BAB 93
“Flora...” Lembut suaranya memanggil gadis itu. Aku
berpaling. Sayu pandangan Aqel menatapku. Aqel datang hendak membawaku pulang.
Itu janji Aqel.
“Aqel... saya dah
letih. Letih sungguh...” keluhku lemah. Terasa hangat meluncur laju di pipiku.
Air mataku berderai di depan Aqel. Tidak mampu disekat lagi. Aqel melepaskan
keluhan. Wajahnya serius. Lantas melangkah mendekatiku. Aqel menghulurkan
tangan kepadaku. Kudongak wajah Aqel. Dia menanti huluran tangannya disambut.
Anggukan kepala dan isyarat matanya mengarahkan aku menyambut tangannya.
Lambat-lambat kucapai tangan Aqel. Lembut Aqel menarikku bangkit. Lalu
memintaku bergerak mengiringi langkahnya. Pautan tangan Aqel kemas. Aturan
langkah kakinya tampak yakin. Pandangan mata dan senyuman warga KDUT yang
dilewati sepanjang perjalanan ke muka pintu utama langsung tidak dihiraukan.
“Kita nak ke mana ni?” tanyaku hairan. Enjin kereta
dihidupkan. Mungkin Aqel mahu menghantarku balik ke rumah berehat. Mahu
menjauhkan aku daripada warga KDUT.
“Pakai tali pinggang” arah Aqel mengabaikan pertanyaanku.
Kupandang Aqel. Aku mahukan jawapan untuk pertanyaanku ini. Aqel melepaskan
keluhan lantas berpaling ke arahku. Tiba-tiba sahaja dia mendekatkan diri
denganku. Aku menahan nafas dan menegakkan tubuh. Kekok dengan posisi yang
terlalu dekat dengan Aqel. Tangan Aqel menarik tali pinggang di tepi lantas
memasang untukku. Kemudian kembali pada kerusi pemandu. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 mula bergerak
meninggalkan perkarangan KDUT.
“Jangan risau saya takkan cium awak di khalayak umum”
tutur Aqel bersahaja dengan sekilas senyuman terukir di bibir. Aku mengetap
bibir. Geram. Terasa panas mukaku dengan usikan Aqel. Kusandarkan tubuh di
kerusi. Kupalingkan wajah ke tingkap, melontar pandangan keluar. Aku hanya mahu mendiamkan diri walaupun Aqel
berada di sebelahku tika ini. Lantas kupejamkan mata. Biarlah... ke mana sahaja
Aqel membawaku pergi. Aku tahu aku akan selamat bersama Aqel.
Senyap...sunyi...sepi. Aqel melirik ke sisinya. Gadis itu sudah terlena.
“Awak memang keletihan sungguh...” suara hati Aqel
berbicara sendirian. Dia melepaskan keluhan. Fokus pada pemanduan.
Dari celah-celah kelopak mata yang sedikit terbuka ini,
samar-samar aku nampak pepohon menghijau yang bergerak-gerak ditiup angin.
Pepohon merimbun yang ditanam dalam barisan yang lurus di kiri di kanan bahu
jalan menghalang pancaran cahaya memberikan suasana yang sungguh menarik.
Keredupan yang memberikan keselesaan. Tenang dan segar. Suasana ini tidak
terlalu asing padaku. Aku mengubah posisi tubuh. Kuhala pandangan ke depan.
Banglo kaca yang cantik itu berada kira-kira 100 meter di depanku. Kupandang
Aqel.
“Saya harap awak akan tenang di sini” ujar Aqel
mendahuluiku bersuara.
“Berehatlah...tak payah berfikir banyak” tambah Aqel lantas menolak pintu kereta keluar. Pak Shuib berlari-lari anak mendapatkan
Aqel. Tampak kunjunganku kali kedua ini di luar pengetahuannya. Aku bangkit
dari kerusi dan keluar mendapatkan Pak Shuib yang sedang bersalaman dengan
Aqel. Pak Shuib memeluk tubuh Aqel. Persis seorang ayah sedang melepaskan
kerinduan kepada anak lelakinya. Sedikit menyentuh kalbuku.
“Apa khabar pak cik?” sapaku menghadiahkan senyuman kepadanya.
“Baik... Kamu berdua sihat?” tanyanya. Aku mengangguk.
“Kenapa tak cakap nak datang sini? Boleh pak cik sediakan
makanan” tutur Pak Shuib kesal. Aku dan Aqel senyum. Sungguh prihatin lelaki
ini. Pak Shuib teruja dengan kedatangan kami.
“Tak payahlah susah-susah pak cik. Kita makan saja apa
yang ada” tutur Aqel yang memang tidak merancang kedatangan mereka ke vila
persinggahan miliknya itu. Aku mengangguk.
“Sehari dua ni tak berselera nak makan” tambah Aqel
mengurangkan rasa bersalah Pak Shuib. Lelaki tua ini menatap wajahnya.
