BAB 96
Aku memandang Aqel yang sedang tidur nyenyak di atas
sofa. Sedih dan rawan hati menatap Aqel. Harap-harap terjaga Aqel dari tidur
dia akan lebih bersemangat. Kesedihan yang merantai hidupnya selama ini akan
terhapus. Tidak sangka Aqel yang gagah, Aqel yang kuat dan dingin menanggung kesedihan
yang mendalam. Dalam tawa dan gelak Aqel tersembunyi penderitaan jiwa raga.
“Aqel, awak melihat saya persis Flora... puteri tunggal
keluarga ini” keluh hatiku berbisik. Barangkali Aqel kelihatan gembira hidup bersamaku
kerana aku bayangan jelmaan gadis kecil itu. Aqel bersungguh-sungguh
melindungiku kerana menebus kegagalan menyelamatkan Flora pada masa itu. Aqel
mampu bertahan hidup denganku kerana dia tidak boleh berpisah dengan Flora.
Lantas Aqel menggunakan kesempatan yang ada kerana aku mirip Flora. Semua
tindakan kerana arwah adik kesayangannya itu. Aku melepaskan keluhan berat.
Jika ramalanku ini benar dan tepat, aku harus menghentikan perbuatan Aqel. Aqel
harus diselamatkan daripada terus hidup dengan kenangan lalu yang pahit hendak
diingati.
“Assalamualaikum... Mak Long, apa khabar?” tanyaku lantas
berpelukan dengan Mak Long yang menyambut kedatanganku di ambang pintu.
“Alhamdulillah sihat...Gembira jumpa kamu” Mak Long
senyum. Dipaut tanganku mesra. Terdetik kerisauan di hati. Adakah Mak Long melihat
bayangan puteri kecilnya dalam diriku? Aku bersimpati kepada Mak Long.
“Kenapa Hyeon tak datang sama?” tanya Mak Long tercari-cari
kelibat anak muda itu.
"Aqel tidur tadi. Sejak kebelakangan ini dia mengalami
kesukaran tapi Mak Long jangan risau Aqel sihat” ujarku tidak mahu berselindung.
Mak Long melepaskan keluhan dan melontar pandangan jauh. Ada perkara yang
sedang bermain di benak.
“Mak Long... saya rasa Aqel perlukan pertolongan Mak Long
dan Pak Long” tuturku berhati-hati. Tidak mahu menguris perasaan Mak Long. Mak
Long menatapku.
“Dia masih meracau-racau dalam tidur?” Mak Long
memandangku.
“Pernah sekali saya nampak Aqel macam itu ketika dia tak
sihat” jelasku. Mak Long tertunduk menatap lantai. Sedih.
“Saya juga nak bantu Mak Long dan Pak Long” Kupegang
tangan Mak Long. Ikhlas.
“Saya dah tahu siapa Flora...” tambahku. Mak Long
tersentak.
“Hyeon yang cerita?” Aku mengangguk.
“Dia cerita setelah saya mendesak. Akhirnya Aqel
mengalah” Lantas kucerita terperinci bibit-bibit permulaan penyiasatan itu.
Tiada yang tertinggal termasuk setiap bicara yang terbit dari mulut Aqel yang
mendorong aku bertindak lebih jauh. Mahu membuktikan kesahihan kata-kata Aqel.
Aqel juga tidak dapat mengelak lagi. Bicara sendiri yang memerangkapnya. Tidak
kuduga akan melihat senyuman Mak Long walaupun hati berduka lara. Ada perkara yang
kucerita menggembirakan hati Mak Long.
“Alhamdulillah... Hyeon dah sembuh. Dia dah sedar akan
perasaannya” tutur Mak Long tersenyum lagi. Lapang dadaku menatap senyuman yang
terukir di bibir Mak Long.
“Aqel salahkan diri dan bersedih melihat kehidupan Mak
Long sekarang” tuturku. Mak Long geleng kepala.
“Tak pernah mama salahkan Hyeon. Tempoh 13 tahun itu
memberi mama cukup masa berfikir dengan rasional. Mama terima qada dan daqar
Allah. Hanya mama tak mahu bercakap tentang perkara itu kerana tak mahu Hyeon
bersedih” jelas Mak Long panjang lebar. Aku menghela nafas lega.
“Maafkan mama sebab tak pernah berterus-terang tentang
perkara ini pada kamu” tutur Mak Long kesal. Aku senyum.
“Takpelah Mak Long, saya faham. Ada perkara yang perlu
masa nak berterus-terang” balasku mengerti. Mak Long senyum.
“Sekarang Aqel
perlu sokongan kita semua. Sokongan Mak Long dan Pak Long. Aqel perlukan
perhatian Mak Long dan Pak Long” ujarku sarat dengan makna yang tersirat.
“Mama akan minta Hyeon lupakan perkara ini dan
berhentilah menyalahkan diri. Dia mesti hidup dengan baik. Salah mama juga
sebab tak pernah bincang tentang perkara ini” jelas Mak Long kesal. Kupegang
bahu Mak Long.
