BAB 98
~Mac-Mei. Indah
dan mempesona bumi Seoul ketika ini. Musim Bunga menjengah diri lagi. Kota-kota
di Korea Selatan begitu indah. Hamparan bunga Conala yang menguning. Bunga
Cherry Putih, Forsythias, Azalea yang berkembang mekar. Changgyeonggung Palace
nantikan kunjunganku. Kenangan di Ilsan Lake Park @ Jinhae Cherry Blossom
Tunnel pasti terpahat utuh dalam hati. Kurakamkan kenangan kunjungan ke sini
bersama Mak Long dan Pak Long~.
Lantas kulekat beberapa keping fotoku bersama Mak Long dan Pak Long. Aku tersenyum
sendiri menatap foto ini. Mak Long dan Pak Long bagai pinang dibelah dua, sama
cantik sama padan. Satu kerugian buat kaum Hawa kerana hanya Aqel zuriat
mereka. Jadi beruntunglah aku kerana menjadi pilihan Mak Long yang digandingkan
dengan putera tunggalnya itu.
Rindu pada mak dan Aziq. Alangkah seronok jikalau insan
yang kusayangi ada bersamaku saat ini. Aku melukis wajah emoji yang menangis
sebelum menutup buku catatan merah jambu ini. Simbolik perasaan sedih kerana
berjauhan dengan mereka. Rindu menebal yang terpaksa aku tanggung kerana
perpisahan ini. Patutkah aku salahkan Aqel kerana merencanakan semua ini?
Lantas kumasukkan pen dan gam ke dalam saku beg galas ini. Tidak mahu
memikirkan persoalan yang bercambah dalam benakku.
Kupandang sekeliling, cuba mencari kelibat Pak Long. Pak
Long belum kelihatan lagi. Kupandang buku catatan merah jambu ini. Lantas
menyelak halaman seterusnya. Aku mengisi penantian ini dengan catatan-catatan
yang tertulis di dada buku itu. Aku tersenyum sendiri. Suka duka perjalanan
hidupku. Kisah Si Cinderella yang menjumpai padanan kasutnya terimbau kembali.
Aku tersenyum sendiri tatkala terkenang selipur jipun berlainan warna yang
tersarung di kakiku ketika menghadiri majlis hari jadi Idlan. Sebelah selipar
jipun merah dan sebelah lagi hijau. Ketika itulah aku menjadi Si Cinderella
apabila Aqel datang dengan sepasang kasut milikku menjadi penyelamatku. Terharu
dan sebak ketika itu kerana aku sangka kasut yang menyimpan banyak kenangan itu
telah tamat riwayatnya. Aku ingat aku tidak akan bertemu dengan kasut itu lagi.
Tidak diduga kasut itu muncul di depanku dengan wajah yang cantik memukau
pandanganku. Ihsan Aqel telah mempertemukan Si Cinderella dengan kasut itu. Aku
tersenyum panjang sendirian. Kisah manis untuk diimbau kembali.
Adam Rayyan menatap gadis yang duduk di bangku kayu itu
dengan penuh minat. Setiap gerak-geri gadis itu diperhatikan dengan leka. Dia
tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan. Keinginan hendak mengenali gadis itu
begitu melonjak-lonjak. Sukar hendak dikawal perasaan itu. Dari sehari ke
sehari dia memerhatikan gadis itu dari kejauhan. Semakin lama memerhatikan
semakin hati terpaut kepada gadis itu. Tatkala sehari tidak terpandang wajah
gadis itu pasti dirinya tidak keruan. Jiwa resah dan hati tidak tenteram. Dia akan mula merindui gadis
itu. Sedar bahawa dia telah jatuh cinta pada gadis itu. Gadis yang dipandang
dari kejauhan. Gadis yang tidak mengenalinya.
“Adakah awak dah berpunya?” hati Adam Rayyan mendesah.