“Tak sihat? Pak cik tengok muka kamu pucat” tegur Pak
Shuib. Aqel hanya tersenyum.
“Kurang rehat” jelas Aqel. Kupandang wajah Aqel yang
masih dengan senyuman. Aqel memang tidak cukup rehat. Kehidupannya dipenuhi
dengan bebanan kerja. Apatah lagi aku turut menjadi bebanan kepada Aqel.
Kasihan Aqel.
“Sekarang angin kuat kat sini. Dingin semacam. Marilah
masuk ke dalam. Nanti jatuh sakit pula” ujar Pak Shuib bimbang. Pak Shuib
menatapku dan Aqel silih berganti.
“Mana beg pakaian? Tak bermalam?” tanya Pak Shuib.
“Pakaian saya banyak dalam almari di bilik. Nanti dia
boleh pakai kalau tak jadi balik” ujar Aqel bersahaja sambil melirikku. Kupandang Aqel. Biar
benar Aqel hendak bermalam di sini. Timbul kesulitan kalau aku dan Aqel
bermalam di sini. Pak Shuib mesti beranggapan aku dengan Aqel seperti
kebanyakan suami isteri yang lain. Sebenarnya tiada masalah. Selama ini pun aku
dan Aqel berkongsi bilik dan katil. Aqel mampu mengawal diri. Pergaulan kami yang
masih terbatas.
“Apa yang awak fikirkan? Masuklah...” suara Aqel
menyentakku. Buru-buru aku mengekori langkah Aqel dan Pak Shuib.
“Awak berehatlah di bilik sana” arah Aqel sambil
menunding jari pada bilik itu. Kutatap Aqel. Betulkah ini yang Aqel mahu?
“Saya nak awak berehat puas-puas. Kalau awak perlukan
apa-apa panggil Pak Shuib. Saya nak berehat di bilik sekarang” tambah Aqel
lantas meninggalkan aku yang masih berdiri di situ memerhatikan langkah Aqel
beredar.
“Tak nak minum Lia?” panggil Pak Shuib dari dapur.
“Kejap lagi saya pergi dapur” sahutku menghalang Pak
Shuib menghidang untukku. Segan dilayan sebagai tetamu. Lebih selesa jikalau
Pak Shuib melayanku persis anaknya sendiri seperti hubungan akrabnya dengan
Aqel. Tidak mahu berlengah, aku segera melangkah ke dapur mendapatkan Pak Shuib.
Sudah tersedia segelas milo ais di atas meja.
“Boleh minum milo ais?” tanya Pak Shuib. Aku mengangguk.
“Ni minuman kegemaran Aqel. Biarlah dia berehat dulu”
jelas Pak Shuib tidak mahu mengganggu Aqel. Aku mengangguk bersetuju. Memandu
sejauh ini memang memenatkan. Apatah lagi perkara yang terjadi padaku turut
membebankan Aqel. Dia telah bersungguh-sungguh melepaskan aku dari tuduhan itu.
Kemunculan Datin Sofea dan Bella menjelaskan perkara ini hanya salah faham
sekali gus penarikbalikan dakwaan itu mesti ada kaitan dengan Aqel dan Haqem.
“Bukan jus epal dan jus oren minuman kegemaran Aqel?”
tanyaku sangsi. Pak Shuib tersenyum. Cetak pengetahuanku tentang kegemaran
Aqel.
“Sebab Lia suka jus epal. Aqel tak pernah pentingkan diri
sendiri” tutur Pak Shuib. Sedikit terpukul aku mendengar bicara Pak Shuib ini.
Rasa tersindir.
“Berbanding saya...pak cik lebih mengenali Aqel” jelasku
tidak berselindung.
“Lia...masih punya banyak masa nak mengenali Aqel. Ada hati ada kesungguhan...” ujar Pak Shuib berkias-kias. Untuk sekian
kali aku terpukul dengan bicara Pak Shuib lagi. Aku tahu Pak Shuib tidak
berniat hendak menyindirku. Bicaranya telus. Hanya orang yang bersalah sahaja
yang terasa. Aku pesalah Aqel? Kuhabiskan air milo ais di dalam gelas. Kemudian
bergerak ke singki. Mahu mencuci gelas ini.
“Letak saja di situ, nanti pak cik cuci” arah Pak Shuib.
Aku menggeleng. Tidak mahu patuh pada arahan Pak Shuib. Tidak sopan membiarkan
orang lain membasuh bekas minum sendiri. Apatah lagi Pak Shuib orang tua yang
tidak patut dibebani. Dari tingkap singki ini, kulontar pandangan keluar sana.
“Tak silap saya... kat belakang ni ada sungai kan, pak
cik” tekaku mengimbas pengetahuan lalu.
“Ya... ada sungai. Ada masa... Aqel akan memancing di
jeti di situ” sahut Pak Shuib.
“Ada jeti?” tanyaku teruja.
