Wednesday, 11 October 2017

NamaKu Bukan Flora....97



BAB 97


Di taman tema ini, aku melontar laungan jeritan kuat tatkala menaiki kereta api udara yang laju ini. Tiada sempat berfikir selain menjerit sepanjang perjalanan yang pantas ini. Sungguh mencabar dan menguji keberanianku. Sedikit meredakan kegelisahan ini. Haqem tertawa panjang. Nampak sungguh ceria pada hari ini. Idlan apatah lagi memang berlebih-lebih manja. Sentiasa minta dilayan. Lagak bermanja dengan ibu bapanya buat aku sayu. Lama juga aku memerhatikan gelagat Idlan. Hari ini aku akan menghabiskan masa seharian bersama Idlan dan Haqem. Selepas ini akan mengambil masa lama hendak bertemu lagi. Itupun jika masih ada kesempatan dan keizinan Aqel.
“Selepas ini nak pergi mana?” tanya Idlan teruja. Kupandang Haqem. Haqem tersenyum.
“Nak beli buku. Apa kata kita pergi kedai buku tempoh hari,” cadang Idlan menjawab pertanyaan sendiri. Aku tersenyum. Kuat daya ingatan Idlan malah hobinya langsung tidak berubah. Dia masih jadi ulat buku persis Aqel. Memang sesuai mereka menjadi anak-beranak. Kedua-dua sangat menyukai buku. Bukulah peneman masa senggang mereka. Kalaulah Aqel dan Idlan tinggal sebumbung pasti tiada temanku berbual di rumah.
“Kedai yang mana?” tanya Haqem. Dahinya berkerut. Seingatnya tidak pernah mereka pergi  ke kedai buku sebelum ini. Dia dan Idlan tidak pernah berkongsi minat.
“Pergi dengan Uncle Aqel,” jelas Idlan berkongsi cerita sekali gus menjawab kemusykilan Haqem. Haqem berpaling menatapku memohon penjelasan. Aku mengangguk. Menyokong bicara Idlan. Mana mungkin aku melupakan hari tersebut tatkala aku rasa dipinggirkan. Aku tersenyum sendiri. Firasatku Aqel bakal menjadi ayah yang baik.
“Marilah pergi...,” ajak Idlan sambil menarik tanganku. Aku menurut sahaja langkah Idlan. Haqem hanya geleng kepala. Masuk sahaja ke premis buku ini, Idlan terus membawa diri menjelajahi sudut-sudut kegemarannya. Dia sudah mengetahui sudut yang perlu dikunjungi kerana dia telah menghabiskan masa bersama Aqel berjam-jam di sini. Aku mencapai buku berkaitan perniagaan lantas duduk di kerusi. Sementara menunggu Idlan meneroka lautan ilmu di sini bolehlah aku mengisi masa terluang dengan membaca buku ini. Lima minit kemudian, Haqem datang menyertaiku. Dia melabuhkan duduk di kerusi di sebelahku. Sempat aku dan Haqem bertukar senyum sebelum menyambung pembacaanku semula. Haqem menatap buku di tanganku. Kemudian mengalih pandangan ke arahku.
“Maaf...,” Haqem bersuara.
“Huh...,” Aku kurang jelas dengan permohonan maaf yang keluar dari mulut Haqem.
“Saya minta maaf kerana sejak awak mengenali saya banyak masalah yang menimpa awak selama ini. Sungguh saya kesal sebab saya tak mampu menghalang segala tindakan mama dan tak mampu melindungi awak,” Haqem melepaskan keluhan kecil. Wajah muram.
 “Maaf... sebab saya... awak tak berjaya menghabiskan study. Kalau awak tak pernah mengenali saya dah pasti awak ada ijazah sekarang,” tambah Haqem kesal. Wajahnya mendung. Aku melepaskan keluhan. Tidak mahu jikalau Haqem terus menghukum diri. Semua ini bukan salah Haqem. Aku yang tidak cukup kuat menghadapi dugaan. Begitu mudah tewas pada kata hati. Akhirnya kuliahku terabai.
“Bukan salah awak. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah,” ujarku yakin. Reda pada qada dan qadar yang Allah tentukan. Perkara yang berlaku pasti ada sebab tersendiri.
“Hikmah?” Haqem menatapku. Aku mengangguk. Yakin.
“Perpisahan kita memberi awak peluang mengenali Aqel,” jelas Haqem. Kupandang Haqem. Dia tersenyum tawar. Barangkali itulah hikmah yang terlintas dalam benak Haqem sekarang.
“Saya banyak kali berfikir. Kalaulah awak berjaya menghabiskan study awak ketika itu pasti awak takkan datang ke KDUT. Awak takkan jumpa Aqel dan menjadi isterinya. Saya sedih sebab mama... awak tak berjaya habiskan study awak,” keluh Haqem kesal.