Dia melepaskan keluhan. Bimbang gadis yang dipuja dalam diam sudah menjadi
milik orang.
“Tengok apa?” sapa suara lelaki. Adam Rayyan tersentak.
Laju dia berpaling. Lelaki bercermin mata itu sedang menatap. Kemudian turut
melontar pandangan ke arah gadis itu. Sama-sama memerhatikan gadis itu.
Profesor Abdullah Han mengalih pandangan ke arah pemuda ini semula. Adam Rayyan
garu-garu kepala yang tidak gatal. Perlakuannya sudah dapat dikesan oleh lelaki
ini. Dia tersengih. Segan.
“Kamu perhatikan gadis itu,” tanya Profesor Abdullah Han
mahu kepastian. Perlahan-lahan Aqem Rayyan menggangguk. Tidak mampu menafikan
mahupun berbohong lagi kerana perbuatannya sudah dikesan oleh lelaki ini.
“Jangan perhatikan anak dara orang lama-lama. Bimbang
kalau buat kamu jatuh cinta padanya... susah nanti,” tegur Profesor Abdullah
Han menasihati. Masih mahu berselindung tentang identiti gadis itu. Adam Rayyan
masih tersenyum. Saat ini jiwanya memang sudah bergolak.
“Saya suka gadis itu, Prof,” ujar Adam Rayyan meluahkan
isi hati yang sudah tidak terkawal. Berubah ekspresi wajah lelaki ini.
Pengakuan pemuda ini mengejutkan.
“Kamu tak boleh suka gadis itu, malah tak boleh jatuh
cinta padanya,” tegas Profesor Abdullah Han sambil menepuk-nepuk lembut bahu
pemuda ini. Adam Rayyan terpana. Namun tidak sempat meminta penjelasan lanjut
terhadap larangan itu, tatkala lelaki itu sudah mengatur langkah meninggalkannya.
Besar mata Adam Rayyan menatap langkah Profesor Abdullah Han berhenti di depan
gadis itu. Mereka berbual-bual. Dia melihat senyuman gadis itu. Kelihatan
Profesor Abdullah Han mesra dengan gadis itu. Kemudian gadis itu bangkit dari
bangku kayu itu. Mereka melangkah beriringan ke laman parkir. Rasa terkejut Adam
Rayyan semakin memuncak tatkala menatap gadis itu menyelinap masuk ke dalam
kereta lelaki itu, lalu duduk di kerusi penumpang di sebelah Profesor Abdullah
Han. Adam Rayyan nampak senyuman gadis itu. Dia terkesima.
“Lia...anak gadis Prof,” Adam Rayyan berbicara sendiri.
“Kamu tak boleh suka gadis itu, malah tak boleh jatuh
cinta padanya,” suara Profesor Abdullah Han berbisik di telinga. Otaknya ligat
memproses larangan itu. Ada sebab lelaki itu memberi peringatan penting
kepadanya.
“Mungkin juga Lia ialah isteri, Prof,” Suatu kenyataan
baharu keluar dari mulut Adam Rayyan. Adam Rayyan memejamkan mata seketika.
Kemudian menggeleng-geleng kepala. Sukar hendak diterima kenyataan itu. Dia
kecewa. Harapannya musnah dan impiannya punah. Dia mengatur langkah longlai
membawa kekecewaan. Ternyata pelamin angannya musnah.
********************************
~Musim Panas yang
cerah di Korea Selatan. Aku dan Melati menghabiskan seharian hujung minggu ini
di Pantai Gyeongpo di Kota Gangneung. Memijak hamparan pasir dan tidak sanggup
berjemur menikmati hangat sinar matahari. Warga Korea Selatan seronok berenang
di lautan nan membiru. Aku dan Melati tidak melepaskan peluang memancing dari
atas perahu. Seronoknya...~
Tatkala tiba di
Cheongpyeong debaran semakin terasa. Ditambah lagi perasaan gemuruh.
