Di sebalik kaca mata itu, dia melontar pandangan ke hadapan. Statik matanya terikat pada wajah gadis itu. Cukup menyenangkan halwa telinganya mendengar suara merdu itu mengalun lagu ‘Ratuku’ yang ditujukan buat wanita kesayangannya. Bukan mudah hendak mendendangkan lagu Dato Awie itu. Tidak diduga gadis itu memiliki suara yang begitu menyenangkan halwa telinganya.
Pada akhir persembahan itu, gadis itu melangkah mendekati wanita kesayangannya. Mereka berpimpinan tangan melangkah ke hadapan. Berbalas kucupan dan saling berpelukan mesra persis tingkahlaku si ibu dengan si anak gadis. Mesra. Terbit sedikit perasaan cemburu menyaksikan keakraban itu. Kemudian kedengaran tepukan gamat warga Vila Titian Kasih. Persembahan yang hebat. Ada tepukan tangan yang lebih kuat dari arah belakang. Dia berpaling ke belakang.
“Hebat Cikgu Cahaya...!” laung suara pemuda itu menghantar pujian. Zekri menunjukkan dua ibu jari tanda menyukai persembahan gadis itu.
“Dijemput Encik Harris, Encik Zekri dan Encik Rayyan datang ke hadapan menemani bonda memotong kek hari jadi,” suara Kak Tinah berkumandang. Harris dan Zekri tersenyum lebar melangkah ke hadapan. Aku melontar pandangan ke arah teruna sepi Nek Som. Rayyan masih duduk di kerusi itu. Menyembunyikan pandangan matanya di sebalik kaca mata hitam itu.
Kalaulah dia menolak tidak mahu menyertai acara majlis ini, pasti Nek Som akan bersedih. Aku tidak tega melihat Nek Som bersedih. Aku sudah bersiap sedia berhajat hendak melangkah ke arahnya. Lantas memaksa Rayyan bangkit dari kerusi itu. Kalau dia berdegil aku akan menarik tangan Rayyan membawanya ke hadapan. Kalau dia masih berdegil, tenaga Harris dan Zekri akan kugunakan mengangkat tubuhnya. Apa cara sekalipun, Rayyan mesti berada di depan ini bersama Nek Som. Perlahan-lahan Rayyan bangkit dari kerusi. Dia melangkah ke hadapan. Aku menarik nafas lega. Tidak perlu bersusah payah mengajak Rayyan berada di depan ini walaupun lambat bertindak. Mujur saat ini dia masih memiliki pertimbangan emosi yang baik. Tidak pentingkan kemahuan sendiri.
“Awak berdiri di sini,” arahku sambil memberi ruang kepada Rayyan berdiri di sebelah Nek Som. Biarlah tiga orang jejaka ini dekat dengan Nek Som.
“Cahaya...berdiri di sebelah Rayyan,” pinta Nek Som mematikan langkahku. Baru berhajat memberi ruang untuk Nek Som bersama jejaka-jejaka yang dikasihinya.
“Kita ambil gambar bersama,” ajak Nek Som yang tidak mampu kutolak.
“Gambar keluarga kesayangan saya,” tambah Nek Som buat aku terharu.
“Ya...Cahaya,” sokong Kak Tinah. Acha dan Kak Ros turut bersetuju dengan menghantar bahasa isyarat agar aku terus bertahan di situ.
“Lepas ini kami ambil gambar bersama bonda,” jelas Kak Tinah mengerti hajat hatiku. Aku tiada pilihan. Mahu tidak mahu terus terpacak di depan ini. Rayyan berganjak sedikit. Persis memberi ruang untukku mendekatkan diri. Tiada mahu wujud jarak yang ketara agar gambar yang dirakam nampak sempurna dan cantik.
“Cahaya... dekat sedikit dengan Encik Rayyan,” arah Kak Ros yang sudah bersedia merakam gambar. Dengan berat hati aku mendekatkan diri berdiri di sebelah Rayyan. Tidak berani memandang Rayyan. Pasti dia tidak suka aku berada di sebelahnya tika ini. Sempat juga bertukar senyuman dengan Harris yang melontar pandangan ke arahku.