“Dia pasti mendengar cakap Mak Long dan Mak Long sendiri
kena berhenti menyalahkan diri dan menyalahkan Pak Long” pintaku. Mak Long
menatapku. Kemudian tersenyum.
“Terima kasih, Lia” Mak Long memelukku. Kedengaran sendu
Mak Long. Kutepuk lembut belakang Mak Long. Turut merasai kehibaan.
“Mak Long jangan risau. Saya akan jaga Aqel dengan baik”
janjiku.
“Terima kasih, Lia” sekali Mak Long mengulangi
penghargaannya.
“Andai ditakdirkan jodoh Mak Long dan Pak Long masih ada,
adakah Mak Long boleh menerima Pak Long kembali?” tanyaku berhati-hati. Tidak
mahu menyinggung perasaan Mak Long.
“Soal jodoh dan maut dah ditentukan Yang Maha Kuasa.
Semua itu urusan-Nya. Mama hanya berserah” tutur Mak Long sambil mengesat sisa
air mata di pipi. Jawapan Mak Long buat aku tersenyum lebar. Jelas Mak Long
tidak menolak penyatuan hidup dengan Pak Long kembali.
‘Ya...Allah, satukan jodoh Mak Long dan Pak Long. Berilah
mereka peluang kali kedua berkongsi hidup. Panjangkan jodoh mereka hingga ke
akhir hayat” bisik hatiku bermunajat. Wajah Pak Long menjelma di mataku. Ada
usaha yang patut aku lakukan agar Aqel memiliki keluarga yang sempurna.
Kusemat semangat yang utuh dalam diri. Aqel, Mak Long dan
Pak Long ialah misi perjuanganku. Aku akan membalas segala kebaikan Aqel
terhadapku. Penyatuan Mak Long dan Pak Long akan membahagiakan Aqel. Sudah
pasti akan membantu penyembuhan Aqel. Pertemuan keluarga Aqel sungguh penting
agar mereka dapat berbicara tentang Flora. Sudah sampai masa mereka
berterus-terang dan meluahkan perasaan masing-masing.
“Awak dah bangun...” sapaku tersenyum lantas melangkah ke
ruang tamu mahu menyertai Aqel menonton rancangan tv. Aqel memandangku.
“Awak ke mana awal pagi menghilang?” tanya Aqel. Aku
senyum.
“Jumpa Mak Long” sahutku tidak berselindung. Aqel
tersentak.
“Buat apa jumpa mama?” tanya Aqel mahukan penjelasan
terperinci.
“Nak jenguk dia sebab dah lama tak jumpa” balasku tenang.
Aqel diam. Dia tidak bertanya lebih lanjut. Dialih pandangan pada rancangan di
tv. Senyap. Tiada suara lagi. Aku turut menonton rancangan pilihan Aqel. Kualih
pandangan pada Aqel.
“Andai Mak Long dan Pak Long bersama kembali, awak akan
gembira tak?” tanyaku. Laju Aqel berpaling menatapku. Aku dan Aqel beradu
pandangan seketika. Aqel mengalih pandangan ke arah tv semula. Pertanyaanku
belum dijawab. Nampak dia belum bersedia dengan pertanyaan yang diajukan. Aku
bersandar di sofa sabar menanti Aqel bersuara.
“Semua anak di dunia ini mengimpikan keluarga yang
sempurna” suara Aqel singgah di telingaku. Jawapan Aqel buat aku tersenyum
sendiri.
“Saya percaya masih wujud perasaan sayang dan kasih
antara Mak Long dengan Pak Long. Mereka saling memerlukan” tuturku. Aqel
menatapku.
“Awak yakin?” Aku mengangguk.
“13 tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Sudah lama mereka
berpisah tapi tak pernahpun Mak Long mahupun Pak Long mencari pasangan hidup
baru” tuturku mengukuhkan kepercayaanku. Fakta yang membuktikan masih wujud
cinta antara dua insan itu.
“Saya nampak Pak Long masih menyimpan dan menjaga semua
barang milik Mak Long dengan baik. Begitu juga dengan Mak Long. Saya yakin Pak
Long berharap Mak Long akan kembali ke rumah itu lagi. Mak Long juga sedang
menunggu kepulangan Pak Long. Namun mereka tak tahu cara nak melakukannya”
tuturku bersungguh-sungguh. Aqel masih menatapku.
“Apa kata kalau awak yang tunjukkan cara itu?” saranku.
Aqel berfikir sejenak.
“Saya akan bantu awak” janjiku.
“Apa yang perlu saya lakukan?” tanya Aqel bersetuju
dengan cadanganku.
“Tiada kemesraan jika tiada pertemuan” balasku penuh
tersirat. Pertemuan akan membibit kemesraan. Pak Long dan Mak Long harus
ditemukan sekerap mungkin.