Kunjunganku dan Melati ke sini dengan satu misi. Mahu mencuba bungee jumping. Sukan lasak ini
memerlukan orang yang berjiwa besar dan berani. Cheongpyeong River Land Bungee Jump setinggi 50 meter bakal kami
tawan sebentar lagi. Kagum pemandangan alam dan air jernih dari Danau
Cheongpyeong. Kutarik nafas dalam-dalam. Kemudian berpaling ke arah Melati yang
sedang berusaha mengumpul kekuatan diri. Cuba memberanikan diri.
“Jangan lupa laung kuat-kuat nanti,” ujarku berpesan.
Melati mengangguk. Sempat melihat dia menelan liur.
“Saya pejam mata,” ujar Melati bagai tidak sanggup
melalui detik awal penerjunan.
“Saya pun akan pejam mata,” jelasku. Belum ada keberanian
mahu menyaksikan detik jatuh tubuh ini ke bawah sebelum terbuai di awangan.
Kemudian tubuh terlontar ke atas semula.
“Are you ready?”
tanya lelaki Korea yang berdiri di sebelahku sebelum aksi melompat bermula.
Satu hujung tali elastik yang dipasang di pergelangan kaki dan satu hujung tali
terikat pada titik lompatan sudah siap dipasang. Aku mengangguk. Sudah bersedia.
Perjuangan melawan perasaan takut. Sempat aku menitip doa agar detik yang
mendebarkan ini berjalan lancar dan tidak ada musibah yang menimpa. Mulut
Melati juga terkumat-kamit bermunajat.
“Fighting....Malaysia
Boleh...!” laungku. Serentak aku membuat kiraan sampai tiga lalu terjun. Aku
menjerit sekuat hati. Bagai ada kekuatan dan keberanian tersuntik dalam diri
membuatkan aku lupa hendak memejamkan mata. Regangan kuat tali ketika terjun
membuatkan aku terlontar ke atas semula. Aku menjerit panjang sekuat hati.
Terasa lapang dada. Bagai bebanan yang dipikul di bahu sudah terlepas.
Kedengaran tepukan tangan di seberang sana meraikan kejayaanku. Aku
melambai-lambai tangan ke arah mereka. Sekejap lagi giliran mereka. Pasti ada
yang seram sejuk persis yang aku rasa sebentar tadi. Lelaki Korea tadi
menunjukkan ibu jari ke arahku.
“Thank you...!
Thank you...!” ujarku gembira. Kini giliran Melati melakukan lompatan
terjun. Dia mengulangi perbuatanku tadi. Bezanya Melati memejamkan mata.
Jeritan suara Melati bergema buat aku ketawa. Begitulah keadaanku tadi. Situasi
yang tidak dapat dikawal.
“Ya Allah...alhamdulillah...Kita berjaya. Tahniah...,”
ujar Melati teruja tatkala berjaya didaratkan di tempat penerjunan tadi. Melati
mengesat air mata. Dia menangis. Lega dan gembira bercampur-baur. Aku dan
Melati berpelukan. Kami telah berjaya menguji keberanian diri. Perasaan gentar
sudah lenyap. Mudah-mudahan keberanian ini akan mendorong aku berhadapan dengan
Aqel tanpa perasaan sangsi dan was-was.
“Seronok...seronok...seronok...,” Berpanjangan Melati
meluah perasaan. Aku tersenyum. Perasaan yang sama turut menyelubungiku. Tidak
pernah menduga aku memiliki keberanian sedemikian. Lantas melabuhkan duduk di
bangku kayu ini. Aku dan Melati melepaskan kelegaan. Sekumpulan pemuda Korea
melewati kami lantas masing-masing menunjukkan ibu jari memuji keberanianku dan
Melati.