“Senyum...1...2...3...,” Cahaya lensa kamera telefon pintar Kak Ros menyala. Acha dan Kak Tinah turut merakam gambar beberapa kali. Usai sesi bergambar slot pertama, kini giliran Nek Som merakam gambar kenangan bersamaku dengan Kak Tinah, Kak Ros dan Acha. Zekri masih tidak berganjak berdiri di posisi tadi. Harris pula sudah mengambil posisi yang ditinggalkan oleh Rayyan. Kini dia berdiri di sebelahku. Masih mahu merakam gambar kenangan bersama kami.
Berbeza dengan Rayyan. Cukup beberapa keping gambarnya bersama Nek Som tadi, dia terus membawa diri keluar. Mungkin tidak selesa dikelilingi ramai orang. Sukar hendak bernafas. Kini giliran warga Vila Titian Kasih merakam gambar bersama Nek Som. Zekri dan Harris masih tetap setia di sisi Nek Som. Langsung tidak mahu berganjak. Gembira dan selesa bersama warga Vila Titian Kasih. Sungguh menyenangkan hati.
“Awak sempurna menjadi penyanyi,” puji Harris. Aku tergelak kecil. Sanjungan itu terlalu tinggi untuk diterima.
“Setuju. Saya boleh minta Rayyan jadikan awak penyanyi,” tambah Zekri. Aku tergelak lagi. Cadangan yang tidak masuk akal.
“Saya tak minat nak jadi penyanyi. Saya hanya minat jadi cikgu di sekolah,” jelasku jujur.
“Ceburi bidang nyanyian sebagai
sumber pendapatan sampingan. Agak lumayan juga kalau lagu meletop,” tambah
Zekri cuba mempengaruhiku. Aku menggeleng kepala. Tidak sesekali akan mengkomersialkan suaraku di persada seni.
“Rayyan boleh buat orang jadi penyanyi?” tanyaku. Rayyan komposer lagu? Atau Rayyan ada syarikat rakaman sendiri?
“Awak tak tahu ke Rayyan menceburkan diri dalam bidang glamour. Dia ramai kenalan orang yang berpengaruh dalam industri hiburan ini. Agensi peragaan yang diuruskan oleh Rayyan salah satu yang terbaik di negara kita. Dia dikelilingi ramai model cantik-cantik,” jelas Zekri bercerita tentang pemuda sepi itu.
“Mesti awak sukar nak percayakan. Orang yang berperwatakan seperti Rayyan boleh terlibat dalam dunia glamour macam tu,” teka Zekri tersengih.
“Memang di luar dugaan pemuda sepi boleh menceburkan diri dengan dunia yang rancak dengan gosip, hidup tak tenteram dan hati tak tenang,” ujarku meluahkan pendapat.
“Pemuda sepi?” Berkerut dahi Zekri. Kemudian dia tergelak kuat. Tercuit mendengar gelaran yang kuberikan buat sepupunya itu.
“Apa....pemuda sepi...!,” Serentak kami berpaling. Rayyan sedang tercengat di belakang Zekri sedang menatapku. Serius. Aku tersengih sambil garu-garu kepala yang tidak gatal.
“Cahaya...hanya bergurau,” ujar Harris cuba melindungiku. Zekri tersengih panjang.
“Tak payah ambil serius sangat,” tambah Harris.
“Sorry... kalau awak tersinggung,” pintaku memohon maaf. Menyesal melukai hati Rayyan. Orang pendiam memang sensitif.
“Ya...saya memang pemuda sepi. Awak boleh jadi penghibur hati saya?” sinis suara Rayyan di pendengaranku. Senyuman tidak ikhlas dilempar kepadaku.
“Rayyan...,” tegur Harris kurang senang. Kedengaran keluhan Harris.
“Tak payahlah serius macam ni,” pujuk Zekri yang mula terasa ketegangan saat ini.
“Saya minta maaf Encik Rayyan. Saya janji selepas ini saya akan lebih berhati-hati bila bercakap,” janjiku.
“Awak belum jawab pertanyaan saya. Saya boleh bayar berapa saja kalau awak berjaya hiburkan saya,” ujar Rayyan. Serius memandangku.
“Cukup Rayyan...,” Wajah Harris tegang.
“Guys...ini majlis hari jadi nenek. Janganlah buat drama di sini,” pinta Zekri cuba menghalang perbalahah serius terjadi.
“Saya tak perlukan duit awak,” tegasku menatap Rayyan. Senyap.
“Okey... saya minta maaf. Silap saya...,” ulangku kesal. Aku menarik nafas.