“Bukan salah Datin Sofea. Selepas awak pergi... mama awak tak pernah ganggu saya. Saya tak pernah jumpa mama awak lagi. Saya yang terlalu ikut kata hati,” tingkahku mengakui kesilapan sendiri. Tidak mahu Haqem terus menyalahkan Datin Sofea. Bukan hendak berlagak baik tetapi demikianlah kisahnya. Aku kembali bersua muka dengan Datin Sofea setelah bertemu dengan Haqem semula. Namun perbuatan Datin Sofea dan Bella cuba menyumbat aku ke penjara memang menguris hati. Aku terluka kerana membebankan Aqel dan melihat kesedihan mak. Menyaksikan tangisan mak membuatkan aku rasa marah kepada Datin Sofea dan Bella. Haqem melepaskan keluhan.
“Haqem... jangan kesal perkara yang berlaku antara kita. Kini saya yakin Aqel ialah jodoh saya. Saya reda...,” ujarku serius dengan hati yang tenang. Haqem menatapku. Sukar hendak mentafsir wajahnya tika ini. Barangkali kata-kataku ini bukan yang diharapkan oleh Haqem. Sebentar lagi aku akan memaklumkan kepada Haqem tentang keberangkatanku meninggalkan negara ini. Aku mahu Haqem dan Idlan hidup bahagia.
“Saya juga nak awak reda...,” pintaku berharap. Haqem mesti berhenti bergantung harapan kepadaku biarpun perjalanan hidup ini belum jelas. Aku tidak pasti dengan kehidupanku sendiri.  
“Awak boleh hidup bersama lelaki yang awak tak cinta?” tanya Haqem janggal. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kupandang Haqem.
“Aqel lelaki yang baik. Saya nak lebih mengenalinya,” putusku. Haqem mengeluh.
“Soal hati dan perasaan boleh dipupuk kemudian hari. Paling penting saya nak restu keluarga saya,” ujarku serius. Restu keluarga akan menjamin kebahagiaan. Perkara yang menimpa arwah Harianie boleh diambil ikhtibar. Walaupun aku yakin mak tidak sekeras Datin Sofea.  
“Saya akan teruskan perjuangan hidup saya. Esok saya akan meninggalkan negara ini. Tak pasti sama ada saya masih berkesempatan berjumpa awak dan Idlan. Saya yakin awak boleh jaga Idlan dengan baik dan mulakanlah hidup baru,” pintaku. Haqem terdiam panjang. Nampak berita yang baru kusampaikan ini mengejutkannya. Haqem pasti tidak menyangka tindakan Aqel senekad ini. Namun tiada sesiapa mampu membantah keputusan Aqel. Dia berkuasa penuh terhadapku.
“Aqel yang hantar awak ke luar negara?” teka Haqem. Aku hanya senyum. Pertanyaan itu tidak perlu aku jawab. Kuasa Aqel ke atasku tiada siapa boleh mempersoalkan. Kuasa veto.
“Maaf... mungkin kata-kata saya ini akan melukai perasaan awak tapi saya masih juga nak cakap pada awak,” tuturku menyambung bicara. Haqem menatapku. Aku menarik nafas.
“Saya tengok Bella tak sejahat yang awak fikirkan. Dia boleh jaga Idlan dengan baik. Selain sayangkan awak, dia juga sayangkan Idlan,” luahku mentafsir perkara yang aku perhatikan selama ini. Mudah-mudahan             Haqem terbuka hati memberi peluang Bella hidup di sisinya. Kemudian bersama-sama gadis itu membesarkan Idlan. Tiada halangan untuk mereka membina keluarga sempurna. Idlan juga menyenangi Bella. Bella ikhlas menyayangi Idlan. Hanya Bella dan Haqem sahaja yang mampu memakbulkan impian dan hasrat hati Idlan hendak memiliki kasih sayang Datin Sofea. 
“Kejamnya awak, Lia” ujar Haqem kecewa. Sebak.
“Maafkan saya, Haqem,” Hanya ini yang mampu aku katakan. Demi Idlan dan menyatukan keluarga mereka, aku terpaksa melukai perasaan Haqem.
“Kita boleh hidup bersama asalkan Aqel bersedia melepaskan awak. Kita akan hidup bahagia bersama Idlan. Awak tahukan Idlan sungguh sayangkan awak. Awak juga sayangkan Idlan,” gesa Haqem mempertahankan hasrat hati. Aku terkedu menatap Haqem.
“Kalau awak risaukan mama saya, kita tinggalkan negara ini. Awak pilihlah di mana awak nak tinggal. Saya akan minta Aqel lepaskan awak. Saya yakin Aqel mahu awak hidup bahagia,” ujar Haqem bersungguh-sungguh. Aku menggeleng. Haqem lupa betapa penting restu keluarga mengiringi perjalanan hidup ini.