“Mama dan ayah tinggal berjauhan. Sukar nak temukan
mereka” ujar Aqel buntu. Aku diam. Cuba memikirkan perkara yang membolehkan Pak
Long datang ke Malaysia.
“Bila hari jadi Mak Long?” tanyaku.
“Dah lepas” sahut Aqel.
“Hari jadi awak lama lagi” keluhku. Aku dan Aqel serentak
melepaskan keluhan kecil.
“Tarikh ulang tahun perkahwinan mereka?” tanyaku.
“Akhir tahun...” sahut Aqel. Dahiku berkerut. Jawapan
yang tidak menggembirakan. Lama hendak tunggu tanggal itu. Pertemuan Pak Long
dan Mak Long tidak boleh tangguh-tangguh lagi. Perkara yang baik harus
disegerakan.
“Kalau macam itu kita buatlah majlis makan malam
keluarga” cadangku kematian akal. Tiada tanggal istimewa yang sesuai dalam masa
yang terdekat ini.
“Buatlah sambutan majlis ulang tahun perkahwinan kita”
saran Aqel. Besar mataku menatap Aqel.
“Kan tarikh itu dah berlalu” tingkahku menyedarkan Aqel.
“Takpe... kita buat majlis sambutan yang tertangguh.
Selama ini pun kita tak pernah meraikan tarikh itu” ujar Aqel. Aku terdiam.
Rasa bersalah.
“Ya... sebab saya selalu saja lupa” sahutku kesal.
“Kita buat sekali majlis doa selamat tolak bala” tambah
Aqel. Aku terdiam seketika. Aqel sudah memikirkan majlis kesyukuran untukku.
Dia sentiasa sahaja mahu mendahulukan aku.
“Kalau boleh biarlah majlis yang ringkas dan tak perlu
ramai tetamu. Nak beri peluang pada Mak Long dan Pak Long meluangkan lebih
banyak masa bersama” ujarku mengingatkan tujuan asal perkara ini. Tidak mahu
perkara yang ada kaitan denganku menjadi keutamaan.
“... dan kesempatan untuk awak bersama mereka. Pasti banyak
perkara yang awak nak cakap dengan mereka terutama dengan Pak Long” tambahku
mengerti. Aqel kurang mesra dengan Pak Long kerana jarak masa yang lama dan
jarak yang jauh memisahkan mereka. Aqel membesar bersama Mak Long. Kemudian
dalam meniti usia dewasa Aqel mula berjauhan dengan Mak Long. Banyak masa Aqel
hidup bersendirian. Kasihan Aqel.
“Okey... buat majlis ulang tahun perkahwinan kita untuk
keluarga saja” Aqel membuat keputusan. Aku mengangguk. Bersetuju sengan
keputusan Aqel. Aku akan menggunakan peluang bertemu dengan Pak Long
sebaik-baiknya. Bukan setakat hendak memulihkan hubungan Pak Long dengan Mak
Long, malah melakukan perkara terbaik buat Aqel.
************************
Aku bergegas menutup pintu kereta. Kupanjangkan langkah
ke muka pintu. Sudah terlewat. Rasa bersalah pada Aqel kerana gagal memenuhi
janji sendiri akan menemaninya menjemput Pak Long di lapangan terbang tadi.
“Assalamualaikum...” Aku melangkah masuk ke dalam rumah.
Semua mata menghala ke pintu menyambut kedatanganku. Pak Long melempar
senyuman. Mak Long tiada di sini.
“Apa khabar, Pak Long?” tanyaku sambil menghulurkan
tangan bersalam dengannya.
“Sihat...” sahutnya dalam senyuman.
“Maaf... saya terlewat dan tak sempat temankan Aqel
jemput Pak Long di lapangan terbang tadi” jelasku kesal.
“Takpe...” Pak Long senyum lagi. Matanya mengecil. Persis
senyuman Aqel. Kupandang Aqel yang mempamer wajah kosong. Barangkali dia ambil
hati kerana kegagalanku muncul bersamanya di lapangan terbang tadi. Aku mungkir
janji tanpa sengaja.
“Takpelah... Aqel dan Pak Long berbual-buallah. Saya nak
tolong Mak Long di dapur” ujarku meminta diri. Rasa janggal bersama mereka
tatkala Aqel diam panjang dengan wajah kosong yang serius. Pak Long mengangguk.
Bingkas aku bangun lalu mengatur langkah ke dapur. Kelihatan Mak Long sedang
sibuk menyediakan hidangan makan malam.
“Hey..., Lia! Baru sampai?” sapa Mak Long mesra. Aku
mengangguk.
“Maaf, Mak Long. Saya lewat sampai” ujarku serba salah.
Mak Long tersenyum.
“Apa yang perlu saya tolong?” tanyaku mahu membantu Mak
Long.
“Takpe... semua dah hampir selesai” jelas Mak Long.
“Kamu tolong hidang makanan ini di atas meja nanti” arah
Mak Long menyambung bicara.