“Kamsahamnida,”
ujarku dan Melati hampir serentak. Pemuda-pemuda itu tersenyum mempamer
kekacakan diri mereka sambil melambai tangan. Kami membalas lambaian tangan
itu. Mereka kagum dengan keberanian kami. Memandang wajah-wajah iras artis
kumpulan K-POP itu lantas melontar ingatanku kepada Aqel. Wajah Aqel setanding
mereka. Aku tersenyum sendiri.
“Senyum sendiri nampak. Dah terpikat pada mamat Korea,”
tegur Melati mengusikku. Aku tergelak. Bukan mudah hendak jatuh cinta.
“Tak payah terpikat pada mamat Korea. Ada suami peranakan
Korea pun dah cukup memeningkan,” balasku diiringi keluhan kecil.
“Suami awak peranakan Korea?” Melati terlopong menatapku.
Terkejut. Aku mengangguk. Bercerita tentang Aqel banyak kali buat gadis ini
terkejut.
“Ayah mertua saya orang Seoul,” jelasku.
“Wah, mesti kacak!” Melati teruja. Aku hanya senyum.
Tidak mahu terlalu riak pada kesempurnaan Aqel. Lagipun yang akan dapat pujian
dan sanjungan ialah Aqel. Bukan aku. Tidak mahu mengejutkan Melati sekian kali.
Lantas kurahsiakan identiti ayah mertuaku. Metali mengenali Profesor Abudullah
Han. Semua pelajar Malaysia di kampus mengenali lelaki ini kerana kefasihan
bercakap Melayu. Mungkin ramai juga yang mengetahui bahawa Profesor Abdullah
Han bernikah dengan perempuan Melayu warganegara Malaysia. Namun satu perkara
orang tidak tahu bahawa lelaki itu ialah ayah mertuaku merangkap Pak Longku
suami kepada kakak arwah ayah.
“Bolehlah...,” balasku. Melati mengetap bibir. Geram.
“Mukanya macam Melayukah Korea? Ada simpan gambarnya dalam
dompet?” tanya Melati teruja. Aku geleng kepala. Aqel tidak pernah memberikan
gambar padaku. Aku juga tidak pernah terdetik hendak memiliki gambar Aqel. Orang
tidak mahu beri, tidakkan kita terhegeh-hegeh hendak meminta-minta pula. Masing-masing
jual mahal.
“Ada mata, hidung, telinga, mulut...,” jelasku bercanda.
“Awak...!” Melati terjerit marah lalu menampar lenganku.
Jawapan yang menyakitkan hati. Aku tergelak.
“Dia kembar Putera Sun Woo...hero Hwarang,” ujarku mahu Melati berimaginasi.
“Dia seiras wajah Moo Myung...! Wow..., kacak!” balas
Melati teruja menyebut nama watak utama dalam Hwarang. Aku tahu dia peminat fanatik artis-artis negara ini.
Mudah sahaja dia dapat meneka dengan tepat.
“Mereka serupa tapi tak sama...,” jelasku.
“Wow..., untung awak
ada suami kacak macam artis! Oh... Ko Dong-Man!” puji Melati sambil menyeru
dengan lemah-gemalai satu nama watak
lagi yang dilakonkan oleh Park Seo Joon. Untung aku jadi isteri Aqel? Aku masih
memikirkan kenyataan ini.
“Suami yang kacak ramai peminat perempuan. Tak tahulah
kesetiaannya sejauh mana,” ujarku lalu bangkit dari bangku kayu ini.
Terkebil-kebil Melati menatapku.
“Jom... balik,” ajakku lantas memulakan langkah. Laju
Melati bangun. Dia mengejar langkahku.
“Bagaimana awak boleh nikah dengan pemuda Korea? Di mana
awak jumpa? Dia rambut panjangkah pendek? Boleh kenalkan saya dengan
kawan-kawannya?” Bertubi-tubi pertanyaan Melati menghujaniku. Aku hanya
mempamer senyuman di bibir. Pertanyaan Melati tidak kuendahkan. Hari ini baru
aku hendak bercakap tentang Aqel. Rambut Aqel pendek dan tersikat rapi. Warna
keperang-perangan padan dengan kulit yang putih. Dia seorang yang kemas.