“Ada. Aqel yang upah orang buat. Lebih selesa Aqel nak
memancing” cerita Pak Shuib. Aqel bina tempat yang lebih selesa untuk
memancing. Aku tersenyum sendiri. Dia banyak duit. Mudah sahaja menunaikan
hajat hati. Seronok jadi Aqel.
“Saya nak jalan-jalan di situlah, pak cik” ujarku teruja.
Tidak sabar hendak ke situ.
“Hati-hati. Air sungai itu dalam” jelas Pak Shuib
bimbang.
“Saya akan jaga diri baik-baik, pak cik” janjiku.
“Betul Lia nak pergi sana?” tanya Pak Shuib sangsi. Aku
mengangguk.
“Saya nak pergi sekarang. Dah tak sabar ni” jelasku
meninggalkan Pak Shuib di dapur.
“Jaga diri baik-baik. Jangan main air sungai. Bahaya...”
ujar Pak Shuib memberi peringatan. Aku tersenyum sendiri. Persis anak kecil
pula Pak Shuib melayanku.
“Baiklah pak cik...” ujarku sedikit melaung sebelum
melangkah ke pintu. Mahu menikmati ketenangan bersendirian setelah beberapa
hari dibelenggu kebimbangan. Alhamdulillah. Semua telah selesai. Aku tidak mahu
memikirkan perkara itu lagi. Andai musibah yang menimpaku angkara Datin
Sofea dan Bella, mudah-mudahan mereka akan insaf.
“Wah,...!” Aku kagum menatap lanskap yang dicipta oleh
Aqel di tengah-tengah keindahan dan kesegaran alam semula jadi ini. Sungguh
mempesonakan. Bukan susah hendak sampai ke jeti ini kerana sudah tersedia
laluan berbata yang dibina begitu sempurna. Aku kagum pada pemandangan indah di
sini. Bukan sekadar jeti biasa. Ada buaian kayu digantung di sini. Haruman
wangian bunga-bungaan yang ditanam di tepi laluan jalan kaki sehinggalah
menjadi sebahagian lanskap jeti ini sedang mekar dan sungguh menyegarkan.
Tambahan angin bertiup sepoi-sepoi. Aku duduk di atas buai berbangku kayu jati
yang diukir halus seninya. Tali buai daripada akar kayu yang utuh dan kukuh
ditocang kemas. Mungkin Aqel merancang hendak menjadikan jeti ini lokasi
penggambaran percintaan sepasang kekasih yang romantis. Aku terus menggerakkan
buai ini sambil mengalun suara. Cuba meniru babak cerita klasik Bawang Putih
Bawang Merah.
“... aku nak kahwin dengan anak raja...” suara sumbangku
meniru lagu Bawang Putih. Aku tergelak sendiri. Kuulang beberapa kali. Semakin
laju buai ini kuhayun. Tiba-tiba sebelah selipar terpisah dari kaki kananku.
Selipar itu terpelanting jatuh ke dalam sungai. Berkerut dahiku menatap selipar
itu bergerak di permukaan air sungai. Sedikit demi sedikit menjauhi jeti ini.
Aku menggelabah mencari kayu panjang. Kutinggalkan jeti.
Aqel menggeliat beberapa kali. Dia bersin berulang-ulang.
Sudah ada bunga-bunga mahu selsema. Dia melangkah ke dapur. Kelihatan Pak Shuib
sedang leka menyiapkan menu masakan. Sunyi sepi. Ternyata Pak Shuib sedang
bersendirian sekarang.
“Dah bangun
kamu...” tegur Pak Shuib tersenyum menyambut kemunculan Aqel di situ. Aqel
senyum. Dicapai gelas lalu menuang air kosong yang sudah tersedia di atas meja.
Dia melabuh duduk di kerusi. Lantas meneguk beberapa kali air kosong di dalam
gelas. Hilang dahaga. Lega setelah anak tekak dibasahi.
“Lia... pergi ke jeti” jelas Pak Shuib. Dipandang Pak
Shuib.
“Dah lama ke?” tanyanya risau.
“Sejak dari tadi” jelas Pak Shuib. Bingkas Aqel bangun.
Dia terus sahaja melangkah ke pintu. Tidak sempat meninggalkan pesanan kepada
Pak Shuib. Bimbang mendengar kenyataan lelaki
itu. Tidak mahu gadis itu bersendirian di situ.
Mataku masih melilau-lilau mencari kayu panjang. Kayu
yang kubawa tadi tidak cukup ukuran untuk mencapai selipar yang terapung di
permukaan di air. Mujur juga selipar itu tersangkut di akar di tepi tebing.
Malang tanganku tidak cukup panjang hendak mencapai. Bimbang selipar itu akan
terlepas dan terus hanyut dibawa arus air sungai yang laju. Tambahan pula angin
bertiup kuat. Kalaulah aku pandai berenang sudah pasti aku akan masuk ke dalam
air sungai ini. Mudah sahaja aku hendak mendapatkan selipar itu kembali. Kupandang
sekeliling. Aku semakin jauh meninggalkan jeti. Namun aku belum menemui
kayu yang kukehendaki. Risau juga jikalau aku hilang arah. Tersesat.