“Boleh, Mak Long” sahutku sudah sedia berkhidmat.
“Duduklah di situ” arah Mak Long lagi. Aku patuh. Kutarik
kerusi lantas melabuhkan duduk. Kupandang Mak Long sedang giat mengacau masakan
di dalam periuk. Kemudian beralih pula pada masakan di dalam periuk yang satu
lagi. Nampak Mak Long begitu bersemangat menyediakan hidangan istimewa untuk
insan yang disayangi. Mak Long mahu Aqel dan Pak Long makan banyak malam ini.
“Kalau kamu nak minum air sirap ada dalam peti sejuk”
ujar Mak Long.
“Nanti saya ambil sendiri, Mak Long” sahutku sambil
memerhatikan gerak laku Mak Long yang lincah menyediakan hidangan malam ini. Aku
bingkas bangun lalu mencapai beberapa biji pinggan dan mangkuk lalu diletakkan
di atas meja. Kemudian kuambil sudu dan cawan. Semua kuatur di atas meja makan.
“Kenapa tak datang sama Hyeon tadi?” tanya Mak Long.
“Maaf... tadi temankan anak buah kawan pergi klinik”
sahutku. Perancangan awal aku hanya mahu menghantar Mak Tijah dan Idlan ke
klinik tadi. Kemudian bersama-sama Aqel ke lapangan terbang menyambut
kedatangan Pak Long. Namun melihat keadaan Idlan yang terbaring di atas sofa
berbantalkan paha Mak Tijah, tidak sampai hati pula aku hendak tinggalkan
mereka. Aku bertahan di situ sehingga urusan bertemu dengan doktor selesai.
Kemudian menghantar Idlan dan Mak Tijah balik ke rumah. Mereka diduga ketika
ketiadaan Haqem di sini. Kasihan mereka. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Sakit apa?” tanya Mak Long ingin mengetahui lebih
lanjut.
“Sakit perut. Mujur tak serius” jelasku berlapang dada.
Idlan tersalah makan.
“Ibu bapa budak itu mana?” tanya Mak Long. Aku terdiam.
Pilu mendengar pertanyaan ini. Aku menarik nafas.
“Dua-dua dah meninggal” jelasku. Mak Long berpaling ke
arahku. Tersentak.
“Kasihan budak tu...” keluh Mak Long bersimpati.
“Saya dah jadikan dia anak angkat saya” ujarku
memaklumkan perkara ini kepada Mak Long. Mak Long mengangguk.
“Memang patutpun kamu ambil berat pada budak itu. Hyeon
kenal budak tu?” tanya Mak Long lagi. Aku mengangguk.
“Diapun mesra dengan Aqel” Mak Long tersenyum.
“Lain kali bawalah dia datang rumah ni” pinta Mak Long
mahu bertemu dengan Idlan. Aku senyum. Alangkah baik kalaulah Datin Sofea
persis orang lain yang begitu mudah menyenangi Idlan. Pasti Idlan akan hidup
gembira.
“Insya-Allah, Mak Long” Ada kesempatan aku akan
memperkenalkan Idlan kepada Mak Long. Namun perkara ini harus dimaklumkan
kepada Aqel agar dia tidak salah faham nanti. Mak Long sudah siap memasak.
Lantas aku menghidangkan masakan itu di atas meja. Mak Long tersenyum puas hati
memandanng makanan yang sudah siap terhidang di atas meja. Semua nampak
menyelerakan.
“Panggil mereka makan sekarang” arah Mak Long. Aku
mengangguk lalu mengatur langkah ke ruang tamu. Kelihatatn Pak Long dan Aqel
rancak berbual-bual. Banyak perkara yang mahu dikongsi.
“Makanan dah siap dihidang... mari makan” ajakku
tersenyum.
“Oh...dah siap! Mari... Dah lama tak rasa masakan mama
kamu ni. Tak sabar nak makan” ujar Pak Long tanpa berselindung. Kupandang Aqel.
Dia tersenyum. Terselit simpati di hati. Kami mengekori langkah Pak Long ke
ruang makan.
“Nanti Pak Long makan banyak-banyak tau. Semua yang Mak
Long masak sedap-sedap” ujarku menambah keterujaan Pak Long.
“Kalau nak puas makan masakan mama, kenalah tinggal lama
di sini” ujar Aqel mula mengusik Pak Long. Namun nampak bersahaja. Langkah awal
hendak menyatukan Mak Long dan Pak Long. Aku tersenyum sendiri.
“Ya...betul-betul...” sokongku laju mencelah. Pak Long
tergelak.
“Masih terikat kontrak dengan Universiti Sogang lima
tahun lagi” jelas Pak Long.
“Kalau macam itu kenalah bawa mama pergi sana. Baru ayah
boleh merasa masakan mama tiap-tiap hari” saran Aqel menambah usikan.
“Ya... betul-betul...” sekali lagi aku bersuara
menyokong. Pak Long tergelak. Aqel tetap mempamer wajah statik. Langsung tiada
unsur kecindan dalam dirinya.