“Perlukah awak hina saya sampai ke tahap itu?” Kupandang Rayyan. Mulutnya terkunci.
“Cahaya...,” lembut suara Harris memanggilku. Cuba mendamaikan perasaanku.
“Saya minta diri dulu,” pintaku bingkas bangkit dari kerusi. Cara yang paling selamat segera beredar agar kemarahan Rayyan boleh padam perlahan-lahan tatkala tidak terpandang wajahku kerana aku punca amarahnya. Aku tidak mahu mereka bergaduh dalam majlis yang bermakna ini. Jikalau Rayyan dan Harris bertelagah sekarang pasti mengundang sedih Nek Som.
“Awak nak ke mana? Awak belum habis makan lagi,” tutur Harris cuba menghalang kepergianku.
“Takpe...saya dah kenyang. Teruskan menikmati hidangan. Tak payah risaukan saya. Saya pergi dulu,” ujarku meminta diri mahu pergi. Aku terus menemui Nek Som memaklumkan tentang kepulanganku. Cuba memberi alasan bahawa aku kurang sihat dan teksi sudah menungguku di luar sana. Alasan menolak cadangan Nek Som agar salah seorang jejaka tadi menghantar aku balik ke desasiswa.
“Awak puas hati sekarang,” tegang suara Harris.
“Sekalipun awak ada masalah dengan saya, tak payahlah awak nak melepaskan rasa tak puas hati awak pada Cahaya,” tegas Harris lantas bangkit dari kerusi itu.
Dia melangkah laju ke muka pintu. Cuba mengejar gadis itu. Dia hanya sempat menatap sekilas teksi yang membawa gadis itu pergi. Harris mendengus kecewa.
“Awak tak patut layan Cahaya macam tu. Dia terlalu baik untuk disakiti. Kasihan dia,” tutur Zekri perlahan. Rayyan melepaskan keluhan. Dicengkam tangannya pada kerusi itu. Dia diserbu seribu perasaan.
“Dia macam awak juga... takde ibu... takde ayah. Tapi tak bertuah macam awak sebab masih ada keluarga. Dia takde sesiapa,” tambah Zekri mahu Rayyan melayan gadis itu lebih baik pada masa akan datang.
Zekri bangkit dari kerusi. Sempat menepuk-nepuk bahu Rayyan sebelum meninggalkan pemuda itu bersendirian di situ. Diam panjang Rayyan dipintas oleh deringan iPhone. Pandangannya menatap sebaris nama pada skrin. Laju jarinya menekan punat panggilan diterima. Kedengaran alunan tangisan.
“Awak di mana sekarang?” tanyanya cemas sambil bergerak ke muka pintu.
“Tunggu di situ. Sekejap lagi saya datang,” arahnya. Rayyan terus berlari ke laman parkir. Kereta lamborghini yang dipandu meluncur laju di dada jalan. Mahu segera sampai ke destinasi yang dituju.
“Awak mesti bertahan...!” jeritnya sekuat hati melempiaskan tekanan yang membebani dirinya saat ini. Tidak mahu gadis itu terus tewas.
**********************
Aku menggeliat beberapa kali. Terasa malas hendak bangkit dari katil ini. Namun mengingati kewajipanku terhadap Allah bingkas aku bangkit. Perlahan-lahan aku memusing tembol pintu. Tidak mahu mengganggu lena Mila yang sedang mengangkat bendera Jepun. Cuti tujuh hari dari mengerjakan solat. Usai solat subuh, aku kembali berbaring di katil. Mahu bermalas-malasan hujung minggu ini. Kucapai iPhone. Ada sepuluh panggilan tidak berjawab. Semua panggilan daripada Harris.
~Sorry... saya tidur awal semalam~ Kutekan punat pesanan dihantar. Kuletak iPhone di tepi. Hajat mahu menyambung kembali tidurku. Belum cukup bertenaga hendak melakukan rutin hari ini. Namun mengingatkan banyak kerja yang perlu dilakukan di Vila Tautan Kasih bingkas aku bangun.
“Minta maaflah, semalam terpaksa balik awal. Tak sempat tolong kemas-kemas,” luahku kesal tatakala menjengah diri ke Vila Tautan Kasih. Kak Tinah tersenyum.
“Tak banyak pun nak kena buat sebab kita ramai. Bila semua bergabung
tenaga cepat saja selesai,” jelas Kak Tinah. Tatkala berpadu tenaga, kerja yang berat menjadi ringan.