“Biarlah Aqel yang atur hidup saya. Dia lebih tahu perkara yang terbaik buat saya,” ujarku jujur. Haqem mendengus. Tidak puas hati mendengar kata-kataku.
“Awak dah jatuh cinta pada Aqel?” keras suara Haqem. Beberapa orang yang turut berada di sini menoleh ke arah kami. Pasti terganggu dengan perbualan ini. Aku melepaskan keluhan.
“Awak tewas pada Aqelkan,” serius Haqem menatapku. Wajahnya tegang.
“Dari awal lagi saya tak setuju awak bernikah dengan Aqel. Aqel boleh buat sesiapa saja jatuh cinta kepadanya. Apatah lagi pada orang yang tiada kesetiaan,” Haqem melontar kata-kata dengan sinis. Aku terpukul. Haqem mengatakan aku tidak setia. Aku tersenyum sendiri. Tuduhan Haqem menyinggung perasaanku.
“Saya perlukan seorang lelaki yang boleh melindungi dan mempertahankan saya. Bukan sekadar cinta...,” tegasku.
“Walaupun saya tak pernah jadi kekasih Aqel, tapi dia bersungguh-sungguh mahu melindungi saya. Dia langsung tak boleh melihat saya menangis. Jauh sekali membiarkan saya disakiti. Selagi Aqel perlukan saya selagi itu saya akan bersamanya,” tegasku. Aku akan patuh pada perintah Aqel. Hanya itu yang mampu aku lakukan demi membalas kesukaran Aqel hidup bersamaku selama ini. Aku sungguh membebankan Aqel. Senyap. Haqem tertunduk. Mungkin hatinya terguris mendengar bicaraku ini. Biarlah... kerana selama ini pun aku sudah cukup terguris dengan sikapnya. Haqem tidak mampu mempertahankan aku di depan Datin Sofea. Berkali-kali peluang itu kuberikan tetapi Haqem tetap gagal memanfaatkan. Tuduhan Haqem berat hendak diterima. Terasa sayu hati ini. Anak mataku berkaca-kaca. Bila-bila masa sahaja air mata ini akan gugur membasahi pipi.
“Keluarga ialah pilihan terbaik buat awak. Saya yakin dah ada lelaki terbaik yang Allah tetapkan untuk saya,” Kuulangi kata-kata yang pernah mak dan Nana perdengarkan kepadaku. Haqem menatapku. Mencari kepastian.
“Dia mampu menyayangi dan menerima saya seadanya, mampu melindungi dan mempertahankan saya,” tambahku meyakinkan Haqem. Senyap.
“Saya pergi dulu. Selamat tinggal Haqem,” Bingkas aku bangun lalu kutinggalkan Haqem termangu-mangu memerhatikan langkahku yang kian pantas menjauh bersama deraian air mata. Aku menangis. Akhirnya aku mampu meninggalkan Haqem cinta pertamaku. Cinta yang aku agung-agungkan selama ini. Aku mampu melakarkan keputusan yang paling tepat buat diriku. Ya Allah, dadaku benar-benar lapang saat ini. Dari kejauhan aku memandang Idlan. Idlan akan mengerti semua ini. ‘Selamat tinggal Idlan. Mudah-mudahan kebahagiaan itu menjadi milik kamu’ suara hatiku meninggalkan pesanan lantas langkahku melewati pintu meninggalkan Idlan dan Haqem.
Langkah kakiku kian laju. Bayangan Aqel semakin jelas. Aku yakin dia masih setia menantiku di situ sebab firasat hatiku terlalu kuat mengatakan dia ialah jodohku, lelaki pilihan mak menggantikan tempat ayah. Paling nyata lelaki yang dicipta oleh Allah menjadi teman sehidup sematiku. Tiba-tiba sahaja gerimis mencurah-curah ke bumi seakan Allah sedang menurunkan rahmatNya lalu membasuh luka-luka semalam. Aku tidak menghiraukan hujan yang semakin lebat. Laju sahaja kakiku meredah simbahan air yang berguguran dari hamparan dada langit tika ini. Tidak mahu Aqel menungguku lama. Tiba-tiba langkah kakiku terhenti. Aku terkedu menatap Aqel yang sedang memayungi Rania meredah hujan yang kian mengganas. Mesra. Tampak mereka pasangan kekasih yang bahagia. Cepat aku tersedar. Lantas aku terfikir tentang keputusan Aqel menghantar aku ke luar negara. Pasti kerana Rania. Aku mengerti. Kuubah haluan langkah kaki ini. Kemunculanku di sana tidak dialu-alukan. Terbayang senyuman girang Rania. Sesungguhnya Flora bukanlah penghalang antara mereka. Kini aku berpijak di bumi nyata.