“Boleh tinggal berjauhan dengan mama kamu?” tanya Pak
Long mengusik Aqel pula.
“Kan saya ada isteri yang cantik” balas Aqel.
“Ya... betul-betul...” sokongku tanpa memikirkan bicara
Aqel. Pak Long tersenyum.
“Tengok...dia mengaku dirinya cantik” perli Aqel mencebik
ke arahku. Pak Long tergelak.
“Betul kata kamu... Lia memang cantik” puji Pak Long
tidak menyangkal pujian Aqel. Aku terpinga-pinga menatap Aqel.
“Awak cakap apa tadi?” tanyaku mahu Aqel mengulangi
kata-katanya tadi. Aqel hanya menjelingku. Pak Long tergelak lagi. Pak Long dan
Aqel menarik kerusi lalu melabuhkan duduk. Kupandang Aqel. Menagih bicaranya
tadi.
“Duduklah...” arah Aqel lalu menarik kerusi kosong di
sebelahnya. Lantas menarik tanganku membuatkan aku terduduk di atas kerusi.
“Apa yang awak cakap tadi?” gesaku. Aqel menulikan
telinga. Mulut dikunci.
“Hyeon puji kamu cantik” Pak Long menjawab pertanyaanku
mewakili Aqel. Aku mengetap bibir lalu menjeling Aqel. Dia perli aku di
depan Pak Long.
“Lia memang cantik pun...” suara Mak Long mencelah turut
memujiku. Aku tersengih. Segan. Aqel tersenyum sendiri. Namun tatkala
bertentang mata denganku senyuman itu terus lenyap. Tidak mahu aku melihat
senyuman itu. Mak Long duduk di kerusi. Aku terus meletakkan nasi ke dalam
pinggan. Aqel membantuku.
“Pak Long makan banyak-banyak ye... Mak Long masak
sedap-sedap ni” pujiku. Pak Long tersenyum. Begitu juga Mak Long. Sempat juga
mereka saling berpandangan. Aqel turut mempamer senyuman yang menawan. Seribu
kali Aqel tersenyum, seribu kali juga aku akan memuji senyuman itu. Sudah
terpikat pada senyuman Aqel. Cuba bayangkan pemuda kacak Korea yang sedang
tersenyum. Cukup indah dan mengoda. Berlebih-lebih pula aku memuji Aqel.
“Kamu berdua kurus... makan banyak-banyak”
arah Mak Long sambil memandangku dan Aqel silih berganti. Aku tersengih.
“Hyeon tak bagi kamu cukup makan tu” usik Pak Long. Aqel
menjelingku. Laju aku menggeleng. Aqel menjagaku dengan sempurna. Dia seorang
suami yang baik. Bahkan hidup dengan Aqel membuatkan ramai gadis yang
mencemburuiku.
“Dia selalu masak sedap untuk saya. Dia jaga saya dengan
baik” ujarku jujur. Aqel tersenyum sendiri.
“Saya yang kadangkala tak sempat masak untuknya” keluhku.
“Kamukan kerja. Mesti Hyeon faham...” ujar Pak Long
menenangkan hatiku. Aqel diam. Tidak memberikan reaksi pada bicaraku mahupun
bicara Pak Long.
“Kamu berdua perlu tinggal bersama mama ni. Baru makan
minum kamu terjaga” cadang Mak Long. Aku hanya senyum. Aqel senyap sahaja.
Tekun melayan selera.
“Mama patut tinggal dengan ayah” suara Aqel mencelah.
Senyap. Pak Long melirik ke arah Mak Long. Aku memandang Mak Long dan Pak Long.
Mahu melihat reaksi mereka tatkala mendengar kata-kata Aqel.
“Awak juga akan tinggal dengan mama dan ayah” ujar Aqel
sambil memandangku.
“Boleh...” sahutku memberi kesanggupan tanpa berfikir. Sekadar
menyokong bicara Aqel yang mahu menyatukan ibu bapanya. Mak Long dan Pak Long
sekadar mempamer senyuman sekilas. Sudah dapat meneka agenda yang dirancang
oleh Aqel.
“Malam esok kita jemput mama kamu makan di sini” Mak Long
mengubah topik perbualan. Aku mengangguk. Aku sudah membayangkan betapa seronok
dapat makan berkumpul dengan keluarga. Mak juga boleh membantu menjayakan misi
ini.
“Malam ini tidurlah di sini” ajak Mak Long. Kupandang
Aqel. Aku jadi serba salah. Tadi aku sudah berjanji dengan Mak Tijah akan
menjenguk Idlan. Kalau bermalam di rumah Mak Long pasti tidak sopan kalau aku
keluar rumah malam ini. Mahu ajak Aqel, bimbang menyusahkan pemuda ini. Aku
sudah merancang sebelum balik ke rumah nanti mahu singgah ke rumah Haqem sekejap
menjenguk Idlan.
