaku.

“Boleh...boleh...,” Harris senyum.

Tidak lama menunggu, gadis itu datang membawa senarai menu. Aku menilik menu. Kemudian memandang ke arah Harris yang turut menatap paparan menu di tangan.

“Kat sini ada pelbagai jenis nasi ayam. Awak nak makan yang mana?” tanyaku. Harris mengalih pandangan ke arahku.

“Awak pilih untuk saya,” pintanya.

“Betul?” tanyaku minta kepastian. Harris mengangguk.

“Apa yang awak order itu yang akan saya makan,” jelasnya tersenyum.

“Jangan menyesal tau,” ujarku memberi amaran jikalau citarasa kami berbeza. Aku memesan dua set nasi ayam lada hitam panggang dan dua gelas jus oren. Set nasi ayam bersama daun sawi dan hirisan buah tomato. Lengkaplah hidangan seimbang untuk makan tengah hari ini. Memandangkan aku makan bersama dengan doktor sekarang, maka pilihan menu mesti sihat.

“Ada apa-apa nak tambah lagi?” tanyaku.

Sorry... segelas air kosong suam ye,” pinta Harris menambah pesanan kepada gadis ini.

“Baik...encik...,” Gadis ini mencatat menu yang dipesan.

“Ada lagi?” tanyaku meminta kepastian sebelum gadis ini beredar. Harris geleng kepala.

"Okey...itu je ye...," ujarku memaklumkan kepada gadis ini.

“Sebentar lagi pesanan dihidang ye,” ujar gadis ini santun.

“Terima kasih...terima kasih,” hampir serentak aku dan Harris bersuara. Gadis itu berlalu.

“Awak mesti mengamalkan pemakanan yang sihat,” ujarku mengulas cara pemakanan Harris. Harris senyum.

“Saya boleh makan apa saja,” jelasnya.

“Betulkah ni,” tingkahku tidak percaya. Harris tergelak kecil.

“Saya memang banyak minum air kosong. Dah jadi habit,” jelas Harris memberi reaksi atas permintaannya sebentar tadi.

“Bagusnya awak...,” pujiku kagum.

“Sayapun boleh makan aiskrim tau,” tambah Harris masih mahu dinilai manusia fleksibel.

“Tapi tak selalukan...,” tekaku. Harris tersenyum. Tepat.

“Bila saya sedih... saya suka makan aiskrim sebagai sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh,” jelas Harris.

“Gula ialah korbohidrat ringkas,” tambah Harris berkongsi ilmu.

“Sayapun suka makan aiskrim tapi tak macam awak. Saya makan aiskrim bila-bila masa saja... tak payah nak tunggu masa sedih,” ujarku cuba berjenaka. Harris tergelak.

So interesting...,”

“Nak hidup santai-santai saja. Tak nak beratkan kepala fikir yang serius-serius,” ujarku mengambil pendekatan mudah. Harris tersenyum.

“Seronoklah hidup awak. Mesti awak ni cheerful teacher,” komen Harris.

“Hmm...tak pasti pula,” Aku dan Harris tergelak.

Tidak sempat menunggu lama, menu yang dipesan pun sampai. Aku mempersilakan Harris menikmati nasi ayam yang terhidang di atas meja. Sempat melafaz doa mensyukuri nikmat yang Allah anugerahkan hari ini.

“Macam mana? Sedap tak?” tanyaku setelah memberi peluang kepada Harris menghadam beberapa kali nasi ayam ini. Harris mengangguk sambil mengangkat ibu jari. Aku senyum. Alhamdulillah... pilihanku menepati citarasa Harris.

“Alhamdulillah...,” kedengaran lafaz syukur Harris setelah suapan terakhir memasuki kantung perut. Dia tersandar kekenyangan di kerusi. Kira-kira lima minit berlalu barulah dia menyedut jus oren di dalam gelas. Kemudian dihabiskan air kosong suam segelas sebagai penutup hidangan tengah hari ini.

“Kerja hari ini?” tanyaku.

“Shif malam nanti,” jelasnya.