Nafas Aqel tercungap-cungap. Dipandang sekeliling. Tiada
sesiapa di jeti sekarang. Kelibat gadis itu tidak kelihatan. Aqel diterjah
kebimbangan. Kebimbangan kian memuncak tatkala terpandang selipar tersangkut
pada akar kayu di tebing sungai itu. Tanpa berlengah Aqel terus terjun. Dia
tahu kedatangannya sudah terlewat.
“Flora...!!! Flora...!!!” laung Aqel sekuat hati. Tiada
suara yang menyahut. Aqel menyelam semula. Dia tenggelam timbul sambil suara
bergema melaung nama itu. Tidak mahu mengalah dia terus mencari-cari dari dasar
tebing sungai itu sehingga kawasan yang kian menjauh. Semangat kuat hendak
menemui gadis itu. Selipar di tangan digenggam kuat.
“Flora...!!! Flora...!!!”suara Aqel bergema. Sayup-sayup
aku mendengar suara cemas melaung nama Flora. Kuamati betul-betul. Itu suara Aqel memanggilku. Aku berlari
keluar dari hutan kecil ini. Melupakan sahaja hasrat hendak membawa kayu yang
baru kutemui.
“Flora...!!! Flora...!!!” Aqel meluang nama ini sekuat
hati. Langkahku mati. Aku terpana menatap Aqel yang berkali-kali menyelam ke
dasar sungai. Persis dia sedang mencari kelibatku yang tidak tahu berenang. Mungkin
Aqel ingat aku lemas. Nafas Aqel tercungap-cungap. Wajahnya bercelaru. Suaraku
tersekat di kerongkong. Hanya mampu memerhatikan gelagat Aqel.
“Flora... di mana awak...!!!” suara Aqel semakin lemah.
Dia tidak berdaya lagi. Tatkala Aqel sudah kehilangan tenaga, dia menakup
tangan ke muka. Bahunya terhinjut-hinjut. Aku nampak Aqel menangis. Terasa
hangat mengalir di pipiku. Tersentuh melihat usaha Aqel cuba menyelamatkan aku
yang lemas. Andai aku jatuh ke dalam dasar sungai itu, demikianlah Aqel akan
mencariku. Aku nampak kesungguhan Aqel.
“Aqel...!” Kulontar suara melepasi kerongkong. Laju Aqel
berpaling. Pandangan kami bersatu. Nampak Aqel menghela nafas lega.
“Flora...awak...” Aqel tertawa sendiri. Kemudian
melepaskan keluhan sekuat hati. Bagai bebanan yang sungguh berat sudah
terlepas. Aqel berenang ke jeti. Laju langkah Aqel mendekatiku. Aku terkesima
tatkala Aqel terus memelukku. Dia gembira dan berlapang dada kerana tiada
musibah menimpaku. Barangkali dalam benak Aqel aku telah tenggelam di dasar
sungai. Aqel meleraikan pelukan di tubuhku. Wajahku ditatap garang.
“Siapa suruh awak datang sorang-sorang ke jeti ni...!”
tengking Aqel. Aku kaget. Wajahnya serius. Aqel sedang marah. Perubahan yang
drastik. Sebentar tadi Aqel nampak gembira dan lega tatkala menatapku. Sekarang
Aqel nampak bengis dengan amarah.
“Awak selalu bertindak sendiri tanpa fikirkan orang
lain...! Awak selalu buat saya risau. Awak tak tahu betapa saya ketakutan tadi.
Saya ingat takkan jumpa awak lagi...!” lantang suara Aqel melempiaskan
kebimbangan.
“Maafkan saya... Saya cari kayu nak ambil selipar saya
jatuh” jelasku kesal. Pandangan Aqel tajam menatapku. Dia marah sungguh-sungguh.
Selipar di tangan dilepaskan. Kaki kananku terus sahaja menyarung selipar itu. Tangan Aqel memaut tanganku lantas menarikku meninggalkan jeti ini. Di
pertengahan jalan langkah Aqel terhenti. Aku turut sama mematikan langkah. Aqel
berpaling menatapku. wajahnya serius.
“Pegang tangan saya kuat-kuat. Jangan sesekali awak
lepaskan. Saya takkan biarkan awak hilang dari pandangan mata saya lagi” tegas
Aqel. Aku menatap Aqel. Terkedu.
“Jika Haqem kecewakan awak, jika Datin Sofea sakiti awak
dan jika awak rasa tak berdaya kerana Idlan, bersandarlah di bahu saya. Saya
akan sentiasa kuat dan bertenaga melindungi awak. Saya akan berada di sisi awak
hingga hujung nyawa saya” tegas Aqel. Aku terkedu. Sungguh romantis bicara
Aqel. Terasa pautan tangan Aqel kian erat. Lantas Aqel memimpin tanganku
sepanjang perjalanan ini. Langsung tidak mahu dilepaskan. Sungguh besar
pengorbanan Aqel. Tidak terbalas olehku sampai bila-bila.