“Saya boleh saja. Tak tahu pula kalau dia ni ada
rancangan lain” ujar Aqel sambil melirik ke arahku. Aku tersengih dan garu-garu
kepala.
“Sebenarnya... saya nak jenguk Idlan selepas ni. Dah
janji dengan Mak Tijah tadi nak datang sana” ujarku perlahan-lahan. Lebih baik
berterus-terang daripada menimbulkan kemusykilan orang lain. Aqel menatapku.
“Idlan?” Berkerut dahi Pak Long. Mungkin kurang manis
mendengar nama lelaki keluar dari mulutku. Bimbang Pak Long salah faham.
“Anak buah Haqem” jelas Aqel.
“Anak buah Haqem...” Mak Long pula yang tersentak. Aku
mengangguk.
“Kasihan... kamu tak cakappun budak tu anak buah Haqem.
Kan mama pernah jumpa budak tu dulu di rumah mak kamu” ujar Mak Long mengimbas
perkara lalu. Aku tersengih. Baru teringat hari pertama Aqel membawa Idlan
balik ke rumah mak. Ketika itu Mak Long juga berada di situ. Mak meluk Idlan
kerana perasaan belas kasihan yang begitu mendalam.
“Saya terlupa yang Mak Long kenal Haqem dan Idlan” ujarku
benar-benar lupa tentang perkara ini.
“Memanglah kenal sungguh dengan Haqem. Diakan kawan baik
Hyeon malah macam adik-beradik. Budak itupun mama pernah jumpa” tutur Mak Long.
Kupandang Aqel. Dia hanya mempamer wajah kosong.
“Lia suka budak. Dah sampai masa kamu ada anak” suara Pak
Long mencelah. Dipandang Aqel. Aku terkedu. Mak Long tersenyum panjang. Saranan
Pak Long terasa sungguh sensitif hendak didengar.
“Saya nak dia sambung belajar. Dah dapat ijazah baru fikirkan
anak” sahut Aqel mengejutkanku. Kupandang Aqel. Aqel hanya mempamer wajah
bersahaja. Tidak terusik dengan pandanganku.
“Kamu nak belajar, Lia?” tanya Mak Long turut tersentak
mendengar kenyataan Aqel. Aku tersenyum tawar. Belum sempat berfikir lagi.
“Saya belum bincang dengan Aqel lagi” jelasku tidak
berselindung.
“Betul kamu nak Lia belajar?” tanya Pak Long menyoal
Aqel. Aqel mengangguk. Nampak sungguh yakin dia merencana perkara ini buatku.
Aku kaget. Tidak pernahpun Aqel hendak berbincang perkara ini. Aku menelan
liur. Nampak Aqel serius dengan kata-katanya.
“Saya nak dia belajar. Habiskan pengajian yang tertangguh
dulu” tegas Aqel sudah ada keputusan muktamad buatku. Aku terdiam. Nampak Aqel
bersungguh-sungguh.
“Ini cita-cita awakkan”Aqel berpaling ke arahku. Aku
terdiam. Mak Long dan Pak Long turut menatapku. Perlahan-lahan aku mengangguk.
“Saya akan bincangkan perkara ini dengan awak” jelasku.
Mak Long dan Pak Long mengangguk-angguk bersetuju. Perkara ini perlukan persetujuan
dua pihak iaitu antara aku dengan Aqel. Aqel perancang manakala aku pelaksana.
“Okey...” sahut Aqel bersahaja lantas menikmati hidangan
kembali sedangkan seleraku sudah terhenti gara-gara dikejutkan dengan kenyataan
Aqel.
Usai menikmati hidangan, aku menolong Mak Long mencuci
pinggan-mangkuk dan mengemas dapur. Aqel dan Pak Long sudah bergerak ke ruang
tamu semula menyambung perbualan mereka. Banyak perkara yang belum habis mereka
bualkan lagi. Usai kerja di dapur, aku dan Mak Long bergerak ke ruang tamu hendak menyertai Aqel dan Pak Long.
“Awak geraklah sekarang... dah lewat ni” arah Aqel sambil
menatapku.
“Huh...!” Aku terkebil-kebil membalas pandangan Aqel.
“Kan awak kata nak jenguk Idlan tadi. Pergilah. Jangan
lupa kunci pagar dan rumah. Saya dan ayah tidur di sini malam ni” jelas Aqel.
Aku berfikir sejenak. Aku harus memberi peluang kepada Aqel bersama ibu
bapanya. Ketiadaanku akan memudahkan Aqel, Mak Long mahupun Pak Long meluah
perasaan tanpa sempadan.
“Lepas jenguk budak tu, kamu baliklah ke sini semula”
saran Mak Long.
“Dia ada kerja office
nak buat” tingkah Aqel. Aku diam. Kerja pejabat? Mula memikirkan tentang
kerja pejabat yang kubawa balik ke rumah. Rasanya tiada. Aku tidak berbohong
kepada Mak Long dan Pak Long. Bukan salahku. Nampak sungguh Aqel tidak mahu aku
berada di sini. Sedih.