Haqem yang lama terpaku di situ melepaskan keluhan berat. Lemah. Semangat punah, hati kecewa. Lambat-lambat dia bangun. Dia melangkah mendapatkan Idlan yang sedang leka memilih-milih buku. Haqem mendekati Idlan lantas menyentuh lembut bahu budak lelaki ini. Laju Idlan berpaling. Mereka berpandangan.
“Kita balik sekarang,” ajak Haqem lembut. Terkebil-kebil Idlan menatap Haqem.
“Mama... mama mana?” tanyanya mencari kelibat gadis itu. Liar anak matanya memerhatikan sekitar premis itu. Haqem senyum. Dipaut erat tangan kecil ini lalu melangkah keluar dari premis ini. Tangan kecil ini memberi sedikit kekuatan dan menyuntik semangat dirinya.
“Mama dah balik?” tanya Idlan tidak puas hati dengan diam Haqem. Haqem mengangguk dan senyum. Lantas Haqem mengajak Idlan singgah di bangku kayu di bawah pohon rendang itu. Mereka melabuhkan duduk di situ tanpa menghiraukan bangku yang basah selepas dihujani. Suasana sungguh tenang. Haqem memejamkan mata rapat-rapat. Tiupan angin lembut menyapa wajahnya. Sungguh mendamaikan. Tatkala dia mengangkat kelopak mata, Idlan sedang menatap dengan wajah yang sarat dengan persoalan. Haqem tersenyum.
“Papa nak cakap sesuatu pada kamu...,” tutur Haqem berhati-hati. Dicapai tangan Idlan lalu digenggam erat. Idlan terkebil-kebil menatapnya.
“Mulai hari ini, Auntie Lia akan mulakan hidup baru. Kita tak boleh ganggu Auntie Lia lagi. Auntie Lia akan ke luar negara,” jelas Haqem perlahan. Panggilan ‘mama’ terus dipadamkan. Idlan tersentak.
“Mama takkan bersama kita lagi?” tanya Idlan. Wajahnya mendung. Haqem mengangguk-angguk dan memaksa diri tersenyum.
“Di mana saja Auntie Lia berada dia tetap sayangkan kamu. Dia takkan lupakan kamu,” tutur Haqem menyampaikan isi hati gadis itu. Idlan mengangguk. Dia mengerti. Senyap. Haqem melontar pandangan jauh-jauh. Anak matanya berkaca. Kekecewaan yang tidak mampu dibendung lagi. Dia menundukkan kepala. Kali ini terasa dia benar-benar telah kehilangan gadis itu.
“Hati papa terluka?” suara kecil itu singgah di telinga Haqem. Laju tangan Haqem mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Hilang kawalan diri. Dia berpaling menatap Idlan. Kemudian tersenyum. Idlan mencapai tangannya lantas memaut erat. Idlan dan Haqem berpandangan. Idlan tersenyum manis. Dia nampak lebih tabah menerima perpisahan ini.
“Sukar nak tandingi kehebatan Uncle Aqel... kan papa. Uncle Aqel sanggup pertaruhkan nyawa demi mama. Dia akan jaga mama dengan baik,” ujar Idlan buat Haqem terkedu. Idlan tampak matang menuturkannya. Di mata Idlan terbayang peristiwa pada hari itu.
“Mama juga gembira bersama Uncle Aqel. Mama menangis teresak-esak risau Uncle Aqel disakiti,” jelas Idlan mengimbau peristiwa lalu. Haqem terdiam panjang mendengar kata-kata Idlan.
“Saya suka sungguh pada Uncle Aqel dan sayang pada mama. Boleh tak kita doakan kebahagiaan Uncle Aqel dan mama?” tanya Idlan. Dipandang Haqem. Haqem mengangguk dan tersenyum. Lantas dipeluk tubuh Idlan. Lega. Idlan lebih bersedia dengan perpisahan ini.
“Kita akan doakan kebahagiaan Uncle Aqel dan Auntie Lia... mereka juga kawan baik papa,” sahut Haqem reda. Dia tersenyum sendiri. Kini dia rasa tenang biarpun hati terluka dan berduka lara. Dia kehilangan kekasih hati. Perempuan yang sungguh dicintai telah meninggalkannya. Persis baru tersedar perempuan itu telah menjadi milik suaminya.                   
“Pasti saya akan merindui mama,” ujar Idlan sedih.
“Ya... kita akan rindukan Auntie Lia” sahut Haqem. Air mata menitis di pipi. Semakin  erat tubuh kecil itu dipeluk. Hati pilu dan hiba. Kali ini perpisahan itu benar-benar terjadi. Dia telah ditinggalkan. Haqem mengetap bibir menahan sendu. 