“Kenapa basah-basah ni?” tanya Pak Shuib cemas. Pak Shuib
menatapku dan Aqel dengan kehairanan.
Kutarik tangan dari pautan tangan Aqel. Segan melihat pandangan mata Pak Shuib
terarah ke situ. Gagal terlerai. Pautan tangan Aqel begitu utuh.
“Ingat kata-kata saya tadi sampai bila-bila” pesan Aqel
mengingatkan aku. Kemudian barulah dia meleraikan tanganku dari pautan
tangannya.
“Pak cik ... tolong ambil tuala dan pakaian saya untuk
Flora. Buat segelas minuman panas untuknya” arah Aqel. Pak Shuib mengangguk patuh. Aqel terus sahaja
beredar pergi meninggalkan aku bersama Pak Shuib. Sempat aku memerhatikan
langkah longlai Aqel bersama titisan air yang membasahi pakaian di tubuh.
Timbul kekesalanku.
“Tak pernah tengok Aqel seserius macam tu. Apa yang
berlaku?” tanya Pak Shuib.
“Semua salah saya. Saya tak patut buat Aqel cemas tadi”
jelasku. Aku melepaskan keluhan. Masih terbayang gelagat Aqel tadi. Sungguh
menyentuh hati.
“Aqel ingat saya lemas tadi” ujarku memberi penjelasan
kepada Pak Shuib.
“Syukurlah tak berlaku perkara buruk” ujar Pak Shuib
lega. Aku menarik nafas. Turut lega. Mak dan Aziq juga tidak tega malapetaka
menimpaku.
“Tunggu kat sini ... biar pak cik ambil pakaian untuk
kamu” ujar Pak Shuib. Aku mengangguk. Kubiarkan Pak Shuib berlalu. Pakaian di
tubuhku sedikit basah tatkala Aqel memelukku tadi. Tidak menunggu lama, Pak
Shuib muncul bersama persalinan pakaian Aqel yang mahu dipinjamkan kepadaku.
“Pergilah tukar pakaian. Sekejap lagi pak cik buatkan air
minuman panas untuk kamu” ujar Pak Shuib. Aku mengangguk. Arahan Aqel
tidak mahu dibantah. Tidak tega membuatkan Pak Shuib serba salah melaksanakan
tugas. Aku melangkah ke bilik yang ditunjukkan oleh Aqel tadi. Lantas aku melangkah
ke bilik air. Alang-alang basah, lebih baik terus mandi. Berharap seusai mandi
akan rasa segar-bugar.
“Padan sangat baju Aqel dengan kamu. Seluar saja kena
lipat” tutur Pak Shuib sambil menatapku. Aku tersenyum. Aqel lebih tinggi
dariku.
“Air milo panas untuk kamu” jelas Pak Shuib lantas
meletakkan segelas air milo berasap-asap di depanku.
“Terima kasih” ujarku. Pak Shuib tersenyum.
“Minum hati-hati ... panas air milo tu” ujarnya
mengingatkan aku. Aku mengangguk. Kuteguk perlahan air milo panas ini.
“Jangan pergi ke jeti lagi kecuali berteman” nasihat Pak
Shuib.
“Okey...” sahutku berjanji.
“Kamu dah buat Aqel terkejut tadi. Mujur jua Aqel pemuda
yang kuat semangat” jelas Pak Shuib. Aku melepaskan keluhan. Rasa bersalah yang
belum lenyap.
“Saya memang rasa bersalah menakutkan Aqel tadi” ujarku
kesal.
“Bukannya apa... Aqel tu sayang sungguh pada kamu. Dia tak
rela perkara buruk menimpa kamu” sahut Pak Shuib. Aqel memikul tanggungjawab
yang berat. Dia memang sentiasa memberi keutamaan kepada keluarga. Sentiasa
mahu melindungi.
“Lepas ni berehatlah dalam bilik. Petang sikit bolehlah
ajak Aqel menghirup udara segar di sekitar banglo ni” cadang Pak Shuib. Ada-ada
sahaja yang berlaku sejak kebelakangan ini. Aku baru sahaja terlepas daripada
tuduhan menyeleweng aset syarikat.
“Aqel dalam bilik? Dah buat minuman panas untuknya?” Aku
sekadar bertanya. Pak Shuib mengangguk. Dia tidak pernah lalai melaksanakan
tanggungjawab. Pembantu rumah yang setia. Seorang lelaki tua yang berbudi
bahasa dan berhati mulia. Insan yang sangat menyenangkan.
“Dia nak tidur berehat. Tak nak diganggu” jelas Pak Shuib
memberi peringatan. Ertinya Aqel mahu bersendirian. Memulihkan semangat yang
berterbangan. Aqel mesti segan kerana aku menyaksikan deraian airmatanya tadi.
Aqel tidak pernah menangis di depanku. Hanya aku yang berkali-kali menangis di
depan Aqel.