“Apa punya bos kamu ni kerja office sampai bawa balik rumah” rungut Mak Long mengkritik Aqel. Aqel
mempamer wajah yang tiada perasaan.
“Kamu nak Lia bersendirian di rumah malam ni?” janggal
suara Pak Long bertanya.
“Dia dah biasa berseorangan di rumah” sahut Aqel.
Pandangan Mak Long dan Pak Long bersatu di wajah Aqel. Tidak senang mendengar
kenyataan yang keluar dari mulut anak muda itu.
“Maksud Aqel...saya bersendirian ketika dia out station” jelasku mensirna fahaman
mereka. Mak Long menarik nafas lega. Sempat juga menjeling ke arah Aqel.
“Lain kali kalau Hyeon out station kamu mesti tidur di rumah mak kamu atau datang sini.
Jangan tinggal bersendirian di rumah” pesan Pak Long tidak senang hati.
“Mak Long pun tinggal bersendirian, Pak Long kenalah
temankan Mak Long” balasku mengusik mereka. Pak Long senyum.
“Kamu ni...Di sini jiran tinggal dekat-dekat. Rumah kamu
tu jauh dari orang lain” tingkah Mak Long menangkis usikanku. Aku senyum.
“Tulah beli rumah syok sendiri. Bukan nak minta pendapat
orang lain” rungut Mak Long sambil menjeling Aqel lagi. Kasihan Aqel. Sekali
lagi terkena bebelan Mak Long.
“Mak Long jangan risau, Aqel jaga saya dengan baik, malah
melindungi saya melebihi kepentingan nyawa sendiri” tuturku jujur. Pak Long
mengangguk-angguk berpuas hati.
“Saya tak nak menyesal sepanjang hidup...” sahut Aqel.
Senyap. Semua terdiam mendengar bicara Aqel. Kupandang Aqel yang sedang
melontar pandangan jauh. Mak Long tertunduk hiba. Pak Long mempamer wajah
sedih. Masing-masing memahami bicara Aqel. Tidak mahu musibah yang menimpa
Flora berulang lagi. Gagal melindungiku akan menyebabkan Aqel menyalahkan diri
persis sekarang.
“Takpelah... saya pergi dulu” suaraku memecah keheningan
ini. Aku bangkit dari sofa lalu menyalami tangan Mak Long dan Pak Long.
Kupandang Aqel.
“Saya balik dulu...” ujarku meminta diri. Aqel mengangguk.
“Pandu kereta hati-hati” pesan Pak Long. Aku mengangguk
lalu mempercepatkan langkah ke pintu. Terasa janggal tatkala semua berdiam
diri. Aku terus memandu kereta ke rumah Haqem. Mujur Mak Tijah belum tidur
lagi. Setelah menjenguk Idlan yang sedang tidur nyenyak, aku meminta diri.
Tidak lama berada di rumah Haqem. Tatkala aku melangkah masuk ke dalam banglo
ini terasa sunyi sepi. Aku bersendirian di sini. Kulontar pandangan ke arah
sofa panjang itu. Tiada Aqel berbaring di situ seperti kebiasaan. Aku melangkah
ke arah sofa panjang lalu berbaring dan meletakkan kepalaku di
bantal kepunyaan Aqel. Mahu merasa tidur di atas sofa ini lantas berkongsi pengalaman
dengan Aqel. Setiap malam Aqel tidur di sini. Kupejamkan mata. Kasihan Aqel.
Ternyata tidur di katil bertilam empuk itu lebih selesa berbanding di atas sofa
panjang ini. Malam ini aku akan tidur di sini.
Tatkala mata kubuka, aku tersentak menatap Aqel berada di
depanku sedang duduk di atas meja sofa ini. Tepat 360 darjah menghadap ke
arahku dengan kepala tertunduk. Tidur tanpa berbaring. Pasti Aqel sudah lama
memerhatikan aku. Tidak menduga sepanjang malam dia menemaniku di sini. Dekat
denganku. Kutatap selimut yang menutupi tubuh. Selimut yang pernah Aqel
pinjamkan kepadaku di hospital tempoh hari. Aqel terjaga. Pandanganku dengan
Aqel bersatu. Lama aku dan Aqel berpandangan dengan mulut yang terkunci. Aqel
melepaskan keluhan berat dan memalingkan muka dari pandanganku. Sekejap sahaja.
Aqel menatapku kembali. Wajahnya serius.
“Saya minta maaf tak dapat temankan awak jemput Pak Long
di airport semalam” suaraku memecah
keheningan pagi ini. Baru berpeluang berbicara perkara ini. Aqel memandangku
tanpa perasaan. Barangkali tidak senang dengan permohonan maaf ini. Dia tidak
suka aku mungkir janji. Namun perkara yang berlaku di luar kawalanku.