“Yelah... dua orang teruna anak bonda pun ringan tulang menolong. Semua kerusi meja disusun atur rapi seperti biasa. Sekejap saja mereka buat,” jelas Kak Ros berkongsi cerita semalam. Dua orang teruna Nek Som? Semalam ada tiga orang teruna Nek Som yang berada di sini. Ke mana seorang lagi pergi? Pasti Rayyan. Mesti dia tersinggung kerana kelancangan mulutku.
“Yang seorang lagi bergegas pergi. Macam ada kecemasan je,” tambah Kak Ros.
“Okey juga dia cepat pergi semalam. Kurang juga kekok,” luah Kak Ros tanpa berselindung.
“Kenapa pula Kak Ros?” laju Acha bertanya. Hairan Kak Ros berperasaan sedemikian.
“Pendiam dan serius sungguh,” komen Kak Ros.
“Banding dengan yang dua orang lagi tu. Taklah kita janggal nak bergurau senda,” tambah Kak Ros melempiaskan isi hati. Aku senyum.
“Tak payah susah-susah nak control diri,” tambah Kak Ros buat kami tergelak.
“Kamu ni Ros...macam-macam saja,” Kak Tinah geleng-geleng kepala.
“Kak Ros buatlah macam biasa. Dia suka ke, tak suka ke peduli apa. Yang penting kita bahagia,” selorohku mengambil pendekatan mudah. Sekali lagi kami sama-sama tergelak.
“Apapun...dialah yang paling handsome semalam. Lebih handsome lagi bila dia senyum,” puji Kak Ros melenyapkan terus perasaan tidak selesa terhadap pemuda itu. Rayyan senyum? Aku tidak nampak dia tersenyum semalam. Langsung tidak pernah melihat dia tersenyum ikhlas. Dia lebih selesa menyembunyikan pandangannya di sebalik kaca mata hitam. Siang dan malam sama sahaja. Agaknya matanya juling. Itu yang mahu disembunyikan. Aku tersenyum sendiri. Lancang mulut ini mengata dia. Tidak pernah serik. Kutukku buat diri sendiri.
“Betul...betul...betul...!” sokong Acha bersemangat. Kak Tinah senyum.
“Awak tak tengok lagi gambar semalamkan. Tak sempat nak hantar di malam,” ujar Kak Ros. Aku mengangguk. Langsung tidak ingat tentang gambar semalam. Tambahan sedikit ketegangan terjadi malam tadi. Pasti yang lain tidak mengetahui. Cerita semalam akan tersimpul rapi menjadi rahsia. Aku berharap juga Harris dan Zekri mahupun Rayyan tidak akan mengungkit perkara itu lagi. Jauh sekali berkongsi cerita itu dengan Nek Som. Tidak mahu Nek Som bersedih. Namun kalau Rayyan masih menyimpan marah terhadapku, aku tidak menghalang. Itu haknya. Malah hendak menghukum atas kelancangan mulutku pun aku sudah bersedia. Aku terima amarah dan hukuman Rayyan tanpa bantahan. Sebab mulut badan binasa. Telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya. Pengajaran bernilai buatku. Aku yang buat salah, maka aku wajib bertanggungjawab.
“Cuba kamu tengok ni...,” Kak Ros meletakkan iPhone di tanganku. Gambar semalam sudah terpapar di dada skrin. Pertama kali pandangan mataku terarah ke wajahku. Aku puas hati. Kak Ros memang berbakat mengambil gambar yang cantik. Kemudian mataku beralih kepada pemuda di sebelahku. Sepasang anak mata mengecil dengan senyuman yang menawan. Tidak sedar bila dia menanggalkan kaca mata hitam itu. Diam-diam aku mengakui kebenaran pujian Kak Ros dan Acha sebentar tadi. Sahih dia memang memiliki senyuman yang manis.
“Hoi..., dah terpikat ke dengan Rayyan!” usikan Kak Ros menyentakkanku.
“Tak berkelip kamu tengok pemuda tu,” usik Kak Ros lagi.
“Takdelah... Saya tengok Nek Som,” tingkahku melindungi diri. Kak Ros dah Acha ketawa. Bukan mudah membuatkan mereka menerima alasanku itu. Mereka tidak akan percaya.