Sepasang mata yang mengecil tatkala mengukir senyuman. Senyuman indah yang
tidak pernah terhakis dari ingatanku. Sesiapa yang memandang Aqel pasti akan
jatuh cinta. Begitu sukar Rania hendak melepaskan Aqel. Kasihan Aqel kalau dia
tersedak tika ini.
~Tahniah dan
Syabas buat diriku sendiri & sahabatku Melati kerana telah berjaya
membuktikan keberanian diri. Kenangan yang tidak akan dilupakan.~ Kutampal gambarku bersama Melati yang sempat dirakamkan
ketika berada di Cheongpyeong River Land
Bungee Jump siang tadi di sebelah tulisan tanganku. Bangga. Kututup Si
Merah Jambu ini lalu disorong di tepi meja. Sudah sampai masa hendak membuka
buku. Masa untuk belajar.
“Banyak homework?”
Aku berpaling. Mak Long berdiri di sebalik daun pintu yang sedikit terkuak. Aku
menggeleng dan tersenyum.
“Masuklah mama,” pelawaku. Mak Long melangkah masuk.
Lantas duduk di birai katil di sebelah meja belajar ini.
“Kuliah okey?” tanya Mak Long ingin tahu. Aku mengangguk.
Tiada banyak masalah yang timbul. Pak Long banyak membantuku. Pengurusan
perniagaan dan pemasaran berpadanan dengan kemampuanku. Aqel mahukan aku
menghabiskan pengajian yang tertangguh suatu waktu dahulu. Barangkali juga Aqel
mahu aku menceburi bidang perniagaan kelak. Aqel sudah ada perancangan
terperinci untukku. Tindakan Aqel langsung tidak buat aku rasa terkongkong.
Sungguh bertepatan denganku yang kurang bijak merancang masa depan sendiri.
“Habis belajar boleh buka bisnes sendiri. Boleh juga kerja dengan Hyeon,” cadang Mak Long.
Aku senyum. Sedemikiankah rencana Aqel?
“Hyeon ada call
atau mesej?” tanya Mak Long. Kupandang wajah Mak Long. Lambat-lambat aku
menggeleng.
“Pasti dia sibuk mama,” tuturku mengerti kesibukan Aqel.
Untuk diri sendiripun Aqel tiada punya waktu. Aku tidak mengharapkan Aqel akan
sentiasa mengutus berita kepadaku. Namun setakat ini Aqel masih menyepikan
diri. Begitu juga aku. Aku merasakan Aqel tidak berminat hendak mengetahui
kehidupanku di sini.
“Banyak kerja macam mana sekalipun dia mesti tanya
perkhabaran kamu,” keluh Mak Long. Aku hanya senyum. Tidak ambil hati andai
Aqel terus mahu mendiamkan diri. Siapalah aku di hati Aqel. Pemuda yang gemar
bermain kata-kata manis yang memikat kalbu. Tingkahlaku dan tindakan Aqel
dibayangi oleh tanggungjawab terhadap keluarga. Bimbang Aqel menyukaiku kerana
bayangan Flora insan yang dikasihi ada dalam diriku. Sungguh Aqel sentiasa
mengelirukan aku.
“Wah, banyak juga gambar aktor ni di sini. Handsomekan dia...,” puji Mak Long
sambil menatap beberapa keping gambar Pak Seo Joon yang aku tampal pada muka
depan Si Merah Jambu ini. Aku mengangguk. Ketampanan yang telah diikhtiraf
dunia. Dia dicipta begitu sempurna.
“Sejak bila minat aktor ini?” tanya Mak Long mahu
berkongsi cerita.
“Baru saja... sejak jejakkan kaki ke sini,” sahutku tanpa
berahsia dan tertawa kecil. Lucu. Persis remaja pula yang tergila-gilakan artis
K-Pop. Mak Long tersenyum lebar.