“Sekejap lagi kita makan tengah hari. Semua dah hampir
masak. Masak yang ringkas-ringkas saja” Pak Shuib bersuara lagi. Aku
mengangguk. Tidak sempat hendak membantu di dapur tadi. Pak Shuib memang lebih
selesa bekerja di dapur bersendirian.
Budak perempuan itu duduk di sebelah budak lelaki yang
dua tahun lebih tua daripada usianya. Sejak dari tadi dia mengalun suara
menyanyikan lagu-lagu yang diminati. Lelaki itu tersenyum. Hatinya terhibur.
“Hush... jangan bising. Nanti ikan-ikan lari” tegur budak
lelaki itu sambil meletakkan jari di bibir isyarat mengarahkan budak perempuan
itu segera berhenti menyanyi. Budak lelaki itu kembali mengalih pandangan ke
arah pancing. Hampir dua jam duduk di situ, namun ikan tidak datang memakan
umpan. Semua gara-gara suara nyanyian budak perempuan itu telah menakutkan
ikan-ikan di sungai. Fokusnya turut terganggu.
“Huuusssshhhh...!” Bunyi ini semakin kuat dan panjang
jedanya. Budak perempuan itu menjeling tajam. Tidak suka ditegah-tegah
nyanyiannya.
“Nak menyanyi pun tak boleh...” rungutnya marah. Lelaki
itu hanya geleng-geleng kepala memerhatikan gelagat mereka. Namun budak
perempuan itu degil. Nyanyiannya masih kedengaran.
“Kalau nak terus menyanyi...lebih baik hantar kamu balik
rumah” ancam budak lelaki itu hilang sabar. Masam wajah budak perempuan itu
mendengar kata-kata ancaman itu.
“Jangan bergaduh nanti ikan tak muncul” tegur lelaki itu
cuba meredakan kemarahan budak lelaki itu. Kedua-duanya menarik muka masam.
“Dahaga... nak air” ujar budak perempuan itu berhenti
menyanyi.
“Menyanyilah lagi sampai hilang suara” kutuk budak lelaki
itu.
“Ayah...abang ni teruklah...!” rengek manja budak
perempuan itu mengadu. Dia merajuk. Lelaki itu menggeleng kepala.
“Takpe... biar ayah beli air minuman sekarang. Nak air
apa?” Lembut suara lelaki itu bertanya. Cuba memujuk rajuk budak perempuan itu.
Budak perempuan itu tersenyum.
“Nak air bertenaga... air oren...air pisang...air
strawberi...” pintanya menyenaraikan air yang hendak diminum.
“Alamak...banyaknya air nak diminum” tegur lelaki itu
dengan reaksi yang sengaja dibuat-buat terkejut. Budak perempuan itu tersenyum.
“Mestilah...tekak dah kering” balasnya sambil
mengurut-urut batang lehernya. Mahu menunjukkan betapa dia kehausan sekarang.
Budak lelaki itu mencebik.
“Okey... ayah beli sekarang semua air itu. Abang jaga
adik baik-baik tau” ujar lelaki itu lalu bangkit dari duduknya. Pancing
dibiarkan berlabuh di sungai itu. Dia akan kembali ke situ untuk bersama
anak-anaknya. Ketika dia meninggalkan mereka, masih kedengaran nyanyian budak
perempuan itu. Disusuli dengan teguran budak lelaki itu. Atas keyakinan budak
lelaki itu mampu menjaga keselamatan budak perempuan itu, ditinggalkan kedua-dua berada di jeti itu
kerana dia hendak pergi ke kedai runcit di hujung jalan itu.
“Bisinglah... Kalau kamu nak terus menyanyi pergi
jauh-jauh di sana” arahnya sambil menunding jari ke arah itu. Budak perempuan
itu bangun lalu berpindah tempat duduk. Lebih rela duduk berjauhan daripada dihalang
nyanyian. Dia tidak mahu berhenti menyanyi.
“Duduk di situ diam-diam. Ingat jangan merayau-rayau”
pesan budak lelaki itu.
“Bosanlah... menyanyi tak boleh...jalan-jalan pun tak
boleh” omel budak perempuan itu tidak berpuas hati.
“Nyanyi suara kecil, boleh?” tanya budak perempuan itu.
Tiba-tiba dia nampak rama-rama kecil berterbangan. Kagum dan dia tersenyum.
Bagai pari-pari yang sedang menggelilinginya. Dia terus menyanyi dan
menari-nari dengan gerakan kaki yang perlahan-lahan.
“Suka hati” sahut budak lelaki itu. Pandangan fokus pada
kail yang berlabuh. Ada perkembangan positif. Ikan-ikan sudah mula kelaparan.
Nyanyian kecil budak perempuan itu sudah tidak mengganggu lagi. Senyap. Tiada
kedengaran suara nyanyian budak perempuan itu. Laju dia berpaling. Budak
perempuan itu tidak berada di situ lagi. Tiba-tiba hilang begitu sahaja.