“Betul...,” ujarku bersungguh-sungguh. Segan. Cepat kukembalikan iPhone ini kepada tuannya. Tidak mahu perhati lama-lama nanti lain pula anggapan mereka.
“Kamu dah habis tengok ke? Banyak lagi gambar yang lain tu,” ujar Kak Ros hairan.
“Nanti Kak Ros send kat saya,” pintaku.
“Okey... boleh direnung malam-malam sebelum tidur,” tambah Kak Ros menyakatku. Aku mencebik. Kak Ros dan Acha tergelak. Terhibur dapat menyakatku.
“Kalau Cahaya berkenan salah seorang dari teruna dalam gambar tu okey juga,” Kali ini Kak Tinah pula mengusikku.
“Amin...,” serentak Kak Ros dan Acha mendoakan. Aku mempamer wajah
bersahaja. Tidak mahu cepat melatah dengan usikan mereka. Semakin aku menafikan
semakin rancak mereka menyakat. Sudah menjadi hobi mereka. Biarlah. Mungkin ini
cara mereka meriangkan hati. Aku pun tidak pernah ambil hati. Pahala gembirakan hati orang lain.
“Assalamualaikum...,” Serentak kami berpaling ke muka pintu. Harris tersenyum.
“Panjang umur kamu, baru saja disebut dah muncul di depan pintu,” ujar Kak Tinah. Terkebil-kebil mata Harris mendengar bicara Kak Tinah.
“Ada yang sebut nama saya? Seronoknya saya...,” selorah Harris buat kami tergelak. Harris yang sentiasa menyenangkan hati orang lain.
“Cerita apa ye...,” tanyanya cuba menyiasat perihal dirinya yang sedang diperkatakan.
“Tak payah risau... semua baik-baik tentang kamu,” tambah Kak Tinah mengusik. Harris tergelak.
“Alhamdulillah... Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya berbesar hati. Masih tersenyum. Memang murah dengan senyuman pun.
"Antara yang ada kat sini, kasih tu nak beri kat sapa?" soal Kak Ros mengusik Harris sambil menjeling ke arahku. Aku turut tempias usikan Kak Ros. Kak Tinah dan Acha serentak mengarah pandangan kepadaku. Aku pura-pura tidak mengerti.
"Siapa saja yang sudi terima," balas Harris tenang dan tidak melatah diusik. Kami tergelak.
“Saya datang ni ada hajat,” tutur Harris memaklumkan kemunculannya yang tidak diduga itu. Semua menatap Harris. Tidak sabar mahu mendengar hajat pemuda ini.
“Boleh saya pinjam Cahaya kejap?” ujarnya di luar dugaanku.
“Aaa...,” Kak Tinah ternganga. Kemudian kedengaran gelak kami berpadu.
“Kecil tapak tangan, laut China Selatan kami tadahkan,” tutur Kak Tinah.
“Boleh...boleh...boleh... dipersilakan...,” tambah Kak Tinah berlagak persis seorang ibu.
“Apa lagi...pergilah...,” arah Kak Ros meminta aku bangkit dari kerusi ini. Harris menatapku sambil mengangguk memberi isyarat.
“Saya pergi kejap... nanti datang balik,” ujarku berjanji.
“”Lama-lamapun takpe. Pergilah...,” sahut Kak Ros mengusik. Acha dan Kak Tinah tersenyum. Aku bangun lalu melangkah mendekati Harris.
“Jom... kita duduk kat luar,” ajaknya.
“Hati-hati bawa anak dara orang...jangan sampai buah nyiur jatuh atas kepala,” pesan Kak Ros buat aku dan Harris tergelak.
“Ada-ada saja Kak Ros ni,” ujarku sambil mengiringi langkah Harris. Kami duduk di bangku menghadap pantai. Desiran angin yang menyegarkan. Ombak lembut memukul gigian pantai mengalun irama semula jadi yang mengasyikkan. Suasana yang sungguh mendamaikan tatkala senja hampir melabuhkan diri.
“Macam mana awak boleh tahu saya ada di sini?” tanyaku hairan.
“Saya call awak tapi tak dapat. Saya cari awak kat desasiswa tapi tak jumpa. Mujur dapat jumpa Mila tadi. Dia yang beritahu awak ada di sini,” lengkap penjelasan Harris.
“Bersungguh-sungguh awak menjejaki saya,” Aku senyum.
“Sejak semalam saya tak tenang. Asyik fikirkan awak saja,” jelas Harris.