“Aduh..., patutnya awak tidur sekarang...kumpul tenaga!” ujarku berasa bersalah. Harris senyum.

“Saya dah biasa...tak payah risau,” pinta Harris cuba membuang perasan bersalahku.

“Kalau tidur berkualiti, tiga jam pun dah cukup untuk berjaga sepanjang malam,” jelasnya.

“Lagipun tak setiap masa busy. Kalau takde kes-kes berat, bolehlah lelapkan mata sekejap,” tambah Harris. Aku mengangguk mengerti. Pasti juga ada rakan sekerja Harris yang bertugas shif bersamanya. Hospital terbaik pasti memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan kelengkapan yang dimiliki terbaik juga.

“Dah siap makan, marilah kita balik. Awak pun kerja malam. Sempat lagi menyambung tidur ni,” ujarku mempelawanya beredar.

“Baru cadang nak lepak-lepak sembang dengan awak,” tutur Harris tersenyum.

“Tak boleh lepak lama-lama kat sini. Nanti dihalau tauke,” ujarku berjenaka.

“Takpe...kita order menu minum petang pula,” cadangnya.

“Larat lagi ke doktor nak minum petang? Perut saya dah penuh ni,” usikku. Harris tergelak.

“Lain kali saja kita lepak sembang-sembang ye...,” ujarku.

“Okey..., kita jumpa lagi nanti. Awak dah janji tu,” tutur Harris mengunci kata-kataku. Aku senyum. Telajak kata tidak boleh diundur. Janji mesti dikota.

“InsyaAllah...,” Aku senyum.

“Saya akan tuntut janji awak,” ujar Harris memberi peringatan. Aku senyum lagi.

“Okey...,kita gerak sekarang,” ajakku bingkas bangkit dari kerusi. Harris bangun lalu ke kaunter menjelaskan bayaran menu hidangan tengah hari ini. Kemudian kami beriringan ke laman parkir. Beberapa minit kemudian BMW biru ini menyelusur jalan menuju ke destinasi.

“Kalau hujung minggu, awak tak ke mana-mana?” tanya Harris.

“Saya takde kampung, takde keluarga dan saudara-mara. Keluarga saya hanyalah warga Vila Tautan Kasih. Kalau saya bosan, saya akan habiskan hujung minggu saya di sana. Vila Tautan Kasih ialah kampung halaman saya,” ujarku bercerita. Aku senyum. Harris memandang sayu ke arahku.

“Saya terhutang budi pada Nek Som. Mati hidup semula pun saya tak mampu balas budinya pada saya,” ujarku bersungguh-sungguh. Teramat banyak jasa Nek Som padaku.

“Awak tak bersendirian di dunia ini. Awak ada nenek, ada keluarga besar di Vila Tautan Kasih,” ujar Harris menyuntik semangat. Aku mengangguk.

“Saya bersyukur kerana mereka sentiasa bersama saya,” tuturku terharu.

“Ya mereka dan saya akan sentiasa bersama awak,” tambah Harris. Kupandang Harris. Dia tersenyum.

“Saya nak jadi sebahagian daripada mereka. Jangan pernah rasa bersendirian di dunia ini. Ramai yang sayang dan ambil berat terhadap awak,” tutur Harris memberi peringatan.

Thanks...,” tuturku terharu. Sungguh bermakna kata-kata itu.

“Terima kasih pada awak sebab sudi jadi kawan saya,” tuturku berbesar hati.

“Saya juga ambil berat pada awak,” tambah Harris. Aku senyum. Dia baik hati persis Nek Som.

“Terima kasih...,” ujarku sekali lagi. Harris senyum.

“Kasih awak diterima,” sahut Harris mengusikku. Aku dan Harris tertawa. Ada bakat juga mengusikku. Harris menghantarku sampai ke perkarangan desasiswa. Seperti biasa kehadirannya sering menarik perhatian warga kampus yang lalu lalang. Sedikit buat aku tidak selesa. Bimbang gosip liar cepat tersebar.