“Baguslah...,” puji Mak Long. Pasti Mak Long juga pernah
memuja wajah-wajah tampan pemuda Korea. Buktinya lahir Aqel di muka bumi ini.
Alhamdulillah... jodoh Mak Long dan Pak Long memang panjang. Mereka bersatu
kembali setelah berpisah sekian lama.
“Muka dia seiras Hyeonkan...,” ujar Mak Long menyedari.
Aku tersenyum.
“Dia bukan pelakon itu. Ini Park Seo Joon. Minat dengan
pelakon ini. Suka tengok dia tersenyum. Dia memiliki senyuman yang indah. Bila
senyum mata semakin kecil,” ujarku teruja bercerita pada Mak Long. Mak Long
senyum.
“Maksud mama... aktor kacak yang kamu suka ini seiras
Hyeon... anak muda mama...Aqel,” ujar Mak Long lebih terperinci. Aku terdiam.
Timbul rasa segan.
“Tengok aktor ini
teringat pada Aqel. Wajah mereka seiras. Rasanya Aqel boleh jadi aktor
Korea kan. Harap-harap kamu lebih sukakan Hyeon mama daripada aktor dalam
gambar ini. Aqel pun ada senyuman indah macam Park Seo Joon,” ujar Mak Long
mengusikku. Aku tersenyum tawar. Terasa panas mukaku. Malu. Namun aku cuba
berlagak bersahaja.
“Simpanlah gambar aktor ini banyak-banyak supaya kamu tak
lupakan Hyeon sampai bila-bila,” ujar Mak Long sambil tersenyum.
“Maksud mama... Hyeon...Aqel,” ujar Mak Long
memperincikan bicara agar aku tidak tersilap lagi. Mak Long tergelak sendiri.
Nampak riang hatinya.
“Jangan tidur lewat. Habis buat kerja terus tidur,” pesan
Mak Long sambil bangkit dari birai katil. Kemudian berdiri di sebelahku. Mata
Mak Long masih terarah pada gambar Park Seo Joon ini. Mahu sahaja aku
sembunyikan buku ini daripada pandangan mata Mak Long. Namun sudah terlambat
kerana wajah kacak ini sudah menjadi santapan mata Mak Long. Dia tersenyum
sendiri.
“Dah mengantuk ni... nak tidur sekejap lagi.
Assalamualaikum...,” ujar Mak Long lantas mengarah langkah ke pintu dengan
senyuman yang masih terukir di bibir. Aku menyahut salam Mak Long. Aduh...,
buat malu sahaja pada Mak Long! Cepat kusimpan Si Merah Jambu ini ke dalam
laci. Bimbang juga Mak Long akan membuat tafsiran yang silap. Kalau gambar
aktor kacak ini sentiasa berada di depan mataku bimbang pula Mak Long ingat aku
rindu pada Aqel.
“Sampai hari ini
kamu tak pernah call dan whatsApp Lia,” Puan Helda tersentak.
Sungguh tidak diduga. Terasa janggal juga dengan tindakan anak mudanya ini.
“Dia pun tak pernah whatsApp
saya. Jauh sekali nak call...,”
tingkah Aqel tidak mahu disalahkan sepenuhnya. Puan Helda mendengus. Geram.
“Kamu ingat kamu tu handsome...ada
harta, dah cukup nak ikat hati perempuan. Perempuan juga perlukan perhatian.
Perasaan itu yang perlu dijaga,” ujar Puan Helda geram. Sempat menyindir Aqel.
Selebihnya menasihati anak mudanya. Aqel tersenyum sendiri mendengar pujian
itu.
‘Sedar juga mama anak mudanya ini handsome...,’ suara kecil Aqel berbisik nakal.
“Kamu dah sedia kehilangan Lia?” tegas Puan Helda. Aqel
terdiam.