KENAPA tak angkat call saya?” Aku berpaling ke pintu. Aqel sedang melangkah masuk ke bilik ini. Aku diam. iPhone masih berada di dalam beg galas yang basah tadi. Bingkas aku bangun. Lantas mengeluarkan iPhone. Lega. Mujur juga iPhone ini masih berfungsi dengan baik. Aqel memerhatikan gelagatku.
“Tak dengar... iPhone dalam beg,” sahutku agak terlewat menjawab pertanyaan Aqel tadi. Aqel mengeluh. Tidak puas hati dengan jawapan yang kuberikan.
“Banyak kali saya call awak tadi. Kan saya suruh awak tunggu saya datang ambil,” keluh Aqel. Kutatap skrin iPhone ini. Sepuluh kali panggilan Aqel yang tidak kujawab. Pasti mencabar kesabarannya.
Sorry...,” ujarku. Senyap. Aqel masih menghala pandangan ke arahku.
“Awak balik dengan Haqem?” tanya Aqel. Kupertimbangkan pertanyaan Aqel. Lambat-lambat aku mengangguk. Berbohong.
“Okeylah... sekurang-kurangnya awak tak redah hujan lebat tadi,” ujar Aqel berlapang dada. Aku diam. Aqel berpaling. Mahu bergerak ke sofa, lokasi yang paling digemari di bilik ini. Baru hendak melangkah, Aqel berpaling semula ke arahku. Aku dan Aqel beradu pandangan.
“Kenapa beg galas awak basah?” tanyanya curiga. Aku tersentak. Kutatap beg galas di depanku di atas katil ini. Tidak logik menaiki kereta beg ini sekuyup begini. Laju aku berfikir.
“Jatuh tadi,” jawabku berbohong memberi alasan. Aqel masih menatapku. Bimbang dia mencurigaiku. Pembohongan ini akan terbongkar.
“Kamu dah makan ubat, Lia?” serentak aku dan Aqel berpaling ke muka pintu. Mak sedang tercengat di ambang pintu yang sedia terkuak. Aku tersentak.       
“Hey... kamu dah balik!” sapa mak. Aqel mengangguk dan tersenyum.
“Awak tak sihat?” tanya Aqel lantas mendekatiku. Laju tangan Aqel singgah di dahiku. Aku terdiam dan kaku. Mak masih tercengat di muka pintu sedang tersenyum-senyum. Gelagat Aqel menyenangkannya. Aku berharap mak akan cepat beredar. Mahu melindungi pembohonganku.
“Risau Lia kena seselma. Balik basuh-kuyup tadi,” jelas mak di luar kemahuanku. Aku tergamam. Punah harapanku. Aqel menatapku. Mohon penjelasan.
“Saya... okey...,” jelasku tidak mahu mak bimbang. Mak senyum.
“Berehatlah. Mak pun dah nak tidur ni,” ujar mak lalu menutup rapat daun pintu bilik ini. Aqel masih menghala pandangan ke arahku. Aku melarikan muka. Tidak mahu beradu mata dengan Aqel. Pembohonganku sudah terbongkar. Aku mengetap bibir menahan gelodak hati ini.
“Awak berbohong,” ujar Aqel sinis. Salah aku tidak bercakap benar kepada Aqel. Aku diam. Bersedia menerima teguran Aqel. Pesalah yang sedia dihukum.
“Sukar sangatkah perpisahan ini?” tanya Aqel. Aku masih tidak bersuara.
“Awak berat hati nak tinggalkan Haqem?” tanya Aqel lagi. Kudongak wajah Aqel. Ada senyuman sinis terukir di bibir.
“Sukar awak nak berubah,” lirih suara Aqel. Aku mengunci mulut. Biarlah Aqel berbicara dan aku akan mendengar. Apa sahaja firasat Aqel padaku, aku akan terima semua dengan hati terbuka. Hak Aqel hendak bersuara.  
“Hati awak sakitkan...,” duga Aqel masih dengan senyuman sinis. Aku mengangguk dan tidak mahu menafikan.
“Ya... sebab awak lontarkan saya sejauh itu,” ujarku. Aqel terpana. Dalam benak Aqel, aku berduka kerana terpaksa meninggalkan Haqem. Di mataku pula masih terbayang kemesraan Aqel dan Rania berkongsi payung meredah hujan. Akhirnya aku dan Aqel sama-sama berdiam diri. Pasrah.