“Terima kasih atas segala-galanya untuk hari ini. Kirim salam pada Nek Som nanti,” pesanku. Harris mengangguk.

“Oh..., ya...kirim salam juga pada Zekri,” tambahku.

“Ni yang buat saya jealous ni,” tutur Harris bergurau.

“Saya senang dengan keramahannya,” ujarku berterus terang.

“InsyaAllah...salam awak akan disampaikan,” janji Harris.

“Hati-hati pandu ye,” pesanku lantas menolak daun pintu.

“Tunggu sekejap...,” suara Harris menahan gerakan kakiku. Kaki kiriku sudah memijak batu-batu kecil perkarangan desasiswa. Sebelah kanan masih di dalam kereta ini. Tidak sempat bangkit dari kerusi penumpang. Harris berpaling ke belakang lantas mencapai sesuatu.

“Untuk awak...,” Aku tersentak. Kupandang Harris. Sejambak bunga ros merah segar di tangan Harris.

“Untuk saya? Betul ke?” tanyaku meminta kepastian. Tidak yakin kalau aku menjadi penerimannya. Harris mengangguk.

“Sebagai tanda minta maaf sebab tempoh hari pasti awak tak selesa,” ujarnya mengungkit kejadian di restoran. Pertemuaan dengan Sarah sedikit menimbulkan kesangsianku.

“Saya okey saja, Mila pun okey juga,” ujarku mewakili Mila. Tidak perlu Harris menyalahkan diri. Tiada apa-apa yang berlaku pun.

“Ambillah... Awak tak sudi?” tanyanya. Aku serba salah.

“Takde orang marah ke nanti kalau awak beri saya bunga yang cantik ini?” tanyaku serius. Harris tergelak. Dia menggeleng kepala.

“Saya yang patut risau kalau ada yang marah saya beri awak bunga,” tutur Harris memulangkan kata-kataku. Aku senyum. Lantas kusambut bunga ros merah yang dihulurkan kepadaku. Harum semerbak menyapa rongga hidungku.

“Terima kasih,” tuturku lalu keluar dari kereta BMW ini.

“Ingat janji awak,” Harris serius menagih janjiku. Aku senyum.

“Pandu hati-hati ye...,” pesanku sekali lagi.

“Assalamualaikum... Bye...,” Sempat berbalas lambaian tangan dengan Harris tatkala BMW biru itu bergerak perlahan meninggalkan perkarangan desasiswa. Aku bergerak pantas mendaki anak tangga agar cepat sampai ke bilik. Cuba menyembunyikan sejambak bunga ros ini dari pandangan mata penghuni desasiswa. Tidak tega menerima pelbagai tafsiran.

“Assalamualaikum...,” sapaku sambil menolak perlahan daun pintu bilik. Yakin Mila berada di bilik sekarang memandangkan sepatunya ada di depan pintu. Mila yang sedang bersenang lenang berbaring di atas katil bingkas bangun.

“Wow..., awak dapat bungalah,” tutur Mila teruja.

“Dari siapa? Adib ke?” bertalu-talu pertanyaan Mila.

“Nah.., ini bunga kita bersama,” tuturku seraya menyerahkan sejambak bunga ros merah ini kepada Mila. Laju tangan Mila menyambut lalu mencium wangian harumannya.

“Wah..., wangilah,” Haruman bunga ros menusuk hidung.

“Mana awak dapat bunga ros ni?” tanya Mila. Aku belum memaklumkan gerangan pengirimnya pada Mila.

“Harris beri tanda minta maaf sebab kejadian tempoh hari. Dia rasa bersalah kalau buat kita tak selesa. Tadi saya keluar makan dengan dia,” jelasku terperinci.

“Wah..., ada harapan ni!” tutur Mila teruja.

“Harapan apa pula?” Berkerut dahiku menatap Mila. Mila tergelak kecil sambil terus menghidu wangian bunga ros itu.

“Jambangan bunga ros segar ini untuk awak,” tuturnya lalu menghulurkan kembali bunga ros ini kepadaku.