“Dah ada lelaki yang berkenan pada Lia,” jelas Puan Helda
diiringi keluahan kecil. Bimbang bukan kepalang. Tidak tenang hati Puan Helda
dengan diam panjang Aqel.
“Dia yang cakap pada mama?” Lontaran suara itu masih
tenang menambah keresahan hati Puan Helda. Persis kenyataan yang keluar dari
mulutnya tidak merisaukan pemuda itu.
“Ayah kamu yang cakap. Student ayah kamu. Lelaki hebat,” jelas Puan Helda mahu
menyemarakkan api cemburu di hati Aqel. Aqel perlukan persaingan. Bungkam. Aqel
menyepi lagi.
“Kalau kamu masih berdiam diri, kamu akan kehilangan
Lia...dan kami takkan salahkannya,” tegas Puan Helda memberi peringatan. Sudah
berpihak kepada gadis itu.
“Sebagai perempuan, mama memahami perasaan Lia,” tambah
Puan Helda. Senyap. Puan Helda melepaskan keluhan. Diam Aqel tidak menyenangkan
hati.
“Kamu fikirlah baik-baik. Tak payah tidur sepanjang malam
ini,” arah Puan Helda geram. Aqel tergelak. Sedar perempuan ini sedang
keresahan.
“Assalamualaikum...,” Puan Helda menamatkan perbualan
itu. Kemudian terkocoh-kocoh melangkah ke pintu.
“Nak ke mana ni?” tanya Profesor Abdullah Han yang
berselisih di muka pintu. Hairan.
“Nak ke bilik Lia. Pujuknya...,” jelas Puan Helda
bergegas keluar. Tidak sempat bertentang mata dengan suaminya. Tidak mahu
membuang masa. Perkara penting wajib disegerakan.
“Nak pujuk Lia?” Dahi Profesor Abdullah Han berkerut.
Keliru.
“Hyeon dengan Lia bergaduh?” Profesor Abdullah Han
berbicara sendiri. Dia mengimbas kembali perbualan dengan Lia beberapa hari yang
lalu.
“Maaf... ayah nak tanya sesuatu?” Berhati-hati Profesor
Abdullah Han menutur kata. Tidak mahu menyinggung perasaan menantu yang
disenangi ini. Lia berpaling sambil tersenyum.
“Okey...ayah nak tanya apa?” Sudah bersedia menjawab
pertanyaan lelaki ini.
“Adam Rayyan ada hati pada kamu?” tanya Profesor Abdullah
Han dengan nada lembut. Tidak mahu perkara itu dipandang serius. Keyakinan dan
kepercayaan terhadap Lia tidak pernah berkurang. Lia tersentak. Dia mengeluh
kecil.
“Saya dah beri penjelasan kepadanya. Dia menerima dengan
hati terbuka,” Profesor Abdullah Han tersenyum. Tiada penafian namun perkara
ini sudah diselesaikan dengan baik.
“Ayah memang yakin kamu bijak menangani semua ni,” puji Profesor
Abdullah Han bangga.
“Terima kasih atas keyakinan ayah,” ujar Lia berlapang
dada. Dia tahu batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Apatah
lagi statusnya sebagai isteri. Dia selalu mengingatkan diri tentang perkara
itu.
“Tapi tak salah kalau kamu nak berkawan dengan Adam,”
tambahnya. Lia senyum.
“Kekok rasanya nak berkawan dengan Adam,” ujar Lia jujur.
Profesor Abdullah Han tersenyum.
“Pasti tak selesakan...,” ujar Profesor Abdullah Han
memahami situasi tersebut. Lia mengangguk.
“Sayapun tak biasa dengan Adam. Tak pernahpun berbual
dengannya,” jelas Lia.
“Kamu takde kawan kuliah lelaki yang rapat?” tanya Profesor
Abdullah Han sedikit tersentak. Tidaklah sampai begitu dia mengehadkan
pergaulan menantunya dengan kawan-kawan kuliah.