“Jangan salahkan Aqel. Semua ini untuk kebaikan kamu” nasihat mak sambil menepuk-nepuk lembut bahuku. Cuba menghalang aku berprasangka buruk terhadap Aqel. Curiga dengan tindakan Aqel.
“Mak akan sokong tindakan Aqel... sebab mak percaya semua ini demi kebaikan kamu,” ujar mak merestui keputusan Aqel. Aku diam. Setia mendengar butir-butir bicara mak.
“Kamu dah jadi tanggungjawab Aqel sekarang. Beri peluang kepada Aqel menentukan apa yang terbaik buat kamu. Dia berhak ke atas kamu,” nasihat mak. Kupandang mak. Mak sungguh bangga ada menantu sehebat Aqel. Aqel anak yang baik.  
“Tiada orang yang sekuat Aqel mampu bertahan dengan kamu sehingga ke hari ini. Jangan jauhkan Aqel dari hati kamu,” nasihat mak lagi. Wajah Rania menjelma di pandanganku. Kupandang mak dengan mulut terkunci. Aku tidak mahu berkongsi cerita dengan mak. Hak Aqel mendapatkan cintanya.

Kutatap tiket penerbangan Kuala Lumpur ke Seoul dengan perasaan sebak. Sedih hendak berjauhan dengan mak dan Aziq. Sekejap lagi perpisahan itu akan terjadi. Mak masih kelihatan tabah. Pada mak perkara yang Aqel lakukan adalah demi kebaikanku. Aku melepaskan keluhan. Terasa Aqel mahu memisahkan aku dengan orang rapat di sekelilingku. Panggilan untuk penumpang penerbangan Kuala Lumpur ke Seoul. Penumpang-penumpang diarahkan masuk ke balai berlepas. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan ini. Kupegang erat tangan mak. Terasa sukar hendak menghadapi perpisahan ini. Kupeluk tubuh mak.

“Jaga diri baik-baik di tempat orang. Jaga kesihatan dan jangan tidur lewat. Nanti sentiasalah berhubung dengan mak,” pesan mak berjela-jela sambil menepuk-nepuk lembut belakangku. Cuba mendamaikan perasaanku. Air mata yang bergenang di tubir mataku mengalir di pipi. Terasa Aqel begitu kejam mewujudkan perpisahan ini. Aqel sanggup memisahkan aku dengan mak. Beginikah cara Aqel melempiaskan rasa tidak puas hati terhadapku?   
“Pergilah masuk...,” arah mak lantas melepaskan pelukan di tubuhku. Aku mengangguk sambil mengesat air mata tanpa perasaan segan. Biarlah Aqel menyaksikan deraian air mata ini. Aku memang mahu Aqel mengetahui bahawa aku sedang bersedih sekarang. Patuh dan tidak mahu mengingkari arahannya.
“Tak payah bersedih, mak dan Aziq akan datang menjenguk kamu,” ujar mak cuba memujukku. Aku mengangguk. Sedikit senang hati mendengar kata-kata mak. Sudah pasti aku mengharapkan mak dan Aziq bertandang ke sana. Kalau boleh datang sekerapnya. Tidak dapat kubayangkan kerinduan yang bakal kutanggung.
“Jaga diri mak dan Aziq baik-baik. Saya akan sentiasa hubungi mak,” janjiku. Pilu hati ini menatap wajah mak. Aku yakin Aqel akan mengotakan janji. Dia mampu menjaga keluargaku dengan baik. Aqel mampu melakukan yang terbaik buat mak dan Aziq. Aku tidak pernah meraguinya. Keluarga penting buat Aqel.                   
“Saya ... pergi dulu,” ujarku ketika pengumuman kali kedua meminta para penumpang penerbangan Kuala Lumpur ke Seoul berbaris di pintu balai berlepas. Aqel mendekatiku. Lantas baju sejuk tebal ini disarung ke tubuhku. Aku hanya memakukan diri membiarkan Aqel melakukannya.
“Sekarang musim sejuk di sana,” bicara Aqel kudengar tanpa sebarang reaksi. Tidak kisah musim yang melanda bumi Seoul. Saat ini aku bersedih kerana terpaksa berpisah dengan mak.
“Mama dan ayah akan jemput awak di airport,” jelas Aqel lagi. Kutatap Aqel. Terkejut. Patutlah Mak Long tiada di sini sekarang. Rupa-rupanya Mak Long sedang menunggu kedatanganku. Maka mengertilah aku gerangan insan yang dimaksudkan oleh Aqel serta diyakini mampu menjaga aku dengan baik ialah Mak Long dan Pak Long. Lega. Aku bakal tinggal bersama mereka. Aku menyalami tangan Aqel dan mak. Lantas mengatur langkah pantas ke balai berlepas tanpa menoleh-noleh lagi. Tidak sanggup menatap wajah mak. ‘Ya... Allah, Aqel tidak pernah mengarah atau melarang aku selama ini. Maka aku patuh dan reda menerima perkara yang direncanakan buatku’ bisikku pada diri sendiri. Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba menjalani hidup ini dengan baik. Aku akan membuktikan kemampuanku kepada Aqel.
 “Maafkan... saya mak,” Aqel menatap Puan Suraya. Laju perempuan ini menggeleng. Tiada kesalahan yang dilakukan oleh pemuda ini. Keputusan Aqel tepat.
“Mama yakin apa yang kamu lakukan demi kebaikan Lia. Paling penting Lia masih ada kamu. Hanya kamu yang boleh jaga Lia dengan baik. Mak mahu dia sedar perkara ini,” tutur Puan Suraya bersungguh-sungguh. Dia merestui keputusan Aqel biarpun bersedih kerana berjauhan dengan gadis itu. Aqel mengukir senyuman. Lega mendengar bicara sedemikian. Dalam hati kecilnya tersembunyi kesedihan. Dia melontar pandangan menyoroti langkah gadis itu.
“Aku harap perpisahan hari ini... akan mempertemukan kita suatu hari nanti dengan cerita yang berbeza,” bisik hati Aqel.