Bingkas budak lelaki itu bangun sambil melaung memanggil-memanggil nama budak
perempuan itu. Hati tidak tenteram. Terasa ada perkara buruk berlaku.
“Tolong...! Tolong...! Tolong...!” Dia tergamam menatap
tangan kecil yang terkapai-kapai di dalam sungai itu. Tenggelam timbul cuba
menyelamatkan diri.
“To...long...!To...long! To...” sayup-sayup suara itu
semakin hilang. Nampak tangan itu semakin longlai tidak bertenaga. Kemudian
lenyap. Suara budak perempuan meminta tolong juga tidak kedengaran lagi.
“Adiiiikkkk...!!!” Dia baru tersedar. Baru sahaja dia
hendak terjun ke dalam sungai itu, ada tangan kuat menarik tubuhnya.
“Jangan berganjak dari tempat ini...!” tegah lelaki itu.
Sekelip mata sahaja lelaki itu sudah terjun ke dalam sungai. Cuba menyelamatkan
budak perempuan yang sudah tidak kelihatan kelibat. Tangan budak lelaki itu
terketar-ketar. Nafasnya sesak. Beberapa minit kemudian samar-samar dia nampak
lelaki itu merangkul tubuh budak perempuan yang kaku tidak bermaya. Dia rebah
di situ.
“Semua ini salah awak! Awak yang tinggalkannya!” suara
tangisan raungan perempuan itu membangunkannya. Bingkas dia berlari keluar dari
bilik itu dengan tangisan. Ayahnya tampak sugul, memegang kepala dan menangis
sendirian di hujung sofa itu. Mamanya menangis teresak-esak. Hilang kawalan
diri.
“Salah saya melarangnya menyanyi...! Salah saya
menghalaunya pergi...! Salah saya tak jaganya dengan baik...! Salah saya sebab
membiarkannya tenggelam...! Salah saya...! Salah saya...!” jeritnya kesal. Dia
menumbuk-numbuk dada. Bingkas lelaki itu bangun lalu menerpa ke arahnya.
Tubuhnya dipeluk erat. Cuba mendamaikan jiwa remaja lelaki ini.
Tidak sampai sejam selepas minum secawan milo panas yang
Pak Shuib sediakan, aku kembali ke dapur. Pak Shuib mengajak aku menikmati
makan tengah hari. Aqel tidak berada di sini.
“Aqel belum bangun lagi? Dia tak nak makan?” tanyaku.
“Dah bangunkan tapi dia takde selera nak makan” jelas Pak
Shuib. Aqel tidak sihat? Jarang Aqel hendak menolak rezeki. Aku dan Pak Shuib
menikmati hidangan tengah hari. Walaupun ringkas tetapi semua masakan Pak Shuib
menyelerakan. Masakan ala kampung. Rupa-rupanya Aqel gemar masakan sebegini.
“Takpe... kini gilliran saya yang kemas dan basuh. Pak
cik dah masak tadi” ujarku bertegas. Pak Shuib mengalah. Lantas aku
melangsaikan kerja-kerja di dapur. Usai mengemas dapur aku mengatur langkah ke
bilik. Namun sekerat jalan sahaja. Aku mengubah haluan langkah ke bilik Aqel.
Daun pintu kuketuk. Tiada suara Aqel mengarahkan aku masuk. Sunyi sepi. Kuketuk
lagi. Perkara yang sama. Aqel masih menyepikan diri. Namun hatiku tidak tenang.
Kupusing tembol pintu. Mujur tidak berkunci. Lantas aku melangkah masuk dan
memberi salam. Kelihatan Aqel sedang berselubung dalam selimut terbaring di
atas katil. Wajahnya dibasahi peluh dingin. Aqel bercakap dalam tidur dengan
jelas butiran bicara itu. Dia menyalahkan diri. Kenapa?
“Salah saya...! Salah saya...!” Dia rebah dalam pelukan
lelaki itu.
“Aqel... bangun” Kugerak perlahan tubuh Aqel. Namun
tiada tindak balas. Mata Aqel terpejam
rapat. Kudakap telapak tangan di dahi Aqel. Panas. Aqel demam sekarang.
“Aqel... bangun. Biar saya bawa awak jumpa doktor” panggilku
lembut. Kelopak mata Aqel terangkat sedikit. Namun terkatup kembali.
“Saya nak tidur” ujar Aqel perlahan. Lesu.
“Awak demam ni” tingkahku tidak mahu mengalah.
Kugerak-gerak tubuh Aqel. Tidak mahu dia meneruskan tidur. Aku mesti membawa Aqel
berjumpa dengan doktor. Dia wajib dirawat agar sakit Aqel tidak berlanjutan.
Aku tidak boleh membiarkan Aqel terbaring sedemikian sahaja. Dia harus bertemu
dengan doktor.
“Bangunlah...” pintaku mengarah Aqel bangkit dari katil.