“Saya tak sampai hati nak tinggalkan Idlan dalam keadaan
begitu” luahku bukan semata-mata hendak memberi alasan. Muka Idlan pucat lesu.
Dia tidak mampu duduk.
“Saya tak suka awak mungkir janji. Dalam semua perkara
awak sentiasa mendahulukan budak itu dari saya” suara Aqel serius. Aku terdiam.
Terasa aku tidak berlaku adil terhadap Aqel selama ini. Kesabaran Aqel kian
menipis. Aqel berkecil hati.
“Maafkan saya” Kuulangi permohonan maaf. Kedengaran
keluhan kecil Aqel.
“Awak dengar baik-baik perkara yang saya nak cakap dan
saya tak nak awak bersuara” perintah Aqel menyuruh aku terus mengunci mulut.
Aku terkedu. Tidak pernah dia berkelakuan begini. Tegas arahannya.
“Sudah sampai masa saya menggunakan kuasa saya sebagai
suami awak” tegas Aqel serius. Aku terkesima menatap Aqel. Baru pernah melihat
Aqel senekad ini.
“Sebagai suami awak, saya dah buat keputusan akan hantar
awak ke luar negara” ujar Aqel mengejutkan aku.
“Hah...!” Aku terkedu. Arahan berpaksikan suami bererti
aku wajib patuh. Sungguh keputusan ini memeranjatkan aku. Buat pertama kali aku
akan merantau ke negara orang. Bimbang menerpa diri.
“Awak ikut saja
apa yang telah saya aturkan untuk awak. Tentang mak, awak tak payah risau. Saya
akan jaga mak dan Aziq dengan baik” tutur Aqel sudah mempersiapkan rancangan
untukku. Aqel nekad membuat keputusan tanpa berbincang denganku terlebih
dahulu. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Sungguh aku terkilan
dengan tindakan Aqel.
“Selagi awak berada di sini... dekat dengan Idlan dan
Haqem, selagi itu awak tak tahu apa yang terbaik buat diri awak sendiri. Awak
akan sentiasa mengabaikan kepentingan sendiri. Haqem akan sentiasa berharap
pada awak dan Datin Sofea akan terus menyakiti awak” tegas Aqel dengan
pandangan tajam menatapku. Aku tergamam.
“Awak jumpa Idlan kali terakhir. Kalau ada perkara yang
awak nak cakap pada Haqem, awak juga boleh jumpanya. Selepas ini...suatu jangka
masa yang panjang, awak takkan jumpa mereka” keras suara Aqel. Aku terkedu.
Nampak Aqel bersungguh-sungguh dengan kata-katanya. Kali ini memang Aqel mahu
mengawalku.
“Dalam masa terdekat awak akan tinggalkan negara ini”
tegas Aqel. Aku tergamam. Sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Keputusan Aqel
muktamad. Bertindak tanpa pengetahuanku. Semua sudah lengkap dipersiapkan.
“Awak tak perlu buat apa-apa. Segalanya saya dah siapkan
untuk awak. Kalau awak perlukan apa-apa lagi beritahu saya” pesan Aqel. Aku
terdiam panjang. Kulepaskan keluhan.
“Awak nak hantar saya ke mana?” tanyaku mula bersuara.
Aku dan Aqel beradu pandangan. Aqel bangun lalu mendekatiku. Bahuku
ditepuk-tepuk lembut.
“Saya tak nak sentiasa risaukan awak. Jadi saya hantar
awak di mana ada orang yang akan jaga awak dengan baik” ujar Aqel. Aku
tergamam. Bicara Aqel sukar hendak difahami. Sungguh terperinci perancangannya.
Siapakah gerangan yang dimaksudkan olehnya? Aku tertanya-tanya. Aqel lama
tinggal di luar negara sudah pasti dia ramai kenalan yang dipercayai. Aku
memejamkan mata rapat-rapat. Tidak mahu memikirkan lagi.
“Mama dan ayah tak pernah bercerai. Saya yang silap
tanggapan selama ini” tutur Aqel mengejutkan aku. Bukan Aqel seorang sahaja
yang salah faham, malah aku, mak dan Aziq juga beranggapan sedemikian. Perkara
ini sungguh mengejutkan. Namun cukup menggembirakan. Lega dan lapang dada.
Alhamdulillah Allah masih memanjangkan jodoh mereka.
“Masalah mama dan ayah dah selesai. Tak perlu bimbang
lagi. Sekarang persiapkan diri awak dari segi fizikal dan mental. Bukan mudah
hidup di negara orang. Namun pengalaman akan menjadikan awak lebih matang
dan kuat” ujar Aqel memberi peringatan. Aku terkedu. Aqel bangun lalu melangkah
ke pintu. Kelibat Aqel hilang dari penglihatan mata. Aku masih memikirkan
kata-kata Aqel. Dalam rasa terkejut, aku memanjat kesyukuran kerana masalah Mak
Long dan Pak Long telah selesai dengan mudah.
No comments:
Post a Comment