“Kongsi. Nanti awak letaklah mana-mana,” arahku tidak mahu menyambut jambangan bunga ros merah ini. Lantas Mila bangun lalu membuka almari pakaian. Sebiji balang kaca dikeluarkan. Dibuka penutup balang. Sejambak bunga ros merah itu diletakkan di dalam balang kaca itu. Dicapai air kosong di dalam botol lalu dituangkan ke dalam balang kaca. Jambangan bunga ros merah bersama balang kaca berisi air diletakkan di sudut tepi meja tulisku. Mila memerhatikan bunga ros merah itu dengan senyuman.

“Sempurna diletak di sini,” ujarnya berbicara sendiri. Aku turut memandang ke arah bunga ros merah itu. Kreatif Mila. Meja tulisku sudah dihias.

“Apa perasaan awak sekarang?” tanya Mila sambil menatapku. Berkerut dahiku. Tiba-tiba sahaja anak gadis ini mengutarakan soalan sedemikian.

“Takde rasa apa-apa. Macam biasa saja,” jelasku jujur.

“Harris cuba ketuk pintu hati awak,” tutur Mila. Aku tergelak. Mudah sungguh dia buat kesimpulan.

“Jangan cakap yang bukan-bukanlah,” tegahku.

“Tak mudah lelaki beri jambangan bunga kalau takde apa-apa maksud,” tutur Mila persis pakar membuat ramalan.

“Kan dah cakap tadi tanda dia minta maaf pada kita,” ulangku mematahkan hujah imaginasi Mila. Mila masih geleng-geleng kepala. Tidak setuju dengan bicaraku.

“Harris suka awak,” jelas Mila.

“Jangan mengarutlah,” bidasku.

“Betul... Harris suka awak. Dia nak pikat awak,” tegas Mila tanpa berselindung. Aku tergelak. Mila memang suka berfikir di luar kotak. Daya imaginasinya terlalu tinggi. Tidak terjangkau dek akalku.

“Awak jangan lupa gadis yang kita jumpa di restoran tempoh hari,” jelasku meminta Mila mengingati perkara itu.

“Sarah?” Mila menyebut nama itu. Aku mengangguk.

“Ya...Sarah,” ulangku menyebut nama itu. Senyap. Sejenak Mila berfikir.

“Mungkin Sarah cinta pertama Harris,” Mila mencipta andaian sendiri.

“Apapun yang berlaku antara mereka, nampak gadis itu belum mahu melepaskan Harris,” Kali ini giliranku pula berandaian. Mila berfikir lagi. Dia mengeluh kecil. Tidak menemui jawapan pasti.

“Apa kata awak tanya Harris tentang gadis itu,” cadang Mila tidak masuk akal.

“Tak mahu saya menyibuk hal peribadi Harris,” tegasku.

“Untuk kepastian awak,” cadang Mila.

“Tak nak. Kisah cinta Harris takde kena mengena dengan saya,” tegasku serius.

“Dia suka awak,” Mila mengulangi kenyataan tadi.

“Hey..., janganlah cakap yang bukan-bukan,” rungutku tidak senang.

“Sarah ada Mr. Light,” jelas Mila. Rayyan bersama gadis itu tempoh hari. Dialah yang cuba menenangkan Sarah lalu membawa gadis itu beredar dari situ. Rayyan...masih ada sisa perasaan kurang senangku terhadap pemuda itu.

“Saya benar-benar yakin Harris nak pikat awak,” tegas Mila. Suara Mila kubiarkan di awangan. Malas mahu berhujah tentang perkara yang tidak pasti. Kubaringkan tubuh di katil. Mahu merehatkan diri. Kupejamkan mata. Cuba melelapkan mata sekejap. Tidak berhasil. Kuangkat kelopak mata. Terpandang sejambak bunga ros segar di dalam balang kaca di tepi sudut meja tulisku. Jambangan bunga pertama yang kuterima dari kaum Adam. Harum wangian mawar yang berlegar-legar di ruangan bilik kecil ini sungguh menyenangkan. Hati damai.

 

 

No comments:

Post a Comment