Langkahku terhenti di anak tangga terakhir pesawat MAS ini lalu berpaling. Sudah jauh aku meninggalkan mak dan Aqel. Kelibat mereka tidak kelihatan lagi. Hidup baruku bakal bermula.
“Selamat tinggal bumi Malaysia. Akhirnya...Aqel jauhkan jua aku dari hidupnya,” bisik hatiku. Reda. Lantas aku melangkah masuk dan tidak menoleh-noleh lagi. 


~ Hari ini bumi Seoul masih kedinginan. Walaupun sibuk dengan kuliah dan tugasan, aku masih berkesempatan menggumpal salji. Suatu kenangan terindah yang tidak semua orang akan memilikinya~ Kunoktahkan cerita hari ini lantas menutup buku catatan merah jambu ini.
Kini aku bergelar pelajar Universiti Sogang yang terletak di pusat kota Seoul ini. Aqel mahukan aku belajar di sini. Salah sebuah universiti yang terbaik di Korea yang telah mendapat pengikhtirafan luar. Park Geun-Hye, Presiden Republik Korea Selatan yang ke-18 pernah belajar di sini. Terbukti universiti ini mampu melahirkan graduan yang cemerlang.
Langkahku mati di dataran kaki lima ini. Lantas mendongak menatap poster gergasi yang tergantung di atas bangunan milik Syarikat KBS itu. Aku menatap barisan wajah-wajah kacak pelakon Hwarang yang sedang tersenyum mempesonakan. Pandanganku terikat pada Park Seo Joon hero drama epik ini. Mata yang mengecil tatkala senyuman terukir di bibir cukup menyenangkan mata terikat pada wajah itu. Terpikat pada senyuman itu untuk sekian kali.
“Apa khabar Park Seo Joon Mak Long? Apa yang sedang dia buat sekarang? Masih dia tak punya waktu untuk diri sendiri?” Aku bersoal-jawab sendiri sambil merenung wajah kacak hero Hwarang. Kulepaskan keluhan. Simpati kepada Aqel.
“Gadis di seluruh dunia memuja ketampanan pemuda ini. Patutlah Rania tak mahu melepaskannya,” tuturku berbicara sendiri. Sedarkah Aqel bahawa senyumannya sungguh indah?
“Lama awak pandang wajah pelakon itu. Awak peminatnya?” suara lelaki menyapaku. Aku berpaling. Tersentak ditegur sedemikian. Tidak pernah-pernah ada suara lelaki Melayu yang menyapaku sebegini di bumi Seoul ini. Tersentak sekali lagi tatkala menatap wajah pemuda ini. Dia pelajar Universiti Sogang. Aku pernah nampak kelibatnya di kampus dan pernah bertukar senyuman dengan pemuda ini. Namun tidak mengenalinya.
Bye... jumpa awak di dewan kuliah esok,” ujar pemuda ini meninggalkan pesanan sebelum melangkah menyeberangi jalan. Sempat juga dia melambai tangan ke arahku. Aku yang tidak sempat memberi reaksi pada bicara tadi hanya memerhatikan kepergian pemuda ini. Tidak juga membalas lambaian tangan itu. Masih terkejut dengan kefasihannya berbahasa Melayu. Tidak sangka pemuda Inggeris itu ada kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Langsung tiada pelat cakap orang asing. Aku menyambung langkah. Singgah sebentar di toko buku lalu menyelek majalah hiburan Korea. Terpandang wajah Park Seo Joon lantas kucapai majalah ini dan menyelesaikan bayaran di kaunter. Malam ini boleh meluangkan masa dengan hobi baru.
“Assalamualaikum... saya dah balik,” ujarku sambil melewati pintu. Mak Long tersenyum manis menyambut kepulanganku. Dia bersendirian di rumah tika ini. Pak Long masih ada kelas di kampus. Aku mendekati Mak Long lalu duduk di sebelahnya di atas sofa panjang ini. Kupandang sofa panjang ini. Sofa ini mengingatkan aku pada bilik tidur yang sudah lama kutinggalkan di Malaysia.
“Kenapa?” suara Mak Long kedengaran mengaju pertanyaan. Aku tersenyum.
“Teringat pada mak dan adik kamu?” teka Mak Long. Aku mengangguk. Mereka tidak pernah luput dari ingatanku.
“Ingat pada Hyeon?” tanya Mak Long lagi. Kupandang Mak Long.
“Sofa ini mengingatkan saya pada Aqel,” ujarku tidak berselindung. Mak Long tergelak.
“Hyeon memang suka sungguh berbaring di atas sofa. Langsung tak beri peluang pada orang lain,” tambah Mak Long mengingat tabiat anak muda itu. Pasti terdetik kerinduaan Mak Long pada anak terunanya itu. Kasihan Mak Long dan Pak Long masih tiada kesempatan tinggal sebumbung dengan Aqel.
“Mama rindukan Aqel...,” Kupandang Mak Long. Laju Mak Long mengangguk. Jawapan yang sudah kuketahui. Semua ibu rindu pada anak-anaknya. Mak juga pasti rindu padaku.
“Sudah pasti mak juga rindukan saya saat ini,” keluhku sayu. Mak Long berpaling dan tersenyum menatapku. Mak Long mengangguk.
“Ramai orang rindukan kamu saat ini,” tutur Mak Long sambil mengusap lembut bahuku. Aku tersenyum. Terbayang wajah mak, Aziq, Idlan, Nana dan Marnie. Adakah Aqel juga rindu padaku?
“Pasti Hyeon juga rindukan kamu,” tutur Mak Long menyebut nama anak mudanya itu. Aku dan Mak Long beradu pandangan seketika. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Sempatkan Aqel merinduiku tatkala Rania sungguh setia bersamanya. Sungguh lama Aqel menyepikan diri.