“Takde keperluan sampai nak rapat dengan mereka. Sekadar
kawan kuliah yang bertukar senyuman. Lebih senang buat tugasan kumpulan dengan
kawan-kawan perempuan,” sahut Lia. Profesor Abdullah Han tersenyum lagi. Tiada
perkara yang perlu Aqel bimbang walaupun mereka tinggal berjauhan.
“Untunglah Hyeon ada isteri yang cantik, setia dan pandai
jaga diri,” puji Profesor Abdullah Han bangga. Lia tersenyum.
“Harap-harap Hyeon akan jadi suami yang baik,” tambahnya
menggantung harapan kepada anak muda itu.
“Aqel memang baik,” sahut Lia mengakui. Kebenaran itu
tidak pernah dinafikan.
“Alhamdulillah...,” Profesor Abdullah Han senang hati
mendengar pengakuan menantunya ini.
“Kamu yakin pada Hyeon?” tanya Profesor Abdullah Han mahu
menguji. Senyap. Lia tidak terus menjawab pertanyaan itu. Dia melontar
pandangan jauh-jauh.
“Maaf...perkara ini saya kurang pasti. Sungguh sukar nak
memahami Aqel,” jelas Lia tidak mahu berselindung.
“Saya juga tak pasti tentang hubungan Aqel dengan Rania.
Sehari sebelum berangkat ke sini saya nampak Aqel bersama gadis itu. Mereka
sungguh mesra,” jelas Lia buat Profesor Abdullah Han terdiam. Kedengaran
keluhan lelaki ini.
“Aqel dah melakukan yang terbaik untuk saya. Andai dia
berhajat nak terus bersama gadis itu saya reda. Apa saja keputusan Aqel saya
akan terima,” tutur Lia setulus hati. Kenyataan gadis ini sedikit meresahkan
hati.
“Betul?” tanyanya tidak sedap hati. Lia mengangguk.
“Saya ikhlas ayah,” sahut Lia tegas dalam senyuman. Profesor
Abdullah Han mengeluh. Keresahan kembali berputik. Jelas ketenangan Lia tatkala
menuturkan perkara itu. Dia yakin gadis itu bersungguh-sungguh.
“Lia tak cintakan Hyeon?” Profesor Abdullah Han
bersoal-jawab sendirian. Kesal pula perkara ini tidak ditanyakan pada gadis
itu.
“Kalau isteri sanggup bermadu dengan perempuan lain...
maksudnya... dia dah tawar hati pada suaminya...,” Profesor Abdullah Han masih
berteka-teki. Cuba menjawab persoalan dalam benak.
“Boleh jadi pengorbanan isteri kerana cinta mendalam
terhadap suami,” tingkah suara hatinya. Dahi Profesor Abdullah Han berkerut
memikirkannya. Namun tiada jawapan yang ditemui.
Aqel menutup laptop. Kerja yang mahu diselesaikan sudah
beres. Dia mencapai alat kawalan jauh lalu menekan punat radio. Suara radio
perlahan mengalun lembut muzik menemani di kala kesunyian malam yang kian
larut. Aqel bangkit dari kerusi lalu melangkah ke katil. Lantas menyandarkan
tubuh di kepala katil. Dia melontar pandangan ke arah gambar pengantin yang
tergantung di dinding bilik ini. Suara Puan Helda berlegar-legar dalam benak.
Dia membaringkan tubuh di atas tilam empuk ini lalu memejamkan mata. Mahu menjemput
lena. Suara merdu Fattah Amin mengalun melodi indah buat kekasih hati singgah
di telinga. Bibir Aqel mula bergerak-gerak.
“Selamat malam wahai wanita terakhir...tak mungkin
kutemui seindah ini...sampai bila harusku menanti...untuk kau menjadi milikku,”
Sayup-sayup kedengaran suara Aqel mengiringi suara Fattah Amin pada rangkap
akhir lagu itu.
No comments:
Post a Comment