“Ya...ke?” Aku tergelak.
“Serius...,” tegas Harris.
“Tak payahlah risau. Saya okey saja,” ujarku sambil mempamer senyuman lebar.
“Tak patut Rayyan layan awak macam tu,” keluh Harris tidak puas hati.
“Saya okeylah...,” tegasku cuba menyakinkan Harris.
“Memang salah saya pun...suka hati cakap,” ujarku mengakui kesilapan sendiri.
“Rayyan memang sentiasa dingin macam tu. Awak tak payah ambil hati ye,” pujuk Harris. Aku senyum dan mengangguk.
“Walaupun macam tu...tapi hati dia baik. Kalau awak lebih mengenali dia, awak akan nampak banyak kebaikan Rayyan,” tutur Harris sedikitpun tidak mahu memburukkan pemuda itu. Kupandang Harris. Aku senyum.
“Sungguh mulia hati awak,” pujiku.
“Aaa...,”
“Saya suka sikap awak,” tuturku berterus terang.
“Rayyan lebih suka mendiamkan diri. Jarang dia emosional seperti malam tadi. Apatah lagi berniat nak sakiti hati orang lain. Mungkin ada perkara yang mengganggu emosinya semalam. Selalu tak sensitif macam tu,” ujar Harris masih mahu membicarakan perihal pemuda itu. Aku senyum. Sungguh beruntung Rayyan memiliki sepupu persis Harris. Seorang yang sentiasa mengambil berat terhadap ahli keluarganya.
“Awak maafkan Rayyan ye...,” pintanya lembut. Aku mengangguk.
“Dia tak buat salahpun. Saya yang patut minta maaf pada Rayyan,” balasku jujur. Dalam hal ini aku yang bersalah. Perasaan Rayyan tercalar berpunca daripada kelancangan mulutku.
“Bertuah Rayyan ada awak,” ujarku tersentuh dengan kemurniaan hati Harris. Harris senyum.
“Tak payahlah awak risau ye. Kejadian semalam langsung tak menghancurkan keceriaan hidup saya,” ujarku berseloroh buat Harris tergelak. Dia senyum lagi menampakkan barisan gigi yang rata. Nampak pula senyuman CR7. Baru sedar ada iras-iras hero bola sepak dunia itu. Mungkin darah Latin yang mengalir di tubuh Harris menyebabkan tempias kekacakan CR7 menjangkit padanya.
“Saya baru nampak bayangan CR7 ada pada awak. Hati awak semulia hati CR7. Amat mengasihi keluarganya dan mengasihi orang yang tertindas,” tuturku mengubah topik perbualan. Tidak mahu suasana senja nan indah yang damai ini tegang. Harris senyum.
“Pernah tak orang cakap awak seiras CR7?” tanyaku. Harris hanya senyum. Jelas ini bukan kali pertama dia mendengar ungkapan itu.
“Saya lebih suka kalau orang kata saya seiras Zul Ariffin. Hero Melaya yang menggetarkan jiwa gadis Melayu,” tutur Harris berseloroh. Aku tergelak. Tidak sangka bicara Harris sedemikian.
“Awak jealous sebab dia abang sado,”
ujarku mengusik Harris sekali gus menambah gelak Harris. Pasti ramai lelaki di Malaysia iri hati pada aktor kacak itu.
“Siapa saja awak nak jadi, saya tak kisah. Yang penting awak tetap jadi
pemuda yang baik hati macam sekarang,” tuturku. Harris mempamer senyuman manis. Suka mendengar bicara itu.
“Jom masuk...dah nak Maghrib ni,” ajakku membawa Harris beredar.
“Awak tidur di sini?” tanya Harris. Aku menggeleng.
“Awak cuti?” Giliran Harris pula geleng kepala.
“Kerja malam nanti,” jelasnya.
“Oh..., kasihan awak...,” ujarku tidak senang hati. Harris mengorbankan masa rehat datang ke sini semata-mata mahu memastikan aku dalam keadaan yang baik.
“Lepas solat Maghrib nanti kita balik sama-sama,” ajaknya. Aku mengangguk dan tersenyum. Pemuda ini sentiasa menyenangkan hati orang yang berada di sekelilingnya. Beruntung Nek Som dianugerahi pemuda yang mulia hatinya. Bertuah aku kerana mengenali Harris Qarizh. Sinonim terpuji. Seindah nama semulia hatinya.