“Adam kirim salam sayang,” Melati mendatangiku dengan sengihan panjang. Teman dari negara jiran yang belajar sama falkulti denganku. Gadis Brunei yang ceria dan teramat mesra.
“Saya tak dapat sambut salam itu,” balasku tenang.
“Sombongnya awak...,” kutuk Melati mencebik. Aku pamer wajah bersahaja. Adam Gregg, pemuda kacukan Scotland-Malaysia. Kacak orangnya. Tinggi tegap dan cerah. Tidak banyak cakap tetapi murah senyuman. Seingatku kami tidak pernah berbual panjang. Sekali sahaja dia menegurku. Selebihnya sekadar bertukar pandangan dan senyuman.
“Saya tak bercadang nak rapat dan mengenali lelaki di sini,” tegasku.
“Awak tak nak bercinta?” Besar mata Melati menatapku. Aku mengangguk.
“Takde kepercayaan pada lelaki?” tanya Melati masih mahu menyelidikiku. Aku diam.
“Awak berduka lara sekarang?” Melati menghujaniku dengan pertanyaan. Bungkam. Aku masih membisu. Sudah tiba masa hendak berterus-terang dengan Melati.
“Saya telah meninggalkan kekasih pertama saya. Saya juga tinggalkan suami saya di Malaysia. Bukan. Dia yang minta saya tinggalkannya. Mungkin juga ditakdirkan saya akan ditinggalkan suami,” ujarku berbelit-belit.
“Apa?” Melati terkedu. Matanya terbuka luas.
“Awak isteri orang...,” Kenyataan ini mengejutkan Melati. Aku mengangguk.
“Isteri kepada lelaki yang sungguh setia kepada ibunya. Lelaki yang berhati suci mahu melindungi keluarga dan melindungi saya. Lelaki yang tak tega melihat saya disakiti,” jelasku berjela sambil melontar pandangan jauh. Setiap tindakan Aqel melindungiku terbayang di mata. Aku tersenyum sendiri. Persis Aqel perisai kebal yang sering menjadi penyelamat dan pelindung buatku.
“Lelaki itu mencintai awak. Dia sayang awak,” Melati mengutarakan pendapat. Aku tersenyum hambar. Mulut Aqel pernah melafaz cinta namun tindakannya sering mengelirukanku. Aku sangsi. Cinta Aqel tiada kesungguhan.
“Dia ada kekasih di Malaysia. Sejak saya datang sini... tak pernah kami berhubung,” jelasku tanpa berselindung. Cinta Aqel dan Rania kembali bersatu. Aku terbayang Aqel dan Rania sepayung melangkah di bawah curahan hujan yang lebat. Mesra. Aku tidak akan menjadi penghalang kebahagiaan Aqel. 
“Dia mencintai awak,” ulang Melati. Kupandang Melati. Keyakinannya terlalu tinggi. 
“Tak lama lagi dia akan muncul. Dia takkan tahan menanggung rindu pada awak,” tambah Melati persis sedang memujuk hatiku. Hati ini merajuk pada Aqel? Keliru yang tidak sudah-sudah.
“Dia sepupu saya. Kami dinikahkan atas permintaan keluarga. Dia melihat saya seperti gadis kecil manja yang harus dilindungi,” tuturku perlahan-lahan menyusun kata-kata.

“Gadis kecil yang manja?” Melati mengulangi kata-kataku dalam nada bertanya sambil menayang dahi yang berkerut. Sangsi.

“Bayangan adiknya ada dalam diri saya. Mungkin kerana ada pertalian darah, saya dengan Flora seiras,” ujarku berkongsi cerita dengan Melati.

“Flora? Siapa Flora? Gadis kecil manja itu?” Bertubi-tubi Melati melontar pertanyaan kepadaku. Kisah yang menarik perhatiannya.

“Arwah adik perempuannya,” sahutku menjawab pertanyaan itu. Mata Melati terbuka luas. Dia terlopong.

“Kejamnya...,” luah Melati berkongsi perasaan yang kualami. Dia melepaskan keluhan kecil. Aqel memang kejam. Kulontar pandangan jauh-jauh. Mahu melontar jauh bayangan Aqel. Mahu melupakan seketika senyuman indah Aqel.



No comments:

Post a Comment