Namun Aqel memakukan tubuh di atas tilam
empuk ini. Langsung tidak mahu bergerak. Hendak angkat tubuh Aqel, aku tidak
mampu. Sekurus tubuh Aqel pun bukan ringan. Aku tidak mampu memujuk Aqel. Laju
kuatur langkah ke pintu. Aku ke dapur.
“Pak cik... saya perlukan sebesen kecil air suam. Nak lap
tubuh Aqel” jelasku.
“Ubat demam ada?” tanyaku lagi.
“Sekejap... pak cik ambil” ujar Pak Shuib. Kucapai gelas
lantas menuang air kosong.
“Nah... ubatnya” Kusambut ubat yang dihulurkan oleh Pak
Shuib. Di tangan kananku segelas air kosong untuk Aqel menelan ubat ini.
“Biar pak cik yang bawa air dalam besen tu” jelas Pak
Shuib. Aku mengangguk. Kemudian aku dan Pak Shuib bergegas ke bilik Aqel. Tidak
boleh berlengah lagi. Demam Aqel serius dan harus dirawat segera.
“Pak cik letak saja besen tu di sini” ujarku. Pak Shuib
mengangguk.
“Terima kasih” Air suam sebesen sudah berada di sisi.
“Pak cik keluar dulu. Kalau ada apa-apa yang kamu
perlukan panggil pak cik ye. Pak cik ada di luar” pesan Pak Shuib. Aku
mengangguk. Pak Shuib melangkah ke pintu.
“Aqel...bangun. Saya beri awak ubat ni” ujarku. Kelopak mata Aqel terangkat. Aqel menatapku. Wajahnya pucat lesu. Aqel demam sekarang.
“Saya nak baring lagi” ujar Aqel lemah.
“Habis awak telan ubat ni awak boleh baring semula”
jelasku. Aqel cuba bangkit. Namun dia tidak cukup tenaga. Kubantu Aqel bangkit
lantas menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Mata Aqel terpejam celik.
Kusuakan ubat dan segelas air kosong kepada Aqel. Bersusah payah Aqel menelan.
Dia berbaring semula. Tangannya menarik selimut menutupi tubuh. Sekejap sahaja
Aqel sudah terlelap semula.
“Tidurlah” arahku. Aku menatap air suam di dalam besen
kecil ini. Terlupa hendak meminta tuala kecil daripada Pak Shuib tadi. Segera
aku membuka almari. Pakaian Aqel termasuk barang-barang keperluan lain tersusun
rapi. Tuala-tuala pelbagai saiz tersusun kemas. Kagum dengan cara hidup Aqel
dalam penjagaan diri yang begitu teratur. Sudah cukup melambangkan dirinya yang
sistematik. Kucapai sehelai tuala kecil. Serentak itu sekeping kertas melayang
dan jatuh tepat-tepat di hujung kakiku. Aku membongkok lantas mencapai kertas
ini. Kusimpan di dalam saku seluar ini.
Tidak sempat hendak menilik-nilik, aku segera mendapatkan Aqel. Kutuam dahi
Aqel dengan tuala kecil yang sudah basah ini berulang kali. Cuba menstabilkan
suhu badan Aqel yang panas ini. Kutatap wajah anak muda Mak Long ini. Kesedihan
menusuk hatiku.
“Maafkan saya...Aqel. Semoga awak cepat sembuh” doaku
berbicara sendirian. Aku bersalah kepada Aqel. Kupandang wajah Aqel lama-lama.
Pandangan mataku beralih pada bahu Aqel. Berat bebanan yang tergalas di bahu
ini. Beberapa hari ini Aqel menjadi teman terbaikku. Dia meluangkan masa
bersamaku serta berusaha mendamaikan kerisauan yang membelengguku. Akhirnya aku
terlepas daripada tuduhan itu persis yang dijanjikan oleh Aqel.
“Jika Haqem
kecewakan awak, jika Datin Sofea sakiti awak dan jika awak rasa tak berdaya
kerana Idlan, bersandarlah di bahu saya. Saya akan sentiasa kuat dan bertenaga
melindungi awak. Saya akan berada di sisi awak hingga hujung nyawa saya” suara
Aqel terngiang-ngiang di telingaku. Sungguh baik hati Aqel. Air mata menitis di
pipi. Cepat kukesat. Teringat pada sekeping kad tadi, kuseluk saku seluar ini.
Dr. Fiona Nabila, nama yang tertera pada kad ini bersama sebaris nombor
telefon. Seorang pakar kaunseling. Aqel pesakit doktor ini? Aqel sakit kerana
kemalangan yang aku cetuskan itu? Hatiku tidak tenteram. Bagai ada sesuatu yang
cuba Aqel sembunyikan daripada pengetahuanku. Lantas kusimpan kembali kad ini
di dalam saku seluar ini. Aku akan bertemu dengan Dr. Fiona Nabila. Akan aku
siasat perkara sebenar.
assalamualaikum....salam ramadhan...salam sejahtera... sorry bky2...bab ini telah saya post minggu lalu namun atas kesilapan telah terdelate. jom kita sama-sama baca... tqvm
ReplyDelete